Wednesday, August 16, 2017

Misteri UFO Di Kampung Gobek Kelantan

Loading...

Kemunculan objek terbang yang tidak dikenali (Unidentified Flying Object) atau ringkasnya UFO di serata pelosok bumi masih lagi menjadi misteri.

Misteri UFO Kampung Gobek
Gambar hiasan.

Banyak pihak mendakwa telah melihat piring terbang milik makhluk aneh itu berlegar di ruang udara kemudiannya mendarat di beberapa kawasan di negara ini.

Semenjak kemunculannya buat pertama kali di Sarawak pada tahun 1950 dan di Port Dickson pada tahun yang sama, objek itu seolah-olah mencari ruang untuk melihat tempat-tempat lain yang lebih strategik di Malaysia sebagai salah satu destinasi menarik makhluk berkenaan.

Pelbagai pihak membuat andaian kononnya kehadiran UFO di negara ini bertujuan untuk menjalankan kajian khusus yang tidak diketahui manusia selain untuk mendapatkan khazanah bumi iaitu bekalan logam mentah bermutu tinggi seperti 'bijih besi'.

Benar atau tidak dengan dakwaan itu masih lagi menjadi tanda tanya di kalangan manusia sendiri kerana kebanyakan tempat-tempat objek UFO mendarat adalah di kawasan terpencil dan terbiar.

Kenyataan ini bukan isu kecil malah dianggap benar kerana di Kelantan sendiri objek terbang dan makhluk UFO khususnya telah menjadikan sebuah kawasan terpencil di Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan sebagai tempat pendaratan makhluk itu.

Dan hal ini turut menggemparkan seluruh penduduk kampung berkenaan pada tahun 2000 itu.

Mohamad Mat Diah
Mohamad Mat Diah atau Pakcik Mat ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kemunculan makhluk asing di kampung tersebut, RELATIF, Azmi Mohd. Salleh telah menemui Mohamad bin Mat Diah, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Mat yang juga seorang Pengamal Rawatan Tradisional di kampung terbabit.

Katanya, beliau tidak menafikan kehadiran makhluk UFO muncul di sebuah kawasan terpencil yang sebelum ini merupakan tanah sawah tetapi agak terbiar miliknya kerana tidak lagi diusahakan dan menjadi padang ragut haiwan ternakannya selain menjadi tempat remaja bermain layang-layang di situ.

Menurutnya lagi, makhluk UFO mendarat di kawasan itu ketika waktu malam. Tidak seperti malam-malam sebelumnya, malam itu agak gelap pekat. Dan hari itu juga beliau demam dan tidak mengizinkannya untuk melihat ternakannya yang ditambat di kawasan itu.

Pada keesokan harinya iaitu hari Selasa, apabila demamnya semakin beransur pulih, dia terus bergegas ke tempat ternakannya seawal jam 9.00 pagi.

Alangkah terkejutnya dia tatkala menjejakkan kaki di pinggir sawah terbiar itu apabila mendapati tanah terbiar itu bertukar menjadi sebuah kolam yang agak luas di mana panjangnya kira-kira 15 meter manakala lebarnya 5 meter.

Melihat perubahan itu secara tiba-tiba dan penuh misteri, menyebabkan timbulnya rasa takut yang amat sangat.

Pakcik Mat menambah, beliau menunggu sehingga jam 12.00 tengah hari untuk melihat perkembangan seterusnya dari jarak beberapa meter dari situ kalau-kalau ada makhluk ganjil di situ.

Namun tiada apa-apa yang kelihatan dan beliau mula beredar dari situ untuk menunaikan solat Zohor di masjid berhampiran rumahnya.

Kolam misteri UFO
Inilah kolam misteri yang dihuni oleh makhluk UFO.

Berita tentang kemunculan makhluk UFO itu hanya didiamkannya sahaja dari pengetahuan jemaah masjid termasuklah ahli keluarganya.

Sehinggalah selesai solat Asar, beliau bersama adik ipar serta jemaah masjid bergegas ke kolam misteri itu untuk melihat secara lebih dekat kerana sebelum ini tidak pernah wujud kolam berkenaan.

Setelah sampai di kolam itu, dari jarak dekat beliau mendapati 'rumput menerung' yang hidup subur di sawah itu menegak seperti tidak ada sesuatu yang menghempapnya.

Padahal, menurut kelazimannya jika ada benda berat yang menghempapnya sudah tentu rumput itu akan tumbang, patah ataupun putus dua.

Sementara itu, adik iparnya cuba memberanikan diri mendekati tebing kolam misteri itu lalu cuba menyorongkan kaki untuk menyentuh air kolam itu tetapi ditegah oleh Pakcik Mat.

Ini kerana, beliau bimbang ada sesuatu yang tidak diketahui telah dibuang ke dalam kolam itu. Ataupun air kolam itu sendiri akan menjadi penyebab penyakit yang memudaratkan.

Agak lama juga Pakcik Mat merenung ke arah kolam misteri itu, panjang dan lebarnya sudah dapat diagak. Namun kedalaman dasar kolam itu adalah di luar pengetahuannya.

Disebabkan terlalu lama melihat melalui ekor matanya sambil berfikir tentang kejadian pelik di tanah sawah terbiar miliknya itu, desakan nalurinya amat kuat untuk mengetahui tentang sesuatu yang pasti wujud dalam kolam berkenaan seperti makhluk di luar pengetahuan manusia telah menghuni di dasar kolam berkenaan.

"Kalau kamu ada dalam kolam ini, kamu kena taunjuk kepada aku siapa kamu", jerit Pakcik Mat dengan lantang sambil matanya masih merenung ke arah kolam tersebut.

Jeritannya itu turut didengari oleh sekalian yang hadir pada hari itu untuk tujuan melihat kejadian misteri kolam berkenaan.

Selang tiga minit selepas jeritannya itu supaya makhluk menjelmakan dirinya dari dalam kolam itu, dengan tiba-tiba keluarlah seekor makhluk umpama ikan haruan berwarna hitam sebesar lengan dan panjangnya kira-kira 0.5 meter berenang seperti ular dari arah kiri kolam itu menyebabkan airnya berolak, lalu apabila sampai di tebing kolam makhluk tersebut terus melompat ke udara lalu masuk semula ke dalam air.

Namun, Pakcik Mat masih belum berpuas hati dengan jelmaan makhluk pertama itu yang berkemungkinan ada lagi makhluk yang sama turut berkampung di dasar kolam itu.

Memang benar dengan dakwaannya kerana beberapa minit kemudiannya, makhluk kedua seperti ikan haruan itu muncul dan berenang dari arah kanan kolam misteri itu lalu melompat berhampiran tebing kolam itu menyebabkan air terpercik dan tempiasnya terkena pakaiannya.

Makhluk itu juga kembali ke dalam air sebagaimana yang pertama tadi.

Walau bagaimanapun, Pakcik Mat masih juga tidak berpuas hati walaupun mendapati dua ekor makhluk umpama ikan haruan itu menunjukkan dirinya.

Dengan tiba-tiba, dari jarak tiga meter tempat beliau berdiri berhampiran kolam itu, muuncul pula makhluk yang ketiga berenang ke arahnya lalu melompat ke udara sebagaimana makhluk yang pertama dan kedua lalu terjun ke dalam air.

Titian Misteri UFO
Di sinilah sebuah batas atau titian yang memisahkan sebuah kolam menjadi dua kolam.

Dengan kemunculan makhluk ketiga itu, Pakcik Mat mengurut dada tanda berpuas hati untuk menunjukkan permintaannya telah ditunaikan.

"Kalau kamu hendak tinggal di sini, aku izinkan. Tetapi kamu jangan ganggu sehingga menyebabkan kanak-kanak di kampung ini menderita ditimpa penyakit berpunca dari kamu", bentaknya dengan lantang seolah-olah memberikan amaran karas kepada ketiga-tiga makhluk pelik yang telah menghuni dalam kolam miliknya itu.

Berikutan kejadian makhluk asing penyebab kepada terbentuknya kolam misteri itu, rumahnya bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, tetapi juga daerah-daerah lain termasuk dari luar Kelantan diikuti beberapa wartawan dari media cetak dan elektronik.

Beberapa penduduk dari Pasir Puteh pula sanggup berkampung berdekatan dengan kolam itu kerana ingin melihat fenomena aneh yang tidak pernah dialami dan dirasai seumur hidup.

Namun, akibat daripada kehadiran makhluk asing itu menyebabkan ternakannya semakin gelisah melihat ke arah kolam misteri tersebut.

Selama tiga bulan lamanya ternakannya seperti meragam dan meronta-ronta tidak ingin ditambat berhampiran dengan kolam misteri di sawah itu.

"Ramai juga yang datang mencedok air dari kolam itu. Contohnya seorang anggota tentera yang asalnya dari Kelantan tetapi menetap di Pahang datang ke kampung ini lalu membawa pulang segelen air dari kolam itu. Katanya untuk merawat penyakit ganjil anak jirannya.

"Katanya air dari kolam itu telah diberikan kepada seorang anak jirannya yang berpenyakit kudis sejak berusia 6 tahun hingga 12 tahun.

"Hasil meminum tiga kali sehari, penyakit kudis kanak-kanak itu dikatakan sembuh sepenuhnya", katanya dan beliau mengetahui cerita berkenaan apabila beliau dikunjungi kanak-kanak tersebut bersama keluarganya pada masa itu.

Pada malam seterusnya, Pakcik Mat menunaikan solat Hajat sebagaimana yang pernah dijanjikannya kepada orang ramai supaya ditunjukkan bukti jelas perihal kehadiran makhluk asing itu, bagi menutup tuduhan melulu segelintir di kalangan penduduk berkenaan yang menyatakan beliau bermimpi di siang hari.

"Keesokannya pakcik pergi kerja seperti biasa. Tiba-tiba seorang Ustaz dari Machang yang sering datang ke kampung ini berteriak memanggil-manggil nama pakcik.

"Apabila ditanya, pakcik diminta supaya melihat di atas kolam itu", ujarnya.

Pakcik Mat kemudiannya bergegas ke arah kolam itu dengan tidak mempedulikan kerja-kerjanya yang perlu diselesaikan.

Alangkah terkejutnya apabila mendapati di atas kolam itu terbina pula sebuah batas seperti titian yang membahagikan kolam itu menjadi dua buah kolam.

Tambah Pakcik Mat, Ustaz tersebut memberitahunya makhluk asing yang menghuni kolam itu timbul di permukaan kolam yang berkemungkinan sedang melakukan aktiviti yang tidak diketahui manusia.

"Hairannya terdapat rumput menerung di kini dan kanan batas itu dalam keadaan sempurna, tidak patah, tumbang atau putus dua sebagaimana terbentuknya kolam ini tempoh hari", ujar Pakcik Mat agak kehairanan dengan peristiwa itu.

Mohamad Mat Diah
Pakcik Mat menunjukkan arah makhluk UFO itu terbang meninggalkan kolam misteri.

Dari telahan orang ramai mempercayai makhluk tersebut adalah makhluk asing yang menyorokkan kapal angkasa mereka di dasar kolam itu.

Jika sebaliknya, di manakah baki asal tanah kolam itu yang sepatutnya diletakkan di tebing, tetapi apabila diperhatikan di tebing kolam, lebihan tanah itu tidak ada.

Tetapi bagi Pakcik Mat hanya sekadar untuk mengetahui kedalaman air kolam itu lalu beliau menghalakan sebatang kayu sebagai kayu pengukur. Dari agakannya, kedalaman kolam itu mencecah paras dada seorang lelaki dewasa.

Pada malam Khamis itu pula, kerana terlalu keletihan yang amat sangat Pakcik Mat tidur dengan nyenyaknya. Dalam tidurnya itu, beliau bermimpi makhluk asing itu datang memberitahunya bahawa mereka akan meninggalkan tempat itu.

"Bila hendak pergi, kamu beritahu aku. Tetapi sewaktu datang tempoh hari kenapa tidak beritahu aku. Nak ke sini ceritalah untuk tujuan apa", cetusnya keras sebagaimana dalam mimpinya itu.

Dalam mimpinya, Pakcik Mat dipanggil oleh makhluk asing itu supaya datang ke kolam itu kerana mereka akan berangkat pergi.

Ketika itu Pakcik Mat dapat melihat dengan jelas ketiga-tiga makhluk UFO itu timbul dari kolam berkenaan di mana ketiga-tiganya telah bercantum menjadi satu badan.

Kelihatan cahaya kuning yang samar-samar terpancar dari tubuh mereka sewaktu muncul di gigi kolam itu.

Tubuh mereka seperti manusia berwarna hitam tetapi bukan manusia, tidak berkaki, tidak mempunyai rupa seperti manusia di mana kepalanya tajam seperti kayu yang dicantas daunnya.

Dari arah muka kolam misteri itu, Pakcik Mat dapat melihat dengan jelas makhluk asing itu naik ke udara secara mengiring di antara haluan hulu dan hilir di mana pada masa itu didapati bulan agak cerah berwarna kuning emas sedangkan di dunia manusia pada masa itu masih malam hari. Makhluk asing itu berlalu dengan laju dan terus hilang dari mimpinya.

Keesokannya, orang ramai berpusu-pusu menuju ke kolam itu kerana banyak permata dan berlian bertaburan di tebing kolam berkenaan.

Geram dengan tindakan makhluk asing itu kerana tidak meninggalkan sebarang bahan kenangan buatnya, tiba-tiba seorang jirannya menghulurkan seketul batu aneh berwarna hitam pekat kepadanya di mana bentuknya seumpama kolam misteri itu.

"Pakcik dapati salah satu penjuru batu hitam itu seperti bentuk muncung makhluk asing itu. Garisan tengah seolah-olah membentuk sebuah batas dan titian yang memisahkan satu kolam asal menjadi dua buah kolam.

"Terdapat juga garisan emas pada batu hitam itu, di mana di kanannya terbentuk kalimah Allah dan di kirinya pula kalimah Muhammad", ujarnya sambil menunjukkan bentuk batu hitam aneh itu untuk dirakam gambarnya.

Pakcik Mat juga menjelaskan, semenjak makhluk asing mendarat di Kampung Gobek keadaan suasana kampung turut berubah terutamanya dari sudut keamanan dan ketenteraman dapat dirasai secara mendadak.

Batu UFO
Inilah batu yang diberikan oleh makhluk UFO berbentuk kolam itu.

Malah, keadaan keluarga yang sebelum ini sering bermasam muka dan bercakaran sesama sendiri tidak lagi berlaku malah bertambah mesra dan akrab. Rezeki juga turut berubah.

"Mungkinkah ini suatu rahmat dari Allah kita tidak tahu. Kehadiran makhluk asing itu sebagai petanda rahmat supaya kita perlu saling bantu-membantu untuk keamanan dan kesejahteraan", katanya.

Hari ini, kolam misteri penuh bersejarah itu terus terbiar dan di sekelilingnya ditumbuhi rumput menerung yang agak subur menutup pandangan.

Sawah itu kini tidak lagi dijadikan sebagai kawasan ragut ternakan. Malah kanak-kanak dan remaja yang sebelum ini riang bermain layang-layang telah melupakannya.

Mungkin masih fobia akibat ketakutan dengan kemunculan makhluk asing sehingga terbentuknya kolam misteri, tidaklah diketahui.

Tetapi itulah hakikatnya, Kampung Gobek menjadi kenangan sebagai tempat pendaratan bersejarah makhluk UFO di Tanah Merah, Kelantan.

BACA INI JUGA:

sumber: azmirelatif

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon