Tuesday, May 05, 2015

Nahas Duke, Enam Myvi Bukan Berlumba Cuma Memandu Laju!

Nahas Duke, Enam Myvi Bukan Berlumba Cuma Memandu Laju!

Susulan kamalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga termasuk bayi berusia enam bulan itu, seorang ahli Familia Myvi Club bernama Yana cuba menafikan penglibatan rakan-rakannya yang dikatakan berlumba sekaligus menjadi punca kemalangan tersebut.

Nahas-Duke

“Diorang bukan berlumba. Tolong jangan percaya pada (berita) viral yang tersebar. Mereka hanya menjalankan tugas sedangkan tidak tahu perkara sebenar,” katanya, menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial.

Namun, gambar satu perbualan di Whatsapp di antara ahli-ahli Familia Myvi Club yang dilihat seakan cuba ‘menegakkan benang yang basah’ membuatkan kami mempersoalkan mengapakan manusia bernama Yana ini cuba membuat sandiwara bagi menutup cerita sebenar?

Bagi memberi pencerahan kepada anda semua tentang benarkah enam pemandu Myvi tersebut berlumba atau tidak, cuba anda nilaikan sendiri rakaman CCTV di Lebuhraya Duke ini yang menampakkan gaya pemanduan mereka.

Ya, mereka sememangnya memandu dalam keadaan laju atau dengan kata lainnya, sedang BERLUMBA.

Rakaman berdurasi 30 saat itu memaparkan aksi pemanduan berbahaya daripada keenam-enam suspek dan kini pihak polis sedang menjalankan siasatan.

Kepada insan bernama Yana, tidak perlulah back-up kawan-kawan sekalipun anda tahu cerita sebenar dan apa kes tanggal sticker ‘kebanggaan’ tu? Heh.

Rakaman CCTV Tunjukkan Lebih 6 Myvi Terlibat?

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 30 saat yang kini tersebar dilihat tidak hanya menunjukkan enam Myvi, tetapi mungkin tujuh atau lebih yang dipandu laju pada waktu sebelum kejadian.

Rakaman yang diambil di Plaza Tol Ayer Panas, Setapak itu turut memperlihatkan kenderaan Pajero Sport yang dinaiki mangsa yang merupakan sepasang suami isteri beserta bayi mereka.

Apa pun, ada baiknya kesemua kenderaan yang kelihatan dalam rakaman CCTV tampil ke hadapan bagi membantu siasatan terutama para pemandu Myvi terlibat.

BACA INI JUGA: The Island Race, Tragedi San Diego


Sumber: Mynewshub.cc

Gambar Rambut ‘Blonde’ Megan Fox Yang Super Hot!

Gambar Rambut ‘Blonde’ Megan Fox Yang Super Hot!

Baru-baru ini, dalam sesi penggambaran filem Teenage Mutant Ninja Turtles 2, Megan Fox dilihat muncul dengan gaya rambut terbaru.

Megan Fox ‘Blonde’

Bintang Hollywood ini sememangnya aktres yang sangat menawan dan seksi di mata setiap lelaki.

Pelakon yang asalnya memiliki rambut brunette itu kelihatan sangat menawan dengan potongan rambut bob yang diwarnakan blonde.

Megan Fox ‘Blonde’ [2]

Tapi hakikatnya, Megan hanya memakai rambut palsu untuk filem itu, dia masih lagi mengekalkan warna rambut brunette.

Megan Fox ‘Blonde’ [3]

Tak sabar rasanya nak tengok aksi Megan dalam filem itu tak lama lagi..

BACA INI JUGA: Misteri Gadis Cantik Tidur 22 Jam Sehari!

Sumber: Mynewshub.cc

Asal-usul Budaya Skinheads

Asal-usul Budaya Skinheads

Berkepala botak, memakai but pelbagai warna, jaket serta lencana dan pernah dikecam sebagai budaya kuning suatu ketika dulu.

Skinheads

Disertai golongan muda, gemar berkumpul beramai-ramai, bersidai dilokasi tumpuan seperti pusat membeli-belah dan pernah menjadi fenomena di Malaysia sekitar lewat 90an hinggalah pertengahan tahun 2000.

Tapi, tahukah anda budaya Skinheads, yang berasal daripada United Kingdom ini sebenarnya dipelopori golongan buruh kasar?

Selepas era kemelesetan ekonomi pada tahun 1930an di seluruh dunia, United Kingdom bangkit perlahan-lahan, membangunkan negara mereka daripada tekanan ekonomi sejagat.

Walaupun kedudukan ekonomi United Kingdom di belakang kuasa besar seperti Jerman, Jepun dan Amerika, namun pertumbuhan ekonominya memberi tambah nilai kepada gaya hidup warganya sekitar tahun 50an. Golongan-golongan buruh merupakan rakyat yang mempunyai taraf ekonomi paling rendah dengan bilangan mereka yang ramai.

Ketika itu, remaja-remaja ini terpengaruh dengan fesyen baru daripada kumpulan penyanyi soul dari Amerika, R&B UK, pelakon serta lambakan fesyen di lorong Carnaby, London.

Mereka dikenali sebagai Mods, belia-belia yang mempunyai keghairahan terhadap fesyen, muzik dan motor skuter. Asimilasi antara penduduk asal dan imigran dari Jamaica yang membawa budaya Rude Boys atau Rudie Mods ke dimensi baru.

Oleh kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh, mereka membotakkan kepala kerana tuntutan kerja tidak boleh berambut panjang.

Dari situlah mereka mendapat nama Skinheads, yang bermaksud kulit kepala, yang diberikan oleh penulis dan wartawan sebagai trend terkini ketika itu.

Oleh kerana mereka daripada golongan pekerja buruh, kebanyakan daripada mereka mengenakan seluar jeans yang tahan lasak dan kasut but sebagai fesyen dan lambang solidariti pekerja buruh.

But yang dipakai pula bukan sebarangan, penambahan aksesori besi pada bahagian dalam but bagi melindungi jari kaki memberikan haba untuk mereka yang bekerja dilombong arang atau perlindungan ditapak pembinaan.

Selain botak, berkasut but dan seluar jeans serta yankee, gaya tipikal Skinheads dijalanan ketika itu ialah memakai kemeja kemas, siap dengan braces selain mengenakan jaket flight atau bomber dan topi pie atau flat.

Mereka turut mengamalkan semangat setia kawan yang jitu. Melindungi sahabat jika ada apa-apa masalah walaupun dicetuskan oleh sahabat mereka sendiri.

Kemunculan genre muzik punkrock sekitar tahun 1977 memeriahkan lagi budaya kumpulan ini.

Skinheads melabelkan muzik mereka sebagai Oi! - genre muzik punkrock tetapi pengisian lirik tentang kehidupan Skinheads yang diangkat oleh wartawan muzik yang juga seorang Skinheads dari Scotland, Gary Bushells.

Ketika era tahun 70an juga Skinheads mula diresapi banyak anasir-anasir ideologi politik yang bersikap perkauman.

Muncul kumpulan-kumpulan pro kepada semangat nasionalis yang melampau hingga membuka cabang baru seperti White Power Skinheads dan Neo Nazi. Kumpulan-kumpulan ini wujud membuat kekacauan dengan memukul imigran dari Asia Tenggara yang berhijrah mencari pekerjaan di negara mereka.

Kerana golongan Skinheads rata-ratanya daripada kalangan buruh, mereka merupakan golongan yang paling mudah dihasut dengan elemen-elemen rasis. Golongan ini mengiakan pembulian melibatkan golongan imigran di negara mereka.

Parti National Front menyebarkan dakyah-dakyah perkauman dibantu British National Party terhadap golongan ini untuk meraih sokongan mereka sehingga media-media di Barat menyelar kumpulan Skinheads sebagai ultra rasis.

Melihat Skinheads semakin dicemari elemen rasis, muncul pula golongan Skinheads yang mahu memperbetulkan fakta dengan melawan golongan White Power atau Neo-Nazi, iaitu Skinheads Against Racial And Prejudice atau SHARP yang bermula di New York oleh dua orang Skinheads berketurunan hispanik, Marcus Pancheco dan Stevan M.

SHARP mempromosi teras baru terhadap keruncingan masalah perkauman dalam Skinheads yang menolak fahaman perkauman seperti White Power. Ideologi ini tersebar semula ke UK sebelum ramai yang mengangkat SHARP untuk menghapuskan stigma perkauman.

Kesudahannya, dua kumpulan ini sering bertembung dan bergaduh di jalanan mahupun ketika festival muzik yang melibatkan muzik Oi!

Pergaduhan kedua-dua kumpulan ini yang paling teruk berlaku ketika konsert Oi! Hambrough Tavern, Southhall sekitar tahun 1981 hingga berlaku rusuhan selama lima jam.

Populariti kumpulan Skinheads di UK merosot secara perlahan-lahan kerana wujudnya banyak konflik kerana terlalu banyak ideologi yang menjahanamkan mereka sendiri daripada orang perseorangan. Walau bagaimanapun, ia semakin mendapat perhatian di negara-negara Eropah dan seluruh dunia.

Skinheads Di Malaysia

Seperti negara-negara lain, Malaysia turut tidak terkecuali. Budaya memberontak ini menyusup masuk sekitar tahun 1990an selepas popularnya buku karangan George Marshall berjudul Spirit of 69: A Skinheads Bible, dan selepas jatuhnya era Hard Rock sebelum muzik balada mengambil tempat.

Skinheads masuk melalui muzik Oi! yang lebih relevan terhadap peminat-peminat Hard Rock yang dahagakan kebingitan muzik Hard Rock. Akibat terlalu banyak perbezaan, di Malaysia juga terdapat golonga Skinheads yang mempertikai ideologi ikutan masing-masing dan bergaduh sesama sendiri.

Hampir setiap minggu, ada saja pergaduhan melibatkan kumpulan Skinheads dipusat-pusat tumpuan bandar seperti Bukit Bintang ataupun Jalan Tunku Abdul Rahman.

Penghujung tahun 1990an hingga pertengahan tahun 2000 merupakan zaman Skinheads di Malaysia. Pada waktu itu ia dikecam masyarakat ekoran insiden pergaduhan dan juga fahaman ideologi barat yang menghancurkan umat beragama.

Dek kerana sering menjadi bahan cercaan media, hari ini Skinheads di Malaysia hanya dianuti oleh mereka yang ingin berfesyen semata-mata. Anutan terhadap falsafah asal sudah kecut dan tidak diterima oleh masyarakat timur di Malaysia.

Perkembangan Skinheads di seluruh dunia juga telah berpecah kepada banyak ideologi dengan yang terkini wujudnya gerakan Skinhead Sayap Merah atau mengikut haluan komunis seperti Red Anarchy Skinheads yang diwujudkan pada tahun 90an di Amerika.

Keadaan ini sudah menyimpang daripada asal iaitu Skinheads hanyalah budaya lepak golongan buruh dan tidak ada kena mengena dengan keganasan yang pelik lagi menghancurkan.

BACA INI JUGA: Menyembah Dewa, Asal Usul Sambutan Happy Birthday!

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, May 03, 2015

Nahas Duke, Pemandu Myvi Bayar RM1.2 Juta!?

Nahas Duke, Pemandu Myvi Bayar RM1.2 Juta!?

Pemandu kereta Myvi yang terlibat dalam perlumbaan haram di Lebuh Raya Duke di sini hingga mengakibatkan tiga sekeluarga maut akibat berlaku kemalangan jalan raya perlu membayar sebanyak RM1.2 juta kepada waris mangsa.

Nahas Duke

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Wan Muhammad Mizan Wan Abd Latiff berkata, bayaran itu berdasarkan undang-undang Islam bagi jenayah pembunuhan tanpa niat.

‘Undang-undang Sivil hanya memperuntukkan pesalah dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta hilang kelayakan daripada memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya sama ada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Ia sangat berbeza dengan ketetapan ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam menyelesaikan kes ini,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Muhammad Mizan berkata, berdasarkan undang-undang Islam, penjenayah kes terebut perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar `diyaat asal’iaitu dalam kiraan kasar adalah kira-kira RM1.2 juta.

Justeru, katanya, undang-undang Islam lebih baik daripada undang-undang sivil kerana bukam sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada penjenayah, tetapi membela waris mangsa dengan sewajarnya.

“Oleh kerana itulah PAS bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan Undang-undang Syariat ini kerana ia jelas membawa rahmat dan kesejahteraan kepada alam keseluruhannya,” katanya.

BACA INI JUGA: 9 Kereta Paling Jimat Minyak Di Pasaran

Sumber: Mynewshub.cc

Skandal Jean Harlow Kekal Misteri Di Pentas Hollywood

Skandal Jean Harlow Kekal Misteri Di Pentas Hollywood

Pada awal tahun 1930an, ramai produser Hollywood mengalami masalah kewangan. Reputasi filem yang tidak dikunjungi orang awam membuatkan mereka bakal gulung tikar.

Jean Harlow
Jean Harlow.

Keadaan ini membuatkan banyak pengusaha studio cuba mencari peluang baru dengan mengetengahkan filem cinta dengan kecantikan aktres sebagai daya tarikan.

Di celah-celah kesuraman industri ini, muncul satu watak baru di kalangan peminat hiburan. Wanita yang tengah panas dipasaran itu mula menambat hati penonton dengan aksi ghairah dan tubuh yang seksi. Wanita yang diperkatakan ramai ini menggunakan nama popular, Jean Harlow.

Popularitinya juga telah menumbangkan aktres paling popular ketika itu, Clara Bow. Kejatuhan imej Clara yang dikaitkan dengan tabiat 'gila lelaki tampan' membuatkan Jean selesa di takhta Hollywood.

Dengan lagu 'I Like a Men Who Takes His Time' melonjakkan lagi selebriti baru ini. Kemudian tanpa dijangka sesiapa, Clara Bow tiba-tiba didapati mati secara mengejut. Kematian itu bukan sahaja menjadi kontroversi, malah mengundang penyiasatan yang tidak berkesudahan.

Setiausaha Clara, ketika memberi keterangan kepada pihak polis mengesahkan, majikannya seorang wanita yang gemar menyimpan gigolo.

Dia dikatakan menggunakan wang yang banyak untuk mengumpan gigolo muda yang kacak sebagai lelaki simpanan dan salah seorang pembekal lelaki simpanan adalah suami Jean Harlow, Paul Bern.

Bern dikatakan punca kenapa Clara mati. Selain membekalkan lelaki kacak buat Clara, dia juga dituduh mempunyai hubungan sulit dengan Clara.

Tidak lama selepas itu, iaitu pada bulan September 1932, Bern tiba-tiba mati ditembak. Siasatan pihak polis tidak menemui apa-apa petunjuk yang boleh dijadikan motif kematian Bern.

Mengikut fakta masa itu, Paul Bern dianggap pengusaha industri hiburan Hollywood sebagai penyelamat mereka. Ini kerana, dalam tempoh dua bulan selepas kesuraman industri hiburan Hollywood akibat perang yang meletus di Eropah, Bern telah berjaya menarik semula penonton ke pawagam melalui beberapa filem seperti Little Woman dan Rebecca of Sunnybrook Farm.

Dia juga berjaya menggilap bakat Jean Harlow menjadi bintang kegilaan ramai sebelum menjadi isterinya.

Oleh kerana itu, kematian Paul Bern mendapat simpati yang cukup besar daripada pelabur industri di Hollywood. Mereka telah mengupah ramai penyiasat persendirian untuk membongkar punca kematian Bern.

Selepas beberapa ketika, muncullah cerita sensasi mengenai skandal Bern yang dikaitkan dengan wanita berambut perang bernama Dorothy Millette. Skandal itu heboh di Hollywood.

Petunjuk itu membuatkan pihak polis membuka semula siasatan kes dengan mencari kesahihan skandal itu.

Hasil siasatan menunjukkan, sebelum Paul Bern berkahwin dengan Jean Harlow atau nama sebenarnya Harlow Carpenter, dia telah tinggal bersama Dorothy Millette. Hubungan sulit itu berlangsung dalam tempoh yang cukup lama.

Tindakan Paul memutuskan hubungan dengan Dorothy membuatkan wanita ini menjadi gila. Dia telah ditempatkan disebuah rumah sakit mental. Keadaan itu membuatkan Bern serba-salah. Dia bimbang dan takut kalau-kalau kisah cintanya bersama Dorothy terbongkar hingga ke pengetahuan isterinya.

Jadi, dia terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk menampung kos perubatan Dorothy dan menyembunyikannya daripada pengetahuan umum.

Jean Harlow and Paul Bern
Paul Bern bersama Jean Harlow.

Selepas beberapa tahun, Dorothy pulih seperti biasa. Bern kemudiannya mengarahkan bekas kekasihnya itu tinggal di Algongquin Hotel, New York dengan semua perbelanjaannya ditanggung.

Bagaimanapun, siasatan pihak polis mendapati, sehari selepas kematian Bern, Dorothy juga didapati mati kerana membunuh diri. Kematiannya telah direkodkan berlaku di San Francisco. Ini membuktikan wanita ini bukan pembunuh Bern.

Keadaan itu menambahkan lagi kebingungan pegawai penyiasat kes ini. Mereka tidak tahu, apakah yang sebenarnya telah berlaku dalam kematian Bern.

Jika dia mati dibunuh, apakah motifnya? Dan siapa pula yang sanggup membunuhnya sedangkan semua orang tahu, dia merupakan individu penting dalam industri hiburan ketika itu.

Tambahan pula, ramai ketua-ketua gengster dan keluarga Mafia melindunginya bagi menyelamatkan pelaburan mereka dalam industri hiburan.

Secara logik, jika ada individu yang menyebabkan kematian lelaki ini, secara tidak langsung mereka juga bakal berdepan dengan keluarga Mafia yang terkenal dengan keganasan.

Cuma ada satu orang sahaja yang berkemungkinan melakukan pembunuhan. Orang itu ialah isteri Bern, Jean Harlow. Teori cemburu dan marah dengan hubungan sulit Bern boleh menjadi motif kenapa Jean Harlow membunuh Bern. Bagaimanapun, tidak ada satu bukti dan saksi yang boleh membuktikan teori tersebut.

Memandangkan Jean Harlow saja yang berkemungkinan menjadi pembunuh Bern, ramai pelabur industri hiburan cuba menutup kes itu. Mereka bimbang jika keadaan itu menekan Jean lalu menyebabkan imejnya luntur di mata peminat dan penggemar filem, ia bakal menyebabkan mereka kerugian besar.

Jadi, mereka cuba melindungi berita itu daripada pengetahuan umum. Pihak polis juga diminta supaya tidak mengheret Jean ke kancah skandal itu kerana bimbang imejnya bakal berdepan masalah.

Meskipun begitu, gosip liar akhirnya sampai ke pengetahuan umum. Mengikut cerita mulut ke mulut, Paul Bern adalah seorang lelaki yang mati pucuk. Cerita itu disahkan oleh Jean sendiri apabila dia menceritakannya kepada salah seorang rakan baiknya.

Menurut cerita, sepanjang perkahwinan, Jean dan Bern tidak pernah mengadakan hubungan intim kerana Bern tidak mampu melakukannya.

Pada malam sebelum kejadian, Jean dan Bern dikatakan telah bertengkar tentang satu perkara yang tidak diketahui. Keesokkannya, mayat Bern ditemui mati ditembak dalam keadaan bogel oleh seorang wanita ditepi sebuah kolam mandi.

Jean Harlow last film
Filem terakhir Jean Harlow sebelum meninggal dunia.

Empat tahun selepas kejadian itu berlaku, sekitar tahun 1935, Jean Harlow mati kerana masalah jangkitan hempedu. Dia mati pada usia 26 tahun.

Kematiannya bukan saja menamatkan episod cintanya dengan Bern malah turut meninggalkan pelbagai pertanyaan tentang kematian Paul Bern.

Ramai penganalisis jenayah mengklasifikasikan kes ini sebagai tergantung kerana suspek utama tidak di soal siasat dan keadilan umum untuk mengetahui apakah penyebab kematian Paul Bern tergantung sampai bila-bila.

Sampai sekarang, kes ini tidak dinyatakan spesifikasinya. Ia menggambarkan seolah-olah Paul Bern tidak pernah wujud di dunia.

BACA INI JUGA: Pesara CIA Mengaku Bunuh Marilyn Monroe!

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, May 02, 2015

Mereka Terselamat Dari Maut Kerana Gemuk!

Mereka Terselamat Dari Maut Kerana Gemuk!

Siapa kata jadi gemuk tidak bertuah? Malah, kegemukan itu mungkin mampu menyelamatkan nyawa anda. Tak percaya? Mari baca kisah ini.

Danny Ross

Danny Ross

Danny Ross, seorang lelaki dengan berat mencecah 102 kilogram. Pada Oktober 2012, bekas penganalisis komputer ini sedang menonton tv di pangsapurinya, di London.

Seorang lelaki tiba-tiba menceroboh masuk ke rumahnya dan menuduh Danny mencuri wangnya. Dia diserang, dijerut dengan tali pinggang hingga tidak sedarkan diri. Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut kemudiannya menikam Danny bertubi-tubi. Keadaan Danny amat parah dengan 38 kesan tikaman.

Ajaibnya, Danny berjaya sembuh daripada kecederaan parah dengan 70 jahitan. Malah, doktor mengesahkan, berat badannya yang berlebihan telah membantu menyelamatkan nyawanya.

Ulanda Williams

Ulanda Williams

Sewaktu sedang berjalan-jalan di Manhattan pada Januari 2013, hujan turun dengan lebat. Wanita ini segera berteduh dipinggir jalan. Tiba-tiba tempat dia berpijak runtuh. Ulanda yang seberat hampir 200 kilogram jatuh terperosok sedalam tujuh kaki.

Pihak keselamatan terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan Ulanda. Dia hanya patah tulang pada lengan dan tidak mengalami kecederaan lain.

Tubuhnya yang besar menjadi sebab dia terselamat dalam kejadian itu. Jika tubuhnya kurus, sudah pasti dia akan jatuh lebih jauh ke dalam lubang, malah mungkin mati tertimbus.

Rusell Kimble

Rusell Kimble

Nyawa Rusell Kimble, lelaki berusia 39 tahun dari England hampir melayang apabila diserang oleh parasit pemakan daging.

Doktor terpaksa meletakkan Rusell dalam keadaan koma selama sembilan hari. Sepanjang tempoh itu, 20 pembedahan telah dijalankan bagi membuang berkilo-kilo daging yang telah dicemari bakteria dibadan Rusell.

Cukup bertuah, tubuh Rusell yang kaya dengan lemak telah membantu memperlahankan parasit pembunuh itu daripada masuk lebih jauh ke dalam badannya.

Dan kerana lebihan lemak itu, nyawa Rusell berjaya diselamatkan.

Alegria Campos

Alegria Campos

Pada Januari 2012, Alegria yang seberat hampir 130 kilogram menjalankan tugas sebagai pemandu bas di Santiago Chile. Tiba-tiba masuk seorang perompak bersenjata ke dalam bas dan cuba merompak para penumpang.

Alegria bertindak berani dengan memberhentikan bas lalu menyerang perompak tersebut. Namun, perompak itu sempat melepaskan dua das tembakan. Tembakan pertama tersasar memecahkan cermin. Manakala tembakan kedua tepat di perut Alegria.

Walaupun cedera ditembak, Alegria sempat menerkam perompak tersebut untuk menghalangnya daripada melarikan diri. Polis berjaya menangkap penjenayah itu, manakala Alegria pula dibawa ke hospital.

Tembakan itu tidak mendatangkan kecederaan serius kepada Alegria kerana lemak yang banyak diperut Alegria telah menyelamatkan organ dalamannya daripada dicederakan peluru tersebut.

Kesimpulan

Jadi, siapa kata gemuk itu tidak bertuah. Bayangkan kalau mereka semua kurus, mungkinkah mereka terselamat?

Sebab itu jangan mengeluh, lemak yang bertapa di dalam badan pun ada fungsinya.

BACA INI JUGA: Remaja Maut Jatuh Bangunan Terlalu Leka Berasmara!

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, May 01, 2015

Ibn Firnas, Manusia Pertama Terbang Di Udara

Ibn Firnas, Manusia Pertama Terbang Di Udara

Ketika hagemoni Barat berjaya mengajar masyarakat dunia tentang sejarah Wright Bersaudara, jangan lupa tentang hal yang satu ini.

Ibn Firnas

Lebih seribu tahun sebelum Wright Bersaudara menerbangkan pesawat mereka, Ibn Firnas telah berjaya terbang di udara lebih awal dari itu.

Ibn Firnas atau nama sebenarnya, Abbas Qasim Ibn Firnas merupakan seorang pakar sains Islam di Sepanyol. Beliau dilahirkan di Ronda, Sepanyol, pada tahun 810 Masihi dan membesar disana sehingga menjadi seorang tokoh Islam terkenal.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Umaiyah di Sepanyol (dulu bernama Andalusia), ilmuwan ini suka bermain muzik dan mengarang puisi. Malah, pernah menjadi salah seorang penuntut serta pengikut Ziryab, seorang ahli muzik terkenal dan berperwatakan dramatik dari Iraq.

Semasa hidupnya, Ibn Firnas tersohor dalam bidang kimia. Dia seorang cendekiawan yang tidak pernah kering idea, sentiasa memiliki daya kreativiti dan rajin mencipta teknologi baru pada waktu itu.

Paling menonjol ialah dia telah mendahului dunia penerbangan yang mana berjaya membina sebuah model pesawat terbang bagi membolehkan manusia terbang di udara.

Model tersebut adalah berupa sayap burung, diperbuat daripada kayu dan bulu burung kemudian dijahit dengan sutera. Beliau mendapat idea tersebut selepas lebih 20 tahun meneliti bagaimana burung terbang dan cara daun, benih serta bulu yang gugur mendarat ke permukaan bumi.

Pada tahun 875 Masihi, Ibn Firnas menjemput warga Cordova untuk datang menyaksikan hasil ciptaannya itu. Ditengah kerumunan orang ramai, dia kemudian terjun dari menara Masjid Mezquita dengan menggunakan sepasang sayap yang dipasangkan pada tubuhnya.

Terjunan itu menyebabkan dia melayang-layang di udara selama 10 minit. Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku selepas itu.

Ibn Firnas terhempas ke tanah bersama pesawat ciptaannya gara-gara cara meluncur yang kurang baik. Insiden itu dikatakan berpunca daripada kelalaian sendiri kerana dia dikatakan tidak mengambil kira cara burung mengepak ketika menjunam dan mendarat pada bahagian ekor.

Akibat kemalangan itu, beliau disahkan mengalami kecederaan parah dibahagian belakang. Kesakitan yang dialami membuatkan dia tidak berdaya lagi meneruskan uji kaji bagi percubaan seterusnya.

Ibn Firnas [2]

Pada tahun 888 Masihi, Ibn Firnas meninggal dunia selepas 13 tahun menanggung kesakitan akibat kecederaan dialami. Walauppun telah tiada, negara Libya menunjukkan tanda memperingati beliau dengan mengeluarkan setem wajah Ibn Firnas. Negara Iraq turut mengenang ketokohan beliau dengan membina tugu.

Tugu Ibn Firnas boleh dilihat dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Iraq dan Lapangan Terbang Ibn Firnas di utara di utara Baghdad, juga dinamakan sempena namanya.

Sejak hari bersejarah itu, pelbagai penciptaan dan uji kaji dilakukan, sebelum akhirnya tercipta pesawat terbang seperti mana yang wujud pada hari ini.

BACA INI JUGA: Penerbangan Komersial Paling Singkat Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

'Ubatilah Orang Sakit Diantara Kamu Dengan Sedekah'

'Ubatilah Orang Sakit Diantara Kamu Dengan Sedekah'

Setelah lama berkahwin, doa seorang lelaki agar dia dan isterinya mendapat cahaya mata dimakbulkan. Lahirnya seorang putera adalah perkara paling menggembirakan dalam hidup mereka.

Sedekah

Walaupun tidak berharta, hari-hari yang dilalui dipenuhi kebahagiaan. Mereka tatang putera itu dengan penuh kasih-sayang. Tidak putus-putus lelaki itu bersyukur kepada Allah SWT atas kehadiran permata hati mereka.

Akan tetapi, kegembiraan mereka mula diuji. Anak yang baru berusia setahun itu tiba-tiba jatuh sakit. Pelbagai ikhtiar cuba dilakukan. Bermacam-macam jenis perubatan telah dicuba. Sayangnya, keadaan anak tunggal mereka bukannya semakin baik, malah bertambah buruk.

Pasangan itu semakin tidak keruan. Hidup mereka dirundung kesedihan. Tiada lagi tawa gembira seperti sebelumnya.

"Ya Allah, Kau berilah kekuatan untuk kami menghadapi ujian ini. Sesungguhnya kami sudah tidak berdaya memberikan rawatan untuk anak kami yang masih kecil," rintih lelaki itu dalam doanya.

Anak mereka semakin kritikal. Suhu badannya meningkat. Badannya lembik tidak bermaya.

"Keadaan anak kecil ini sangat parah. Tidak ada apa yang dapat saya bantu. Jika suhu badannya tidak juga turun menjelang pagi esok, kemungkinan besar hayatnya tidak panjang," beritahu seorang tabib.

Dia juga buntu bagaimana untuk merawat anak kecil itu. Sudah pelbagai ubat diberi tetapi masih tiada sebarang perubahan.

Malam menjelma, lelaki itu tidak mampu memejamkan mata. Dia berduka dan hanya mampu menatap sayu wajah isteri yang berlinangan air mata di sebelah anak tunggal mereka.

Bagi menenangkan hati, lelaki itu mengambil wuduk dan mengerjakan solat. Mengadu kepada Yang Maha Esa keperitan hatinya. Meminta diberikan jalan terbaik dalam menghadapi dugaan berat itu.

Selesai solat, dia mengambil keputusan untuk keluar rumah. Lelaki itu mahu berjalan-jalan seketika sambil mencari jalan bagaimana hendak merawat anaknya.

Sewaktu sedang berjalan tanpa arah tujuan, sayup-sayup ditelinganya terdengar sebuah ceramah yang sedang diadakan disebuah surau.

"Rasulullah pernah bersabda, ubatilah orang yang sakit di antara kamu dengan sedekah..." ((Hadis riwayat At-Thabrani dan Baihaqi)

Kata-kata iu menusuk jauh ke dalam sanubarinya. Sedekah? Jika aku hendak bersedekah, kepada siapa? Bagaimana hendak melakukannya jika kehidupanku juga susah? Pertanyaan itu menusuk ke dalam kalbunya.

Dengan rasa kecewa, dia berjalan pulang. Wajahnya muram. Sebaik tiba di pintu rumah, dia terdengar bunyi seekor kucing. Entah dari mana datangnya, kucing itu terus mengiau, seperti memberitahu ia sedang kelaparan.

Lelaki itu masuk ke dalam dapur. Hanya sedikit makanan yang tinggal. Lalu dibawanya keluar dan diletakkan dihadapan kucing tersebut.

Dengan lahapnya kucing itu menjamah rezeki yang dihidangkan. Sesekali ia mengiau seakan mengucapkan terima kasih.

Menjelang Subuh, lelaki itu dikejutkan oleh isterinya. Ada sedikit riak ceria diwajah.

"Tadi aku bermimpi. Aku sedang mendakap anak kita di sebuah tempat yang indah. Tiba-tiba datang seekor burung hitam yang besar dari langit. Ia cuba menyambar anak kita. Aku sangat takut. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Tiba-tiba, muncul seekor kucing kecil. Ia menterang burung itu tanpa henti. Walaupun ia cedera dan aku terfikir kucing itu tidak mungkin menang, tetapi ia langsung tidak berganjak daripada cuba mempertahankan kami berdua. Ia terus menyerang hingga akhirnya burung itu terbang menghilangkan diri.

"Apabila aku terbangun tadi, aku melihat anak kita sudah mula membuka mata. Bibirnya memanggil ibu. Malah, suhu badannya juga sudah mula turun," cerita isterinya.

Lelaki itu merasa sendiri tubuh anaknya. Benar, tidak lagi panas seperti sebelumnya. Lelaki itu segera keluar rumah. Matanya melilau mencari kucing yang diberi makan tadi, tapi tidak kelihatan di mana-mana.

Menjelang siang, anaknya sudah mula makan dan menyusu. Beberapa hari kemudian, kesihatan anak itu semakin baik dan akhirnya sembuh.

Berjuraian air mata lelaki itu bermunajat. Dia tidak tahu, adakah kerana sedekahnya yang tidak seberapa terhadap kucing itu menyebabkan anaknya semakin sihat.

Yang pasti, air matanya terus berjuraian tanda bersyukur ke hadrat Ilahi melihat anaknya kembali pulih.

BACA INI JUGA: Doa Supaya Anak Menjadi Soleh

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, April 30, 2015

Tahukah Anda Siapa Pencipta Gari?

Tahukah Anda Siapa Pencipta Gari?

Gari tangan, peralatan yang digunakan oleh penguat kuasa keselamatan dan sering kita lihat dalam kaca televisyen. Namun, tahukah anda tentang asal-usul penciptaan gari ini?

Gari

Sebelum terciptanya gari besi, manusia dikatakan menggunakan tali atau apa sahaja material yang boleh mengikat penjenayah yang melakukan kesalahan.

Gari besi pertama dikatakan dicipta sewaktu zaman batu. Ketika itu gari yang dicipta hanya mempunyai satu saiz dan tidak praktikal untuk digunakan.

Jika pesalah mempunyai pergelangan tangan yang kecil, gari tersebut tidak boleh mengikat tangan si pesalah.

Akhirnya pada tahun 1862, seorang lelaki bernama W.V. Adams mempatenkan gari boleh laras yang pertama.

Selang beberapa tahun kemudian, Orson C Phelps pula mempatenkan satu lagi gari yang telah ditambah baik.

Pada tahun 1865, John Tower menggabungkan ciptaan Adams dan Orson untuk mencipta gari yang digunakan sehinggalah sewaktu zaman Perang Dunia Kedua.

Tetapi terdapat masalah yang perlu ditangani. Ramai pesalah berjaya meloloskan tangan mereka kerana gari tersebut boleh dibuka dengan sedikit hentakan pada tempat kuncinya.

Pada tahun 1879, Tower Handcuffs, syarikat milik John Tower memperkenalkan gari dengan sistem kunci berganda yang dapat menyelesaikan masalah itu.

Revolusi gari menjadi seperti apa yang digunakan pada masa kini bermula pada tahun 1912, apabila George Carney mencipta cuff swing yang pertama.

Reka bentuk ini dianggap paling mudah digunakan kerana seorang anggota polis boleh menggari pesalah dengan cepat dan hanya dengan menggunakan satu tangan sahaja selain daripada mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi.

Sehingga ke hari ini, rekaan George Carney telah diguna pakai oleh anggota keselamatan di seluruh dunia.

Mungkin terdapat perbezaan jenama dan perubahan kecil pada gari, namun rekaan gari yang digunakan tetap sama.

BACA INI JUGA: Siapa Pencipta Pertama Senjata Penembak Tepat?

-SENTIASAPANAS.COM