Tuesday, May 05, 2015

Asal-usul Budaya Skinheads


Berkepala botak, memakai but pelbagai warna, jaket serta lencana dan pernah dikecam sebagai budaya kuning suatu ketika dulu.

Skinheads

Disertai golongan muda, gemar berkumpul beramai-ramai, bersidai dilokasi tumpuan seperti pusat membeli-belah dan pernah menjadi fenomena di Malaysia sekitar lewat 90an hinggalah pertengahan tahun 2000.

Tapi, tahukah anda budaya Skinheads, yang berasal daripada United Kingdom ini sebenarnya dipelopori golongan buruh kasar?

Selepas era kemelesetan ekonomi pada tahun 1930an di seluruh dunia, United Kingdom bangkit perlahan-lahan, membangunkan negara mereka daripada tekanan ekonomi sejagat.

Walaupun kedudukan ekonomi United Kingdom di belakang kuasa besar seperti Jerman, Jepun dan Amerika, namun pertumbuhan ekonominya memberi tambah nilai kepada gaya hidup warganya sekitar tahun 50an. Golongan-golongan buruh merupakan rakyat yang mempunyai taraf ekonomi paling rendah dengan bilangan mereka yang ramai.

Ketika itu, remaja-remaja ini terpengaruh dengan fesyen baru daripada kumpulan penyanyi soul dari Amerika, R&B UK, pelakon serta lambakan fesyen di lorong Carnaby, London.

Mereka dikenali sebagai Mods, belia-belia yang mempunyai keghairahan terhadap fesyen, muzik dan motor skuter. Asimilasi antara penduduk asal dan imigran dari Jamaica yang membawa budaya Rude Boys atau Rudie Mods ke dimensi baru.

Oleh kerana kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh, mereka membotakkan kepala kerana tuntutan kerja tidak boleh berambut panjang.

Dari situlah mereka mendapat nama Skinheads, yang bermaksud kulit kepala, yang diberikan oleh penulis dan wartawan sebagai trend terkini ketika itu.

Oleh kerana mereka daripada golongan pekerja buruh, kebanyakan daripada mereka mengenakan seluar jeans yang tahan lasak dan kasut but sebagai fesyen dan lambang solidariti pekerja buruh.

But yang dipakai pula bukan sebarangan, penambahan aksesori besi pada bahagian dalam but bagi melindungi jari kaki memberikan haba untuk mereka yang bekerja dilombong arang atau perlindungan ditapak pembinaan.

Selain botak, berkasut but dan seluar jeans serta yankee, gaya tipikal Skinheads dijalanan ketika itu ialah memakai kemeja kemas, siap dengan braces selain mengenakan jaket flight atau bomber dan topi pie atau flat.

Mereka turut mengamalkan semangat setia kawan yang jitu. Melindungi sahabat jika ada apa-apa masalah walaupun dicetuskan oleh sahabat mereka sendiri.

Kemunculan genre muzik punkrock sekitar tahun 1977 memeriahkan lagi budaya kumpulan ini.

Skinheads melabelkan muzik mereka sebagai Oi! - genre muzik punkrock tetapi pengisian lirik tentang kehidupan Skinheads yang diangkat oleh wartawan muzik yang juga seorang Skinheads dari Scotland, Gary Bushells.

Ketika era tahun 70an juga Skinheads mula diresapi banyak anasir-anasir ideologi politik yang bersikap perkauman.

Muncul kumpulan-kumpulan pro kepada semangat nasionalis yang melampau hingga membuka cabang baru seperti White Power Skinheads dan Neo Nazi. Kumpulan-kumpulan ini wujud membuat kekacauan dengan memukul imigran dari Asia Tenggara yang berhijrah mencari pekerjaan di negara mereka.

Kerana golongan Skinheads rata-ratanya daripada kalangan buruh, mereka merupakan golongan yang paling mudah dihasut dengan elemen-elemen rasis. Golongan ini mengiakan pembulian melibatkan golongan imigran di negara mereka.

Parti National Front menyebarkan dakyah-dakyah perkauman dibantu British National Party terhadap golongan ini untuk meraih sokongan mereka sehingga media-media di Barat menyelar kumpulan Skinheads sebagai ultra rasis.

Melihat Skinheads semakin dicemari elemen rasis, muncul pula golongan Skinheads yang mahu memperbetulkan fakta dengan melawan golongan White Power atau Neo-Nazi, iaitu Skinheads Against Racial And Prejudice atau SHARP yang bermula di New York oleh dua orang Skinheads berketurunan hispanik, Marcus Pancheco dan Stevan M.

SHARP mempromosi teras baru terhadap keruncingan masalah perkauman dalam Skinheads yang menolak fahaman perkauman seperti White Power. Ideologi ini tersebar semula ke UK sebelum ramai yang mengangkat SHARP untuk menghapuskan stigma perkauman.

Kesudahannya, dua kumpulan ini sering bertembung dan bergaduh di jalanan mahupun ketika festival muzik yang melibatkan muzik Oi!

Pergaduhan kedua-dua kumpulan ini yang paling teruk berlaku ketika konsert Oi! Hambrough Tavern, Southhall sekitar tahun 1981 hingga berlaku rusuhan selama lima jam.

Populariti kumpulan Skinheads di UK merosot secara perlahan-lahan kerana wujudnya banyak konflik kerana terlalu banyak ideologi yang menjahanamkan mereka sendiri daripada orang perseorangan. Walau bagaimanapun, ia semakin mendapat perhatian di negara-negara Eropah dan seluruh dunia.

Skinheads Di Malaysia

Seperti negara-negara lain, Malaysia turut tidak terkecuali. Budaya memberontak ini menyusup masuk sekitar tahun 1990an selepas popularnya buku karangan George Marshall berjudul Spirit of 69: A Skinheads Bible, dan selepas jatuhnya era Hard Rock sebelum muzik balada mengambil tempat.

Skinheads masuk melalui muzik Oi! yang lebih relevan terhadap peminat-peminat Hard Rock yang dahagakan kebingitan muzik Hard Rock. Akibat terlalu banyak perbezaan, di Malaysia juga terdapat golonga Skinheads yang mempertikai ideologi ikutan masing-masing dan bergaduh sesama sendiri.

Hampir setiap minggu, ada saja pergaduhan melibatkan kumpulan Skinheads dipusat-pusat tumpuan bandar seperti Bukit Bintang ataupun Jalan Tunku Abdul Rahman.

Penghujung tahun 1990an hingga pertengahan tahun 2000 merupakan zaman Skinheads di Malaysia. Pada waktu itu ia dikecam masyarakat ekoran insiden pergaduhan dan juga fahaman ideologi barat yang menghancurkan umat beragama.

Dek kerana sering menjadi bahan cercaan media, hari ini Skinheads di Malaysia hanya dianuti oleh mereka yang ingin berfesyen semata-mata. Anutan terhadap falsafah asal sudah kecut dan tidak diterima oleh masyarakat timur di Malaysia.

Perkembangan Skinheads di seluruh dunia juga telah berpecah kepada banyak ideologi dengan yang terkini wujudnya gerakan Skinhead Sayap Merah atau mengikut haluan komunis seperti Red Anarchy Skinheads yang diwujudkan pada tahun 90an di Amerika.

Keadaan ini sudah menyimpang daripada asal iaitu Skinheads hanyalah budaya lepak golongan buruh dan tidak ada kena mengena dengan keganasan yang pelik lagi menghancurkan.

BACA INI JUGA: Menyembah Dewa, Asal Usul Sambutan Happy Birthday!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon