Wednesday, July 26, 2017

Sambutan Hari Pengguna Di Malaysia

Sambutan Hari Pengguna Di Malaysia

Sambutan Hari Pengguna di Malaysia disambut pada 26 Julai setiap tahun, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Hari Hak Pengguna

Sambutan Hari Pengguna juga disambut bersempena dengan pembentangan Akta Pelindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Acara sambutan ini akan dijalankan bermula pada 26 Julai hingga 1 Ogos setiap tahun.

Selain objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi makluman mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, program ini juga akan melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam menjayakan program Hari Pengguna Malaysia ini.

Melalui program ini juga, penganjur mengharapkan kesedaran dan penglibatan masyarakat pengguna supaya menyedari akan hak-hak mereka dan dapat mempraktiskannya secara berhemah.

Dengan adanya kesedaran ini, ia akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan masyarakat pengguna bijak dalam segala aspek dan secara tidak langsung dapat mewujudkan peniaga beretika.

Keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

Selain itu juga, objektif sambutan Hari Pengguna ini lebih memaparkan tanggungjawab kerajaan dan kementerian di dalam program pendidikan dan perlindungan pengguna.

Persefahaman dan kerjasama yang erat antara pengguna, peniaga, kerajaan dan media massa di dalam aspek konsumerisme yang boleh membantu negara mencapai wawasan negara maju.

8 Hak-Hak Pengguna

1. Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini.

Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

2. Hak untuk mendapatkan keselamatan

Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

3. Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak.

Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4. Hak untuk membuat pilihan

Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan.

Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5. Hak untuk bersuara

Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

6. Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.

Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar.

Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna.

Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8. Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya.

Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

5 Tanggungjawab Pengguna
  1. Kesedaran untuk mengkritik.
  2. Penglibatan dan tindakan.
  3. Tanggungjawab sosial.
  4. Bersatu padu.
  5. Tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kamikonsumer

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Julai)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 Julai)

Tarikh 26 Julai merupakan hari ke 207 (hari ke 208 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 158 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Kang Kek Iew
Kang Kek Iew.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Liberia (1847) dan Maldives (1965) dan Hari Pengguna di Malaysia.

Peristiwa

1139 - Selepas memenangi Pertempuran Ourique, Afonso si Penakluk diisytiharkan sebagai raja pertama Portugal yang merdeka.

1822 - José de San Martín bertemu dengan Simón Bolívar di Guayaquil untuk merancang masa hadapan Peru dan Amerika Selatan.

1882 – Opera Parsifal Richard Wagner mengadakan tayangan perdananya di Festspielhaus Bayreuth, Bavaria.

1887 - L. L. Zamenhof menerbitkan Unua Libro, penerbitan pertama yang menerangkan mengenai bahasa Esperanto.

1908 – Peguam Negara A.S. Charles Joseph Bonaparte mengasaskan Biro Penyiasatan Persekutuan.

1945 - Pentadbiran Tentera Jepun di Tanah Melayu menyatakan persetujuan untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu bersama dengan Indonesia.

1953 - Fidel Castro dan adiknya Raúl mengetuai serangan yang tidak berjaya terhadap Tangsi Moncada, dengan itu mencetuskan Revolusi Cuba.

1963 - NASA melancarkan Syncom 2, satelit komunikasi geosegerak yang pertama di dunia.

1999 - Konflik Kashmir: Perang Kargil berakhir selepas India menawan kembali subsektor Dras daripada Pakistan.

2010 - Kang Kek Iew dihukum 35 tahun penjara atas peranannya dalam rejim Khmer Rouge di Kampuchea Demokratik antara 1975 dan 1979.

2011 - Truong Tan Sang menjadi Presiden Vietnam manakala Nguyen Tan Dung kekal sebagai Perdana Menteri.

Kelahiran

1922 - Chairil Anwar, seorang sasterawan di Indonesia.

1939 - John Howard, seorang Perdana Menteri Australia ke-25.

1984 - Sabri Sarıoğlu, seorang pemain bola sepak kebangsaan Turki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Julai)

sumber: wikipedia

Tuesday, July 25, 2017

Qingdao Haiwan Bridge, Jambatan Rentas Laut Paling Panjang Di Dunia

Qingdao Haiwan Bridge, Jambatan Rentas Laut Paling Panjang Di Dunia

Jambatan Qingdao Haiwan, China, selepas tujuh tahun pembinaan, jambatan merentas laut terpanjang di dunia akan dibuka hujung tahun 2017 ini, menghubungkan Hong Kong, Zhuhai dan Macao.

Jambatan Qingdao Haiwan

Jambatan sepanjang 54.7 kilometer (26.4 batu) itu akan memendekkan masa perjalanan dari Hong Kong ke Zhuhai kepada 30 minit berbanding tiga jam sekarang.

Pengarah biro yang mengendalikan jambatan itu, Zhu Yongling, mengesahkan jambatan berkenaan yang menggunakan 420,000 tan keluli, cukup untuk membina 60 Menara Eiffel.

Pembinaan jambatan itu yang menelan belanja HK$112 bilion (£12 billion) itu tetap ada masalah, termasuk tujuh pekerja maut dan 129 cedera sejak pembinaan bermula pada 2011.

Kebanyakan kemalangan itu tergelincir dan terjatuh dari tempat tinggi.

BACA INI JUGA: 10 Jambatan Paling Panjang Di Dunia

sumber: hmetro

Kereta Sambung Bayar, Bahaya Pemilik Asal Berkuasa Mutlak - Amaran JPJ

Kereta Sambung Bayar, Bahaya Pemilik Asal Berkuasa Mutlak - Amaran JPJ

Pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas kenderaannya selagi nama pemilik tidak ditukar, malah pada bila-bila masa sahaja dia boleh meminta balik kenderaannya dan anda perlu serah semula.

Risiko Sambung Bayar Kereta

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ir Mohamad Dalib mengingatkan orang ramai supaya membuka mata dalam urusan jual beli kenderaan membabitkan urusan sambung bayar.

Penyambung bayar dan pemilik kenderaan asal perlu membuat surat perjanjian dan ada juga membuat stamping.

Walaupun ada perjanjian tapi anda harus tahu selagi tidak tukar nama, pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas kenderaan tersebut.

Dalam undang-undang seksyen 10 jelas menyebut apabila sesuatu kenderaan yang bertukar milik perlu lapor di mana-mana JPJ dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Risiko kepada mereka yang membeli atau menjual kenderaan secara sambung bayar antaranya, apa saja yang berlaku terhadap kenderaan itu menjadi tanggungjawab si pemilik.

Contohnya berlaku kes jenayah atau disaman, yang menerima akibatnya adalah pemilik kereta asal dan bukan pemilik yang sambung bayar.

Apa-apa saja aktiviti yang dilakukan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik asal kenderaan.

Pemilik juga harus ingat, kebanyakan mereka yang membeli kereta sambung bayar kebiasaannya memiliki rekod buruk seperti nama disenarai hitam, ada masalah kewangan dan sebagainya.

Jadi mereka berisiko untuk tidak bayar ansuran. Akibatnya, anda terpaksa tanggung hutang.

Risiko Jualan Atas Jualan

Masalah yang paling banyak berlaku adalah kes melibatkan jualan atas jualan. Andaikan anda jual kenderaan secara sambung bayar kepada Ali.

Dua bulan kemudian, Ali jual semula kenderaan tersebut secara sambung bayar kepada Abu dengan mengaut keuntungan atas angin.

Akibatnya, anda tidak tahu siapa pemilik ketiga berkenaan.

Bagaimana jika bayaran bulanan tidak dibuat kepada pihak bank? Siapa yang perlu anda tuntut?.

Meskipun berdepan pelbagai bentuk risiko namun masih ramai orang melakukan urusan sambung bayar ini menurut beliau, hal ini kerana lazimnya siapa yang akan beli kereta sambung bayar.

Pertama, mereka yang tidak layak membuat pinjaman. Sebagai contoh nama disenarai hitam oleh pihak bank.

Kedua, mereka yang tidak mempunyai wang untuk membayar deposit atau duit pendahuluan.

Ketiga, dokumen yang dilampirkan untuk membuat permohonan pinjaman tidak cukup kuat seperti gaji asas rendah, terlalu banyak komitmen dan sebagainya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Risiko Sambung Bayar Kereta Yang Ramai Tidak Tahu!

sumber: sinarharian

Memahami Pelaburan Bitcoin, Emas Digital Pengganti Wang Kertas

Memahami Pelaburan Bitcoin, Emas Digital Pengganti Wang Kertas

Mungkin anda pernah dengar pasal pelaburan Bitcoin, tentang status halal haram Bitcoin, scam Bitcoin dan ada yang kaitkan Bitcoin dengan MLM malah, ada yang sangat taksub dengan Bitcoin sehingga sanggup berhenti kerja.

Memahami Pelaburan Bitcoin

Anda mungkin pernah cuba google ‘what is Bitcoin’ dan jumpa ayat lebih kurang macam ini:

“Bitcoin adalah satu cryptocurrency atau matawang digital yang bersifat decentralized dan menggunakan teknologi blockchain.”

Agak-agak anda faham tak? Cryptocurrency? Blockchain? Decentralised?

Teknologi-teknologi ini sebenarnya agak complicated even orang kerja IT pun pecah kepala juga nak faham.

Tapi, cara paling senang untuk faham Bitcoin adalah dengan menganggap ia sebagai ‘emas’ digital. Kenapa emas? Kenapa bukan macam duit ringgit (duit fiat)? Nama pun coin, duit lah tu kan?

Macam ini. Sebab ia tak sama dengan duit Ringgit/Dollar adalah dari 3 segi:

1. Nilai duit berbeza ikut negara dan nilai dia bergantung kepada prestasi negara tersebut – contoh, kalau negara perang, matawang akan jatuh. Tapi nilai Bitcoin dan emas sama di mana-mana dalam dunia ini.

2. Duit diuruskan oleh bank, Bitcoin diuruskan oleh pengguna sendiri (atau mungkin lebih tepat; oleh teknologi).

3. Duit boleh dicetak ikut keperluan, Bitcoin dan emas hanya boleh dilombong dan jumlahnya terhad.

Jadi ia lagi mirip macam emas, berbanding duit fiat. Dan, ia menjadi platform terbaik jual beli di alam digital, sebab ia memang lahir secara digital dengan bertujuan untuk menjadi matawang digital.

Persamaan dengan duit biasa? Keduanya boleh digunakan untuk beli barang atau servis yang guna sistem online (walaupun tak banyak lagi sistem/bisnes yang terima Bitcoin di Malaysia, ia semakin bertambah dari hari ke hari).

Ok, sekarang anda tahu Bitcoin adalah duit digital yang boleh dipakai untuk jual beli online, yang sifatnya mirip-mirip macam emas. Bezanya Bitcoin dalam digital, tak boleh pegang, tak boleh rasa dan tak boleh cetak.

Kerana sifatnya macam emas, Bitcoin boleh dilombong, boleh dijual, dibeli dan dijadikan salah satu pelaburan. Dan macam emas, apabila semua Bitcoin habis dilombong, tak akan ada Bitcoin baru lagi.

Setakat hari ini, sudah 15.2 juta Bitcoin dilombong dari 21 juta semuanya. Jadi, cuma 1/3 saja yang tinggal untuk dilombong.

Apa persamaan Bitcoin dengan MLM? Tak ada yang sama dari segi teknologi, sistem dan jenis. Tapi mungkin ada orang promosi Bitcoin dilakukan dengan kaedah MLM. Kebiasaannya adalah mengajak orang bersama-sama melombong Bitcoin.

Macam perlombongan emas, nak lombong Bitcoin perlu perkakasan yang mahal dan komputer yang laju. Jadi daripada melombong emas sendiri pakai tukul besi, mesti tak boleh lawan orang yang pakai jentera besar.

Maka ada orang buka syarikat dan ajak orang melabur. Kalau dapat emas, kongsi untung sama-sama. Macam itulah konsep melabur dalam Bitcoin juga.

Dan yang paling biasa sekarang menggunakan kaedah cloud mining. Anda bayar duit sahaja tanpa tahu di mana hardware atau komputer tu semua secara fizikal.

Apa yang anda perlu tahu adalah kebanyakan skim Bitcoin mining ini adalah scam! Scam yang dilabel sebagai Skim Ponzi.

Kenali Skim Cepat Kaya Bitcoin

Antara ciri-ciri Skim Ponzi, Skim Cepat Kaya yang menggunakan nama Bitcoin adalah dapat peratus harian, bonus tetap, mengaku sebagai pelaburan paling hebat di abad ini dan beberapa lagi yang macam too good to be true.

Untuk join cloud mining, anda tak perlu ikut mana-mana MLM pun. Cuma perlu cari syarikat yang betul dan sah. Buat kajian lebih sikit. Jangan percaya bulat-bulat.

Tapi sekarang sangat banyak pelombong Bitcoin dan jumlah Bitcoin yang ada semakin kurang.

Selain itu, untuk memiliki dan melabur dalam Bitcoin, anda perlulah memiliki Bitcoin Wallet yang kami ada terangkan dalam artikel Bitcoin Wallet Untuk Menyimpan Bitcoin Secara Online.

Anda juga boleh jual beli sendiri bitcoin melalui Forex Broker yang ada menawarkan trading Bitcoin tetapi saya langsung tidak menggalakkan anda kerana risikonya terlalu besar untuk anda mengalami kerugian.

Jadi, mungkin lebih senang anda beli saja Bitcoin, daripada join melabur dalam aktiviti perlombongan.

Bitcoin itu kemudian anda simpan di dalam Bitcoin Wallet, tunggu nilainya naik sebelum withdraw ke akaun bank atau jual kepada sesiapa yang berminat.

Jangan sesekali terjebak ke dalam program skim cepat kaya yang menggunakan nama Bitcoin semata-mata seperti ethtrade.com

Macam mana nak beli Bitcoin?

Tunggu dulu. Sebelum apa-apa, ajda tanya diri sendiri, apa tujuan nak beli Bitcoin?

Nak cepat kaya? Kebarangkalian nak kaya dengan Bitcoin agak rendah sebenarnya sebab harga Bitcoin dah mahal gila sekarang. Kalau tahun 2015 harga 1 Bitcoin = RM900, sekarang 1 Bitcoin = RM5000.

Dan perlu diingatkan, ia TAK akan sentiasa naik. Sapa yang cakap ia akan sentiasa naik memang confirm tipu. Sila lari laju-laju dari mereka.

Nak untung? Ini kira untung sabut atau untung batu, tak siapa tahu anda boleh untung ke tak.

Nak melabur? Bitcoin dikira sebagai pelaburan berisiko tinggi.

Kalau anda memang dah ada portfolio pelaburan risiko rendah (macam ASB/TH/Saham/Unit trust) dan risiko sederhana secukupnya, mungkin boleh cuba melabur Bitcoin pula. Kalau tak, baik jauhkan diri dulu daripada Bitcoin.

Sebab kawan pejabat beli, jadi anda pun nak beli? Cari ilmu sampai jemu, lepas itu baru decide.

Sebab Bitcoin tengah hot? Better anda tak payah involve dulu kalau tak paham apa-apa.

Macam kata pelabur paling berjaya Encik Warren Buffet, pelaburan adalah tentang compunding effect dan untuk magik compounding berlaku, ia perlukan masa, ilmu dan menjauhi sikap tamak.

Tapi kalau anda masih nak cuba-cuba, mungkin boleh involve dalam Bitcoin dengan 2 cara ini:

1. Terima bayaran dalam bentuk Bitcoin untuk mereka yang ada bisnes online atau buat freelance online.

2. Beli sikit-sikit bila ada duit lebih untuk tujuan belajar tentang Bitcoin.

Asasnya, duit lebih yang anda sanggup biarkan hangus macam itu saja. Tapi perlu diingatkan, jual beli Bitcoin pun ada banyak yang menipu. Sila hati-hati di tahap paling maksimum.

Kriteria utama sebelum apa-apa, kena belajar dan faham. Jangan main ikut orang dan percaya kepada 1 orang atau organisasi sahaja.

Pada dasarnya, ramai orang-orang teknologi (termasuk Bill Gates) percaya Bitcoin dan teknologi yang ada dalam Bitcoin itu (cryptocurrency dan blockchain) adalah teknologi paling penting selepas internet.

Tapi, ia masih baru, masih tak stabil dan agak berisiko. Juga terlalu banyak hype yang tak betul dan scam di sekelilingnya.

Tak mustahil dalam 10 tahun akan datang cryptocurrency akan jadi cara utama kita jual beli dekat internet.

Tapi tak semestinya Bitcoin yang paling digunapakai waktu itu. Sekarang sudah ada lebih dari 700 cryptocurrencies dalam dunia selain Bitcoin.

Dalam teknologi, akan sentiasa ada banyak persaingan. Mungkin dulu kita ingat Friendster dan MySpace paling hot, tapi sekarang, cuma Facebook yang ada. Tak ada siapa tahu nasib Bitcoin akan jadi macam Friendster atau Facebook.

Jadi, nak involve atau tak dengan Bitcoin? Dengan ilmu yang betul, mungkin ini satu peluang untuk masa depan, tapi tanpa ilmu, hampir pasti ia akan jadi satu musibah.

BACA INI JUGA: Bitcoin Faucet Percuma Untuk Pengumpul Cryptocurrency 2017

sumber: thevocket

10 Gaya Tidak Bertamadun Rakyat Malaysia Apabila Menaiki Pengangkutan Awam

10 Gaya Tidak Bertamadun Rakyat Malaysia Apabila Menaiki Pengangkutan Awam

Vandalisme bukanlah satu-satunya perilaku minda kelas ketiga yang dimiliki rakyat Malaysia. Hakikatnya, apa yang sering berlaku adalah sikap tidak peduli yang ada dalam segelinitir anggota masyarakat.

Tabiat buruk rakyat malaysia

Sampah dibuang tanpa ada rasa malu, pili air di tandas dicabut, kerusi ditoreh, kerana dalam fikiran mereka, 'apa aku peduli'.

Menjadi masyarakat dengan mentaliti terpuji, bersama etika dan disiplin yang terhormat, telitilah panduan dan senario berikut dan belajarlah sesuatu. Kita boleh menjadi rakyat Malaysia yang hebat!

1. 'Gelabah' Depan Pintu

Beratur di bahagian sisi pintu dan beri laluan pengguna dalam tren untuk keluar terlebih dahulu.

Logiknya, jika anda yang berada di luar terlepas tren, anda masih boleh menaiki tren yang seterusnya.

Tetapi lain ceritanya jika mereka yang berada di dalam tren terlepas stesen, mereka terpaksa turun di stesen lain dan mungkin terpaksa membayar tambang yang lebih untuk kembali ke stesen asal. Kasihan bukan?

Ingatlah, bukan anda saja yang mahu cepat. Bukan anda seorang yang ada urusan.

2. Lapar? Sabar!

Makan dan minum di dalam tren adalah dilarang. Semua orang tahu. Kalau lapar sekalipun, tahanlah. Ini tren, bukan restoran makanan segera.

Jangan pula ada yang bawa makanan yang berbau kuat dan makan penuh nafsu sewaktu berada di dalam gerabak.

Kalau dibungkus, pastikan makanan itu dibungkus dengan kemas dan peganglah dengan berhati-hati.

3. Pengotor

Tutup mulut anda apabila batuk, bersin atau menguap. Terutama sekali ketika waktu puncak kerana pengguna tren akan saling berasakan dan berdiri rapat.

Orang lain memang tak mahu 'direnjis' dengan cecair dari mulut dan hidung anda. Ini adab yang sepatutnya tidak perlu diajar lagi.

4. Pengangkang

Jika tren penuh sesak, tetaplah beringat bahawa satu tempat duduk untuk satu punggung. Peringatan ini khususnya untuk mereka (khususnya lelaki) yang gemar duduk 'mengangkang'.

Sedarlah, kerusi tren tak sebesar sofa di rumah anda. Takkan hilang kelelakian anda jika duduk sopan dan merapatkan kaki.

Oh, dan ingat, tempat duduk juga untuk manusia. Bukan untuk beg. Beg yang besar-besar tu letak sahaja di atas lantai atau pangku sahaja di atas riba.

5. Taman Permainan Di Mana Sahaja

Tolong kawal keghairahan dan kenakalan anak-anak anda. Walaupun banyak 'perkakasan' di dalam tren, ia bukanlah taman permainan.

Jangan benarkan mereka memanjat, terutama kerusi yang diduduki orang ramai. Kasut anak anda yang entah ke mana sudah menapak, dibiarkan pula memijak kerusi yang menjadi tempat duduk orang lain.

Beringatlah tentang konsep najis. Jijiklah!

6. Menjerit Macam Sial

Nak berborak sesama rakan, atau hendak berbual di telefon? Silakan, tapi tak perlulah sampai bersuara 'halilintar' ataupun bertempik dengan menggunakan speaker telefon bimbit anda.

Ironinya, apabila dipandang, tahu pula marah dan tuduh orang lain menyibuk. Eh, orang tak nak tahu pun topik perbualan anda.

7. Berhimpit Depan Pintu Kenapa?

Ketika tren penuh sesak, bergerak masuk ke bahagian tengah tren. Tak perlulah 'cop' tempat di depan pintu. Ia tindakan yang menyusahkan orang lain dan sangat mementingkan diri.

Dalam tren akan ada pemberitahuan atau papan notis tentang stesen yang akan disinggahi, maka apabila menghampiri stesen yang hendak anda tuju, mulalah bergerak perlahan-lahan dari bahagian tengah gerabak ke pintu.

Jangan pula dalam minit-minit terakhir baru terhegeh-hegeh mahu keluar, kerana anda akan menjejaskan aliran pergerakan orang lain.

8. Wakil Beli Token

Kalau travel berkumpulan, cukup hantar seorang wakil untuk beli token. Tak perlulah sampai 10 orang beratur.

9. Tamak Tempat Duduk

Berilah tempat duduk kepada yang lebih memerlukan. Ada wanita hamil, ada warga tua, ada orang kelainan upaya, hormatilah mereka.

Jangan hendak 'mencuri' hak orang lain dan kemudian berpura-pura tidur, atau buat-buat sibuk dengan telefon. Itu trick lama dan sangat lame.

10. Tangan Nakal

Hentikan dan lupakan saja perangai dan keinginan pelik anda untuk memusnah! Kemudahan yang sudah disediakan perlu dijaga demi keselesaan orang ramai dan untuk digunakan bagi tempoh yang lama.

Jangan melakukan perbuatan vandalisme atau laku musnah seperti menconteng, mencalar, mengopek, mengikis, memecahkan sesuatu objek atau peralatan, atau mengotori kawasan.

Semoga mendapaat manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Rakyat Malaysia Dibelenggu Minda Kelas Ketiga?

sumber: astroawani

Sanggup Buat Lesung Pipit Palsu Untuk Tampil Cantik

Sanggup Buat Lesung Pipit Palsu Untuk Tampil Cantik

Suatu ketika dahulu, pembedahan membesarkan payudara menjadi pilihan wanita, kemudian disusuli pula dengan suntikan membesarkan punggung dan bibir.

Lesung Pipit Palsu
Gambar hiasan.

Dan terkini, trend itu semakin berubah apabila orang ramai mahu menjalani pembedahan plastik bagi membentuk lesung pipit.

Untuk itu, permintaan bagi prosedur berkenaan meningkat dengan ramai yang menjadikan wajah model Miranda Kerr sebagai contoh.

Prosedur bagi menghasilkan lesung pipit palsu itu hanya mengambil masa selama 30 minit sahaja di mana pakar bedah plastik akan membentuk otot pipi.

Otot itu kemudiannya dilekatkan dengan permukaan bawah kulit muka dan lesung pipit akan kelihatan apabila otot muka digerakkan.

Ia bermakna lesung pipit itu hanya akan kelihatan apabila seseorang itu tersenyum.

Kos bagi pembedahan membentuk lubang pada pipi itu berharga antara RM3,400 ke RM10,700.

Pembedahan Lesung Pipit Pertama Di Dunia!

Lesung Pipit Pertama

Seorang gadis yang terdesak ingin memiliki ‘lesung pipit’ sanggup berhabis ribu dolar untuk membuat pembedahan membentuk lesung pipit di pipi.

Ketika itu, peguam yang masih di dalam latihan ini merupakan orang pertama yang sanggup dan telah membuat pembedahan plastik seperti ini beberapa tahun lalu.

Namun, setelah semuanya selesai, gadis ini agak terkejut kerana lesung pipit palsu itu terlampau ke dalam dan nampak pelik.

Ada yang berminat ke?

BACA INI JUGA: Lesung Pipit, Kecantikan Akibat Kecacatan Gen!

sumber: mynewshub | remaja

Kisah Tentera Berjubah Putih, Bantuan Allah Untuk Palestin

Kisah Tentera Berjubah Putih, Bantuan Allah Untuk Palestin

Walaupun bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pernah bersumpah untuk membakar setiap bayi di Palestin, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat rakyat Bumi Anbiya ini daripada berjuang menentang kekejaman rejim Zionis.

Tentera Berjubah Putih
Gambar hiasan.

"Wanita dan kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding lelaki dewasa. Selagi mereka masih kelihatan, ia menunjukkan generasi itu akan berterusan," ucap Sharon ketika melafazkan sumpahnya itu pada tahun 1956.

Sumpah Sharon

Titik tolak daripada lafaz sumpah itu, Israel sehingga hari ini sengaja menyasarkan roketnya ke arah penempatan padat di Palestin. Tujuannya jelas, mahu menunaikan sumpah Sharon dengan menghapuskan pewaris di bumi Palestin.

Malah, bagi Israel, ancaman kanak-kanak Palestin lebih bahaya berbanding pemuda dewasa. Apa tidaknya, pada usia muda sudah ramai kanak-kanak Palestin yang menghafal al-Quran.

Selain kekentalan semangat rakyat Palestin, sebenarnya ada 'kekuatan lain' yang menjadikan para mujahidin mampu menentang rejim Zionis walaupun hanya menggunakan senjata tinggalan perang.

Kisah kemunculan 'pasukan lain' yang turut bertempur, jasad para syuhada yang seharum kasturi dan beberapa peristiwa aneh sepanjang perjuangan menentang Yahudi bukan sekadar menjadi buah mulut para pejuang dan wartawan malah turut disebarkan oleh para khatib dalam khutbah Jumaat mereka.

Laman blog Filisthin Al-Aan pernah menulis pada Januari 2009 bagaimana waris seorang mujahidin Briged Ezzedine al-Qassam dibelasah dengan teruk oleh tentera Israel selepas didakwa berbohong.

"Tentera Israel bertanya kepada anak lelaki kepada seorang pejuang palestin yang ditahan, apakah warna pakaian tentera al-Qassam. Anak itu menjawab, seragam berwarna hitam.

"Selepas tiga hari anak itu memberi jawapan yang sama, tentera itu berang kerana menyangka kanak-kanak itu berbohong, lalu dia dipukul hingga pengsan.

"Jangan berbohong, al-Qassam berseragam putih, bukannya hitam," sergah tentera berkenaan.

Dalam satu kejadian lain, sekumpulan tentera Israel telah menahan sebuah ambulans. Apabila pemandunya ditanya adakah dia daripada kelompok Hamas atau Fatah, pemandu tersebut menjawab, 'saya bukan Hamas atau Fatah. Saya hanya pemandu ambulans'.

Seragam putih

Tentera tersebut bertanya lagi, 'pasukan yang berpakaian putih di belakang kamu tadi dari kelompok mana?'

Pemandu itu kelihatan bingung sebelum menjawab, 'saya tidak tahu. Tiada siapa di belakang saya sepanjang perjalanan ke mari'.

Cerita tentang tentera berseragam putih seakan-akan menghantui tentera Israel. Mereka tidak tahu dari mana kumpulan ini datang, malah jejaknya juga sukar dikesan.

Malah, seorang bekas tentera Zionis yang pernah ditemuramah stesen televisyen tempatan Israel kini buta kedua-dua matanya selepas berhadapan dengan tentera berbaju putih.

"Saya merupakan seorang daripada tentera penggempur yang ditugaskan ke Gaza beberapa tahun lalu.

"Semasa bertugas di sana, pada suatu hari saya didatangi oleh seorang tentera berpakaian putih yang menaburkan pasir ke dalam mata saya. Akibat kejadian itu, sehingga saat ini saya menjadi buta," katanya.

Sebelum itu, kumpulannya juga pernah terserempak dengan sekumpulan tentera berseragam putih dan berjanggut panjang. Namun apabila ditembak, tentera berbaju putih itu tidak mati sebaliknya tidak diketahui ke mana menghilangnya.

Dalam situasi lain pula, seorang khatib di Masjid al-Qassam yang terletak di wilayah Nashirat Gaza bercerita dalam khutbahnya tentang 'bantuan Allah' kepada pejuang Palestin.

"Pejuang tersebut telah menanam satu jerangkap samar untuk menyambut kedatangan tentera Zionis di satu kawasan lapang.

"Tidak lama kemudian, dia melihat sebuah helikopter menurunkan tentera Zionis disertai beberapa kereta kebal. Mereka melalui kawasan tempat dia memasang jerangkap samar tersebut.

"Pejuang tersebut memutuskan untuk kembali ke markas kerana mengandaikan jerangkap yang dipasangnya tidak boleh menghapuskan tentera yang ramai itu.

"Akan tetapi sebelum dia berganjak, terdengar bisikan di telinganya yang bermaksud, 'tetaplah di tempatmu maka Allah akan menguatkanmu'.

Al-Quran penyelamat

"Dia mencari dari mana datangnya suara itu namun tidak ternampak kelibat manusia lain. Akhirnya, dia menunggu di situ.

"Tidak lama kemudian, tanpa disangka-sangka ketika sebuah kereta kebal melalui kawasan jerangkap samar, kejaiban berlaku.

"Jerangkap samar itu meledak dengan dahsyat sehingga menghancurkan kereta kebal tersebut dan membunuh ramai tentera Israel.

"Malah, sebahagian tentera yang terselamat terpaksa diangkut semula ke helikopter sedangkan pejuang itu masih berdiri dalam keadaan selamat," cerita khatib tersebut.

Sementara itu, pakar perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan di Hospital As-Syifa, Gaza, Dr. Hisam Az-Zaghah memberitahu, pernah berlaku kejadian aneh ketika dia sedang merawat seorang mangsa perang.

"Mangsa mengalami luka di kaki dan badan akibat terkena serpihan bom dan sisa runtuhan. Namun apa yang menakjubkan ketika mencuci luka tersebut, saya terjumpa sebutir peluru di poket lelaki berkenaan.

"Ajaibnya, kelongsong peluru yang masih panas itu tidak menembusi jantung mangsa kerana terhalang oleh sebuah buku doa dan mushaf al-Quran yang ada di dalam poket mangsa.

"Hanya buku doa itu yang berlubang dan muka depan mushaf itu rosak. Isi al-Quran langsung tidak terjejas sedangkan peluru itu sendiri bentuknya sudah hampir hancur," cerita Hisam.

Selain itu, Pengarah Jabatan Hubungan Sosial, Kementerian Kesihatan Gaza, Hamam Nisman memberitahu, angka kelahiran bayi di Gaza turut meningkat walaupun kematian yang dicatatkan di wilayah itu lebih tinggi berbanding wilayah lain di Palestin.

Menurut Nisman, sepanjang 22 hari Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009, seramai 1,412 rakyat Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terkorban.

"Namun di sebalik kematian lebih 1,000 rakyatnya, seramai 5,000 bayi dilahirkan. Ini merupakan peningkatan luar biasa kerana secara puratanya dalam sebulan Gaza hanya mencatatkan kelahiran antara 3,000 hingga 4,000 bayi.

"Pendek kata, dalam tempoh kemuncak konflik Israel-Palestin, kami hilang seribu rakyat tetapi Allah telah gantikan mereka dengan 4,000 pejuang baharu," ujar Nisman.

BACA INI JUGA: Briged Al-Qassam, Perjuangan Atas Nama Allah

sumber: kosmo

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Julai)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 Julai)

Tanggal 25 Julai merupakan hari ke 206 (hari ke 207 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dan tinggal 159 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Concorde Air France
Concorde Air France.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perlembagaan Komanwel di Puerto Rico (1952).

Peristiwa

306 – Constantine I diisytiharkan sebagai Maharaja Rom oleh angkatan tenteranya selepas kematian Constantius Chlorus.

1261 – Empayar Latin berakhir apabila angkatan tentera Nicaea pimpinan Alexios Strategopoulos menawan Constantinople, mengasaskan semula Empayar Byzantine.

1536 – Konkuistador Sepanyol Sebastián de Belalcázar mengasaskan Santiago de Cali di barat Colombia kini semasa mencari bandar mitos El Dorado.

1909 – Juruterbang Perancis Louis Blériot menjadi orang pertama menyeberangi Selat Inggeris dengan mesin penerbangan yang lebih berat daripada udara.

1957 – Lebih setahun selepas memperolehi kemerdekaan daripada Perancis, Tunisia menghapuskan sistem berajanya, Dinasti Husain dan menjadi republik.

1978 – Bayi tabung uji pertama di dunia, Louise Brown dilahirkan di Oldham, England.

2000 – Penerbangan 4590 Concorde Air France terhempas di Gonesse, Perancis, sejurus selepas berlepas dari Paris, mengorbankan 113 orang.

2007 – Pratibha Patil menjadi wanita pertama dilantik menjadi Presiden India.

2010 – WikiLeaks menerbitkan 75 ribu dokumen sulit mengenai Perang di Afghanistan, dengan butiran didedahkan tiga akhbar utama secara serentak.

2012 – Lebih 40 orang terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dan askar kerajaan Tajik di Gorno-Badakhshan.

Kelahiran

1848 - Arthur James Balfour, seorang Perdana Menteri United Kingdom.

Kematian

1973 - Louis St. Laurent, Perdana Menteri Kanada Ke-12.

2009 - Yasmin Ahmad, pengarah filem Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (24 Julai)

sumber: wikipedia

Monday, July 24, 2017

Israel Isytihar Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Yahudi?

Israel Isytihar Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Yahudi?

Untuk pertama kalinya dalam sejarah sejak 1969, Israel berani menghalang umat Islam daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Palestin menentang Yahudi

Lebih dahsyat, tentera Zionis bukan setakat menembak mati tiga warga Palestin yang menentang halangan Israel ini serta mencederakan 140 yang lain, mereka bahkan menembak Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Besar Palestin Sheikh Ikrima Sabri selepas solat.

Tragedi terbaru Al-Aqsa ini sebenarnya hanya membuktikan satu perkara, Israel tidak teragak-agak untuk meluaskan penjajahan mereka ke atas Palestin dan Baitulmaqdis setiap kali negara Arab saling bertelingkah sesama sendiri.

Berulang kali dapat kita saksikan pola ini, apabila tentera Syria berundur dari Lubnan, Israel tidak mengambil masa lama untuk melancarkan serangan ke atas Selatan Lubnan dan seterusnya Gaza.

Apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin diboikot negara Arab, terus sahaja Israel menyerang Gaza.

Apabila Presiden Mohammed Mursi dari Ikhwan Muslimin dikudeta tentera Mesir, terus sahaja Israel meningkatkan serangan dan kepungan berkali ganda ke atas Gaza.

Jelas sekali Israel tidak pernah berlengah menyerang Palestin apabila berlakunya krisis antara negara-negara Arab.

Terkini, negara-negara Arab yang sepatutnya dalam proses pembentukan pakatan tentera ala-NATO Arab telah berpecah sesama sendiri dalam kes pemulauan ke atas Qatar.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, dan Bahrain telah memboikot Qatar dan mendesak Doha menghentikan bantuan kepada Hamas yang mempertahankan Palestin daripada dijajah pendudukan haram Yahudi.

Malah, negara-negara Arab ini juga mendesak Qatar menutup pangkalan tentera Turki di negaranya. Langkah ini menunjukkan negara-negara Arab tidak mengambil iktibar akan apa yang Israel mampu lakukan ke atas Palestin setiap kali negara Arab sibuk bercakaran sesama sendiri.

Hal ini cukup mengecewakan kerana negara-negara Arab , termasuklah Qatar yang sudah pun menjalani latihan ketenteraan bersama sewaktu latihan North Thunder 2016 dan mereka telah pun bekerjasama dalam krisis Syria dan Yaman.

Tambahan pula, Arab Saudi baru sahaja memeterai pembelian persenjataan melebihi 100 bilion USD dengan Amerika Syarikat (AS) sewaktu kunjungan presidennya Donald Trump ke Riyadh Summit.

Kesemua persediaan ini sepatutnya dijuruskan ke arah mempertahankan maruah umat Islam dan kedaulatan Palestin, bukannya dihalakan ke arah sesama sendiri, apatah lagi ke atas Qatar iaitu sebuah negara yang memiliki potensi ekonomi besar dengan bekalan simpanan gas terbesar dunia.

Lebih mengecewakan, hubungan antara negara Arab dengan Turki turut terjejas akibat peristiwa ini manakala sebahagian negara Islam lain turut berdepan dilema apabila Arab Saudi mengenakan desakan agar mengikut serta tindakan mereka memulau Qatar.

Ternyata pertelingkahan demi pertelingkahan sesama negara Arab ini sangat tidak strategik buat kepentingan umat Islam, khususnya di Palestin yang sentiasa menjadi tumpuan peluasan penjajahan Israel.

Kajian sarjana Patricia A Weitsman dalam karya beliau ‘Waging War: Alliances, Coalitions, and Institutions of Interstate Violence’ terbitan Stanford University Press perlu didalami dalam memahami realiti ini.

Beliau telah mengkaji lima siri peperangan iaitu Perang Teluk Pertama, Perang Kosovo, Perang Afghanistan, Perang Iraq, dan Perang Libya.

Ternyata, banyaknya perjanjian pakatan ketenteraan, tingginya teknologi tentera yang dimiliki, hebatnya latihan ketenteraan yang dijalani, serta besarnya keupayaan ketenteraan yang dimiliki sesebuah pakatan tentera tidak menjamin kelancaran mahupun keberkesanan pakatan tersebut.

Sebaliknya, struktur pembuatan keputusan, imbangan kepentingan negara-negara sekutu dan serantau juga perlu diambil kira.

Demikianlah halnya dengan Arab Saudi yang dilihat kini mengetuai pakatan negara Arab.

Dalam keadaan hari ini, hubungan Arab Saudi yang makin renggang dengan Qatar dan Turki telah melemahkan sama sekali potensi pakatan NATO Arab untuk mempertahankan Palestin dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Negara Arab tidak sepatutnya alpa bahawa Israel telah pun secara haram mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

Negara Arab tidak sepatutnya lupa Trump pernah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Negara Arab juga tidak sepatutnya leka dengan hakikat bahawa Israel berjaya merampas Baitulmaqdis Timur selepas menewaskan pakatan negara Arab pada 1967 hanya dalam tempoh enam hari.

Ketahuilah, segala kekuatan persenjataan moden milik negara-negara Arab pada hari ini, termasuklah Arab Saudi yang baru menandatangani perjanjian perolehan aset dengan AS, ditambah pula dengan kekuatan Turki yang mendapat manfaat daripada penyertaan dalam NATO, tidak bermakna sama sekali selagi darah warga Palestin ditumpahkan secara berterusan manakala bumi Palestin terus dijajah dengan lebih rakus oleh Zionis.

BACA INI JUGA: Bagaimana Perang Salib Pertama Tercetus Dan Baitulmaqdis Ditawan

sumber: sinarharian

27 Fakta Menarik Chester Bennington, Penyanyi Linkin Park Yang Membunuh Diri

27 Fakta Menarik Chester Bennington, Penyanyi Linkin Park Yang Membunuh Diri

Chester Bennington yang meninggal dunia pada usia 41 tahun telah mengejutkan dunia dengan tindakannya yang dipercayai membunuh diri dengan cara menggantung diri.

Chester Bennington

Namun, sebelum anda menghukum penyanyi terkenal ini, berikut merupakan 27 fakta menarik tentang penyanyi Linkin Park, Chester Bennington.

Latar belakang dan kisah awal kehidupan Chester

1. Chester Charles Bennington dilahirkan di Phoenix, Arizona pada 20 Mac 1976.

2. Ibunya seorang jururawat, manakala bapanya seorang pegawai penyiasat polis bagi kes-kes penderaan seksual kanak-kanak.

3. Ibu bapanya bercerai pada usianya 11 tahun dan bapanya mengambil alih hak penjagaan.

4. Pada usia remaja, Chester terlibat dalam kancah penagihan dadah dan alkohol.

5. Pada usia 17 tahun, Chester duduk dengan ibunya dan dilarang keluar dari rumah kerana aktiviti ketagihan dadahnya dan kemudian berjaya meninggalkan tabiat buruk itu.

6. Sewaktu di sekolah, Chester selalu dibuli kerana tubuh badannya yang kurus dan perwatakan berbeza.

7. Pada tahun 2012, Chester dalam satu temubual bersama media mendedahkan bahawa dia pernah berhadapan penderaan seksual ketika usianya tujuh tahun. Penderaan itu dilakukan oleh rakan lelakinya yang berusia lebih tua.

Dalam temubual itu, Chester mengakui takut untuk memberitahu bapanya perkara sebenar. Dia kemudian mula melukis dan menulis puisi bagi melegakan tekanannya. Identiti pendera berkenaan diketahui bapanya namun Chester tidak meneruskan dakwaan di mahkamah kerana pelaku tersebut juga merupakan seorang mangsa penderaan seksual.

8. Chester bekerja di kedai makanan segera Burger King sebelum memulakan kerjaya sebagai pemuzik profesional.

Perkahwinan

9. Mempunyai seorang anak hasil hubungannya dengan Elka Brand.

10. Kemudian Chester berkahwin kali pertama dengan Samantha Marie Olit pada tahun 1996 dan mempunyai seorang anak lelaki Draven Sebastian Bennington – lahir pada 19 April 2002. Dia dan Samantha bercerai pada tahun 2005.

11. Perkahwinan kedua Chester bersama bekas model Playboy Talinda Ann Bentley dikurniakan tiga anak iaitu Tyler Lee Bennington dan kembar perempuan Lily dan Lila.

12. Chester dan Bentley pernah diganggu oleh seorang peminat tegarnya bernama Devon Townsend. Devon kemudian dihukum penjara dua tahun kerana didapati bersalah menghantar emel dan mesej ugutan kepada Chester dan Bentley.

13. Hubungan Chester bersama Talinda kekal sehingga Chester meninggal dunia.

14. Jumlah anak Chester bagi dua perkahwinan adalah enam orang termasuk seorang anak angkat, Isaiah.

Fakta menarik

15. Merupakan seorang peminat tegar tatu dan aktif di sebuah salon tatu Club Tattoo di Arizona.

16. Selain Linkin Park, Chester juga dikenali sebagai penyayi utama bagi kumpulan Dead by Sunrise dan Stone Temple Pilots sejak tahun 2013 sehingga 2015.

17. Pernah patah pergelangan tangan ketika melakukan terjunan dalam persembahan di konsert Rod Laver Arena di Melbourne, pada tahun 2007. Walaupun cedera, Chester tetap meneruskan persembahan sehingga tamat dan kemudian terus ke wad kecemasan.

18. Linkin Park pernah membatalkan tiga konsert dan menjadualkan semula dua konsert jelajah kerana tahap kesihatan Chester.

19. Juga merupakan peminat sukan bola keranjang dan peminat tegar pasukan Phoenix Suns.

20. Chester pernah muncul sebagai cameo dalam filem Crank pada tahun 2006. Chester juga pernah berlakon dalam filem Saw 3D: The Final Chapter membawa watak Evan.

Konsert di Malaysia

21. Chester telah ke Kuala Lumpur sebanyak dua kali untuk membuat persembahan bersama Linkin Park dalam siri konsert jelajah Asianya.

22. Kali pertama pada tahun 2003 di Stadium Merdeka dan kali kedua di Stadium Bukit Jalil pada tahun 2013.

Kematiannya

23. Sebilangan peminat beranggapan tindakan Chester membunuh diri ada kaitan dengan kematian kawan baiknya Chris Cornell yang merupakan penyanyi utama Audioslave.

24. Chester meninggal dunia pada hari ulangtahun Chris ke 53.

25. Chris juga meninggal dunia dengan menggantungkan diri, dua bulan sebelumnya. Chester memberi penghormatan dengan membawakan lagu Hallelujah oleh Leonard Cohen sewaktu hari pengebumian Chris.

26. Chester merupakan bapa pembaptisan bagi anak lelaki Chris.

27. Mayat Chester ditemui tergantung pada jam 9 pagi 20 Julai 2017 (waktu tempatan) di rumahnya di Palos Verdes Estates, California. Mike Shinoda mengesahkan berita itu dan berkata ia satu berita yang mengejutkan dan menyedihkan tetapi benar.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani