Monday, July 24, 2017

Israel Isytihar Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Yahudi?

Untuk pertama kalinya dalam sejarah sejak 1969, Israel berani menghalang umat Islam daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Palestin menentang Yahudi

Lebih dahsyat, tentera Zionis bukan setakat menembak mati tiga warga Palestin yang menentang halangan Israel ini serta mencederakan 140 yang lain, mereka bahkan menembak Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Besar Palestin Sheikh Ikrima Sabri selepas solat.

Tragedi terbaru Al-Aqsa ini sebenarnya hanya membuktikan satu perkara, Israel tidak teragak-agak untuk meluaskan penjajahan mereka ke atas Palestin dan Baitulmaqdis setiap kali negara Arab saling bertelingkah sesama sendiri.

Berulang kali dapat kita saksikan pola ini, apabila tentera Syria berundur dari Lubnan, Israel tidak mengambil masa lama untuk melancarkan serangan ke atas Selatan Lubnan dan seterusnya Gaza.

Apabila Hamas memenangi pilihan raya Palestin diboikot negara Arab, terus sahaja Israel menyerang Gaza.

Apabila Presiden Mohammed Mursi dari Ikhwan Muslimin dikudeta tentera Mesir, terus sahaja Israel meningkatkan serangan dan kepungan berkali ganda ke atas Gaza.

Jelas sekali Israel tidak pernah berlengah menyerang Palestin apabila berlakunya krisis antara negara-negara Arab.

Terkini, negara-negara Arab yang sepatutnya dalam proses pembentukan pakatan tentera ala-NATO Arab telah berpecah sesama sendiri dalam kes pemulauan ke atas Qatar.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, dan Bahrain telah memboikot Qatar dan mendesak Doha menghentikan bantuan kepada Hamas yang mempertahankan Palestin daripada dijajah pendudukan haram Yahudi.

Malah, negara-negara Arab ini juga mendesak Qatar menutup pangkalan tentera Turki di negaranya. Langkah ini menunjukkan negara-negara Arab tidak mengambil iktibar akan apa yang Israel mampu lakukan ke atas Palestin setiap kali negara Arab sibuk bercakaran sesama sendiri.

Hal ini cukup mengecewakan kerana negara-negara Arab , termasuklah Qatar yang sudah pun menjalani latihan ketenteraan bersama sewaktu latihan North Thunder 2016 dan mereka telah pun bekerjasama dalam krisis Syria dan Yaman.

Tambahan pula, Arab Saudi baru sahaja memeterai pembelian persenjataan melebihi 100 bilion USD dengan Amerika Syarikat (AS) sewaktu kunjungan presidennya Donald Trump ke Riyadh Summit.

Kesemua persediaan ini sepatutnya dijuruskan ke arah mempertahankan maruah umat Islam dan kedaulatan Palestin, bukannya dihalakan ke arah sesama sendiri, apatah lagi ke atas Qatar iaitu sebuah negara yang memiliki potensi ekonomi besar dengan bekalan simpanan gas terbesar dunia.

Lebih mengecewakan, hubungan antara negara Arab dengan Turki turut terjejas akibat peristiwa ini manakala sebahagian negara Islam lain turut berdepan dilema apabila Arab Saudi mengenakan desakan agar mengikut serta tindakan mereka memulau Qatar.

Ternyata pertelingkahan demi pertelingkahan sesama negara Arab ini sangat tidak strategik buat kepentingan umat Islam, khususnya di Palestin yang sentiasa menjadi tumpuan peluasan penjajahan Israel.

Kajian sarjana Patricia A Weitsman dalam karya beliau ‘Waging War: Alliances, Coalitions, and Institutions of Interstate Violence’ terbitan Stanford University Press perlu didalami dalam memahami realiti ini.

Beliau telah mengkaji lima siri peperangan iaitu Perang Teluk Pertama, Perang Kosovo, Perang Afghanistan, Perang Iraq, dan Perang Libya.

Ternyata, banyaknya perjanjian pakatan ketenteraan, tingginya teknologi tentera yang dimiliki, hebatnya latihan ketenteraan yang dijalani, serta besarnya keupayaan ketenteraan yang dimiliki sesebuah pakatan tentera tidak menjamin kelancaran mahupun keberkesanan pakatan tersebut.

Sebaliknya, struktur pembuatan keputusan, imbangan kepentingan negara-negara sekutu dan serantau juga perlu diambil kira.

Demikianlah halnya dengan Arab Saudi yang dilihat kini mengetuai pakatan negara Arab.

Dalam keadaan hari ini, hubungan Arab Saudi yang makin renggang dengan Qatar dan Turki telah melemahkan sama sekali potensi pakatan NATO Arab untuk mempertahankan Palestin dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Negara Arab tidak sepatutnya alpa bahawa Israel telah pun secara haram mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka.

Negara Arab tidak sepatutnya lupa Trump pernah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Negara Arab juga tidak sepatutnya leka dengan hakikat bahawa Israel berjaya merampas Baitulmaqdis Timur selepas menewaskan pakatan negara Arab pada 1967 hanya dalam tempoh enam hari.

Ketahuilah, segala kekuatan persenjataan moden milik negara-negara Arab pada hari ini, termasuklah Arab Saudi yang baru menandatangani perjanjian perolehan aset dengan AS, ditambah pula dengan kekuatan Turki yang mendapat manfaat daripada penyertaan dalam NATO, tidak bermakna sama sekali selagi darah warga Palestin ditumpahkan secara berterusan manakala bumi Palestin terus dijajah dengan lebih rakus oleh Zionis.

BACA INI JUGA: Bagaimana Perang Salib Pertama Tercetus Dan Baitulmaqdis Ditawan

sumber: sinarharian

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon