Thursday, June 08, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Jun)

Tanggal 8 Jun merupakan hari ke 159 (hari ke 160 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 206 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Kawah Laki

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Lautan Sedunia.

Peristiwa

632 - Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, memulakan era Khulafa al-Rasyidin.

1783 - Kawah Laki (gambar) mula meletus dan berterusan sehingga lapan bulan, mencetuskan kebuluran dan keracunan fluorin di Iceland.

1887 - Herman Hollerith menerima paten untuk kalkulator kad tebuk.

1949 - Novel politik distopia Nineteen Eighty-Four oleh George Orwell diterbitkan.

1966 - Sebuah prototaip XB-70 Valkyrie berlanggar di udara dengan sebuah pesawat pengejar F-104 Starfighter ketika membuat penggambaran. Kedua-dua juruterbang NASA Joseph A. Walker serta juruterbang ujian Tentera Udara Amerika Syarikat Carl Cross, maut dalam kemalangan itu.

1967 - Tentera Udara Israel menyerang kapal risikan Tentera Laut A.S. USS Liberty di perairan antarabangsa, membunuh 34 orang dan mencederakan 173 lagi.

1972 - Perang Vietnam: Jurugambar Associated Press Nick Ut mengambil gambar Pulitzernya, Phan Thị Kim Phúc yang berumur 9 tahun berlari bogel selepas dibakar napalm.

1995 - Pengatur cara Rasmus Lerdorf mengeluarkan versi awam pertama bahasa penskripan PHP untuk menghasilkan laman web dinamik.

2004 - Pelari jarak jauh Habsyah Kenenisa Bekele memecahkan rekod dunia bagi 10,000 meter luar di Ostrava, Republik Czech.

2010 - Benigno Aquino III bakal menjadi Presiden Filipina setelah disahkan memenangi pilihan raya presiden.

Kelahiran

1921 - Suharto, Presiden Indonesia ke-2.

Kematian

632 - Nabi Muhammad s.a.w., seorang kekasih Allah.

1845 - Andrew Jackson, Presiden Amerika Syarikat ke-7.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Jun)

sumber: wikipedia

Datuk Vida Terkilan Anak Dikata 'Buruk dan Hitam'

Datuk Vida Terkilan Anak Dikata 'Buruk dan Hitam'

Jahat betul mulut seorang pengikut laman sosial ni kerana menghina anak perempuan pengasas produk Qu Puteh, Datuk Seri Vida dengan memanggilnya buruk dan hitam.

Datuk Vida

Sedap ya mengata anak orang di bulan Ramadhan yang mulia ini? Apalah dosa anak Datuk Seri Vida, Cik B sampai dihina begitu?

"Saya tak kisah anak Datuk main panas ke, kuat berjalan ke tapi Datuk sebagai pengasas produk Qu Puteh sepatutnya anak putih juga.

"Ke Datuk tak bagi anak Datuk pakai produk Qu Puteh?" tulis salah seorang di Instagram miliknya selepas Vida memuat naik gambar Cik B dan anak lelakinya, Kacak yang tertidur menunggu waktu sahur.

Datuk Vida
Comel. Vida memuat naik gambar Cik B ketika kecil.

Melihat kepada komen-komen menghina itu, hati ibu mana yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang sejak kecil?

Vida menerusi beberapa siri posting di Instagram memberitahu terkilan apabila ada yang menghina anaknya dan menjelaskan kulit Cik B hitam adalah disebabkan aktiviti lasak sering dilakukannya.

Bagi membuktikan perkara itu, Vida menerusi beberapa siri posting di Instagram telah memuat naik gambar Cik B ketika kecil yang jelas sangat comel dan berkulit putih.

"Jangan kutuk Cik B hitam, masa kecil saya lagi hitam daripadanya.

"Cik B nak enjoy masa chilhood dia, ikut dia redah jer. Main bola tengah panas dengan budak-budak jate (lelaki). Cik jenis brutal, mujur tak panjat pokok jer," tulisnya.

Dalam pada itu, Vida berkata, anaknya itu memang tidak berminat untuk berhias dan menganggap ia perkara biasa bagi seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun.

"Walau apa pun orang cakap dekat Cik B, Mama tetap sayang Cik B, My only girl. Cik B ni bijak orangnya dan minat muzik dan suntingan video malah bisnes pun dia pandai.

"Malah dia sudah ada ejen dan stokis sendiri. Mana budak 12 tahun buat begitu?" tulisnya lagi.

Datuk Vida
Gelagat Cik B dan Kacak menunggu waktu bersahur.

Luahan Vida itu turut mendapat pelbagai respons daripada pengikutnya yang menyifatkan penghinaan sesetengah orang terhadap anaknya sebagai tidak patut dilakukan.

Antara mesej yang ditinggalkan;

"@yusfaelviraKot biarlah kulit hitam pun, kulit hitam ada macam-macam suplemen boleh cerahkan kulit, hati hitam tida ubat.

@ienaslavenderIte Cik B tu suci hatinya macam anak-anak gadis lain, tiada cacat cela saya lihat semuanya comey lako.

@seaanemoneeee Problem is bila u meletakkan nilai cantik pada tahap keputihan kulit. Any colour is beautiful.

Macam-macam betul..

BACA INI JUGA: 3 Tips Hebat Oleh Tiga Jutawan Selebriti Malaysia

sumber: mstar

Sambutan Hari Lautan Sedunia, World Oceans Day

Sambutan Hari Lautan Sedunia, World Oceans Day

Sambutan Hari Lautan Sedunia, World Oceans Day disambut pada 8 Jun setiap tahun, bermula pada 5 Disember 2008 di seluruh dunia seperti ketetapan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung PBB, sebagai aktiviti kesedaran mengenai laut peringkat global.

Sambutan Hari Lautan Sedunia

Konsep World Oceans Day pada mulanya dicadangkan semasa Earth Summit di Rio de Janeiro pada 1992 sebagai salah satu cara untuk menghargai lautan yang dikongsi bersama oleh negara-negara sedunia serta hubungkait kita secara langsung dengan laut.

Hari Lautan Sedunia adalah hasil dari usul negara Kanada dalam Earth Summit 1992 di Rio de Janeiro, Brazil. Ia diletakkan di bawah kelolaan The Ocean Project dan The World Ocean Network.

Di samping itu, konsep Hari Lautan Sedunia juga disarankan sebagai satu mekanisme untuk mewujudkan kesedaran tentang peranan penting yang dimainkan oleh laut di dalam kehidupan ­manusia.

Hari Lautan Sedunia adalah salah satu inisiatif seluruh masyarakat dunia bagi menghargai serta merancakkan usaha bagi melindungi planet bumi.

Lautan sebagai jantung bumi

Metafora lautan boleh diibaratkan sebagai jantung kepada bumi; dan seperti peranan utama jantung yang mengepam darah ke setiap bahagian tubuh badan kita, lautan bertindak sebagai penghubung antara manusia dan daratan serta seluruh dunia tanpa mengira di mana kita berada.

Selain menstabilkan iklim bumi, menyediakan sumber makanan kepada jutaan manusia setiap tahun dan mengeluarkan oksigen, lautan adalah habitat utama kepada pelbagai hidupan marin, yang banyak membiak di terumbu karang juga sumber kepada ubat-ubatan yang menghasilkan pelbagai manfaat.

Walaupun ramai menyedari kepentingan laut kepada kehidupan manusia, lautan di seluruh dunia masih lagi menghadapi tekanan besar.

Pelbagai aktiviti perikanan termasuk eksploitasi berlebihan, penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tanpa peraturan (illegal, unreported and unregulated fishing), penggunaan kaedah tangkapan yang memusnahkan serta amalan akuakultur yang tidak mapan dan merosakkan persekitaran marin, telah memberi kesan buruk ke atas laut.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk dengan wujudnya pencemaran laut, kemusnahan habitat marin, spesis asing, perubahan iklim dan asidifikasi laut.

Lautan tidak mampu 'merawat diri sendiri'

Ramai yang menganggap bahawa lautan adalah luas dan seluas lautan itulah keupayaannya untuk meneutralkan toksin, menyerap minyak, mengurai karbon dioksida, membersihkan sisa buangan, mengedarkan protein serta air tawar dan dalam erti kata lain, menyembuhkan diri sendiri.

Itu adalah mitos semata-mata! Sepertimana alam semula jadi lain, lautan mempunyai keupayaan penyembuhan kendiri tetapi hanya jika tidak diganggu gugat dengan aktiviti manusia yang melampau.

Pembuangan sisa buangan, tum­pahan minyak dan pelbagai bentuk pencemaran lain yang dialirkan ke laut tanpa dirawat terlebih dahulu telah mengubah struktur biologi dan keupayaan semulajadi laut untuk sembuh dengan sendiri.

Akibatnya berlakulah kerosakan habitat hidupan marin seperti terumbu karang dan rumput laut yang akhirnya membawa kepada kemerosotan bekalan ikan.

Aktiviti perikanan yang tidak mapan juga turut menjejaskan bekalan ikan dunia di mana jumlah dan saiz tangkapan menjadi semakin merosot setiap tahun.

Amalan pelancongan, hatta yang bertema eko-marin sekalipun, juga boleh menjejaskan habitat marin.

Dengan tiada kawalan ke atas had jumlah pengunjung ke kawasan perlindungan marin pada satu-satu masa dan tiada pemantauan ketat ke atas penggunaan krim sunblock dan fins atau kaki itik, kemusnahan terumbu karang di kawasan tersebut mungkin tidak dapat dielakkan.

Men­yedari kepentingan lautan sebagai nadi kehidupan di muka bumi ini, masyarakat kini perlu sedar bumi dan lautan akan terus berkhidmat kepada kita, hanya jika kita bersedia untuk berkhidmat kepada bumi dan lautan dengan lebih baik.

Selamat menyambut Hari Lautan Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Video Shah Rukh Khan Kena Prank, Rupanya Dibayar RM1.7 Juta

Video Shah Rukh Khan Kena Prank, Rupanya Dibayar RM1.7 Juta

Nak buat prank pun ada batasnya bukan sampai ke tahap ini. Mungkin itu yang difikirkan Shah Rukh Khan (SRK) selepas kecewa dengan kaki prank terkemuka dunia dari Mesir, Rames Galal.

Shah Rukh Khan Prank

Dalam 1 klip video, SRK kelihatan tenang tetapi resah apabila dia bersama seorang wanita dan seorang lelaki terperangkap di dalam pasir jerlus, kemudiannya dihampiri biawak komodo gergasi.

Namun selepas mendapat tahu ia hanya guraun semata-mata, hero Bollywood itu marah dan merajuk dengan krew terutamanya Galal yang juga seorang pelakon komedi dan pengacara rancangan Ramez Underground.

“Ini tak kelakar. Kamu ingat saya datang jauh dari India untuk *** ini?” tanya SRK yang ternyata berang dengan lawak tersebut.

SRK berada kawasan gurun di Dubai untuk 1 temuramah bersama pengacara televisyen Nishan yang turut berlakon dalam prank tersebut.

Pemandu yang membawa mereka berdua seolah-olah hilang imbangan dan terperangkap di dalam pasir jerlus. Kereta itu mula tenggelam bersama ketiga-tiga mereka dan si pemandu dalam keadaan memerlukan pertolongan.

SRK kekal tenang mengendalikan situasi itu di sebalik tindakan pengacara wanita yang menjerit kuat selepas bersemuka dengan seekor biawak komodo gergasi.

Rupa-rupanya Galal yang memakai kostum biawak itu untuk menambahkan elemen “thrill” dalam percubaan prank tersebut.

Apapun, SRK jelas tidak selesa malah lebih marah selepas mendapat tahu ia hanyalah drama untuk mengenakannya.

Menariknya, Galal yang terkenal dengan prank selebriti antarabangsa seperti Paris Hilton dan Antonio Banderas terpaksa sujud di kaki SRK bagi menenangkannya.

SRK pula bertindak menolak Galal dan hampir mahu menumbuknya.

“Kamu nak saya buat rancangan ini lebih kelakar?” tanya SRK sambil menolak kaki Galal sehingga dia terjatuh.

Selepas itu, Galal memuat naik sekeping gambar dia bersama SRK, tidak pasti jika ia diambil selepas menenangkannya atau diambil sebelum prank berkenaan dilakukan.

Galal sebelum dikecam selepas dia mengenakan prank terhadap Paris Hilton dengan insiden kapal terbang yang dinaiki mereka hampir terhempas. Ia hanya lakonan yang dirancang lebih awal.

Ramez kemudiannya tidak putus-putus meminta maaf daripada Shah Rukh sambil menyanyikan lagu Marjani Marjani (filem Billu).

Bagaimanapun, menurut pengurus Shah Rukh, Pooja Dadlani, pelakon itu dibayar AS$400,000 (RM1.7 juta) untuk melakonkan aksi marah itu.

Selain Shah Rukh, Paris Hilton pernah menjadi mangsa 'prank' rancangan tersebut dalam situasi pesawat hampir terhempas.

BACA INI JUGA:


sumber: fmt

Pembunuh Kejam Cantik Jadi Selebriti Internet

Pembunuh Kejam Cantik Jadi Selebriti Internet

Seorang wanita cantik, Preeyanuch Nonwangchai, yang menjadi suspek utama kes pembunuhan kejam seorang pekerja bar di wilayah Khon Kaen,Thailand, kini menjadi selebriti media selepas gambarnya ketika dalam tahanan sering dimuat naik di internet.

Preeyanuch Nonwangchai

Preeyanuch Nonwangchai, 24, atau dikenali sebagai Preaw ditahan polis bersama dua rakannya kerana disyaki membunuh sebelum memotong mayat seorang wanita, Warisara Koinjui pada bulan Mei lalu.

Sejak ditangkap baru-baru ini, Preaw dan dua rakannya, Kawinta Ratchanda, 25, serta Apiwan Satayabundit, 28, sering dirakam memakai pakaian berjenama dan alat solek.

Anggota polis dan pegawai penyiasat kes berkenaan juga sering bergambar dengan suspek dan memuat naik gambar itu di media sosial hingga menjadi viral.

‘Kegilaan’ pengguna media sosial terhadap wanita itu terutama suspek utama hingga fenomena itu digelar ‘demam Preaw’.

Preeyanuch Nonwangchai

Gabenor Khon Kaen, Pongsak Preechawit turut melahirkan kebimbangan mengenai fenomena berkenaan dan menyeru generasi muda supaya melihat kembali jenayah kejam yang dilakukan wanita itu.

“Saya bimbang kerana ramai generasi muda berbincang mengenai produk yang suspek gunakan seperti beg tangan, cermin mata, pakaian dan alat solek.

“Generasi muda patut membaca kembali kisah mereka dan jenayah kejam yang mereka lakukan,” katanya kepada Bangkok Post.

Pengarah Institut Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja, Dr Mathurada Suwannapho memberitahu, sebahagian generasi muda mula mengagumi wanita berkenaan kerana tumpuan media berlebihan terhadap suspek.

“Kepantasan imej tersebar melalui media sosial boleh memperdaya golongan muda dan tidak berpengalaman untuk menganggap suspek sebagai idola,” jelasnya.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Wednesday, June 07, 2017

Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

Apa Hukumnya Menjemput Rakan Bukan Islam Berbuka Puasa?

Non-Muslim adalah sebahagian daripada ummah siyasiyyah (political community) yang membentuk satu kerangka bagi sebuah ummah (nation) disamping adanya Muslim sebagai ummah diniyyah (religious community).

Berbuka Puasa
Gambar hiasan.

Konsep ini telah dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang dibentangkannya.

Maka, secara asasnya non-Muslim adalah warganegara yang wajar menerima haknya untuk hidup dengan harmoni sepertimana dalam konteks Malaysia.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” (Surah al-Nisa’: 36)

Ketika membahaskan berkenaan konsep jiran dalam ayat di atas, Imam al-Qurtubi berkata:

“Aku berkata: Dengan ini, berlaku baik kepada jiran-jiran adalah digalakkan, samada mereka Muslim atau tidak. Ini adalah yang sahih. Bentuk perlakuan baik itu samada dalam bentuk membantu atau boleh jadi dalam bentuk berlaku baik, mengelakkan daripada ketidakselesaan dan berada di samping mereka. (Tafsir al-Qurtubi, 5/179)

Amalan berbuka puasa perlu dilihat sebagai satu medium yang sangat baik bagi merapatkan hubungan kejiranan dan mahabbah tanpa mengira agama dan bangsa selain daripada memberi gambaran yang sebenar terhadap sifat keramahan Islam.

Malah, bulan Ramadhan juga adalah satu bulan yang baik bagi kita menyemai sikap bantu-bantu dan berkongsi kesenangan terutamanya dengan mereka yang memerlukan.

Jika dilihat di luar negara, majlis berbuka puasa yang dihadiri non-Muslim adalah perkara yang lazim dilakukan.

Tokoh terkenal bukan Muslim seperti Justin Trudeau (Perdana Menteri Kanada), Barack Obama (mantan Presiden Amerika Syarikat), Lee Hsien Loong (Perdana Menteri Singapura) juga pernah menghadiri majlis berbuka puasa anjuran komuniti Muslim di tempat masing-masing.

Oleh itu, kami cenderung berpandangan hukum menjemput non-Muslim berbuka puasa adalah harus dan dibolehkan dalam Islam.

Dalam masa yang sama, hendaklah dipelihara adab-adab dan nilai murni dalam majlis berbuka puasa tersebut.

Selain itu, pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa boleh juga mengutamakan mereka yang fakir miskin dan anak yatim daripada kalangan Muslim dan bukan Muslim dalam jemputan berbuka puasa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” (Surah al-Insan: 8)

Memberi makan juga adalah dikira sebagai salah satu bentuk sedekah. Dalam hal memberi sedekah kepada non-Muslim, Imam al-Nawawi menyatakan,

Maksudnya: “Dianjurkan agar sedekah itu diberikan kepada orang soleh, orang yang rajin melakukan kebaikan, menjaga kehormatan dan yang memerlukan. Namun jika ada orang yang bersedekah kepada orang fasik, atau orang kafir, di kalangan Yahudi, Nasrani, atau Majusi, hukumnya boleh dan baginya ganjaran pahala pada keseluruhan perbuatannya. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/240)

Namun beberapa perkara harus diberi perhatian; lokasi berbuka puasa yang dipilih dan pakaian yang dikenakan haruslah bersesuaian.

Manakala adab-adab berbuka puasa haruslah dijaga dan dipatuhi. Sebarang provokasi harus dielakkan, dan sebarang agenda yang tidak baik hendaklah dijauhi.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang mendalam tentang agama dan menjadikan Malaysia sebuah negara berbilang agama dan bangsa yang kekal dalam keharmonian dan perpaduan.

BACA INI JUGA: Adakah Sah Puasa Jika Belum Mandi Wajib?

sumber: muftiwp

4.2 Juta Dekoder MYTV Percuma Untuk Penerima BR1M

4.2 Juta Dekoder MYTV Percuma Untuk Penerima BR1M

Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan dekoder percuma bagi siaran TV digital yang baru dilancarkan bernilai RM199 kepada 4.2 juta penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

MYTV Percuma

Pada majlis pelancaran perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview yang berlangsung minggu ini, Najib berkata Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asean menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyatnya, terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

4.2 juta dekoder percuma untuk diagihkan

Jumlah dekoder itu merangkumi 2.2 juta set dekoder percuma sumbangan kerajaan sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder yang diperuntukkan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, yang mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian DTT.

MyFreeview adalah projek diterajui Kementerian komunikasi dan multimedia dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan televisyen dan siaran radio digital secara percuma.

Pengguna boleh membeli dekoder berkenaan daripada peruncit elektronik di seluruh negara.

Lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia telah memulakan perubahan dari televisyen analog kepada siaran digital sejak tahun 2007.

Manakala negara-negara Asean mensasarkan untuk menghentikan televisyen analog antara tahun 2015 hingga 2020.

Malaysia menetapkan untuk menghentikan siaran televisyen analog pada Jun 2018.

Dijangkakan, 98 peratus daripada penduduk Malaysia akan mempunyai akses kepada perkhidmatan myFreeview pada suku terakhir 2017.

Penonton akan dapat mengakses sembilan stesen percuma iaitu TV1, TV2, TVi, TV AlHijrah, TV3, NTV7, 8TV, TV9 dan Bernama News Channel, serta tambahan empat stesen radio RTM.

BACA INI JUGA:

sumber: mk

Flakka, Dadah Paling Bahaya Menukar Penagih Menjadi 'Zombie'

Flakka, Dadah Paling Bahaya Menukar Penagih Menjadi 'Zombie'

Dadah Flakka yang dihasilkan pada tahun 1960 di Florida Selatan Amerika Syarikat, merupakan sejenis dadah stimulan sintetik yang boleh mengubah kelakuan manusia menjadi agresif dan berlagak seperti seorang zombie yang ganas.

Flakka

Dadah Flakka telah mula merebak di beberapa negara besar dan telah mencetuskan huru-hara sehingga membawa kematian.

Dadah Flakka telah mendapat perhatian dunia apabila beberapa video menjadi viral di media sosial yang menunjukkan penagihnya memberi tindakan agresif di luar jangkaan.

Sifat yang ditunjukkan oleh penagih, seperti meronta-ronta, menjerit dan mencederakan diri sendiri atau orang yang berhampiran dengannya akibat kesan dadah Flakka tersebut.

Dadah Flakka merupakan dadah sintetik yang pada mulanya digunakan dalam rokok elektronik (vape) yang mudah larut dengan sedikit bahan bakar.

Ia juga dipanggil sebagai pharmaceutical yang direka sebagai dadah Pyrroldinopentiophenone dan selain itu juga ia dipanggil sebagai PVP atau alpha-PVP.

Dadah Flakka sangat merbahaya kerana ia kelihatan seperti garam putih yang memberi kesan sama seperti dadah kokain dan methamphetamine tetapi lebih kuat daripada kedua-duanya.

Terdapat kes di mana seorang penagih dadah Flakka merempuh kereta yang sedang bergerak, menyebabkan kecederaan kepada dirinya sendiri dan pemandu di dalam kenderaan tersebut.

Penagih dadah Flakka ini juga mempunyai kecenderungan untuk mencederakan orang di sekelilingnya kerana kebanyakan daripada mereka akan hilang kawalan diri dan menyerang individu yang paling hampir dengannya.

Menurut pandangan Ahli Epidemiologi dan Penyalahgunaan Dadah di Nova Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida, Jim Hall, dadah sintetik ini telah diharamkan sejak 2012 kerana dosnya yang terlalu susah untuk dikawal dan ditentukan.

Selain itu, pengguna dadah Flakka juga akan mengalami suhu badan yang boleh meningkat sehingga 105 darjah selsius dan mengalami paranonia yang teruk ketika mengambilnya.

Kesan ke atas penagih dadah Flakka ini tidak akan hilang dan kebiasaannya akan berkekalan, biarpun pengguna tidak lagi mengambil dadah tersebut.

Penggunaan dadah Flakka secara berterusan akan menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang dan otot.

BACA INI JUGA: 8 Bahaya Dadah Amfetamin Yang Kita Wajib Tahu

sumber: sinarharian

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Jun)

Tarikh 7 Jun merupakan hari ke 158 (hari ke 159 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 207 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Pengepungan Baitulmuqaddis 1099
Pengepungan Baitulmuqaddis 1099.

Hari ini juga merupakan sambutan Sette Giugno di Malta.

Peristiwa

1099 - Anggota Perang Salib Pertama tiba di Baitulmuqaddis yang dikuasai Khilafah Fatimiyyah dan memulakan pengepungan kota itu (gambar) selama lima minggu.

1494 - Sepanyol dan Portugal menandatangani Perjanjian Tordesillas, membahagikan tanah Amerika dan Afrika yang baru ditemui antara mereka.

1905 - Parlimen Norway sebulat suara membubarkan Kesatuan antara Sweden dan Norway.

1938 - Penerbangan pertama Douglas DC-4E.

1940 - Raja Haakon VII, Putera Mahkota Olav, dan kerajaan Norway meninggalkan Tromsø untuk hidup dalam buangan di London selepas serangan Jerman dalam Perang Dunia II.

1948 - Edvard Benes meletakkan jawatan sebagai Presiden Czechoslovakia kerana tidak hendak memeterai perlembagaan yang akan menjadikan negaranya sebuah negara Komunis.

1974 - Ejen Parti Komunis Malaya menembak mati Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara Malaysia yang ketiga.

1981 - Tentera Udara Israel menyerang dan memusnahkan reaktor nuklear Osirak di Iraq.

2007 - Kunjungan bekas Presiden Republik China Lee Teng-Hui ke Kuil Yasukuni dibantah rakyat China. Abangnya pernah menjadi tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

2009 - Perikatan 14 Mac pimpinan Saad Hariri memenangi pilihan raya umum Lubnan 2009.

2010 - Mahkamah India menyabitkan tujuh lelaki bersalah kecuaian jenayah dalam tugas mereka semasa tragedi Bhopal 1984.

2011 - Satu jawatankuasa IUPAC mengakui penemuan unsur transuranium ununquadium dan ununheksium.

Kelahiran

1770 - Lord Liverpool, Perdana Menteri United Kingdom.

1929 - John Turner, Perdana Menteri Kanada Ke-17.

1959 - Mike Pence, Naib Presiden Amerika Syarikat yang terkini.

1978 - Adrienne Frantz, pelakon Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (6 Jun)

sumber: wikipedia

Ritual Berjalan Atas Serpihan Kaca, 'The Crystals of Love' Simbol Cinta Sejati

Ritual Berjalan Atas Serpihan Kaca, 'The Crystals of Love' Simbol Cinta Sejati

Majlis perkahwinan walau di mana sahaja pun akan disambut dengan meriah memandangkan ia merupakan satu hari yang bersejarah buat pasangan pengantin lelaki dan perempuan.

The Crystals of Love

Bagi mencipta satu ritual baharu yang akan diingati semasa majlis perkahwinan, sebuah syarikat perunding perkahwinan, Wedding Glass memperkenalkan ritual berjalan kaki di atas serpihan kaca semasa majlis perkahwinan.

Kononnya, pasangan pengantin yang sanggup untuk berkaki ayam dan berjalan di atas serpihan kaca akan mampu untuk melalui pelbagai cabaran dan rintangan lain dalam rumah tangga mereka kelak.

Syarikat yang berpangkalan di Sepanyol itu merupakan syarikat pertama di dunia yang memperkenalkan ritual unik tersebut.

Hal itu kerana mereka percaya selepas ini, ritual berkaki ayam dan berjalan di atas serpihan kaca itu akan menjadi trend baharu kelak.

Melalui ritual yang dipanggil The Crystals of Love itu, kedua-dua pasangan pengantin akan berjalan ke arah satu sama lain di atas serpihan kaca sambil diperhatikan oleh ahli keluarga dan teman rapat.

Selepas proses itu selesai, kaki mereka akan dibersihkan menggunakan berus bagi memastikan tiada serpihan kaca yang melekat atau tertusuk ke dalam kaki.

Simbol cinta sejati

The Crystals of Love

Sebaik sahaja proses itu selesai, ia bermaksud pasangan pengantin itu sudah melepasi satu fasa sukar dan mencabar dalam perkahwinan.

Menurut salah seorang jurucakap syarikat Wedding Glass yang enggan didedahkan, serpihan kaca yang digunakan dalam majlis itu mempunyai maksud tersendiri.

"Serpihan kaca di bahagian yang mula-mula dipijak oleh pengantin melambangkan kehidupan mereka pada masa sekarang, manakala bahagian hujung yang menjadi titik pertemuan pengantin lelaki dan perempuan pula melambangkan kehidupan yang bakal ditempuhi oleh kedua-dua mereka selepas berkahwin," katanya.

Selain itu, serpihan itu juga menjadi lambang cinta sejati, keresahan serta cabaran dalam kehidupan berumah tangga.

Sekiranya cabaran itu berjaya diatasi, ia bermaksud pasangan sudah bersedia menjadi suami isteri yang sanggup susah dan senang bersama.

Tambah wakil syarikat itu lagi, rata-rata pasangan pengantin yang mencuba ritual itu berasa teruja dan sukakan pembaharuan yang diperkenalkan oleh Wedding Glass.

"Pengantin moden sudah jemu dengan ritual biasa di gereja dan mereka mahu mencuba sesuatu yang baharu," jelasnya.

The Crystals of Love

Begitu pun, berjalan dengan berkaki ayam di atas serpihan kaca sememangnya berbahaya dan kaki akan berisiko tinggi untuk terluka.

Oleh itu, Wedding Glass menyarankan supaya pasangan pengantin menjalani latihan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan dan ia boleh dilakukan sebanyak mana pun sehingga mahir.

Berjalan di atas serpihan kaca memerlukan keyakinan dan keberanian yang tinggi. Selain itu, seseorang itu perlulah memastikan dia berjalan dengan cara yang betul bagi mengelakkan kaki terluka.

"Kestabilan dan keseimbangan badan juga amat penting semasa ritual ini dijalankan," ujarnya.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Tuesday, June 06, 2017

Hukum Menjalani Rawatan Memutihkan Gigi Di Siang Hari Ramadhan

Hukum Menjalani Rawatan Memutihkan Gigi Di Siang Hari Ramadhan

Apakah hukumnya menjalani rawatan pemutihan gigi atau bleaching iaitu rawatan mengilatkan gigi yang telah kuning atau pudar warnanya samada vital bleaching atau non vital bleaching ketika berpuasa di bulan Ramadhan?

Rawatan Gigi
Gambar hiasan.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum bagi rawatan memutihkan gigi ketika berpuasa adalah harus dan dibolehkan selama mana tidak menelan air semasa proses rawatan.

Ini adalah berdasarkan pandangan Keputusan Majma’ al-Fiqhi al-Islami [No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] yang menjelaskan bahawa perkara berikut tidak membatalkan puasa:

“Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.”

Hal ini juga bertepatan dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit yang menyebut:

“Perkara-perkara yang berkaitan rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa ialah, melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi menggunakan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu tersebut tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.” (Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit, hlm. 6).

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

BACA INI JUGA: Benarkah Mengorek Telinga Dan Hidung Membatalkan Puasa?

sumber: muftiwp