Monday, April 08, 2019

Cuckoo Pressure Multi Cooker Pilihan Terbaik Di Malaysia

Cuckoo Pressure Multi Cooker Pilihan Terbaik Di Malaysia

Pada zaman moden yang sangat pantas dan mementingkan masa ini, Pressure Multi Cooker adalah pilihan terbaik paling bagus kerana cara penggunaannya sangat mudah dan amatlah menyenangkan bagi golongan suri rumah untuk menyiapkan kerja-kerja memasak di dapur tanpa perlu terkejar-kejar dengan masa melayan keluarga.

Cuckoo RED M10

Bayangkan dengan penggunaan Pressure Multi Cooker di dapur, sama la seperti anda ada seorang pembantu yang menolong menyiapkan segala tugas memasak untuk santapan seisi keluarga.

Nak minta tolong suami dan anak-anak memasak pun boleh sebab cara guna Pressure Multi Cooker sangatlah mudah. Cuma tekan butang ON. Semua kerja beres tanpa masalah.

Juga, tak siapa pun mampu menafikan, memasak untuk majlis dan kenduri pun senang. Masa raya lagi la khidmat Pressure Multi Cooker amat diperlukan. Saat melayan tetamu, tukang masak automatik anda sedia membantu.

Ketahui Terlebih Dahulu, Apa Itu Multi Pressure Cooker?

Multi Cooker Pressure adalah peralatan dapur yang dicipta khas dengan injap yang secara automatik akan memasak untuk anda hanya dengan menekan butang ON dan pelbagai jenis kawalan bergantung kepada model pembuatan.

Kebanyakan Multi Cooker Pressure mempunyai pemasa supaya anda boleh menetapkan peralatan ini untuk "memasak", contohnya; sejam sebelum anda pulang ke rumah, menjadikannya peralatan dapur yang sangat cekap untuk ibu bapa atau orang yang sibuk.

Memasak Pelbagai Jenis Masakan

Apabila menggunakan Pressure Multi Cooker, anda boleh memasak hampir semua jenis menu dan resepi dalam satu periuk nasi, termasuklah nugget dan keropok lekor. Malah, tanpa perlu berhadapan dengan masalah bahaya penggunaan minyak masak berulang-kali. Sihat, murah dan jimat.

Hari ini, terdapat banyak pilihan perkakasan dapur Pressure Multi Cooker yang memudahkan dan cepat bagi orang sibuk yang mempunyai sedikit masa untuk membuat makanan yang sihat, kreatif dan berkhasiat.

Pressure Multi Cooker adalah beberapa pilihan yang paling popular untuk membantu anda memasak dengan gaya hidup yang sibuk.

Jika anda bingung mengenai perbezaan antara peralatan ini, atau ingin mengetahui pilihan mana yang terbaik, Pressure Multi Cooker jenama apa yang bagus? Apa pilihan terbaik yang ada di Malaysia? Teruskan membaca.

Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10

Fungsi Cuckoo RED M10

Sudah pastinya, salah satu jenama terbaik dengan teknologi memasak yang sangat canggih adalah, Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10.

Antara Resepi Hidangan Yang Boleh Di Masak Menggunakan Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10 Adalah:
  • Masak Nasi Beriyani Kambing dengan Multi Cooker Red M10 dalam masa 30 minit sahaja.
  • Masak Siakap Stim Limau dengan Multi Cooker Red M10 dalam masa 15 minit sahaja.
  • Masak Kari Ayam menggunakan Multi Cooker Red M10 dalam masa 30 minit sahaja.
  • Masak Dodol Yang Lembut Dan Enak dengan Multi Cooker Red M10 dalam masa 30 minit sahaja.
  • Masak Mee Goreng Mamak Yang Enak dengan Cuckoo Multi Cooker Red M10 dalam masa 15 Minit sahaja.
  • Masak Rendang Ayam Dengan Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10 dalam masa 30 minit sahaja.
  • Buat Air Soya Homemade dengan menggunakan Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10.
  • Masak bubur kacang hijau dalam masa 25 minit sahaja. Tak perlu rendam, akan terus masak dan kembang dalam periuk.

Bukan setakat itu, malah banyak lagi.

Anda juga tidak perlu risau kerana Cuckoo Pressure Multi Cooker Red M10 bukan sahaja tidak berkerak, tidak akan berkarat, malah tidak akan meletup seperti jenama murah yang lain.

Kami sediakan review secara ringkas 5 Kelebihan Cuckoo Pressure Multi Cooker RED M10

1. Auto Steam Release

Jika anda menggunakan Multicooker biasa, tombol yang boleh dipusing-pusingkan diguna untuk release steam secara manual.

Tetapi, Multicooker Cuckoo sebaliknya menggunakan sistem hebat auto steam release, di mana anda tidak perlu menjenguk pun ke dapur untuk menukar tombol untuk melepaskan stim secara manual.

Anda tidak akan diganggu ketika menonton drama kegemaran ketika memasak. Semuanya secara automatik. Macam ada pembantu rumah kan. Tinggal hidang je.

2. Hydrolic Soft Lid Opening

Anda juga tidak perlu menggunakan sarung tangan untuk membuka periuk. Cuma klik butang, click to open, dan langsung tiada masalah air menitik.

3. Non Stock Safe Coat Pot

Yang paling PENTING apabila anda mahu membeli pressure cooker yang baharu, anda pastinya mahu peralatan yang tahan pada tekanan, tahan pada haba yang tinggi, tahan karat, tahan calar dan tahan lama.

Jangan kerana nak sekadar ada, terutamanya kerana harga dirasakan sangat murah, keselamatan diri dan keluarga anda gadaikan.

Tidak keterlaluan kalau kami katakan, multi pressure cooker Cuckoo yang disalut XWALL-DIAMOND adalah yang paling selamat, malah bahan ini dipatenkan!

4. Wide Led Screen With Voice

Anda pernah mendengar periuk nasi pandai menyanyi? Maksud kami bukannya berdesing, tapi lagu yang memang best dan menghiburkan.

Multicooker cuckoo ada menyediakan pilihan suara dalam 3 jenis bahasa iaitu english, korea dan chinese, akan menghiburkan anda sebaik butang on ditekan. Menarik kan. Hati pun senang.

Skrin mode yang luas juga dicipta untuk memudahkan anda, dengan RED-M10 ada 12 mode pilihan masakan.

5. Auto Steam Cleaning

Setiap kali selepas memasak, sudah pasti multicooker anda perlu dibersihkan dari kotoran dan minyak yang melekat. Sangat leceh dan membosankan.

Untuk multicooker biasa, anda perlu merendamnya dengan air panas untuk dicuci, perlu menggunakan sabun dan sebagainya.

Tapi, bagi multicooker pressure Cuckoo, anda hanya perlu tekan butang setting untuk mencuci nozzle steamer secara AUTOMATIC. Badan tak penat, hati pun senang.

Spesifikasi Red M10

Cuckoo Pressure Multi Cooker Review Pengguna

Periuk Red M10 Cuckoo yang memudahkan urusan memasak. Kita ni orang perempuan, lagi-lagi yang suri rumah mesti nakkan kerja kita menjadi lebih mudah. Yelah faham-faham saja, nak urus anak, urus kerja rumahtangga, dengan run bisnes online lagi.

Ada ke kat dunia ni orang yang nak bersusah payah nak buat semua start dari scratch? Dah ada benda yang memudahkan, kenapa perlu susah payah? Maaf ye over pulak haha..

Ok sekarang saya nak cerita tentang salah satu satu alat yang memudahkan urusan rumahtangga iaitu periuk Red M10.

Red M10 sebenarnya rice cooker tapi ada fungsi multicook. So, kalau nak masak nasi beriyani, nasi tomato, nasi lemak dan segala jenis nasi tu boleh sangat.

Bukan setakat nasi, menu-menu lain pun boleh. Salah satu kelebihan dia, nak masak apa-apa tak perlu pakai minyak pun.

Insya Allah dengan periuk M10 makanan yang kita masak lebih sihat. Menjimatkan masa, menjimatkan tenaga, menjimatkan minyak. Kenapa jimat masa? Sebab masa memasaknya singkat.

Dan kita boleh tinggal je bila makanan kita sedang dimasak. Sambil-sambil tu boleh buat kerja lain juga.

Kesimpulannya, tak payah pening-pening, tak payah tunggu lama duduk depan kuali tu. Bagi je Red M10 ni buat kerja dia. Dalam masa beberapa minit, dah siap!

-Puan Sabrina

DIMANA NAK BELI CUCKOO PRESSURE MULTI COOKER? BOLEH PERCAYA KE?

Harga Cuckoo RED M10

Mudah saja. Tuan/Puan boleh dapatkan dari Agen Sah Cuckoo dengan khidmat penghantaran dan pemasangan PERCUMA di seluruh Malaysia.

Kalau nak beli tunai, harganya cuma RM1,415.09 sahaja. Sangat berbaloi, lebih murah dari gaji pembantu rumah.

Tapi kalau rasa-rasa harga tu mahal sangat, boleh juga buat pembelian secara ansuran dengan harga bulanan serendah RM70 sahaja. Yuran pemprosesan cuma RM200. Tempoh bayaran adalah selama 24 bulan. Warranty 2 tahun. Khidmat nasihat percuma pula tu.

Hubungi Agen anda sekarang:

Jangan tunggu lama. Yang pasti, anda sudah jatuh cinta dengan Cuckoo Pressure Multi Cooker.

-SENTIASAPANAS.COM

SBDJ Siri 36: Pukau Ular Tedung

SBDJ Siri 36: Pukau Ular Tedung

Din Taiwan memberitahu datuk, dengan ilmunya dia telah merogol lebih dari seratus orang wanita yang terdiri dari anak dara, janda dan isteri orang. Dia telah menggunakan ilmunya itu untuk merompak dan membunuh orang, namun akhirnya dia mati di tembak mengunakan peluru emas.

Siri SBDJ

Memang pada awalnya, dia menuntut ilmu itu untuk melindungi dirinya dari perbuatan orang, tetapi, bila separuh menuntut dia sudah terpengaruh dengan syaitan untuk merosakkan orang lain demi kebahagiannya.

Dia meninggalkan gurunya lalu menjadi orang jahat. Masa dia membuat kerja-kerja maksiat itulah dia selalu mempengaruhi anak-anak muda lain untuk menganggotai kumpulannya.

Dia mengakui, dialah yang memberi beberapa ajaran pada Razman yang patah cinta, kerana pinangannya ditolak oleh kedua orang tua Mariam.

Dia mengajarkan Razman supaya melarikan Mariam untuk dijadikan perempuan simpanan.

"Kau memang jahat”, kata datuk secara mendadak.

"Siapa guru kamu?"

"Aku menuntut pada mulanya dengan orang asli di hutan Sabah, kemudian aku terus memuja roh dan pangkal-pangkal kayu.”

"Syaitan”, jerit datuk lalu membaca Surah Al-Kursi, kemudian datuk melemparkan batu yang digenggamnya ke arah Razman (Din Taiwan).

Api menjulang bersama jeritan yang amat kuat. Bila api padam di kawasan tempat tubuh Razman ditanam, terdapat timbunan abu.

Abu itu berkumpul di dalam lubang. Datuk timbus abu itu dengan tanah. Kami meninggalkan kawasan itu bila fajar sidik timbul dikaki langit.

"Kita harus berada di rumah sebelum azan”, beritahu datuk pada saya.

Kami melangkah dengan cepat menuju ke rumah Mail tetapi, hati saya sungguh kesal, secara tidak langsung datuk telah membunuh Razman anak kesayangan Mail.

Apakah yang akan dijawab oleh datuk pada Mail dalam hal ini? Datuk sudah menambahkan musuh dalam hidupnya.

Saya merasa menyesal dan menganggap datuk seorang pembunuh.

Bagi menjimatkan masa, kami tidak terus ke rumah Mail. Kami singgah di perigi mengambil air sembahyang.

Kemudian ke rumah Mail, terus duduk di anjung. Beberapa minit kemudian kami terdengar suara azan.

Ketika datuk mahu memulakan sembahyang, Mail datang dan datuk menjadi imam pagi itu.

Setelah selesai sembahyang, datuk tergesa-gesa masuk ke ruang rumah.

Alangkah terkejutnya saya, bila mendapati Razman terbaring di tempatnya.

Saya jadi bodoh dengan kejadian itu. Siapakah yang didukung dan dibakar oleh datuk tadi?

Dalam keadaan yang serba salah itu, saya lihat datuk berdiri di hujung kepala Razman. Datuk minta semangkuk air dari Mail. Datuk masukkan tangan ke dalam mangkuk itu.

Air melekat di hujung jari itu datuk titiskan ke muka Razman.

Razman mengeluh. Serentak dengan itu, saya lihat macam kabus nipis keluar dari hujung kaki Razman.

Kabus nipis itu terus berkumpul dan akhirnya wujudlah batang tubuh seorang lelaki iaitu, Din Taiwan.

"Pulanglah syaitan, jangan kau kacau anak cucu adam ini”, kata datuk.

Kabus itu ghaib. Mail terkejut, dia tidak tahu dengan siapa datuk bercakap. Dia tidak nampak seperti apa yang saya lihat.

Saya juga hairan macam mana benda-benda ganjil itu boleh saya lihat. Bila saya menoleh ke kiri merenung wajah datuk tersenyum.

"Pulangkan kain hitam aku”, minta datuk.

Barulah saya sedar yang kain hitam itu membuat saya melihat kejadian aneh sebentar tadi.

Kain hitam dalam saku saya serahkan pada datuk. Datuk terus lipatkan kain hitam hingga jadi tiga segi. Kemudian, datuk sumbat kain itu ke dalam saku seluarnya.

Perlahan-lahan datuk membuka sila. Datuk lunjurkan kaki kirinya dan kaki kanannya dilipatkan. Saya lihat datuk menggigit ibu jari kirinya dua kali.

Kemudian dia menyusun jari sepuluh dan hujang jarinya itu bertemu dengan bibir atas, macam pendekar zaman silam mengadap sultan.

Saya terkejut bila datuk terbatuk, bagaikan ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya.

Datuk senyum pada saya, selalunya bila datuk berbuat begitu, membawa tanda ada sesuatu yang belum pernah saya lihat akan dilakukannya.

Ramalan saya itu memang tepat. Datuk sudah pun membetulkan silanya dengan kedua belah tapak tangannya menekan kepala lutut.

Datuk mengalihkan pandangannya ke mangkuk putih, matanya kelihatan bersinar tidak berkedip merenung kearah bibir mangkuk putih yang terletak dekat tubuh Razman.

Urat-urat merah mula timbul dibahagian mata putihnya. Pangkal uratbyang merah itu bagaikan berakar dari keliling bahagian anak mata hitamnya.

Dan air dalam mangkuk putih berkocak sendiri, bagaikan ada tenaga ghaib yang menggerakkan badan mangkuk tersebut.

Saya tersentak bila mangkuk itu terbelah dua dan airnya melimpah atas tikar mengkuang yang dianyam rapat-rapat.

Air yang melimpah itu kelihatan berkilau-kilau dipanah oleh sinar matahari pagi yang memancar masuk ikut tingkap rumah yang terbuka lebar.

Datuk segera membongkok sambil mengenakan hujung jari hantunya pada air yang melimpah atas tikar.

Sebaik sahaja jari hantu terkena air tersebut, air yang melimpah terus hilang. Mangkuk putih yang terbelah dua tercantum kembali seperti asal tanpa air didalamnya.

Mail yang melihat kejadian-kejadian yang berlaku di depan matanya diam tidak berkata. Dahinya nampak berkerut sesekali wajahnya kelihatan cemas.

"Bangun anakku”, suara datuk parau.

Serentak dengan itu Razman yang terbaring kaku segera bangun. Dia nampak terkejut sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Datuk merenung biji mata Razman.

"Bersila di situ”, kata datuk Razman akur dengan perintah datuk itu macam orang kena pukau.

Datuk lalu memerintahkan Mail mencari pucuk pisang nangka, pucuk palas dan air satu buyung.

Mail mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengadakan batang-batang tersebut.

Sementara menanti barang itu berada di depannya, datuk menyuruh saya melipat setiap bucu tikar yang terdapat di ruang rumah tersebut. Saya laksanakan tugas itu hingga selesai.

Bila tugas itu selesai saya kembali duduk di sisi datuk. Razman masih duduk terpaku atas tikar macam patung.

Datuk buka baju yang dipakainya. Letak di hujung lutut sebelah kanan dengan ibu jari tangan sebelah kiri datuk tekan tepi baju.

Datuk merenung ke arah tingkap yang terdedah. Dia melihat sinar matahari pagi yang cukup cerah.

Saya terasa pangkal kening sebelah kiri saya gatal. Saya terus menggarunya beberapa kali.

Bila saya selesai menggaru, saya dapati rumah Razman sudah pun ditutup oleh datuk dengan bajunya.

Datuk ambil kembali baju yang menutup muka Razman dengan jari kelingking kiri. Baju itu datuk sarungkan ke tubuhnya kembali.

Saya lihat muka Razman merah, tidak pucat macam orang sakit. Razman mula tersenyum.

Tetapi dia tidak terdaya mahu bangun, macam ada sesuatu benda yang berat melekat dibawah punggungnya.

Mail sudah pun meletakkan sebuyung air di hadapan datuk berserta dengan pucuk pisang nangka dan daun palas ke dalam buyung.

Dan mulut buyung datuk tutup dengan kain pelikat yang selalu di pakai oleh Razman.

Kain pelikat itu terbakar dan mengeluarkan asap nipis. Bila kain pelikat itu menjadi abu, datuk tekankan ke dalam mulut buyung.

Dengan hati-hati datuk goncang buyung, air didalamnya berkocak dan berasap. Datuk terus membaca sesuatu.

Datuk merenung ke arah mangkuk itu dan saya lihat terus jadi retak seribu dan hancur berderai. Serbuk dari mangkuk putih itu datuk ambil dan masukkan ke dalam buyung.

"Rapatlah pada aku dan duduklah di hujung lututku ini, hai anakku”, kata datuk. Razman terus bangun dan duduk di hujung lutut datuk.

"Yang jahat akan pergi dan yang baik tinggal pada kau”, datuk bersuara sambil mengangkat buyung lalu meletakkan ke atas kepala Razman.

Buyung yang tidak bocor itu mengeluarkan air lalu membasahi seluruh tubuh Razman.

Saya lihat Razman mula menggigil kesejukan. Datuk ambil buyung dari atas kepala Razman.

"Buyung dan semua barang-barang yang ada di dalamnya kau hanyutkan ke laut”, kata datuk pada Mail.

"Bila?"

"Hari ini sebelum matahari terbenam.”

"Kalau begitu terpaksa pergi ke Port Weld untuk membuang benda ni”, suara Mail menurun.

Datuk anggukkan kepala. Saya lihat Mail berbisik dengan datuk. Kemudian Mail ambil burung lalu keluar.

Kira-kira sepuluh minit kemudian Mail kembali. Dia tersenyum di ambang pintu. Melangkah dan terus duduk di samping datuk.

"Cepat”, kata datuk.

"Saya suruh adik saya uruskan, secara kebetulan pula dia mahu turun ke laut memancing ikan.”

"Kau percaya dengannya?"

"Percaya. Dia adik saya, banyak menolong saya untuk berusaha mengubat sakit Razman.”

"Tak apalah kalau dah begitu.”

Datuk puas hati dengan keterangan Mail.

Razman sudah tidak menggigil lagi. Datuk suruh Mail menggantikan pakaian Razman. Cepat-cepat Mail bawa Razman ke dalam bilik.

Saya terkejut, bila melihat Razman keluar dari bilik memakai seluar putih, baju baru lengan panjang.

Rambutnya disikat rapi dan ada jambul di bahagian depan, macam jambul seniman P. Ramlee dalam filem Hujan Panas.

Melihat keadaannya itu, saya kira Razman terjumlah dalam kategori anak muda yang kacak juga. Tingginya kira-kira lima kaki, lima inci.

"Siapa yang siapkan dirinya Mail?”

"Emak tirinya.”

"Begitulah, jiwa orang perempuan ni halus. Penuh simpati dan rasa kasih sayang yang tidak mengenal batas sempadan, hanya orang yang nakal saja mengatakan ibu tiri kejam”, ujar datuk lagi.

Razman dan Mail duduk di hadapan datuk. Dengan menggunakan kebijaksanaannya datuk mencungkil rahsia dari Razman.

Apa yang menjadi misteri dalam diri Razman terbuka. Dia memberikan pengakuan yang jujur pada datuk.

Razman terus memberitahu yang dirinya mencintai seorang gadis yang bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya. Dalam perkataan lain, mereka saling cinta mencintai.

Razman pun membuat persiapan dengan mengumpulkan wang untuk meminang gadis tersebut.

Malangnya, orang tua gadis itu tidak merestui cinta mereka dan gadis itu terus ditunangkan dengan seorang pemuda yang menjadi pegawai di­sebuah kilang perusahaan di Kamunting.

Bertolak dari peristiwa yang tidak pernah diduga oleh Razman itu, menyebabkan dia menjadi manusia separuh gila.

Bagi menghilangkan rasa sepinya, dia mula mencari ganja dan terjumpa Din Taiwan.

Din Taiwanlah yang menggalakkan dirinya supaya membalas dendam. Setidak-tidaknya mencederakan muka kekasihnya atau muka tunang kekasihnya.

"Saya terpengaruh dan menuntut ilmu jahat darinya", kata Razman dengan wajah yang tenang.

Mail gelengkan kepalanya. Ada rasa kesal bermain di wajahnya.

"Sepanjang kau terbaring di sini apa yang kamu rasakan?”, tanya datuk.

"Saya sebenarnya tidak sakit. Saya berjalan ke mana-mana. Saya makan dan minum.”

"Itu hanya perasaan yang kau sangka. Kau sudah jauh dikuasai oleh syaitan”, datuk merenung muka Razman.

Mail tunduk merenung lantai. Saya tidak tahu apa yang ada dalam kepala Mail.

Angin yang bertiup diluar masuk ke dalam ruang tempat kami duduk. Razman menguap panjang.

"Mail, dalam hal begini saya tidak salahkan anak awak seratus peratus.

"Awak siang malam duduk di masjid tetapi awak tidak pernah ambil tahu tentang diri anak awak.

"Apakah dia sudah belajar rukun iman, rukun Islam dan sembahyang. Segala-galanya awak serahkan pada dirinya untuk mengetahui semuanya tanpa perhatian dari awak”, ujar datuk.

"Inilah silapnya saya. Saya fikirkan bila dia dah besar dan bekerja dia tahu mencari yang baik.”

"Itu satu pendapat yang silap."

"Saya berjanji hal macam ni tak akan berlaku lagi.”

Datuk senang sekali mendengar janji dari Mail. Kemudian saya dan datuk pergi ke anjung rurnah.

Tidak lama kemudian Razman turut serta. Datuk memberitahu Razman banyak perkara yang harus dilakukan supaya kekuatan semangat dalam diri Razman dapat dipulihkan seperti sediakala.

"Semuanya bergantung pada diri kamu. Sama ada kau setuju atau tidak”, beritahu datuk pada Razman.

Saya lihat datuk lihat Razman termenung panjang. Sebentar dia gigit bibir dan sebentar pula raba pangkal dagu. Dia bagaikan berada dalam keadaan serba salah.

"Kalau boleh saya mahu membebaskan diri dari belenggu syaitan”, Razman bersuara.

"Atas kerelaan hatimu sendiri?"

"Ya. Atas kerelaan saya sendiri.”

Mendengar cakap Razman itu, datuk segera bangun. Dari ruang depan datuk memanggil Mail. Bagaikan kilat Mail datang menemui datuk.

"Biar aku pulihkan semangat anak kamu Mail.”

"Memang itulah yang saya harapkan."

"Aku terpaksa tinggal di sini selama tiga hari.”

"Lebih dari itu pun tak apa”, balas Mail dengan ketawa kecil.

Selama tiga hari tinggal dirumah Mail, datuk menumpukan seluruh perhatian pada diri Razman.

Setiap subuh datuk membangunkan Razman, mengajak sembahyang bersamanya.

Datuk juga memberikan beberapa ayat untuk Razman baca selepas menunaikan sembahyang subuh selama 44 subuh.

Pada setiap petang pula, dari pukul lima ke pukul enam. Datuk mengajak Razman berlari berbatu-batu.

Sepanjang masa berlari itu Razman tidak dibenarkan minum kecuali memakan pucuk jambu batu bila terasa letih.

Pada sebelah malamnya, datuk mengajak Razman membaca Surah Yasin hingga jam dua belas malam.

Kemudian barulah Razman disuruh tidur di anjung rumah tanpa menggunakan bantal dan gebar.

Pukul tiga pagi, datuk akan mengejutkan Razman dari tidurnya dan menyuruh Razman mandi.

Sesudah mandi, Razman disuruh minum air sejuk sebanyak lima gelas besar.

Waktu makan tengah hari Razman hanya dibenarkan makan nasi tujuh suap, minum air setengah cawan dan memakan ulam-ulam yang datuk buat dari dedaun kayu.

Memang, Razman terasa cukup seksa menjalani rawatan yang datuk lakukan.

Bila saya tanyakan pada datuk, kenapa dia lakukan hal seperti itu pada Razman yang baru sembuh dari sakit, datuk menjelaskan tujuan dia berbuat demikian untuk mengembalikan tenaga pada diri Razman di sam­ping menguatkan semangatnya serta memulihkan rasa yakin pada dirinya sendiri.

"Ubat yang aku berikan padanya untuk me­mulihkan perjalanan darah dalam urat-uratnya.

"Dia terlalu lama baring banyak urat-urat sendinya jadi tegang dan kaku”, demikian datuk men­jelaskan pada saya.

Selepas tiga hari Razman mengalami rawatan dari datuk, dia kelihatan segar.

Tidak banyak mengelamun atau mudah terkejut. Dia nampak bertambah yakin pada dirinya sendiri.

Dan dia mula sedar bahawa yang dirinya adalah hamba Allah yang harus ada kekuatan dalam hidup.

Dan sendi kekuatan setiap orang dalam hidup ini ialah berlandaskan pada ajaran agama Islam yang dianutinya.

Bersandarkan pada itu, Razman mera­sakan dirinya berada dalam dunia baru yang serba segar.

Dia merasakan dirinya cukup tenang bila sembahyang. Jiwanya terasa bersih dan murni setiap kali dia membaca Surah Yasin.

Dalam dunia ini dia merasakan tidak ada yang perlu ditakutkan kecuali Allah yang Maha Besar dan Maha Mengetahui.

"Bagaimana kau sekarang?", tanya datuk pada Razman ketika mahu meninggalkan rumahnya.

Razman yang petang itu memakai baju Melayu dan kain pelikat tersenyum.

"Saya rasa diri saya cukup aman, tidak ada rasa takut atau bimbang.”

"Baguslah, jangan lupa sembahyang lima waktu. Jauhkan diri kau dari kerja-kerja yang tidak baik. Berusahalah untuk jadi orang yang berguna pada bangsa dan agama."

"Saya faham. Saya mahu membuat hidup baru."

"Itu yang baiknya”, datuk terus menepuk belakang Razman beberapa kali.

Satu peristiwa yang mengejutkan petang itu ialah bila ayah Razman (Mail) memulangkan Razman pada datuk.

"Saya mahu menyerahkan Razman pada awak, kerana awak dia baik dari sakit dan insaf."

"Jangan kata begitu. Bukan kerana saya dia baik. Semuanya kerana Allah, saya cuma beriktiar”, datuk tepuk meja.

Mail terkejut dan dia mula sedar tentang kesilapan yang dilakukannya.

"Maafkan saya. Saya berhasrat dan memang niat dari mula lagi, kalau sakitnya baik, saya mahu memulangkan pada awak”, sambung Mail teratur tetapi wajahnya nampak pucat sedikit.

Datuk tersenyum.

"Tak apalah, saya terima hajat awak tu, mulai hari ini, Razman jadi anak angkat saya”, cukup gembira datuk berkata.

Datuk lalu mengeluarkan benang hitam dari sakunya. Benang itu di pintalnya menjadi tali yang kecil.

Datuk keluar wang syiling dua puluh sen. Datuk tebuk lubang wang tersebut. Datuk sarungkan benang hitam bersama wang ke leher Razman macam menyarungkan kalung ke leher.

"Inilah tandanya kau jadi anak angkat aku Razman, jangan dicabut kecuali dia putus”, pesan datuk.

"Saya berjanji”, jawab Razman.

Petang itu juga kami meninggalkan Kampung Pinang, pulang ke tempat asal.

Seminggu kemudian Razman menemui datuk menceritakan yang dirinya telah diberhentikan dari Jabatan Ukur.

Razman juga menyatakan yang dia berhasrat untuk menjadi Askar Melayu dan meminta pertolongan dari datuk untuk memenuhi cita-citanya.

Kerana Razman bersungguh mahu menjadi Askar Melayu, datuk pun membawa Razman menemui seorang pegawai Askar Melayu yang tinggal di Kampung Simee, Ipoh.

Pegawai Askar Melayu itu berpangkat Mejar dan berasal dari Negeri Sembilan.

Pegawai itu bernama Abdul Muluk (kalau tak silap) pernah menemui datuk untuk mendapatkan beberapa petua serta amalan untuk pelindung diri ketika berada di hutan memburu pengganas komunis.

Cara kebetulan pula, pegawai itu memang orang yang bertanggung jawab memilih anggota Askar Melayu yang baru.

Syarat yang diperlukan pada setiap orang yang mahu menjadi anggota Askar Melayu ada pada diri Razman.

Mejar Abdul Muluk terus membawa Raz­man menemui pegawai atasnya. Usaha itu berjaya dan Razman pun mengikuti latihan menjadi Askar Melayu.

Malangnya, semasa menjalankan tugas, Razman terkorban apabila ditembak pengganas komunis.

Jenazah Razman pulang ke kampungnya dan datuk turut serta mengebumikan jenazah anak angkatnya.

Sejak kematian anak angkatnya itu, datuk lebih banyak menghabiskan masanya ditanah perkuburan Razman.

Kadang-kadang bila bertemu dengan kawan-kawan rapatnya, datuk melahirkan rasa bangganya atas kematian anak angkatnya yang berjuang mempertahan tanahair dari ancaman pihak komunis.

Pagi itu, matahari bersinar dengan terangnya. Saya sudah mengorek lebih kurang dua puluh lubang untuk menanam anak-anak pisang mas, walaupun hari baru pukul sebelas pagi.

Kerja saya terganggu bila saya terdengar suara datuk memanggil nama saya dari tepi sempadan. Saya berlari ke arah datuk.

Terasa juga penatnya berlari di atas tanah seluas dua ekar itu. Terpaksa berlari-Iari dengan hati-hati, kalau tersepak tunggul getah pasti tersembam ke bumi.

Kalau tidak kena caranya, dahi boleh berdarah. Tanah milik datuk terletak dalam mukim Buruk Bakal.

Jaraknya dari jalanraya Kuala Kangsar-Simpang Tiga, kira-kira satu batu.

Kira-kira setengah batu dari tanah datuk ialah kaki gunung yang bersambung dengan banjaran Titiwangsa.

Menurut kata datuk, banjaran gunung itu memisahkan sempadan Perak dengan negeri Pahang.

"Aku rasa ada orang yang mahu datang ke sini. Kita bersembunyi mana tahu kalau yang datang orang komunis”, kata datuk sambil membawa saya dekatnya.

Datuk ketika itu masih lagi memegang hujung kayu yang dicacakkan ke tanah. Dengan perantaraan kayu yang tercacak itu, datuk dapat mengetahui sama ada manusia atau binatang buas akan datang ke kawasan tanahnya.

"Petuanya mudah saja, kau cari pokok kayu sebesar ibu kaki yang daunnya lebat ke arah matahari terbit dan pucuknya pula menghala ke arah matahari jatuh, kau potong dan tanamkan ke bumi arah mata angin yang datang.

Tanam kira-kira setengah kaki, kau lekapkan telinga kau pada batangnya, nanti kau akan dengar tapak kaki binatang.

Kalau manusia kau akan dengar suaranya”, datuk mencurahkan petua orang tua-tua pada saya.

Tanah milik datuk itu pada mulanya ditanam dengan pokok-pokok getah. Kerana pokok getah sudah tua dan tidak dapat mengeluarkan susu yang banyak, datuk tebang dengan tujuan untuk di tanam pokok pisang.

Peluh terus membasihi badan datuk dengan dan badan saya. Angin yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa panas di badan kami.

"Mari”, kata datuk dan terus menarik tangan saya.

Kami terus bersembunyi di bawah rimbunan pokok serunai laut. Waktu saya mahu bersila di situ, tiba-tiba seekor ular tedung panggukan kepala. Saya jadi cemas.

"Jangan bergerak”, bisik datuk pada saya.

Dan saya lihat datuk mengambil daun serunai laut lalu diramasnya hingga hancur.

Datuk tepuk tanah, serentak dengan itu ular tedung terus meluru ke arahnya.

Cepat-cepat datuk membalingkan daun serunai laut yang diramasnya ke arah ular tedung tersebut.

Ular itu bagaikan terpukau di situ. Datuk terus mengarahkan kedua biji matanya ke mata ular tedung.

Datuk pukau ular tedung yang berbisa itu dengan kuasa matanya dengan badannya di atas tanah.

"Bergerak”, ujar datuk, ular itu bergerak dan terus merebahkan badannya atas tanah.

"Bangun”, perintah datuk.

Ular itu bangun.

"Jangan kacau kami. Kami mahu menumpang sebentar, tidak mahu membinasakan kamu.”

Saya lihat ular itu bagaikan faham dengan apa yang datuk katakan. Datuk menyuruh ular itu pergi ke bawah rimbunan pokok serunai laut.

Ular itu patuh dengan arahan datuk, menyusur perlahan-Iahan arah ke selatan hingga hilang dari pandangan saya dan datuk.

"Meniarap”, kata datuk pada saya.

Saya pun rebahkan badan dan datuk juga berbuat demikian. Saya lihat beberapa ekor semut api dan belalang merayap atas daun serunai laut.

Bunyi deru angin jelas kedengaran bersama dengan bunyi ranting-ranting kering jatuh ke bumi.

Tamat siri 36/284

BACA: SBDJ Siri 35: Mengusung Iblis Tengah Malam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, April 07, 2019

Punca Kegagalan Google+ Sehingga Di Tamatkan Pada 2 April 2019

Punca Kegagalan Google+ Sehingga Di Tamatkan Pada 2 April 2019

Jaringan media sosial adalah salah satu medium perhubungan yang popular kerana ia menempatkan sejumlah pengguna di dalam satu halaman. Pengguna boleh mencari seseorang individu yang berdaftar pada halaman ini, untuk dijadikan sebagai rakan atau individu yang ingin anda ikuti.

Punca Kegagalan Google+

Kebolehan ini telah membenarkan ramai kenalan yang terpisah dipertemukan semula, sekaligus mewujudkan kembali hubungan persahabatan dengan individu tersebut. Ia juga memudahkan anda mengikuti seseorang yang ternama seperti penggiat seni, ahli politik, dan pelbagai individu lain dalam mendapatkan perkembangan terkini daripada mereka.

Perkhidmatan ini mula popular apabila perkhidmatan seperti Friendster dan MySpace wujud pada awal 2000-an. Kedua-dua perkhidmatan ini boleh dikatakan antara yang terawal dalam menawarkan sebuah jaringan sosial yang mudah digunakan oleh pengguna.

Friendster sangat terkenal atas paparannya yang kemas dan ringkas, manakala MySpace membenarkan pengguna mengubah tampilan profil melalui sejumlah fungsi kustomasi yang menarik.

Kedua-duanya aktif digunakan oleh pengguna sekitar 2003-2009, namun menemui era kejatuhan apabila mereka tidak dapat bersaing dengan sejumlah jaringan media sosial yang baru.

Facebook, Twitter, dan Instagram antara contoh laman media sosial yang berjaya pada saat ini. Ketiga-tiga laman ini mempunyai ciri-ciri yang unik dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada pengguna.

Facebook digunakan secara meluas kerana ia adalah sebuah laman media sosial yang menyeluruh, dengan penyertaan sistem pemesejan pantas (IM), fungsi mewujudkan kumpulan dan adanya Facebook Page.

Twitter pula digunakan secara aktif kerana pengguna boleh membuat penghantaran tweet secara pantas di bawah 280 aksara.

Instagram sangat popular kerana ia memfokuskan kepada fungsi perkongsian gambar dan video secara ringkas.

Kenapa Google+ Diwujudkan?

Sebagai sebuah syarikat yang besar, Google juga ingin mengambil peluang ini dalam mewujudkan jaringan media sosial mereka tersendiri.

Sebelum adanya Google+, Google sebenarnya sudah mempunyai jaringan media sosial tersendiri yang dikenali Google Buzz. Ia telah dilancarkan pada tahun 2010 dan akhirnya ditutup pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada Google+.

Perkhidmatan ini membolehkan pengguna berkongsi kemaskini, gambar, dan video melalui bahagian Buzz yang ditempatkan di dalam Gmail.

Google telah melancarkan Google+ secara rasmi pada 28 Jun 2011 dengan ciri-ciri jaringan sosial yang bersifat menyeluruh.

Ketika awal pelancaran Google+, ia dilihat membawa potensi yang cukup besar kerana menawarkan sejumlah fungsi unik kepada pengguna.

Ia mengintegrasikan akaun Google, jadi pengguna tidak perlu mendaftar daripada mula untuk menggunakannya. Pendaftaran akaun Google+ juga kemudiannya diwajibkan pada tahun 2013 ketika ingin membuat komen pada halaman Youtube.

Antara fungsi unik yang hadir pada perkhidmatan ini ialah penyertaan sistem rakan berasaskan Circle. Ia membolehkan anda meletakkan sejumlah rakan-rakan anda pada sesebuah Circle, bagi memudahkan anda mengikuti kumpulan rakan-rakan ini.

Sebagai contoh, anda boleh meletakkan rakan-rakan di tempat kerja anda di dalam Circle “Acquaintance” – termasuk rakan-rakan anda yang kurang rapat.

Sekiranya anda mempunyai sekumpulan rakan-rakan rapat, anda boleh meletakkannya di dalam Circle “Friends” atau “Close Friends”.

Orang yang ditempatkan di dalam sesuatu Circle ini juga tidak akan mengetahui kedudukan mereka, apabila mereka diletakkan di dalam sesebuah Circle.

Google+ turut hadir dengan fungsi Communities bagi membenarkan anda mengikuti sesebuah komuniti. Fungsi ini menyerupai Facebook Group, namun ia lebih menggalakkan diskusi antara pengguna.

Anda boleh mengikuti sejumlah pembangunan produk melalui fungsi ini, selain membolehkan anda menghantar cadangan atau komen mengenai produk tersebut. Sejumlah pembangun aplikasi telah banyak memanfaatkan fungsi ini, terutama ketika aplikasi tersebut masih di dalam pembangunan.

Google+ juga menawarkan integrasi bersama Google Hangouts sebagai alternatif kepada fungsi Facebook Messenger.

Fungsi ini menawarkan fungsi permesejan setempat, dengan membolehkan anda menghantar teks, fail, gambar, dan video.

Anda juga boleh membuat panggilan suara dan video melalui fungsi ini, dengan membenarkan anda menjemput sehingga 25 orang rakan. Ia kerap digunakan ketika membuat video langsung kerana ia boleh di muat-naik terus kepada halaman Youtube.

Apabila pengguna berkongsi sesebuah status, pengguna boleh menekan butang “+1” untuk menyukai status tersebut. Fungsi ini menyerupai fungsi “Like” pada Facebook, namun ia akan dipaparkan dalam bentuk angka.

Apabila sesuatu status disukai oleh 300 orang, “+1” ini akan dipaparkan bersama angka “300”. Status yang dikeluarkan juga boleh dikongsi kepada pengguna lain, melalui fungsi “Sharing” yang dibekalkan.

Pengguna juga boleh memanggil pengguna lain atau mention dengan meletakkan anda meletakkan simbol “+” sebelum nama pengguna.

Punca Kejatuhan

Sehingga 2019, Google+ telah mencapai sekitar 395 juta pengguna aktif secara bulanan. Akaun yang telah berdaftar juga telah mencapai 2 bilion, namun masa penggunaannya berada pada angka yang rendah.

Mengikut jangkaan, pengguna Google+ hanya meluangkan masa hanya sekitar 3.3 minit di laman ini, berbanding 7.5 jam pada halaman Facebook.

Majoriti pengguna Google+ hanya melihat status dan notifikasi secara sekilas pandang, dan tidak lagi meneruskannya kerana tiada perkara menarik pada halaman tersebut.

Fungsi mengelirukan

Salah satu sebab yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan Google+ adalah dari segi fungsi yang sedikit mengelirukan. Sistem perletakkan rakan berasaskan Circle walaupun dilihat berguna, ia sebenarnya telah membuatkan sesetengah pengguna keliru dengan fungsi ini pada mulanya.

Kebanyakan pengguna juga tidak mempunyai masa untuk mengasingkan rakan-rakan mereka di dalam kumpulan tertentu.

Google+ juga menggunakan elemen antaramuka yang berlainan berbanding perkhidmatan media sosial sedia ada. Mereka menggunakan sistem “+1” berbanding simbol yang lebih dikenalpasti oleh pengguna. Simbol seperti “thumbs up” atau “love” lebih membawa maksud suka, berbanding sistem angka berasaskan “+1” ini. Pengguna juga perlu menggunakan simbol “+” berbanding “@” ketika ingin memanggil (mention) pengguna lain.

Pengguna selesa dengan jaringan sosial sedia ada

Dengan populariti Facebook, Twitter, dan Instagram yang semakin meningkat, pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke laman media sosial yang baru.

Bilangan media sosial yang dimiliki pengguna sudah terlalu banyak, jadi mereka ingin mengecilkan jumlah akaun supaya lebih mudah untuk diuruskan.

Fungsi yang terdapat pada media sosial hari ini juga kebanyakannya sudah lengkap, jadi pengguna tidak perlu lagi untuk menggunakan perkhidmatan tambahan.

Memaksa pengguna mengintegrasikan akaun ke Youtube

Ada juga alasan pengguna yang tidak menggunakan Google+ ini kerana ingin menunjukkan rasa tidak puas hati kepada tindakan Google.

Pada tahun 2013, Google telah memaksa pengguna mengaktifkan akaun Google+ apabila ingin membuat komen di Youtube. Perkara ini sekaligus memerlukan akaun Google pengguna ‘dipaksa’ untuk diintegrasikan dengan fungsi Google+.

Walau bagaimanapun, tindakan ini telah diubah pada tahun 2015 setelah menerima komen negatif daripada pengguna.

Tiada arah tuju

Google+ telah melalui pelbagai fasa perubahan sepanjang hayatnya – termasuk dari segi fungsi dan perlaksanaannya. Pada tahun 2014, salah seorang pengasas Google+ iaitu Vic Gundotra telah keluar daripada pembangunan laman ini.

Sejak daripada itu, pengurusan Google+ telah diolah beberapa kali dalam menjadikan perkhidmatan ini lebih relevan kepada pengguna.

Namun disebabkan perubahan ini, beberapa fungsi menarik telah dikeluarkan, seperti kebolehan Google+ Photos dan Games.

Agak mengecewakan, fungsi Hangouts on Air juga telah dikeluarkan daripada Google+ dan dipindahkan ke fungsi YouTube Live.

Pada tahun 2015, Google+ telah difokuskan kepada kandungan berasaskan komuniti kerana ia lebih diguna pakai oleh pengguna di sana. Perkara ini telah membuatkan Google+ ini kelihatan kurang yakin dengan masa depan dan hala tuju perkhidmatan mereka.

Selamat Tinggal Google+

Google telah mengumumkan tarikh 2 April 2019 sebagai tarikh penamatan Google+ ini. Segala kandungan yang telah dikongsikan oleh pengguna hanya boleh dimuat-turun sehingga 31 Mac 2019.

Selepas daripada tarikh ini, segala kandungan di Google+ mungkin tidak lagi dapat diakses – seperti mana perkhidmatan goo.gl yang telah ditamatkan pada Mac lalu.

Seperti kebanyakan syarikat lain, Google juga mempunyai produk yang tidak berjaya. Google+ ini hanyalah dari salah satu contoh daripada sejumlah produk Google yang telah ditamatkan riwayatnya.

Pada tahun 2019 ini sahaja, Google telah menamatkan perkhidmatan Inbox by Gmail, goo.gl, Allo, dan Google+ ini bagi membolehkan mereka memfokuskan kepada pembangunan produk yang lain.

Dengan kegagalan Google+ ini, ia telah menambah sebuah lagi produk untuk ditempatkan di laman Google Cemetery.

Google+ telah berjaya berkhidmat kepada pengguna dalam tempoh tujuh tahun, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011. Ia adalah sebuah laman media sosial yang mempunyai potensi yang besar, namun gagal mendapat sambutan pengguna atas perlaksanaannya yang kurang menyenangkan.

Ia mempunyai fungsi yang sedikit mengelirukan, tiada arah tuju, dan pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke sebuah jaringan sosial yang baru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

4 Pekerjaan Dengan Gaji Lumayan Tanpa Perlu Bekerja

4 Pekerjaan Dengan Gaji Lumayan Tanpa Perlu Bekerja

Pernah tak anda mengimpikan situasi di mana anda dibayar untuk tidak melakukan apa-apa? Daripada anda terperangkap dalam waktu kerja yang membosankan, anda boleh melakukan perkara yang anda suka sepanjang masa.

Kerja gaji lumayan
Gambar hiasan.

Bunyi macam mustahil kan? Namun sebenarnya wujud pekerjaan yang memerlukan anda untuk tidak berbuat apa-apa dan dibayar dengan gaji yang agak lumayan.

Kali ini kami ingin kongsikan 4 pekerjaan dengan gaji lumayan tanpa perlu berbuat apa-apa.

1. Dibayar untuk baring selama berbulan-bulan

Kita semua mempunyai mood dan hari di mana kita berasa begitu malas untuk bangun dari katil kan, tetapi bagaimana jika pekerjaan anda adalah untuk kekal di tempat tidur?

Sebenarnya, terdapat situasi di mana penyelidik membayar orang untuk berbaring di tempat tidur untuk jangka masa yang panjang untuk mengkaji apa yang berlaku kepada tubuh badan mereka.

NASA telah melakukan perkara ini selama beberapa dekad. Ia mungkin bagus pada mulanya dibayar untuk berehat di atas katil, tetapi menurut seseorang yang telah melakukannya, anda akan berhadapan dengan beberapa masalah.

Menjadi sebahagian daripada kajian sedemikian menyekat keupayaan anda untuk mandi, menggunakan bilik mandi, makan, dan melakukan keperluan asas yang lain.

Dan ini tidak bermakna anda hanya berbaring sambil melakukan apa sahaja yang anda mahu sepanjang masa.

Untuk kajian seperti ini, anda perlu mengambil bahagian dalam pelbagai ukuran, bermaksud bahawa kakitangan perubatan akan menusuk anda dengan instrumen secara kerap.

Mungkin ada prosedur yang menyakitkan, seperti kejutan ke otot anda. Jadi terpulanglah kepada anda sama ada anda sanggup menghadapinya.

Perancis merekrut orang untuk program yang sama pada tahun 2017. Para peserta tersebut terpaksa meletakkan sekurang-kurangnya satu bahu bersentuhan dengan katil mereka pada setiap masa selama 60 hari.

Peserta ditawarkan bayaran sekitar RM69,000 untuk kajian ini, bermakna gaji mereka adalah sebanyak RM34,500 sebulan tanpa melakukan apa-apa.

2. Dibayar untuk tidak bergusti

Adalah menjadi perkara biasa bagi para penggusti untuk mengambil cuti sama ada disebabkan oleh kecederaan atau terlalu letih.

Kadang-kala, penggusti-penggusti berprofil tinggi hanya bekerja beberapa hari sahaja dalam setahun, mengehadkan kemunculan mereka dalam hanya pertunjukan berprofil tinggi serta menghabiskan masa mengekalkan bentuk badan yang ideal.

Sebagai contoh, The Undertaker, antara salah seorang penggusti WWE berprofil tinggi, langsung tidak bekerja untuk beberapa bulan atau tahun.

Dalam kes seperti ini, syarikat akan tetap membayar gaji mereka kerana mahu mereka masih kekal dalam syarikat untuk kemunculan di masa depan.

Apa yang tidak biasa adalah kes Lanny Poffo, yang menandatangani kontrak bertahun-tahun dengan World Championship Wrestling (WCW) pada tahun 1990-an.

Lanny adalah seorang ahli gusti yang berbakat yang beraksi di bawah beberapa nama termasuklah "The Genius".

Dia juga merupakan adik kepada "Macho Man" Randy Savage, yang mana membantu Lanny mendapatkan kontrak berkenaan.

Tetapi dari tahun 1995 hingga sekitar tahun 1999, dia tidak pernah beraksi dalam satu perlawanan pun untuk WCW walaupun dibayar dan masih dalam kontrak.

Dalam sebuah wawancara, Lanny mendakwa bahawa dia menjaga tubuh badan dengan baik dan menunggu untuk dipanggil beraksi, namun ia tidak pernah berlaku.

WCW dilaporkan membayar Lanny Poffo sejumlah wang yang besar, untuk tidak pernah tampil di gelanggang.

Satu laporan mendakwa bayaran adalah sebanyak RM600,000 setahun.

3. Dibayar untuk tinggal dalam pengasingan

Pada tahun 1950-an, para penyelidik berminat dengan kesan kebosanan terhadap manusia. Para saintis mencipta eksperimen yang direka untuk mengasingkan orang dan membuat mereka sebosan yang mungkin.

Satu kajian telah diterangkan oleh penyelidik sebagai "terlalu kejam untuk dilakukan terhadap binatang, tetapi tidak terhadap pelajar kolej."

Berita baiknya adalah bahawa para pelajar dibayar 24 jam sehari untuk mengambil bahagian dalam eksperimen ini. Berita buruk adalah kajian yang dilakukan, iaitu pengulangan rutin yang membosankan.

Para peserta diletakkan di katil di ruang kecil yang tertutup. Mereka memakai kacamata khas yang menyekat penglihatan, span di telinga mereka, sarung tangan di tangan mereka dan sarung tangan kadbod pada pergelangan tangan mereka.

Oleh itu, mereka telah kehilangan sebahagian besar daripada pandangan, pendengaran, dan sentuhan mereka.

Sebuah penghawa dingin dipasang untuk menghilangkan bunyi-bunyi lain dan peserta mempunyai mikrofon jika mereka perlu berkomunikasi.

Orang-orang ini dibenarkan keluar untuk menggunakan bilik mandi dan mereka biasanya makan sambil duduk di tepi katil mereka. Selain itu, mereka bersendirian, dengan hanya fikiran mereka menjadi peneman.

Pada mulanya, para peserta melaporkan mereka memikirkan tentang perkara biasa, seperti masalah peribadi mereka dan kajian mereka.

Sesetengah daripada mereka mengira nombor di dalam kepala mereka untuk mengisi masa.

Selepas beberapa ketika, mereka mula fokus pada sesuatu yang khusus dan dilaporkan mempunyai "tempoh kosong" di mana mereka tidak berfikir sama sekali.

Akhirnya, mereka menjadi halusinasi. Halusinasi sering dimulakan dengan cahaya ringkas atau corak geometri sebelum berkembang menjadi fantasi liar.

Seorang daripada mereka menceritakan melihat "perarakan tupai dengan karung di atas bahu mereka."

Dikabarkan, halusinasi ini mula berkembang dengan lebih teruk dan jelas dari masa ke masa sehingga mengganggu tidur.

Seorang peserta melaporkan bahawa "sesuatu seolah-olah menghisap fikiran saya melalui mata saya".

Para peserta ini dibayar RM80 setiap hari bersamaan dengan sekitar RM780 hari ini. Mereka dibenarkan tinggal di situ selagi mana mereka suka dan mampu.

4. Dibayar untuk tidur atau berjaga

Penyelidik sentiasa mencari orang untuk mengambil bahagian dalam kajian tidur berbayar.

Anda dibayar untuk tidur sambil diperhatikan oleh penyelidik sama ada secara langsung atau melalui peranti pemantauan badan.

Sekolah Perubatan Harvard mempunyai laman web di mana mereka menyenaraikan kajian tidur yang mereka rekrut.

Walaupun terdapat perkara tertentu yang perlu dimiliki oleh peserta, seperti jenis bentuk badan atau penyakit tertentu, namun yang lain hanya mahukan anda seorang yang mahu tidur dan wang.

Sebagai contoh, seorang wanita mengambil bahagian dalam penyelidikan tidur dan memperoleh sekitar RM50,000 untuk 11 malam "bekerja".

Pada tahun 2017, dia menulis tentang pengalamannya dan melaporkan bahawa beberapa elemen pelik dalam kajian tersebut termasuklah ujian perubatan sebelum, semasa dan selepas tidur.

Pada satu ketika, dia menjalani terapi intravena, dipasangkan elektrod pada kepalanya serta termometer dimasukkan ke dalam duburnya.

Bercakap tentang perkara-perkara yang tidak selesa, anda mungkin dikehendaki untuk mengekalkan postur tidur tertentu atau berdengkur dengan cara yang anda tidak biasa.

Jadi, mungkin anda perlu berlatih tidur sebelum anda mendaftar tetapi berhati-hati apa yang anda daftar untuk!

Ia mungkin memberikan pulangan lumayan, tetapi pastikan anda membaca deskripsi tentang apa yang sebenarnya anda lakukan.

Sebagai contoh, para penyelidik juga menggunakan kajian ini untuk mempelajari masalah kekurangan tidur.

Satu kajian melihatkan peserta menghabiskan 20 hari dengan jadual tidur yang diubah suai di mana mereka hanya dibenarkan untuk tidur kurang daripada 5 jam pada satu masa.

Selepas eksperimen, individu-individu ini juga dibayar untuk lima "hari pemulihan" di mana mereka dibenarkan untuk tidur sehingga 10 jam setiap malam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 35: Mengusung Iblis Tengah Malam

SBDJ Siri 35: Mengusung Iblis Tengah Malam

Subuh itu, sesudah menunaikan sembahyang subuh dan mandi air embun, datuk terus mendukung Razman ke bawah pokok asam kumbang. Kaki Razman diikat dengan tali sabut ke sebatang anak pokok. Datuk membiarkan sinar matahari pagi yang cemerlang menikam kulit badan Razman.

Siri SBDJ 15

"Mail, biarlah aku dengan di temani oleh Tamar selesaikan kerja ni. Kau tak usah tengok, nanti kau takut.

"Aku minta kau pergi ke masjid dan baca Al-Quran disamping berdoa pada Allah supaya sakit anak kau sembuh.”

"Baiklah, tapi awak tak minum lagi?"

"Aku terpaksa berpuasa waktu menjalankan kerja ini. Tamar juga begitu.”

"Pelik juga sakit anak saya ni.”

"Inilah dunia. Banyak manusia jadi korban syaitan dan iblis semata-mata kerana nafsu jahat. Anak kau salah seorang daripadanya.”

Saya lihat mulut Mail yang berbadan melengkung itu terlopong. Tanpa banyak bicara dia meninggalkan kami.

Datuk sudah pun mengenakan pakaian serba hitam. Dia duduk bersila tidak jauh dari tempat Razman terbaring.

Datuk minta saya menumpahkan darah ayam dalam cawan di hujung lututnya. Saya lakukan. Datuk pun mula bertafakur. Matanya terpejam rapat.

Kedua belah tangannya memeluk dada erat-erat. Matahari pagi memancar dengan cantik sekali.

Tiba-tiba Razman mengeliat macam orang baru bangun tidur. Dia tersenyum dan duduk bersila macam datuk.

Datuk petik ibu jari kaki kiri tiga kali berturut-turut. Saya terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran dan Surah An-Nisa’. ltu pesan datuk yang saya mesti patuhi.

Tiba-tiba dari tompokan darah ayam di hujung lutut datuk menjelma seekor ayam jantan putih. Terus berkokok dengan nyaring. Ayam jantan itu segera menuju kepada Razman.

Dan Razman membelai-belai badan ayam sambil memerintahkan ayam jantan itu berjalan kesana sini. Apa yang dikatakan oleh Razman, diikuti oleh ayam itu.

Datuk meluruskan tangan kirinya ke depan. Manakala tapak tangan kanannya melurut lengan kirinya dari pangkal hingga ke hujung perlahan-lahan.

Bila urutan itu sampai ke hujung jari, ayam jantan yang mengikut perintah Razman hilang.

Razman melompat-Iompat dan menjerit. Dia marah kerana datuk menghilangkan ayam jantan putihnya.

Mujurlah tali sabut yang mengikat kakinya kuat. Ikatan yang datuk lakukan ini bukan sebarang ikatan.

Ikat bersyarat dan berpetua. Kalau tidak pasti putus, kerana tenaga Razman ketika itu cukup luar biasa.

Semua anak-anak pokok getah, halba dan pokok janggut keli sekitarnya dicabut dengan mudah.

Perkara yang nyata memang ada perlawanan kebatinan antara datuk dengan kuasa tertentu yang melindungi Razman.

Buktinya, muka datuk berpeluh. Urat-urat tangannya timbul, kedua belah bahunya bergerak macam menarik sesuatu dari direbut oleh pihak lain. Akhirnya Razman lemah sendiri. Terbaring atas tanah.

Datuk bertafakur lagi. Dalam sinar matahari yang mula keras itu, tiba-tiba menjelma bapa kambing hitam meluru ke arah Razman.

Kambing jantan mencium dahi Razman dan Razman pun bangun lalu menepuk-nepuk belakang kambing hitam. Melihat keadaan yang ganjil itu, datuk jadi resah.

Datuk menggenggam kedua belah tangannya dan dilapis dua. Genggam tangan kiri sebelah atas, genggam tangan kanan sebelah bawah, macam budak-budak main tum tum bak. Dia rapatkan mata. Dia bangun perlahan-lahan dan berdiri sebelah kaki.

Kaki kanannya dibengkokkan. Bila kaki kanannya diluruskan dan dihentakkan ke bumi sekuat hati, kambing jantan yang menjelma secara tiba-tiba mengembik sekuat hati, macam kena curahan air panas dan terus hilang.

Razman rebah kembali. Matahari kian meninggi. Datuk merenung ke perdu pokok asam kumbang yang berdaun lebat.

Badan saya mula berpeluh terutama di pangkal kedua belah ketiak. Perut mula terasa dimasuki angin, akibatnya saya sendawa bertalu-talu.

Panas pagi itu memang lain macam rasanya, kulit muka terasa cukup pedih.

Datuk mengalih pandangannya dari perdu pokok asam kumbang ke arah rumpun lalang di sebelah barat daya secara perlahan-Iahan.

Tapak tangan kirinya menekan pangkal dada kiri dan melurut ke bawah perlahan-Iahan. Bila pandangannya sampai kepada matlamat, tangan kirinya lurus ke bawah.

Tetapi, jari telunjuknya menekan pangkal belikat. Mulutnya saya lihat bergerak-gerak, macam membaca sesuatu. Lama juga datuk merenung perdu lalang yang tumbuh liar itu.

"Kita bawa Razman segera balik”, kata datuk.

Bila datuk memegang pangkal tangannya, Razman segera menggelupur, menendang dan menumbuk datuk.

Datuk menepis dengan cepat, tetapi ten­dangan Razman dari sebelah kiri tidak dapat dielakkan.

Datuk tersungkur. Mukanya tersembam ke bumi. Saya lihat kekuatan Razman memang luar biasa. Pergerakannya cukup tangkas macam orang si­hat.

Razman mula menerkam dan mahu memijak belakang datuk. Cepat-cepat datuk melarikan badannya ke kiri hingga keluar dari bawah bayang-bayang pohon asam kumbang.

Razman tidak dapat melepasi bayang-bayang pokok asam kumbang. Bila dia terkeluar dari kawasan bayang-bayang itu tenaganya jadi lemah. Datuk menyedari tentang hal itu.

"Carikan aku batang tepus”, pekik datuk pada saya.

Saya toleh ke kiri, toleh ke kanan. Batang tepus tidak juga saya nampak.

"Cari sebelah matahari jatuh. Tak jauh dari pokok talang”, suara datuk cukup lantang.

Perintahnya saya akur. Memang betul cakap datuk. Batang tepus saya temui berdekatan dengan pokok talang berbatang licin.

Saya cabut sebatang dan berlari ke arah datuk lalu menyerahkan batang itu padanya. Datuk mara lalu memukul bertalu-talu pada badan Razman.

Saya lihat Razman menjerit dan terlompat-Iompat bila batang tepus menjamah tubuhnya.

Akhirnya, datuk hentak pangkal sikunya dengan sekuat hati ke pangkal bahu Razman.

Razman melayang rebah ke bumi. Saya kira tulang bahunya pasti patah dua. Razman tergolek macam ayam kena langgar lori tentera.

Datuk gosok bahagian bahu Razman yang dihentak dengan pangkal sikunya. Kemudian datuk gerakkan tangan Razman berkali-kali.

Urut lagi dua kali dan gerakkan ke kiri dan ke kanan. Datuk tepuk bumi dan dada Razman. Saya lihat Razman bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk menghampiri saya.

"Tangannya yang patah sudah aku betulkan atas izin Allah. Sekarang kita bawa dia pulang”, kata datuk.

Dia pun memikul batang tubuh Razman. Saya mengekor dari belakang dan saya terasa macam ada bayang-bayang orang memburu saya.

Rumput kiri kanan saya lihat macam dipijak orang dalam sinar matahari yang keras. Anehnya, saya tidak nampak apa-apa.

Tiba-tiba saya rasa bahu kanan bagaikan ditampar orang. Pedihnya bukan kepalang.

Saya terus melangkah, peluh terus meleleh di dahi dan mengalir ke pangkal dagu.

Kulit muka terasa pedih dan gatal-gatal. Dalam hati saya terus membaca Surah An-Nas dengan tenang. Gangguan itu tidak berlaku lagi pada diri saya.

Bila sampai di rumah, datuk pun meletakkan Razman di tempatnya. Saya lihat jam di dinding rumah sudah pukul sebelas pagi.

Dari tingkap rumah Mail, saya melihat kemuncak Bukit Larut yang berkabus tebal. Datuk bersandar pada tiang seri.

Lima belas minit kemudian Mail pun pulang. Tidak banyak yang ditanya oleh Mail terhadap kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk.

Mail terus masuk ke biliknya untuk menghisap rokok. Dia tahu datuk berpuasa hari itu.

Mail tahu, tidak manis menghisap atau makan di depan orang yang berpuasa. Mail keluar, duduk bersila di depan datuk.

Datuk masih lagi termenung panjang. Perhatiannya tidak tertumpu apa yang berlaku di depannya. Datuk bagaikan berada di dunia lain.

Saya tahu bagaimana mahu menyedarkan datuk supaya kembali dalam keadaan biasa.

Saya pun melipat bucu tikar mengkuang dan menindihnya dengan lutut. Saya gigit kuku jari kanan sekuat hati sambil pura-pura batuk.

Apa yang saya lakukan berhasil menyedarkan datuk. Petua yang saya jalankan itu saya peroleh dari datuk juga.

Harus digunakan dalam keadaan yang tertentu mengikut hari dan bulan Islam di samping memperhitungkan masa.

"Mail”, datuk bersuara sambil merenung wajah Mail.

“Ada tak kejadian-kejadian aneh berlaku di pokok asam kumbang tempat anak kau suka pergi tu?", tambah datuk.

Mail luruskan kaki kanan. Datuk tarik nafas panjang. Mata saya terus merenung apa yang ada dalam ruang rumah.

Rasa panas bertambah kurang kerana angin yang bertiup di luar masuk ke ruang rumah menerusi tingkap dan pintu yang terdedah.

"Ada”, jawab Mail.

"Apa dia?"

"Di bawah pokok asam kumbang itu dulu tempat orang mati bertembak."

"Siapa menembaknya Mail?"

"Penjahat itu berbalas tembak dengan pihak polis.”

"Siapa namanya Mail?"

"Din Taiwan.”

"Waktu matinya petang atau tengah malam?"

"Tengahari, kata orang waktu rembang lebih kurang pukul dua belas tengahari.”

Datuk menggigit lidah mendengar keterangan dari Mail itu.

Dan Mail memberitahu datuk bahawa Din Taiwan masa hidupnya memang terkenal sebagai kaki rompak yang handal.

Namanya amat ditakuti oleh penduduk sekitar Daerah Larut. Sikapnya tidak ubah macam kata orang tua-tua, beraja di mata, bersultan di hati.

"Kaki botol, kaki rogol. Dia memang pelesit”, keluh Mail.

Datuk tersenyum. Saya memperkemaskan sila. Mail merenung wajah datuk yang kelihatan tenang.

Perut saya mula terasa pedih dan lapar. Bau sambal tumis petai membuat saya bertambah lapar lagi.

Dalam kepala saya membayangkan betapa enaknya keluarga Mail makan tengahari nanti. Kalaulah saya tidak berpuasa, dua pinggan nasi tentu habis saya telan.

"Kata orang dia banyak ilmu”, tambah Mail.

"Ilmu untuk dunia tanpa ilmu akhirat selalunya membuat manusia sesat.”

"Betul. Cuma yang anehnya bila dia dibawa ke hospital dan pada sebelah petangnya saya pergi ke tempat itu, saya lihat kesan-kesan darah Din Taiwan di tanah hilang, macam ada orang yang mengambilnya.”

Datuk terkejut mendengar cerita dari Mail. Muka Mail saya renung. Datuk bangun, berdiri di muka tingkap merenung ke luar.

Dia tidak berkata walau sepatah pun. Datuk macam memikirkan se­suatu. Datuk terus melangkah ke anjung rumah dan tidur.

Datuk bangun bila waktu Zuhur tiba dan terus sembahyang. Sementara menanti masuk waktu Asar, datuk terus membaca Al-Quran.

Lepas sembahyang Asar datuk dan saya pergi lagi ke bawah pokok asam kumbang.

Dalam jarak dua puluh kaki dari pokok itu, datuk membentangkan sehelai kain pelikat dan kami duduk di atasnya. Matahari sudah condong, sinarnya tidak sekeras tadi.

"Jangan tegur apa yang kau lihat”, bisik datuk kepada saya sambil menyelitkan sehelai daun lalang ke telinga kiri saya.

Datuk juga menyelitkan daun lalang ke telinganya. Saya terasa keadaan keliling telalu sepi. Dunia bagaikan tidak ada penghuninya.

"Tumpukan seluruh pancaindera kamu Tamar pada alam lain”, saya terdengar sayup-sayup suara datuk.

Dan saya terasa badan bagaikan berada diawang-awangan sebentar. Hujung baju datuk saya pegang erat-erat.

"Buka mata kamu Tamar”, datuk memerintah.

Cakapnya saya patuhi. Mata saya tertumpu pada pangkal pokok asam kumbang. Saya terlihat seorang lelaki jatuh berlumuran darah.

Lelaki itu hilang dan saya lihat batang tubuh datuk terbongkok-bongkok mengambil tanah yang ada kesan darah dari lelaki itu. Datuk juga turut hilang.

Dalam keadaan separuh sedar itu, saya terasa peha saya ditampar oleh datuk. Saya toleh ke arahnya.

Datuk tersenyum dan daun lalang yang berada di celah telinga saya sudah pun berada di tangan datuk.

"Sekarang saya sudah tahu puncanya dan dengan izin Allah sakit Razman boleh diubati tetapi dia harus memulangkan barang yang diambilnya kepada orang yang berhak”, beritahu datuk pada saya.

Matahari kian condong. Datuk masih lagi belum mahu bergerak dari tempat duduknya.

Dia memberitahu saya, bahawa saya dan dirinya harus berada di situ hingga remang-remang senja. Menurut datuk diri saya dan dirinya tidak dapat dilihat oleh sesiapa.

Bagi datuk duduk di situ tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ada saja kerja yang di buatnya.

Mulutnya sentiasa terkumat-kamit dan anggota badannya yang lain juga selalu bergerak-gerak.

Bila hari sudah remang-remang senja, datuk pun menghentakkan kakinya ke bumi. Seluruh kawasan itu berbau harum.

Saya terpandang bayang orang perempuan yang tidak begitu jelas duduk bersimpuh di hadapan datuk.

Tetapi melihat gaya perempauan itu duduk dan cara dia bertudung, saya yakin perempuan itu ada­lah isteri muda datuk iaitu, orang bunian.

Perempuan itu bercakap dengan datuk. Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa yang diperkatakan oleh datuk dengan perempuan itu.

Dengan sekelip mata perempuan itu hilang. Bekas tempat perempuan itu duduk terdapat tiga longgok tanah yang berdarah.

Datuk terus berpeluk tubuh. Matanya merenung lurus ke depan. Dia menarik nafas.

Datuk hulurkan kaki kiri ke arah ketiga-tiga longgok tanah yang berdarah. Bila kakinya dilipatkan kembali seperti asal, saya lihat dari tanah longgok pertama keluar ayam jantan putih.

Dari longgok kedua keluar kambing dan dari longgok ketiga terdampar mayat lelaki.

Kerana longgok tanah yang berdarah sederet, semua jenis makhluk yang keluar darinya beratur sederet.

Remang-remang senja bertambah hitam. Angin mula menampar-nampar dedaun asam kumbang.

Bunyi desiran angin itu cukup kuat bersama titik gerimis yang sambung menyambung. Saya terasa cukup seram.

Ada bermacam-macam bunyi yang saya dengar. Ada suara orang minta tolong. Ada suara ayam berkokok, ada suara kambing mengembik.

Akhir sekali saya terdengar suara orang lelaki memuja sesuatu, suara itu macam suara Razman.

Datuk menamparkan tapak tangan kanan ke tapak tangan kiri, serentak dengan itu, saya lihat batang tubuh Razman berdiri bagaikan bayang-bayang dalam warna senja yang kian beransur gelap.

Ketiga-tiga makhluk yang terdampar di hadapan datuk bergerak dan menuju ke arah Razman lalu hilang meresap ke dalam tubuhnya.

Bayang-bayang Razman hilang lalu diganti dengan suara perempuan mengilai di atas pucuk pokok asam kumbang.

Suara perempuan mengilai itu cukup nyaring dan akhirnya, pokok asam kumbang bergegar macam di goncang oleh sesuatu.

Buah-buah asam kumbang yang muda berguguran atas bumi Suasana menjadi seram. Angin terus bertiup dan suara gagak mula kedengaran.

Macam-macam lembaga yang amat menakutkan wujud di hadapan saya dan datuk. Tetapi datuk tidak menampakkan rasa takut atau bimbang.

Dia bagaikan yakin apa yang dikerjakannya akan berjaya. Datuk terus membaca Surah Al-Kursi dengan tenang dan teratur.

Bila semuanya sudah selesai dibaca, datuk bangun lalu menghentakkan tumit kaki kirinya ke bumi. Semua yang ada dihadapan hilang terus.

"Syaitan”, kata datuk lalu mengajak saya pulang.

Dalam perjalanan pulang itu datuk memberitahu saya, bahawa Razman telah memuja darah orang mati dibunuh untuk sesuatu maksud yang jahat.

Tetapi dia tidak dapat menunaikan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan untuk dilaksanakannya.

Akibatnya dia jatuh sakit dan ilmu salah yang dituntutnya itu memakan dirinya sendiri.

Razman menguji ilmunya dengan darah ayam dan kambing. Ternyata ilmunya itu berjaya.

Ayam dan kambing jelmaan yang didampingi oleh syaitan akan mengikut semua perintahnya.

Kemudian Razman mengambil darah orang mati di bunuh di bawah pokok asam kumbang.

Darah orang mati di bunuh itu dipuja dengan menggunakan beberapa kelengkapan tertentu di bawah pokok tersebut.

"Darah orang mati dibunuh tu dipuja waktu bunga senja”, ujar datuk pada saya dengan tenang.

Saya anggukan kepala dalam langkah senja yang kian gelap. Tetapi langit kelihatan bersih dan cerah.

"Darah tu dipuja tujuh Jumaat. Orang yang melakukan pemujaan tu bersemadi menghadap arah matahari naik dan arah angin tanpa memakai pakaian kecuali cawat untuk menutup bahagian kemaluan”, beritahu datuk lagi.

Saya mula berasa cemas tidak tentu pasal. Langkah saya percepatkan. Datuk terus juga bercakap menerangkan apa yang dia tahu pada saya.

Datuk yakin yang Razaman berguru pada orang yang tahu tentang kerja-kerja maksiat ini. Dan orang tempat dia berguru itu belajar separuh jalan saja.

"Sayang, orang tempat dia berguru itu hanya mencari yang jahat untuk tujuan yang jahat”, keluh datuk.

"Maksud datuk?", saya memontong cakapnya.

"Dia menuntut untuk niat jahat, bagi merosakkan sesama manusia. Kerana itu dia tidak menuntut bagaimana mahu menghancurkan perbuatan sendiri”, jelas datuk lagi.

Saya diam dan tidak mahu menyoal datuk lagi. Akhirnya, kami sampai ke kaki tangga rumah Mail.

Ketika datuk selesai membasuh kaki dan memijak anak tangga pertama, suara Azan mula kedengaran.

Saya cukup gembira kerana tempoh menahan lapar dan dahaga sudah berakhir.

Bila berada dalam rumah hati saya bertambah lapang. Sudah ada makanan yang tersedia untuk saya dan datuk.

Mail lalu mempersilakan kami menjamah hidangan. Datuk hanya minum segelas air sejuk dan sebiji pisang. Lepas itu dia terus sembahyang.

Saya juga berbuat demikian dengan harapan selesai datuk sembahyang, dia akan makan kembali.

Harapan saya tidak dipenuhi. Lepas sembahyang datuk terus berwirid panjang dan membaca Surah Yasin tujuh kali hingga masuk ke waktu Isyak.

Bila datuk selesai sembahyang Isyak barulah dia menghadapi hidangan.

Datuk cuma makan tujuh jemput nasi dan minum separuh air sejuk. Tetapi, saya terus makan dengan semahu-mahunya.

Datuk tidak menegur perbuatan saya itu. Kerana saya makan terlalu banyak, saya merasa agak sukar mahu bernafas dan bergerak.

Saya tersandar di dinding dan perut kelihatan agak buncit, macam perut bantal. Datuk menghampiri saya.

"Makan terlalu berlebihan tidak elok. Makan cara itu berkawan dengan iblis kerana terlalu mengikut nafsu”, bisik datuk ke telinga saya.

Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya cuma tersenyum sinis.

"Cuba jangan malukan aku”, tambahnya.

Datuk terus menuju ke tempat Razman. Datuk duduk bersimpuh di hadapan Razman. Datuk serkup muka Razman dengan kain hitam.

Dengan hati-hati datuk menekan buku lali kaki Razman sebelah kiri. Badan Razman bergerak dan datuk memanggil Mail supaya duduk dekatnya. Mail datang.

Datuk mengeluarkan sebatang rotan seni dari bawah pahanya. Saya tidak tahu dari mana datuk memperolehi rotan tersebut.

Datuk urut batang rotan itu tujuh kali ke atas dan tujuh kali ke bawah. Razman secara mendadak bangun dan datuk dengan cepatnya pula meletakkan hujung rotan itu ke atas kain hitam.

Saya lihat Razman tidak mampu bangun. Hujung rotan itu bagaikan ada batu besar yang tidak terdaya ditolak oleh Razman, sedangkan datuk memegang pangkal rotan itu dengan dua jari saja.

Dalam sekelip mata saja warna rotan bertukar menjadi hitam. Muka datuk berpeluh. Datuk tarik rotan itu dan letakkan kembali d bawah pehanya.

"Anak kamu Mail sudah teruk benar. Susah nak menghilangkan ilmu yang sudah sebati satu badan."

"Saya minta tolong ikhtiarkan. Dialah satu-satunya anak jantan saya.”

"Saya boleh cuba.”

Muka Mail kelihatan tenang mendengar janji datuk itu. Datuk meninggalkan Razman di tempatnya.

Datuk ajak Mail pergi ke anjung rumah. Mereka duduk di situ. Saya malas mahu mengikut mereka. Saya rasa lebih selesa duduk bersandar di dinding.

Saya terus terlelap dan terjaga bila terasa bahu sebelah kanan ditendang orang. Saya buka mata, saya lihat ada lelaki berbaju dan berseluar hitam berdiri di hujung kaki Razman.

Dada saya berdebar, bila saya lihat Razman duduk bersila macam orang sihat dan lelaki yang berdiri itu terus sujud di kaki Razman.

"Sudah kau jalankan perintah aku?", saya terdengar suara Razman.

"Belum”, jawab lelaki itu tunduk.

"Kenapa kau tak ikut perintah aku?"

"Upahnya belum saya dapat.”

"Kerana itu kau seksa aku begini?”

"Bila saya dapat minum darah perempuan beranak sulung malam Jumaat, semuanya akan selesai, saya tidak akan menghisap darah awak lagi.”

"Aku dalam bahaya. Ada orang yang mahu memisahkan kau dengan aku. Tahu?"

"Darah dan roh awak sudah sebati dengan saya. Awak yang memuja saya, tidak ada orang yang boleh menewaskan saya. Saya dahaga, saya mahu minum.”

Sebaik saja lelaki itu berhenti bercakap, saya lihat dia memegang pergelangan kaki kanan Razman. Dia terus menggigit ibu jari kaki Razman.

Suara Razman bergema menguasai ruang rumah sambil melompat. Datuk segera datang kepada Razman, batang tubuh lelaki itu hilang.

Cuma yang kelihatan kepulan asap nipis masuk ke lubang hidung Razman bila dia menarik nafas. Semua yang saya lihat, saya ceritakan pada datuk.

Tanpa membuang masa lagi datuk pun membuka bajunya lalu diserkupkan ke bahagian dada Razman.

Muka Razman datuk serkup dengan kain merah. Rotan seni datuk letakkan melintang di atas dada Razman.

"Biarkan barang-barang itu di situ. Kau tunggu di sini, kalau ada apa-apa beritahu aku di anjung”, datuk meninggalkan satu pesan yang amat berat buat saya.

Sebelum datuk beredar dia menyuruh saya membaca Surah Al-ikhlas seberapa banyak yang boleh hingga saya terlelap.

Mail masuk ke dalam bilik tidur. Selama berada di rumahnya saya cukup sukar mahu melihat wajah isterinya.

Suara isterinya juga jarang kedengaran memarahi anak-anaknya yang nakal.

Saya terlelap dan datuk tidur di anjung rumah. Lebih kurang pukul tiga pagi, saya tersedar dari tidur. Saya lihat datuk sedang melakukan sembahyang Tahajud.

Kemudian dia melakukan pula sembahyang Istikharah. Datuk tidur kembali.

Saya merasa senang hati kerana tidak ada kejadian aneh yang berlaku di hadapan saya. Dengan dada yang lapang saya menyambung kembali tidur yang terputus.

Setelah menunaikan sembahyang subuh bersama datuk dan Mail, saya terus berubah tempat. Duduk di anjung rumah dekat kepala lutut datuk yang sedang membaca Surah Yasin.

"Aku rasa dengan izin Allah aku dapat melawan perbuatan jahat itu. Aku mesti menjalankannya dengan sebaik-baiknya.

"Niat aku bukan apa-apa, aku mahu mengembalikan budak itu ke jalan benar”, demikan datuk memberitahu saya.

Datuk juga sudah menyiapkan beberapa rancangan yang akan dilakukannya selepas dia mandi embun.

Ketika matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, datuk sudah pun selesai mandi embun.

Dia kembali mengadap Razman, semua perkakas yang di letakkan atas tubuh Razman diambilnya.

Datuk meneliti rotan seni yang panjang dua kaki itu dengan rapi sekali. Tidak ada sebarang perubahan pada rotan tersebut.

Datuk ambil air dari tempayan dapur lalu membasuh muka Razman.

"Razman bangun nak, bangun", suara datuk tenang di hadapan saya dan Mail.

Rotan seni di tangan terus datuk bengkokkan. Bila rotan itu diluruskan Razman pun bangun dan duduk, macam orang sihat dan terus minta makanan.

Datuk berbisik dengan Mail. Dua tiga kali Mail anggukkan kepala, kemudian terus ke bahagian dapur.

Mail datang kembali membawa secawan kopi dan dua ketul lepat pisang. Barang-barang itu datuk ambil. Air kopi datuk campurkan dengan air dari tempayan.

Lepat pisang datuk tikam dengan hujung rotan. Kemudian barang-barang itu datuk serahkan pada Razman.

Bila Razman mahu menghirup air kopi, cawan yang dipegangnya pecah. Bila dia mahu makan lepat pisang, lepat pisang itu terbang macam ada orang yang menyentapnya. Datuk terus bertafakur.

Tanpa saya duga secara mendadak Razman bangun dan menendang ke arah badan datuk.

Dua tiga kali dia menendang tetapi badan datuk tidak bergerak. Datuk membengkokkan jari telunjuknya. Razman rebah.

Datuk saya lihat menginsut ke depan lalu membaca Surah Yasin dengan nyaring. Bacaan itu diikuti oleh Razman, tetapi, bila sampai pada ayat-ayat terakhir, suara Razman tidak kedengaran.

Razman terus rebah. Datuk bangun dan membiarkan Razman terkapar di situ. Datuk lalu minta Mail mengorek lubang separas dada dekat pokok asam kumbang.

Permintaan itu dilaksanakan oleh Mail. Bila lubang itu sudah dikorek, datuk terus masuk ke dalamnya. Dia minta Mail pulang ke rumah.

Tinggallah saya dengan datuk dan datuk minta saya menimbus separuh badannya dengan tanah.

Datuk minta saya mencarikan beberapa helai daun lalang kering. Daun lalang kering yang sudah saya peroleh itu, saya letakkan di hadapannya.

Kerana pancaran matahari cukup terik membuat separuh badan datuk yang tidak ditimbus oleh tanah berpeluh.

"Bakar lalang tu”, perintah datuk.

Saya terus patuh. Bila api membakar lalang kering, saya terasa cukup panas. Angin yang bertiup membawa lalang yang terbakar ke arah datuk.

Dalam sekelip mata saja saya tidak dapat melihat separuh daripada badan datuk, hilang dalam kemarakan api.

Saya lihat rambut dan muka datuk terbakar. Saya kira ini satu kerja gila.

Kenapa datuk mesti melakukan kerja yang tidak akan dilakukan oleh manusia yang berfikiran waras? Apakah datuk juga mendampingi dirinya dengan syaitan?

Ini kerja mengarut, fikir saya sam­bil menutup kedua belah mata dengan tapak ta­ngan. Tidak sanggup saya melihat datuk dalam keadaan demikian.

"Aku tidak berdampingan dengan syaitan Tamar, apa yang aku lakukan ini adalah sebahagian dari kerja aku yang aku warisi dari guruku yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

"Ini sebenarnya sebahagian dari ujian dan ketahanan diri, demi keyakinan aku yang bersandarkan pada kuasa Allah”, tiba-tiba saya mendengar suara datuk.

Dia berdiri di kanan saya. Baju dan anggota badannya tidak pun rosak.

Paling melucukan datuk sendiri melihat tempat dia kena timbus tadi penuh dengan api.

Datuk meminta saya menyimpan rahsia aneh itu dari pengetahuan Mail dan orang lain. Segala apa yang terjadi tadi adalah untuk diri saya dan dirinya saja.

Kami kembali ke rumah Mail. Datuk membuat beberapa persiapan terakhir. Dia mencari sendiri beberapa jenis akar kayu, daun dan beberapa ketul batu hitam yang diambil dari bekas lombong.

Semua barang-barang itu datuk kumpulkan dalam kain hitamnya. Dari waktu Zuhur membawa ke waktu Isyak datuk terus membaca Al-Quran. Dia berhenti bila sampai waktu sembahyang.

Walau macam mana susahnya, datuk tetap meneruskan puasanya. Dia berbuka puasa dengan segelas air saja. Dan saya juga diperintahkan mengikut apa yang dilakukannya.

Kerana saya suka dengan tugas datuk yang mencabar itu, pahit maung dan susah saya harungi dengan harapan perkara-perkara aneh itu akan menjadi khazanah pengalaman yang berharga pada diri saya.

Lebih kurang pukul dua pagi, datuk dan saya memikul batang tubuh Razman keluar dari rumah tanpa diketahui oleh keluarga Razman.

Tempat yang kami tuju ialah ke perdu pokok asam kumbang. Datuk masukkan separuh badan Razman ke dalam lubang tempat datuk membakar diri pada sebelah siang tadi.

Badan Razman kami timbus dengan tanah. Datuk pun membakar semua barang-barang yang dibungkusnya dalam kain hitam.

Api menyala dengan garangnya, memakan barang-barang itu. Api menjulang ke atas, macam disimbah dengan minyak petrol.

Razman menjerit dengan sekuat hati. Datuk memadamkan api itu dengan sekali hembus.

Bila api padam, semua barang-barang dalam kain hitam tidak terjejas. Datuk mengambil seketul batu hitam lalu ditanamkan ke dalam tanah dengan ibu jari kakinya.

Dalam masa itu juga bermacam binatang buas muncul di hadapan datuk dan saya.

Ada harimau, ada ular dan macam-macam lagi. Semua binatang buas itu hilang bila datuk menepuk tangannya.

Akhirnya, muncul seorang lelaki dari sebelah kiri Razman, bentuknya macam bayang-bayang lalu bersatu dengan diri Razman.

Dengan menggunakan jari kaki juga, datuk cungkil batu hitam yang tertanam. Batu itu datuk ambil lalu digenggamnya erat-erat.

Dari celah-celah lurah jarinya keluar asap. Datuk buka tangannya sebentar. Batu hitam sudah menjadi bara yang merah saga. Datuk genggam kembali. Datuk mencampakkan kain hitamnya pada saya.

"Bakar”, katanya.

Saya pun bakar kain hitam. Cahaya api dari kain hitam itu menerangi seluruh kawasan yang gelap.

Sebenarnya kain hitam tidak terbakar, sekadar mengeluarkan cahaya seperti lilin yang terbakar.

Saya lihat muka datuk bersih benar malam itu. Dia duduk bersimpuh merenung muka Razman.

"Kau siapa?", tanya datuk.

"Din Taiwan.”

"Kenapa kau mengacau orang lain?”

"Dia memuja aku untuk tujuan tertentu.”

"Sebab?"

"Dia suruh aku bawa gadis bernama Mariam padanya.”

"Sudah kau buat?”

"Belum lagi.”

"Sebab?"

"Dia belum beri aku darah perempuan beranak sulung.”

Percakapan yang terjadi antara datuk dengan Razman berhenti. Datuk lalu melontar dua urat akar kayu ke arah Razman.

Razman menjerit dan meminta datuk jangan mengulangi perbuatannya itu.

Datuk setuju dengan syarat Razman harus bercerita asal-usulnya. Permintaan itu dipersetujui oleh Razman.

Sebenarnya bukan Razman yang bercakap ketika itu, orang yang dilawan oleh datuk bercakap itu ialah Din Taiwan.

Tamat siri 35/284

BACA: SBDJ Siri 34: Berjanji Dengan Syaitan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 06, 2019

Kenapa Biasanya Lelaki Yang Hilang Dalam Hutan, Bukan Perempuan?

Kenapa Biasanya Lelaki Yang Hilang Dalam Hutan, Bukan Perempuan?

Apa sebenarnya dunia alam bunian? Kenapa dalam setiap kehilangan di dalam hutan, di saat operasi mencari sudah dilakukan tetapi tidak ditemui dan akhirnya kehilangan sebegini dikaitkan dengan alam bunian. Kenapa misteri sebegini timbul?

Misteri ACAP Hilang

Tidak merujuk kepada kes Acap semata-mata tetapi kes kehilangan Azarul Mukhriz yang hilang di Bukit Broga antara buktinya, perempuan jarang menjadi pilihan kerana jin-jin ini kurang tertarik dengan wanita kerana jin-jin betina jauh lebih cantik berbanding manusia biasa.

Namun, puteri-puteri diraja pula biasanya amat tertarik dengan manusia terutama lelaki yang mereka anggap sangat luar biasa. Tak hairanlah kita kerap mendengar banyak lelaki yang hilang di hutan berbanding perempuan.

Jin ini juga biasanya amat menyukai kanak-kanak yang belum baligh atau belum disunatkan kerana pada pandangan mereka, “usia ini belum kotor”. Sama juga bayi dalam kandungan turut menjadi pilihan jin-jin ini.

Ciri-ciri lelaki yang sepertimana biasanya menjadi pilihan untuk 'dijemput' masuk ke Alam Bunian?

Dunia bunian dipenuhi dengan segala bentuk kemewahan. Biasanya bagi jin Islam, kehidupan mereka jauh lebih zuhud dan tidak memandang kebendaan seperti emas, wang ringgit seperti mana kehidupan manusia yang memandang kebendaan sebagai faktor utama.

Biasanya lelaki yang menjadi pilihan orang bunian, adalah lelaki yang baik-baik terutama hati budinya. Lelaki ini biasanya golongan yang sangat rapat dengan emak mereka, hati lurus, amat baik ilmu agamanya untuk dijadikan sebagai pasangan hidup atau berkahwin dengan mereka di alam bunian.

Biasanya inilah ciri-ciri lelaki yang mereka mahukan dan sebab itulah juga lelaki selalu menjadi pilihan untuk dipilih berbanding perempuan.

Bagaimana pula untuk mengenal pasti pintu masuk ke Alam Bunian ini?

Tentu ramai nak tahukan sama ada tempat kita hiking atau masuk ke hutan itu pintu masuk ke alam bunian atau bukan!

Biasanya apabila masuk ke hutan dan tiba-tiba kita ternampak buluh kuning, sila jauhi perkara tersebut kerana itu pintu masuk ke alam bunian.

Begitu juga kalau terjumpa pokok besar tetapi halaman bawahnya cukup bersih, seolah-olah disapu dan dijaga, elakkan juga berehat di pokok tersebut.

Jika digunung pula, elak melalui lereng-lereng bukit berbatu-batu besar kerana itu juga petanda pintu masuk ke alam bunian.

Sebab itulah apabila kita memasuki satu kawasan yang baru pertama kali kita pergi, jangan sesekali bercakap besar ketika memasuki hutan kerana golongan jin ini amat tidak suka dengan mereka yang bongkak dalam berkata-kata!

Kisah Azarul Mukhriz dijemput ke alam bunian ketika hilang di Bukit Broga

Azarul Mukhriz kahwin Bunian

"Azarul cerita, dia berada di alam lain ketika hilang" kata En. Roslie rakan yang tinggal bersama duduk di dalam wad Hospital Kajang.

Berikut adalah antara cerita-cerita menarik yang dilalui oleh Azarul Mukhriz, yang hilang suatu ketika dahulu ketika mendaki Bukit Broga.

Di sana, saya dijaga oleh penduduk yang kebanyakannya berpakaian serba putih. Dalam banyak-banyak orang di situ, saya cuma nampak ada dua orang perempuan sahaja. Cantik! Sangat cantik. "Bagaikan bidadari" katanya lagi.

Tak tahu nak digambarkan macam mana. Lebih cantik dari artis-artis korea yang saya minati malah jauh lebih cantik dari Malaysia First Lady.

Salah seorang dari perempuan cantik tu mengajak saya kahwin. Tapi banyak pula syaratnya. Pada permulaan, seronoklah juga saya tiba-tiba rezeki datang bergolek macam tu. Tengok-tengok, dia tak bagi saya pulang jumpa ibu dan bapa saya. Apa ke gila tak bagi jumpa ibu dan bapa? Ibu saya lahirkan saya kot," tokok tambah penulis.

Kata perempuan cantik itu, kalau saya pulang berjumpa ibu dan bapa saya, saya akan jadi gila secara tiba-tiba. Ada juga saya terfikir, kalau saya pulang berjumpa abang saya sahaja tanpa berjumpa mak dan ayah, adakah terbatal terma dan syarat bunian tersebut? Tapi saya tidak suarakan soalan saya kepada mereka. Paling pelik sekali, wanita cantik itu kata kalau saya langgar syarat, dia akan jadi cacat.

Saya tak pasti nak tergelak ataupun tidak. Tetapi itulah hakikatnya. "Saya yang langgar syarat, dia pula jadi cacat. Kui kui kui," gelak penulis menggambarkan situasi berada di tempat Azarul Mukhriz.

Setiap hari wanita cantik itu ajak Azarul kahwin. Tetapi Azarul tetap menolak. Sampai hari ke tujuh pun masih diajak-ajak lagi. Hal ini tidak dipastikan samada Azarul sudah berpunya atau belum. Ada netizen menyuarakan pendapatnya, "Oh mungkin Azarul sudah ada teman wanita agaknya. Kasihan wanita bunian itu."

Selepas bosan mengajak Azarul berkahwin, pada hari ketujuh Azarul dilepaskan. Dia pun pulang ke alam realiti. Katanya lagi, kalau saya tak pulang masa tu, maknanya saya memang jadi penduduk tetap sanalah.

Azarul juga ada menceritakan bahawa penduduk di sana tidak bekerjaya. Mereka solat seperti kita. Cuma disana manusia dilarang berak (buang air besar) merata-rata. Buang air kencing tidak mengapa.

Pelik juga mereka. Tapi mereka bagus sebab mereka asyik beribadat sahaja. Tidak seperti kita yang terkejar-kejar dunia.

Sebenarnya, sebelum mendaki Bukit Broga, Azarul Mukhriz ternampak sosok budak kecil memanggil-manggilnya dan menunjukkan arah jalan. Budak kecil itu memberikan pilihan samada ke jalan kanan ataupun jalan kiri. Azarul memilih jalan kiri.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Siapa Yang Mencipta Pencungkil Gigi?

Siapa Yang Mencipta Pencungkil Gigi?

Ranting, rumput, buluh dan duri landak adalah beberapa alat paling awal digunakan untuk membersihkan gigi terutamanya selepas makan, sementara emas, perak dan gading dikatakan menjadi pilihan golongan diraja.

Sejarah Pencungkil Gigi

Pencungkil gigi juga dipanggil tusuk gigi san fungsinya ialah untuk membersihkan cebisan makanan yang terlekat di antara gigi kita. Ia berperanan sama seperti benang flos cuma bezanya, ia dibuat daripada bahan kayu atau plastik.

Pencipta Pertama

Charles Forster, daripada Boston, adalah orang pertama yang membuat pencungkil gigi kayu buatan tangan di AS.

Menjelang tahun 1860, beliau menghasilkannya di Strong, Maine, dengan menggunakan mesin untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Pekan ini akhirnya dikenali sebagai pusat pencungkil gigi dunia, tetapi pada tahun 2003 Forster Manufacturing berhenti menghasilkan pencungkil gigi.

Mesin pembuat pencungkil gigi pertama kali dikembangkan pada tahun 1869 oleh Alessandro Franco, kemudian mesin serupa juga dipatenkan pada tahun 1872 oleh Silas Noble dan J.P. Cooley.

Walaupun pencungkil gigi telah berubah, etika pencungkil gigi tetap sama sejak abad ke-17: mencungkil gigi semasa makan atau di khalayak ramai dianggap tidak sopan, begitu juga meletakkan pencungkil gigi di belakang telinga atau membiarkannya tersangkut keluar daripada mulut anda.

Sejarah Pencungkil Gigi

Pencungkil gigi sebenarnya sudah lama diperkenalkan kepada masyarakat awam dan mula digunakan 200 atau 300 tahun yang laIu.

Dalam beberapa budaya kuno prasejarah, pemberian cungkil gigi mempunyai erti yang amat tinggi nilainya. Ia menggambarkan kasih sayang si pemberi kepada penerima.

Pencungkil gigi dalam masyarakat di zaman itu juga boleh merupakan sebahagian daripada "mas kahwin" untuk majlis perkahwinan.

Dalam budaya kaum Romania dan Greek pula, pencungkil gigi menunjukkan darjat dan kedudukan seorang pengguna. Lebih tinggi kedudukan seseorang, lebih biasalah ia akan menggunakan pencungkil gigi ini.

Pencungkil gigi juga tidak dibuat daripada kayu sahaja tetapi boleh juga daripada belalai gajah ataupun logam mahal.

Pencungkil gigi juga pernah dihubung kaitkan dengan kepercayaan agama.

Agama Hebrew menggalakkan penganutnya menggunakan pencungkil gigi pada majlis makan hari rayanya.

Agama Hindu pula menganggap penggunaan pencungkil gigi daripada dahan sejenis pokok buah "fig" untuk membersihkan gigi adalah amalan yang terpuji.

Kemasyhuran pencungkil gigi juga banyak dikaitkan dengan dunia kesusasteraan.

Penyair terkenal di negara Persia, Omar Khayyam, sebelum meninggal dunia melakukan tiga perkara penting.

Salah satu ialah membersihkan mulutnya dengan pencungkil gigi sebelum menghembuskan nafasnya.

Di zaman moden ini, pencungkil gigi selalu disediakan di restoran makan. Ia dibuat daripada kayu dan boleh berbentuk leper macam papan atau bulat.

Ia mesti digunakan dengan betul jika tidak, boleh mengakibatkan gusi yang terdapat di antara dua gigi tertekan ke bawah sehingga membentuk lubang.

Ini lebih berbahaya kerana lebih banyak dan lama cebisan makanan tertinggal di situ, akibatnya ia akan menjadi tumpukan bahan makanan bakteria mulut yang banyak.

Ini akan menyebabkan asid lebih banyak terbentuk. Akibatnya gigi lebih cepat reput.

Jika tidak begitu pandai menggunakannya, minta ibu atau ayah tolong atau adik boleh membeli pencungkil gigi yang berbentuk berus gigi segi tiga kecil yang dibuat daripada bahan nilon.

Berus kecil ini lebih terkawal. Ia tidak hanya membersihkan celah-celah gigi tetapi juga mengurut gusi kita.

Legenda Pencungkil Gigi

Pencungkil gigi telah ada sebelum kedatangan manusia moden. Tengkorak gigi manusia Neanderthal dan Homo Sapiens telah menunjukkan bukti-bukti penggunaan alat untuk mencungkil gigi. Ini adalah alat tertua untuk membersihkan gigi.

Cara membersihkan gigi dengan betul

Cara yang sesuai untuk mengeluarkan sisa makanan dari gigi anda adalah dengan menggunakan floss.

Floss sekali sehari juga menghilangkan plak berbahaya yang tersembunyi pada sisi gigi. Selain memberus gigi dengan menyeluruh, floss sangat penting dalam membantu mencegah kerosakan gigi, penyakit gusi dan nafas berbau.

Sesiapa yang mempunyai artritis atau kesukaran mengendalikan floss di sekitar mulut boleh membeli floss dengan pemegang.

Bergantung pada keperluan khusus seseorang, seorang doktor gigi mungkin mencadangkan alat khas seperti spiral brush (terutama mereka yang mempunyai fixed bridges) atau water flosser (floss air), alat floss gigi di rumah yang menggunakan aliran air yang disasarkan untuk mengeluarkan plak dan sisa makanan di antara gigi.

Jangan Guna Jika Tak Mahu Gigi Rosak

Apabila makanan tersangkut pada mulut, anda mungkin berasa lebih mudah menggunakan pencungkil gigi untuk mengeluarkan sisa makanan tersebut.

Sama ada sisa jagung, daging mahupun roti, mencungkil keluar makanan tersekat mungkin dilihat sebagai penyelesaian cepat bagi masalah yang membuatkan anda tidak selesa, bahkan memalukan ini.

Namun ini bukanlah penyelesaian yang terbaik. Tanya sahaja kepada doktor gigi, pasti mereka tidak akan menyarankan anda menggunakan pencungkil gigi.

Mengapa makanan boleh tersekat

Sesetengah makanan, seperti biji-bijian kecil pada roti boleh terperangkap pada gigi sesiapa sahaja, tetapi jika anda sering mengalami makanan tersekat di antara gigi anda, mungkin terdapat sebab lain.

Contohnya, tampalan gigi mungkin rosak atau tidak betul, menyebabkan makanan tersekat.

Gigi juga boleh beralih dan membentuk ruang sempurna yang memerangkap sisa makanan yang besar. Kemungkinan-kemungkinan ini perlu diambil kira untuk dirujuk kepada doktor gigi.

Mengapa pencungkil gigi tidak elok?

Menurut Academy of General Dentistry, menggunakan pencungkil gigi adalah baik jika tiada pilihan lain dan jika anda berhati-hati.

Tetapi doktor gigi tidak mengesyorkannya untuk kegunaan harian. Mengapa? Kayu ini boleh terpatah dan tercucuk masuk dalam tisu gusi.

Apabila tisu gusi tertembus, bakteria boleh masuk dan menyebabkan jangkitan.

Sekiranya anda adalah seorang pengguna tegar pencungkil gigi, doktor gigi anda mungkin akan mendapati beberapa kerosakan pada gusi semasa pemeriksaan gigi.

Walaupun kayu kecil ini tidak elok untuk kesihatan mulut anda, ia mempunyai fungsi-fungsi lain seperti menguji kek dan membersihkan papan kekunci.

Yang penting, cuba jauhkan ia daripada mulut anda!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2