Wednesday, March 27, 2019

Wang Kertas RM60 Dan RM600 Baharu Sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Wang Kertas RM60 Dan RM600 Baharu Sempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Wang kertas RM600 dan RM60 baharu yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia adalah bagi memperingati Ulang Tahun ke-60 upacara menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Wang kertas peringatan ini merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan Majlis (kemudiannya dikenali sebagai Persidangan) Raja-Raja yang merintis jalan ke arah merealisasikan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Perjanjian bertarikh 5 Ogos 1957 yang mengisytiharkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara pihak Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-raja Melayu dari Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu dengan Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, yang mewakili Queen Elizabeth II.

Perjanjian ini menjadi bukti perlembagaan yang bersejarah bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

RM60

Spesifikasi RM60 RM600

Wang kertas sekeping RM60 tidak akan menggantikan wang kertas RM50 kerana ia hanya dikeluarkan dalam kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 60,000 keping sahaja.

Wang kertas RM60 ini adalah seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember 2017 lalu untuk mengeluarkan wang kertas peringatan bersempena Ulang Tahun ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Wang kertas sekeping RM60 sah digunakan (legal tender) tetapi lebih baik sekiranya ia disimpan mungkin kerana nilainya akan menjadi lebih tinggi di masa hadapan.

RM600

Spesifikasi RM60 RM600

Dimensi wang kertas RM600 secara rasminya adalah 22 cm X 37 cm (8.6 in X 14.5 in) dan hanya 6,000 keping sahaja yang dikeluarkan oleh BNM.

Wang Kertas RM600 Malaysia secara rasminya adalah pemegang rekod Guinness untuk Wang Kertas Terbesar di Dunia pada 27 Disember 2017 dan saiznya direkodkan oleh Buku Guinness sebesar 814 cm² atau 126.17 in².

Jika melihat kepada sejarah jualan lelongan wang kertas BNM yang di adakan pada 10 Mac 2018, harga lelongan tertinggi adalah pada harga RM78,000 untuk wang kertas RM600 bernombor prefix MRR0000088.

Namun, itu bukanlah ukuran sebenar untuk wang kertas yang dilelong oleh Heritage Auction kerana nombor yang ada hanyalah nombor biasa.

Cuma, set wang kertas tersebut mendapat gred Gem Uncirculated 70 EPQ* daripada Paper Money Grading (PMG), gred tertinggi untuk wang kertas.

SPESIFIKASI WANG KERTAS PERINGATAN INI:

1. Wang Kertas Sekeping RM600

Nilai muka wang kertas bersaiz besar ini ialah RM600 dan harga jualannya RM1,700 sekeping dan sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

2. Wang Kertas Bercantum 3 dalam 1 RM60

Nilai muka wang kertas bercantum ini ialah RM180 dan harga jualannya RM500 sekeping dan sebanyak 6,000 keping sahaja dicetak.

3. Wang Kertas Sekeping RM60

Nilai muka wang kertas sekeping ini ialah RM60 dan harga jualannya RM120 sekeping dan hanya sebanyak 60,000 keping sahaja dicetak.

Butiran terperinci berkenaan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan utama:

Spesifikasi RM60 RM600

REKA BENTUK WANG KERTAS

Reka bentuk wang kertas peringatan ini berdasarkan tema “Raja Payung Kedaulatan Negara”.

Wang kertas peringatan ini adalah yang pertama dicetak oleh Bank Negara Malaysia menggunakan bahan substrat komposit, iaitu gabungan substrat polimer dan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih panjang.

Wang kertas peringatan ini dicetak lebih besar, mengikut nilai muka wang tersebut.

Reka Bentuk Hadapan

Singgahsana di-Raja dikelilingi potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang bertakhta dari tahun 1957 sehingga kini tertera pada bahagian tengah wang kertas, melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

Reka bentuk hadapan diilhamkan daripada lambang bulan sabit dan bintang pecah 14 Persekutuan yang tersemat pada Tengkolok Diraja.

Reka Bentuk Belakang

Reka bentuk bahagian belakang wang kertas peringatan ini memaparkan potret sembilan Raja-raja Melayu yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

Kesemua wang kertas peringatan ini dihiasi dengan gambar tokoh-tokoh dan ciri-ciri penting yang berkaitan dengan kemerdekaan.

Pada bahagian kanan wang kertas ini terdapat bayangan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan arkitek Kemerdekaan Tanah Melayu dan Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Terdapat empat mercu tanda penting yang dicetak pada latar belakang wang kertas ini: Istana Negara, Perdana Putra, bangunan Parlimen dan Istana Kehakiman, yang masing-masing mencerminkan empat tonggak negara: Institusi Pemerintahan Beraja, Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.

Reka bentuk terperinci wang kertas peringatan ini:

Spesifikasi RM60 RM600

Bagi memastikan peluang yang sama rata untuk semua orang membeli wang kertas edisi terhad ini, pembelian akan dihadkan (setiap pembeli boleh membeli sekeping wang kertas RM600, satu set wang kertas bercantum 3 dalam 1 RM60 dan lima keping wang kertas RM60).

Untuk memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan secara dalam talian mulai 5 Januari 2018 yang lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wilbur Ross, Bilionaire Palsu Yang Tersenarai Dalam Forbes

Wilbur Ross, Bilionaire Palsu Yang Tersenarai Dalam Forbes

Ramai orang menjalani dua kehidupan berbeza, mungkin pada siangnya mereka bekerja sebagai seorang akauntan manakala pada malam hari mereka berubah menjadi pemuzik jalanan atau mereka mungkin boleh hidup penuh kecurangan dan mempunyai beberapa pasangan kekasih pada satu-satu masa tanpa diketahui.

Wilbur Ross Big Liar
Wilbur Ross.

Sama ada secara rahsia atau terang-terangan, ada pelbagai cara seseorang boleh mendakwa diri mereka menjadi sesuatu yang tidak benar.

Tapi jarang sekali kita dengar orang yang berpura-pura menjadi seorang jutawan. Sememangnya ramai orang menjadi jutawan dalam diam, tapi jutawan palsu? Kamonlah.

Apa yang lebih menarik, jutawan palsu ini sebenarnya kini seolah-olah telah menjadi suatu trend. Semuanya bermula dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Wilbur Ross.

Memang mudah untuk mengaku diri anda jutawan jika anda mengenali orang kenamaan, mempunyai pekerjaan atau jawatan tertentu, membawa kereta mewah dan memperolehi pendapatan 6 atau 7 angka.

Namun, perlu anda ingat, bila anda mengaku diri anda terlalu kaya, orang ramai juga akan mula mengorek maklumat kewangan dan aset anda. Forbes selaku badan berkuasa yang menyenaraikan kesemua hartawan terkaya di dunia sebelum ini telah menyenaraikan Ross sebagai salah seorang terkaya di dunia.

Selama bertahun-tahun Ross menjadi orang kaya dan mengaku dirinya seorang billionaire, namun akhirnya rahsia Ross terbongkar.

Bagaimana Wilbur Ross memperbodohkan semua orang?

Keseluruhan akaun boleh didapati daripada Forbes. Ross telah didapati mempunyai aset bernilai $2 bilion lebih banyak daripada sepatutnya. Ini disebabkan jumlah itu dimiliki pelabur lain dan dia hanya menguruskan dana tersebut sahaja.

Dia tidak memperbetulkan laporan Forbes dan teruja membohongi semua orang tentang nilai bersih hartanya.

Berkali-kali Ross berulang-alik berjumpa dengan wakil Forbes namun dia tetap tidak memberitahu perkara sebenar. Pernah sekali Forbes menyenaraikan harta bersihnya pada $3.1 bilion dan Ross sanggup berdebat mengatakan nilai itu adalah terlalu rendah.

Bagaimana rahsia Wilbur Ross terbongkar?

Selama bertahun-tahun Ross mengisytiharkan dirinya sebagai orang kaya dan bangga disenaraikan oleh Forbes namun, semuanya terbongkar apabila dia perlu mengisi satu borang pendedahan awam sebelum bertugas di bawah pentadbiran Donald Trump.

Seperti yang dijangkakan, jumlah $2 bilion itu tidak disenaraikan di dalam borang tersebut. Ia terus menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

Apabila Forbes membuat siasatan, Ross berkata dia telah memasukkan jumlah tersebut ke dalam akaun amanah milik keluarga dan enggan memberikan sebarang dokumen atas alasan "isu kepercayaan". Dari situlah semua orang mendapat tahu yang dia sebenarnya bukanlah billionaire seperti yang didakwa.

Kisah penipuan Ross adalah agak aneh. Namun, ia bukanlah kes berprofil tinggi pertama yang mengaku diri sebagai orang terkaya. Bos Ross, iaitu Presiden Donald Trump sendiri sering menjadi bahan penelitian masyarakat.

Dalam borang pendedahan awam Donald Trump, dia mengatakan nilai hartanya adalah sebanyak $10 bilion namun jumlah itu berubah-ubah mengikut 'angin'nya.

Sementara itu, Forbes meletakkan nilai bersih hartanya sekitar $3 bilion. Jadi, berapakah sebenarnya nilai harta Donald Trump? Sukar untuk dipastikan kerana ketiadaan pulangan cukai.

Tidak dinafikan sememangnya semua orang tahu Donald Trump seorang yang amat kaya. Tetapi persoalannya, berapa kayakah dia?

Menurut seorang wartawan, Timothy O'Brien, yang pernah melihat dokumen pulangan cukai Trump (sebelum disaman malu olehnya), ia sebenarnya mungkin bernilai sekitar $150 hingga $250 juta sahaja.

Mengapa perlu menipu dan berlagak kaya?

Wilbur Ross Forbes

Ada orang yang sangat suka berlakon seolah-olah mereka adalah jutawan paling kaya, namun ada juga orang yang benar-benar jutawan tetapi mengamalkan bersikap sederhana. Kita ambil satu contoh, Warren Buffet.

Jika dilihat senarai Forbes (ketika artikel ini ditulis), Warren Buffet merupakan orang ketiga terkaya di dunia selepas Jeff Bezos dan Bill Gates. Dengan nilai harta sebanyak $91.3 bilion, beliau masih hidup dalam kesederhanaan.

Walaupun memiliki banyak rumah, kediaman utamanya terletak di Omaha, Nebraska - bukan di kawasan elit seperti 5th Avenue, New York ataupun Beverly Hills. Beliau juga memandu kereta yang biasa-biasa sahaja.

Pendek kata, jika tidak mengenalinya, kita tak akan menyangka yang beliau sebenarnya adalah antara manusia terkaya dalam dunia.

Tidak perlu jadi munafik

Adakah apa-apa pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah Ross, Trump dan Buffet ini? Mungkin ya. Anda boleh membohongi semua orang dan mendakwa diri anda jauh lebih kaya daripada realiti - jika anda mahu.

Jika anda rasa ia adalah sesuatu yang dibanggakan dan membuatkan orang lebih hormat serta memandang tinggi pada anda, terpulang atau anda boleh memilih untuk menjadi seperti Warren Buffet.

Paling baik sekiranya anda sentiasa mengukur baju di badan, tidak perlu terlalu taksub untuk 'up' diri sendiri. Semuanya bergantung kepada imej yang anda ingin sampaikan dan berbalik semula kepada matlamat hidup anda.

Apa-apa pun beringatlah, orang yang sentiasa hidup dalam kepura-puraan dan bergelumang dengan penipuan ini hidupnya tidak akan diredhai Allah.

Berhentilah menjadi fake dan hipokrit. Biar kita miskin harta, asalkan jiwa dan rohani kita tetap kaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, March 26, 2019

SBDJ Siri 29: Dikacau Penunggu Kolam

SBDJ Siri 29: Dikacau Penunggu Kolam

Apa yang dikatakan oleh imam berjubah hijau itu dilaksanakan oleh janda Omari dengan sempurna. Datuk tidak banyak campur tangan dalam urusan tersebut, kecuali menemani janda Omari pergi ke kubur selama lapan pagi berturut-turut.

Siri SBDJ 15

Masuk hari yang ke empat belas, suara tangisan dari kubur sudah tidak kedengaran lagi. Dan janda Omari pun menyatakan hasratnya pada datuk untuk pulang ke Pontian.

"Tangguhkanlah dulu”, kata Omari pada jandanya.

"Kenapa?"

"Lepas mengadakan kenduri kesyukuran malam jumaat ini, kau pulanglah. Aku minta pada kau demi kasih sayang kita pada anak", Omari menyatakan hasratnya.

Janda Omari termenung. Dalam hati dia membilang hari. Dia menggigit bibir.

Kalau dia memenuhi permintaan Omari bererti dia terpaksa bermalam lagi di Kampung Jorak Ilahi.

"Hari ini suami saya datang mengambil saya, tak dapat menunaikan hajat baik tu”, jawab janda Omari.

Datuk merenung muka Omari yang dijamah sinar matahari pagi.

"Bila suami awak datang?", datuk menyoal perempuan yang berwajah lembut.

Kedua-dua belah kelopak matanya agak hitam kerana kurang tidur dan terlalu banyak menangis mengenangkan perbuatan bekas suaminya.

"Tengahari ini”, jawabnya pendek.

"Hari ini hari Khamis. Dia tidak marah kalau kau tidur semalam lagi di sini”, celah datuk.

Perempuan yang berwajah lembut menyimpan seribu penderitaan itu merenung wajah datuk.

Dalam sinaran mata yang redup itu tersembunyi seribu ketegasan diri yang tidak boleh diubah oleh sesiapa pun. Begitulah firasat datuk bila melihat bola mata perempuan itu.

"Saya boleh menunaikan permintaan itu kalau mendapat izin dari suami saya.

"Tugas isteri membuat apa yang disukai oleh suami dan menjauhkan sebarang perbuatan yang tidak disukainya. Inilah ibarat saya untuk suami saya”, ujar perempuan itu dengan tenang.

Datuk tesenyum dalam hal ini ternyata datuk kalah. Datuk boleh berhadapan dengan syaitan dengan gagah dan berani tetapi, datuk terpaksa tunduk dengan perempuan yang kuat iman dan mengikut perintah Allah.

"Itulah yang baiknya, memang yang baik itu untuk Allah dan yang jahat untuk syaitan dan nafsu”, suara datuk lemah.

Kemudian datuk dan Omari turun ke tanah. Perempuan berwajah lembut duduk dimuka pintu menanti kedatangan suaminya.

Lepas kurang pukul sebelas pagi, suaminya datang dengan sebuah teksi. Datuk segera menemui suami perempuan itu. Bercakap sesuatu dengannya.

"Tak jadi halangan kalau untuk kebaikan”, balas suami perempuan itu.

Dengan tenang suami perempuan itu membayar tambang teksi dan meminta teksi itu datang menjemputnya selepas sembahyang Jumaat pada hari esoknya.

Malam itu, kenduri kesyukuran pun diadakan. Sebelum majlis dijalankan, datuk bercakap dengan Omari sebentar.

Tanpa memberitahu saya datuk pun menghilangkan diri. Bila tetamu sudah penuh di anjung, datuk secara mendadak saja tersembul dalam barisan orang kampung bersama seorang lelaki berjubah hijau.

Lelaki itu saya lihat tidak banyak cakap. Dia hanya bersalam saja dengan orang yang datang. Kemudian duduk tunduk membilang tasbih.

Atas permintaan datuk, orang yang berjubah hijau membacakan doa. Bila orang ramai menjamah hidangan, orang berjubah hijau tidak menjamahnya. Dia terus membilang tasbih.

Bila semua orang selesai makan dan minta diri untuk pulang, orang berjubah hijau terus bangun dan dan berjabat salam.

Tidak ada orang yang berani bertanya tentang dirinya sama ada pada datuk atau pada Omari. Mulut orang ramai bagaikan terkunci.

Akhirnya, tinggallah saya, datuk, Omari dan jandanya bersama suami dalam rumah itu merenung ke arah lelaki berjubah hijau.

"Bertaqwalah kamu semua pada Allah, dan Allah akan memberikan kamu semua pengetahuan dan petunjuk yang baik”, ujar orang yang berjubah hijau itu.

Kemudian dia bagaikan kilat hilang dari dari pengelihatan kami. Kerana semuanya sudah selesai, datuk dan saya meninggalkan Kampung Jorak Ilahi.

Datuk menolak pemberian Omari seperti kelapa, pisang dan wang sebanyak lima puluh ringgit.

"Saya tidak hidup atas ini. Saya buat kerana Allah semata-mata. Bersyukurlah pada Allah atas limpahan kurniaNya yang kita terima”, kata datuk.

"Tapi ini pesan anak saudara saya. Lagipun di sini perkara bagi duit pada orang yang berjaya macam awak ni sudah jadi perkara biasa."

"Saya bukan orangnya. Sedekahlah pada anak-anak yatim."

"Maafkan saya”, ujar Omari.

Dalam perjalanan pulang itu, datuk tiba-tiba teringatkan anak saudaranya itu. Anehnya, bila saya mencadangkan padanya supaya pergi ke sekolah tempat anak saudaranya mengajar datuk menolak.

"Jangan kacau dia bekerja mencari rezeki”, kata datuk.

"Habis bagaimana kita mahu mencarinya tok?"

“Ikhtiar dengan bertanya pada orang."

Tidak kuasa saya melawan cakap datuk. Setelah puas bertanya ke sana ke mari, akhirnya datuk dapat juga tahu lokasi rumah anak saudaranya itu.

Tidak lama saya dan datuk menginap di rumah anak saudaranya itu, tetapi membekalkan saya satu pengalaman yang aneh.

Sepupu saya itu Yusuf namanya. Menyewa sebuah rumah yang berhampiran dengan tanah kubur.

Menurut Yusuf tempat dia tinggal itu dipanggil Kampung Bagam (beberapa tahun yang lalu waktu saya pergi ke Singapura, kawasan di situ sudah banyak berubah.

Sudah ada kedai perabot kepunyaan orang Melayu bertingkat- tingkat tingginya. Sudah ada tempat menjual minyak petrol.

Lebih kurang pukul dua belas malam, saya terdengar pintu rumah Yusuf di ketuk orang bertalu-talu. Bila dia mahu membukanya Yusuf menahan.

"Kenapa?", tanya saya.

"Syaitan”, jawab Yusuf.

Mendengar cakap Yusuf itu, datuk bangun. Dia termenung sejenak melihat wajah Yusuf kelihatan pucat. Anak dan isteri tidak dikejutkannya.

"Syaitan macam mana?" datuk minta kepastian.

"Saya belum melihatnya, tapi orang yang pernah membuka pintu rumah melihat perempuan berambut panjang tidak bermata”, Yusuf memberikan penjelasan.

Sebaik saja Yusuf habis bercakap datuk terus meinbuka pintu. Apa yang dikatakan Yusuf memang benar.

Di muka pintu berdiri seorang perempuan berambut panjang dengan wajah yang pucat.

Dengan sekilas datuk sudah tahu, perempuan yang dilihatnya itu bukan hantu.

"Apa hal?" tanya datuk.

"Saya lapar."

"Masuk”, perempuan itu pun masuk.

Perbuatan datuk itu memeningkan kepala Yusuf. Datuk memberi perempuan itu makan.

Bagi menguji sama ada perempuan itu sudah dirasuk syaitan atau tidak, datuk mencampakkan kain hitam berbucu tiga ke arah perempuan itu.

Tidak ada tindakbalas dari perempuan tersebut. Setelah datuk mengadakan temubual dengan perempuan itu, macam pegawai polis menyiasat orang salah, ternyata perempuan itu gila dan di singkirkan oleh keluarganya.

Terpaksa tinggal di pinggir hutan dan keluar bila malam. Kemudian orang-orang yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah perempuan itu bukan manusia tetapi hantu perempuan berambut panjang.

Malam itu juga datuk cuba memberi rawatan segera pada perempuan itu. Datuk juga menyuruh perempuan itu bermalam di rumah Yusuf.

Akibat dari perbuatan datuk itu, tersebarlah berita kononnya Yusuf menyimpan hantu berambut panjang.

"Aku terpaksa merawatnya selama tiga pagi hingga dia baik”, kata datuk saya dan Yusuf.

Dan Yusuf tidak dapat berkata apa-apa. Sama ada dia rela atau dia tidak dia harus patuh dengan permintaan datuk yang suci itu.

Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar, datuk berjaya mengubati perempuan itu dengan memandikan seluruh tubuhnya dengan tujuh biji air kelapa muda selama tiga pagi.

Pada sebelah petangnya, selama tiga petang datuk menanam separuh badan perempuan ke dalam tanah di bawah sinaran matahari selama tiga jam. Kepala itu dilumurkan dengan asam jawa.

Setelah itu, datuk memaksa perempuan berambut panjang mandi di sungai hingga menggigil kesejukan.

Hari terakhir, datuk pun memanggil semua jiran-jiran Yusuf berkumpul di halaman rumah kira-kira pukul empat petang.

Datuk menyuruh perempuan itu duduk di atas bangku khas. Dibawah bangku itu pula datuk letakkan sabut kepala.

Supaya perempuan itu tidak lari, bahagian pinggang dan badan diikatkan pada bangku.

Ketika itu datuk sudah pun memakai baju dan seluar hitam, kepalanya diikat dengan kain merah.

Dia pun memerintahkan saya mencurah minyak api lalu membakar sabut. Datuk berpeluk tubuh mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu.

Perempuan berambut panjang terus menjerit sekuat hati. Tiba-tiba datuk menepukkan kedua belah tangannya. Api yang marak segera padam diganti oleh asap tebal.

Perempuan itu terbatuk-batuk kelemasan. Serentak dengan itu, orang ramai melihat tulang-tulang ikan dan serpihan kaca keluar dari rambut wanita tersebut.

Datuk menyuruh saya menyiram air atas sabut yang dibakar. Perempuan yang berambut panjang terkulai atas bangku.

Datuk lalu mengumpulkan serpihan kaca dan tulang lalu dimasukkan ke dalam uncang kecil.

Datuk menepuk bumi, perempuan itu tersedar, wajahnya berseri-seri. Boleh bercakap dengan baik dan teratur.

"Dia sebenamya anak yatim. Ada orang yang melamarnya tetapi lamarannya ditolak kaum keluarganya kerana mereka tidak mahu harta peninggalan ayah perempuan ini lepas ke tangan orang lain.

"Orang yang meminangnya dulu berdendam lalu mengenakan ilmu sihir padanya”, kata datuk.

Bila datuk mahu meninggalkan kawasan halaman untuk masuk ke dalam rumah, seorang lelaki segera menerkam kepadanya dan mengaku pada datuk bahawa dia adalah ayah saudara pada perempuan itu.

Dia juga menyuruh anak buahnya menyebarkan fitnah pada perempuan yang malang itu.

Datuk menasihatkan lelaki itu supaya membela anak saudaranya dengan sebaik mungkin, dengan rasa rendah diri lelaki itu menyesal atas perbuatannya.

Dia berjanji akan memelihara anak saudaranya seperti anaknya sendiri.

"Awak salah”, kata datuk.

"Apa salah saya?"

"Sebagai seorang Islam awak disuruh. Tetapi awak tidak melakukannya terhadap anak saudara awak.

"Awak hanya berserah pada keadaan, satu perbuatan yang tidak terpuji mengikut ajaran Islam”, jelas datuk lalu membawa anak saudaranya pulang.

Pagi esoknya, saya dan datuk pun meninggalkan rumah Yusuf menuju ke utara dengan sebuah teksi.

Kami sampai ke Ipoh lebih kurang pukul tujuh petang. Kami bermalam di rumah kenalan datuk di Kampung Pengkalan Peguh yang letaknya beberapa batu saja dari kota Ipoh.

Pagi esoknya kenalan datuk sendiri menghantar kami ke kampung. Dua bulan kemudian, datuk menerima surat dari Yusuf yang mengatakan perempuan yang berambut panjang telah menemui jodoh dengan seorang pemuda dari Masjid Tanah, Melaka.

Pemuda itu ada hubungan kekeluargaan dengan gadis itu dari sebelah ibunya.

Pemuda itu berkhidmat dengan pihak tentera Inggeris di Singapura di bahagian R.A.S.C. (Royal Army Service Cop) bertempat di Kem Seletar.

Seminggu selepas kahwin dia membawa isterinya ke tempat bertugas, demikianlah Yusuf menulis dalam suratnya.

Sepupu saya itu, Yusuf, kini menetap di Taman Pelangi Johor Bharu, setelah meletakkan jawatan sebagai guru untuk bergiat dalam lapangan pemiagaan.

Cukup gembira datuk menerima surat dari anak saudaranya itu. Dia juga berdoa supaya jodoh perempuan berambut panjang dengan pemuda itu akan berkekalan hingga ke anak cucu.

Sejak datuk pulang dari Batu Pahat, kesihatannya tidak begitu baik. Dia selalu diserang batuk mulai pukul dua belas malam hingga menjelang waktu subuh.

Bila saya menasihatkannya supaya pergi menemui doktor, datuk tidak mahu. Dia mengatakan pada saya sakitnya tidak parah dan boleh baik sendiri.

Kadang-kadang saya terfikir alangkah baiknya kalau saya dapat jadi seperti datuk. Boleh menolong orang yang sakit.

Tetapi, bila saya fikirkan dengan sedalam-dalamnya, memang saya tidak dapat mengikuti jejak langkah datuk.

Datuk cukup lokek mahu menurunkan kebolehan dan kepandaiannya dengan diri saya.

Datuk bimbang kalau ilmu yang saya tuntut darinya akan disalah-gunakan.

Dia hanya menurunkan ilmu-ilmu yang mudah pada saya seperti mengurut tangan orang yang tersilap urat serta beberapa petua dan doa untuk diri saya sendiri yang tidak boleh digunakan untuk orang lain, walaupun untuk anak isteri.

Dari sinilah mulanya timbul dalam hati saya untuk menyambung pelajaran yang terkandas.

Atas galakan datuk juga, saya memasuki sekolah malam di kampung saya.

Datuk tidak tahu, bahawa saya akan menyambung alam baktinya dengan cara yang tersendiri.

Saya berazam untuk menjadi seorang doktor. Dengan itu saya akan boleh menolong orang.

"Datuk kau bukan tak mahu menurunkan ilmu pada kamu Tamar. Tapi pantang larangnya terlalu ketat, cabarannya juga terlalu kuat.

"Macam nenek ni, kalau tak sabar-sabar dah lama tinggalkan dia”, kata nenek pada saya, setelah saya nyatakan rasa kesal saya atas sikap datuk pada suatu petang.

Tanpa diduga perbualan saya dengan nenek didengar oleh datuk. Dia segera mendekati kami. Matanya merenung wajah saya. Dia membaca apa yang tersirat dalam dada saya.

"Aku boleh memberikan kesenangan, kebahagian pada orang lain, tetapi hal itu tidak dapat aku berikan pada nenekmu.

"Kalau dia menuduh aku sebagai lelaki tidak bertanggungjawab, aku tidak marah. Apa yang dikatakannya itu memang benar”, kata datuk dari kepala tangga.

Nenek merenung muka saya.

"Memang begitu janji aku dengan guruku dulu. Tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri dan kaum keluarga, kalau tidak ilmuku tidak menjadi.

"Tuhan telah memberi aku seorang isteri yang setia dan sabar. Inilah nikmat dari Allah yang aku terima”, sambung datuk lagi.

Matanya merenung redup pada wajah nenek. Dan nenek pun tersenyum cukup manis. Belum pernah saya menikmati senyum nenek semanis itu.

Agaknya, dia megah kerana pengorbanannya selama ini di sanjung oleh datuk.

Barang kali sikap bertolak ansur, timbang rasa dan saling memahami tugas masing-masing membuat rumahtangga datuk dan nenek kukuh hingga ke anak cucu, fikir saya dalam hati.

Meskipun rumah tangga mereka tidak didirikan atas landasan cinta dulu baru kahwin, mereka mengambil langkah nikah dulu kemudian bercinta.

Ternyata kebahagiannya lebih panjang, kemesraannya terlalu padat. Susah mahu diresapi pertelingkahan, fikiran saya terus berjalar ke dalam kepala.

"Nenekmu seorang wanita yang baik”, tambah datuk lagi.

Datuk terus beredar dari kepala tangga. Saya pun melangkah meninggalkan nenek dengan kerjanya mengupas buah kelapa.

Bagi mengisi masa lapang petang itu, saya berhasrat untuk pergi bercampur dengan kawan-kawan yang sebaya bermain gasing.

Buah gasing dan tali yang tersimpan di bawah rumah saya ambil. Cita-cita saya mahu memangkah dua tiga biji buah gasing kawan-kawan hingga terbelah.

Secara mendadak saja saya teringatkan batang pancing yang tersadar di pangkal pokok mempelam.

Gasing dan tali saya tinggalkan. Batang pancing saya ambil.

"Nak ke mana dah petang begini”, tanya nenek.

"Nak memancing ikan di sawah."

"Usahlah, dah petang”, tahan nenek.

"Kejap aja nek”, jawab saya dan terus meninggalkan kawasan rumah menuju kesawah yang terbentang luas.

Matahari sudah condong benar letaknya. Dalam perkiraan saya, waktu itu sudah pukul lima lebih. Memang tidak wajar saya turun ke sawah memancing.

Saya terus meniti atas batas bendang menuju ke sebuah kolam kecil yang terletak di bawah sebatang pokok tualang besar dan tinggi.

Kiri kanan pokok itu ditumbuhi oleh pokok-pokok buluh. Akar-akar jejawi berjuntai di dahan tualang, sebahagian darinya mencecah bumi. Beberapa akar itu saya potong separas dada.

Sebelum saya memancing, saya bergayut pada akar itu, macam tarzan bermain angin. Memang menyeronokkan.

Kemudian saya memancing dengan umpan cacing yang saya korek di tanah pangkal pokok tualang.

Nasib saya memang baik petang itu, pancing saya selalu saja mengena. Tidak sampai satu jam saya sudah dapat berkati-kati ikan keli, haruan dan puyu. Ikan-ikan itu saya letakkan dalam raga.

Azam saya mahu menangkap separuh dari ikan-ikan yang terdapat dalam kolam tersebut. Hati saya berdebar dengan tiba-tiba. Daun telinga kanan saya bergerak-gerak dan terasa angin lembut menyentuhnya.

Saya mula rasa ragu-ragu kerana ketika itu memang tidak ada angin yang bertiup. Saya segera menoleh ke arah raga yang penuh dengan ikan-ikan hasil dari pancing saya.

Saya dapati ikan-ikan di situ semuanya hilang, kecuali seekor ikan haruan kecil sebesar ibu jari terlompat-Iompat dalam raga.

Saya renung ke langit, matahari sudah pun runduk di kaki langit. Keadaan sekeliling sawah sudah tidak secerah tadi.

Hati saya bagaikan dipengaruhi oleh sesuatu kuasa untuk terus memancing, ikan-ikan saya lihat bagaikan melompat-Iompat dipermukaan kolam.

Saya membuat keputusan yang saya kira cukup baik iaitu meneruskan kerja memancing ikan di kolam.

Sedang saya asyik memancing, hari pun beransur gelap. Senja kala sudah datang. Saya bagaikan terdengar suara datuk memanggil-manggil nama saya.

Saya bersedia untuk pulang dan rapat kepangkal pokok tualang untuk mengambil raga yang berisi ikan.

Lagi sekali saya terkejut, tidak ada seekor ikan pun di situ, kecuali anak haruan kecil sebesar ibu jari terlompat-Iompat dalam raga. Saya menarik nafas panjang.

Saya jadi bodoh dengan keadaan yang saya hadapi. Ada sedikit amalan yang datuk berikan pada saya bila menghadapi keadaan yang begitu.

Barangkali, saya perlu mencubanya sama ada jadi atau tidak, fikir saya.

Dengan tenang saya menjamah bumi dengan hujung kuku jari manis, saya pun membaca sepotong ayat dari surah al-Falak iaitu Qul a'uzubirabbilfalaq hingga akhir.

Saya terasa diri saya bagaikan mendapat sesuatu kekuatan ghaib. Saya jadi berani. Rasa cemas dan bimbang hilang dalam diri saya.

Jari manis saya tekan ke bumi. Dengan ekor mata saya menjeling sekitar kawasan. Lagi sekali semangat saya tergugat. Disebelah kanan saya terlihat sepasang kaki macam kaki itik yang cukup besar, berbulu roma tebal hingga ke buah betis.

Saya dongakkan kepala. Saya berhadapan dengan satu lembaga putih yang cukup tinggi. Lebih tinggi dari pokok tualang.

Hari sudah beransur gelap. Saya bagaikan terdengar debu angin yang cukup hebat, bagaikan ribut besar sedang berlaku di sekeliling saya. Saya terdengar pokok tualang digoncang bertalu-talu.

Saya nampak dengan jelas dedaun tualang jatuh ke bumi. Bila bunyi angin ribut berakhir, lembaga itu pun hilang. Suasana terasa terlalu sepi. Saya campakkan batang pancing dan raga ke dalam kolam.

Saya bersedia mahu melangkah pulang. Baru lima tapak, saya berhadapan dengan satu lembaga yang cukup aneh.

Tingginya agak sederhana, lebih kurang sama tinggi dengan bentuk tubuh datuk. Kepala lembaga itu tidak berapa jelas.

Tetapi, dari bahagian leher hingga ke paras pinggang ditumbuhi bulu. Kedua belah tangannya berbentuk macam sayap burung. Dari pinggang hingga ke kaki serupa dengan bentuk tubuh manusia biasa.

Dalam saat-saat cemas begitu, saya terdengar nama saya dipanggil sayup-sayup dari arah kampung.

Saya kenal benar suara itu ialah suara datuk. Saya cuba menjawab panggilan itu, tetapi tidak berdaya.

Suara saya tidak keluar. Bagaikan ada sesuatu yang menahan pangkal kerongkong saya.

Saya renung ke arah lembaga itu kembali. Kini saya sudah pasti benar bahawa, lembaga itu memang aneh, kepalanya juga berbentuk burung ada paruh dan muncung. Kedudukan matanya macam kedudukan mata manusia.

Sinar matanya tajam tidak berkelip-kelip memandang ke arah saya. Suara datuk, makin lama makin dekat kedengaran.

Dalam saat-saat begitu saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya berserah pada Allah yang Maha Besar.

Saya cuba membaca beberapa potong ayat al-Quran, tapi banyak yang silap dan lintang-pukang.

Perkara yang patut di dahulukan dibaca kemudian begitulah sebaliknya. Saya jadi tidak tentu arah.

Suara datuk kian dekat. Saya menoleh ke arah datangnya suara datuk. Memang saya lihat datuk ke arah saya dengan membawa sepotong kayu. Saya cuba melambaikan tangan ke arah datuk.

Lambaian saya itu seolah-olah tidak dapat dilihat oleh datuk dalam suasana yang agak samar-samar itu. Lembaga ganjil itu terus melihat gerak-geri saya.

Dalam warna senja itu, saya melihat datuk kian hampir dengan saya. Jarak saya dengan datuk lebih kurang antara sepuluh hingga lima belas kaki.

Tetapi, datuk tidak dapat melihat saya. Suara datuk cukup jelas saya dengar. Sayangnya, saya tidak dapat menjawab suaranya itu.

"Tak mahu dengar cakap orang inilah padahnya, aku yang susah”, keluh datuk.

Saya lihat dia berdiri betul-betul di sebelah lembaga ganjil itu. Datuk terus memacakkan kayu yang dibawanya ke tanah.

Serentak dengan itu, saya lihat lembaga ganjil membuka kedua belah sayapnya lalu terbang kearah dahan tualang.

Secara mendadak saja saya boleh bersuara dengan selantang-Iantangnya.

Datuk terkejut bila dia mendapati dirinya berhadapan dengan saya. Tanpa banyak cakap datuk terus menyapu wajah saya dengan tangan kirinya sebanyak tiga kali.

"Kau masuk salah tempat”, kata datuk dan terus membawa saya pulang.

Sampai dijalan rumah, saya dimarahi datuk. Hampir-hampir saja dia mahu menampar muka saya. Mujurlah nenek dapat menyabarkan darah datuk yang sedang naik itu.

Apa yang saya lihat tadi, bagaikan mimpi dan tidak masuk akal. Kalau diceritakan pada sesiapa, saya pasti dituduh gila atau berkhayal, paling tidak dianggap suka mengada-adakan cerita yang tidak munasabah.

Tetapi, lain pula dengan datuk. Dia terus menyuruh saya bercerita. Dia yakin apa yang terjadi pada saya ada hubungannya dengan alam.

Ada hubungan dengan makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Tamat siri 29/284

BACA: SBDJ Siri 28: Kubur Berasap
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Video Pertarungan Dua Ekor Ular Berbisa Sampai Mati!

Video Pertarungan Dua Ekor Ular Berbisa Sampai Mati!

Seorang wanita, Jenny Hillman, telah berkongsi rakaman mendebarkan pertarungan sehingga mati dua ular berbisa, seekor ular jenis red-bellied black sedang bergelut dengan ular jenis brown sebelum memuat naik rakaman itu ke Facebook ketika dia bersiar-siar di sekitar kawasan perumahannya di Ballandean, Australia.

Jenny Hillman snake fight

“Di tepi sungai pagi ini! Satu pertarungan yang sangat sengit,” jelas hantaran kapsyen Hillman pada video tersebut. Ular hitam itu kelihatan seperti cuba melarikan diri tetapi musuhnya enggan melepaskan gigitannya.

Ular hitam berkenaan beberapa kali mematuk ular coklat itu untuk memaksanya melepaskan gigitan tetapi gagal sebelum kedua-duanya tergolek ke dalam sungai berhampiran.

Jenny mendakwa ular hitam tersebut akhirnya tewas tetapi dia berpendapat ular coklat itu juga mungkin akan mati kerana banyak kali dipatuk lawannya.

Rakaman pertarungan itu telah menarik minat ramai pengguna media sosial yang kagum melihat pertarungan sengit kedua-dua reptilia berbisa itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com

Khasiat Biji Avokado Merawat Penyakit Berbahaya

Khasiat Biji Avokado Merawat Penyakit Berbahaya

Sejenis ekstrak daripada biji buah avokado didapati mampu mengurangkan bengkak dan mempunyai potensi rawatan untuk gejala penyakit jantung, kanser, artritis dan pelbagai penyakit yang menyebabkan keradangan kronik.

Khasiat Biji Avokado

Seorang penyelidik sains pemakanan Universiti Pennsylvania State, Joshua Lambert menemui potensi perubatan biji avokado itu selepas 10 tahun mengkaji ekstrak tersebut sebagai pewarna makanan.

“Jika kami dapat memberi nilai pulangan kepada penanam dan pengilang avokado, biji buah tersebut tidak akan dibuang begitu sahaja seperti sekarang,” katanya dalam satu laporan terbitan jurnal Advances In Food Technology and Nutritional Sciences.

Pasukan penyelidik diketuai Lambert sebelum ini menguji tindak balas imuniti badan dan penyakit yang menyebabkan keradangan kronik menggunakan ekstrak itu di makmal.

Mereka merancang untuk mengadakan ujian ke atas haiwan sebelum ia boleh dikomersialkan demi manfaat manusia.

Lambert merasakan penemuan itu sungguh memberangsangkan kerana kebanyakan kajian bahan bioaktif sedia ada bertumpu kepada pasaran koko dan teh hijau sedangkan biji avokado dianggap tidak berharga.

Pasukannya juga telah memohon paten hak cipta untuk ekstrak baharu itu pada 2016.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

'Saya Tak Terlibat Skim Pelaburan Haram' - Shuib Sepahtu

'Saya Tak Terlibat Skim Pelaburan Haram' - Shuib Sepahtu

Pelawak Shuib Sepathu telah berkongsi sekeping gambar paparan skrin mengenai sebuah skim menipu yang menggunakan gambarnya dengan menjanjikan pulangan lumayan dan mengingatkan peminat serta orang ramai agar tidak terpedaya.

Shuib Sepahtu Scam

Peringatan itu dibuat menerusi akaun Instagram miliknya di mana Shuib berkongsi sekeping gambar paparan skrin mengenai sebuah skim yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ujarnya, dia tidak pernah terlibat dengan mana-mana skim pelaburan.

"SCAM! Tolong jangan terpedaya! Jangan kerja nak membohong je boleh?

"Tolong take note ye semua. Saya tak terlibat dengan mana-mana skim pelaburan," jelasnya beserta dua tanda pagar, #scammer #DahLaNiKeretaPinjam.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Monday, March 25, 2019

14 Penjaga Rahsia Kunci Internet Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

14 Penjaga Rahsia Kunci Internet Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

Apa itu internet? Di mana terletaknya internet? Siapa yang menjaga internet? Pernahkah anda tertanya-tanya persoalan ini? Jawapannya, internet adalah sebuah rangkaian yang menghubungkan manusia di seluruh dunia. Lokasinya di merata-rata.

DNS Root Key Ceremony

Pada 21 Oktober 2016, sebahagian besar pengguna internet tidak dapat mengakses beberapa laman sesawang untuk beberapa jam kerana penggodam berjaya menghantar sejumlah trafik ke sebuah syarikat bernama Dyn di mana server syarikat berkenaan gagal untuk mengawalnya.

Dyn adalah sebuah syarikat pembekal Domain Name System (DNS) dan antara peranan utama DNS adalah menterjemah alamat laman sesawang seperti sentiasapanas.com contohnya, kepada alamat IP bernombor yang digunakan komputer bagi mengenal pasti sesebuah laman sesawang.

Dyn hanyalah salah satu pembekal server DNS dan walaupun penggodam gagal mengawal rangkaian ini, mereka berjaya membuatkan server DNS syarikat tersebut menjadi offline untuk berjam-jam lamanya.

Ini menunjukkan terdapatnya kebergantungan internet terhadap DNS dan serangan tersebut telah menjejaskan akses pengguna ke beberapa laman besar seperti Business Insider, Amazon, Twitter, Github, Spotify dan banyak lagi.

Internet di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara lumpuh serta merta.

Sekiranya Anda Mengawal DNS, Anda Mengawal Seluruh Internet

DNS dijaga dengan rapi oleh segolongan manusia di seluruh dunia, yang dikenali sebagai pegawai krypto.

Setiap 3 bulan sejak tahun 2010, mereka akan bertemu bagi melakukan sebuah ritual yang dikenali sebagai Upacara Kunci (key ceremony) atau DNS Root Key Ceremony, di mana kunci-kunci kepada mangga induk internet (mangga dalam bentuk perisian) perlu disahkan dan dikemaskini.

Golongan yang menjalankan upacara berkenaan adalah merupakan sebahagian daripada sebuah organisasi yang dikenali sebagai Internet Corporation for Assigned Names and Numbers (ICANN).

ICANN bertanggungjawab untuk meletakkan alamat internet bernombor kepada laman sesawang dan komputer.

Sekiranya seseorang itu berjaya mengambil alih pangkalan data ICANN, individu berkenaan boleh mengawal internet secara keseluruhannya.

Contohnya, individu berkenaan boleh menghantar pengguna internet ke laman sesawang bank palsu berbanding laman sebenar.

14 Orang Individu Memegang Kunci Rahsia Kepada DNS

Bagi melindungi DNS, ICANN mencipta suatu cara di mana kepercayaan tidak akan diberikan hanya kepada seorang individu.

Sebaliknya, mereka memilih 7 orang sebagai pemegang kunci dan memberikan mereka kunci sebenar Internet. Mereka turut melantik 7 orang lagi sebagai back up, menjadikan 14 orang secara keseluruhannya.

Upacara Kunci mewajibkan kehadiran 3 orang daripada mereka, bersama kunci yang dipegang.

3 kunci diperlukan kerana inilah jumlah kunci yang diperlukan bagi membuka alatan yang melindungi DNS.

Upacara Kunci: Sebuah Ritual Rahsia Yang Sukar Ditewaskan

Kunci fizikal dapat membuka peti deposit keselamatan. Peti berkenaan mengandungi kad kunci pintar dan beberapa kunci diperlukan bagi memperolehi akses kepada peranti bagi menjana kunci induk internet.

Kunci induk tersebut sebenarnya adalah beberapa kod komputer yang dikenali sebagai 'root key-signing key'. Ianya adalah sejenis kata laluan yang memberi akses kepada pangkalan data induk ICANN.

Kunci berkenaan akan menjana kunci-kunci lain yang melindungi pelbagai bahagian internet yang lain di pelbagai lokasi, yang digunakan oleh beberapa organisasi keselamatan internet yang berbeza.

Keselamatan sebelum, ketika dan selepas upacara dijalankan adalah sangat ketat.

Pemegang kunci perlu melalui beberapa pintu keselamatan berkunci menggunakan kod kunci dan pengimbas tangan sehinggalah mereka masuk ke sebuah bilik.

Bilik berkenaan terlalu selamat sehinggakan tiada komunikasi elektronik dapat berhubung merentasinya.

Di dalam bilik tersebut, pegawai krypto akan berkumpul bersama beberapa pegawai ICANN serta tetamu dan pemerhati.

Seluruh perjalanan upacara akan direkod secara teliti dan diaudit. Setiap langkah yang bakal diambil telah dipetakan sebelumnya dan diedarkan kepada peserta. Tindakan ini dilakukan bagi mengelakkan berlakunya tindakan di luar kawalan.

Kumpulan di dalam bilik berkenaan akan mengikut langkah-langkah yang telah ditetapkan, dan kemudiannya seorang demi seorang meninggalkan bilik itu.

Setelah tamat upacara, secara tradisinya, mereka yang terlibat akan bergerak ke sebuah restoran tempatan untuk meraikannya.

Namun, seselamat manapun upacara berkenaan, internet sebenarnya adalah sebuah teknologi terbuka yang tidak dimiliki oleh sesiapapun.

Internet telah dicipta di Amerika Syarikat, namun mereka telah melepaskan tanggungjawab pengawasannya pada hujung tahun 2016 kepada ICANN.

Tanggungjawab terhadap internet adalah tanggungjawab antarabangsa. ICANN membenarkan sesiapa sahaja di seluruh dunia untuk melihat Upacara Kunci melalui live streaming di internet. Mereka juga menerbitkan skrip bagi setiap upacara.

Kesimpulan

Internet memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup manusia masa kini. Tanpa internet, maklumat tidak dapat disampaikan serta merta.

Sekiranya internet digunakan secara berhemah, ia boleh memberi manfaat kepada kita semua dan sebaliknya jika digunakan untuk tujuan yang tidak baik, juga boleh memudaratkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 28: Kubur Berasap

SBDJ Siri 28: Kubur Berasap

Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin. Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samar-samar senja itu datuk memandang wajah saya tepat-tepat.

Siri SBDJ 15

"Kita balik saja”, kata datuk.

"Kenapa?"

"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku."

"Tapi tok.."

"Jalan”, pekik datuk.

Saya lihat wajah datuk lain macam. Langkah datuk cukup cepat. Saya lihat tapak kakinya bagaikan tidak menyentuh bumi.

Supaya tidak ketinggalan jauh darinya, saya terpaksa berlari tanpa memandang ke kiri dan ke kanan.

Kemudian saya terdengar bunyi yang ganjil dari arah belakang, macam bunyi tapak kaki orang memburu saya.

Bila di toleh ke belakang tidak ada suatu pun yang saya nampak kecuali dedaun rumput menutup bumi yang runduk kena pijak.

Saya terdengar bunyi suara reriang rimba yang bertali-temali. Bunyinya berubah dari satu pokok ke satu pokok. Bunyinya cukup nyaring dan memanjang pula.

Kata nenek, kalau reriang rimba berbunyi dalam bunga senja dan bunyinya tidak putus, membawa alamat ada penghuni kampung yang akan meninggalkan kampung dan tidak akan kembali hingga hari kiamat.

"Siapakah yang akan mati?", timbul pertanyaan dalam hati kecil saya.

Tentu saja pertanyaan itu tidak akan menerima jawapan dari sesiapa.

Barangkali, kalau pertanyaan yang sama diajukan pada datuk kemungkinan menerima jawapannya cukup cerah.

Sayang, saya tidak berani bertanya padanya. Datuk terus melangkah. Saya renung ke kiri. Pokok getah berdaun lebat tertegun kaku. Saya toleh ke kanan, pohon-pohon koko yang berbuah rapat-rapat tidak bergerak.

"Tok”, mendadak saja memanggil nama datuk dalam warna senja yang kian gelap itu.

Datuk berhenti. Entah macamana sepasang mata saya tertumpu pada sepasang kakinya yang tidak memijak bumi.

Saya kedutkan kening dan dahi. Belum pernah saya melihat datuk dalam keadaan demikian. Hati saya mula ragu-ragu. Apakah saya berhadapan dengan datuk atau dengan satu makhluk asing yang menyerupai datuk.

Bagi membuktikan apakah datuk yang wujud di hadapan saya itu datuk yang sebenar atau sebaliknya, saya segera menarik hujung bajunya dengan sekuat hati.

Badan saya bagaikan ditarik oleh satu kuasa menyebabkan saya terdorong ke depan. Bahu sebelah kanan saya menyondol pangkal belikat datuk.

Kemudian saya terasa satu hentakan yang amat kuat mengenai pangkal telinga kanan saya. Seluruh badan terasa lemah. Saya tidak mendengar apa-apa.

Semuanya terasa sunyi dan sepi. Saya tidak tahu, berapa lama saya berkeadaan demikian.

Saya tersedar apabila badan saya digoyang oleh datuk beberapa kali. Telinga saya diasak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya membuka mata, saya lihat datuk tersenyum.

"Saya lihat datuk ber.."

"Aku faham”, datuk memotong cakap saya dan menyuruh saya bangun.

Suasana sekeliling bertambah kelam. Bunyi suara burung kuang-kuik cukup jelas kedengaran.

Kata orang tua-tua, burung itu berbunyi dari atas kepala harimau. Ada juga yang mengatakan burung itu jadi kepala jalan kepada hantu dan syaitan. Sering berbunyi waktu senja begini dan tengah malam menjelang subuh.

Saya tidak boleh bangun. Kedua belah sendi lutut saya terasa longgar, tidak mampu menahan badan saya agak gemuk ini.

Bunyi suara burung kuang-kuik semakin dekat. Saya cemas dan saya faham, kalau tidak kena caranya saya dan datuk akan jadi korban harimau.

"Kita dalam bahaya tok. Rumah Omari agak jauh tok."

"Tak apa. Sepatutnya kau tidak boleh menegur aku bila melihat aku dalam keadaan yang ganjil."

"Kenapa tok tak cakap tadi?"

"Aku terlupa”, kata datuk dengan wajah yang kesal.

Tanpa diminta, datuk menerangkan pada saya bahawa, dia terpaksa berjalan atas angin untuk menghindarkan sebarang kejadian buruk.

Menurut datuk, jarak tapak kakainya dengan bumi lebih kurang satu kaki setengah ruang yang kosong antara tapak kaki dengan bumi akan dilalui oleh angin yang boleh memisahkan kuasa jahat dari meresap ke dalam tubunya.

"Apa dia kuasa jahat tu tok?", tanya saya.

"Jin tanah atau jembalang tanah."

"Ganjil benar bunyinya. Ini dah tahyul tok”, kata saya sambil tersenyum.

Belum pun datuk memberikan jawapan pada pertanyaan itu, saya tercium satu bau yang agak ganjil.

Suara burung kuang-kuik terdengar dari dahan pokok atas kepala. Datuk masih juga bertenang. Dia suruh saya berdiri tetapi saya tidak berdaya.

"Kalau aku berjalan memijak bumi tadi, tentu saja aku lumpuh semua badan. Tempat ini agak keras”, dengan mendadak saja datuk memberitahu saya.

Datuk juga menyatakan, sekiranya saya tidak menarik bajunya, perkara itu tidak berlaku pada diri saya.

Sebabnya, ketika dia berjalan tadi semangat dan perasaannya sudah disatukan dengan semangat saya.

Datuk pun memicit buku lali kanan saya. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Hari bertambah gelap. Bunyi reriang rimba tidak kedengaran lagi.

Ternyata usaha yang datuk lakukan tidak dapat memberikan kejayaan. Saya tidak mampu berdiri dan saya rasa tempurung lutut sudah tidak wujud pada tempatnya.

"Kau tahu Tamar kenapa aku berjalan atas angin?"

"Tak tahu."

"Kau perlu belajar dan mengenal adat budaya dan kepercayaan nenek moyangmu yang tidak lari dari asas agama Islam."

"Maksud tok?"

"Manusia tidak dapat melarikan diri dari empat unsur ini iaitu, tanah, air, api dan angin. Begitulah yang dikatakan oleh guruku."

"Sebab apa begitu tok?"

"Kalau tidak ada benda-benda ini, manusia tidak akan dapat bergerak atas alam ini."

"Maksud tok memang saya tak faham."

"Mudah saja. Manusia berasal dari tanah akan kembali ke tanah. Air pula mesti ada dalam tubuh manusia. Api yang bermaksud darah mesti ada dalam diri manusia. Begitu juga dengan angin, jika tidak ada angin manusia tidak akan boleh bemafas."

Saya terdiam mendengar keterangan dari datuk itu. Lalu dia menyatakan makhluk lain sama ada dari jin dan sebagainya juga bergantung pada perkara-perkara yang disebutkan itu.

"Pada zahirnya, engkau nampak kakiku tidak memijak bumi. Tetapi dari segi kebatinannya aku tidak terpisah dengan bumi, seluruh pancaindera bertaut rapat dengannya.

"Kerana itu aku tidak boleh bercakap atau mengerakkan tubuhku. Bila bergerak, kuasa jahat akan meresap ke tubuhku”, datuk pun memberikan penjelasan.

Saya mahu mengerti dan faham. Apa yang saya ragukan selama ini dengan sendirinya sudah terjawap.

Datuk merenung wajah saya dengan tepat dan tajam sekali. Dari sinar matanya itu, datuk seolah-olah berkata begini:

“Jangan kau tanya lagi hai cucuku, Tamar Jalis.”

Saya terkejut dari ribuan pokok sebelah kiri, seekor harimau muncul. Misainya bergerak-gerak dan dalam samar-samar senja itu sinar matanya seakan-akan bercahaya.

"Kau datang sayang”, kata datuk.

Harimau bergerak untuk menghampiri datuk. Dengan tenang datuk menghulurkan lengan tangan kanan kanannya pada harimau itu.

Lidah harimau yang panjang dan merah itu menjilat kulit lengan kanan merebahkan bulu-bulu roma hitam dan lebat di tangan datuk yang kaya dengan urat.

Datuk lalu memeluk leher harimau. Datuk merabah-raba misai harimau, dan harimau besar itu menguap panjang. Taringnya yang tajam berwarna putih jelas kelihatan.

"Kau tahu aku dalam kesusahan, kau datang ya”, ujar datuk lagi.

Harimau itu terus merebahkan badannya ke atas bumi, bergerak kekanan sambiI menggerak-gerakkan ekornya penuh manja. Datuk pun mengurut-urut-urut badan harimau itu berkali-kali.

"Cucuku sakit. Kau jilatlah tempurung lututnya.”

Sebaik sahaja datuk selesai bercakap, harimau itu bangun. Harimau itu menggeliat dengan kedua belah kaki depannya mencengkam bumi.

Manakala kedua belah kaki belakangnya menendang bumi menyebabkan bahagian belakang badannya meninggi dan bahagian kepalanya rendah separas bumi.

Harimau itu mengaum kecil sambil membetulkan kedudukan badannya seperti asal.

"Kau harus membuatkan senaman macam harimau ini untuk menguatkan pinggang dan urat-urat kaki dan tangan serta belikat dari diserang lumpuh.

"Jadikan amalan setiap pagi dan petang”, kata datuk pada saya sambil menyuruh saya melihat gerak-geri harimau tersebut.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk pada saya, lalu mengulangi perbuatannya itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

Dengan tenang harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas lalu menjulurkan lidahnya hingga ke pangkal leher.

Dengan tenang harimau itu menghampiri saya. Apa yang saya rasai ialah rasa geli dan sejuk di bahagian kepala lutut, bila lihat harimau itu menjilat kulit badan saya dari kepala lutut hingga ke buku lali.

Sesekali saya terasa gigi harimau yang tajam itu berlari-lari lembut atas tempurung lutut.

Saya kira lebih kurang tiga minit harimau itu menjilat dari tempurung kepala hingga ke buku lali.

Harimau itu terus mengaum panjang dan menghilangkan diri dalam sekelip mata. Burung Kuang-kuik berbunyi kembali.

Datuk menyuruh saya bangun. Memang menakjubkan, saya dapat berdiri dengan cukup baik sekali. Saya boleh melangkah dengan penuh tenaga dan kekuatan.

"Bagaimana? Kau kuat sekarang?"

"Ya tok, saya kuat."

Tiba-tiba datuk mengikat kedua belah mata saya dengan kain hitam. Dia menyuruh saya berdiri betul-betul disebelah kanannya.

Datuk pun meletakan tangan ke atas bahu saya.

"Langkah setapak ke depan dengan kaki kanan”, ujar datuk.

Perintahnya itu saya patuhi. Apa yang saya alami selanjutnya ialah badan rasa melayang. Bunyi angin cukup kuat memukul gegendang telinga. Saya bagaikan terkhayal sejenak.

"Sedia.”

Saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu saya terasa sepasang kaki saya memijak bumi.

Datuk pun membuka mata. Saya dan datuk sudah pun berada di kaki tangga rumah Omari. Dengan wajah yang tenang Omari menjemput kami naik ke rumah.

Kerana waktu Maghrib hampir tiba, saya dan datuk tergesa-gesa mandi dan mengambil air sembahyang.

Datuk dan Omari berbual-bual di ruang tengah sementara menanti waktu Isyak.

Kerana Omari sudah berpisah dengan isterinya, dia hanya menyediakan untuk makan malam sekadar yang termampu olehnya.

Malam itu kami makan nasi beras bukit berlaukkan ikan kembung rebus yang sudah digoreng serta sambal belacan. Makanan yang disediakan amat menyelerakan.

Untungnya, kami makan sesudah menunaikan sembahyang Isyak, kalau tidak sudah pasti saya rasa tidak selesa untuk rukuk dan sujud.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, saya dan datuk meninggalkan rumah Omari menuju ke masjid.

Sebelum berangkat, Omari memberi pesan supaya berhati-hati bila tidur dalam masjid tersebut. Menurutnya, sudah banyak orang dicampak keluar dari masjid kerana bercakap tidak senonoh dan ikut suka hati.

Omari juga menyatakan masjid itu dikawal oleh jin Islam. Berdasarkan dari keterangan itu, saya merasakan bukanlah satu perkara yang ganjil kalau masjid itu dipanggil masjid jin.

Satu perkara yang tidak menyenangkan hati saya ialah untuk sampai masjid tersebut, terpaksa melintas tanah perkuburan yang amat luas.

Memang jadi kebiasaan pada diri datuk, dia lebih suka berjalan waktu malarn tanpa membawa pelita minyak tanah atau lampu suluh.

Sedang kami berjalan, tiba-tiba datuk berhenti. Dia bagaikan nampak tubuh manusia bergerak dalam gelap di celah-celah batu nisan yang terpacak kejap di situ.

"Datanglah. Aku kenal awak. Sama-sama anak Adam”, nada suara datuk cukup keras.

Saya lihat datuk menekapkan kedua belah tangannya ke pangkal leher. Saya segera merapatinya.

"Keluarlah”, ujar datuk lagi.

Tidak ada jawapan dan tindak balas dari makhluk yang dilawan bercakap oleh datuk. Saya dan datuk terus tegak kaku di situ.

Dalam gelap itu saya rasa ada orang bergerak, memintas di depan kami. Datuk melompat dengan mendadak kira-kira dalam jarak enam kaki tingginya.

Bila datuk berdiri semula di tempat asalnya, dia sudah pun memegang pergelangan tangan seorang lelaki tua.

"Nyalakan lampu minyak tanah kau."

Lelaki itu patuh dengan cakap datuk. Dari cahaya lampu minyak tanah itu, jelas kelihataan wajah lelaki dalam usia lima puluhan. Wajahnya pucat sungguh.

"Dari mana kau?", soal datuk.

"Saya menyiramkan air yassin ke kubur yang menjerit."

"Kubur siapa?"

"Anak Omari."

"Kau siapa?"

"Saya Mohammad Tammat. Sayalah yang menjaga seluruh kawasan kubur ini dan saya tinggal di pondok belakang masjid."

Bagi memastikan orang yang berkata itu manusia sebenar atau makhluk lain yang menjelma sebagai manusia, datuk menggengam sekepal tanah. Tanah itu datuk gosokkan ke lengan lelaki itu.

Datuk senyum, Mohammad Tammat memang manusia sebenar kerana tanah yang digosokkan ke lengannya melekat di kulit. Dan Mohammad Tammat menjerit bila tanah itu ditekan kedalam uratnya.

Datuk pun menceritakan tujuannya datang ke situ. Dengan senang hati Mohammad Tammat sendiri memasang tiga pelita minyak tanah dalam masjid tersebut.

Bila semua urusannya selesai Mohammad Tammat pun pulang ke pondoknya.

Memang ada terasa seram sejuk bila berada dalam masjid tersebut. Datuk menyuruh saya tidur di sudut masjid berhampiran dengan tingkap dan pintu.

Datuk terus sembahyang sunat masjid. Selesai sembahyang datuk terus membaca al-Quran. Saya akhirnya terlelap.

Bila saya terjaga dari tidur, di hadapan saya terdapat seorang tua berjanggut memakai serban dan jubah hijau. Air mukanya cukup bersih bagaikan ada cahaya ketenangan di wajahnya.

"Kau tidur di sana nak”, katanya tenang.

"Terima kasih."

Saya pun bangun dan menuju ke tempat yang ditujukkannya. Datuk terus membaca al-Quran.

Sila lihat di kiri kanan datuk terdapat beberapa orang lelaki memakai serban hijau dan berjubah hijau penuh khusyuk mendengar datuk membaca ayat-ayat suci.

Sebarang pembacaan datuk tersalah atau silap segera ditegur. Ruang masjid saya lihat terang benderang bagaikan ada lampu letrik.

Saya terus tidur dan bangun bila terdengar suara azan subuh memukul gegendang telinga. Saya segera mengambil air sembahyang.

Dalam sekelip mata saja, saya dapati masjid itu sudah dipenuhi dengan manusia untuk sembahyang subuh.

Sebelum memulakan sembahyang saya bersalam dengan seorang imam. Tidak banyak perkataan yang diucapkan ketika saya berjabat salam dengannya. Dia lebih banyak membaca Allahu Akbar.

Datuk saya lihat cukup tenang berhadapan dengan orang-orang yang tidak dikenali itu. Saya sembahyang agak jauh dengan datuk.

Lepas sembahyang orang-orang itu bersalaman antara satu sama lain. Akhirnya bersalaman dengan saya sebelum meninggalkan masjid.

Pak imam yang berbadan tegap adalah orang yang terakhir meninggalkan masjid. Bila sampai dihalaman masjid, dia berpatah balik mendapatkan datuk.

"Awak orang baru, ada hajat datang ke sini?", soalnya.

"Memang, ada hajat besar."

"Apa hajatnya?"

"Mahu menghilangkan suara yang menjerit dari kubur."

"Dia anak derhaka, saya juga berusaha ke arah itu."

"Maksud pak imam?"

"Ada saya tinggalkan air untuk disiramkan ke atas kuburnya, tetapi orang yang menyiramnya tu, tidak berapa sempuma."

"Saya kurang faham."

"Dia jarang berjemaah subuh di sini. Sebagai orang Islam ada tempat ibadat, memang elok sembahyang jemaah banyak faedahnya.

"Dapat mengekalkan semangat persaudaraan sesama Islam. Sembahyang seorang dengan sembahyang jemaah berbeza pahalanya”, kata pak imam itu dengan senyum.

Dia lalu meminta diri dan tetap berdoa pada Allah, semoga niat baik datuk itu akan berjaya.

"Berusahalah untuk kebaikan. Tetapi apa yang harus awak ambil kira, segala kejadian yang berlaku sebagai petunjuk dari Allah untuk umat manusia di dunia”, itulah kata-katanya yang diucapkan pada datuk dan meninggalkan kesan yang amat mendalam pada diri saya.

Saya hanya dapat melihat pak imam melangkah lima tapak ke hadapan di halaman masjid.

Batang tubuhnya ghaib dengan mendadak saja sebaik sampai ke arah sebatang pokok.

Bila saya menoleh ke dalam masjid, saya lihat datuk terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Suasana subuh yang amat menyejukan itu membuat saya dua tiga kali menguap panjang. Sesekali menggeliat menghilangkan rasa lenguh di badan.

"Kau ambil yassin dan baca”, perintah datuk.

Saya pun terus membaca yassin dengan perlahan-lahan, pembacaan saya sering terganggu dan tidak selancar pembacaan datuk.

Akhirnya, beberapa orang kampung yang berdekatan datang sembahyang subuh di masjid tersebut.

Mereka merasa agak pelik kenapa saya dan datuk tidak turut sama sembahyang jemaah bersama mereka. Dari gerakan dan kerdipan mata mereka membayangkan kesangsian.

Agaknya, mereka mengira saya dan datuk berlainan mazhab atau menerima ajaran agama yang silap. Bila mereka selesai sembahyang, Mohammad Tammat menghampiri datuk.

"Kenapa tak berjamaah sekali?”, tanya Mohammad Tammat.

"Kami sudah sembahyang jemaah."

"Dengan siapa?"

"Tadi ramai orang datang penuh satu masjid."

"Haa.."

"Tak aneh. Saya bercakap dengan pak imam. Saya bertukar senyum dengan bilal muda."

Mohammad Tammat mengerutkan keningnya. Dia termenung sejenak. Cepat-cepat dia menuju ke sudut masjid sebelah kanan dan mengambil sebotol air jernih. Dia datang pada datuk semula.

"Awak bermimpi agaknya?"

"Saya bercakap benar air dalam botol yang awak ambil tu pemberian pak imam."

"Pelik."

Saya lihat muka Mohammad Tammat berubah lagi. Bibirnya digigit sekuat hati hingga menimbulkan bekas pada bibir sebelah bawah.

"Awak berjemaah dengan jin."

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas kebesaran Allah”, datuk pun menadahkan ke dua belah tangannya.

Orang-orang kampung pun mula meninggalkan masjid begitu juga dengan Mohammad Tammat.

Bila matahari mula terbit di kaki langit, saya dan datuk pun keluar untuk mandi embun.

Memang diluar dugaan, dalam langkah yang punya matIamat itu kami sampai ke bahagian belakang masjid yang berhampiran dengan kawasan perkuburan.

Lubang telinga datuk dan saya mula diasak dengan suara orang menjerit dan menangis.

Saya dan datuk menuju ke arah bunyi suara itu. Matahari pagi mula memancarkan sinarnya yang lembut, air embun di hujung daun yang terkena sinaran matahari nampak bermanik-manik. Burung-burung mula melompat dari dahan ke dahan sambil berkicau riang.

Bila saya dan datuk sampai ke kubur anak Omari, saya lihat Mohammad Tammat terbongkok -bongkok menyiramkan air dari dalam botol ke atas tanah kubur.

Saya dan datuk terus menghampiri Mohammad Tammat. Dia tidak memperdulikan kedatangan kami.

Datuk terus duduk di bahagian kepala kubur. Datuk membaca sesuatu. Air yang di siram oleh Mohammad Tammat habis satu botol.

Mohammad Tammat pun meletakkan botol kosong itu dekat batu nisan. Saya terkejut, botol kosong itu bergerak-gerak bagaikan disentuh oleh manusia, akhirnya botol itu hilang.

"Perkara itu satu perkara biasa”, kata Mohammad Tammat memberitahu saya yang kehairanan.

Suara dari dalam kubur tidak sekuat tadi. Tetapi saya dapat mendengar dengan jelas apa yang terkeluar dari dalam perut bumi itu.

"Aduh panasnya. Ampunkan saya emak, ampunkan saya”, itulah yang dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya di pagi yang hening itu.

Datuk masih membisu seribu bahasa. Sinaran matahari yang memancar ke atas kubur cukup keras, walaupun hari masih pagi benar.

Saya perhatikan dengan penuh teliti, memang terdapat kepulan asap nipis keluar dari tanah kubur.

Di bahagian kaki yang berhampiran dengan batu nisan saya lihat tanah di situ bagaikan retak-retak kecil.

Saya segera menyatakan apa yang saya lihat itu pada datuk. Datuk menyuruh saya diam. Mohammat Tammat meninggalkan kami berdua di situ.

Datuk terus membaca ayat-ayat suci. Saya tetap berada disamping datuk. Bila datuk selesai membaca ayat-ayat suci dan menoleh ke kiri, saya dapati pak imam yang berjubah hijau berdiri disisinya.

Pak imam bersalam dengan datuk sambil berkata:

“Dia anak derhaka.”

Pak imam itu hilang. Suasana ditanah perkuburan terasa cukup sepi. Kicau burung tidak kedengaran, apa yang saya alami ialah rasa seram.

Bulu tenguk saya meremang tidak menentu. Suara dari dalam kubur terus hilang. Saya dan datuk pun pulang ke rumah Omari.

Di rumah Omari datuk duduk diruang tengah memakai baju dan seluar hitam siap dengan tanjaknya sekali. Datuk merenung ke arah matahari terbit.

Sebelah kanan lututnya tersusun beberapa batang pohon kayu kecil. Sebelah kiri lututnya terletak mangkuk putih tanpa air.

Datuk bertafakur kira-kira sepuluh minit. Semua yang datuk lakukan itu diperhatikan oleh Omari dan saya penuh teliti.

Datuk memejamkan matanya rapat-rapat. Saya terdengar suara orang batuk. Entah dari mana datangnya saya tidak tahu.

"Kau benar-benar mahu menolongnya?”, terdengar suara ghaib.

"Ya, pak imam."

"Dosanya akan hilang sesudah diampun oleh ibu yang melahirkannya."

"Lagi pak imam?"

"Dia harus juga meminta ampun pada ibu tirinya."

Sebaik saja suara itu hilang, datuk membuka matanya. Di tangan kanan datuk tergenggam sehelai kain berwarna hijau.

Kain itu terus dibelitkan ke lehernya. Datuk merenung ke wajah Omari tepat-tepat.

"Kau sayangkan anakmu?", tanya datuk.

"Tentu."

Maka berceritalah Omari bahawa anaknya itu pernah menendang dan memaki ibunya sesuka hati.

Malah pernah melukakan perasan ibunya yang melarang dia bercampur gaul dengan budak-budak nakal. Larangan itu tidak diperdulikan oleh anaknya.

Akhirnya anak itu terlibat dalam kumpulan penghisap ganja dan jadi peminat ekor tiga nombor (masa itu judi empat nombor masih belum ada).

"Anak saya itu membuat kerja-kerja syirik. Menyembah pokok, pergi ke kubur lama menurun nombor ekor”, kata Omari dengan wajah yang amat muram.

Datuk hanya mendengar penuh teliti. Omari juga menyatakan, ibunya menentang perbuatan itu hingga timbul pertengkaran.

Anaknya tidak dapat mengawal perasaan lalu memaki ibunya sendiri. Tiga bulan lepas peristiwa itu Omari bercerai dengan isterinya, lalu kahwin lagi.

"Anak saya akhirnya bengkak kaki tidak boleh berjalan. Isteri kedua saya merawatnya.

"Masa merawat itulah anak saya membaling isteri muda dengan kayu hingga dahinya luka, isteri muda saya meninggalkan saya."

"Lepas itu apa yang terjadi?", tanya datuk.

"Anak saya dimasukan ke hospital Batu Pahat dan meninggal dunia."

“Awak terlalu manjakan anak”, cungkil datuk lagi.

"Memang. Dialah satu-satunya anak saya”, suara Omari tersekat-sekat dan menangis.

Setelah mengadakan perundingan dengan Omari, datuk berusaha mencari isteri tuanya.

Akhirnya isteri tua Omari ditemui di Pontian sudah menikah dengan saudara berketurunan Pakistan.

Datuk membawa isteri tua ke rumah Omari. Isteri muda tidak dapat ditemui dan menurut beberapa orang kampung di situ, isteri muda Omari sudah pulang ke kampung halamannya di Tanjung Balai Indonesia.

Semua peristiwa yang terjadi diceritakan oleh datuk pada isteri tua Omari. Perempuan itu menangis tersedu-sedu.

Hatinya terasa pilu atas perbuatan bekas suaminya yang tidak memberitahu tentang kematian anaknya.

Malam itu, saya dan datuk tidur ke masjid jin lagi sekali. Kali ini kami datang ke masjid agak lewat. Kira-kira pukul satu tengah malam.

Kedatangan kami disambut oleh pak imam berjubah hitam dimuka pintu masjid.

"Kau sudah jumpa emaknya?", tanya imam itu.

"Ya, pak imam."

“Mana dia?"

"Dia ada di rumah adik Omari."

"Kita ke sana”, jawab pak imam berjubah hijau.

Kami pun menuju ke rumah adik Omari. Pak imam tetap berada di antara saya dengan datuk.

Suatu perkara ganjil yang saya alami, orang lain tidak dapat memandang tubuh pak imam.

Mereka hanya mendengar suaranya saja, sedangkan saya dan datuk dapat melihat gerak-geri pak imam.

Pak imam melakukan sembahyang dua rakaat di rumah adik Omari. Kemudian dia mengajak datuk dan saya membaca surah Yassin hingga subuh.

Sebelum matahari terbit pak imam itu memberi sebotol air jernih kepada datuk.

"Kau ajak ibunya ke kubur pada sebelah pagi. Suruh dia siramkan air ini atas tanah kubur itu dan suruh dia baca ayat ini”, pak imam beritahu pada datuk sambil menyerahkan sehelai kertas yang bertulis jawi.

"Lagi pak imam?"

"Sesudah selesai semuanya itu, ibunya harus melakukan sembahyang tahajud tengah malam minta Allah mengampunkan dosa anaknya.

"Tetapi, dia terlebih dulu dengan hati yang suci mesti mengampunkan perbuatan anaknya itu terhadapnya."

Janda Omari dan iparnya termanggu-manggu mendengar suara ghaib itu.

Mereka hanya nampak sekilas pandangan bentuk tubuh imam yang berjubah hijau waktu berdiri di muka tangga sebelum menghilangkan diri dari kami semua.

Tamat siri 28/284

BACA: SBDJ Siri 27: Manusia Tanpa Kepala
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula tahun 2020 nanti, murid-murid di semua sekolah rendah bakal mendapat sarapan secara percuma! Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad di Invest Malaysia 2019 pada 19 Mac lalu.

Skim sarapan percuma

Program sarapan percuma ini adalah hasil pembiayaan daripada cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini tetapi ditangguhkan pelaksanaannya.

“Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan telah mencadangkan untuk melaksanakan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu telah ditangguhkan ke 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industri untuk membuat persediaan.

Program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan Pengganas

5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan Pengganas

Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan pada Jumaat, 15 Mac 2019 lalu, berlaku insiden tembakan di Masjid Al-Noor dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia.

Perdana Menteri New Zealand
Jacinda Ardern.

Lebih tragis lagi apabila rakaman video kejadian itu telah tersebar secara meluas di media sosial, dirakam sendiri oleh seorang lelaki bersenjata dan disiarkan secara langsung ketika serangan itu dilancarkan.

Tragedi itu dikatakan merupakan kejadian terburuk dalam sejarah New Zealand dan telah meninggalkan kesan trauma kepada umat Islam lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang dibaca dan dilihat di media massa semenjak tragedi itu terjadi, didapati bahawa majoriti rakyat di New Zealand turut bersama-sama masyarakat Islam dalam mengharungi dugaan terbabit.

Ekoran kejadian tersebut, pada 20 Mac yang lalu, buat pertama kali, pembukaan persidangan New Zealand dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Sidang tersebut adalah persidangan pertama yang diadakan selepas kejadian serangan pengganas tersebut.

Seorang imam di sebuah masjid tempatan dijemput untuk menyertai majlis dan memperdengarkan bacaannya sebagai isyarat bahawa seluruh komuniti New Zealand bersatu-padu dan bersama-sama dengan mangsa yang terjejas.

Ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh imam berkenaan merupakan petikan daripada Surah Al-Baqarah.

Dalam persidangan yang sama, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah memulakan perbahasannya di parlimen dengan ucapan yang cukup bermakna.

Sebelum memulakan hujahnya, Jacinda telah menggunakan ungkapan 'Assalamualaikum'.

Ungkapan itu merupakan satu istilah Arab yang bererti, 'Selamat sejahtera ke atas kamu', di samping mempunyai erti 'perdamaian dan kesejahteraan' bagi yang mengucapkan salam dan penerima salam tersebut.

Walaupun ringkas, ramai yang memuji Jacinda di atas solidariti yang ditunjukkan olehnya kepada masyarakat Islam.

Selain itu, terdapat beberapa lagi cara dan tindakan yang ditunjukkan Jacinda Ardern yang mendapat perhatian dunia, lebih-lebih lagi cara beliau menangani tragedi yang menimpa negara tersebut.

1. Bersumpah untuk tidak akan menyebut nama lelaki bersenjata dalam serangan berkenaan

Dalam ucapannya, Jacinda berkata, “Dia (pengganas) telah mencetuskan banyak perkara disebabkan tindakan ganasnya tapi ini (insiden tembakan di masjid) adalah yang paling teruk.

"Oleh sebab itulah anda semua tidak akan pernah mendengar saya menyebut namanya lagi.

“Dia seorang pengganas, penjenayah dan pelampau (ekstremis), saya akan gelarkannya ‘nameless’ (tidak bernama)”.

Jacinda kemudiannya menggesa orang ramai agar menyebut dan mengingati nama mangsa-mangsa yang terkorban.

“Saya mohon kepada anda, sebutlah nama mereka yang sudah terkorban lebih daripada dia (pengganas) yang menyebabkan kehilangan (pembunuhan) mereka," katanya.

2. Melawat komuniti Islam serta keluarga mangsa yang terlibat

Susulan insiden tragik itu, Jacinda telah bertindak dengan melawat komuniti Islam di Christchurch, sambil memakai jilbab hitam sebagai simbol penghormatan dan empati bagi masyarakat itu.

Dalam pertemuan itu, Jacinda kelihatan sabar mendengar aduan orang Islam di negaranya yang mengharapkan agar kerajaan di sana akan mengetatkan keselamatan masjid.

Jacinda turut mengambil peluang melawat keluarga mangsa tembakan di dua masjid di Christchurch dan tidak keberatan untuk memeluk sambil cuba untuk menenangkan mereka.

Beliau juga telah meletakkan sejambak bunga di perkarangan masjid sebagai simbol dan bentuk penghormatan kepada mangsa yang telah terkorban.

3. Menanggung kos pengebumian semua mangsa yang terlibat

Jacinda berkata bahawa kerajaan di bawah pimpinannya akan menanggung semua kos pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.

Bukan itu sahaja, dilaporkan juga bahawa kerajaan NZ komited untuk memberi sokongan kepada waris termasuk dari segi kewangan walaupun sebahagian daripada mereka berstatus imigran.

”Kami berjanji untuk memberi fokus kepada keperluan keluarga mangsa untuk hari-hari mendatang.

”Kebanyakkan mangsa-mangsa yang terkorban merupakan tulang belakang keluarga dan individu utama yang keluar mencari rezeki. 

”Ramai daripada mereka mempunyai tanggungan seperti anak dan isteri. Saya memberi jaminan melalui sistem yang diamalkan di negara ini, melalui ACC, terdapat kaedah yang boleh diguna untuk menghulurkan bantuan.

”Manakala bantuan tersebut akan diberikan tanpa mengira status mereka, sama ada warga imigran atau sebaliknya.

"Bantuan ini termasuklah kos pengebumian, serta sokongan kewangan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan sumber pendapatan utama,” kata Jacinda.

4. Membenarkan azan Solat Jumaat bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen di seluruh negara

Kerajaan New Zealand di bawah pimpinan Jacinda Arden mengumumkan bahawa azan Solat Jumaat akan (telah) diberi laluan untuk bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen, Jumaat, 22 Mac 2019, beserta 2 minit tafakur, sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

”Terdapat keinginan yang sangat jelas dalam komuniti iaitu mahu memberi sokongan moral terutamanya apabila mereka ke masjid untuk beribadah,” katanya.

Menurut Jacinda, 2 minit tafakur peringkat kebangsaan akan diadakan sebagai tanda genap seminggu serangan keganasan terjadi.

5. Mengharamkan penggunaan senjata separa automatik dan senapang di New Zealand

New Zealand haramkan senjata api

Jacinda juga telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan senjata separa automatik dan senapang yang digunakan dalam serangan ketenteraan (assult rifles) berikutan insiden tembakan pengganas yang menewaskan 50 orang di Christchurch.

Beliau berkata bahawa larangan itu akan berkuatkuasa untuk senjata yang mempunyai jumlah peluru berkapasiti tinggi (banyak) dan senjata separa automatik. Undang-undang itu akan dilaksanakan pada 11 April 2019.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan peraturan perlesenan dan menyekat membelian senjata api akan berlaku serta merta.

Ini bermakna tiada siapa yang dapat membeli senjata tanpa keizinan daripada pihak polis.

Katanya, “Saya percaya bahawa majoriti pemilik senjata akan menyokong apa yang kita lakukan hari ini kerana ia demi kita semua

“Tindakan ini dilakukan untuk kepentingan nasional dan isu keselamatan."

“Saya akan bekerja keras untuk mengekalkan sokongan terhadap tindakan ini (pengharaman senjata) untuk menghalang keganasan berlaku sekali lagi di negara kita."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says