Wednesday, October 31, 2018

Transaksi Melebihi RM25,000 Wajib Lapor Kepada Bank Negara Malaysia


Bermula tahun 2019, semua transaksi melebihi RM25,000 di mana-mana institusi kewangan perlu dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), sebagai langkah membendung sebarang risiko jenayah kewangan.

Bank Negara Malaysia

Kadar itu direndahkan berbanding RM50,000 sebelumnya, bagi mengekang sebarang jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan di negara ini.

Mengumumkan perkara itu, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, sebanyak RM10 trilion (ASD2.6 trilion) hilang serata dunia selama ini akibat jenayah kewangan.

Sehubungan itu, langkah mengurangkan kadar penghantaran wang dan menetapkan had penghantaran ke RM25,000 sehari boleh membantu membendung sebarang risiko jenayah kewangan.

Bercakap pada Persidangan Jenayah Kewangan & Pembiayaan Pengganas (IFCTF) ke-10, Nor Shamsiah menyarankan agar semua pihak memainkan peranan dalam menangani jenayah kewangan.

Risiko berkaitan dengan jenayah kewangan masih lagi dianggap remeh dan harus diubah jika Malaysia benar-benar mahu menangani jenayah.

Beliau turut menyarankan agar semua pihak ambil tahu tentang perkembangan dunia kewangan yang memberi laluan kepada cara penjenayah menipu orang ramai.

Di Malaysia, transaksi perbankan internet adalah sebanyak 500 juta pada 2016 dan kini angka itu telah meningkat ke 1.2 bilion transaksi sehingga Ogos tahun 2018 ini.

Ini menjadikan risiko penipuan kewangan dan jenayah kewangan semakin meningkat.

Mudahnya rakyat Malaysia diperdaya jadi mangsa jenayah siber

Kejadian jenayah melibatkan internet sebenarnya adalah jenayah yang wujud sekian lama cuma kali ini dilakukan dengan pendekatan baru.

Secara prinsip, apa yang salah di dunia sebenar juga satu kesalahan di dunia maya.

Jika diperhatikan dengan teliti, jenis jenayah yang dilakukan melalui dunia maya sebenarnya sama dengan apa yang berlaku di dunia nyata iaitu seperti menipu, mencuri, malah rogol dan bunuh.

Penjenayah hanya melakukan sedikit perubahan mungkin dalam cara bekerja sesuai dengan kemajuan teknologi hari ini untuk mencari mangsa.

Kerja mereka menjadi lebih mudah kerana tidak perlu lagi memperkenalkan diri sebenar kerana boleh menyamar di sebalik identiti rekaan di dunia maya.

Justeru, penipuan dalam talian yang melibatkan cinta, e-dagang dan kewangan, pornografi, berita palsu dan pelanggaran hak cipta tersebar luas.

Laman media sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi sembang maya seperti Whatsapp, WeChat dan Telegram menyediakan akses tanpa had kepada mereka yang berpotensi menjadi mangsa.

Selalunya wanita mudah menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan, kasanova dan pemangsa seksual.

Jumlah kes dan kerugian terus meningkat saban tahun. Pada 2014, terdapat 1,026 kes penipuan ‘African Love Scam’ dilaporkan yang melibatkan kerugian berjumlah RM52.87 juta manakala pada 2016 bilangan itu meningkat kepada 2,489 kes dengan kerugian sebanyak RM98.9 juta.

Dalam kesemua kes, mangsa tidak pernah bertemu secara langsung dengan kenalan yang mereka anggap ‘kekasih’ namun mudah menyerahkan wang mereka.

Penjenayah siber terlebih dahulu mengkaji pelbagai aspek yang berkaitan, mengenal pasti semua kelemahan sama ada dalam sistem mahupun bakal mangsa, sebelum mereka mengorak langkah.

Sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi antarabangsa mereka kerana mereka mendapati Malaysia sebagai lokasi yang kondusif untuk aktiviti mereka terutamanya berdasarkan fakta Malaysia mempunyai sistem telekomunikasi yang baik dan sambungan Internet yang memudahkan operasi sindiket.

Salah satu sindiket penipuan antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi adalah ialah ‘Macau Scam’ yang mula dikesan pada 2012 yang beroperasi di Sabah. Mangsa penipuan ini dikatakan kerugian sebanyak 10 bilion Renmibi (RM6 bilion).

Menggunakan Voice over Internet Protocol (VoIP), anggota sindiket itu menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai Bank Negara yang mendakwa mangsa terlibat dalam transaksi haram dan perlu membayar sejumlah wang bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Rakyat Malaysia aktif di internet

Rakyat Malaysia mudah menjadi mangsa penjenayah siber terutamanya memandangkan hakikat negara ini mempunyai bilangan pengguna internet yang tinggi, iaitu kira-kira 2/3 penduduk negara yang seramai 31.7 juta orang.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Internet amat ‘rapat’ di hati mereka dan sebanyak 97% pengguna media sosial di Malaysia memiliki akaun Facebook dengan 18 juta pengguna aktif media sosial setiap hari dan secara purata pengguna, masing-masing memiliki 4 akaun media sosial.

Menyentuh aspek penggunaan pula, 90.7% daripada mereka menggunakan telefon pintar dengan penggunaan internet terutamanya untuk tujuan komunikasi teks (92.7%), carian maklumat(90.1%) dan media sosial(80%).

Sikap pengguna undang risiko

Bagaimanapun, sekiranya berlaku jenayah siber, ia kerana kesalahan pengguna internet itu. Sikap mereka sebenarnya yang mengundang risiko kerana sewenang-wenangnya berkongsi maklumat sensitif seperti lokasi, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi lain menjadikan mereka sasaran mudah penjenayah siber.

Oleh itu, kemahiran kawal selia kendiri oleh netizen adalah penting di mana mereka perlu memahami dan mematuhi undang-undang serta etika yang berkaitan dengan penggunaan teknologi internet.

Jangan sekali-kali melayan mesej atau sms daripada pihak yang tidak dikenali. Penjenayah siber ini mendahului kita setiap kali seseorang klik untuk membaca pesanan mereka.

Berhati-hati sebelum mendedahkan nombor telefon kepada sesiapa juga kerana separuh daripada maklumat peribadi anda terdapat di dalamnya.

Ingat, serigala sentiasa ada di sekeliling kita.

BACA INI JUGA:

sumber: freemalaysiatoday | astroawani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon