Monday, March 25, 2019

5 Tindakan Terpuji PM New Zealand Selepas Kejadian Tembakan Pengganas


Pada pukul 1.40 petang waktu tempatan pada Jumaat, 15 Mac 2019 lalu, berlaku insiden tembakan di Masjid Al-Noor dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 50 nyawa termasuk seorang warga Malaysia.

Perdana Menteri New Zealand
Jacinda Ardern.

Lebih tragis lagi apabila rakaman video kejadian itu telah tersebar secara meluas di media sosial, dirakam sendiri oleh seorang lelaki bersenjata dan disiarkan secara langsung ketika serangan itu dilancarkan.

Tragedi itu dikatakan merupakan kejadian terburuk dalam sejarah New Zealand dan telah meninggalkan kesan trauma kepada umat Islam lebih-lebih lagi mereka yang berada di kawasan sekitar.

Walau bagaimanapun, berdasarkan apa yang dibaca dan dilihat di media massa semenjak tragedi itu terjadi, didapati bahawa majoriti rakyat di New Zealand turut bersama-sama masyarakat Islam dalam mengharungi dugaan terbabit.

Ekoran kejadian tersebut, pada 20 Mac yang lalu, buat pertama kali, pembukaan persidangan New Zealand dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran.

Sidang tersebut adalah persidangan pertama yang diadakan selepas kejadian serangan pengganas tersebut.

Seorang imam di sebuah masjid tempatan dijemput untuk menyertai majlis dan memperdengarkan bacaannya sebagai isyarat bahawa seluruh komuniti New Zealand bersatu-padu dan bersama-sama dengan mangsa yang terjejas.

Ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh imam berkenaan merupakan petikan daripada Surah Al-Baqarah.

Dalam persidangan yang sama, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern telah memulakan perbahasannya di parlimen dengan ucapan yang cukup bermakna.

Sebelum memulakan hujahnya, Jacinda telah menggunakan ungkapan 'Assalamualaikum'.

Ungkapan itu merupakan satu istilah Arab yang bererti, 'Selamat sejahtera ke atas kamu', di samping mempunyai erti 'perdamaian dan kesejahteraan' bagi yang mengucapkan salam dan penerima salam tersebut.

Walaupun ringkas, ramai yang memuji Jacinda di atas solidariti yang ditunjukkan olehnya kepada masyarakat Islam.

Selain itu, terdapat beberapa lagi cara dan tindakan yang ditunjukkan Jacinda Ardern yang mendapat perhatian dunia, lebih-lebih lagi cara beliau menangani tragedi yang menimpa negara tersebut.

1. Bersumpah untuk tidak akan menyebut nama lelaki bersenjata dalam serangan berkenaan

Dalam ucapannya, Jacinda berkata, “Dia (pengganas) telah mencetuskan banyak perkara disebabkan tindakan ganasnya tapi ini (insiden tembakan di masjid) adalah yang paling teruk.

"Oleh sebab itulah anda semua tidak akan pernah mendengar saya menyebut namanya lagi.

“Dia seorang pengganas, penjenayah dan pelampau (ekstremis), saya akan gelarkannya ‘nameless’ (tidak bernama)”.

Jacinda kemudiannya menggesa orang ramai agar menyebut dan mengingati nama mangsa-mangsa yang terkorban.

“Saya mohon kepada anda, sebutlah nama mereka yang sudah terkorban lebih daripada dia (pengganas) yang menyebabkan kehilangan (pembunuhan) mereka," katanya.

2. Melawat komuniti Islam serta keluarga mangsa yang terlibat

Susulan insiden tragik itu, Jacinda telah bertindak dengan melawat komuniti Islam di Christchurch, sambil memakai jilbab hitam sebagai simbol penghormatan dan empati bagi masyarakat itu.

Dalam pertemuan itu, Jacinda kelihatan sabar mendengar aduan orang Islam di negaranya yang mengharapkan agar kerajaan di sana akan mengetatkan keselamatan masjid.

Jacinda turut mengambil peluang melawat keluarga mangsa tembakan di dua masjid di Christchurch dan tidak keberatan untuk memeluk sambil cuba untuk menenangkan mereka.

Beliau juga telah meletakkan sejambak bunga di perkarangan masjid sebagai simbol dan bentuk penghormatan kepada mangsa yang telah terkorban.

3. Menanggung kos pengebumian semua mangsa yang terlibat

Jacinda berkata bahawa kerajaan di bawah pimpinannya akan menanggung semua kos pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch.

Bukan itu sahaja, dilaporkan juga bahawa kerajaan NZ komited untuk memberi sokongan kepada waris termasuk dari segi kewangan walaupun sebahagian daripada mereka berstatus imigran.

”Kami berjanji untuk memberi fokus kepada keperluan keluarga mangsa untuk hari-hari mendatang.

”Kebanyakkan mangsa-mangsa yang terkorban merupakan tulang belakang keluarga dan individu utama yang keluar mencari rezeki. 

”Ramai daripada mereka mempunyai tanggungan seperti anak dan isteri. Saya memberi jaminan melalui sistem yang diamalkan di negara ini, melalui ACC, terdapat kaedah yang boleh diguna untuk menghulurkan bantuan.

”Manakala bantuan tersebut akan diberikan tanpa mengira status mereka, sama ada warga imigran atau sebaliknya.

"Bantuan ini termasuklah kos pengebumian, serta sokongan kewangan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan sumber pendapatan utama,” kata Jacinda.

4. Membenarkan azan Solat Jumaat bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen di seluruh negara

Kerajaan New Zealand di bawah pimpinan Jacinda Arden mengumumkan bahawa azan Solat Jumaat akan (telah) diberi laluan untuk bersiaran secara langsung di stesen radio dan televisyen, Jumaat, 22 Mac 2019, beserta 2 minit tafakur, sebagai tanda solidariti kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

”Terdapat keinginan yang sangat jelas dalam komuniti iaitu mahu memberi sokongan moral terutamanya apabila mereka ke masjid untuk beribadah,” katanya.

Menurut Jacinda, 2 minit tafakur peringkat kebangsaan akan diadakan sebagai tanda genap seminggu serangan keganasan terjadi.

5. Mengharamkan penggunaan senjata separa automatik dan senapang di New Zealand

New Zealand haramkan senjata api

Jacinda juga telah mengumumkan rancangan untuk mengharamkan senjata separa automatik dan senapang yang digunakan dalam serangan ketenteraan (assult rifles) berikutan insiden tembakan pengganas yang menewaskan 50 orang di Christchurch.

Beliau berkata bahawa larangan itu akan berkuatkuasa untuk senjata yang mempunyai jumlah peluru berkapasiti tinggi (banyak) dan senjata separa automatik. Undang-undang itu akan dilaksanakan pada 11 April 2019.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan peraturan perlesenan dan menyekat membelian senjata api akan berlaku serta merta.

Ini bermakna tiada siapa yang dapat membeli senjata tanpa keizinan daripada pihak polis.

Katanya, “Saya percaya bahawa majoriti pemilik senjata akan menyokong apa yang kita lakukan hari ini kerana ia demi kita semua

“Tindakan ini dilakukan untuk kepentingan nasional dan isu keselamatan."

“Saya akan bekerja keras untuk mengekalkan sokongan terhadap tindakan ini (pengharaman senjata) untuk menghalang keganasan berlaku sekali lagi di negara kita."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon