Thursday, May 28, 2020

Sejarah Gundik Maharaja China

Sejarah Gundik Maharaja China

Dalam institusi maharaja China, salah satu perkara penting yang perlu diambil kira oleh maharaja adalah memastikan kelangsungan dinasti, yang hanya boleh dicapai apabila permaisurinya melahirkan seorang putera.

Gundik Maharaja China
Gambar hiasan.

Untuk tujuan itu, maharaja China mempunyai sebuah harem yang besar, dipenuhi oleh kaum wanita sebagai gundik.

Terdapat hierarki khusus di dalam harem ini, namun kelas-kelasnya sentiasa berubah dari masa ke semasa, dan secara umumnya harem mengandungi tiga hierarki iaitu; permaisuri, gundik atasan dan gundik biasa.

Selain itu, sida-sida yang berkhidmat untuk wanita-wanita diraja ini juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada harem tersebut.

HIERARKI DI DALAM HAREM

Puncak hierarki di dalam harem Diraja China adalah permaisuri, iaitu seorang 'isteri rasmi' Maharaja.

Permaisuri adalah wanita yang paling dihormati dan pemimpin yang dimuliakan bagi kaum wanita China, memandangkan beliau dianggap sebagai 'ibu seluruh dunia'.

Di dalam harem, hanya maharaja dan ibundanya sahaja berkedudukan lebih atas berbanding permaisuri. Kesemua individu lain perlu patuh terhadap perintahnya.

Tambahan lagi, terdapat juga suatu kedudukan khusus buat permaisuri yang dinamakan sebagai maharani balu, merujuk kepada permaisuri-permaisuri yang usianya melebihi usia maharaja.

Antara maharani balu yang masyhur dalam sejarah adalah Wu Zetian dari Dinasti Tang (yang kelak menjadi maharaja wanita pertama China) dan Cixi dari Dinasti Qing.

GUNDIK-GUNDIK ATASAN DALAM HAREM DIRAJA CHINA

Tingkat di bawah permaisuri diduduki oleh gundik-gundik atasan, yang mana bilangan dan gelaran gundik-gundik atasan ini berbeza mengikut dinasti yang memerintah.

Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Dinasti Qing, sebuah harem diraja mengandungi seorang Gundik Kehormat Diraja, dua orang Gundik Kehormat, dan empat orang Gundik Atasan.

Tingkat di bawah gundik-gundik atasan ini diduduki oleh kelas gundik-gundik biasa dan bilangannya berbeza mengikut maharaja.

Menurut catatan Adat-Istiadat Zhou, seorang maharaja ditetapkan agar memiliki 9 orang gundik berkedudukan tinggi, 27 orang gundik berkedudukan pertengahan dan 81 orang gundik berkedudukan rendah.

Namun, pada zaman pemerintahan Dinasti Han (206SM-220M), tiada penetapan had bilangan gundik atasan bagi seseorang maharaja.

Malah, pada era Maharaja Huan dan Maharaja Ling, dicatatkan terdapat lebih 20,000 orang wanita mendiami Kota Larangan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644M), terdapat sebuah sistem rasmi dalam pemilihan gundik-gundik yang bakal menyertai harem maharaja, yang berlangsung di dalam Kota Larangan setiap tiga tahun.

PEMILIHAN GUNDIK

Calon-calon yang dipilih kebiasaannya berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun dan perlu menjalani proses penelitian latar belakang, keperibadian, tingkah laku, rupa paras dan keadaan tubuh.

SIDA-SIDA – LELAKI YANG DIBENARKAN DALAM HAREM

Sida-Sida China adalah satu-satunya kaum lelaki yang dibernarkan berada di dalam harem, dan untuk memastikan setiap bayi yang dilahirkan adalah anak kandung maharaja, lelaki sama sekali tidak dibenarkan untuk berkhidmat kepada wanita yang mendiami harem.

Satu-satunya pengecualian yang diberikan ke atas peraturan ini adalah sida-sida, iaitu lelaki yang telah dikembiri atau dikasi.

Sepanjang sejarah China, sida-sida sememangnya hadir untuk memainkan peranan dalam menumpahkan khidmat kepada keluarga diraja, termasuklah di dalam harem.

Namun, bagi sida-sida yang bercita-cita tinggi, mereka tidak hanya sekadar berkhidmat kepada keluarga diraja, sebaliknya mereka turut melibatkan diri dalam politik harem demi menduduki jawatan yang berpengaruh dan meraih kekayaan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming, dicatatkan terdapat sekitar 100,000 orang sida-sida yang berkhidmat untuk maharaja dan haremnya.

Dalam situasi harem yang penuh dengan wanita-wanita maharaja, perseteruan dikalangan mereka demi merebut perhatian maharaja tidak dapat dielakkan.

Kedudukan yang paling menjadi rebutan tidak lain dan tidak bukan adalah status sebagai permaisuri.

Masing-masing bersaing untuk mengandung, seterusnya melahirkan putera maharaja yang akan memberikan kelebihan buat mereka.

PERSETERUAN DI DALAM HAREM

Sememangnya menjadi kelaziman untuk wanita yang bercita-cita tinggi di dalam harem menyusun rancangan demi menjatuhkan seterunya.

Untuk mencapai tujuan tersebut, tidak kurang ada yang menjalinkan kerjasama dengan sida-sida.

Seandainya helah yang diatur itu membuahkan hasil, kedudukannya di dalam harem meningkat dan sebagai balasan, sida-sida yang memberikan sokongan akan dibalas dengan dilantik dalam mana-mana jawatan berautoriti.

Permainan politik di dalam harem sebegini kerap berlaku dalam sejarah China, misalnya pada zaman Dinasti Tang, terdapat salah seorang gundik atasan Maharaja Gaozing bernama Wu Zetian.

Menurut cerita, Wu Zetian pernah mengarahkan agar puteranya yang baru dilahirkan dibunuh, kemudian menudingkan kesalahan pada Permaisuri Wang.

Akibatnya, Permaisuri Wang dilucutkan pangkat dan gelaran itu diambil-alih oleh Wu Zetian.

Apapun, harem maharaja tidaklah diselubungi sepenuhnya oleh suasana konflik politik, lebih-lebih lagi pada zaman pemerintahan Maharaja Huangdi.

Beliau mempunyai empat orang gundik yang mana setiap seorang daripada mereka tidak dilantik berdasarkan rupa paras, sebaliknya atas faktor kebolehan.

Salah seorang gundiknya merupakan pencipta resipi masakan dan kayu penyepit makanan. Gundik yang lain pula ada yang dipercayai mencipta sikat dan secara bersama, gundik-gundik ini membantu Huangdi dalam memerintah empayar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, May 19, 2020

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Para saintis telah mengenal pasti kawah asteroid paling tua di dunia yang terletak di Australia mungkin boleh memberikan penjelasan kepada kita, bagaimana bumi telah beralih dari Zaman Ais menjadi seperti yang kita ada sekarang.

Kawah Yarrabubba

Penyelidik memaklumkan, asteroid tersebut telah melanda Yarrabubba di Australia Barat kira-kira 2.2 bilion tahun lalu sekali gus membentuk kawah yang berusia kira-kira separuh usia bumi.

Kesimpulan itu dicapai berdasarkan ujian mineral pada batu berkenaan dan para saintis menyifatkan ia sebagai penemuan yang menarik kerana boleh memaparkan peristiwa pemanasan ketika era tersebut.

Laporan kajian itu turut diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.

Kawah tersebut ditemui di kawasan pedalaman pada 1979, namun ahli geologi tidak pernah menguji untuk mengetahui usia sebenarnya.

Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit.

Landskap itu sangat rata kerana usianya berbilion tahun, namun batuannya mempunyai ciri tersendiri, kata penyelidik, Profesor Chris Kirkland.

Menurutnya, mereka dapat mengira usia sebenar kawah tersebut berdasarkan kristal pada batu itu yang mengandungi sejumlah kecil uranium yang merosot pada kadar konsisten.

Ia berusia 200 juta tahun lebih tua berbanding impak struktur, Vredefort Dome di Afrika Selatan.

Menurut saintis, landskap Australia Barat adalah sangat usang dan mereka tidak pernah menjangkakan kawah tersebut berusia berbilion tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 08, 2020

Tradisi Pembunuhan Pewaris Takhta Empayar Uthmaniyyah Dihalalkan Atas Nama Kestabilan Awam

Tradisi Pembunuhan Pewaris Takhta Empayar Uthmaniyyah Dihalalkan Atas Nama Kestabilan Awam

Pada musim panas 1553, Suleiman Yang Agung, sultan ke-10 Empayar Uthmaniyyah mengarahkan tiga khadamnya yang bisu dan pekak untuk membunuh pewaris takhta iaitu putera kandungnya sendiri, Mustafa.

Sultan Suleiman
Sultan Suleiman.

Sultan Suleiman khuatir puteranya akan melancarkan pemberontakan dan menggulingkannya justeru, Mustafa harus dibunuh terlebih dahulu sebagai tindakan pencegahan.

Dalam undang-undang Empayar Uthmaniyyah ketika itu, membunuh saudara sedarah bukanlah suatu kesalahan.

Bapa membunuh anak, anak membunuh bapa, adik membunuh abang, abang membunuh adik, sepupu, bapa saudara, anak saudara dan saudara lelaki sedarah yang lainnya adalah tindakan yang absah.

Lebih kurang 150 tahun sebelum kejadian itu, telah terjadi perang saudara antara empat putera Sultan Bayezid I yang berebut untuk mewarisi takhta kekuasaan setelah beliau meninggal.

Perang saudara yang memakan korban puluhan ribu orang dan melemahkan kuasa empayar Uthmaniyyah itu hanya berakhir selepas kira-kira 10 tahun.

Pemenangnya, putera bongsu Bayezid I iaitu Mehmed I yang kemudiannya ditabalkan menjadi sultan.

Cucu beliau, Sultan Mehmed II yang dikenali sebagai Mehmed Yang Menakluk pada zaman pemerintahannya telah mengeluarkan suatu dekri undang-undang yang berbunyi:

"Sesiapa sahaja dari puteraku yang mewarisi takhta, dibenarkan untuk dia membunuh abang dan adik lelakinya, demi kestabilan dan kepentingan awam".

Sejarawan percaya 60 orang putera raja telah dibunuh sepanjang 600 tahun tempoh empayar Uthmaniah.

16 daripadanya kerana memberontak melawan sultan. Tujuh orang kerana percubaan memberontak dan selebihnya dibunuh 'demi kestabilan dan kepentingan awam'.

Kali terakhir pembunuhan saudara sedarah berlaku ialah apabila Sultan Mehmed III mewarisi takhta empayar Uthmaniyyah.

Mehmed III dikatakan membunuh 19 orang saudara kandungnya sendiri setelah beliau ditabalkan menjadi sultan.

Pembunuhan saudara sedarah untuk memastikan pemerintahan empayar Uthmaniyyah kuat, kukuh dan tidak diganggu-gugat "demi kestabilan dan kepentingan awam" berakhir apabila Sultan Ahmed I yang mewarisi takhta pada tahun 1603 bertindak untuk tidak membunuh saudara-saudara sedarahnya.

Menjadi putera raja empayar Uthmaniyyah adalah sesuatu yang malang, kerana kebanyakan mereka lahir dengan takdir untuk dibunuh, malah dengan cara pembunuhan yang tidak terbayangkan.

Dibunuh tanpa menumpahkan darah menggunakan sapu tangan sutera yang dicekup ke mulut atau dijerut ke leher sehingga mangsa putus nafas.

Suatu tradisi Turkic-Mongol yang mereka warisi di mana darah keturunan raja tidak boleh ditumpahkan ke bumi.

Malangnya, setelah itu secara perlahan-lahan empayar Uthmaniyyah sedikit demi sedikit mengalami kemerosotan.

Sebahagiannya kerana terjebak dalam perang antara pelbagai kumpulan putera-putera raja yang berebut untuk mewarisi takhta.

Kontroversi Pembunuhan Sehzade Mustafa Oleh Sultan Suleiman Al-Qanuni

Pembunuhan Sehzade Mustafa
Pembunuhan Sehzade Mustafa.

Keagungan dan keadilan Sultan Suleiman Al-Qanuni sentiasa diselubungi sejarah hitam iaitu kisah pembunuhan anaknya yang merupakan putera mahkota kerajaan Uthmaniyyah dan panglima tentera hebat yang dihormati oleh Tentera Elit Janisari bernama Mustafa.

Kisah ini sering dijadikan modal buat golongan orientalis untuk memburukkan Sultan Suleiman Al-Qanuni.

Kisah ini turut dilakonkan semula dalam drama the Magnificent Century yang dipaparkan dengan penuh emosi namun, harus diakui kisah ini benar-benar berlaku dalam sejarah empayar Uthmaniyyah.

Pada tahun 1550 M, usia Sultan Suleiman sudah semakin tua dan pada tahun 1552 M, Sultan Suleiman menderita penyakit yang sukar disembuhkan dan semakin parah pada beberapa tahun berikutnya.

Duta besar Hasburg bernama Busbecq menggambarkan bahawa, Sultan Suleiman menyembunyikan wajah pucatnya dengan lapisan bedak putih.

Dengan keadaanya yang semakin tenat, Sultan Suleiman mula mencurigai anak-anaknya yang dilihat memiliki cita-cita untuk menjatuhkannya.

Pada tahun 1553, Sultan Suleiman telah memimpin satu ekspedisi ke Iran bagi menghadapi Syiah Safawi.

Apabila berhenti di Eregli, baginda telah memanggil anaknya memasuki khemah, membunuhnya dengan mengarahkan orang yang dipercayai untuk membunuhnya sehingga Mustafa meninggal akibat dicekik.

Persoalan mengenai punca mengapa Sultan Suleiman membunuh anaknya Mustafa telah dibincangkan oleh ahli sejarah.

Namun, terdapat sepucuk surat yang tidak bertarikh dari Mustafa kepada ayah Pasha menunjukkan bahawa cita-citanya untuk merebut kerusi kesultanan.

Surat itu tertulis, "Syukur kehadapan Tuhan, wahai temanku di antara penuntut hak penerus kerajaan, kemampuan dan kapasiti yang ada padaku sangat tergantung padamu".

Colli Imber menyatakan bahawa populariti Mustafa dikalangan Janisari (tentera elit Uthmaniyyah) menyebabkan beliau mampu menjatuhkan dan memberontak terhadap Sultan Suleiman dengan mudah jika dia ingin melakukannya.

Sejarah mencatatkan bahawa hasil pemberontakan Janisarilah yang menyebabkan datuk Sultan Suleiman, iaitu Sultan Beyazid II terpaksa diturunkan takhta dan digantikan oleh bapanya Sultan Selim I.

Ahli sejarawan Ottoman sepakat menyatakan bahawa kematian Mustafa merupakan konspirasi antara isterinya Roxalena atau Hurrem, puterinya Mihrimah dan suaminya Grand Vizier (menteri) Rustem Pasha.

Hal ini kerana Mustafa adalah anak Mahidevran, manakala Roxalena menginginkan salah satu daripada anaknya yang menaiki takhta.

Rustem Pasha dilihat melaksanakan hasrat ibu mertuanya dengan licik apabila beliau telah memalsukan surat yang kononya Mustafa ingin bersekongkol dengan Syiah Safawi untuk menjatuhkan bapanya.

Sejarawan berbangsa Turki bernama Akgunduz menyatakan bahawa Mufti Uthmaniyah iaitu Ebu's Su'ud telah menfatwakan kehalalan darah Mustafa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, April 10, 2020

Epidemik Dan Pandemik Berasal Dari Perkataan Yunani Kuno

Epidemik Dan Pandemik Berasal Dari Perkataan Yunani Kuno

Perkataan 'epidemik' dan 'pandemik' yang berasal dari Yunani kuno nampaknya telah menjadi sebahagian dari rutin harian kita akibat penularan wabak Covid-19 yang telah meragut banyak nyawa.

Epidemik Dan Pandemik

Perkara ini juga membuktikan bahawa orang Yunani Kuno dulu juga memikirkan tentang penyakit, sama ada menurut perubatan dan sebagai metaphor kepada perluasan hubungan manusia.

Terdapat ciri-ciri yang tidak dilupakan apabila perkataan 'wabak' (loimos) diterapkan dalam kesusasteraan Yunani.

Ia bermula dengan karya agung yang lahir di Yunani Kuno sendiri iaitu Iliad, karya Homer (sekitar 700 SM), yang terdapat kisah satu wabak menyerang anggota tentera kota Troy.

Kononnya, Agamemnon, putera Yunani Kuno yang mengetuai bala tenteranya, mengutuk paderi dewa Apollo bernama Chryses.

Dewa Apollo adalah dewa wabak – pemusnah dan penyembuh – dan menghukum kaum Yunani Kuno dengan menghantar penyakit sampar.

Dewa Apollo juga adalah dewa pemanah dan dinyatakan Apollo telah menembak panah berapi ke arah tentera Yunani Kuno yang menyebabkan kesan serangan teruk.

NARATIF WABAK

270 tahun kemudian, selepas menghasilkan karya Iliad, perkataan wabak diterapkan dalam dua karya sastera Athens yang agung – Sophocles (Oedipus the King), dan Thucydides (History of the Peloponnesian War).

Penulis karya agung bernama Thucydides (460 – 400 SM) dan Sophocles (490 – 406 SM) mungkin pernah bertemu sesama mereka, walaupun sukar untuk dibuktikan kerana kekurangan bukti.

Kedua-dua karya ini dihasilkan pada masa yang sama, ditulis pada 429 SM dan wabak Athens berlaku sekitar 430 – 426 SM.

Thucydides menulis rangkap bukan dalam bentuk bait puisi (seperti penulis Yunani Kuno biasa lakukan), dan dia bekerja di kursus baru 'sejarah' (merujuk kepada kajian).

Dia memfokuskan kepada Perang Peloponnesian iaitu perang antara Athens dan Sparta sekitar tahun 431 – 404 SM.

Penerangan Thucydides mengenai wabak yang menyerang Athens pada 430 SM dalam karya History of Peloponnesian War adalah petikan yang popular dalam kesusasteraan Yunani Kuno.

Menariknya tentang penerangan tersebut adalah, bagaimana masyarakat diserang penyakit sampar, sehingga penduduk terjangkit meninggal dunia dan yang terselamat dari wabak tersebut.

KRISIS KESIHATAN

Penerangan Thucydides terhadap wabak kemudian dibentangkan dalam ceramah Pericles (Funeral Oration), (Pericles meninggal dunia akibat wabak pada 429 SM, manakala Thucydides turut terjangkit tapi terselamat).

Thucydides menerangkan peringkat pertama wabak penyakit sampar – dikatakan ia berasal dari Afrika Utara, merebak ke seluruh kota Athens, kesungguhan doktor mengubatinya, dan peningkatan kematian termasuklah doktor itu sendiri.

Tiada yang dapat menyelesaikan krisis ini – tiada ilmu perubatan atau pembelajaran baru, doa atau keajaiban.

Sesungguhnya, "pada akhirnya mereka mengatasi kesengsaraan mereka sendiri sehingga mereka tidak lagi menumpukan perhatian tentang perkara di hadapan mereka".

Dia menerangkan simptom secara menyeluruh – rasa terbakar, sakit perut dan muntah, rasa ingin berbogel tanpa seurat benang, insomnia dan kurang rehat.

Peringkat seterusnya, setelah tujuh atau lapan hari dijangkiti wabak, penyakit ini merebak ke perut dan bahagian tubuh yang lain – kemaluan, jari tangan dan kaki, malah sesetengah pesakit terus menjadi buta.

Pada peringkat terakhir, Thucydides memfokuskan kepada perpecahan nilai tradisi dimana kebebasan dan kepentingan diri menjadi keutamaan dari kehormatan, Dewa dan manusia tidak lagi mereka takuti.

Wabak ini berlangsung sehingga dua tahun, kemudian wabak kedua berlaku lagi namun perebakan wabak semakin berkurangan.

Walaupun Thucydides menerangkan kehadiran wabak selepas peristiwa teruk itu, dia sempat menghitung kematian pesakit: 4,400 orang Hoplites (rakyat berketurunan tentera), 300 orang tentera berkuda dan jumlah rakyat biasa yang tidak diketahui bilangannya.

MENGIKUT PANDANGAN MODEN

Para akademik moden berhujah melebihi konsep sains sendiri kerana Thucydides telah lama memberikan maklumat penting tentang wabak penyakit sampar.

Wabak epidemik Typhus dan cacar menjadi peristiwa baru yang menyayat hati, namun sebanyak 30 jenis penyakit telah dikenal pasti.

Thucydides memberikan penerangan naratif wabak penyakit sampar dengan pendekatan berbeza seperti apa yang kita lakukan.

Pengajaran yang kita peroleh dari krisis Koronavirus adalah belajar dari pengalaman masa lalu, bukan sekadar membaca karya Thucydides.

Yang penting, Thucydides memberitahu bahawa, negara-kota yang pernah berkuasa juga mengalami krisis wabak yang meninggalkan kesan yang amat memilukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Kisah Wabak Justinian Yang Meragut Nyawa Sahabat Rasulullah SAW

Kisah Wabak Justinian Yang Meragut Nyawa Sahabat Rasulullah SAW

Dalam lipatan sejarah manusia, tidak sah jika tamadun-tamadun manusia diuji dengan pelbagai cabaran dari peperangan hinggalah penularan wabak penyakit dan antara penularan wabak paling berbahaya dalam sejarah ialah Black Death, Flu Sepanyol, Wabak Justinian dan Covid-19.

Wabak Justinian

Wabak Justinian atau 'Plague of Justinian', walaupun hanya berlangsung selama setahun dari 541 hingga 542 Masihi, ia memberikan kesan besar bukan sahaja kepada Rom Timur (Byzantine) tetapi juga kepada kebangkitan kerajaan Islam Madinah hampir seabad kemudian.

Dan wabak Justinian ini juga ada kaitan dengan kisah dua sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal.

Wabak Justinian

Wabak yang dinamakan sempena nama Maharaja Justinian I ini sebenarnya berkongsi asal-usul sama dengan wabak Black Death, Yersinia pestis.

Kajian para saintis mendapati ia sebenarnya berasal dari Asia Tengah dan dibawa oleh puak-puak nomad yang kemudiannya menjadi ejen penyebar wabak berkenaan di Eurasia Barat.

Wabak Justinian turut mencipta sejarah sebagai wabak pertama yang direkodkan, disokong oleh keterangan-keterangan klinikal wabak dalam rekod sejarah dan kesan DNA Y. pestis dari rangka-rangka manusia yang dijumpai dalam tempoh berkenaan.

Berdasarkan rekod sejarah, tanda-tanda Wabak Justinian bermula dengan demam biasa, disusuli oleh bengkak dan lepuhan-lepuhan berwarna hitam berisi dengan nanah, yang merupakan tanda-tanda jelas seseorang itu dijangkiti wabak.

Akibatnya, seseorang itu akan koma dan mati dalam masa yang cepat. Tetapi jika tidak, individu yang dijangkiti akan berada dalam keadaan meracau dan paranoia serta ingin membunuh diri bagi mengakhiri penderitaan mereka.

Semua ini berlaku dalam tempoh beberapa hari dan ia biasanya meninggalkan lambakan mayat yang sukar diuruskan oleh orang ramai.

Justeru, ada yang membawa tag nama di tangan atau jari agar mudah dikenali anggota keluarga sekiranya mati di luar kediaman mereka.

Kesan kepada empayar dan kerajaan sekitar

Berikutan jumlah kematian yang terlalu ramai, ini memaksa Empayar Rom Timur menjadi kreatif dalam menguruskan mayat.

Antara cara yang digunakan ialah menggali parit untuk dijadikan kubur besar, dicampak ke dalam laut (selalunya kembali semula ke pantai) atau dicampak ke menara kubu sebelum ditutup di bahagian atas.

Selalunya, rawatan dilakukan oleh doktor yang dilatih dengan ilmu perubatan Galen selama empat tahun di Iskandariah yang ketika itu merupakan pusat pengajian perubatan terulung.

Bagi penduduk yang tidak mendapat rawatan perubatan, mereka menggunakan ramuan ubatan sendiri sebagai penawar.

Wabak Justinian tidak mengenal mangsanya. Justinian I sendiri turut menjadi mangsa wabak ini bersama kerabat diraja dan pembesar-pembesar Byzantine.

Namun pada akhirnya, baginda terselamat tetapi 25% rakyatnya terbunuh akibat Wabak Justinian, menjejaskan kedudukan kewangan empayar dan ketenteraan negara.

Punca Wabak Justinian

Wabak ini dikatakan bermula di Constantinople akibat tikus-tikus yang menaiki kapal-kapal yang membawa gandum dari Mesir.

Ini kerana, sejak abad kelapan Masihi lagi, wilayah Afrika Utara terutamanya Mesir merupakan pembekal utama gandum kepada kerajaan Rom, sama ada Rom Barat atau Byzantine.

Memandangkan gandum merupakan makanan ruji kerajaan ketika itu, ia dibawa ke seluruh empayar bersama-sama dengan tikus dan kutu pembawa penyakit.

Laporan pertama Wabak Justinian dilaporkan oleh sejarawan Procopius dari bandar pelabuhan Pelusium berhampiran Suez, Mesir pada tahun 541.

Sebelum laporan wabak ini, Procopius turut mendedahkan situasi iklim luar biasa yang melanda selatan Itali ketika itu.

Ini sekali gus mencetuskan krisis kekurangan makanan yang meruncing di Rom Timur dan diburukkan lagi dengan penyebaran Wabak Justinian yang menyebabkan ramai petani mati atau tidak berupaya turun ke ladang-ladang untuk menuai hasil tanaman.

Selain krisis kekurangan makanan, ia juga turut merencatkan cita-cita baginda menyatukan semula semua bekas wilayah Rom Barat dengan empayar baginda untuk mengembalikan kegemilangan Empayar Rom.

Selain Empayar Byzantine, kerajaan-kerajaan Eropah lain turut terkesan dengan Wabak Justinian.

Misalnya di Britain, penularan wabak ini memudahkan usaha pendudukan kelompok Anglo-Saxon ditambah dengan gerakan penentangan Saxon pada tahun 550-an.

Di Wales pula, antara yang menjadi mangsa Wabak Justinian ialah raja kerajaan Gwynedd, Maelgwyn sekitar tahun 547 Masihi.

Manakala di Ireland, wabak ini memberi kesan besar kepada populasi negara berkenaan.

Wabak Justinian – fatwa dua sahabat

Siapa sangka Wabak Justinian yang meragut jutaan nyawa pada abad keenam Masihi ini menjadi punca dua sahabat Nabi yang mulia mengaplikasikan pengetahuan mereka berkenaan wabak.

Jika diteliti sejarah yang direkodkan oleh perawi-perawi sejarah seperti Ibnu Hisyam dan Imam al-Tabari, wabak-wabak sebegini hanya dirujuk sebagai taun.

Namun, tidak mustahil taun hanyalah panggilan umum kepada wabak penyakit yang melanda sesebuah komuniti dan tempat.

Kisah Masyhur Dua Sahabat Tentang Cara Pengurusan Wabak

Pertama, kisah Umar membatalkan lawatannya ke Syam selepas mendapat tahu wilayah tersebut dilanda wabak (berkemungkinan Wabak Justinian).

Apabila berita tersebut diketahui Abu Ubaidah r.a., beliau mengirim surat yang menanyakan apakah Amirul Mukminin (Umar) melarikan diri dari takdir Allah.

Lalu Umar r.a menjawab, "Aku lari dari satu takdir Allah ke satu takdir-Nya yang lain."

Beliau turut memetik satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. mafhumnya, "Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa." (Riwayat Bukhari)

Kedua, tidak lama selepas pembatalan lawatannya ke Syam, Umar r.a. tahu sudah tiba masanya untuk melantik penggantinya sebagai khalifah dan beliau tahu siapa yang dimahukannya iaitu Abu Ubaidah.

Abu Ubaidah r.a. menjadi pilihan bukan saja kerana kecekapannya menguruskan jentera perang Madinah malah, beliau juga dianggap pemegang amanah bagi umat baginda, satu gelaran kehormat yang diberi Rasulullah SAW kepadanya.

Tetapi malangnya, situasi wabak sama yang melanda Syam masih belum reda dan salah seorang yang terancam ialah Abu Ubaidah sendiri.

Mendengar perkhabaran itu, Umar r.a. menulis sepucuk surat dan memerintahkannya pulang ke Madinah.

Namun, hajat sahabatnya itu ditolak dengan baik oleh Abu Ubaidah atas alasan enggan meninggalkan tentera Madinah yang berkhidmat di perbatasan dan rakyat yang menderita serangan wabak.

Malah, Abu Ubaidah r.a. turut memetik satu lagi hadis untuk menjelaskan sebab beliau perlu kekal di Syam.

"Apabila kamu mendengar penyakit taun melanda sesebuah negeri, maka janganlah kamu memasuki negeri itu. Demikian juga jika ia berjangkit di negeri yang kamu tinggal, maka janganlah kamu keluar dari negerimu kerana melarikan diri dari penyakit itu." (Riwayat Bukhari)

Keputusan tersebut akhirnya membawa kepada kematiannya pada tahun 639 Masihi, pemergian yang ditangisi bukan saja oleh para sahabat lain, bahkan oleh tentera dan rakyat yang menyanjung pemerintahannya.

Wabak Amwas

Dalam catatan Arab juga ada menceritakan bagaimana para sahabat hidup dan berani menghadapi penularan wabak dengan menentangnya atas nama tauhid, tidak semata-mata berserah atas nama 'takut kepada Allah' sahaja.

Para sahabat ketika itu percaya, asas kepada agama adalah memelihara nyawa dan menjaga nilai-nilai manusiawi dan sivil sebuah masyarakat Islam yang melengkapi kehidupan mereka dengan pengetahuan, usaha, doa dan tawakal kepada Allah ketika menghadapi bencana wabak.

Sebahagian cendekiawan dan sarjana Islam juga pernah menempuh kehidupan ketika tibanya endemik yang dinamakan Wabak Amwas (dipanggil juga Taun), kerana berasal dari kota kecil itu yang kini terletak dalam Palestin moden.

Abu Aswad Al-Duwali, seorang Parsi yang merupakan antara pelopor asas ilmu sastera dan bahasa Arab yang terkemuka, misalnya telah meninggal dunia akibat taun.

Ketika wabak taun melanda, Ibn Hajar Al-Asqalani, seorang ulama fiqh diceritakan telah kehilangan bukan seorang, tetapi tiga orang puterinya kerana wabak taun tersebut.

Mereka ialah Fatimah, Aliyyah dan puteri sulung yang ketika itu sedang hamil iaitu Zin Khatun.

Namun, apa yang Al-Asqalani lakukan bagi mengisi kekosongan akibat kematian anaknya menginsafkan kita.

Beliau telah menulis kitab tentang amalan kebersihan dan kesihatan untuk rujukan ilmu perubatan.

Al-Asqalani menulis kitab "Badzl Al-Ma'un Fi Fadhl Al-Tha'un" dan karyanya ini telah digunakan dalam kajian oleh Ahmad Isham Abdul Qadir yang padanya mengulas perincian tentang jenis-jenis wabak termasuk taun dan Black Death, menghimpunkan pandangan ahli perubatan, cara mencegah dan amalan kebersihan bagi menghindari wabak-wabak ini.

Malah, kitab tersebut turut menggariskan hukum syahid bagi mangsa wabak serta bagaimana sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh seorang Muslim ketika menghadapi kesukaran dan bencana wabak.

Sesungguhnya, mereka ini jauh dari sekadar berserah dan menjadi pasrah hanya menyerah pada takdir-Nya.

Pandangan dan sikap rasional dalam beragama sebegini turut menjadi amalan ramai lagi ilmuwan Islam.

Cara mereka menghadapi dan menangani bencana wabak wajar terus menjadi contoh kepada kita selaku umat Islam yang wajib patuh pada suruhan dan akur pada larangan Allah dan Rasulullah.

Dan jika ada yang menyangka wabak ini merupakan pengakhiran kepada bakteria Y. pestis, sangkaan mereka tersilap sama sekali.

Enam abad selepas itu, Black Death yang mengandungi virus Yersinia Pestis kembali dengan dendam membara.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, April 03, 2020

Bagaimana Dunia Islam Terselamat Dari Wabak Black Death?

Bagaimana Dunia Islam Terselamat Dari Wabak Black Death?

Suatu ketika dahulu, dunia Islam sebenarnya pernah 'diserang' wabak maut Yersinia pestis, yang bermula di China dan disebarkan oleh kaum Mongol melalui Jalan Sutera. Wabak ini dianggap setanding Black Death di Eropah melalui wabak bubonic, yang sama saja kesan bahayanya, cuma nama dan tempoh peristiwa yang berbeza.

Black Death and Islam

Kemudian, semasa peristiwa Black Death menimpa dunia barat, umat Islam di Asia Tengah menerima kesan yang sedikit berbanding orang Kristian di Eropah yang hilang dua pertiga populasinya. Kenapa?

Pertamanya, Black Death itu sendiri datang dari Timur, namun orang-orang Islam telah menghadapinya terlebih dahulu untuk jangka masa yang pendek, kemudian wabak menular ke Eropah dan berlanjutan di saat umat Islam di Asia Timur sudah pulih.

Padah Membunuh Kucing

Umat ​​Islam tidak mempunyai tradisi seperti yang diwajibkan Pope Gregory IX yang menganggap kucing sebagai makhluk yang tidak suci, jelmaan syaitan dan harus dimusnahkan.

Teori sains kemudiannya telah menjelaskan bahawa, kutu dari tikus menyebabkan wabak Black Death. Anda membunuh lebih banyak kucing – maka anda mendapat lebih banyak tikus.

Orang Barat juga mendakwa bahawa air sebagai punca wabak Black Death, yang mereka percaya akan menembusi kulit melalui liang-liang roma, lalu mereka tidak mandi dan tidak membersihkan diri.

Sebaliknya, dalam ajaran Islam, diwajibkan untuk memastikan diri sentiasa bersih dalam apa juga keadaan, terutamanya ketika hendak beribadah.

Masyarakat Eropah juga tidak memiliki sistem pembersihan dan pembuangan sampah yang sewajarnya.

Mereka dikatakan hanya mandi sekali dalam setahun, tidak membasuh tangan, tidak mencuci selepas menggunakan tandas dan lebih teruk apabila najis mereka hanya dikumpulkan dalam satu bungkusan kertas dan dibuang di tengah jalan.

Mereka tidak peduli tentang kebersihan dan ada di antara mereka yang percaya bahawa kotoran adalah sumber perlindungan.

Dalam Islam, anda tidak dibenarkan meludah di laluan orang berjalan dan di tempat orang berteduh.

Orang Islam mengamalkan wudhu di mana mereka mencuci muka, tangan, rambut, janggut, telinga, hidung, kaki dan mereka mencukur rambut kemaluan setiap 40 hari maksima. Akhirnya, apabila wabak menimpa sesebuah negeri, mereka tidak akan sesekali masuk ke tempat itu, jika sudah berada di dalam, mereka tidak akan keluar selagi tidak reda.

Orang-orang Katolik Rom di Eropah ketika berhadapan wabak Black Death, mereka hanya mengharapkan keajaiban, mereka menunggu penyembuhan turun dari langit dan dipermainkan pihak gereja yang memeras wang dan harta mereka.

Berbeza dengan orang Islam di mana ketika wabak Black Death yang datang dari Timur melanda mereka di Asia Tengah, mereka tidak mengharapkan keajaiban dari Allah SWT semata-mata.

Umat Islam memanfaatkan kemajuan ilmu dalam bidang intelektual dan sains, ditambah lagi dengan pengalaman mereka yang telah berkali-kali menghadapi wabak dan epidemik terutamanya bangsa Turki yang pernah terkena tempiasnya dari China dan India.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, March 22, 2020

Permaisuri Roxelane: Wanita Yang Membantu Kegemilangan Empayar Uthmaniyyah

Permaisuri Roxelane: Wanita Yang Membantu Kegemilangan Empayar Uthmaniyyah

Semasa era Sultan Suleiman al-Qanuni, Empayar Turki Uthmaniyyah berada di puncak kegemilangannya, meliputi Belgrade di Eropah hingga ke Mekah di selatan dengan Baghdad di sebelah timur sehinggalah Algeria di sebelah barat.

Permaisuri Roxelane

Era pemerintahan Sultan Suleiman turut menyaksikan pelbagai bentuk reformasi perundangan, ekonomi dan sosial sehingga baginda digelar Magnificent atau Mengagumkan oleh pihak Barat.

Tetapi, kejayaan ini tidak akan hadir tanpa kelibat wanita yang menjadi tulang belakang kejayaannya, Hurrem Sultan.

Haseki Hurrem Sultan atau nama sebenarnya Aleksandra Lisowska sebenarnya seorang wanita berbangsa Ukraine dan dilahirkan di Ruthenia, barat Ukraine pada tahun 1505 semasa wilayah tersebut masih diperintah kerajaan Poland.

Selain dikenali sebagai Hurrem Sultan, dia juga dikenali dengan nama Roxelane/Roxalana yang bermaksud 'Wanita dari Ruthenia'. Sementara nama Turkinya bermaksud wanita yang periang atau suka ketawa.

Pada usia 12 tahun, Roxelane ditangkap oleh tentera berkuda Crimea dan dibawa ke Islambul untuk dijual sebagai hamba.

Ada dua versi bagaimana Roxelane boleh sampai di istana. Pertama, satu versi menyatakan Roxelane dijadikan hadiah oleh rakan baik sultan, Ibrahim Pasha kepada Sultan Suleiman.

Sementara satu lagi versi merujuknya sebagai penenun kain di bahagian basuhan istana di mana ketika menenun, Hurrem akan menyanyi lagu rakyat negara asalnya.

Pada satu hari, Sultan Suleiman melalui tempat basuhan apabila dia mendengar seseorang menyanyi dan melagukan lagu-lagu Ukraine.

Sultan Suleiman yang berkebolehan berbahasa Slavik berhenti untuk berbual dengannya dan terus jatuh cinta kepada Hurrem.

Memang benar lelaki dan wanita Ukraine mempunyai wajah yang rupawan tetapi Hurrem memiliki paras rupa biasa-biasa sahaja.

Namun, itu ditampung dengan kebijaksanaannya menangani pelbagai masalah yang datang termasuk isu politik istana.

Ramai sejarawan menyifatkan Hurrem sebagai salah satu faktor kejayaan yang berlaku semasa era Suleiman al-Qanuni.

Sebelum bergelar isteri kepada Sultan Suleiman, Hurrem masih lagi berstatus haseki (ibu kepada putera sultan) walaupun selepas melahirkan anak pertamanya dengan baginda, Mehmed.

Justeru sebelum berkahwin, Hurrem meminta agar dia dimerdekakan terlebih dahulu, satu keinginan yang segera dipenuhi Suleiman.

Apabila syarat tersebut dipenuhi dan kedua-duanya disatukan, ia menjadikan Hurrem sebagai haseki pertama yang berkahwin dengan seorang pemerintah Uthmaniyyah.

Sultan Suleiman juga turut memecah tradisi satu isteri, satu anak dengan mempunyai enam cahaya mata bersama Hurrem dan juga haseki pertama yang tidak mengikut anaknya, Mehmed yang ditugaskan menjadi pentadbir di Manisa.

Ini kerana mengikut tradisi Uthmaniyyah, putera-putera Uthmaniyyah bersama bonda mereka dihantar ke daerah-daerah di luar Islambul bukan saja untuk menimba ilmu bahkan untuk menimba pengalaman sebagai pentadbir.

Namun, itu tidak berlaku kepada Hurrem yang memilih untuk kekal di Islambul berikutan keinginan Sultan Suleiman yang mahukannya di sisi bukan saja sebagai isteri tetapi juga sebagai penasihat.

Selepas satu kebakaran yang memusnahkan istana lama, satu istana baru yang menghadap lautan dibina iaitu Istana Topkapi.

Istana ini bukan sekadar kediaman sultan tetapi juga sebagai pusat pentadbiran Empayar Turki Uthmaniyyah.

Dan mengikut tradisi Uthmaniyyah yang bermula semasa era Mehmed II, tiada wanita dibenarkan tinggal di istana yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan.

Namun, semua itu berubah semasa era Sultan Suleiman di mana baginda membenarkan Hurrem tinggal bersamanya dan membenarkan harem istana lama dipindahkan ke Topkapi.

Bila bonda Suleiman, Hafsa Sultan mangkat pada tahun 1534 dan isteri pertama baginda, Mahidevran memilih mengikut puteranya Mustafa, ini meninggalkan Hurrem sebagai satu-satunya wanita paling berkuasa dalam istana.

Apabila Suleiman berangkat ke perbatasan untuk mengikuti operasi-operasi ketenteraan, baginda kekal di istana sebagai mata dan telinga suaminya yang tercinta.

Hurrem selalu berutus surat dengan Suleiman di mana kebanyakan surat bukan sekadar luahan perasaan romantis antara mereka tetapi juga berkenaan soal hal ehwal negara seperti perkembangan terbaru di Islambul dan isi perbincangan Hurrem dengan penasihat-penasihat Suleiman.

Salah satu perkara penting yang disumbangkan Hurrem ialah mengeratkan lagi hubungan Empayar Turki Uthmaniyyah dengan kerajaan Poland semasa era pemerintahan Raja Sigismund II Augustus, yang memerintah dari 1548 hingga 1572.

Namun, tempohnya sebagai penasihat turut diselubungi kontroversi apabila dikatakan terlibat dalam pembunuhan Perdana Menteri, Pargali Ibrahim Pasha (1536) dan pembunuhan putera sulung Suleiman merangkap anak tiri Hurrem, Mustafa (1553).

Bagaimanapun, usah percaya bulat-bulat kisah-kisah ini kerana kebanyakan kisah yang direkodkan berdasarkan pendapat orang luar dan intepretasinya berdasarkan kefahaman sesiapa yang mendengarnya.

Contohnya, dalam pembunuhan Mustafa, kisah yang dibawa oleh Paolo Giovio dan Luidgi Bassano diambil dari sumber khabar angin.

Namun, itu tidak bermakna Mustafa seharusnya layak menduduki takhta. Ini kerana berdasarkan keterangan sejarawan, dia seorang yang cuai dan kurang sabar, dua ciri yang mengecualikannya sebagai calon sultan.

Sultan Suleiman juga tidak teragak-agak menghukum putera Hurrem sendiri iaitu Bayezid kerana melancarkan pemberontakan terhadapnya.

Walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar kerana mengingatkan Sultan Suleiman terhadap cinta sejatinya itu, demi kebaikan dan perpaduan jangka panjang empayar, ia perlu dilakukan.

Ini telah membawa kepada hukuman mati ke atas Bayezid dan empat puteranya di ibu negara kerajaan Safavid, Qazvin, pada tahun 1561.

Perkara ini terhasil melalui ikrar Suleiman terhadap pemerintah Safavid, Shah Tahmasp I untuk mengukuhkan kembali Perjanjian Amasya dan mengembalikan semula hubungan kedua-dua kerajaan. Ini membuka ruang kepada Selim II menaiki takhta pada tahun 1566.

Di sebalik semua ini, itu tidak menghalangnya menyumbang kepada pembangunan sekitar empayar dengan meniru model sumbangan isteri Khalifah Harun ar-Rashid dari kerajaan Bani Abbasiyyah, Zubaidah binti Jaafar.

Seperti Zubaidah, Sultan Suleiman turut melaksanakan projek berorientasikan kebajikan dari Mekah hingga Baitulmaqdis, seperti dapur Menara Haseki Sultan (Baitulmaqdis), dapur Menara Haseki Hurrem (Mekah), Kompleks Haseki Sultan di Istanbul yang terdiri daripada sebuah masjid, madrasah, sebuah pancuran air dan sebuah hospital wanita serta dua buah kompleks masjid di Adrianopole dan Ankara.

Kebanyakan seni bina bangunan ini dibuat oleh ketua arkitek diraja, Mimar Sinan.

Pada tahun 1558, Hurrem Sultan kembali ke hadrat Penciptanya dan dimakamkan di kawasan laman Masjid Suleymaniye, masjid sama yang mendapat sentuhan Mimar.

Berdasarkan satu legenda, selepas kemangkatan Hurrem, Suleiman merasa terlalu sedih hingga berasa tidak selesa menikmati kehidupan.

Pada tahun 1586, baginda mangkat selepas terlibat dalam Pertempuran Szigetvar sebagai sebahagian daripada usahanya menakluk Vienna.

Dengan kemangkatan Sultan Suleiman, takhta Empayar Turki Uthmaniyyah diisi oleh Selim II dan baginda dimakamkan bersebelahan makam Hurrem di Masjid Suleymaniye.

Sementara itu, legasi Hurrem masih dirasai sehingga ke hari ini dari Turki hinggalah ke Ukraine.

Pada tahun 2007, komuniti Muslim di Mariupol, Ukraine menamakan sebuah masjid sempena namanya.

Sementara di kaca televisyen, watak Hurrem dibawa oleh Gulben Ergen (minisiri Hurrem Sultan/2003), Meryem Uzerli dan Vahide Percin (Magnificent Century/2011-2014).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots