Friday, August 02, 2019

Kisah David Charles Hahn, Remaja Yang Berjaya Mencipta Reaktor Nuklear Di Belakang Rumah

Kisah David Charles Hahn, Remaja Yang Berjaya Mencipta Reaktor Nuklear Di Belakang Rumah

Kisah David Charles Hahn bukanlah satu cerita biasa, kerana sejak dari kecil lagi, David sentiasa berminat dengan kimia dan sains, sering melakukan pelbagai uji kaji kimia sekadar suka-suka namun, tiada sesiapa pun yang menyangka bahawa suatu hari nanti David Hahn akan membina sebuah reaktor nuklear yang benar-benar berfungsi sepenuhnya di halaman belakang rumahnya sendiri.

David Charles Hahn Nuclear Reactor

Pada awalnya David Hahn adalah seorang kanak-kanak biasa yang gemarkan sukan bola lisut dan juga bola sepak. Dia kemudian menyertai persatuan pengakap di sekolahnya.

Kedua-dua orang tuanya, Ken dan Patty telah bercerai dan David Hahn tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, Kathy di Clinton Township.

Pada hari minggu, David Hahn akan bermalam di rumah ibu kandungnya pula di Golf Manor.

Punca David Hahn meminati kimia

Perubahan ketara berlaku ketika Hahn berumur 10 tahun apabila datuknya memberikannya sebuah buku bertajuk "The Golden Book of Chemistry Experiments". Sejak dari itu Hahn menjadi taksub dengan kimia.

Pada usia 12 tahun, dia telah khatam semua buku teks kimia lama milik bapanya dan pada umur 14 tahun pula, dia telah berjaya menghasilkan nitrogliserin, sejenis cecair letupan berwarna kuning yang digunakan dalam dinamit.

Pada satu malam, bahagian bahawa tanah rumah bapanya di Clinton Township telah digegarkan dengan satu letupan yang kuat.

Bapa dan ibu tirinya mendapati David Hahn sudah terbaring di lantai dalam keadaan separa sedar.

Sebelum kejadian itu berlaku, David Hahn sedang mengetuk bahan uji kajinya menggunakan pemutar skru sehingga terjadinya percikan api yang mengakibatkan letupan itu.

David Hahn dikejarkan ke hospital dengan kecederaan pada tangan dan salah satu bahagian matanya.

Ibu tirinya Kathy kemudian melarang David Hahn daripada menjalankan sebarang eksperimen di rumah.

Jadi, David Hahn memindahkan "makmal" uji kajinya ke bangsal di rumah ibu kandungnya di Golf Manor dan tidak tahu langsung tentang apa yang dilakukannya di bangsal rumah mereka itu.

David Hahn sering dilihat memakai penutup mulut di dalam bangsal milik ibunya itu dan kadang-kala melakukan uji kaji sehingga jam dua pagi.

David Hahn juga pernah dilihat membuang pakaian yang dipakainya setelah melakukan eksperimen di makmal itu namun, ibunya Patty dan Michael tidak faham apa yang dilakukan anak mereka itu disebabkan kekangan pendidikan yang terhad.

Pada Mei 1991, David Hahn berjaya mendapatkan pangkat tertinggi dalam persatuan pengakap di Amerika Syarikat dan setakat ini hanya 4 peratus orang sahaja yang berjaya memilikinya di seluruh negara.

Bagi mendapatkan pengiktirafan Eagle Scout ini, seseorang itu memerlukan 21 lencana merit atau pingat.

David Hahn telah memperolehi banyak pingat melalui pembentangan Kuasa Atomik yang dilakukan 5 bulan sebelum hari jadinya yang ke-15 dan pada waktu ini, dia sudah mempunyai cita-cita yang lebih besar.

Sanggup melakukan apa sahaja demi minat

David Hahn berazam untuk melakukan sesuatu yang lebih hebat dan bercadang untuk membina sebuah senjata neutron.

Untuk mendapatkan bahan-bahan radioaktif, dia telah memalsukan beberapa cerita dan juga mencipta identiti baharu.

David Hahn menulis surat kepada Suruhanjaya Peraturan Nuklear (NRC), mendakwa dirinya adalah seorang guru fizik di Sekolah Menengah Chippewa Valley.

Pengarah pengeluar dan pengagihan isotop agensi itu, Donald Erb telah memberikan petua kepada David Hahn bagaimana cara untuk mendapat dan mengasingkan unsur-unsur radioaktif.

Malah, Donald Erb juga menjelaskan ciri-ciri sesetengah isotop yang diletupkan dengan neutron boleh menghasilkan reaksi berantai.

Apabila David Hahn bertanya mengenai risikonya, Donald Erb meyakinkannya bahawa ia tidaklah begitu bahaya, kerana beranggapan David Hahn hanya sekadar bertanya dan tidak menyangka bahawa dia akan memilikinya dalam jumlah yang banyak.

Ini kerana kuantiti yang mencukupi untuk menimbulkan bahaya kepada awam adalah tertakluk kepada perlesenan Suruhanjaya Pengawalan Nuklear.

David Hahn kini mengetahui bahawa sejumlah kecil isotop radioaktif americium-241 boleh dijumpai dalam alat pengesan asap.

Dia kemudian menghubungi beberapa syarikat pengeluar pengesan asap dan mendakwa bahawa dia memerlukan alat pengesan asap dalam kuantiti yang banyak bagi menyiapkan satu projek sekolahnya.

Salah satu syarikat telah menjual kepadanya 100 alat pengesan asap yang telah rosak dengan harga USD 1 setiap satu.

Namun, David Hahn tidak tahu di mana terletaknya bahan radioaktif itu di dalam alat pengesan asap yang dibelinya.

Dia kemudian menulis surat kepada sebuah firma elektronik di Illinois, kononnya ingin bertanyakan soalan untuk melengkapkan "laporannya".

Seorang wakil khidmat pelanggan telah membalas surat itu dengan memberikan jawapan yang diperlukan Hahn.

Senjata neutron David Hahn

Atas bantuan itu, David Hahn dapat mengekstrak bahan radioaktif itu. Dia meletakkan americium-241 itu di dalam sebuah blok plumbum berongga dengan lubang kecil yang ditebuk di bahagian tepi supaya sinar alfa dapat keluar.

Di hadapan blok itu David Hahn meletakkan sekeping aluminium yang akan menyebabkan atom menyerap sinar alfa dan menolak neutron keluar. Kini, senjata neutron ciptaan Hahn sudahpun siap.

Dia juga membeli beratus-ratus unit tanglung gas untuk mendapatkan bahan thorium-232 yang terkandung pada karung alat itu.

Sekiranya thorium-232 dibedil dengan neutron, ia akan menghasilkan uranium-233.

Dia kemudian memulakan proses uji kajinya dengan membakar kesemua karung tanglung gas yang dibelinya itu menjadi debu.

Untuk mengasingkan thorium daripada debu, dia membeli bateri lithium bernilai USD1,000 dan memotongnya kepada dua bahagian menggunakan pemotong wayar.

Dia meletakkan lithium dan debu thorium bersama di dalam kertas aluminium dan memanaskannya menggunakan penunu Bunsen.

Dengan cara ini David Hahn telah memperolehi thorium yang 9000 kali ganda lebih daripada yang terkandung dalam alam sekitar.

Jumlah ini melebihi 170 kali ganda daripada jumlah diwajibkan untuk memohon lesen daripada Suruhanjaya Peraturan Nuklear.

Kemudian, David Hahn mula mengunjungi kedai-kedai antik bagi mencari jam lama yang mengandungi radium, kemudian mengumpul bahan radium ini dan menukarnya menjadi bentuk serbuk.

Malah, David Hahn juga meminta salah seorang rakannya mencuri beryllium daripada sebuah makmal kimia untuk kegunaannya.

Membeli uranium daripada Czechoslovakia

Apa yang lebih mengejutkan ialah, David Hahn juga memesan uranium daripada Czechoslovakia, sebaik sahaja kejatuhan kerajaan Kesatuan Soviet.

Dia juga menggunakan beberapa bahan lain seperti pita pelekat untuk menghasilkan reaktornya sendiri dan menakjubkan apabila ianya menjadi.

Uranium

Selepas projeknya siap, David Hahn mendapati tahap radiasi di kawasan itu telah meningkat secara dramatik, termasuk bilik tidurnya.

Dengan menggunakan alat pengukur, David Hahn mendapati radiasi masih boleh dikesan sejauh 5 buah rumah.

Khuatir dengan bahaya yang bakal berlaku, David Hahn mula merungkai semula reaktor nuklear binaannya itu.

Pada pukul 2.40 pagi 31 Ogos 1994, ketika David Hahn sedang mengisi bonet traknya dengan reaktor ciptaannya, seorang jiran telah menyangka seseorang sedang mencuri tayar dan menelefon polis.

Ketika polis datang dan memberkasnya, dia meminta agar polis tidak membuka bonet traknya kerana terdapat reaktor radioaktif.

Polis menyangka ia adalah bom atom buatan dan memanggil Unit Pemusnah Bom.

Pada ketika itu, trak Pontiac milik David Hahn dianggarkan mempunyai kadar radiasi 1000 kali ganda lebih daripada jumlah biasa.

Kejiranan Golf Manor dikejutkan dengan kehadiran berbelas-belas kehadiran pihak berkuasa berpakaian Hazmat di kediaman ibu David Hahn.

Pihak berkuasa persekutuan telah menyita dan membersihkan bangsal di mana David Hahn membina reaktor nuklearnya sendiri.

Walaupun tindakan Hahn itu merisikokan nyawa 40,000 penduduk berhampiran, namun segala tuduhan ke atasnya akhirnya digugurkan.

Suruhanjaya Peraturan Nuklear berkata, bangsal itu bukanlah sebuah fasiliti nuklear yang dikawal selia jadi ia bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Pihak polis juga mengatakan ia di luar bidang kuasa mereka namun, David Hahn dilarang pulang ke rumah ibunya selama dua bulan sehinggalah keadaan benar-benar selamat daripada sebarang risiko.

Pengakhiran yang menyedihkan

Dia kemudian menyertai US Navy selama empat tahun dan menyambung perkhidmatan selama tiga tahun lagi di Marine Corps.

Apa yang menyedihkan ialah, David Hahn meninggal dunia pada tahun 2016 ketika berusia 39 tahun, bukan disebabkan oleh radiasi bahan radioaktif tetapi disebabkan mengambil alkohol dalam dos dadah berlebihan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, July 30, 2019

Penemuan Harta Karun Yamashita Di Filipina!

Penemuan Harta Karun Yamashita Di Filipina!

Sebut saja tentang harta karun, kita akan membayangkan kekayaan melimpah ruah yang disembunyikan di tempat-tempat terpencil dan tidak diketahui orang seperti yang sering dipaparkan dalam filem dan siri televisyen.

Harta Karun Yamashita

Dan sehingga hari ini, masih ada khazanah yang masih belum dijumpai dan terus menimbulkan minat ramai untuk memburunya.

Menyebut tentang harta jeneral Jepun semasa Perang Dunia Kedua (WWII), ia menimbulkan polemik dalam kalangan ramai pihak sehinggalah ia menjadi rebutan antara seorang pembuat kunci dengan diktator Filipina, Ferdinand Marcos.

Seperti rejim Nazi Jerman ketika era WWII, Jepun juga tidak ketinggalan melakukan penjarahan dan merampas khazanah-khazanah berharga di Asia Pasifik terutama di rantau Asia Tenggara.

Menurut penulis dan sejarawan Sterling Seagrave menerusi dua bukunya bertajuk The Yamato Dynasty: The Secret History of Japan’s Imperial Family (2000) dan Gold Warriors: America’s Secret Recovery of Yamashita’s Gold (2003), aktiviti penjarahan ini juga bersifat skala besar di mana hasil penjarahan akan dibawa ke Jepun untuk membiayai usaha perang.

Sterling dan isterinya yang juga penulis bersama dua buku itu, Peggy Seagrave, turut mendakwa aktiviti ini membabitkan ramai figura termasuk ketua yakuza (organisasi jenayah terancang Jepun) terkenal, Yoshio Kodama dan Maharaja Hirohito sendiri.

Kebanyakan harta rampasan ini diambil dari bank-bank, depositori, premis-premis komersial, muzium, rumah-rumah kediaman dan pusat-pusat keagamaan.

Pada mulanya, ia dikumpul terlebih dahulu di Singapura sebelum kemudiannya dibawa ke Filipina.

Mengikut rancangan, selepas tamat perang, harta rampasan ini akan dibawa ke Jepun, tetapi hasrat tersebut terbantut atas satu sebab: gangguan armada perang pihak Bersekutu dipimpin Amerika Syarikat.

Bukan sekali kapal-kapal dagang Jepun ini ditenggelamkan sama ada oleh bom pesawat udara atau terkena torpedo kapal selam.

Dan berdasarkan pemerhatian pasangan Seagrave, sesetengah kapal yang ditenggelamkan ini dikatakan membawa harta rampasan perang Jepun.

Keadaan ini memaksa pihak Jepun menyembunyikan harta rampasan perang ini di tempat-tempat terpencil dan tidak diketahui orang seperti bunker bawah tanah dan gua sehingga keadaan kembali tenang.

Tetapi, dengan kekalahan Jepun pada tahun 1945, sebarang usaha membawa keluar harta berkenaan akhirnya hancur berkecai.

Ini ditambah kebanyakan figura yang mengetahui lokasi harta yang tersembunyi terbunuh dalam peperangan atau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan jenayah perang.

Yamashita sendiri kemudiannya dihukum mati pada tahun 1946 selepas didapati bersalah atas dakwaan jenayah perang.

Dan seperti biasa, wujud pihak yang merasa skeptik harta karun Yamashita ini benar-benar wujud atau tidak.

Ini kerana bukan sekali ramai pihak mengeluarkan belanja kewangan dan sumber manusia yang tinggi untuk mencari harta karun Yamashita tetapi pulang dengan tangan kosong.

Menurut Profesor Ricardo Jose dari Universiti Filipina, jika betul harta tersebut wujud, ia sepatutnya sudah dibawa ke Taiwan atau China di mana pihak Jepun masih berkuasa di situ.

Justeru bagi beliau, tindakan menyimpan harta di kawasan yang akan kembali ke tangan pihak Bersekutu sebagai satu tindakan yang bodoh dan tidak masuk akal.

Namun, ada satu kisah yang dilihat mengesahkan status sebenar harta karun Yamashita.

Pada tahun 1961, seorang pembuat kunci bernama Rogelio Roxas menemui seorang lelaki di mana bapanya pernah bekerja untuk tentera Jepun.

Lelaki itu mendakwa dia mempunyai peta lokasi simpanan harta rampasan Yamashita dan melukis sebuah peta harta berkenaan.

Tidak lama selepas itu, Roxas bertemu pula dengan seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan penterjemah Yamashita.

Lelaki itu turut mendakwa perkara sama dan memberitahu semasa WWII, dia sentiasa berulang-alik ke terowong yang dikatakan menyimpan harta karun Yamashita termasuk ketulan jongkong emas dan sebuah patung Buddha yang diperbuat daripada emas.

Pada tahun 1970, dia berjaya mendapatkan permit penggalian dari seorang hakim bernama Pio Marcos yang juga saudara mara kepada diktator Ferdinand Marcos.

Roxas bersama sekumpulan buruh bekerja keras menggali selama tujuh bulan sebelum akhirnya menemui satu rangkaian terowong bawah tanah.

Apabila mereka meneroka rangkaian terowong itu, mereka menemui rangka-rangka manusia yang masih memakai uniform tentera Jepun, senjata api dan radio.

Mereka terus menggali lagi dan beberapa minggu selepas itu, menemui satu penutup konkrit pada lantai sebuah terowong.

Selepas ia dibuka, mereka telah menemui sebuah patung Buddha berukuran tiga kaki tinggi dan seberat satu tan.

Untuk membawanya keluar sahaja, memerlukan tenaga seramai 10 orang dengan bantuan tali dan kayu balak.

Selepas berjaya dibawa keluar, ia disembunyikan di rumah Roxas di Baguio City, 150 batu di utara Manila.

Selain patung Buddha besar, mereka juga menemui tingkatan kotak-kotak yang disusun lima hingga enam kaki dan meliputi kawasan seluas 180 kaki persegi.

Dan apabila Roxas membuka salah satu kotak berkenaan, ia mengandungi 24 jongkong emas.

Beberapa minggu selepas itu, dia kembali ke terowong dan meletupkannya bagi mengelakkan ia diakses oleh orang lain.

Sebelum berbuat demikian, dia turut membawa pulang barang-barang lain termasuk 24 jongkong emas.

Usaha pencarian Roxas memang diketahui umum di mana gambar patung Buddha besarnya itu diambil oleh seorang jurugambar tempatan dan cuba melaporkan penemuannya kepada Hakim Pio tetapi gagal.

Dengan laporan berita tersebut, beberapa pembeli menunjukkan minat mendapatkan patung Buddha tersebut dengan salah seorang bakal pembeli menguji sama ada ia memang emas tulen atau sebaliknya.

Selepas diuji, ia memang emas tulen berukuran 22 karat. Bahagian kepala patung juga boleh dipisahkan dengan bahagian badan dan hasil pemeriksaan Roxas mendapati ia mengandungi beberapa butir berlian yang masih belum dipotong.

Tetapi, ini juga permulaan derita Roxas di tangan diktator Filipina terkenal itu.

Pada 5 April 1971, rumahnya diserbu pihak tentera dengan waran geledah yang ditandatangani oleh Hakim Pio dengan banyak harta termasuk patung Buddha dan jongkong emas yang ditemuinya dirampas.

Selepas dinasihatkan oleh Hakim Pio untuk menyembunyikan diri demi menjaga keselamatan diri dan keluarganya kerana bimbang dengan ancaman Marcos, Roxas memilih untuk bersembunyi.

Bagaimanapun, pada 29 April, Roxas tampil di khalayak untuk mendengar permohonan mahkamah berkenaan patung Buddha itu.

Pasukan peguam yang didakwa mewakili ibu Marcos bersedia membayarnya tiga juta peso dengan syarat Roxas mengakui patung Buddha itu diambil darinya.

Tetapi selepas mengamati patung tersebut, dia memilih menolak permintaan mereka.

Pada bulan berikutnya, dia ditahan oleh pihak tentera selama beberapa minggu dan diseksa dengan kejutan elektrik, dicucuh puntung rokok dan dipukul sehingga pengsan dengan tukul getah.

Semua ini bertujuan untuk memaksa Roxas menandatangani afidavit yang mengatakan operasi penggeledahan rumahnya dilakukan mengikut lunas undang-undang dan mendapatkan maklumat berkenaan harta karun Yamashita.

Pada akhirnya, Roxas menandatangani afidavit berkenaan tetapi tidak mendedahkan lokasi terowong harta itu.

Dia kemudiannya berjaya melarikan diri selepas mengumpil kunci tingkap tetapi berjaya ditangkap semula beberapa minggu kemudian.

Roxas terus kekal dalam tahanan hingga tahun 1974 dan untuk 12 tahun berikutnya, dia memilih untuk terus mendiamkan diri.

Tetapi, semua itu berubah pada tahun 1986 yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan Marcos.

Bagi Roxas, inilah peluangnya untuk mendapatkan semula apa yang seharusnya menjadi haknya.

Untuk mendapatkan semula semua emas yang dicuri Marcos, sebuah syarikat ditubuhkan iaitu Golden Buddha Corporation dengan hak pemilikan Roxas ditukar dengan pilihan pemilikan saham syarikat.

Pada tahun 1988, satu saman sivil difailkan di Hawaii bagi mendapatkan semula patung Buddha dan apa saja harta karun Yamashita yang ditemui Roxas.

Pada tahun 1996, kejayaan memihak kepada syarikat berkenaan dan estet Roxas apabila hakim mengarahkan keluarga Marcos membayar pampasan berjumlah $22 bilion kepada mereka.

Tetapi, kejayaan itu dianggap terlewat untuk Roxas apabila dia mati pada tahun 1993.

Sebab rasmi kematian ialah tuberkulosis atau tibi tetapi ramai mengesyaki ia berkemungkinan akibat komplikasi kesihatan yang dialami selepas bertahun-tahun diseksa oleh rejim Marcos.

Selepas tarik tali berkenaan prosiding mahkamah berlarutan untuk tahun-tahun berikutnya, wujud ketidaktentuan bagaimana wang tersebut akan dibayar dan apakah estet Roxas dan Golden Buddha berpeluang mendapat pampasan yang dijanjikan.

Sehingga ke hari ini, ia masih menjadi isu di mahkamah, tetapi berdasarkan rekod mahkamah, bolehlah dikatakan harta yang ditemui oleh Roxas itu benar-benar harta karun Yamashita.

Ini berdasarkan keterangan saksi-saksi yang ditampilkan di mahkamah, yang mana seorang saksi mendedahkan mereka pernah melihat patung Buddha emas itu dan pernah ditawarkan kepada mereka.

Sementara seorang lagi saksi mendengar keterangan Marcos atau isterinya, Imelda yang mengakui patung Buddha itu sebenarnya dirampas dari orang yang menemuinya dan digantikan dengan patung tiruan yang diperbuat daripada loyang.

Dan semua saksi mengakui pernah melihat susunan jongkong emas yang dimiliki Marcos, satu pengesahan bahawa ia sememangnya harta karun Yamashita.

Dan dalam prosiding sama, seorang saksi yang mengkaji harta karun Yamashita mendapati terdapat 172 lokasi yang disyaki menyimpan harta karun itu termasuk 18 buah patung Buddha.

Justeru tidak mustahil, masih ada saki-baki harta karun Yamashita di luar sana untuk ditemui.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, July 29, 2019

Ujian Ishihara: Kaedah Mengesan Masalah Penglihatan Warna

Ujian Ishihara: Kaedah Mengesan Masalah Penglihatan Warna

Pernahkah anda membayangkan hidup hanya dikelilingi oleh warna hitam dan putih? Sebenarnya, kehidupan sebeginilah yang dilalui oleh individu yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta warna dan rabun warna.

Pencipta ujian Ishihara
Shinobu Ishihara.

Namun, ramai orang mempunyai tanggapan salah tentang rabun warna dengan menyangka ia adalah buta warna.

Untuk pengetahuan anda, individu yang mempunyai masalah buta warna hanya mampu melihat warna kelabu sahaja dan ia sangat jarang berlaku.

Bagaimana ujian rabun warna dilakukan?

Bagi mereka yang telah mengambil lesen memandu, sudah tentu pernah menjalani ujian rabun warna kan? Ujian ini berdasarkan pada gambar bulatan berbintik kecil yang berwarna dan terdapat bayangan bentuk atau nombor di dalamnya.

Jika tidak mempunyai masalah penglihatan, anda dengan mudah dapat membezakan nombor dan bentuk tersembunyi di dalam bintik warna itu.

Sebaliknya, jika anda seorang yang rabun warna, pastinya akan sukar untuk melihat nombor atau bentuk tersebut.

Sejarah 'Ujian Ishihara'

Ujian ini dikenali sebagai 'Ujian Ishihara' kerana nama tersebut diambil dari penciptanya iaitu Dr. Shinobu Ishihara, seorang profesor di Universiti Tokyo dan orang pertama menerbitkan ujian ini pada tahun 1918.

Ujian Ishihara terdiri daripada beberapa plat berwarna yang dipanggil sebagai plat Ishihara yang mengandungi bulatan titik-titik yang terdapat secara rawak dengan warna dan saiz.

Titik-titik di dalam corak itu ada yang berwarna terang dan pudar, yang dapat dilihat oleh individu normal atau sebaliknya.

Keseluruhan ujian Ishihara ini terdiri daripada 38 plat untuk mengenal pasti masalah penglihatan seseorang, tetapi biasanya selepas beberapa plat masalah itu sudah dapat dikenal pasti.

Ada juga ujian yang lebih kecil dan hanya menggunakan 14 plat atau 24 plat.

Plat ini akan memberi keputusan ujian yang berbeza:

Plat transformasi: Individu dengan kecacatan penglihatan warna harus melihat angka yang berbeza daripada individu dengan penglihatan warna normal.

Plat pudar: Hanya individu yang mempunyai penglihatan warna normal dapat mengenali angka tersebut.

Plat angka tersembunyi: Hanya individu yang mempunyai cacat penglihatan warna dapat mengenali angka tersebut.

Plat diagnostik: Bertujuan untuk menentukan jenis cacat penglihatan warna (protanopia atau deuteranopia) dan keparahannya.

Protanopes ialah individu yang tidak dapat melihat merah manakala Deuteranopes ialah individu yang tidak dapat melihat hijau.

Ujian Ketenteraan

Pada masa lalu, Jepun ingin berkembang maju dalam bidang ketenteraan dan oleh itu, mereka memerlukan anggota tentera bijak atau jurutera yang mempunyai penglihatan yang sangat baik untuk berada di dalam bidang yang berunsur teknologi kimia.

Kemudian, Jepun mengadakan pertandingan "The World Class Asian Champion" di mana pertandingan ini akan memilih beberapa pemuda terbaik Jepun dan pakar dalam semua bidang seperti sains, kimia, nuklear, fizik serta pakar senjata.

Hal ini kerana, pakar-pakar sangat dikehendaki oleh kerajaan Jepun untuk meneroka dan mengeluarkan senjata Jepun.

Di samping itu, Jepun juga mengalami beberapa halangan dalam proses pengeluaran dan penyelidikan senjata Jepun ketika ia dimulakan.

Mereka tidak dapat memperbaiki perkembangan teknologi atom dan nuklear kerana sesetengah pakar mereka didapati sukar untuk membezakan warna dalam unsur kimia pembuat nuklear atom untuk senjata.

Masalah ini kemudiannya disampaikan kepada Universiti Tokyo di mana terdapat seorang doktor pakar mata bernama Shinobu Ishihara.

Dr. Shinobu Ishihara dilahirkan pada 25 September 1879, merupakan seorang Opthalmologist Jepun dan mula berkhidmat dalam bidang ketenteraan pada tahun 1910 sebagai pengajar dalam perubatan ketenteraan Jepun.

Di sana, selain memeriksa dan merawat pesakit, beliau juga diminta untuk menguji calon anggota tentera Jepun, sama ada mereka mempunyai masalah penglihatan atau tidak.

Pada mulanya, buku Ishihara adalah hanya lukisan cat air yang menggunakan simbol Hiragana.

Kaedah yang digunakan oleh beliau sangat berkesan dalam memilih ahli tentera Jepun yang mempunyai penglihatan normal dan yang sukar untuk membezakan warna.

Bagi mereka yang menghadapi masalah dalam membezakan warna, mereka diletakkan dalam bidang yang tidak berkaitan dengan elemen kimia manakala bagi yang normal pula dijadikan sebagai jurutera mesin senjata kimia Jepun.

Akhirnya, selepas Dr. Shinobu Ishihara berjaya menyelesaikan masalah tentera Jepun, namanya menjadi lebih terkenal.

Lebih-lebih lagi, apabila beliau menerbitkan sebuah buku khas kepada semua agensi untuk menguji masalah buta atau rabun warna dikalangan anggota.

Beliau telah menerbitkan buku "The Ishihara Color Vision Charts" pada tahun 1918.

Sejak itu, "Ujian Ishihara" menjadi terkenal dan masih menjadi pilihan utama di seluruh dunia sehingga kini untuk mengenal pasti jika seseorang itu mempunyai masalah penglihatan warna.

Selain itu, Dr. Shinobu Ishihara juga telah memberi sumbangan besar dalam kajian trachoma dan miopia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, July 24, 2019

Cara Mengenali Penagih Syabu

Cara Mengenali Penagih Syabu

Syabu adalah dadah yang popular di masa kini dan membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresive untuk mendapatkannya.

Penagih Syabu
Gambar hiasan.

Malangnya, ada tokan-tokan syabu ini yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kali agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan. Harganya yang mahal (100miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Tanda ketika awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi, menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.

Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka, namun ia hanya untuk seketika.

Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai 'kong')

Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.

Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang akan mengetap gigi, ada sesetengah akan membasuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.

Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat "kong" ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.

Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.

Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur.

Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.

Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh.

Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Diantara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ni boleh jadi gila terus.

Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.

Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan mengaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini dan pada ketika inilah anda boleh melihat bomoh dan pawang-pawang diluar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, kena bagi 'extra care'lah nampak gayanya.

Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

Hisap syabu menggunakan foil secara terus

Salah sangka dikalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.

Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.

Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru), namun kalau sudah extreme agak susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka.

Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang.

Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lama yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, July 21, 2019

Skandal Seks John F Kennedy, Presiden AS Yang Di Gelar Buaya Darat!

Skandal Seks John F Kennedy, Presiden AS Yang Di Gelar Buaya Darat!

Skandal dan Presiden Amerika Syarikat tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu, disebalik imej bersih yang cuba ditampilkan kepada para penyokong di luar sana, tersirat pelbagai rahsia gelap yang tersembunyi yang membelenggu penggal pentadbiran mereka sebagai presiden.

Pembunuhan JFK

Walau apapun alasan yang diberi, yang pasti ia memberi pelbagai warna kepada suasana politik Amerika Syarikat dan memberi impak besar kepada sejarah negara itu.

Dalam kes John F Kennedy (JFK), skandal seks membabitkan beliau terlalu banyak sehingga ada satu gelaran sesuai kepada anak kelahiran Brookline, Massachusetts ini, Buaya darat!

Ramai sejarawan mengakui kewujudan hubungan-hubungan terlarang yang dijalin JFK tetapi pada masa sama, ia juga menerangkan hubungan kompleks beliau dengan golongan wanita.

Menurut penulis buku The Kennedy Half-Century: The Presidency, Assassination and Lasting Legacy of John F. Kennedy dan Pengarah Pusat Politik Universiti Virginia, Larry Sabato, JFK boleh menjadi baik dan menghormati wanita yang ada kuasa dan pengaruh.

Tetapi yang pasti, beliau mempunyai selera nafsu yang kuat dan jika ia dilihat dari konteks hari ini, JFK melihat wanita-wanita muda dan cantik sebagai objek pemuas nafsu.

Jika tidak, mengapa beliau boleh mengeluarkan kenyataan ini semasa berbual dengan Perdana Menteri Britain ketika itu, Harold MacMillan, “Jika saya tidak melakukan hubungan seks setiap hari, saya akan merasa pening kepala.”

Mungkin ada yang mempertikai mengapa Jackie Kennedy tidak melakukan sesuatu terhadap isu ini, hakikatnya walaupun dianggap naif oleh sesetengah kakitangan Rumah Putih, beliau tahu setiap perkara di situ termasuk hubungan-hubungan sulit yang dijalin suaminya itu.

Tetapi beliau memilih untuk tidak mengendahkannya bukan saja demi menjaga perkahwinan mereka tetapi juga demi anak-anak yang masih kecil ketika itu.

Jika ada yang merasakan puncanya ialah ketidakpuasan JFK dengan layanan yang diberi Jackie, jawapan anda salah.

Dalam buku Grace and Power: The Private World of the Kennedy White House hasil tulisan Sally Bedell Smith, pada satu ketika, beliau pernah mengadu dengan salah seorang doktor peribadinya, Frank Finnerty tentang kualiti hubungan kelamin pasangan tersebut.

Finnerty kemudian memberi tunjuk ajar kepada Jackie bagaimana untuk membincangkan soal tersebut dengan JFK tanpa menyinggung perasaan presiden itu dan pada pertemuan seterusnya, beliau melaporkan kualiti hubungan kelamin mereka bertambah baik.

Tetapi pada masa sama, Jackie juga percaya isu keintiman seksual dirinya bukanlah punca perangai hidung belang suaminya itu.

Tidak kira siapa, sama ada orang biasa atau pemimpin terkenal, siapa tidak makan hati bila pasangan bermain kayu tiga.

Untuk menghilangkan rasa sedih berkenaan isu ini, Jackie suka berjalan sekitar taman-taman di Rumah Putih, membaca buku, melukis dengan cat air dan membawa anak-anaknya bersiar-siar dengan kereta lama miliknya dengan memakai skaf dan kot lama sebagai samaran.

Pada waktu malam pula, beliau menganjurkan sesi makan malam untuk lapan orang bersama sekumpulan rakan rapat dengan seorang artis atau penulis yang dibawa dari New York sebagai muka baru.

Jika ada program bersama orang kenamaan dari luar negara, satu jamuan makan malam diadakan di mana ia menetapkan standard baru bagi kecemerlangan kulinari dengan menu makanan dalam Bahasa Perancis bagi yang menghadirinya buat kali pertama.

Jika tidak berada di Rumah Putih, Jackie membawa anak-anaknya iaitu Caroline dan John F Kennedy Jr melawat estet keluarga Kennedy di Glen Ora, Virginia.

Estet ini menjadi pilihan kerana ia membolehkan Caroline menunggang kuda sementara Jackie pula boleh memandikan, membacakan cerita kepada mereka sebelum tidur dan menidurkan mereka.

Kadangkala, mereka menetap selama berminggu-minggu dan bagi JFK, lawatan ke estet ini membolehkannya bertemu dengan mereka.

Selalunya, beliau tiba pada hujung minggu untuk bermain backgammon atau melelapkan mata barang seketika.

Namun di sebalik semua ini, perkahwinan JFK-Jackie terus utuh sehinggalah pembunuhan beliau pada 22 November 1963 di tangan Lee Harvey Oswald.

Ya, mungkin ada yang mempersoal mengapa Wanita Pertama Amerika ini terus setia kepada presiden buaya darat ini tetapi itu juga merupakan manifestasi cintanya yang mendalam terhadap JFK.

Selain itu, Jackie sebenarnya menurut jejak langkah ibu mentuanya, Rose yang turut berhadapan isu sama dengan suaminya, Joseph Kennedy.

Berikut senarai wanita yang disyaki mempunyai hubungan dengan JFK sebelum dan selepas bergelar presiden.

1. Marlene Dietrich

Bagi peminat filem-filem klasik Hollywood, nama Marlene Dietrich sentiasa meniti di bibir mereka.

Siapa tidak kenal lakonan mantapnya dalam Morocco (1930) dan Shanghai Express (1932), tetapi tidak ramai tahu, beliau juga mempunyai selera seksual yang hebat walaupun sudah mencecah usia warga emas.

Antara individu terkenal yang pernah bergelar kekasihnya iaitu John Wayne, Errol Flynn, Kirk Douglas, Frank Sinatra, Joseph dan John F Kennedy. Ya, dua beranak Kennedy pernah bersama dengannya.

Hubungan seksualnya dengan JFK berlaku pada September 1963 apabila Dietrich yang ketika itu berumur 60 tahun dijemput sebagai penghibur untuk satu persembahan di Rumah Putih.

JFK yang ketika itu 20 tahun lebih muda daripadanya mula menggoda pelakon terkenal itu di sebuah bilik tidur berhampiran West Sitting Room walaupun Dietrich seharusnya membuat persembahan dalam tempoh setengah jam.

Tetapi angkara tidak dapat menahan gejolak nafsu, kedua-duanya melakukan hubungan seks selama 20 minit.

Apabila JFK hampir terlelap di atas katil, Dietrich mengejutkannya kerana tidak tahu selok-belok laluan Rumah Putih.

Presiden itu kemudiannya bertanya sama ada pelakon terkenal itu mempunyai hubungan sulit dengan bapanya, Dietrich bagaimanapun berbohong dan menafikan wujud hubungan antaranya dengan Joseph.

Apabila mendengar jawapan penghibur itu, JFK membalas, “Saya tahu dia berbohong.”

2. Mimi Alford

Jika ada yang mengatakan Monica Lewinsky satu-satunya kes hubungan sulit membabitkan presiden dengan pelatih Rumah Putih, anda salah.

JFK juga pernah menjalin hubungan dengan seorang pelatih bernama Mimi Alford.

Beberapa hari selepas bekerja di Pejabat Media Rumah Putih, dia bertemu dengan presiden itu semasa beliau berenang pada waktu tengah hari di kolam renang Rumah Putih.

Selepas selesai berenang, JFK memperkenalkan dirinya dan lewat hari yang sama, beliau mengajaknya minum selepas waktu bekerja.

Menurut memoir Alford, beliau menawarkan diri sebagai pemandu arah Rumah Putih dan aktiviti ini membawa kepada JFK menggodanya dalam satu bilik yang dipanggilnya sebagai bilik Puan Kennedy (Jackie).

Selepas hubungan kali pertama itu, dia merasa terkejut dengan apa yang berlaku tetapi bagi JFK, ia bagaikan seperti satu rutin baginya.

Hubungan sulit mereka ini berlangsung selama 18 bulan dan Alford tetap memanggilnya Tuan Presiden, bukan nama panggilannya Jack.

Dalam memoir yang sama, dia turut mendedahkan pernah melakukan seks oral terhadap seorang pembantu selepas dicabar JFK dalam kolam renang.

Pembantu yang dimaksudkan ialah Dave Powers yang turut bertanggungjawab membawa ramai pelacur ke Rumah Putih dengan bantuan Perkhidmatan Rahsia untuk memenuhi kehendak nafsu presiden itu.

3. Marilyn Monroe

Happy Birthday to you,
Happy Birthday to you,
Happy Birthday Mr. President,
Happy Birthday to you.
Thank’s Mr. President
For all the things you’ve done
The battles you’ve won
The way you deal with US Steel
And our problems by the ton,
We thank you, so much.
Everybody, Happy Birthday!

Sesiapa yang melihat nyanyian menggoda Marilyn Monroe sebagai ucapan selamat hari lahir terhadap JFK pada majlis kutipan dana Parti Demokrat 1962 dan reaksi beliau terhadap nyanyian itu sudah tahu kedua-duanya mempunyai hubungan sulit.

Boleh rujuk link yang disediakan: https://www.youtube.com/watch?v=EqolSvoWNck

Hubungan Monroe dengan JFK bermula pada Februari 1962 bila beliau dijemput menghadiri satu majlis makan malam di New York bagi meraikan presiden.

Sebelum Monroe meninggalkan majlis, beliau sempat memberi nombor telefonnya kepada JFK dan pada bulan seterusnya, pelakon yang dikenali dengan filem Seven Year Itch (1955) itu dijemput ke Palm Springs untuk menemani presiden.

Di sinilah, bermulanya hubungan sulit dua tokoh ikon 50-an dan 60-an itu.

Marilyn Monroe yang sudah mabuk asmara dengan JFK turut beraspirasi menggantikan Jackie sebagai Wanita Pertama dan pernah menulis surat kepada Jackie tentang perkara itu.

Wanita Pertama Amerika itu secara sinis membalas, “Marilyn, kau akan mengahwini Jack, itu memang bagus dan kau akan berpindah ke Rumah Putih dan kau akan menggalas tanggungjawab Wanita Pertama dan aku akan berpindah keluar dan kau akan menanggung semua masalah (hubungan-hubungan sulit JFK).”

Selain JFK, Marilyn Monroe juga dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan adik JFK, Robert.

4. Judith Campbell Exner

Judith bukan sekadar kekasih gelap JFK, dia juga pernah menjadi kekasih penyanyi klasik terkenal Sinatra dan ketua mafia Sam Giancana.

Mereka mula bertemu pada tahun 1960 semasa Sinatra membuat persembahan di Sands Hotel, Las Vegas.

Dalam pertemuan itu, Judith menggambarkan beliau sebagai pendengar terhebat.

Menurut wartawan siasatan Seymour Hersh, Judith digunakan sebagai kurier antara JFK dengan mafia berupa bayaran kononnya untuk mafia bagi tujuan pembelian undi dan pembunuhan Presiden Cuba, Fidel Castro.

Judith juga mendakwa pernah mengandungkan anak beliau sebelum terpaksa menggugurkannya.

5. Ellen Rometsch

Sesiapa yang menatap wajah pelacur berusia 27 tahun dari Jerman Timur ini pasti menyangka melihat kembar Elizabeth Taylor.

Selepas berhijrah ke Amerika Syarikat, dia menyertai rangkaian pelacuran yang dipanggil Quorum Club yang beroperasi di suite tiga bilik di Carroll Arms Hotel yang terletak di seberang bangunan Senat yang baru.

Pada musim bunga 1963, Ellen menyertai parti kolam bogel di Rumah Putih dan merupakan antara wanita yang sentiasa mempunyai hubungan seks dengan JFK di Rumah Putih.

Tetapi pada Ogos tahun sama, Robert Kennedy dikatakan mengatur pengusiran keluar Ellen kerana bimbang rahsia hubungan sulitnya dengan JFK terbongkar dan diketahui orang ramai.

6. Mary Pinchot Meyer

Menurut penulis biografi Peter Janney, Mary merupakan kenalan lama JFK sejak bertemu buat kali pertama pada tahun 1938.

Pernah berkahwin dengan seorang ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan adiknya merupakan isteri kepada editor Washington Post, Peter Bradlee, itu meletakkannya dalam lingkungan sosial keluarga Kennedy di Washington.

Penulis biografi Nina Burleigh, Mary kerap melawat JFK di Rumah Putih dan diketahui sebagai salah seorang perempuan simpanan beliau.

Tetapi dia juga dikenali sebagai pencinta keamanan dan mempunyai hubungan rapat dengan pelopor rawatan terapi LSD, Timothy Leary.

Justeru, tidak hairanlah wujud dakwaan konspirasi yang menyelubungi kes pembunuhannya pada tahun 1964 di mana penasihat-penasihat JFK enggan membenarkan pandangan Mary mempengaruhi dasar dan tindak-tanduk JFK dan sehingga kini, kes pembunuhan tersebut masih belum berjaya diselesaikan.

7. Pamela Turnure

Jika Jackie menyumpah kerenah wanita-wanita yang mendampingi suaminya itu, beliau juga sedar salah seorang wanita itu ialah setiausaha akhbarnya, Pamela Turnure.

Pamela yang berasal dari Georgetown dikatakan mempunyai paras rupa seiras Jackie dan dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan JFK dari 1961 hingga 1963 semasa berusia 21 tahun.

Pada mulanya, dia bekerja sebagai setiausaha semasa JFK bergelar senator dan berjaya mendapat pekerjaan di Rumah Putih sebagai setiausaha akhbar Jackie hasil pengaruh dan lobi beliau.

Jika Jackie tiada di Rumah Putih, maka Pamela akan menjadi peneman tidur malam beliau.

8. Gunilla von Post

Sosialit Sweden ini berumur 21 tahun semasa bertemu dengan JFK di French Riviera, beberapa minggu sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Jackie.

Walaupun sudah berkahwin, itu tidak menghalang beliau dan Gunilla saling berhubung dan 2 tahun kemudian, dua insan ini kembali berhubung dan ia berakhir di atas ranjang.

Pada malam itu juga, JFK meluahkan hasrat untuk menceraikan Jackie dan mengahwini Gunilla, tetapi menurutnya dalam memoir pada tahun 1997, hasrat beliau ditentang keras Joseph yang melihat jika tindakan itu diteruskan, maka itu juga merupakan penamat karier politik JFK.

Berikutan itu, hubungan cinta terlarang mereka berakhir dalam satu malam.

9. Priscilla Wear dan Jill Cowen

Perkhidmatan Rahsia mempunyai kod nama sinis untuk dua setiausaha Rumah Putih ini iaitu Fiddle dan Faddle.

Kedua-dua wanita ini lebih dikenali kerana mempunyai hubungan rapat dengan JFK berbanding tugas asal mereka sebagai setiausaha.

Ini didedahkan oleh seorang bekas ejen perkhidmatan itu kepada penulis Ronald Kessler yang mendakwa mereka sentiasa mencuri peluang berendam dalam kolam renang bersama JFK dan kembali semula ke meja mereka dalam keadaan rambut yang basah.

Menurut penulis Caitlin Flanagan yang menulis satu artikel untuk The Atlantic, kedua-dua wanita ini turut menjadi sebahagian daripada rombongan lawatan beliau ke pelbagai tempat seperti Rome, Nassau dan Ireland.

Jackie tahu kedua-duanya merupakan pemuas nafsu JFK mengikut catatan Flanagan.

Pada satu ketika, beliau menjadi pemandu lawatan untuk seorang wartawan Perancis, semasa melalui meja Wear, Jackie berkata dalam Bahasa Perancis, “Inilah perempuan yang dikatakan tidur dengan suami saya.”

Skandal sebegini bukan saja merungsingkan Perkhidmatan Rahsia tetapi juga para penasihat JFK sendiri kerana selain Romentsch, tidak diketahui berapa orang pelacur yang digunakan beliau tetapi itu sudah cukup membimbangkan Perkhidmatan Rahsia kerana boleh menyebabkan JFK diugut atau menjadi sasaran pengintipan.

Dalam satu temubual untuk dokumentari ABC tahun 1997, bekas ejen Perkhidmatan Rahsia, Anthony Sherman berkata, “Beliau mempunyai kecenderungan mengelilingi dirinya dengan wanita-wanita yang kadangkala mempunyai latar belakang mencurigakan.”

Bila mengulas kecenderungan JFK ini, Sabato menyifatkan beliau sebagai semberono dan merisikokan semua perkara yang disayanginya serta percaya maklumat sebegini pasti diketahui agensi-agensi perisikan asing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Saturday, July 13, 2019

Kisah Perang Thermopylae Disebalik '300' Tentera Spartan

Kisah Perang Thermopylae Disebalik '300' Tentera Spartan

Peminat-peminat filem pasti tahu tentang sebuah filem aksi yang diadaptasi daripada komik berjudul '300' lakonan Gerard Butler, sebuah filem aksi yang unik kerana membawa beberapa teknik baru pembikinan filem yang akhirnya menjadi ikutan sehingga kini.

300 Spartan

Sejarah dalam filem itu, walaupun berdasarkan kisah sebenar yang pernah berlaku, lebih banyak mengambil inspirasi daripada kisah komik '300' hasil karya Frank Miller dalam jalan cerita serta persembahan.

Kisah tentera Greek terpaksa berhadapan dengan jumlah askar Persia yang lebih 10 kali ganda bilangan mereka, dipimpin oleh Raja Leonidas itu berlaku dalam dua peperangan serentak, sebenarnya melibatkan dua tempat berbeza dalam waktu yang sama.

Mengapa peperangan yang digelar 'Perang Thermopylae' ini sangat popular untuk dibicarakan peminat sejarah lama dunia?

Agenda penaklukan Persia

Selepas tewas dalam Perang Marathon pada tahun 490BC, orang Persia di bawah pimpinan anak kepada Raja Darius I yang menaiki taktha, Raja Xerxes mula meneruskan agenda ayahnya meluaskan pengaruh kerajaan Persia.

Pelan untuk menakluk Greece melalui Hellenspont dan seterusnya masuk melalui Thrace, dengan membawa jumlah angkatan yang besar diteruskan berpandukan kepada rancangan asal.

Bagi memastikan rancangan mereka berjaya ekoran kegagalan menyeberangi Gunung Athos dalam beberapa pertempuran sebelum itu, Xerxes bercadang untuk membina sebuah terusan merentasi tanah genting pergunungan tersebut.

Mengetahui rancangan penaklukan Persia, penduduk Athens dan Sparta mula bersedia membina peralatan bagi melindungi bandar mereka, termasuklah kapal-kapal layar.

Xerxes menawarkan perjanjian damai, meminta hadiah sumbangan daripada orang Greek sebagai tanda perdamaian namun ditolak bulat-bulat oleh orang Greek ketika itu, yang yakin kerjasama di antara Athens dan Sparta akan berjaya mengusir keluar serangan Persia.

Berdepan perang yang semakin hampir, beberapa strategi untuk menentang Persia diajukan dalam perbincangan kedua-dua pemerintah.

Jeneral-jeneral Sparta diberikan tanggungjawab mengetuai perang di darat, sementara Jeneral Athens mengetuai serangan di laut.

Pergerakan tentera Persia yang sudah melintasi Hellenspont, menyebabkan mereka perlu melalui satu laluan sempit yang terletak di Thermopylae.

Ini menimbulkan idea pada salah seorang Jeneral Athens bernama Themistocles, kerana laluan sempit itu mampu membolehkan tentera yang lebih sedikit jumlahnya berdepan jumlah angkatan Xerxes yang lebih ramai.

Bagi merealisasikan idea beliau, Themistocles memujuk tentera Sparta meninggalkan kedudukan mereka, bagi membantu mempertahankan kawasan milik Athens.

Sebagai pertukaran, Themistocles dan seluruh tentera Athens berjanji akan mempertahankan sebuah kawasan bernama Artemisium daripada serangan laut Xerxes.

Selepas dipersetujui tentera Sparta, seluruh lelaki dewasa Athens diminta untuk turut menyertai peperangan dan golongan wanita serta kanak-kanak dipindahkan ke kawasan bernama Peloponnesus, untuk dilindungi.

Tentera yang berperang di darat, mula bergerak ke Thermopylae di bawah arahan Sparta, mempertahankan jurang sempit yang terletak di antara bukit dan laut, pintu kepada bahagian selatan Greece yang dikenali dengan nama 'The Hot Gates.'

Strategi Themistocles memerlukan kemaraan tentera Persia di halang secara serentak di dua tempat, tentera Athens berperang dalam perang yang dinamakan 'Peperangan Artemissium' sementara tentera Sparta terlibat melindungi The Hot Gates, dalam 'Peperangan Thermopylae.'

Mempertahankan 'The Hot Gates'

Ketika mendapat berita tentang tugas mereka, Raja Leonidas dan tenteranya sedang meraikan festival Carneia yang melarang mereka menyertai peperangan - berdasarkan undang-undang masyarakat Sparta.

Bagaimanapun, majlis penasihat mereka merasakan kepentingan untuk melindungi The Hot Gates jauh lebih besar berbanding pantang-larang mereka.

Raja Leonidas diberikan pelepasan untuk membawa 300 orang askarnya yang digelar Hippeis dan berharap mereka dapat mengumpulkan lebih ramai askar dalam perjalan ke Thermopylae, serta mampu bertahan sementara menunggu kedatangan tentera Sparta sebenar.

Mereka tiba di Thermopylae dengan jumlah keseluruhan hampir 7,000 orang, gabungan dengan tentera-tentera Greece lain dari negeri Arcadia dan Corinth, termasuk 1,000 orang Phocian yang pernah bertugas membina dinding pertahanan di The Hot Gates.

Oleh kerana orang Phocian sudah mengetahui tentang laluan pergunungan yang ada mampu memintas kedudukan mereka seterusnya menggagalkan strategi pertahanan Themistocles, Raja Leonidas meminta 1,000 orang Phocian yang sudah mahir dengan kawasan tersebut untuk melindungi laluan pergunungan itu.

Pada pertengahan bulan Ogos tahun 480BC, tentera Persia mula kelihatan di Teluk Malian, berdekatan Thermopylae.

Xerxes menghantar wakil untuk rundingan dengan tawaran lumayan kepada Leonidas dan tenteranya. Rundingan itu ditolak.

Xerxes menunggu selama lebih empat hari tanpa melakukan apa-apa. Hanya pada hari ke lima, melihat Leonidas dan orang-orangnya terus berdegil mempertahankan kedudukan mereka, Xerxes mengarahkan tenteranya menyerang.

Kebijaksanaan Themistocles, keperkasaan Leonidas

Strategi bijak Themistocles mencipta benteng di darat dan lautan membolehkan kemaraan tentera Persia disekat dengan mudah, buat sementara kerana lokasi yang dipilih Themistocles memang menyukarkan tentera Persia untuk mara.

Kedua-dua titik pertarungan merupakan kawasan laluan sempit yang akan membolehkan tentera Greece yang lebih kecil jumlahnya, mampu berdepan dengan tentera Persia yang lebih ramai.

Jumlah yang terlalu besar (dianggarkan di antara 70,000 ke 800,000 orang), tentera Persia melakukan tindakan lebih pantas, disebabkan keperluan untuk mendapatkan bahan bekalan askar-askar yang ada.

Harapan Themistocles, sekiranya mereka berjaya mempertahankan kedua-dua kawasan ini untuk satu tempoh, lama-kelamaan tentera Persia akan perlu bergerak atau merempuh masuk.

Bagaimanapun, jumlah pengorbanan yang diperlukan sukar sekali untuk diramal dari pihak mereka.

Xerxes mula menyerang The Hot Gates

Raja Leonidas mengarahkan tenteranya mempertahankan laluan sempit itu dengan formasi mereka yang dinamakan 'phalanx.'

Berikutan kelebihan berdasarkan faktor geografik serta kelebihan tentera Hoplites arahan Leonidas, mereka berjaya mempertahankan kedudukan mereka di hari pertama serangan tentera Persia yang berjumlah lebih 10,000 orang.

Peralatan yang digunakan orang Greece ketika itu juga jauh lebih sesuai untuk pertempuran, kerana tentera Persia yang dilengkapi pedang dan tombak yang lebih pendek memerlukan mereka masuk ke dalam perangkap Leonidas.

Tidak mengerti kenapa sukar untuk mereka memecah masuk, Xerxes menghantar beberapa kumpulan besar lagi, namun semua serangan Persia berjaya dipatahkan pihak Greece.

Menjangkakan serangan yang dilakukan sebelum itu sekurang-kurangnya berjaya menurunkan jumlah tentera Greece, hari kedua peperangan Thermopylae berlaku dalam corak yang sama dengan kegagalan demi kegagalan tentera Persia.

Hanya selepas seorang warga Trachinia bernama Ephialtes belot dengan memberitahu tentera Persia dan Xerxes berkenaan laluan pergunungan yang mampu merentasi kedudukan orang Greece, Xerxes mengarahkan komandernya bernama Hydarnes dengan lebih 20,000 orang untuk cuba melalui laluan tersebut.

1,000 orang Phocian yang ditugaskan mengawal laluan tersebut terpaksa berundur melihat jumlah tentera yang besar di hadapan mereka.

Khabar buruk kegagalan orang Phocian melindungi laluan tersebut sampai ke telinga Leonidas.

Atas perbincangan, beliau memutuskan untuk terus mempertahankan kedudukan mereka; walaupun tahu mereka kini sudah dikepung tentera Persia.

Berjuang hingga mati

Walaupun Leonidas mengambil keputusan untuk terus bertahan, dia membuka peluang kepada mana-mana tentera yang mahu berundur untuk meninggalkan mereka di situ.

Majoriti askar gabungan itu mula beredar, dengan hanya Leonidas, pasukan pengawal Hippeis beliau disertai oleh 400 orang Thebans dan 700 orang Thespian mengambil keputusan untuk terus mempertahankan The Hot Gates.

Tindakan Leonidas yang tidak mahu berpatah balik menimbulkan beberapa persoalan pada pengkaji sejarah tentang sebab sebenar Leonidas terus berkeras mempertahankan kedudukan mereka.

Banyak pihak menyebut tindakan itu diambil berikutan tatacara perang orang Sparta yang tidak dibenarkan berundur.

Walau bagaimanapun, pendapat paling popular menyebut, Leonidas bertindak mengorbankan dirinya bagi memastikan tentera yang mahu berundur berjaya melarikan diri.

Ini kerana masih ada pihak perlu menghalang kemaraan Persia daripada arah laut. Dengan berkorban, seramai lebih 3,000 orang askar selamat untuk berjuang di kemudian hari.

Tentera Spartan

Spartan sangat terkenal sebagai antara pahlawan paling ditakuti dalam sejarah dan antara yang paling brutal.

Walaupun ramai yang percaya Spartan hanyalah mitos dan bukan fakta, namun spartan dibesarkan dan dilatih untuk menjadi pahlawan yang kejam.

Kanak-kanak spartan diperiksa untuk melihat jika ada kecacatan atau ketidakupayaan. Jika terdapat kekurangan, kanak-kanak itu akan dibiarkan mati.

Pada usia 7 tahun, kanak-kanak yang melepasi ujian ini akan diambil daripada keluarga dan menjalani latihan ketenteraan yang sangat dahsyat.

Mereka akan belajar bertarung dan memburu dan untuk melatih kebolehan berdikari, pada usia 12, spartan harus tidur di luar kawasan rumah dan membuat katil sendiri menggunakan buluh serta mencari makanan sendiri dengan cara mencuri.

Jika prestasi spartan seseorang itu tidak memuaskan dia akan dihukum untuk bekerja lebih keras dan dibuli.

Nasib Buruk

Menyedari risiko di serang dari belakang oleh tentera Hydarnes, Leonidas sudah bersedia berhadapan dengan nasib buruk yang bakal menimpa mereka. Serangan tentera Xerxes terpaksa dipertahankan dengan jumlah tentera yang lebih kecil.

Nekad, sekurang-kurangnya mahu mengorbankan seberapa ramai tentera Persia sebelum mereka dibunuh, Leonidas dan saki-baki tenteranya bergerak mendekati angkatan tentera Persia dan mula berperang dalam kawasan yang lebih luas secara berdepan.

Pada hari ketiga perang Thermopylae, Leonidas terkorban selepas dipanah askar Persia. Tentera di bawahnya cuba berundur ke bahagian lereng bukit namun mereka terus ditekan oleh jumlah tentera Persia yang jauh lebih ramai.

Melihat semakin sukar untuk bertahan, orang-orang Theban mengambil keputusan menyerah diri dan orang-orang Sparta terus berjuang sehingga tidak ada seorang pun tinggal.

Strategi Themistocles berjaya akhirnya

Selepas tentera kecil Leonidas gagal mempertahankan Thermopylae, pintu untuk Persia masuk terbuka luas.

Themistocles mengubah strateginya walaupun dia sendiri berjaya mempertahankan Artemissium selama 3 hari.

Beliau mengeluarkan arahan untuk menyembelih semua binatang ternakan yang ada agar tidak jatuh ke tangan Persia.

Tentera Athens mula berundur ke Salamis bagi merangka strategi baru dan mengumpulkan kembali orang-orang mereka.

Xerxes dan tenteranya berjaya masuk ke Greece, memusnahkan bandar yang tidak tunduk kepadanya seperti Plataea dan Thespiae sebelum mara ke ibu negeri Greece, Athens yang sudah kosong.

Themistocles mengambil keputusan untuk mempertahankan Teluk Saronic, di mana strategi hampir serupa sekali lagi digunakan.

Kali ini, mereka mengambil inisiatif lebih awal menyerang tentera Persia lebih awal berbanding bertahan seperti di Thermopylae dan Artemissium.

Tentera Persia mengalami kekalahan dalam Perang Salamis, memaksa Xerxes dan tenteranya berundur.

Kedudukan tentera Parsi yang sudah terlalu jauh daripada Hellespont, membuatkan Xerxes mula risau sekiranya kawasan tersebut dapat dikuasai orang Greece menyebabkan laluannya untuk kembali ke Asia tersekat.

Xerxes berundur dengan tenteranya namun berdepan situasi teruk akibat wabak dan kekurangan bekalan makanan.

Dia meninggalkan panglimanya bernama Mardonius untuk meneruskan kemaraan mereka, namun kejayaan tentera Greece mengambil semula Attica dan beberapa kawasan lain, menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula orang Greece.

Dalam Perang Plataea, tentera Sparta, Athens dan Tegeans sekali lagi bergabung menyerang kubu orang Persia pada tahun 479BC.

Mardonius berjaya dibunuh dan 43,000 tentera Persia terkorban, menandakan berakhirnya ancaman ke atas Greece.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, July 06, 2019

Penemuan Harta Karun Di Laut Malaysia

Penemuan Harta Karun Di Laut Malaysia

Tidak ramai mengetahui bahawa, di dalam kegelapan dasar lautan di beberapa lokasi rahsia perairan Malaysia, tersembunyi banyak khazanah misteri yang tidak ternilai harganya yang menjadi buruan ramai pemburu harta karun.

Harta Karun Di Malaysia
Gambar hiasan.

Selama ratusan tahun, khazanah 'harta karun' itu hanya tersadai melewati masa tanpa disedari sesiapa sehinggakan kewujudannya di dasar laut itu sekadar menjadi mainan dan lokasi kediaman buat ribuan ikan serta hidupan laut.

Lama terpendam di dasar lautan, akhirnya sekitar 30 tahun lalu, beberapa penyelam mula meninjau keadaan di dasar laut dan ketika itulah mereka menyedari ada satu bentuk tinggalan aneh yang terdampar di sebalik kawasan air yang terasing itu.

Selepas diamati dan didekati, akhirnya penyelam terbabit menyedari bahawa di dasar Laut China Selatan dan Selat Melaka di negara ini, tersimpan banyak warisan kapal karam purba yang mengandungi khazanah yang tidak ternilai harganya.

Sejarah kewujudan kapal karam di dasar lautan negara dikatakan bermula seiring dengan sejarah Tanah Melayu pada zaman silam yang terletak di lokasi strategik iaitu di tengah jalan laut yang menghubungkan dunia Timur dan Barat.

Kelebihan itu menyebabkan banyak Kerajaan Melayu Lama di Tanah Melayu menjadi lokasi persinggahan pedagang, terutamanya Kerajaan Melaka menjadi terkenal sebagai satu daripada lokasi terkemuka perdagangan abad ke-15.

Kapal dagang asing yang singgah dan melalui perairan negara pada zaman silam ternyata bukan calang-calang, lantaran membawa banyak harta atau khazanah untuk perdagangan.

Karam di perairan negara

Ada antara kapal yang membawa barang dagangan berharga itu yang karam di perairan negara akibat pelbagai sebab, antaranya melanggar batu karang, dibedil dalam peperangan atau dipukul ribut.

Seterusnya, melewati masa sedari zaman penjajahan Portugis, Belanda, British sehinggalah ke Jepun, semakin banyak pula kapal yang membawa pelbagai harta karun, karam di dasar laut perairan negara.

Mengikut buku Mysteries of Malaysian Shipwrecks, dijelaskan sehingga kini, lebih 10 kapal karam sudah ditemui di perairan Malaysia dan selain Jabatan Muzium, usaha mencari kapal itu turut membabitkan pihak swasta mahupun orang perseorangan termasuk pencari harta karun.

Kapal Tentera Jepun

Antara usaha terawal dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut dilakukan sekitar penghujung era 1970-an apabila kerajaan Terengganu bersama Jabatan Muzium dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia menemui bangkai kapal karam tentera Jepun berhampiran Chendering.

Kapal Tentera Jepun itu karam kerana terkena tembakan peluru berpandu dan tenggelam kira-kira 30 meter di dasar laut.

Risdam

Penemuan terbesar dalam kerja mencari kapal karam di dasar laut negara dikatakan dicatat pada tahun 1980 apabila bangkai kapal dagang Risdam ditemui di perairan Mersing, Johor.

Kapal dagang milik Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) itu berusia 253 tahun dan karam pada tahun 1727.

`Harta karun' yang ditemui dalam kapal itu berupa 90 gading gajah, kira-kira 100 jongkong timah dan dua tembikar Thailand.

Diana

Pada tahun 1993 pula, Kapal Diana milik British yang karam di perairan Selat Melaka pada tahun 1817 ditemui bersama muatan kargo seberat 11 tan.

Antara barang dibawa kapal itu ketika karam ialah pinggan mangkuk, set teh dan kira-kira 24,000 unit tembikar China daripada jenis biru serta putih.

Nassau

Pada tahun yang sama, sebuah lagi kapal karam ditemui iaitu kapal Nassau milik Belanda ditemui pada kedalaman 27 meter dari paras laut berhampiran Port Dickson.

Kapal itu dipercayai karam dalam pertempuran `Tanjung Tuan' antara Belanda dengan Portugis pada tahun 1606.

Antara harta karun ditemui adalah senapang besi, meriam gangsa, kelengkapan pelayaran seperti kompas, 1,000 syiling perak Sepanyol dan bekas minuman.

Nanyang Dan Nanhai

Pada tahun 1995, dua lagi kapal karam ditemui iaitu Nanyang dan Royal Nanhai. Kapal Nanyang yang dipercayai dari China ditemui berhampiran perairan Johor.

Kira-kira 400 seramik sudah dikeluarkan dari kapal yang tenggelam pada tahun 1380 itu.

Kapal Royal Nanhai yang tenggelam pada tahun 1460 pula ditemui kira-kira 40 batu nautika dari Pantai Timur. Sebanyak 21,000 seramik antaranya buatan Thailand, China dan Vietnam ditemui di dalamnya.

Longquan

Kapal Longquan yang karam pada tahun 1400, ditemui semula pada tahun 1996 sekitar 23 batu nautika dari pantai Pantai Timur. Ia membawa seramik dari China dan Thailand.

Xuande

Pada tahun yang sama, Kapal Xuande yang karam pada tahun 1540 ditemui pada jarak 34 batu nautika dari pantai negara ini.

Kapal itu membawa harta karun berupa seramik dari China dan Thailand. Kapal Turiang yang dipercayai dari China, tenggelam pada tahun 1370 dan ditemui pada 1998 di perairan Johor.

Desaru

Kapal Desaru yang turut membawa seramik buatan China, ditemui pada kedalaman 20 meter dari paras laut berdekatan Mersing.

Kapal yang karam pada tahun 1830 dan temui pada tahun 2001 itu berukuran panjang 30 meter dan tujuh meter lebar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, July 03, 2019

Hybristophilia, Wanita Yang Mencintai Perogol Dan Pembunuh Kejam

Hybristophilia, Wanita Yang Mencintai Perogol Dan Pembunuh Kejam

Ted Bundy merupakan seorang pembunuh bersiri sebenar dari Amerika Syarikat, yang menjadi punca mengapa anak gadis berasa sangat takut untuk keluar berseorangan, terutamanya pada waktu malam sekitar tahun 70-an.

Hybristophilia Wanita Yang Mencintai Perogol
Ted Bundy.

Theodore Bundy, bertanggungjawab ke atas sekurang-kurangnya 30 kes pembunuhan kejam dan pelbagai lagi kegiatan-kegiatan seksual aneh, contohnya seperti nekrofilia, iaitu kegiatan seksual atau perlakuan seks ke atas mayat mangsa pembunuhannya.

Setelah beberapa kali dapat mengelak dari ditangkap dan berjaya melarikan diri dari tahanan pihak berkuasa, Bundy akhirnya dipenjara, dibicarakan dan telah dikenakan hukuman mati di sebuah penjara di Florida.

Namun, yang menariknya tentang Ted Bundy ini, selain daripada profil psikologinya yang unik, adalah cara dia ‘mempersembahkan’ diri di khalayak ramai.

Dia memiliki wajah yang kacak dan juga seorang yang berpendidikan. Selain itu, dia digambarkan memiliki perwatakan menarik dan berkarisma.

Jauh tersasar daripada tanggapan orang ramai tentang pembunuh atau penjenayah itu secara umumnya, iaitu berkelakuan ganas, mempunyai perangai dan penampilan yang buruk.

Walau bagaimanapun, ahli kriminologi dan psikologi berpendapat bahawa, ciri-ciri yang dimiliki inilah yang membuatkan Ted Bundy sangat berbahaya.

Disebabkan oleh jenayah yang dilakukan Bundy ini sangat kejam, ia mencetus kemarahan orang awam pada waktu itu, dan memohon supaya dia dikenakan hukuman mati dengan kadar segera.

Tetapi, seperti kes-kes jenayah lain, sudah tentu ada sesi perbicaraan di mahkamah namun begitu, berlakunya ‘fenomena’ pelik semasa sesi perbicaraan Ted Bundy sedang berjalan.

Apa yang aneh ialah, terdapat golongan yang terdiri daripada wanita, muncul di mahkamah tersebut dan seperti memberikan sokongan moral, malah ada juga di antara wanita dan gadis, yang “confess” cinta mereka kepada si pembunuh itu, walaupun mengetahui bahawa Bundy didakwa atas kesalahan membunuh, merogol dan melakukan nekrofilia.

‘Kegilaan’ ini sampai pada satu tahap, di mana sebahagian daripada ruang di mahkamah ketika perbicaraan tersebut, dipenuhi oleh ‘kumpulan sorak’ Bundy yang akan melontarkan senyuman kepada pembunuh kejam itu, sama ada ketika dia berjalan ke tempat duduk atau berdiri untuk memberi keterangan.

Adakalanya, kumpulan wanita ini juga akan ketawa kecil seakan menggedik apabila Bundy memandang ke arah mereka.

Pada tahun 1980an, walaupun mempunyai teman wanita pada waktu itu yang dikenali dengan nama Elizabeth Kloepfer, Bundy akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin dengan rakan lama, seorang wanita bernama Carole Ann Boone.

Walau bagaimanapun, Bundy bukanlah satu-satunya penjenayah yang mempunyai ‘peminat’ dan ‘kekasih’ di luar penjara.

Pembunuh bersiri lain yang juga sangat terkenal seperti Jeffrey Dahmer, Charles Manson dan Richard Ramirez, seringkali menerima surat cinta daripada ramai wanita.

Malah, seperti Bundy, Richard Ramirez atau nama lain yang diberi oleh media yakni “Nightstalker”, turut mengahwini salah seorang daripada peminatnya.

Contoh lain ‘hubungan’ Hybristophilia adalah seperti berikut:

1. “Bolin the Butcher” atau nama sebenarnya iaitu Oscar Ray Bolin, yang bakal dikenakan hukuman mati setelah disabitkan kesalahan ke atas jenayah rogol dan menikam 3 orang gadis, telah mengahwini Rosalie Martinez, seorang wanita yang bekerja sebagai pekerja sosial.

Rosalia Martinez pada waktu itu sudah berkahwin, tetapi beliau yang mungkin angau cinta, sanggup meninggalkan suami dan 4 orang anak perempuannya untuk mengahwini Bolin.

2. Susan Atkins merupakan salah seorang daripada pembunuh, dalam keluarga pembunuh bersiri Manson.

Dia mengahwini bukan sekali, tetapi dua kali iaitu kepada lelaki yang dikenali dengan nama Donald Lee Laisure pada tahun 1981, namun ia bertahan selama beberapa bulan sahaja dan yang kedua pada tahun 1987 kepada James Whitehouse, juga merupakan peguam kepada Atkins.

Mereka berdua kekal sebagai pasangan sehingga kematian Atkins pada tahun 2009 akibat barah otak.

3. “The Hillside Stranglers” merupakan duo pembunuh bersiri yang juga sepupu kepada masing-masing iaitu Kenneth Bianchi dan Angelo Bruno Junior.

Mereka disabitkan kesalahan atas jenayah rogol dan membunuh 10 orang gadis pada lewat 70-an dan telah dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Namun, mereka menemui cinta masing-masing. Pada tahun 1986, Buono mengahwini Christine Kizuka, manakala Bianchi mengahwini Shirlee Book pada tahun 1989.

Shirlee Book turut dikhabarkan berbalas surat dengan beberapa penjenayah lain dan turut dilaporkan bahawa cintanya pernah ditolak oleh Ted Bundy.

Mengapa perkara ini terjadi?

Menurut beberapa ahli psikologi, kelakuan ini dikenali dengan terma Hybristophilia, sejenis paraphilia atau tarikan seksual yang menjurus seseorang itu untuk mempunyai satu bentuk kepuasan seksual yang kuat kepada individu yang telah melakukan jenayah berat seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya.

Contoh paraphilia atau tarikan seksual lain yang aneh dan taboo adalah pedofilia, iaitu tarikan seksual kepada kanak-kanak dan zoofilia, yakni tarikan seksual kepada haiwan.

(Perbezaan tangga umur bagi kategori pedofilia dan jenis haiwan bagi zoofilia, mempunyai terma berlainan).

Dan apabila menyebut tentang paraphilia ini, anda juga perlu faham bahawa ia bukanlah salah satu daripada pelbagai cara lain untuk mendapatkan kepuasan seksual.

Paraphilia itu lebih kepada satu-satunya cara, atau dalam erti kata lain, cara utama (“primary”) yang membuatkan anda terangsang secara seksual.

Sehingga ke hari ini, tiada lagi sebarang kajian empirikal yang konkrit tentang Hybristophilia dilaksanakan oleh pengkaji.

Dan apa yang dijelaskan ahli psikologi, hanyalah sekadar pemerhatian atau bukti anekdot tentang perkara yang MUNGKIN menjadi punca kepada kelakuan ini.

Logik dan Naluri

Walau bagaimanapun, terdapat penjelasan serta logik disebalik perkara yang tampak gila ini. Ia mungkin berpunca daripada ‘naluri’ untuk merasakan diri itu selamat dan berasa seperti dilindungi.

Cuba kita berfikir sejenak, contohnya dalam dunia haiwan, sang betina akan memilih pasangannya berdasarkan kebolehan si jantan itu memburu dan membunuh mangsanya.

Kekuatan fizikal dan keganasan (“ferocity”) itu sangat diperlukan untuk menjadi jantan alfa dalam kumpulan, justeru itu menjadi sebab mengapa dalam dunia haiwan, betina berasa tertarik dan akan memilih jantan yang kuat untuk mengawan.

Jika kita cuba mengaplikasikan logik ini ke dalam kelakuan manusia, mungkin boleh, contohnya dari segi memiliki paras rupa yang kacak dan berbadan ‘sado’.

Perlu difahamkan, logik ini bagaimanapun bukan terpakai untuk semua perkara dan sudah tentu ada batasannya. Iyalah, tertarik kepada seorang individu yang membunuh dan merogol individu lain? Gila apa.

Tetapi, kemungkinan bahawa, perasaan bahaya seseorang dan ketakutan yang tersembunyi di dalam sudut kecil hati, serta dibantu oleh penggunaan label “pemangsa” atau “predator’ ke atas pembunuh bersiri secara umumnya, seolah mencetuskan ‘naluri dalaman’ seseorang itu, untuk menganggap penjenayah berbahaya sebagai ‘pasangan ideal’.

Menurut pendapat pakar, terdapat beberapa sebab mengapa individu mempunyai tarikan kepada penjenayah berat.

Dan ia adalah seperti berikut:

1. Tertarik kerana penjenayah itu terkenal dan inginkan perhatian. Bak kata mat saleh, “At the center of attention”, sama ada dari media, keluarga, rakan dan sebagainya.

2. Tertarik kerana penjenayah itu dianggap seorang yang sangat berbahaya. Berasa “thrill” dan “adrenaline rush” bercinta dengan seorang pembunuh.

3. Tertarik kerana bentuk komunikasi dengan penjenayah, contohnya melalui surat itu lebih tinggi kemungkinannya untuk menerima balasan, daripada surat yang dihantarkan kepada penyanyi atau bintang filem.

4. Tertarik kerana percaya bahawa ‘subjek tarikan’ (penjenayah) itu, tidak bersalah dan ingin memberi sokongan moral serta ingin dilihat ‘selalu ada’ dengannya, macam dialog filem-filem cinta, “You were always there”.

5. Malah, ada pakar berpendapat bahawa wanita yang berhubung dengan penjenayah berat ini, dikatakan mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan mungkin pernah menerima penderaan fizikal atau seksual.

Sehubungan dengan itu, hubungan dengan penjenayah ini boleh diibaratkan sebagai satu bentuk ‘hubungan selamat’, kerana penjenayah tersebut berada dalam penjara dan tidak mungkin akan bebas serta curang kepada pasangan.

6. Selain itu, elemen narsisisme juga turut dikaitkan dengan hybristophilia, yakni dengan mempunyai delusi atau mendapatkan idea bahawa individu yang ganas dan mempunyai keinginan kuat untuk membunuh, ‘secara ajaib’ akan berubah, dan membuat pilihan untuk tidak menyakiti, malah ingin mempunyai hubungan dengan anda.

Sudah tentu ia membuatkan anda merasakan diri itu sedikit istimewa bukan?

Contoh ini, dapat disaksikan di dalam “premise” atau plot filem dan drama bersiri tentang cinta kepada Vampire atau pontianak seperti filem “Twilight” dan drama bersiri “True Blood”.

Iyalah, pontianak menghisap darah dan membunuh orang dengan mudah dibantu fizikal yang kuat tetapi bagi heroin, ada sesuatu yang dilihat menarik, dimiliki oleh vampire tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, June 27, 2019

Skandal Seks Bill Clinton-Monica Lewinsky Yang Terus Segar Sehingga Ke Hari Ini

Skandal Seks Bill Clinton-Monica Lewinsky Yang Terus Segar Sehingga Ke Hari Ini

Sepanjang lipatan sejarah AS, bukan sekali dua Oval Office dilanda ribut taufan skandal yang menyelubungi Presiden namun, apabila berbicara tentang skandal seks Bill Clinton, ia masih memberi impak kepada Washington sehingga hari ini walaupun selepas berpuluh tahun ia terjadi.

Skandal Seks Clinton-Lewinsky

Skandal panas ini bermula apabila Monica Lewinsky, 22, seorang wanita kelahiran San Francisco, California, memulakan pekerjaan sebagai pelatih di pejabat Ketua Staf Rumah Putih pada musim panas 1995 dan baru saja menamatkan pengajian dari Kolej Lewis dan Clark.

Beberapa bulan selepas itu, pentadbiran Rumah Putih berhadapan dengan sekatan penutupan kerajaan persekutuan berikutan pertelagahan antara Rumah Putih dengan Kongres berkenaan soal belanjawan.

Maka, kebanyakan tugas harian di Rumah Putih yang seharusnya dikendalikan kakitangan awam kini dikendalikan oleh pelatih-pelatih seperti Lewinsky.

Ini menyebabkan mereka perlu berada di Sayap Barat dan berinteraksi dengan semua orang termasuk Clinton sendiri.

Dalam siri dokumentari The Clinton Affair, Monica Lewinsky mendedahkan dia sudah menyimpan hati terhadap Bill Clinton walaupun mengakui ia perkara yang salah.

Satu insiden yang masih segar di ingatannya ialah pada satu ketika, seluar dalamnya terlondeh sedikit antara satu hingga dua inci.

Staf-staf lain tidak menyedari perkara itu tetapi ada seorang individu perasan iaitu Clinton.

Monica Lewinsky mengakui dia seharusnya segera memperbetulkan seluarnya tetapi tidak melakukannya kerana suka dengan perhatian yang diberi presiden kelahiran Hope, Arkansas itu.

Dan sejak itulah, kedua-duanya mula mengintai peluang bersama dan ia direalisasikan pada malam 15 November 1995.

Dalam siri tersebut, Monica Lewinsky mendedahkan perlakuan seksual mereka tidak pernah dilakukan di Oval Office sebaliknya, hubungan seks mereka dilakukan di sebuah pejabat bersebelahan Oval Office yang berperanan sebagai pejabat peribadi presiden.

‘Hubungan cinta kita…’

Pada akhir bulan yang sama, Monica Lewinsky mula bekerja di Pejabat Hal Ehwal Perundangan, membolehkannya terus berada di Rumah Putih.

Untuk mengelakkan hubungan sulit ini diketahui ramai, kedua-duanya cuba mewujudkan satu situasi bersifat kebetulan seperti tersalah masuk pejabat atau mengadakan tugasan yang tidak ada bagi membolehkan mereka bertemu.

Keadaan ini dibantu apabila dia mempunyai pas lencana biru yang membolehkannya berada di semua kawasan Rumah Putih.

Selain itu, Monica Lewinsky juga sentiasa ingat dari arah mana dia masuk atau keluar dari pejabat peribadi Bill Clinton, bagi memastikan tidak wujud situasi ganjil antaranya dengan staf jika mereka menemuinya berhampiran dengan pejabat itu.

Tetapi bak kata pepatah, kalau angin tak bertiup, masakan pokok bergoyang, kisah hubungan cinta terlarang Clinton-Lewinsky ini mula dihidu ramai termasuk staf Rumah Putih sendiri.

Ini kerana mereka merasa pelik bagaimana Clinton boleh mengenali staf bawahan seperti Monica Lewinsky dan sentiasa berhubung rapat dengannya tanpa sebarang sebab.

Bila mengenang detik itu, Monica Lewinsky mengakui ada masanya, dia amat naif dan tidak sedar dengan permainan kuasa yang dimainkan Bill Clinton ke atasnya.

Ini kerana bagi wanita muda sepertinya, dia seharusnya memanfaatkan masa cuti bersama keluarga dan rakan-rakan, tetapi dia tetap berada di Rumah Putih pada hujung minggu hanya semata-mata menunggu panggilan Bill Clinton kerana mabuk asmara.

Akhirnya, hubungan sulit ini sudah mula diketahui dalam persekitaran politik Washington D.C ketika itu.

Berita begini bukan saja dianggap berpotensi menjejaskan reputasi bersih Bill Clinton tetapi juga berpotensi menjejaskan peluangnya memenangi penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Maka pada April 1996, Lewinsky dipindahkan ke Pentagon dan dalam siri dokumentari tersebut, dia mengakui suasana di Pentagon terlalu keras dan berdisiplin berbanding suasana di Rumah Putih yang dilihat formal tetapi santai.

Apabila berita pemindahan itu diketahui Bill Clinton, beliau berjanji akan memindahkan Monica Lewinsky kembali ke Rumah Putih sekiranya berjaya memenangi pemilihan semula 1996.

Janji tersebut ditunaikan dan tidak lama selepas itu, dia kembali semula ke Rumah Putih dan hubungan kedua-duanya terus berlaku sehinggalah tahun 1997.

Selalunya, hubungan sulit begini hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja yang boleh dipercayai dan memegang prinsip biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Dalam kes Monica Lewinsky, individu yang mengetahui hubungan cinta terlarangnya dengan Bill Clinton ialah rakan sekerja dan kenalan rapat bernama Linda Tripp.

Dari situ, Linda berkongsi kisah tersebut dengan seorang ejen buku yang dikenali sebagai konservatif anti-Clinton bernama Lucianne Goldberg dan di sinilah bermulanya episod mimpi ngeri Clinton dan Lewinsky.

Apabila mengetahui apa yang berlaku, Lucianne mendesak Linda merakam semua perbualan telefonnya dengan Lewinsky walaupun perbuatan tersebut dianggap salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr dan perbicaraan pemecatan

Melalui hubungan Lucianne ini juga, rakaman perbualan Linda Tripp dan Monica Lewinsky turut diketahui oleh pasukan peguam Paula Jones.

Paula Jones ialah seorang bekas kakitangan kerajaan yang memfailkan saman terhadap Clinton pada tahun 1991 kerana kesalahan seksual semasa beliau menjadi Gabenor Arkansas.

Akibatnya, Monica Lewinsky disepina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pada Disember 1997.

Enggan membiarkan hubungan sulit mereka diketahui orang ramai, presiden mencadangkan Monica Lewinsky berbohong di kandang saksi dan itulah yang dilakukannya dalam keterangan bersumpah, “Saya menafikan saya mempunyai hubungan seksual dengan Bill Clinton.”

Tatkala semua ini berlaku, pentadbiran Bill Clinton turut dihantui oleh siasatan berkenaan kontroversi Whitewater.

Skandal ini tercetus berikutan wujud laporan salah laku membabitkan pelaburan yang dibuat oleh Bill Clinton dan isterinya Hillary Rodham Clinton dalam Syarikat Pembangunan Whitewater.

Penyiasat yang diberi tugas menyiasat skandal berkenaan ialah bekas hakim Mahkamah Rayuan, Kenneth Starr.

Semasa mereka masih sibuk menyiasat Whitewater, Kenneth turut mendapat tahu rakaman yang dihasilkan Linda Tripp yang mendorongnya untuk menyuruh Linda memakai mikrofon tersembunyi yang disediakan ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) semasa berbual dengan Monica Lewinsky.

Pendedahan ini juga membuka pintu yang seluas-luasnya kepada Kenneth bagi meluaskan lagi skop siasatan termasuk skandal seks membabitkan Bill Clinton.

Maka tidak hairanlah apabila Monica Lewinsky disepina oleh pihak berkuasa, mereka menyatakan lebih elok untuknya bekerjasama.

Ini kerana sekiranya dia didapati berbohong semasa memberi keterangan, maka dia melanggar keterangan sumpahnya dan boleh didakwa di mahkamah.

Apabila Bill Clinton diminta memberi keterangan di mahkamah oleh pasukan guaman Jones pada Januari 1998, beliau tetap mengulangi bahawa tidak wujud sebarang hubungan antaranya dengan Monica Lewinsky.

Tetapi semua penafian itu tidak boleh menutup kisah cinta terlarang ini dari diketahui orang ramai.

Pada bulan yang sama, portal berita dalam talian konservatif, Drudge Report, menyiarkan laporan hubungan sulit Bill Clinton dengan identiti Monica Lewinsky didedahkan sehari kemudian.

Kisah tersebut diteruskan oleh media arus perdana beberapa hari kemudian dan mencetuskan skandal di peringkat nasional.

Dan seperti biasa, Bill Clinton masih berpegang teguh dengan kenyataan ini semasa mengadakan sidang media sambil ditemani oleh Hilary, "Saya tidak mempunyai sebarang hubungan seksual dengan perempuan itu, Cik Lewinsky.”

Namun, ada satu perkara yang tidak diketahui Bill Clinton: Monica Lewinsky menyimpan beberapa bukti hubungan cinta terlarang mereka termasuk sehelai gaun berwarna biru yang mengandungi sampel DNA beliau.

Pakaian tersebut langsung tidak dicuci oleh Monica Lewinsky atas nasihat Linda dan ia menjadi salah satu bahan keterangan utama siasatan Starr.

Pakaian itu juga menjadi bukti kukuh hubungan sulit Clinton-Lewinsky benar-benar berlaku dan bukan satu omongan kosong seperti yang didakwa bekas gabenor Arkansas itu.

Bukti tersebut sudah cukup untuk memaksa Bill Clinton mengakui di hadapan jemaah juri bahawa beliau mengadakan sentuhan fizikal intim dan tidak sepatutnya dengan bekas pelatih Rumah Putih itu tetapi tidak menepati definisi hubungan seksual yang digunakan oleh peguam-peguam Jones.

Pada malam 17 Ogos 1998, Clinton turut tampil di televisyen kebangsaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas tingkah lakunya itu.

Tetapi pada masa yang sama, beliau turut menegaskan tidak pernah menyuruh individu yang terlibat dengan skandal itu untuk berbohong atau melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

Laporan Starr

Pada September 1998, laporan siasatan Starr setebal 445 muka surat diserahkan kepada Kongres untuk langkah seterusnya.

Laporan ini mendedahkan secara terperinci hubungan sulit Clinton-Lewinsky termasuk 11 perkara yang boleh membawa kepada pemecatan Clinton sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Laporan yang dikenali sebagai Laporan Starr itu kemudiannya dijadikan sebagai laporan terbuka oleh Kongres dan dijadikan dalam bentuk buku seterusnya menjadi buku paling laris jualan pada tahun tersebut.

Pada Oktober 1998, Kongres mengundi untuk meneruskan perbicaraan pemecatan Bill Clinton.

Dua bulan selepas itu, Kongres turut meluluskan dua usul punca pemecatan Bill Clinton iaitu bersumpah bohong dan menghalang proses keadilan.

Dalam sejarah Amerika Syarikat, Bill Clinton merupakan presiden kedua selepas Andrew Jackson yang perlu mengharungi sesi perbicaraan pemecatan jawatan presiden.

Tetapi seperti Andrew Jackson, Bill Clinton terselamat selepas mengharungi perbicaraan selama 21 hari dan dibebaskan pada Februari 1999.

Bagaimanapun pada April 1999, Bill Clinton dikenakan dakwaan menghina mahkamah kerana memberi keterangan menyeleweng berkenaan status hubungannya dengan Monica Lewinsky dan didenda Hakim Susan Webber Wright sebanyak $90,000.

Lesen guamannya di Arkansas juga digantung selama lima tahun dan kemudiannya oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Kesan skandal

Di sebalik semua ini, Bill Clinton berjaya menamatkan penggal kedua sebagai presiden dan meninggalkan Rumah Putih dengan sokongan paling tinggi berbanding mana-mana presiden Amerika Syarikat.

Semasa prosiding pemecatan berlangsung, beliau turut menyelesaikan kes samannya dengan Jones dengan membayar pampasan sebanyak $850,000 tetapi menafikan sebarang salah laku wujud antara mereka berdua.

Bill Clinton juga masih aktif dalam politik sehingga ke hari ini termasuk membantu kempen calon-calon Parti Demokrat dan menyumbang dalam kempen amal yang bukan berasaskan keuntungan.

Tetapi, terima kasih kepada skandal ini juga mengakibatkan Naib Presidennya ketika itu, Al Gore tewas kepada George W. Bush semasa pemilihan presiden 1999.

Ini berikutan keengganan Parti Demokrat membenarkan Clinton berkempen untuk Al Gore di negeri-negeri tertentu seperti Arkansas dan New Hampshire kerana bimbang impak skandal itu terhadap kempen mereka.

Akibatnya, beliau kehilangan undi penting di negeri-negeri ini dan menurut sesetengah penganalisis, jika Bill Clinton turun berkempen sekalipun, belum tentu ia dapat menjamin kemenangan selesa Al Gore dan wujud kemungkinan peratusan undi yang diterima beliau merosot teruk.

Sementara itu, wanita yang berada di tengah-tengah skandal ini pula menjadi antara wanita paling dikenali untuk satu dekad seterusnya.

Pada Mac 1999, Monica Lewinsky ditemubual Barbara Walters untuk program 20/20 ABC dan ditonton 70 juta penonton, satu rekod bagi sebuah program berita.

Selain itu, dia juga berpeluang menghasilkan buku biografi bertajuk Monica’s Story yang berkisar tentang kisah hidupnya termasuk hubungan sulitnya dengan Bill Clinton.

Selepas cuba berkecimpung sebagai pereka beg tangan dan personaliti televisyen, dia kemudian menyambung pengajian di Sekolah Ekonomi London dalam jurusan psikologi sosial dan berjaya meraih ijazah Master of Science pada tahun 2006.

Sepanjang dekad pertama abad ke-21, Monica Lewinsky memilih untuk mengelak dari menjadi tumpuan ramai.

Tidak ramai tahu impak dari hubungan sulit dan siasatan mendalam terhadap kehidupannya hampir-hampir mendorongnya untuk membunuh diri dan menghidap kecelaruan stres pasca-trauma (PTSD). Ini didedahkan dalam siri dokumentari sama.

Tetapi, secara perlahan-lahan dia bangkit dan pada tahun 2014, menulis satu esei panjang untuk majalah Vanity Fair bertajuk ‘Shame and survival’ berkisar tentang kehidupannya dan impak hubungan sulit yang dihadapinya.

Selain aktif sebagai penyumbang rencana Vanity Fair, Lewinsky juga aktif sebagai aktivis anti-buli siber kerana mahu membantu mangsa buli lain menghadapi situasi memalukan seperti dihadapinya sebelum ini.

Sehingga ke hari ini, Bill Clinton juga masih belum memohon maaf secara peribadi terhadap Monica Lewinsky berkaitan episod gelap yang hampir memusnahkan karier politiknya dan kehidupan masing-masing.

Pada awal tahun 2018 lepas, Bill Clinton dikritik ramai pihak selepas menyatakan tidak berhutang permohonan maaf dengan Monica Lewinsky semasa ditemubual koresponden Today untuk NBC News, Craig Melvin.

Bila ditanya sama ada Bill Clinton seharusnya memohon maaf secara peribadi terhadapnya, dalam eseinya Monica Lewinsky merasakan ia seharusnya dilakukan kerana itu akan menjadikannya individu yang lebih baik di mata masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots