Wednesday, August 25, 2021

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Ditidurkan di dunia, terjaga di syurga. Begitulah lebih kurang kisah yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raissuddin. Pun begitu hal-hal ghaib dan alam akhirat sudah pasti tertakluk secara mutlak kepada kehendak Yang Maha Esa.

Siti Sarah

Yang tular sekian lama jika si suami memanggil isterinya bidadari ialah Ebit Lew. Panggilan romantis suami terhadap isteri disaran persis Rasulullah SAW memanggil Siti Aisyah sebagai Ya Humaira bermaksud 'wahai si merah jambu'.

Lalu, hijab kita bagaikan dibuka selepas kepergian Siti Sarah apabila ramai menyifatkan penghibur itu bak bidadari.

Sejurus selepas jenazah Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, bertali arus akhbar dan media sosial memuji-muji kebaikan dan budi pekerti penyanyi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, adalah antara tokoh berprofil tinggi yang turut mengutus takziah.

Kalangan pelakon dan penyanyi juga tidak terkecuali. Ada yang menitiskan air mata. Misalnya Siti Nurhaliza yang sebak ketika menyanyikan lagu Bidadari Syurgaku secara maya mengenangkan Siti Sarah.

Ramai wartawan juga berkongsi momen masing-masing bersama Siti Sarah lalu satu demi satu kebaikan dilakukan arwah - termasuklah korban di Palestin - diceritakan.

Tak mudah membawa diri

Berita kematian Siti Sarah dikongsi seorang instafamous Korea Selatan dan dimuat di portal BBC News.

Namun lebih mahal ialah solat jenazah ghaib yang dilaksanakan di Masjidil Haram sepertimana dikongsi suaminya, Shuib.

Bukan calang-calang artis kita itu rupanya kerana berita kematiannya disiar di BBC News dan dapat solat ghaib dari Tanah Suci.

Apakah istimewanya Siti Sarah yang kita tidak - atau belum - tahu?

Lalu apakah amalan Siti Sarah hinggakan darjatnya diangkat sebegitu mulia?

Manusia itu fitrahnya memang selalu alpa dan lupa. Justeru dalam limpahan puji-pujian yang dihamparkan buat Siti Sarah, bagaimana agaknya orang-orang keji yang selama ini selalu menghina dia?

Bukan mudah membawa diri sebagai Siti Sarah apabila sering dijadikan bahan cercaan dan dipersenda sejak di sekolah rendah sehinggalah menjadi artis.

Seorang rakan Siti Sarah ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Sekolah Rendah AU Keramat, Farrah Nadzirah Kamal (gambar), berkata peyanyi terbabit memang periang namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Nurfatimah yang juga belajar di situ.

Antara isu yang selalu menjadi bahan sendaan orang ialah aspek fizikal Siti Sarah. Dia selalu diejek kerana itu.

Di peringkat awal menjadi artis pun Siti Sarah selalu dipersenda. Cuma mungkin kerana itu belum ada media sosial, kebiadaban cercaan itu tidaklah terlalu teruk. Atau ia tidak tersebar dengan meluas.

Tak boleh hadapi tekanan

Selepas ada media sosial, ia menjadi lebih serius sehinggakan ada dua tiga kali Siti Sarah tampil bagi jawab penghinaan netizen terbabit. Malah ada antara orang yang menghina itu adalah wanita bertudung.

Siti Sarah menjawab: "Masuk sekolah rendah dah biasa, masuk sekolah menengah? Hampir setiap hari kena ejek (tentang) hidung, hidung, hidung. Sampai kadang-kadang mengelak nak naik bas, tunggu dah tak ramai baru naik bas.

"Pernah terlintas di hati, aku nak pergi buat (pembedahan) hidung supaya orang tidak boleh cakap lagi, tapi apabila fikir balik cantik bagaimana (pun) orang akan kutuk."

Tidak seperti segelintir artis, Siti Sarah reda dengan kurniaan Tuhan. Maka dia tetap bersahaja dan tidak perlu membuat pembedahan plastik bagi mencantikan hidungnya.

Perihal gigi Siti Sarah pula dia pernah diperli seorang netizen: "Buat treatment (rawatan) apa untuk rapatkan gigi yang jarang tanpa memakai braces (pendakap)?"

Pada Januari 2018, warna kulit Siti Sarah dipersoalkan.

Lalu dia menjawab: "Ramai yang kutuk Sarah kata sebenarnya Sarah hitam tetapi edit gambar. Secara jujurnya saya memang tidak putih macam orang putih. Tapi kalau nak bandingkan dulu memang saya lebih cerah sekarang sebab saya mengambil produk. Saya pakai losyen, sabun dan pil untuk kulit lebih cerah.."

Mac 2018 penjelasan Siti Sarah kepada netizen yang menghina dan mengutuknya agak beremosi apabila dia menulis: "Awak tak hadap apa yang saya hadapi. Saya memang kuat untuk hadapi banyak benda. Tetapi saya tahu ramai orang yang tak boleh hadapi tekanan apabila dikutuk dipanggil gorila, negro, badak, ba*i dan seangkatan dengannya. Siapa yang tahan..."

Nah, sekarang apakah kita faham mengapa kedudukan Siti Sarah itu diangkat? Harus diingat sehebat mana pun manusia ini, kita tetaplah hamba.

Tidak ada hak untuk kita menghina dan mengutuk paras rupa seseorang insan itu.

Hal ini sudah diperjelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 11: "Wahai orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermainkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula ada golongan perempuan yang mempermainkan perempuan yang lain (kerana) boleh jadi perempuan yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Dan barang siapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Jelaslah di sini, kepulangan Siti Sarah ke alam abadi bukan sekadar berita sedih buat ramai orang. Bahkan ia adalah sindiran Tuhan buat jari-jari jahat manusia yang sebelum ini mengejek, mengutuk dan menghina Siti Sarah.

Tuhan menjawab penghinaan mereka itu dengan cara yang amat indah. Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 27, 2021

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Tikus adalah sejenis haiwan yang kehadirannya tidak diundang di rumah kita kerana selain gemar merosakkan barang dan mencuri makanan, ia juga mampu menyebarkan pelbagai penyakit, bagaimanapun membasminya bukan perkara mudah kerana ia adalah haiwan pemusnah yang cukup licik dan bijak melarikan diri.

Halau Tikus

Tetapi sebenarnya terdapat sejenis minyak yang boleh digunakan untuk menghalang tikus daripada mendekati rumah anda iaitu minyak pudina.

Meskipun penggunaan bahan semula jadi jarang berhasil namun minyak pudina dikatakan berkesan kerana ia mempunyai hubung kait dengan sifat tikus yang tidak gemar akan baunya.

Menanam pokok pudina di sekeliling rumah juga membantu menghalau tikus.

Seperti mana yang kita tahu, penglihatan tikus sangat terhad tetapi deria baunya sangat tajam. Tikus cukup sensitif dengan bau pudina yang menyengat hidungnya.

Sementara itu, anda juga boleh meletakkan pokok pudina di sekeliling rumah atau kawasan laluannya agar ia takut mendekati rumah anda.

Minyaknya pula boleh disembur atau ditaburkan di laluan atau lubang tempat dipercayai membolehkan tikus meloloskan diri masuk ke dalam rumah terutamanya dapur.

Dengan cara ini ia tidak akan berani mendekati rumah anda kerana bau pudina itu sudah cukup menjadi ancaman kepadanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Wednesday, April 07, 2021

Kisah Putera Jefri Bolkiah (Brunei) Dengan Kekayaan Melampau!

Kisah Putera Jefri Bolkiah (Brunei) Dengan Kekayaan Melampau!

Putera Jefri Bolkiah, adik kepada Sultan Brunei, menjalani kehidupan mewah dengan koleksi kapal layar, hotel 5 bintang dan lebih dari 2,000 buah kenderaan mewah dan dilaporkan membelanjakan RM200 juta sebulan tanpa sebarang masalah.

Prince Jefri

Malah, beliau dan abangnya terkenal dengan berjalan dalam rombongan seramai 100 orang dan mengosongkan kedai-kedai berjenama seperti Armani dan Versace ketika berbelanja.

Dengan wang yang tidak terkira banyaknya, Putera Jefri tidak terlepas daripada hidup mewah.

Ini adalah tidak mengejutkan kerana beliau adalah sebahagian daripada kerabat diraja terkaya di dunia di mana keluarga ini mempunyai anggaran kekayaan sekitar RM120 hingga RM160 bilion.

Apabila bercakap tentang tempat-tempat mewah untuk didiami ketika Putera Jefri berjalan ke luar negara, menyewa bilik hotel cantik bukanlah satu pilihan sebaliknya beliau membeli 5 buah hotel mewah.

Koleksi hotel 5 bintang Putera Jefri adalah sangat menakjubkan yang membuatkan beliau mempunyai terlalu banyak pilihan untuk memilih suite.

Koleksinya termasuklah hotel bersejarah Hotel Dorchester di London, hotel mewah dan romantik di Paris iaitu Hotel Plaza Athénée dan hotel di New York yang tersangat mahal iaitu Lotte New York Palace, yang mempunyai bilik berharga RM100,000 semalam.

Beliau juga memiliki 2 buah hotel tercantik di Los Angeles iaitu Hotel Bel Air dan Hotel Beverly Hills.

Dari segi rumah peribadi, Putera Jefri sudah tentunya memiliki beberapa rumah mewah, namun yang paling disukai beliau adalah St. John Lodge di London.

Ketika beliau membeli rumah ini dengan harga RM220 juta pada tahun 1994, ia merupakan rumah peribadi termahal di seluruh United Kingdom.

Ini lebih kepada rumah peribadi beliau namun Putera Jefri juga pernah memiliki rumah mewah lain seperti mahligai yang bernilai RM155 juta terletak di Las Vegas.

Mahligai ini memiliki 18 buah bilik dan 27 bilik mandi, dibina di atas tanah seluas 11 ekar dan dilengkapi dengan garaj yang boleh memuatkan 12 buah kereta.

Selain dari hotel mewah dan mahligai, Putera Jefri juga memiliki 250 buah syarikat termasuklah Asprey, kedai barang kemas mewah yang menjadi pembekal barang kemas untuk monarki British. Syarikat ini dibeli oleh beliau pada tahun 1995 dengan harga hampir RM1.6 bilion.

Dan sudah tentu beliau memiliki koleksi kereta mewah seperti kerabat diraja dan hartawan yang lain, namun koleksi kereta mewah beliau sedikit berbeza kerana ia bukan hanya bernilai jutaan ringgit, tetapi bilion, dengan sekitar 2,300 buah.

Koleksi ini termasuklah beberapa buah kereta Bentley, Ferrari dan Roll-Royce.

Antara kereta paling popular dan mahal dalam koleksi Putera Jefri adalah Bugatti EB-110 yang bernilai RM4 juta, sebuah Mercedes Benz CLK GTR Roadster yang dianggarkan bernilai RM20 juta, sebuah Porsche 550 Spider yang dijual dengan harga RM24.4 juta dan dua buah McLaren F1 hitam yang pada hari ini bernilai RM60 juta sebuah.

Dan walaupun kereta-kereta ini bernilai jutaan ringgit, Putera Jefri kelihatan seperti mengabaikannya di ruangan parking milik keluarga diraja ini.

Menurut seorang pengumpul kereta mewah yang berpeluang untuk melihat kereta-kereta ini di garaj tersebut, kereta-kereta mewah ini dibiarkan di bawah cahaya matahari dan sesetengah daripadanya mengalami kerosakan.

Namun, mungkin Putera Jefri tidak begitu memberikan perhatian kepada koleksi kereta mewahnya kerana beliau sibuk dengan jenis kenderaan yang lain.

Beliau dilaporkan memiliki 9 buah pesawat peribadi yang boleh digunakan bila-bila masa sahaja, termasuklah Boeing 747 yang diubahsuai bernilai lebih RM2 bilion.

Putera Jefri juga memiliki sebuah helikopter Sikorsky bernilai RM4 juta serta pesawat Airbus bernilai RM448 juta.

Tidak cukup dengan kenderaan darat dan udara, Putera Jefri turut memiliki armada bot terdiri daripada 5 buah bot termasuklah kapal layar dengan panjang 15 meter yang diberi nama yang agak aneh, iaitu "TITS".

Kapal layar ini dibina khas untuk Putera Jefri oleh syarikat kapal Belanda iaitu Feadship dan dilaporkan dilengkapi dengan emas 24 karat dan lif yang menghubungkan dek-dek di dalamnya.

Ia juga dilengkapi dengan 2 buah bot kecil yang digunakan untuk membawa orang dari dan ke kapal mewah ini.

Antara barangan mewah lain yang dimiliki beliau termasuklah permaidani yang ditenun dengan permata dari benang emas padat bernilai RM28 juta.

Namun apa yang paling dahsyat dari segi perbelanjaan Putera Jefri adalah jumlah wang yang sanggup dibayar untuk perkhidmatan.

Beliau pernah membayar RM6 juta kepada seorang jurulatih badminton yang diterbangkan dari luar negara untuk membantunya dalam sukan itu.

Putera Jefri juga pernah mengimport Joe Montana dan Herscel Walker untuk mengajar anak beliau bermain American Football, yang dilaporkan bernilai puluhan juta ringgit.

Dan yang paling tidak masuk akal, Putera Jefri pernah membayar RM68 juta kepada Michael Jackson untuk membuat persembahan pada hari kelahiran abangnya yang ke-50.

Jadi, bagaimana Putera Jefri boleh menjadi sebegitu kaya sehinggakan beliau boleh membayar Michael Jackson hanya untuk sebuah majlis?

Sebahagian besar daripada kekayaan ini datang dari kekayaan abangnya yang bernilai dari RM100 bilion, namun beliau juga mempunyai pendapatan sendiri.

Putera Jefri pernah berkhidmat sebagai ketua agensi pelaburan Brunei yang melaburkan banyak kekayaan negara tersebut dan bertanggungjawab untuk pelaburan di luar negara.

Pelaburan terbesarnya ketika bersama agensi ini termasuk The Empire Hotel yang dibina dengan kos hampir RM5 bilion dan Jerudong Park, taman hiburan terbesar dan termahal di Asia Tenggara dengan kos RM1 bilion.

Beliau juga pernah bertugas sebagai menteri kewangan agensi ini dari pertengahan tahun 1980-an hingga pertengahan tahun1990-an, dan ketika inilah semuanya berubah.

Semasa memegang jawatan itu, Putera Jefri didakwa mencuri RM61.4 bilion dari Brunei.

Beliau dilaporkan cuba menyalahkan kedua-dua peguamnya dengan mendakwa beliau tidak pernah menandatangani cek sendiri dan orang yang lain menguruskan kewangannya, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Putera Jefri sendiri yang disaman RM92 juta.

Setelah rundingan dibuat, satu penyelesaian dicapai pada tahun 2000 yang mana tidak didedahkan kepada umum.

Dan walaupun Putera Jefri mendakwa bahawa abangnya masih membenarkan dan memberikan harta kekayaan kepadanya, namun tidak banyak yang diterima beliau.

Pada tahun 2000, Putera Jefri memulangkan lebih daripada 500 hartanah, 2,000 buah kereta, 1,000 lukisan, 5 buah bot dan 9 buah pesawat kepada Brunei dan kebanyakan daripada hartanah beliau dilelong.

Pada satu tahap, Putera Jefri terpaksa menyerahkan lima butir berlian bernilai RM800 juta kepada agensi pelaburan brunei.

Walaupun tidak semewah dahulu, namun Putera Jefri tidak disisihkan dari keluarga diraja Brunei dan masih mempunyai akses kepada berbilion-bilion ringgit.

Beliau kini lebih low-profile, namun kehidupan mewahnya mungkin tidak pernah berakhir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Tuesday, March 16, 2021

4 Kereta Paling Mahal Pernah Terjual Di Dunia!

4 Kereta Paling Mahal Pernah Terjual Di Dunia!

Ramai menggemari kereta klasik kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri dan bukan sekadar dilihat sebagai sebuah kenderaan dan bagi para peminat tegar, ia bukan sekadar koleksi tetapi pelaburan yang boleh memberi keuntungan berlipat kali ganda daripada nilai asalnya.

Jadi, tidak hairan sekiranya kenderaan dengan harga mencecah jutaan ringgit menjadi perhatian dan rebutan penggemar kereta.

Berikut adalah empat kereta paling mahal yang pernah dijual di dunia seperti dilaporkan Ape to Gentlemen.

1. Ferrari 250 GTO

Ferrari

Kereta buatan Itali pada tahun 1963 ini memegang rekod sebagai kenderaan paling mahal di dunia dalam dua kelas berbeza.

Ketika ia dijual pada tahun 2018, harganya mencecah USD70 juta (RM280 juta) dan ia dibeli oleh seorang penggumpul kereta terkenal, David Macneil.

Kereta sport klasik ini mahal bukan kerana kapasitinya namun disebabkan sejarah di sebaliknya yang pernah menjuarai hampir 300 pertandingan perlumbaan di seluruh dunia.

Bermula dengan Tour de France 1964 sehinggalah Le Mans, ia menjadi saksi akan kualitinya.

2. Mercedes-Benz W196

Mercedes-Benz

Kereta lumba Formula One juga boleh dijadikan koleksi peribadi namun untuk memilikinya tentunya bukan mudah dan sangatlah mahal.

Mercedes-Benz W196 yang dihasilkan pada tahun 1954 mencatat harga USD29.6 juta (RM120 juta) ketika dilelong di Goodwood Festival of Speed pada tahun 2013.

Harganya yang luar biasa itu sebenarnya tersemat pelbagai sejarah termasuk pernah dipandu oleh pelumba terkenal Juan Manuel Fangio.

Legenda F1 itu pernah menjadi juara dunia sebanyak lima kali termasuk menggunakan kenderaan itu.

3. Aston Martin DBR1

Aston Martin

Industri automatif di Eropah pernah menjadi raja dunia dengan pelbagai keluaran terbaiknya dan bermutu tinggi, maka tidak hairan jika Aston Martin DBR1 mempunyai kelas tersendiri dikalangan penggemarnya.

Ia dijual pada harga USD22.5 juta (RM92 juta) dan kenderaan itu pernah digunakan untuk menyertai pelbagai kejuraan dunia dan dipandu oleh pelumba terkenal Sir Striling Moss.

4. Bugatti La Voiture Noire

Bugatti

Bugatti La Voiture Nore mungkin bukan kenderaan klasik tetapi ia mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi kenderaan keluaran baharu paling mahal di dunia.

Ketika dilancarkan pada tahun 2019, ia dijual pada harga USD18 juta (RM72 juta) dan dihasilkan bersempena dengan ulang tahun ke-110 Bugatti.

Bugatti La Voiture Noire dihasilkan berinspirasikan rekaan Bugatti Type 57 Atlantic dan hanya sebuah sahaja dihasilkan.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan, pemain bola sepak terkenal, Christiano Ronaldo adalah pemiliknya namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi berhubung status pemilikan kenderaan berwarna hitam itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Tuesday, February 23, 2021

Kapal Angkasa NASA 'Perseverance' Berjaya Mendarat Di Planet Marikh!

Kapal Angkasa NASA 'Perseverance' Berjaya Mendarat Di Planet Marikh!

Selepas tujuh bulan berada di angkasa lepas, kenderaan robotik yang dilancarkan agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Perseverance, akhirnya berjaya mendarat di permukaan planet Marikh dengan selamat (19/2/2021).

Perseverance

Pendaratan itu sekali gus menandakan permulaan bagi kapal angkasa seberat satu tan itu mencari kehidupan mikrob di planet tersebut.

Perseverance yang bersaiz kenderaan utiliti sukan (SUV) dilengkapi lengan robot sepanjang dua meter, 19 kamera, dua mikrofon dan kelengkapan instrumen canggih untuk membantu mencapai tujuan saintifiknya.

Ketua Operasi Makmal Pelepasan Jet NASA, Swati Mohan mengesahkan pendaratan itu, sekitar pukul 3.55 petang di Pasadena.

Kapal angkasa yang dipandu secara autonomi selesai 11 minit awal, iaitu tempoh yang diperlukan untuk isyarat radio kembali ke Bumi.

Pentadbir NASA, Thomas Zurbuchen melahirkan kegembiraan terhadap kapal angkasa itu dan memuat naik gambar hitam putih pertama kenderaan itu dari kawah Jezero di hemisfera utara Marikh.

Selama beberapa tahun, kapal angkasa itu akan berusaha mengumpulkan 30 sampel batu dan tanah dalam tiub tertutup, yang kemudian akan dihantar kembali ke Bumi pada tahun 2030 untuk dianalisis.

Perseverance

Sebelum memulakan operasi pencarian, kenderaan robotik itu melakukan pendaratan berisiko dan hampir menjejaskan 50 peratus misi keseluruhan ke planet itu.

Perseverance memasuki atmosfera Marikh dengan kelajuan 20,000 kilometer sejam, dilindungi oleh pelindung haba selepas pukul 3.30 petang.

Kenderaan robotik itu berjaya mendarat dengan berhati-hati ke permukaan Marikh dengan satu set kabel selepas melepaskan lapan enjin beg jet untuk mengelakkan ia menjunam lebih jauh.

Kenapa Marikh Menjadi Planet Pilihan untuk Manusia Menetap?

Marikh

Marikh menjadi planet pilihan sebagai penempatan baru manusia adalah disebabkan kedudukan Marikh di dalam sistem suria dan bersebelahan dengan bumi.

Perjalanan dari bumi ke Marikh mengambil masa yang singkat berbanding ke planet lain iaitu 6 hingga 9 bulan.

Dan sebab yang utamanya adalah dikatakan Marikh hampir menyerupai bumi dari sudut teras planet, permukaan yang berbatu, terdapat lapisan atmosfera dan halaju putaran Marikh di atas paksinya hampir sama (mempunyai 4 musim, dan 1 hari di Marikh hampir sama dengan bumi iaitu 24.6 jam).

Sejak 1960an, manusia telah menghantar beratus kapal angkasa ke Marikh bagi tujuan penyelidikan pelbagai bidang (astrobiologi, astrofizik, astrokimia, geologi dan lain lain) bagi mencapai tujuan untuk cuba membuka penempatan manusia di sana. Walaupun begitu, bukan semua misi yang dilakukan berjaya.

Misi penghantaran kapal angkasa ke Marikh cukup mencabar sehingga ada satelit yang hilang tanpa jejak dan yang paling sukar serta mencabar adalah untuk mendaratkan kapal angkasa di permukaan Marikh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: utusan

Thursday, February 04, 2021

Bajau Laut, Suku Yang Tidak Mempunyai Negara

Bajau Laut, Suku Yang Tidak Mempunyai Negara

Bajau Laut sering dipanggil 'gipsi laut' yang dikatakan dikesan sejak 300 tahun lalu dengan menjadikan perahu sebagai rumah dan hidup secara nomad di laut dan uniknya, mereka merupakan satu-satunya suku kaum di rantau ini yang tidak mempunyai taraf mana-mana warganegara atau orang memanggilnya sebagai kumpulan manusia yang stateless.

Bajau

Etnik ini juga dikenali dengan nama suku kaum Pala'u, dengan kehidupan mereka dengan cara membina pondok di atas air dan menjadikan bot sebagai tempat untuk berteduh.

Etnik ini yang dikatakan hanya boleh ditemui di Sabah, masih mengamalkan budaya pelaut dipercayai berasal dari kepulauan Riau, Johor khususnya Pulau Lingga sebelum berhijrah ke kepulauan selatan Filipina dan Borneo Utara sejak 100 tahun lalu selepas kejatuhan empayar Melaka.

Paling mengujakan, ada antara mereka yang masih memilih untuk menjalani kehidupan secara nomad dan akan berpindah-randah, mencari penempatan baru samada hidup di kawasan perairan Filipina dan Indonesia.

Kaum Bajau Laut yang menetap di perairan sekitar Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kudat dikatakan tidak tenang hidup tanpa perahu yang dibuai ombak.

Berdasarkan cerita lisan, etnik itu mengikut pantang larang nenek moyang mereka untuk menetap di darat dan siapa melanggarnya, tidak hidup aman selama tujuh keturunan.

Ada juga menyatakan, sepanjang masa mereka mengejar pergerakan angin sehingga berkebolehan menadah pusaran puting beliung untuk mendapatkan air minuman ketika di laut.

Walaupun penuh keunikan dari segi budaya dan gaya hidup, kehidupan kaum ini masih jauh ketinggalan daripada peredaran zaman yang serba moden hari ini.

Berpandukan kedudukan matahari sebagai waktu

Suku kaum ini langsung tidak tahu menggunakan sistem waktu yang biasa kita gunakan dan bagi mereka, kedudukan matahari sahaja sudah cukup sebagai panduan untuk mengetahui waktu pagi, tengah hari, petang dan malam.

Kedudukan matahari di timur, bererti pagi bagi mereka. Seandainya matahari sudah berada di atas kepala, bermakna ianya telah memasuki waktu tengah hari.

Kalau kedudukan matahari berada di barat, itu tanda bahawa sudah menuju ke waktu petang yang menghampiri malam, kata salah seorang anggota kumpulan etnik Bajau Laut dari Semporna yang pernah dihubungi suatu ketika dahulu.

Mabuk darat

Jika anda yang tidak biasa turun ke laut, pasti ada antara kita yang akan pening disebabkan mabuk laut, namun situasinya berbeza pula bagi Bajau Laut di mana mereka akan mengalami mabuk darat seandainya mereka naik ke darat.

Disebabkan sudah terbiasa tinggal di atas laut yang bergelora, malah sejak bayi lagi, suku kaum Bajau Laut tidak mampu bertahan untuk kekal berada di daratan bagi tempoh yang lama.

Mereka akan cepat pening kepala dan mabuk darat, berjalan pun terhuyung-hayang tidak betul.

Mereka hanya akan naik ke darat sekiranya ada keperluan seperti membetulkan atau menghasilkan bot yang baharu dan tujuan ritual keagamaan untuk mengebumikan ahli keluarga yang meninggal dunia.

Laut sebagai tempat permainan untuk anak Bajau Laut

Bajau Laut

Walaupun hidup serba kekurangan, etnik ini telah dinobatkan sebagai perenang dan penyelam paling mahir di dunia tanpa menggunakan sebarang bantuan peralatan alat pernafasan scuba diving.

Mereka sangat hebat kerana mampu menyelam hingga kedalaman 20 meter tanpa bantuan tangki oksigen dan boleh menahan nafas di dalam air selama 10 minit.

Bayi-bayi Bajau Laut yang baru dilahirkan akan direndam ke dalam laut untuk membiasakan mereka dengan air laut atau simbolik kepada keserasian dan keberanian hidup di laut.

Difahamkan, temuni bayi-bayi Bajau Laut akan ditanam di dasar laut bertujuan untuk mengekalkan adat resam kepercayaan bahawa ada penjaga roh laut yang akan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya dan tidak akan mati sewaktu menyelam.

Menyelam sambil memburu hasil makanan laut

Kemahiran menyelam yang diamalkan ini mampu mengajar keturunan mereka untuk memburu hasil laut seperti ikan, sotong dan udang kara dengan menggunakan lembing kayu.

Jika tidak berjaya menangkap ikan atau udang, mereka akan mencari kima (orang Bajau Laut menyebutnya sebagai tehe-tehe) iaitu sejenis kerang atau landak laut sebagai sumber asas makanan mereka.

Khabarnya, rata-rata suku kaum Bajau Laut ini tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu, malah mereka juga dikatakan tidak mempunyai agama yang tetap dan sering bersilih ganti agama.

Tentang suku Bajau Laut, hari ini mereka masuk muslim, esok lusa mubaligh kristian datang, mereka masuk Kristian pula. Pendakwah perlu tinggal bersama mereka dan mengajar tentang agama.

Untuk pengetahuan, suku Bajau Laut hidup secara nomad.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Monday, January 25, 2021

Nobita Dan Shizuka Akhirnya Berkahwin!

Nobita Dan Shizuka Akhirnya Berkahwin!

Akhirnya, Nobita dan Shizuka melangsungkan perkahwinan dan gambar ini pastinya menggamit memori bagi mereka yang mengikut rapat siri kartun tersebut. Gambar ini adalah sebahagian momen di dalam filem Stand By Me Doraemon 2 yang awalnya dijadualkan untuk ditayangkan di Jepun pada 7 Ogos 2020, tetapi ditunda kerana gelombang virus Covid-19.

Nobita+Shizuka

Filem ini akhirnya dilancarkan di Jepun pada 20 November 2020, yang mana Nobita akan kembali menemui neneknya, yang meninggal dunia ketika dia masih bayi, ditemani oleh Doraemon, sambil memerhati dan mengikuti aktiviti neneknya tanpa disedari.

Pada satu ketika, Nobita secara diam-diam mendengar keinginan neneknya yang tersembunyi, iaitu untuk dapat melihat cucunya berkahwin pada masa akan datang.

Nobita juga pergi ke masa depan untuk menyaksikan hari perkahwinannya dengan Shizuka namun, pada hari perkahwinan itu, Nobita yang dewasa tiba-tiba melarikan diri.

Apa yang menjadi persoalan adalah, adakah Doraemon masih bersama Nobita semasa dia melangsungkan perkahwinan?

Persoalan ini turut ditanya oleh beberapa orang netizen yang lain, dan yang meminati siri kartun ini pastinya ingin melihat perkahwinan Nobita dan Shizuka bersama-sama dengan kehadiran Doraeman yang selalu menjadi tempat Nobita meluahkan rasa hatinya.

"Waktu berjalan sangat pantas, walaupun ketika saya masih kecil, hari saya ditemani oleh Nobita. Tahniah atas perkahwinan anda Nobita dan Shizuka. Kenapa Doraemon tidak ada?" tanya salah seorang netizen.

"Doraemon adalah robot dari era cucu Nobita, yang ditugaskan untuk membuat Nobita bahagia. Jadi kebahagiaan Nobita berkahwin dengan Shizuka. Sekiranya Nobita sudah gembira, Doraemon kembali pada abadnya," jawab salah seorang netizen.

Manakala yang lain pula membalas, "Pasti sedih jika Doraemon tidak ada di hari perkahwinan Nobita."

Tidak pasti ke mana perginya Doraemon, tetapi jika benar dia kembali ke abadnya dan tidak hadir di hari paling bahagia Nobita, ia pastinya sesuatu yang menyedihkan.

Namun, jawapan itu hanya mampu dijawab jika kita menonton filem Stand By Me Doraemon 2.

Mungkin kita akan tahu dimanakah Doreamon atau mungkin dia sebenarnya hadir, tetapi ditugaskan untuk mengambil gambar.

Filem ini masih belum memasuki Malaysia, tetapi akan ditayangkan terlebih dahulu di negara jiran, Indonesia.

Rumah Nobita di Tokyo bernilai RM2 juta di dunia nyata!

Nobita

Hampir semua rakyat Malaysia dibesarkan dengan siri Doraemon yang sering bermain di layar tv sewaktu cuti hujung minggu. Kita dihidangkan dengan telatah Nobita, seorang budak lelaki berkacamata yang hidupnya ditemani kucing robot dari abad ke-22, Doraemon.

Sekiranya anda adalah peminat kartun Doraemon, anda pasti sudah terbiasa dengan selok belok kehidupan mereka, termasuk tempat tinggal Nobita dan Doraemon.

Rumah Nobita sering dipotretkan dengan 'mood' yang sederhana, mempunyai 2 tingkat dengan ruang tamu, bahagian dapur dan bilik Nobita yang direka dengan konsep minimalis.

Tahukah anda, walaupun kartun ini dibuat pada tahun 1962, tetapi rumah ini masih dianggap mahal pada zaman sekarang dengan nilai rumah Nobita 70 juta yen bersamaan dengan RM2 juta!

Di dalam satu ciapan yang ditulis oleh seorang penulis novel Jepun, SOW, di akaun Twitter miliknya, @sow_LIBRA11, dia membuat bebenang khas yang mengandungi pengiraan harga rumah yang terdapat di dalam anime Jepun.

"Untuk tahun 70-an, rumah keluarga Nobi dianggap sebagai 'rumah biasa' dua tingkat yang terletak di Nerima Ward, Tokyo, yang harganya sekitar 70 juta yen.

Jumlah pembayaran pinjaman adalah sekitar 200 ribu yen sebulan. Bapa Nobita tentu mempunyai gaji yang tinggi.

"Mungkin anda akan berkata, 'bukankah mereka menyewa rumah itu?' berdasarkan harga pasaran, rumah jenis ini mungkin disewa dengan harga 160 ribu yen [RM6,407]," kata SOW.

Bukan hanya rumah Nobita, SOW juga membuat pengiraan rumah keluarga Sazae-san yang sudah 'berdiri' sejak tahun 1946 dengan harga mencecah 150 juta yen atau RM60 juta.

Kemudian rumah Usagi Tsukino, Sailor Moon, harganya lebih tinggi pada 450 juta yen atau RM18 juta.

Dan yang terakhir, rumah keluarga Nohara aka Shin chan, yang harganya 20 juta yen atau RM800,000.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2