Tuesday, April 23, 2019

Sejarah Suntikan Maut, Hukuman Yang Dianggap Tidak Menyakitkan Dan Berperikemanusiaan

Sejarah Suntikan Maut, Hukuman Yang Dianggap Tidak Menyakitkan Dan Berperikemanusiaan

Suntikan maut mula diperkenalkan pada tahun 1970-an di Amerika Syarikat dan dianggap sebagai cara yang paling berperikemanusiaan dan kurang menyakitkan oleh ramai pihak. Pada abad ke-15 di Eropah pula, penderitaan tahanan yang dihukum mati merupakan ciri penting tentang keadilan, tetapi seiring dengan berlalunya waktu, manusia mula mencari sesuatu yang kurang kejam.

Sejarah Suntikan Maut
Gambar hiasan.

Akan tetapi, terdapat banyak bukti yang menyatakan bahawa suntikan maut bukanlah cara terbaik untuk membunuh.

1. Hukuman yang lebih berperikemanusiaan

Cadangan awal untuk suntikan maut muncul semasa Abad Pencerahan apabila kaedah pelaksanaan hukuman mati yang berperikemanusiaan sangat-sangat dicari.

Inisiatif pertama idea ini boleh didapati dalam karya sejarawan Perancis, Robert Muchembled, yang mengumpul cerita mengenai perubahan dalam tingkah laku banduan yang dikenakan hukuman mati dari abad ke-15 hingga ke-18.

Pada mulanya, orang ramai mengejek dan meraikan keadilan yang mereka anggap perlu dilakukan, lebih kejam dan menyakitkan, itu adalah lebih baik.

Menjelang akhir kurun ke-18, hukuman mati menjadi semakin menakutkan. Biarawati akan mengikut tertuduh sambil memercikkan air suci, menangis dan menjamin orang yang terkutuk itu dari pengampunan yang menanti mereka.

Pada tahun 1790-an, satu kaedah baru telah dicipta di Perancis dengan harapan untuk menjadikan hukuman mati lebih berperikemanusiaan, yang dikenali sebagai guillotine (penggal kepala).

Malangnya, mereka mengatakan bahawa kepala manusia masih sedar beberapa saat selepas dipenggal, membuatkan orang ramai beralih arah untuk mencari cara lain yang lebih baik.

Kemudian, pada tahun 1888, seorang doktor dari New York, Julius Mount Bleyer mencadangkan bahawa suntikan maut atau elektrik akan membawa kepada pengakhiran yang cepat dan tidak menyakitkan.

Namun, dia tidak diendahkan kerana dua sebab. Pertama, tiada seorang pun dalam bidang perubatan menginginkan jarum hipodermik yang baru diperkenalkan ketika itu dikaitkan dengan kematian.

Kedua, elektrik pada ketika itu adalah sesuatu sangat baru kepada orang ramai dan semua orang terpesona dengannya.

Penyokong kepada tenaga elektrik, termasuk Thomas Edison, membuatkan orang ramai mempercayai bahawa ia akan membawa kemudahan kepada semua orang.

Memang benar, elektrik telah membawa kepada kesenangan membuatkan orang ramai beranggapan bahawa elektrik tidak akan disalahgunakan.

Namun, penyokong tenaga elektrik meyakinkan semua orang bahawa ia adalah cara yang lebih berperikemanusiaan untuk mati menggunakan elektrik berbanding mati ketika tidur.

2. Reputasi suntikan maut diburukkan oleh Nazi

Satu lagi sebab mengapa suntikan maut tidak diguna pakai lebih awal adalah kerana kemungkinan hubungannya dengan rejim Nazi.

Walaupun bilik gas menjadi trademark sebagai kaedah pilihan dalam pembunuhan beramai-ramai, suntikan maut lebih awal digemari.

Sudah tentu, ahli sains dan doktor Nazi tidak kisah dalam menyediakan kematian yang berperikemanusiaan.

Mereka menjalankan eksperimen ke atas orang kurang upaya dan orang sakit menggunakan pelbagai jenis ubat yang disuntik ke pelbagai tempat.

Kaedah yang paling berkesan ditemui Nazi adalah dengan menyuntikkan fenol, bahan kimia yang sangat toksik dan menghakis, terus ke dalam jantung seseorang.

Program membunuh orang cacat mental dan fizikal secara sistematik melalui bilik gas, suntikan atau bahkan kebuluran dikenali sebagai T-4.

Ia bermula pada awal tahun 1939 dan menjadi model pembunuhan beramai-ramai yang diikuti pada tahun 1940-an.

Ia dilakukan dengan doktor mengabaikan pesakit yang dianggap "tidak layak hidup" supaya mereka kelaparan dan berakhir dengan beribu-ribu pesakit dihantar ke pusat pembunuhan.

Penemuan antarabangsa terhadap kengerian yang dilakukan oleh Nazi Jerman menyebabkan hukuman bilik gas tidak disukai dan dan mungkin mempercepatkan penggunaan suntikan.

Suruhanjaya Diraja British berkata bahawa tidak ada hukuman elektrik atau bilik gas adalah lebih berperikemanusian daripada hukuman gantung.

Suruhanjaya itu juga memberitahu bahawa suntikan maut masih belum sesuai untuk dilaksanakan tetapi harus dikaji melalui sains.

3. Protokol Jay Chapman

Hinggalah pada tahun 1977, seorang pemeriksa perubatan Oklahoma bernama Jay Chapman mencadangkan formula khusus untuk suntikan maut bagi memastikan kematian yang lebih berperikemanusiaan.

Orang awam masih mengaitkan hukuman mati bilik gas dan elektrik dengan rejim Nazi dan telah terbukti tidak berperikemanusiaan.

Mereka yang dihukum bunuh oleh kerusi elektrik kadang-kala terbakar dan saksi yang melihat kerap kali terkejut mengetahui betapa sukanya untuk menonton hukuman dijalankan.

Jadi, ketika Jay Chapman muncul dengan saranannya untuk protokol "tiga ubat", sistem kehakiman dan orang awam lebih bersedia untuk mendengar tentangnya.

Protokol ini direka supaya tahanan melalui proses di mana badan mereka akan mula-mula kebas, kemudian lumpuh dan diiikuti dengan kematian.

Adalah penting untuk dinyatakan bahawa tahanan boleh dibunuh dengan barbiturat, yang akan memastikan kematian yang tidak menyakitkan.

4. Pelaksanaan suntikan maut pertama di dunia

Protokol Jay Chapman dibangunkan di Oklahoma, tetapi Texas adalah yang pertama menggunakannya. Charles Brooks Jr. adalah orang pertama yang mendapat penghormatan untuk menguji idea Chapman.

Dia telah disabitkan dengan pembunuhan seorang mekanik, David Gregory selepas hadir untuk pandu uji di kedai kereta terpakai di mana David bekerja.

David ditemui dalam keadaan terikat dan ditembak di kepala pada malam tersebut di sebuah bilik motel.

Charles dan rakan jenayahnya, Woodie Loudres, kedua-duanya didapati bersalah atas pembunuhan itu kerana kedua-duanya tidak dapat dibuktikan siapa yang menembak David. Walaubagaimanpun, Woodie dijatuhkan hukuman yang lebih ringan berbanding Charles.

Suntikan maut dirasakan berperikemanusian, tetapi tiada siapa yang tahu apa yang dirasakan oleh Charles kerana ia belum pernah dilaksanakan sebelum itu.

Charles Brookes kemudian berjumpa dengan Dick Reavis, seorang wartawan dan membuat perjanjian dengannya sebelum hukuman dilaksanakan untuk melihat sama ada dia mengalami sebarang kesakitan ketika dihukum.

Apabila Charles Brooks bersedia untuk disuntik, dia akan menggelengkan kepalanya jika mengalami sebarang kesakitan.

Apabila masanya sudah tiba, Charles perlahan-lahan memalingkan kepalanya dari satu sisi ke arah yang lain dan kemudian ke atas dan kembali ke satu sisi.

Namun, Dick Reavis tidak dapat memastikan adakah ini adalah isyarat daripada Charles, juga tidak jelas tahap pergerakan Charles memandangkan dia menjadi lumpuh akibat suntikan tersebut.

5. Penerimaan masyarakat antarabangsa

Suntikan maut memperlihatkan penerimaan yang meluas di negara penghasilnya, Amerika Syarikat, dengan 30 negeri di sana membenarkan hukuman mati dengan suntikan maut.

Sehingga tahun 2009, 936 daripada 1,107 banduan yang dihukum mati sejak tahun 1977 dibunuh dengan suntikan maut.

Sejak tahun 2000, hanya 5 banduan dihukum mati dengan cara lain, iaitu dengan kerusi elektrik, teknik yang lebih diterima oleh banyak negara termasuk China yang melaksanakan hukuman mati sekitar 10,000 banduan dalam setahun.

Taiwan adalah negara luar pertama yang mengiktiraf suntikan maut selepas Amerika Syarikat namun tidak pernah menggunakannya.

Guatemala mengamalkan teknik ini tetapi berhenti pada tahun 2000 apabila pelaksanaan hukuman mati yang ditayangkan di televisyen telah gagal.

6. Ujian tahap kesakitan yang dialami banduan suntikan maut

Walaupun suntikan maut tersebar ke negara-negara di seluruh dunia, masih tidak ada bukti yang pasti bahawa prosedur itu tidak menyakitkan atau berperikemanusiaan.

Charles Brooks telah menggelengkan kepalanya apabila disuntik, mungkin cuba memberi isyarat kepada Dick Reavis bahawa dia mengalami kesakitan.

Namun, kita tidak pernah mengetahui tentang perkara ini kerana tiada siapa yang pernah terselamat ketika menerima suntikan maut.

Jay Chapman mengejek idea bagi menguji protokol untuk melihat sama ada ia menyakitkan atau tidak.

Beliau berkata bahawa, satu-satunya cara yang boleh menyakitkan banduan adalah memulakan dengan dos yang tidak berperikemanusiaan dan menambahkan dos, yang akan menyeksa banduan.

Tetapi, penyelidik di Florida dan Virginia telah menemui cara yang kurang kejam untuk menguji suntikan ini.

Mereka hanya menguji tahap ubat-ubatan yang masih terdapat di dalam badan selepas banduan mati.

Hasil yang ditemui menunjukkan bahawa sebanyak 90% daripada tahanan yang diberikan suntikan maut tidak mempunyai anestetik yang cukup dalam sistem mereka.

40% daripada banduan dipercayai berada dalam keadaan sedar selepas disuntik, menyebabkan mereka mengalami sensasi terbakar yang melampau di seluruh badan, kekejangan otot, sesak nafas dan akhirnya serangan jantung.

7. Kegagalan pelaksanaan suntikan maut

Walaupun suntikan maut mungkin tidak memberikan sebarang kesakitan jika dilaksanakan dengan betul, namun ia kerap kali dilakukan dengan tidak betul.

Doktor dan jururawat sering dilarang daripada menyertai mana-mana bahagian pelaksanaan oleh kod etika mereka. Sesetengah doktor pula tidak mahu memberikan sebarang pendapat mengenai amalan suntikan maut ini.

Ia bermakna bahawa, algojo tanpa latihan formal akan mengalami kerumitan dalam menentukan dos ubat bius yang diberikan dalam tiga ubat suntikan tersebut.

Sebarang kesilapan boleh mengakibatkan pelaksanaan suntikan yang gagal dan banduan akan menderita kesakitan yang tidak sepatutnya jika juruteknik tidak boleh memasukkan jarum dengan betul, menggabungkan suntikan atau menyuntik terlalu sedikit bahan kimia.

Malang sekali, kesilapan ini agak biasa berlaku. Di Oklahoma, terapi intravena (IV) yang bertujuan untuk dimasukkan ke arteri femoral seorang banduan, Clayton Lockett, telah tersalah masuk dan bahan kimia tersebut dilepaskan di bawah kulitnya. Dia akhirnya mati selepas 43 minit dalam kesakitan yang melampau.

Di Georgia, seorang juruteknik juga mengalami masalah memasukkan IV dan 'menyerah kalah' selepas satu jam gagal mencari vena yang sesuai.

Dalam kes yang lain, seorang banduan berusia 72 tahun telah dimasukkan IV berhampiran pangkal punggungnya selepas tidak dapat dimasukkan di bahagian tangannya.

Sebagai rujukan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk sebarang kaedah pelaksanaan hukuman mati yang menyebabkan mangsanya menderita lebih dari 10 minit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, April 05, 2019

Kisah Alfonso de Albuqueque, Penjajah Yang Sangat Membenci Islam

Kisah Alfonso de Albuqueque, Penjajah Yang Sangat Membenci Islam

Alfonso de Albuqueque dikenali sebagai orang yang bertanggungjawab menyerang Melaka pada tahun 1511 dan secara umumnya, masyarakat hanya mengenali beliau sebagai orang Portugis yang berjaya menjatuhkan kota Melaka ke tangan penjajah barat.

Alfonso de Albuqueque penjajah Melaka
Alfonso de Albuqueque.

Pencapaian Alfonso ini bolehlah dibanggakan sebagai bangsa barat pertama yang berjaya menduduki kepulauan Melayu. Namun apakah latar belakang Alfonso? Apakah yang menyebabkan begitu bersungguh-sungguh menawan kota Melaka?

Alfonso berasal dari keturunan Raja Portugal. Ia adalah satu keluarga yang sangat ternama di Castile.

Castile adalah salah satu nama kerajaan yang wujud di Portugal-Sepanyol sejak abad ke 10 lagi. Alfonso ialah anak lelaki kedua hasil perkahwinan Goncalo dengan Dona Leonor de Meneses.

Darah Raja yang mengalir dalam tubuh badan Alfonso menyebabkan beliau telah dibesarkan di Istana Raja Afonso V(1438-1481).

Peribadi Alfonso de Albuqueque

Dalam catatan anak Alfonso, ada menyebutkan tentang perbadinya;

“Kapten yang agung ini ialah seorang lelaki yang sederhana tinggi. Mukanya panjang dan mempunyai hidung yang agak besar. Dia sangat berjimat-cermat. Dia juga memahami bahasa Latin dan mempunyai kelebihan luar biasa untuk berdebat. Ketika berunding dengan orang Islam, dia seorang yang pintar. Dia ditakuti dan disayangi oleh semua orang.”

Kebencian terhadap Islam

Pada tahun 1471, Alfonso telah mengambil bahagian dalam pengembaraan, atas arahan Raja Afonso V yang bercita-cita untuk menakluk Maghribi dan mulai menanam kebenciannya terhadap Islam disitu.

Beliau telah mempelajari kaedah-kaedah peperangan yang melibatkan cara untuk menghancurkan bandar, membunuh penduduk, menyeksa dan mencacatkan tahanan dan pesalah dengan cara yang kejam.

Sesiapa yang meninggalkan agama Kristian misalnya, juga akan menerima seksaan yang mengerikan.

Setelah Maghribi ditawan, kebencian Alfonso terhadap orang Islam semakin membuak-buak kerana memang cita-citanya untuk menghapuskan orang Islam di atas muka bumi.

Atas asas inilah Alfonso mengembangkan empayar Portugal dan meletakkan kesetiaannya kepada segala arahan Rajanya.

Dalam tahun 1509, atas arahan Raja Portugal, Alfonso telah diberi tanggungjawab untuk menyerang Goa, India.

Ini kerana Alfonso sendiri yang berkeyakinan bahawa misi menawan Goa adalah suatu usaha yang mesti dijalankan.

Alfonso menulis kepada Raja Portugal;

“Jikalau Tuanku menawan Calicut dan Cambay serta Goa, tiada kuasa Sultan mahupun kuasa Turki yang boleh menghalang kita daripada mengambil rempah dari India, sebagaimana yang tuanku ingini.”

Kenyataan Alfonso ini jelas menunjukkan kegigihannya menawan sebanyak mungkin kawasan yang dikuasai oleh orang Islam.

Menurut strateginya, jika kawasan-kawasan tersebut berjaya ditawan, ia membolehkan kuasa Portugis bertapak kukuh di kawasan Asia dan pada tahun 1510, Goa berjaya ditawan sepenuhnya oleh tentera Portugis.

Ini kerana Sultan Bijapur yang baru, Ismail Adil Shah tiada dalam kawasan pemerintahannya kerana telah pergi ke Laut Merah disebabkan telah diperdayakan oleh Alfonso.

Penduduk Hindu di kawasan Goa sebenarnya ternanti-nantikan kedatangan Alfonso kerana mereka mendakwa mahu melepaskan diri daripada kawalan orang Islam.

Penaklukan Portugis di Goa India telah memusnahkan perikatan antara Gujerat, Mamluk dan Calicut yang semuanya dikuasai oleh orang Islam.

Penawanan Goa ini telah menjadikan Alfonso semakin berkeyakinan untuk menawan Asia dan muncul sebagai kuasa imperial di India.

Kebencian Alfonso terhadap orang Islam telah dizahirkan dalam satu suratnya kepada Raja Portugal;

“Kemudian, saya membakar kota tersebut dan membunuh setiap orang di situ. Selama empat hari orang-orang tuanku tidak henti-henti menumpahkan darah. Di mana sahaja kami pergi tiada seorang pun orang Islam yang terlepas..”

Alfonso bertindak sangat kejam di Goa, bahkan ada dikalangan orang Hindu membantunya untuk membunuh orang-orang Islam yang cuba melarikan diri.

Tiada satu pun bangunan yang dimiliki oleh orang Islam tidak dihancurkan dan sebahagian orang Islam serta orang Kristian yang murtad dibakar hidup-hidup.

Alfonso Menyerang Melaka

Dengan menggunakan pengalaman-pengalamannya di Maghribi dan Goa, Alfonso telah membuat keputusan untuk menyerang Kota Melaka atas restu Raja Portugal.

Alasan Alfonso adalah kerana kerajaan Melaka telah melarang orang-orang Portugis yang datang untuk berdagang.

Pada April 1511, Alfonso pun bertolak dari Goa dengan lapan belas buah kapal termasuk empat buah kapal kepunyaan Diogo Mendes serta satu angkatan kecil seramai lapan ratus askar Portugis dan dua ratus askar Malabar.

Pada 25 Ogos 1511, Alfonso berjaya menawan Kota Melaka dan peristiwa ini dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin;

“Maka Melaka pun alahlah dinaikinya oleh Feringgi dari ejung Berunai. Maka segala Melaka pun larilah. Maka Bendahara Lubuk Batu itu ditandu oranglah dibawa lari. Si Selamat Gagah nama orang yang menandunya itu. Maka Feringgi pun datanglah berikut-ikut. Maka Feringgi pun diamlah di Melaka..”

Kematian Alfonso

Alfonso meninggal dunia semasa berumur enam puluh tiga tahun, selepas memerintah India selama sepuluh tahun. Alfonso dikatakan meninggal dunia pada tahun 1515.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, April 01, 2019

Sejarah Stesen Kereta Api Melalap Tenom

Sejarah Stesen Kereta Api Melalap Tenom

Stesen Kereta Api Melalap, Tenom, bakal beroperasi semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi dengan mempunyai landasan dan gerabak lebih baik selepas perkhidmatan kereta api di laluan itu ditamatkan 49 tahun lalu.

Stesen Kereta Api Melalap

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata pembangunan semula stesen itu turut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf landasan dari Tenom ke Melalap sejauh 14 kilometer dengan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata ini adalah usaha kerajaan negeri untuk memajukan perkhidmatan kereta api di Sabah sebagai sistem pengangkutan efisien menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.

Beliau berkata perkhidmatan kereta api itu juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya Tenom, Pensiangan dan Keningau kerana mereka mempunyai pilihan dan tidak hanya bergantung kepada perkhidmatan bas atau teksi.

“Kita akan menghubungkan (landasan Melalap) sehingga ke Tenom, seterusnya ke Beaufort-Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Landasan Kereta Api Tenom-Melalap.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie bersama pemimpin yang hadir diiringi Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard S. Poyong kemudian menaiki kepala gerabak kereta api itu yang melalui landasan baharu sepanjang 300 meter sebagai gimik pelancaran projek tersebut.

Beliau berkata banyak manfaat boleh diperolehi menerusi inisiatif pembangunan semula stesen dan landasan kereta api kerana beliau yakin Tenom berpotensi besar bukan sahaja dalam pelancongan tetapi juga pertanian.

“Kereta api ini boleh digunakan untuk mengangkut hasil pertanian penduduk di sini dan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bas atau lori,” katanya.

Mohd Shafie berkata landasan kereta api digunakan pada 1906 iaitu ketika zaman British juga akan dinaiktaraf, namun, mengambil sedikit masa kerana ada penduduk kampung telah membina rumah di kawasan berkenaan.

Mengenai pembangunan pekan baharu Melalap, Shafie berkata, inisiatif itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan lebih seimbang dilaksanakan di setiap daerah.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan hanya memberi fokus membangunkan kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau tetapi kawasan luar bandar juga akan diberikan keutamaan.

SEJARAH

Stesen Kereta Api Melalap

Stesen Kereta Api Melalap merupakan bekas stesen kereta api Laluan Kereta Api Barat Sabah yang terletak di Melalap, Sabah. Pada tahun 1900-an, seperti kebanyakan kawasan di Bahagian Pantai Barat, Sabah; sebahagian besar kawasan Melalap telah ditanam dengan pokok getah.

Sebuah lalu kereta api ke Melalap kemudiannya telah dibina oleh seorang jurutera Inggeris, Arthur J. West menggunakan buruh asing dari China yang terdiri daripada masyarakat Hakka dan Kantonis.

Laluan kereta api tersebut siap pada tahun 1906 untuk mengangkut barang dan juga membawa orang ke bandar-bandar besar.

Laluan tersebut telah dibuka pada 1 Ogos 1914, namun begitu, disebabkan oleh perubahan ekonomi di sekitar Melalap, laluan kereta api tersebut telah ditutup dan perkhimatannya telah ditamatkan pada tahun 1970-1971.

Stesen kereta api ini akhirnya diliputi semak samun akibat tidak dilakukan apa-apa pemuliharaan melainkan beberapa percubaan menyelamatkannya namun gagal kerana kekurangan peruntukan dan ketiadaan sokongan.

Pemuliharaan

Stesen Kereta Api Melalap Usang

Pada tahun 2016, hasil usaha seorang sukarelawan, Richard Ker, yang merupakan pengasas Persatuan Sejarah Borneo Utara, kawasan stesen tersebut telah dibersihkan dan dibaiki serta pelancaran kempen #SaveMelalapStation (#SelamatkanStesenMelalap) sebagai sebahagian usaha kumpulan tersebut untuk melindungi kesemua struktur sejarah di Sabah.

Ia turut dibiayai oleh syarikat-syarikat besar dan lain-lain parti yang turut menyumbang untuk pengumpulan dana bagi menyelamatkan stesen ini.

Pada 9 Mac 2017, stesen ini telah diwartakan sebagai sebahagian daripada tapak sejarah oleh kerajaan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Joseph Pairin Kitingan berkata pada 20 Mac 2017 bahawa bangunan stesen lama juga perlu diperlihara sebagai Warisan Negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, March 31, 2019

Black Death: Wabak Yang Membunuh 200 Juta Nyawa

Black Death: Wabak Yang Membunuh 200 Juta Nyawa

Wabak yang disebabkan oleh bakteria Yersinia pestis, dianggarkan telah meragut kira-kira 75 juta sehingga 200 juta nyawa manusia ketika berada di ‘puncak kegemilangannya’ iaitu semasa zaman pertengahan dahulu.

Misteri penyakit Black Death
Black Death-Gambar hiasan.

Kehilangan nyawa yang sangat besar ini, telah menyebabkan tamadun manusia itu mengambil masa kira-kira 200 tahun, untuk kembali ke jumlah sebelum wabak tersebut melanda.

Terdapat 3 manifestasi wabak iaitu Bubonic, Pneumonic dan Septicemic.

Sehingga kini, masih terdapat banyak lagi kes-kes wabak dilaporkan saban tahun dan antara “outbreak” terbesar terjadi di zaman moden ini, adalah pada tahun 2014 dan 2017 di Madagascar.

Tidak seperti perubatan zaman pertengahan dahulu, kemajuan perubatan moden masa kini, serta penemuan antibiotik dengan mudah merawat jangkitan Yersinia pestis.

Walau bagaimanapun, disebabkan rakyat Madagascar kebanyakannya tinggal di kawasan pedalaman, menyebabkan pesakit lewat dalam mendapatkan rawatan. Ratusan kes kematian telah direkodkan.

Tidak seperti virus smallpox, wabak ini sukar untuk dibasmi sepenuhnya kerana bakteria Yersinia pestis, menjadikan tikus sebagai “reservoir host”.

Tikus-tikus ini seolah-olah berfungsi sebagai tempat penyimpanan bakteria Yersinia pestis.

Anda perlu tahu bahawa, untuk dijangkiti wabak, anda sama ada perlu digigit atau terkena najis vektor (agen penyebaran) yakni kutu, “oriental rat flea” spesies Xenopsylla cheopis, selepas menghisap darah tikus yang mempunyai bakteria di dalam badannya.

Selain itu, water droplets dari batuk pesakit wabak pneumonik serta bodily fluids juga boleh menjangkiti anda.

WABAK

Penyakit ini tiba di Eropah Barat pada tahun 1347 dan di England pada tahun 1348. Ia kemudiannya mula reda pada awal tahun 1350-an.

Wabak ini dikatakan mula tersebar dari bahagian 'timur', sebagaimana orang zaman pertengahan menganggapnya, kemudian melanda ke utara dan barat selepas menjangkiti timur Mediterranean, Itali, Sepanyol dan Perancis.

Selepas tersebar ke Britain, di mana ia melanda Dorset dan Hampshire di sepanjang pantai selatan England secara serentak, ia kemudian tersebar ke utara dan timur, kemudian ke Scandinavia dan Rusia.

YAHUDI

Tahukah anda, warga yahudi di Eropah dahulu telah dituduh meracun telaga serta kononnya telah menjadi penyebab kepada wabak “Black Death” ini.

Perkara ini seolah-olah menjadi logik masyarakat pada ketika itu kerana tidak terlalu ramai orang yahudi yang mati.

Sebaliknya, penjelasan mudah adalah kerana orang yahudi ini sering menjaga kebersihan tempat tinggal dan diri mereka berbanding warga lain dan berikutan tuduhan itu, ramai warga yahudi telah mati dibunuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, March 28, 2019

Peristiwa Sook Ching, Penghapusan Bangsa Cina Oleh Tentera Jepun

Peristiwa Sook Ching, Penghapusan Bangsa Cina Oleh Tentera Jepun

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada akhir tahun 1941 dan awal tahun 1942 semasa Perang Dunia Kedua (WWII), ramai menyangka mereka yang datang ini sebagai pembebas dan dianggap lebih baik berbanding Britain.

Peristiwa Sook Ching

Tetapi siapa sangka tempoh tiga tahun lapan bulan itu merupakan mimpi ngeri bagi warga Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak terutama bagi orang Cina. Satu insiden yang masih segar dalam ingatan orang Cina ialah peristiwa Sook Ching.

Sook Ching atau proses penghapusan melalui pembersihan dalam Bahasa Cina ialah satu proses yang dilakukan penuh teliti oleh Jepun sebelum mereka bertapak di Asia Tenggara terutama di Tanah Melayu dan Singapura lagi.

Ini didedahkan oleh Profesor Hirofumi Hayashi menerusi satu rancangan yang dipanggil ‘Panduan Perlaksanaan Manipulasi Orang Cina Di Luar Negara’ yang dirangka pada 28 Disember 1941.

Pelan ini dirangka Leftenan Kolonel Masanobu Tsuji atau Mejar Hayashi Tadahiko dan diberi lampu hijau oleh jeneral tentera Jepun yang digelar Harimau Malaya, Tomoyuki Yamashita.

Menurut Hayashi, pelan ini dibuat bagi memaksa populasi Cina tidak lagi menyokong perjuangan tentera China yang menentang pendudukan Jepun semasa Perang China-Jepun Kedua (1937-1945) termasuk dari segi kewangan.

Antara individu yang dianggap patut dibunuh ialah aktivis bantuan kemanusiaan dari China Relief, orang bertatu (disyaki ada kaitan dengan kongsi gelap), orang Hainan (dianggap komunis), kakitangan awam atau mana-mana individu yang bersimpati dengan Britain.

Apabila arahan ini dikeluarkan oleh Yamashita, arahan itu hanya terpakai kepada beberapa kelompok seperti kelompok anti-Jepun dan pro-British, penjenayah tegar dan komunis.

Tetapi bagi orang bawahan, ia dianggap lesen untuk mereka membunuh sesuka hati lebih-lebih lagi bagi yang terkesan dengan penentangan keras tentera China semasa kempen Perang China-Jepun Kedua.

Untuk melaksanakan panduan yang dikeluarkan, semua lelaki Cina berumur 18 hingga 50 tahun dipanggil untuk melaporkan diri ke kem-kem pendaftaran untuk diperiksa.

Tetapi ada masanya, wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali dan turut dipanggil untuk diperiksa.

Bagi membantu pihak Kempeitai (polis rahsia Jepun) mengenalpasti mana-mana individu disyaki anti-Jepun, mereka dibantu oleh pemberi-pemberi maklumat yang dipakaikan topeng untuk mengenalpasti individu yang terlibat.

Tetapi ada masanya, sesetengah pegawai Kempeitai ini memanggil sesiapa yang mereka syaki sebagai anti-Jepun termasuk yang memakai cermin mata (dianggap bijak pandai oleh pihak Jepun).

Yang mana terselamat akan diberi sehelai kertas sebagai tanda sudah diperiksa atau dicap dengan cap dakwat merah pada lengan atau lengan baju.

Yang gagal akan dicap dengan tanda segi empat tepat, diasingkan dari kumpulan yang diperiksa, dimuatkan ke lori dan dihantar ke tempat pembunuhan.

Salah satu individu terkenal yang terkesan dengan peristiwa ini di Singapura ialah Perdana Menteri Singapura pertama, Lee Kuan Yew.

Semasa peristiwa ini berlaku, beliau baru berusia 18 tahun dan seperti mana-mana individu berbangsa Cina ketika itu, Kuan Yew memilih untuk pergi ke pusat pemeriksaan di Stadium Jalan Besar bersama rakan keluarga dan pembantu Koh Teong Koo.

Selepas menghabiskan masa sehari semalam di pusat pemeriksaan menanti untuk diperiksa, Kuan Yew mahu pulang tetapi sudah mula merasa tidak sedap hati apabila disuruh menyertai sekumpulan lelaki muda Cina.

Sedar dirinya dalam bahaya, beliau memberi alasan tertinggal barang di kuarters sementara pusat pemeriksaan dan dibenarkan pergi.

Lee Kuan Yew bersembunyi selama sehari lagi sebelum diperiksa dan dibenarkan pulang bersama rakannya itu.

Atas arahan Tsuji, Sook Ching turut dilaksanakan di Tanah Melayu, tetapi berikutan taburan populasi yang agak besar di kawasan bandar dan luar bandar, agak sukar bagi Kempeitai mengumpulkan orang Cina yang dimahukan berdasarkan senarai itu.

Selain itu, dengan kekurangan bilangan Kempeitai diperlukan untuk proses pemeriksaan penuh, pihak Jepun memilih melakukan pembunuhan tanpa sebarang diskriminasi.

Pembunuhan sebegini dibuat tanpa sebarang belas kasihan di Tanah Melayu dan Singapura melalui pelbagai cara seperti dipenggal dengan pedang katana, ditembak dengan mesingan dan ditikam dengan bayonet.

Tidak diketahui berapa ramai yang terbunuh akibat peristiwa ini kerana pihak Jepun langsung tidak berminat mencatat bilangan mereka yang terbunuh.

Di Pulau Pinang saja misalnya, terdapat beberapa tapak yang dijadikan sebagai kubur besar mangsa Sook Ching seperti Rifle Range, Bukit Coombe, Batu Feringgi, Bukit Dumbar dan Penjara Pulau Pinang.

Menurut sejarawan tempatan Andrew Hwang, angka 5,000 penduduk Cina yang terkorban semasa peristiwa Sook Ching di Pulau Pinang dianggap angka konservatif.

Ini kerana menurut beliau, wujud kemungkinan pihak Jepun turut mencampakkan mangsa-mangsa pembunuhan mereka ke dalam laut dan bilangan ini berkemungkinan lebih ramai.

Untuk melihat kebenaran penuh Sook Ching, berikut beberapa statistik menggerunkan pembunuhan yang dilakukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura:

Peristiwa Sook Ching

Seperti Nuremberg, Britain turut membentuk tribunal jenayah perangnya di Singapura dan Pulau Pinang pada tahun 1946 dan 1947.

Di Singapura, tujuh pegawai tentera Jepun didakwa iaitu Takuma Nishimura, Saburo Kawamura, Masayuki Oishi, Yoshikata Yotaka, Tomotatsu Jo, Satoru Onishi dan Haruji Hisamatsu didakwa atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai Sook Ching.

Tetapi tiada langsung kelibat dalang Sook Ching iaitu Tsuji yang dikatakan sudah melarikan diri dari Thailand ke China.

Akibatnya, Kawamura dan dan Oishi dikenakan hukuman mati sementara baki yang lain dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Tetapi nasib Nishimura tidak bertahan lama apabila dia dikenakan hukuman mati berikutan pembabitannya dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong oleh mahkamah Australia pada tahun 1951.

Tsuji kemudiannya kembali ke Jepun mula bergiat dalam bidang politik dan terlepas dari perbicaraan.

Dia kemudiannya berangkat ke Laos dan hilang, disyaki terbunuh semasa Perang Saudara Laos pada tahun 1961.

Tetapi wujud dakwaan Tsuji berkhidmat sebagai penasihat kerajaan Vietnam Utara dan dia diisytiharkan mati pada tahun 1968.

Sementara Yamashita yang bertanggungjawab memberi lampu hijau kepada pelan gila ini dibicarakan di tribunal jenayah perang Manila dan dihukum gantung sampai mati pada tahun 1946.

Sebut pasal mengingati peristiwa gelap ini, mengapa ia jarang disebut dan dimasukkan dalam buku teks sejarah?

Salah satu sebab ialah keganasan yang dilakukan komunis selama 14 hari sebelum Britain kembali ke Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak melalui Pentadbiran Tentera British (BMA).

Keganasan ini tercetus berikutan keinginan membuak-buak Parti Komunis Malaya mahu membalas dendam terhadap mana-mana individu yang disyaki bekerjasama dengan Jepun.

Ini mencetuskan peristiwa keganasan 14 hari dan hampir-hampir mencetuskan peristiwa rusuhan kaum jika tidak kerana campur tangan pemimpin seperti Datuk Onn Jaafar.

Bagi mengelak berlakunya rusuhan kaum, sebarang perkara membabitkan peristiwa sebegini tidak disebut dan tidak dimasukkan ke dalam buku teks.

Ini ditambah dengan sikap penjajah sendiri yang memandang sepi peristiwa sebegini di sebalik semua dakwaan yang difailkan di tribunal jenayah perang.

Wujud juga dakwaan bahawa pihak penjajah dari Britain hingga Amerika Syarikat lebih menumpukan dakwaan keganasan ke atas tentera dan penduduk negara mereka berbanding penduduk tempatan di Asia.

Apabila ada cubaan untuk memfailkan dakwaan sebegini di tribunal jenayah perang, ia tidak dilayan berikutan sentimen orang Asia dianggap penduduk kelas kedua dan dilihat tidak memerlukan keadilan sama yang diperuntukkan kepada mangsa-mangsa WWII yang lain.

Atas sebab itulah, mengapa ramai menolak kewujudan tugu penghormatan yang dibina kerajaan Kedah baru-baru ini bagi menghormati keberanian tentera Jepun semasa WWII termasuk entiti dan organisasi Cina.

Tugu Jepun Kedah

Ini kerana bagi ramai pihak, ia sebenarnya membuka luka lama yang berdarah akibat pelbagai perlakuan jenayah perang yang dilakukan Jepun semasa WWII.

Ditambah lagi dengan sikap ego Tokyo yang masih enggan mengeluarkan permohonan maaf rasmi atas kekejaman mereka itu selepas lebih 70 tahun tamatnya WWII.

Sikap ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab negara itu terhadap sisi gelap sejarah silamnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, December 25, 2018

Sejarah Perang Chechnya Angkara Penindasan Terhadap Umat Islam

Sejarah Perang Chechnya Angkara Penindasan Terhadap Umat Islam

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, zaman kepayahan masih lagi dirasakan oleh banyak negara yang dahulunya merupakan sebahagian daripadanya. Kesan dari polisi perluasan kuasa Rusia di Kazakhstan, Turkmenistan, Azerbaijan, Uz­be­kistan, Kyrgyztan dan Dagesten, penjajahan masih lagi belum dapat dipadamkan.

Perang Chechnya

Negara-negara ini, yang percaya bahawa mereka mampu membina keamanan dan memupuk persaudaraan selepas bebas daripada penindasan rejim Soviet, kemu­diannya mendapati terpaksa ber­konfrontasi dengan penindasan Rusia dalam bentuk yang agak berlainan sedikit.

Sebaliknya, ada juga satu bangsa yang masih belum bebas daripada perjuangan 400 tahun untuk men­dapatkan kemerdekaan daripada Rusia. Negara itu ialah Chechnya, yang keberanian dan hasrat mereka untuk mendapatkan ke­merde­ka­an telah tercatat di dalam sejarah.

Sejarah perjuangan kental umat Islam Chechnya menentang Rusia bermula pada akhir abad kelapan belas berikutan penawa­nan dan seterusnya pembunuhan yang di­lakukan terhadap Imam Mansur, seorang pe­juang penentang legenda, pada tahun 1791, di tangan pihak Rusia.

Pada tahun 1816, selepas Tzar (gelaran yang diberikan kepada raja Rusia dahulu) mengarahkan Jeneral Yermolov untuk memimpin pasukan tentera Rusia, orang-orang Chechen yang tinggal di utara Caucasus telah dibunuh dengan begitu kejam.

Apabila pemimpin umat Islam Chechen Imam Hamzat dibunuh, Sheikh Shamil mengambil alih teraju kepimpinan tentera Chechen, dan mula ber­juang hebat untuk men­dapatkan kemerdekaan, yang seterusnya di­turunkan dari satu ge­ne­rasi ke satu gene­rasi berikutnya se­hing­ga­lah ke hari ini.

Pasukan tentera Sheikh Shamil dengan gagahnya menentang dasar perluasan wilayah oleh pihak Rusia selama suku abad, dari 1834 sehingga 1859.

Namun demikian pada akhirnya, Rusia berjaya menawan wilayah tersebut dan terus berada di situ sehingga hari ini.

Perjuangan orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan pada hari ini sebenarnya adalah sambungan dari pergerakan yang dimulakan oleh Sheikh Shamil.

Bagaimanakah Perang Tercetus?

Ada berbagai-bagai sebab, faktor-faktor sejarah dan ekonomi tertentu, yang terselindung di sebalik penindasan kejam dan keganasan yang dilakukan terhadap orang-orang Chechen oleh pihak Rusia.

Chechnya sebenarnya mempunyai kepentingan besar kepada Rusia berbanding republik-republik Caucasian yang lain. Wilayah ini mengandungi simpanan tenaga yang sangat banyak, terutamanya minyak dan gas asli.

Semasa Perang Dingin, pihak Komunis Rusia mendapatkan segala keperluan bahan mentahnya dengan harga yang begitu murah daripada Chechnya, dan juga turut menggunakan negara tersebut bagi kepentingannya sendiri.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, walau bagaimanapun, deklarasi kemerdekaan yang dituntut oleh Chechnya - sumber bahan mentah terbesar - dan juga bekas-bekas republik Soviet yang lain telah meletakkan Rusia di dalam ke­bimbangan.

Di samping faktor ekonomi, polisi perluasan kuasa Rusia yang berabad-abad lamanya menjadi faktor sejarah yang membawa kepada huru-hara yang berlaku di Asia Tengah dan Caucasus.

Selepas Kesatuan Soviet tumbang, Moscow mengalami waktu-waktu yang tidak stabil, tetapi kemudian cuba keluar dari situasi tersebut, dan mengambil inisiatif-inisiatif jangka panjang untuk mewujudkan semula penguasaan ke atas republik-republiknya yang dahulu.

Tanda pertama yang membuktikan apa yang sedang Rusia lakukan ke atas republik-republik ini telah disampaikan di dalam satu ucapan oleh Presiden Boris Yeltsin pada tahun 1993.

Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa Rusia akan sekali lagi memenangi status kuasa super dengan mendapatkan semula semua kedudukan-kedudukan yang telah hilang.

Dengan kata lain, Rusia enggan menerima sebarang deklarasi kemerdekaan negara-negara tersebut, kemenangan mereka untuk mendapatkan kebebasan, dan kebolehan mereka untuk berdiri di atas kedua-dua kaki sendiri.

Sebaliknya, Rusia melihat negara-negara tersebut sebagai "kedudukan yang mesti dirampas kembali."

Kesannya, wujud sesetengah komuniti umat Islam yang masih gagal mendapatkan kebebasan dan terus berada di bawah persekutuan Rusia.

Salah satu daripadanya ialah Chechnya, yang telah menjadi sasaran utama tekanan, dan dengan sebab itu ia berhadapan dengan pelbagai jenis kekejaman yang maha dahsyat.

Untuk memahami dengan tepat apa yang sedang berlaku di Chechnya kini, kita perlu menumpukan perhatian terhadap beberapa perkara penting.

Peperangan yang tercetus di Chechnya bukanlah konflik yang mana kedua-dua pihak mengangkat senjata kerana konflik yang berlaku di antara mereka sudah sampai ke tahap yang sudah tidak boleh diselesaikan dengan jalan damai lagi, iaitu perang yang boleh dilihat di mana-mana sahaja di dunia ini.

Keadilan yang dituntut oleh orang-orang Chechen untuk mendapatkan kemerdekaan telah diperdebatkan oleh pelbagai pihak di peringkat antarabangsa, dan pelbagai pendapat telah diajukan. Kesemua pendapat-pendapat tersebut boleh dipertikaikan.

Walau bagaimanapun, perkara yang kesemua pihak bersetuju ialah Rusia telah melampaui batas dan menyerang penduduk yang tidak bersalah, menukar peperangan yang pada mulanya hanya melibatkan askar kepada usaha untuk menghapuskan seluruh populasi Chechnya.

Hal ini tidak dapat diterima, dan ia akan menjadi pokok perbincangan penting di dalam bab ini.

Dalam usaha Rusia untuk memperlihatkan dirinya berada di pihak yang benar di persada arena antarabangsa, Rusia memberitahu bahawa perang yang berlaku di Chechnya hanyalah satu "perkara domestik", dengan harapan ia akan menutup mata masyarakat terhadap keganasan yang berlaku di sana.

Namun, alasan itu tidak mencukupi untuk menerangkan tentang perihal pemuda-pemuda Chechen yang dikumpul di jalanan dan seterusnya dihantar ke pusat-pusat seksaan, mereka yang dipenjara diikat kakinya pada kereta kebal dan seterusnya diseret, bayi-bayi yang masih kecil ditembak dan harta penduduk dirompak.

Ramai ahli sains falsafah dan pakar-pakar bersetuju bahawa Rusia terlibat melakukan genocide di wilayah tersebut dan melakukan kekejaman yang jarang dilihat sebelum ini, kesemuanya dilakukan untuk memastikan Chechnya terus berada di dalam genggamannya.

Sebaliknya, serangan-serangan yang dilakukan oleh sesetengah golongan Chechen terhadap penduduk awam Rusia juga mesti dikecam dengan jelas.

Orang-orang Chechen secara asasnya berjustifikasi mahukan sebuah kehidupan yang bebas dan mulia namun, tindakan-tindakan sedemikian telah menconteng arang terhadap kehendak yang telah dijustifikasikan dan seterusnya menyulitkan lagi usaha untuk membela tindak-tanduk orang-orang Chechen.

Sebagai tambahan, haruslah diingat bahawa menyerang orang awam yang tidak bersalah adalah secara terang-terangan melanggar prinsip-prinsip Islam.

Sepanjang hidup Nabi Muhammad s.a.w., Baginda sentiasa membela hak-hak orang awam, walaupun ketika pergaduhan yang dahsyat, dan mengarahkan semua umat Islam agar bersikap sederhana dan tidak fanatik. Inilah kehendak moral yang dituntut oleh al-Quran.

Di dalam al-Quran, Allah telah mengarahkan umat Islam agar bersikap pemaaf dan bertoleransi dan juga untuk bersikap adil, walaupun ketika peperangan.

Seorang Muslim mesti menjadi orang pertama yang memberi makan kepada orang tawanannya walaupun dia sendiri sedang kelaparan, selalu bersifat sederhana walaupun di tengah-tengah peperangan, membela hak mereka yang ditindas dan tidak pernah terpesong dari jalan kejujuran dan keadilan.

Atas sebab inilah, orang-orang Chechen mesti sentiasa ingat kepada peringatan Allah, "Wahai orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sering menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlakulah adil, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (Al-Maaidah, 5), walaupun ketika menentang penindasan Rusia, dan mesti tidak menjadikan orang awam yang tidak bersalah dan tidak bersenjata sebagai sasaran mereka.

Harapan kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian terhadap perbezaan di antara orang-orang Chechen dan pentadbiran Rusia dengan berdasarkan cara yang aman dan sederhana, seperti juga yang akan dilakukan terhadap kes-kes lain yang berlaku di kawasan dunia Islam yang lain.

Kebimbangan Moscow Terhadap "Caucasus Bersatu"

Chechnya, yang telah menjadi agenda dunia sejak berdekad yang lalu, merupakan sebuah negara kecil berukuran kira-kira 16,000 kilometer persegi.

Di dalam Persekutuan Rusia hari ini, ada 19 republik autonomi yang mempunyai kedudukan yang sama seperti Chechnya.

Republik-republik ini membentuk 28 peratus, dalam satu perempat, daripada keseluruhan wilayah Rusia.

Moscow masih memiliki pengaruh yang kuat ke atas republik-republik tersebut, dan sangat berharap agar pengaruh tersebut dapat kekal selama-lamanya.

Kehilangan Chechnya akan memecahkan cengkaman kuasa Rusia terhadap republik-republik yang lain, dan seterusnya akan menjadi contoh kepada bangsa-bangsa lain untuk melakukan tindakan yang serupa.

Jika orang-orang Chechen, yang banyaknya seperti kumpulan askar Rusia sahaja, berpisah dari Rusia, ini akan mencetuskan penubuhan gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan di dalam republik-republik autonomi yang lain.

Karekteristik paling jelas yang terdapat pada republik-republik di dalam Persekutuan Rusia ialah cara mereka mempengaruhi di antara satu sama lain dengan berkesan sekali, dan bagaimana sesuatu perubahan yang berlaku di dalam sesebuah republik dapat mempengaruhi yang lain.

Di samping semua ini, masih ada satu elemen yang menjadikan Chechnya begitu penting kepada Rusia.

Ketakutan Moscow yang sebenar, seperti contoh di Bosnia dan Kosovo, ialah penubuhan dan perjuangan membela hak-hak umat Islam yang tinggal di dalamnya.

Inilah sebab paling penting mengapa perang yang tidak ber­perikemanusiaan dilancarkan oleh pentadbiran Rusia terhadap Chechnya, yang mana mereka telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menghapuskan identiti agama orang-orang Chechen, dan dengan itu mengenakan penindasan kejam ke atas mereka, memusnahkan masjid-masjid, mengharamkan ibadat kepada Allah, dan melarang pendidikan yang bersifat keagamaan.

Orang-orang Chechen dikenali dengan kesetiaan mereka terhadap agama, keazaman mereka berjuang untuk hidup dengan berlandaskan agama, dan identiti keislaman mereka yang amat kuat memberi kesan kepada negara-negara Islam yang lain di Caucasus.

Idea "Cacasus Bersatu" yang telah dicadangkan oleh Imam Mansur pada tahun 1780-an yang bertujuan untuk menyatukan seluruh Caucasus, benar-benar telah memberi amaran kepada Rusia. Ini kerana ciri utama penubuhan kesatuan tersebut bersifat Islamik, dan ia memberikan ancaman getir terhadap segala kepentingan Rusia.

Ketakutan-ketakutan ini telah menimbulkan keinginan Rusia untuk melihat "Chechnya tanpa Chechen".

Berdasarkan kepada polisi semasanya, Rusia mahu menghapuskan orang-orang Chechen sehingga ke akar umbi, menghalang sebarang penubuhan kesatuan Islam, dan mahu mengambil semula bekas-bekas tanah jajahan yang hilang ke pangkuan dominasinya semula.

Sedangkan, walaupun "Caucasus Bersatu" ditubuhkan, ia tidak perlu dianggap sebagai satu per­kembangan anti-Rusia.

Jika Rusia menjalinkan hubungan baik dengan umat Islam Caucasus, jadi tiada sebab bagi mereka, sama ada merdeka atau tidak, untuk menunjukkan sikap menentang terhadap Moscow.

Perjuangan Berterusan Orang-orang Chechen yang Tidak Bersenjata

Terdapat banyak contoh di dalam polisi-polisi Rusia yang lebih cenderung kepada keganasan berbanding keamanan.

Rusia sudah menjalankan pelan-pelan sulitnya di Chechnya, terutama sekali pada permulaan 1990-an.

Rusia berpendapat bahawa mereka tidak boleh menghapuskan orang-orang Chechen yang kesatuan mereka tidak mudah untuk dipecahkan, dengan menggunakan kuasa ketenteraan semata-mata.

Jadi Rusia cuba melemahkan Chechnya dari dalam dan mencuba berbagai-bagai cara untuk melakukannya.

Rusia memulakan langkah pertamanya dengan memusnahkan perpaduan mereka dan mencetuskan kekacauan di Chechnya dengan masuk campur di dalam pilihan raya, membeli ahli-ahli politik, melakukan penculikan dan tindakan-tindakan terorisme, menggunakan paderi-paderi pro-Rusia dan seterusnya mencetuskan perbezaan-perbezaan agama, termasuklah mengenakan tekanan ekonomi dan politik namun, segala usaha tersebut tidak mencapai apa yang di­harap­kan.

"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan ujian kepada orang-orang mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." (Al-Buruuj, 85:10)

Pendudukan Rusia ke atas Chech­nya pada 1991 telah ditamatkan oleh Dzhokar Dudayev. Kemudian satu ke­kacauan serius pada bulan November 1994 bertukar menjadi sebuah pe­pe­rangan pada 11 Disember tahun yang sama.

Lebih 100,000 orang-orang Che­chen hilang tempat tinggal, dan beratus-ratus ribu yang lain terpaksa menjadi pelarian.

Penggunaan senjata kimia yang diharamkan telah membawa kepada genocide dan selain itu, oleh kerana Rusia sudah memberitahu bahawa Chechnya hanyalah satu "masalah dalaman", tiada sebarang reaksi serius dari dunia luar.

Tiada bantuan yang dihulurkan kepada kepada orang-orang Chechen, melainkan beberapa negara-negara Eropah.

Peperangan tersebut berakhir pada Ogos 1996 apabila Rusia mengakui kekalahannya.

Kejayaan orang-orang Chechen ke atas Rusia telah memberi kesan mendalam kepada republik-republik yang lain di Caucasus.

Pada tahun 1998, penduduk di utara Cacasus telah berhimpun dalam "Konvensyen Penduduk Cacasus Utara" di Grozny, ibu negara Chechnya.

Kesemua negara-negara peserta bersetuju dengan posisi masing-masing untuk mengelakkan dari tercetusnya sebarang konflik yang mampu memecah-belahkan penduduk di utara Caucasus, dan saling memberi perlindungan di dalam serangan yang dilancarkan oleh Rusia.

Kesatuan ini memberi mimpi ngeri kepada Rusia. Apa yang ditakuti selama ini telah menjadi kenyataan. Jika Rusia membenarkan ia berlaku, sebuah kesatuan Islam yang ditakuti akan muncul. Inilah sebabnya mengapa Rusia melakukan operasi keduanya untuk menentang Chechnya.

Kali ini, cara yang lebih kejam dilakukan, dan seksaan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas orang-orang yang tidak bersenjata di mata dunia namun atas sebab yang sama, kebuasan yang berlaku hanya dianggap sebagai "hubungan dalaman" Rusia.

Peperangan kedua sebenar yang berlaku di antara orang-orang Chechen dan Rusia bermula apabila Rusia mengepung dan mengebom beberapa perkampungan di Dagestan pada awal 1999.

Lebih kurang 1,500 penduduk di perkampungan tersebut meminta bantuan daripada Chechnya, yang mana mereka menganggapnya sebagai pemimpin.

Shamil Basayev, yang mula mendapat perhatian atas kejayaannya di dalam peperangan, telah memberikan bantuan kepada penduduk Dagestan pada musim panas 1999.

Hanya dua buah kampung sahaja yang telah diserang oleh Rusia berjaya diselamatkan.

Penyembelihan dahsyat telah berlaku di kampung-kampung tersebut, dan penduduk yang tidak bersalah telah dibunuh kejam.

Peperangan yang berlaku di antara Rusia dan Chechnya, yang masih berlaku pada hari ini, telah tercetus lagi menerusi insiden ini.

Kuasa Rusia menceroboh Chechnya pada tanggal 2 Oktober 1999 dan telah melakukan siri pembunuhan yang sangat kejam kepada sesiapa sahaja yang mereka temui, tanpa mengira wanita, kanak-kanak ataupun orang tua.

Mereka mula menyerang penduduk awam. Senjata-senjata kimia, peluru berpandu scud dan napalm (sejenis bahan petrol seperti agar-agar yang digunakan untuk membuat bom) telah digunakan di dalam serangan-serangan tersebut.

Manakala hospital-hospital, wad-wad bersalin, kawasan membeli-belah dan kem-kem tahanan dijadikan sebagai sasaran serangan.

Salah satu daripada serangan-serangan tidak berperikemanusiaan Rusia terhadap penduduk awam ialah dengan meracun Sungai Argun yang merupakan sumber air kepada beberapa buah kampung di Chechen.

Ramai wanita dan juga kanak-kanak yang minum air dari sungai tersebut mati, manakala beratus-ratus yang lain menderita sakit dalam tempoh yang panjang.

Chechnya kehilangan tiga perempat populasinya dalam masa dua tahun sahaja dan sekarang ini pun, orang-orang Chechen masih cuba untuk terus hidup di dalam negara-negara jiran dalam keadaan yang amat menyedihkan.

Pembunuhan beramai-ramai orang-orang Chechen oleh pihak Rusia, yang mana masih kekal di dalam ruang lingkup mentaliti komunis lama, menyerupai tindakan Firaun yang dilakukan berabad-abad yang lampau.

Pada zaman tersebut, Firaun juga turut menyerang golongan yang lemah dan yang tidak bersenjata (dalam kes ini, mereka ialah kaum Bani Israel), dan dengan kejam membunuh mereka semua.

Allah telah menceritakan tentang kekejaman Firaun di dalam ayat-ayat yang berikut:

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu sewaktu Dia menye­lamatkan kamu dari (Firaun dan) para pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak lelakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu, dan pada yang demikian itu ada ujian yang besar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah juga) sewaktu Tuhanmu memberitahu: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih". (Ibrahim, 6-7)

"Sesungguhnya Firaun telah melakukan sewenang-wenang­nya di muka bumi dan menjadikan penduduknya ber­pecah-belah, dengan menindas segolongan daripada mereka, menyembelih anak-anak lelaki mereka dan membiarkan anak-anak perempuan hidup. Sesungghnya Firaun termasuk dari kalangan orang-orang yang me­lakukan kerosakan." (Al-Qashash, 4)

Mentaliti yang membenarkan berlakunya pembunuhan kanak-kanak, membelah perut wanita-wanita mengandung, memusnahkan rumah-rumah penduduk dengan menggunakan kereta kebal, dan berbagai-bagai lagi kedahsyatan, telah lari jauh dari sebarang sensitiviti moral, perasaan perikamunusiaan, belas kasihan, cinta atau simpati.

Ramai di kalangan mereka yang tidak mengetahui sebab-musabab kepada kekejaman yang dilakukan, tetapi oleh kerana ada sifat jahat yang dibawa oleh ateisme, mereka dengan mudah melakukan pelbagai jenis tindakan syaitan.

Apa yang diharapkan dari Rusia ialah mereka mesti meninggalkan mentaliti hitam tersebut, yang merupakan saki-baki dari Kesatuan Soviet, yang memandu mereka kepada penggubalan polisi-polisi ke atas Chechen, kepada suatu perubahan yang membawa kepada penggubalan polisi yang lebih bersifat sederhana yang seterusnya akan membawa keamanan dan keselamatan, baik kepada Rusia mahupun orang-orang Chechen.

"Orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa sebab, kecuali kerana mereka berkata: “Tuhan kami adalah Allah.” Dan jika Allah tidak menolak (keganasan) manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang-orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama-nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." (Al-Hajj, 22:40)

Situasi yang Dihadapi oleh Pelarian Chechen

Sebilangan besar organisasi hak asasi manusia yang menjalankan kajian ke atas pelarian Chechen melaporkan bahawa hak-hak asasi mereka telah dilanggar dalam satu skala yang cukup besar.

Kira-kira 250,000 orang-orang Chechen yang lari akibat peperangan kini berada di Ingushetia, dan bakinya boleh dijumpai di kawasan-kawasan jiran.

Orang-orang Chechen sedang berhadapan dengan kebuluran, kehausan dan penyakit-penyakit berjangkit.

Wanita dan kanak-kanak, orang muda dan tua yang terpaksa bermigrasi, kini sedang bergelut untuk terus hidup dalam keadaan yang sangat sejuk dan hujan, dua atau tiga keluarga berada di dalam gerabak keretapi lama yang ditinggal­kan, ataupun dalam bangsal-bangsal kuda di kampung-kampung tempat mereka berlindung.

Sebagai contoh, orang-orang Chechen di kem pelarian Znamens­koye di utara Chechnya kini tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana tidak memiliki baju panas.

Hampir separuh di antara mereka yang mendapatkan perlindungan di situ telah jatuh sakit disebabkan oleh keadaan yang sangat menyedihkan dan kesejukan yang amat sangat.

Penyakit-penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering) dan hepatitis sedang merebak di kem-kem pelarian Chechen, yang tidak memiliki apa-apa yang panas untuk dimakan selama berminggu-minggu pada sesuatu masa dan badan mereka pula tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut. Angka kematian sedang meningkat.

Mungkin perkara yang paling mengejutkan ialah majoriti bangsa Barat, yang mendakwa mereka berdiri di barisan hadapan untuk melindungi hak-hak asasi manusia, tidak berusaha untuk menolong para pelarian tersebut.

Bahagian signifikan pandangan-pandangan masyarakat awam dunia ialah mereka tidak betul-betul tahu tentang penderitaan yang sedang orang-orang Chechen alami dan kadang-kala mengabaikan kekejaman yang dikenakan ke atas beratus-ribu orang-orang Chechen yang lari dari kekejaman Rusia.

Bantuan dari negara-negara lain disekat, dan mereka yang sedang kelaparan, kehausan dan kesejukan yang mencengkam amat sukar untuk bertemu walau dengan kerak roti sekalipun.

Kesedihan yang dialami oleh pelarian-pelarian tersebut mesti dipandang sebagai satu perkara yang memerlukan tindakan pantas.

Bagaimana Jalan Penyelesaiannya Dapat Diperoleh?

Jalan penyelesaian terletak di atas bahu Rusia dan juga para pejuang Chechen. Kedamaian yang dicari mesti berlandaskan pendekatan cintakan keamanan dan bersikap sederhana seperti yang dituntut oleh Allah.

Moscow mesti mengelakkan diri dari terus beranggapan bahawa kewujudan dan aspirasi nasional umat Islam Caucasus sebagai satu ancaman, dan mereka mesti meredakan konflik dan tekanan ke paras yang minimum dengan mengambil konsep bersederhana dan polisi yang aman.

Seperti yang telah kita lihat, keganasan Rusia di Chechnya tidak dapat diterima sama sekali.

Walau bagaimanapun di sebaliknya, pejuang Chechen yang terlibat dalam serangan ke atas penduduk awam Rusia turut mengambil jalan yang salah.

Kedua-dua pihak mesti mengelakkan diri dari terus melakukan pertumpahan darah, dan seterusnya berusaha untuk membina kedamaian.

Adalah menjadi satu kewajipan kepada seluruh umat Islam sedunia untuk menghulurkan bantuan kepada orang-orang Chechen yang sedang menderita ditindas.

Cukup jelas bahawa tiada seseorang pun yang benar-benar takutkan Allah dan memiliki konsep keadilan yang digariskan oleh-Nya di dalam al-Quran untuk terus berdiri bodoh melihat kekejaman yang dilakukan terhadap mereka yang tidak bersalah.

Seorang mukmin sejati selalu membantu orang-orang miskin, mereka yang memerlukan, mereka yang diusir dari rumah, dan akan bersedia berkorban apa sahaja untuk mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Tuesday, December 11, 2018

Sejarah Bagaimana Argentina Menghapuskan Tradisi Keturunan Afrika

Sejarah Bagaimana Argentina Menghapuskan Tradisi Keturunan Afrika

Lebih sepuluh juta warga kulit hitam Afrika dipaksa meninggalkan tanah asal mereka bermula abad ke 16 sehingga abad ke 19, bagi menjadi pekerja di kawasan pertanian dan perladangan dalam kawasan yang namakan 'New World' atau 'dunia baru.

Afro-argentina

Insiden itu bukan saja mencatatkan sejarah menjadi salah satu migrasi terbesar dalam sejarah peradaban manusia, malahan turut sama menimbulkan salah satu tragedi terbesar yang berlaku pernah disaksikan dunia.

Berjuta-juta warga Afrika ini tiba di Brazil, sehinggakan ketika ini hampir separuh populasi Brazil sebenarnya dikatakan berasal dari Afrika.

Pengenalan budaya Afrika dapat dilihat dalam kehidupan warga Brazil daripada segi muzik, tarian, makanan dan pelbagai lagi aspek lain.

Walaupun begitu, timbul persoalan penting, bagaimana pula dengan Argentina yang berjiran dengan Brazil?

Menurut rekod sejarah, Argentina turut sama menerima kemasukan warga Afrika ke negara mereka namun pada ketika ini kesannya tidak dapat dilihat langsung, seperti tidak pernah berlaku. Mengapa?

Kemasukan pendatang Afrika seawal abad ke 16

Afro-argentina-abad-16

Menurut catatan sejarah, warga Afrika telah datang ke Argentina seawal abad ke 16 di satu daerah yang ketika itu bernama Rio de la Plata, salah satu kawasannya adalah Buenos Aires sekarang, untuk bekerja dalam bidang pertanian atau menjadi pembantu rumah untuk golongan wanita mereka.

Komuniti Afrika terus mendiami Argentina sehingga awal abad ke 19 dalam kelompok besar di kawasan Santiago del Estero, Catamarca, Salta dan Cordoba.

Di Buenos Aires sendiri, warga Afrika merangkumi hampir satu per tiga jumlah penduduk dalam satu kajian ketika itu.

Sistem perhambaan dihapuskan di Argentina pada tahun 1813 namun terus diamalkan sehingga 1853 dan hanya selepas itu, jumlah komuniti Afrika di Argentina mula berkurangan sedikit demi sedikit.

Dijadikan perisai hidup dalam peperangan

Askar-afrikaperang-paraguay

Pengkaji sejarah mengatakan salah satu sebab utama komuniti Afrika di Argentina mengalami penurunan mendadak adalah disebabkan perang yang berlaku dengan Paraguay pada tahun 1865 sehingga 1870.

Warga Afrika ketika itu ditugaskan menjadi barisan paling hadapan sekali dalam tentera Argentina yang menjadi punca ramai yang terkorban.

Wabak penyakit yang melanda Buenos Aires pada tahun 1871 turut sama menyumbang kepada kematian ramai warga Afrika yang telah menetap di Argentina sekian lama.

Perang yang mengorbankan ramai lelaki warga Afrika menyebabkan jumlah wanita Afrika yang tinggal mula memilih untuk bersama dengan warga asal Argentina berkulit putih.

Bagi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu, mereka memilih untuk berhijrah ke Brazil atau Uruguay, yang dipercayai lebih sesuai bagi komuniti kulit hitam Afrika.

Hujah penghapusan etnik

Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak pengkaji sejarah lain, mereka mempunyai pandangan berbeza; memang wujud sebenarnya perancangan teliti dilakukan oleh Domingo Faustina Sarmiento, Presiden Argentina daripada tahun 1868 sehingga 1874 yang mahu menghapuskan komuniti kulit hitam Afrika di Argentina.

Atas matlamat itu, beberapa langkah sengaja diambil seperti memaksa warga lelaki Afrika menyertai pasukan tentera serta proses pemindahan komuniti Afrika ke kawasan tertentu agar wabak penyakit merebak di kalangan mereka, seterusnya menyebabkan kematian akibat ketiadaaan sistem kesihatan sempurna.

Pendapat ini disokong melalui penemuan catatan dalam buku diari Sarmiento yang menyatakan kebimbangan beliau berkenaan jumlah warga Afrika di Amerika Syarikat, serta menyifatkan perhambaan sebagai satu bentuk taktik penjajah dalam memecah belahkan penduduk asal Argentina.

Penghapusan etnik dan budaya yang membunuh secara senyap

Menjelang tahun 1895, jumlah komuniti warga Afrika menjadi terlalu sedikit sehinggakan mereka tidak lagi didaftarkan dalam konsensus kebangsaan Argentina.

Realitinya walaupun dilihat sengaja disisihkan, sehingga kini masih ada sedikit warga Argentina berketurunan Afrika berkulit hitam terus menetap di sana.

AfricaVive, NGO di Argentina yang memperjuangkan hak warga kulit hitam mengatakan hampir 1 juta warga Argentina sebenarnya berketurunan Afrika.

Namun informasi itu tidak kelihatan dalam sistem pentadbiran dan pendidikan Argentina, berikutan tidak ada langsung pengiktirafan atau maklumat berkenaan mereka kerana semuanya termasuklah warga berketurunan Afrika sendiri, kini diklasifikasikan berkulit putih.

Bagi generasi muda pula, mereka dihimpit rasa malu mengaku keturunan asal mereka, menjadikan mereka lebih selesa mengaku diri mereka warga Argentina berkulit putih.

Ini menyebabkan pewaris keturunan Afrika mula tidak mengenali susur galur keturunan mereka yang sebenarnya banyak memainkan peranan dalam sejarah negara mereka sendiri, kerana ketiadaan lagi catatan berkenaan nenek moyang mereka dalam buku-buku sejarah untuk diingati dan dipelajari.

Budaya asli kini jadi milik orang lain

Budaya Argentina

Ketika ini, Argentina mempunyai jumlah populasi seramai 41 juta orang dengan 97 peratus daripadanya dikategorikan sebagai berkulit putih, menjadikan Argentina negara paling dominan warga kulit putih berbanding jiran-jirannya yang lain.

Ironinya, tarian tango yang terkenal di seluruh dunia sebagai salah satu simbol masyarakat Argentina sebenarnya datang daripada komuniti kulit hitam Argentina yang mendiami kawasan sekitar Rio de la Plata, melalui bukti kewujudan lukisan lama memaparkan pasangan kulit hitam sedang menari tarian tango di kawasan sekitar itu.

Dalam satu perspektif lain, penghapusan elemen dan budaya Afrika daripada sejarah Argentina sebenarnya boleh dikatakan menjadi bukti kejayaan kerajaan Argentina sebelum ini meletakkan diri mereka sebagai sebuah sambungan kesatuan negara-negara Eropah di Amerika Latin, yang mahu memperjuangkan dominasi masyarakat kulit putih.

Kini, jarang sekali kedengaran kisah penyertaan warga Afrika yang datang ke Argentina lama dahulu bersama mempertahankan Argentina dalam peperangan, membina sejarah dan serta bekerja keras membangunkan negara.

Ini kerana semuanya telah hampir berjaya dilenyapkan dalam mengejar identiti yang meminggirkan satu kumpulan etnik yang tidak dihargai jasa dan pengorbanan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi