Thursday, November 30, 2017

Sejarah Dan Polemik 'Hamba Seks' Ketika Perang Dunia Kedua

Loading...

Semasa Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, terlalu banyak jenayah perang dilakukan sama ada ke atas orang awam atau tentera. Kepimpinan yang berperang pada ketika itu menjustifikasikan tindakan jenayah mereka mengikut polisi yang digariskan atau atas nama mempertahankan diri.

Sejarah Dan Polemik 'Hamba Seks' Ketika Perang Dunia Kedua

Namun kebanyakan pelaku jenayah sebegini ditahan dan menerima hukuman setimpal pada akhir perang.

Tetapi bila berbicara berkenaan hamba seks tentera Jepun atau comfort women, ia satu perkara yang masih mengundang polemik sehingga ke hari ini.

Semua ini bermula apabila kepimpinan tentera Jepun mahu mewujudkan sebuah rumah keselesaan atau bahasa kasarnya, rumah pelacuran untuk memenuhi keperluan tentera mereka.

Alasannya, kehadiran wanita-wanita ini dilihat dapat mengelakkan penyakit seksual dan jenayah rogol, memberi keselesaan kepada mereka dan menghalang sebarang bentuk aktiviti pengintipan.

Namun menurut sejarawan Jepun, Yoshiaki Yoshimi, kewujudan rumah tersebut hanya menggalakkan lagi aktiviti rogol dan penyebaran penyakit seksual.

Rumah pertama dibuka selepas Jepun menguasai Shanghai, China pada tahun 1932. Pada mulanya, wanita-wanita yang berada di rumah tersebut ialah pelacur-pelacur Jepun atas dasar sukarela demi negara.

Namun, apabila Jepun mengembangkan empayarnya, rumah-rumah yang diwujudkan ini tidak mempunyai bilangan wanita yang mencukupi. Ini mendorong mereka merekrut wanita tempatan, sama ada melalui iklan kerja palsu atau diculik.

Wanita-wanita yang menyahut iklan ini menyangka mereka bekerja sebagai jururawat atau pekerja kilang dan tidak tahu mereka sebenarnya direkrut sebagai pemuas nafsu tentera Jepun.

Pihak Jepun tidak teragak-agak menggunakan orang tempatan yang sanggup berkolaborasi dengan mereka sebagai orang tengah untuk merekrut wanita-wanita ini dan menculik sekiranya perlu.

Iklan-iklan pekerjaan ini turut dikeluarkan bukan saja di Jepun tetapi juga di koloni mereka iaitu Semenanjung Korea, Taiwan, Manchuria dan China.

Tetapi semua ini berakhir terutama dari Jepun selepas Kementerian Luar Jepun enggan mengeluarkan visa perjalanan kepada pelacur-pelacur Jepun atas alasan ia mencemarkan imej positif empayar. Ini memaksa pihak tentera melihat wanita-wanita dari luar Jepun termasuk China dan Korea.

Buktinya, penubuhan sebuah sekolah perempuan untuk wanita Muslim etnik Hui di mana ia hanyalah samaran bagi pihak Jepun memaksa mereka menjadi pemuas nafsu tentera mereka.

Sejarah Dan Polemik 'Hamba Seks' Ketika Perang Dunia Kedua
Wanita Cina dan Melayu yang dipaksa menjadi pelacur.

Jika itu saja tidak mencukupi apatah lagi bila bekalan mereka kehabisan, maka tentera Jepun ini tidak akan teragak-agak menjarah kediaman dan premis perniagaan serta merogol wanita tempatan seperti yang dilakukan di Nanking pada Disember 1937.

Jenayah mereka direkodkan bukan saja dalam diari tentera dan wartawan mereka tetapi juga dalam catatan diari seorang ahli perniagaan Jerman bernama John Rabe.

Dan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana semasa terjebak dalam Perang China-Jepun, Jepun menguatkuasakan dasar Tiga Semua/Three Alls iaitu bunuh semua, jarah semua dan rogol semua.

Apabila mereka mengambil wanita-wanita dari negara-negara Asia lain, mereka sebenarnya mencalar maruah lelaki-lelaki Asia bahawa mereka tidak boleh mempertahankan wanita mereka sebagai ayah, abang/adik, suami atau teman lelaki dan untuk mencemarkan maruah wanita itu sendiri.

Walaupun statistik mangsa masih dipertikaikan, statistik menunjukkan antara 80,000 hingga 200,000 wanita menjadi mangsa kekejaman tentera ini.

Sesetengah daripada mereka diculik dan dipaksa menjadi hamba seks pada usia 13-15 tahun. Di Filipina saja, lebih 1000 wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi pemuas nafsu tentera Jepun semasa WWII.

Mereka akan ditahan di berek tentera atau kem yang mempunyai dinding tinggi. Dan wanita-wanita ini akan dipaksa melayan nafsu mereka tanpa henti sama ada pagi atau malam, tanpa mengira bilangan tentera yang terlibat.

Sekiranya tentera bergerak ke tempat lain, wanita-wanita ini akan dibawa bersama walaupun itu bermakna membawa mereka jauh dari negara atau negeri asal mereka.

Antara kisah mangsa jenayah sadis ini:

a) Prescilla Bartonico berumur 17 tahun semasa menjadi tawanan tentera Jepun. Pada tahun 1943, tatkala beliau bersama ahli keluarga dan rakan-rakan berlindung dalam bunker, pintu bunker dibuka dan sekumpulan tentera Jepun menangkap sepupunya di mana tiga daripada mereka merogol sepupunya bergilir-gilir sebelum membunuhnya. Bartonico pula diikat sebelum menjadi mangsa jenayah ini di hadapan keluarga dan rakan-rakannya. Untuk tempoh tiga bulan berikutnya, beliau dirogol setiap malam oleh lima hingga lapan lelaki kerana pada waktu siang, Bartonico dan tawanan lain dipaksa bekerja di lapangan pendaratan. Adakalanya, mereka turut merogolnya di pondok-pondok pengawal.

b) Rosa Maria Henson berumur 15 tahun semasa diculik dan menjadi mangsa rogol tentera Jepun. Mereka mengurung beliau selama 9 bulan dan setiap hari 30 orang tentera akan merogolnya. Jika mereka tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi, mereka akan memukul dan menderanya.

c) Lee Ok-Seon menjadi hamba seks tentera Jepun selama tiga tahun. Dalam satu temubual, beliau menceritakan diculik di Busan, Korea Selatan pada usia 14 tahun dan dirogol setiap hari sehinggalah perang berakhir. Ok-Seon menceritakan mangsa-mangsa sepertinya akan dipukul dan diserang dengan pisau dan mereka percaya tiada siapa dapat menyelamatkan mereka dari neraka dunia ini. Sesetengah yang tidak tahan membunuh diri dengan cara melemaskan diri mereka atau menggantung diri.

d) Jan Ruff-O’Herne menceritakan beliau bersama ahli keluarga dan warga Belanda lain menjadi tahanan perang selepas Jepun menguasai Hindia Timur Belanda, kini dikenali sebagai Indonesia semasa WWII. Pada satu hari, beliau bersama 10 lagi wanita diheret keluar dari bilik tahanan dan dipaksa menjadi pelacur di rumah pelacuran yang dikendalikan pihak tentera. Pada malam tersebut, Ruff-O’Herne dirogol tanpa henti seorang tentera. Dan pada satu ketika, Ruff-O’Herne disahkan mengandung dan pihak tentera memaksanya mengambil pil untuk menggugurkan kandungan tersebut.

Pihak Jepun berusaha memberi rawatan perubatan dan kondom kepada pelaku dan mangsa mereka. Buktinya, mereka menyerahkan seribu kondom untuk askar di Negeri Sembilan dan 10,000 lagi di Perak.

Namun bila perang semakin berkecamuk dengan bekalan perubatan mereka semakin terhad berikutan pihak Amerika Syarikat menenggelamkan kapal-kapal yang membawa muatan perubatan, keberkesanan rawatan yang diberi semakin berkurangan.

Ini ditambah pula dengan kekejaman mereka untuk menghilangkan bukti jenayah mereka. Wanita-wanita ini dipaksa membunuh diri atau dibunuh oleh tentera Jepun dengan propaganda kegemaran mereka ialah tentera Bersekutu ialah tentera kanibal yang menggemari orang Asia sebagai makanan.

Ini mendorong sesetengah daripada mereka membunuh diri kerana termakan dengan propaganda gila ini.

Bukti kekejaman tentera Jepun ke atas hamba seks mereka:

a) 70 hamba seks Jepun dibunuh sebelum Pertempuran Saipan tercetus.

b) Hamba seks Jepun di Burma (Myanmar moden) dipaksa mengambil pil sianida atau diletupkan dengan bom tangan.

c) Semasa Pertempuran Manila berlaku, kelasi-kelasi Jepun membunuh semua orang termasuk hamba-hamba seks mereka.

d) Di sesetengah tempat di Pasifik atau Burma, sesetengah tentera Jepun yang kelaparan membunuh hamba-hamba seks mereka dan mengamalkan kanibalisme semata-mata untuk terus hidup apabila bekalan mereka kehabisan.

Sejarah Dan Polemik 'Hamba Seks' Ketika Perang Dunia Kedua
Wanita-wanita yang diselamatkan tentera Bersekutu di Myitkyina, Burma.

Selepas perang berakhir, tiada pihak mahu membicarakan jenayah sadis ini. Ini kerana tidak seperti tribunal-tribunal jenayah di Eropah, tribunal jenayah perang Asia didominasi oleh kuasa-kuasa Barat dan mereka hanya memfokuskan kepada jenayah ke atas orang Barat atau kepentingan mereka.

Hanya tiga daripada 11 hakim yang dilantik dari Asia dan tiada dari Korea walaupun kebanyakan mangsa kekejaman tentera Jepun ialah orang Asia.

John Dower menyifatkan tribunal tersebut sebagai tribunal orang putih yang menafikan keadilan bagi warga Korea yang dianiaya.

Dower turut menyatakan tidak seperti Jerman di mana semua sistem dan individu yang dikaitkan dengan Nazi dihukum dan Jerman perlahan-lahan mengakui jenayah silam mereka, situasi sama tidak berlaku di Jepun.

Ini kerana Amerika Syarikat bimbang sekiranya mereka melakukan perkara sama ke atas Jepun, ini akan mengundang ketidakpuasan dalam kalangan rakyat dan ini boleh mendorong mereka memilih komunisme, dalam konteks ini Soviet Union.

Atas sebab itulah, kepimpinan tentera di Jepun di bawah Douglas MacArthur memberi imuniti kepada semua anggota diraja Jepun termasuk maharaja Hirohito dan tidak menggulingkan keluarga diraja.

Institusi diraja di sana sebenarnya dijadikan boneka bagi pihak Amerika untuk kepentingan mereka.

Ini ditambah dengan penyebaran mitos oleh pihak Amerika bahawa jenayah yang dilakukan pihak Jepun tidaklah sekejam rejim Nazi Jerman.

Menurut sejarahwan, Herbert Bix, tindakan mereka ini mengakibatkan keengganan orang ramai terutama kepimpinan seterusnya menerima jenayah perang yang dilakukan pada WWII.

Buktinya, masih ramai pemimpin dan ahli politik terutama yang berhaluan kanan melawat kuil-kuil terutama Kuil Yasukuni bagi memperingati tokoh-tokoh perang Jepun.

Ada juga yang mempertikaikan sama ada jenayah ini benar-benar berlaku atau tidak di mana mereka menyifatkan sesetengah perempuan sebenarnya sukarela terlibat.

Ini mengakibatkan semangat kebangsaan Jepun kembali popular dan dari situ, semakan semula pada jenayah perang yang pernah dilakukan mereka.

Jenayah yang seharusnya dihukum 75 tahun lepas dilihat tiada jalan penyelesaian dan menjadi satu penghinaan kepada semua negara Asia terlibat termasuklah negara kita, Malaysia.

Jika anda tertanya-tanya mengapa jenayah ini tidak disiasat sebegitu rapi, jawapannya pada budaya masyarakat Asia itu sendiri terutama di Korea Selatan dan Filipina.

Di sesetengah tempat di mana konservatif masih menjadi gaya hidup masyarakat, mangsa-mangsa ini akan dipersalahkan kerana menjadi mangsa rogol, dipencilkan dan dipaksa mendiamkan diri.

Dan jangan lupa, mereka juga dihantui stigma mangsa rogol di mana sekiranya mereka mendedahkan perbuatan tersebut, mereka dianggap mendedahkan aib mereka dan mengundang aib pada diri sendiri dan keluarga mereka.

Di Korea Selatan, masyarakat mula mengetahuinya selepas tahun 1991 apabila mangsa tampil ke depan dan menceritakan pengalaman pahitnya itu.

Pendedahan tersebut bukan saja satu tamparan hebat kepada masyarakat Korea ketika itu tetapi juga satu ingatan kepada Jepun bahawa jenayah perang mereka tidak akan dilupakan begitu saja.

Sejak itu, ramai lagi tampil dan menceritakan pengalaman mereka, di mana masyarakat menyokong mereka dan untuk tahun-tahun berikutnya, wanita-wanita ini dianggap wira.

Dua tahun selepas itu, pada tahun 1993, kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan Kono di mana mereka memohon maaf atas jenayah perang yang dilakukan.

Namun, kenyataan tersebut mencetuskan kontroversi dalam kalangan kelompok konservatif kerana mempertikaikan apakah Jepun benar-benar bersalah dan terus membiarkan luka ini terbuka.

Dan isu ini menjadi semakin parah apabila kerajaan Jepun diterajui pemimpin konservatif, Shinzo Abe pada tahun 2012.

Untuk bertahun-tahun lamanya, Abe enggan menerima dakwaan sebegini di mana pada tempoh pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 2007, kabinetnya mengeluarkan resolusi tiada bukti jenayah ini benar-benar berlaku.

Apabila Palisades Park di New Jersey mendirikan sebuah memorial untuk wanita-wanita tabah ini, antara nama pembantah kepada pembinaan memorial dalam akhbar New Jersey’s Star Ledger ialah Abe.

Dan selepas kembali berkuasa pada tahun 2012, beliau tidak segan-silu mengeluarkan kenyataan retorik yang membakar semangat kebangsaan atau menafikan perbuatan jenayah perang benar-benar berlaku.

Dan Abe juga berusaha memansuhkan sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas tentera Jepun demi menjadikan negara Matahari Terbit itu sebagai kuasa besar di Asia semula.

Sejarah Dan Polemik 'Hamba Seks' Ketika Perang Dunia Kedua
Shinzo Abe.

Atas sebab itu, Abe teragak-agak untuk mengakui jenayah-jenayah perang yang dilakukan rejim terdahulu kerana bimbang ia akan menaikkan kemarahan pengundi konservatif dan ia pasti menggugat hasratnya untuk mengembalikan dasar Jepun yang lebih agresif.

Dan ini menyebabkan Jepun terpinggir dalam kalangan negara-negara jirannya di mana mereka melihat Jepun masih tidak berubah dan tidak sedar akan jenayah yang dilakukan.

Pada tahun 2015, Abe dan presiden Korea Selatan, Park Gyeun-Hye memeterai perjanjian di mana pihak Jepun akan membayar pampasan sebanyak lapan juta dolar dan membuat permohonan maaf secara rasmi dalam kapasiti Abe sebagai Perdana Menteri.

Sebagai pertukaran, pihak Korea Selatan berjanji tidak akan membangkitkan isu ini lagi selagi mana Jepun menghormati perjanjian dimeterai.

Namun harapan tersebut berkecai apabila Timbalan Menteri Luar, Shinsuke Sugiyama memberitahu panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva bahawa jenayah perhambaan seks ini tidak wujud di Korea Selatan, sekaligus mencetuskan kemarahan Seoul.

Dua tahun selepas perjanjian ini dimeterai, pengganti Gyeun-Hye, Moon Jae-In menyifatkan perjanjian tersebut tidak diterima majoriti rakyat Korea Selatan dan mahu perjanjian tersebut dirunding semula.

Antara sebab Abe membuat perjanjian tersebut ialah bagi memastikan dasar ketenteraan yang dilaksanakan tidak mendapat tentangan China dan Korea Selatan.

Namun bagi aktivis, sejarawan dan pengkaji, perjanjian ini saja tidak mencukupi. Mereka melihat perjanjian langsung tidak mengambil kira keperluan wanita-wanita ini semasa peringkat perundingan.

Dan paling penting kepada mereka terutama di Filipina dan negara Asia lain, tiada sebarang permohonan maaf rasmi atau tawaran pampasan dari Tokyo.

Apabila Maharaja Akihito melawat Filipina pada Januari dan bertemu dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino III, wanita-wanita ini bersama aktivis lain berarak di jalanan dan melaungkan slogan mendesak keadilan kepada mereka.

Walaupun baginda bertitah tentang kekejaman tentera Jepun semasa WWII, Akihito langsung tidak menyebut tentang jenayah kejam ini, sesuatu yang mengecewakan mereka.

Bagi mereka yang memperjuangkan isu ini, ia bukan lagi satu nota kecil dalam lipatan sejarah tetapi satu isu yang patut diambil perhatian.

Ini kerana jenayah ini terus berlaku bukan saja di tempat konflik seperti Bosnia-Herzegovina, Congo dan Syria tetapi juga di negara-negara maju dan aman seperti Amerika Syarikat dan negara kita sendiri.

Menurut mereka, isu ini akan terus berlaku selagi mana masyarakat enggan mengambil serius isu rogol dan sejarah hitam ini akan terus berulang pada masa akan datang.

Maka di sini, kita harus bertanya, mahukah kita terus mendiamkan diri dan membiarkan benda ini terus berlalu atau berusaha memastikan jenayah kejam ini tidak berlaku pada orang-orang yang kita kasihi?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon