Monday, April 01, 2019

Sejarah Stesen Kereta Api Melalap Tenom


Stesen Kereta Api Melalap, Tenom, bakal beroperasi semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi dengan mempunyai landasan dan gerabak lebih baik selepas perkhidmatan kereta api di laluan itu ditamatkan 49 tahun lalu.

Stesen Kereta Api Melalap

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata pembangunan semula stesen itu turut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf landasan dari Tenom ke Melalap sejauh 14 kilometer dengan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata ini adalah usaha kerajaan negeri untuk memajukan perkhidmatan kereta api di Sabah sebagai sistem pengangkutan efisien menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.

Beliau berkata perkhidmatan kereta api itu juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya Tenom, Pensiangan dan Keningau kerana mereka mempunyai pilihan dan tidak hanya bergantung kepada perkhidmatan bas atau teksi.

“Kita akan menghubungkan (landasan Melalap) sehingga ke Tenom, seterusnya ke Beaufort-Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Landasan Kereta Api Tenom-Melalap.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie bersama pemimpin yang hadir diiringi Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard S. Poyong kemudian menaiki kepala gerabak kereta api itu yang melalui landasan baharu sepanjang 300 meter sebagai gimik pelancaran projek tersebut.

Beliau berkata banyak manfaat boleh diperolehi menerusi inisiatif pembangunan semula stesen dan landasan kereta api kerana beliau yakin Tenom berpotensi besar bukan sahaja dalam pelancongan tetapi juga pertanian.

“Kereta api ini boleh digunakan untuk mengangkut hasil pertanian penduduk di sini dan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bas atau lori,” katanya.

Mohd Shafie berkata landasan kereta api digunakan pada 1906 iaitu ketika zaman British juga akan dinaiktaraf, namun, mengambil sedikit masa kerana ada penduduk kampung telah membina rumah di kawasan berkenaan.

Mengenai pembangunan pekan baharu Melalap, Shafie berkata, inisiatif itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan lebih seimbang dilaksanakan di setiap daerah.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan hanya memberi fokus membangunkan kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau tetapi kawasan luar bandar juga akan diberikan keutamaan.

SEJARAH

Stesen Kereta Api Melalap

Stesen Kereta Api Melalap merupakan bekas stesen kereta api Laluan Kereta Api Barat Sabah yang terletak di Melalap, Sabah. Pada tahun 1900-an, seperti kebanyakan kawasan di Bahagian Pantai Barat, Sabah; sebahagian besar kawasan Melalap telah ditanam dengan pokok getah.

Sebuah lalu kereta api ke Melalap kemudiannya telah dibina oleh seorang jurutera Inggeris, Arthur J. West menggunakan buruh asing dari China yang terdiri daripada masyarakat Hakka dan Kantonis.

Laluan kereta api tersebut siap pada tahun 1906 untuk mengangkut barang dan juga membawa orang ke bandar-bandar besar.

Laluan tersebut telah dibuka pada 1 Ogos 1914, namun begitu, disebabkan oleh perubahan ekonomi di sekitar Melalap, laluan kereta api tersebut telah ditutup dan perkhimatannya telah ditamatkan pada tahun 1970-1971.

Stesen kereta api ini akhirnya diliputi semak samun akibat tidak dilakukan apa-apa pemuliharaan melainkan beberapa percubaan menyelamatkannya namun gagal kerana kekurangan peruntukan dan ketiadaan sokongan.

Pemuliharaan

Stesen Kereta Api Melalap Usang

Pada tahun 2016, hasil usaha seorang sukarelawan, Richard Ker, yang merupakan pengasas Persatuan Sejarah Borneo Utara, kawasan stesen tersebut telah dibersihkan dan dibaiki serta pelancaran kempen #SaveMelalapStation (#SelamatkanStesenMelalap) sebagai sebahagian usaha kumpulan tersebut untuk melindungi kesemua struktur sejarah di Sabah.

Ia turut dibiayai oleh syarikat-syarikat besar dan lain-lain parti yang turut menyumbang untuk pengumpulan dana bagi menyelamatkan stesen ini.

Pada 9 Mac 2017, stesen ini telah diwartakan sebagai sebahagian daripada tapak sejarah oleh kerajaan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Joseph Pairin Kitingan berkata pada 20 Mac 2017 bahawa bangunan stesen lama juga perlu diperlihara sebagai Warisan Negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

1 comment

  1. Bagus usaha menghargai sejarah spt ini utk generasi kini serta masa hadapan tahu dan belajar.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon