Thursday, December 01, 2022

Roti Perancis 'Baguette' Disenarai Sebagai Warisan Dunia UNESCO

Roti Perancis 'Baguette' Disenarai Sebagai Warisan Dunia UNESCO

Badan warisan dan budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpangkalan di Paris, mengundi untuk memasukkan 'pengetahuan artisan dan budaya roti Baguette' dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara, seiring hampir 600 tradisi daripada lebih 130 negara.

Roti Perancis Baguette

Ketua UNESCO, Audrey Azoulay, menyifatkan ia meraikan gaya hidup, dengan Perancis: Baguette adalah ritual harian, elemen penstrukturan hidangan, sinonim dengan perkongsian dan kemesraan.

Baguette, roti gebu dan memanjang dengan kerak yang rangup adalah simbol Perancis di seluruh dunia dan menjadi makanan utamanya sekurang-kurangnya sejak 100 tahun lalu, meskipun ada yang mendakwa ia telah wujud lebih lama.

Menurut sejarah, pembuat roti kepada pemimpin tentera Perancis, Napoleon Bonaparte menghasilkan bentuk memanjang agar ia mudah dibawa tentera, manakala yang lain berpendapat sebenarnya tukang roti Austria bernama August Zang yang mencipta Baguette.

Berdasarkan anggaran Fiducial 2019, Perancis masih menghasilkan kira-kira 16 juta roti itu setiap hari, hampir 6 bilion Baguette setahun, biarpun kadar pengambilan berkurangan sejak beberapa dekad lalu.

Sejarah

Perkataan baguette tidak digunakan untuk mengungkapkan sejenis roti sehingga tahun 1920, tetapi apa yang kini dikenali sebagai baguette mungkin telah wujud sebelum itu.

Perkataan itu bermakna tongkat atau baton, seperti dalam ungkapan baguette magique (tongkat sihir), baguettes chinoises (penyepit) atau baguette de direction (baton konduktor); ia serapan kata Bahasa Itali: bacchetta.

Walaupun baguette kini sering dianggap sebagai salah satu simbol budaya Perancis dilihat dari luar negara, perkaitan Perancis dengan roti panjang wujud sebelum itu lagi.

Roti panjang lebar telah dibuat sejak zaman Louis XIV, manakala roti panjang yang menirus pula dihasilkan sejak pertengahan abad kelapan belas dan pada abad kesembilan belas ada yang jauh lebih panjang daripada baguette:

"...roti enam kaki panjang yang kelihatan seperti tuil besi!" (1862);

"Pembantu rumah akan bergegas ke rumah dengan pembelian mereka untuk pelbagai sarapan Gaul dan roti panjang, seela atau dua panjangnya, yang dibawa di bawah tangan mereka, meninggalkan kesan yang aneh kepada saya." (1898)

Penghasilan dan cara hidangan

"Baguette de tradition française", iaitu baguette mengikut resipi asal, secara asasnya diperbuat daripada tepung gandum, air, yis dan garam.

Bahan keringnya barangkali mengandungi sehingga 2% tepung kacang parang, 0.5% tepung soya dan 0.3% tepung malt gandum.

Negara-negara lain turut menghasilkan roti jenis sebegini dengan bahan tersendiri yang mudah didapati - roti bánh mì dari Vietnam menggunakan tepung beras yang agak banyak manakala roti yang dihasilkan di Amerika Utara pula lebih menggunakan doh daripada gandum penuh, bijian penuh dan doh masam (sourdough).

Roti ini biasanya digunakan untuk membuat sandwic atau dihidangkan dalam potongan bersama pâté atau keju.

Ia dimakan dalam hidangan sarapan Perancis sama ada disapu dengan mentega atau jem mahupun dicicah dalam kopi atau coklat panas.

Di Amerika Syarikat pula, ia kadangkala digunakan sebagai kerak asas dalam pembuatan piza apabila roti ini dipotong dua.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1) | (2)

Tuesday, November 29, 2022

Warna Sebenar Planet Pluto

Warna Sebenar Planet Pluto

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) berkongsi imej planet Pluto yang diambil oleh Agensi Angkasa Antarabangsa New Horizon. Menurut NASA, gambar tersebut diambil pada jarak 35,445 kilometer dari planet Pluto.

Real Pluto

Gambar ini menunjukkan warna sebenar planet Pluto termasuk 'jantung' planet kerdil iaitu glasier sebesar Texas dan Oklahoma yang diperbuat daripada nitrogen dan metana, kata agensi itu.

Pada awalnya, NASA menyiarkan gambar lain planet Pluto yang diambil New Horizon.

Pluto ditemui pada tahun 1930-an dan dianggap planet kesembilan dalam sistem suria, Bagaimanapun ia pada tahun 2006, ia diklasifikasikan sebagai planet yang kerdil.

Pada tahun 2019, NASA memberikan misi lanjutan kepada New Horizon yang memastikan kapal angkasa itu beroperasi sehingga 2025.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, November 25, 2022

10 Peperangan Paling Banyak Mengorbankan Nyawa Dalam Sejarah

10 Peperangan Paling Banyak Mengorbankan Nyawa Dalam Sejarah

Walaupun pemerintahan dan jajahan sering berubah, namun melalui peperangan terdapat satu perkara yang tetap kekal sama iaitu kematian. Banyak nyawa telah terkorban tidak kira atas apa alasan perang tercetus.

Ancient and Modern War

Berikut adalah 10 peperangan yang paling banyak mengorbankan nyawa di dalam sejarah.

1. Perang Dunia Kedua
Lokasi: Global
Tahun: 1939-1945
Jumlah kematian: 56 juta orang
Punca: Perang dunia

Perang dunia pertama telah digelar perang untuk menghentikan semua perang namun malangnya bukanlah itu yang terjadi.

Hasil daripadanya ialah terjadinya kebangkitan untuk perang yang paling dahsyat dalam sejarah manusia ini.

Ketika itu dunia telah terbahagi kepada dua iaitu Perikatan dan Axis.

Kuasa Perikatan terdiri daripada Empayar British, USSR, Amerika, Albania, Australia, Belgium, Brazil, Canada, China, Czechoslovakia, Ethiopia, Perancis, Greece, India, Mexico, Netherlands, New Zealand, Norway, Philippine, Poland, Afrika Selatan dan Yugoslavia.

Manakala kuasa Axis pula terdiri dari negara Jerman, Itali, Jepun, Hungary, Romania dan Bulgaria.

Perang dunia ke-2 ini bermula pada tahun 1939, apabila Nazi German telah menjajah Poland. Nazi Jerman juga telah berusaha membunuh kaum Yahudi seramai yang boleh.

Lebih 100 juta orang tentera telah dikerah untuk bertempur di dalam perang dunia ke-2 ini. Perang yang terburuk di dalam sejarah ini tamat pada 1945 apabila kemenangan berpihak kepada gabungan Perikatan.

2. Penaklukan Mongol
Lokasi: Asia
Tahun: 1207-1472
Jumlah kematian: 45 juta orang
Punca: Penaklukan

Kebanyakan Dinasti China menguasai sebahagian besar jajahan mereka dengan menggunakan kekerasan dan juga keganasan, namun itu tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan kaum Mongol.

Empayar Mongol dikatakan adalah salah satu empayar paling besar yang pernah wujud, iaitu sebanyak 20 peratus daripada dunia.

Gengis Khan dan pewarisnya Kublai Khan adalah pemerintah yang tidak berhati perut dan menyebabkan lebih dari 45 juta kematian. Mereka biasanya menjarah sesuatu bandar tanpa meninggalkan sesiapapun.

Dikatakan setiap tentera Mongol mempunyai kuota iaitu perlu membunuh sekurang-kurangnya 24 orang.

Empayar Mongol sangat terkenal dengan kekejamannya sehingga berlaku satu kejadian di mana 100,000 orang China telah membunuh diri sebagai satu-satunya jalan keluar.

3. Pemberontakan An Shi
Lokasi: China
Tahun: 756-763
Jumlah kematian: 35 juta orang
Punca: Pemberontakan

Pemberontakan ini telah berlangsung selama tiga pemerintahan maharaja Dinasti Tang di China, bermula dari tahun 755 dan berakhir pada 763.

An Shi adalah seorang jeneral tentera yang menjadi harapan maharaja dan dialah juga pencetus kepada pemberontakan ini. Dia berjaya melakukannya dengan memanipulasi maharaja ketika itu.

Dianggarkan semasa pemberontakan itu berlaku hampir 36 juta nyawa telah melayang. Bukan itu sahaja malah ia hampir memusnahkan Dinasti Tang itu sendiri dan juga kebudayaan China.

Akibat kekurangan pengaruh untuk mengawal para pemberontak, kuasa luar juga cuba untuk menguasai wilayah jajahan dinasti ini.

Seabad selepas itu, Dinasti Tang hampir hilang kuasanya dan hanya tinggal nama sahaja di dalam sejarah tanpa sebarang kekuasaan.

4. Penaklukan Dinasti Ming
Lokasi: China
Tahun: 1616-1662
Jumlah kematian: 25 juta orang
Punca: Penaklukan

Dinasti Ming dikenali sebagai salah satu dinasti yang terhebat dan paling kuat dalam sejarah. Ia diasaskan pada tahun 1368 dan berakhir pada 1644.

Pada tahun 1616, seorang pemerintah Manchuria bernama Nurchaci telah membuat rampasan kuasa puak Manchuria di China.

Pada tahun 1618 dia telah meminta maharaja Dinasti Ming untuk membayar ufti atau hadiah kepadanya dan kelantangan inilah yang menyebabkan tercetusnya perang.

Kesan peperangan ini menyebabkan bangkitnya golongan petani pada 1640 kerana tidak tahan dengan pemerintahan Dinasti Ming yang tidak adil.

4 tahun kemudian para pemberontak berjaya menawan Kota Beijing dan maharaja ketika itu tidak mahu menghadapi malu lalu menggantung mati dirinya sendiri.

Dinasti Manchuria kekal sehingga terciptanya Republik China pada tahun 1912. Sepanjang beberapa siri pertempuran, ia menyaksikan lebih 25 juta rakyat negara itu telah terkorban.

5. Pemberontakan Taiping
Lokasi: China
Tahun: 1851-1864
Jumlah kematian: 25 juta orang
Punca: Perang Saudara/Agama

Pemberontakan Taiping dikatakan perang terbesar yang berlaku pada kurun ke-19 yang terjadi disebabkan pembentukan agama Kristian di tempat di mana kebanyakan rakyatnya beragama Buddha dan Confucius.

Pemberontakan yang terjadi itu diketuai oleh Hong Xiuquan yang beragama Kristian.

Hong yang membentuk kerajaan Taiping Heavenly Kingdom di beberapa bahagian di Selatan China telah bangun menentang pemerintahan Dinasti Qing yang merupakan dinasti terakhir di China.

Dinasti Qing telah bangun menentang semula dengan bantuan tentera Perancis dan juga British pada masa itu.

Sepanjang 15 tahun lamanya peperangan itu berterusan, akhirnya Hong Xiuquan kalah dan dianggarkan lebih kurang 25 juta nyawa telah terkorban.

6. Penaklukan Timur
Lokasi: Asia
Tahun: 1369-1405
Jumlah kematian: 17 juta orang
Punca: Penaklukan

Pada kurun ke 14, Timur merupakan seorang penjajah yang berkuasa di Asia Tengah dan Asia Barat. Dia merupakan pengasas Empayar Timurid dan kemudian pewarisnya mengasaskan Empayar Mughal di India yang bertahan sehingga pertengahan 1800.

Timur mempunyai perwatakan yang berkonflik kerana sangat minat pada seni dan pada masa yang sama dia juga sukakan pertumpahan darah.

Sebelum Timur memulakan penaklukannya di Asia, dia sebelum itu telahpun mengakibatkan 15 juta kematian yang juga akibat perang.

7. Perang Dunia Pertama
Lokasi: Global
Tahun: 1914-1918
Jumlah kematian: 10 juta orang
Punca: Kuasa

Walaupun sejarah tidak pasti bilangan sebenar nyawa yang telah terkorban namun jika dicampur dengan kematian orang awam atas pelbagai sebab, jumlahnya mencecah 16 juta orang dan 21 juta yang lain cedera.

Perang ini berakhir pada Hari Armistice, 11 November 1918 apabila Jerman menyerah kalah.

Kesan daripada perang ini menyebabkan Austo-Hungary dan Empayar Uthmaniyyah hampir terbubar dan menyaksikan kemunculan Soviet Union daripada Empayar Rusia.

8. Kebangkitan Muslim (Dungan Revolt)
Lokasi: China
Tahun: 1826-1877
Jumlah kematian: 10 juta orang
Punca: Agama

Kebangkitan Muslim yang juga dikenali Dungan Revolt dan Perang Minoriti Hui ini merupakan perang agama pada kurun ke 19.

Peperangan ini bermula dengan kebangkitan kaum Muslim di beberapa daerah di China seperti Shaanxi, Gansu, Xinjiang dan Ningxia.

Seperti perang Napoleon dan perang saudara Russia, perang ini juga mempunyai banyak siri iaitu sebanyak 10 peperangan. Peperangan ini menyaksikan penaklukan dan penjajahan di sepanjang Sungai Kuning di China.

Kebangkitan ini gagal dan menyaksikan penghapusan kaum Muslim di China.

Pada penghujung perang ini dianggarkan lebih 12 juta orang telah terkorban sama ada akibat pertempuran, kebuluran dan juga ketika menjadi pelarian.

Yang lebih menyedihkan ialah apabila lebih 91% kaum Hui telah lenyap dan hampir pupus.

9. Perang Saudara Rusia
Lokasi: Rusia
Tahun: 1917-1921
Jumlah kematian: 7.5 juta orang
Punca: Revolusi Perang Saudara

Nicholas II, Tsar atau raja terakhir telah jatuh dari takhtanya pada Febuari 1917. Pada 16 dan 17 Julai 1918, Bolsheviks yang mengetuai pemberontakan telah menghukum Tsar sampai mati dan kesemua ahli keluarga diraja itu.

Perang saudara di Rusia bukan terhenti setakat itu sahaja akan tetapi beberapa lagi siri peperangan berlanjutan sehingga ia berakhir pada 1921 dan menyaksikan hampir 20 juta orang telah terkorban, tidak kira melalui peperangan atau kebuluran akibat perang itu.

10. Perang Napoleon
Lokasi: Eropah
Tahun: 1804-1815
Jumlah kematian: 5 juta orang
Punca: Penaklukan

Revolusi Perancis pada tahun 1789-1799 merupakan permulaan kepada perang Perancis dan Eropah pada umumnya. Ini terjadi apabila Napoleon Bonaparte menerajui pemberontakan terhadap pemerintahan diraja negara itu dan berjaya menggulingkan kuasa besar yang bertakhta sekian lama.

Pada tahun 1804, Napoleon telah menggelar dirinya sendiri sebagai Maharaja Perancis dan ini membuatkan kuasa diraja di negara Eropah yang lain merasa tergugat.

Kuasa besar di negara-negara Eropah yang lainnya telah melancarkan perang ke atas Napoleon dan Perancis untuk menghalang pemberontakan yang telah berjaya menawan Perancis itu.

Pada pengakhiran perang ini menyaksikan Empayar Roman telah jatuh, Empayar Sepanyol menjadi lemah dan Britain menjadi salah satu kuasa besar dunia.

Dalam salah satu pertempuran yang terkenal dalam sejarah, Napoleon akhirnya dikalahkan di Waterloo pada 18 Jun 1815.

Ini terjadi apabila Napoleon cuba menyerang Rusia pada tahun 1812, menyaksikan lebih 2.5 juta tentera dan 1 juta rakyat biasa terkorban.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, November 24, 2022

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

5 Bola Paling Mahal Di Dunia!

Nilai bola sememangnya berbeza-beza bergantung pada perlawanan bola sepak, tempat pemain menggunakan bola, jika ia ditandatangani oleh seseorang yang terkenal atau jika ia mempunyai warisan sejarah.

Kami kongsikan senarai 5 bola paling mahal di dunia dengan sesetengah daripada bola ini sememangnya bola sebenar yang boleh digunakan dalam permainan bola sepak profesional sementara ada segelintir daripadanya mempunyai nilai tinggi kerana ciri unik padanya.

Namun, dengan harganya yang tidak masuk akal dan bahan binaannya itu, kita tahu bahawa bola ini dibuat sebagai koleksi semata-mata dan bukannya dibuat untuk perlawanan sebenar.

1. Bola Berlian Shimansky
Harga: $2,500,000

Bola Berlian Shimansky

Bola yang diperbuat dari berlian 3,500 karat ini, menjadikan ia bola bola paling mahal di dunia.

Bola bertatahkan berlian ini mempunyai 6,620 berlian putih dan 2,640 berlian hitam dipisahkan ke dalam tompok bola yang sesuai. Ia mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Bola ini direka untuk Piala Dunia FIFA 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan. Pereka barang kemas Yair Shimansky mencipta bola ini untuk meraikan kejohanan itu.

Replika bola ini yang diperbuat dari kristal pula telah dilelong di mana hasil lelongan didermakan ke badan kebajikan.

2. Bola Berlian milik Benzema
Harga: $250,000

Bola Berlian Benzema

Bola kedua termahal dunia ialah bola bertatahkan berlian, bernilai suku juta dolar yang dibeli oleh pemain bola sepak Perancis, Karim Benzema.

Menurut tukang emas Dave Bling dan pasukannya, Benzema menghubungi mereka dengan permintaan untuk mencipta bola 1,250 karat.

3. Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998
Harga: $3,500-$5,500

Bola Piala Dunia Louis Vuitton 1998

Salah satu bola termahal ialah bola keluaran Louis Vuitton Edisi Terhad yang dibuat untuk Piala Dunia Perancis pada tahun 1998.

Bola itu diperbuat daripada kulit, dalam corak monogram Louis Vuitton "LV" dan Louis Vuitton/Paris/Made in France dicap pada bahagian bawah bola.

Bola LV berwarna coklat sebagai warna utamanya ini mempunyau beberapa corak butiran persegi emas.

Apabila jenama ini mengumumkan pengeluaran bola mahal ini, peminat terkejut dengan tanda harga, seolah-olah anda membayar untuk nama jenama dengan populariti besar di dunia moden.

Tengok jenama LV sahaja pun kita boleh agak bola ini dijual kerana jenamanya dan untuk dijadikan sebagai koleksi semata-mata.

4. Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona
Harga: $2,300

Bola Ditandatangani 12 Pemain Barcelona

Satu lagi bola yang ditandatangani ialah Bola Nike Barcelona 2021/2022 dengan pelbagai tandatangan.

Bola itu ditandatangani tangan oleh pemain FC Barcelona Adama Traore, Dani Alves, Ferran Torres, Jordi Alba Ramos, Nico Gonzales, Ronald Araujo dan Xavi Hernandez, sekadar memberikan beberapa nama.

Bola tandatangan berbilang pemain Barcelona ini dijual di laman web Sports Memorabilia dengan harga $2,300 dalam keadaan sangat baik.

Bola ini telah dilesenkan secara rasmi, dengan reka bentuk 12 panel yang licin dan belon getah di dalamnya untuk membantu tekanan udara apabila bola ditendang atau dibaling.

Bola keluaran Nike ini boleh digunakan untuk permainan sebenar, walau bagaimanapun kerana harganya yang begitu mahal, ia sememangnya barang koleksi untuk peminat Barcelona.

5. Bola Liga Juara-Juara Eropah Ditandatangani Lionel Messi
Harga: $1,900

Bola Liga Juara-Juara Lionel Messi

Bola yang ditandatangani ini telah meningkatkan nilainya kerana Lionel Messi dan tandatangan tulisan tangannya di sisi.

Bola sepak ini telah ditandatangani semasa Liga Juara-Juara UEFA 2021, di mana Lionel Messi bermain untuk Paris Saint-Germain.

Pasukan Messi tidak bermain di perlawanan akhir, tetapi memandangkan Messi digelar "Maradona baharu" kerana kejayaannya, tandatangannya itu dianggap lebih bernilai daripada pemain lain.

Musim 2021/2022 pasukannya dianggap mengecewakan kerana mereka tewas pada Pusingan ke-16 kejohanan Juara UEFA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, November 23, 2022

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Sejarah Asal Nama FIFA Dan Kenapa Piala Dunia Berlangsung Setiap 4 Tahun

Piala Dunia dikenali sebagai kejohanan yang berlangsung setiap 4 tahun sekali, dengan hak penganjuran sebagai tuan rumah berpindah-pindah di antara benua. Namun, kenapa Piala Dunia berlangsung setiap 4 tahun?

Kenapa FIFA Setiap 4 Tahun

Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia, temasya Sukan Olimpik moden sudah jauh lebih awal pada tahun 1896. Salah satu acara yang cuba dipertandingkan dalam temasya Olimpik adalah bola sepak.

Kisahnya, dalam era tersebut disebabkan kekangan logistik dan fasiliti yang boleh diguna pakai, perlawanan bola sepak biasanya terhad dianjurkan dalam kejohanan tempatan, dikendalikan oleh persatuan bola sepak peringkat daerah atau negeri.

Jarang masyarakat ketika itu dapat menyaksikan perlawanan di antara negara berlangsung kecuali bagi negara-negara berjiran; seperti perlawanan di antara England dengan Scotland yang berlangsung pada tahun 1872.

Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, menjadi perlawanan pertama dalam sejarah masyarakat dunia menampilkan dua pasukan yang mewakili dua negara berentap atas padang.

Sambutan penyokong serta masyarakat antarabangsa yang mahu melihat pasukan-pasukan negara berentap antara satu sama lain, membolehkan bola sepak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik 1900 di Paris, Perancis sebagai acara persembahan.

Penubuhan FIFA

Bagi memperkemas perkembangan sukan agar berkembang ke satu hala tuju yang konkrit, usaha menubuhkan sebuah badan khusus bagi menyelia sukan bola sepak dijalankan.

Beberapa negara Eropah mula berbincang sesama mereka bagi menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau perjalanan dan susun atur sukan itu pada tahun 1904, dengan penyertaan negara seperti Perancis, Belgium, Denmark, Belanda, Sweden dan Switzerland.

Sepanyol pula ketika itu tiada wakil negara, diwakili pentadbir kelab Madrid Football Club (kini Real Madrid).

Mereka bersepakat mewujudkan kerjasama menubuhkan Fédération internationale de Football Association, diolah menggunakan bahasa Perancis dengan singkatannya FIFA, oleh kerana Perancis menawarkan diri menjadi tuan rumah persidangan kali pertama.

Itulah sebabnya nama FIFA secara rasmi terus ditulis dalam bahasa Perancis sehingga sekarang. Mesti ramai tak perasan nama penuh FIFA sebenarnya bukan dalam bahasa Inggeris kan?

Berikutan kejayaan penubuhan sebuah badan khusus mentadbir perjalanan sukan bola sepak, FIFA mula diberikan peluang memainkan peranan menyokong penganjuran acara bola sepak bermula dalam beberapa kejohanan lain pada tahun 1906 dan sukan Olimpik bermula dengan temasya 1908.

Bergantung Kehendak Sukan Olimpik

Bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, Jawatankuasa Olimpik dan FIFA memulakan hubungan pertama secara rasmi dengan penganjuran acara bola sepak Olimpik 1908 di London.

Bagaimanapun kebanyakan perlawanan berkesudahan dengan keputusan yang agak berat sebelah, berikutan kualiti pemain yang tidak seimbang antara negara yang menghantar pasukan.

Punca utamanya adalah disebabkan syarat ketat Olimpik memerlukan semua peserta atau pemain yang bertanding dalam temasya, haruslah bergelar seorang atlet amatur.

Syarat ini menjadi kekangan utama untuk negara-negara yang pada ketika itu sudah mula membentuk skuad bola sepak sendiri, dibarisi pemain-pemain berstatus profesional.

Situasi pemain amatur ini kekal dalam beberapa siri kejohanan Olimpik, menyebabkan FIFA mula merasakan kemajuan sukan bola sepak tidak boleh berlaku selagi mana mereka masih menuruti syarat penganjuran Olimpik.

Status amatur yang wajib diikuti dikhuatiri FIFA, hanya mengakibatkan banyak pasukan gagal menyediakan pasukan yang benar-benar mantap beraksi.

Faktor inilah yang menjadi punca kenapa kepimpinan tertinggi FIFA mengorak langkah mahu mewujudkan satu kejohanan berbeza di bawah payung sendiri.

Temasya Olimpik 1928 di Belanda menyaksikan bola sepak menjadi acara paling popular dengan menyaksikan Uruguay menewaskan Argentina untuk memenangi pingat emas.

Menyedari itulah detik terbaik untuk mereka berpecah dari Olimpik, FIFA memulakan pelan kejohanan bola sepak antara negara dengan sasaran kejohanan pertama akan dimulakan dalam tahun 1930.

Berpecah Dari Olimpik

Bagi memastikan peminat sukan bola sepak tidak terkeliru dengan kewujudan satu kejohanan bola sepak baru, FIFA mengumumkan bola sepak tidak akan dipertandingkan dalam tahun 1932.

Hanya satu kejohanan, iaitu kejohanan Piala Dunia 1930 diambil kira sebagai kejohanan bola sepak rasmi yang disahkan FIFA.

Walaupun sudah berpisah, FIFA tetap menghormati jasa baik Olimpik yang sudah memberikan mereka platform pendedahan dan tapak mula.

Demi memastikan penjadualan kedua-dua buah kejohanan tidak terganggu, FIFA bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia setiap 4 tahun sekali sama seperti Olimpik, dengan penganjurannya berlangsung dalam tahun ke 2 selepas setiap kali Olimpik berlangsung.

Penganjuran Piala Dunia 1930 bertempat di Uruguay, menyaksikan tuan rumah mengulangi pencapaian mereka di Olimpik 1928 dengan membenam Argentina 4-2, melayakkan Uruguay bergelar pemenang pertama Piala Dunia.

Kejohanan yang disertai 13 buah negara majoritinya oleh pasukan dari benua Amerika Selatan disebabkan oleh kesukaran pasukan dari Eropah untuk hadir, tetap diterima baik membuktikan Piala Dunia boleh berkembang lebih besar.

Penganjuran dalam zaman moden

Ura-ura cadangan untuk menukarkan kejohanan sukan bola sepak Piala Dunia kepada kejohanan 2 tahun sekali, masih dalam proses perbincangan pihak terlibat.

Cadangan ini didasari berdasarkan kadar keuntungan yang lebih kerap boleh dijana, berikutan kekerapan penganjuran yang meningkat seandainya cadangan ini dapat dilaksanakan.

Namun, jika dinilai dalam aspek sekarang, 4 tahun jarak di antara setiap kejohanan Piala Dunia sebenarnya harus dilihat wajar dikekalkan.

Ini kerana skop penganjuran perlu ditanggung negara tuan rumah bagi mempersiapkan fasiliti yang diperlukan, jauh lebih besar berbanding Piala Dunia edisi terdahulu.

Seandainya dinilai pada aspek pemain dan pasukan, dalam zaman sekarang pun sudah wujud kejohanan bersifat dalam benua seperti Piala Asia, Piala Eropah dan Piala Negara-Negara Afrika yang mengisi kalendar kejohanan, dianjur berselang 2 tahun dengan tarikh Piala Dunia.

Adakah pertukaran penganjuran Piala Dunia ke 2 tahun sekali lebih baik atau hanya akan mengakibatkan lambakan kejohanan sehingga Piala Dunia hilang prestijnya?

Ada kemungkinan situasi sebegitu akan berlaku, tetapi kita yakin potensi penganjuran yang membawa kepada janaan untung komersial sudah menjadi satu kepentingan yang tidak lagi dapat dihiraukan.

Bila agaknya Piala Dunia akan berlangsung 2 tahun sekali?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau beberapa parti yang tidak mempunyai kelebihan majoriti di Parlimen.

Di bawah kerajaan ini, polisi atau undang-undang hanya boleh diluluskan selepas mendapat sokongan bilangan ahli parlimen mencukupi sekaligus menggalakkan penglibatan parti-parti dalam parlimen.

Kerajaan minoriti Malaysia

Bagaimanapun, ia tidak stabil berbanding kerajaan majoriti, kerana sekiranya ahli-ahli parlimen yang menentang tidak bersetuju dengan polisi yang hendak diluluskan, mereka boleh menolak atau mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan berkenaan.

Justeru, untuk mengelak perkara sebegitu berlaku, kerajaan minoriti harus membentuk perjanjian keyakinan dan bekalan dengan parti-parti tertentu atau ahli parlimen bebas.

Perjanjian ini ialah parti-parti tertentu atau bebas bersedia menyokong kerajaan minoriti dengan undi kepercayaan atau menyokong usul belanjawan kerajaan sama ada dengan mengundi sokong atau memilih berkecuali.

Namun, parti-parti ini masih mempunyai hak mengundi usul-usul yang memihak kepada mereka atau berdasarkan hati nurani mereka dalam usul perundangan.

Aturan sebegini bukan perkara baru dalam soal kerajaan minoriti. Misalnya pada tahun 2017, selepas Parti Konservatif UK gagal membentuk majoriti, mereka membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP).

Tetapi, mampukah kerajaan minoriti yang dicadangkan itu berlaku di Malaysia?

Kerajaan minoriti memerlukan ihsan dari pihak lawan untuk meluluskan undang-undang atau polisi yang cuba dilaksanakan, sekaligus menjadikan kerajaan tersebut kerajaan yang lemah.

Ini berlaku kepada kerajaan Parti Buruh UK pada tahun 1977. Perdana Menteri ketika itu, James Callaghan berhadapan usul undi tidak percaya dari parti-parti pembangkang.

James Callaghan baru saja menjawat jawatan berkenaan selama setahun menggantikan Harold Wilson.

Untuk mengelak situasi undi tidak percaya berlaku kepada mereka, James Callaghan mengadakan perjanjian dengan Parti Liberal Demokrat yang diketuai David Steel.

Sebagai tukaran kepada sokongan dalam usul undi tidak percaya, beberapa cadangan parti berkenaan akan diterima oleh Parti Buruh.

Namun, perjanjian tersebut ditamatkan pada September 1978 dengan Parti Buruh mengumumkan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim luruh 1978 dan akibatnya, kerajaan James Callaghan ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya pada Mac 1979.

Ini memaksa beliau mengadakan pilihan raya beberapa bulan selepas itu dan pada Mei 1979, Parti Konservatif yang diketuai Margaret Thatcher menduduki No 10 Downing Street.

Situasi sama turut melanda India pada tahun 1996 hingga 1998. Pada tahun itu, 13 parti kecil membentuk satu perikatan politik yang dipanggil Barisan Bersatu (UF/BB).

Pada pilihan raya umum 1996, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya meraih kelebihan majoriti.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu 161 kerusi dari 543 kerusi dan dijemput membentuk kerajaan. Hasilnya, Atal Bihari Vajpayee dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Atal Bihari Vajpayee gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan kerajaannya tumbang 13 hari kemudian.

Selepas itu, Parti Kongres yang mempunyai 140 kerusi dijemput melakukan perkara sama tetapi menolak berbuat demikian.

Ini yang membawa kepada pembentukan kerajaan BB yang disokong Parti Kongres dan Parti Komunis India-Marxist (PKI-M) dengan H.

D. Deve Gowda dilantik sebagai Perdana Menteri, bagaimanapun beliau hanya bertahan setahun (1 Jun 1996 – 21 April 1997) apabila Kongres menarik balik sokongan atas alasan tiada komunikasi antara BB dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Parti Kongres beralah apabila BB melantik I. K. Gujral sebagai Perdana Menteri baru.

Malangnya, I K. Gujral hanya bertahan selama setahun (21 April 1997 – 19 Mac 1998) sebelum kerajaannya tumbang gara-gara pelbagai kontroversi berlaku ketika itu yang mendorong Parti Kongres menarik diri.

Justeru, sekiranya idea kerajaan minoriti diteruskan juga, permusuhan dan perbalahan membabitkan drama politik negara takkan berakhir.

Ia akan terus dimainkan sehingga ke satu tahap dimana negara akan berada dalam keadaan pegun kerana dasar dan polisi tak boleh dibuat.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin hari semakin teruk, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat.

Justeru, perlunya sebuah kerajaan yang memiliki mandat semula daripada rakyat untuk memperbaiki keadaan.

Bayangkan, dengan kerajaan sebelum ini pun ekonomi negara sudah tunggang-langgang, memperjudikan nasib dengan menyokong kerajaan minoriti yang juga menunggu masa untuk rebah adalah sangat membebankan.

Kalau anda sendiri seorang pelabur, adakah anda akan masuk melabur di Malaysia?

Itu baru masalah ekonomi, belum lagi masalah-masalah lain seperti masalah sosial dan hubungan antara kaum.

Sama-samalah kita menyuarakan dengan tegas mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, November 22, 2022

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU, bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Politik jijik

Ia berikutan kerajaan sementara bukan sebuah kerajaan sebenar dan hanya berfungsi untuk jangka masa pilihan raya dijalankan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Meskipun perlembagaan tidak secara spesifik menawarkan formula yang tuntas dalam keadaan hung parliament, namun wujud alternatif selain kerajaan yang didirikan atas keadaan simple majority (majoriti mudah).

Jika menurut amalan negara Komanwel, Yang di-Pertuan Agong akan melantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi dan kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya.

Perdana Menteri baharu itu juga mempunyai pilihan untuk memasuki Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), seperti yang berlaku pada awal pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Tanpa penubuhan sebuah kerajaan baharu, bajet juga tidak dapat dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen dengan anggapan individu itu boleh mendapat sokongan yang banyak tanpa bukti kerusi parti yang dimenangi pada PRU.

Penggunaan surat sumpah berkanun (SD) juga boleh bertindan (duplicate), selain ia walaupun diterima pakai tetapi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana bukti paling utama dalam pilihan raya umum datangnya daripada rakyat melalui peti undi.

Rakyat telah memilih parti dan parti itu yang akan menamakan calon Perdana Menteri.

Undi popular juga boleh digunakan dalam pemilihan Perdana Menteri, seperti dalam demokrasi lain di dunia, walaupun ia bukan amalan biasa dikalangan negara Komanwel, namun penggunaan undi popular boleh diambil kira untuk memilih calon Perdana Menteri

Mungkin ada yang akan bertanya: Adakah kerajaan minoriti itu akan dilihat stabil?

Tiada undi tak percaya

Dengan adanya undang-undang antilompat parti, keadaan akan boleh menjadi stabil meskipun ia hanya berstatus kerajaan minoriti.

Mungkin juga ada yang bertanya: Macam mana sekiranya ada undi tidak percaya dikemukakan?

Fenomena undi tidak percaya boleh diatasi melalui sebuah mekanisme yang dipanggil CSA (Confidence-Supply Agreement) atau dikenali juga sebagai perjanjian keyakinan dan pembekalan.

Ia boleh dimeterai di antara kerajaan dengan gabungan politik atau dengan parti-parti tertentu.

Secara mudahnya, melalui perjanjian tersebut sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

Sebagai balasan atau imbalan pula, pihak yang memetarai CSA dengan kerajaan minoriti itu tidak akan dibenarkan untuk melakukan perkara tertentu, seperti tidak boleh bertindak mengemukakan undi tidak percaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Monday, November 21, 2022

 Maksud Mimpi Isteri Meninggal Dunia

Maksud Mimpi Isteri Meninggal Dunia

Siapa yang tidak sedih apabila isteri tersayang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya kan. Tapi, bagaimana pula jika kita hanya bermimpi pasangan hidup kita itu meninggal dunia? Apa maksud disebalik mimpi itu?

Maksud Mimpi Isteri Meninggal
Gambar hiasan.

Mimpi juga biasanya adalah gambaran kepada apa yang sedang kita alamai ketika ini dan berikut adalah beberapa maksud mimpi isteri meninggal dunia dengan penafsiran yang berbeza.

1. Mendapat Rezeki Tak Disangka

Jika mimpi isteri meninggal, ini mungkin menjadi petanda bahawa anda akan mendapat rezeki dari sumber yang tak disangka-sangka dalam waktu terdekat.

Rezeki tidak selalu berkaitan dengan wang, boleh jadi adalah kesihatan, khabar yang baik ataupun kejayaan dalam sebarang usaha yang sedang dijalankan.

2. Mengejar Kesempurnaan

Mimpi isteri meninggal juga dikaitkan dengan keadaan hidup yang tidak sesuai dengan jangkaan. Mimpi ini menjadi petanda bahawa anda sedang berjuang untuk mengejar kesempurnaan yang diidam-idamkan namun belum terlaksana.

3. Isteri Memerlukan Sokongan

Isteri sedang memerlukan sokongan dari suami dalam menghadapi masalah yang sedang dilalui ketika ini.

Kerja rumah yang banyak ditambah tanggungjawab menjaga anak-anak terkadang membuatkan isteri penat dan menurunkan semangatnya.

4. Berkaitan Dengan Masalah Dalam Hidup

Mimpi ini merupakan petanda anda sedang merasa tidak nyaman kerana masalah yang sedang dihadapi saat ini. Bahkan anda berniat untuk lari dari masalah tersebut daripada menyelesaikannya.

5. Ada Masalah Kesihatan

Jika bermimpi melihat isteri sedang sakit walhal di dunia nyata sudah meninggal, itu adalah petanda bahawa anda memiliki masalah kesihatan. Pergilah berjumpa doktor untuk memeriksa keadaan kesihatan anda.

6. Hubungan dengan Isteri Akan Bertambah Baik

Petanda baik lainnya dari mimpi isteri meninggal adalah bahawa hubungan dengan isteri akan menjadi lebih baik dari sebelumnya.

7. Isteri Umur Panjang

Mimpi ini menunjukkan bahawa isteri akan memiliki umur yang panjang. Manfaatkan hal tersebut dengan menikmati saat-saat indah berdua dengannya sebelum ia meninggalkanmu selamanya.

8. Usaha Yang Sia-sia

Mimpi isteri meninggal boleh jadi juga petanda bahawa anda harus melupakan usaha yang sedang dijalankan. Jika tidak, usaha tersebut hanya akan akan membuang waktu dan wang.

Ia tidak akan menghasilkan apa-apa kejayaan selain kegagalan.

9. Usaha Yang Sedang Dijalankan Akan Berhasil

Jika bermimpi isteri meninggal kemudian hidup lagi, maka hal tersebut merupakan petanda yang baik.

Boleh jadi usaha yang sedang dijalankan akan menemui kejayaan.

10. Peringatan Untuk Suami

Mimpi isteri meninggal boleh juga merupakan sebuah peringatan untuk suami. Mimpi berusaha memberi peringatan agar tidak terlalu sibuk.

Kegiatan suami yang terlalu sibuk membuatmu kehilangan waktu yang berharga untuk keluarga. Mungkin isteri sedang kesepian dan ingin agar anda menemaninya sebentar saja.

Sebaiknya aturlah waktu dan cuba luangkan sedikit waktu untuk menikmati masa berharga bersama keluarga.

11. Rasa Menyesal

Maksud mimpi isteri meninggal juga berkaitan dengan rasa penyesalan yang datang bukan tanpa alasan.

Rasa penyesalan ini terjadi akibat suami yang terlalu sibuk dan tidak dapat meluangkan sedikit waktu untuk bertemu isteri dan keluarga.

Akhirnya, ketika ia sudah meninggalkanmu untuk selamanya, kamu hanya berupaya menyesalinya.

12. Rasa Khuatir Yang Berlebihan

Boleh jadi juga mimpi isteri meninggal adalah datangnya dari rasa cemas dan risau yang datang sebelum tidur.

Oleh kerana itu, anda perlu lebih menyayangi dan memberikan perhatian lebih kepada isteri saat ini.

13. Takut Kehilangan

Mimpi isteri meninggal yang anda alami juga menunjukkan rasa sayangmu kepada isteri yang begitu besar yang kerana begitu menyayanginya, anda jadi takut kehilangan dirinya.

Kamu takut jika nantinya isterimu pergi meninggalkanmu untuk selamanya. Mungkin kamu terlalu memikirkan hal ini secara berlebihan, sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

14. Merindui Isteri

Mimpi isteri meninggal boleh juga menunjukkan rasa rindumu. Mungkin anda pada saat ini sedang berjauhan, jadi wajar kalau anda merindukannya.

Anda boleh menghubunginya dan bercakap sebentar untuk menuntaskan rasa rindu.

Jika kamu tidak berjauhan dengan isterimu, mungkin saja mimpi ini merupakan petanda agar anda lebih menghargai setiap saat yang kalian lewati bersama.

15. Akan Berlaku Perselisihan

Mimpi ini juga dapat diertikan sebagai petanda akan adanya perselisihan antara suami isteri yang tidak dapat dihindari.

Wallahu a'lam.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)|(2)|(3)

Thursday, November 17, 2022

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Sekitar 1970-an, industri perbankan adalah sebuah pasaran yang membosankan. Orang datang bank untuk menyimpan duit, yang dibelanjakan bank demi keuntungan. Dan hasil keuntungan ini, bank mampu memberi pinjaman berfaedah (loan with interest).

Kelicikan Sistem Riba

Jadi, konsep bank adalah untung membuat untung – produk yang mencipta produk baru. Masuk 1990-an, bank meluaskan rantaian ini. Produk mencipta produk baru yang mencipta produk lebih baru. Rantaian bertambah; bank melebarkan untung. Puncanya adalah pemacuan ekonomi yang sangat baik.

Antara 1980 sampai 2000, Amerika Syarikat berada di puncak dari segi kewangan dan global. Kekayaan mereka memang luar biasa, tidak tercabar mana-mana musuh.

Tetapi sekitar dekad inilah timbul satu musuh baharu, iaitu diri mereka sendiri. Dan seluruh dunia bergegar apabila industri perbankan mula memandang enteng pada tanggungjawab mereka.

Umumnya jutaan orang meminjam daripada bank untuk membeli rumah. Jadi mereka perlu membayar dengan faedah. Katakanlah pinjam AS$50,000 dan bayar balik AS$270 setiap bulan selama 30 tahun. Cukup 30 tahun, jumlah bayaran adalah AS$97,200. Jadi bank mendapat untung sebanyak AS$47,200.

Itu seorang. Kalau sejuta peminjam, sudah AS$47.2 bilion. Katakanlah bank ada 2,000 peminjam (AS$94.4 juta). Semua pinjaman ini disumbat dalam satu kolam, menjadi alat bernama Mortgage-Backed Security (MBS) (Erturk & Gabor, 2016).

Konsepnya mudah: tiada individu atau syarikat yang tidak akan membayar pinjaman rumah. Jadi, jaminan untung bank menjadi alat untuk membuat untung.

Mereka menjualnya dalam bentuk bon pada agensi kerajaan atau bank pelaburan yang kemudian meminjamkannya kepada pelabur-pelabur lain.

Dan pada tahun 2002, bank-bank Amerika Syarikat rata-ratanya menstrukturkan alat MBS menjadi sejenis kek.

Bon besar membuat kek yang dipotong pula untuk hidangan pelabur. Konsepnya masih sama: menjana pendapatan melalui faedah semata-mata.

Tetapi macam biasa, kalangan pelabur pun ada kasta. Kek takkan dipotong secara saksama. Sesiapa yang bayar lebih, dapat potongan lebih besar.

Jadi, jika ada pembeli rumah tidak dapat membayar balik pinjaman, pelabur yang pegang potongan paling kecil akan kena dulu. Soalan sama masih menyantuni mereka: pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dan santunan ini menjadi punca mereka bertambah tamak. Mereka meringankan kemudahan untuk buat pinjaman. Sampai ke tahap pengutip buah dengan pendapatan AS$14,000 setahun tanpa kemampuan bercakap bahasa Inggeris tiba-tiba layak meminjam untuk membeli rumah berharga AS$724,000.

Kadar faedah ditetapkan pada masa itu sangat rendah (tetapi boleh diapung setiap tahun) dan masuk tahun 2006, mimpi ngeri mula melanda apabila kadar faedah menunjukkan trend kenaikan (kerana individu mampu meminjam untuk membeli rumah).

Tidak cukup dengan itu, mereka membuat sistem pertaruhan pada potongan kek tersebut. Sepotong kek katakanlah melibatkan pelaburan AS$1 juta. Dua orang belakang membuat pertaruhan: "Saya bertaruh dia akan dapat duit itu."

Katakanlah untung pertaruhan ini adalah AS$2 juta. Kemudian dua orang di belakang dua orang ini membuat pertaruhan baru, "Saya bertaruh orang depan kita akan dapat AS$2 juta itu."

Dan dua orang belakangnya sambung lagi dalam sebuah rantaian yang bergantung pada potongan kek tadi. Maka begitulah rantaiannya sampai ke orang belakang yang entahnya tidak tahu pun apa yang sedang dipertaruhkan. AS$1 juta sekarang boleh jadi AS$200 bilion.

Sekarang, apa jadi kalau potongan kek tidak mendapat AS$1 juta? Tetapi mana mungkin tidak dapat, sebab pelaburan potongan kek ini bergantung pada pinjaman rumah. Dan pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dua tahun kemudian, dua perkara berlaku: Individu sudah tidak mampu membeli rumah dan peminjam sedia ada tidak mampu membayar balik, kerana kadar faedah melambungkan bayaran bulanan mereka hingga ke tahap tidak mampu dibayar.

Akhirnya apa yang terjadi? Dari bawah, sistem kewangan yang mereka bina mulai runtuh, membαhαm semua pelabur, menyebabkan krisis kewangan begitu kronik, teruk dan jijik.

Dan percayalah, inilah punca ramai semakin hilang kepercayaan pada industri perbankan.

Sekarang sudah ada alternatif seperti matawang kripto yang mampu menyimpan duit dalam sistem blok rantai kerana katanya lebih selamat berbanding bank (David, 2022).

Pengguna hanya perlu memastikan kesahihan sebuah kripto, seperti Bitcoin, Ethereum dan Uniswap misalnya. Dan satu-satunya bαhαyα kripto sah adalah turun naik nilainya. Kena berlaku adil – ini perkara biasa, kerana nilai emas pun ada naik turun.

Namun, fenomena emas dan matawang kripto lebih mudah difahami, berbanding alasan diberi pihak perbankan setiap kali masalah berbangkit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, November 11, 2022

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam kerana kebanyakan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan, di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Bulan bintang simbol Islam

Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain.

Bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam.

Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم.

Di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit.

Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.

ASAL USUL SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG

Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:

"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi).

Beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain.

Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, lalu mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut.

Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."

ISLAM TIADA SIMBOL RASMI

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya.

Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:

"Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi." (Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).

Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:

"Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya." (Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)

Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam.

Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu'dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah.

Simbol bulan bintang ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW.

Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: "Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid." (Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)

Kesimpulan

Penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka.

Bahkan di dalam Islam, simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.

Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT.

Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara' bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)