Tuesday, October 02, 2018

Kepentingan Menghormati Bendera Kebangsaan Negara


Tujuan bendera kebangsaan dikibar adalah bagi menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga bagi memupuk semangat cintakan negara, selain melambangkan kemegahan agar semangat terus meresap ke dalam jiwa kerana ianya mempunyai aura tersendiri disamping melambangkan kedaulatan negara kita.

Kepentingan Menghormati Bendera Kebangsaan Negara

Jalur Gemilang, lagu Negaraku, bahasa Malaysia dan institusi Yang DiPertuan Agong (YDPA) adalah antara lambang-lambang negara yang dipandang tinggi dan dilindungi oleh perlembagaan dan undang-undang.

Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah.

Jalur–jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri seluruh Malaysia dan sebuah Wilayah Persekutuan.

Negeri–negeri berkenaan termasuklah Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada Jalur Gemilang membawa makna gagah berani dan warna putih padanya pula membawa makna suci murni.

Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang melambangkan simbol kedaulatan Raja–Raja Melayu.

Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru me­lambangkan semangat setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan negara-negara Komanwel.

Seperti yang diketahui umum, bendera Malaysia sudah lama wujud sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi pada 1957. Ia digunakan sejurus selepas negara ini menyambut kemerdekaannya.

Proses pengubahsuaian terhadap bendera negara kita dibuat pada 1963 selepas terbentuknya Malaysia dengan penyertaan Sarawak dan Sabah.

Pada 1997, bendera Malaysia diberi nama Jalur Gemilang dan sehingga kini, Jalur Gemilang kekal menjadi simbol kebanggaan negara ini serta setiap warganegaranya tanpa mengira di mana mereka berada.

Saat bendera kita dikibarkan serta diiringi dengan lagu Negaraku membawa kepada satu perasaan kasih dan sayang setiap warganegara terhadap Malaysia.

LAMBANG CINTAKAN NEGARA

Budaya merosak, mencacat dan memusnahkan bendera negara sendiri adalah tidak sepatutnya berlaku.

Walau apa pun pendapat atau fahaman berbeza yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia, bendera Jalur Gemilang patut dibiarkan bebas berkibar tanpa menjadi mangsa terhadap sebarang pendapat atau fahaman berbeza yang berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.

Bendera Malaysia juga patut dikibarkan setiap masa bukan setakat ketika menyambut bulan kemerdekaan.

Setiap rakyat yang sayangkan negara sudah pasti akan mengibarkan bendera negara tanpa rasa segan silu.

KEPENTINGAN MENGHORMATI BENDERA NEGARA

Bendera adalah simbol yang mewakili negara, negeri, orang dan organisasi dan perkataan ‘bendera’ sebenarnya berasal daripada perkataan Portugis iaitu ‘bandeira’ bagi menggambarkan sepotong kain bercorak yang digunakan sebagai simbol sesebuah negara atau juga suatu entiti.

Pada awal kewujudan bendera sejak beribu-ribu tahun lalu, orang Mesir, Parsi, Yunani dan Rom membawa pelbagai objek yang dijadikan simbol tuhan atau pemerintah mereka yang dikibarkan pada tiang.

Tentera Mesir purba menggunakan kain ini sebagai alat penyelaras tentera di medan perang namun kini, bendera lebih berfungsi sebagai simbol identiti sesebuah negara dan juga suatu entiti.

Bendera negara boleh membangkitkan semangat untuk bergembira, berani dan berkorban dan dari sudut kenegaraan, bendera mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri warganya.

Justeru, kaedah dan atur cara penggunaannya perlu bersesuaian bagi menjaga nilai kedaulatan negara dan rakyatnya.

Penggunaan dan kaedah yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera negara berkenaan.

Setiap elemen seperti rupa, warna dan susunan suatu bendera mempunyai maksud berdasarkan sosiobudaya dan sejarah sesebuah negara.

Selain itu, sejarah kewujudan sesebuah reka bentuk bendera sangat berkait rapat dengan unsur-unsur keagamaan.

Oleh kerana bendera negara mempunyai nilai kedaulatan dan lambang jati diri rakyat, maka kebanyakan negara di seluruh dunia telah menetapkan kod etika dan undang-undang bagi tata cara penggunaan bendera kebangsaan sebagai penghormatan kepada simbol rasmi negara.

Amerika Syarikat, Australia, India, New Zealand dan pelbagai negara lagi mempunyai undang-undang berkaitan bendera kebangsaan.

Malaysia juga mempunyai undang-undang berkaitan penggunaan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang.

Undang-undang tersebut termaktub dalam Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap bendera Jalur Gemilang dengan tujuan mencemar nama baik atau menghasut boleh juga dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 (Buku Kecil: Bendera Kita Jalur Gemilang, terbitan Jabatan Penerangan Malaysia).

Kesemua negara di dunia secara dasarnya mempunyai kaedah yang berbeza tentang cara serta etika menghormati bendera masing-masing, namun kesemuanya mempunyai persamaan iaitu bendera kebangsaan tidak boleh digunakan dengan cara yang menimbulkan keaiban atau satu keadaan yang merendahkan martabatnya.

Hal ini kerana bendera kebangsaan adalah ganti diri negara dan warganya, sebagai citra sejarah dan jati diri bangsa bagi satu-satu negara.

Malah, dalam kehidupan beragama dan kehidupan yang berteraskan nilai moral turut menolak tata laku menghina simbol negara orang lain

CARA MENGHORMATI BENDERA

(i) Sebagai Lambang Kebesaran dan Kedaulatan Negara

Kepentingan Menghormati Bendera Kebangsaan Negara
Rajah 30 , Rajah 31 & Rajah 32.

Rajah 30: Jika anda seorang awam yang memakai baju Melayu dan bersongkok, maka hendaklah berdiri tegak dengan kedua belah tangan diluruskan ke bawah.

Rajah 31: Jika anda seorang awam dan memakai lain-lain pakaian, anda juga mestilah berdiri tegak dengan kedua tangan diluruskan ke bawah.

Rajah 32: Jika anda seorang awam yang memakai topi, maka topi tersebut mestilah dibuka dan diletakkan di dada disebelah kiri.

(ii) Sebagai Tanda Berkabung

Bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung di atas peristiwa tertentu seperti kemangkatan atau meninggal dunia pembesar-pembesar negara dan pembesar-pembesar negara asing.

Arahan mengenai pengibaran bendera setengah tiang ini akan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri bagi negeri-negeri berkenaan.

Di antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah:-
  • Kemangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (pada hari pengisytiharan kemangkatan sehingga hari pemakaman).
  • Kemangkatan D.Y.M.M. Raja-Raja dan D.Y.M.M. Raja-Raja Permaisuri (pada hari pengisytiharan kemangkatan sehingga hari pemakaman).
  • Tuan-Tuan Yang Di-Pertua Negeri dan isteri-isteri (pada hari pengisytiharan sehingga hari pegebumian).
  • Y.A.B. Perdana Menteri dan Y.A.B. Pemangku Perdana Menteri (hari pengisytiharan sehingga hari pengebumian).

(iii) Sebagai Tanda Menghormati Jenazah

Bendera Malaysia boleh menutup keranda di dalam Istiadat Permakaman/Pengkebumian Negara ataupun ketika membawa balik jenazah yang meninggal dunia di luar negara:-
  • Pembesar-pembesar negara.
  • Duta-Duta Malaysia.
  • Anggota tentera yang meninggal dunia ketika menjalankan tugas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan | penerangan | utusan2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon