Tuesday, December 22, 2020

Individu GILA KERJA Ada Masalah Mental!

Individu GILA KERJA Ada Masalah Mental!

Adakah anda tahu sekiranya seorang yang gila kerja yang dalam bahasa Inggeris lebih dikenali dengan nama workaholic, bermaksud anda terlalu taksub dan sibuk bekerja seolah-olah sudah ketagih dengan pekerjaan tersebut.

GILA KERJA

Ia adalah satu keadaan di mana anda tidak boleh mengawal diri daripada terus bekerja sepanjang masa dan ketagihan bekerja atau gila kerja ini adalah salah satu daripada gangguan kesihatan mental.

Punca gila kerja?

Kebanyakan daripada keadaan gila kerja ini berpunca daripada paksaan yang dilakukan ke atas diri sendiri bagi mencapai kejayaan atau status dalam pekerjaan.

Ada juga punca di mana ia bagi mengelakkan diri daripada mengalami stres atau tekanan yang berkaitan dengan emosi.

Tetapi kebanyakannya berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu tugasan yang diberikan.

Percaya atau tidak, mereka yang mengalami ketagihan gila kerja juga boleh mengalami ‘high’ seperti penagih dadah.

Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami keadaan tersebut.

Tetapi salah satu tanda bahawa mereka telah sampai ke tahap itu ialah, mereka kerap mengulangi tabiat gila kerja ini sehingga tidak mampu untuk menghentikannya.

Tanda-tanda jika seseorang itu ketagihan atau gila kerja

Terdapat 11 tanda umum yang boleh menentukan sama ada anda adalah seorang yang terlalu sibuk bekerja atau tidak:

1. Tiada masa bersama keluarga

Pernahkah ahli keluarga anda menyatakan bahawa anda terlalu sibuk bekerja? Atau mereka rasa terabai?

Jika pernah, itu adalah salah satu tanda bahawa anda terlalu sibuk bekerja. Anda mungkin memberikan alasan bahawa anda mendapat tekanan untuk mencapai sasaran prestasi tugasan.

Tetapi anda tidak sedar bahawa banyak masa anda hanya dihabiskan dengan bekerja sehingga amat jarang melakukan aktiviti bersama keluarga.

2. Kerap melihat email kerja di mana-mana

Dengan kemudahan teknologi dan juga sambungan internet, kini tugas kerja boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Namun, anda mungkin tidak sedar bahawa anda menggunakan kemudahan ini dengan kerap ‘bersama’ tugas kerja anda tanpa mengira masa dan tempat.

Sebagai contoh, anda memeriksa email kerja walaupun pada ketika anda sedang berehat, baring atau hendak tidur.

Anda juga mungkin memeriksa email atau tugasan anda sewaktu membuang air di dalam tandas.

3. Rumah juga menjadi pejabat anda

Kebiasaan waktu bekerja hanyalah antara 8 ke 9 jam sehari.

Namun, bagi mereka yang sibuk bekerja sehingga mengalami ketagihan, tugas kerja dibawa pulang ke rumah dan disambung sehingga waktu tidur. Tabiat ini diulang-ulang setiap hari tanpa disedari.

Anda juga kerap melihat telefon bimbit, tablet mahupun komputer riba di mana-mana sahaja walaupun ketika di meja makan.

4. Tidak wujud keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan

Sepatutnya, apabila telah pulang ke rumah, apa yang perlu anda lakukan ialah berehat dan menikmati masa bersama keluarga.

Banyak perkara boleh dilakukan di rumah seperti menonton televisyen, bersenam, berkebun, memasak dan pelbagai lagi.

Namun, jika sudah terlalu ketagih bekerja, kesemua perkara ini tidak lagi dilakukan.

Anda tidak lagi menonton televisyen bersama ahli keluarga atau melancong bersama rakan. Apa yang anda fikirkan hanyalah kerja, kerja dan kerja.

5. Tidak mengambil cuti tahunan

Individu lain mungkin gembira ketika mengambil cuti tahunan, tetapi tidak bagi anda.

Apa yang anda fikirkan ialah, kerja yang semakin bertimbun atau risau jika rakan sekerja mencari anda untuk tugasan kerja.

Hasilnya, anda takut untuk mengambil cuti tahunan dan terus bekerja sehingga akhir tahun.

Apa yang perlu dilakukan adalah, menggantikan individu lain untuk melakukan kerja bagi pihak anda buat sementara waktu.

Dengan itu, anda dapat mengambil cuti dan berehat dengan tenang tanpa risau.

Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami perkara-perkara seperti berikut:
  • Kerap mencari lebih banyak masa terluang untuk melakukan kerja, bukan untuk berehat.
  • Bekerja dengan tujuan menunjukkan kebolehan anda walaupun anda sendiri rasa terbeban dan tidak berkemampuan.
  • Tidak mengurangkan tugas kerja walaupun telah disuruh oleh individu lain.
  • Mengalami masalah kesihatan akibat terlalu kuat bekerja seperti insomnia, pertambahan berat badan dan keresahan.
  • Jika mempunyai masa lapang, anda menggunakannya untuk membuat kerja.
  • Kerap berasa resah dan gelisah apabila kerja bertambah, tetapi tetap mahu menyiapkannya.
Semak diri anda kembali

Semak semula diri anda. Adakah anda mengalami satu atau lebih tanda-tanda yang dinyatakan ini?

Jika ya, maka ia bermaksud bahawa anda sedang mengalami ketagihan bekerja atau gila kerja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hellodoktor

Friday, December 18, 2020

6 Laman Sosial 'Buatan Malaysia' Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

6 Laman Sosial 'Buatan Malaysia' Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

Menurut statistik, Malaysia merupakan negara ke-9 paling banyak menggunakan menggunakan media sosial jadi, tak hairanlah jika sesebuah kes atau berita itu boleh menjadi tular dengan sepantas kilat.

Dengan adanya Facebook dan Instagram, kini segalanya di hujung jari namun kewujudan media sosial bukanlah baru, malah sudah bertapak di Malaysia sejak tahun 2000 lagi.

Kita juga mempunyai platform media sosial yang tersendiri, namun disebabkan akses internet dan teknologi telefon yang tidak secanggih kini, ia tidak begitu popular.

Kali ini kami ingin kongsikan 6 rangkaian media sosial yang pernah dicipta suatu ketika dahulu, dibangunkan oleh rakyat Malaysia namun gagal memberikan impak dan lenyap begitu sahaja.

1. 1malaysia.com

1malaysia

Penggunaan nama 1Malaysia sememangnya sangat popular di Malaysia dan menjadi satu fenomena dan disebabkan itu, satu laman sosial telah ditubuhkan dengan nama yang serupa iaitu 1Malaysia.com.

Sebelum menjadi laman sosial, ia pada asalnya adalah sebuah blog yang membincangkan berkenaan Malaysia kemudiannya, pemilik laman sesawang ini telah mengubah konsep kepada laman sosial.

Kurang daripada sehari dilancarkan, sebanyak 113 pengguna telah mendaftarkan diri dan trend ini berterusan.

Ia mengetengahkan fungsi-fungsi seperti blog, forum, perkongsian video dan banyak lagi.

Penggunaan nama 1malaysia.com ini juga menarik minat rakyat Malaysia dan mudah diingati disebabkan Perdana Menteri Dato Seri Najib juga menggunakan domain yang sama iaitu 1Malaysia.com.my.

2. dRbuku

dRbuku

Dengan kejayaan Facebook di seluruh dunia, ia telah memberikan inspirasi kepada seorang jutawan produk kesihatan terkenal di Malaysia, Dr. Rozmey untuk melancarkan rangkaian media sosialnya sendiri.

Menurut Dr.Rozmey dalam statusnya, terdapat khabar angin bahawa Facebook bakal ditutup pada 15 Mac 2011 dan tindakannya untuk memajukan DrBook adalah tepat.

Diberikan nama Dr.Book, laman sesawang itu telah dilancarkan pada Oktober 2011 dan mula diguna pakai oleh rakyat Malaysia.

Namun, disebabkan Facebook "masih beroperasi", Dr.Book tidak mendapat sambutan seperti diinginkan.

Selepas kurang dari sebulan dilancarkan, DrBuku melalui penjenamaan semula yang diberi nama baru iaitu DrBuku.

Pendaftaran akaun dipermudahkan yang boleh menggunakan akaun sedia ada termasuklah Facebook, Windows Live, FourSquare, Yahoo!, Myspace, Google, Friendster, Wordpress dan lain-lain.

Statistik yang diperoleh juga tidak begitu memberangsangkan ketika itu dengan hanya 2,700 ahli berdaftar, 1,400 perkongsian video dan 11,700 perkongsian gambar.

Promosi DrBuku juga tidak begitu menyeluruh membuatkan laman sesawang ini terus tidak dikenali.

Kini domain DrBuku.com diambil alih oleh laman sesawang dari China.

3. myfriends2u

myfriends2u

Sama seperti laman-laman sosial Malaysia yang lain, myfriends2u.com ditubuhkan dengan harapan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berhubung antara satu sama lain.

Dibangunkan pada Jun 2010 oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Netxpert Sdn. Bhd., laman sosial ini membawa sedikit kelainan berbanding pencabarnya, iaitu Marketplace.

Ia memudahkan para pengguna untuk membuat transaksi jual beli terus dari laman ini.

Menurut CEO syarikat ini iaitu Che Onn Ismail, myfriends2u.com merupakan satu inisiatif Netxpert untuk menyatukan komuniti Malaysia dan Asia dalam satu portal buatan anak tempatan.

Ia juga menawarkan segmen MyCareer yang membolehkan pengguna terutamanya golongan graduan mencari pekerjaan secara lebih berkesan.

Juga, sesiapa yang mempunyai tempat menarik untuk dikongsi bersama pengguna lain boleh mempromosikannya melalui segmen Myplaces.

Setelah setahun beroperasi, laman ini mempunyai kira-kira 50,000 pengguna yang mana jumlah ini boleh dikatakan sangat tinggi pada ketika itu.

Namun, tidak dinafikan kehadiran myfriends2u.com tidak dapat mencabar impak yang dibawa Facebook yang ketika itu mula mendapat perhatian dunia.

4. Warisan.net

Dibangunkan oleh saudara Megat Najmuddin yang berasal dari Shah Alam pada Julai 2014, warisan.net adalah sebuah laman sosial yang menyerupai Facebook dan ditubuhkan pada tahun 2003, setahun sebelum Facebook dilancarkan.

Tujuannya adalah memberikan platform kepada rakyat Malaysia untuk berhubung antara satu sama lain dengan lebih mudah.

Ia bukan sahaja semata-mata laman sosial tetapi juga tempat berkongsi berita dan manfaat, juga menawarkan ruang chatting, blog, forum dan permainan video.

Namun, ia tidak kelihatan seperti tidak memberikan sebarang impak kepada rakyat Malaysia yang ketika itu lebih menggunakan Myspace dan Friendster.

5. Kampungchat.com

Kampungchat

Ditubuhkan pada tahun 2002, kampungchat.com merupakan laman sesawang yang paling popular di Malaysia satu ketika dahulu.

Ia merupakan sebuah laman web interaktif yang membolehkan sekumpukan orang berkomunikasi dan bertukar maklumat. Perkhidmatan ini dibawa oleh KampungChat Enterprise.

Moto kampungchat adalah memberikan persekitaran berborak yang tenang dan terbaik kepada pengguna.

Sasaran utama Kampungchat adalah remaja dan orang dewasa yang berkongsi keperluan bersama iaitu berbincang, mencari kawan baru, berkongsi gambar dan bermacam lagi.

Kampungchat.com bertahan untuk beberapa ketika dan menjadi pilihan golongan muda di Malaysia.

Kini kampungchat.com telah menggunakan domain yang baru iaitu www.kampungchat.org.my.

6. e-kawan

e-kawan

E-Kawan adalah salah satu komuniti mobile di Malaysia dan merupakan satu komuniti untuk mencari rakan, berkongsi gambar-gambar, bertukar-tukar blog, berkongsi minat, merancang aktiviti, mencari teman hidup dan memperkembangkan rangkaian teman-teman dan rakan-rakan anda melalui SMS, MMS, WAP, 3G dan juga Internet.

E-Kawan menggunakan perisian rangkaian sosial MatchLogix(c), pelantar mobile disediakan oleh Nextnation Interactive yang merupakan antara penyedia solusi mobile Multimedia di Asia Tenggara.

Seperti laman sosial yang lain, e-kawan tidak dapat bertahan lama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Memaafkan memang sangat sukar dilakukan. Biasanya apabila seorang itu dizalimi atau disakiti, pasti dia mahu membalasnya. Tidak ada yang boleh melakukan sifat pemaaf kecuali mereka yang mempunyai keimanan tinggi.

Maaf

Sabda Nabi SAW, orang yang dekat dengannya pada hari kiamat kelak adalah orang yang berakhlak mulia. Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini.

Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia.

Begitulah sebaliknya, perkara yang memudahkan seseorang itu masuk ke neraka selepas syirik kepada Allah adalah golongan berakhlak jelik dan buruk.

Apabila mampu memaafkan kesalahan orang lain, maka seseorang itu sudah mencapai darjat ihsan.

Pastinya kita pernah melalui pengalaman mungkin pernah dihina atau dimalukan sehingga menjatuhkan maruah.

Jika hendak diikutkan perasaan, mahu sahaja dibalas semula perlakuan itu. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, apabila tiba-tiba ia terlintas di fikiran membuatkan diri rasa tidak senang hati.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang." (Surah an-Nuur, ayat 22)

Jangan bertangguh untuk bermaafan selain buang sifat ego masing-masing. Harus berlapang dada untuk memaafkan.

Dalam satu sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Jadilah kita seorang pemaaf. Apabila itu berlaku, pastinya tiada perasaan seseorang untuk membalas dendam.

Bukan juga termasuk dalam kategori pemaaf seandainya sudah memberi maaf, namun di hati masih bersarang rasa kesal dan benci.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Maaf

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk menggambarkan sifat pemaaf. Sifat itu dipamerkan menerusi ucapan atau tindakan Baginda.

Terdapat satu kisah berlaku selepas Perang Uhud yang menunjukkan bagaimana sikap pemaaf Nabi SAW.

Sebahagian sahabat meminta Baginda mendoakan kecelakaan ke atas golongan kafir Quraisy. Ketika itu, wajah Nabi luka dan sebatang giginya patah.

Baginda SAW menolak permintaan sahabat itu lalu berkata: "Sesungguhnya saya diutus bukan sebagai tukang laknat. Tetapi saya diutus untuk menjadi pendakwah dan penyebar kasih sayang. Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak punya pengetahuan." (Al-Jami’ ash- Sahih, 1/176)

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah AliImran: Ayat 133-134)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer oleh kerajaan Malaysia, adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu.

Vaksin Pfizer

Laporan interim ujian itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Vaksin Covid-19: Agama tuntut cegah penularan wabak

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama," katanya.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Vaksin Covid-19 juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan.

"Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

"Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya, pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

"Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya.

Alahan Teruk

Sementara itu, individu dengan alahan teruk mungkin dilarang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Amaran tersebut disampaikan oleh saintis pemerintah yang juga penasihat utama program vaksin dan rawatan Covid di Amerika, Dr Moncef Slaoui.

Dr Slaoui berkata, "Pesakit dengan alahan teruk telah dikecualikan daripada menjalani uji kaji klinikal. Saya jangkakan, disebabkan FDA akan membuat keputusan, perkara ini akan dipertimbangkan.

"Jangkaannya ialah, pesakit dengan alahan teruk akan diminta supaya tidak mendapatkan suntikan itu sehingga kami betul-betul memahami kedudukan perkara sebenar."

Menurut laporan Reuters, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) mencatat dan menyiasat dua kes alahan teruk (anafilaksis) dan satu kes yang mungkin menunjukkan alahan ekoran program suntikan Covid-19 di Britain dan beberapa kes di seluruh dunia.

Anafilaksis berlaku ekoran tindak balas daya ketahanan tubuh manusia yang boleh menjadi teruk dan ada kalanya membawa maut. Pihak Pfizer dan BioNTech menyokong siasatan MHRA.

Sehubungan itu, FDA mungkin akan meminta pembekal supaya memerhatikan sama ada penerima vaksin akan menghadapi sakit lumpuh pada wajah yang dinamakan palsi Bell atau tidak.

Palsi Bell secara am jarang berlaku, bersifat sementara dan tidak serius.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

Dan Samion pun mengungkapkan, dari mulut beberapa orang-orang penduduk kampung berdekatan, dia memperolehi sumber yang mengatakan rumah batu lama itu, asalnya milik orang China yang pada zaman penjajah (Belanda) dianggap oleh beberapa pihak sebagai tokoh perniagaan terkaya di Asia Tenggara pada masa itu.

Toyol jadi-jadian


Memiliki ladang getah, cengkih, pala, di samping menjalankan perniagaan gula secara besar-besaran.

Sering berulang-alik ke Singapura, Pulau Pinang dan Hong Kong demi urusan pemiagaannya.

Saudagar China itu mula berdepan dengan zaman gelapnya, bila dua orang anak lelakinya yang diharapkan membesarkan perniagaan ditangkap Belanda.

"Kedua-dua anak saudagar itu dituduh membantu perjuangan penduduk tempatan menentang Belanda. Kedua-duanya ditembak mati.

"Tak cukup dengan itu, isterinya pula diserang demam malaria dan terus mati," kata Samion dengan wajah yang sedih.

Kerana saudagar China itu berkawan baik dengan keluarga Mia, segala harta tanah, rumah dijualkan kepada keluarga Mia.

Dan si Cina kaya yang malang itu berhijrah ke Pulau Pinang dan meninggal dunia di pulau tersebut.

Cara Samion menyampaikan cerita, sungguh menarik membuat kami tidak bosan mendengarnya.

"Panjang juga sejarahnya rumah itu," kata saya, Samion tersenyum.

"Ada tak cerita lain yang pelik-pelik," susul Andi Kamarool.

"Kamu berdua cari sendirilah, khabarnya kamu nak bermalam di rumah ni."

"Betul pak cik tapi, sebelum tu kami nak tahu hal-hal yang ganjil," tingkah saya.

Samion telan air liur. Termenung panjang, macam ada sesuatu yang difikirkan.

"Kamu berdua pergi tanya mandur. Dia pernah bermalam di anjung rumah itu. Dia nak jumpa pengawal rumah, nak minta harta. Dia nak jadi kaya. Pergi tanya dia apa yang terjadi," Samion mengakhiri kata-kata dengan ketawa terkikih.

Tindak-tanduknya membuat kami tidak sabar untuk mengetahui cerita selanjutnya.

"Ceritakanlah pak cik," desak saya.

"Tanya mandur," jawabnya.

Samion segera bangun dan meninggalkan kami

MENGEJUT

Keputusan mengejut dari Samion membuat saya dan Andi Kamarool termangu-mangu.

Wajarkah Samion diburu dan memaksa dia bercerita tentang apa saja peristiwa ganjil yang dialaminya semasa mejadi 'jaga' rumah batu itu?

Perlukah mencari mandur serta memaksa dia meluahkan pengalamannya untuk renungan kami? Atau melupakan saja tentang Samion dan mandur. Semuanya berlegar-legar dalam benak saya.

"Kita memerlukan keterangan dari orang lain untuk panduan, kita tak boleh melulu buat kerja ni. Kalau ada datuk kamu dan Haji Basilam lainlah, ada tempat mengadu dan minta tolong," Andi Kamarool meluahkan keraguannya. Wajahnya nampak gusar.

Saya merenung rerumput di halaman yang luas saujana mata memandang. Embun di hujung rumput sudah hilang, kicau burung juga beransur kurang.

"Kalau begitu Andi, kita cari mandur,"

Andi Kamarool tidak membantah dengan cadangan yang saya kemukakan.

Di tengah-tengah sinar matahari yang beransur keras menyengat itu, kami pun mengesan dan temui mandur sedang bersandar di pangkal pokok angsana merehatkan tubuh dan fikiran sambil menghisap paip bengkok.

"Ada apa yang boleh saya tolong," tegur mandur ramah sekali.

Tanpa banyak cakap kami terus duduk atas batang buruk berdepan dengannya. Kami tatap wajahnya yang masih ada kesan peluh.

"Dengar cerita kamu nak tidur di anjung rumah Mia."

"Mana mandur tahu?" tanya saya.

"Si Harisun pembantu rumah Mia yang cakap pada aku secara sulit. Kalau Mia tahu perkara ni lepas keluar, si Harisun tentu dihalaunya dari rumah. Diberhentikan kerja."

Andi Kamarool tidak memberi apa-apa komen tetapi, saya kesal dengan Mia dan rasa marah terus meluap terhadapnya. Kenapa perkara itu mesti diceritakan kepada Kak Sun.

Dan mulut luas Kak Sun sudah mengkhabarkan perkara itu kepada mandur. Memang orang perempuan jahat mulut. Tidak pandai simpan rahsia. Suka sampai menyampai, keluh hati kecil saya.

Sesungguhnya apa yang saya kira rahsia, sebenarnya sudah tidak menjadi rahsia lagi. Entah berapa ramai manusia di sekeliling Mia yang mengetahui tujuan dan cita-cita kami menginap di sini.

"Bagus kamu berdua cubalah dan rasalah sendiri."

Saya tersintak dari lamunan. Batang hidung mandur saya renung. Sepintas lalu, kata-kata yang diluahkan oleh mandur itu mengandungi unsur-unsur menyindir.

Boleh melemahkan semangat, kalau di terima secara negatif, kalau diterima secara positif, kata-kata itu adalah cabaran yang mesti dihasut.

"Mandur pernah tidur di anjung rumah tu?" tanya Andi Kamarool.

Mandur gelengkan kepala.

"Samion kata, mandur pernah pergi ke situ waktu malam?" saya menyoal.

Mandur anggukkan kepala.

"Apa yang mandur dapat?" susul Andi Kamarool.

Mandur terdiam sejenak, dua tiga kali kelopak matanya dipejam celikkan. Sepasang kakinya dilunjurkan.

"Aku mencuba, bila anak buah aku bercakap secara sulit yang mereka selalu melihat perkara aneh di halaman rumah tu. Terutama anak buah aku yang datang awal pagi," mandur terus menghidupkan api paipnya yang mati.

Setelah dua kali menyedut dan meluahkan asap paip, mandur tidak menyambung ceritanya. Dia merenung kosong ke tengah padang (halaman).

"Apa yang anak buah mandur nampak waktu subuh tu?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terbantut.

Mandur cabut paip dari mulut, kepala paip diketuk dua tiga kali pada akar angsana hingga sisi tembakau di dalamnya berhamburan keluar.

"Si Manan, tukang kebun. Dia tu orang Tanjung Balai. Sebelum subuh dia sudah sampai ke sini. Kadang-kadang dia sembahyang subuh di kaki lima rumah, kadang-kadang di bawah pokok cempaka besar.

"Suatu hari selepas sembahyang subuh, dia terpandang seorang wanita jelita, berkulit putih bersih.

"Mungkin wanita Cina mengutip bunga-bunga tanjung yang gugur. Bila Manan mahu menegur perempuan itu terus ghaib."

Saya urut dada, senang rasa hati kerana mandur masih mahu bercerita.

"Pengalaman mandur macam mana pula?" saya terus mencungkil rahsia.

Mandur tersenyum, jejarinya terus menyumbat tembakau ke dalam lubang paip. Dua kali sedut, dua kali meluahkan asap ternyata mandur dapat menikmati kepuasan yang tidak terkata. Gerak gerinya kami ikuti penuh teliti.

"Niat aku bukan apa-apa, aku cuma nak jumpa makhluk ghaib kerana nak minta harta. Aku nak jadi kaya," ungkap mandur. Dia masih juga tersenyum panjang.

"Mandur dapat apa yang dihajati?" serius sungguh Andi Kamarool mengajukan pertanyaan. Senyum mandor masih belum putus.

"Kenapa mandur?" rasa ingin tahu saya tidak dapat kawal.

"Aku lari lintang pukang, rasa nak keluar semua isi perut, kayu batu semuanya aku langgar. Akibat takut."

Cerita yang diungkapkan si mandur membuat saya dan Andi Kamarool ketawa terbahak-bahak hingga berair mata.

Dan panas terik yang menggigit tubuh tidak terasa. Memang lucu kisahnya. Mandur juga turut ketawa.

MESRA

Kerana sudah terasa agak mesra, si mandur Batak berkulit hitam, berbadan besar yang didakwa oleh Samion sebagai lelaki yang handal dalam ilmu dunia itu pun bercerita.

Menuruttnya, ada dua sebab yang mendorong dia mengunjungi rumah batu lama itu waktu tengah malam.

Pertama, dia mahu memastikan sama ada cerita orang di bawahnya itu betul atau tidak. Kedua, kalau cerita itu betul, dia mahu menemui makhluk yang merayau-rayau di kawasan itu untuk meminta sesuatu.

Dua perkara itulah yang menyebabkan mandur keluar dari rumahnya (yang terletak kira-kira setengah batu dari rumah Mia) jam dua belas malam.

Masuk ke kawasan rumah tersebut, mandur tidak menghadapi sebarang rintangan atau masalah. Dia terus mundar-mandir di kawasan halaman rumah.

Malam yang dingin memaksa mandur membalut tubuhnya dengan kain tebal. Tidak memadai dengan itu, dia terus memeluk tuhuhnya.

Kerana tidak mahu kedatangannya dikesan oleh sesiapa (terutama Mia) mandur tidak menghisap paip.

Ketika embun jantan mula turun, mandur tidak lagi bergerak sebebas tadi. Dia lebih banyak duduk di bawah pohon cempaka, suasana terasa amat sepi sekali.

Bau harum dari bunga sedap malam terus menusuk lubang hidung. Bagi menghindari rasa mengantuk, mandur minum kopi pahit yang sememang dibawa dari rumahnya.

Mandur beredar dari bawah pokok bunga tanjung. Dia mendekati rumpun pokok bunga sedap malam.

Sudah satu jam masa berlalu, mandur tidak berhadapan dengan perkara- perkara yang aneh seperti yang dialami oleh Samion, si Manan dan beberapa orang lagi anak buahnya.

Mandur mula mengesyaki apa yang didakwa itu memang tidak wujud. Dirinya dipermainkan oleh anak buahnya sendiri.

Secara mendadak saja mandur panas hati. Dia memaki hamun orang yang menyampaikan cerita ganjil kepadanya.

Dia bercadang mahu menempelak tukang cerita pada keesokkan hari. Puncak dari rasa marah itu, mandur terus mematahkan ranting bunga sedap malam yang sedang menyebarkan bau harum sekitar rumah.

Ketika mandur mencampakkan ranting yang dipatahkan itu ke dalam longkang besar di kanannya, dia terasa macam ada sesuatu yang bergerak ke arahnya dari sebelah kanan rumah batu lama. Semua pancaindera mandur tertumpu ke situ.

Cara kebetulan, bulan yang muncul dilarut malam, masih mampu menebarkan cahaya ke sekitar kawasan rumah batu malam.

Mandur renung ke arah perdu pokok bunga tanjung. Dia melihat susuk tubuh orang hitam, tinggi dan besar. Berdiri membelakanginya.

Kerana yakin, apa yang dilihat itu adalah penjaga rumah lama, mandur segera mendekatinya.

Sebaik saja didekati untuk dikenali, orang hitam itu terus ghaib dari pandangannya. Mandur yang keras hati dan bersemangat waja itu yakin orang hitam itu akan menjelma lagi.

Kerana itu dia mengambil keputusan untuk menantinya. Kali ini dia menunggu di bawah pokok bunga cempaka besar.

Bunga cempaka yang mala, berjatuhan menimpa tubuh mandur. Semuanya itu, tidak menggugat keyakinan mandur. Dia terus menanti.

Menjelang subuh, di saat kabus nipis bangkit dari permukaan bumi, mandur terlihat tubuh tanpa kepala dan kaki, bergerak bersama kabus nipis menuju ke arahnya.

Mandur masih menanti tetapi, bila dia melihat tubuh tanpa kepala dan kaki itu sekejap ada, sekejap tiada, mandur hilang pertimbangan. Keberanian dan semangat waja yang dimilikinya terus berkecai.

Mandur tidak sanggup menghadapinya, rancangan untuk memiliki harta punah ranah dari hatinya.

Mandur terus langkah seribu membelah suasana subuh yang dingin menuju ke rumahnya.

"Seminggu aku tak kerja, terbaring di rumah siang malam. Dah tu aku tak dapat tidur langsung.

"Pejam mata saja orang hitam tu datang, aku terpaksa balik ke tanah Batak, ubat cara kampung baru aku boleh tidur," mandur mengakhiri cerita tentang pengalaman yang dilaluinya.

"Dahsyatnya," runggut saya.

"Tak tahulah aku nak kata apa-apa. Tetapi, itulah yang aku rasakan," tambah mandur.

Anak matanya silih berganti menatap muka saya dan Andi Kamarool. Dia bagaikan mahu membaca rahsia hati dari wajah kami.

Dia mahu memastikan apakah kami memang benar-benar mahu melakukannya atau sekadar cakap-cakap saja.

WAKTU

Sebagai orang Islam dan taat menjalankan sembahyang lima waktu, tentu saja saya tidak dapat menerima cerita yang diungkapkan oleh si mandur begitu saja.

Sebagai orang muda, saya mahu mencari buktinya. Bukan apa-apa sekadar mahu mencari kebenaran. Saya kira Andi Kamarool juga sependapat dengan saya.

"Terima kasih mandur," Andi Kamarool bersuara.

Telapak tangan mandur Batak yang beragama Kristian itu digenggamnya erat-erat.

"Cerita mandur boleh dijadikan panduan," kata saya.

"Aku juga fikir begitu, cuma kamu berdua mesti ingat...."

"Ingat apa mandur?" soal saya.

"Jangan cakap besar, jangan cepat marah dan jangan patah pokok bunga sesuka hati semasa kamu mencari benda ganjil."

"Kami tetap ingat pesan mandur tu," muka mandur saya renung.

"Aku harap kamu berdua berjaya."

"Terima kasih mandur," balas kami.

Beberapa saat kemudian, kami pun meninggalkan mandur Batak yang sedang bersenang-senang di bawah pokok.

Dia terus menyedut hujung paip bengkoknya. Bau asap dari paip mandur menguasai kawasan sekitar.

Kerana baru pukul sebelas pagi, rasanya tidak wajar pulang ke rumah papan. Saya tidak tahu apa rencana Andi Kamarool selanjutnya. Saya hanya mengikut saja langkahnya menuju ke rumah batu lama.

"Terlalu awal kita nak makan tengah hari, orang makan tengah hari pukul satu," teguran saya membuat Andi Kamarool berhenti melangkah.

"Aku juga fikir macam tu, habis apa yang kita buat Tamar."

"Begini Andi, kita cari Kak Sun."

"Untuk apa?"

"Dia mesti tahu banyak perkara yang orang lain tak tahu, kita risik rahsia darinya."

Andi Kamarool termenung sebentar. Dia kedutkan bibir sambil merenung ke langit. Melihat awan gemawan yang berarak ke selatan.

"Di mana kita nak cari dia Tamar?"

"Kita cari Samion dulu, tanya dia waktu begini, Kak Sun berada di mana."

"Aku setuju."

Kami pun segera menemui Samion dalam ladang getah. Kedatangan kami membuat buruh ladang itu termenung panjang dengan dahi yang berkerut.

Setelah diceritakan tujuan sebenar kami menemuinya, Samion menarik nafas lega.

Orang tua yang tidak banyak karenah itu menyuruh saya pergi ke bukit kecil, tidak jauh dari kawasan rumah batu lama.

Kata Samion waktu begini, biasanya Kak Sun berada di situ melihat atau menaruh baja ke bunga orkid yang ditempatkan di bangsal khas di situ.

Kami terus ke situ. Ternyata si buruh tua tidak berbohong. Kak Sun kami temui sewaktu dia memotong bunga orkid.

"Buat apa bunga tu kak," tanya saya.

Wajah Kak Sun berubah. Dia renung kami atas bawah, rangkaian bunga di tangan segera dimasukkan ke dalam raga rotan.

"Buat hiasan meja makan, bukankah tengah hari ni kamu berdua makan di rumah Mia."

"lya," balas saya.

"Apa ha!nya kamu ke mari?"

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Angin yang turun dari puncak bukit memberikan kesegaran. Beburung hutan terus berkicau.

Walaupun hari panas terik, tetapi bahangnya tidak terasa kerana di tempat kami berdiri dikelilingi pepokok besar yang merimbun. Memberikan suasana redup dan tenaga.

"Kami ni nak minta kakak tolong kami," dengan wajah yang bersahaja saya bayangkan hasrat hati.

"Tolong apa?" sambut Kak Sun dengan wajah cemas.

"Kak Sun dah lama bekerja di sini, tentu banyak perkara yang kak tahu. Terutama tentang kejadian pelik di kawasan rumah ni."

"Tak ada perkara pelik di sini," Kak Sun cuba berdalih.

Dia segera bergerak ke kiri, memaut ranting orkid yang berbunga lebat. Ranting itu dipatah dengan hati-hati, agar bunga tidak relai.

Macam tadi juga, ranting orkid yang berbunga lebat ditaruh dalam bakul.

BAYU

Dalam hembusan keramahan bayu pinggir bukit, saya dan Andi Kamarool terus rnengekorinya.

Sudah tentu perbuatan sedemikian minimbulkan rasa kurang senang pada Kak Sun. Tugasnya jadi terganggu tetapi, dia tiada daya untuk menghindarinya.

Buat beberapa ketika, tidak ada kata-kata yang terlontar dari mulut kami. Ke mana saja Kak Sun bergerak, kami terus mengikutinya.

"Kak Sun marah dengan kami?" Andi Kamarool cuba memancing.

"Tak marah, kenapa mesti marah."

"Kak Sun diam semacam aje," tingkah saya.

"Tak ada perkara yang nak dicakapkan, lagi pun yang nak bertanya, kamu berdua, bukannya kakak," dari kata dan nada suara ternyata Kak Sun sudah pun memberi laluan.

Saya dan Andi Kamarool segera berpandangan. Andi Kamarool genyitkan mata, beri isyarat supaya saya kemukakan pertanyaan.

"Begini Kak Sun, bukan apa-apa, sekadar nak tahu untuk pengetahuan kami. Lagi pun Mia sendiri suruh tanya Kak Sun. Katanya, Kak Sun banyak tahu hal-hal di sini," saya buka bicara dengan harapan apa yang saya dan Andi Kamarool inginkan akan terlaksana.

"Betul ke Mia kata macam tu?"

"Betul kak."

Terpamer perubahan di wajah Kak Sun.

"Betulkah Mia, kata macam tu?" ulang Kak Sun dengan sepasang mata yang bersinar.

"Betul kak, kami tak bohong," sahut saya dan Andi Kamarool serentak.

Dan saya lihat sengih Kak Sun makin melebar di bibir. Hati kami senang sekali dengan perubahan diri Kak Sun.

Mungkin kerana penat berdiri atau mahu bercerita lebih panjang dan selesa, Kak Sun mengajak kami ke bahagian belakang bangsal.

Di situ tersedia empat bangku batang getah yang tingginya kira-kira satu kaki lebih menghadap meja panjang yang dibuat dari buluh untuk kegunaan para pekerja meletakkan makanan (bekal). Kak Sun terus duduk disalah satu bangku tersebut.

"Duduklah, kenapa berdiri," kata Kak Sun.

Kami pun terus duduk. Pepohon besar yang menaungi kami memberikan rasa nyaman dan selesa. Kicau burung yang tidak menentu iramanya memberi sedikit hiburan.

Saya dan Andi Kamarool tidak menduga semudah itu Kak Sun mahu menceritakan pengalaman-pengalaman aneh yang dikutip selama dia berkhidmat dengan keluarga Mia.

Memang ternyata sekali, janda separuh umur yang manis, mudah senyum itu menempuh pengalaman yang cukup berbeza dengan Samion dan mandur batak.

"Arwah suami kakak dulu memang bekerja dengan ayah Mia. Jadi kerani menguruskan hal-hal jual beli kelapa, cengkih dengan orang luar yang selalu berulang ke Sungai Penuh - Medan - Belawan - Teluk Bayur.

"Arwah mentua lelaki kakak ada hubungan keluarga dengan ayah Mia. Mereka sama-sama Mendailing."

Senang sekali rasa hati, bila Kak Sun mahu mengungkapkan perkara tersebut.

Kak Sun yang berhenti bercakap termenung sejenak, hujung jarinya kelingkingnya menyentuh hujung bunga orkid yang terkeluar dari bakul atas meja buluh.

"Masa tu Kak Sun dah bekerja di sini?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terhenti.

"Tak bekerja, kak duduk di rumah. Bila suami kak mati baru kak minta kerja di sini."

Saya dan Andi Kamarool anggukkan kepala, kicau burung mula berkurangan dan tiupan bayu juga beransur lemah.

Tetapi, sinar matahari terus memancar keras, panasnya tidak terasa menyentuh tubuh kami yang bernaung di bawah rimbunan pokok besar.

"Masa kak kerja di sini, kak sempat jumpa dengan ayah Mia. Orangnya baik, jarang bercakap, kecuali hal-hal yang mustahak," sambung Kak Sun.

"Sempat jumpa ayah Mia?" celah Andi Kamarool.

Kak Sun angguk kepala, sinar matanya membayangkan kebanggaan. Saya menggigit bibir dengan harapan kisah yang dituturkan Kak Sun tidak akan mati di situ saja.

"Sebenarnya, kakak banyak bekerja dengan abang Mia. Ayah Mia jarang ada di rumah, terutama selepas bininya mati. Dia banyak keluar merantau ke Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan ke Filipina," tambah Kak Sun dengan sinar mata yang agak redup.

"Abang Mia yang baik hati dan bertimbang rasa itu memberitahu kak, bilik mana yang boleh dimasuki dan bilik mana yang jadi bilik larangan.

"Dulu kalau ada tetamu yang tidur di bahagian anjung rumah akan mengalami hal ganjil. Bila terjaga pagi, mereka mendapati diri mereka berada di tengah padang (halaman rumah).

"Anak saudara kakak cuba tidur di situ, dia dicampakkan ke dalam parit besar."

KECUT

Cerita yang dituturkan oleh Kak Sun membuat saya rasa cemas dan kecut perut. Saya Iihat kedua-dua belah kening Andi Kamarool nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia juga merasa takut dan cemas.

Hati saya mula berbelah bagi sama ada mahu meneruskan rancangan yang disusun atau membatalkannya saja. Andi Kamarool tentang biji mata Kak Sun.

"Ganjil," terpancut kata dari kelopak bibir Kak Sun.

"Macam ada penunggu pula Kak Sun," nada suara Andi Kamarool lemah sekali.

Mata saya liar merenung ke kiri dan ke kanan bangsal. Entah mengapa dengan tiba-liba saya terasa takut semacam, perasaan seperti bercelaru saja waktu tengah hari begini.

Bagi menghilangkan rasa cemas ilu, saya terus senyum kepada Kak Sun dan Andi Kamarool.

"Kenapa kamu macam takut saja?" Kak Sun dapat mengesan apa yang saya alami.

"Tak ada apa-apa, saya rasa sejuk waktu panas begini."

Kata-kata saya disambut dengan ketawa sinis. Saya semakin jadi serba salah. Senang rasa hati, bila mereka berhenti ketawa dan melahirkan senyum simpati untuk saya.

"Agaknya, kamu takutkan penjaga rumah?" usik Andi Kamarool.

"Penjaganya kadang-kadang nampak, kadang tidak, berbadan besar. Tinggi hitam macam orang dari Benua Afrika," secara sepontan Kak Sun bersuara.

Saya pun membeliakkan biji mata, lalu merenung ke kiri dan ke kanan bangsal.

"Kak pernah tengok?" soal Kamarool.

"Pernah."

"Apa kak tak cemas?"

"Kak tak apa-apa, tak takut juga tak rasa terganggu."

"Hai..." jerit Andi Kamrool.

Kak Sun tidak memperlihatkan apa-apa reaksi dari jeritan kecil Andi Kamarool itu. Dia nampak bersahaja, sesekali sepasang mata hitamnya ditumpukan ke puncak bukit.

"Masa mula bekerja dulu, kak disuruh oleh abang si Mia duduk di sebelah bilik rahsia. Lebih kurang seminggu menginap di situ.

"Pada suatu petang menjelang senja, tiba-tiba muncul orang hitam di pintu bilik dengan wajah yang masam," Kak Sun tidak meneruskan cerita, dia kedutkan kening macam mengingati sesuatu.

"Apa yang kak buat?" tanya saya.

"Kak kata begini: Anak tuan rumah suruh duduk di sini. Maafkan aku kerana lambat memberitahu kamu. Selesai saja kakak cakap macam tu, orang hitam itu tersenyum dan terus hilang."

Makin lama, makin seram rasanya cerita-cerita yang diungkapkan oleh Kak Sun tetapi, menyeronokkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 174/284

BACA: SBDJ Siri 173: Samion Bongkar Rahsia
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 15, 2020

Semakan Bantuan Tunai Prihatin (RM300) COVID-19 Negeri Sabah

Semakan Bantuan Tunai Prihatin (RM300) COVID-19 Negeri Sabah

Rakyat Sabah adalah dipelawa untuk menyemak status pembayaran bagi pemberian Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah susulan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Sabah Prihatin

Pemberian Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 ini adalah bantuan tambahan yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Sabah pada 28 Oktober 2020 lalu yang mana penerima layak akan menerima bantuan berjumlah RM300 seorang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, bantuan ini akan memberikan manfaat kepada golongan sasar yang terlibat dalam sektor pertanian, pelancongan, pengangkutan, anak yatim, ibu tunggal dan OKU.

TIDAK PERLU MEMOHON

Bantuan ini tidak melibatkan permohonan baharu kerana data penerima diambil daripada pelbagai kementerian seperti Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan lain-lain agensi.

Oleh kerana itu, para pemohon hanya perlu menyemak status mereka sama ada LAYAK menerima Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 atau TIDAK.

Bantuan COVID-19 Sabah

Bantuan Prihatin COVID-19 adalah sebahagian daripada Bantuan COVID-19 Sabah yang diumumkan oleh Ketua Menteri dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM160 juta.

Selain Bantuan Tunai Prihatin COVID-19, kerajaan negeri turut mengagihkan Bantuan Bakul Makanan berjumlah RM34.86 juta melibatkan 169,345 penerima.

Disamping itu, Kerajaan Negeri Sabah juga memberikan bantuan lain seperti pengecualian sewa gerai penjaja dan pengecualian sewa Projek Perumahan Rakyat bermula tiga bulan bermula bulan Oktober hingga Disember 2020.

Semakan Bantuan Tunai Prihatin

Semakan bagi Bantuan Tunai Prihatin COVID-19 ini boleh dibuat melalui langkah-langkah mudah berikut:
Status Keputusan

Penerima yang layak menerima Bantuan Tunai Prihatin ini akan menerima dua bentuk paparan keputusan, sama ada mereka perlu mengambil wang di bank atau wang tersebut terus dikreditkan ke dalam akaun bank.

Contoh paparan bagi penerima yang layak adalah seperti di bawah:
  • Penerima Bantuan PRIHATIN COVID-19:
    • [RM300] Sila tuntut di cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran anda, mulai 23 Nov 2020 (Isnin); atau
    • Pembayaran telah dikreditkan: (SUCCESS 'Tarikh dikreditkan')

  • Namun, pemohon yang tidak layak akan menerima paparan berikut:
    • Pemohon bukan berdaftar dengan Jabatan/Agensi di bawah MAFI; atau
    • Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan DITOLAK: Bukan klien Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
    • Permohonan tidak lulus (JHEWA).
    • Tiada rekod permohonan.
Pertanyaan Lanjut

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai bantuan ini, sila hubungi Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah di talian 088-223 536 etx. 236 (Roshidi)/ 236 (Norsafi)/ 250 (Sukari).

Segala pertanyaan berkenaan dengan Bantuan COVID-19 boleh diajukan melalui laman Facebook Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: SO

Monday, December 14, 2020

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

4 Jenis Kayu Paling Mahal Di Dunia

Kayu memiliki banyak manfaat serta kegunaan dalam kehidupan manusia dan sudah tidak terhitung berapa banyak jumlah rumah, kegunaan dalam pembinaan dan barangan yang telah dihasilkan dari pohon kayu.

Tidak hairanlah jika kayu adalah komoditi utama dalam dunia industri dan perdagangan di seluruh dunia.

Dari ribuan jenis kayu, berikut adalah 4 jenis kayu paling mahal yang ada di dunia.

1. African Blackwood

Kayu Termahal

Kayu ini juga di kenali sebagai tanaman berbunga dalam keluarga Fabaseae dan boleh di temui di daerah kering Afrika.

Harga kayu ini sangat mahal yang mampu mencecah harga USD$13,000 satu kubik meter.

2. Kayu Ebony (Eboni)

Kayu Termahal

Kayu yang memiliki warna hitam pekat ini termasuk salah satu kayu termahal di dunia.

Pohon ebony dapat tumbuh sehingga 40 meter tinggi dan memiliki kepadatan yang tinggi sehinggakan apabila diletakkan didalam air, ia akan tenggelam.

Kayu ebony mempunyai tekstur yang baik dan banyak digunakan sebagai perabot dengan kualiti premium.

Kerana mengandungi banyak minyak di dalamnya, ebony memiliki daya tahan yang hebat.

Selain itu, kayu ini banyak digunakan sebagai bahan untuk pembuatan alat-alat muzik seperti biola, piano dan gitar.

Di pasaran antarabangsa, harga kayu ebony mampu mencapai harga USD$13,000 satu kubik meter.

3. Kayu Gaharu/Agarwood

Kayu Termahal

Punca utama pokok gaharu amat bernilai tinggi adalah kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan produk kesukaan ramai iaitu minyak wangi.

Selain itu, ia juga boleh menghasilkan pelbagai haruman yang sentiasa mempunyai permintaan tinggi sejak zaman berzaman.

Pada masa yang sama, daun pokok gaharu boleh dijadikan produk teh hijau yang menjadi kegemaran ramai kerana mempunyai aroma yang menyegarkan selain khasiatnya untuk kesihatan.

Harga kayu gaharu yang berkualiti dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$10,000 sekilogram.

4. Sandalwood/Cendana

Kayu Termahal

Sejak ratusan tahun lalu, cendana sudah dikenali sebagai tanaman berharga, kerana aroma atau baunya yang khas dan wangi, membuatkannya begitu diminati.

Wangian cendana itu menarik perhatian pedagang Cina pada 610-906 masehi untuk membeli cendana, juga para pedagang dari India, sebelum masuknya pedagang Eropah pada sekitar abad ke-15.

Harga kayu Cendana dipasaran antarabangsa mampu mencecah harga USD$20,000 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, December 10, 2020

'RH Null' Jenis Darah Istimewa Yang Sangat Jarang Ditemui

'RH Null' Jenis Darah Istimewa Yang Sangat Jarang Ditemui

Doktor beliau memilih untuk memandu sendiri beliau ke Perancis kerana jika darahnya diambil di Switzerland, banyak kerenah proses dan rekod yang perlu ditempuhi sebelum dapat diterbangkan ke Perancis.

RH Null

Jururawat yang ditugaskan mengambil darah juga menyedari lelaki yang sedang diambil darahnya itu, mempunyai darah yang istimewa.

Hanya selepas meneliti label pada bungkusan darah itu, jururawat tersebut sedar sesuatu yang sangat unik, berdasarkan label yang ada, lelaki itu sepatutnya sudah lama meninggal dunia.

Bagaimanapun, lelaki yang hanya dikenali sebagai Thomas berikutan identitinya terpaksa dirahsiakan tetap tersenyum, sihat walafiat.

Tidak ramai yang tahu darah yang mengalir dalam badannya sangat unik dan dalam tempoh 50 tahun, hanya 40 orang sahaja diketahui mempunyai darah yang sama seperti Thomas.

Penemuan mengejutkan 40 tahun lalu

Kita semua tahu berikutan teknologi perubatan yang begitu tinggi, darah memerlukan bekalan yang lebih banyak setiap hari.

Malangnya, setiap daripada kita mempunyai jenis darah yang berbeza-beza.

Bagaimanapun, bagi setiap jenis darah yang ada wujud satu persamaan pada setiap jenis, dalam setiap sel darah merah kita, ada 342 antigen, sejenis molekul yang berupaya menggalakkan penghasilan protein antibodi.

Jenis antigen yang ada dalam darah kita juga menentukan jenis darah setiap individu.

Ada 160 jenis antigen daripada 342 yang biasanya ditemui pada setiap orang, dengan selebihnya mempunyai perbezaan-perbezaan tertentu dan kandungan antigen dalam darah kita menentukan tahap keunikan darah kita.

35 kumpulan darah yang telah dikenali menggunakan maklumat daripada antigen bagi menentukan kelas darah setiap individu.

Sekiranya seorang itu mempunyai darah normal, majoriti daripada 342 antigen yang ada pasti akan merujuk kepada salah satu kelas darah.

40 tahun sebelum ini, Thomas ketika berusia 10 tahun telah ke Hospital Universiti Geneva untuk pemeriksaan rutin.

Dalam ujian darah yang dijalankan ke atas beliau, doktor mendapati ada sesuatu yang amat ganjil pada kandungan darahnya, dia langsung tidak mempunyai antigen dalam darahnya, menyebabkan tubuhnya tidak mampu menghasilkan antibodi.

Yang menghairankan penyelidik, dia tidak menunjukkan sebarang tanda sakit.

Setelah sampel darah Thomas dihantar ke makmal di Geneva, Amsterdam dan Paris, Thomas menjadi antara individu unik yang mempunyai kumpulan darah Rh Null, darah yang langsung tidak mempunyai antigen serta tidak boleh diklasifikasikan.

Sejarah darah Rh Null

Darah seumpama ini buat pertama kali ditemui pada tahun 1961 pada seorang wanita orang asal Australia.

Sebelum penemuan beliau, penyelidik membuat kesimpulan mustahil untuk mana-mana janin yang mempunyai darah Rh Null membesar dengan sihat, berikutan ketiadaan fungsi penting dalam badan.

Bagaimanapun, selepas penemuan pertama sehinggalah kepada kemunculan Thomas, setakat ini telah berjaya direkodkan hampir 43 orang mempunyai darah serupa dan hanya 10 orang saja bertindak sebagai penderma aktif.

Apa yang membezakan individu seperti Thomas dengan kita?

Darah mereka memberikan risiko yang sangat besar pada pemiliknya, namun mempunyai kemampuan menyelamatkan jutaan nyawa orang lain.

Ini kerana darah daripada kategori unik Rh Null ini dapat diterima oleh sesiapa saja kerana darah ini merupakan darah paling universal di antara semua jenis kategori darah.

Setiap penerima darah perlu menerima darah yang tidak mengandungi antigen yang berlawanan dengan darah asalnya dan proses memadankan darah penderma dengan pesakit perlu dilakukan dengan berhati-hati, takut berlaku proses penolakan darah selepas transfusi dilakukan.

Darah Rh Null membuang semua risiko itu kerana kelebihannya yang bersifat neutral, tidak mempunyai sebarang antigen yang dapat meningkatkan risiko penolakan pada penerimanya.

Darah universal penyelamat nyawa

Thomas sedar keunikan yang ada pada darahnya mampu menyelamatkan nyawa sesiapa saja, namun malang bagi dirinya sendiri, sekiranya sesuatu yang buruk berlaku, dia hanya boleh menerima darah jenis Rh Null sahaja.

Individu Rh Null yang sudi menderma pula berada jauh. Ada di Brazil, Jepun, China, Amerika Syarikat dan Ireland. Ini memberikan impak pada hidup Thomas.

Sejak muda dia dilarang daripada menjadi terlalu berani, bagi mengelakkan kemalangan.

Dia memandu dengan cermat, hanya berani melawat negara yang ada kelengkapan hospital moden dan kad pengesahan status darahnya disimpan dalam beg, andaikata diperlukan.

Thomas mula menderma secara suka rela sejak mencecah 18 tahun, usia beliau dibenarkan menjadi penderma darah.

Semua darah yang didermakan Thomas disimpan di bank darah khas yang terletak di Paris dan Amsterdam.

Berikutan sakit anaemia yang dihadapinya, dia dinasihatkan menghadkan proses menderma darah hanya dua kali setahun, berbanding empat kali, menggunakan wang sakunya sendiri untuk kos perjalanan berulang-alik.

Walaupun perlu menghindari aktiviti berisiko, Thomas bagaimanapun bersyukur dirinya berbeza dengan orang lain.

Selepas diarahkan melaporkan diri bertugas dalam tentera beberapa puluh tahun dahulu, doktor yang menemui kondisinya menulis surat kepada pihak tentera, memaklumkan keadaan sebenar Thomas yang unik.

Dengan surat itu, Thomas dikecualikan daripada melaporkan diri, sesuatu yang perlu bagi melindungi Thomas yang mampu menyelamatkan lebih ramai nyawa seorang diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Dengan ledakan komunikasi secara digital di Malaysia yang sudah berusia lebih 20 tahun, menjadi suatu yang janggal apabila ada yang ketinggalan dan masih tidak mampu untuk berada dalam era yang sama.

Internet Di Malaysia

Ditambah dengan keadaan kita berada dalam pandemik Covid-19 ini, memaksa kita mengoptimumkan penggunaan peranti digital.

Malangnya, menjadi ketidakpuasan hati apabila timbul isu-isu berkaitan akses digital kepada pendidikan kerana umum maklum dengan keadaan kini, semua pelajar sekolah mahupun mahasiswa di universiti terpaksa menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Namun, dengan contoh kisah Veveonah Mosibin, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan akses internet di kawasan rumahnya, Pitas, Sabah, sudah cukup membuktikan masih ramai lagi yang tidak mampu menjalani norma baharu ini.

Dengan penutupan sekolah sehingga Januari tahun 2020, pelajar sekolah terpaksa meneruskan pembelajaran melalui dalam talian.

Bagaimanapun, kajian KPM telah menyatakan bahawa 1.7 juta pelajar tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer yang membolehkan mereka belajar secara maya.

Manakala lebih daripada 52% pelajar di negeri Sabah tidak mempunyai kemudahan akses ini.

Sedang kita berlumba ke arah era pendigitalan secara total, masih ramai yang belum mampu berada dalam perlumbaan sebenar.

Isu terbesar kepada akses ini ialah soal kemiskinan sebenar yang dialami sehingga tidak mampu mempunyai peranti digital yang bersesuaian.

Jangan dilupakan juga soal infrastruktur menjadi persoalan terbesar walaupun saban tahun belanjawan negara akan membawa agenda digital dan infrastruktur.

Kerajaan selalu berbangga dengan infrastruktur yang kononnya bertaraf dunia, walhal hasilnya hanya di nikmati oleh sebilangan pihak sahaja.

Paling kasihan sudah tentunya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang jelas ketinggalan 20 tahun di belakang.

Era digital perlu keluar daripada bendung mimpi dan diubah realitinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

3 Manfaat Minyak Zaitun Untuk Kulit, Rambut Dan Kesihatan

3 Manfaat Minyak Zaitun Untuk Kulit, Rambut Dan Kesihatan

Minyak Zaitun sememangnya telah diakui mengandungi pelbagai khasiat dan manfaat yang dapat membantu mencegah beberapa jenis penyakit, juga dijadikan ramuan utama menghasilkan produk berasaskan kecantikan dan dandanan diri.

Minyak Zaitun

Walau bagaimanapun, minyak zaitun tidak boleh menggantikan rawatan konvensional seperti ubat-ubatan yang dibekalkan doktor untuk merawat penyakit berkaitan gangguan sistem kardiovaskular.

FAKTA NUTRISI MINYAK ZAITUN

Satu sudu makan Minyak Zaitun mengandungi:
  • 119 kalori.
  • 13.5 gram lemak (9.8 darinya ialah lemak mono tak tepu).
  • Tiada langsung gula, karbohidrat atau protein.
  • 1 miligram vitamin K.
  • 9 miligram vitamin E.

Terdapat pelbagai khasiat minyak Zaitun dari tiga aspek utama iaitu khasiat untuk Kulit, Rambut dan Kesihatan.

KEBAIKAN UNTUK KULIT

Melembapkan kulit

Minyak Zaitun mengandungi sejumlah besar vitamin E, antioksidan yang melindungi kulit daripada pelbagai faktor luaran seperti sinaran matahari atau angin yang kuat.

Tekstur minyak zaitun yang ringan menjadikannya pelembap sempurna yang tidak melekit dan tahan lama serta sesuai dengan semua jenis kulit.

Memperbaiki kesihatan kulit

Minyak zaitun mengandungi vitamin E, yang dapat meningkatkan kesihatan kulit dengan merawat keradangan, jerawat dan melindungi kulit dari penyakit yang serius seperti psoriasis dan kanser kulit.

Membantu membuang mekap di muka

Minyak zaitun dara adalah alternatif pembuang mekap yang mudah dan murah berbanding jenama lain yang berada di pasaran.

Minyak Zaitun bertindak dengan baik tanpa merosakkan kulit anda.

Mempunyai elemen antipenuaan

Apabila umur semakin meningkat, kulit akan mula mengendur dan kedutan akan terbentuk, tetapi boleh dikurangkan dengan menggunakan minyak zaitun.

Sebagai skrub bibir

Minyak zaitun boleh membuatkan bibir anda nampak lembut dan cantik dengan mencampurkan beberapa titis minyak zaitun bersama gula perang yang telah dihancurkan dan sedikit jus lemon, kemudian sapukan campuran ini di permukaan bibir.

Menyembuhkan kulit tumit yang merekah

Gosokkan tumit anda dengan menggunakan air lemon yang panas dan sapukan sekali minyak zaitun pada tumit untuk menambahkan kelembapan dan kelembutan.

Anda boleh memakai stokin untuk kelegaan yang lebih cepat.

KEBAIKAN UNTUK RAMBUT

Memastikan rambut kekal sihat

Minyak zaitun, bersama dengan kombinasi beberapa bahan yang lain seperti madu dan kuning telur, boleh bertindak dengan baik untuk mengekalkan kesihatan rambut.

Minyak zaitun kaya dengan vitamin E yang membantu melawan rambut gugur, manakala madu boleh memberikan kelembapan terhadap rambut.

Minyak Zaitun juga mengandungi nutrien yang lain seperti magnesium, zink, sulfur, kalsium, dan vitamin B yang membantu pertumbuhan rambut.

Kuning telur kaya dengan protein, nutrien yang membentuk elemen pada rambut.

Boleh digunakan sebagai rawatan pra-syampu

Urutan minyak zaitun sebelum syampu membantu memberikan kilauan dan kekuatan kepada rambut anda.

KEBAIKAN UNTUK KESIHATAN

Memperbaiki kesihatan kuku

Vitamin E dalam minyak zaitun boleh meningkatkan penampilan kuku yang terjejas oleh penyakit.

Membantu mencegah kanser payudara

Dalam kajian Arab Saudi, didapati bahawa oleuropein, sebatian semula jadi yang terdapat pada daun zaitun, mempunyai potensi sebagai antikanser payudara.

Di dalam percubaan klinikal lain yang dijalankan di Sepanyol, didapati bahawa wanita yang mengamalkan diet mengandungi minyak zaitun, 62 peratus daripada mereka kurang berkemungkinan menghidap kanser payudara.

Membantu mencegah diabetes

Menurut Harvard School of Public Health, diet yang kaya dengan lemak mono dan 'polyunsaturated', seperti yang terkandung dalam minyak zaitun, dapat membantu mencegah diabetes.

Dalam kajian lain yang diterbitkan oleh The American Journal of Clinical Nutrition, penggunaan minyak zaitun dikaitkan dengan berkurangnya risiko diabetes di kalangan wanita.

Mengelakkan daripada penyakit Alzheimer

Menurut Scientific American, oleocanthal dalam minyak zaitun dapat membantu mencegah penyakit Alzheimer.

Kajian Persatuan Kimia Amerika juga turut menjumpai penemuan yang serupa, yang mana minyak zaitun 'extra virgin' didapati dapat meningkatkan pembelajaran dan memori pada tikus, menyokong kemungkinan replikasinya pada manusia yang menderita penyakit Alzheimer.

Menguatkan tulang

Dalam kajian yang melibatkan lelaki yang mengamalkan diet Mediterranean, didapati minyak zaitun mungkin menyumbang kepada tulang yang kuat.

Darah mereka didapati mengandungi tahap osteocalcin yang lebih tinggi, yang merupakan petanda bagi pembentukan tulang yang sihat.

Merawat kemurungan

Minyak zaitun boleh meningkatkan tahap serotonin, bahan kimia dalam otak, serupa dengan kesan beberapa antidepresi.

Membantu kurangkan berat badan

Satu kajian yang diterbitkan di Harvard School of Public Health telah menyokong keberkesanan minyak zaitun dalam membantu penurunan berat badan.

Kehilangan berat badan yang berlaku disebabkan oleh dua jenis diet yang berbeza (diet Mediterranean berlemak sederhana yang mengandungi minyak zaitun dan diet rendah lemak) dibandingkan.

Menjelang akhir kajian, hanya 20 peratus daripada sukarelawan dalam kumpulan rendah lemak yang masih mengikut diet.

Membantu mengawal kolesterol dalam badan

Minyak zaitun mengandungi tahap lemak tepu dan lemak tak tepu yang minima, membolehkan ia mengawal paras kolesterol dalam darah pada badan.

Minyak zaitun mengandungi tahap tertinggi bagi lemak 'monounsaturated' sekitar 75-80 peratus, yang membantu membentuk kolesterol baik dan HDL dalam badan.

Melegakan sembelit

Minyak zaitun kaya dengan lemak 'monounsaturated', membantu dalam meningkatkan mobiliti supaya makanan dapat bergerak dengan lancar melalui usus besar tanpa sebarang masalah.

Minyak Zaitun juga membantu dalam mempercepatkan pergerakan usus dan menghalang sembelit.

Membantu menghapuskan batu karang pada buah pinggang

Penggunaan minyak zaitun juga dapat membantu melarutkan batu karang pada buah pinggang.

Membantu mencairkan tahi telinga

Minyak Zaitun juga dapat membantu melembutkan tahi telinga, menjadikannya lebih mudah bagi anda untuk mengeluarkan tahi telinga.

Sebaik sahaja ia telah disapu secukupnya, tahi telinga akan pecah menjadi kepingan yang lebih kecil, dan mula bergerak keluar di saluran telinga, di mana ia boleh dibersihkan dengan kain lembut atau tisu.

CARA PENGAMBILAN MINYAK ZAITUN

Caranya:
  • Minum satu sudu pagi dan satu sudu petang atau malam (boleh minum air selepasnya).
  • Letak sebagai dressing dalam salad atau ulam.
  • Renjis sedikit pada masakan seperti lauk, sayur-sayuran, telur dadar dan telur hancur.
  • Gunakan ketika memasak pada suhu rendah untuk menggoreng telur mahupun merenih sayur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: DOC