Saturday, April 20, 2019

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Resepi masakan Rendang merupakan hidangan tradisi Raya bagi kebanyakan orang Melayu di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia yang sering di hidangkan terutamanya ketika menyambut hari raya kerana seakan tidak lengkap suasana meriah tanpa hidangan yang lazat dan menyelerakan ini.

Asal-usul Rendang

Rendang merupakan masakan daging yang disediakan dengan santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik.

Rendang sesuai dihidangkan sebagai lauk, yang mana ia dimakan dengan lemang, nasi, pulut kuning atau pulut kunyit, ketupat palas atau ketupat pulut, ketupat nasi, roti atau diratah makan begitu saja.

Kebanyakan bahagian daging lembu yang digunakan untuk membuat rendang ialah daging batang pinang kerana rasa dagingnya yang lembut dan sedap.

Selain dijadikan hidangan pada hari perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, rendang juga disajikan pada majlis kenduri-kenduri seperti tamat berzanji, majlis perkahwinan, majlis berkatan atau bersunat, kenduri doa selamat, kenduri hari jadi dan sebagainya.

Rendang yang dimasak boleh dinikmati bersama pelbagai jenis hidangan karbohidrat seperti nasi himpit, ketupat, nasi putih dan pulut.

Rendang di Malaysia boleh dimasak dengan pelbagai jenis bahan utama seperti daging, ayam, itik dan puyuh serta terdapat juga rendang yang dimasak menggunakan organ dalaman haiwan seperti paru, hati dan limpa.

Sajian ini boleh dimasak menurut pelbagai cara sama ada secara kering ataupun basah.

Asal-Usul Rendang di Malaysia

Makanan yang mempunyai aroma yang menyelerakan ini dikatakan asalnya disediakan oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Indonesia.

Di Malaysia, terdapat populasi Minangkabau yang besar di Negeri Sembilan dan disebabkan budaya Minangkabau dibawa dan diadaptasi menurut cara masyarakat setempat, budaya dan masakan masyarakat Malaysia juga sedikit sebanyak dipengaruhi.

Di Malaysia, setiap daerah mempunyai hidangan rendang tersendiri dan disebabkan itu, resepi rendang telah dipelbagaikan supaya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai contoh, antara jenis-jenis rendang yang terkenal di setiap pelosok negara ialah:
  • Rendang Ayam Lengkuas Sabah.
  • Rendang Daging Tok di Perak.
  • Rendang Hati Johor.
  • Rendang Ayam Nogori.
  • Rendang Minang Negeri Sembilan.
  • Rendang Daging Hitam Sarawak.

Rendang Sebagai Penyatuan Keluarga dan Komuniti

Masakan rendang yang datangnya dari negara jiran ini jika dimasak untuk kenduri yang akan dihadiri oleh sejumlah tetamu yang ramai, aktiviti gotong royong akan diadakan oleh jiran tetangga yang terdekat.

Gotong royong terjadi apabila jiran tetangga berkumpul di rumah yang mengadakan kenduri dan membawa bahan-bahan asas yang diperlukan untuk memasak hidangan ini.

Selain hidangan rendang, hidangan lain yang disediakan untuk kenduri tersebut juga dimasak secara bergotong-royong seperti nasi minyak dan ayam masak merah.

Semua jenis hidangan rendang boleh disimpan untuk jangka masa yang lama dan ia tidak mudah basi.

Ini kerana kadar air yang terkandung di dalam rendang yang kering atau basah (rendang berkuah) adalah punca rendang boleh disimpan di dalam peti sejuk dalam masa yang lama.

Selain itu, penggunaan rempah yang berlebihan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan rendang tidak mudah basi.

Kaedah Masakan Turun-Temurun

Rempah ratus yang dicampur bersama bahan lain untuk menghasilkan rendang juga berfungsi sebagai antimikroba dan antioksida yang melindungi kita daripada penyakit berbahaya.

Masakan rendang boleh bertahan sehingga 3 bulan tanpa merubah rasa asal serta aroma hidangan dan walaupun disimpan lama, rasa hidangan tersebut akan menjadi semakin enak.

Hidangan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia ini sebenarnya dimasak untuk jangka masa yang lama oleh generasi terdahulu dan cara masakan tersebut masih diamalkan oleh penduduk-penduduk di kampung.

Rendang dimasak lama kerana mahu daging yang dimasak dalam rencah rendang menyerap segala rasa rempah yang dimasukkan disamping memastikan daging dimasak sehingga empuk dan kering.

Semakin lama dimasak, semakin enak rasa rendang tersebut dan lebih lama rendang itu dapat disimpan.

Jadi, bersiap-sedialah untuk mencuba (bagi sesiapa yang tidak mencuba) dan menyediakan masakan ini pada Aidilfitri dan Aidiladha yang akan menjelang tiba.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: butterkicap

Payudara Wanita Tidak Berhenti Membesar Akibat Penyakit Pelik!

Payudara Wanita Tidak Berhenti Membesar Akibat Penyakit Pelik!

Seorang wanita dari bandar Bolton, England tidak berani keluar rumah disebabkan sejenis penyakit dikenali sebagai makromastia yang menyebabkan payudaranya terus membesar dan kini mencapai saiz 48 J, lapor akhbar Daily Mail.

Payudara Fiona Hornby
Fiona Hornby.

Payudara Fiona Hornby, 25, mula membentuk dengan pantas sejak dia berusia 10 tahun menyebabkan saiz baju dalam berubah daripada ukuran C kepada J dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya sudah tidak dapat mencari baju yang muat dengan saiz dada saya sekarang. Saya mengalami sakit belakang yang teruk dan tidak boleh tidur dengan selesa malah terpaksa berhenti mandi separuh jalan kerana berasa sakit dengan beratnya,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu kini bimbang untuk menyusu badan kerana khuatir bayinya mungkin lemas ditindih.

Dia disahkan menghidap mikromastia pada tahun 2015 dan kini sudah tidak aktif bersenam seperti ketika remaja dan awal usia 20-an kerana berasa sakit jika berdiri dan berjalan terlalu lama.

Hornby juga sedang mengumpulkan derma sebanyak £5,500 (RM30,000) melalui laman web GoFundMe untuk menjalani pembedahan mengecilkan payudara kerana perkhidmatan kesihatan awam Britain tidak membiayai prosedur tersebut manakala gajinya sebagai kerani tidak mencukupi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Kod 'E' Pada Label Makanan Adalah Produk Khinzir?

Kod 'E' Pada Label Makanan Adalah Produk Khinzir?

Kod E yang digunakan pada label makanan oleh negara Kesatuan Eropah adalah merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan dan lazimnya dikaitkan mengandungi bahan bersumberkan babi atau khinzir.

Istilah produk babi

Namun, tidak semua produk makanan yang tertera kod ‘E’ adalah haram, kata Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Katanya, kod E tersebut diguna pakai bagi menerangkan mengenai bahan tambah (aditif) dalam sesuatu produk makanan.

Tidak semua produk yang tertera kod E haram kerana ada bahan tambah daripada sumber halal justeru, pengguna khususnya umat Islam tidak perlu bimbang.

Dr Sirajuddin berkata, Jakim mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi untuk mengeluarkan pensijilan halal kod-kod makanan.

Sikap rakyat Malaysia yang begitu mudah melatah dan cepat menghukum sesuatu produk apabila sahaja terdapat kod E sebagai tidak halal seperti kod E110 berkaitan warna bahan yang digunakan.

Semak dulu kesahihannya di laman web http://www.halal.gov.my sebelum menghukum.

Di sini, kita boleh tahu produk itu halal atau tidak. Pengguna harus bijak membuat penilaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama

Sejarah Kapal Kontena Sebagai Pengangkutan Penting Di Laut

Sejarah Kapal Kontena Sebagai Pengangkutan Penting Di Laut

Kapal kontena adalah kapal dagang atau kapal kargo yang boleh dimuatkan dengan kontena dalam teknik yang dikenali sebagai pengkontenaan dan merupakan salah satu alat penting dalam pengangkutan di laut.

Sejarah Kapal Kontena Di Dunia
CMA CGM Antoine de Saint Exupery.

Kapal kontena direka bentuk dengan tujuan untuk memaksimumkan penggunaan ruang bagi menjimatkan kos penghantaran kontena.

Sejarah

Kapal kontena terawal ialah kapal tangki yang diubahsuai, dibina dari lebihan kapal tangki T2 selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1951, kapal pertama khusus untuk kontena mula beroperasi di Denmark dan antara Seattle dan Alaska.

Kapal khusus untuk kontena yang pertama di Amerika Syarikat ialah Ideal-X, sebuah kapal tangki T2, milik Malcom McLean, yang membawa 58 kontena besi antara Newark, New Jersey dan Houston, Texas dalam pelayaran pertamanya pada bulan April 1956.

Hari ini, lebih kurang 90% kargo bukan pukal di dunia diangkut menggunakan kontena dan kapal kontena moden mampu membawa sehingga 15,000 TEU.

Dari segi kelas, kapal kontena sekarang menyaingi kapal tangki minyak dan kapal kargo pukal sebagai kapal komersil terbesar di lautan.

Pembinaan

Kapa kontena direka bentuk dengan tujuan untuk memaksimumkan penggunaan ruang. Kapasitinya diukur dalam unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), iaitu unit piawai kontena berdimensi 20 × 8.0 × 8.5 kaki (6.1 × 2.4 × 2.6 meter) (panjang × lebar × tinggi).

Untuk kontena 40 kaki (12 meter), unit persamaan yang digunakan ialah 2 TEU atau 1 FEU (unit bersamaan empat puluh kaki).

Kapal kontena yang besar tidak membawa alat-alat pengendalian kontena sendiri, jadi pemunggahan dan pemuatan cuma boleh dibuat di pelabuhan yang dilengkapi kren.

Bagaimanapun, kapal yang lebih kecil sehingga 2900 TEU selalunya dilengkapi dengan krennya sendiri.

Sering digelar "bot kotak" (box boats), kapal kontena mengangkut majoriti kargo kering (dry cargo) atau barangan kilang di dunia manakala kargo seperti besi, arang batu atau gandum diangkut oleh kapal kargo pukal.

Terdapat banyak kapal-kapal besar yang melayari laluan perdagangan laut yang dimiliki oleh syarikat perkapalan utama, dan terdapat juga kapal-kapal yang dikenali sebagai "kapal penghantar" (feeder ship) yang lebih kecil digunakan untuk menghantar kontena kepada kapal-kapal besar melalui hab pemindahan di pelabuhan.

Kebanyakan kapal kontena dikuasakan oleh enjin diesel dan mempunyai anak kapal antara 20 dan 40 orang, yang biasanya mempunyai blok kediaman yang besar di bahagian belakang berhampiran bilik enjin.

Kapal Kontena Terbesar

Pada masa kini, CMA CGM Antoine de Saint Exupery, adalah kapal kontena terbesar dunia dan pernah berlabuh di Malaysia pada tahun 2018 yang lalu.

Kapal kontena yang lebih panjang daripada empat padang bola dan lebih panjang daripada Menara Eiffel itu memilih pelabuhan Westports di Pelabuhan Klang sebagai destinasi persinggahannya di Asia Tenggara sempena pelayaran sulungnya.

Kapal kontena yang berkeupayaan mengangkut 20,600 TEU, iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki, itu adalah kapal terbaharu milik syarikat perkapalan Perancis CMA CGM.

Senarai limbungan

Kapal-kapal kontena besar yang melebihi 7000 TEU telah dibina di limbungan-limbungan berikut.
  • Odense Steel Shipyard, Denmark.
  • Hyundai Heavy Industries, South Korea.
  • Samsung Heavy Industries, South Korea.
  • Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co., Ltd, South Korea.
  • IHI, Kure, Japan.
  • Mitsubishi Heavy Industries, Nagasaki, Japan.
  • Hudong-Zhonghua Shipbuilding, Shanghai, China.

Risiko

Transit tanpa henti kontena di seluruh dunia membawa bersamanya risiko yang sangat besar.

Antara risikonya ialah berkaitan pemuatan dan pemunggahan kontena, samada ia memberi kesan kepada kargo itu ataupun kapal itu sendiri.

Oleh kerana sifatnya yang kurang menonjol dan jumlahnya yang besar dikendalikan di pelabuhan utama, kontena memerlukan organisasi yang kompleks bagi memastikan ia tidak hilang, dicuri atau dihantar ke destinasi yang salah.

Selain itu, kontena dan kargo yang dibawanya memberi beban berat yang besar kepada sesebuah kapal kontena, jadi proses memuat dan memunggah perlu dilakukan dengan mengambil kira keseimbangan kapal kerana ia memberi kesan langsung kepada pusat berat kapal tersebut.

Pengemudian di pesisir pantai dan pelabuhan juga mengundang bahaya kepada anjungan kapal seperti apa yang berlaku kepada sebuah kapal kontena yang melanggar jambatan teluk Oakland, San Francisco pada 7 November, 2007.

Dianggarkan terdapat 10,000 kontena hilang dari atas kapal di laut setiap tahun.

Kebanyakan kes hilang berlaku akibat ribut dan arus yang kuat tetapi terdapat juga kes seluruh kapal hilang bersama muatannya di lautan.

Kontena yang jatuh ke laut menjadi ancaman kepada alam sekitar, diistilahkan sebagai sampah marin'.

Perisian muatan moden seperti modul

BELCO, SEALASH dan DAGO, membantu mengurangkan risiko yang disebabkan oleh atur muat kontena yang tidak betul.

Spesifikasi

Kargo yang terlalu besar untuk kontena biasa boleh dibawa di atas kontena rak rata, kontena buka atas dan kontena pelantar.

Terdapat juga kapal yang dikenali sebagai roll-on/roll-off (RORO), yang menggunakan sistem tanjakan untuk memuat dan memunggah, untuk membawa kargo pukal seperti kereta dan mesin berat.

Masa depan

Kapal kontena dibina dengan saiz yang lebih besar untuk mengurangkan kos dan salah satu kelas saiz kapal ialah piawai 'Suezmax', merujuk kepada saiz kapal terbesar yang boleh melalui terusan Suez dan mampu membawa muatan sehingga 14,000 TEU.

Kapal sebegini mempunyai berat mati sehingga 137,000 metrik tan, 400 meter panjang, lebih daripada 50 meter lebar, mempunyai drauf menghampiri 15 meter, dan menggunakan kuasa lebih daripada 100 MW (134,102hp) untuk mencapai 25.5 knot, satu spesifikasi yang dipenuhi oleh Emma Mærsk.

Mengatasi saiz Suezmax ialah 'Malaccamax' (untuk Selat Melaka), kapal yang mampu memuatkan 18,000 TEU, berat mati sehingga 300,000 metrik tan, 470 meter panjang, 60 meter lebar, 16 meter drauf dan menggunakan lebih daripada 100 MW (134,102hp) untuk kelajuan 25.5 knot.

Ini mungkin satu had kepada semua kapal dagang sebelum laluan kontena sedunia yang baru dibina.

Halangan utama untuk rekabentuk kapal dengan saiz ini ialah ketiadaan enjin tunggal berkemampuan, yang kemudiannya diatasi dengan enjin MAN B&W K108ME-C.

Masalah lain ialah kekurangan pengilang yang mampu mengeluarkan bebaling yang mampu menerima kuasa enijn ini, yang perlu berdiameter lebih kurang 10 meter dan seberat 130 tan.

Masalah lain seperti masa di pelabuhan dan fleksibiliti laluan perkhidmatan merupakan halangan sama yang akhirnya menghadkan perkembangan saiz kapal kontena bersaiz lebih besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

SBDJ Siri 48: Bertemu Ibu Santau

SBDJ Siri 48: Bertemu Ibu Santau

Hidung dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.

Bertemu Ibu Santau

Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk.

Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.

"Tamar kau cucu tok," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.

"Cucu tok harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.

Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengedutkan kulit dahi.

Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan.

Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi.

Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.

"Tok, apa dah jadi," tanya saya.

"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri.

Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkokkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.

Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran.

Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia.

Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda.

Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit.

Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan.

Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu.

Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting.

Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.

Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk.

Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat.

Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya.

Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak.

Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh.

Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.

Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang.

Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang.

Seluruh tubuh datuk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata: Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut.

Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang-kunang itu hilang.

Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakan.

Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu padam, saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.

"Kita pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada saya.

Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan sikap datuk kali ini.

Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan pulang jadi cepat.

Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya pejamkan mata sambil memaut bajunya.

Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

“Cara itu dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut suka hati,” tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya.

Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu apa yang tersurat dalam hati.

Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh.

Kokok ayam sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya dan datuk.

“Melihat pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul empat pagi,” kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke jalan raya.

Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan kami.

“Apa benda tu tok?”

“Kau diam.”

Saya terus mengigit bibir. Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana.

Dalam keadaan yang serba pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal.

Matanya merah menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas, mempamerkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib dalam sekelip mata.

“Sudahlah, tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri kita, bukankah kita ini hamba Allah,” saya terdengar suara datuk bercakap ke arah tempat bayang-bayang manusia dan kucing hitam itu ghaib.

Bila datuk selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.

Kali ini langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk menyamakan langkah saya dengan langkahnya.

Hasilnya, saya termengah-mengah dan badan terus berpeluh dalam dingin subuh.

Datuk dan saya sampai ke kaki tangga masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil air sembahyang.

Selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran hingga waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.

“Bangun, jangan tidur bertemankan syaitan,” datuk goncang badan saya yang tersandar di tiang masjid.

Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung sudah berada dalam masjid.

Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.

“Saya mimpi tok.”

“Mimpi apa?”

“Saya terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tok.”

“Ah, yang kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air sembahyang,” sergah datuk.

Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan fardhu Subuh.

“Hebat juga awak malam tadi,” ujar Mahyuddin.

“Saya tak faham dengan apa yang awak cakap.”

“Tak faham atau sengaja tidak mahu faham,” Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah pulang.

Saya yang berdiri dekat datuk segera kerutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata-kata Mahyuddin itu?

Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan diri Mahyuddin.

Saya juga tidak dapat memastikan antara Dumba dengan Mahyuddin, siapa yang lebih awal datang ke masjid.

Saya juga tidak tahu adakah mereka bertegur sapa antara satu sama lain.

MANDI

Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan.

Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.

"Kau tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki tangga.

Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.

"Aku sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam mengeluh di hadapan saya.

Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju tetap selamat dan diberkati.

Di bawah sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tiada saya ketahui arah tujuannya.

Bila saya dapati datuk tidak melencong dari jalan tanah merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai Dumba.

Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi.

Dumba menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada datuk.

"Saya sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di depan datuk.

Saya lihat datuk mempamerkan senyum. Sepasang matanya meraut seluruh wajah Dumba.

Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain.

Dia bagaikan tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu.

Dumba menarik datuk ke dalam kedai tanpa mahu mendengar jawapan dari datuk atas pertanyaan yang diajukan olehnya.

"Jangan duduk di sini, mari kita masuk ke bilik saya," ujar Dumba ketika datuk menarik bangku untuk duduk dalam ruang kedainya.

Datuk renung ke arah bilik yang ditunjukkan oleh Dumba dengan jari telunjuknya.

Bilik tersebut terletak di bahagian dapur kedai yang dipisahkan oleh satu ruang khas selebar empat kaki.

Pintu bilik dibuat dari papan yang sudah diketam tanpa palang zig-zag. Ada dua pasu bunga terletak di kiri kanan pintu yang ditanam dengan pokok daun hati-hati serta lidah buaya.

Dumba buka pintu. Kami pun masuk dan duduk bersila di lantai menghadapi sebuah meja panjang yang rendah.

Bentuk meja itu hampir menyerupai meja yang digunakan oleh orang Jepun untuk minum teh.

Tiang meja dibuat dari buluh, begitu juga dengan bahagian permukaan meja dianyam dengan buluh yang terlalu indah seni pembuatannya.

Beberapa pokok buluh aur, buluh betung dan buluh lemang ditanam dalam pasu besar pada setiap sudut bilik menjadikan suasana dalam bilik itu cukup tenang dan aman tetapi agak seram.

Seorang pekerjanya masuk lalu meletakkan tiga cawan kopi bersama tiga pinggan kecil nasi lemak. Dumba duduk bersila di sebelah meja buluh tersebut.

"Minum dan makanlah ini yang ada untuk awak berdua," kata Dumba.

Saya pun memperkemaskan sila lalu membongkok untuk memegang tangkai cawan.

Secara mendadak datuk mendehem sambil menepuk pangkal paha kanan saya. Saya tidak jadi memegang tangkai cawan.

"Minum jangan segan-segan," suara Dumba cukup ramah.

Datuk anggukkan kepala sambil menyeluk saku bajunya. Datuk mengeluarkan secebis kain merah yang selalu digunakan untuk mengikat kepalanya.

Kain itu datuk genggam. Datuk tarik nafas panjang-panjang. Sepasang mata datuk merenung air kopi di dalam cawan dengan renungan yang amat luar biasa sekali.

Saya terkejut, cwan di hadapan saya dan datuk kelihatan merekah dan akhirnya terus pecah berkecai, air kopi melimpah atas meja buluh. Pinggan nasi lemak terbalik dengan sendirinya.

Dumba terus memegang bibir meja, suasana cerah dalam bilik segera bertukar menjadi agak kelam, macam hari mahu hujan.

Saya tidak berbuat apa-apa. Punggung saya bagaikan terpaku di lantai. Tidak boleh bergerak walau seinci pun.

Kerongkong saya tiba-tiba terasa sakit dan pedih untuk menelan air liur.

Antara datuk dan Dumba bagaikan ada pertarungan secara kebatinan. Masing-masing menggunakan tenungan kekuatan kuasa mata.

Saya lihat datuk meletakkan ibu jari kirinya atas muka meja. Ibu jari itu datuk tekan hingga bahagian yang ditekan itu mengeluarkan asap serta berlubang.

"Saya senang berhadapan dengan asak Dumba, kita boleh mencari kejujuran di sini," suara datuk parau.

Urat matanya kelihatan merah tersembul. Dumba berhenti memegang bibir meja, bahagian bibir meja yang dipegangnya kelihatan hitam. Dumba termenung sejenak.

"Saya bukan orangnya untuk awak jadikan musuh," tambah datuk sambil berdiri.

Dada saya terasa panas macam ada bara api di dalamnya. Saya cuba bangun tetapi tidak berdaya, punggung terasa berat.

Dumba terus duduk bertafakur, kedua belah ibu jarinya didekatkan ke lubang hidung.

Datuk mula bersikap kurang ajar. Datuk pijak dada meja yang dibuat dari buluh. Dumba tidak juga bergerak dari tempatnya.

Perlahan-lahan Dumba meletakkan tangan kanannya di atas meja, ketika itu juga cahaya panas mula masuk ke dalam ruang bilik.

Batang tubuh datuk yang berdiri mencipta bayang yang memanjang di atas lantai.

Dumba bangun bagaikan kilat lalu melintasi bayang datuk sambil menghembuskan nafas dengan sekuat hati pada ibu jari kirinya yang terlekap di hidung.

"Dumba jangan khianati aku," pekik datuk sambil menundukkan badan.

Hembusan angin dari hidungnya tepat mengenai tiang bilik. Tiang itu berasap dan berlubang.

Saya kira kalau hembusan angin dari hidung Dumba kena pada tubuh datuk, tentu tubuh datuk berlubang dari belakang hingga ke dada.

Bila asap di tiang itu hilang, saya lihat di lantai pangkal tiang ada habuk dalam bentuk abu yang berkilat-kilat.

Datuk menepuk dadanya dengan tangan kiri. Habuk yang terkumpul segera berselerak menjadi dua bahagian.

Bahagian pertama menjadi serbuk kaca yang halus, manakalan bahagian kedua terdiri dari miang-miang buluh bercampur dengan sejenis getah dari pokok Ipoh.

Dumba tersandar di dinding bilik. Dia kelihatan tidak bermaya. Kemudian jatuh perlahan-lahan dan terduduk di situ. Seluruh mukanya berpeluh.

"Mengakulah Dumba, semua kejadian yang berlaku di sini, puncanya dari kau.

"Aku tahu kau mahu menguji aku, sebab itu kau kenakan pemandu lori balak yang minum di kedai kamu," datuk meluahkan perasaannya.

Dumba tidak berkata walau sepatah pun. Saya menarik nafas dengan rasa lega yang amat sangat kerana saya boleh bergerak dan bangun. Dada saya yang terasa panas kembali normal.

"Demi Allah yang Maha Besar, kalaulah aku tahu niat kau dari mula-mula dulu, aku tidak akan berjanji mahu menolong kau.

"Apakah daya keikhlasan dan kejujuran hatiku sudah kau salah tafsirkan, kau mahu memperdayakan aku Dumba," datuk terus mengeluh.

Wajahnya kelihatan muram, penuh dengan rasa hampa dan kecewa yang amat sangat.

SINAR

Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik.

Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati.

Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahunya.

Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru-biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung.

Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima-lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh-peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya.

Saya terkejut dan hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Kelima-lima jari datuk merekah dan retak seribu.

Dari rekahan itu keluar air jernih menitik atas lantai. Beberapa saat kemudian, keadaan kelima-lima jari datuk kembali dalam keadaan biasa.

Wajah Dumba kembali berdarah, tidak pucat macam wajah mayat.

"Dumba aku mahu kau berterus terang dan marilah kita mencari sesuatu yang baik untuk diri kita dan orang lain," nada suara datuk merendah.

Dahi Dumba digosoknya berkali-kali. Datuk terus duduk bersila di hadapan Dumba.

"Kau ada masalah? Sila terangkan, kalau boleh aku atasi aku akan membantu kau," datuk renung muka Dumba.

Saya lihat Dumba kedutkan keningnya. Sepasang mata Dumba menatap tiap sudut bilik, bagaikan mencari sesuatu.

"Sebenarnya, aku benci semuanya ini, tetapi aku tidak ada cara lain untuk mengatasinya, sama ada aku mahu atau tidak aku terpaksa melakukannya."

"Apa yang awak cakapkan ini?"

"Hal yang kau lihat."

"Ilmu santau yang kau amalkan ini."

"Ya, ilmu yang aku tuntut ini mengikat diri aku, kalau aku tidak melakukan dengan apa yang aku janjikan ketika menuntut dulu, anak bini aku jadi korban."

"Kerana sayangkan anak bini, orang lain kau korbankan."

"Ya aku terpaksa."

Datuk menggigit bibir. Dia masih kurang yakin dengan apa yang dikatakan oleh Dumba.

Dia merasakan kata-kata itu merupakan satu perangkap bagi Dumba untuk menguji sejauh mana kekuatan diri datuk.

Sesungguhnya, datuk tidak mahu dirinya diuji atau dicuba. Datuk tahu dia serba kekurangan. Apa yang ada pada dirinya sekadar cukup untuk melindungi dirinya sendiri.

"Maafkan aku Dumba, apa yang terjadi bukanlah niat aku untuk mencabarmu, semua yang aku lakukan kerana mahu menolong kau."

"Aku faham," suara Dumba parau.

Dia pun bangun sambil mengajak datuk duduk di satu sudut bilik berdekatan dengan pokok buluh aur yang ditanam dalam pasu besar.

Pada mulanya, datuk memang keberatan untuk memenuhi permintaan Dumba itu.

Tetapi, setelah Dumba sendiri mengubah kedudukan pasu besar yang ditanam dengan pokok buluh aur itu ke tempat lain, barulah datuk memenuhi permintaannya.

"Ingat Dumba yang kita cari kebaikan, bukannya pergaduhan."

"Saya faham."

"Kalau kau sudah faham, penuhi syarat dari aku."

"Apa syaratnya."

"Duduk berhadapan, kedua-dua kepala lutut kau bertemu dengan kepala lutut aku, tangan kanan aku menindih tangan kanan kamu. Apa kamu setuju?"

"Setuju."

Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik.

Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya dan sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri.

Saya tahu, bila datuk mempertemukan kepala lututnya dengan kepala lutut Dumba, secara tidak langsung datuk mengunci pergerakan Dumba yang dikiranya akan bermula dari gerakan kaki.

Bila datuk menindih tangan kanan Dumba dengan sendirinya racun santau yang berada di celah kuku Dumba akan menjadi tawar.

Cukup bijak datuk bertindak kali ini. Dia tidak mahu diperdayakan, fikir saya.

"Apa masalah kamu Dumba," datuk renung biji mata Dumba.

"Aku merasakan saat kematian aku sudah hampir, boleh jadi dalam tempoh sebulan dua lagi."

"Macam mana kau tahu semuanya ini?"

"Mengikut firasat ilmu yang aku tuntut, menunjukkan ada tanda-tanda yang aku akan mati."

"Salah satu daripada contohnya Dumba?"

"Aku selalu menangis bila mahu menunaikan janji yang aku buat ketika menuntut dulu.

"Aku takut dengan ilmu yang aku amalkan dan aku merasakan diri aku terlalu jauh dengan Allah yang mencipta diriku dan Alam."

Datuk memejamkan kelopak matanya. Saya terdengar bunyi daun pintu diketuk orang.

Datuk menyuruh saya membuka pintu. Bila pintu dibuka, tidak ada manusia di luar. Tengkok saya mula terasa seram.

Pintu saya rapatkan kembali. Bila saya mahu duduk, terdengar lagi ketukan di pintu tetapi, kali ini datuk memberi isyarat pada saya supaya jangan memperdulikan ketukan itu.

Aneh, pintu itu terbuka dengan sendiri dan tertutup dengan sendiri.

"Ceritakan apa yang terniat dalam hatimu Dumba."

"Begini, aku tidak akan menurunkan ilmu ini pada keturunan aku, kerana tidak menguntungkan tetapi, bila aku mati, salah seorang daripada anak aku akan mewarisnya dengan secara tidak langsung, perkara itu terjadi diluar pengetahuan mereka dan kerelaan aku."

"Kalau mereka menolak bagaimana?"

"Mereka akan jadi korban. Aku harap kau dapat menolong aku, aku sudah menguji kamu, aku tahu kau boleh berusaha ke arah itu."

CERITA

Datuk menarik nafas panjang. Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya.

Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. Menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai.

Ayahnya bekerja di ladang cengkih kepunyaan Belanda. Tuan punya ladang tersebut mempunyai beberapa orang ketua pekerja yang terdiri dari orang-orang Indonesia yang tidak bertimbang rasa, selalunya menyeksa para pekerja.

Akibat dari perbuatan ketua-ketua pekerja di situ membuat ayahnya masuk ke hutan dan bertapa dalam sebuah gua dengan tujuan menuntut ilmu.

Bila ayahnya keluar dari tempat pertapaan, Ayahnya terus membalas dendam dengan menggunakan ilmu santau.

Akhirnya, ayahnya mengambil upah membunuh orang dengan ilmu yang dituntutnya.

"Walaupun ayah saya handal tetapi, dia mati juga ditikam orang dengan ranting buluh tumpat," kata Dumba dengan wajah yang sedih.

"Itu saja ceritanya Dumba."

"Ada lagi, kerana menuntut ilmu itu adik perempuan saya jadi korban. Ketika ayah menuntut adik saya di panah petir dan mayatnya terus hilang.

"Menurut ayah, adik saya memang dijadikan makanan syaitan tempat ayah menuntun ilmu."

Datuk menggaru kepala yang tidak gatal. Sekali-sekala datuk menjeling ke arah saya sambil mengerutkan dahinya. Saya tidak tahu apa yang datuk fikirkan.

Suasana dalam bilik yang tadi cerah tiba-tiba menjadi agak gelap. Saya segera bangun dan membuka tingkap kecil di sudut bilik melihat ke langit.

Ada awan mendung bertompok-tompok tetapi, matahari masih bersinar, saya juga terlihat titik-titik yang halus turun dari langit. Jam ketika itu saya kira baru pukul sembilan pagi.

"Macam mana dengan kau?" soal datuk.

"Bila ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Perlis sambil mengamalkan ilmu yang diajar oleh ayah pada saya, tujuannya untuk mempertahankan diri tetapi.." Dumba terus berhenti bercerita, matanya merenung sayu pada datuk dan saya.

Datuk, tidak putus asa, dia terus mendesak Dumba bercerita.

Kata Dumba, sampai di Perlis dia menetap di Kuala Perlis dan bekerja dengan kapal kecil yang berulang alik dari Kuala Perlis ke Setul (sebuah tempat di Selatan Siam).

Bila ada orang-orang Siam yang bersikap kasar dan menyakitkan hatinya, dia menggunakan ilmunya untuk membinasakan mereka.

"Saya akhirnya menikah dengan orang Kuala Perlis dan berpindah ke Alor Setar dengan azam untuk membuang ilmu tersebut, tetapi usaha saya tidak berjaya.

Kerana saya berazam mahu meninggalkannya, anak pertama saya mati muntah darah, sejak itu saya terus mengamalkannya," kata Dumba.

Saya dan datuk terus memasang telinga.

"Dari Alor Setar saya pindah ke Perak iaitu di Air Tawar, dekat Sitiawan, ke Gopeng dan Hutan Melintang.

"Setiap tempat saya bernaung memang ada manusia jadi korban yang kadang-kadang berpunca dari perkara yang kecil-kecil, saya dan keluarga saya jadi kera sumbang."

"Kemudian apa yang kamu lakukan?"

"Saya pergi ke Pahang dan akhirnya menetap di sini, saya tidak sanggup lagi nak jadi pembunuh.

"Paling kurang setahun mesti seorang saya korbankan dengan santau kalau tidak diri saya akan jadi korban, saya tersepit sekarang," Dumba berterus-terang dengan datuk.

Datuk terus memisahkan kedua-dua kepala lututnya yang bertemu dengan kepala lutut Dumba.

Begitu juga dengan tangannya yang menindih tangan Dumba.

Datuk mengisut kebelakang hingga terjadi ruang jarak selebar dua kaki antara Datuk dan Dumba.

Di luar hujan rintik-rintik segera bertukar menjadi hujan panas yang agak lebat. Tempiasnya masuk ke dalam bilik.

Datuk tidak mengetahui isi hati Dumba sampai ke akar umbinya. Bila semuanya perkara sudah diketahui akan memudahkan kerja datuk.

"Awak bermusuh dengan Mahyuddin?" soal datuk.

"Ya, salah seorang anak sahabat karibnya jadi korban saya, perkara itu terjadi secara tidak sengaja.

"Ketika itu janji saya dengan ilmu yang saya tuntut sudah cukup tempohnya, saya harus memberikan satu nyawa.

"Orang yang saya pilih adalah orang luar tetapi, ketika saya melepaskan santau dari kuku, anak sahabat karib Mahyuddin melintas dan muntah darah."

"Mahyuddin tahu hal ini?"

"Dia tahu tetapi, usahanya untuk membinasakan saya tidak berjaya kerana dilindungi oleh ilmu saya."

"Kau sebenarnya mahu membunuh aku pagi itu, kerana aku dapat tepis angin yang datang, pemandu balak itu jadi korban."

"Ya saya mengaku, awak orang luar dan saya kira awak adalah mangsa saya, sayangnya sangkaan saya tidak tepat, rupa-rupanya awak tidak berjalan dengan lidah dan gigi saja, awak ada isi."

MENGELUH

Datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh.

Dumba hanya melihat apa yang datuk lakukan dengan mulut separuh terbuka.

"Kau mahu memisahkan dirimu dengan ilmu Santau Dumba?" soal datuk.

"Ya."

"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi. Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan.

Bila tiang meja dari buluh itu dipecahkan, seluruh lantai bilik itu dipenuhi dengan kaca-kaca yang halus, rambut dan serbuk dari miang buluh.

"Ini ibu santau?" tanya datuk.

Dumba anggukkan kepala. Datuk tidak berani menjamah benda-benda itu. Datuk seluk saku baju sebelah tangan.

Tamat siri 48/284

BACA: SBDJ Siri 47: Bila Syaitan Datang Menguji
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, April 19, 2019

Benarkah Sedekah Memanjangkan Umur?

Benarkah Sedekah Memanjangkan Umur?

Sedekah merupakan pemberian dari seorang yang diberi kepada orang lain disertai rasa ikhlas dan salah satu manfaat sedekah ialah mampu memanjangkan umur orang yang bersedekah tetapi, dalam dalil yang lain mengatakan bahawa umur manusia itu telah ditentukan jauh sebelum manusia dilahirkan.

Sedekah panjangkan umur

Pertanyaannya, apa sebenarnya maksud sedekah itu memanjangkan usia? Memang benar umur manusia itu telah ditentukan oleh Allah jauh sebelum manusia itu dilahirkan ke dunia, tapi sedekah boleh memanjangkan umur itu juga benar, tetapi kita jangan salah memahaminya.

Ada dua pendapat mengenai perkara ini.

1. Umur yang ditentukan Allah pada zaman azali atau jauh sebelum manusia itu dilahirkan adalah umur yang akan dipakai di alam dunia dan alam kubur.

Contoh, seseorang yang diberi umur 100 tahun oleh Allah, 50 tahun di dunia dan 50 tahun di alam kubur, ketika orang ini rajin bersedekah maka dengan izin Allah umur yang akan di pakai di alam kubur akan di pindahkan sebahagian ke alam dunia sehingga umurnya yang di dunia menjadi lebih panjang.

2. Seseorang yang rajin bersedekah akan mendapat kesan positif dari orang yang ada di sekitarnya.

Dengan kesan positif itu akan membuat orang yang rajin bersedekah menjadi berpengaruh atau dihormati oleh orang yang ada disekitarnya, bahkan ketika dia sudah meninggal namanya masih akan disebut-sebut dan akan mempengaruhi kehidupan orang yang masih hidup, sehingga dianggap berumur panjang kerana masih menjadi sebutan.

Rahsia Panjang Umur

Ramai manusia yang menjelajah benua hanya untuk mencari rahsia panjang umur dan awet muda, namun amat menghairankan, ketika ada satu perbuatan yang menjamin panjangnya usia, orang-orang justeru mengabaikannya dan tidak banyak orang yang melakukannya. Perbuatan tersebut adalah bersedekah.

Mengapa bersedekah dapat memanjangkan umur seseorang?

Beberapa hadis dan keterangan berikut ini mungkin menjadi jawapannya:

1. Orang yang menahan harta mendapat doa kemusnahan dari malaikat

Setiap hari, malaikat akan mendoakan orang yang bersedekah, yakni semoga Allah menggantikan apa-apa yang mereka infakkan di jalan-Nya.

Selain itu, malaikat tersebut juga mendoakan orang-orang yang bersifat bakhil atau pelit agar Allah memusnahkan mereka.

Mengapa kita tidak memanfaatkannya untuk memanjangkan usia dan bukannya memendekkannya kerana sifat kikir yang dipelihara?

”Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, ‘Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah’. Yang satu lagi menyeru, ‘Musnahkanlah orang yang menahan hartanya.’ (HR. Muttafaq Alaih)

2. Sedekah dapat mengubah takdir mubram

Tahukah anda apa itu takdir mubram? Iaitu takdir Allah yang tidak dapat diubah, manusia tidak dapat memilih serta tidak memiliki kemampuan untuk mengubahnya.

Takdir Mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam maya ini dan salah satu contohnya adalah kelahiran dan kematian manusia, kedatangan hari kiamat, jenis jantina bayi yang akan lahir, jodoh, usia (kematian).

Bukanlah mengejutkan ketika kita mendapat info dari sebuah hadis bahawa sedekah mampu mengubah takdir yang sudah pasti, termasuklah kematian.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali, bahawa Rasulullah bersabda: "Sedekah dapat merubah takdir yang mubram (yang pasti)". (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)

Kisah Nabi Ibrahim a.s. Dan Pemuda

Sebuah kisah termahsyur di zaman Nabi Ibrahim telah memperlihatkan bahawa sedekah dapat menunda kematian dan memanjangkan usia dalam erti yang sebenarnya.

Suatu hari, malaikat maut mendatangi Nabi Ibrahim alaihissalam, malaikat tersebut bertanya, "Siapa gerangan anak muda yang tadi mendatangimu wahai Ibrahim?"

"Dia adalah sahabat sekali gus muridku! Dia menemuiku untuk memberitahu pernikahannya pada esok hari."

"Wahai Ibrahim, ketahuilah bahawa umur pemuda itu takkan sampai esok pagi."

Setelah berkata demikian, malaikat maut meninggalkan Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim mahu memberitahu sahabatnya tersebut bahawa usianya tidak sampai esok hari, hendaknya mengadakan pernikahan malam ini juga, namun Nabi Ibrahim menyimpan niat tersebut dan tetap merahsiakan kedatangan maut.

Keesokannya, Nabi Ibrahim masih melihat dan menyaksikan pernikahan pemuda tersebut.

Bahkan, hari berganti minggu, bulan dan tahun, pemuda tersebut tetap hidup dengan sihat wal afiat dan panjang usia.

Suatu hari, Nabi Ibrahim kembali mendapat kunjungan dari malaikat maut, maka Ibrahim berkata, "Adakah engkau berdusta mengenai kematian pemuda yang merupakan murid dan sahabatku dulu?"

Malaikat maut menjelaskan bahawa, ketika ia akan melaksanakan tugas untuk mencabut nyawa pemuda tersebut, Allah menahannya.

Nabi Ibrahim kehairanan kenapa Allah memilih untuk memanjangkan umur pemuda itu dan jawapan Malaikat maut sungguh tidak disangka-sangka.

“Wahai Ibrahim, di malam menjelang pernikahannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh dari harta kekayaannya. Dan ini yang membuatkan Allah memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda itu, sehingga engkau melihatnya masih hidup.”

Jelaslah bahawa sedekah dapat mengubah takdir dan memanjangkan usia.

Sedekah Mencegah Kematian Su'ul Khotimah (Kematian yang buruk)

Banyak kisah mengenai dahsyatnya sedekah yang dapat mencegah kematian buruk, sekalipun sedekah itu diberikan oleh seseorang yang fasik atau kafir, kebaikannya tetap tidak berubah.

Hal ini diperkuat dengan hadis Rasulullah SAW, “Sesungguhnya sedekah seorang muslim dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian su’ul khotimah, Allah akan menghilangkan sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga diri darinya.” (HR. Thabrani)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Slam Dunk, Komik Legenda Yang Menginspirasikan Sukan Bola Keranjang

Slam Dunk, Komik Legenda Yang Menginspirasikan Sukan Bola Keranjang

Secara statistiknya, bola keranjang bukanlah sukan paling popular di Jepun, bagaimanapun, negara ini kerap dikreditkan sebagai negara yang mempopularkan bola keranjang ke seluruh dunia dengan menggunakan kaedah yang sangat luar biasa.

Slam Dunk Komik Legenda

Rekod rasmi penjualan komik 'Slam Dunk' hasil karya Takehiko Inoue yang diterbitkan pada tahun 1990 hingga 1996 adalah 122 juta naskhah di seluruh dunia.

Jauh melebihi jumlah jualan satu lagi komik legenda Jepun, 'Captain Tsubasa' yang bertemakan bola sepak.

Slam Dunk diletakkan dalam senarai nombor 2 paling popular di kalangan rakyat Jepun pada satu soal selidik tahun 2012.

Berikutan pengaruhnya yang besar, memang mustahil untuk kita mendapatkan angka yang jelas berapakah jumlah individu yang mula bermain bola keranjang disebabkan oleh kisah dalam komik itu - yang digerakkan oleh watak utamanya seorang pemain bola keranjang bidan terjun bernama Sakuragi Hanamichi.

Namun jumlahnya sudah tentu ramai. Di Jepun saja pengaruhnya cukup besar.

Karya 'Slam Dunk' adalah karya agung yang jarang muncul

'Captain Tsubasa' kerap kali diperkatakan sebagai punca minat terhadap sukan bola sepak yang mendalam, di kalangan masyarakat Jepun.

Komik bergenre 'spokon' yang membawa maksud komik bertemakan sukan, merupakan sesuatu yang amat popular di sana.

Bagaimanapun, realitinya ketika episod pertama Slam Dunk diterbitkan, bola keranjang bukanlah satu sukan yang menjadi kegilaan negara mereka. Slam Dunk terbit ketika masyarakat Jepun tidak memerlukannya.

Bagi memastikan karyanya lepas untuk diterbitkan, Takehiko Inoue melakukan beberapa perubahan pada jalan ceritanya.

Beliau sedar sebuah komik berasaskan bola keranjang tidak mampu diterima pasaran ketika itu, sebaik komik bertema sukan yang lain seperti bola sepak dan besbol.

Dalam episod pertama, Inoue memilih untuk hanya memaparkan kisah remaja biasa, waktu persekolahan, permusuhan antara rakan sekelas dan rasa suka sama suka yang kerap terjadi di sekolah.

Bagi pembaca Slam Dunk kali pertama, tidak ada sesiapa akan lupa bagaimana watak utama Sakuragi Hanamichi ditolak cintanya oleh gadis yang ke 50 dalam hidupnya.

Bola keranjang hanya diletakkan sebagai elemen latar belakang

Walaupun begitu, pembaca mula mendekati watak yang dihasilkan dengan begitu cermat seiras dengan individu yang dapat kita lihat hari ke hari.

Asas identiti wataknya kukuh. Pelakon sampingannya turut diberikan jalan cerita khusus.

Lukisannya memaparkan ekspresi yang membantu menyampaikan apa yang ingin disampaikan dengan sempurna. Semuanya hidup.

Tanpa sedar pembaca tidak lagi peduli bila jalan ceritanya berubah ketika Sakuragi mula memijak lantai gelanggang bola keranjang dan fokus dialihkan kepada sukan tersebut.

Setiap perlawanan yang dipaparkan membawa jalan ceritanya sendiri dan semua watak yang ada, tak kira lawan atau kawan, membawa identiti yang eksklusif yang hanya ada pada mereka.

Inoue mengambil pendekatan berbeza dengan mengolah latar belakang watak pembantu jauh lebih mendalam berbanding Sakuragi Hanamichi, yang langsung tidak dijelaskan kepada pembaca, siapakah dirinya yang sebenar.

Ini menjadikan kita lebih mudah meletakkan diri kita ke dalam kasut Sakuragi kerana setiap orang boleh mempunyai idea sendiri siapa Sakuragi, berdasarkan pengamatan kita sendiri.

'Slam Dunk' layak dikatakan antara kisah tentang kedewasaan terbaik pernah dihasilkan mana-mana pengkarya, dalam mana-mana format sekalipun.

Setiap langkah yang mengubah watak-watak divisualkan cukup mudah difahami dibantu oleh fokus kepada Sakuragi dan rakan-rakannya.

Inoue membuktikan kebolehannya menggarap jalan cerita menggabungkan elemen-elemen ironi yang menyayat hati, namun tetap membuatkan kita tersenyum pada penghujungnya.

Kajian struktur perbezaan kelas dalam masyarakat

Slam Dunk Komik Legenda

Salah satu elemen yang jarang diperkatakan berkenaan Slam Dunk adalah paparan perbezaan kelas masyarakat Jepun dalam komik tersebut.

Pemain-pemain pasukan Shohoku yang diwakili oleh Sakuragi Hanamichi, majoritinya datang daripada keluarga-keluarga kurang berkemampuan yang menyebabkan mereka mempunyai isu serta masalah dalam hidup.

Pasukan-pasukan lawan Shohoku, seperti pasukan Kainan walau datang dari daerah yang sama, ternyata berada dalam status yang berbeza - baik dari segi pendapatan dan kemampuan ekonomi, malahan mempunyai tingkah laku yang dilihat jauh lebih terpelajar berbanding pemain-pemain Shohoku.

Inoue mengambil langkah menjadikan sekumpulan pelajar-pelajar bermasalah ini sebagai watak utama sebagai satu simbol pertarungan kelas masyarakat.

Gaya rambut yang berbeza, cara percakapan yang kasar serta emosi yang sangat mudah menimbulkan atau membalas provokasi dimiliki setiap pemain Shohoku yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Namun garapan cermat Inoue membuatkan kita menerima watak-watak ini sedemikian rupa, menjelaskan kepada kita mereka sedemikian kerana tidak bernasib baik serta dipandang serong masyarakat sendiri.

Kisah evolusi Sakuragi daripada seorang samseng jalanan kepada seorang pemain yang mula menjadikan gelanggang bola keranjang sebagai tempat dia menemui nilai baik dalam diri dan belajar menghargai orang sekelilingnya, merupakan satu metafora ketidakadilan yang berlaku dalam struktur masyarakat, bukan sahaja di Jepun, malah di seluruh dunia.

Mengangkat sukan bola keranjang pada mata orang ramai

Apa yang jelas sekali, Slam Dunk merupakan satu naskhah cinta Inoue yang sempurna kepada sukan yang sangat diminatinya.

Slam Dunk terbit semasa liga NBA baru sahaja hendak meletup di seluruh dunia, ketika Michael Jordan baru diangkat sebagai dutanya dalam usaha membawa sukan tersebut kepada peringkat lebih global.

Tidak ramai menyedari Inoue menggunakan karyanya untuk mendidik pembacanya tentang sejarah-sejarah dan insiden paling diingati yang pernah berlaku dalam kejohanan NBA.

Dalam satu episod, watak utama Sakuragi tersalah menghantar bola kepada pemain lawan sehingga menyebabkan kekalahan pasukannya sebenarnya mirip insiden serupa, ketika hantaran Isiah Thomas dirampas sehingga menyebabkan pasukannya tewas dengan satu jaringan saat terakhir.

Pertarungan satu lawan satu antara bintang pasukan Shohoku, Rukawa Kaede dan Akira Sendoh, prodigi bola keranjang daerah yang berjiran dengan mereka juga mirip perlawanan di antara Larry Bird dan Dominique Wilkins dalam perlawan ke 7 pusingan kalah mati NBA pada tahun 1988.

Bagi pembaca komik yang tidak menggemari sukan bola keranjang, apa yang berlaku dalam setiap panel Slam Dunk adalah sebuah kisah yang cukup menghiburkan.

Bagi mereka yang gilakan bola keranjang, apa yang dipaparkan Inoue, setiap aksi, setiap insiden, setiap saat mendebarkan - semuanya jelas diinspirasikan daripada minat mendalam Inoue terhadap sukan bola keranjang dan liga NBA Amerika Syarikat, menjadi penghormatan tertinggi yang mampu dibuat Inoue terhadap tradisi sukan bola keranjang di seluruh dunia.

Penamat yang efektif

Slam Dunk berjaya melakukan sesuatu yang jarang dapat dipaparkan dengan berkesan dalam komik - penamat yang tidak gembira tetapi sangat efektif.

Sakuragi dan pasukannya terkeluar daripada persaingan pada peringkat awal lagi selepas mereka berjaya menewaskan pasukan nombor 1 sekolah tinggi di Jepun.

Inoue memilih untuk tidak memberikan penamat gembira kepada Slam Dunk bagaimanapun, penamat yang tidak sempurna itu mengajar pembacanya satu perkara penting tentang hidup; walau sekuat mana pun kita berusaha, ganjarannya tidak pasti akan kita terima.

Mesejnya jelas dalam episod akhir komik ini; sama ada kalah atau menang, apa yang penting adalah perjalanannya.

Berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelumnya adalah matlamat setiap insan dan bukan hanya sekadar cuba mengejar kemenangan.

Sukan bola keranjang di Jepun masih lagi tidak diterima seperti yang diharapkan Inoue walaupun Slam Dunk menjadi fenomena di negaranya dan seluruh dunia.

Masih sukar untuk masyarakat Jepun bermain bola keranjang berikutan fasiliti yang ada agak terhad berbanding sukan-sukan lain.

Walaupun begitu, pengaruh komik Slam Dunk membantu mengubah penerimaan masyarakat Jepun terhadap sukan bola keranjang dan kesannya semakin lama semakin dirasai negara mereka.

Generasi baru pemain Jepun yang diinspirasikan Sakuragi Hanamichi

Slam Dunk Komik Legenda

Kelab bola keranjang menjadi kelab sukan paling popular di sekolah-sekolah dan menjadi sukan paling kerap dimainkan pelajar perempuan sekolah tinggi di Jepun.

Pertandingan di antara sekolah di Jepun tetap mempunyai peminat setia tersendiri, dengan aksi Rui Hachimura semasa dia bermain dengan sekolahnya mampu menarik minat 10,000 orang penonton untuk ke stadium.

Hachimura, Watanabe, Tanaka akan menjadi generasi baru pemain bola keranjang Jepun yang bakal bertanding di dua kejohanan besar iaitu Piala Dunia FIBA 2019 dan Temasya Olimpik Tokyo pada tahun 2020.

Pasukan bola keranjang wanita Jepun pula sudah merasai kejayaan lebih membanggakan, memenangi Piala Asia tiga kali berturut-turut serta melayakkan diri ke suku akhir acara Olimpik 2016, sebelum tewas kepada pasukan pilihan Amerika Syarikat yang memenangi pingat emas.

Mereka adalah generasi terawal pemain-pemain yang lahir dalam budaya bola keranjang yang telah dicorakkan oleh penerbitan Slam Dunk.

Sekiranya direnung kembali, amat pelik sekali bagaimana sebuah komik berjaya memecah fabrik sosial masyarakat Jepun, mengembangkan sejenis sukan kurang popular menjadi identiti masyarakat, hingga berjaya menginspirasikan generasi muda Jepun berdekad lamanya.

30 tahun selepas diterbitkan kali pertama, magik yang divisualisasikan hasil karya Takehiko Inoue ini tetap kekal segar untuk bacaan kali keberapa pun.

Ia mencorak pelapis baru pemain bola keranjang di Jepun yang kini sudah nampak bersedia serta tidak lagi takut menggoncang dunia sukan antarabangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

5 Penyakit Berbahaya Yang Berpunca Dari Seks Bebas

5 Penyakit Berbahaya Yang Berpunca Dari Seks Bebas

Seks bebas adalah hubungan yang dilakukan diluar ikatan pernikahan dan selalunya melibatkan ramai pasangan berlainan, biasanya terjalin tanpa menggunakan kondom. Sesiapa yang melakukan seks rambang dan ramai pasangan terutamanya melibatkan pelacur, mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit berbahaya ini.

Penyakit-Kelamin-Seks-bebas
Gambar hiasan.

Penyakit-penyakit ini diklasifikasikan sebagai penyakit kelamin atau sexually transmitted disease (STD) yang boleh menyebabkan kematian jadi berhati-hatilah ketika anda melakukan hubungan seks. Ini adalah salah satu faktor kenapa Islam mengharamkan zina.

1. AIDS/HIV

STD ini merupakan penyakit paling berbahaya dalam sejarah STD dan antara penyakit paling berbahaya. Virus HIV ini tersebar dalam badan manusia menyebabkan penyakit AIDS. Jangan keliru, AIDS adalah penyakit manakala HIV adalah virus.

Ia boleh tersebar melalui cecair badan termasuk darah, cecair faraj, air mani, mazi serta susu payudara. Air liur dan peluh tidak menyebarkan HIV kerana ia hanya tersebar melalui seks.

HIV tersebar melalui hubungan seks bebas dan perkongsian jarum dadah dan mereka yang melakukan seks melalui dubur mempunyai risiko tertinggi menyebabkan pasangan gay paling terdedah kepada virus ini.

Ia dapat membunuh anda kerana HIV menyebabkan kerosakan kepada sistem imunisasi iaitu sistem yang melindungi badan kita daripada jangkitan kuman dan virus.

Ini menyebabkan penyakit kecil seperti demam atau jangkitan kecil tidak dapat dirawat oleh badan. Ya, tanpa sistem imunisasi, anda boleh mati hanya kerana demam.

2. Syphilis (Sifilis)

Penyakit Sifilis sukar dikenal pasti kerana simptom utamanya tidak banyak ditunjukkan selain simptom ini dianggap kecil dan tidak ada apa-apa kesan.

Antara tanda-tandanya ialah sakit yang kecil, luka kecil serta lembam kecil selalunya di bahagian kelamin atau mulut.

Tahap kedua melibatkan ruam yang tidak gatal di tapak tangan kaki serta bahagian lain di badan. Tahap ketiga juga dikenali sebagai laten boleh berkembang dalam masa beberapa tahun.

Kebanyakan simptom selalunya akan hilang tetapi jangkitan masih lagi boleh merebak ke seluruh badan menyebabkan kerosakan kepada banyak fungsi tubuh badan.

Masalah mental dan neurologi, penyakit jantung, buta seterusnya menyebabkan kematian merupakan akibat daripada syphilis. Ia sebaiknya dielakkan dengan mengelakkan melalukan seks bebas.

3. Hepatitis

STD ini menyebabkan organ hati bengkak dan jika kes yang serius berlaku, ia boleh menyebabkan kematian.

Jangkitan lebih kurang sama dengan virus HIV dan selalunya tersebar melalui cecair badan atau darah.

Anda boleh mendapat penyakit ini semasa melakukan seks bebas dengan orang yang dijangkiti penyakit ini atau berkongsi jarum ketika melakukan apa-apa suntikan.

Simptom utama termasuk loya, selalu muntah, demam serta air kencing berwarna gelap.

Penyakit ini boleh menjadi lebih kronik dan tidak menunjukkan apa-apa kesan jelas. Ia juga boleh menyebabkan kanser hati.

Ia dicegah dengan pemberian vaksin sewaktu kecil lagi iaitu semasa kanak-kanak dan statistik menunjukkan kadar pencegahan yang sangat tinggi.

Sesiapa yang tidak menerima vaksin terutama pasangan homoseksual, penagih dadah dan mereka yang hidup dalam ruang yang sama dengan orang yang dijangkiti, mempunyai risiko tinggi.

4. Gonorrhea

Penyakit ini banyak dihidapi oleh remaja dalam lingkungan 15-24 dan menyebabkan pelbagai jenis jangkitan terutamanya di buah zakar, usus serta tekak.

Simptom utama ditunjukkan bagi lelaki adalah air kencing yang hangat ketika membuang air kecil, putih atau kuning selain merasa sakit di bahagian buah zakar.

Kebanyakan wanita tidak menunjukkan apa-apa simptom atau mungkin merasa sedikit sakit ketika kencing selain cecair faraj yang banyak.

Jangkitan di usus serta sakit, gatal dan dubur berdarah antara kesan gonorrhea. Ia patut dirawat dengan segera terutamanya perempuan kerana ia boleh menyebabkan tiup fallopian tersumbat, kemandulan serta kehamilan ektopik.

Bagi lelaki, anda boleh berasa sakit di buah zakar dan bagi kes-kes yang teruk, kemandulan. Ia boleh dirawat dengan antibiotik tapi perlu dirawat pada tahap awal.

5. Chlamydia

Penyakit ini tersebar melalui jangkitan ketika hubungan seks dilakukan melibatkan faraj, dubur ataupun seks oral.

Namun, jika lelaki tidak menunjukkan apa-apa simptom, perempuan mungkin berkemungkinan untuk mengalami kesan daripada penyakit Chlamydia.

Simptom utama Chlamydia ialah sakit semasa kencing dan keluarnya cecair faraj (vaginal discharge ) secara tidak normal.

Jika tidak dirawat dalam jangka masa yang sesuai, ia dapat merosakkan sistem reproduktif sekali gus boleh menjejaskan peluang untuk wanita hamil.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Sebilangan kanak-kanak menyukai unikorn dan anak patung, manakala sebahagian yang lain menggemari kereta serta kereta api bagaimanapun, jika anak anda obses dengan dinosaur dan boleh membezakan antara Brachiosauraus dan Diplodocus, ia mungkin petanda kanak-kanak tersebut seorang yang amat bijak.

Anak Bijak suka dinosaur

Ia berikutan keputusan kajian oleh Universiti Indiana dan Universiti Wisconsin mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam terhadap dinosaur juga mempunyai kecerdasan minda lebih tinggi.

Kajian itu bukan sesuatu yang baharu tetapi kembali popular di internet kerana mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam dalam perkara-perkara seperti dinosaur akan memperoleh banyak manfaat.

Antara faedah yang diperoleh termasuk mereka menjadi lebih tabah, daya perhatian mereka bertambah, manakala kebolehan seperti berfikir secara kompleks dan memproses maklumat turut meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com