Sunday, January 21, 2018

Dunia Hampiri Konflik Perang Dingin Kedua?

Dunia Hampiri Konflik Perang Dingin Kedua?

Pergeseran antara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Russia, krisis di Asia Barat dan persaingan geopolitik di Asia Pasifik boleh jadi pencetus konflik global.

Dunia Hampiri Konflik Perang Dingin Kedua?
USS Carl Vinson.

Konflik NATO-Russia bermula sekitar 2008 apabila Putin mengarahkan tenteranya menyerang Georgia, mengiktiraf kemerdekaan wilayah Ossetia Selatan dan Abkhazia dari Georgia dilihat permulaan baharu konflik di Eropah selepas era Perang Dingin.

Majalah Time menggunakan istilah 'Perang Dingin Kedua' pada 2014 yang menyifatkan Eropah bakal sekali lagi menuju keadaan itu. Sekiranya tidak ditangani dengan baik ia mampu bertukar menjadi konflik berskala global.

Tindakan Amerika syarikat (AS) baru-baru ini menempatkan sejumlah tentera disifatkan 'terbesar selepas era Perang Dingin' di Poland bagi mengawasi Eropah Timur, terutama Bulgaria, Estonia dan Romania, dibalas Russia menerusi pemindahan peluru berpandu berkuasa nuklear jenis Iskander-M ke pangkalan tentera lautnya di Kaliningrad dan Laut Baltik, cukup memberi bayangan bahawa ini bakal menjurus kepada sesuatu lebih serius.

Di Asia Barat, dasar luar AS di bawah George W Bush dan Barack Obama gagal menangani geopolitik rantau itu.

Sejak kejatuhan Saddam Hussein di Iraq dan 'Arab Spring' meletus, AS gagal menstabilkan rantau itu.

Pertukaran rejim dan meletakkan pemimpin boneka atau pro-AS bukan sahaja tidak berjaya, malah membawa rantau itu kepada satu vakum kuasa yang kemudian mencetus krisis dan ancaman baru.

Paling serius apabila vakum ini mencetuskan keganasan yang menular ke peringkat antarabangsa akibat ancaman Daesh.

Perbalahan fahaman Sunnah-Syiah yang mengheret perang saudara terutama di Iraq dan Syria, akhirnya membuka jalan pembabitan kuasa lain.

Perang berskala besar

Kelemahan Obama menangani Daesh digunakan sepenuhnya Russia di Syria, tetapi cuba dimanfaatkan pentadbiran Trump dalam menunjukkan keupayaan beliau sebagai pemimpin selaras dengan matlamatnya 'menjadikan Amerika kembali hebat'.

Lihat reaksi dua tokoh di bawah Trump, Setiausaha Negara, Rex Tillerson dan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley yang mahu Assad dijatuhkan dengan apa cara sekalipun, menggusarkan Russia dan sekutunya, Iran.

Sekiranya berlaku, ia mungkin mengheret rantau Asia Barat kepada perang proksi kuasa besar yang boleh mencetus perang berskala besar membabitkan agama.

Perkembangan Asia Pasifik, terutama Asia Timur juga mampu menyumbang kepada apa yang dibincangkan. Hubungan AS-China yang turun naik, terutama ketika Obama mengumumkan rancangan Pivot Asia dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah faktor besar.

Apabila Trump menggantikan Obama, persaingan geopolitik Asia Pasifik dijangka terus meningkatkan ketegangan sedia ada, terutama antara AS-China.

Lihat bagaimana Trump secara terbuka menekan Presiden China, Xi Jinping ketika pertemuan baru-baru ini di Florida malah, menerusi twitter, Trump menyatakan China harus membantu AS menyelesaikan krisis di Semenanjung Korea sekiranya mahu hubungan ekonomi dipertingkatkan.

Tindakan Pentagon menghantar kapal pembawa pesawat, USS Carl Vinson, dua pesawat pemusnah dan sebuah kapal perang selepas ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara minggu lalu disambut ugutan oleh Pyongyang seperti dilaporkan akhbar Rodong Sinmun bahawa "mereka memantau penuh situasi itu dengan senjata nuklear Korea Utara akan ditumpukan kepada pangkalan tentera AS, bukan sahaja di pusat operasi Korea Selatan dan Pasifik, malah di Tanah Besar China" sememangnya menakutkan.

Apakah bayangan daripada perkembangan ini? Pertama jelas persaingan kuasa dan percaturan geopolitik di antara AS, Russia dan China sebagai kuasa besar tidak pernah luput, walaupun kemungkinan perang antara mereka berskala global masih jauh untuk berlaku dan agak sukar dibayangkan.

AS kelihatan bergelut untuk mengekalkan hegemoninya yang pada ketika ini disaingi hebat kebangkitan baharu Russia dan China, bukan sahaja dari ekonomi, malah ketenteraan.

Impian China menggantikan AS sebagai kuasa besar dunia menerusi konsep 'Guanjun Guoji Genti' dengan melebarkan kekuatan ekonomi kepada kekuatan ketenteraan menakutkan Pentagon dan Rumah Putih.

Namun, itu hanya bermaksud untuk menguatkan cengkaman China ke atas Laut China Selatan dan mengelak AS mencampuri urusan China di Timur Jauh, terutama ke atas Taiwan dan Korea Utara.

Amat sukar membayangkan perang antara AS dan China dalam tempoh terdekat. Kedua-dua AS dan China, sebagai rakan dagang utama akan mengalami kerugian ekonomi besar sekiranya berlaku peperangan.

Pada masa sama, perang di Pasifik juga akan melumpuhkan perdagangan dan penguasaan laut, amat strategik bagi kepentingan geopolitik dan ekonomi China.

Peranan Russia di Asia Barat

Bagi Moscow, tanggapan AS di bawah Trump akan lebih 'mesra Russia' ternyata meleset. Kebimbangan AS terhadap perkembangan di Asia Barat, apatah lagi dengan peranan aktif Russia yang cuba mengisi vakum kuasa AS di Asia Barat dengan mengeksploitasi kelemahan pentadbiran Obama dalam menangani ancaman militan Daesh di Iraq dan Syria, sedang sedaya upaya ditangani pentadbiran Trump.

Oleh itu, mengekalkan status quo serta mengurangkan perang saudara dan ancaman keganasan adalah cara terbaik memastikan ia dicapai.

Di Eropah pula, tindakan Trump yang tiba-tiba memuji NATO sebagai tidak lagi lapuk mengejutkan semua.

Sebelumnya ketika berkempen bagi jawatan presiden, Trump mengejutkan Eropah dengan mengisytiharkan pakatan ketenteraan paling berjaya dalam sejarah adalah lapuk yang akan dikaji semula sekiranya dipilih sebagai Presiden.

'Pusingan-U' Trump ini melegakan NATO yang mahu terus melihat peranan AS dalam hubungan pertahanan transatlantik dan pada masa sama, mengekang Russia daripada mengancam negara Balkan dan Eropah Timur yang cuba menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Dengan krisis ekonomi melembabkan Eropah dan tindakan Britain keluar EU, tentu Eropah tidak mahu ada lagi masalah baharu dalam masa terdekat dan masalah dengan AS antara yang mahu dielakkan.

Melihat perkembangan ini, jelas konflik antara kuasa besar akan terus berlaku dan berubah sejajar dengan kehendak masa dan keadaan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Propoganda Freemason Mencetus Sengketa Sesama Manusia

sumber: bharian

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari 2018 ini dan dijangka mengambil masa selama lima jam 17 minit itu bermula pada jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari 2018).

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018
Gambar hiasan.

"Di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala Sabah dan Sarawak, fenomena ini akan bermula selepas bulan terbit.

"Fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari," kata Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)i.

Gerhana bulan penuh turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari 2018 ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi kedudukan perigee iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini 'Gerhana Supermoon'.

Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 kilometer dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini.

Penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.

Observatori Negara Langkawi, ANGKASA akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.

Beberapa teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.

Lokasi lain boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah Planetarium Negara, Kuala Lumpur; Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi dan kelihatan di Malaysia pada 28 Julai 2018 depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Saturday, January 20, 2018

'Sticker' Terbaharu WhatsApp Boleh Kongsi Grafik Comel

'Sticker' Terbaharu WhatsApp Boleh Kongsi Grafik Comel

Jika sebelum ini WhatsApp berjaya mengadaptasi fungsi stories, pada kali ini WhatsApp dikatakan bakal mengeluarkan fungsi sticker untuk bersaing dengan beberapa aplikasi permsejan yang lain.

Sticker Grafik Comel Whatsapp

Melalui fungsi ini, para pengguna berpeluang untuk berkomunikasi dengan cara lebih fun dan interaktif dengan penyertaan grafik-grafik bersaiz besar dan comel.

WhatsApp juga dijangka bakal mengeluarkan WhatsApp Store untuk membolehkan pengguna mendapatkan sticker yang diingini dengan cara berbayar.

Sticker Grafik Comel Whatsapp

Kemungkinan fungsi terbaru ini bakal disediakan untuk umum selepas mula diperlihat pada WhatsApp versi beta.

Apa pendapat anda mengenai fungsi terbaru WhatsApp ini. Adakah anda pengguna yang sering mencuba fungsi terbaru WhatsApp atau sekadar menggunakan aplikasi ini untuk menghantar pesanan kepada kenalan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Menjana Dosa Multi Level Marketing Melalui WhatsApp!

sumber: thevocket

Kisah Angin Ahmar Dan Nabi Sulaiman

Kisah Angin Ahmar Dan Nabi Sulaiman

Diriwayatkan oleh Ashif bin Barkhiya, ia berkata, "Suatu ketika Nabi Sulaiman bin dawud a.s. melewati sebuah negeri dari salah satu negeri.

Kisah Angin Ahmar Dan Nabi Sulaiman
Gambar hiasan.

Ia di kawal oleh golongan jin dari sisi kanannya dan dari manusia dari sisi kirinya dan burung memayungi diatas kepalanya dan para jin ifrit didepan dan belakangnya.

Tiba-tiba Ia (Sulaiman) melihat sesosok makhluk yang sangat besar, dari kedua tangan dan kirinya keluar semburan api.

Sulaiman berkata, “Aku bertanya kepadamu demi Allah, siapa kamu dan kenapa kamu mendatangiku?”

Dia menjawab, "Hai Nabi Allah, apakah engkau tidak mengenaliku?

Nabi Sulaiman menjawab, “Tidak.”

Dia berkata, “Aku adalah Rihul Ahmar (angin merah). Aku adalah penyakit dari pelbagai jenis penyakit yang telah diciptakan Allah SWT.

"Ketika Allah hendak menghukum, meyEksa salah seorang dari makhluk-Nya, maka Dia mengutus dan menguasakanku kepadanya.

"Jika aku masuk kedalam otak, maka aku akan mendenyutkannya (sakit seperti tertusuk).

"Jika aku masuk kedalam mata, maka aku akan membutakannya.

"Jika aku masuk kedalam lubang hidung, maka akan timbul penyakit, kemudian bergulir ke bawah ke tenggorokan dan memenuhinya.

"Jika aku masuk ke kedua telinga, maka aku ambil pendengarannya (tuli).

"Jika aku masuk di kepala, maka aku datangkan sakit kepala dan migrain dan aku bunuh ia dari rasa sakitnya.

"Jika aku masuk ke dada orang itu, maka aku masukkan penyakit kuning, was-was, radang sendi, penyakit limpa, wajah kekuning-kuningan dan pening.

"Jika aku masuk ke tubuh wanita, maka aku akan memutuskan kehamilannya dan mengeringkan air susunya.

"Akan memunculkan penyakit kusta, kelembaban, dahak, kudis, bisul, penyakit tikus dan babi.

"Jika aku masuk pada pembuluh darah dan saraf, maka aku akan putuskan keduanya sampai aku akan membunuhnya (penyakit strok).

Maka diperintahkan oleh Nabi Sulaiman a.s supaya membakar angin tersebut, maka berkatalah Rihul Ahmar kepada Nabi Sulaiman a.s, "Aku kekal sampai hari Kiamat, tiada sesiapa yang dapat membinasakan aku melainkan Allah SWT."

Lalu Rihul Ahmar pun menghilang.

Diriwayatkan cucu Nabi Muhammad SAW terkena Rihul Ahmar sehingga keluar darah dari rongga hidungnya.

Maka datang Malaikat Jibril kepada Nabi SAW dan bertanya Nabi kepada Jibril.

Maka Malaikat Jibril menghilang sebentar, lalu Malaikat Jibril kembali lalu mengajar doa Rihul Ahmar kepada Nabi SAW kemudian dibaca doa tersebut kepada cucunya dan dengan sekejap cucu Rasulullah SAW sembuh serta merta.

Lalu bersabda Nabi SAW, "Bahawa barang siapa membaca doa stroke, doa Rihul Ahmar walau sekali dalam seumur hidupnya, maka akan dijauhkan dari penyakit ANGIN AHMAR (STROKE)."

Doa menjauhkan terhindar dari angin ahmar dan penyakit kronik:

اللهم إني أعوذبك من الريح الأحمر والدم الأسود والداء الأكبر

"Allahumma inni a'uzubika minarrihil ahmar, waddamil aswad, waddail akbar."

Ertinya: "Ya Allah, Ya Tuhanku, lindungi aku dari angin merah dan lindungi aku dari darah hitam (stroke) dan dari penyakit berat."

Adakah kisah ini sahih dan boleh diamalkan doanya?

JAWAPAN

Keberadaan fenomena di atas adalah merupakan pembicaraan terhadap perkara ghaib dan kita tidak boleh mempercayai keghaiban melainkan harus berdasarkan wahyu, berdasarkan Al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW.

Dan tidak ada di dalam keduanya keterangan tentang keberadaan fenomena Rihul Ahmar ini.

Disebutkan dalam salah satu fatwa para ulama besar yang tergabung dalam Lajnah Daaimah:

“Setelah diadakan penelitian terhadap sebaran ini maka menjadi jelas adanya penyimpangan yang sangat banyak, maka tidak boleh disetujui dan tidak boleh dishare di kalangan khalayak ramai kerana sebaran ini mengandung banyak kesyirikan, kebid’ahan dan lafaz-lafaz yang aneh.

Diantaranya disebutkan di sana, “Kemudian Engkau berkata dengan suara yang bukan suaraMu dengan membaca Al-Qur’an. Kemudian engkau bersuara dengan suara rendah.”

"Membatasi suara dengan pembatasan seperti ini tidak ada dalilnya sama sekali."

"Di dalamnya juga ada permintaan perlindungan dari keburukan makhluk dan dari keburukan Rihul Ahmar (Angin merah).

"Penyebutan angin dengan kriteria seperti ini tidak ada dalilnya sama sekali, kerana Nabi SAW berlindung dari keburukan angin secara mutlak.”

(Fatawa Lajnah Daimah: 24/280).

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bahaya Dan Punca Penyakit Strok

sumber: tehruqyahherbal | bimbinganislam

Khasiat Madu Merawat Kanser

Khasiat Madu Merawat Kanser

Madu sering dikaitkan dengan pelbagai kebaikan untuk kesihatan dan salah satu khasiat madu yang didakwa ialah dapat menjadi penawar penyakit kanser, suatu proses penyakit yang sangat kompleks. Madu juga diketahui mengandungi ciri-ciri antioksidan dan antikeradangan. Ciri-ciri ini adalah daripada kandungan kompoun fenolik yang terdapat di dalamnya.

Khasiat Madu Merawat Kanser

Madu asli yang dihasilkan oleh lebah mengandungi lebih 200 jenis kompoun, mengandungi terutamanya gula (75% gula ringkas iaitu glukos dan fruktos, 10-15% disakarida iaitu sukros, maltos dan lain-lain), air, enzim, vitamin (B6, riboflavin, niacin, thiamin dan lain2), mineral, kompoun fenolik (flavonoid, asid fenolik), pigmen dan lain-lain.

Kualiti sesuatu jenis madu bergantung kepada kandungan asid fenolik dan dikatakan kandungan kompoun asid fenolik paling tinggi di dalam madu manuka, madu monofloral daripada New Zealand, madu tualang dan madu buckwheat monofloral.

Kandungan fenolik di dalam madu berbeza daripada 86 hingga 1141 mg/kg. Kaedah pengukur kandungan fenolik ini juga perlu dipersoalkan kerana jika kaedah yang digunakan tidak betul, maka ia boleh memberi gambaran yang salah tentang isi kandungan fenolik.

Contohnya jika pengkaji menggunakan kaedah Folin-Ciocalteau untuk mengukur fenolik, bacaan yang diberikan nanti adalah lebih tinggi daripada nilai sebenar (”overestimated”).

Isu yang paling bersar adalah biovailabiliti madu ini apabila diambil oleh manusia, maksudnya berapakah kandungan fenolik yang akan dapat masuk ke dalam aliran darah apabila manusia meminum madu tulin.

Kajian ke atas bioavailabiliti ini masih terhad, tetapi ada kajian ke atas madu buckwheat yang menunjukkan kandunagn fenolik di dalam plasma meningkat selepas 2 jam mengambil madu (dos 1.5 gm/kg madu) dan bertahan untuk selama 6 jam. (1, 2).

PUNCA KANSER

Kanser terjadi akibat daripada kelainan genetik dan interaksi dengan faktor-faktor luar yang menjadi ko faktor.

Akibat daripada kelainan genetik ini juga menyebabkan berlaku kelainan metabolisma tisu sehingga menjadi punca transformasi sel yang normal kepada sel-sel kanser.

Kelainan genetik dan epigenetik boleh berlaku akibat daripada proses semulajadi yang berlaku secara spontan dan juga akibat daripada pendedahan ke atas karsinogen melibatkan gen perencat kanser serta onkogen.

Kejadian kanser juga ada dikaitkan dengan proses keradangan yang berlaku serta penglibatan radikal bebas.

Melalui pemahaman inilah wujudnya andaian bahawa sifat antioksidan dan antikeradangan yang ada di dalam madu mungkin mempunyai kesan positif terhadap kanser.

CIRI-CIRI ANTIKANSER DI DALAM MADU

Terdapat beberapa ciri yang membuatkan sesuatu bahan menjadi antikanser. Di antara ciri-ciri tersebut adalah antiproliferatif (anti pembiakan sel), apoptotik (mematikan sel), merencat faktor tumbesaran (growth factors inhibition), antikeradangan dan lain-lain lagi.

Madu telah menjalani kajian dari semua aspek ini walaupun semua kajian-kajian tersebut adalah kajian makmal.

Berikut adalah beberapa fakta mengenai hasil kajian terhadap madu dan potensinya sebagai antikanser.

CIRI-CIRI ANTIPROLIFERATIF (ANTI PEMBIAKAN SEL)

Kajian-kajian tentang ciri antiproliferatif madu ini adalah kajian makmal ke atas lapisan sel-sel kanser di dalam makmal, terdapat kajian ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, usus besar dan juga melanoma. Ciri-ciri antiproliferatif ini di dapati ada di dalam madu.

Madu manuka yang tulin digunakan untuk menguji kesan ini terhadap lapisan sel kanser payudara, melanoma dan kolon tikus.

Madu tualang juga telah didapati menunjukkan ciri-ciri antiproliferatif lapisan sel kanser mulut, kanser payudara, kanser pangkal rahim, leukemia dan sel tulang (osterosarcoma).

Ramai ahli sains percaya ciri-ciri antiproliferatif ini adalah daripada kandungan fenolik di dalam madu.

Satu lagi jenis madu yang menjalani ujian makmal ini adalah madu gelam ke atas lapisan sel kanser usus besar.

Madu tualang didapati mengandungi kandungan fenolik dan flavonoid yang lebih tinggi daripada madu gelam.

Kajian-kajian juga menunjukkan tindakbalas yang berbeza daripada jenis madu yang berbeza serta jenis lapisan sel-sel kanser.

Kebanyakan kajian tidak memberi maklumat terperinci dari segi jumlah lapisan sel-sel kanser yang digunakan.

Kandungan gula di dalam madu juga menentukan kesan madu sebagai antiproliferatif sebab gula diperlukan oleh sel kanser dan pada waktu yang sama dipercayai mempunyai kesan antimutagenik (mencegah mutasi gen).

Kesan antimutagenik ini dikesan paling tinggi oleh madu Buckwheat. Kesan antimutagenik lebih kepada mencegah berlakunya transformasi sel berbanding dengan kesan antiproliferatif yang lebih kepada menghentikan pembiakan sel.

Terdapat juga kajian yang mengambil ekstrak daripada madu untuk melihat kesan antiproliferatif madu, contohnya mengambil Chrysin salah satu kompoun fenolik.

Kesan toksik chrysin ditemui ke atas lapisan sel kanser melanoma. Kesan-kesan cytotoxic Chrysin ke atas lapisan sel kanser payudara, prostat, servik, hati, paru-paru dan pankreas juga ditemui.

Chrysin juga dikesan mempunyai ciri-ciri apoptotik ke atas sel kanser hati, usus besar, prostat, payudara dan paru-paru.

Satu lagi kompoun fenolik yang digunakan untuk kajian ini adalah quercetin ke atas lapisan sel kanser pundi kencing, kanser serviks, ovari dan payudara.

Apa yang menarik adalah ujian-ujian menggunakan kompoun ini secara bersendirian memerlukan kepekatan yang lebih tinggi jika dibandingkan kandungannya di dalam madu asli.

Ini membawa kepada andaian bahawa di dalam madu asli tersebut terdapat bahan-bahan antiproliferatif lain yang bekerjasama bagi menghasilkan kesan yang lebih besar. Bahan-bahan lain ini masih tidak dapat diketahui oleh ahli sains.

CIRI MERENCAT FAKTOR TUMBESARAN

Di samping kesan antiproliferatif, kesan ke atas faktor tumbesaran (growth faktor) juga dikaji.

Setiap kanser mempunyai faktor tumbesarannya sendiri yang jika diransang akan meningkatkan saiz kanser dan jika direncat boleh mengecil dan menghapuskan sel-sel kanser.

Walaupun terdapat kajian kesan madu ke atas faktor tumbesaran yang dilakukan di dalam makmal ke atas lapisan sel kanser payudara dan kanser usus besar, keputusan daripada kajian-kajian ini masih belum mencukupi untuk mengatakan madu mempunyai kesan ke atas faktor tumbesaran.

CIRI APOPTOTIK (MEMBUNUH SEL)

Kesan apoptotik adalah kesan mematikan sel. Kajian mengenai kesan madu di dalam mematikan sel pernah dilakukan ke atas lapisan sel kanser leukemia menggunakan madu Spanish. Kajian ini menunjukkan kesan positif apoptotik pada kepekatan tertentu madu ini.

Madu juga didapati mempunyai kesan mematikan sel-sel kanser yang dihidapi oleh haiwan. Kajian ke atas kanser yang diperolehi daripada tikus dilakukan, suntikan terus ke atas kanser dilakukan menggunakan 0.1 ml, 20% madu selama 3 minggu.

Kajian ini menunjukkan memang ada kesan apoptotik ke atas kanser yang dihidapi oleh tikus ini apabila disuntik dan diberi makan madu yang berkenaan.

Kajian ini adalah ke atas haiwan dan tidak dilakukan perbandingan dengan madu tiruan ataupun campuran gula. Madu manuka telah menunjukkan kesan apoptotik ke atas lapisan sel kanser payudara dan melanoma.

Kajian terhadap madu tualang pernah dilakukan ke atas lapisan sel-sel kanser payudara dan servik juga menunjukkan kesan antikanser.

Kajian terhadap madu gelam dilakukan ke atas lapisan sel kanser usus besar juga menunjukkan kesan yang sama.

CIRI ANTI-KERADANGAN (ANTI-INFLAMATORI)

Keradangan ataupun inflamatori adalah tindak balas biologi ke atas kecederaan. Keradangan mempercepatkan proses penyembuhan luka dan memainkan peranan penting di dalam proses kejadian penyakit.

Keradangan boleh menjadi bermanfaat dan jika berlebihan boleh memudaratkan. Sejenis bahan dikenali sebagai cytokines dihasilkan oleh sel-sel inflamatori yang boleh meransang pembentukan saluran darah baru (angiogenesis) serta pembiakan stroma.

Manakala kerosakan akibat daripada radikal bebas ke atas tisu badan boleh meransang kerosakan gen sel-sel badan.

Proses ini dengan disusuli dengan proses lanjutan yang kompleks boleh menyebabkan transformasi sel normal kepada sel kanser.

Kaitan di antara keradangan dan kejadian kanser memang diketahui oleh ahli sains apabila mendapati banyak jenis kanser berlaku ditempat yang ada berlaku keradangan kronik.

Salah satu jenis cytokines adalah intereukin yang dikesan mempunyai ciri-ciri tumorigenik (ransang ketumbuhan) dan proantiogenik (ransang saluran darah baru).

Kajian makmal ke atas madu tulis menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan merencat penghasilan interleukin menggunakan lapisan sel kanser usus besar manusia.

Walau bagaimanapun, kesan ini tidak dihasilkan oleh fenolik. Ahli sains tidak dapat memastikan apakah bahan yang bertanggungjawab, berkemungkinan daripada modulasi sistem imun menghasilkan radikal bebas.

Terdapat juga bukti kajian ke atas tikus yang menunjukkan kesan ransangan sistem imun oleh madu.

Kajian kecil ke atas 10 orang manusia dilakukan dengan memberi makan madu sebanyak 1.2 gm/kg selama 2 minggu mendapati pengambilan madu sebanyak 1.2gm/kg yang dilarutkan di dalam 250 mls air menyebabkan peningkatan bilangan sel monosit di dalam darah sebanyak 50 peratus dan sedikit peningkatan sel limfosit dan eosinofil.

Di sebaliknya pula terdapat juga kajian yang menunjukkan madu juga mempunyai kesan meransang keradangan iaitu ciri-ciri yang bertentangan, ini mengelirukan ahli sains.

Contohnya kajian menggunakan madu manuka, pasture dan jelly bush menunjukkan madu-madu ini juga meransang penghasilan interleukin dan TNF alfa apabila menggunakan madu 1%.

PENCEGAHAN KANSER

Kajian ke atas kesan madu bagi mencegah dan meningkatkan keberkesan rawatan kanser telah cuba dijalankan ke atas haiwan.

Madu tualang dan madu manuka diberikan kepada tikus pada dos 1gm/kg berat badan satu minggu sebelum kanser diransang ke atas tikus tersebut.

Kanser tersebut dapat dicegah dengan madu berkenaan di mana madu manuka didapati lebih berkesan daripada madu tualang.

Menyuntik madu ke atas kanser pundi kencing yang dihidapi oleh tikus pernah dilakukan dan saiz kanser ini didapati menurun selepas rawatan.

Kajian makmal (menggunakan lapisan sel payudara manusia) juga menunjukkan bahawa madu tualang dapat meningkatkan keberkesanan Tamoxifen melawan kanser payudara.

Madu manuka juga didapati mengurangkan kesan toksi ubat antikanser paclitaxel ke atas tikus. Di dalam kajian ini, madu manuka 50 peratus diberi suntikan intravena.

Bentuk kajian yang sama dilakukan menggunakan campuran madu lebah (madu, royal jelly, pollen grains) ke atas tikus yang mengambil cyclophosphamide.

Pemberian madu tulin sebanyak 500 mg/kg/hari kepada tikus selama satu minggu mengurangkan kesan toksik ke atas buah pinggang yang diakibatkan oleh cisplatin.

KESELAMATAN

Madu telah digunakan semenjak berkurun-kurun yang lalu sebagai sumber nutrisi dan juga merawat luka.

Setakat ini belum ada laporan kesan sampingan yang serius dialami oleh kebanyakan pengamal.

Walau bagaimanapun, memandangkan terdapat banyak jenis madu dengan kualiti yang berbeza dan ada di antaranya diproses dan tercemar maka potensi kesan sampingan boleh terjadi akibat daripada pengambilan madu yang tidak mengikut peraturan ataupun secara berlebihan.

KESIMPULAN

Madu sememangnya dikesan mempunyai kesan manfaat ke atas manusia sebagai sumber nutrisi dan juga digunakan untuk merawat luka serta mengurangkan keradangan.

Ahli Sains perubatan tidak menafikan tentang adanya nilai-nilai pengubatan yang terdapat di dalam madu.

Apa yang istimewa tentang madu adalah ianya mudah diperolehi, murah, senang diambil dan setakat ini majoriti pengamal madu tidak mengalami kesan sampingan yang serius.

Walau bagaimanapun, kajian ke atas madu dan kesannya ke atas penyakit kanser masih terlalu awal. Semua kajian yang dilakukan berkaitan antara madu dan kanser adalah kajian makmal dan kajian haiwan.

Walaupun banyak kajian yang dilakukan itu menunjukkan kesan positif samada antiproliferatif, antikeradangan, apoptotik dan merencat ransangan faktor tumbesaran, ianya tidak cukup untuk dijadikan alasan menggunakan madu untuk merawat ataupun mencegah kanser ke atas manusia.

Di samping itu ahli sains juga masih tidak dapat menentukan apakah sebenarnya kompoun yang bertanggungjawab memberi ciri-ciri tersebut walaupun ramai yang yakin ianya disebabkan oleh fenolik.

Ciri-ciri dan kualiti madu juga berbeza-beza mengikut sumber, tempat ianya dihasilkan, cuaca, penyimpanan dan juga pembungkusan.

Ahli sains juga menghadapi masalah untuk menentukan apakah dos yang sesuai diambil dan jangkamasa pengambilan.

Kajian lanjut yang lebih besar perlu dilakukan dan potensi madu untuk digunakan sebagai bahan pengubatan adalah cerah jika ahli sains berjaya mengesan kompoun yang paling aktif, dos yang optima dan kaedah pemberian yang terbaik.

Di samping itu ahli sains juga perlu mengkaji kesan menggunakan madu bersama dengan kaedah rawatan kanser yang lain bagi menjamin keberkesanan rawatan kanser.

Sehingga rencana ini ditulis, rawatan kanser hendaklah diberikan dengan kaedah rawatan kanser moden yang dikendalikan oleh pakar kanser yang terlatih.

Madu masih dianggap sumber makanan dan suplemen bagi tujuan membekalkan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cara Minum Madu Yang Betul Tapi Ramai Tidak Tahu!

sumber: faktasains

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Negeri Perak sudah pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana sangat terkenal dengan pelancongan alam semula jadi, pulau dan pantai, tempat bersejarah, taman tema dan sebagainya.

Negeri Perak juga merupakan sebuah negeri di Malaysia yang menyediakan begitu banyak tempat menarik untuk dikunjungi oleh mereka yang sangat menyukai dunia haiwan.

Jika anda inginkan percutian yang bercirikan alam haiwan, jangan lepaskan peluang untuk melawati negeri Perak.

Di sini kami senaraikan 14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

1. Zoo Taiping

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Zoo Taiping ini merupakan sebuah zoo yang terbesar dan satu-satunya di utara semenanjung Malaysia iaitu di negeri Perak.

Dengan kawasan zoo seluas 36 ekar ini, Zoo Taiping membawa pembaharuan dengan menggunakan konsep terbuka, dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut.

Zoo ini menempatkan lebih 1200 ekor haiwan yang terdiri daripada 140 spesies terdiri daripada Harimau, Singa, Gajah, Badak Air, Zirafah, Enggang, Orang Utan dan banyak lagi.

Pengunjung boleh datang ke sini untuk beriadah bersama anak-anak dan mempelajari tentang hidupan liar.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8.30am-6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa: RM17.00 | Kanak-kanak: RM8.50

2. Night Safari Zoo Taiping

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Aktiviti Night Safari yang terdapat di Zoo Taiping ini merupakan yang pertama di Malaysia. Night Safari membolehkan pengunjung melihat hidupan-hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semula jadi.

Pengunjung dikehendaki meminimumkan bunyi-bunyi atau suara dan dilarang membawa lampu suluh dan kamera berflash supaya dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan serta tidak mengganggu ketenteraman di sini.

Suatu pengalaman yang menarik untuk melihat hidupan liar dalam suasana malam yang tenang bagi pengunjung yang ingin lari dari kesibukan hari siang di bandar yang dapat dikongsi bersama ahli keluarga.

Waktu Operasi: Ahad – Jumaat dan Cuti Umum (8.00pm – 11.00pm) | Sabtu dan malam sebelum Cuti Am (8.00pm – 12.00am)

3. Eco Park

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Eco Park di Bukit Merah Laketown Resort merupakan sebuah taman tema berasaskan alam semula jadi pasti menjadi tarikan pengunjung.

Merupakan sebuah tempat perlindungan mesra alam semula jadi seluas 3 ekar dengan 3 bahagian iaitu Nature Trail, Reptile Park dan Tropical Trek pasti mengujakan para pengunjung.

Terdapat pelbagai spesies hidupan liar seperti reptilia, primat, mamalia, burung dan ikan dalam persekitaran alam semula jadi berhampiran dengan habitat mereka.

Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan seperti Skycycle, taman haiwan peliharaan untuk pengunjung melihat secara lebih dekat dan banyak lagi.

Pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hidupan liar ini dan merasai pengalaman menyeronokkan juga digalakkan untuk berinteraksi dengan beberapa haiwan yang terdapat Eco Park ini.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00am– 6.00pm) | Jumaat – Ahad (10.00am – 7.00pm) | Cuti Sekolah dan Cuti Umum: Tutup kecuali hari Selasa

Bayaran Masuk: Dewasa (RM18) | Kanak-kanak (RM14) | Warga Emas dan OKU (RM10)

4. Kelip-Kelip Kampung Dew

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika anda ke Taiping jangan lepaskan peluang untuk ke Kampung Dew yang terletak di kawasan Simpang Ampat, Semanggol.

Pengunjung dapat melihat kelip-kelip yang menjadi tarikan eko-pelancongan dan pastinya sangat menyeronokkan.

Lokasi pelancongan sebegini amat jarang terdapat di dunia terutamanya di Malaysia, pengunjung dapat melihat dan mempelajari mengenai spesies kumbang ini secara dekat.

Pengunjung tidak perlu risau kerana anda akan dibawa menaiki feri melawat kawasan habitat ini, mengambil masa selama 30 minit untuk pergi dan balik, setiap bot atau feri ini juga boleh memuatkan 5 sehingga 7 orang penumpang, bergantung kepada saiznya.

Kelip-kelip dengan jumlah yang banyak berterbangan mengeluarkan cahaya pada waktu malam di sini sangat mempesonakan anda seolah-olah melihat bintang di langit.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 10.00pm)

5. Pulau Orang Utan

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pulau Orang Utan merupakan sebahagian daripada pusat peranginan Bukit Merah Laketown Resort, uniknya pusat penjagaan Orang Utan ini kerana terletak di tengah tasik kira – kira 10 minit dari Bukit Merah.

Pengunjung perlu menaiki bot untuk melawat pusat perlindungan Orang Utan ini. Pulau seluas 35 ekar ini menempatkan lebih 20 ekor orang utan dari peringkat umur bayi sehingga dewasa.

Di pulau ini pengunjung dapat melihat secara jelas orang utan melakukan aktiviti harian mereka melalui terowong sangkar besi sepanjang 100 meter.

Pusat perlindungan ini juga memberi suatu kelainan yang tersendiri berbeza dengan mana-mana perlindungan Orang Utan yang lain kerana berada di habitat semula jadinya sendiri.

6. Burung Enggang di Pasir Bogak

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pengunjung dapat melihat secara dekat burung Enggang di Pasir Bogak yang merupakan salah satu kawasan di Pulau Pangkor.

Merupakan tarikan utama pelancong untuk menyaksikan sendiri spesies burung unik ini selain daripada pantainya yang unik berbanding pusat peranginan lain di negara ini.

Pengunjung berpeluang untuk melihat spesies burung ini yang semakin mesra dengan lebih dekat setiap petang, jika bernasib baik pengunjung berpeluang memberi makan secara terus dari tapak tangan.

7. Lost World Petting Zoo

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Lost World Petting Zoo merupakan salah satu tarikan utama di Lost World of Tambun, tarikan baharu ini meliputi kawasan seluas 80,000 kaki persegi.

Dibina di dalam hutan semula jadi dengan berlatar belakangkan bukit batu kapur menjadikan ianya tumpuan pelancong dari serata negara.

Terdapat lebih 4,000 haiwan seperti burung, rakun, ular sawa, kura-kura gergasi, monyet, rusa, rubah dan sebagainya.

Merupakan tempat rekreasi yang menyeronokkan dan pembelajaran untuk pengunjung dari semua peringkat umur meluangkan masa bersama keluarga berinteraksi lebih dekat, sambil menghargai haiwan-haiwan yang terdapat di sini.

8. Tiger Valley

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Di lokasi ini pengunjung dapat melihat harimau Siberian secara dekat. Pengunjung berpeluang untuk berkunjung ke Tiger Valley di Lost World of Tambun yang menjadi tarikan utama pelancong bagi melihat kelincahan dan kekuatan haiwan liar yang tergolong daripada keluarga kucing liar yang terbesar ini.

Di samping, berpeluang untuk melihat haiwan tersebut diberi makan oleh pelatih.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (3.00am – 4.00pm)

9. Pusat Konservasi Hidupan Liar

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai diuruskan oleh Jabatan Perhilitan Perak, dengan keluasan melebihi dari 50 hektar, telah mula beroperasi pada tahun 1971.

Penubuhan pusat ini adalah bertujuan untuk menjadi pusat pembiakan, mengawal dan mengelak kepupusan haiwan yang terancam.

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar ini terletak 15 kilometer dari Pekan Sungkai, kira-kira 40 kilometer dari Teluk Intan.

Pengunjung dapat melihat lebih daripada 100 ekor rusa berkeliaran bebas di tapak pembiakan dan pemuliharaan.

Pusat ini juga menempatkan haiwan seperti seladang dan pelbagai spesies burung, rusa serta harimau.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma

10. Ladang Ternakan Rusa

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika pengunjung ingin melihat pelbagai jenis spesies rusa secara lebih dekat terdapat sebuah ladang ternakan Rusa di Kampung Manderang, Sungkai, Perak.

Ladang ini berkeluasan 100 hektar telah ditubuhkan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar. Di sini, anda dapat melihat pelbagai spesies rusa yang berlari dan hidup dengan bebas, sama seperti apa habitat semula jadi rusa.

Dibuka kepada orang awam pada tahun 1978 dengan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhilitan, ladang ini juga menyediakan tempat perlindungan bagi spesies burung tertentu dan pelbagai hidupan liar yang lain.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 4.15pm)
Bayaran Masuk: Percuma

11. Taiping Equine Park

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika anda ingin merasai pengalaman menunggang kuda, jangan lupa untuk singgah ke Taiping Equine Park.

Merupakan taman yang sangat inovatif yang boleh dinikmati oleh anda sekeluarga. Di sini terdapat banyak kuda-kuda yang sangat mesra dan boleh juga ditunggang oleh kanak-kanak.

Pengalaman menunggang kuda di sini akan menjadi pengalaman yang terbaik untuk anda rasai jika melancong ke negeri Perak ini.

12. Pusat Pengurusan Penyu Segari

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pusat Pengurusan Penyu Segari merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak yang terletak di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak.

Merupakan pusat pemuliharaan haiwan terancam ini sebelum dilepaskan ke dalam laut. Dua jenis penyu yang mendarat di Pusat ini adalah Penyu Lipas dan juga Penyu Agar.

Jika pengunjung ingin melihat aksi penyu mendarat boleh berkunjung ke sini sekitar bulan Mac hingga Julai.

Di sini pengunjung dapat melihat pameran mengenai penyu dan kitaran hayat mereka, melawat tapak penetasan penyu, kolam penyu dan melihat perlepasan anak-anak penyu ke dalam laut.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00am – 5.00pm) (12.30am – 2.00pm)

13. Santuari Burung Kuala Gula

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Kuala Gula dikenali sebagai perkampungan nelayan di garis pantai negeri Perak. Kedudukan lokasi ini juga terdiri daripada bahagian Hutan Simpan Paya Laut Matang.

Kuala Gula juga terkenal di kalangan pemerhati burung tempatan mahupun dari antarabangsa kerana terdapat burung migrasi.

Di samping itu, pelbagai kemudahan yang disediakan seperti chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan merasai keindahan alam semula jadi paya bakau yang didiami oleh beribu-ribu burung yang singgah dari seluruh pelosok dunia.

14. Taman Alam Kinta

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Taman Alam Kinta atau juga dikenali sebagai Taman Burung di Kampung Pisang, Batu Gajah, sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari dalam dan luar negara kerana menjadi habitat lebih dari 150 jenis burung air antaranya burung kuang, raja udang, belatuk, wak-wak, tiong air, penyelam, bangau dan banyak lagi.

Bekas lombong bijih timah yang berkeluasan seluas 900 hektar ini menjadi habitat burung-burung residen dan migrasi.

Terdapat sebuah menara pemerhati burung juga dibina khas untuk pelancong memerhati habitat burung-burung air di Taman Alam Kinta ini dengan lebih mudah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 12 Lokasi Menarik Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Di Perak

sumber: maisinggah

'3 Petua Bagaimana Saya Menjadi Jutawan Muda'

'3 Petua Bagaimana Saya Menjadi Jutawan Muda'

Ramai yang mengimpikan menjadi usahawan dan pastinya dikalangan itu juga ramai yang ingin menjadi usahawan jutawan muda. Apa taknya, bila dilihat dikaca TV memang gah digambarkan dalam filem usahawan muda berkereta sport dan rumah di tepi pantai dan bersuka ria setiap hari.

'3 Petua Bagaimana Saya Menjadi Jutawan Muda'

Namun, mungkin bukan seperti itu niat kita ingin menjadi berjaya dalam perniagaan ketika muda, mungkin pula dengan wang tambahan boleh memberi sedikit kemewahan kepada diri sendiri dan keluarga, dapat membawa ibu bapa kesayangan menunaikan haji, membawa keluarga melancong, serta memperbaiki gaya hidup diri dan keluarga seandainya menjadi jutawan.

Tidak kira apa sahaja niatnya kini, menjadi jutawan pada usia yang mudah bukan lagi mustahil. Semakin ramai usahawan-usahawan muda yang berjaya dilahirkan tidak kira, di dada akhbar dan juga di TV, sering dikongsikan kisah-kisah kejayaan usahawan jutawan ini.

Yang menariknya juga, tidak kira bidang apa, dari bidang pertanian, perindustrian atau bidang fotografi, hinggalah bidang percetakan, pastinya ada usahwan jutawan muda yang mencorak nama di dalam industri masing-masing.

Diri saya sendiri (Irfan Khairi) juga menjadi sebutan sejak tahun 2006 lagi dengan gelaran “Jutawan Internet Muda”.

Namun, soalan yang sering ditanya ramai adalah, bagaimana hendak menjadi usahawan jutawan muda?

Artikel kali ini saya ingin kongsikan 3 petua dari pengalaman saya sendiri, khas untuk usahawan-usahawan muda apakah caranya untuk menjadi jutawan muda.

1. Lakukan perniagaan yang anda minat sangat-sangat

Amat penting untuk memulakan perniagaan yang menarik minat anda. Minat ini pula, bukanlah minat yang dikatakan “saja cuba-cuba” atau “cuba test try” tengok macam mana, ok ke tidak menjalankan perniagaan ini!

Minat yang saya maksudkan adalah minat yang amat sangat dalam sesuatu bidang itu. Mungkin sehingga menjadi hobi.

Contohnya, sekiranya minat dalam fotografi, jadikan itu sebagai perniagaan anda. Sekiranya minat dalam muzik, jadikan bidang muzik sebagai perniagaan anda.

Jangan memulakan sesuatu perniagaan yang anda tidak minat kerana minat adalah umpama gasolin yang menyalakan api dengan lebih hebat lagi.

Dalam perniagaan pastinya ada turun naik perniagaan. Ada juga akan kedengaran suara-suara negatif yang menganggu, dari kawan dan juga lawan.

Namun, dengan minat yang sungguh mendalam dalam sesuatu bidang itu, kita tidak akan mudah goyang dengan kegagalan atau anasir-anasir negative yang mungkin datang menganggu. Sebabnya, kita lakukan kerana minat!

2. Banyak membaca dan belajar

Ketahui bahawa untuk berjaya, memerlukan ilmu. Tidak semestinya mendapat kelulusan dari university.

Ramai usahawan jutawan yang saya kenali tidak mempunyai segulung ijazah pun tetapi, yang pasti ilmu mereka adalah tinggi dalam bidang perniagaan.

Ilmu boleh diperolehi dari buku-buku perniagaan di pasaran. Zaman kini, ilmu di hujung jari membolehkan kita membaca pelbagai teknik, dan strategi kejayaan di Internet juga.

Sekiraya malas membaca seperti ramai antara kita, YouTube itu sendiri mengandungi pelbagai ilmu perniagaan yang boleh didalami.

Pendek kata, zaman ini, tiada alasan untuk tidak mencari ilmu oleh kerana ianya terdapat di mana-mana sahaja.

Untuk berjaya, tidak semestinya kita melakukan sesuatu yang baru yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain.

Mencapai kejayaan usahawan jutawan telah dicapai oleh ramai usahawan. Tugas anda adalah melihat dan belajar daripada kisah-kisah kejayaan ini dan aplikasi kepada diri anda sendiri.

3. Cari sokongan sekeliling

Jauhkan daripada mereka yang sering berfikir dan bercakap negatif. Mereka akan menghilangkan keyakinan diri dan semangat anda.

Dekatkan diri dengan mereka yang berfikir positif dan bercakap postif. Mereka akan meningkatkan keyakinan dan semangat anda untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

Sememangnya benar, sokongan sekeliling adalah amat penting. Sekiranya kenalan kita sekeliling di kategorikan sebagai kaki lepak, lambat laun, kita sendiri pun akan turut sama jadi kaki lepak.

Tetapi sekiranya kenalan kita sekeliling terdiri daripada usahawan-usahawan, pastinya aura keusahawanan itu juga dapat pada diri kita sendiri.

Bayangkan keadaan di mana anda mempunyai masalah perniagaan dan kongsikan masalah tersebut pada kenalan kaki lepak.

Pastinya jawapannya adalah, “Tu la engkau ni, aku dah kata dah. Susah buat bisnes. Baik lepak je."

Tetapi, sekiranya masalah yang sama dikongsikan dengan kenalan usahawan pula, pastinya jawapan adalah, “Eh, biasa lah tu dalam perniagaan. Jangan risau kalau tak dapat sale, aku dulu pun tak dapat sale juga. Jom kita pergi sama-sama buat sale.”

Mempunyai sokongan yang padu dari kenalan dan keluarga sekeliling pastinya akan dapat membantu anda dalam mencapai kejayaan.

Kesimpulan

3 petua ini adalah petua yang saya sendiri amalkan sejak dulu lagi ketika mula memulakan perniagaan ketika umur saya di awal 20-an sehingga hari ini.

Saya akan pastikan sekiranya saya memulakan sesuatu perniagaan, saya akan lakukan perniagaan yang menurut minat saya dan selalu mencari ilmu di mana-mana sahaja.

Saya tidak mudah putus asa dan berusaha secara konsisten serta akan mencari jaringan kenalan usahawan dalam menyokong usaha saya.

Mudah-mudahan petua ini dapat membantu anda, mana tahu anda pula yang akan menjadi usahawan jutawan muda seterusnya!

Oleh Irfan Khairi (Ekstrak artikel Harian Metro).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Dalam Bisnes Jual Beli Hargai Orang Asing, Itu Pesanan Jack Ma

sumber: myluvitamin

10 Perkataan Pelik Bahasa Inggeris Yang Sebenarnya Wujud

10 Perkataan Pelik Bahasa Inggeris Yang Sebenarnya Wujud

Perkataan seperti hullaballoo, ragamuffin, kerfuffle dan whippersnapper merupakan perkataan pelik yang wujud dalam kamus Bahasa Inggeris Oxford, namun perkataan itu hanya bunyinya saja pelik.

10 Perkataan Pelik Bahasa Inggeris Yang Sebenarnya Wujud

Bagaimana pula dengan perkataan Bahasa Inggeris yang memang pelik dan kita tak menyangka pun sebenarnya wujud dan mempunyai makna yang tak ganjil pun?

Mari kita belajar 10 perkataan pelik itu dan maknanya.

1. "AA"

Siapa sangka "aa" adalah sejenis perkataan yang merujuk kepada 'lava gunung berapi yang mengalir yang mempunyai lapisan berbuih di atasnya.'

Selain daripada itu, "aa" juga mendapat penghormatan menjadi perkataan pertama dalam kamus Bahasa Inggeris edisi Oxford.

2. "DIDI"

Perkataan "didi" yang membawa maksud "kakak" berasal dari Masyarakat India telah pun diiktiraf sebagai satu perkataan rasmi Bahasa Inggeris.

Jadi, apa kata untuk semua gadis di luar sana yang suka gunakan 'sis' sebagai kata rujuk kawan perempuan lain, cuba gunakan 'didi' pula.

3. "DONKEYMAN"

Perkataan ini bukanlah merujuk kepada seseorang yang terhasil selepas kacukan keldai dan manusia berlaku.

Ia juga bukan merujuk kepada seorang manusia yang bersifat seperti keldai.

'Donkeyman' merujuk kepada seseorang yang bekerja dalam bahagian enjin sesuatu kapal.

4. "E-TAILER"

Jika peniaga berbentuk tradisional dengan premis digelar 'retailer', dalam Bahasa Inggeris sekarang ini sudah wujud perkataan khas untuk peniaga yang tidak ada premis perniagaan dan hanya meniaga melalui internet iaitu 'e-tailer."

5. "EUCATASTROPHE"

'Catastrophe' adalah bencana yang menimpa, rasanya kita semua tahu perkara itu. 'Eucatastrophe' pula adalah lawan kepada 'catastrophe' - ia membawa makna sebuah pengakhiran atau 'ending' yang baik.

Janganlah tersilap pula kalau ada orang ucapkan pada kita "I hope you have a eucatastrophe today!"

6. "FUTZ"

Pernah buat sesuatu hanya kerana tak tahu nak buat apa dan hanya sekadar menghabiskan masa?

Perbuatan itu adalah 'futz.'

Contoh penggunaannya - "Everyday I futz for around 7 to 8 hours and then I go back home."

7. "O-O"

Nampak macam emoji kan? 'O-O' sebenarnya merujuk kepada sejenis spesis burung yang hampir pupus dan hanya wujud di Hawaii. Macam mana nak menyebutnya? Sebutannya berbunyi "Ow-Ow".

8. "SCOFFLAW"

Perkataan 'scofflaw' ini berpunca daripada dua perkataan iaitu 'scoff' dan 'law.' Scoff membawa maksud tidak mempedulikan dan Law pula membawa maksud undang-undang.

Jadi, 'scofflaw' membawa maksud seseorang yang tidak mempedulikan undang-undang. Adakah anda seorang scofflaw hari ini?

9. "VIDIOT"

Akhirnya, kita ada juga perkataan khas untuk kita gelarkan pada orang yang suka rancangan-rancangan yang tidak berkualiti dan berfaedah.

'Vidiot' merujuk kepada individu yang menonton television atau video yang rendah kualitinya serta tidak peduli tentang perkara itu.

10. "XERTZ"

"Xertz' membawa maksud perbuatan seseorang makan dan minum dalam keadaan tamak dan gopoh.

Penggunaannya adalah seperti berikut, "Why you are xertzing yourself? There's plenty of food enough for everyone."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi