Sunday, January 21, 2018

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Loading...

Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada 31 Januari 2018 ini dan dijangka mengambil masa selama lima jam 17 minit itu bermula pada jam 6.51 petang hingga 12.08 tengah malam (1 Februari 2018).

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018
Gambar hiasan.

"Di Semenanjung, gerhana sedang berlaku ketika bulan terbit di ufuk timur, manakala Sabah dan Sarawak, fenomena ini akan bermula selepas bulan terbit.

"Fasa gerhana penuh maksimum adalah pada jam 9.29 malam dan keseluruhan gerhana berakhir pada jam 12.08 tengah malam iaitu pada 1 Februari," kata Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)i.

Gerhana bulan penuh turut berlaku di timur Eropah, timur Afrika, Asia, Australia dan Amerika Utara.

Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris dan keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra bumi.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih mutiara kepada warna kemerahan dan kemudiannya kembali ke warna aslinya sepanjang tempoh lima jam.

Warna kemerahan akan dapat dilihat ketika fasa penuh gerhana bulan pada 31 Januari 2018 ini berbeza daripada gerhana bulan penuh yang lain bergantung kepada beberapa faktor termasuk keadaan di atmosfera atas bumi dan kedudukan bulan di sepanjang orbitnya.

Ketika hampir berlakunya gerhana pada 31 Januari ini, bulan sebenarnya baru saja melepasi kedudukan perigee iaitu sehari sebelumnya dengan jarak 358,993 kilometer dari bumi, sekali gus menjadikan gerhana kali ini 'Gerhana Supermoon'.

Supermoon akan berlaku apabila bulan berada pada jarak kurang 360,000 kilometer dari bumi dan tiada peralatan tertentu diperlukan untuk melihat fenomena ini.

Penggunaan teleskop dan binokular akan dapat membantu untuk melihat dengan lebih jelas.

Observatori Negara Langkawi, ANGKASA akan mengadakan aktiviti pencerapan bagi orang awam untuk menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.

Beberapa teleskop mudah alih akan disediakan kepada pengunjung yang hadir dan penyertaan adalah percuma.

Lokasi lain boleh dikunjungi orang ramai untuk aktiviti pencerapan adalah Planetarium Negara, Kuala Lumpur; Balai Cerap Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sungai Lang Parit Baru, Sungai Ayer Tawar, Selangor dan Balai Ceral Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi Pantai Tok Jembal, Terengganu; Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah dan Balai Cerap Kota Bharu, Kampung Kubang Rawa, Salor, Kelantan.

Gerhana bulan penuh akan berlaku sekali lagi dan kelihatan di Malaysia pada 28 Julai 2018 depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon