Tuesday, August 29, 2017

Warkah Terakhir Pesakit Kanser, Nasihat Dan Jenaka Yang Sangat Mengharukan

Warkah Terakhir Pesakit Kanser, Nasihat Dan Jenaka Yang Sangat Mengharukan

Ketika Heather McManamy disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2013 lalu, beliau bertekad untuk terus tabah dan kekal sebagai wanita yang gemar berjenaka walau di ambang ajal, lapor Mashable.

Heather McManamy

Heather telah mencipta koleksi kad ucapan untuk anak perempuan beliau, Brianna, bermula dari hari pertama persekolahan sehinggalah ke hari perkahwinan.

Kesemua kad ini telah dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk buku berjudul Cards for Brianna yang diterbitkan oleh Sourcebooks.

Apabila Heather meninggal dunia pada 15 Disember 2015 pada usia 36 tahun, dia masih mahu menenangkan hati ahli keluarga dan rakan terdekat agar tidak bersedih dengan pemergian beliau.

Heather sebenarnya telah meminta suami beliau, Jeff, untuk menyiarkan ‘warkah terakhir’ beliau di Facebook sesudah beliau meninggal dunia.

Surat yang disiarkan di status Facebook Heather serta-merta mendapat perhatian pengguna Facebook kerana mesej yang disampaikan penuh mendalam, mengharukan, sambil diselang-seli dengan unsur jenaka yang membuat para pembaca tersenyum sambil mengesat air mata.

Cards for Brianna

“Jadi, saya ada beberapa berita baik dan berita buruk,” surat Heather bermula.

“Berita buruk, nampaknya saya sudah meninggal dunia.

"Berita baik, kalau anda sedang membaca (surat) ini, berkemungkinan besar anda masih belum meninggal (kecuali memang ada wifi di alam barzakh).”

Heather menyambung surat dengan menyatakan beliau sudah tidak akan bersama lagi dengan orang yang tersayang dan berpesan kepada mereka semua agar berkongsi memori indah bersama anak beliau, Brianna, dan tidak kekal meratap kesedihan.

“Jangan sesekali katakan saya dikalahkan kanser,” tulis beliau.

“Mungkin kanser sudah merampas hampir segala-galanya dari hidup saya, tetapi kanser tidak pernah merampas cinta dan harapan dan kebahagiaan saya.

“Ini bukan peperangan, ini cuma hidup yang memang selalunya rambang dan tidak adil, kadangkala itulah yang berlaku.

"Saya tidak kalah. Saya rasa cara saya hidup bertahun-tahun dengan kanser satu kejayaan. Ingat itu.”

Heather McManamy

Heather mengakhiri nota tersebut dengan mengingatkan rakan dan ahli keluarga untuk menikmati hidup sepenuhnya dan menghargai setiap hari.

“Raikan keindahan hidup dengan parti yang hebat sebab kamu semua tahu itu yang saya mahukan dan saya percaya saya akan hadir juga ke sana (kamu tahu saya tak suka terlepas semua keriangan itu).

"Saya sangat berharap dapat menghantui kamu semua, jadi ini bukan ucapan selamat tinggal.”

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Sejarah Dan Evolusi e-Dagang

Sejarah Dan Evolusi e-Dagang

Beraneka tafsiran diberikan masyarakat berkaitan istilah E-dagang mengikut kefahaman dan pengetahuan masing-masing.

Sejarah e-Dagang

E-dagang bermula di awal tahun 1970an yang mana pada masa itu penggunaan aplikasi masih terbatas mengikut perusahaan kecil sahaja.

Terlalu banyak persoalan berkaitan e-dagang diajukan kepada pihak berkaitan, namun masih belum difahami.

Mengikut Chaffey et.al, (2000) mengatakan bahawa e-Dagang merupakan satu proses jual beli menerusi internet yang lebih dikenali sebagai World Wide Web (WWW).

Walau demikian, masih terdapat pengertian berbeza mengenai sejarah e-dagang ini.

Menurut pandangan Kalakota dan Whinston (1997), dalam buku M. Suyanto (2003) menjelaskan, e-dagang adalah satu perspektif komunikasi, perspektif perkhidmatan atau servis dan juga proses perniagaan atas talian yang dipanggil online.

Dapat dilihat pelbagai pandangan dan takrifan mengenai sejarah e-dagang dalam dunia global masa ini.

Mengikut sejarah, pada tahun 1997, e-dagang dibangunkan oleh Syarikat International Business Machines (IBM) yang menjadikan penggunaan e-dagang popular sehingga masa kini (Chaffey, 2007).

E-dagang ini dikenali sebagai transformasi proses perniagaan melalui penggunaan medium teknologi maklumat (IT).

Hal ini menerangkan bahawa penggunaan IT dalam perniagaan hari ini berupaya membezakannya dengan perniagaan secara tradisional.

Ia juga menjadi sebuah platform ruang perniagaan yang luas bagi mempercepakan dan memudahkan proses kitaran perniagaan khususnya melibatkan urusan penempahan barangan dan perkhidmatan daripada pengguna mahupun urusan jual beli.

Secara terperinci e-dagang meliputi pelbagai jenis perniagaan, daripada pengguna laman berasaskan runcit, melalui laman web lelongan atau muzik, barang-barang perniagaan perdagangan bursa dan perkhidmatan antara syarikat.

Pada masa ini, e-dagang menjadi aliran utama bagi pelancaran sesuatu perniagaan untuk urusan jual beli dan perkhidmatan kepada pengguna secara global (Reynold, 2004).

E-dagang bukan sahaja kaedah pengedaran barang atau perkhidmatan menerusi elektronik, tetapi juga sebagai hubungan antara pelanggan dengan organisasi yang mana bukan hanya untuk berkomunikasi menerusi laman sesawang, tetapi juga untuk proses pembelian sesuatu barangan yang ditawarkan pelbagai organisasi.

Menurut Hanson, (2000) perniagaan dan transaksi pembelian barangan dan perkhidmatan dalam internet melonjak tinggi akibat peningkatan penggunaan internet masa kini.

E-dagang sememangnya banyak menonjolkan aktiviti seperti pertukaran dengan perniagaan yang lain khususnya digunakan sesebuah syarikat dalam menyokong urusan pembelian, penjualan dan aktiviti yang melibatkan penggunaan laman sesawang.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai maksud dan istilah berkaitan konsep ini.

Sebagai contohnya e-dagang, e-perniagaan atau e-commerce merangkumi maksud transaksi elektronik yang sama seperti Perniagaan kepada Perniagaan (B2B), Perniagaan kepada Pengguna (B2C), Pengguna kepada Penggunan (C2C), mobile commerce(m-c) dan lain-lain lagi.

Terlalu banyak pentafsiran berkaitan e-dagang dan e-perniagaan ini dan sekiranya dilihat iamya adalah sama dan membezakannya hanyalah istilah sahaja.

Konsep berkaitan e-dagang ini bergantung kepada pandangan seseorang itu.

Walau bagaimanapun, ia meliputi segala aspek urusan perdagangan dan kewangan yang bukan hanya bergantung kepada urusan jual beli semata-mata.

Ia juga sebagai peranan bagi meluaskan hubungan perdagangan ke seantero dunia menerusi penggunaan teknologi masa kini yang tidak terbatas.

Tambahan lagi, skop e-dagang ini meliputi pelbagai pihak antaranya penjual, pelanggan, pembeli, orang awam dan juga organisasi.

Perlu dikethaui juga, perkembangan e-dagang ini bermula daripada internet. Hal ini membuktikan penggunaan internet merevolusikan aktiviti perdagangan menjadi aktiviti terpenting dalam mengutamakan perkembangan ekonomi yang pesat dan maju.

Kewujudan e-dagang juga berupaya melicinkan perjalanan aktiviti perniagaan dan transaksi kewangan tidak mengira had dan sempadan.

Segala perhubungan dan penyebaran informasi perdagangan mencorakkan titik penting dalam pengusaha mengembangkan dan memperluaskan penggunaan e-dagang secara global.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hafizmustafar123

Pumice Rock Batu Pelik Yang Terapung Atas Air!

Pumice Rock Batu Pelik Yang Terapung Atas Air!

Untung sabut timbul untung batu tenggelam mungkin ungkapa lama yang tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman ini.

Pumice Rock

Tahukah anda ada sejenis batu yang dinamakan Pumice Rock, akan timbul dan bukannya tenggelam apabila diletakkan dalam air! Pelik kan.

Batu pelik ini secara fizikalnya berwarna terang, berliang dan ringan berbanding batu-batu lain.

Pumice Rock terbentuk bersama mineraloid, sejenis unsur keras berwarna jernih seperti kaca, selepas letusan gunung berapi ketika lava keluar daripada kawah gunung.

Berdasarkan kajian geologi, Pumice Rock bersifat vesikel (memiliki banyak ruang udara) dan memiliki tiga komposisi utama iaitu riolit, basalt dan andesit.

Walau bagaimanapun, proses apungan di dalam air hanya berlaku dalam tempoh tertentu mengikut saiz batu.

Lebih besar saiz batu, lebih lama Pumice Rock akan terapung dipermukaan air kerana mengandungi lebih banyak gelembung udara sebelum tenggelam.

Permintaan Tinggi Dipasaran

Pumice Rock

Selain pelik, Pumice Rock juga mendapat permintaan tinggi dipasaran.

Dalam industri kosmetik, Pumice Rock banyak digunakan untuk menghasilkan produk pengilat kuku, skrub muka dan kaki, gel mandi dan banyak lagi.

Dalam industri pembinaan, Pumice Rock digunakan untuk menghasilkan blok batu-bata untuk pembinaan rumah, bangunan, hortikultur, hiasan landskap, parit dan sebagainya.

Pumice Rock selain ringan, mampu menyerap udara dan secara tidak langsung berfungsi sebagai penebat haba yang sangat baik.

Turut dikenali sebagai batu terapung, Pumice Rock satu-satunya batu yang boleh terapung di dalam air.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Ibu Tunggal Menderita Kanser Paru-paru Tahap Empat Perlu Bantuan Orang Ramai

Ibu Tunggal Menderita Kanser Paru-paru Tahap Empat Perlu Bantuan Orang Ramai

Seorang ibu tunggal yang menderita kanser paru-paru tahap empat, peringkat paling serius penyakit itu, memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos perubatannya yang dianggarkan mencecah RM1 juta bagi tempoh dua tahun.

Sharizan Mohd Saleh Kanser

Sharizan Mohd Saleh, 33, dari Klang, berkata sesi rawatan imunoterapi yang dijalaninya memerlukan perbelanjaan RM30,000 untuk setiap tiga minggu di institusi perubatan swasta berikutan hospital kerajaan tidak menyediakan rawatan itu.

“Saya kini dalam senarai menunggu untuk sesi kimoterapi di hospital kerajaan tetapi tempoh dan waktu sebenar tidak dinyatakan.

"Saya boleh membuat rawatan kimoterapi di Institut Kanser Negara tetapi saya tidak berkemampuan.

"Saya perlu menjalani sesi imunoterapi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun bagi membolehkan saya sembuh dengan izin Allah dan menjalani kehidupan lebih baik ” katanya.

Wanita itu yang mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Aniq Nabawi, 4, berkata perlindungan insurans peribadinya digunakan sejak beliau dikesan menghidap kanser tahap 3 pada April 2016 selain rawatan pembedahan paru-paru kanan dan membuang nodus limpanya.

Namun, kanser itu dikesan kembali pada Mei lepas dan disyorkan segera menjalani rawatan imunoterapi iaitu rawatan menggunakan sistem imun diri untuk melawan kanser pada Jun lepas, namun kos tinggi menghalang beliau menjalani terapi itu, katanya.

“Lagi lama rawatan ditangguhkan, keadaan kesihatan saya akan terus merosot dan sukar untuk sembuh dan kembali normal,” katanya.

Rakyat Malaysia khususnya, di alu-alukan untuk menderma dengan melayari https://give.asia/story/help_sha_kicks_cancer atau menyumbang terus ke akaun Maybank bernombor 512044534207 atas nama Sharizan binti Mohd Saleh.

Jom hulurkan bantuan.

BACA INI JUGA: Daun Magik Herba Rerama Pakcik Khamarul Sembuhkan Kanser, AIDS, SLE?

sumber: astroawani

Jasad Michael Jackson Tiada Dalam Kubur!

Jasad Michael Jackson Tiada Dalam Kubur!

Selepas hampir sepuluh tahun disemadikan, kubur raja pop dunia, Michael Jackson yang terletak di tanah perkuburan Forest Lawn di Los Angeles dilaporkan kosong.

Michael Jackson

Menurut beberapa laporan media antarabangsa, pihak keluarga Michael Jackson memang sengaja merahsiakan lokasi makam penyanyi lagu hit Beat It itu.

Ibunya, Katherine Jackson, mendedahkan mayat Michael Jackson tidak ada di dalam keranda saat dimakamkan pada tahun 2009.

Menurut sumber yang memberitahu Radar Online, ramai menyangka jasad Michael Jackson dikebumikan di Forest Lawn, namun sebenarnya tidak.

“Semua orang menyangka Michael Jackson ditanam di Forest Lawn, tapi sebenarnya tidak.

“Keluarga Micheal Jackson merahsiakan lokasi sebenar kubur atas alasan keselamatan selain untuk mengabulkan permintaan Michael.

“Bagaimanapun, Katherine sudah mendedahkan rahsia ini kepada beberapa teman rapatnya,” kata sumber tersebut.

Menurut sumber yang sama, tindakan Katherine itu adalah disebabkan kebimbangannya jika mayat Michael Jackson dicuri.

“Keluarga Micheal Jackson bertengkar selama berbulan-bulan kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Katherine sangat paranoid dan ketakutan kalau ada orang akan mencuri jasad Michael,” katanya lagi.

Terdengar ura-ura mendakwa mayat Micheal Jackson telah dibakar manakala abunya dipercayai ditanam di bawah pohon buah pear, yang dikenali sebagai Giving Tree di kediamannya di California.

Namun sehingga kini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak keluarga mengenai berita ini.

Michael Jackson disemadikan pada 7 Julai 2009 selepas ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat masalah kegagalan jantung.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

9 Makanan Tambah Susu Ibu Dengan Pantas

9 Makanan Tambah Susu Ibu Dengan Pantas

Jika diikutkan petua orang tua-tua dahulu, pelbagai cara boleh dibuat untuk menambahkan susu badan. Ini khas untuk ibu menyusu.

Susu Ibu

Bila susu badan mula merudum, siapa yang tidak risau kan? Hanya ibu-ibu yang mengalaminya sahaja akan memahami.

Ok kita selidiki apa yang orang-orang tua dulu amalkan. Kita tengok 9 makanan semuladi manakah yang dikenali sebagai milk booster.

1. Kacang Tanah

Kacang tanah ini kaya dengan protein dan lebih lagi dari daging dan telur. Kebiasaannya dimakan bersama dengan susu kambing untuk menambahkan susu badan. Ada juga bayi yang alah pada kekacang, jadi ibu-ibu kena berhati-hati memilih.

2. Longan

Longan ini agak popular juga semasa Mak Jemah dalam pantang anak kedua. Sebelum ini Mak Jemah memang tidak kenal langsung “milkbooster” apa yang boleh diambil.

Biasanya longan ini berbentuk kering dan boleh didapati dari kedai ubat cina atau singseh.

Ianya dalam bentuk kering dan bolehlah direbus dengan gula batu sedikit untuk memberikan rasa manis. Tapi longan ini tidak serasi dengan Mak Jemah, pernah amalkan tetapi mungkin juga sebab longan ini agak panas, Mak Jemah mengalami demam yang tinggi lepas mengambilnya.

Mungkin tengok pada kesesuaian orang, ada ibu yang serasi bolehlah mengambilnya tanpa ragu.

3. Halba, Fenugreek

Halba ini kalau perasan yang selalu ada dalam nasi dagang tu. Nasi dagang makanan orang timur. Atau biasa boleh didapati dari kedai mamak atau pasaraya-pasaraya. Ianya dikatakan boleh menambahkan susu badan juga.

Caranya hanya cuci halba tersebut, rendamnya dalam segelas air panas dan airnya bolehlah diminum. Halba ini biasanya memberikan bau yang agak kuat, kemungkinan juga boleh berikan bau badan yang agak kuat pada pengamalnya. Tapi terpulang juga pada ibu, ada yang serasi boleh teruskan.

4. Lobak Putih

Biasanya dalam pantang selalu kita dihidangkan dengan sup lobak putih kan. Mak Jemah dulu semasa dalam tempoh berpantang, ada amalkan sup lobak putih, ringkas dan berkhasiat. Resepi ini adalah dari orang tua yang katanya boleh menambahkan susu badan.

5. Jantung Pisang

Satu lagi resepi tradisional. Boleh dibuat kerabu atau dibuat masak lemak, ianya juga dikatakan memberikan kesan kepada pertambahan susu badan ibu. Sedap dimakan, susu juga bertambah.

6. Pucuk Betik Muda

Rebuskan daun pucuk betik muda, dan airnya diminum. Ia dikatakan boleh melancarkan dan menambahkan susu badan ibu. Boleh diminum 2,3 kali sehari.

7. Kurma

Kurma memang dikenali juga sebagai salah satu “milk booster” yang hebat. Ini kerana ia mengandungi unsur kalsium dan zat besi yang tinggi. Macam-macam resepi boleh dibuat, makan begitu sahaja paling mudah.

Jika mahu buat jus pun boleh. Mak Jemah pernah buat resepi kurma bersama susu. Campurkan 5 bijik kurma yang dibuang bijinya, blend bersama-sama dengan susu segar. Sangat best!

8. Habbatussauda, Jintan Hitam

Dikatakan juga sebagai penggalak susu. Ianya boleh direbus dan diminum airnya. Amalan ini boleh dilakukan seminggu 2,3 kali untuk mendapatkan hasil yang anda inginkan.

9. Alfalfa

Alfalfa dikenali sebagai raja tumbuhan dan dikenali ramai sebagai salah satu penggalak susu yang popular. Ianya mengandungi kandungan fiber yang tinggi dan juga fungsi lain seperti agen pelawasan bagi ibu-ibu dan juga berupaya membuang angin dari badan.

Ada cara lain yang agak popular di kalangan ibu sekarang iaitu dengan pengambilan vitamin-vitamin untuk membantu penghasilan susu yang lebih baik.

Antaranya adalah pil alfalfa dan serbuk protein sebab ia senang ditelan dan disediakan. Ada juga di pasaran set-set menyusu yang pelbagai pilihan.

Walau apapun pilihan ibu-ibu, pergantungan pada milk booster tidak menjanjikan susu yang banyak jika ibu tidak memahami konsep sebenar dalam penyusuan itu sendiri.

Namun jika semuanya difahami dengan jelas, apa sahaja pilihan milk booster ibu, hanya ibu sahaja yang dapat merasakan keserasiannya.

Tepuk dada tanya selera.

BACA INI JUGA: Penemuan Saintifik Susu Ibu Bukti Kebenaran Al-Quran

sumber: permatacintaku

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (29 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (29 Ogos)

Tanggal 29 Ogos merupakan hari ke 241 (hari ke 242 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 124 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Sulaiman al-Qanuni
Sulaiman al-Qanuni.

Hari ini juga merupakan sambutan perayaan John Pembaptis dipancung bagi penganut Kristian.

Peristiwa

1526 - Angkatan tentera Uthmaniyyah di bawah Sulaiman al-Qanuni menewaskan dan membunuh raja Hungary dan Bohemia Louis II dalam Pertempuran Mohács.

1533 - Maharaja Atahualpa dibunuh oleh Conquistador di Cajamarca semasa penaklukan Sepanyol ke atas Empayar Inca.

1756 - Frederick II dari Prusia melancarkan serangan sangkal ke atas Sachsen, memulakan Perang Tujuh Tahun.

1907 - Jambatan Quebec, rentang jambatan julur terpanjang di dunia kini, runtuh semasa dibina dan membunuh 75 pekerja.

1944 - Perang Dunia Kedua: Askar Slovakia berpaling terhadap rejim pro-Nazi Jozef Tiso dan Wehrmacht Jerman, memulakan Pemberontakan Kebangsaan Slovakia.

2005 - Luruan ribut Taufan Katrina mengakibatkan rekahan pada tetambak di sekitar New Orleans, Louisiana, dan membanjiri 80 peratus bandar tersebut, mengakibatkan lebih 1,800 kematian.

2007 - Abdullah Gül dipilih sebagai Presiden Turki ke-11.

2008 - Perarakan bantahan konsert Avril Lavigne ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur diadakan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

2011 - Yoshihiko Noda menjadi Perdana Menteri Jepun selepas Naoto Kan meletak jawatan.

Kelahiran

1958 - Michael Jackson, seorang penyanyi, penghibur, penari dan artis rekod Amerika Syarikat.

Kematian

1904 - Murad V, Sultan Empayar Uthmaniyyah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 Ogos)

sumber: wikipedia

Monday, August 28, 2017

Fakta Ekonomi Meningkat Tapi Bukan Untuk Rakyat Miskin

Fakta Ekonomi Meningkat Tapi Bukan Untuk Rakyat Miskin

Kalau ikut perangkaan rasmi, memang benarlah ekonomi negara kita kembang pesat dalam suku kedua (April hingga Jun) tahun ini. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 5.8 peratus.

Ekonomi Meningkat

Dengan sendirinya kadar ini cukup menggalakkan apatah lagi kalau dibandingkan dengan negara-negara jiran. Secara kasar ia menggambarkan pemulihan dan pengukuhan ekonomi.

Jadi saya tidak salahkan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, kalau beliau begitu gembira dan bangga dengan angka itu. Secara kasarnya ia cukup memberangsangkan.

Tetapi, apabila angka-angka yang positif itu diterjemahkan kepada ringgit dan sen, kesannya kepada rakyat jelata tidaklah sebesar mana.

Sebaliknya rakyat jelata terus dibebani oleh faktor-faktor negatif seperti kenaikan kos sara hidup, upahan yang membeku, produktiviti yang rendah dan pengangguran yang meningkat.

Jabatan Perangkaan melaporkan yang dalam bulan Jun bilangan penganggur naik 1.2 peratus kepada 507,700 berbanding setahun lalu. Kadar purata pengangguran naik kepada 3.4 peratus berbanding 3.28 peratus antara 1998 dan 2017.

Yang amat membimbangkan ialah peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan belia, khususnya yang memiliki ijazah dan diploma. Satu kajian Bank Negara mengenai pengangguran remaja dan pemuda mendapati 61 peratus daripada penganggur pada tahun 2015 berumur di antara 15 hingga 24 tahun.

Tidak hairanlah kalau isu kemiskinan kanak-kanak, remaja dan pemuda menjadi semakin mendesak.

Rakyat jelata umumnya tidak merasa kesan positif pertumbuhan ekonomi kerana sumber-sumber yang menyumbang kepada perkembangannya tidak menyentuh sektor di mana mereka mencari makan dan hasil pertumbuhan itu pula tidak meresap turun kepada mereka.

Ahli ekonomi melabelkan keadaan ini sebagai pertumbuhan tanpa pengagihan. Hal inilah yang menyebabkan jurang kekayaan semakin meluas di mana yang kaya menjadi bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin seperti didedahkan oleh penyelidik dan perunding ekonomi bebas, Dr Muhammed Abdul Khalid, dalam bukunya The Colour of Inequality.

Kesan pertumbuhan ekonomi ini akan hanya dirasai oleh rakyat terbanyak jika disertai oleh pertambahan peluang pekerjaan, peningkatan kadar upahan dan kestabilan harga pengguna.

Jadi saya tidak hairan sikit pun apabila banyak pihak mempertikaikan keberkesanan pertumbuhan ekonomi yang diumumkan oleh Bank Negara itu. Sebaliknya saya berasa cadangan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) supaya pertumbuhan ekonomi turut diukur dalam Dolar Amerika ada logiknya.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, ukuran mengikut dolar adalah logik kerana Malaysia negara perdagangan dan mata wang utama perdagangan antarabangsanya adalah dolar. Perdagangan antarabangsa adalah antara sumber utama pertumbuhan ekonomi.

Lim berkata, pengukuran KDNK menggunakan dolar akan memberikan gambaran yang lebih tetap. Dalam perkiraan beliau, KDNK semasa sebenarnya lebih kecil kerana kejatuhan nilai ringgit.

Kata beliau: “KDNK berkembang 5.8 peratus pada suku kedua tahun 2017. Tetapi itu dalam nilai ringgit. Jika kita kira ikut Dolar Amerika, KDNK sebenarnya kecut 3.3 peratus sebab kadar tukaran ringgit jatuh sembilan peratus.”

Dalam bahasa yang mudah, kita kena bayar sembilan peratus lebih tinggi untuk barangan import. Walaupun barangan kilang kita laku kerana nilai ringgit jatuh, tetapi pendapatan kita dalam bentuk Dolar Amerika kecil dan harga import kita tinggi.

Sebab itulah tugas Bank Negara memastikan kestabilan ringgit sangat penting. Apabila nilai ringgit stabil, harga barang dan perkhidmatan pun stabil.

Atas dasar itulah semua bank negara di dunia terlibat dengan perniagaan tukaran mata wang (forex).

Kita amat yakin kalau suruhanjaya diraja yang sedang menyiasat operasi forex Bank Negara tahun 1990-an faham apa yang mereka lakukan, aspek menjaga kestabilan kadar tukaran ringgit adalah sangat penting.

Kita tengok macam mana dalam masa tiga tahun, dari 30 Jun 2014 kepada 30 Jun 2017, rizab antarabangsa Bank Negara merudum AS$32.94 bilion (kira-kira RM141.64 bilion).

Pada 30 Jun 2014, rizab berjumlah AS$131.86 bilion (kira-kara RM566.99 bilion) tetapi pada 30 Jun 2017 ia jatuh kepada AS$98.92 bilion (RM425.35 bilion).

Kita tidak tahu secara sahih apakah punca kemerosotan itu. Ada ramalan kata kerana Bank Negara guna rizab untuk pertahan nilai ringgit dan ada yang kata untuk bayar balik hutang luar negara.

Boleh jadi kita ambil kesempatan daripada sidang suruhanjaya diraja forex sekarang untuk dapat kepastian apa punca sebenar susutan AS$32.94 bilion itu.

Ini jauh lebih besar daripada jumlah yang sedang disiasat.

Wallahu a'lam.

*Penulis adalah Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

'Polo Malaysia Menang Aku Bogel' Lala Mohon Maaf Bergurau Tanpa Niat

'Polo Malaysia Menang Aku Bogel' Lala Mohon Maaf Bergurau Tanpa Niat

Seorang wanita, Lala, yang viral susulan kenyataannya di Twitter yang sedia berbogel sama sekali tidak menyangka akan berdepan impak cukup besar buat dirinya.

Lala

Walaupun mengakui kesilapan dan membuat permohonan maaf tetapi timbul dakwaan pihak tertentu bahawa dia telah digantung tugas malah ada yang mendakwa dia dibuang kerja daripada sebuah stesen televisyen.

"Tak sangka ini yang jadi sebab isu bogel. Saya tidak digantung atau dibuang kerja. Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk bekerja.

"Mereka (syarikat) memahami kesilapan yang berlaku. Saya amat berterima kasih kerana terus diberi peluang dan kepercayaan," kata Nurul Adilla Abd Rahim.

Insiden itu juga memberi pengajaran kepada penolong penerbit yang lebih dikenali sebagai Lala tentang erti persahabatan.

"Sekarang saya baru tahu siapa kawan, siapa lawan. Di saat saya dihimpit dengan dugaan, orang yang selama ini baik dengan saya tidak membantu, malah turut mengecam,” katanya dengan nada terkilan.

Anak sulung daripada tiga beradik ini turut tidak menyangka masih ada yang prihatin terhadap dirinya, dan paling bersyukur apabila mendapat sokongan keluarga.

Biarpun dikecam hebat, ramai yang memberi nasihat dan motivasi supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan lebih berhati-hati selepas ini terutama di laman sosial.

"Ada kawan yang dah lama tak berjumpa pun hubungi saya dan beri kata-kata semangat. Mereka kenal diri saya yang sebenar," katanya.

Mengakui serangan buli siber merupakan sesuatu yang menakutkan, Lala bangkit semula daripada kesilapan lalu dan menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya akui kesilapan yang dibuat secara tidak sengaja. Semua orang pernah melakukan kesilapan dan diberi peluang kedua.

“Alhamdulillah, sekarang dah kembali reda cuma saya perlu memperjelaskan tentang dakwaan membabitkan kerjaya saya,” katanya.

Lala yang baru berusia 23 tahun menjadi perhatian ramai selepas kenyataannya di Twitter bahawa dia mahu berbogel tular di media sosial.

"Aku rasa team Polo Malaysia menang, sebab diorang memang terer. Malaysia menang aku bogel!,” katanya di laman sosial.

Keputusan acara polo ekuestrian Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) pada Selasa berpihak kepada Malaysia yang berjaya menewaskan Brunei 12-4.

Lala telah membuat permohonan maaf berhubung kesilapan itu dan menjelaskan bahawa ia dibuat secara bergurau tanpa berniat untuk melakukannya.

BACA INI JUGA: Gadis Melayu Sanggup Berbogel Jika Bangladesh Menang!

sumber: mstar

Kisah Duka Thanabalan Menyara Rawatan Bapanya

Kisah Duka Thanabalan Menyara Rawatan Bapanya

Saat ini, nama penyerang Harimau Muda, N. Thanabalan disebut-sebut bukan sahaja kerana gaya jambangnya yang menjadi ikutan tetapi kisah hidupnya yang bermain bola demi menyara rawatan perubatan bapanya turut diperkatakan.

N. Thanabalan

Satu muat naik yang dikongsi penyokong pasukan Negeri Sembilan, Buffalo Souljah menceritakan mengenai detik dia bertemu Thanabalan.

Menurut Buffalo Souljah, dia berasa pelik mengapa Thanabalan sanggup mengikat kontrak yang lama bersama pasukan Negeri Sembilan.

Namun, jawapan yang diberi nyata membuatkan dirinya sebak, apabila Thanabalan mengakui bahawa dia berbuat demikian kerana tak sanggup berjauhan dengan bapanya yang uzur.

N. Thanabalan

Thanabalan yang ketika ini bermain untuk pasukan Felcra mengesahkan apa yang diceritakan Buffalo Souljah adalah perkara yang betul.

Sehingga kini katanya, walaupun menjalani latihan di Kuala Lumpur, Thanabalan akan tetap berada dekat dengan keluarganya.

Dalam perlawanan separuh akhir, nama Thanabalan dijulang sebagai hero kerana berjaya menjaringkan gol emas ketika perlawanan menghampiri waktu penghujung.

Gol tersebut melayakkan Malaysia ke pusingan final Sukan SEA tahun 2017 selepas menewaskan seteru tradisi, Indonesia.

Selfie jambang

N. Thanabalan

Kalau ditanya nama individu paling popular di Malaysia ketika ini, jawapannya tentu sekali penyerang Harimau Muda, N. Thanabalan.

Hanya dengan satu gol dalam perlawanan separuh akhir menentang Indonesia semalam, Thanabalan mampu menggembirakan lebih 30 juta penduduk Malaysia.

Watak penting yang dimainkan pemain yang berasal dari Negeri Sembilan itu dalam saingan bola sepak Sukan SEA edisi kali ini, benar-benar diakui ramai.

Gara-gara gol emas yang dijaringkan ketika perlawanan menghampiri waktu kecederaan itu, nama Thanabalan semakin menjadi perhatian.

Di laman sosial, bukan sahaja pujian, malah netizen ada cara tersendiri untuk meluahkan rasa terima kasih kepadanya.

Paling menarik perhatian adalah 'selfie jambang' oleh netizen.

Pengguna laman sosial memuat naik gambar selfie dengan memakai jambang palsu, atau gambar yang disunting sendiri, dengan hashtag #thanabalan.

Pengguna laman sosial memuat naik gambar selfie dengan memakai jambang palsu, dengan hashtag #thanabalan.

Imej sedemikian boleh dikatakan signature dan identiti untuk penyerang berusia 22 tahun itu.

Biarpun agak menggelikan hati, namun ia sedikit sebanyak memeriahkan lagi suasana Sukan SEA kali ini, dan tentunya akan menjadi satu bentuk penghargaan yang akan dikenang si empunya badan sepanjang hayat.

Kecoh restoran Thanabalan muncul!

N. Thanabalan

Kehadiran wira Malaysia N. Thanabalan di sebuah restoran telah mencetuskan kekecohan.

Penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu datang ke restoran berkenaan untuk bertemu dengan keluarganya selepas tamat perlawanan separuh akhir dengan Indonesia di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun sebaik menyedari kehadiran Thanabalan, semua pelanggan yang kebanyakannya datang selepas menyaksikan perlawanan itu bersorak dan mengucapkan tahniah atas kejayaan skuad muda negara mara ke final.

Kesempatan itu digunakan sebaik-baiknya untuk penyokong berswafoto dengan Thanabalan sehinggakan dia tidak sempat duduk.

Bagi pemain berusia 22 tahun itu, dia tidak menganggap dirinya sudah bergelar bintang namun menghargai segala sokongan yang diberikan oleh penyokong.

"Saya terkejut juga bila masuk ke restoran ini, semua orang bersorak, rasa terharu pun ada. Saya datang nak bertemu dengan keluarga saya termasuk mak saya (Thiru Sundari) yang datang dari Seremban ke stadium.

"Saya masih muda, banyak lagi saya kena belajar. Saya kena berusaha lebih keras untuk lebih berjaya. Saya bersyukur dengan apa yang saya capai ketika ini tapi saya tak anggap diri saya seperti 'superstar' (bintang) namun saya hargai segala sokongan yang diberikan," katanya memetik laporan Berita Harian.

Kerana keadaan semakin sesak dengan ramai pelanggan mahu bertemu dengannya, Thanabalan terpaksa beredar bersama keluarganya ke tempat lain.

Semoga terus sukses N. Thanabalan!

BACA INI JUGA: Kenali Ultras, Penyokong Fanatik Bola Sepak Dan Bezanya Dengan Hooligan (Samseng)

sumber: astroawani

Pelakon Bront Palarae Pengulas Perlawanan Akhir Bola Sepak KL2017?

Pelakon Bront Palarae Pengulas Perlawanan Akhir Bola Sepak KL2017?

Rentetan kejayaan pelakon Bront Palarae membawa watak sebagai pengulas sukan dalam filem Ola Bola, netizen mencadangkan beliau diangkat sebagai pengulas final bola sepak Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bront Palarae

Cadangan sama turut disuarakan oleh penyanyi Altimet dengan mengatakan, "Siapa setuju tekan 'like'. Walaupun brader Bront kita cuma mainkan watak pengulas dalam filem Ola Bola," tulisnya di Facebook.

Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman turut menyertakan satu keratan ‘retweet’ Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya cadangan itu menjadi kenyataan.

"Kami mahu Bront Palarae menjadi pengulas sukan final Sukan Sea, tolong jadikan ia kenyataan KJ," itu paparan keratan Twitter tersebut.

Cadangan Altimet itu terus dibanjiri komentar netizen.

Filem, Ola Bola mengambil latar belakang kisah pasukan Malaysia pada zaman 1980an yang berdepan pelbagai rintangan untuk layak ke sukan Olimpik Moscow ketika itu.

Lebih menarik, filem terbitan Astro Shaw itu mengimbau nostalgia penonton merasai suasana dan melihat kehebatan pasukan kebangsaan.

Di sebalik watak 1Malaysia menghidupkan plot penceritaan, lakonan aktor berpengalaman, Bront Palarae sebagai pengulas sukan dalam filem itu menjadikan wataknya paling menyerlah dan menghiburkan.

'Itu bukan bidang saya' - Bront Palarae

Malangnya, bagi empunya badan, tugas sebagai pengulas sukan secara langsung diakui bukan perkara mudah.

Bront, di akaun Twitter, telah retweet status berikut.

SNI @ShakirahhNab
Pengulas sukan bukan nya perlu cakap "Gol" kuat je. Haha. Kne study pasal bola, the players and etc. So not that easy. Chill ok

Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik ASEAN International Film Festival (AIFFA) 2015 menerusi filem Terbaik Dari Langit itu menganggap cadangan itu tidak lebih sekadar pujian terhadap lakonannya.

"Rasanya tidak logik untuk saya menggalas tugas itu. Ia bukan bidang saya, lagipun kita sudah memiliki ramai pengulas sukan yang bagus," katanya.

Biodata Dan Latar belakang Bront Palarae

Nasrul Suhaimin Bin Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Bront Palarae, lahir 27 September 1978, ialah seorang pelakon, penerbit, pengarah, penulis dan juga pengacara TV.

Bront Palarae telah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23/2010 menerusi lakonan berkesannya sebagai penyiasat insurans dalam filem Belukar.

Bront Palarae dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Malaysia, berketurunan Melayu, Punjabi/Pakistan dan Siam.

Pada tahun 2005, beliau menerima biasiswa daripada kerajaan Itali untuk menghadiri kursus pendek dalam Bahasa & Budaya di Universiti Untuk Orang Asing Perugia, Itali.

Biarpun beliau telah memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2000 menerusi drama TV Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys, hanya pada tahun 2005 nama Bront Palarae menjadi sebutan apabila beliau muncul dalam drama bersiri Cinta Tsunami di saluran Astro Prima.

Sejak itu, Bront Palarae muncul dalam banyak produksi terutama filem melalui watak-watak pembantu.

Antara lakonan beliau yang paling menjadi perhatian adalah menerusi watak pemain kugiran dalam filem Man Laksa (2005), anak jalanan Anak Halal (2007) dan pembunuh upahan psiko Setem (2009).

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.

Bront Palarae juga pernah bergandingan bersama aktres Dynas Mokhtar pada tahun 2004 untuk mengacarakan program Beat TV selama 2 musim sebelum beliau mengambil keputusan untuk memberi sepenuh perhatian dalam bidang lakonan dan penulisan.

Pada tahun 2005 juga beliau menerima tawaran biasiswa daripada kerajaan Itali untuk mengikuti kursus jangka pendek dalam jurusan Bahasa & Budaya di University of Foreigners, Perugia Itali.

Beliau meninggalkan seketika bidang seni selama setengah tahun untuk menyempurnakan kursus tersebut.

Pada tahun 2008 nama Bront Palarae mula meniti bibir peminat apabila muncul dalam siri TV Sindarela memegang watak Tengku Hussein, seorang putera raya yang bekerja sebagai mekanik.

Gandingan beliau bersama aktres Sharifah Amani ternyata menimbulkan fenomena tersendiri. Keserasian Bront Palarae dan Amani kemudian diperpanjangkan lagi dalam siri TV Rona Roni Makaroni pada tahun 2009.

2009-2014: Cabaran, hala tuju kerjaya dan Terbaik Dari Langit

Barangkali tidak selesa dengan hala tuju kerjaya lakonannya, Bront Palarae mengambil keputusan untuk mengejar cita-cita di layar perak.

Biarpun dikenali sebagai aktor yang kurang mendapat publisiti media namun kemunculannya dalam filem arahan teman baiknya, aktor Farid Kamil iaitu V3: Samseng Jalanan (2010) ternyata membuahkan hasil apabila filem tersebut mengaut kutipan box-office lebih daripada RM 4 juta.

Menerusi watak Brett dalam filem tersebut, Bront Palarae dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu di Festival Filem Malaysia ke-23.

Ketika membintangi filem Belukar bersama Daphne Iking

Seterusnya Bront Palarae muncul dalam filem Belukar arahan Jason Chong. Menerusi watak penyiasat insurans dalam filem tersebut, nasib Bront Palarae mula menyinar apabila dicalonkan dan seterusnya memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama di Festival Filem Malaysia ke-23 menewaskan nama-nama hebat seperti Esma Daniel, Farid Kamil dan Zulhuzaimy Marzuki.

Bront Palarae juga mengulangi kejayaan sama di Anugerah Skrin 2010 dengan menewaskan pemenang FFM 22, Afdlin Shauki yang cemerlang menerusi filem Papadom.

Beliau juga berganding bersama pemenang Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Utama di FFM 23 iaitu Lisa Surihani dalam filem Sekali Lagi arahan Ismail Bob Hashim.

Antara judul filem lain yang akan menampilkan figuran Bront Palarae adalah Bunga Lalang arahan Dain Iskandar Said dan Jiwa Taiko (Osman Ali).

Pada tahun 2010 juga, Bront Palarae telah mengasaskan produksi filem Otto Films yang akan menjadi platform untuk beliau meneroka bidang penerbitan filem dan melalui syarikat itu, beliau mengarah, menulis dan mengarahkan bersama filem Kolumpo, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 2013.

Beliau juga pernah berkhidmat di Camwerk Studios sebagai Perunding Kreatif untuk membantu membangunkan Penculikan Ammar Affendi dan terjamin bersama tawaran penerbitan dengan RexMedia (US) di Marche Du Film di Festival De Cannes pada tahun yang sama.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Duta Jenama untuk Edwin Denim Malaysia dan juga wajah pereka fesyen tempatan Fairuz Ramdhan.

2015-kini: Halfworlds dan melangkah serantau

Bront Palarae Ola Bola

Pada 2016, Bront Palarae membintangi sebuah filem bola sepak sukan Malaysia Ola Bola, filem terkini Chiu Keng Guan selepas memecah rekod The Journey.

Bukan itu sahaja filem yang mengutip RM15.85 juta dan menjadi filem Malaysia dengan kutipan tertinggi kelima sepanjang masa, Bront Palarae juga memenangi Anugerah Pilihan Pengkritik Kuala Lumpur 2016 dalam kategori Penyokong, kerana peranannya dalam filem itu.

Selepas memenangi anugerah Pelakon Terbaik untuk Terbaik Dari Langit di Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2015, beliau turut membantu dalam siri bertajuk Halfworlds di HBO Asia diarahkan oleh pembikin filem Indonesia, Joko Anwar.

Beliau kemudiannya menyertai Mo Brothers pada filem terkini Headshot, yang dibintangi oleh Iko Uwais.

Bront Palarae menyertai barisan pelakon filem komedi My Stupid Boss lakonan Bunga Citra Lestari dan Reza Rahadian sebagai kerjasama dengan lain pembikin filem Indonesia, Upi Avianto.

Di Anugerah Televisyen Asia 2016, Bront Palarae telah dicalonkan untuk peranannya dalam telefilem Eropah, Here I Am menerusi kategori "Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Peranan Utama".

Aktiviti kemanusiaan

Pada tahun 2012, Bront Palarae menyertai percutian Bantuan Kecemasan AQSA2Gaza11 untuk Gaza yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Malaysia yang memberi tumpuan kepada membantu rakyat Palestin yang terjejas oleh konflik Gaza-Israel yang berlaku pada tahun itu.

Beliau merupakan duta muhibah untuk kempen My Promise To Children UNICEF untuk menekankan hak-hak kanak-kanak di Malaysia.

Kehidupan peribadi

Bront Palarae dan kenalan lamanya, Rozi Isma sah menjadi pasangan suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail pada 31 Ogos 2013, sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kenapa Pemenang Sukan SEA 2017 Di Hadiahkan Anak Pokok

sumber: sinarharian | wikipedia