Tuesday, August 22, 2017

Apa Sebenarnya Syabu Dan Kesan Buruk Kepada Kesihatan

Apa Sebenarnya Syabu Dan Kesan Buruk Kepada Kesihatan

Apa itu Syabu? Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, adalah dadah perangsang jenis Amfetamina (Amphetamine-Type Stimulants, ATS).

Syabu

Dadah jenis ini dihasilkan pada abad lalu dari dadah induknya Amphetamine, yang dahulunya digunakan untuk melegakan pernafasan akibat hidung tersumbat.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, kegunaannya terhad untuk keadaan-keadan tertentu seperti untuk rawatan narkolepsi (satu keadaan di mana seseorang rasa mengantuk dan tertidur secara spontan), sindrome kurang penumpuan perhatian, dan kegemukan yang teruk (untuk kegunaan bagi jangkamasa singkat).

Syabu dihasilkan di makmal haram dari bahan prekursor seperti Ephedrine, Pseudoephedrine dan Phenylpropanolamine.

Apabila kawalan yang ketat dikenakan ke atas prekursor, pengilang haram ini mula mencuba resipi baru dengan menggunakan bahan-bahan lain yang merbahaya, seperti asid bateri dan pencuci longkang.

Bahan-bahan ini meningkatkan lagi risiko pendedahan pengguna kepada kesan buruk dan kematian .

Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya serta mempunyai rasa yang pahit.

APAKAH KESAN SEGERA SYABU?

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa euphoria - rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.

Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala.

Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.

Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

APA BAHAYA SYABU KEPADA KESIHATAN?

Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana:

1. Toleran

Kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya.

Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini sehingga 1 gram setiap 2 - 3 jam dalam jangka masa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya.

Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 - 15 hari akibat dadah ini.

2. Penagihan

Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu.

Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan, keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk mendapatkan dadah tersebut.

3. Pengabaian diri

Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri.

Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan, badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan.

Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya.

4. Kurang daya tahan kepada penyakit

Pengguna syabu yang mengabaikan pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya tahan melawan penyakit.

5. Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang

Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti gila.

Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak yang bolih menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir).

6. Gangguan metabolisma badan

Dadah ini menyebabkan hilang selera yang ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas.

7. Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan

Dadah ini menyebabkan degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah menyebabkan sakit ahmar.

8. Kerosakan pada sistem pernafasan

Dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan menyebabkan masalah
pernafasan.

9. Gangguan kepada saluran makanan

Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman.

10. Bahaya semasa mengandung

Penggunaan Methamphetamine semasa mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran.

Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental dan masalah tumbesaran .

11. Kemalangan jalan raya

Pengguna syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat kesan kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik.

12. Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas

Hasil penyelidikan mendapati pengguna Methamphetamine menjadi lebih berahi. Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka.

Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin.

Penggunaan Methamphetamine dalam jangka masa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.

13. Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit

Penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi.

14. Masalah-masalah sosial lain

Semua aspek kehidupan seseorang termasuk keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat dadah ini.

Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah.

Di tempat kerja penyalahgunaan dadah ini akan bermasalah disebabkan sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada keganasan.

Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung ketagihan mereka.

Sifat paranoia dan ganas ini boleh menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan.

Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan National Guard dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia akhirnya ditembak oleh polis.

APA KAWALAN UNDANG-UNDANG KE ATAS SYABU?

Sebelum 29.11.97, Methamphetamine dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952 (Disemak 1989) di mana pemilikan, penjualan atau bekalan tanpa kuasa atau kebenaran/lesen boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau pemenjaraan sehingga 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 29.11.97 Methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya melalui P.U.(A) 500. Pada masa itu di bawah Seksyen 12 sesiapa yang didapati mengimport, mengeksport atau memiliki Methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menyedari hukuman di atas yang nyata adalah ringan berbanding dengan bahaya dadah ini, Kementerian Kesihatan telah mencadangkan Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Pindaan ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 1.7.1998 untuk meningkatkan hukuman berkaitan dadah berbahaya dan meningkatkan kawalan ke atas dadah peransang jenis Amfetamina termasuk syabu. Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1998 ini berkuatkuasa 15.9.1998.

Di bawah Pindaan ini, Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah
dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.

Pengguna yang menggunakan Methamphetamine ke atas diri sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ipgm

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (22 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (22 Ogos)

Tarikh 22 Ogos merupakan hari ke 234 (hari ke 235 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 131 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

The America's Cup.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perayaan Keratuan Maryam (Gereja Roman Katolik).

Peristiwa

1485 - Angkatan Lancaster di bawah Henry Tudor, Earl Richmond menewaskan angkatan York pimpinan Richard III dalam Pertempuran Padang Bosworth, secara muktamad menamatkan Perang Bunga Ros.

1639 - Syarikat Hindia Timur Inggeris membeli sebidang tanah di tempat yang kini ialah Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, daripada Raja Empayar Vijayanagara, Peda Venkata Raya.

1851 - Perahu layar America memenangi Piala Amerika yang pertama berhampiran Pulau Wight, England.

1864 - Pergerakan Palang Merah yang diketuai Henry Dunant bermula secara rasmi apabila 12 negara Eropah menandatangani Konvensyen Geneva Pertama, menubuhkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.

1910 - Korea diilhak oleh Jepun dengan penandatanganan Perjanjian Pengilhakan Jepun-Korea, memulakan pemerintahan Jepun di Korea.

2010 - Pelari Kenya David Lekuta Rudisha memecahkan rekod dunia 13 tahun dalam 800 meter di kejohanan IAAF di Berlin.

Kelahiran

1944 - Syed Razak Bin Syed Zain Barakhbah, Menteri Besar Kedah ke-8.

1991 - Federico Macheda, bekas pemain bola sepak Manchester United F.C.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (21 Ogos)

sumber: wikipedia

Monday, August 21, 2017

Zarith Aqilah, Polis Cantik Kawal Sukan SEA 2017 Curi Perhatian

Zarith Aqilah, Polis Cantik Kawal Sukan SEA 2017 Curi Perhatian

Seorang anggota polis wanita mencuri tumpuan pengguna media sosial Facebook ketika bertugas mengawal keselamatan sempena Sukan Sea 2017 di sekitar Kuala Lumpur.

Zarith Aqilah

Kebanyakan netizen memuji kejelitaan wanita berkenaan keranan tidak menyangka dalam Polis Diraja Malaysia mempunyai anggota yang cantik.

Gambar tersebut pada awalnya dimuat naik dalam laporan sebuah agensi media yang melaporkan tentang kawalan keselamatan ketika Sukan Sea membuka tirainya 14 Ogos lalu.

Zarith Aqilah

Gambar berkenaan kemudiannya tular sehingga ada dalam kalangan pengguna Facebook membuat carian untuk mengetahui lebih lanjut identiti anggota polis berkenaan.

Hasilnya beberapa keping gambar telah diambil dari album individu berkenaan dan dikongsikan dalam media sosial tersebut. - sh

Siapa polis cantik dan ‘hot’ yang viral di media sosial ini?

Zarith Aqilah

Gambarnya yang sedang bertugas menjaga kawalan keselamatan sempena Sukan Sea 2017 di sekitar Kuala Lumpur menjadi tumpuan ramai.

Mana taknya, jarang sekali kita dapat lihat akak polis cantik mengawal keselamatan!

Nampaknya selepas ini ramai lah yang nak jadi pencuri semata-mata mahu ditangkap!

Siapakah Gadis Polis Jelita Yang Sedang Bertugas Itu?

Zarith Aqilah

Gadis bernama Zarith Aqilah ini merupakan seorang anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Polis Diraja Malaysia.

Nampak ‘smart’ bila berpakaian polis, bertambah anggun dan cantik bila berpakaian biasa.

Ramai Netizen Rela Ditembak Peluru Cinta Zarith Aqilah

Zarith Aqilah

Zarith Aqilah

Patut la kan. Ahaha

Zarith Aqilah

Korang pun nak minta tembak juga? -va

BACA INI JUGA: A

-SENTIASAPANAS.COM

An Najwa Dedah 5 Rahsia Kecemerlangan Skuad Bola Jaring

An Najwa Dedah 5 Rahsia Kecemerlangan Skuad Bola Jaring

An Najwa yang mesra disapa An memberitahu, dia cukup gembira dan lega kerana usaha skuad negara memburu emas acara bola jaring di Sukan SEA akhirnya membuahkan hasil.

An Najwa

Kejayaan skuad bola jaring memenangi emas Sukan SEA selepas 16 tahun, ternyata hasil daripada usaha keras bukan sahaja para pemain, tetapi juga barisan kejurulatihan.

"Kami menjalani latihan intensif selama 18 bulan, ada kalanya sampai menangis sebab penat, tapi semuanya berbaloi apabila berjaya dapat pingat emas," ujar pemain terbaik Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 itu.

An mula menjadi sebutan selepas hanya gagal menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir menentang Singapura.

Apa rahsia disebalik kejayaan besar skuad bola jaring ini dengan mendominasi sepenuhnya pasukan lain di kejohanan Sukan SEA kali ini. Ikuti temubual bersama An Najwa.

1. 'Serap' semangat wanita

"Kami sangat bersemangat untuk menang kerana kami mewakili semua wanita. Bola jaring dikenali sebagai sukan wanita, jadi kami mahu jadi wakil wanita menyumbang pingat emas untuk negara."

2. 'Lawan' pasukan lelaki

Skuad Bola Jaring Malaysia

"Kami jemput pasukan bola jaring lelaki untuk menjadi lawan kami semasa sesi latihan kerana ia memberikan lebih intensiti.

"Ia sangat membantu kerana lelaki selalu 'main kasar', jadi secara tidak langsung kami terpaksa push diri sendiri untuk menyamai mereka."

3. Nak jadi penyanyi

"Jika bukan atlet, mungkin saya akan jadi penyanyi kerana saya suka menyanyi. Tapi saya tidak pernah masuk apa-apa pertandingan.

"Selain itu, saya juga mungkin akan jadi doktor atau ahli perniagaan."

4. Tak ambil 'pot' komen di laman sosial

"Setakat ini saya belum buka Instagram sebab saya hanya mahu menikmati saat-saat ini. Lagipun, saya bukan kaki laman sosial."

5. Rahsia An Najwa

"Saya suka makan. Memang hobi saya makan.

"Kedua, saya sangat malas training. Tapi terpaksa juga sebab itu yang akan membantu kita untuk berjaya."

"Saya seorang yang superstitious. Ada beberapa rutin yang saya perlu buat sebelum perlawanan, antaranya mandi dan mendengar muzik. Jika tidak, saya tidak sedap hati, seolah-olah akan terjadi sesuatu yang tidak diingini."

***

Tahniah sekali lagi diucapkan buat pasukan bola jaring negara.

BACA INI JUGA: Siapa Gerangan An Najwa, Bintang Bola Jaring Malaysia!?

sumber: astroawani

Kenapa Bendera Begitu Bernilai Kepada Sesebuah Negara?

Kenapa Bendera Begitu Bernilai Kepada Sesebuah Negara?

Isu tersalah cetak secara terbalik bendera Indonesia pada buku cenderamata pembukaan Sukan Sea 2017 menjadi topik yang sedang hangat dibincangkan.

Bendera terbalik

Perkara ini menyebabkan tercetusnya sedikit suasana tegang dikalangan rakyat Indonesia, yang mana majoriti daripadanya merasa kesal dan mengkritik kesalahan tersebut.

Lebih hangat, isu ini bukan diusulkan oleh media tempatan sahaja, malah turut dijadikan bahan oleh media-media antarabangsa.

Sebagai sumber yang berpendirian tinggi serta tidak menyebelah pada mana-mana pihak, mari kita lihat isu ini melalui berberapa sudut pandangan.

Isu Tersalah Cetak

Pertama, tersalah cetak bereti satu kesilapan yang tidak disengajakan namun begitu, Malaysia sebagai tuan rumah untuk temasya besar seperti ini haruslah lebih berhati-hati, ini bukan perkara kecil kerana ia melibatkan hubungan baik di antara kedua-dua buah negara.

Yang kedua, sepatutnya pihak yang bertanggungjawab perlu melakukan semakan secara terperinci terlebih dahulu sebelum buku-buku tersebut diedarkan secara rasmi. Ini adalah kesilapan yang Malaysia boleh belajar untuk masa akan datang.

Tangani Dengan Bijak

Meskipun terdapat pelbagai komen pedas dari rakyat Indonesia berkenaan isu ini, namun, cara Menteri Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi melontar rasa kecewa di laman twitter miliknya harus dipuji.

Imam Nahrawi @imam_nahrawi

Pembukaan #SEAgame2017 yg bagus tapi tercederai dg keteledoran fatal yg amat menyakitkan. Bendera kita....Merah Putih. Astaghfirullaah...

Beliau tidak terus menghentam, sebaliknya menyulam dengan ucapan berupa puji-pujian terlebih dahulu. Ini adalah contoh adab menegur yang baik boleh kita ikuti.

Dalam mengekalkan hubungan baik kedua belah pihak, di sini rakyat juga memainkan peranan.

Tahniah kepada rakyat Malaysia dan Indonesia yang mengambil langkah untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Sikap toleransi yang dipamerkan ini adalah bukti bahawa kedua-dua pihak masih lagi mahu mengekalkan hubungan yang baik.

Membesar-besarkan isu

Baik, sebelum meletak apa-apa tanggapan terhadap isu ini, mari kita lihat kenapa bendera sebenarnya begitu bernilai kepada sesebuah negara.

Secara istilahnya, bendera adalah simbol yang mewakili negara, ne­geri, orang dan organisasi.

Asal-usul perkataan ‘bendera’ berasal daripada perkataan Portugis iaitu ‘bandeira’ bagi menggambarkan sepotong kain bercorak yang digunakan sebagai simbol sesebuah negara atau juga suatu entiti.

Dari sudut kenegaraan, bendera mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri warganya.

Justeru, kaedah dan atur cara penggunaannya perlu bersesuaian bagi menjaga nilai kedaulatan negara dan rak­yatnya.

Penggunaan dan kaedah yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera negara berkenaan.

Jelas di situ, “penggunaan dan kaedah yang salah boleh menjatuhkan martabat kedaulatan yang ada pada bendera berkenaan (bendera mewakili negara)”.

Jadi, adalah sifat lumrah bagi semua orang atau individu apabila berlakunya sesuatu perkara yang boleh mencalarkan imej atau menjatuhkan martabat, kedaulatan mereka.

Dalam hal ini, segelintir rakyat Indonesia yang ‘melenting’ apabila bendera yang menjadi kebanggaan mereka disalah cetak adalah perkara biasa.

Ini bermakna mereka sangat cakna serta peduli tentang kedaulatan negara mereka dan pada masa yang sama, sikap ini melambangkan semangat nasionalisme.

Permohonan maaf dari Malaysia

Bendera

Selepas insiden kesilapan yang tak disengajakan ini, Malaysia mengambil langkah tepat dengan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Indonesia.

Perkara ini haruslah diterima secara positif oleh Indonesia terutama rakyatnya. Ini menunjukan Malaysia mengakui kesilapan tersebut dan masih mahu menjaga ikatan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara.

Permohonan ‘maaf’ itu sendiri membuktikan Malaysia tidak bersifat ego. Selain daripada itu, Malaysia juga akan mencetak semula buku cenderahati tersebut sebagai tanda pendamaian dan menjaga hati Indonesia.

Mutakhir, Joko Widodo selaku Presiden Indonesia telahpun menerima permohonan maaf dan meminta agar rakyat Indonesia tidak membesar-besarkan hal ini lagi terutama di media sosial.

Kesimpulannya, perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti negara seperti ini diharapkan tidak berulang lagi.

Semua memainkan peranan, dari orang atasan hinggalah rakyat bawahan. Bertolak ansur dan sentiasalah berfikiran positif supaya keharmonian dapat dikekalkan.

Kata Wonder Pets, “Apa yang penting? Kerjasama.”

BACA INI JUGA: Bendera Indonesia Terbalik, Malaysia Mohon Maaf Tersilap Cetak

sumber: thevocket

Bendera Indonesia Terbalik, Malaysia Mohon Maaf Tersilap Cetak

Bendera Indonesia Terbalik, Malaysia Mohon Maaf Tersilap Cetak

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, bagi pihak Kerajaan Malaysia, memohon maaf kepada kerajaan Republik Indonesia berhubung penyiaran gambar bendera Indonesia secara terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Bendera Indonesia Terbalik

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, ”Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri ingin menzahirkan perasaan kesal kami mengenai kesilapan tidak disengajakan oleh Jawatankuasa Penganjur Malaysia (MASOC) dalam penyiaran gambar bendera Indonesia dalam buku cenderamata upacara perasmian Sukan SEA Ke-29.

“Sehubungan itu, kami ingin memberi jaminan kepada Kerajaan Republik Indonesia bahawa segala langkah telah diambil untuk menangani kejadian malang itu.”

Anifah berkata Malaysia amat mementingkan hubungan persaudaraannya yang rapat dan mendalam dengan Indonesia.

“Sesungguhnya, sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun ini, merupakan detik yang sama-sama kita nantikan untuk meneguhkan lagi penghayatan kita terhadap nilai, budaya dan masa depan kita bersama.

“Dengan berlandaskan semangat inilah, kami berharap dan percaya bahawa kedua-dua negara kita akan terus berinteraksi secara rapat dan sambil itu, mengukuhkan lagi hubungan antara kita dan di rantau ini secara umumnya,” kata beliau. -m

Salah cetak bendera, Tidak usah dibesar-besarkan - Jokowi

Joko Widodo

Presiden Indonesia, Joko Widodo meminta kepada rakyatnya supaya tidak memperbesarkan isu kesalahan cetak bendera republik itu pada Buku Cenderamata Khas Kuala Lumpur 2017.

Beliau cuma mahu permohonan maaf dilakukan secara rasmi oleh penganjur Sukan SEA KL2017 atau kerajaan Malaysia, lapor portal Indonesia KiniNEWS.

"Kita sangat menyesalkan kejadian itu. Tapi tidak usah dibesar-besarkan.

"Kita menunggu permintaaan maaf dari Kerajaan Malaysia berkenaan perkara ini kerana ini berkait sebuah kebanggaan nasionalisme dari bangsa Indonesia," katanyalagi. -aa

KJ Mohon Maaf Isu Bendera Indonesia Dicetak Terbalik

KJ

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia atas kesilapan yang berlaku berhubung bendera Indonesia di dalam sebuah buku panduan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau berkata kesilapan itu tidak disengajakan.

“Bapak Imam, saya minta maaf atas kesilapan ini. Sesungguhnya tiada niat jahat. Saya amat kesal dengan kesilapan ini. Mohon maaf,” katanya.

Khairy berkata demikian di laman Twitternya sebagai jawapan kepada catatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi mengenai kesilapan demikian.

Dalam buku panduan itu, bendera Indonesia dicetak terbalik.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan SEA 2017 (MASOC) dalam kenyataan awal pagi ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

Ia berkata Khairy, yang juga pengerusi MASOC, akan membuat kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya hari ini untuk sekali lagi memohon maaf bagi pihak jawatankuasa itu.

“Kesilapan ini amat dikesali dan kami percaya hubungan erat antara dua negara ini akan lebih diperkukuhkan di bawah semangat Sukan SEA,” menurut kenyataan itu lagi. -mynewshub

BACA INI JUGA: Sejarah Asal-usul Bendera Jalur Gemilang

-SENTIASAPANAS.COM

Siapa Gerangan An Najwa, Bintang Bola Jaring Malaysia!?

Siapa Gerangan An Najwa, Bintang Bola Jaring Malaysia!?

Nama An Najwa Azizan tiba-tiba menjadi sebutan selepas kejayaan skuad bola jaring negara menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas di Sukan SEA.

An Najwa

Biarpun sudah menceburi sukan bola jaring sejak 2013, mungkin kerana kurangnya pendedahan di media membuatkan tidak ramai yang berpeluang menyaksikan kehebatan An Najwa.

Jutaan mata rakyat Malaysia tertumpu ketika aksi memukau An Najwa dalam perlawanan akhir menentang Singapura, pantang sahaja bola sampai ke tangannya, pasti akan menghasilkan gol.

Pemenang Emas Sukan SEA 2017

Pasukan bola jaring Malaysia menambah koleksi pungutan emas kontinjen negara di kejohanan Sukan SEA Ke-29 apabila menundukkan Singapura 65-41 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Menang semua perlawanan di peringkat pusingan kelayakan, Malaysia dilihat begitu gah dengan aksi cemerlang dan pantas, sekali gus menjadi pasukan pilihan merangkul emas untuk kejohanan kali ini.

Malaysia seakan tidak berhadapan masalah untuk memimpin perlawanan akhir apabila mendahului suku pertama dengan jaringan 20-7, diikuti 36-12 di suku kedua dan 51-28 di suku ketiga, sebelum mencatat kemenangan bergaya 65-41.

Fakta Menarik

Kami kumpulkan beberapa fakta berkenaan 'buah hati' baharu rakyat Malaysia ini untuk pengetahuan anda.

1. An Najwa Azizan dilahirkan pada 9 Ogos 1997 dan merupakan anak keempat dari lima beradik.

2. Mewarisi bakat bersukan daripada bapanya, Azizan Azmi, yang merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan.

3. Berketinggian 178 sentimeter (5'10 inci).

4. Mula berjinak-jinak dengan bola jaring pada usia 13 tahun.

5. Sebelum menceburi sukan bola jaring, An Najwa terlebih dahulu terbabit dalam sukan olahraga, khususnya acara lompat jauh.

6. Sudah memiliki 43 kaps bersama skuad kebangsaan sejak 2013.

7. Dipilih sebagai MVP (Most Valuable Player) ketika pasukan negara muncul juara Kejohanan Bola Jaring Asia tahun lalu.

8. Ditanya rahsia berjaya menghasilkan gol setiap kali memegang bola, katanya, "Saya tidak fikirkan perkara lain. Saya hanya fokus mahu masukkan bola ke dalam jaring".

Tahniah pasukan bola jaring Malaysia kerana menggondol emas dalam acara berpasukan bola jaring.

BACA INI JUGA: 5 Fakta Menarik Sukan SEA 2017 Yang Anda Patut Tahu

sumber: astroawani

10 Fakta Tentang Malaysia Yang Akan Membuatkan Anda Berasa Bangga

10 Fakta Tentang Malaysia Yang Akan Membuatkan Anda Berasa Bangga

Fakta ini telah dirungkai oleh pengacara dan penyampai radio, Ezra Zaid dalam rancangan 10 Things You Don't Know About Malaysia di saluran Astro 555 bermula sejak 17 September lalu.

10 Fakta dibawah ini akan membuatkan anda rasa bertuahnya duduk di bumi Malaysia dan anda mungkin terfikir, oh baru tauu.

1. Serangga terpanjang di dunia terdapat di Sabah

Chan Megastick

Tahukah anda, terdapat satu spesies serangga terpanjang di dunia dan hanya boleh didapati di hutan belantara di Sabah?

Spesies ini baru ditemui pada tahun 2008 oleh pakar pengkaji serangga dan merupakan salah satu dari 10 spesies baru dijumpai yang terkenal.

Chan Megastick (Phobaeticus chani) adalah sejenis serangga ranting yang berukuran 567 mm x 56cm (22.3 inci).

Ia dinamakan bersempena Datuk Chan Chew Lun, seorang pengkaji alam semulajadi amatur di Malaysia.

Hanya 6 spesimen yang ditemui setakat ini, malah maklumat biologi spesies ini masih agak kabur. Serangga ini hidup hanya di atas kanopi rimba.

International Institute for Species Exploration, Arizona State University & Jawatankuasa Taxonomi Antarabangsa memilih serangga ini sebagai salah 1 dari "The Top 10 New Species" pada 2008 dan BBC pula meletakkan penemuan serangga ini sebagai salah 1 dari 10 penemuan terkini dalam dokumentari Decade of Discovery pada tahun 2010!

Di hutan Sabah juga terdapat pokok Seraya Kuning Siput, pokok tropika tertinggi di dunia dengan ketinggian hingga 88.32 meter!

2. Tanah perkuburan khusus untuk haiwan peliharaan yang pertama di Malaysia

Biasanya di Malaysia, jika haiwan kesayangan kita mati, maka ia akan ditanam di kawasan rumah.

Tapi tahukah anda, di Malaysia terdapat satu tanah perkuburan eksklusif bagi haiwan peliharaan?

Tanah Perkuburan Haiwan Peliharaan yang pertama di Malaysia terletak di Nirvana Memorial Park di Semenyih.

Plot-plot tanah kubur bersaiz kecil dan sederhana disediakan bagi pemilik-pemilik haiwan berkenaan.

Pakej plot tanah kubur disediakan untuk haiwan peliharaan seperti anjing, kucing serta haiwan lain.

Pakej bagi satu plot tanah kubur haiwan peliharaan adalah RM4,800 termasuk perkhidmatan pengebumian.

3. Stesen Keretapi KL dibina untuk tahan salji

Stesen Keretapi Kuala Lumpur dibina untuk menahan kesejukan musim salji sehingga ke tahap kedalaman salji setebal 2 kaki. Malah platform keretapi juga mesti tinggi supaya tidak ditenggelami salji.

Bumbung di atas platform keretapi stesen berkenaan juga dibina sehingga tahap mampu menampung berat salji setebal 2 kaki. Mengapa ini berlaku?

Ini adalah kerana arkitek bangunan berkenaan, Arthur Bennison Hubback, seorang bekas Brigadier Jeneral British di zaman perang dunia pertama, terpaksa mengikut peraturan pembinaan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa British yang menggunakan piawaian pembinaan "British Standard" walaupun di koloni British di Malaya adalah beriklim tropika.

Sedikit info tambahan, tahukah anda bahawa Masjid Jamek KL juga dibina mengikut piawaian pembinaan "British Standard"?

Ya, ini bermakna Masjid Jamek juga dibina dengan ketahanan perlindungan kesan dari ribut salji. Ia mungkin pelik, tapi itulah kebenarannya.

4. KL Ibukota kilat di dunia

Tahukah anda, KL adalah ibukota di dunia yang paling banyak menerima panahan kilat, petir di dunia?

KL menerima panahan kilat jauh lebih banyak berbanding mana-mana kotaraya di dunia ini.

Dianggarkan dalam setahun sebanyak lebih 200 hari ribut petir berlaku di KL, berbanding hanya 20 hari ribut petir setahun di London dan New York hanya mengalami 10 hari ribut petir setahun.

Ini disebabkan iklim Malaysia yang merupakan iklim tropika Khatulistiwa. Kuala Lumpur terletak betul-betul berhampiran dengan garisan Khatulistiwa dimana kerap berlakunya pembentukan awan ribut petir.

Tahukah anda mercu tanda kebanggaan kita iaitu Menara Berkembar Petronas sebenarnya juga berfungsi sebagai pengalir kilat?

Ya, dalam pembinaan Menara Berkembar berkenaan, elemen panahan petir turut diambil kira dalam senireka binaan Menara Petronas.

Ada rangkaian kerja logam hingga ke tanah yang dipasang pengalir khusus untuk mengalirkan arus kilat ke dalam sistem pembumian.

5. Lokasi lipas terbanyak di planet Bumi

Tahukah anda, lipas adalah antara sejenis hidupan yang mampu hidup dan bertahan walaupun sesebuah kota musnah akibat serangan nuklear?

Tapi, adakah anda tahu, dimanakah tempat dimana berkumpulnya lipas paling banyak di dunia? Ia juga terletak di Sabah.

Gua Gomantong di Sabah mempunyai populasi serangan lipas terbanyak di dunia!

Gua itu juga terkenal kerana bau busuk di dalamnya. Ini kerana bauan berkenaan adalah longgokan tahi kelawar yang bersepahan di lantai gua.

Ratusan ribu lipas memenuhi lantai, dinding dan bahagian atas gua, pendek kata, memenuhi setiap ceruk ruang gua berkenaan!

Ini disebabkan gua berkenaan menyediakan tempat perlindungan yang sesuai bagi pembiakan lipas dengan pelbagai kekotoran, kelam dan suasana lembap yang digemari spesies lipas ini.

Najis kelawar (guano) yang bertimbun, bangkai anak kelawar dan anak burung layang-layang semuanya membekalkan makanan yang segar kepada lipas lalu membentuk ekosistem yang memihak kepada sang lipas.

Selain jutaan lipas yang menghuni Gua Gomantong, gua ini juga terkenal dengan populasi burung layang-layang dan tempat tinggal lebih 2 juta ekor kelawar.

6. Kelawar memperkasakan ekonomi pertanian di Malaysia

Tahukah anda, antara eksport pertanian yang amat menguntungkan ekonomi Malaysia adalah buah durian?

Durian adalah buahan eksotik yang amat digemari di pasaran ASEAN dan Asia Timur, tapi tahukah anda, kelawar buah adalah spesis haiwan pendebunga yang amat penting dalam kitaran hidup pokok durian.

Ada dua jenis spesis kelawar di Malaysia iaitu spesis pemakan serangga dan spesis pemakan buahan. Kelawar spesis pemakan buahan amat menggemari buah durian.

Kelawar merupakan spesis pendebunga paling utama pohon durian. Bunga durian hanya berkembang pada malam hari, ini bermaksud hanya spesis haiwan nokturnal yang aktif di waktu malam sahaja mampu menjadi ejen pendebungaan.

Dan hanya spesis kelawar pemakan buah adalah ejen pendebungaan yang aktif di malam hari selain beberapa spesies serangga.

Berdasarkan kajian saintis, didapati bunga pokok durian yang didebungai oleh kelawar menghasilkan buah durian yang bermutu tinggi dan menghasilkan lebih banyak buah.

Jangan lupa menghargai jasa kelawar pemakan buah ketika anda menjamu selera durian yang sedap! Tiada kelawar, tiadalah durian!

7. Jalan Bulatan Trafik (Roundabout) terbesar di Asia

Roundabout Putrajaya

Tahukah anda, Persiaran Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Putrajaya adalah jalan bulatan roundabout terbesar di dunia mengelilingi 3.4 kilometer panjangnya.

Dengan lebih kurang 15 sistem jalan keluar, masuk di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, tahukah anda Tun Mahathir yang mencadangkan sistem roundabout berkenaan setelah mendapat ilham semasa lawatan rasmi beliau ke Paris dan melihat bulatan Avenue des Champs Elysees semasa perarakan peringatan Hari Bastile.

Dari situ, sebagaimana resam Tun Mahathir yang mahukan infrastruktur lebih besar dari Barat (mega projek dengan semangat Malaysia Boleh!), beliau mencadangkan satu sistem jalan roundabout yang cukup besar mengelilingi Putrajaya yang mampu menampung perarakan yang besar seperti perarakan Hari Kemerdekaan.

8. Nama Kereta PROTON tercipta semasa permainan Scrabble

Secara umumnya rata-rata tahu kereta pertama tempatan keluaran Malaysia dinamakan Proton Saga, yang merujuk kepada nama biji benih saga. Tapi itu hanya pendapat umum sahaja.

Tahukah anda, itu bukan cerita asal usul nama Proton Saga yang sebenarnya?

Ramai yang tidak tahu tentang peranan Encik Ismail Jaafar. Pada satu petang, dia bermain permainan Scrabble (kalau versi Melayu - SAHIBBA).

Ketika membuat frasa Bahasa Inggeris SAGA (yang membawa maksud dalam BI - "something said" or "a narrative in prose", somewhat along the lines of a "story", a "tale", or a "history"), En Ismail mendapati perkataan SAGA melibatkan 4 huruf sahaja dan markahnya agak kecil.

Tapi beliau mendapat ilham daripada akronim SAGA dan membentuk 4 frasa baru iaitu:

S= Safety / Stability (Keselamatan, Kestabilan)
A= Achievement (Pencapaian)
G= Greatness (Keagungan)
A= Ability (kebolehan)

Kemudian dari situlah beliau menghantarkan ideanya dalam pertandingan menamakan kereta nasional pertama keluaran Malaysia.

Tun Mahathir masih mengingati mengapa nama SAGA dipilih sebagai pemenang dimana terma SAGA menarik perhatian para juri.

Para juri dan Tun Mahathir memilih nama SAGA kerana ia adalah terma BI yang membawa maksud suatu peristiwa kejadian dan Tun Mahathir adalah orang yang mengaitkan nama SAGA dengan terma BM SAGA yang merupakan sebiji biji benih.

Tapi Tun Mahathir dan para juri tidak tahu ilham nama SAGA sebenarnya bermula dari permainan Scrabble!

9. Terdapat lebih dari 140 bahasa pertuturan digunakan di Malaysia

Dalam masyarakat Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis kaum, adat budaya dan agama, pastinya ia juga melibatkan pelbagai jenis bahasa.

Secara umumnya, jika ditanya pada rakyat Malaysia secara umum, hanya 30 bahasa pertuturan yang dapat dikenalpasti, rata-ratanya melibatkan BM, BI, dialek Cina, dialek India dan bahasa peribumi yang utama di Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, bagi pakar linguistik dan bahasa, mereka mengkaji perbezaan bahasa bukan hanya terhad pada bahasa-bahasa utama sahaja malah bahasa pertuturan yang melibatkan dialek (loghat) tempatan, creole (slanga, bahasa pasar) dan bahasa campuran (bahasa rojak, Manglish dll).

Melalui satu eksperimen di kota-kota di Malaysia dengan frasa "Kamu sudah makan kah?" penganalisis mendapati ada 10 cara menyebut frasa berkenaan yang berbeza termasuk dengan BI.

BM sahaja mempunyai lebih kurang 9 dialek (termasuk BM Piawai kira 10) termasuk 14 dialek Cina yang dituturkan oleh orang Cina, dicampur bahasa Baba Nyonya Peranakan, Tamil Peranakan, Kristang Portugis, Siam..

Apabila kita menyeberang ke Malaysia Timur, terdapat sekurang-kurangnya 90 jenis bahasa pertuturan. Yep, ini termasuk 60 bahasa pertuturan etnik pribumi asal Borneo.

10. Jambatan Gantung Tertinggi di dunia terletak di Sabah

Jambatan Gantung Gunung Kinabalu

Tahukah anda, bahawa Malaysia mempunyai Jambatan Gantung (Suspension Bridge) tertinggi di dunia?

Umum tahu bahawa Gunung Kinabalu yg setinggi 4095 meter yang 10 kali ganda lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas dan lebih kurang separuh ketinggian Gunung Everest di Himalaya.

Tetapi, ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan jambatan gantung tertinggi di dunia terletak di Gunung Kinabalu!

Jambatan gantung berkenaan dipasang betul-betul pada ketinggian lebih 3,600 meter dari aras laut!

Anda perlu mendaki hingga ke kem Laban Rata dengan ketinggian 3200 meter dari aras laut.

Dari sana, anda perlu melalui jalan Via Ferrata iaitu sistem jalan besi terlindung teknologi Itali yang dipasang pada lereng Gunung Kinabalu sebelum sampai ke Jambatan Gantung berkenaan.

Jambatan Gantung Gunung Kinabalu adalah sepanjang 22 meter sahaja.

Sistem laluan besi terlindung Via Ferrata di gunung Kinabalu juga merupakan jalan Via Ferrata tertinggi di dunia dan yang pertama di Asia!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Perubahan Waktu Di Malaysia Dan Kuasa Melentur Masa Tun Mahathir Yang Ramai Tidak Tahu

sumber: selongkar10

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (21 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (21 Ogos)

Tanggal 21 Ogos merupakan hari ke 233 (hari ke 234 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 132 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Mona Lisa
Mona Lisa.

Hari ini merupakan sambutan Hari Ninoy Aquino di Filipina dan Hari Belia di Maghribi.

Peristiwa

1680 - Orang Indian Pueblo menawan Santa Fe dari orang Sepanyol.

1772 - Rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah yang diketuai Gustav III selesai dengan penerimaan Perlembagaan Sweden baharu.

1831 - Nat Turner memimpin satu pemberontakan hamba di Southampton County, Virginia, A.S., namun ditumpaskan 48 jam kemudian.

1911 - Mona Lisa, sekeping catan minyak Leonardo da Vinci, dicuri dari Muzium Louvre di Paris oleh seorang pekerja muzium.

1968 - "Peristiwa Musim Bunga Prague" di Czechoslovakia berakhir dengan tiba-tiba apabila tentera Pakatan Warsaw melanggar negara tersebut, membunuh 72 orang Czechoslovak dan menahan ketuanya Alexander Dubček.

1976 - Operasi Paul Bunyan dijalankan sebagai gerak balas terhadap Peristiwa Pembunuhan Kapak di Kawasan Bebas Tentera Korea, dan hampir mencetuskan semula Perang Korea.

1983 - Pemimpin pembangkang Filipina, Benigno Aquino, Jr. ditembak mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila.

1986 - Letusan limnetik CO2 di Tasik Nyos di Cameroon mengorbankan sekitar 1,700 orang dan 3,500 ternakan di kampung berdekatan.

2007 - Taufan Dean merentasi Laut Caribbean dan melanda Semenanjung Yucatán, Mexico, menyebabkan 45 kematian dan kerosakan AS$1.5 bilion.

2013 - NASA mentauliahkan semula teleskop Wide-field Infrared Survey Explorer bagi mencari asteroid.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (20 Ogos)

sumber: wikipedia

Sunday, August 20, 2017

Fabrik Baju Pengantin Tunku Tun Aminah Hasil Kerja Tangan Banduan

Fabrik Baju Pengantin Tunku Tun Aminah Hasil Kerja Tangan Banduan

Siapa sangka baju nikah yang dipakai oleh pengantin diRaja Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad Abdullah pada hari Isnin lalu ditenun oleh banduan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang.

Tunku Tun Aminah

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu saudara Tunku Tun Aminah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menerusi akaun Twitter baginda.

"Pada majlis pernikahan anak saudara saya, Tunku Tun Aminah memakai baju yang dibuat daripada Tenun Pahang DiRaja rekaan saya. Ditenun oleh banduan Penjara Penor," tulis Tunku Azizah.

Tenun Pahang memang cukup dikenali ramai sebagai tenunan paling kemas malah Tunku Azizah sendiri banyak memberikan sumbangan dan idea melalui hasil tenunan itu hingga menamakan semula Tenun Pahang sebagai Tenun DiRaja Pahang kerana kecintaan baginda.

Tambah Tunku Azizah, Baju Kurung Teluk Belanga yang dipakai Tunku Tun Aminah pada hari bersejarah baginda direka sendiri oleh pengantin.

"Saya tidak mereka pakai tetapi saya mereka fabrik yang menggunakan kain tenun. Tunku Aminah mereka sendiri Baju Kurung," kata baginda.

Sementara itu, pereka fesyen tersohor Datuk Rizalman Ibrahim turut memuji busana yang dipakai Tunku Tun Aminah.

"Tunku Tun Aminah seorang fashionista namun pada upacara begini beliau memilih untuk kembali keapda asal usal dengan mengangkat martabat negeri Johor.

"Terus terang saya katakan baju kurung tradisional sudah cukup cantik untuk disarungkan cuma kena bijak menata rias busana itu.

"Misalnya dipadankan dengan selendang, layah atau aksesori yang sesuai seperti Tunku Tun Aminah lakukan," katanya lagi.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani