Sunday, April 05, 2015

Ginjal Rosak Minum Teh O Ais

Ginjal Rosak Minum Teh O Ais

Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) berusia 56 tahun menjadi pesakit pertama di dunia mengalami masalah kerosakan ginjal akibat batu karang dengan penyebabnya ialah hobi suka minum teh O ais setiap hari.

Ginjal Rosak

Perkara mengejutkan dunia perubatan itu didedahkan seorang penyelidik dari Universiti Arkansas, Dr. Alejandra Mena Gutierrez selepas pesakit warga emas yang dirahsiakan namanya mengadu sering berasa lemah badan sejak Mei 2014.

Menerusi artikel mengenai penemuan tersebut yang disiarkan laman web perubatan terkenal, Livescience.com, doktor itu berkata, minum teh secara tidak berlebihan sebenarnya tidak mungkin boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Namun, penyelidik menjalankan kajian terhadap sampel air kencing pesakit itu dan hasilnya mereka menemui kristal kalsium oksalat yang cukup tinggi sehingga membentuk batu-batu karang kecil menyebabkan lelaki tersebut kurang bertenaga.

Pesakit mendakwa tidak pernah pernah menghidap batu karang atau ahli keluargnya ada sejarah penyakit buah pinggang tetapi akhirnya mengaku, dia gemar minum sampai 16 gelas teh kosong jenis daun hitam bercampur ketulan air batu.

“Teh hitam merupakan sejenis teh pekat amat kaya oksolat, atau sebatian yang boleh mengakibatkan masalah ginjal jika diminum dalam jumlah berlebihan, namun tidak mungkin berlaku jika kita ambil secara kuantiti kecil,” jelas Gutierrez.

Justeru meminum 16 kali setiap hari air teh itu dapat menyebabkan oksolat terbentuk lebih daripada 1,500 miligram (mg) dalam tubuh badan, angka yang cukup tinggi bagi purata pengambilan teh oleh rakyat negara tersebut untuk sehari.

Kajian mendapati, warga AS minum teh dengan kandungan oksolat harian 152 hingga 511 mg, walhal Akademi Nutrisi dan Dietetik Kebangsaan hanya syor oksolat secara selamat bawah 50 mg sehari atau segelas saja. –Agensi/A.AMREE

BACA INI JUGA: Apa Perbezaan Antara Ubat Dan Supplement (Vitamin)?

Saturday, April 04, 2015

9 Kereta Paling Jimat Minyak Di Pasaran

9 Kereta Paling Jimat Minyak Di Pasaran

Penjimatan minyak kini dianggap sebagai salah satu faktor utama oleh pengguna untuk membeli kereta. Bagi memenuhi kehendak pengguna, syarikat-syarikat pengeluar kereta telah mengeluarkan beberapa jenis kereta yang tergolong dalam kategori efisyen dalam pembakaran minyak.

Disini, kami kompilasikan beberapa kereta yang mempunyai kadar pembakaran minyak yang efisyen supaya dapat menjadi rujukan bagi mereka yang ingin membeli kereta baharu pada harga dibawah RM100,000.

1. Perodua Axia
100KM = RM8.80

Perodua Axia

Selain dinobatkan kereta termurah di Malaysia, Perodua Axia juga terus menyelamatkan dompet pemiliknya dengan menawarkan penggunaan minyak yang efisyen. Dengan enjin berkapasiti 1.0cc, kereta keluaran perodua ini boleh bergerak sejauh 21.6 km bagi setiap liter minyak bagi transmisi manual. Bagi transmisi auto pula, setiap liter minyak membolehkan kereta ini bergerak sejauh 20.6 km.

2. Mitsubishi Mirage
100KM = RM9.10

Mitsubishi Mirage

Kereta kompak keluaran Mitsubishi ini dilihat sebagai saingan kepada kereta popular keluaran Perodua, MyVi. Dengan berbekalkan enjin 1.2 DOHC, kereta ini boleh bergerak sejauh 21 Km bagi setiap liter minyak. Selain dari penjimatan minyak, kereta ini juga turut dicipta untuk keselesaan.

3. Mitsubishi Attrage
100KM = RM9.10

Mitsubishi Attrage

Attrage adalah satu lagi kereta keluaran Mitsubishi yang dicipta untuk penjimatan minyak. Attrage turut menggunakan enjin berkapasiti 1.2cc, menyerupai adik beradiknya, Mirage. Selain dari penjimatan minyak, kereta ini juga turut menawarkan ciri-ciri lain seperti keyless operation system.

4. Hyundai i10
100KM = RM10.10

Hyundai i10

Kereta keluaran Hyundai ini menggunakan enjin yang berkapasiti 1.0cc yang boleh menggerakkan kereta sejauh 18.9 km bagi setiap liter.

5. Honda City 2014
100KM = RM11.20

Honda City 2014

Biarpun dilengkapkan dengan enjin 1.5cc, kereta keluaran Honda ini mempunyai kuasa penjimatan minyak yang boleh dikatakan menakjubkan. Kereta ini boleh digerakkan sejauh 17 Km bagi setiap liter minyak anda.

6. Myvi 1.3
100KM = RM11.20

Myvi 1.3

Kereta yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia ini bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang menarik, tetapi turut juga menawarkan penjimatan minyak. Tetapi jika dibandingkan dengan Honda City, kereta ini mempunyai enjin yang lebih rendah iaitu 1.3cc sahaja. Sama seperti Honda City, seliter minyak boleh menggerakkan kereta ini sejauh 17Km.

7. Peugeot 208
100KM = RM11.90

Peugeot 208

Didatangkan dengan enjin 1.6cc, kereta ini dijual pada harga RM83,480. Dengan kekuatan enjin tersebut, kereta ini boleh digerakkan sejauh 16 km bagi setiap liter minyak. Bagaimanapun, kekurangan kereta ini adalah tangki minyaknya cuma boleh menerima 50 liter minyak sahaja.

8. Volkswagen Polo Sedan
100KM = RM12.30

Volkswagen Polo Sedan

Kereta keluaran Volkswagen ini didatangkan bersama enjin 1.6cc dan ia boleh mencapai kelajuan tertinggi sehingga 183 Km/jam. Kereta ini menggunakan 6.5L minyak bagi 100km perjalanan. Ini bermakna anda akan menghabiskan RM12.50 untuk minyak bagi perjalanan sejauh 100km.

9. Proton Iriz
100KM = RM13.20

Proton Iriz

Tergolong dalam golongan kereta kompak, Iriz adalah kereta kompak pertama yang dikeluarkan oleh Proton. Kereta yang dilengkapi dengan enjin 1.6cc ini menggunakan seliter minyak bagi perjalanan sejauh 14.5km.

BACA INI JUGA: Pilihan Model Kereta Kecil Terbaik Di Malaysia

Sumber: Mukhrizmahathirfc.com

Merungkai Misteri Kewujudan Planet Makhluk Asing

Merungkai Misteri Kewujudan Planet Makhluk Asing

Neil Armstrong, angkasawan Amerika Syarikat, adalah manusia pertama yang menjejakkan kaki dipermukaan bulan.

Alien-Building

Peristiwa bersejarah ini berlaku pada 1969. Perjalanan ke bulan dan kedudukannya jika dibandingkan dengan keluasan kosmos, ibarat baru melangkah keluar bendul rumah.

Bagaimana pula dengan penerokaan ke planet-planet yang terdapat jauh di galaksi lain?

Apa yang pasti, ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat atau dalam tempoh 100 tahun lagi pun!

Harapan kita untuk mendapat gambaran planet lain adalah mustahil buat masa ini. Disebabkan tidak ada teleskop yang dapat menjangkau jauh di angkasa lepas atau pesawat yang mampu mendarat di planet asing, satu-satunya maklumat yang kita perolehi datangnya daripada cerita-cerita saksi yang telah dibawa oleh makhluk asing ke planet mereka.

Mereka adalah manusia pertama yang telah sampai ke planet asing tetapi nama mereka tidak tercatat di dalam sejarah.

Salah satu aktiviti makhluk asing di Bumi ialah membawa manusia ke planet mereka. Manusia yang dibawa ke sana terdiri daripada dua kategori.

Pertama, untuk agenda tertentu di planet mereka dan manusia ini tidak dipulangkan semula ke bumi. Kedua, ialah manusia yang dibawa untuk ditunjukkan planet asal mereka.

Bagi yang berada dalam kumpulan kedua ini, mereka akan dikembalikan selepas ekspedisi tamat. Biasanya, ia memakan masa antara 30 minit hingga satu jam sahaja.

Perlu diingat, makhluk asing daripada pelbagai spesis dan pelbagai planet terlibat dalam urusan membawa manusia ke planet asing. Jadi, gambaran yang diberikan mereka adalah berbeza-beza.

Sebelum manusia dibawa ke planet asing, mereka akan diperiksa tahap kesihatan terlebih dahulu. Selepas dipilih, pelbagai proses dilakukan ke atas mereka seperti disapu seluruh badan dengan sejenis cecair, disuruh berbaring di dalam bekas dan sebagainya.

Tetapi, ramai juga saksi yang tidak perlu melalui proses tersebut. Ini semua bergantung kepada jenis pesawat UFO dan kecanggihannya.

Ada juga saksi yang melaporkan mereka melihat mayat manusia di dalam pesawat UFO. Mungkin mereka telah mati disebabkan badan mereka tidak dapat menahan tekanan penerbangan di angkasa lepas.

Sembilan puluh peratus daripada makhluk asing mengamalkan protokol yang sama apabila berhadapan dengan manusia.

Pertama, mereka mententeramkan manusia agar jangan berasa takut atau cemas. Mereka meyakinkan manusia yang mereka tidak akan mencederakan saksi. Selepas itu mereka akan menjemput saksi untuk mengikut mereka ke dalam pesawat UFO untuk terbang ke planet asal mereka.

Jika saksi menolak jemputan tersebut, mereka akan beredar dari situ. Jika saksi bersetuju, mereka akan dibawa dibawa masuk ke dalam UFO. Tidak ada paksaan yang digunakan.

Sebagai contoh, satu insiden yang berlaku pada November 1975 di Tebedu, Sarawak, sebuah UFO telah mendarat berdekatan sebuah rumah seorang peniaga. Dua entiti makhluk asing yang keluar daripada pesawat tersebut telah menjemput dengan baik saksi terbabit untuk mengikut mereka. Bila saksi menolak pelawaan mereka, kedua-dua makhluk itu tidak berkata apa-apa dan beredar dari situ. Situasi yang serupa berlaku di seluruh dunia.

Akan tetapi terdapat 10 peratus lagi jenis makhluk asing yang tidak mengikut protokol ini. Mereka tidak akan berbicara dengan saksi. Mereka terus tangkap dan menarik saksi yang menjerit meminta tolong. Biasanya sedikit sahaja manusia yang berjumpa dengan makhluk asing dalam kumpulan ini kembali semula ke dunia.

Terdapat tidak kurang dari 277 insiden berlaku di mana saksi dari pelbagai pelosok dunia telah dibawa menaiki UFO ke angkasa lepas. Daripada jumlah ini, 122 orang telah dibawa ke planet asing, 83 orang hanya terbang di angkasa tanpa mendarat, 32 kes dibawa ke sebuah stesen angkasa atau kapal induk UFO. Baki ekspedisi dalam UFO telah dibawa ke bulan, planet-planet dalam sistem suria dan sebagainya.

Daripada kes manusia yang mendarat di planet asing, apa yang menarik adalah, mereka bercakap perkara yang sama iaitu udara di sana sangat bersih, nyaman dan kaya dengan oksigen.

Saksi-saksi ini tidak kenal diantara satu sama lain dan tidak tahu cerita masing-masing. Tetapi bila dianalisis cerita mereka, apa yang mereka dapati di planet asing terbabit adalah situasi yang serupa iaitu ada kelebihan oksigen. Keadaan sebegini tidak terdapat di Bumi.

Selain dari planet yang segar seperti diatas, ada juga saksi yang dibawa ke planet yang tandus seperti di Marikh. Mereka melaporkan melihat permukaan planet yang dipenuhi kawah seperti di permukaan bulan.

Ada planet yang dikatakan sangat panas, ada yang menyerupai padang pasir dan ada juga planet dimana saksi menghadapi masalah pernafasan. Ini kerana kurangnya oksigen di udara.

Bagi planet-planet jenis ini, penduduknya tidak tinggal di permukaan tetapi di bawah tanah atau di dalam gunung-ganang. Ini adalah untuk mengelak panas yang terik.

Walau bagaimanapun, ada juga saksi yang melaporkan mereka tidak melihat matahari dan cahaya di planet terbabit datang daripada sumber yang tidak diketahui.

Ada juga planet asing yang mempunyai matahari yang saiznya dua kali ganda lebih besar daripada matahari kita.

Ada sebuah planet asing yang mempunyai matahari berwarna biru. Ada juga planet yang mempunyai dua buah matahari.

Langit di planet asing adalah berbeza-beza, ada langit yang biru seperti di bumi, manakala ada langit yang gelap, berwarna ungu, berawan dan sebagainya.

BACA INI JUGA: Bagaimanakah Rupa Bangunan Di Planet Makhluk Asing?

-SENTIASAPANAS.COM

GST, Syarikat TELCO Besar Kepala!

GST, Syarikat TELCO Besar Kepala!

GST, masyarakat beria-iya mahukan resit. Dulu main bayar sahaja berapa jumlah yang diminta peniaga. Sekarang semuanya mahukan resit.

TELCO

Satu tindakan yang bijak selaku pembeli. Diharap perkara ini berterusan agar menjadi ingatan buat peniaga/pemborong/pengilang akan betapa besarnya kuasa pembeli.

Sejak perlaksanaan GST, banyak aduan diterima:

Kastam Hari 1 = 800 Hari 2 = 202

KPDNKK Hari 1 = 1,109 Hari 2 = 720

Premis perniagaan yang diperiksa Kastam adalah sebanyak 7,630 buah. Manakala premis yang gagal menepati kriteria GST pula adalah sebanyak 51 buah.

Perlu diingat, bilangan syarikat yang mendaftar GST adalah sebanyak 364,862. Apa yang menghairankan, mengenai syarikat telekomunikasi.

Bagi kita, talian komunikasi merupakan sesuatu keperluan. Ibu bapa hendak hubungi anak-anak dan begitu juga sebaliknya. Bukankah institusi keluarga perlu dipelihara?

Soalnya, kenapa bila hari perlaksanaan GST, suasana menjadi kelam-kabut? Ia melibatkan syarikat-syarikat telco.

Kastam kata tidak perlu dikenakan GST 6%, tetapi syarikat telco tetap cas 6% kepada pengguna!

Sekarang, selepas berjumpa kedua-dua belah pihak, Kastam kata kad tambah nilai ini perlu dikenakan GST.

Dalam masa sama syarikat telco akan memberi bonus masa perbualan dan SMS berjumlah RM1.00.

Sedang keputusan sudah dibuat, kenapa perlu ada lagi perjumpaan dan tunduk kepada syarikat telco?

Adakah kuasa syarikat telco melebihi Kastam? Atau syarikat telco masih tidak faham kepada kuasa pembeli?

Perlu diingat, ramai dikalangan kita yang menggunakan kad tambah nilai ini adalah dikalangan anak-anak mahupun pelajar. Kastam dan kerajaan sudah pasti mengambil maklum mengenai perkara ini.

Apa syarikat telco masih rakus kepada pengguna kecil ini? Kenapa Mydin boleh serap 6% GST untuk pengguna, Jakel juga membuat tindakan sama.

Setelah bertahun-tahun bertapak, dimana nilai kebajikan didalam syarikat telco yang besar-besar ini?

BACA INI JUGA: Senarai Penipuan Syarikat Telco Didedahkan PPIM

Sumber: Suaralensa

Black Diamond, Ais Krim Berharga RM3,023 Untuk Satu Hidangan!

Black Diamond, Ais Krim Berharga RM3,023 Untuk Satu Hidangan!

Jika anda berasa cukup kaya, barang kali harga ais krim ini menyebabkan anda terkesima untuk mencubanya dan apa yang lebih istimewa, tanpa dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Black Diamond

Akhbar-akhbar Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan, sebuah kedai pencuci mulut di Dubai melancarkan aiskrim yang dianggap (antara) paling mahal di dunia dengan harga serendah 3,000 dirham (kira-kira RM3,023).

Penciptanya, seorang peniaga dari India, Zubin Doshi berkata, harga mahal itu sebenarnya masih lagi murah dan memang pun dianggap wajar setelah mengambil kira bahan-bahan yang digunakan juga dikecualikan daripada GST.

Scoopi Cafe

Ais krim eksklusif dikenali sebagai ‘Black Diamond‘ atau berlian hitam itu diperbuat daripada bahan-bahan bernilai mewah antaraya ‘Italian Truffles’, ‘Ambroisal Iranian Saffron’ dan emas 23 karat yang boleh dimakan begitu sahaja.

Ia kemudian dihidang di dalam mangkuk jenama Versace yang boleh disimpan oleh pembeli dan kini sudah pun dijual di Scoopi Cafe, tidak jauh dari hotel berprestij ikon popular Dubai, Burj Al Khalifa setinggi 830 meter. –Agensi

BACA INI JUGA: Hidangan Pencuci Mulut Paling Mahal Di Dunia!

Friday, April 03, 2015

Nik Aziz Pernah Pesan Agar PAS Berbaik Dengan UMNO

Nik Aziz Pernah Pesan Agar PAS Berbaik Dengan UMNO

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah akhirnya mendedahkan satu rahsia iaitu, Allahyarham Nik Abdul Aziz pernah berpesan kepada ahli parti itu untuk berbaik dengan parti pemerintah yakni UMNO.

Mohd Amar Nik Abdullah

Ia bersandarkan kepada alasan bahawa UMNO merupakan kunci kepada perlaksanaan hukuman Hudud di Kelantan.

Memetik laporan Berita Harian, bekas Mursyidul Am PAS itu berpesan kepada PAS untuk tidak mengkritik UMNO kerana mereka perlu berurusan dengan pihak tersebut.

Dalam kenyataannya seperti disiarkan akhbar tersebut, “Hari ini, saya membuka rahsia dan menceritakan amanat Allahyarham kerana timbul isu mendakwa PAS sudah masuk perangkap Umno kerana kita mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.

“Kenapa isu ini perlu dibangkitkan kerana hubungan antara PAS dengan kerajaan persekutuan sudah lama terjalin. Malah, sepanjang pemerintahan Allahyarham Nik Aziz juga, hubungan itu sudah terjalin.

“Perlu ingat, UMNO mempunyai kunci besar dalam kerajaan. Jadi, tidak perlu pertikaikan isu hubungan baik PAS dengan kerajaan Persekutuan, sebaliknya beri keyakinan kepada pimpinan PAS kerana apa yang kita mahu lakukan ini untuk kebaikan rakyat.”

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan pemerintah negeri melaksanakan hukuman tersebut di Kelantan.

BACA INI JUGA: Pemimpin Terbaik Yang Disebut Dalam Hadis Nabi

Sumber: Berita Harian

April Fool, Budak Sabah Hanya Bergurau Google Beli Ideanya!

April Fool, Budak Sabah Hanya Bergurau Google Beli Ideanya!

Sejak semalam, tersebar satu laporan menyatakan tentang kejayaan seorang pelajar dari Sabah yang berjaya ‘menjual’ ideanya kepada syarikat enjin carian Google setelah menyertai satu peraduan.

Yusrim Karim Bodoh

Yusrim Karim, 15, dikatakan telah menerima tawaran lumayan daripada Google untuk bekerjasama dengan mereka apabila idea yang diberinya mencuri perhatian. Nak tahu tawaran apa diterimanya?

Diberi tiga pilihan, Yusrim kononnya ditawarkan untuk membuka syarikat di bawah tajaan Google dengan nilai projek USD36 juta, berkerja dengan Google dan bakal diberikan dana USD12 juta atau menjual ideanya kepada syarikat tersebut dengan harga USD50 ribu.

Memang kedengaran cukup membanggakan, malah ramai yang memuji kegigihan serta kepintaran remaja tersebut, namun semua itu rupanya sandiwara belaka.

Menurut laporan terbaru media massa, Google telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka tidak pernah membuat peraduan sebagaimana didakwa dan tidak pernah menghubungi remaja terbabit.

Memetik kenyataan Ketua Jabatan Komunikasi dan Hal Ehwal Awam Google Malaysia, Zeffri Yusoff, pihaknya menyangkal penuh laporan tentang kejayaan remaja itu dan menganggap ia hanyalah satu helah sempena ‘April Fool’.

Kata beliau seperti dilaporkan Harian Metro, “Kita tidak mahu panjangkan cerita ini, kami menjemput pelajar dan cikgunya datang ke pejabat untuk berikan hadiah April Fool.”

Remaja terbabit dikatakan cuma bergurau dengan guru-guru di sekolahnya apabila mendakwa pihak Google tertarik dengan perisian ‘Coker Chat’ yang diciptanya.

Dia mendakwa mengambil masa selama lima bulan bagi menghasilkan format yang mampu memudahkan pengguna seluruh dunia berkomunikasi menggunakan bahasa sendiri.

Apa-apapun, tahniah buat remaja tersebut kerana berjaya memperdayakan seluruh negara sempena ‘April Fool’!

Tahniah kerana selepas 15 tahun bersekolah, bukan akhlak mulia yang terhasil tetapi kebolehan dan kepandaian menipu orang lain!

Rasa-rasanya menjelang beberapa tahun lagi bakal jadi penipu besar di Malaysia..

BACA INI JUGA: Asal-usul Sambutan April Fool Yang Ramai Tak Tahu!

Sumber: Mynewshub.cc

Sekeluarga Bunuh Diri Kerana Takut Kiamat!

Sekeluarga Bunuh Diri Kerana Takut Kiamat!

Pada petang 27 September 2014, penduduk di Springville, Utah, Amerika Syarikat digemparkan dengan kematian mengejut sebuah keluarga akibat penggunaan dadah berlebihan.

Benjamin dan Kristi Strack

Benjamin dan Kristi Strack dipercayai memberi racun kepada anak-anak mereka, Benson, 14, Emercy, 12, dan Zion, 11, sebelum mereka sendiri membunuh diri mengambil dadah dengan dos yang tinggi.

Ketika bedah siasat, pihak polis mendapati kandungan heroin yang tinggi dalam badan Benjamin manakala isterinya Kristi terlebih dos dadah jenis methadone, diphenhydramine dextrorphan dan doxylamine.

Benjamin dan Kristi telah membunuh ketiga-tiga anaknya dengan memberi sejenis cecair berbau harum mengandungi dadah jenis diphenhydramine dan methadone.

Namun, anak kedua mereka, Benson, tidak diklasifikasikan sebagai kes homisid kerana dipercayai mangsa terakhir mati.

Pihak polis turut menemui 10 botol ubat tidur yang sudah kosong, beberapa bekas methadone serta pil-pil penenang dengan cawan untuk diminum berhampiran mayat-mayat ini.

Kesemua mayat ditemui mati oleh anak sulung kedua pasangan, Jenson, 18, dan teman wanitanya yang gagal membuka pintu bilik tidur besar yang dikunci dari dalam.

Jenson yang baru pulang terpaksa meminta pertolongan jiran dan ibu saudaranya untuk memecahkan pintu bilik tersebut sebelum menyaksikan mayat bergelimpangan di depan mata.

Siasatan polis mendapati, kes kematian yang cukup sadis keluarga tersebut kerana pasangan suami isteri ini didorong perasaan takut terhadap 'Impending Doom', sejenis dorongan dan perasaan murung terhadap perkara buruk yang belum berlaku, takut kepada hari kiamat!

Menurut keluarga dan sahabat-sahabatnya, Benjamin dan Kristi berkelakuan normal. Hanya beberapa bulan sebelum mereka ditemui mati, keduanya berperangai pelik dengan meluahkan rasa takut dengan kedatangan hari kiamat.

Apa itu Impending Doom?

Ketakutan terhadap 'Impending Doom' ataupun kedatangan hari kiamat merupakan penyakit moden yang sering menghantui umat akhir zaman yang dimomokkan dengan kedatangan hari kiamat namun tidak kunjung tiba.

Ia merupakan masalah psikologi yang sering bermain di fikiran seseorang dan menimbulkan persoalan seperti, "Bagaimana kalau..." dengan kerap.

Tiada dokumen tentang nota bunuh diri ditemui, tetapi polis hanya menemui beberapa nota terima kasih dan 'wasiat' barang-barang kesayangan Benjamin kepada kawan-kawan baiknya.

Selain mempunyai masalah kewangan, kedua suami isteri ini pernah mendapat rawatan ketagihan dadah manakala anak-anak mereka perlu dihantar ke pusat khidmat sosial tempatan.

BACA INI JUGA: Misteri Penciptaan Langit

-SENTIASAPANAS.COM

Keistimewaan Ayat Surah Yusuf Dan Taha Yang Tidak Ternilai

Keistimewaan Ayat Surah Yusuf Dan Taha Yang Tidak Ternilai

Keistimewaan dan manfaat dua ayat Surah Yusuf dan Taha. Al-Qur’an merupakan salah satu anugerah dari Allah SWT kepada seluruh umat Islam yang tidak ternilai harganya.

Al-Qur'an

Selain menjadi pedoman hidup, amat banyak manfa’at dan fadhilat yang tersembunyi di dalam Al-Qur’an untuk seluruh umat manusia terutama dari segi perubatan dan pemulihan.

Memandangkan amat banyak persoalan berkaitan permasalahan jodoh dan perhubungan, sama ada hubungan di antara ibu bapa, suami isteri atau teman-teman, makanya saya ingin berkongsi kepada anda semua dua ayat yang amat bermanfaat.

1. Bacalah ayat 4 dari surah Yusuf berikut:

Ayat 4 dari surah Yusuf

2. Kemudian sambung membaca surah Taha, ayat 39:

Surah Taha, ayat 39

Ayat ini adalah ayat pengasih bagi mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan ianya juga boleh untuk anak-anak, ahli keluarga, teman-teman dan sahabat handai.

Setiap kali bertemu dengan mereka atau siapa sahaja yang kita kehendaki, maka bacalah di dalam hati kedua ayat tersebut di hadapannya.

InsyaAllah akan mendapat hasil yang baik dan kesan positif daripada mereka.

Sekiranya ingin disayangi dalam keluarga, rakan dan masyarakat, maka bacalah kedua-dua ayat ini sebanyak 3 kali setiap kali selepas solat.

Apa yang baik itu datang Allah SWT dan setiap yang terjadi itu adalah atas kehendak-Nya jua.

BACA INI JUGA: Berhati-Hati Menulis Wallahu A’lam

Sumber: shafiqolbu

Thursday, April 02, 2015

Bayaran Balik PTPTPN Dikenakan GST?

Bayaran Balik PTPTPN Dikenakan GST?

Pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

PTPTN GST
Gambar hiasan.

Katanya, sebarang bayaran balik pinjaman yang dilakukan melalui kaunter atau kios di mana-mana cawangan milik PTPTN tidak akan dikenakan GST.

“Bagaimanapun bayaran balik melalui perbankan internet atau di luar daripada cawangan PTPTN akan tertakluk kepada institusi perbankan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cabutan Hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata pengecualian cukai itu memberi lebih peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus melangsaikan hutang pinjaman mereka yang tertunggak.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata langkah kerajaan memberikan insentif diskaun 20 peratus bagi bayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berjaya menggalakkan peminjam yang telah disenarai hitam membuat bayaran balik.

Sehingga Selasa lepas, 33,059 peminjam telah mengambil peluang mendapatkan insentif diskaun itu yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM404.75 juta.

Daripada jumlah peminjam itu, 1,392 orang merupakan peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik, melibatkan pinjaman keseluruhan sebanyak RM18.03 juta.

Sepanjang tempoh pemberian insentif berkenaan, sejumlah RM80.95 juta diskaun telah diberikan kepada peminjam manakala bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM323.80 juta.

“Daripada angka ini kita akan kaji dan lihat daripada pelbagai aspek dan menilai dapatan baru yang mungkin kita akan buat supaya trend pembayaran yang meningkat ini akan terus berlaku,” katanya.

Pemberian insentif diskaun 20 peratus telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2015, bagi membantu mengatasi masalah hutang tertunggak peminjam PTPTN.

Terdahulu Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapan perasmian mengumumkan kadar dividen SSPN-i bagi tahun lepas ialah sebanyak 4.25 peratus melibatkan peruntukan sebanyak RM50.56 juta.

“Kadar yang diberikan ini adalah lebih tinggi daripada kadar faedah dan keuntungan untuk akaun simpanan yang diberikan oleh kebanyakan institusi kewangan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai melaksanakan perancangan kewangan yang baik melalui SSPN-i dengan membuat penabungan khusus bagi tujuan pendidikan tinggi di masa akan datang.

“Saya berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran di kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi,” katanya.

Sehingga 28 Feb lepas, sebanyak 2.2 juta akaun SSPN-i telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM1.6 bilion. -BERNAMA

BACA INI JUGA: Kenapa Hutang Malaysia Naik 3 Kali Ganda?

Sumber: BERNAMA