Apr 2, 2015

Bayaran Balik PTPTPN Dikenakan GST?

Pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

PTPTN GST
Gambar hiasan.

Katanya, sebarang bayaran balik pinjaman yang dilakukan melalui kaunter atau kios di mana-mana cawangan milik PTPTN tidak akan dikenakan GST.

“Bagaimanapun bayaran balik melalui perbankan internet atau di luar daripada cawangan PTPTN akan tertakluk kepada institusi perbankan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Cabutan Hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata pengecualian cukai itu memberi lebih peluang kepada peminjam PTPTN untuk terus melangsaikan hutang pinjaman mereka yang tertunggak.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata langkah kerajaan memberikan insentif diskaun 20 peratus bagi bayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berjaya menggalakkan peminjam yang telah disenarai hitam membuat bayaran balik.

Sehingga Selasa lepas, 33,059 peminjam telah mengambil peluang mendapatkan insentif diskaun itu yang melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM404.75 juta.

Daripada jumlah peminjam itu, 1,392 orang merupakan peminjam tegar yang tidak pernah membuat bayaran balik, melibatkan pinjaman keseluruhan sebanyak RM18.03 juta.

Sepanjang tempoh pemberian insentif berkenaan, sejumlah RM80.95 juta diskaun telah diberikan kepada peminjam manakala bayaran balik yang diterima adalah sebanyak RM323.80 juta.

“Daripada angka ini kita akan kaji dan lihat daripada pelbagai aspek dan menilai dapatan baru yang mungkin kita akan buat supaya trend pembayaran yang meningkat ini akan terus berlaku,” katanya.

Pemberian insentif diskaun 20 peratus telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2015, bagi membantu mengatasi masalah hutang tertunggak peminjam PTPTN.

Terdahulu Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dalam ucapan perasmian mengumumkan kadar dividen SSPN-i bagi tahun lepas ialah sebanyak 4.25 peratus melibatkan peruntukan sebanyak RM50.56 juta.

“Kadar yang diberikan ini adalah lebih tinggi daripada kadar faedah dan keuntungan untuk akaun simpanan yang diberikan oleh kebanyakan institusi kewangan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai melaksanakan perancangan kewangan yang baik melalui SSPN-i dengan membuat penabungan khusus bagi tujuan pendidikan tinggi di masa akan datang.

“Saya berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran di kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi,” katanya.

Sehingga 28 Feb lepas, sebanyak 2.2 juta akaun SSPN-i telah dibuka dengan jumlah deposit sebanyak RM1.6 bilion. -BERNAMA

BACA INI JUGA: Kenapa Hutang Malaysia Naik 3 Kali Ganda?

Sumber: BERNAMA

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

Beratlah mcm ni.. interest lagi.. gst lagi huhu.. :D

nasib baik tak de GST...hihi..semalam cik akak beli kain ela...dapat GST pula dah..hihi

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon