Wednesday, August 09, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Ogos)

Tanggal 9 Ogos merupakan hari ke 221 (hari ke 222 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 144 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Nagasaki
Pengeboman Nagasaki.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kebangsaan di Singapura (1965), Hari Wanita Kebangsaan di Afrika Selatan dan Hari Orang Asli Dunia Antarabangsa.

Peristiwa

48 SM - Julius Caesar menewaskan Pompey dan angkatan Senat dalam Pertempuran Pharsalus, sekaligus mengukuhkan kawalannya ke atas Republik Rom.

378 - Angkatan Rom pimpinan Maharaja Valens dihancurkan oleh Goth dalam Pertempuran Adrianople.

681 - Bulgaria diasaskan sebagai negeri Khan di tebing selatan Sungai Danube, setelah menumpaskan tentera Byzantine yang diketuai Maharaja Constantine IV di selatan delta Danube.

1048 - Paus Damasus II mangkat di Rom, setelah memerintah selama 23 hari sahaja.

1173 - Di Pisa, Itali, campanile yang akhirnya akan menjadi Menara Condong Pisa mula dibina.

1483 - Pembukaan Sistine Chapel di Kota Vatican.

1810 - Napoleon mengilhakkan Westphalia menjadi sebahagian Empayar Perancis Pertama.

1842 - Perjanjian Webster-Ashburton ditandatangani, maka ditetapkannya sempadan Amerika Syarikat-Kanada di timur Banjaran Rocky.

1892 - Thomas Edison meraih paten bagi ciptaan telegraf dua hala.

1902 - Edward VII dinobatkan sebagai raja United Kingdom.

1907 - Perkhemahan Boy Scout pertama tamat di Pulau Brownsea di selatan England.

1936 - Sukan Olimpik ke-XI: Jesse Owens menggondol pingat emas keempatnya, menjadikannya rakyat Amerika pertama yang meraih empat pingat dalam satu temasya Olimpik.

1942 - Pemimpin India Mahatma Gandhi ditahan di Bombay oleh tentera British, lalu mencetuskan Pergerakan Tinggalkan India.

1942 - Perang Dunia Kedua: Pertempuran Pulau Savo Island - angkatan laut Berikat yang melindungi pasukan amfibianya pada awal Pertempuran Guadalcanal dikejutkan lalu ditewaskan oleh pasukan penjajap Tentera Laut Maharaja Jepun.

1945 - Perang Dunia Kedua: Pesawat pengebom Tentera Udara A.S. Bockscar menjatuhkan sebutir bom atom bernama Fat Man yang memusnahkan Nagasaki, Jepun.

1947 - Pemberhentian pengeluaran Douglas DC-4.

1965 - Singapura berpisah daripada Malaysia lalu mencapai kemerdekaan.

1969 - Ahli-ahli kultus pimpinan Charles Manson membunuh dengan kejamnya pelakon Sharon Tate (isteri Roman Polanski), pewaris niaga kopi Abigail Folger, pelakon Poland Wojciech Frykowski, pendandan rambut lelaki Jay Sebring, dan lepasan sekolah tinggi baru Steven Parent di Los Angeles, California.

1974 - Skandal Watergate: Richard Nixon menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama (dan sehingga kini tunggal) meletakkan jawatan.

1977 - Rejim tentera Uruguay mengumumkan bahawa negara akan kembali ke pemerintahan awam melalui pilihan raya Presiden dan Parlimen pada tahun 1981.

1988 - Wayne Gretzky ditukarkan dari Edmonton Oilers ke Los Angeles Kings dalam penukaran pemain yang paling berkontroversi dalam sejarah hoki ais.

1993 - Parti Demokratik Liberal Jepun melepaskan kepimpinan negara setelah 38 tahun.

1999 - Presiden Rusia Boris Yeltsin memecat Perdana Menteri Sergei Stepashin, dan memecat seluruh jemaah menterinya buat kali keempat.

1999 - Diet Jepun menggubal undang-undang yang menetapkan Hinomaru dan Kimi Ga Yo selaku bendera dan lagu kebangsaan.

2001 - Presiden A.S. George W. Bush mengumumkan sokongannya bagi pembiayaan persekutuan terhadap penyelidikan sel tunjang embrio secara terhad.

2006 - Polis British menahan 24 orang yang disyaki terbabit dalam berkomplot meletupkan bom cecair di atas sekurang-kurangnya 10 pesawat dari UK ke Amerika Syarikat dan Kanada.

2008 - Parlimen Georgia meluluskan keadaan perang di seluruh negara untuk 15 hari selepas Rusia membalas serangannya terhadap Ossetia Selatan.

2009 - Taufan Morakot mengorbankan lebih 100 orang di Filipina dan Taiwan selepas menghasilkan rekod hujan 2,777 mm.

2010 - Paul Kagame terpilih semula sebagai Presiden Rwanda.

2011 - Kekacauan awam di London merebak ke sebahagian besar England.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Ogos)

sumber: wikipedia

Tuesday, August 08, 2017

Jepun Temui Formula Lambatkan Ais Krim Cair

Jepun Temui Formula Lambatkan Ais Krim Cair

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perkembangan Bioterapi di Kanazawa, Jepun telah menemui jalan penyelesaiannya secara tidak sengaja, ais krim yang tidak akan cair berjam-jam lamanya walaupun dalam keadaan cuaca panas!

Ais Krim Lambat Cair

Masalah aiskrim cepat cair ni dapat diatasi dengan menggunakan polifenol yang terdapat dalam buah strawberi, menyebabkan aiskrim tidak cair dalam tempoh yang singkat seperti kebiasaan.

Penemuan itu diperolehi apabila seorang chef pastri diminta untuk mencipta manisan baru dengan menggunakan polifenol oleh pusat penyelidikan berkenaan.

Ia bagi mencari faedah lain yang boleh dimanfaatkan melalui buah strawberi yang tidak hanya mengehadkan kegunaannya sebagai buah-buahan segar semata-mata.

Hasil daripada ciptaan manisan baru itu, chef tersebut telah membuktikan yang polifenol tidak sesuai untuk manisan sebaliknya ia merupakan bahan untuk menjadikan aiskrim tahan lebih lama sekaligus mengurangkan kadar pencairan.

“Cecair polifenol mempunyai ciri-ciri yang menyebabkan air dan minyak sukar dipisahkan,” kata Tomihisa Ota, pensyarah di Universiti Kanazawa.

Takeshi Toyodo yang juga presiden pusat penyelidikan berkenaan mengesahkan bentuk aiskrim dapat dikekalkan walaupun terdedah dengan udara panas dari pengering rambut.

Ais Krim Lambat Cair

Penemuan ini turut mendapat persetujuan daripada wartawan Jepun, Asashi Shimbun yang telah pun membuat kajian mereka sendiri dengan mendedahkan aiskrim kepada haba pada suhu kira-kira 28 darjah celsius dan mendapati bentuk aiskrim itu masih kekal seperti lima minit sebelumnya.

Disebabkan penemuan baru ini, Pusat Penyelidikan Perkembangan Bioterapi itu membuat keputusan untuk menjual aiskrim tersebut di kedai Kanazawa Ice dan bercadang untuk menambah cawangan di Tokyo dan Osaka.

Aiskrim ini juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk yang comel.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Fakta Penting Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut Ibu Bapa Wajib Tahu

Fakta Penting Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut Ibu Bapa Wajib Tahu

Apa itu HFMD? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun, serta mempunyai tren ’cyclical’ dengan kemuncak setiap tiga tahun.

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut

Penyakit ini disebabkan oleh beberapa jenis virus dan kebanyakannya adalah ringan ke sederhana sahaja. Walau bagaimanapun jangkitan dengan enterovirus 71 (EV71) boleh menjadi teruk dan boleh membawa kematian.

Bagaimana ia merebak?

Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari.

Tanda-tanda penyakit

Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala 3 demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Kanak-kanak pula boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan.

Namun, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari.

Walau bagaimanapun, menurut KKM, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis. Namun, ianya jarang berlaku.

Langkah berjaga-jaga

Menurut kenyataan KKM, penyakit ini cepat menular di kalangan kanak-kanak, terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska atau tadika.

Oleh itu, KKM menasihatkan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan untuk mengamalkan langkah-langkah seperti berikut.

i. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/sekolah/taska/tadika/ pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

ii. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

iii. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh/merawat lepoh

iv. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.

v. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.

vi. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Ketahui Punca Leher Atau Kelenjer Anak Bengkak Dan Rawatannya

sumber: astroawani

Peluru Berpandu Zircon, Rusia Cipta Misil Hipersonik Yang Tidak Mampu Dipintas

Peluru Berpandu Zircon, Rusia Cipta Misil Hipersonik Yang Tidak Mampu Dipintas

Rusia berjaya menghasilkan peluru berpandu hipersonik dan didakwa memiliki kelajuan luar biasa yang mampu mencapai enam kali kelajuan bunyi.

Peluru Berpandu Zircon

Ibtimes melaporkan, peluru berpandu yang dikenali sebagai ‘Zircon’ atau 3m22 itu diuji di tapak pelancaran senjata di perairan Yasny dan melepasi beberapa ujian sasaran tembakan dari jarak 800 kilometer.

Difahamkan, sebutir misil Zircon itu mampu memusnahkan kapal perang angkatan laut dalam sekelip mata kerana misil berkenaan mampu memecut pada kelajuan 4,600 batu sejam atau kira-kira 7,402 kilometer sejam.

Misil Zircon menggunakan teknologi yang terdapat pada sistem scramjets (supersonic combustion ramjet) namun ia telah diperbaharui dengan hasil kajian intensif yang mampu menjangkaui kelajuan Mach 5.

Scramjets tidak memerlukan bahan bakar seperti yang terdapat pada misil biasa, kerana teknologi ini menggunakan cecair hidrogen yang dicampur dengan udara oksigen yang diambil terus dari atmosfera.

Pembakaran hidrogen dan oksigen pada kelajuan supersonik ini seterusnya menyebabkan bahan api menerima kelajuan berkali-kali ganda daripada kebiasaan.

Selain itu, ia turut mempunyai reka bentuk sistem mekanikal yang mudah, yang mana sedikit sebanyak akan mengurangan kemungkinan kegagalan mekanikal ketika berlepas.

Kehebatan peluru berpandu itu membolehkannya menduduki carta teratas sebagai peluru berpandu hipersonik terlaju yang pernah dimiliki Rusia setakat ini.

Peluru Berpandu Zircon

‘Menariknya’, tiada lagi sistem pertahanan di dunia yang mampu memintas kelajuan Zircon, menjadikan peluru berpandu ini agak mustahil untuk dihentikan.

Sebagai perbandingan, peluru berpandu Royal Navy’s Sea Ceptor yang direka Britain bagi halang peluru berpandu musuh hanya mampu terbang sejauh 24 km dengan kelajuan 3,700 kilometer sejam, iaitu penurunan sekali ganda daripada kelajuan Zircon.

Sementara itu laman Businessinsider turut mendedahkan peluru berpandu Zircon berisko sebagai bahan ‘utama’ resipi kemenangan ekoran masih tiada lagi sistem pertahanan dari mana-mana negara, kecuali Rusia yang mampu menghalangnya.

Sehingga kini hanya beberapa negara sahaja yang dilihat bergiat aktif dan cuba mendahului negara-negara lain menerusi teknologi peluru berpandu hipersonik, termasuklah India, Amerika Syarikat dan Rusia.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Senjata Rahsia Yang Tidak Pernah Di Siapkan?

sumber: mynewshub

Bahaya Jus Buah-buahan Kepada Bayi

Bahaya Jus Buah-buahan Kepada Bayi

Dalam satu kajian, pakar kanak-kanak memberitahu bahawa memberi jus buah-buahan kepada bayi berusia bawah umur satu tahun boleh menjejaskan kesihatan pada jantung dan gusi bayi tersebut.

Jus Buah anak

Pakar kanak-kanak dari Akademi Pakar Kanak-Kanak Amerika dalam laporan mereka telah melarang memberi minuman manis seperti jus buah-buahan kepada bayi berusia bawah satu tahun kerana dianggap sebagai amalan berbahaya.

Dalam kajian mereka, buah-buahan segar didapati mempunyai kandungan serat dan vitamin cukup berbanding jus buah-buahan yang mengandungi tahap gula tinggi, sekaligus berupaya menyebabkan masalah obesiti terhadap kanak-kanak.

Salah seorang penyelidik, Dr. Steven Abrams memberitahu, ibu bapa boleh memberikan jus buah-buahan kepada anak masing-masing atas arahan pakar untuk tujuan merawat masalah sembelit, namun jus yang diberikan itu mestilah 100 peratus jus buah-buahan asli.

Minuman jus buah-buahan hanya sesuai untuk kanak-kanak berumur satu tahun ke atas kerana mengandungi vitamin C dan D yang baik untuk sistem pencernaan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bayi Kerap Diurut Lebih Bijak!

sumber: kosmo

Misteri Kuman Pemakan Daging Necrotizing Fasciitis

Misteri Kuman Pemakan Daging Necrotizing Fasciitis

Necrotizing fasciitis juga dikenali sebagai penyakit pemakan daging atau kuman pemakan daging adalah satu jangkitan yang jarang-jarang berlaku yang melibatkan kulit dalam yang merebak merentasi tisu fascia di bawah kulit dan kulit dalam.

Necrotizing fasciitis

Ia sangat cepat merebak terutama kepada pesakit kencing manis dan kanser. Pesakit ini biasanya lemah ketahanan badan dan tidak mempunyai imun untuk melawan penyakit.

Oleh kerana ia sangat merbahaya dan cepat merebak, kebiasaannya ia dirawat menggunakan antibiotik dengan dos yang tinggi dan kaedah pembedahan.

Gejala dan Tanda

Penyakit ini jarang terkena kepada pesakit yang sihat dengan 70% daripada kes pesakit yang direkodkan adalah mereka yang merupakan penghidap kencing manis, masalah imun yang rendah kerana memakan ubat seperti ubat kanser, pesakit kanser dan penderita penyakit kronik.

Pada awalnya, kawasan yang terkena jangkitan mungkin bermula dari luka kecil. Walaupun luka yang kecil, pesakit merasakan kesakitan yang teramat sangat.

Sebenarnya kedudukan bakteria yang berada bawah di dasar kulit menyebabkan kulit kelihatan seperti tidak ada apa-apa.

Dalam tempoh beberapa jam, tisu semakin membengkak dan merah. Ini kerana bakteria semakin merebak ke sekitar kawasan sekeliling.

Kulit mula bertukar warna menjadi kebiruan dan keunguan. Blister atau pelepuhan mula kelihatan dan kulit dan sel bawah kulit mengalami kematian (necrosis).

Pesakit yang mengalami necrotising fasciitis biasanya mengalami demam dan kelihatan sangat lemah dan tidak sihat. Kadangkala pesakit muntah dan cirit birit.

Sekiranya tidak dirawat 73% daripada penghidap boleh membawa maut.

Pathofisiologi

Bakteria pemakan daging ialah satu misnomer dan bakteria tersebut sebenarnya tidak memakan daging itu.

Apa yang bakteria itu lakukan ialah ia merosakkan kulit dan otot dengan merembeskan satu toksin dan toksin inilah yang menyebabkan kerosakan kepada sel tubuh. Nama bakteria itu ialah Streptococcus pyogenes.

Rawatan

Necrotizing fasciitis

Pesakit akan dibedah sekiranya pesakit didiagnos dengan penyakit necrotizing fasciitis. Tisu-tisu yang dijangkiti akan dibuang secara agressif.

Pembedahan adalah pilihan rawatan yang paling utama kerana membiarkan tisu yang dijangkiti akan menyebabkan toksin merebak ke tempat lain pula. dalam masa yang sama antibiotik ke dalam saluran darah vena juga akan diberikan.

Setelah banyak tisu kulit dibuang ia akan menyebabkan luka yang besar terbuka di kawasan pembedahan.

Luka yang besar ini akan ditutup dengan kulit yang diambil daripada kawasan badan yang lain.

Kebiasaannya pesakit akan di rawat di kawasan rawatan rapi dan sangat ketat kawalannya untuk mengelakkan jangkitan.

Sekiranya masalah itu sangat ekstrim, amputasi organ mungkin menjadi pilihan.

Selain daripada itu rawatan hyperbaric oxygen boleh membantu pesakit namun tidak banyak hospital yang menawarkan kaedah ini.

BACA INI JUGA: Penyakit Misteri Dawai Keluar Dari Perut

sumber: drazwan

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Ogos)

Tarikh 8 Ogos merupakan hari ke 220 (hari ke 221 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 145 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Mont Blanc
Mont Blanc.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Bapa di Taiwan.

Peristiwa

1786 - Michel-Gabriel Paccard dan Jacques Balmat menyempurnakan pendakian direkodkan pertama Mont Blanc, gunung tertinggi di Banjaran Alps.

1876 - Thomas Edison menerima paten untuk mesin mimeografnya, salah satu perintis mesin fotokopi.

1929 – Kapal udara Jerman LZ 127 Graf Zeppelin memulakan penerbangan mengelilingi dunianya.

1930 - Betty Boop muncul buat kali pertama dalam kartun animasi sebagai watak Talkartoon oleh Max Fleischer.

1938 - Holokus: Salah satu kompleks kem buruh paksa terbesar di Eropah taklukan Jerman, kem tumpuan Mauthausen-Gusen, mula dibina.

1967 - Filipina, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand mengasaskan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

1967 - Penerbangan perdana Boeing 737-200.

1988 - Satu siri perarakan, bantahan, tunjuk perasaan dan rusuhan terhadap negara satu parti Parti Program Sosialis Burma di Myanmar bermula.

1988 - Pelancaran Indovision, sebuah stesen televisyen satelit Indonesia.

1991 - Struktur kedua tertinggi pernah dibina, , dan tertinggi ketika itu, tiang radio Warsaw setinggi 646.38 meter runtuh.

2011 - Kekacauan awam di Tottenham merebak ke seluruh London dan sebahagian England.

2012 - Majlis Peralihan Kebangsaan Libya menyerahkan kuasa kepada Kongres Kebangsaan Am yang baru dilantik.

Kematian

1855 - Guglielmo Pepe, seorang tokoh Risorgimento.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Ogos)

sumber: wikipedia

Monday, August 07, 2017

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut, Simptom, Pencegahan Serta Rawatannya

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut, Simptom, Pencegahan Serta Rawatannya

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun di mana lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut

Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin) dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil). Biasanya penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5-7 hari.

HFMD disebabkan oleh virus (kumpulan enterovirus). HFMD merebak dari individu ke individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam dari mereka yang dijangkiti.

Sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak boleh dijangkiti, tetapi kanak-kanak di bawah 5 tahun adalah paling mudah dijangkitinya.

HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama. Ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur (drool) yang mana membolehkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.

Tanda dan Gejala

Ciri-ciri klinikal termasuk:
  • Demam
  • Sakit Tekak
  • Ulser pada tekak, mulut dan lidah
  • Ruam dengan vesikel (lepuhan kecil 3–7 mm) pada tangan, pergelangan tangan, kaki dan kawasan diaper (lampin).Vesikel lazimnya pada tapak tangan dan tumit kaki dan ia antara ciri-ciri kemunculannya
  • Sakit kepala
  • Hilang selera makan

Komplikasi

Biasanya tidak serius tetapi sebilangan kecil kes didapati merbahaya bila melibatkan sistem saraf dan jantung

Rawatan

Diagnosis dibuat oleh kebanyakan pengamal perubatan berdasarkan ciri-ciri unik munculnya lepuhan pada mulut, tangan dan kaki bagi kanak-kanak yang kelihatan sihat.

Tiada rawatan khusus bagi jangkitan selain dari rawatan mengurangkan gejala-gejala. Rawatan menggunakan antibiotik tidak berkesan dan tidak diperlukan. Acetaminophen boleh digunakan bagi merawat demam.

Aspirin tidak seharusnya digunakan pada kanak-kanak bawah 12 tahun semasa demam disebabkan virus. Air garam bagi membilas mulut (1/2 sudu garam bagi 1 gelas air suam) boleh melegakan kanak-kanak sekiranya mereka berupaya membilas mulut tanpa menelannya kerana tertelan air garam boleh menyakitkan.

Nasihat kepada Ibu Bapa, Penjaga

Ibu bapa dan penjaga adalah diminta mendapatkan nasihat daripada doktor secepatnya jika anak mereka mendapat tanda-tanda HFMD.

Mereka seharusnya peka kepada sebarang perubahan tingkahlaku anak-anak mereka seperti kerengsaan dan mengantuk.

Jika mereka tidak mahu minum atau makan, muntah berterusan, atau mengantuk, ibu bapa, penjaga hendaklah segera membawa anak mereka ke hospital.

Elakkan menghantar anak yang mempunyai gejala seperti di atas ke sekolah, pra sekolah atau nurseri. Sapu dan bersihkan hidung serta mulut anak dengan tisu dan buang tisu yang telah digunakan dengan sempurna.

Pencegahan

Pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan yang sepenuhnya. Ahli keluarga dinasihatkan supaya dapat mematuhi amalan kebersihan yang sempurna termasuk kerap mencuci tangan supaya dapat mengawal rebakan jangkitan.
  • Amalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.
  • Menutup mulut dan hidung bila batuk dan bersin.
  • Tidak menggalakkan berkongsi pakaian, tuala, perkakas makanan dan minuman serta mainan.
  • Ibu bapa, penjaga hendaklah memastikan diri mereka bersih terlebih dahulu sebelum menguruskan anak atau bayi mereka.
  • Bersihkan mainan, kerusi dan meja yang tercemar dengan air liur anak.
  • Anak-anak hendaklah dijauhkan daripada tempat awam yang sesak (seperti sekolah, pra sekolah, tempat mainan, pasar dan pengangkutan awam) sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Suntikan Pelalian Yang Wajib Untuk Anak Anda

sumber: myhealth

Salah Ramuan Punca Diet Teh Gagal

Salah Ramuan Punca Diet Teh Gagal

Secangkir teh dapat meningkatkan metabolisme tubuh seseorang selain melancarkan proses penurunan berat badan bagaimanapun, rasa teh yang kelat dan sedikit pahit menyebabkan individu sering menambahkan bahan perisa untuk menyedapkan minuman tersebut.

Diet Teh

Tanpa mereka sedari, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan proses penurunan berat badan tidak berlaku, malah menyebabkan perut bertambah buncit.

Menurut pakar diet dan pemakanan Amerika Syarikat, Lana Billings-Smith, antara kesalahan minum teh yang mengganggu proses diet seseorang ialah penambahan bahan perasa seperti gula dan susu yang berlebihan.

Diet teh yang mengandungi gula tinggi boleh meningkatkan penambahan berat badan.

Menerusi kajian yang dilakukan, menambah gula atau madu akan meningkatkan jumlah kalori pada minuman teh seseorang.

Lebih-lebih lagi apabila setiap sudu teh gula yang diletakkan dipercayai bersamaan dengan 16 kalori.

Menurutnya lagi, pertambahan susu di dalam teh pula akan menghilangkan semua kandungan oksida di dalamnya sekaligus menyebabkan gangguan peningkatan metabolisme seseorang.

Pakar diet turut menyarankan agar individu menggunakan lemon sebagai penambah rasa bagi meningkatkan kandungan antioksidan.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Jerung Megamouth Spesis Paling Jarang Berjaya Dirakam

Jerung Megamouth Spesis Paling Jarang Berjaya Dirakam

Seorang penyelam Britain berjaya merakam jerung 'megamouth', spesis jerung yang paling sukar ditemui di Kepulauan Indonesia.

Jerung megamouth

Menurut laporan Fox News, Penny Bielich sedang meneroka kawasan selam Gili Lawa di pulau Komodo ketika beliau terserempak dengan jerung tersebut.

Penny kemudian merakam jerung tersebut dan memuatnaik rakaman ke laman foto Instagram.

"Jerung megamouth! Rasa sangat beruntung dapat menyaksikan bersama (rakan) Heikki Innanen. Hanya 63 pertemuan direkodkan sebelum ini. Sekarang 64!" kata Penny teruja.

Rakaman oleh Penny sangat jelas dan menunjukkan ciri-ciri jerung tersebut yang mempunya mulut besar.

Spesis jerung yang mula direkodkan pada tahun 1976 berkenaan bagaimanapun bukan satu ancaman kepada manusia.

Ia mempunyai gigi-gigi kecil dan hanya memakan haiwan kecil, lapor National Geographic.

Ia dikategorikan sebagai haiwan 'rare' kerana data mengenainya terlalu sedikit.

BACA INI JUGA: Spesis Mergastua Yang Telah Pupus Di Muka Bumi

sumber: sinarharian

Datuk Vida Temui Pengganti, Lamaran Rani Kulup Kena Tolak

Datuk Vida Temui Pengganti, Lamaran Rani Kulup Kena Tolak

Datuk Vida yang menolak lamaran Abdul Rani Kulup Abdullah berkata lelaki itu tiada ciri pilihannya kerana dia mahukan seseorang yang boleh memajukan perniagaan selain memiliki lelaki bermata kelabu, kaya, muda serta kacak.

Datuk Vida

"Seseorang yang boleh memajukan perniagaan saya ke arah trillion ringgit. Itu baru boleh," katanya.

Dalam pada itu, Dr Vida turut mengingatkan Abdul Rani supaya tidak mencari publisiti murahan.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah itu berkata, beliau berharap Datuk Vida membuka peluang untuknya.

"Ayah boleh menjadi suami yang baik," katanya.

Abdul Rani turut menyatakan kesudiannya menjadikan Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, sebagai isterinya.

Datuk Vida Dah Jumpa Calon Suami, Lelaki Eropah Persis David Beckham

Datuk Seri Vida turut mengakui sedang mengenali seorang jejaka Eropah berusia awal 30-an.

Vida mendedahkan dia sudah ‘dirisik’ oleh jejaka berkenaan sehingga sanggup datang dari jauh ke kediamannya di Ipoh, Perak.

Jelasnya lagi, pertemuan dengan jejaka itu diatur semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

"Kami sudah kenal beberapa bulan. Sebelum ini kami hanya berhubung melalui telefon tapi hari raya baru-baru ini saya jemput dia untuk datang beraya di rumah.

"Terkejut jugalah sebab tak sangka dia sanggup datang dari jauh. Dah alang-alang, saya perkenalkanlah dia dengan ahli keluarga saya," katanya.

Tambah Vida lagi, jejaka Eropah itu mempunyai segala kriteria calon suami yang idamannya.

"Dia ada segalanya, kacak, bermata kelabu, rambut blonde, muda, bergaya dan seorang ahli perniagaan. Saya boleh katakan dia ada iras-iras David Beckham," katanya.

Bagaimanapun, Vida, 46, berkata buat masa ini mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

"Saya enggan terburu-buru kerana masih trauma dengan perkahwinan saya yang tidak bertahan lama sebelum ini.

"Biarlah kami berkawan terlebih dahulu. Jika sudah tertulis itu jodoh saya, siapa saya untuk menolaknya," katanya.

Ketika ditanya mengenai negara kelahiran jejaka kacak itu, Vida bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Biarlah rahsia. Nanti bila dah sedia, saya beritahulah sayang-sayang semua," katanya.

Terdahulu, Vida sebelum ini telah menerima sekurang-kurangnya 50 resume daripada jejaka yang meluahkan hasrat untuk memperisterikannya.

Lebih menarik, resume itu bukan sahaja diterima dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga dari luar negara termasuk Finland dan Scotland.

BACA INI JUGA: 3 Tips Hebat Oleh Tiga Jutawan Selebriti Malaysia

sumber: sinarharian | astroawani