Wednesday, March 11, 2020

Luahan Hati Pesakit OCD, Sangat Kasihan Dan Menginsafkan Kita

Luahan Hati Pesakit OCD, Sangat Kasihan Dan Menginsafkan Kita

Kecelaruan obsesif-kompulsif (sering dipendekkan menjadi OCD) adalah penyakit mental yang menyebabkan pemikiran dan tindakan yang berulang dan tidak diingini, menghadkan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam perhubungan, tempat kerja dan dalam masyarakat secara amnya.

A. Akmal OCD
A. Akmal.

Tahukah anda apa sebenarnya OCD? Dan tahukah anda penyakit 'OCD' boleh menjadi serius dan dikelaskan sebagai penyakit mental?

Mari kita dengarkan luahan hati seorang lelaki bernama A. Akmal, yang menghidapi penyakit Pure O OCD sejak kecil.

MENTAL

Apabila kita sebut tentang penyakit mental, kebanyakan orang akan membayangkan manusia gila isim. Selekeh, serabai, cakap tak betul dan sebagainya. Itulah apa yang saya sebut sebagai mitos. Stigma.

Saya merupakan penghidap Pure O OCD sejak kecil. OCD, Obsessive Compulsive Disorder ialah penyakit mental yang berpunca daripada masalah genetik dan komposisi kimia otak yang berlainan, menyebabkan penghidapnya mempunyai masalah dalam mengawal pemikirannya sendiri.

Bunyi macam tak teruk, tapi sebenarnya teruk. Sekarang, bayangkan ada empangan yang membatasi sungai daripada mengalir deras. Katakanlah, empangan itu pecah, maka sudah pastilah sungai itu akan mengalir deras, melimpah keluar dan merosakkan kawasan yang berdekatan.

Secara analoginya, sungai beraliran deras itu ialah pemikiran kita dan empangan itu ialah bahan kimia yang mengawal had pemikiran kita. Minda penghidap OCD adalah seperti sungai berempangan pecah.

Mindanya tak mampu dikawal dek bahan kimia otak yang sedikit. Oleh sebab itulah, mereka akan selalu ada suara-suara hati yang mengatakan itu, ini dan menyuruh berbuat itu ini.

Saya terpaksa terangkan tentang masalah OCD ini kerana ramai orang masih lagi salah faham. Sifat terlampau pembersih, fobia kuman tak semestinya anda seorang penghidap OCD. Masalah tak boleh kawal minda itulah sifat utama penghidap OCD.

Sebagai contoh, minda OCD akan mendesak anda untuk melihat sama ada pintu pagar di rumah sudah dikunci atau belum. Anda tahu bahawa anda sudah mengunci pagar, tapi oleh sebab desakan minda OCD itu sangat dahsyat, anda tak mempunyai pilihan lain selain melihat pintu pagar anda, sama ada sudah dikunci atau belum, berkali-kali.

Desakan minda itu ialah Obsessive dan bagi meredakan minda OCD anda, anda akan melakukan ritual seperti memeriksa pagar (Compulsive). Inilah OCD.

Pure O OCD

Berlainan dengan OCD tradisional, Pure O OCD ialah OCD yang paling berbahaya. Pure O OCD ialah OCD yang tak mempunyai sebarang aktiviti Compulsive. Kamu cuma ada Obsessive sahaja.

Sebab itulah Pure O. Purely Obsessional. Itulah penyakit saya. Kalau saya nak terangkan OCD dengan melalui muzik, lagu yang sesuai ialah Sad But True dan The Frayed Ends Of Sanity-Metallica.

Gejala terawal penyakit ini muncul pada saya barangkali sewaktu berumur 4 tahun. Saya masih lagi tak reti nak bercakap sewaktu saya berumur 4 tahun (boleh jadi sebab ibubapa saya bercakap dialek lain-lain lalu menyebabkan kekeliruan).

Selain itu ialah obsesi saya tentang bagaimana rasanya mati. Saya banyak kali terbayang apa perasaan perut ditikam pisau sewaktu umur tersebut. Nasib baik TV1 banyak tayang iklan masyarakat tentang bahaya bermain benda berbahaya.

Semasa saya berumur 8 tahun, saya dan keluarga saya bercuti di A'Famosa bagi menyambut hari lahir saya. Hadiah yang saya dapat waktu itu ialah ensiklopedia sains berbahasa inggeris dan set arkeologi olok-olok (batu simen plaster yang boleh digali seperti arkeologi).

Dari sinilah, bermulanya cinta saya kepada sains. Buku tersebut habis dibaca dalam masa sehari.

Bapa saya mula menanyakan soalan-soalan berdasarkan buku tersebut dan saya mampu menjawab kesemua soalan itu.

Faktor ini dan juga keputusan peperiksaan saya yang cemerlang, ibubapa saya mula membeli majalah dan buku ilmiah kepada saya dan seluruh keluarga saya, tak kisah dari belah mak atau ayah, mula menganggap saya sebagai prodigi.

Sebenarnya apa yang membuatkan fakta-fakta itu melekat ialah minda OCD saya yang mahukan jawapan yang lebih mendalam, memaksa saya membaca dan terus membaca, sehinggakan perpustakaan mini di rumah sepupu saya habis dibaca dalam dua minggu.

Dulu, saya banyak kali diharamkan menjawab soalan dalam kelas oleh cikgu. Tanya boleh, jawab tak boleh. Inkuiri saya terlampau tinggi, dan saya tak boleh mengawalnya.

Semasa saya dalam darjah 6, sesuatu yang traumatik berlaku pada saya. Ibubapa saya bercerai. Di sini, OCD saya menjadi dahsyat. Saya cuba memahami kenapa ibubapa saya bercerai.

Saya sentiasa patuh pada ibubapa saya. Saya buat apa yang mereka suruh. Saya tak terjebak dengan gejala sosial dan buli. Malah, saya turut berikan mereka keputusan peperiksaan yang cemerlang sebab kata mereka, keputusan cemerlang ialah hadiah yang paling bagus.

Jadi, saya ada berbuat salahkah sampai mereka bercerai? Saya ini jahat sangatkah sampai dihukum takdir sebegitu?

Minda OCD saya mula mencelah, kalau saya budak baik, kenapa saya dapat bad ending? Bukankah Tuhan itu Maha Baik? Kalau inilah yang terbaik untuk saya, adakah itu adil?

Sebagai contoh, adakah adil Tuhan menghantar taufan menyapu habis sebuah negara, sedangkan masih ada orang yang tak bersalah? Bolehkah itu dianggap sebagai adil?

Di akhir rumusan minda saya, minda OCD saya mengatakan Tuhan sebenarnya tak wujud. Apa yang saya tak tahu waktu ini ialah minda OCD saya mengutarakan paradoks Epicurus:

"Adakah Tuhan berniat untuk menghalang kejahatan, tapi tak mampu? Maknanya Dia maha lemah. Adakah Tuhan mampu, tapi tak mahu halang? Maknanya Dia maha zalim. Adakah Dia mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa ada kejahatan? Adakah dia tidak mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa panggil-Nya Tuhan?"- Paradoks Epicurus

Apa yang membuatkannya menjadi lebih teruk ialah minda OCD saya mula memutarkan memori terindah saya diselang dengan memori terburuk saya. Memori diangkat oleh bapa saya sambil ibu saya mengatakan saya ialah hadiah terindah, diselang dengan memori diberitahu berita penceraian oleh bapa saya sendiri.

Benda ini berterusan dalam beberapa tahun. Akibatnya, saya tewas kepada desakan minda OCD saya dan menjadi agnostik freethinker seawal 12 tahun. Saya menolak agama.

Berikutan keputusan UPSR yang cemerlang, saya dimasukkan ke Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR). Dua tahun selepas itu, sewaktu saya melihat bintang-bintang di waktu malam, saya mula menyoal kembali pandangan minda OCD saya.

Betulkah Tuhan tak wujud? Kalau nak kata Tuhan tak wujud, saya perlukan ilmu Pengetahuan Mutlak, sebab sesiapa yang ada Pengetahuan Mutlak, dialah Tuhan itu.

Secara konklusinya, saya tak boleh kata Tuhan tak wujud sebab ilmu saya sedikit. Saya mula meneroka kembali Islam, bertaubat dan setelah sekian lama, hati dan minda saya menjadi tenang. Saya mula kembali menjadi diri saya yang positif.

Masa terus berlalu dan saya menginjak masuk Tingkatan 4. Waktu ini, minda OCD saya mula menjadi agresif. Personaliti saya boleh bertukar menjadi ganas sekirannya diancam, termasuk sparring.

Sejak dari itu saya mula menghindari aktiviti seni bela diri, kerana tak mahu cederakan orang. 2 tahun selepas itu, saya berjaya mendapat keputusan A straight bagi SPM dan sekali lagi, minda OCD saya menyerang.

Saya gagal dalam temuduga JPA ke luar negara, ditambah lagi dengan tekanan daripada orang ramai, saya akhirnya jatuh ke fasa psikosis, fasa paling teruk bagi pesakit mental. Saya tak boleh tidur seharian dan minda OCD mampu menjelma menjadi suara yang boleh didengari.

OCD Boleh Disembuhkan

Psikosis ni bukan benda kelakar. Rasa macam nak mati. Gelak sambil menangis, pada masa yang sama rasa gembira tapi murung. Semua jenis perasaan ada. Lagi teruk daripada depresi. Selepas itu barulah saya pergi klinik psikiatari dan di diagnos mempunyai OCD.

Walaupun saya sudah pulih, sudah mampu hidup tanpa ubat, kecederaan mental oleh psikosis tetap menjadi kekal. Saya sudah tak mampu nak berempati dengan manusia. Saya tak mampu bersedih, merasai dan memberi cinta, padahal itulah apa yang membuatkan manusia menjadi manusia.

Saya sedikit pun tak rasa apa-apa apabila saudara dan rakan yang agak rapat dengan saya meninggal. Bagi saya, itu ialah normal. Manusia mati setiap hari. Kalau boleh, saya nak rasa sedih tapi tak boleh.

Sebab itu jugalah, saya tak beberapa kisah kalau saya hidup membujang dan keseorangan sampai tua, sebab hati dah tak rasa apa-apa bila berinteraksi dengan manusia. Namun, itulah masalahnya.

Tak kisahlah sejauh mana pun saya cuba hidup keseorangan, pasti ada yang akan menarik saya kembali hidup bermasyarakat walaupun saya tak ada keperluan apa apa pun dengan manusia lain. Oleh sebab itu, saya menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan, sekalipun dah tak mampu nak merasakan cinta.

Jadi, dengan semua cerita ini, adakah saya menganggap penyakit saya sebagai sesuatu yang malang? Tidak. Saya menganggap penyakit saya sebagai rahmat. Saya bersyukur saya mempunyai perjalanan hidup yang kaya dengan asam garam dan pahit manis kehidupan.

Saya lebih menghargai apa yang saya pandang enteng suatu ketika dahulu. Malah, penyakit ini sangat membantu saya dalam memahami falsafah.

Sejarah saya yang ini selalunya saya simpan dan pendam, tapi sudah tiba masanya saya menjadi terbuka dan menyokong gerakan hapuskan stigma penyakit mental.

Bukan Gila


Penyakit mental tak bermaksud gila. Penyakit mental ialah normal, semua orang berisiko mendapat penyakit mental walaupun bukan disebabkan genetik seperti depresi dan PTSD. Malah, depresi sebenarnya sangat berleluasa dalam kalangan masyarakat. Inilah apa yang perlu dibendung sekali dengan stigma.

Sekiranya anda menjumpai orang yang dibelenggu masalah mental, jangan kata dia ni lembik, atau bersikap tak matang. Anda tak layak cakap begitu kalau anda tak pernah kena. Jadilah manusia yang membantu. Cuba fahami mereka dan bantu apa yang boleh.

Saya tak malu dengan penyakit mental saya, saya tak malu berkongsi rahsia gelap saya dan saya ialah penyokong #TeamNotAshamedMY #ImNotAshamed.

Mari kita bersolidariti dengan kesemua pesakit mental! You guys rock! What doesn't kill you makes you stronger!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Tumbung Kelapa Pelik Menyerupai Wajah Manusia Memakai Tengkolok

Tumbung Kelapa Pelik Menyerupai Wajah Manusia Memakai Tengkolok

Batu kecil berukuran lebih kurang sebesar telapak tangan berwarna putih seakan-akan batu kapur ini yang mempunyai tunas sepanjang hampir empat sentimeter ini kelihatan pelik, kerana tunasnya seakan-akan wajah manusia memakai tengkolok.

Tumbung Kelapa Pelik

"Asalnya benda ni ialah tumbung kelapa. Ada juga yang panggil geliga kelapa. Semasa mula-mula ditemui lebih 10 tahun dulu, ia berupa hanya seketul batu kecil.

"Tapi lama kelamaan saiznya makin bertambah dan tunas mulai tumbuh dengan rupa aneh begini," kata pemilik geliga kelapa ini, Ustaz Jamil Hussain.

Menurut beliau yang juga merupakan pengetua Madrasah Kota Tauhid di Kalumpang, Selangor, tumbung itu ditemuinya lebih 10 tahun yang lalu, sewaktu dia dan beberapa rakannya sedang berguru dengan seorang alim ulama di Gunung Jerai, Kedah.

"Masa itu lebih kurang pukul 1 pagi. Ada satu upacara untuk kami diuji berdekatan dengan kawasan batu kapal di puncak gunung itu. Sebiji kelapa yang dibawa dihempaskan ke tanah hingga pecah," cerita Ustaz Jamil.

Ketika kelapa itu berderai pecah, Ustaz Jamil perasan ada satu objek yang agak bersinar keluar dari kelapa itu. Apabila diamati, ia rupa-rupanya adalah tumbung kelapa tersebut.

Entah kenapa, hatinya kuat menyuruh untuk mengambil tumbung yang seperti sebiji batu kecil itu. Ia dibawa pulang dan disimpan dalam sebuah kotak kecil.

Selepas itu, Ustaz Jamil seakan-akan terlupa dengan tumbung itu sehinggalah beberapa tahun kemudian, dia teringat semula.

Tumbung Kelapa Pelik Ustaz Jamil
Ustaz Jamil.

"Setelah bertahun-tahun menyimpannya, saya tergerak hati nak melihatnya semula. Bila saya buka semula kotak tu, saya terkejut kerana rupa tumbung itu dah berubah.

"Ia semakin besar, keras dan tak ubah seperti batu. Lebih aneh ia bertunas dan rupa tunas itu pula seperti orang yang memakai tengkolok.

"Saya tak tahu apa fungsinya. Saya tunjukkan pada rakan-rakan dan tiada yang tahu apa kegunaannya.

"Ramai juga yang tawarkan hendak membelinya, tapi waktu itu saya belum terbuka hati hendak menjualnya. Walaupun saya bukan penggemar barang-barang pelik, tapi saya simpan saja tumbung aneh ini," jelasnya lagi.

Ketika itu ramai yang menawar hendak memiliki tumbung itu. Bahkan, ada yang sanggup membayar jutaan ringgit kerana kata mereka, tumbung ini boleh dijadikan 'ibu duit' atau sebagai 'penarik' harta karun.

Disebabkan itu juga Ustaz Jamil enggan menjualnya kerana tidak mahu ia digunakan untuk amalan yang salah.

Dia juga teringat pesan seorang ulama yang ditemuinya yang menyuruhnya jangan terburu-buru untuk menjual tumbung ini. Tunggu sampai satu ketika apabila firasat datang.

Kata Ustaz Jamil, kesibukannya dengan kuliah dan kelas agama membuatkan dia terlupa tentang tumbung itu.

Tumbung Kelapa

Baru-baru ini, Ustaz Jamil agak sibuk dengan perancangan untuk membina sebuah madrasah baharu bagi golongan pelajar lelaki.

"Nak bina madrasah perlukan dana yang besar. Ketika sibuk mencari dana inilah, saya mendapat firasat dari mimpi, tumbung ini boleh menjadi maharnya.

"Jika ada yang sudi membelinya, hasil jualan itulah yang akan saya gunakan untuk membangunkan madrasah baru kelak," kata Ustaz Jamil yang berharap impiannya untuk menubuhkan sebuah lagi madrasah akan tercapai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, March 10, 2020

Kenapa Ahli Politik Suka Menabur Janji?

Kenapa Ahli Politik Suka Menabur Janji?

Harga barangan melambung. Cukai-cukai bertambah. Korupsi semakin teruk. Pemimpin kian kurang ajar dan tidak sedar diri. Kemudian timbul pula barisan pembangkang yang mengULANGi slogan-slogan oportunistik. Katanya jika diundi, mereka akan membetulkan segalanya.

Janji Politik
Gambar hiasan.

Itu ialah populisme, sebuah gerakan yang ingin mengusir keluar pemerintah yang tidak bertindak demi rakyat. Fenomena yang membarah dalam hampir semua bangsa.

Dalam sirah Islam pun, elemen populisme jelas wujud apabila Rasulullah SAW ditawarkan manfaat-manfaat duniawi andainya mengetepikan ajaran tauhid. Cuma situasinya terbalik dimana "rakyat" yang menawarkan "ketua" kerana takutkan reformasi sosialnya.

Dalam agenda-agenda populisme, terdapat dua terminologi yang sangatlah masyhur. "Rakyat” (the people) yang ditatang dan dijulang sebagai suci dan "elitis" (the elites) yang biasanya disebut sebagai kapitalis bangsat.

Cetusan komunisme pun pada asalnya bertatahkan elemen populisme juga dengan sebutan "the bourgeois" yang dinilai secara materialisme. Apa-apa pun, populisme yang menongkah arus daripada Karl Marx (malah sebelum beliau lagi) masih terngiang-ngiang dalam ucapan-ucapan politik semasa.

Malah Ketua Pembangkang United Kingdom iaitu Jeremy Corbyn juga mengimarahkan slogan "untuk semua, bukan segelintir" (for the many, not the few) walaupun terdapat jurang besar antara perjuangan Labor dan populisme.

Seorang pemimpin populis biasanya mengagungkan diri sebagai penyatu harapan rakyat (the will of the people) yang bertindak untuk membuang sampah (drain the swamp).

Malaysia pun menerima tempias populisme, terutamanya sejak Pilihanraya Umum Ke-12. Manifesto pembangkang bagi pilihanraya 8 Mac 2008 itu dilancarkan untuk memerangi kadar jenayah, inflasi harga dan korupsi kejayaan.

Sekitar tahun 2007-2008, arus dibawa Anwar Ibrahim melaungkan supaya harga minyak diturun daripada paras RM2.70 dengan subsidi. Lima tahun kemudian datangnya semarak api pendidikan percuma. Dan antara 2016-2018, tol menjadi sasaran populis.

Antara dogma disebut-sebut (atau lebih tepat lagi, diULANG) hari ini memang, esok (itu dan ini). Tuntut janji selepas menang.

Disebabkan itulah ahli politik dan lampin mempunyai persamaan. Kedua-duanya harus ditukar – atas sebab yang sama. Namun suatu keanehan wujud rata-ratanya dalam kalangan pembangkang atau kerajaan yang bermasalah dengan rakyat.

Ahli-ahli politik jika ingin menerajui negara dengan populisme mempunyai formula serupa: berbelanja melampau, membuat pinjaman antarabangsa, mencetuskan hiperinflasi dan memohon bantuan kewangan.

Semasa Pilihanraya Presiden 2016 pun, Donald Trump menggunakan kempen ala-ala populis untuk kepentingan peribadi. Pentadbiran Barack Obama dilihat begitu berbirokrasi dianggap sebuah paya bertakung (the swamp) yang perlu dibersihkan (drain).

Namun, naiknya beliau menyaksikan pelantikan orang korporat bertali leher seperti Rex Tillerson (orang besar ExxonMobil) dan Steven Mnuchin antaranya. Semasa berkempen pun, Trump menyebut dengan lantang untuk menyekat kemasukan umat Islam yang digagalkan Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat.

Namun, populisme itu tidak bertakung di Amerika Syarikat (atau Malaysia) sahaja. Di sebelah Amerika Selatan pun berdirinya kerajaan-kerajaan yang memanjakan rakyat.

Venezuela pada hari ini menunjukkan kepada dunia bahawa sosialisme dan populisme ditakdirkan untuk gagal. Sebelum ini Hugo Chavez mengimarahkan fahaman peti ais murah dari China – hari ini pula rakyat Venezuela tenat dengan kelaparan berpanjangan.

Malnutrisi mengancam kesihatan kanak-kanak. Makanan terlalu mahal sehingga daging busuk pun jadi rebutan (dan agak mahal harganya).

Sosialisme dan populisme telah menggagalkan Venezuela dalam dasar-dasar kawalan harga, nasionalisasi kilang dan ladang, pengagihan makanan dan sebagainya angkara korupsi, kronisme dan kegagalan.

Venezuela sekarang terbelah dengan matlamat sama: "sang Syaitan".

Bagi Nicolas Maduro, syaitan itu ialah Amerika Syarikat. Bagi rakyat pula, syaitan wujud dalam peti undi. Malah Hugo Chavez sendiri pernah mengisytiharkan bahawa "rakyat takkan mengundi saya – sebaliknya rakyat sedang mengundi rakyat. Saya hanyalah alat rakyat."

Masalah di Venezuela meruncing kerana selama 14 tahun, Chavez menggunakan keuntungan hasil jualan minyak untuk memuaskan hati rakyat dengan program sosialis yang negara tidak mampu tampung sendiri.

Walaupun harga minyak global mahal, bajet kerajaan tetap defisit. Jadi bayangkanlah apa berlaku apabila harga minyak jatuh.

Berikut juga bencana yang menimpa Mesir. Apabila menjadi ketua negara, Abdel Fattah el-Sisi berdepan dengan suatu kemelut besar yang telah menjadi genetik sosial. Selama 50 tahun, rakyat dimanjakan dengan subsidi melampau.

Sebagai contohnya, kerajaan Malaysia mendapat kutipan sebanyak AS$51.25 bilion (2017). Daripada angka tersebut, pentadbiran Najib Razak telah membelanjakan AS$60.63 bilion untuk semua jabatan. Kerajaan Mesir pula pada masa itu berbelanja sebanyak AS$96 bilion HANYA UNTUK SUBSIDI.

Pemansuhan subsidi ini dikatakan Abdel Fattah sebagai "sebuah usaha yang 50 tahun tertangguh."

Jadi, sementara kalian menunggu siaran Liga Perdana Inggeris percuma, ketahuilah poket kerajaan boleh terkoyak rabak.

Kalau ingin menuntut janji tersebut, pertama sekali tumiskanlah siapa yang menjanjinya dengan sambal berbentuk sindiran pedas. Hiriskan emosi mereka dengan pesanan cerdik dan gaulkan garam dengan pemikiran cilik.

"Saya ulang! Sindiran pedas. Pesanan cerdik. Pemikiran cilik."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Basikal Trek Azizulhasni Bernilai RM13 Juta!

Basikal Trek Azizulhasni Bernilai RM13 Juta!

Basikal terbaharu skuad lumba basikal negara yang direka mengikut kesesuaian tiga pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis, diperbuat daripada bahan karbon fiber yang lebih keras tetapi ringan dengan menggunakan teknologi aerodinamik terkini untuk memastikan rintangan angin lebih rendah.

WX-R Vorteq RM300k
WX-R Vorteq.

Menerusi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Sukan Negara (ISN) dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd., yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan aerodinamik, akhirnya basikal tersebut berjaya dihasilkan dengan jumlah perbelanjaan bernilai RM13 juta!

Kerajaan Malaysia, melalui Program Podium mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi terkini dalam perlumbaan trek untuk membantu pelumba Malaysia merealisasikan impian di Sukan Olimpik.

Syarat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyatakan, jentera yang digunakan bagi Sukan Olimpik perlu berada di pasaran dan basikal model WX-R Vorteq ini sudah berada di pasaran sejak 1 Januari 2020 lalu dengan sebuah basikal berharga RM300,000, dan turut menarik minat pasukan dari Lithuania dan Greece.

WX-R Vorteq Azizulhasni

Basikal khas ini juga telah digunakan oleh pelumba negara pada Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman, edisi 2020, dengan Azizulhasi mengutip dua gangsa dalam acara keirin dan pecut.

Azizulhasni atau lebih mesra dipanggil Jijoe, menjadi prospek utama membutirkan kilauan emas di Olimpik Tokyo selepas ketiadaan ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengumumkan persaraannya, tahun 2019 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 133: Rahsia Mula Ketara

SBDJ Siri 133: Rahsia Mula Ketara

Datuk termenung sejenak. Kemudian dia basuh tangan dan mengakhiri minuman petangnya. Nenek membawa cawan dan piring kosong ke dapur untuk dibersihkan. Datuk mengajak saya duduk di ruang anjung rumah.

Toyol jadi-jadian

Datuk minta saya membantunya meraut bilah buluh untuk dibuat lokah. Permintaan itu saya tunaikan.

"Pada aku dia tidak cakap apa-apa, tiba-tiba dia mengghaibkan diri," keluh Datuk tanpa merenung ke arah saya, pisau kecil di tangannya terus meraut bilah buluh.

"Pelik juga tuk, apa silapnya kita tuk."

"Tak ada yang silap tapi..." Datuk tidak meneruskan kata-kata.

Dia berhenti meraut bilah buluh, keningnya dikedutkan, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Tapi Mat Upeh ada beritahu aku yang Haji Yatimi nak pergi ke sebelah utara dan pantai timur. Dia minta Mat Upeh sampaikan berita pada aku, dia juga kirim salam pada kau," sambung Datuk dengan wajah tenang.

"Buat apa dia ke sana tuk?" soal saya.

"Dia memang selalu macam tu, kalau dah datang ke sini, dia mesti ke Kedah, Perlis ke Kelantan dan Terengganu, ramai kawan-kawannya di situ," jelas Datuk.

"Jangan-jangan dia balik ke kampung halamannya tuk."

"Semuanya tu boleh jadi, usah fikirkan tentang dirinya Tamar. Bila kita ke Sumatera kita cari dia. Dunia ini bukannya luas, panjang umur dan diizinkan Allah bertemu juga."

"Hum..." saya menghela nafas.

Cukup mudah Datuk menyelesaikan masalah. Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan kehilangan Haji Yatimi itu.

Lebih kurang setengah jam lagi mahu sampai waktu Maghrib, saya dan Datuk meninggalkan rumah menuju ke surau.

Seperti selalu bila masuk waktu Maghrib, saya disuruh oleh Datuk melaungkan azan.

Selesai sembahyang Maghrib, sementara menanti waktu Isyak, saya dan Datuk bersama penduduk-penduduk kampung mengikut pengajian Tauhid dari seorang guru agama yang datang dari daerah Krian. Guru itu keturunan Banjar yang Datuk neneknya berasal dari Kalimantan.

Di samping mengajar agama di surau dan masjid, guru tersebut menulis buku-buku agama yang jadi bahan rujukan guru-guru pondok di tanah air, di Patani, di Kemboja (Kampuchia) dan di beberapa kepulauan Indonesia. Buku agama itu dicetak di Pulau Pinang dalam tulisan Jawi lama.

Menurut cerita Datuk, guru agama itu dilahirkan di Banjarmasin tetapi sejak berusia lapan bulan dibawa oleh kedua orang tuanya ke Teluk Medan, dekat Bagan Serai.

Bersekolah Melayu di situ dan masuk pengajian pondok di Kelantan. Menghabiskan masa lebih kurang dua tahun menuntut ilmu agama dan belajar bahasa Arab di Mekah dan Madinah.

Khabarnya, semasa di bumi Arab Saudi itu, dia berkawan dengan cendekiawan dari Kuala Lumpur iaitu Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.

Bila pulang ke Bagan Serai, dia dilantik menjadi guru agama di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan pernah berkhidmat di bawah pemerintahan tiga sultan.

Bila berhenti, ditauliahkan untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak secara percuma.

Pengajian Tauhid yang disampaikan secara mudah itu ternyata meninggalkan kesan pada yang hadir malam itu. Semua pertanyaan agama dijawab dengan mudah.

Sesuatu yang berkesan di hati saya, bila guru agama itu mengingatkan para jemaah supaya jangan memusuhi orang-orang yang tidak seagama dengan kepercayaan dan kebebasan mereka harus dihormati selagi mereka tidak mengganggu-gugat agama Islam.

Setelah menunaikan sembahyang Isyak, para jemaah menikmati hidangan ringan yang disediakan.

Kemudian, para jemaah bersalaman dengan guru agama yang mahu pulang ke kampungnya dengan kereta Austin Eight hitam yang dipandu oleh cucunya.

"Bulan depan saya datang lagi," katanya pada Ketua Kampung sebelum masuk ke kereta.

"Kami nanti kedatangan tuan guru."

"Terima kasih, dengan izin Allah apa yang saya katakan tu akan jadi," tuan guru terus masuk ke kereta.

Setelah memastikan semua tingkap dan pintu surau dikunci, saya pun segera mendapatkan Datuk yang menunggu di kaki tangga.

"Sudah kunci semuanya, Tamar."

"Sudah tuk."

Sebelum meninggalkan surau, Datuk menghalakan muncung lampu picitnya ke arah pepohon dan hutan kecil yang berada tidak jauh dari surau.

LAMPU

Cahaya lampu picit itu menangkap sinar mata kucing yang menanti mangsanya di tepi belukar. Saya juga melihat musang melarikan diri dari cahaya lampu picit Datuk.

Suara cengkerik dan bunyi suara kucing jantan memanggil kucing betina jelas kedengaran. Dedaun terus bergerak disentuh angin malam.

"Tamar."

Saya menoleh ke kanan, di situ tercegat Haji Yatimi lengkap dengan pakaian hajinya. Datuk segera menghalakan muncung lampu picit ke wajahnya.

"Aku terlambat, aku ingat aku sempat berjemaah Isyak dengan orang-orang kampung," tutur Haji Yatimi.

"Awak dari mana?" tanya Datuk.

"Aku dari Kedah, sampai ke Taiping dah petang. Selepas sembahyang Maghrib di Taiping aku naik teksi ke sini.

"Entah macam mana, teksi yang aku naik buat hal di Batu 10 Terong, itulah yang menyebabkan aku lambat sampai ke sini."

"Tak apalah, sudah begitu kehendak Allah," balas Datuk.

Mungkin kerana mahu melakukan amalan waktu malam atau tidak mahu mengganggu rumah orang yang ditumpanginya, Haji Yatimi minta kebenaran Datuk untuk bermalam di surau.

"Di rumah kita saja," pelawa Datuk.

"Biarlah di sini saja, itu pun kalau dibenarkan."

"Mesti boleh, surau milik orang yang mahu beribadat," balas Datuk.

Ternyata Haji Yatimi berbesar hati atas kerelaan Datuk itu. Saya terpaksa menghidupkan lampu surau, membentangkan tikar dan menyediakan bantal (tikar, bantal dan selimut memang disediakan untuk guru agama yang mahu bermalam di surau) untuk Haji Yatimi.

"Lepas sembahyang Subuh, aku nak balik ke Solok," sepasang anak mata Haji Yatimi tertumpu ke wajah Datuk.

"Cepat sangat nak balik, duduklah empat lima bulan di sini," suara Datuk parau.

"Lain kali aku datang lagi."

"Apa yang boleh saya tolong Subuh esok."

"Macam selalu."

Datuk termenung sejenak, ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk renung bintang-bintang di dada langit.

Kemudian, Datuk tatap wajah Haji Yatimi bersama senyuman kepuasan. Keinginan Haji Yatimi sudah dapat dikesan oleh Datuk.

"Maksudnya, saya tunggu di pantai Teluk Senangin?"

"Iya, memang tepat," Haji Yatimi anggukkan kepala.

"Kalau kamu datang jemaah, kita sama-sama bertolak dari surau ni. Aku harap kamu tak menghampakan harapan aku."

"Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, saya tetap menanti haji. Usahlah bimbang," Datuk memberikan kata putus.

Saya lihat Haji Yatimi tersenyum riang dan dengan tenang dia menepuk bahu Datuk beberapa kali.

"Pulanglah, aku nak ambil wuduk," Haji Yatimi menggenggam jari-jemari Datuk dengan erat sekali.

"Silakan, kalau tak selesa tidur di surau, pintu rumah saya terbuka untuk tuan haji."

"Terima kasih, dengan izin Allah, saya selesa di surau. Selamat jalan. Jangan lupa beramal malam dan jangan lupa dengan janji kita."

"Insya-Allah, Tuhan berserta kita," nada suara Datuk cukup riang.

Dan Haji Yatimi pun kami tinggalkan. Semoga amalannya diberkati Allah dan tidurnya lena tidak diganggu mimpi yang menakutkan. Doa hati kecil saya.

Sepanjang jalan menuju ke rumah fikiran saya didatangi dengan berbagai-bagai pertanyaan. Kenapa Haji Yatimi mesti pulang ke Sumatera waktu Subuh?

Bukankah waktu Subuh itu menyulitkan dengan keadaan hawa yang sejuk, pandangan agak terhad kerana cuaca masih gelap.

Mungkinkah ini merupakan syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh Haji Yatimi. Kenapa dia harus merahsiakan kepulangannya dari para jemaah yang lain?

"Barangkali ada tetamu datang tuk?"

"Tetamu? Mustahil," Datuk gelengkan kepala. Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah pintu rumah yang terdedah.

"Ha, lapang dada aku."

Saya agak terperanjat mendengar kata-kata Datuk itu. Tanpa membuang masa saya tatap wajahnya.

Mata Datuk tidak berkedip merenung ke arah pintu. Dia memerhatikan gerak-geri nenek yang muncul di muka pintu dari arah sebelah kiri, nenek membawa tepak sirih dan gobek.

Sebelum duduk, nenek terlebih dahulu meletakkan golok perak di atas lantai. Bila nenek duduk bersila, golok perak itu berada betul-betul di hujung kepala lutut kanannya.

"Bijak nenek kamu, dia bawa senjata untuk keselamatan dirinya," dalam tenang Datuk bersuara tetapi, keresahan hatinya masih tergambar di wajah.

"Pelik juga, kenapa dia buka pintu dan menunggu di situ, mesti ada sesuatu yang tidak kena," Datuk menyambung kata yang terputus.

"Agaknya menanti kawan tuk," kata saya.

"Tak mungkin, Tamar."

"Agaknya dia buat begitu, biar cahaya lampu sampai ke halaman rumah. Tujuannya untuk memudahkan kita pulang."

"Pendapat yang tak dapat aku terima, Tamar."

"Entah, kenapa nenek buat macam tu, saya pun tak tahu tuk," saya segera mengangkat kedua belah bahu saya sambil menggigit lidah. Perjalanan yang terhenti kami teruskan.

"Hai! Kenapa didedahkan pintu, ada janji dengan lelaki lain," jerit Datuk sebaik saja berada tidak jauh dari kaki tangga. Saya tahu kata-kata itu merupakan gurauan. Sesungguhnya, begitulah cara Datuk mengusik atau bergurau dengan nenek. Bunyinya agak kasar dan keras.

Tetapi, dalam kasar dan keras itu teriring kemesraan yang cukup kental. Tidak boleh dihancurkan oleh rasa cemburu melulu, fitnah atau hasutan.

Saya lihat nenek terus menerpa ke ambang pintu, berdiri di situ dengan senyuman.

"Kalau janji dengan orang lain, bukan begini caranya, disuruh masuk ikut pintu belakang cara sembunyi, hati masih belum berubah," kata nenek lalu disambut dengan ketawa oleh Datuk. Saya tersenyum riang.

"Jadi kenapa dibuka pintu?" tanya Datuk.

"Masa saya sembahyang ada benda mengacau saya, pintu rumah diketuk berkali-kali kemudian digoncang dengan kuat, sembahyang saya jadi tak khusyuk," terang nenek bersungguh-sungguh.

Kata-kata yang dituturkan oleh nenek tidak mendatangkan rasa cemas atau terkejut pada Datuk. Dia buat acuh tak acuh saja.

Datuk pijak anak tangga dan akhirnya melabuhkan punggung di bendul.

"Kamu tunggu apalagi di situ Tamar? Naiklah," dalam sinar lampu gasolin, sepasang biji mata Datuk tertumbuk ke wajah saya.

Tanpa membuang masa saya terus panjat mata tangga. Melintas di depan Datuk dan nenek berhati-hati. Penuh sopan santun. Saya menuju ke ruang dapur. Tudung saji saya buka. Aduh! Makan malam yang disediakan oleh nenek amat menyelerakan. Saya ambil pinggan dan bersedia untuk mengambil nasi.

"Tamar."

Tangan saya terhenti mahu mengambil nasi.

"Tunggu, kita makan sama-sama, mari ke sini dulu," sambung nenek.

Dengan wajah kesal, pinggan saya letakkan ke tempatnya dan tudung saji terus menutup hidangan.

Dengan langkah yang longlai saya segera datang ke bahagian depan rumah. Duduk dekat nenek.

Datuk masih lagi bertenggek di bendul. Matanya tetap merenung ke arah halaman rumah.

"Tutup pintu Tamar," Datuk segera berdiri dan dalam beberapa detik saja dia sudah berada di dalam rumah.

Saya segera mematuhi arahannya. Daun pintu saya rapatkan, saya kunci. Kayu palang pintu saya masukkan ke tempatnya.

Dari segi teguh, memang sudah teguh, tidak mudah dipecahkan dari luar. Itulah kesimpulan yang saya buat terhadap pintu rumah Datuk.

Saya segera melangkah ke ruang dapur mengikut Datuk dan nenek, sambil saya bayangkan keenakan makan ikan terubuk bakar, cicah air asam.

Bawah tudung saji yang saya lihat tadi, memang sudah tersedia ikan terubuk bakar bersama air asam.

Malam ini, saya mahu makan sekenyang-kenyangnya, fikir saya sendirian.

"Paaaaannnnnnnngggggggg..."

Saya segera melompat sambil mencipta langkah silat, menghalakan wajah dan dada ke arah pintu rumah.

Saya yakin pintu rumah dipukul dengan kayu dari luar. Datuk menerpa ke arah saya. Tubuh saya dipeluknya.

"Kau tak kena apa-apa, Tamar?"

"Saya tak apa-apa tuk."

"Alhamdulillah, cucuku selamat," Datuk berhenti dari memeluk tubuh saya.

Datuk pun melangkah untuk memeriksa daun pintu. Setiap inci papan pintu di telek, diraba dengan teliti. Bila hatinya sudah puas, barulah Datuk mendekati saya semula.

"Aku sangkakan tadi, rumah kita kena tembak dengan senapang," tutur Datuk dengan nada suara yang lemah.

Nenek tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di ruang depan. Dia asyik dengan tugasnya di dapur.

"Saya pun pada mulanya menyangka begitu tuk."

"Rumah kita dibaling orang dari luar, Tamar."

"Kerja siapa tu tuk?"

"Entah."

Datuk gelengkan kepala sambil mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa, Datuk terus menuju ke pintu.

Kunci dan kayu penyelak pintu dibuka. Amat mengejutkan bila Datuk membuka daun pintu lebar-lebar.

PINGGANG

Datuk berdiri di tengah-tengah pintu, bercekak pinggang. Dia kelihatan bagaikan seorang pendekar merenung ke halaman rumah.

Datuk tarik nafas dalam-dalam seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ahhh..."

Serentak dengan pekikan itu, saya lihat Datuk melompat dan menepis sepotong kayu arang yang dilemparkan ke arahnya dari luar.

Kayu arang yang ditepis oleh Datuk itu terkena dinding lalu terdampar atas lantai. Perlahan-lahan Datuk memalingkan mukanya ke kanan melihat kayu arang di lantai.

Sinar matanya nampak tajam sekali tetapi, keresahan dan kebimbangannya tidak dapat saya kesan, dibunuh oleh senyuman yang terukir di kelopak bibir Datuk.

"Buangkan kayu arang tu Tamar."

Saya jadi ragu-ragu, sama ada mahu mematuhi arahan Datuk itu atau sebaliknya. Saya bimbang kalau kayu arang itu disentuh akan terjadi sesuatu pada diri saya.

"Tuk saaayyyaaaaaa...," kata-kata tidak dapat saya teruskan, bila sepasang biji mata Datuk menikam wajah saya. Tiba-tiba saja saya jadi resah gelisah tidak menentu.

Bila melihat saya teragak-agak dan serba salah, Datuk terus menjerit dengan sekuat hatinya.

"Jangan banyak dalih lagi, ambil cepat."

Jeritan Datuk membuat saya melompat dan bagaikan kilat tangan saya menjamah kayu arang. Entah kenapa saya merasa gementar dengan tiba-tiba.

Bahu kanan saya terasa lemah, macam ada sesuatu menekan sendi lengan hingga terasa sengal-sengal tulang.

Rupa-rupanya jeritan Datuk sebentar tadi menarik perhatian nenek. Dia bergegas melangkah dari ruang dapur ke ruang tengah. Berdiri di tepi dinding melihat gerak-geri saya dan Datuk dengan tenang.

"Bawa ke mari Tamar."

Kayu arang yang panjang lebih kurang satu hasta itu saya serahkan kepada Datuk. Buat beberapa saat Datuk terus menatap kayu arang itu dari pelbagai sudut.

Kerana yakin Datuk tidak akan mengeluarkan sebarang arahan untuk saya, cepat-cepat saya beredar dari sisinya mendekati nenek. Perlahan-lahan Datuk mengalihkan tubuhnya, wajah dan dadanya dihalakan ke halaman rumah yang dikuasai malam pekat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 133/284

BACA: SBDJ Siri 132: Bukan Muntah Darah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Fakta Senarai Menteri Kabinet Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin

Fakta Senarai Menteri Kabinet Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya mengumumkan barisan kabinet untuk bersama-sama pentadbirannya dan dalam sidang media memberitahu, jawatan timbalan perdana menteri tidak diwujudkan sebaliknya beliau melantik empat orang menteri kanan yang berfungsi membantu Perdana Menteri.

Menteri Perikatan Nasional

Menurut pengkritik, kabinet baharu Pakatan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jelas bertujuan memuaskan kehendak parti-parti yang menyertai usaha pakatan ini. Ianya kabinet di mana semua mendapat habuannya.

Berikut merupakan senarai kabinet baharu:

1. Perdana Menteri - Muhyiddin Yassin

2. Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  • Mohamed Azmin Ali
  • Timbalan Menteri: Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)

3. Menteri Kanan - Menteri Pertahanan
  • Ismail Sabri Yaakob
  • Timbalan Menteri: Ikhmal Hisham Abdul Aziz

4. Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya
  • Fadillah Yusof
  • Timbalan Menteri: Shahruddin Md Salleh

5. Menteri Kanan - Menteri Pendidikan
  • Mohd Radzi Md Jidin
  • Timbalan Menteri I: Dr Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri II: Muslimin Yahaya

6. Menteri Kewangan
  • Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri I: Abd. Rahim Bakeri
  • Timbalan Menteri II: Mohd Shahar Abdullah

7. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
  • Mustapa Mohamed
  • Timbalan Menteri: Arthur Joseph Kurup

8. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)
  • Mohd Redzuan Md Yusof
  • Timbalan Menteri: Mastura Yazid

9. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
  • Takiyuddin Hassan
  • Timbalan Menteri: Eddin Syazlee Shith

10. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
  • Zulkifli Mohamad Al-Bakri (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri: Ahmad Marzuk Shaary

11. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
  • Maximus Johnity Ongkili
  • Timbalan Menteri: Hanifah Hajar Taib

12. Menteri Pengangkutan
  • Wee Ka Siong
  • Timbalan Menteri: Hasbi Habibollah

13. Menteri Alam Sekitar
  • Tuan Ibrahim Tuan Man
  • Timbalan Menteri: Ahmad Masrizal Muhammad (akan dilantik sebagai senator)

14. Menteri Sumber Manusia
  • Saravanan A/L Murugan
  • Timbalan Menteri: Awang Hashim

15. Menteri Wilayah Persekutuan
  • Annuar Musa
  • Timbalan Menteri: Santhara Kumar

16. Menteri Wanita dan Keluarga
  • Rina Mohd Harun
  • Timbalan Menteri: Siti Zailah Mohd Yusoff

17. Menteri Pengajian Tinggi
  • Noraini Ahmad
  • Timbalan Menteri: Mansor Othman

18. Menteri Tenaga dan Sumber Asli
  • Shamsul Anuar Nasarah
  • Timbalan Menteri: Ali Anak Biju

19. Menteri Dalam Negeri
  • Hamzah Zainuddin
  • Timbalan Menteri I: Ismail Mohamed Said
  • Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

20. Menteri Kesihatan
  • Adham Baba
  • Timbalan Menteri I: Noor Azmi Ghazali
  • Timbalan Menteri II: Aaron Ago Dagang

21. Menteri Pertanian dan Industri Makanan
  • Ronald Kiandee
  • Timbalan Menteri I: Ahmad Hamzah
  • Timbalan Menteri II: Che Abdullah Mat Nawi

22. Menteri Pembangunan Luar Bandar
  • Abd Latiff Ahmad
  • Timbalan Menteri I: Abdul Rahman Mohamad
  • Timbalan Menteri II: Henry Sum Agong

23. Menteri Luar Negeri
  • Hishammuddin Tun Hussein
  • Timbalan Menteri: Kamaruddin Jaffar

24. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
  • Alexander Nanta Linggi
  • Timbalan Menteri: Rosol Wahid

25. Menteri Komunikasi dan Multimedia
  • Saifuddin Abdullah
  • Timbalan Menteri: Zahidi Zainul Abidin

26. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • Zuraida Kamaruddin
  • Timbalan Menteri: Ismail Abd Mutalib

27. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
  • Khairy Jamaluddin
  • Timbalan Menteri: Ahmad Amzad Hashim

28. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
  • Wan Junaidi Tuanku Jaafar
  • Timbalan Menteri: Mas Ermieyati Samsudin

29. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
  • Mohd Khairuddin Aman Razali
  • Timbalan Menteri I: Wee Jeck Seng
  • Timbalan Menteri II: Willie anak Mongin

30. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
  • Nancy Shukri
  • Timbalan Menteri: Jeffrey G. Kitingan

31. Menteri Perpaduan Negara
  • Halimah Mohamed Sadique
  • Timbalan Menteri: Tiong King Sing

32. Menteri Belia dan Sukan
  • Reezal Merican Naina Merican
  • Timbalan Menteri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (akan dilantik sebagai senator)

Mufti Wilayah Persekutuan Dilantik Menteri

Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri muncul sebagai mufti pertama di negara ini dilantik menganggotai barisan jemaah Kabinet.

Agamawan kelahiran Terengganu itu akan menganggotai barisan Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran beliau.

Menurut Muhyiddin, Zulkifli terlebih dahulu akan dilantik sebagai Senator bagi membolehkan beliau memegang jawatan itu.

FAKTA KABINET PAKATAN NASIONAL 2020

Selepas Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke 8 mengumumkan kabinet baru, pertanyaannya adalah, seberapa besar kabinet? Berapa ramai wanita? Siapa pemimpin besar yang tidak tersenarai?

Dipetik dari malaysiakini, kami ingin membantu anda mendapatkan jawapannya, jadi teruskan membaca.

Adakah kabinet ini lebih besar?

Ya. Kabinet Tun Mahathir Mohamad mempunyai 27 menteri, yang mana Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang dua portfolio dan melantik 26 timbalan menteri.

Kabinet Muhyiddin Yassin memiliki 32 portfolio dan perdana menteri telah melantik 38 timbalan menteri. Tujuh kementerian mempunyai dua timbalan menteri.

Siapa di kalangan kabinet bukan ahli politik?

Kerajaan baru PN telah melantik dua orang bukan ahli politik ke dalam barisan jemaah menteri, bekas CEO Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, 46 dan bekas mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 51. Mereka akan dilantik sebagai senator.

Tengku Zafrul berpengalaman luas selama 24 tahun dalam bidang industri kewangan, manakala Zulkifli pula dikenali dengan pendekatannya yang sederhana selama menjadi mufti sejak 2014.

Berapa kerusi mengikut parti?

Bersatu menguasai sebahagian besar jawatan kabinet dan timbalan menteri, walaupun berada di tangga kedua dari segi jumlah anggota parlimen penyokong kerajaan.

Bersatu mengawal 34 peratus jawatan dalam kabinet walaupun mempunyai hanya 26 peratus jumlah anggota parlimen.

Umno berada di kedudukan kedua dengan menguasai 28 peratus jawatan kabinet walaupun memiliki 35 peratus MP penyokong kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada di tempat ketiga walaupun dari segi jumlah MP, ia sama dengan PAS.

Kedua-dua PAS dan GPS mempunyai 18 MP tetapi gabungan dari Sarawak itu mendapat empat jawatan menteri kabinet manakala PAS mempunyai tiga orang.

Keseluruhannya, Bersatu mempunyai 11 menteri, manakala Umno sembilan, empat GPS, PAS tiga, MCA dua, MIC satu dan PBS satu.

Bagi timbalan menteri, Bersatu akan mempunyai 14 orang, diikuti oleh Umno dengan sembilan timbalan menteri, PAS dan GPS pada masing-masing lima, MCA tiga, PBRS satu dan Star satu.

Pemimpin kanan parti manakah tidak dilantik sebagai menteri?

Kedua-dua Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan tidak dilantik ke dalam barisan jemaah menteri kerajaan PN.

Pemimpin Umno paling kanan yang dilantik ke dalam kabinet ialah Noraini Ahmad (menteri pendidikan tinggi).

Beliau ialah ketua Wanita Umno, yang pada tahun 2019 lepas, selepas pindaan perlembagaan parti telah dinaikkan setaraf dengan kedudukan timbalan presiden Umno.

Hanya satu daripada tiga naib presiden Umno yang dilantik ke dalam kerajaan PN.

Ismail Sabri Yaakob kini menjadi menteri pertahanan, manakala Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid tidak tersenarai ke dalam kabinet.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak termasuk dalam kerajaan baru tetapi timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai menteri alam sekitar.

Tidak mengejutkan apabila Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan MB Kelantan Mohd Amar Abdullah tidak dilantik kerana masing-masing sedang mentadbir kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, seorang lagi naib presiden PAS, Idris Ahmad, yang tidak memegang jawatan kepimpinan negeri, tidak dilantik ke dalam kabinet.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap urusan undang-undang dan hal ehwal parlimen, jawatan penting yang boleh mempengaruhi perubahan perundangan.

Presiden MIC, S Vigneswaran juga tidak termasuk dalam kabinet. Beliau kini merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara. Timbalannya, M Saravanan telah dilantik sebagai menteri sumber manusia.

Bagi GPS pula, presiden PBB (Abang Johari Openg), PRS (James Masing) dan SUPP (Sim Kui Hian) difahamkan tidak termasuk ke dalam kabinet kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada kabinet Sarawak.

Pengecualian kepada Presiden PDP Tiong King Sing, yang dilantik sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Berapa nisbah wanita jadi menteri ahli kabinet, timbalan menteri?

Terdapat lima menteri kabinet wanita dan empat timbalan menteri. Jumlah ini tidak berubah sebagaimana kabinet sebelumnya.

Bagaimanapun, perlu diingatkan Dr Wan Azizah memegang dua jawatan kabinet pada masa itu dan dari segi nisbah sekarang terdapat lebih ramai lagi timbalan menteri.

Berapa banyak kem Azmin Ali dapat jawatan?

Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru, selepas merancang sekumpulan ahli parlimen untuk berpaling tadah kepada gabungan baru.

Termasuk Azmin, terdapat 10 MP yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu susulan "Langkah Sheraton."

Daripada kumpulan bekas anggota parlimen PKR ini, Rashid Hasnon merupakan satu-satunya MP yang tidak menjadi menteri kabinet atau timbalan menteri. Perlu diingatkan Rashid masih lagi timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan kem Azmin adalah seperti berikut:

Menteri:
  • Azmin Ali
  • Saifuddin Abdullah
  • Zuraida Kamaruddin

Timbalan menteri:
  • Ali Biju
  • Jonathan Yassin
  • Kamaruddin Jaffar
  • Mansor Othman
  • Santhara Kumar
  • Willie Mongin

Berapa ramai menteri, timbalannya dari Sabah, Sarawak?

Terdapat empat menteri kabinet dari Sarawak dan dua dari Sabah. Ini menjadikan enam menteri dari Malaysia Timur, naik dari hanya empat ketika kabinet sebelumnya.

Jadi, pada masa ini, 18.75 peratus menteri kabinet berasal dari Malaysia Timur walaupun kira-kira 20 peratus MP yang menyokong Muhyiddin dari sini.

Adakah kementerian bubar? Adakah terdapat kementerian baru?

Paling ketara, tiada lagi jawatan timbalan perdana menteri di dalam kabinet buat masa ini. Walau bagaimanapun, Muhyiddin masih boleh menamakan timbalannya kemudian.

Muhyiddin juga telah menghapuskan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Kementerian Perpaduan Negara yang berdiri sendiri.

Empat kementerian pula sama ada dinamakan semula atau disatukan:
  • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
  • Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perbahan Iklim dan Alam Sekitar
  • Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
  • Kementerian Industri Utama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, March 09, 2020

'Tiada Guna Straight A+ Dalam SPM, Kecemerlangan Tidak Membahagiakan!'

'Tiada Guna Straight A+ Dalam SPM, Kecemerlangan Tidak Membahagiakan!'

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru sahaja diumumkan tidak lama dahulu dan siapa yang tidak gembira apabila hasil penat lelah belajar akhirnya terbalas dengan keputusan cemerlang, apatah lagi dapat membanggakan ibu bapa serta keluarga dalam masa sama.

Kesal cemerlang SPM

Berbeza pula keadaaannya dengan seorang bekas calon ini yang mendapat gred A dalam kesemua mata pelajaran ketika SPM, namun dia merasakan ia satu perkara yang dikesalkan.

Perasaan sesal itu diluahkannya menerusi satu coretan yang kemudian dikongsikan semula oleh pengasas sebuah syarikat kejuruteraan, Ir Abdul Rahman Bahasa menerusi Facebook miliknya, yang dipetik dari mstar.

Menerusi coretan tersebut, individu yang enggan identitinya dikenali itu berkata dia adalah produk 11A+ dalam SPM, namun menyesal mendapat keputusan tersebut.

Menurut pelajar itu, sejujurnya perjalanan dirinya untuk mendapat straight "A" dalam SPM penuh dengan tekanan.

"Saya pernah fikir nak tamatkan hidup sebab tekanan yang saya hadapi untuk score dalam SPM. Tapi akhirnya saya dapat 11A+.

"Saya dapat scholarship untuk sambung belajar ke luar negara dan melalui fasa pembelajaran dan kemudian bekerja membolehkan saya berjumpa ramai orang.

"Apa yang saya boleh cakap, saya menyesal dapat 11A+ dalam SPM," ujarnya sambil menyenaraikan beberapa perkara yang membuatkannya berpendirian sedemikian.

Tiada momen bersama keluarga, rakan

Menurut individu tersebut, disebabkan terlalu mengejar untuk mendapat keputusan cemerlang, dia langsung tidak mempunyai momen bersama-sama keluarga dan rakan-rakan kerana kebanyakan masanya dipenuhi dengan aktiviti pembelajaran.

"Hidup saya penuh dengan belajar dan tuisyen sahaja. Sedangkan masa di sekolah adalah masa yang paling indah bersama rakan-rakan. Masa sekolah, saya juga punyai masa cuti sekolah yang boleh saya luangkan bersama family. Tapi cuti sekolah saya penuh dengan belajar dan tuisyen.

"Saya terlampau sibuk dengan akademik, tapi saya lupa dengan pengembangan bakat. Bila saya di universiti, saya jumpa kawan-kawan saya yang hebat bermain gitar, kreatif dalam melukis dan hebat bermain bola sepak.

"Mereka benar-benar menikmati apa yang mereka lakukan. Mereka ada pengalaman yang menggembirakan. Saya? Apa bakat yang saya ada? Saya nak bergaul dengan mereka pun rasa kekok," ujarnya lagi.

Straight A hanya kemenangan sementara

Ir Abdul SPM

Tambahnya, dia merasakan tiada apa yang istimewa walaupun mendapat semua A dalam SPM kerana dia menyedari terdapat pelajar yang lebih baik daripadanya di universiti walaupun mereka hanya dapat C dalam Bahasa Melayu atau D dalam Kimia.

"Walaupun mereka bukan pelajar straight A, tapi mereka sangat bagus dalam subjek yang mereka suka. Dari situ saya yang banyak A ni terasa macam tiada apa-apa keistimewaan.

"Akhirnya, tiada siapa pun yang kisah anda pelajar straight A atau tidak! Masa kerja, tak ada pun soalan 'berapa A you dapat dalam SPM?'

"Sebenarnya, kalau anda nak menyerlah dibandingkan dengan yang lain, apa yang majikan anda lihat adalah karakter, personaliti dan pengalaman. Majikan anda tak kisah anda pelajar straight A atau tidak.

"Apa yang saya boleh katakan. Straight A hanya kemenangan sementara sahaja. Lepas saja moment tu, saya lebih struggle untuk mencipta kemenangan yang lain pula," tulisnya.

Sehingga kini perkongsian tersebut mendapat sehingga 2,000+ likes dan ratusan komen netizen dengan reaksi yang pelbagai.

Namun rata-ratanya bersetuju dengan perkongsian berkenaan yang diharap mampu membuka mata agar tidak terlalu taksub A.

"SPM pembuka jalan tapi bukan penentu kehidupan. Saya sendiri dulu pun SPM agak ke laut tapi apa yang membentuk kehidupan adalah selepas SPM.".

"Saya harap dengan perkongsiaan ini dapat menyedarkan ibu bapa di luar sana supaya tidak terlalu taksub dengan jumlah A anak-anak mereka."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 132: Bukan Muntah Darah

SBDJ Siri 132: Bukan Muntah Darah

Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang khoja Lisut.

Toyol jadi-jadian

Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat.

Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.

Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.

"Kenapa?" saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi.

Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.

"Semuanya sudah habis, Tamar."

"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu.

Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.

"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."

Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.

Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan Datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja.

Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.

"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" tanya Datuk.

"Kau nampak aku sudah cukup tua?" dalam tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara.

Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.

"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.

"Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya.

Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. Dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.

Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan Datuk dan Mat Upeh.

Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka.

Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.

TURUN

Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.

Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung lengan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.

"Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?"

Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.

"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"

"Tidak," jawab Khoja Lisut.

"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak.

Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.

"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.

Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut.

Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan Datuk jangan mendekatinya.

Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.

"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."

Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi.

Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.

"Kenapa tak boleh bantu dia?" ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin.

Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh Datuk.

"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur," tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat Datuk.

Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya.

Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari Datuk singgah ke pipi.

Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hitungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelangan Datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi.

Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah Datuk.

"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan Datuk yang dipegangnya.

Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.'

Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran Datuk itu.

"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang Datuk berikan kepada Haji Yatimi.

"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah Islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"

"Tapi..." sanggah Datuk.

"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu."

"Saya faham," Datuk seperti mengalah.

Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah.

Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.

"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."

"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” saya pintas cakap Haji Yatimi.

Saya jeling ke arah Datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.

"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."

"Saya faham," kata saya.

"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."

"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya.

Mat Upeh dan Datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.

Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.

"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada Datuk.

"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh sekali, bukan Datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.

"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.

"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan."

"Mungkin ada yang mahu ikut sama," tingkah Datuk.

"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan Allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.

"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan Allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.

"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."

"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh.

Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.

PULANG

Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib.

Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba Datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.

"Nak ke mana Tamar?"

"Balik, tuk."

"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu."

"Baik tuk," kata saya.

Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh Datuk, secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang.

Saya segera menoleh, Datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.

"Kenapa tuk?"

"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," Datuk berhenti bercakap.

Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.

"Apa dia perkara yang Datuk terlupa nak cakapkan tu," ulang saya.

"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju Melayu dan dua helai kain basahan," tutur Datuk dengan tenang.

Saya terkejut mendengar permintaan Datuk itu. Lama juga saya termenung, berfikir kenapa Datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin Datuk mahu pergi ke mana-mana.

"Buat apa semuanya tu Datuk?"

"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju."

"Kain basahan pula?"

"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."

Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh Datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.

"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."

"Ha.." mulut saya ternganga.

Terkejut dengan arahan baru Datuk itu. Tidak diduga begitu cepat Datuk mahukan barang-barang tersebut.

Pada awalnya, saya kira Datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.

"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."

"Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?"

"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?" suara Datuk mula meninggi.

Dia terus menjegilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.

"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang Datuk mahu tu."

"Hum, cepat datang."

Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.

Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada Datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi.

Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri.

Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan Datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.

Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.

Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali.

Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya dipelihara dengan baik.

BELAJAR

Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana Datuk neneknya memang beragama Islam.

Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan.

Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang Muslim sejati.

Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya.

Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari Datuk neneknya.

Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnya.

Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelah mendengar pendapat Haji Yatimi terhadap Khoja Lisut.

Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh.

Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat Datuk.

Dia minta Datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.

Matahari bersinar lembut, menjamah rerumput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering.

Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk berangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.

"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.

"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."

"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."

"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."

"Aku doakan kamu bahagia," kata Haji Yatimi.

"Aku juga begitu," celah Datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.

"Apa bendanya ni?" tanya Khoja Lisut.

"Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik."

"Terima kasih."

"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumah tangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan.

"Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya."

"Mana tuan haji tahu semuanya ni?"

"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya."

Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat.

Bila perasaannya sudah tenang, dia pun bersalam dengan Datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.

"Selamat tinggal."

"Selamat jalan," kata kami serentak.

Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik.

Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.

LAUT

Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut.

Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemesraan.

Dia saya anggap sebagai Datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji Yatimi Datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran Datuk terus menurun.

Haji Yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawab, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya.

Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya.

"Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.

Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada Datuk.

Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan Datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.

Sebaik sahaja Datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar.

Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.

"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku," kata Datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.

"Tak ada apa-apa," balas saya.

"Hmmm.." suara Datuk mendatar.

Tetapi, senyum sinis yang terukir di bibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya.

Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.

"Saya nak tanya Datuk satu perkara."

"Apa dia, Tamar?"

Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.

"Apa dia Tamar?" ulang Datuk.

"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari Datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh Datuk. Saya sekadar senyum sahaja.

Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan pertanyaan, Datuk angkat cawan kopi lalu menghirupnya dengan tenang.

Kemudian, dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.

"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal."

"Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan Datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.

"Saya nak tanya tentang Pak.."

"Haji Yatimi?" Datuk segera memintas percakapan saya.

"Iya Tuk."

"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"

"Tak ada tuk," jawab saya seraya menggelengkan kepala.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 132/284

BACA: SBDJ Siri 131: Menggeletek Macam Cicak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Apa Itu Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Apa Itu Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?

Personaliti Obsessif Kompulsif atau Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, adalah sejenis kecelaruan personaliti yang dicirikan oleh sifat individu yang amat mementingkan ketelitian, kesempurnaan serta keinginan untuk mengawal persekitaran serta hubungan dan biasanya bermula pada peringkat awal dewasa serta lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding wanita.

Apa itu OCD

Ini agak mengejutkan kerana kita sentiasa beranggapan bahawa wanita lebih mementingkan ketelitian, perinician serta kesempurnaan.

Dari segi statistik, dianggarkan bahawa di antara 2.1 sehingga 7.9 peratus daripada populasi mengalami masalah kecelaruan personaliti obsessif kompulsif menjadikan ianya sebagai jenis kecelaruan personaliti yang paling kerap ditemui.

Pesakit OCD mempunyai simptom yang terbahagi kepada empat kategori iaitu kebersihan, keselamatan, kepercayaan (spiritual) dan susun atur (struktur), yang mana terdapat pesakit memiliki lebih daripada dua kategori berkenaan.

Adakah anda mempunyai kecelaruan personaliti Obsessif Kompulsif?

Ya. Jika anda adalah seseorang yang sentiasa mempunyai keinginan untuk mencapai kesempurnaan serta cenderung mengawal persekitaran dan hubungan dengan orang lain secara berterusan.

Anda juga perlu mempunyai lebih dari empat ciri-ciri yang disenaraikan di bawah:
  • Terlalu fokus tentang perincian, peraturan, senarai dan susunan sehinggakan terlepas pandang kepada objektif utama dalam sesuatu aktiviti.
  • Terlalu berusaha untuk mencapai kesempurnaan sehingga lambat menyiapkan sesuatu tugasan.
  • Terlalu mementingkan pekerjaan dan produktiviti sehinggakan mengabaikan masa untuk diri sendiri, keluarga atau teman-teman.
  • Sukar untuk membahagikan tugas kepada orang lain kerana bimbang orang lain tidak mampu mencapai tahap yang kita inginkan. Sekiranya tugas diberikan kepada orang lain, anda turut menyenaraikan secara terperinci apa yang anda harapkan mereka lakukan.
  • Terlampau berpegang kepada moral dan etika serta patuh kepada peraturan tanpa pengecualian.
  • Sukar untuk membuang barangan yang tidak lagi digunakan kerana memikirkan bahawa ia mungkin berguna di suatu hari.
  • Sukar untuk membelanjakan wang untuk diri sendiri atau orang lain kerana bimbang wang tersebut diperlukan untuk masa hadapan.
  • Tidak fleksibel.

Tetapi jika anda cuma mempunyai satu atau dua ciri sahaja, ini tidak dikira sebagai Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, tetapi cuma mempunyai ciri-ciri (traits) personaliti tersebut.

Adakah ini satu masalah? Tidak jika ia tidak menjejaskan fungsi harian anda, malah ia dapat membantu menguruskan aktiviti harian dengan lancar.

Bagaimana pula jika anda memenuhi kriteria diagnosa tersebut? Terdapat rawatan seperti psikoterapi dan ubatan yang dapat membantu jika anda merasakan bahawa kecelaruan personaliti anda menjejaskan fungsi harian serta hubungan anda dengan orang lain.

Gejala penyakit OCD, seperti definisi penyakitnya adalah terdiri dari dua komponen iaitu Komponen Obsesif dan Kompulsif.

Komponen Obsesif (pemikiran):
  • Obsesif pemikiran adalah sentiasa terfikir tentang kebersihan.
  • Berulang kali memikirkan tentang keselamatan.
  • Was-was terhadap ingatan atau persepsi tentang sesuatu seperti tentang tutup suis seterika.
  • Kepatuhan yang jitu dan terlalu tegar terhadap sesuatu peraturan.
  • Terlalu mementingkan susunan dan simetri.
  • Pemikiran yang sering terpusatkan terhadap sesuatu tanpa boleh diganggu.

Komponen Kompulsif (tindakan):
  • Mencuci tangan berulang kali.
  • Mengecek kunci kereta dan rumah berulang kali.
  • Berulang melakukan hal yang sama seperti apabila menghitung sesuatu barang.
  • Sentiasa menyusun dan mengemas walhal baru sahaja selesai mengemas.
  • Hoarding ataupun sifat suka menimbunkan barang secara berlebihan dan enggan untuk membuang barangan yang sudah tidak diperlukan seperti contohnya baju yang telah lusuh.
  • Biasanya pesakit sering perlu meluahkan isi hati dikeranakan perasaan insecure yang kuat.
  • Mempunyai tabiat suka menyenaraikan sesuatu atau membuat checklist sebagai satu cara mengurangkan obsesif fikiran.

PENYAKIT OBSESSIF KOMPULSIF (OCD)

Masyarakat umum mengenalinya sebagai penyakit was-was kerana biasanya mereka yang mengalami penyakit tersebut seringkali mempunyai perasaan ragu-ragu sehinggakan melakukan tindakan yang sama berulang kali.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa kadar sepanjang hayat (lifetime prevalence) untuk penyakit ini adalah dua atau tiga peratus dari populasi.

Kebanyakanya berlaku pada usia muda di mana dua per tiga daripadanya bermula sebelum usia 25 tahun manakala cuma 15 peratus sahaja yang bermula selepas usia 35 tahun.

Lelaki dan wanita mempunyai kadar yang sama untuk mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, lelaki biasanya mendapat penyakit ini pada usia yang lebih muda serta mempunyai gejala yang lebih teruk berbanding wanita.

Pemikiran Obsessif dicirikan oleh kriteria tertentu, iaitu:
  • Pemikiran yang tidak rasional, imej atau idea yang berulang, tidak diingini serta mendatangkan rasa resah pada diri.
  • Individu mengenal pasti bahawa perkara tersebut adalah berasal dari fikirannya, tetapi tidak mampu mengawalnya.
  • Pemikiran ini adalah sangat menganggu sehinggakan individu tersebut melakukan tindakan kompulsif sebagai satu langkah untuk mengalihkan perhatian dari pemikiran tersebut.

Kompulsif secara ringkasnya adalah desakan untuk melakukan sesuatu yang akan meringankan rasa tidak selesa akibat pemikiran obsesif.

Contoh perlakuan kompulsif adalah seperti mencuci tangan berulang kali kerana beranggapan ia kotor atau memeriksa selak pintu berulang kali bagi memastikan ianya berada dalam keadaan terkunci.

Ada juga yang mengira sesuatu nombor berulang-ulang untuk memastikan bahawa bilangan yang dikehendaki adalah tepat dan menyimpan barang-barang yang tidak terpakai seperti surat khabar, bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk.

Ramai juga yang mengambil wuduk berulang kali kerana berasakan bahawa masih belum sempurna.

Penyakit Obsessif Kompulsif boleh menjejaskan mempunyai fungsi harian individu. Ini disebabkan individu tersebut didominasi oleh pemikiran atau obsessi yang mengganggu diikuti perbuatan kompulsif secara berulang-ulang untuk mengurangkan keresahan yang dialami.

Namun, perbuatan itu hanya berkesan untuk sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan dia terpaksa mengulangi perbuatan yang menghilangkan keresahannya.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami penyakit ini juga mempunyai kemurungan.

PENYEBAB OCD

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi untuk seseorang itu mendapat Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD):

Genetik atau keturunan

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit ini adalah lebih berisiko.

Organik

Keabnormalan pada struktur otak serta fungsi otak atau jangkitan pada bahagian otak tertentu boleh mencetuskan gejala penyakit ini.

Personaliti

Mereka yang mempunyai Personaliti Obessi Kompulsif mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Trauma

Pengalaman trauma pada masa lampau seperti penderaan fizikal atau seksual.

Konflik atau tekanan

Mereka yang mengalami konflik atau tekanan yang berteusan dalam hidup.

DERITA DALAM DIAM PESAKIT OCD

Berada di dalam bilik air berjam-jam, melakukan sesuatu perkara berulang-ulang dan mengelak untuk berjabat tangan, memegang tombol pintu, butang lif atau meja makan.

Itu antara simptom yang sukar ditinggalkan oleh penghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) sehingga ada antara mereka diberhentikan kerja, dibuang daripada institusi pengajian tinggi (IPT), selain bergaduh dengan ahli keluarga.

Penghidap OCD suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna selain sentiasa merasa resah, tertekan dan cemas.

Setiap manusia mempunyai tahap kebersihan dan kerisauan sendiri namun bagi pesakit OCD, ia tidak boleh dikawal dan sangat melampau.

Kebanyakan pesakit OCD ini obses dengan aspek kebersihan dan keselamatan.

RAWATAN

Meskipun kebanyakan penderita OCD ini tahu mereka bermasalah, namun enggan mendapatkan rawatan awal kerana bimbang dilabel sebagai pesakit mental.

Terdapat rawatan psikoterapi, terapi tingkah laku serta ubatan yang dapat membantu untuk merawat penyakit ini.

Jika anda mengalami gejala-gejala penyakit ini, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri.

Rujukan kepada perkhidmatan psikiatri boleh dibuat oleh mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berhampiran kerana rawatan serta pengesanan awal dapat membantu merawat penyakit ini dengan lebih berkesan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2