Monday, March 09, 2020

Apa Itu Personaliti Obsessif Kompulsif (OCD)?


Personaliti Obsessif Kompulsif atau Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, adalah sejenis kecelaruan personaliti yang dicirikan oleh sifat individu yang amat mementingkan ketelitian, kesempurnaan serta keinginan untuk mengawal persekitaran serta hubungan dan biasanya bermula pada peringkat awal dewasa serta lebih banyak dialami oleh lelaki berbanding wanita.

Apa itu OCD

Ini agak mengejutkan kerana kita sentiasa beranggapan bahawa wanita lebih mementingkan ketelitian, perinician serta kesempurnaan.

Dari segi statistik, dianggarkan bahawa di antara 2.1 sehingga 7.9 peratus daripada populasi mengalami masalah kecelaruan personaliti obsessif kompulsif menjadikan ianya sebagai jenis kecelaruan personaliti yang paling kerap ditemui.

Pesakit OCD mempunyai simptom yang terbahagi kepada empat kategori iaitu kebersihan, keselamatan, kepercayaan (spiritual) dan susun atur (struktur), yang mana terdapat pesakit memiliki lebih daripada dua kategori berkenaan.

Adakah anda mempunyai kecelaruan personaliti Obsessif Kompulsif?

Ya. Jika anda adalah seseorang yang sentiasa mempunyai keinginan untuk mencapai kesempurnaan serta cenderung mengawal persekitaran dan hubungan dengan orang lain secara berterusan.

Anda juga perlu mempunyai lebih dari empat ciri-ciri yang disenaraikan di bawah:
  • Terlalu fokus tentang perincian, peraturan, senarai dan susunan sehinggakan terlepas pandang kepada objektif utama dalam sesuatu aktiviti.
  • Terlalu berusaha untuk mencapai kesempurnaan sehingga lambat menyiapkan sesuatu tugasan.
  • Terlalu mementingkan pekerjaan dan produktiviti sehinggakan mengabaikan masa untuk diri sendiri, keluarga atau teman-teman.
  • Sukar untuk membahagikan tugas kepada orang lain kerana bimbang orang lain tidak mampu mencapai tahap yang kita inginkan. Sekiranya tugas diberikan kepada orang lain, anda turut menyenaraikan secara terperinci apa yang anda harapkan mereka lakukan.
  • Terlampau berpegang kepada moral dan etika serta patuh kepada peraturan tanpa pengecualian.
  • Sukar untuk membuang barangan yang tidak lagi digunakan kerana memikirkan bahawa ia mungkin berguna di suatu hari.
  • Sukar untuk membelanjakan wang untuk diri sendiri atau orang lain kerana bimbang wang tersebut diperlukan untuk masa hadapan.
  • Tidak fleksibel.

Tetapi jika anda cuma mempunyai satu atau dua ciri sahaja, ini tidak dikira sebagai Kecelaruan Personaliti Obsessif Kompulsif, tetapi cuma mempunyai ciri-ciri (traits) personaliti tersebut.

Adakah ini satu masalah? Tidak jika ia tidak menjejaskan fungsi harian anda, malah ia dapat membantu menguruskan aktiviti harian dengan lancar.

Bagaimana pula jika anda memenuhi kriteria diagnosa tersebut? Terdapat rawatan seperti psikoterapi dan ubatan yang dapat membantu jika anda merasakan bahawa kecelaruan personaliti anda menjejaskan fungsi harian serta hubungan anda dengan orang lain.

Gejala penyakit OCD, seperti definisi penyakitnya adalah terdiri dari dua komponen iaitu Komponen Obsesif dan Kompulsif.

Komponen Obsesif (pemikiran):
  • Obsesif pemikiran adalah sentiasa terfikir tentang kebersihan.
  • Berulang kali memikirkan tentang keselamatan.
  • Was-was terhadap ingatan atau persepsi tentang sesuatu seperti tentang tutup suis seterika.
  • Kepatuhan yang jitu dan terlalu tegar terhadap sesuatu peraturan.
  • Terlalu mementingkan susunan dan simetri.
  • Pemikiran yang sering terpusatkan terhadap sesuatu tanpa boleh diganggu.

Komponen Kompulsif (tindakan):
  • Mencuci tangan berulang kali.
  • Mengecek kunci kereta dan rumah berulang kali.
  • Berulang melakukan hal yang sama seperti apabila menghitung sesuatu barang.
  • Sentiasa menyusun dan mengemas walhal baru sahaja selesai mengemas.
  • Hoarding ataupun sifat suka menimbunkan barang secara berlebihan dan enggan untuk membuang barangan yang sudah tidak diperlukan seperti contohnya baju yang telah lusuh.
  • Biasanya pesakit sering perlu meluahkan isi hati dikeranakan perasaan insecure yang kuat.
  • Mempunyai tabiat suka menyenaraikan sesuatu atau membuat checklist sebagai satu cara mengurangkan obsesif fikiran.

PENYAKIT OBSESSIF KOMPULSIF (OCD)

Masyarakat umum mengenalinya sebagai penyakit was-was kerana biasanya mereka yang mengalami penyakit tersebut seringkali mempunyai perasaan ragu-ragu sehinggakan melakukan tindakan yang sama berulang kali.

Kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa kadar sepanjang hayat (lifetime prevalence) untuk penyakit ini adalah dua atau tiga peratus dari populasi.

Kebanyakanya berlaku pada usia muda di mana dua per tiga daripadanya bermula sebelum usia 25 tahun manakala cuma 15 peratus sahaja yang bermula selepas usia 35 tahun.

Lelaki dan wanita mempunyai kadar yang sama untuk mendapat penyakit ini. Bagaimanapun, lelaki biasanya mendapat penyakit ini pada usia yang lebih muda serta mempunyai gejala yang lebih teruk berbanding wanita.

Pemikiran Obsessif dicirikan oleh kriteria tertentu, iaitu:
  • Pemikiran yang tidak rasional, imej atau idea yang berulang, tidak diingini serta mendatangkan rasa resah pada diri.
  • Individu mengenal pasti bahawa perkara tersebut adalah berasal dari fikirannya, tetapi tidak mampu mengawalnya.
  • Pemikiran ini adalah sangat menganggu sehinggakan individu tersebut melakukan tindakan kompulsif sebagai satu langkah untuk mengalihkan perhatian dari pemikiran tersebut.

Kompulsif secara ringkasnya adalah desakan untuk melakukan sesuatu yang akan meringankan rasa tidak selesa akibat pemikiran obsesif.

Contoh perlakuan kompulsif adalah seperti mencuci tangan berulang kali kerana beranggapan ia kotor atau memeriksa selak pintu berulang kali bagi memastikan ianya berada dalam keadaan terkunci.

Ada juga yang mengira sesuatu nombor berulang-ulang untuk memastikan bahawa bilangan yang dikehendaki adalah tepat dan menyimpan barang-barang yang tidak terpakai seperti surat khabar, bekas makanan atau baju-baju yang sudah buruk.

Ramai juga yang mengambil wuduk berulang kali kerana berasakan bahawa masih belum sempurna.

Penyakit Obsessif Kompulsif boleh menjejaskan mempunyai fungsi harian individu. Ini disebabkan individu tersebut didominasi oleh pemikiran atau obsessi yang mengganggu diikuti perbuatan kompulsif secara berulang-ulang untuk mengurangkan keresahan yang dialami.

Namun, perbuatan itu hanya berkesan untuk sementara waktu kerana obsesi ini akan kembali dan dia terpaksa mengulangi perbuatan yang menghilangkan keresahannya.

Disebabkan itu, ramai yang mengalami penyakit ini juga mempunyai kemurungan.

PENYEBAB OCD

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi untuk seseorang itu mendapat Penyakit Obsessif Kompulsif (OCD):

Genetik atau keturunan

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai penyakit ini adalah lebih berisiko.

Organik

Keabnormalan pada struktur otak serta fungsi otak atau jangkitan pada bahagian otak tertentu boleh mencetuskan gejala penyakit ini.

Personaliti

Mereka yang mempunyai Personaliti Obessi Kompulsif mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Trauma

Pengalaman trauma pada masa lampau seperti penderaan fizikal atau seksual.

Konflik atau tekanan

Mereka yang mengalami konflik atau tekanan yang berteusan dalam hidup.

DERITA DALAM DIAM PESAKIT OCD

Berada di dalam bilik air berjam-jam, melakukan sesuatu perkara berulang-ulang dan mengelak untuk berjabat tangan, memegang tombol pintu, butang lif atau meja makan.

Itu antara simptom yang sukar ditinggalkan oleh penghidap Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) sehingga ada antara mereka diberhentikan kerja, dibuang daripada institusi pengajian tinggi (IPT), selain bergaduh dengan ahli keluarga.

Penghidap OCD suka melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kerana merasakan apa yang dilakukan sebelum itu tidak sempurna selain sentiasa merasa resah, tertekan dan cemas.

Setiap manusia mempunyai tahap kebersihan dan kerisauan sendiri namun bagi pesakit OCD, ia tidak boleh dikawal dan sangat melampau.

Kebanyakan pesakit OCD ini obses dengan aspek kebersihan dan keselamatan.

RAWATAN

Meskipun kebanyakan penderita OCD ini tahu mereka bermasalah, namun enggan mendapatkan rawatan awal kerana bimbang dilabel sebagai pesakit mental.

Terdapat rawatan psikoterapi, terapi tingkah laku serta ubatan yang dapat membantu untuk merawat penyakit ini.

Jika anda mengalami gejala-gejala penyakit ini, anda boleh mendapatkan rawatan di hospital yang menawarkan perkhidmatan psikiatri.

Rujukan kepada perkhidmatan psikiatri boleh dibuat oleh mana-mana klinik kesihatan atau klinik swasta yang berhampiran kerana rawatan serta pengesanan awal dapat membantu merawat penyakit ini dengan lebih berkesan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon