Tuesday, March 10, 2020

Kenapa Ahli Politik Suka Menabur Janji?


Harga barangan melambung. Cukai-cukai bertambah. Korupsi semakin teruk. Pemimpin kian kurang ajar dan tidak sedar diri. Kemudian timbul pula barisan pembangkang yang mengULANGi slogan-slogan oportunistik. Katanya jika diundi, mereka akan membetulkan segalanya.

Janji Politik
Gambar hiasan.

Itu ialah populisme, sebuah gerakan yang ingin mengusir keluar pemerintah yang tidak bertindak demi rakyat. Fenomena yang membarah dalam hampir semua bangsa.

Dalam sirah Islam pun, elemen populisme jelas wujud apabila Rasulullah SAW ditawarkan manfaat-manfaat duniawi andainya mengetepikan ajaran tauhid. Cuma situasinya terbalik dimana "rakyat" yang menawarkan "ketua" kerana takutkan reformasi sosialnya.

Dalam agenda-agenda populisme, terdapat dua terminologi yang sangatlah masyhur. "Rakyat” (the people) yang ditatang dan dijulang sebagai suci dan "elitis" (the elites) yang biasanya disebut sebagai kapitalis bangsat.

Cetusan komunisme pun pada asalnya bertatahkan elemen populisme juga dengan sebutan "the bourgeois" yang dinilai secara materialisme. Apa-apa pun, populisme yang menongkah arus daripada Karl Marx (malah sebelum beliau lagi) masih terngiang-ngiang dalam ucapan-ucapan politik semasa.

Malah Ketua Pembangkang United Kingdom iaitu Jeremy Corbyn juga mengimarahkan slogan "untuk semua, bukan segelintir" (for the many, not the few) walaupun terdapat jurang besar antara perjuangan Labor dan populisme.

Seorang pemimpin populis biasanya mengagungkan diri sebagai penyatu harapan rakyat (the will of the people) yang bertindak untuk membuang sampah (drain the swamp).

Malaysia pun menerima tempias populisme, terutamanya sejak Pilihanraya Umum Ke-12. Manifesto pembangkang bagi pilihanraya 8 Mac 2008 itu dilancarkan untuk memerangi kadar jenayah, inflasi harga dan korupsi kejayaan.

Sekitar tahun 2007-2008, arus dibawa Anwar Ibrahim melaungkan supaya harga minyak diturun daripada paras RM2.70 dengan subsidi. Lima tahun kemudian datangnya semarak api pendidikan percuma. Dan antara 2016-2018, tol menjadi sasaran populis.

Antara dogma disebut-sebut (atau lebih tepat lagi, diULANG) hari ini memang, esok (itu dan ini). Tuntut janji selepas menang.

Disebabkan itulah ahli politik dan lampin mempunyai persamaan. Kedua-duanya harus ditukar – atas sebab yang sama. Namun suatu keanehan wujud rata-ratanya dalam kalangan pembangkang atau kerajaan yang bermasalah dengan rakyat.

Ahli-ahli politik jika ingin menerajui negara dengan populisme mempunyai formula serupa: berbelanja melampau, membuat pinjaman antarabangsa, mencetuskan hiperinflasi dan memohon bantuan kewangan.

Semasa Pilihanraya Presiden 2016 pun, Donald Trump menggunakan kempen ala-ala populis untuk kepentingan peribadi. Pentadbiran Barack Obama dilihat begitu berbirokrasi dianggap sebuah paya bertakung (the swamp) yang perlu dibersihkan (drain).

Namun, naiknya beliau menyaksikan pelantikan orang korporat bertali leher seperti Rex Tillerson (orang besar ExxonMobil) dan Steven Mnuchin antaranya. Semasa berkempen pun, Trump menyebut dengan lantang untuk menyekat kemasukan umat Islam yang digagalkan Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat.

Namun, populisme itu tidak bertakung di Amerika Syarikat (atau Malaysia) sahaja. Di sebelah Amerika Selatan pun berdirinya kerajaan-kerajaan yang memanjakan rakyat.

Venezuela pada hari ini menunjukkan kepada dunia bahawa sosialisme dan populisme ditakdirkan untuk gagal. Sebelum ini Hugo Chavez mengimarahkan fahaman peti ais murah dari China – hari ini pula rakyat Venezuela tenat dengan kelaparan berpanjangan.

Malnutrisi mengancam kesihatan kanak-kanak. Makanan terlalu mahal sehingga daging busuk pun jadi rebutan (dan agak mahal harganya).

Sosialisme dan populisme telah menggagalkan Venezuela dalam dasar-dasar kawalan harga, nasionalisasi kilang dan ladang, pengagihan makanan dan sebagainya angkara korupsi, kronisme dan kegagalan.

Venezuela sekarang terbelah dengan matlamat sama: "sang Syaitan".

Bagi Nicolas Maduro, syaitan itu ialah Amerika Syarikat. Bagi rakyat pula, syaitan wujud dalam peti undi. Malah Hugo Chavez sendiri pernah mengisytiharkan bahawa "rakyat takkan mengundi saya – sebaliknya rakyat sedang mengundi rakyat. Saya hanyalah alat rakyat."

Masalah di Venezuela meruncing kerana selama 14 tahun, Chavez menggunakan keuntungan hasil jualan minyak untuk memuaskan hati rakyat dengan program sosialis yang negara tidak mampu tampung sendiri.

Walaupun harga minyak global mahal, bajet kerajaan tetap defisit. Jadi bayangkanlah apa berlaku apabila harga minyak jatuh.

Berikut juga bencana yang menimpa Mesir. Apabila menjadi ketua negara, Abdel Fattah el-Sisi berdepan dengan suatu kemelut besar yang telah menjadi genetik sosial. Selama 50 tahun, rakyat dimanjakan dengan subsidi melampau.

Sebagai contohnya, kerajaan Malaysia mendapat kutipan sebanyak AS$51.25 bilion (2017). Daripada angka tersebut, pentadbiran Najib Razak telah membelanjakan AS$60.63 bilion untuk semua jabatan. Kerajaan Mesir pula pada masa itu berbelanja sebanyak AS$96 bilion HANYA UNTUK SUBSIDI.

Pemansuhan subsidi ini dikatakan Abdel Fattah sebagai "sebuah usaha yang 50 tahun tertangguh."

Jadi, sementara kalian menunggu siaran Liga Perdana Inggeris percuma, ketahuilah poket kerajaan boleh terkoyak rabak.

Kalau ingin menuntut janji tersebut, pertama sekali tumiskanlah siapa yang menjanjinya dengan sambal berbentuk sindiran pedas. Hiriskan emosi mereka dengan pesanan cerdik dan gaulkan garam dengan pemikiran cilik.

"Saya ulang! Sindiran pedas. Pesanan cerdik. Pemikiran cilik."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

1 comment

  1. Semoga tak ada perbalahan hingga cetus petaka kan SP..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon