Saturday, May 04, 2019

Aplikasi Facebook Dating Untuk Cari Jodoh

Aplikasi Facebook Dating Untuk Cari Jodoh

Aplikasi terbaharu Facebook Dating yang diperkenalkan oleh Mark Zuckerberg pada pertengahan tahun 2018 lepas di persidangan F8, kini boleh digunakan bermula pada 1 Mei 2019.

Aplikasi Facebook Dating

Seperti yang dibentangkan pada tahun lepas, ciri Facebook Dating ini boleh digunakan secara terus melalui aplikasi Facebook tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.

Facebook Dating juga hadir dengan ciri ‘Secret Crush’ yang membenarkan pengguna untuk berkenalan dengan pengguna lain dari acara, rakan kepada rakan dan komuniti sekitar anda.

Facebook Dating turut menjamin privasi pengguna kerana profil pengguna tidak akan dipaparkan dimana-mana saluran termasuk di akaun peribadi Facebook pengguna.

Ciri Facebook Dating tidak boleh digunakan oleh semua pengguna Facebook secara automatik tetapi menerusi pilihan pengguna sendiri.

Ciri Facebook Dating ini perlulah diaktifkan terlebih dahulu di tab sebelah kiri untuk pengguna desktop dan tab dihujung sebelah kanan untuk mengguna telefon bimbit.

Menurut pengguna yang sudah mencuba Facebook Dating, mereka boleh melihat pengguna lain dalam jarak 100km.

Berbeza dengan aplikasi cari jodoh yang lain, ciri Facebook Dating membenarkan pengguna menghantar mesej terlebih dahulu kepada pengguna lain sebelum menerima ‘matched’ setelah mesej dibalas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Minaret Of Jam, Misteri Pembinaan Menara Purba Di Lembah Sepi

Minaret Of Jam, Misteri Pembinaan Menara Purba Di Lembah Sepi

Minaret Of Jam, sebuah monumen yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2002, adalah menara khazanah bersejarah ketamadunan bangsa Afghan yang tersembunyi di Lembah Sungai Hari, Daerah Shahrakh, Wilayah Ghur, Afghanistan.

Binaan agung Minaret Of Jam
Minaret Of Jam.

Ianya merupakan binaan kurun ke-12 yang terletak di pertembungan Sungai Hari dan Sungai Jam dan satu-satunya monumen binaan empayar Kesultanan Ghuri yang masih berdiri sehingga kini.

Menara yang sepi lagi misteri dan dihiasi ukiran secara halus ini tampaknya seperti pencakar langit yang mirip laksana roket hendak dilancarkan ke angkasaraya.

Didirikan pada tahun 1194 oleh Sultan Ghiyasuddin (1153 hingga 1203 Masihi), sultan teragung antara kesemua raja yang pernah menjadi Sultan Ghuri dan menjadi kemuncak arsitektur menggunakan bata yang dibakar.

Berketinggian 65 meter dari aras lembah tapaknya, asalnya menara ini barangkalinya adalah sebahagian daripada masjid jamek di atas sebuah tapak yang dikenalpasti sebagai kota Firuzkuh, sebuah kota yang menjadi singgahsana musim panas para Sultan Ghuri.

Pada ketika itu, menara ini pernah memiliki lampu api di puncaknya yang menampakkannya seakan-akan rumah api di atas daratan dikelilingi banjaran pergunungan setinggi 2400 meter.

Rekabentuk menara ini merangkumi empat tingkat disusun menirus daripada bawah hingga ke atas, secara bertingkat dari tapak batu asas bersegi lapannya. Seluruh bahagian menara ini diliputi hiasan bata yang disusun halus secara café-au-lait.

Selain itu, bahagian luar menara ini juga turut dihiasi dengan ukiran geometri bertatahkan jubin-jubin biru laut yang berkilau serta jaluran kaligrafi membentuk aksara Kufik diselang-selikan dengan aksara Naskhi.

Jaluran ukiran bersambung, poligon dan medal-medal (mohor) menghiasi secara halus berselang-selikan petikan ayat-ayat suci daripada Al-Quran.

Pada seksyen pertama batang leher menara ini, ianya dihiasi jubin-jubin biru laut yang membentuk nama Ghiyasuddin dalam aksara Kufik. Warna biru laut ini merupakan warna utama menara ini hasil daripada kilauan jubinnya.

Di atasnya terdapat perancah kayu dan pasak-pasak bata yang pada asalnya ditambahkan untuk menyokong anjung, manakala aci kedua dan ketiga pula lebih terhad hiasannya, pada hujung atasnya dipasangkan dengan lampu api di bawah bumbung gerbang yang tajam dan meruncing.

Di bahagian atas itulah, para muezzin yakni bilal melaungkan azan menandakan waktu solat dan waktu berbuka puasa bagi kawasan setempat.

Dan Cruickshank, penulis dan sejarawan seni British yang memiliki minat begitu mendalam terhadap sejarah arsitektur, pernah melawat tapak bersejarah ini dan menulis mengenai ukirannya.

“Surah ini bernama Surah Maryam, mengisahkan tentang Siti Maryam dan Nabi Isa AS, kedua-duanya dimuliakan oleh agama Islam, dan seperti mana juga nabi-nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak. Ianya merupakan petikan yang menekankan persamaan yang dimiliki di antara agama Islam, Nasrani dan Judaisme melainkan perbezaannya. Seolah-olah Sultan Ghuri meletakkan petikan ini sebagai seruan keharmonian dan toleransi di tanah bawah naungannya, bahkan mesej ini dianggap lebih relevan di masa kini berbanding masa lalu.”

Sewaktu pembinaannya, menara Jam merupakan menara bata tertinggi di dunia sehinggalah rekodnya diatasi oleh Qutb Minar di Kota Lama Delhi, India juga binaan zaman Kesultanan Ghuri.

Bertahun lamanya, para arkeologis merasa kehairanan memikirkan apa tujuan sebenar menara ini dibina. Kedudukannya yang agak terpencil juga menimbulkan persoalan sama turut hadir dikalangan kebanyakan pengunjung, mengapa ianya dibina di lembah tersebut?

Ramai juga berpendapat besar kemungkinan menara ini didirikan mengikut trend para penguasa Asia Tengah pada masa itu yang bertujuan menandakan kemenangan kekuasaan politik Muslim ke atas jajahan yang masih lagi belum beragama Islam.

Jika benar maka menara Jam ini tergolong di dalam kumpulan 60 menara yang dibina pada kurun ke-11 hingga 13 sebagai simbolik kemenangan Islam ke atas penduduk setempat. Selebihnya hanyalah mercu tanda dan menara kawalan.

Akan tetapi, terdapat juga bukti bahawa suatu ketika dulu menara usang berkenaan pernah menjadi sebahagian daripada binaan masjid menurut catatan pencatat sejarah Ghuri, Abu Ubayd al-Juzjani yang menurut catatannya telah runtuh ketika banjir kilat melanda lembah itu beberapa ketika sebelum serangan Mongol ke daerah tersebut.

Kajian arkeologi telah menemui kesan peninggalan sebuah bekas binaan berupa halaman lapang bersebelahan menara tersebut dan kesan-kesan bekas tapak turapan bata-bata bakar yang kini telah dilitupi mendapan.

Kawasan Lembah ini dikenalpasti sebagai tapak kota Firuzkuh, pusat pemerintahan Kesultanan Ghuri yang telah hilang dari peta dunia akibat dimusnahkan bala tentera Mongol pimpinan Ogedei Khan pada tahun 1222 Masihi.

Bukti kewujudan kota legenda berwarna firus itu adalah penemuan beberapa puing-puing dan runtuhan berupa struktur binaan seperti istana Sultan Ghuri, kubu-kubu pertahanan dan kuburan penganut Judaisme yang kini terbenam di bawah mendapan lumpur keras berabad lamanya.

Dipercayai kota ini merupakan pusat perdagangan bagi para saudagar Yahudi yang menetap di Afghanistan pada zaman pertengahan.

Firuzkuh dikatakan sebuah kota berbudaya majmuk yang makmur di zaman kegemilangannya. Ianya kekal menjadi legasi bagi tempoh di mana masyarakat Afghanistan yang berbilang agama dapat hidup makmur dan berharmoni, disatukan atas dasar persamaan daripada dipisahkan atas dasar perbezaan.

Selepas kemangkatan Sultan Ghiyasuddin, takhtanya diwarisi adindanya Sultan Muizuddin. Akan tetapi kegemilangan kesultanan agung bumi Afghan iaitu Kesultanan Ghuri ini mulai pudar sedikit demi sedikit sehingga terpaksa menyerahkan tanah naungannya kepada Empayar Khawarizmiyya.


Pemerintah terakhir kesultanan ini, Sultan Alauddin Ali kemudiannya ditangkap oleh tentera Khawarizmiyya kemudian dibuang negeri ke Gurganj.

Setelah musnahnya kota firus di lembah gunung ini akibat serangan tentera Mongol, kewujudan menara ini kemudiannya dilupakan oleh masyarakat luar Afghanistan sehinggalah ianya ditemui semula pada tahun 1886 oleh Sir Thomas Haldrich, seorang juruukur tanah Inggeris ketika ditugaskan oleh Suruhanjaya Persempadanan Afghanistan.

Namun begitu, ianya masih belum mendapat perhatian dunia sehinggalah pada tahun 1957 apabila kajian arkeologi dijalankan oleh dua orang pengkaji asal Perancis yang bernama André Maricq dan Gaston Wiet.

Terdapat banyak penemuan tinggalan arkeologi di sekitar tapak menara kota Firuzkuh yang hilang ini antaranya jubin-jubin dinding marmar, buah catur yang diperbuat daripada gading, emas, dan tembikar.

Akan tetapi, akibat serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan pada tahun 2001 sehingga melemahkan penguasaan Taliban telah menyebabkan kawasan bersejarah di Lembah Ghur ini terdedah kepada aktiviti penjarahan haram.

Selepas penaklukan ini, berbondong-bondong penjarah haram memasuki lembah ini untuk menjarah tinggalan emas milik kerabat Kesultanan Ghuri yang diduga masih tertanam dan tersembunyi di lembah sekitar menara Jam ini.

Sehingga kini lebih banyak tinggalan kota Firuzkuh ini ditemui di luar berbanding bekas tapak kota tersebut. Hasil-hasil penjarahan bekas tinggalan kota ini akhirnya dijual di pasaran gelap di kota Kabul, Herat dan Tehran.

Malahan, ancaman terhadap menara ini tidak terhenti setakat itu saja. Menara ini semakin menyondong dan berkemungkinan akan runtuh akibat lembapan bawah tapak yang berpunca daripada sungai berdekatan.

Kerja-kerja pembaikan semula pernah dilakukan sekitar tahnn 1970an, tetapi peperangan yang melanda Afghanistan pada tahun 1980an dan 1990an membantutkan usaha ini.

Hanya pada tahun 2001 kerja-kerja menstabilkan menara ini dapat dilakukan semula, tetapi semenjak 10 tahun lalu kerja-kerja ini terbantut semula dan kedatangan pelawat-pelawat dari luar Afghanistan terhenti sekali lagi.

Ini kerana perjalanan ke Lembah Jam menjadi semakin terlalu sukar dan berbahaya bagi ramai orang luar, berpunca daripada ancaman-ancaman yang datang daripada perompak tempatan serta penculikan dan pembunuhan rambang oleh militan-militan yang berkelana di wilayah Ghur dalam perjalanan mereka ke selatan untuk bertempur dengan Internal Security Assistance Force (ISAF) di wilayah Helmand.

Apatah lagi kedudukannya yang terpencil serta kesukaran untuk sampai ke sana kerana perjalanan yang memakan masa agak lama daripada ibukota wilayah Ghur, Chaghcharan.

Para pelawat yang berhajat untuk naik ke atas menara ini boleh mendaki tangga pilin (berpusing) untuk melihat pemandangan indah lembah sekeliling.

Terdapat sepasang tangga melingkari satu sama lain mirip seperti double-helix DNA. Tangga tersebut berakhir disebuah ruang terbuka, dari mana anda akan dapat meninjau pemandangan kuala pertemuan Sungai Hari dan Sungai Jam. Manakala tangga kedua pula meneruskan lingkarannya hingga ke bahagian atas tempat lampu api dinyalakan dan muezzin melaungkan azan.

Minaret Of Jam Mystery
Minaret Of Jam.

Setakat ini tidak dapat dipastikan bila agaknya Lembah Jam serta negara Afghanistan khususnya akan membuka pintunya sekali lagi untuk dunia menerokai keindahan tinggalan sejarahnya.

Sesungguhnya biarlah masa yang menentukan. Afghanistan meskipun sebuah negara yang dilanda pergolakan sepanjang lewat abad ke-20, amat kaya dengan warisan sejarah yang tak ternilai harganya.

Menara Jam kini menjadi kebanggaan penduduk kota Chaghcharan khasnya Wilayah Ghur secara am-nya.

Sebuah replika menara tersebut didirikan di pusat bandar ibu kota wilayah ini sebagai simbol kecintaan mereka terhadap warisan sejarah nenek moyang mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

5 Nostalgia Mendengar Muzik 90an Yang Kini Tinggal Kenangan

5 Nostalgia Mendengar Muzik 90an Yang Kini Tinggal Kenangan

Satu ketika dahulu, jumlah muzik yang kita boleh simpan sangatlah terhad jika dibandingkan dengan kemudahan akses ketika ini dan budaya serta cara kita menghargai muzik yang ada dalam koleksi sangatlah berbeza, seiring dengan perubahan zaman.

Sekali sekala menoleh ke belakang mengimbau kembali kenangan lama, barulah kita sedar indah sebenarnya zaman terdahulu walaupun banyak susah payah yang perlu kita hadapi.

Berikut adalah 5 tabiat mendengar lagu dan muzik yang pernah dilakukan oleh generasi zaman dahulu, namun besar kemungkinan tidak lagi dilalui remaja sekarang.

1. Cari radio secara manual

Radio Kaset

Dulu-dulu, sebelum ada penala (tuner) automatik, generasi terdahulu termasuklah dari zaman sebelum merdeka, terpaksa menala sendiri radio untuk mencari stesen kegemaran.

Walaupun sebenarnya sistem yang sama masih digunakan, besar kemungkinan peranti radio zaman moden hanya memerlukan kita gunakan penala hanya sekali sebelum frekuensi stesen radio di simpan dalam memori radio. Itupun penalanya automatik.

Radio lama ada roda atau piring yang perlu dipusingkan sehinggalah kita sampai ke stesen yang kita nak. Itupun kadangkala kena pulas dengan berhati-hati untuk dapatkan siaran paling jelas.

Nak tukar stesen lain pula kena pusing balik dan bagi kanak-kanak generasi itu, banyak sebenarnya usia terbuang hanya untuk mendapatkan siaran radio paling jelas.

2. "CD ada 10 lagu je?"

Koleksi CD

Sebelum zaman memori 'flash' meluas yang dipopularkan oleh peranti-peranti memori USB yang murah, lagu-lagu hanya boleh didapati melalui pembelian kaset atau cakera padat.

Walaupun anda menganggap memori flash yang ada ketika ini terhad, namun saiznya cukup besar.

Untuk sebuah kaset, hanya mampu menyimpan 60 minit lagu dalam format berkualiti tinggi atau 90 minit dalam format berkualiti rendah.

Sementara itu cakera padat (CD) pula hanya mampu memuatkan 74 minit audio untuk dimainkan. Bila ke kedai aksesori kereta, pasti anda dapat melihat jualan fail cakera padat dalam kereta.

8 cakera padat mampu memuatkan lebih kurang 96 lagu secara purata, jauh berbeza dengan Apple iPod generasi pertama, yang mampu menyimpan 1250 lagu dalam saiz yang lebih kecil.

Bila nak melalui perjalanan jauh, terpaksalah kita bawa beberapa kotak kaset atau cakera padat (serta bekalan bateri) untuk menghilangkan kesunyian kita.

3. Fast Forward dan Rewind

Forward dan Rewind Cassette

Sebelum cakera padat menjadi popular, generasi dahulu menggunakan kaset, namun satu kelemahan ketara kaset adalah keperluan untuk kita menggunakan fungsi fast forward atau rewind untuk mara atau mundur ke belakang, di antara lagu.

Bila kita ke depan sedikit dan terlajak sehingga lagu dah bermula, kita perlu berundur ke belakang semula. Bila nak undur, mesti terlajak punyalah.

Oleh kerana sistem kaset pada waktu itu masih lagi menggunakan sistem mekanikal, semua perbuatan maju dan undur perlu dilakukan oleh pemain kaset.

Pemain kaset pula memerlukan kuasa bateri. Perkara yang banyak makan bateri? Fast forward dan rewind.

Jadi, generasi terdahulu ada dua saja pilihan; beli bateri banyak-banyak pada harga yang mahal atau gunakan penutup pen Kilometrico, pusingkan sendiri kaset.

Banyak juga kaset putus disebabkan terlalu asyik sangat pusing tak sedar dah sampai ke hujung.

4. Membuat mix tape

Mix tape

Seni membuat mix tape adalah satu kemahiran yang sangat penting satu ketika dulu. Ada ramai antara pemuda dan pemudi, menjadikan mix tape sebagai bukti cinta kami pada mana-mana individu yang kami sukai.

Kepada yang tak tahu, mix tape adalah kaset berbentuk rawak yang dibuat sendiri menggunakan kaset kosong, yang boleh dibeli di mana-mana kedai kaset. Kita perlu memilih lagu serta jumlah lagu pula perlu sesuai dengan durasi kaset.

Selain itu, ada juga yang hendak memasukkan kata-kata ucapan kasih sayang sebagai selingan di antara lagu.

Seni menyusun mix tape ini pula hanya akan lengkap, sekiranya jarak masa di antara lagu ke lagu sempurna. Nak buat mix tape ni pun, memerlukan radio atau hi-fi khas yang mempunyai dua dek kaset.

Sekiranya anda tertanya-tanya apa itu hi-fi dan dek kaset, besar kemungkinan anda masih muda.

Sekarang ni memang senang nak buat mix tape. Apa kata anda beramai-ramai kembalikan budaya mix tape ni tapi dalam bentuk digital.

Buktikan cinta kita dengan kata-kata cinta yang diselang-selikan dengan lagu, kemudian emel pada kekasih anda. Attachkan fail itu pada kami juga. Kami nak dengar.

5. Tunggu waktu tertentu untuk dengar lagu

Mendengar radio

Masyarakat Malaysia satu masa dulu memang tak ramai yang mampu beli kaset dan cakera padat.

Kaset kebiasaannya berharga belasan ringgit sementara cakera padat berharga lebih RM35. Untuk generasi muda waktu itu, dua amaun itu adalah satu pelaburan yang besar tak seperti sekarang, di mana pelajar sekolah bawa RM10 ke sekolah adalah perkara biasa.

Bagi golongan kurang berkemampuan, terpaksalah menunggu lagu kegemaran dimainkan di radio.

Satu ketika dulu, surat khabar menyiarkan senarai lagu yang akan dimainkan dalam satu slot radio selama 2 jam.

Lagu-lagu itu pula dipilih daripada permintaan peminat menerusi surat yang dihantar pada stesen radio dan setiap orang hanya dibenarkan meminta dua lagu sahaja.

Sekiranya ada nama yang terpilih disenaraikan untuk siaran hari itu, berdirilah semua depan radio nak dengar lagu pilihan dimainkan.

Yang lebih seronok dapat dengar nama dibacakan. Bagi yang nak rakam lagu kesukaan mereka, waktu itu dah siap dah kaset kosong dalam dek tunggu nak tekan rakam.

Apa yang merosakkan perancangan pada ketika itu selalunya adalah suara juruhebah atau DJ radio yang bersuara ketika lagu sedang dimainkan, sehingga mencacatkan lagu. Lebih teruk, siaran tergendala sebab tuner lari.

Seronok sebenarnya teknologi pada waktu itu. Walaupun banyak susah payahnya, apa yang dilalui satu masa dulu menjadi anekdot menarik untuk diberitahu.

Teknologi yang ada ketika ini amatlah mudah digunakan, namun kemudahan itu sedikit sebanyak membuatkan kita semua tak lagi menghargai muzik atau alunan radio yang menghiburkan seperti dahulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 62: Puja Kubur

SBDJ Siri 62: Puja Kubur

Datuk dan Haji Salim terus merenung ke tanah perkuburan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kecil. Batu nisan yang dibuat dari batu gunung tidak berapa jelas kelihatan, kecuali sebuah kubur yang terletak di kawasan tanah yang agak tinggi.

Toyol jadi-jadian

Batu nisannya kelihatan menonjol, bentuknya juga tidak sama dengan batu nisan yang lain. Ukuran tingginya separas pinggang. Batunya bulat macam batu sempadan letaknya agak condong ke arah barat daya. Penuh dengan lumut yang menghijau.

“Mustahil, ada orang sesat di sini. Tak ada sebab kenapa orang perempuan tua tu membawa anaknya ke sini dan sesat. Dia cari apa di sini,” kata Datuk pada Haji Salim yang macam rusa masuk kampung.

Renung sana, renung sini di kawasan perkuburan lama.

“Kita dipermainkan orang sahabat,” tambah Datuk lagi.

“Tak apa, mari kita cari sambil membersihkan kubur lama, mana tahu anak perempuannya ada di sini, mungkin tertidur kerana keletihan.”

“Kalau dah begitu kata sahabat, kita menurut saja,” jawab Datuk penuh rasa keyakinan.

Datuk dan Haji Salim mula menebang pokok-pokok yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa di tanah kubur.

Hari mula beransur gelap. Dalam jangkaan saya, sudah pukul enam setengah lebih.

Saya sudah tidak sanggup lagi menampar nyamuk di pipi dan paha. Jejari terasa lenguh menggaru bekas gigitan nyamuk.

“Tok.”

Datuk dan Haji Salim berhenti menebas dan menebang. Mereka merenung ke arah saya.

“Kenapa Tamar?” tanya Haji Salim.

“Saya nampak macam ada orang dekat kubur yang hujung sana.”

“Mana kau tahu?” soal Datuk.

“Saya terdengar bunyi suara orang batuk, pokok-pokok kecil di situ bergerak-gerak,” jelas saya.

Datuk dan Haji Salim berpandangan.

Beberapa ekor tupai jantan berlompatan di dahan jejawi. Burung gagak berlegar-legar di atas kepala sambil berbunyi.

Suara cengkerik dan katak mula menyanyi kerana hari kian bertambah gelap. Angin yang bertiup lemah membuat badan terasa seram sejuk.

“Kita ke situ sahabat,” ajak Datuk.

“Jum, barangkali orang betul,” Haji Salim setuju dengan cadangan Datuk.

Kami pun bergerak ke arah kubur yang terpisah dengan kubur yang lain itu.

Lebih kurang lima belas kaki mahu sampai ke kubur tersebut, Datuk dan Haji Salim berhenti melangkah.

Memang ada manusia di situ, memakai kain tudung putih tunduk menghadapi tanah kubur.

Jejari tangannya mencabut rumput dan mematahkan anak-anak pokok kecil di situ.

“Assalamualaikum,” kata Datuk. Tidak ada jawapan yang diterima.

“Buat apa tu,” kata Haji Salim.

“Bersihkan kubur,” terdengar jawapan yang parau.

Angin bertiup menggugurkan dedaun dan ranting mati. Suasana terasa seram, lebih-lebih lagi bila terdengar monyet sayup-sayup bersama suara gagak dan burung kuang.

“Mengapa cuci kubur dah dekat nak malam?” soal Datuk lagi.

“Waktu lain tak ada masa,” Datuk menerima jawapan.

Masa Datuk dan Haji Salim bersoal-jawab dengan orang yang tidak dikenali itu, hati saya terus berdebar-debar.

“Nak makan marilah,” tiba-tiba orang yang tidak dikenali itu mempelawa.

Datuk dan Haji Salim berpandangan. Ada keraguan yang menguasai hati Datuk dan Haji Salim.

Mana ada orang Islam yang makan di kubur waktu senja begini, fikir saya.

Datuk dan Haji Salim terus mendekati orang yang tidak dikenali itu. Saya memang tidak mahu terpisah jauh dari mereka. Kalau mereka melangkah ke kiri, saya ke kiri. Kalau ke kanan, saya ke kanan.

Dalam suasana yang berunsur gelap di kawasan perkuburan lama itu.

Kami melihat perempuan yang bertudung lingkup, berkain batik jawa dan memakai baju kebaya, membongkok badan, mulutnya bertemu dengan tanah kubur.

Keadaannya tidak ubah macam kucing sedang makan sesuatu.

“Kenapa duduk macam itu,” tegur Datuk.

Perempuan itu segera bangun berdiri. Potongan badannya memang menarik. Macam badan Latifah Omar. (Masa itu bintang filem Latifah Omar memang terkenal).

Mukanya masih ditutup dengan kain selendang. Cuma bahagian matanya sahaja jelas kelihatan.

Alisnya hitam berkilat dan tebal. Sinar matanya amat tajam memanah pada kami.

Dalam saat-saat begitu saya teringat Saadiah cucu Haji Salim yang saya gilai secara diam-diam.

“Awak ni siapa sebenarnya?” tanya Haji Salim.

“Tak kenal, saya yang jumpa awak tadi, saya jumpa budak ni,” perempuan itu tersenyum pada saya.

Darah saya mula berderau. Saya renung muka Datuk berkali-kali.

“Yang jumpa saya tu perempuan tua, awak muda,” sanggah saya.

“Memanglah tadi saya tua, bila dah makan di kubur saya jadi muda,” balasnya.

Datuk singgung pangkal belikat Haji Salim dengan siku. Haji Salim faham dengan alamat yang Datuk lakukan itu.

Perempuan muda itu menjatuhkan kain yang menutup sebahagian dari mukanya.

Bila kain itu jatuh atas dada. Muka Datuk dan Haji Salim berkerut, muka saya jadi pucat lesi.

Wajah perempuan itu amat menakutkan. Tidak ada daging pipi, tidak ada biji mata. Cuma yang ada tulang-tulang dagu, pipi dan tempurung kepala.

Bila ia mengangkat kain tudung untuk menutup wajah hodohnya kembali, saya lihat jejari tangannya tidak berdaging. Tulang jejarinya keras, bergerak macam kaki ketam.

Aneh, bila wajahnya ditutup, kening lebatnya kelihatan semacam ada.

Perempuan itu meluruskan kedua belah tangannya ke atas.

Serentak dengan itu kami terdengar orang ketawa yang datangnya dari arah pokok-pokok besar di situ.

Monyet-monyet liar dan tupai berlompatan di dahan melarikan dirinya, seperti berada dalam suasana ketakutan yang amat sangat.

Gema ketawa itu memanjang dan berlanjutan, akhirnya kedengaran sayup-sayup dan terus menghilang.

“Kita balik saja, sahabat,” ulang Datuk lagi.

Haji Salim segera meraba jari-jari di tangan. Ia renung kiri kanan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dihadapinya.

“Kita lihat kubur tempat perempuan tu duduk,” Datuk memenuhi permintaan Haji Salim.

Tidak ada sesuatu yang aneh di situ. Tanah kubur itu bersih, terdapat beberapa keping daun keladi besar yang terlentang.

“Syaitan,” keluh Datuk.

Haji Salim anggukkan kepala. Kami pun memulakan langkah untuk pulang.

Bila berada di luar kawasan kubur lama itu, keadaan hari tidaklah berada gelap sangat seperti yang dialami ketika berada di kawasan kubur.

Bila kami mula meredah hutan senduduk dan lalang, kami terdengar suara budak menangis.

Datuk dan Haji Salim buat tidak kisah dengan semuanya itu. Tetap meneruskan perjalanan dengan tenang.

Sebenarnya selain dari terdengar bunyi suara budak menangis, kami juga sering kali diganggu oleh lintasan bayangan hitam yang membuat langkah kami mati.

“Jangan bimbang sahabat, jalan terus,” Datuk mengingatkan Haji Salim, setiap kali bayangan hitam itu menjelma.

Haji Salim yang jujur dan bersedia menolong orang, meluahkan rasa kesalnya kerana mendengar kata-kata perempuan tua yang aneh itu.

Senja mula tiba. Kami masih lagi berada dalam kawasan pokok senduduk dan lalang.

Beberapa ular liar yang melintas, melarikan diri bila terdengar bunyi tapak kaki kami.

Akhirnya, kami sampai di bibir jalan yang jadi penghubung antara rumah Datuk dengan Haji Salim.

Kami berhenti sebentar di situ. Haji Salim mengeliat beberapa kali untuk menghilangkan rasa lenguh yang menyerang pinggangnya.

Datuk pula membelek-belek kaki seluarnya yang koyak akibat tersangkut tunggul.

“Pelik sungguh, apa yang kita alami,” kata Haji Salim.

“Ya, saya merasakan begitu juga,” balas Datuk yang usianya tidak jauh bezanya dengan Haji Salim.

Mereka terus termenung. Tanpa diduga Datuk menepuk bahu Haji Salim.

“Awak ingat tak, kira-kira sepuluh tahun yang lalu, keadaan yang sama seperti ini pernah terjadi,” kata-kata Datuk itu membuat Haji Salim terus duduk di tanah.

Kedua belah tangannya memicit kepala. Ia tersenyum.

“Ingat, kita mendengar bunyi suara orang menjerit dan menyanyi serta bergendang dari kubur lama waktu malam, tak ada pula orang perempuan macam hari ini,” Haji Salim mula mengingati apa yang telah berlaku.

“Sahabat ingat puncanya?” soal Datuk.

“Ingat. Ada persatuan sejarah dari luar mengatakan kubur lama tu, kubur pahlawan Melayu. Mereka terus melakukan tahlil di situ.”

“Kita dan sahabat melarang mereka melakukan perkara itu, kerana kita belum tahu sama ada orang yang mati itu beragama Islam, tapi mereka teruskan juga.”

“Akibatnya, penduduk kampung ini tak aman tidur, setiap malam mendengar orang menjerit dan menyanyi.

"Sejak kampung ini dibuka kubur tu memang dah ada,” Haji Salim berhenti bercakap. Ia senyum ke arah Datuk.

Datuk mengeliat. Haji Salim segera bangun, merenung ke arah rumahnya dalam samar-samar senja yang mula menguasai seluruh kawasan kampung.

Kerana Haji Salim minta Datuk singgah di rumahnya sebentar, untuk melihat keris yang baru selesai dibuatnya.

Datuk dan saya terpaksa pergi ke rumahnya dulu. Haji Salim segera memegang bahu kanan Datuk.

“Saya fikir, kubur lama tu dikacau orang. Ada tanda-tanda kubur itu didatangi orang dalam waktu yang tertentu. Hati saya kuat mengatakan begitu,” beritahu Haji Salim pada Datuk.

Saya lihat Datuk termenung sejenak. Dalam keadaan yang tenang itu, tanpa diduga beberapa helai daun keladi besar terdampar atas bangsal. Tidak tahu siapa yang meletakkannya.

Hal itu tidak disedari oleh Haji Salim tetapi, mata Datuk tajam itu dapat melihatnya.

Tanpa memberitahu Haji Salim, Datuk terus mengambil daun keladi itu. Dilipat dua lalu dimasukkan ke dalam saku seluarnya.

“Daun keladi, di mana awak dapat?” soal Haji Salim.

“Atas pelantar sahabat, saya minta sahabat jangan tanya lagi hal itu,” balas Datuk. Haji Salim anggukkan kepala.

Memang pada mulanya tergambar rasa cemas pada diri Haji Salim, tetapi bila Datuk mengatakan daun keladi yang datang cara tiba-tiba itu, tidak mendatangkan sebarang kesan, Haji Salim mula rasa lega.

“Kubur lama itu didatangi orang, tandanya daun keladi. Biasanya daun keladi digunakan untuk menuntut ilmu yang salah atau menjalankan ajaran yang tak betul,” Haji Salim terus menguatkan pendapatnya itu.

“Saya tahu, petua itu sama dengan petua saya. Kita harus mencegah perbuatan ini,” balas Datuk.

Di luar dugaan saya sama sekali. Bila Datuk dan Haji Salim membuat keputusan yang amat mengejut dan menyeramkan.

Mereka mahu pergi ke kawasan tanah perkuburan lama itu, waktu tengah malam Jumaat minggu yang akan datang.

“Masanya sahabat,” Datuk minta kepastian.

“Pukul satu malam, setuju.”

“Setuju, sebelum itu kita harus berdoa dulu pada Allah.”

“Sama-sama kita buat,” balas Datuk.

Saya dan Datuk terus meninggalkan bangsal Haji Salim menuju ke rumah. Sampai di kaki tangga, hari sudah gelap betul.

Dan suara azan mula terdengar. Datuk terus mandi dan mengambil air sembahyang. Saya juga melakukan seperti apa yang Datuk lakukan.

Lepas sembahyang Maghrib, Datuk memanggil saya ke sisinya. Ia memeriksa kaki saya.

Kata Datuk, kaki saya akan sembuh. Sebabnya masa berjalan siang tadi, saya tidak menghadapi sebarang kesulitan. Ini bererti uratnya masih elok.

Isi yang mengecil (kisit) itu akan berisi kembali. Apa yang perlu dilakukan, mematuhi petua yang telah disebut oleh Datuk pada nenek.

“Tamar.”

“Ya tok.”

“Aku ada tugas besar yang mencabar.”

“Apa dia tok?”

“Pertama, menentang musuh yang marahkan aku kerana menolong Sariyah. Kedua, berhadapan dengan masalah yang aku hadapi bersama Haji Salim siang tadi.”

“Tok perlukan pertolongan saya?”

“Kau tak boleh menolong. Apa yang aku mahu kau dampingi Haji Salim sepanjang minggu ini jangan kacau aku. Aku mahu membuat persediaan.”

Saya menarik nafas panjang. Perintah yang baru dikeluarkan oleh Datuk mesti dipatuhi. Saya mula renung muka Datuk. Perlahan-lahan Datuk menepuk bahu saya.

“Tamar, ikut Haji Salim, galilah ilmu darinya. Kemudian kau ikut aku bersamanya ke tanah kubur.

"Haji Salim tu baik orangnya, tinggi pengetahuan agamanya, kau harus belajar darinya.”

“Baik tok.”

Datuk senang hati dengan pengakuan yang saya berikan padanya.

Kemudian, Datuk menyuruh nenek masak nasi serta menyediakan hidangan yang sedap untuk saya dan dirinya.

Saya senyum melihat telatah Datuk. Dalam ia serius itu, ada lucunya. Itulah Datuk saya yang aneh buat orang lain. Tetapi amat istimewa buat diri saya.

LEMBAP

Suasana pagi itu terasa lembap sekali. Matahari terasa segan untuk menebarkan sinarnya ke bumi.

Semua lopak dan parit dipenuhi air, tanah bertukar menjadi becak. Hujung daun terus menetaskan baki air hujan yang masih tinggal.

“Lebat hujan malam tadi, dari Maghrib hingga Subuh,” cetus Datuk sambil melihat air menitik satu-satu dari hujung atap.

Saya anggukkan kepala. Datuk terus menyandang senapang kampung berlaras dua ke bahu.

“Aku mahu ke hutan menembak ayam,” Datuk melangkah ke ambang pintu.

Saya turut dari belakang. Sampai di anak tangga terakhir, Datuk mengenakan sepasang sepatu getah warna kuning ke kakinya.

“Kau pergilah ke rumah Haji Salim, tengok dia buat keris. Carilah pengetahuan darinya,” Datuk terus melangkah dalam suasana pagi yang lembap.

Saya masih duduk di mata anak tangga terakhir. Ada sesuatu yang saya fikirkan.

Sudah lama benar Datuk ke hutan tanpa membawa senapang kampung berlaras dua.

Ia merasa lebih aman membawa golok atau parang panjang untuk melihat jerat yang dipasang.

Cara mendadak sahaja, kebiasaan yang diamalkannya ditinggalkan pada hari ini.

Saya tidak kuasa mahu memikirkan tentang Datuk. Ia lebih dewasa dan banyak pengalaman dari saya. Ia tahu apa yang patut dibuatnya.

Saya merenung ke hujung jalan. Bayang Datuk sudah tidak kelihatan lagi. Ia sudah membelok ke kanan. Mengayuh basikal tuanya di permukaan jalan raya.

Sebelum sampai kawasan hutan yang mahu dimasuki, Datuk terpaksa tunggang basikal sejauh dua batu.

Saya kira tubuhnya yang sihat itu akan dipecahi peluh-peluh halus. Datuk tidak akan meredah hutan dengan basikal, ia akan meninggalkan basikalnya di bawah pokok pauh di bibir jalan raya.

Cuaca pagi yang lembap itu, membuat saya malas bergerak ke mana-mana. Rasanya dalam suasana begitu, cukup seronok baring di katil sambil membaca.

Saya sedar, apa yang saya impikan itu tidak akan terlaksana. Pantang bagi nenek, kalau melihat cucunya membuang masa di atas katil.

Kata nenek, orang lelaki yang selalu baring di katil waktu pagi hingga tengah hari akan jadi malas.

Pintu rezeki ditutup oleh tuhan dan ia akan mati kelaparan.

Kata-kata nenek itu cukup berkesan dalam diri saya. Sesungguhnya saya tidak mahu menjadi lelaki pemalas. Apatah lagi mati kelaparan.

Saya bangun dan terus masuk ke rumah. Kenakan baju kemeja biru berlengan pendek ke tubuh.

Sarungkan seluar panjang putih, berkaki besar ke badan. Sikat rambut dengan rapi, kenakan minyak atar ke badan.

“Mahu ke mana Tamar,” nenek merenung tubuh saya dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Bijinya matanya bagaikan berputar-putar.

“Ke rumah Haji Salim nek.”

“Bergaya benar nampaknya kau hari ni, Tamar.”

“Sekali-sekala nek.”

“Hum…,” keluh nenek bersama senyum tawar pagi yang lembap.

Sejak akhir-akhir ini, nenek mengikuti dengan teliti perubahan yang terjadi pada diri saya.

Nenek bagaikan tahu, bahawa cucu lelakinya sudah masuk alam remaja, tidak suka pakai seluar pendek dengan rambut yang kusut-masai.

Nenek juga sedar, bila saya bersikat di cermin, pasti memakan masa berjam-jam.

Bukan apa-apa, saya cuma meniru jambul P. Ramlee. Kadang-kadang mencontengkan arang di bibir, meniru misai P. Ramlee, ada kalanya, memakai baju yang berkotak-kotak macam P. Ramlee, dalam filem Sedarah.

Semuanya saya lakukan waktu Datuk tidak ada di rumah. Kalau Datuk ada, ia selalu melarang perbuatan saya itu. Datuk tidak suka saya meniru.

Apa yang Datuk mahu ialah, membuat sesuatu mengikut kemahuan sendiri tanpa terpengaruh dengan orang lain.

“Tamar, Tamar,” terdengar suara di halaman rumah.

“Suara siapa tu nek.”

“Kalau tak silap aku, suara Haji Salim,” saya dan nenek menerpa ke muka pintu. Haji Salim tercegat di kaki tangga.

“Ada apa haji?”

“Aku nak ajak Tamar pergi ke Kampung Haji Ariff di Temoh.”

“Apa halnya?”

“Aku nak mengambil biji benih durian dari sepupu aku.”

“Pergi dengan bas atau teksi?”

“Dengan motosikal.”

“Boleh, apa salahnya. Tak minta pun tak apa, asalkan Tamar keluar dengan haji. Dengan orang lain terasa juga bimbang di hati.”

Saya gembira mendengar kata-kata dari nenek. Saya terus masuk ke bilik. Sikat rambut dan membentuk jambul P. Ramlee di kepala.

Ternyata, jambul ala P. Ramlee yang saya usahakan itu habis runduk ditampar angin motor.

Tidak saya duga sama sekali, bahawa Haji Salim memang kaki pecut, bagaikan mahu pecah bunyi enjin honda 50cc yang dipandunya dengan laju.

Ekor serbannya melayang-layang macam ekor wau yang berbentuk ikan bawal.

Dari kampung hingga ke bandar Ipoh, cuaca sepanjang perjalanan redup sahaja.

Bila masuk ke kawasan pekan Kampar, matahari bersinar dengan teriknya. Pangkal ketiak dan paha saya terasa bergetah.

TEMOH

Saya dan Haji Salim sampai di pekan Temoh. Kami singgah di warung menjual kopi.

Dua cawan kopi diminta dari tuan punya warung. Satu untuk saya dan lagi satu untuk Haji Salim.

“Kita jalan-jalan dulu tamar, lepas tu baru pergi ke Kampung Haji Ariff.”

“Saya mengikut aje.”

“Bagus,” Haji Salim menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

Sinar matahari pukul sebelas pagi, terasa amat perit menggigit kulit tengkuk dan muka saya.

Kami terus melangkah di bibir jalan menuju ke arah pekan Tapah. Telinga saya terdengar-dengar sayup-sayup bunyi gendang orang jual ubat.

“Orang Cina jual ubat,” kata saya.

“Singsih jual ubat,” tingkah Haji Salim.

“Kita tengok Pak Aji.”

“Boleh, mari.”

Saya dan Haji Salim mempercepatkan langkah, menuju ke arah manusia yang sedang berlonggok mengerumuni penjual ubat tersebut.

Saya tidak faham dengan apa yang dikatakan oleh penjual ubat, kerana ia bercakap dalam bahasa Cina.

Setiap kali cakapnya berakhir, gendang akan dipalu. Bunyinya cukup membingitkan gegendang telinga.

Setiap orang yang lalu di situ, tidak kira orang Melayu, Cina atau India akan berhenti dan terus menghurung penjual ubat tersebut.

Meskipun mereka tidak tahu berbahasa Cina, cara dan gerak-geri yang dilakukan oleh penjual ubat itu membuat mereka faham tentang khasiat-khasiat ubat yang dijual.

Kerana orang terlalu ramai mengerumuni penjual ubat, membuat saya tidak dapat melihat wajah penjual ubat itu.

Setelah mencelah sana, mencelah sini. Saya berjaya sampai ke garisan sempadan penjual ubat itu.

Saya terus duduk mencangkung di situ. Penjual ubat itu berbadan besar dan tegap, macam seorang ahli gusti. Daging di tubuhnya kelihatan berketul-ketul.

Ia memakai seluar hitam dengan tali pinggang besar berwarna merah. Kaki seluarnya yang kecil dimasukkan ke dalam kasut hitam yang tinggi separas lutut.

Dua orang kawannya juga berbadan tegap. Kawannya yang memukul gendang berwajah bengis, perutnya boroi dengan pusat yang berbuku.

Manakala yang memegang tombak, membalut tubuhnya dengan baju dan seluar hitam yang dibuat dari kain sutera.

Di samping tombak yang bermata seperti beliung itu, ia juga memegang parang bermata lebar. Semuanya berkilat tajam.

Di depan penjual ubat itu berlonggok-longgok akar ubat dan batang-batang kayu kecil.

Tidak jauh dari longgokan batang kayu dan akar, tersusun botol-botol yang berisi pil, terdapat juga kepala ular dan kulit ular yang sudah dikeringkan.

“Ini singsih bukan sini punya, dia Taiwan mari,” seorang lelaki Cina memberitahu kawannya yang berbangsa Melayu.

Orang Melayu itu anggukkan kepala sambil tersenyum.

“Dia banyak kuat punya orang,” tambah lelaki Cina itu lagi.

“Rugilah, dia tak tahu cakap Malaysia.”

“Lu betul.”

Dua orang kawan baik itu ketawa.

Penjual ubat merasakan dirinya diketawakan.

Dengan mata yang garang ia merenung lelaki Melayu dan Cina itu. Wajah kedua-duanya kelihatan pucat. Lepas itu mereka tidak berani bercakap.

Penjual ubat itu terus berdiri di tengah gelanggang sambil menumbuk ke kiri dan ke kanan.

Bila ia berhenti daripada melakukan pergerakan itu, gendang pun dipalu dengan sekuat hati. Bagaikan mahu pecah gegendang telinga dibuatnya.

Kawannya yang memegang tombak pula bercakap. Selesai ia bercakap gendang pun dipalu.

Penjual ubat membuka langkah Kuntau melompat ke atas ke kiri dan ke kanan, daging badannya nampak berulas-ulas, macam ulas durian tembaga yang baru dikopek.

Penjual ubat berhenti dari langkah kuntau. Ia meletakkan tangan kanannya di atas tunggul kayu yang memang disediakan di situ.

Kawannya yang memegang tombak, melepaskan tombak di tangannya, lalu mengambil parang bermata lebar.

Tamat siri 62/284

BACA: SBDJ Siri 61: Tulang Jari Di Daun Keladi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, May 03, 2019

Potret Keluarga Yang Akan Meruntun Hati Anda

Potret Keluarga Yang Akan Meruntun Hati Anda

Pertama kali melihat gambar ini, pasti anda berfikir dan tertanya-tanya, mengapakah wanita tersebut dibiarkan dalam potret lutsinar begitu disamping keluarganya? Hakikatnya, ia hanyalah suntingan semata-mata kerana wanita itu tidak lagi wujud di dunia ini.

Gambar sedih hazifflatiff

Sesi penggambaran ini hanyalah sebagai cara untuk mengabadikan kenangan bersama wanita yang mereka sayangi.

Untuk pengetahuan anda, gambar ini dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @hazifflatiff.

Isterinya telah meningal dunia tetapi kerana hajat terakhir isterinya mahu bergambar bersama anak mereka tidak kesampaian, suaminya cuba menunaikan hajat arwah isterinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Khasiat Buah Delima Yang Disebut Dalam Al-Quran

Khasiat Buah Delima Yang Disebut Dalam Al-Quran

Delima, adalah buah yang sangat berkhasiat, disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab-Nya dan Dia menjadikannya (buah Delima) sebagai buah Syurga dan ilmu pengetahuan moden telah datang untuk mengungkapkan kepada kita tentang beberapa rahsia yang ada pada buah luar biasa ini dan menjelaskan kepada kita tentang manfaat dan khasiatnya.

Khasiat buah delima
Buah Delima.

Kajian moden menjelaskan bahawa delima bermanfaat untuk banyak penyakit dan di antara kajian terbaharu adalah apa yang dinyatakan oleh ilmuwan Amerika dan Eropah tentang khasiat buah delima bagi wanita dan ibu-ibu mengandung.

Buah elima sangat kaya dengan antioksidan dan juga tinggi kandungan vitamin dan mineral yang mudah diserap.

Para pengkaji menegaskan bahawa pemakanan buah delima dengan kadar satu biji setiap hari selama sebulan atau lebih akan memberi manfaat untuk menyembuhkan anemia, arthritis (radang sendi) dan rematik, di samping manfaat kepada jantung dan arteri, yang mana ia mencegah pengerasan pembuluh darah dan mencegah stroke dengan pelbagai jenis penyakit.

Kajian lain menunjukkan bahawa khasiat buah delima mampu melindungi seseorang dari penyakit kanser dan ia adalah keperluan yang mendesak bagi wanita menyusukan anak, orang dewasa dan bayi kecil.

Dan mungkin dari sini kita mengetahui, kenapa Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan buah delima ini dalam kitab-Nya yang agung, Dia berfirman:

( ﻓِﻴﻬِﻤَﺎ ﻓَﺎﻛِﻬَﺔٌ ﻭَﻧَﺨْﻞٌ ﻭَﺭُﻣَّﺎﻥٌ * ﻓَﺒِﺄَﻱِّ ﺁَﻟَﺎﺀِ ﺭَﺑِّﻜُﻤَﺎ ﺗُﻜَﺬِّﺑَﺎﻥ ‏( ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ : 69-68

“Di dalam keduanya (ada macam-macam) buah-buahan, dan (lebih khusus ada) kurma dan delima. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?”(QS. Ar-Rahman: 68-69)

Sesungguhnya manfaat dan khasiat perubatan yang Allah simpan di dalam buah delima menunjukkan betapa pentingnya buah ini dan bukan bererti bahawa para penghuni Syurga memerlukan rawatan.

Khasiat Buah Delima
Isi Buah Delima.

Akan tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala memuliakan buah delima dan menjadikan di dalamnya ubat bagi penghuni dunia ini dan menjadikan di dalamnya kelazatan dan kenikmatan bagi penghuni akhirat (Syurga).

Allah SWT berfirman, “Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai dan kebun-kebun anggur dan (kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (QS. Al An’am: 99)

Ayat lain menyebutkan, “Di dalam keduanya (syurga) juga ada buah-buahan dan pohon kurma dan delima.” (QS. al Rahman ayat 68).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: islamituindah

SBDJ Siri 61: Tulang Jari Di Daun Keladi

SBDJ Siri 61: Tulang Jari Di Daun Keladi

Sejak pulang dari Hospital Lumut, sudah tiga minggu saya berkurung dalam rumah. Setiap malam, nenek akan membalut kaki saya dengan Naga Buana. Perut pula, dibalut dengan pucuk pisang emas.

“Kenapa nek buat begini, pada kaki dan perut saya?”

Toyol jadi-jadian

“Untuk mengelakkan kaki kau dari kisit urat dalam perut mesti dikecutkan, kalau tak dibalut dengan daun pisang, perut kau boroi.

“Huh, saya dah jemu kena balut nek.”

“Jangan begitu, perut mesti dijaga. Kau tahu sakit angin, sakit urat saraf dan sakit-sakit badan semuanya berpunca dari perut. Kalau perut sihat, badan juga sihat.”

Saya terdiam mendengar cakap nenek itu. Saya hubungkan cakap nenek itu, dengan kata-kata yang telah diucapkan oleh seorang Imam dalam khutbah Jumaatnya.

Imam itu memetik sabda nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya supaya makan tidak berlebih-lebihan. Ia mahu umatnya makan sederhana saja.

“Kalau engkau melihat orang lelaki perut boroi dan badannya gemuk, tandanya orang itu tidak sihat.

"Aku tak mahu kau jadi macam itu, bila sudah berumur empat puluh lebih, jagalah perut kerana perut kunci kesihatan,” tambah nenek. Saya terus anggukkan kepala.

Demi kebaikan, saya relakan nenek membalut perut saya dengan pucuk pisang emas, bercampur minyak kelapa.

Tetapi, rasa bosan duduk di rumah memang tidak dapat saya hindarkan.

Datuk amat mematuhi cakap nenek dan tidak mahu mengajak saya ke mana-mana.

Datuk suruh saya duduk di rumah membaca kitab agama dan Quran.

Katanya, kalau nenek mengizinkan atau pantang larangnya sudah tamat. Ia pasti membawa saya ke mana sahaja. Satu janji yang amat menyenangkan.

Sebagai orang tua yang banyak pengalaman, Datuk tahu saya akan merasa jemu dan bosan membaca Quran dan kitab. Bila ia turun ke pekan ia belikan akhbar tulisan jawi – Utusan Melayu.

Kalau Datuk pergi ke Balai Penghulu, pasti ia pulang dengan membawa risalah-risalah dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Pertanian. Semuanya dalam tulisan jawi.

Kalau anginnya baik, datuk akan membeli akhbar dan majalah kanak-kanak, seperti Utusan Kanak-kanak, Tunas dan lain-lain lagi.

Jangan harap Datuk mahu membeli akhbar dan majalah hiburan seperti Utusan Filem dan Sports, Fesyen, Gelanggang Filem dan Arena Filem.

Pantang tujuh keturunan bagi Datuk, kalau saya menatap majalah-majalah tersebut.

Saya hanya mendapat tahu tentang perkembangan filem-filem Melayu dan bintang-bintang filemnya seperti P. Ramlee, Kasma Booty, Nordin Ahmad dan Roomai Noor, menerusi mulut-mulut kawan-kawan.

Begitu juga dengan kisah penyanyi masa itu seperti R. Azmi, Jasni serta Momok dan Nona Asiah.

“Buat apa tahu tentang orang wayang dan penyanyi, jangan baca kisah mereka, semuanya tak berfaedah.

"Semuanya itu kisah dunia yang tak boleh dibuat bekal ke akhirat. Lebih baik kau baca kitab,” kata Datuk bila saya menyatakan ingin membaca dan memiliki majalah-majalah tersebut.

Kata Datuk, kata muktamad. Tidak ada ulang-rayu. Kalau dilawan biji matanya akan tersembul, macam telur burung merpati. Suaranya jadi keras dan parau macam guruh.

Mahu tak mahu terpaksa baca kisah menanam pokok getah, menanam padi dan menanam kelapa.

Sesekali hati kecil saya memberontak juga. Mana boleh tahan cuma berlegar-legar dalam kawasan rumah sahaja.

Paling jauh saya dibenarkan oleh nenek pergi ke rumah Haji Salim, kira-kira dua rantai jaraknya dengan rumah Datuk.

Bukan ada apa-apa di rumah Haji Salim yang sekadar menitik dan membakar besi untuk membuat keris dan parang.

Saya kagum melihat Haji Salim memegang besi panas dan membentuknya hingga menjadi sebilah keris yang berlok tujuh atau sembilan.

Bila saya tanya pada Haji Salim, apa ilmu yang dipakai hingga tapak tangannya tidak terbakar.

Haji Salim tidak mahu memberitahu, ia cuma berkata:

“Keyakinan pada diri sendiri dan Allah mengizinkan semuanya itu.”

Jawapan yang membosankan. Sambil memerhatikan ia bekerja, ia menyuruh saya membaca al-Quran.

Kalau pembacaan tajwid saya tidak betul ia segera menegurnya. Bila saya tidak mahu membaca Quran, ia akan bercerita pada saya tentang kisah-kisah 25 orang nabi pilihan atau memberi penerangan tentang fardu Ain, fardu Kifayah dan fikah.

INDAH

Pagi Selasa yang indah. Di dada langit, matahari memancar cemerlang. Dedaun di ranting bergerak lembut mengikut irama angin.

Saya masih lagi membalut badan dengan gebar. Perbuatan yang jarang-jarang saya lakukan. Jam sudah pukul sembilan.

Jalur sinar matahari masuk ikut tingkap yang dibuka separuh itu, terdampar atas lantai.

Sebenarnya, saya memprotes sikap nenek. Ia tidak membenarkan saya mengikut Datuk pergi ke hutan untuk melihat jerat napuh dan pelanduk. Meskipun Datuk sudah meminta izin darinya.

Nenek lebih senang, kalau saya menghabiskan masa berjam-jam dengan Haji Salim.

Sepanjang ingatan saya selama tiga minggu berkurung di rumah. Sudah dua kali Datuk berjalan jauh.

Kali pertama Datuk ikut kenalannya pergi ke Dungun, Terengganu. Kali kedua, Datuk pergi ke Kroh di Ulu Perak mencari gading gajah.

“Nenek sudah melampau, mahu ke hutan tengok jerat pun tidak boleh,” rungut saya.

Gebar saya campakkan ke tepi. Saya segera bangun. Saya terus bersilat dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh badan. Boleh juga diistilahkan bersilat untuk bersenam.

“Tamar kau buat apa di dalam, macam nak patah lantai rumah,” pekik nenek bertalu-talu sambil mengetuk-ngetuk pintu bilik.

Tanpa melabuhkan kain yang berada di paras lutut, saya terus membuka pintu. Saya ketawa melihat nenek yang terkejut.

“Kenapa muka nenek pucat? Apa nenek merasa hairan melihat gulung kain berat ke kanan dan kain pula atas lutut? Saya bersilat untuk menegangkan urat,” ucap saya. Nenek tidak menjawab. Wajahnya mula pucat.

“Nenek marah?”

“Tidak Tamar.”

“Nenek sakit?”

“Tidak Tamar.”

“Habis, apa yang nenek fikirkan?”

“Kaki kau Tamar.”

“Kaki saya? Kenapa dengan kaki saya nek.”

Tidak ada jawapan dari nenek. Sepasang mata hitamnya tertumpu pada sepasang kaki saya. Nenek menarik tangan saya ke ruang tengah.

Saya disuruh duduk di lantai sambil menjulurkan kaki. Wajah nenek terus didakap rasa cemas yang sukar untuk dibaca.

“Itulah kau langgar petua aku Tamar. Kaki kau tak boleh kena air embun dan angin masa berubat, sekarang apa dah jadi kau lihat sendiri,” suara nenek tersekat-sekat.

Wajah cemasnya segera bertukar dibayangi rasa kecewa. Saya terus merenung kaki.

Memang benar kata nenek! Kaki saya terus mengecil, kisit. Tidak berbuah betis lagi.

Tetapi aneh sekali kesannya hampir tidak terasa. Hati saya mula terasa hiba dan mahu menangis. Saya rasa hidup ini sudah tidak bermakna lagi.

Apalah ertinya hidup bagi saya, kalau anggota tubuh sudah cacat. Apalah nilainya sepasang kaki, kalau tidak boleh digunakan.

Sesungguhnya, saya tidak sanggup menghadapi penderitaan seperti ini. Saya terus menangis.

Nenek terus membelek-belek urat-urat di kaki. Kerana Datuk sudah pergi ke hutan, nenek segera menemui Haji Salim.

Saya cemas bila Haji Salim datang dengan membawa sebilah keris tanpa ulu dan sarung. Saya lihat keris itu masih berasap kerana baru dikeluarkan dari api.

Haji Salim terus menjamah buku lali kaki. Ia kelihatan tenang. Senyum tidak putus-putus menari di bibirnya.

“Usah bimbang, berusahalah dengan sabar. Carilah daun serunai laut, daun gelanggang dan pucuk paku hutan.

"Sapukan pada kaki setiap pagi. Kisitnya masih baru, ada harapan baik,” wajah Haji Salim kelihatan tenang. Senyum terus bermain di wajahnya.

Haji Salim segera meminta diri. Bila sampai di anak tangga penghabisan ia berhenti. Renung muka nenek dengan muka saya silih berganti.

“Tamar sikit lagi datang ke tempat aku, biar aku ajar kau membuat keris,” Haji Salim meraba pangkal leher kiri.

“Kaki saya Aji.”

“Tak apa, sakitnya masih baru.”

“Saya bimbang Aji.”

“Tak usah bimbang.”

Haji Salim terus melangkah menuju ke rumahnya. Nenek kerutkan dahi. Sesekali menggaru tempurung rambut yang tidak gatal. Dua tiga helai uban melekat di jari.

Nenek berada dalam keadaan yang serba salah. Saya terus duduk berjuntai kaki di muka pintu.

Nenek ke dapur. Saya tidak tahu apa yang nenek buat di dapur.

Saya bayangkan dalam hati, kalau kedua belah kaki saya dipotong. Tentu susah jadinya. Saya terpaksa berjalan memakai tongkat.

Lamunan yang tidak bertepi itu, mati dengan mendadak. Diganggu oleh lintasan bayangan yang kurang jelas.

Dan bayangan itu terjadi hanya dalam beberapa detik sahaja. Kesannya amat mendebarkan hati. Bulu roma saya tegak dalam sinaran matahari pagi yang kian garang.

Kepala saya terasa pening. Pandangan saya mula berpinar-pinar. Pokok-pokok yang saya lihat nampak bergoyang. Perut terasa pedih dan tekak juga mula loya. Rasa muntah-muntah mula terasa.

“Nenek…,” jerit saya.

Nenek segera datang. Bahu saya dipegangnya. Kemudian nenek meletakkan telapak tangan kanannya ke dada saya. Ia menarik nafas dengan tenang.

“Dada kau berdebar?”

“Ye nek.”

“Apa puncanya?”

“Saya macam terpandang lintasan bayangan hitam melintas di depan saya nek.”

“Itu cuma perasaan kau saja Tamar.”

“Betul nek.”

“Sudahlah Tamar, pergi mandi. Lepas itu pergi makan. Kopi dan rebus keledek aku sediakan untuk kamu.”

Nenek meninggalkan saya. Arahannya saya patuhi. Ada sesuatu yang saya rasa tidak kena pada kedua belah kaki.

Waktu melangkah dari pintu depan menuju ke ruang dapur tadi, terasa sengal-sengal di pelipat.

Saya juga terasa amat sukar untuk mengimbangi badan. Semuanya tidak saya nyatakan pada nenek.

Semangat saya untuk pergi ke rumah Haji Salim meluap-luap. Saya mahu menghilangkan sakit di pelipat dan rasa sengal itu dengan berjalan.

Setelah mengenakan seluar panjang kuning, baju kemeja lengan pendek saya ke rumah Haji Salim.

Nenek hanya memerhatikan sahaja gelagat saya di muka pintu.

Sampai di rumah Haji Salim saya terus duduk di bangsal kerjanya.

Pada mulanya, saya duduk dekat tempat membakar besi. Saya tidak tahan dengan bahang bara api yang garang.

“Kau tak tahan dengan bahang api Tamar?”

“Ya Pak Aji, kulit muka macam mahu terbakar rasanya.”

“Inilah orang muda sekarang. Bahang api pun tak tahan, tak pernah mahu merasakan susah.”

“Sebenarnya saya tak berapa biasa dengan keadaan macam ini.”

“Kau harus biasakan, sebagai orang Melayu, kau tidak akan melepaskan diri dari berhadapan dengan tanah, air, api dan angin.”

“Ya, saya faham.”

Haji Salim tersenyum. Ia sudah arif dengan perangai saya. Bila saya menyebut perkataan terakhir itu.

Dia sudah dapat membaca hati saya yang tidak berminat untuk mendengar dengan perkara yang dikatakannya itu.

Saya menoleh ke kanan. Atas pelantar bangsalnya tersusun beberapa bilah parang, ada yang panjang, beberapa bilah tajak dan pisau penyabit. Semuanya barang-barang itu tidak mempunyai ulu.

Haji Salim mengangkat besi merah dari dalam bara dengan menggunakan penyepit besi. Besi yang merah menyala itu diletakkan atas pelantar.

“Sebelum besi ini dibakar, sudah aku campurkan dengan tujuh jenis besi,” kata Haji Salim sambil mengambil besi yang masih merah itu.

Besi itu terus di tempa hingga menjadi sebilah keris dengan tangan.

“Pak Aji nak jual keris ni?” tanya saya.

“Tidak, nak pakai sendiri.”

“Boleh buatkan saya sebilah.”

“Belum masanya.”

Haji Salim menghampiri saya. Ia rasa kaki saya. Dengan hati-hati Haji Salim menuangkan air dari dalam labu tanah ke dalam gelas.

Air dalam gelas itu dirapatkan ke bibirnya yang sedang bergerak-gerak membaca sesuatu.

“Nah sapukan ke kaki kamu, dengan izin Allah sakit sengal yang kamu rasa itu, akan hilang,” Haji Salim sambil menyerahkan air dalam gelas pada saya.

Air itu saya sapukan ke kaki. Sepuluh minit kemudian rasa sengal-sengal di kaki terus hilang.

“Kau usah bimbang, kaki kau yang kisit, tak berdaging tu, akan sembuh nenek kau boleh mengusahakannya.”

“Dengan apa nenek nak menyembuhkannya Pak Aji.”

“Dengan senaman, kalau nenek kau tak tahu Datuk kau tahu, Datuk kau tu apa kurangnya.”

REBAH

Saya terus diam. Badan saya rebahkan atas pelantar. Dua hari dulu, waktu saya baring di pelantar, cucunya datang membawakan dua cawan kopi.

Kali ini saya berharap kisah yang berlaku itu akan berulang lagi. Saya mahu melihat cucu perempuannya yang berwajah manis, berkulit cerah.

Ada lesung pipit di pipi. Tidak mudah mengeluarkan kata-kata. Tetapi senyumnya amat murah sekali.

Sesungguhnya, saya terpikat dengan sinar matanya yang lembut. Dengan rambutnya yang ikal mayang. Dengan senyumnya yang menawan.

“Hari ni nampaknya, tak ada kopi Tamar.”

“Tak apa Pak Aji.”

“Bukan tak apa Tamar, aku terpaksa masak sendiri.”

“Mak Aji ke mana?”

“Dia menghantar Saadiah, ke rumah emak bapanya di Beranang, dah sebulan dia berada di sini, emak bapanya suruh balik. Dengar cerita ada orang nak masuk meminangnya.”

“Hum, begitu,” kata saya dengan tenang.

Satu kehampaan berkocak dalam dada saya. Tujuan utama saya menemui Haji Salim, bukanlah mahu menunaikan pesannya. Ada tujuan lain.

Saya mahu melihat wajah Saadiah cucunya. Saya mahu kenyit mata padanya. Apakan daya, harapan yang dicari tidak terlaksana.

“Tamar.”

“Ya Pak Aji.”

“Kau mahu tahu tanda-tanda orang yang celaka dalam dunia.”

“Mahu.”

Haji Salim berhenti menempa mata keris dengan tangan sebentar. Ia renung muka saya.

Aneh, renungan itu saya rasakan bukan renungan Haji Salim tetapi renungan Saadiah cucunya. Saya tersenyum.

“Kenapa kau senyum?”

“Tak ada apa-apa Pak Aji.”

“Tanda-tanda orang-orang celaka tu ada empat. Pertama, lupakan dosa-dosa yang lepas dan tidak mahu bertaubat. Kedua, ia mengingati amal ibadah yang dibuatnya, menghitung berapa banyak sedekah jariahnya, berapa banyak sembahyang yang dibuat,” Haji Salim berhenti bercakap.

Ia merenung bentuk keris yang ada di atas pelantar. Keris itu sudah siap separuh. Cuma bahagian pangkalnya sahaja yang belum menjadi.

“Tanda yang ketiga, kau nak tahu apa dia Tamar?”

“Saya tak tahu Pak Aji.”

“Tanda yang ketiga, orang yang berkenaan sentiasa memandang orang yang berdarjat, tidak pandang orang yang miskin dengan sebelah mata pun.”

“Tanda yang keempat pula Pak Aji? Apa dia.”

“Yang keempat pula, dalam hal akhirat orang itu merasakan dirinya saja yang sudah sempurna, memandang hingga orang yang tidak sembahyang, tidak puasa serta mengamalkan hukum Islam, seolah-olah dirinya seorang saja orang Islam yang tulen, itulah tanda-tanda orang yang celaka di dunia.”

Haji Salim berhenti berkata-kata. Ia meneruskan kerjanya kembali. Menempa sebilah keris dengan tangannya sendiri.

Setiap kali ia menekan besi, besi itu kelihatan lembut dan mengikut bentuk yang dihajatinya.

Saya segera menoleh ke kiri, ke arah jalan yang menghubungkan rumah Datuk dengan rumah Haji Salim.

Saya berbuat demikian kerana terdengar nama saya dipanggil berkali-kali.

Kerana panggilan itu kurang jelas, saya tidak dapat meneka, suara siapa yang saya dengar.

Nenek suaranya nyaring dan halus tetapi, suara yang saya dengar kasar.

Kalau mahu dikatakan suara Datuk memang mustahil, Datuk masih belum pulang dan suara Datuk tidak macam itu.

Suara Datuk agak serak-serak basah dan parau. Paling menakjubkan tidak nampak bayang Datuk atau nenek di muka jalan. Jadi suara siapa pula yang saya dengar?

Keresahan yang melanda diri saya, dapat dibaca oleh Haji Salim.

“Kau terdengar suara orang memanggil nama kamu Tamar?”

“Ya Pak Aji, agaknya suara hantu Pak Aji.”

“Bukan, mana ada hantu waktu siang begini, aku agak suara makhluk Allah yang berkenankan kamu.”

“Macam mana Pak Aji tahu saya terdengar suara orang.”

“Dari gerak-geri kamu Tamar.”

Saya mula resah. Hati mula berdebar. Badan terasa lain macam. Bulu roma saya mula tegak tanpa sebab. Saya mula dibayangi dengan bermacam-macam perasaan.

Ada lintasan bayangan seperti yang terjadi di muka pintu tadi, melintas di depan saya. Bentuknya sukar mahu digambarkan dengan tepat.

Sepintas lalu, bentuknya macam papan keranda yang melayang-layang. Ada sehelai kain hitam melekat di papan itu.

Dari kain hitam itu berjuntai jari-jari tangan tanpa daging. Tulang-tulang jari yang keras dan putih itu bagaikan mahu mencakar wajah saya. Inilah yang menimbulkan rasa takut dalam hati.

“Biarlah, saya balik dulu Pak Aji.”

“Silakan Tamar.”

Saya pun meninggalkan Haji Salim di bangsal. Dalam debar dada yang cemas saya terus melangkah tanpa menoleh ke arah Haji Salim. Dahi saya mula berpeluh.

Sebaik sahaja saya sampai dekat pokok mempelam pauh yang besar dan tinggi, dahan mempelam itu patah lalu jatuh.

Kalau tidak cepat saya mengelak, pasti saya ditimpa dahan tersebut.

Dalam masa yang sama, lintasan bayangan yang tidak menyenangkan itu terjadi lagi di hadapan saya.

Langkah saya terus kaku sebentar. Bila saya mahu melangkah kembali terdengar suara menyebut nama saya.

Cepat-cepat saya merenung ke arah pangkal pokok mempelam. Rasa cemas segera hilang. Seorang tua yang tidak saya kenali muncul di situ dan menuju pada saya.

“Berikan ini pada Datuk kamu,” kata orang tua itu.

Dia menyerahkan satu bungkusan kecil yang berbalut dengan daun keladi, bila bungkusan itu mahu saya buka, orang tua segera memegang tangan saya.

“Belajarlah jadi manusia yang amanah,” katanya.

“Maafkan saya.”

“Aku maafkan, jangan menoleh arah mana kamu datang, kerana aku mahu ke sana.”

“Ya, saya faham.”

Orang tua itu segera bergerak ke arah belakang saya. Bunyi tapak kakinya cukup jelas menuju ke arah rumah Haji Salim.

Saya terpegun sejenak, bau yang amat wangi segera menyumbat lubang hidung. Saya pasti bau wangi itu datang dari tubuh badan orang tua tersebut.

Ada dua persoalan timbul dalam hati saya. Pertama, kenapa orang tua itu tidak memberi salam. Kedua, orang tua itu memang bukan orang kampung. Dia orang asing.

Dua persoalan yang menggugat hati, membuat saya melanggar larangannya.

Saya segera menoleh ke belakang. Orang tua itu tidak kelihatan lagi.

Tetapi, bau wangi masih dapat dicium. Dedaun senduduk dan lalang di sebelah kanan jalan, kelihatan bergerak-gerak, macam baru sahaja dirempuh oleh manusia.

Saya tahu, kawasan sebelah kanan jalan yang dikuasai oleh pokok senduduk dan lalang itu, luasnya hampir suku batu.

Hujung kawasannya bertemu dengan sebuah anak sungai. Seberang sungai itu terdapat kawasan perkuburan yang tidak digunakan lagi.

Nenek pernah memberitahu saya, kawasan perkuburan itu tidak luas. Cuma menempatkan tujuh buah kubur. Batu nisannya diambil dari batu gunung.

Tidak seorang pun yang tahu, mayat siapa yang ditanam di situ. Kata Datuk ada waktu yang terluang, ia sering kali mengajak saya ke situ untuk membersihkannya.

Bagi Datuk membersihkan kubur merupakan satu amalan yang baik.

Bila saya mengingatkan orang yang baru saya temui itu menuju ke kubur lama, saya jadi takut

Saya terus lari menuju ke rumah. Waktu itu saya tidak ingat langsung yang kaki saya tidak begitu baik.

JATUH

Waktu saya sampai di kaki tangga. Saya sudah kehabisan tenaga. Tidak mampu memijak mata tangga yang setia menanti sesiapa sahaja untuk memijaknya.

Saya terjatuh. Bungkusan barang dalam daun keladi terbuka dan tercampak dekat saya.

“Tolong,” jerit saya, bila melihat tulang jari terdampar atas tanah, (tidak jauh dari daun keladi yang jadi pembungkusnya) nenek segera menerpa pada saya.

Nenek segera memapah saya. Ia suruh saya duduk atas tangga.

Tanpa diduga, Datuk pulang awal dari hutan. Tidak ada pelanduk atau napuh yang dibawanya. Datuk terkejut dengan apa yang terjadi pada saya.

“Kenapa Tamar?” Tanya Datuk.

“Ada orang beri barang pada tok.”

“Mana dia barangnya?”

“Itu dia tok.”

Mata Datuk melihat ke arah yang ditunjuk oleh jari telunjuk saya. Dia menggigit ibu jari kanannya. Macam memikirkan sesuatu.

Datuk suruh nenek beredar dari situ. Nenek segera masuk ke rumah.

“Pelik, masa dalam hutan tadi ada orang yang tak aku kenal, kirim salam pada kau. Bila aku tanya siapa dia, orang itu terus meninggalkan aku, tetapi ia meninggalkan bungkusan daun keladi dekat pokok meranti,” Datuk memulakan cerita.

“Apa isinya tok.”

“Sama dengan apa yang aku lihat sekarang, tulang jari manusia.”

“Orang yang tok jumpa tu, lelaki ke perempuan.”

“Perempuan tua.”

“Serupa, saya juga jumpa perempuan tua, mukanya ditutup.”

Datuk tidak berkata apa-apa lagi. Dia suruh saya masuk ke rumah. Daun keladi dan tulang jari manusia itu diambilnya dan terus ditanam kira-kira serantai dari halaman rumah.

JUMPA

Pukul empat setengah petang. Datuk duduk di anjung rumah sambil membaca kitab.

Datuk tidak memakai baju. Kepalanya dilekati oleh ketayap putih. Datuk seolah-olah, tidak menganggap sesuatu yang luar biasa dengan peristiwa yang terjadi.

Mungkin peristiwa itu tidak menarik minatnya. Kalau Datuk tertarik, pasti ia bercerita. Bila melihat sikap Datuk begitu, saya sendiri tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.

Nenek terus berusaha memulihkan kaki saya yang kian mengecil itu. Ia menyentuh dan mengurut urat-urat tertentu di kaki.

Di samping itu, nenek juga sudah menyediakan berbagai-bagai jenis daun untuk dibalut ke kaki saya.

“Kaki Tamar tu, kalau diizinkan Allah, akan sembuh juga,” cara mendadak Datuk bersuara.

“Kalau tak diusahakan, tentu tak menjadi,” balas nenek.

Suaranya agak meninggi. Datuk tutup kitab yang dibacanya. Ia renung muka nenek.

“Kalau kakinya mengecil atau kisit tak ada isi disebabkan kena air embun dan angin, kenapa kita tak cuba ubat dengan embun dan angin juga,” kata Datuk. Ia bangun lalu rapat ke arah nenek yang mengurut kaki saya.

“Caranya bagaimana?”

“Kita lumurkan kakinya dengan embun, dua puluh pagi Jumaat, kita juga kenakan angin malam Jumaat, di samping membaca doa tertentu,” kata Datuk tenang.

“Awak buatkan.”

“Ya, saya buatkan mulai malam dan pagi Jumaat depan.”

Nenek tersenyum mendengar pengakuan Datuk. Ia merasakan Datuk tidak melepaskan tanggungjawab itu pada dirinya seorang sahaja.

Tiba-tiba saya terhidu bau wangi yang amat kuat. Saya segera bergerak menuju ke muka pintu.

Tanpa saya sedari Datuk mengekor dari belakang. Saya terkejut, di halaman rumah, ada perempuan tua yang saya tengok pada sebelah pagi berdiri di situ. Kali ini, mukanya ditutup dengan kain selendang.

“Ada apa hajat,” tanya Datuk.

“Tak ada apa-apa hajat buat apa datang ke mari.”

“Nak berziarah pun tak boleh.”

Datuk terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci untuk menjawab kata-kata dari perempuan tua itu.

Datuk segera merenung ke arah saya. Melihat perempuan tua itu masih tercegat di halaman, saya terus bersuara.

“Beradatlah sikit, berilah salam.”

“Sudahlah, saya nak cari rumah orang yang pandai membuat keris, keris suami saya hilang,” suara perempuan tua itu tenang.

“Awak pergi arah ke darat sana, cari orang nama Haji Salim, dia pandai buat keris, kalau pedang laki awak hilang pun dia boleh buat.”

“Awak menyindir.”

“Sudahlah perempuan….” Datuk segera menutup mulut saya dengan tangan.

Biji mata Datuk bagaikan mahu tersembul merenung muka saya. Bila sudah begitu keadaannya, tentulah Datuk sudah marah. Saya tunduk.

“Maafkan cucu saya,” kata Datuk.

Perempuan tua itu pusingkan badannya. Ia terus menuju ke rumah Haji Salim.

“Jangan biadab sangat, kita belum kenal siapa dia,” kata Datuk.

Dengan tenang Datuk menarik tangan saya untuk masuk ke ruang tengah. Dari gerak-gerinya, saya tahu perasaan Datuk tidak tenteram.

Rasa tidak tenteram dalam diri Datuk itu berlanjutan hingga masuk waktu asar.

Lepas sembahyang asar, ia masih lagi memikirkan tentang perempuan tua yang ditemuinya dalam hutan.

Tentang perempuan tua yang memberikan barang saya, tentang perempuan tua yang baru meninggalkan halaman rumah sebentar tadi.

“Boleh jadi apa yang kita lalui ini, ada hubungannya dengan Sariyah yang aku tolong dan aku jadikan anak angkat,” keluh Datuk.

“Apa yang mesti kita buat tok?”

“Kita hadapi semuanya, kita sudah terlalu jauh dicabarnya, kaki kau hampir lumpuh tetapi, mereka masih belum puas, percayalah kalai kita berusaha dan berserah pada Allah kita akan menang.”

“Masanya terlalu panjang tuk.”

“Sabarlah, kemenangan tidak akan terjadi dengan sekelip mata.”

Saya menggigit bibir mendengar cakap Datuk. Wajah perempuan tua masih terbayang di kepala saya.

Wajahnya yang ditutup dengan kain selendang, saya bayangkan amat hodoh sekali.

Matanya terperosok ke dalam. Tidak ada hidung. Dahinya bersopak dan kulit pipi mengerutu.

“Jangan fikirkan yang bukan-bukan tentang dirinya,” saya terkejut mendengar cakap Datuk itu.

Rupa-rupanya Datuk dapat membaca dengan apa yang tersirat dalam hati saya.

“Membayangkan wajah orang dalam keadaan buruk, memang tidak baik. Itu perbuatan syaitan,” sambung Datuk.

Saya tersengih. Saya terus menuju ke muka pintu.

Saya lihat matahari petang sudah condong benar. Burung gagak itu hinggap di pelepah pisang mencari ulat dalam daun pisang yang bergulung.

Angin petang tidak bertiup langsung, membuat badan saya terasa panas dan berpeluh.

Tiba-tiba saya terpandang tulang jejari manusia bertaburan atas tanah di halaman.

Tulang-tulang itu bagaikan muncul dari perut bumi dan bumi kelihatan macam merekah.

Dari rekahan bumi itu saya bagaikan terlihat tengkorak manusia bergerak-gerak, bagaikan mahu tersembul.

Saya jadi cemas. Saya renung ke arah halaman rumah lama-lama. Ternyata apa yang saya lihat tadi, memang tidak ada.

Tetapi, saya merasa hairan kenapa hal yang tidak ada itu boleh wujud di hadapan mata saya.

Barangkali, semuanya ini perasaan semata-mata, saya terlalu banyak memikirkan tentang wajah perempuan tua itu, membuatkan saya terpandang-pandangkan perkara yang menakutkan, kata hati saya.

Saya renung bayang pokok kelapa yang memanjang di bumi. Matahari petang kian condong.

Sesekali terdengar kokok ayam jantan, menunjukkan lagak di depan ayam betina sambil mengembangkan kepak di badan. Burung gagak terbang bersimpang siur, mencari ulat daun pisang.

Dalam keramahan dan keganjilan suasana petang itu, saya dikejutkan oleh suara yang tidak asing lagi buat saya.

Cepat-cepat saya merenung ke arah suara itu datang. Haji Salim tercegat di sempadan halaman rumah.

“Ada apa Pak Aji?”

“Datuk kau, ada di rumah Tamar.”

“Ada.”

Haji Salim rapat ke kaki tangga Datuk pula segera mempamerkan diri di muka pintu. Saya ditolak ke belakang.

“Apa hajat sahabat?” tanya Datuk.

“Nak mengajak pergi berziarah ke kubur lama.”

“Kenapa dah sayup benar, matahari dah nak jatuh, susah jadinya kalau kita tidak berhati-hati.”

“Tak apa, tadi ada orang perempuan tua jumpa saya, minta tolong tengokkan anak perempuannya yang sesat di kubur lama.”

“Sahabat kenal orang perempuan tua itu.”

“Tak kenal pula.”

Datuk melangkah turun. Matahari kian bertambah condong. Burung gagak terus berbunyi.

Haji Salim menghampiri Datuk. Masing-masing mengedutkan dahi luas, macam memikirkan sesuatu masalah yang besar.

“Kalau tak kenal macam mana kita tolong,” Datuk meluahkan suara hatinya.

Haji Salim termenung sejenak. Mungkin ia sependapat dengan pendapat yang Datuk bentangkan.

“Tak apalah, kita tolong,” jawab Haji Salim.

“Sahabat yakin yang perempuan tua tu manusia?”

“Tentulah manusia, bukan syaitan.”

“Kalau begitu, biar saya tukar pakaian dulu.”

Datuk segera naik ke rumah. Pakai seluar dan baju Melayu. Selitkan parang panjang di pinggang.

Tujuannya bukan apa-apa. Parang itu akan digunakan untuk menebas semak-samun di tanah perkuburan.

Bila semuanya sudah selesai mereka pun berangkat. Saya pun ikut sama.

Meredah hutan senduduk dan lalang, bukanlah sesuatu yang mudah. Mujurlah Datuk membawa parang panjang. Haji Salim bawa golok.

Dapatlah dahan-dahan dan ranting senduduk dirintis. Dengan berbuat demikian, banyak masa terbuang.

Sebenarnya, memang ada jalan pintas yang boleh cepat sampai ke kawasan tanah perkuburan lama itu.

Pelik juga, kenapa Datuk dan Haji Salim tidak mahu ikut jalan tersebut.

Agaknya, dengan cara meredah hutan senduduk dan lalang, mereka berharap akan dapat bertemu dengan anak pada perempuan tua yang hilang.

Ramalan saya itu mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Perkara yang pasti, saya tidak menghadapi sebarang kesukaran.

Setelah hutan senduduk dirintis, barulah saya dibenarkan berjalan. Seronok berjalan dengan orang tua yang tahu menghargai kekurangan diri orang seperti saya.

Setelah badan dibasahi peluh. Kami sampai ke tebing sungai. Menyeberang sungai yang cetek airnya, tidak banyak menghadapi masalah.

Air sungai yang sejuk itu memberikan rasa kesegaran pada tubuh.

Saya merenung ke kaki langit, matahari yang kian condong mula dihampiri awan putih yang tebal.

Kerana kawasan kubur lama itu dikelilingi oleh pokok-pokok jati dan jejawi yang besar, digayuti oleh akar-akar hutan yang berselirat, menjadikan suasana di situ agak samar-samar dan sunyi.

Bunyi dengung nyamuk cukup jelas. Begitu juga dengan suara burung merbah dan burung puyuh.

Tidak jauh dari kawasan kubur itu terdapat sebuah busut jantan yang tingginya sama paras dengan orang dewasa.

Anai-anai kelihatan merayap di puncak busut itu.

Tanah busut nampak berlubang-lubang dan seakan-akan merekah.

Tamat siri 61/284

BACA: SBDJ Siri 60: Lumpuh Di Kaki
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, May 02, 2019

Yakuza Dan Sisi Gelap Industri Hiburan Jepun

Yakuza Dan Sisi Gelap Industri Hiburan Jepun

Pada Ogos tahun 2011, dunia komedi dikejutkan dengan media-media yang memaparkan kepada umum mengenai persahabatan antara pelawak popular, Shimada Shinsuke dan Hashimoto, ketua kumpulan yakuza Kyokushin Rengo-kai di Osaka, menyebabkan Shimada mengumumkan persaraannya dari dunia hiburan.

Yakuza Japan Entertainment

Kenapa jika ada hubungan dengan Yakuza, hatta pelawak komedi terkenal pun terpaksa melepaskan jawatannya?

Persoalannya hanya boleh dijawab dengan melihat kembali kepada salah satu kes popular yang berlaku dalam industri dunia hiburan Jepun.

Rola, kontrak hamba seks dan dadah

Rola, seorang model dan artis yang meningkat naik dengan jayanya, ditambah pula dengan kacukan Bengali-Jepun serta mempunyai susur galur Rusia, menjadikan Rola selebriti tarento (selebriti luar Jepun) yang terkenal di Jepun.

Kehebatan kariernya mencerminkan betapa inilah kejayaan yang diidam-idamkan oleh ramai artis yang sedang meniti tangga untuk ke puncak.

Namun, tidak semuanya baik disebalik kejayaan luar biasa ini. Majalah mingguan, Shukan Bunshun melaporkan bahawa Rola telah dikunci dengan kontrak yang nampaknya seperti kontrak perhambaan dengan agensinya, Libera Production.

Rola memberitahu bahawa dia diperas ugut, kewangannya disekat dan penggunaan dadah dalam kariernya.

Rola juga melaporkan dalam media bahawa dia mempersoalkan mengenai ke mana hilangnya wang yang sepatutnya diterima, termasuklah wang kebajikan amal.

Perkara seperti ini, iaitu agensi mengambil kesempatan terhadap wanita muda dalam dunia hiburan adalah tidak mengejutkan, kerana mereka adalah sasaran yang paling mudah diperkotak katikkan.

Dalam kes Rola, jika dia mahu berhenti dari agensi tersebut agak sukar kerana agensinya dari awal lagi telah memegang segala aset dan maklumatnya.

Bila-bila masa sahaja maklumat buruk mengenainya boleh disebarkan serta agensi lain diminta menyekat dia daripada diterima masuk oleh mereka semua.

Hakikatnya, pihak polis memang sedaya upaya menghalang operasi yakuza, namun dalam sektor hiburan, ia adalah operasi polis paling gagal untuk dikawal.

Tugas ejen dalam Agensi Bakat di Jepun

Rola Yakuza Jepun
Rola.

Dunia hiburan Jepun sekali lagi pernah digemparkan apabila wanita Jepun pertama yang dinobatkan sebagai Miss International sejak 5 dekad yang lalu, Ikumi Yoshimatsu mengeluarkan suatu kenyataan akhbar.

Kenyataan itu menyatakan bahawa syarikat produksi yang pernah dia tolak tawaran untuk berkhidmat itu terkait dengan yakuza, telah buat pelbagai perkara kepadanya.

Ia termasuklah diganggu oleh seorang pengurus sewaktu berada dalam sesi rakaman rancangan televisyen.

Pihak produksi itu juga dilaporkan menghantar pengintip ke rumahnya dan surat ugutan kepada keluarganya.

Pendedahan Ikumi Yoshimatsu ini telah mendapat sokongan ramai termasuk isteri Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun.

Apa yang mengejutkan lagi, salah seorang ketua Yakuza yang pernah terlibat dalam kerja-kerja agensi bakat ini telah mendedahkan satu dokumen dan temu ramah mengenai kerja-kerja kotor yang dibuat oleh penjenayah dalam agensi seperti ini.

Satu temu ramah telah dibuat antara media, The Daily Beast bersama Kazuo Kasaoka, ketua kumpulan Matsurua-Gumi (Kobe).

Dalam temu ramah itu, dia telah mendedahkan segala tindakan ejen agensi bakat termasuklah ejen yang pernah menarik Miss International Jepun tadi. Ejen tersebut bernama Ikuo Suho.

Menurut Kasaoka, Suho adalah “kepala besar bagi industri hiburan Jepun” ada melakukan tiga perkara ini:

1. Suho akan menggunakan mana-mana kumpulan yakuza untuk membantunya menyelesaikan masalah.

2. Suho akan bekerjasama dengan pengintip, untuk mempergunakan kumpulan yakuza atau kumpulan bersayap kanan bagi menghancurkan karier selebriti yang menentang mereka.

3. Suho sendiri pernah terlibat dalam menjalankan aktiviti parti liar yang dipenuhi seks dan dadah untuk syarikat produksi dan penaja.

Sisi gelap industri hiburan Jepun

Industri hiburan Jepun termasuk J-Pop sentiasa berkembang sehingga semakin merapati kehebatan industri anime.

Ia menawarkan impian kepada anak muda untuk menjadi idola namun, impian ini telah ditunggang oleh kumpulan jenayah termasuk yakuza hingga mereka terpaksa menjadi hamba seks, dadah dan jenis-jenis perhambaan yang lain.

Pihak berkuasa sudah cuba membendung perkara ini sebaik mungkin. Undang-undang anti-intipan sudah pun dilaksanakan.

Mungkin ia mampu membendung budaya pengintipan ejen agensi bakat terhadap selebriti yang bekerja dibawahnya.

Namun, undang-undang masih terlalu lemah dan mempunyai ruang untuk dieksploitasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Bung Moktar Dan Zizie Izette Ditahan SPRM

Bung Moktar Dan Zizie Izette Ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat ini (3 Mei 2019).

Bung Mokhtar-Zizie Rasuah

SPRM dalam satu kenyataan berkata, Bung Moktar dan Zizie bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

SPRM telah menahan Moktar pada pukul 10.50 pagi (1 Mei 2019) di SPRM Sabah manakala Zizie ditahan di SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan FELCRA.

Kedua-dua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, Bung Moktar pernah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 20 Ogos 2016 bagi membantu siasatan berhubung satu kes mengikut Akta SPRM 2009.

SPRM dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, beliau disoal siasat selama lima jam dipercayai berkaitan beberapa unit pelaburan amanah yang dibuat agensi terbabit.

Pada 19 Mei tahun lalu, Bung Moktar dilapor meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Felcra Berhad dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada hujung bulan Mei tahun 2018 lepas.

Ia susulan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com