Sunday, July 12, 2015

Gambus, Alat Muzik Warisan Mesir Purba


Gambus merupakan alat muzik tradisional dari negara Timur Tengah yang bertali dan cukup popular di negara kita.

Gambus

Alunannya cukup mengasyikkan mengiringi muzik tradisional seperti zapin dan ghazal dan mampu memukau sesiapa saja yang mendengar.

Berasal dari Yemen, gambus atau qanbus, sifatnya lebih tirus, memanjang dan lebih kecil jika dibandingkan dengan Oud.

Oud turut dimainkan dalam muzik ghazal mahupun zapin, mempunyai saiz lebih pendek, mempunyai struktur seakan buah pear, serta mempunyai lubang pada badan yang besar seperti gitar.

Berbanding oud, gambus menggunakan kulit binatang seperti kambing pada permukaannya. Bunyinya pula seakan-akan sama tetapi ciri kedua-dua alat muzik ini secara fizikalnya memang berbeza. Keadaan ini menyebabkan alat muzik oud sering dianggap gambus disesetengah tempat.

Selain oud dan gambus, terdapat bermacam-macam lagi alat muzik bertali seperti ini digunakan di negara timur tengah seperti Buzok (Syria) Saz dan Cumbus (Turki), Lavta (Greece dan Turki), Setar (Iran), Barbat (Mesir) dan beberapa lagi alat muzik bertali yang dirujuk sebagai gambus.

Alat-alat muzik ini dipercayai telah dicipta, dimainkan sejak keturunan keempat Nabi Adam a.s. dan menjadi mitos popular yang diketahui secara meluas.

Malah, jika kita perhatikan, terdapat ukiran figura orang sedang bermain gambus di dinding piramid semasa kerajaan Mesir kuno menjadi mercu tanda tamadun awal manusia.

Mungkin alat muzik oud dan gambus tidaklah sama seperti sekarang tetapi sehingga kini ia menjadi salah satu identiti muzik dan peradaban masyarakat Arab dirantau timur tengah.

Fauziah+Gambus
Fauziah Suhaili, penyanyi dan pemain gambus Malaysia.

Jika kita amati semula tulisan ilmuwan Islam dalam konteks kesenian seperti Al-Kindi, tidak ada satu pun menyatakan perihal asal-usul kewujudan gambus.

Asal-usul yang dianggap mitos popular cuma disampaikan melalui cerita lisan antara generasi sehinggalah rupa bentuk gambus dan oud itu kita boleh lihat seperti hari ini.

Al-Kindi banyak menjelaskan tentang konteks bermain muzik menggunakan instrumen bertali yang dinamakan gambus. Dia juga menyentuh tentang cara menulis nota muzik secara formal dan teknik menulis nota muzik ini kekal seperti hari ini.

Rahsia ini dibongkar oleh penulis, Crysalis Forster yang mengarang buku Musical Mathematic. Crysalis menyatakan etimologi muzik yang dikenali sebagai 'Musiqi' sebenarnya diperkenalkan oleh Al-Kindi dan bukannya dari orang-orang Greek.

Menurut buku Warisan Seni dari Timur Tengah tulisan Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof, Oud (gambus) telah sampai ke Tanah Melayu sejak beberapa kurun yang lalu. Ia dipercayai telah dibawa oleh pedagang Arab semasa berdagang di Tanah Melayu sejak kurun ke 9.

Ketika itu para pedagang ini bermain peralatan muzik ini untuk berhibur dan mereka bukanlah pemuzik. Ketika itu mereka membawa identiti dengan memakai jubah dan lama-kelamaan imej ini meresap masuk ke dalam masyarakat di Tanah Melayu.

Irama yang terbit daripada petikan gambus ini juga menenangkan dan menjadi tarikan semasa para pedagang ini membuka jualan.

Walaupun penerimaan budaya bermain Oud (Gambus) di Malaysia tidaklah begitu hebat seperti Indonesia, tetapi budaya bermain gambus mula mendapat sambutan orang Malaysia selepas pengaruh dan asimilasi antara rumpun masyarakat di Nusantara berlaku sejak 100 tahun lalu.

Pengetahuan tentang muzik oud dan gambus di Malaysia pula hanya terhad kepada dua genre muzik sahaja iaitu zapin dari Arab dan ghazal dari India.

Ancient Egyptian Music
Lakaran alat muzik gambus pada dinding piramid.

Sejak seratus tahun dahulu, alat muzik ini diwariskan secara turun-temurun dan tidak ada pembelajaran formal mengenai instrumen ini.

Gambus juga dilihat kurang mendapat perhatian seperti gitar kerana kurangnya pendedahan formal kepada masyarakat kerana gambus tidak dipersembahkan diperingkat majlis rasmi kerajaan.

Irama dan instrumen gambus juga dibayangi oleh zapin dan ghazal, justeru ia hanya dianggap sebagai manifestasi yang diwarisi oleh orang Melayu.

BACA INI JUGA: 5 Ciptaan Terhebat Umat Islam Yang Mengubah Dunia!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon