Tuesday, June 05, 2018

Benarkah Pil Paracetamol P/500 Mengandungi Virus 'Machupo'?

Benarkah Pil Paracetamol P/500 Mengandungi Virus 'Machupo'?

Penularan berita kononnya terdapat pil Paracetamol P/500 yang mengandungi virus 'Machupo' dijual di pasaran dinafikan kebenarannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Paracetamol P500 Machupo

Menurut kementerian tersebut, pil jenis Aeknil yang disebarkan dalam media sosial berwarna putih berkilat berbeza dengan yang didaftarkan dengan kementerian.

Kementerian Kesihatan juga tidak pernah menerima sebarang laporan atau amaran berkenaan pencemaran paracetamol dari pihak berkuasa negara pengilang atau negara lain.

Virus Machupo hanya ditemui di Amerika Selatan dan tersebar melalui air kencing atau najis tikus yang dijangkiti.

Seperti kebanyakan virus lain, virus Machupo tidak boleh hidup dalam persekitaran yang kering seperti tablet paracetamol.

***

CONTOH PENYEBARAN BERITA PALSU VIRUS MACHUPO DI LAMAN SOSIAL

AMARAN URGENT!

Berhati-hati untuk tidak mengambil paracetamol yang ditulis P/500.

Ia adalah paracetamol yang baru, sangat putih dan berkilat, doktor menasihati bahawa ia mengandungi virus "Machupo", dianggap sebagai salah satu virus paling berbahaya di dunia, dengan kadar kematian yang tinggi.

Sila kongsi mesej ini, dengan semua orang di senarai kenalan anda serta keluarga dan menyelamatkan nyawa.

Saya telah melakukan bahagian saya, kini giliran anda.

Ingat bahawa Tuhan membantu mereka yang membantu orang lain dan diri sendiri!

***

Orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan berita bohong atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

Pastikan produk yang diguna berdaftar dengan kementerian dan mempunyai pelekat hologram serta dilabel dengan nombor pendaftaran MAL.

Virus 'Machupo' dikelaskan dalam kumpulan virus Arenavirus yang boleh menyebabkan demam berdarah.

Berdasarkan maklumat yang tersebar dalam media sosial, pil P/500 berkenaan kononnya berwarna putih berkilat.

Sebaliknya, pil yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan berwarna biru, berbentuk bulat dengan diameter setengah inci dan mempunyai perkataan aeknil atau 'therapeutic' pada permukaannya,

Pil yang berdaftar dengan kementerian mengandungi bahan aktif paracetamol 500mg dengan nombor pendaftaran MAL19911249XZ bagi tujuan meredakan sakit sederhana dan demam.

Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk kesihatan melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ atau menghubungi NPRA di talian 03-78835400.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Ari Kala, Wanita Yang Mampu Menghidu 'Bau' Kematian!

Ari Kala, Wanita Yang Mampu Menghidu 'Bau' Kematian!

Seorang wanita mendakwa bahawa dia mempunyai kelebihan untuk menghidu sejenis bau pada badan manusia yang menandakan individu itu akan mati dalam masa terdekat.

Ari Kala, Wanita Yang Mampu Menghidu 'Bau' Kematian!

Ari Kala, 24, dari Hunter Valley, Australia, mendakwa memiliki kelebihan itu ketika dia berusia 12 tahun dan mula menghidu bau berkenaan daripada badan bapa saudaranya yang menunggu detik-detik kematian.

“Malam sebelum kematiannya, saya terhidu sejenis bau janggal seolah-olah daging reput ‘manis’ di dalam rumahnya.

"Tetapi orang lain gagal menghidunya,” kata Ari.

Bagaimanapun, Ari Kala tidak pernah memberitahu kepada mana-mana individu bahawa mereka akan mati dalam masa terdekat kerana percaya itu bukan tanggungjawabnya.

Dia kini menjadi seorang jurulatih psikik yang membantu individu lain untuk mencungkil kuasa dalaman masing-masing.

Sebelum ini, Ari Kala bekerja di sebuah firma sebagai setiausaha perundangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Monday, June 04, 2018

Sejarah Klinik MAHA Yang Diasaskan Oleh Tun Mahathir

Sejarah Klinik MAHA Yang Diasaskan Oleh Tun Mahathir

Umum mengetahui bahawa Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pegawai perubatan doktor pada mudanya sebelum menyertai bidang politik dan berkhidmat sebagai doktor perubatan di hospital kerajaan untuk beberapa ketika.

Sejarah Klinik MAHA Yang Diasaskan Oleh Tun Mahathir

Minat dengan perniagaan sejak kecil, beliau telah menubuhkan klinik sendiri yang diberi nama Klinik Maha pada tahun 1957, klinik persendirian pertama milik orang Melayu di Kedah.

Klinik Maha memang sangat tidak asing bagi penduduk-penduduk Alor Setar.

Klinik ini pada asalnya terletak di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar tetapi kemudiannya berpindah ke Jalan Sultan Badlishah, berdekatan dengan Ibu Pejabat UMNO Kedah.

Ini kerana ia lebih hampir dengan Sungai Kedah, memudahkan pesakit yang datang menaiki perahu atau sampan.

Kini, selepas 61 tahun, Klinik Maha masih di tempat yang sama dan masih beroperasi.

Seorang doktor yang sangat prihatin dan pemurah

Menurut mereka yang pernah mendapat rawatan di Klinik Maha, pemilik klinik ini merupakan seorang yang sangat istimewa dan tidak dapat dilupakan.

Zainol, 61, dari Kubang Pasu, seorang pemandu bas yang hanya berpendapatan RM3.50 sehari dan bekas pesakit di Klinik Maha menceritakan pengalamannya mendapatkan rawatan tanpa sebarang bayaran.

Selain daripada diberikan rawatan peruma, Zainol juga memberitahu bahawa penduduk sekitar terutamanya orang kurang upaya, warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah juga diberikan layanan yang istimewa oleh Dr. Mahathir.

Tambah Zainol lagi, Dr. Mahathir juga kerap mengajak warga emas di kampung-kampung yang mengalami masalah kesihatan supaya mengunjungi klinik beliau untuk mendapatkan rawatan.

"Dr. Mahathir selalu berkata jika ada orang-orang tua yang sakit bawalah ke sini, beliau tidak akan mengenakan caj kerana mahu tolong secara ikhlas," jelas Zainol.

Zainol yang tinggal di Kubang Pasu menceritakan beliau terpaksa menaiki basikal sejauh 33 kilometer ke Alor Setar, bersama isteri dan anak, jika mengalami masalah kesihatan.

Kesanggupan itu disebabkan oleh mahu mendapatkan rawatan terbaik daripada Dr. Mahathir.

Ismail Hussin, seorang lagi bekas pesakit di klinik ini tidak dapat melupakan rawatan yang diterima daripada Dr. Mahathir.

Beliau terpaksa menaiki sampan hampir 2 jam melalui dua sungai iaitu Sungai Pasir dan Sungai Anak Bukit hanya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Maha.

Ismail juga memberitahu bahawa layanan yang diberikan oleh Dr. Mahathir sangat sukar ditandingi oleh doktor zaman sekarang.

Ia termasuklah diberikan rawatan pemeriksaan menyeluruh, walaupun pesakit hanya mengadu demam biasa.

Pembantu Dr. Mahathir di Klinik Maha

Klinik Maha kini beroperasi di bawah kendalian Dr. Mohamed Yacob Dawood, yang pernah bekerja dengan Dr. Mahathir.

Sebelum bekerja di klinik ini, Dr. Mohamed Yacob merupakan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur.

Namun, setelah dipelawa bekerja oleh Dr. Mahathir sendiri pada tahun 1972, beliau memberikan notis berhenti kerja 24 jam.

Disebabkan notis berhenti kerja itu tidak cukup sebulan, Dr. Mohamed Yacob terpaksa membayar gaji sebulan kepada majikan, namun ia dibayar oleh Dr. Mahathir malah menawarkan gaji yang lebih baik.

"Saya tahu beliau (Dr. Mahathir) seorang yang baik dan jujur, oleh itu saya mengambil keputusan untuk menjadi pembantunya di Klinik Maha," jelas Dr. Mohamed.

Dr. Mohamed Yacob juga mengakui bahawa Dr. Mahathir tidak mengenakan caj kepada pesakit yang tidak mempunyai wang atau dari golongan miskin.

Bukan itu sahaja, Dr. Mahathir pula akan memberikan wang kepada pesakit untuk dijadikan tambang pulang ke rumah.

Majoriti orang dari kampung dan warga emas gemar mengunjungi Klinik Maha kerana pada ketika itu ia merupakan satu-satunya klinik milik orang Melayu di Kedah.

Malah, terdapat juga pesakit yang datang dari negeri Perlis.

2 tahun bersama Dr. Mahathir, Dr. Mohamed memberitahu majikannya itu masuk kerja sebelum matahari terbit dan pulang selepas matahari tenggelam.

Datang bukan tujuan kesihatan

Sejarah Klinik MAHA Yang Diasaskan Oleh Tun Mahathir

Disebabkan ketika itu Dr. Mahathir terkenal dengan karier politiknya dan digelar sebagai "Dr. UMNO", terdapat mereka yang datang ke klinik bukan untuk tujuan rawatan tetapi politik.

Selain itu, Dr. Mahathir juga kerap masuk ke kampung-kampung jika dipanggil, malah terpaksa menumpang basikal atau motosikal penduduk setempat jika laluan ke rumah pesakit tidak dapat dimasuki menggunakan kereta.

Setelah memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada PRU tahun 1974 dan dilantik menjadi Menteri Pendidikan pada ketika itu, Dr. Mahathir terpaksa berhenti daripada menjadi pegawai perubatan dan menumpukan tugasnya sebagai menteri kabinet.

Tugas mengendalikan Klinik Maha diambil alih oleh Dr. Mohamed Yacob sejak itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Qatar Tawar Kontrak Hampir RM1 Bilion Untuk Zinedine Zidane Latih Pasukan Bola Sepak

Qatar Tawar Kontrak Hampir RM1 Bilion Untuk Zinedine Zidane Latih Pasukan Bola Sepak

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu dan itulah yang boleh digambarkan kepada pemain legenda Perancis, Zinedine Zidane apabila menjadi jurulatih yang menerima tawaran paling lumayan di muka bumi ini iaitu £120,000 (RM635,368) sehari untuk mengemudi skuad kebangsaan Qatar pada saingan Piala Dunia 2022 nanti.

Qatar Tawar Kontrak Hampir RM1 Bilion Untuk Zinedine Zidane

Zidane, 45, baru-baru ini mengejutkan ramai pihak apabila secara tiba-tiba melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Real Madrid hanya berselang lima hari menjulang Piala Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut bersama The Galacticos sekali gus membuka ruang kepada Qatar membuat tawaran tersebut.

Sekiranya Zidane menerima tawaran itu, beliau dijangka memperoleh pendapatan £44 juta (RM232 juta) setahun selain mengumpul kekayaan £176 juta (RM934.61 juta) bagi tempoh kontrak selama empat tahun bersama skuad dikenali sebagai Al-Annabi (The Maroons) tersebut.

Mengesahkan jumlah tersebut sudah tersedia untuk ditandatangani ialah bilionair berpengaruh di Mesir, Naguib Sawiris yang memuat naik status mengenai hal itu pada akaun Twitter miliknya.

Selain tawaran lumayan daripada Qatar, Zidane turut mempunyai pilihan lain terutamanya Chelsea yang dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya memandangkan Antonio Conte dijangka meninggalkan Stamford Bridge hujung musim ini.

Pada masa sama, Zidane mungkin merupakan pengurus pasukan Perancis seterusnya jika skuad Les Bleus itu gagal pada saingan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Nurul Shamsul, Gadis Melayu Berhijab Pertama Sertai Miss Universe New Zealand

Nurul Shamsul, Gadis Melayu Berhijab Pertama Sertai Miss Universe New Zealand

Penyertaan peserta wanita beragama Islam dan berhijab dalam pertandingan ratu cantik bukanlah sesuatu yang baharu.

Nurul Shamsul, Gadis Melayu Berhijab Pertama Sertai Miss Universe New Zealand

Halima Aden, peserta separuh akhir Miss Minnesota USA 2016, merupakan contoh terbaik yang berjaya membawa imej ratu cantik beragama Islam yang berhijab dengan sempurna.

Begitu juga dengan pertandingan Puteri Indonesia, di mana saban tahun beberapa peserta yang dipilih mewakili wilayah tertentu juga tampil berhijab.

Namun pertama kali dalam sejarah, apabila seorang gadis Melayu berdarah campuran Indonesia yang berasal dari Malaysia berjaya disenarai pendek sebagai peserta Top 20 dalam pertandingan Miss Universe New Zealand.

Nurul Shamsul, 20 tahun, dilahirkan di Ampang, Selangor, dan dibesarkan di New Zealand, merupakan peserta berhijab pertama yang berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik tersebut.

Menerusi beberapa entri di laman media sosial miliknya, Nurul menyifatkan penyertaannya itu sebagai sesuatu yang memecahkan stereotaip dan berharap agar niatnya itu tidak disalah tafsir.

Beliau mengakui mempunyai ibu berketurunan Indonesia dan ayahnya seorang rakyat Malaysia.

Remember to VOTE for me for Miss Universe New Zealand;

Ibu saya keturunan Indonesia, Papa saya Malaysia. Lahir dekat Ampang, Selangor, Malaysia.

—Nurul Shamsul (@nurulzbshamsul) June 2, 2018

Selain itu, Nurul yang juga penuntut di University of Waikato juga berharap agar erti sebenar kecantikan dapat digambarkan dengan betul dan tidak hanya terhad kepada paras rupa dan bentuk badan semata-mata.

Satu-satunya wakil New Zealand yang berjaya dinobatkan sebagai Miss Universe sebelum ini ialah Lorraine Elizabeth Downes pada 1983.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Sunday, June 03, 2018

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

Lailatur Qadar atau biasa disebut sebagai “malam seribu bulan” adalah satu malam yang sangat istimewa di bulan Ramadhan dan mereka yang berpuasa di bulan ini sangat mendambakannya, sebab malam Lailatur Qadar memiliki banyak keutamaan dan keistimewaan.

8 Tanda Malam Lailatul Qadar

Lailatul Qadar atau Lailat Al-Qadar adalah satu malam penting yang terjadi pada bulan Ramadhan, yang dalam Al Qur’an digambarkan sebagai malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Dan juga diperingati sebagai malam diturunkannya Al Qur’an.

Deskripsi tentang keistimewaan malam ini dapat dijumpai pada Surah Al-Qadar, surat ke-97 dalam Al Qur’an.

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa terjadinya malam Lailatul Qadar itu pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan, hal ini berdasarkan hadits dari Aisyah yang mengatakan, ”Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan dan dia bersabda, yang ertinya, “Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR: Bukhari 4/225 dan Muslim 1169).

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa Lailatul Qadar kemungkinan akan “diwujudkan” oleh Allah pada malam ganjil, tetapi mengingat umat islam memulai awal puasa pada hari atau tanggal yang berbeza, maka umat islam yang menghendaki untuk mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar dapat “mencarinya” setiap malam.

Agar kita yang menghendaki “mendapatkan” Lailatul Qadar, maka berbuka puasalah “sekadarnya” saja agar badan tidak “menjadi berat” dan malas serta menjadi sebab ngantuk dan mudah tertidur, sehingga yang kita inginkan untuk mendapatkan Lailatul Qadar tidak membuahkan hasil.

Penetapan dan pengaturan sehingga Lailat Al-Qadar difahami sebagai malam penetapan Allah bagi perjalanan hidup manusia.

Penggunaan Qadar sebagai ketetapan dapat ditemui pada surah Ad-Dukhan ayat 3-5:

"Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada suatu malam, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.

"Pada malam itu dijelaskan semua urusan yang penuh hikmah, iaitu urusan yang besar di sisi Kami Kemuliaan.

"Malam tersebut adalah malam mulia tiada bandingnya. Ia mulia kerana terpilih sebagai malam turunnya Al-Quran."

Penggunaan Qadar yang merujuk pada kemuliaan dapat ditemui pada surat Al-An’am (6): 91 yang berbicara tentang kaum musyrik: "Mereka itu tidak memuliakan Allah dengan kemuliaan yang semestinya, tatkala mereka berkata bahawa Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada masyarakat."

Apakah kamu termasuk yang ingin mendapat malam Lailatur Qadar?

Kalau begitu, mari semak 8 tanda-tanda malam Lailatul Qadar yang menakjubkan berikut ini.

1. Suasana Sejuk di Malam Lailatul Qadar

Saat malam Lailatul Qadar, udara terasa sejuk. Tidak panas dan tidak dingin. Suasananya sangat nyaman. Di malam itu tidak ada hawa yang panas mahupun dingin.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Lailatul qadar adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan.” (HR. Ath Thoyalisi dan Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman, lihat Jaami’ul Ahadits 18/361, shahih).

Suasana memang sangat sejuk sekali, sehingga terasa nikmat bagi mereka yang beritikaf lalu menemui satu malam ini.

Syaikh Khalid Al-Mushlih hafizhahullah menyatakan bahawa tidak ada tanda khusus jika seseorang telah mendapatkan Lailatul Qadar.

Terang beliau, kalau kita memperbanyak beribadah terus menerus di sepuluh hari terakhir Ramadhan, tentu akan mendapatkan malam penuh kemuliaan tersebut.

Yang patut pula difahami bahawa cara menghidupkan malam tersebut boleh dengan mengerjakan shalat Isya, shalat tarawih (shalat malam) dan shalat shubuh.

Mengerjakan ketiga shalat ini dapat dicatat telah mengerjakan shalat semalam suntuk.

Malam Lailatul Qodar yang ada di dalam Al-Qur’an dijelaskan dengan malam penuh berkah dan ketenangan.

Semua malam akan berbeza saat telah memasuki malam Lailatul Qodar ini.

Sebab saat malam penuh berkah ini membuat suasana menjadi tenang, udara akan terasa sangat sejuk, tak terasa panas, tidak terasa dingin, tidak hujan dan tidak terjadi pelemparan bintang (meteor).

Apalagi suasana di dalam sebuah keluarga akan terasa nyaman sekali, dimana tidak memiliki kesamaan dengan malam-malam sebelumnya dalam bulan Ramadhan.

2. Suasana Malam yang Tenang

Saat tiba malam lailatul Qadar, suasana terasa sangat tenang. Tidak ada kebisingan. Semuanya terasa amat tenteram.

Inilah malam yang terasa sangat khidmat untuk beribadah kepada Allah SWT.

Dalam surat Al Qadar ayat 4 dijelaskan, “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril”.

Banyak malaikat yang akan turun pada malam Lailatul Qodar, kerana banyaknya keberkahan di malam Lailatul Qodar tersebut.

Turunnya malaikat ke dunia untuk menandakan turunnya berkah dan rahmat.

Seperti halnya ketika malaikat turun saat ada yang membaca Alqur’an, sebagaimana mereka akan mengelilingi orang-orang yang berbeza dalam sebuah majlis zikir.

Seperti juga malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu, kerana malaikat sangat mengagungkan mereka.

Suasana pada malam itu memang sangat tenang sekali, tak ada suara kicau burung atau binatang lain pada malam itu.

Jika kita boleh melihat pun, semua tumbuhan di dunia ini bersujud kepada Allah SWT pada malam itu.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, "Barang siapa melaksanakan solat pada malam lailatul qodar kerana iman dan mengharapkan redha dari Allah SWT, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari)

3. Suasana Malam Cerah

Malam saat Lailatul Qadar langit tampak cerah. Langit tampak terang dan terlihat indah.

Hal ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Malam itu adalah malam yang cerah iaitu malam ke dua puluh tujuh (dari bulan Ramadhan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi harinya matahari terbit berwarna putih tanpa sinar yang menyorot.” (HR. Muslim no. 762)

Dalam hadist lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Sabda Rasulullah Saw, "Sesungguhnya aku diperlihatkan lailatul qodr lalu aku dilupakan, ia ada di sepuluh malam terakhir.

"Malam itu cerah, tidak panas dan tidak dingin bagaikan bulan menyingkap bintang-bintang.

"Tidaklah keluar syaitannya hingga terbit fajar.” (HR. Ibnu Hibban).

Kamu boleh cuba perhatikan ini di 10 malam terakhir Ramadhan.

Saat langit malam tampak cerah, boleh jadi itu adalah saat malam Lailatul Qadar tiba.

Ibnu Katsir menjelaskan dalam kitab tafsirnya, bahawa pencatatan takdir di lauhul mahfudh dalam setahun akan dirinci pada malam lailatul qodar, juga akan dicatat ketentuan ajal dan rezeki.

Perlu diingat juga, keterangan dari Imam Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim bahwa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah SWT.

Takdir ini nantinya akan diperlihatkan pada malaikat dan ia akan mengetahui apa yang akan terjadi, kemudian ia akan melakukan tugas sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya.

4. Matahari Bersinar Lembut

Di pagi hari setelah malam Lailatul Qadar, sinar matahari bersinar dengan lembut dan suasana hari itu pun terlihat cerah.

Hal ini seperti diterangkan dalam sebuah hadits, ”Lailatul qodr adalah malam yang cerah, tidak panas dan tidak dingin, matahari pada hari itu bersinar kemerahan lemah.”

Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang dishahihkan oleh Al Bani.

5. Angin Berhembus Sepoi-sepoi

Pada malam Lailatul Qadar, angin pun berhembus lembut. Ini membuatkan suasana terasa sangat nyaman. Tidak panas dan juga tidak dingin.

6. Tidak Hujan

Pada malam Lailatul Qadar, tidak terjadi hujan. Saat itu malam terasa begitu syahdu dengan suasana langit yang cerah.

7. Terjadi di 10 Hari Terakhir Ramadhan

Malam Lailatul Qadar terjadi di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Hal ini seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari no. 2020 dan Muslim no. 1169)

8. Tiba di Malam Ganjil

Kedatangan malam Lailatul Qadar lebih mungkin terjadi di malam-malam ganjil bulan Ramadhan.

Hal ini seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari no. 2017)

Tanda-tanda malam Lailatul Qadar ini bukan kemudian justeru menyibukkan kita untuk melihat dan mengamati apakah suatu malam itu adalah malam Lailatul Qadar atau bukan.

Namun sebaliknya, tiap hari, sejak awal hingga akhir Ramadhan, kita terus memperbanyak ibadah pada Allah, dengan melaksanakan shalat, berdzikir dan bertilawah.

Terutama di sepuluh hari terakhir Ramadhan itu, kita perlu kian giat beribadah pada Allah SWT.

Dengan demikian, pastilah malam penuh berkah itu tak akan luput kita peroleh. Tak ada seorang pun yang tahu bila tamu agung itu akan datang.

Hanya Allah SWT yang mengetahui bila malam yang lebih baik dari 1.000 bulan itu akan menghampiri hambanya.

Terlebih, sebagai tamu agung, Lailatul Qadar hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang mendapat taufik dan beramal saleh pada malam itu.

Mengapa begitu? Supaya kita semakin giat mencarinya sepanjang hari, khususnya pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan.

Cara Mengetahui Malam Lailatul Qadar dari Pengalaman para Ulama

Selain 8 tanda-tanda diatas, ada beberapa cara untuk kita mengetahui dan mendapatkan malam Lailatul Qadar.

Cara ini berdasarkan kebiasaan mereka dalam memahami dan mencintai agama Allah salah satunya untuk mendapatkan keutamaan Lailatul Qadar yang disusun di beberapa kitab terjemahan mereka.

Beberapa diantaranya adalah sebagai berikut.

Pertama, iaitu di ambil dari kitab I’anatuththaalibiin juz II halaman 257, cetakan al ‘Alawiyyah Semarang:
  • Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu maka lailatul qodar malam 29
  • Jika awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 21
  • Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumat maka lailatul qodar malam 27
  • Jika awal Ramadhan hari Kamis maka lailatul qodar malam 25
  • Jika awal Ramadhan hari Sabtu maka lailatul qodar malam 23

Kedua, adalah sumber yang diambil dari kitab Hasyiyah ash Shaawi ‘alal Jalaalain juz IV halaman 337, cetakan Daar Ihya al Kutub a ‘Arabiyyah:
  • Kalau awal Ramadhan hari Ahad maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 21
  • Kalau awal Ramadhan hari Selasa maka lailatul qodar malam 27
  • Kalau awal Ramadhan hari Rabu maka lailatul qodar malam 19
  • Kalau awal Ramadhan hari Kamis maka lailatul qodar malam 25
  • Kalau awal Raamadhan hari Jumat maka lailatul qadar malam 17
  • Kalau awal Raamadhan hari Sabtu maka lailatul qadar malam 23

Cara yang ketiga yang diambil dari kitab Hasyiyah al Bajuri ‘ala Ibni Qaasim al Ghaazi juz I halaman 304, cetakan Syirkah al Ma’arif Bandung:
  • Kalau awal Ramadhan hari Jumat maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Sabtu maka lailatul qodar malam 21
  • Kalau awal Ramadhan hari Ahad maka lailatul qodar malam 27
  • Kalau awal Ramadhan hari Senin maka lailatul qodar malam 29
  • Kalau awal Ramadhan hari Selasa maka lailatul qodar malam 25
  • Kalau awal Raamadhan hari Rabu maka lailatul qadar malam 27
  • Kalau awal Raamadhan hari Kamis maka malam ganjil setelah malam 20

Wallaahu A’lamu Bishshawaab

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ezdiet

Google Syarikat Paling Kaya Di Dunia Tahun 2018

Google Syarikat Paling Kaya Di Dunia Tahun 2018

Google nampaknya mengulangi kejayaan tahun lalu selepas berjaya mengekalkan tempat pertama sebagai syarikat paling bernilai dunia bagi berdasarkan data terbaru daripada consultancy BrandZ.

Google Syarikat Paling Kaya Di Dunia Tahun 2018

Jumlah nilai syarikat yang direkodkan bagi Google adalah $302.06 billion (~RM1.206 trilion) didapati meningkat 23% berbanding tahun lalu.

Tempat kedua berjaya diduduki oleh syarikat Apple yang bernilai $300.59 billion (~RM1.2 trilion).

Berikut merupakan senarai penuh 100 syarikat paling bernilai bagi tahun 2018.

Google Syarikat Paling Kaya Di Dunia Tahun 2018

Tahniah diucapkan buat Tencent kerana berjaya memecah monopoli syarikat teknologi yang sudah lama dipegang oleh syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Saturday, June 02, 2018

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Seperti hidupan laut yang lain, ikan juga mempunyai rupa bentuk dan warna yang bermacam-macam dan di antara spesis-spesis ini, beberapa spesis daripadanya mempunyai nilai dan harga yang sangat tinggi disebabkan sebab-sebab tertentu.

Kami ingin berkongsi dengan anda 6 spesis ikan tropika paling mahal di dunia.

1. Platinum Arowana

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Dengan harga mencecah RM1.54 juta yang mana anda boleh membeli kereta sport Lamborghini atau Ferrari, ikan arowana Platinum diiktiraf sebagai ikan tropika paling mahal di dunia setakat ini.

Ikan ini mempunyai badan yang panjang, ekor yang tirus dan sisik yang besar.

Ikan ini banyak menghabiskan masanya di permukaan air disebabkan kebolehannya untuk melompat dan menangkap mangsa.

Ia juga dikenali sebagai "ikan naga" dan "ikan monyet".

Agak tak masuk akal untuk menghabiskan wang sebanyak ini hanya untuk seekor ikan, tapi bagi mereka yang mampu bolehlah memiliki ikan yang tersangat rare ini.

Malah, ikan ini dipasangkan mikrocip sebelum mencapai kematangan seksual, membolehkan penyimpanan rekod dan penjejakan ikan ini dibuat.

Walaupun tersangat jarang ditemui, namun tak ada kenyataan rasmi bahawa ikan ini mempunyai status terancam.

Ia juga sangat sukar untuk dijaga dan hanya dimiliki oleh pemilik akuarium yang berpengalaman dan kaya sahaja.

2. Pari Polkadot

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Tak ada siapa yang boleh menyangkal kenyataan bahawa ikan pari adalah haiwan yang sangat unik dan menakjubkan.

Tapi jika anda teringin untuk memiliki spesis ikan pari Polkadot ini, anda perlu siapkan wang yang tinggi, setinggi RM386,000.

Sebab itu anda biasanya boleh melihat ikan pari berbintik ini di akuarium-akuarium dan zoo sahaja dan tidak dalam akuarium di rumah.

Spesis ikan ini biasanya dijumpai di Brazil, di lembangan Sungai Xingu.

Ikan pari Polkadot mampu membesar sehingga 40 sentimeter lebar dan 75 sentimeter panjang dengan berat 20 kilogram.

3. Angelfish Peppermint

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Biasanya ditemui di terumbu karang tropika di Kepulauan Cook dan Rarotonga, Peppermint Angelfish mampu mencecah harga setinggi RM108,000.

Dengan saiz maksima 7 sentimeter, ikan ini memerlukan penjagaan yang sangat rapi dan sukar, serta biasanya bersembunyi di sebalik runtuhan batu-batu.

Jadi, jika anda memiliki ini, penyediaan habitat seperti habitat asal ikan ini adalah sangat kritikal bagi kelangsungan Peppermint Angelfish.

Harga yang sangat mahal ini adalah disebabkan ia tersangat jarang dieksport sebagai spesis haiwan peliharaan.

4. Bladefin Basslet

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Ikan Bladefin Basselt bersaiz agak kecil walaupun ia membesar sepenuhnya.

Ikan ini biasanya ditemui di Pulau Caribbean dan merupakan ikan tropika eksotik.

Ia mampu dijual dengan harga yang sangat tinggi, setinggi RM38,000 kerana sangat sukar ditemui dan ditangkap.

Ia disebabkan Bladefin Basslet tinggal di air yang dalam dan saiz yang kecil sekecil jari kelingking.

Walaupun ia taklah begitu cantik seperti ikan-ikan lain dalam senarai ini, namun harganya yang mahal boleh buat anda ternganga.

5. Kerapu Neptune

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Disebabkan ikan ini cantik dan sangat eksotik, ia membuatkan harganya mencecah setinggi RM23,000 seekor.

Ia mempunyai warna kuning terang di bahagian kepala dengan jalur jingga dan putih pada bahagian badan.

Seperti ikan lain, ikan Kerapu Neptune tersangat jarang ditemui.

Ia biasanya dijumpai di dalam air berkedalaman 80 meter, malah pernah ditemui pada 243 meter di bawah air.

Hanya sedikit sahaja jumlah yang berjaya ditangkap oleh manusia, yang paling besar pernah ditemui adalah sebesar 43 sentimeter.

Namun begitu, di Jepun anda boleh menjumpai ikan ini dijual di tepi jalan dengan harga serendah RM200 sebagai makanan.

Agak pelik kerana ia biasa dijual sebagai makanan dan bukan sebagai haiwan peliharaan.

6. Arowana Nami Hijau

6 Spesis Ikan Tropika Termahal Di Dunia

Mungkin ramai yang mengetahui spesis ikan ini, iaitu Arowana.

Dan ikan Arowana Nami Hijau adalah antara yang termahal di dunia dengan harga RM19,300.

Namun, arowana ini agak lain seperti yang anda tahu, kerana spesis Arowana Nami Hijau adalah sangat jarang ditemui disebabkan warna yang istimewa.

Spesis Arowana ini biasanya ditemui di utara Malaysia iaitu di Tasik Pedu.

Ikan arowana biasanya dijual sebagai haiwan peliharaan namun ia hanyalah arowana berwarna perak dan kerap ditemui.

Spesis arowana ini sangat sukar ditemui dijual sebagai haiwan peliharaan kerana hanya ditangkap oleh nelayan dan tak mampu untuk mengekalkan aktiviti tersebut.

Jadi, itu menyebabkan ia semakin sukar ditemui.

Ia mempunyai warna jingga dan hijau yang sangat terang, sirip jingga pudar dan setompok sisik jingga kekuningan.

Jadi, jika anda pernah melihat atau mempunyai ikan ini, anda sangat beruntung.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi


AirAsia X Diiktiraf Syarikat Tambang Paling Murah Di Dunia 2018

AirAsia X Diiktiraf Syarikat Tambang Paling Murah Di Dunia 2018

Portal tempahan dan pengurusan pelancongan terkemuka, Rome2Rio baru-baru ini mengeluarkan senarai 200 penerbangan komersil termurah di dunia.

AirAsia X Diiktiraf Syarikat Tambang Paling Murah Di Dunia 2018

Laporan yang dikeluarkan hasil kajian pakar teknikal organisasi tersebut menunjukkan AirAsia X mendahului carta sebagai penerbangan termurah di dunia.

AirAsia X dinobatkan sebagai penerbangan termurah berdasarkan harga per kilometer dalam matawang US Dollar.

Air India Express berada di tempat ke-2 diikuti dengan AirAsia Indonesia di tangga ke-3.

Pada tangga ke-18 AirAsia Philippines disenarai sekaligus menjadikan AirAsia sebagai pilihan utama dalam kedudukan 20 teratas.

Laporan tersebut turut menyebut AirAsia X dan AirAsia Indonesia sebagai pilihan penerbangan tambang murah untuk laluan domestik.

AirAsia X Diiktiraf Syarikat Tambang Paling Murah Di Dunia 2018

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Friday, June 01, 2018

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Satu masa dulu dalam penghujung era tahun 80-an, syarikat elektronik Jepun, Sony sedang bekerjasama dengan syarikat Belanda, Philips dalam membangunkan format CD-ROM.

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Pada zaman tersebut, konsol permainan elektronik kebanyakannya masih menggunakan katrij yang terhad kapasitinya jadi format CD-ROM merupakan sesuatu yang dilihat bakal mengubah industri konsol permainan elektronik.

Syarikat Jepun, Nintendo pada ketika itu adalah syarikat permainan video terbesar di dunia namun mereka tidak mempunyai kepakaran dalam membangunkan konsol yang mampu membaca CD-ROM.

Jadi, Nintendo meminta kerjasama Sony untuk membantu mereka.

Kerjasama pertama Nintendo dan Sony

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Sebenarnya, kedua-dua buah syarikat Jepun terkenal itu telah pun bekerjasama untuk menghasilkan cip audio yang dipasang pada semua konsol Super Nintendo.

Cip audio yang dinamakan SPC-700 dihasilkan oleh Sony mampu menghasilkan kualiti audio yang dikatakan setanding kualiti audio CD.

Nintendo yang bergantung kepada storan berbentuk katrij yang kapasitinya terhad serta memerlukan kos yang agak tinggi untuk dihasilkan, merasakan pengalaman Sony membangunkan CD-ROM adalah peluang kerjasama yang tidak perlu dilepaskan.

Syarikat-syarikat permainan video lain seperti NEC dan SEGA ketika itu, sudahpun melancarkan peranti pemain CD-ROM.

Ini membuatkan Nintendo sebagai gergasi nombor 1 permainan video, dilihat ketinggalan di belakang.

Cip audio SPC-700 hasil kerja jurutera Sony bernama Ken Kutaragi membuatkan Nintendo yakin dengan kebolehan Sony, lalu kedua buah syarikat bersetuju untuk mengadakan kerjasama buat kali kedua, dalam membangunkan peranti CD-ROM bagi disambungkan pada konsol Super Nintendo sedia ada.

Sony mahu masuk ke dalam industri permainan video

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Kegagalan usaha Sony dalam industri permainan video menerusi peranti komputer MSX, serta sambutan dingin terhadap rumah penerbitan perisian Sony Imagesoft membuktikan Sony perlu mencari rakan yang berpengalaman, bagi membantu mereka memecah masuk ke dalam industri yang asing bagi mereka.

Melihat sendiri kegilaan masyarakat dunia terhadap Nintendo Gameboy, Sony sedar potensi yang ada sekiranya mereka meluaskan perniagaan mereka ke dalam bidang baru.

Pembangunan peranti penyambung CD-ROM oleh Sony untuk konsol Super Nintendo bermula lewat tahun 1990 dengan teknologi yang dibangunkan Sony jauh mendahului pesaing-pesaing terdekat Nintendo ketika itu.

Bagaimanapun, kerjasama Nintendo dan Sony untuk kali kedua ini berdepan beberapa cabaran baru.

Melihat Sony yang ingin turut sama dalam industri permainan video, Nintendo tidak mahu dominasi mereka dicabar rakan kongsi sendiri.

Perjanjian kedua-dua syarikat pada mulanya memerlukan Sony membangunkan peranti tambahan CD-ROM sahaja untuk Super Nintendo.

Namun, Sony meminta kebenaran untuk membangunkan sendiri satu lagi konsol yang mempunyai keupayaan memainkan katrij Super Nintendo dan format CD-ROM Sony serentak.

Dari situlah Sony melahirkan idea yang dinamakan SNES Playstation.

Taktik keji Nintendo

Perjanjian itu dirasakan berat sebelah oleh Nintendo kerana Sony bukan sahaja mendapat hak kawalan royalti pelesenan penerbitan format CD-ROM untuk konsol mereka bersama, malahan Nintendo tidak mahu Sony mengacau periuk nasi mereka selama ini dengan konsol eksklusif Sony.

Bagaimanapun, Nintendo tetap memerlukan peranti CD-ROM untuk dipasang pada konsol mereka.

Secara senyap-senyap, Nintendo mula bekerjasama dengan Philips membangunkan peranti serupa, tanpa pengetahuan Sony.

Tembelang jahat Nintendo terdedah pada Ekspo Elektronik yang dianjurkan pada tahun 1991.

Sony menggunakan ekspo tersebut untuk mempamerkan format CD-ROM baru yang telah mereka bangunkan serta konsol pemain CD-ROM untuk Super Nintendo.

Keesokannya, dalam ekspo yang sama, Nintendo mengumumkan kerjasama dengan syarikat Philips untuk membangunkan peranti yang mempunyai fungsi sama yang baru saja diumumkan oleh Sony.

Ini menjadi satu tamparan yang amat hebat pada Sony dan nyata sukar diterima, kerana Nintendo menikam Sony daripada belakang.

Nintendo menang dalam pusingan pertama ini dengan cara keji, menjadikan salah satu peranti yang telahpun diusahakan oleh Sony mati sebelum sempat merasai nyawa.

Meneruskan kerjasama walaupun berseteru

Walaupun diperlakukan sebegitu rupa, pelaburan yang telah dicurahkan oleh Sony dalam membangunkan SNES Playstation agak besar dan tidak boleh dipinggirkan sebegitu saja.

Sony dan Nintendo kembali ke meja rundingan bagi meneruskan usaha menghasilkan SNES Playstation.

Kedudukan Nintendo yang pada ketika itu dilihat kukuh sebagai peneraju industri serta Sony yang terdesak mahu meneruskan pelaburan, menyebabkan perjanjian baru di antara kedua syarikat kini lebih memihak kepada Nintendo.

Nintendo berjaya meminda perjanjian supaya hak pengawalan royalti penerbitan bagi SNES Playstation lebih menguntungkan pihak mereka.

Sony sedar Nintendo kini menguasai perjanjian.

Prototaip SNES Playstation yang berfungsi berjaya dibangunkan oleh Sony namun Nintendo seperti sengaja melengah-lengahkan kerjasama peringkat seterusnya.

Melihat sikap Nintendo ketika itu, Sony menuntut mengadakan rundingan semula.

Kedua-dua syarikat mengumumkan pembatalan kerjasama mereka.

Ini menyebabkan SNES Playstation yang sudah siap berfungsi menjadi projek yang terpaksa diabaikan oleh Sony begitu saja.

Setakat ini, hanya sebuah unit prototaip SNES Playstation yang disiapkan Sony telah dijumpai dan berjaya dibaiki semula.

Sony belajar berdikari

Ken Kutaragi SONY

Ken Kutaragi ketika itu melihat segala usahanya selama ini hampir menjadi sia-sia.

Dia melihat potensi daripada apa yang telah mereka lalui.

Berunding dengan pihak atasan Sony, Ken berjaya meyakinkan mereka bahawa Sony sebenarnya mampu meneruskan cubaan mereka masuk ke dalam industri permainan video, tanpa bergantung dengan Nintendo.

Beberapa penambahbaikan dikenali dan cuba diusulkan Ken serta pasukannya.

Sistem prosessor dan cip grafik yang mampu menghasilkan gambar 3 dimensi patut dijadikan asas perkakasan konsol baru Sony.

CD-ROM adalah storan yang perlu digunakan bagi memastikan tiada masalah storan timbul.

Grafik yang perlu dicapai konsol baru Sony sepatutnya setaraf dengan mesin-mesin di arked yang popular ketika itu.

Walaupun begitu, cadangan Ken bagi meneruskan projek mereka ditolak pihak pengurusan Sony.

Pelaburan merekabentuk konsol bersama Nintendo selama beberapa tahun tidak membawa apa-apa pulangan, yang akhirnya menyebabkan kerugian besar pada Sony.

Melihat alasan pengurusan Sony, Ken Kutaragi mula mempersoalkan adakah patut syarikat sebesar Sony membiarkan saja maruah mereka tercalar, berdasarkan apa yang dilakukan Nintendo?

Sony sebagai sebuah syarikat yang mementingkan tradisi sedar perlunya mereka mengembalikan semula reputasi yang telah tercalar.

Ken Kutaragi diberikan peluang serta sokongan untuk meneruskan projeknya dengan harapan besar.

Kemunculan Sony Playstation yang mengambil alih pasaran

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Pada hujung tahun 1994, Sony melancarkan konsol pertama mereka.

Sony Playstation adalah sebuah konsol 32 bit yang jauh lebih berkeupayaan berbanding konsol-konsol lain ketika itu.

Sokongan penerbit dan pengeluar besar seperti Namco dan Squaresoft (ketika itu) membantu Sony menguasai pasaran dan seterusnya memecahkan dominasi Nintendo.

Penggunaan grafik 3 dimensi dalam Playstation menjadikan peminat mula beralih arah.

Tidak lama selepas Playstation dilancarkan, Nintendo mengeluarkan konsol baru mereka Nintendo 64 yang lebih berkuasa berbanding Playstation.

Namun, Nintendo 64 kekal menggunakan storan katrij yang terhad kapasitinya.

Pengeluar permainan video pada ketika itu sudah mula bereksperimentasi mengadunkan video dalam permainan menyebabkan banyak projek lebih mudah dibina dengan Playstation yang menawarkan storan CD-ROM.

Sony Playstation menjadi konsol elektronik komputer pertama di dunia yang mencapai angka jualan 100 juta unit.

Selepas pelancarannya pada tahun 1994, konsol terakhir Playstation dijual pada tahun 2004 sebelum ditamatkan sepenuhnya sokongan untuknya pada tahun 2006.

'Adiknya', Playstation 2 dilancarkan pada tahun 2000 menjadi konsol permainan video paling laris di dunia dengan jualan 155 juta unit dan gelaran itu kekal disandang sehingga kini, belum dapat dipecahkan oleh mana-mana syarikat pesaing mahupun Sony sendiri.

Pencapaian itu sebenarnya sangat-sangat mengagumkan kerana tanpa kejadian-kejadian memalukan menimpa Sony yang dilakukan oleh syarikat Nintendo, Sony Playstation berkemungkinan besar tidak akan terhasil dan dominasi Nintendo dalam bidang permainan video, tidak dapat dipecahkan.

Kini, Playstation telah masuk versi ke empat dan Sony masih berjaya mengekalkan penguasaan mereka dalam industri yang disertai, hanya selepas dipermainkan oleh rakan kerjasama mereka.


Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi