Jumaat, Jun 01, 2018

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Satu masa dulu dalam penghujung era tahun 80-an, syarikat elektronik Jepun, Sony sedang bekerjasama dengan syarikat Belanda, Philips dalam membangunkan format CD-ROM.

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Pada zaman tersebut, konsol permainan elektronik kebanyakannya masih menggunakan katrij yang terhad kapasitinya jadi format CD-ROM merupakan sesuatu yang dilihat bakal mengubah industri konsol permainan elektronik.

Syarikat Jepun, Nintendo pada ketika itu adalah syarikat permainan video terbesar di dunia namun mereka tidak mempunyai kepakaran dalam membangunkan konsol yang mampu membaca CD-ROM.

Jadi, Nintendo meminta kerjasama Sony untuk membantu mereka.

Kerjasama pertama Nintendo dan Sony

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Sebenarnya, kedua-dua buah syarikat Jepun terkenal itu telah pun bekerjasama untuk menghasilkan cip audio yang dipasang pada semua konsol Super Nintendo.

Cip audio yang dinamakan SPC-700 dihasilkan oleh Sony mampu menghasilkan kualiti audio yang dikatakan setanding kualiti audio CD.

Nintendo yang bergantung kepada storan berbentuk katrij yang kapasitinya terhad serta memerlukan kos yang agak tinggi untuk dihasilkan, merasakan pengalaman Sony membangunkan CD-ROM adalah peluang kerjasama yang tidak perlu dilepaskan.

Syarikat-syarikat permainan video lain seperti NEC dan SEGA ketika itu, sudahpun melancarkan peranti pemain CD-ROM.

Ini membuatkan Nintendo sebagai gergasi nombor 1 permainan video, dilihat ketinggalan di belakang.

Cip audio SPC-700 hasil kerja jurutera Sony bernama Ken Kutaragi membuatkan Nintendo yakin dengan kebolehan Sony, lalu kedua buah syarikat bersetuju untuk mengadakan kerjasama buat kali kedua, dalam membangunkan peranti CD-ROM bagi disambungkan pada konsol Super Nintendo sedia ada.

Sony mahu masuk ke dalam industri permainan video

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Kegagalan usaha Sony dalam industri permainan video menerusi peranti komputer MSX, serta sambutan dingin terhadap rumah penerbitan perisian Sony Imagesoft membuktikan Sony perlu mencari rakan yang berpengalaman, bagi membantu mereka memecah masuk ke dalam industri yang asing bagi mereka.

Melihat sendiri kegilaan masyarakat dunia terhadap Nintendo Gameboy, Sony sedar potensi yang ada sekiranya mereka meluaskan perniagaan mereka ke dalam bidang baru.

Pembangunan peranti penyambung CD-ROM oleh Sony untuk konsol Super Nintendo bermula lewat tahun 1990 dengan teknologi yang dibangunkan Sony jauh mendahului pesaing-pesaing terdekat Nintendo ketika itu.

Bagaimanapun, kerjasama Nintendo dan Sony untuk kali kedua ini berdepan beberapa cabaran baru.

Melihat Sony yang ingin turut sama dalam industri permainan video, Nintendo tidak mahu dominasi mereka dicabar rakan kongsi sendiri.

Perjanjian kedua-dua syarikat pada mulanya memerlukan Sony membangunkan peranti tambahan CD-ROM sahaja untuk Super Nintendo.

Namun, Sony meminta kebenaran untuk membangunkan sendiri satu lagi konsol yang mempunyai keupayaan memainkan katrij Super Nintendo dan format CD-ROM Sony serentak.

Dari situlah Sony melahirkan idea yang dinamakan SNES Playstation.

Taktik keji Nintendo

Perjanjian itu dirasakan berat sebelah oleh Nintendo kerana Sony bukan sahaja mendapat hak kawalan royalti pelesenan penerbitan format CD-ROM untuk konsol mereka bersama, malahan Nintendo tidak mahu Sony mengacau periuk nasi mereka selama ini dengan konsol eksklusif Sony.

Bagaimanapun, Nintendo tetap memerlukan peranti CD-ROM untuk dipasang pada konsol mereka.

Secara senyap-senyap, Nintendo mula bekerjasama dengan Philips membangunkan peranti serupa, tanpa pengetahuan Sony.

Tembelang jahat Nintendo terdedah pada Ekspo Elektronik yang dianjurkan pada tahun 1991.

Sony menggunakan ekspo tersebut untuk mempamerkan format CD-ROM baru yang telah mereka bangunkan serta konsol pemain CD-ROM untuk Super Nintendo.

Keesokannya, dalam ekspo yang sama, Nintendo mengumumkan kerjasama dengan syarikat Philips untuk membangunkan peranti yang mempunyai fungsi sama yang baru saja diumumkan oleh Sony.

Ini menjadi satu tamparan yang amat hebat pada Sony dan nyata sukar diterima, kerana Nintendo menikam Sony daripada belakang.

Nintendo menang dalam pusingan pertama ini dengan cara keji, menjadikan salah satu peranti yang telahpun diusahakan oleh Sony mati sebelum sempat merasai nyawa.

Meneruskan kerjasama walaupun berseteru

Walaupun diperlakukan sebegitu rupa, pelaburan yang telah dicurahkan oleh Sony dalam membangunkan SNES Playstation agak besar dan tidak boleh dipinggirkan sebegitu saja.

Sony dan Nintendo kembali ke meja rundingan bagi meneruskan usaha menghasilkan SNES Playstation.

Kedudukan Nintendo yang pada ketika itu dilihat kukuh sebagai peneraju industri serta Sony yang terdesak mahu meneruskan pelaburan, menyebabkan perjanjian baru di antara kedua syarikat kini lebih memihak kepada Nintendo.

Nintendo berjaya meminda perjanjian supaya hak pengawalan royalti penerbitan bagi SNES Playstation lebih menguntungkan pihak mereka.

Sony sedar Nintendo kini menguasai perjanjian.

Prototaip SNES Playstation yang berfungsi berjaya dibangunkan oleh Sony namun Nintendo seperti sengaja melengah-lengahkan kerjasama peringkat seterusnya.

Melihat sikap Nintendo ketika itu, Sony menuntut mengadakan rundingan semula.

Kedua-dua syarikat mengumumkan pembatalan kerjasama mereka.

Ini menyebabkan SNES Playstation yang sudah siap berfungsi menjadi projek yang terpaksa diabaikan oleh Sony begitu saja.

Setakat ini, hanya sebuah unit prototaip SNES Playstation yang disiapkan Sony telah dijumpai dan berjaya dibaiki semula.

Sony belajar berdikari

Ken Kutaragi SONY

Ken Kutaragi ketika itu melihat segala usahanya selama ini hampir menjadi sia-sia.

Dia melihat potensi daripada apa yang telah mereka lalui.

Berunding dengan pihak atasan Sony, Ken berjaya meyakinkan mereka bahawa Sony sebenarnya mampu meneruskan cubaan mereka masuk ke dalam industri permainan video, tanpa bergantung dengan Nintendo.

Beberapa penambahbaikan dikenali dan cuba diusulkan Ken serta pasukannya.

Sistem prosessor dan cip grafik yang mampu menghasilkan gambar 3 dimensi patut dijadikan asas perkakasan konsol baru Sony.

CD-ROM adalah storan yang perlu digunakan bagi memastikan tiada masalah storan timbul.

Grafik yang perlu dicapai konsol baru Sony sepatutnya setaraf dengan mesin-mesin di arked yang popular ketika itu.

Walaupun begitu, cadangan Ken bagi meneruskan projek mereka ditolak pihak pengurusan Sony.

Pelaburan merekabentuk konsol bersama Nintendo selama beberapa tahun tidak membawa apa-apa pulangan, yang akhirnya menyebabkan kerugian besar pada Sony.

Melihat alasan pengurusan Sony, Ken Kutaragi mula mempersoalkan adakah patut syarikat sebesar Sony membiarkan saja maruah mereka tercalar, berdasarkan apa yang dilakukan Nintendo?

Sony sebagai sebuah syarikat yang mementingkan tradisi sedar perlunya mereka mengembalikan semula reputasi yang telah tercalar.

Ken Kutaragi diberikan peluang serta sokongan untuk meneruskan projeknya dengan harapan besar.

Kemunculan Sony Playstation yang mengambil alih pasaran

Sejarah Bagaimana Sony Playstation Menjadi Terkenal Selepas Ditipu Syarikat Nintendo

Pada hujung tahun 1994, Sony melancarkan konsol pertama mereka.

Sony Playstation adalah sebuah konsol 32 bit yang jauh lebih berkeupayaan berbanding konsol-konsol lain ketika itu.

Sokongan penerbit dan pengeluar besar seperti Namco dan Squaresoft (ketika itu) membantu Sony menguasai pasaran dan seterusnya memecahkan dominasi Nintendo.

Penggunaan grafik 3 dimensi dalam Playstation menjadikan peminat mula beralih arah.

Tidak lama selepas Playstation dilancarkan, Nintendo mengeluarkan konsol baru mereka Nintendo 64 yang lebih berkuasa berbanding Playstation.

Namun, Nintendo 64 kekal menggunakan storan katrij yang terhad kapasitinya.

Pengeluar permainan video pada ketika itu sudah mula bereksperimentasi mengadunkan video dalam permainan menyebabkan banyak projek lebih mudah dibina dengan Playstation yang menawarkan storan CD-ROM.

Sony Playstation menjadi konsol elektronik komputer pertama di dunia yang mencapai angka jualan 100 juta unit.

Selepas pelancarannya pada tahun 1994, konsol terakhir Playstation dijual pada tahun 2004 sebelum ditamatkan sepenuhnya sokongan untuknya pada tahun 2006.

'Adiknya', Playstation 2 dilancarkan pada tahun 2000 menjadi konsol permainan video paling laris di dunia dengan jualan 155 juta unit dan gelaran itu kekal disandang sehingga kini, belum dapat dipecahkan oleh mana-mana syarikat pesaing mahupun Sony sendiri.

Pencapaian itu sebenarnya sangat-sangat mengagumkan kerana tanpa kejadian-kejadian memalukan menimpa Sony yang dilakukan oleh syarikat Nintendo, Sony Playstation berkemungkinan besar tidak akan terhasil dan dominasi Nintendo dalam bidang permainan video, tidak dapat dipecahkan.

Kini, Playstation telah masuk versi ke empat dan Sony masih berjaya mengekalkan penguasaan mereka dalam industri yang disertai, hanya selepas dipermainkan oleh rakan kerjasama mereka.


Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi


Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon