Wednesday, January 15, 2020

Legenda Cleopatra: Firaun Wanita Paling Berkuasa Dalam Sejarah Mesir Purba

Legenda Cleopatra: Firaun Wanita Paling Berkuasa Dalam Sejarah Mesir Purba

Cleopatra, Cleopatra Ptolemy VII, Cleopatra VII Thea Neotera atau Cleopatra Philopator, lahir pada Januari 69 SM – 12 Ogos 30 SM, dikenali sebagai wanita paling berbahaya dalam sejarah, penggoda yang telah berjaya memikat lelaki paling berkuasa di dunia ketika itu.

Legenda Cleopatra
Cleopatra VII.

Cleopatra adalah firaun terakhir yang memerintah Mesir di fasa Dinasti Ptolemaic, yang mempunyai darah keturunan dari Ptolemy I Soter, jeneral tentera berdarah Yunani Macedonia yang sentiasa menjadi peneman Alexander the Great ketika perluasan empayar, kemudian mengasaskan Dinasti Ptolemaic sebagai pemula kepada Zaman Hellenistik selepas kemangkatan Alexander.

40 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa, Cleopatra telah menggugat kekuasaan Empayar Rom yang sedang berkuasa, berbanding kuasa lain di dunia ketika itu.

KEHIDUPAN AWAL KE PERLANTIKAN MENJADI FIRAUN

Cleopatra VII adalah puteri kedua dari enam adik beradik hasil perkahwinan ayahandanya, Firaun Ptolemy XII dan ibunya yang masih kabur identitinya.

Berkemungkinan besar ibu Cleopatra adalah Cleopatra VI Tryphaena, juga dikenali sebagai Cleopatra V Tryphaena.

Semasa remaja, Cleopatra mempelajari seni dan falsafah Yunani di institusi Musaeum dan Perpustakaan Alexandria.

Firaun berketurunan Ptolemy diberi takhta oleh organisasi paderi bernama High Priest of Ptah yang mana tradisi kenaikan takhta mempunyai campuran budaya antara Mesir dan Yunani Macedonia.

Dinasti Ptolemy menubuhkan sistem beraja Hellenistik dan menggunakan bahasa Yunani dalam urusan kerajaan.

Walaupun para firaun Ptolemy memerintah Mesir, mereka tidak ingin mempelajari bahasa Mesir Purba yang sekian lama menjadi simbolik ketamadunan orang Piramid ini.

Berlainan dengan Cleopatra di zaman remaja, dia mempelajari bahasa Mesir Purba, menjadikannya sebagai firaun Ptolemy pertama mempelajari lebih satu bahasa.

Cleopatra juga mahir berbahasa Ethiopia, Hebrew, Arab, dialek Syriac, Media, Parthia dan Latin.

Pada tahun 58 SM, Cleopatra pernah menemani ayahandanya ketika pengusiran ke Rom setelah berlaku pemberontakan yang membenarkan Berenice VI, kakak sulung Cleopatra menaiki tahkta.

Pada 55 SM, firaun Ptolemy XII dapat mengembalikan takhtanya dengan bantuan tentera dari Rom yang diketuai oleh jeneral Aulus Gabinius dengan menggulingkan pemerintahan anak sulungnya.

Pada 51 SM, Cleopatra dilantik menjadi firaun selepas kemangkatan ayahandanya.

Di fasa awal pemerintahannya, Cleopatra mengalami banyak dugaan yang menimpa seperti kebuluran akibat kemarau berpanjangan dan hasil pertanian yang tidak berhasil akibat ketidak-kawalan terhadap paras air Sungai Nil.

Cleopatra juga terpaksa menghadapi kerenah askar Gabiniani, iaitu sebilangan askar Rom yang diperintah oleh jeneral Gabinius, bertugas menjaga ayahanda Cleopatra atas sebab perlindungan setelah firaun Ptolemy XII mendapat takhtanya dari tangan pengkhianat.

Dan lagi, Cleopatra harus melangsaikan hutang ayahnya kepada Rom sebanyak 17.5 juta drachmas.

PERANG SIVIL

Pada 29 Ogos 51 SM, Cleopatra menjadi pemerintah tunggal mengikut rekod penulisan bersama bukti bahawa dia tidak mengiktiraf adik lelakinya, Ptolemy XIII sebagai pemangku serta menolak perkahwinan sesama mereka.

Perkahwinan sesama adik-beradik adalah tradisi yang diamalkan sejak pemerintahan Firaun Ptolemy II, di mana baginda berkahwin dengan kakaknya, Arsinoe II.

Ptolemy yang tidak berpuas hati dengan tindakan Cleopatra itu membina pengaruhnya dengan mengajak Potheinos, seorang sida, penasihat dan pengurus harta; komander perang iaitu Achillas, dan gurunya Theodotus of Chios bersatu menentang Cleopatra.

Pada 49 SM, Ptolemy XIII memulakan perlantikan dirinya sebagai pemerintah dan berperang dengan Cleopatra di kota Alexandria.

Di akhir peperangan, Cleopatra terpaksa berundur ke Thebes atas kekalahannya menentang adik sendiri.

Pada musim luruh 48 SM, Cleopatra pergi ke Syria, salah satu jajahan Rom bersama adik perempuannya, Arsinoe IV bagi mengumpul kekuatan tentera untuk menumbangkan Ptolemy XIII sekali lagi.

Namun, kempen peperangan ke Alexandria terhenti kerana terpaksa berhadapan dengan askar Gabiniani dan askar adiknya, memaksa Cleopatra membina kubu di timur delta Sungai Nil.

Di Greece, empayar Rom juga mengalami perang sivil terbesar iaitu Perang Sivil Caesar dan Perang Pharsalus, melibatkan tentera kedua-dua jeneral perang berpengaruh, Julius Caesar dan Pompey pada 9 Ogos 48 SM.

Tentera Pompey mengalami kekalahan teruk dan terpaksa berundur ke kota Tyre yang terletak di Lubnan.

Kemudian, Pompey memilih Mesir untuk memulihkan kekuatan tenteranya. Sebab? Dia mempunyai hubungan erat dengan kerabat diraja Ptolemy.

Penasihat Ptolemy XIII yang mengetahui misi Pompey itu, menyatakan rasa tidak selesa dengan kehadiran Pompey dan bala tenteranya.

Maka, misi membunuh Pompey dilaksanakan dengan rancangan jeneral Theodotus.

Pada mulanya, surat jemputan dihantar kepada Pompey untuk berlabuh di perlabuhan berdekatan kota Pelousion, seterusnya menyerang gerombolan Pompey dan memancung kepalanya.

Dengan kepala Pompey yang dipancung, Ptolemy XIII dapat menunjukkan kuasanya dengan menyerahkan kepala tersebut kepada Caesar.

Tindakan Ptolemy XIII mengundang kemarahan Caesar dan memaksa Ptolemy dan Cleopatra untuk berdamai di hadapan Caesar di istana kerajaan dinasti Ptolemy.

CLEOPATRA BERSAMA JULIUS CAESAR

Cleopatra cuba menghantar utusan sebagai wakilnya dalam pertemuan damai itu namun apabila mendengar khabar bahawa Caesar lebih selesa berurusan dengan kerabat diraja wanita, Cleopatra datang bersemuka dengannya sendirian.

Menurut sejarahwan Rom bernama Cassius Dio melalui penulisan rekodnya, Cleopatra tidak memaklumkan kehadiran dalam pertemuan itu, sebaliknya menyeludup masuk ke istana dengan memasuki gulungan tilam, bertemu Caesar berdua-duaan dengan memakai pakaian menjolok mata dan menggoda dengan kebijaksanaannya.

Ptolemy XIII menyedari tindakan kotor Cleopatra dan mula menghasut penduduk Alexandira untuk memberontak.

Caesar mengesan tindakan gila Ptolemy itu dan telah menangkapnya, sebelum menenangkan orang ramai dengan kepetahan pidatonya.

Pada akhir pertemuan ini, Cleopatra menang dengan kelayakannya sebagai pemerintah Mesir melalui wasiat ayahandanya.

Ptolemy XIII tidak berpuas hati dan meminta pertolongan adiknya yang memerintah kerajaan Cyprus, Arsinoe IV membawa pasukan tentera seramai 20,000 orang untuk menawan Alexandria.

Caesar dan Cleopatra yang tidak dapat melawan Ptolemy XIII terperangkap dalam istana seperti banduan sehinggalah 47 SM.

Antara bulan Januari dan Mac 47 SM, bantuan ketenteraan Rom tiba ke Alexandria kemudian memaksa Ptolemy XIII dan Arsinoe IV berundur ke Sungai Nile.

Ptolemy XIII lemas dalam percubaan melarikan diri menggunakan bot manakala Arsinoe IV ditangkap kemudian dibawa ke ibu kota Rom, kemudian mendapat hukuman buangan ke kuil Artemis yang bertempat di Ephesus.

Walaupun Caesar berjaya menghapuskan kebangkitan pemberontakan Ptolemy XIII, namun status Caesar sebagai ahli konsul telah tamat pada akhir 47 SM.

Pegawainya iaitu Antony berjaya membantu Caesar mendapat lantikan sebagai Dictator, nama bagi ahli majistret republik Rom dan mendapat kuasa bagi menyelesaikan konflik di Mesir.

Bagi memastikan Cleopatra tidak keterlaluan dalam memerintah seperti apa yang kakaknya lakukan, Caesar melantik adik lelaki Cleopatra iaitu Ptolemy XIV sebagai pemerintah kedua melalui perkahwinan sesama adik-beradik.

Perkahwinan ini hanya sebagai langkah politik dan tiada hubungan cinta antara Cleopatra dan adiknya.

Yang benar ialah, Caesar dan Cleopatra menjalin hubungan cinta secara sulit.

Pernah Caesar mengikuti rombongan Cleopatra berlayar di Sungai Nil bagi melihat monumen-monumen Mesir Purba kerana Caesar ingin mengetahui lebih lanjut tentang sungai ini.

Tetapi sejarahwan sepakat bahawa, rombongan ini hanyalah pertemuan romantik Caesar dan Cleopatra, tidak lebih dari itu.

Hasil dari hubungan sulit mereka berdua, lahirlah anak lelaki bernama Caesarion atau ‘Firaun Caesar’ pada 23 Jun 47 SM.

Caesar tidak ingin anak hasil dari ratu Mesir diketahui sesiapa terutamanya isteri ketiganya iaitu Calpurnia namun berlainan dengan Cleopatra, berkali-kali mengumumkan kelahiran Ceasarion di khalayak ramai.

Lebih memeranjatkan, Cleopatra bersama Ptolemy XIV, membawa Caesarion pergi melawat di Rom bagi bertemu dengan Caesar.

Selepas lawatan itu, Caesar dibunuh pada 15 Mac 44 SM dalam satu konspirasi yang dirancang ahli senat yang khuatir kekuasaan Caesar bakal melahirkan pemerintahan diktator.

Beberapa bulan kemudian, Ptolemy XIV mati diracun oleh Cleopatra dan mengangkat Caesarion yang berumur 3 tahun menggantikan tempat adiknya.

CLEOPATRA DAN PERANG SAUDARA LIBERATORS

Akibat dari pembunuhan Caesar, perang saudara berlaku pada 42 SM bagi membela kemangkatan Caesar oleh persekutuan Second Triumvirate menentang para pembunuh Caesar.

Kedua-dua pihak iaitu Gaius Cassius Longinus, salah seorang pembunuh Caesar dan Publius Cornelius Dollabella, wakil konsul di Syria dan pegawai setia Caesar, menulis surat memohon bantuan tentera daripada Cleopatra.

Sudah semestinya Cleopatra berpihak kepada pembela Caesar, maka Cleopatra secara sopan menolak permintaan Cassius dengan alasan kerajaan sendiri juga mengalami konflik dalaman padahal dia secara senyap menghantar 4 gerombolan tentera legion yang Caesar tinggalkan kepada Cornelius.

Di akhir peperangan, pada 42 SM, pembela Caesar memenangi peperangan dalam Perang Kota Philippi dan membawa kepada pembunuhan Cassius dan seorang lagi pembunuh Caesar, Marcus Junius Brutus.

Pada musim panas 41 SM, setelah Second Triumvirate menguasai seluruh empayar Rom, salah seorang ahli persekutuan iaitu Marcus Antonius atau Antony, menubuhkan ibu pejabat Tarsos di Anatolia dan mengajak Cleopatra untuk bertemu dengannya melalui surat.

Pada mulanya Cleopatra menolak ajakan Antony namun setelah dipujuk oleh utusan Antony iaitu Quintus Dellius, baginda pergi ke Tarsos dengan kapal mewahnya.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Cleopatra untuk menerangkan salah sangka bahawa baginda memihak kepada para pembunuh Caesar, setelah berkali-kali bantuannya lambat tiba berjuang bersama tentera pembela.

Namun yang sebenarnya, Antony telah lama berkenan dengan Cleopatra dan ingin memulakan hubungan cinta mereka walaupun dia sendiri mempunyai isteri ketiga bernama Fulvia yang turut berjuang dalam politik Rom.

CLEOPATRA BERSAMA ANTONY

Pada November 41 SM, Antony tiba di Alexandria atas jemputan Cleopatra. Dia menaiki kapal mewah Cleopatra dan mendapat sambutan baik dari penduduk Mesir kerana kehadirannya sama seperti Caesar, tidak membawa rombongan tentera Rom.

Cleopatra menerima cinta Antony bukan kerana cinta semata. Antony seperti Caesar, ahli politik yang berpengaruh.

Dia adalah calon terbaik bagi Cleopatra untuk melahirkan pewaris yang kuat seperti mana hubungan sulitnya dengan Caesar.

Sepanjang bersama Antony, dia dapat merampas mana-mana tanah bekas jajahan dinasti Plotemy seperti Cilicia dan Cyprus (masa itu milik Rom) dan mengembalikannya kepada Cleopatra menggunakan kuasanya sebagai ahli sekutu Triumvirate.

Pada musim bunga 40 SM, Antony harus meninggalkan Mesir bagi berhadapan dengan konflik dalaman di jajahan Syria.

Cleopatra membantu Antony dengan memberikan 200 buah kapal bagi memudahkan ekspedisi ke Syria.

3 tahun mereka berdua berpisah namun Cleopatra tidak terputus hubungan dengan kekasihnya itu.

Pada akhir 40 SM, Cleopatra melahirkan pasangan kembar berlainan jantina, bernama Alexander Helios dan Cleopatra Selene II.

Cleopatra menamakan anaknya Helios (bermaksud matahari) dan Selene (bermaksud bulan) dari nama dewa-dewi Yunani kerana mengharapkan, inilah petunjuk bahawa pada masa akan datang, Antony berupaya menakluk empayar Parthia seperti Alexander The Great lakukan dulu.

Setelah Fulvia meninggal dunia, Antony dipaksa membuktikan kesetiaannya kepada Octavian dengan mengahwini adik perempuan Octavian.

Pada 37 SM, Antony bertemu Cleopatra dan memohon untuk menampung perbelanjaan kempen peperangan Antony menentang Kerajaan Parthia.

Sebagai balasan, dia bersetuju menyerahkan kawasan timur Mesir termasuklah Cyprus, Crete, Cyrenaica (Libya), Jericho dan sebahagian besar Syria dan Lubnan.

Cleopatra bersetuju dan mereka tinggal bersama lagi sebagai kekasih, sehinggalah Cleopatra melahirkan anak lelaki kedua bernama Ptolemy Philadelphos pada 36 SM.

Walaupun memperoleh bantuan Cleopatra bagi melancarkan perang, Antony kalah teruk di tangan Parthia.

Antony memutuskan penceraian dengan adik perempuan Octavian dan kembali ke Mesir untuk bertemu Cleopatra.

Pada tahun 34 SM, ketika Rom mengadakan sambutan "Donations of Alexandria", Antony mengumumkan bahawa Caesarion adalah anak Caesar dan layak memerintah Rom berbanding Octavian yang cuma berstatus anak angkat.

Perkara ini mengundang kepada perang propaganda antara Antony dan Octavian, di mana bagi pihak Octavian, Antony telah dipengaruhi oleh Cleopatra demi menjadikan Mesir sebagai ibu kota Rom.

Pada akhir tahun 32 SM, Senat melucutkan semua jawatan Antony dan Octavian mengisytiharkan peperangan kepada Cleopatra.

DI AKHIR KEHIDUPAN CLEOPATRA

Pada 2 September 31 SM, bala tentera Octavian telah mengalahkan gabungan tentera pimpinan Antony dan Cleopatra dalam Perang Actium.

Kapal perang Cleopatra meninggalkan perang tersebut dan kembali ke Mesir bersama Antony dengan beberapa buah kapal lain.

Ketika Alexandira diserang oleh tentera Octavian pada 30 SM, Cleopatra terpaksa memalsukan kematiannya dan membawa berita ini kepada Antony.

Setelah mendengar khabar tersebut, Antony membunuh diri dalam kekalahan dan tewas dalam mengekalkan kekuasaan Cleopatra.

Octavian memberi peluang kepada Cleopatra untuk tunduk kepada Rom namun dia berkeras dan mengurung dirinya di bilik tidur bersama dua orang pembantunya.

Dalam pengurungan, Cleopatra mendengar berita bahawa dia dan keluarganya akan dibawa ke Rom, lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Dikatakan, melalui Plutarch, Cleopatra membenarkan dirinya digigit oleh sejenis ular berbisa Asp yang berkait dengan simbol keabadian.

Mungkin atas dasar mengekalkan keabadian diri selamanya, dia berbuat sedemikian.

Octavian begitu marah namun dia harus menunaikan permintaan terakhir Cleopatra iaitu kuburnya ditanam bersebelahan dengan Antony.

Caesarion pula berhijrah ke Utara Mesir dan memerintah selama 18 hari, kemudian terpaksa menerima hukuman mati pada 29 Ogos 30 SM di Alexandira kerana berhadapan dengan tuduhan palsu tentang pelantikan dirinya sebagai raja yang dipersetujui oleh Octavian.

Dengan ketiadaan pewaris keturunan Ptolemy, Octavian mengistiharkan Mesir berada dalam jajahan Rom.

Maka, Octavian menjadi Maharaja Rom pertama dengan gelaran Augustus. Cleopatra cuma berumur 39 tahun ketika kemangkatannya dan telah memerintah Mesir selama 22 tahun.

Cleopatra boleh dikatakan sebagai wanita besi walaupun bersikap Machiavellianism kerana baginda mampu mempertahankan kemerdekaan Mesir selagi mana dia bergelar Firaun dan mempunyai tanggungjawab kepada rakyatnya, walaupun terpaksa menggoda dua tokoh politik terkenal.

Baginda juga mampu mempertahankan sebuah tradisi Mesir Purba bernama ma’at – keseimbangan dan keharmonian – selagi mana tradisi tersebut masih dipraktikan.

Walaupun Cleopatra bukan berdarah Mesir, namun dia adalah simbolik kewanitaan yang mempunyai sumbangan terbesar dalam sejarah tamadun Mesir Purba.

Kini, legasi Cleopatra diabadikan dalam dunia dokumentasi sejarah Mesir Purba seperti National Geographic dan Ancient History.

Tidak ketinggalan dunia perfileman juga menyiarkan kehidupan Cleopatra dalam politik 'godaan' dalam filem Cleopatra (1963) arahan Joseph L. Mankiewicz.

Di Jepun, syarikat Design Works yang mencipta mobile game Fate/Grand Order – video permainan mengenai Perang Holy Grail, peperangan antara ahli sihir bersama penemannya berupa roh tokoh sejarah bernama Servant – menerapkan watak Cleopatra sebagai Servant dengan kelasnya sebagai Assassin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, January 01, 2020

Legenda 'Dangun Wanggeom' Pengasas Tamadun Korea

Legenda 'Dangun Wanggeom' Pengasas Tamadun Korea

Menurut tradisi Korea, Dangun Wanggeom (juga dikenali sebagai Dangun atau Tangun) merupakan pengasas Gojoseon (atau ‘Joseon Lama’), kerajaan pertama yang direkodkan wujud dalam sejarah Korea. Kerajaan ini berlokasi di bahagian utara Semenanjung Korea dan meliputi sebahagian kawasan timur laut Cina (khususnya wilayah Liaoning dan Jilin).

Legenda Dangun Wanggeom

Kewujudan kerajaan ini dibuktikan menerusi penemuan sejumlah artifak yang mempunyai perkaitan dengan Gojoseon, seperti pisau pendek berbentuk mandolin yang diperbuat daripada gangsa dan batu-batu dolmen yang ditemui di kawasan-kawasan tersebut.

Seperti mana-mana figura di zaman purba yang lain, tidak banyak sebutan pada artifak-artifak arkeologi berkenaan Dangun.

Oleh kerana itu, kita perlu beralih kepada sumber-sumber bertulis dan tradisi budaya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang figura yang masyhur ini.

LEGENDA DANGUN

Catatan terawal yang memerihalkan legenda Dangun ditemui di dalam Samguk Yusa (Memoribilia Tiga Kerajaan) dan Jewang Ungi (Hikayat Berima Para Pemerintah). Naskhah-naskhah penulisan ini dihasilkan pada lewat abad ke-13M.

Legenda Dangun dimulakan dengan pengenalan sosok watak datuknya yang bernama Hwan-in dan bapanya, Hwan-ung. Hwan-in dipanggil sebagai ‘Raja Langit’ sementara Hwan-ung pula adalah salah seorang putera bongsu Hwan-in.

Pada suatu hari, Hwan-Ung meminta izin bapanya agar menurunkan beliau ke bumi supaya beliau dapat memerintah kerajaan sendiri. Menurut satu tafsiran berkenaan babak ini, sebagai seorang putera bongsu kepada Raja Langit, Hwan-ung tidak punyai harapan untuk mewarisi kedudukan bapanya.

Oleh kerana itu, untuk menjadi seorang pemerintah dan untuk menghindari konflik dengan abang-abangnya, Hwan-ung mengambil keputusan untuk pergi ke suatu tempat di mana beliau boleh menubuhkan kerajaan sendiri.

Permintaan ini dipersetujui oleh Hwan-in. Raja Langit itu lantas meninjau keadaan di bumi dan memilih Gunung Taebaek-san (Gunung Putih yang Besar), berlokasi di Korea Selatan moden sebagai tapak paling sesuai untuk puteranya itu.

Dalam beberapa versi yang lain, lokasi tersebut adlaah Gunung Paektu (juga dieja sebagai Baektu) yang terletak di sempadan antara Korea Utara dan Cina moden.

PENUBUHAN KERAJAAN

Hwan-un kemudiannya turun ke sebatang pokok cendana suci yang terletak di puncak Gunung Taebaek-san. Beliau membawa bersama 3000 orang pengikut setia dan tiga buah ‘mohor kerajaan langit’.

Selain itu, tiga semangat alam iaitu Angin, Hujan dan Awam turut berkhidmat sebagai menteri Hwan-ung. Lantas, sebuah kerajaan pun ditubuhkan, perundangan dan kod moral digubal.

Ilmu bercucuk tanam, perubatan, sains dan kesenian, semuanya diajarkan. Ringkasnya, Hwan-ung menubuhkan sebuah komuniti masyarakat yang bertamadun di Gunung Taebaek-san.

SANG HARIMAU DAN SANG BERUANG

Bahagian seterusnya di dalam hikayat ini berpindah kepada kisah ibu Dangun, melibatkan seekor harimau dan seekor beruang. Dua ekor haiwan ini datang ke kerajaan Hwan-ung dan berdoa supaya dijadikan sebagai manusia.

Sebaik sahaja Hwan-ung mendengar doa mereka, beliau memutuskan untuk memberi mereka peluang dan setiap seekor haiwan diberikan seguni mugwort dan 20 longgok halia. Hwan-ung mengarahkan mereka agar memakan makanan suci itu sahaja.

Beliau turut memerintahkan mereka agar tinggal di sebuah gua selama 100 hari. Jika arahan itu ditaati, mereka akan menjadi manusia, ujar Hwan-ung.

Walau bagaimanapun, sang harimau menyerah dan meninggalkan gua kerana tidak dapat bertahan dengan rasa lapar. Beruang pula terus menuruti arahan Hwan-ung dan pada hari yang ke-21, ia berubah menjadi seorang wanita.

KELAHIRAN DAN PEMERINTAHAN DANGUN

Ungnyeo (wanita beuang) meluahkan rasa syukur terhadap Hwan-ung dan memberi hadiah korban kepadanya. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berasa sedih kerana tidak mempunyai teman.

Lantas, beliau pun pergi ke pokok cendana suci di puncak Gunung Taebaek-san dan berdoa meminta agar diberikan seorang anak untuk menemaninya.

Oleh kerana berasa terkesan dengan doa itu, Hwan-ung pun menjelmakan diri sebagai seorang lelaki dan mengadakan hubungan intim dengan Ungnyeo.

Sembilan bulan kemudian, wanita-beruang itu pun melahirkan seorang putera dan menamakannya sebagai Dangun, yang bermaksud ‘putera mezbah’ atau ‘cendana’.

Dipercayai bahawa Dangun inilah yang menubuhkan Gojoseon, kerajaan pertama dalam sejarah Korea pada tahun 2333SM. Dalam beberapa buah catatan, ibu kota kerajaan yang ditubuhkan oleh Dangun ini terletak di Pyongyang, yang juga merupakan ibu kota kepada Korea Utara moden.

Dangun kemudian memindahkan ibu kotanya ke Asadal, sebuah lokasi yang diandaikan terletak di Gunung Guwol-san, wilayah Hwangshae. Namun dalam catatan lain, Asadal dianggap sebagai ibu kota pertama Gojoseon.

Menurut legenda, Dangun memerintah kerajaannya itu selama 1500 tahun sebelum turun takhta. Setelah itu, beliau bersembunyi di kawasan pergunungan dan menjadi Sanshin (semangat gunung yang hidup kekal) pada usia 1908 tahun.

DANGUN SEBAGAI DEWA DAN INSPIRASI DALAM SENI BELA DIRI

Pengaruh Dangun masih boleh dirasai sehingga ke hari ini. Bagi yang mengikuti perkembangan dunia perdukunan masyarakat Korea dapat mengetahui bahawa Dangun dihormati sebagai seorang dewa.

Terdapat sejumlah pergerakan dan pertubuhan yang menumpu pada pemujaan Dangun telah ditubuhkan dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, sistem kepercayaan tradisi sebegini dipercayai hanya diamalkan oleh golongan minoriti di Korea.

Sebuah lagi pengaruh daripada Dangun dapat dilihat menerusi seni bela diri Korea yang masyhur, dikenali sebagai Taekwondo.

Terdapat gaya yang dinamakan bersempena figura legenda ini dan pergerakan gaya tersebut dikatakan mewakili perkaitan antara Dangun, Langit dan gunung tempat beliau menjadi Sanshin.

Pengaruh terakhir yang dapat dikemukakan di dalam artikel ini adalah pengambilan tanggal 3 Oktober sebagai Hari Penubuhan Kebangsaan dan merupakan cuti umum di Korea Selatan.

Tarikh tersebut dipercayai sebagai tarikh di mana Gojoseon ditubuhkan oleh Dangun pada tahun 2,333SM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, May 21, 2019

Legenda Tasik Buyut Di Kota Marudu

Legenda Tasik Buyut Di Kota Marudu

Kisah legenda Tasik Buyut yang terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah, seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.

Legenda Tasik Buyut
Tasik Buyut.

Namanya tidak sehebat Tasik Chini di Pahang yang sinonim dengan kisah naga yang mendiami tasik tersebut, jauh sekali jika dibandingkan dengan kehebatan Tasik Malaya atau Tangkuban Perahu di Indonesia.

Malah, sebahagian penduduk negeri di bawah bayu tidak menyedari kewujudan tasik ini namun, Tasik Buyut tetap berdiri sendiri menyulam cerita keterlanjuran manusia yang dibuai nikmat dunia sehingga menyimpang dari amalan hidup seharian.

Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui.

Akhirnya, ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.

Kampung Bogaya

Kisahnya legenda Tasik Buyut bermula disebuah perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Bogaya kira-kira 500 tahun lampau.

Kampung ini dihuni oleh suku Mandungus yang hidup sebagai petani dan sudah menjadi kebiasan suku Mandungus apabila tanaman mengeluarkan hasil berlipat ganda, diraikan dalam satu majlis yang meriah melibatkan seluruh penduduk kampung.

Secara kebetulan penduduk Kampung Bogaya tinggal dalam Rumah Panjang suku ini yang kenali sebagai “Binatang”.

Majlis keramaian yang dijalankan disulami dengan paluan gong dan kulintangan sambil dimeriahkan dengan kumpulan penari yang menggayakan tarian mongigol dan mangandak.

Acara minum tapai merancakkan lagi majlis tersebut dan akibat telalu banyak minum tapai yang memabukkan, para penari semakin mabuk.

Langkah tari semakin perlahan dan akhirnya terkulai layu menyembah lantai. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari penari baru yang lebih mantap gerak tarinya.

Salah seorang yang hadir menyarankan supaya beruk dan kucing mengambil alih peranan sebagai penari.

Cadangan itu dipersetujui oleh yang lain, lantas mereka bertungkus lumus mengandam kedua ekor haiwan tersebut supaya kelihatan anggun.

Ternyata bakat mengandam suku Mandungus sememangnya hebat kerana aksesori yang dipakai oleh kedua ekor haiwan tersebut tidak ubah seperti penari sebenar.

Tanpa membuang masa, mereka memapah haiwan-haiwan tersebut menari yang pada mulanya agak sukar juga haiwan-haiwan tersebut menghayun langkah tarian mongigol.

Lama–kelamaan haiwan-haiwan itu menari sendiri tanpa perlu dibimbing, seolah-olah telah dirasuk syaitan sehingga tidak perlu lagi dibantu oleh manusia.

Kerancakan tarian kedua ekor haiwan tersebut menyemarak kemeriahan majlis itu.

Manusia yang hadir ketawa berdekah-dekah melihat gelagat haiwan yang menari tanpa menyedari tindakan tersebut mengundang kemurkaan yang maha pencipta.

Bala Dari Langit

Stesen perikanan Tasik Buyut
Stesen Jabatan Perikanan, Tasik Buyut.

Langit yang pada mulanya terang–benderang tiba-tiba menjadi gelap. Hujan lebat turun mencurah-curah tanpa henti. Kilat sabung-menyabung. Guruh berdentum-dentum.

Namun, manusia yang sedang leka bersukaria sedikitpun tidak menghiraukan perubahan alam tersebut. Hanya seorang dua yang mula merasakan kelainan mula mengasingkan diri mencari tempat yang lebih selamat.

Setelah tiga hari tiga malam hujan turun dengan lebatnya, tanah mula menjadi lembut. Rumah panjang bergoyang-goyang dan mula menyusut ke bawah. Tanpa menyedari apa yang berlaku, penghuni rumah panjang terus leka bersuka ria.

Apabila lantai dibasahi air, barulah sebahagian dari mereka sedar bahaya yang bakal menimpa. Namun, semuanya sudah terlambat. Mereka tenggelam bersama seluruh isi rumah panjang.

Setelah rumah panjang tersebut tenggelam sepenuhnya, paluan gong masih kedengaran sayup-sayup di dalam bumi.

Bagi mereka yang terselamat, suatu pengajaran yang amat bernilai telah mereka perolehi pada hari tersebut iaitu melampaui batas pasti akan mendapat balasan.

Nota: Tasik Buyut kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar, di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, April 28, 2019

Legenda Cik Siti Wan Kembang, Srikandi Yang Memancung Kepala Raja Thai

Legenda Cik Siti Wan Kembang, Srikandi Yang Memancung Kepala Raja Thai

Ada sebuah kisah tentang satu susuk tubuh bernama Adruja Wijayamala Singa. Seorang raja dan agamanya Islam dari keturunan Maharaja Srivijaya daripada dinasti Mauli iaitu Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa.

Legenda Cik Siti Wan Kembang
Legenda Cik Siti Wan Kembang.

Adruja adalah sebutan yang dipendekkan daripada perkataan “aadhi raja” yang membawa maksud raja yang besar, mulia, tinggi darjat, yang utama, terbaik malah membawa maksud pemuka pasukan perang.

Wijayamala pula membawa maksud bunga seroja sakti yang berdasarkan mitologi kononnya mampu menghidupkan orang yang sudah mati. Singa pula sudah tentu kita semua tahu mengenai raja haiwan ini. Berani, gagah dan perkasa.

Seperti namanya, Adruja membuktikan bahawa dia adalah seorang raja mulia yang sangat sakti dalam mempertahankan negara, bangsa dan agama dan dalam masa yang sama seberani, segagah dan sehebat sang singa.

Ini kisah bagaimana anak kepada Sultan Muhammad atau Raja Sang Tawal yang memerintah sebuah kerajaan Melayu bernama Malayur yang terletak di kawasan sekitar Segenting Kra.

Seperti nenek moyangnya, Adruja bakal memahat sejarah sebagai seorang pembela yang terhebat dalam sejarah Melayu itu sendiri.

Ini kisah perseteruan antara Adruja dan juga Rama Khamhaeng, seorang raja kejam lagi zalim dari bumi Thailand yang tidak habis-habis cuba melanggar semenanjung Tanah Melayu sebelum dia menemui lawannya yang paling setimpal!

Gadis ini dilahirkan pada zaman Kerajaan Sukothai yang acap kali menyerang Malayur. Pada usia yang kecil lagi, Adruja menunjukkan bahawa beliau bakal menjadi seorang srikandi yang hebat.

Menunggang kuda dan memanah serta aktiviti lasak lain seperti bermain senjata seperti kelewang sudah mengalir dalam setiap saraf darahnya, tetapi sisi keindahan seorang hawa masih lagi tertanam disebalik peribadi seorang panglima yang dimilikinya.

Kononnya, Adruja amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur.

Namun demikian, Adrujha dikatakan bujang sehingga akhir hayatnya. Ini mungkin berkaitan dengan cabarannya kepada sesiapa sahaja yang mahu memperisterikannya, harus menewaskan dirinya dalam pertarungan satu lawan satu.

Sehingga kini, kita boleh beranggapan bahawa oleh kerana Adruja sendiri tidak mempunyai suami, mungkin tidak ada mana-mana lelaki yang mampu mengalahkannya dalam pertarungan satu lawan satu sepanjang usianya.

Apabila usianya meningkat belasan tahun, maka Adruja dikatakan sering mengikuti ayahnya ke medan perang.

Adruja selalu diberi amanah untuk membawa panji kibaran Malayur dalam peperangan melawan Sukothai.

Selain itu, Adruja juga berperanan memberi rawatan kepada tentera-tentera ayahandanya yang tercedera dalam medan perang.

Terdedah kepada perang sejak usia remaja, meskipun bergelar seorang wanita, Adruja mula membuka mata betapa negaranya sedang di ambang kemusnahan.

Pegunduran demi pegunduran yang berpunca daripada ketidakmampuan melawan serangan membuatkan dia bertekad untuk menubuhkan pasukan khasnya sendiri demi melawan Sukothai yang terdiri daripada kaum wanita. Kerana sayangkan anakandanya, maka Sang Tawal terpaksa memperkenankan permintaan Adruja.

Pada asalnya, Adrujha menghampiri anak dara yang belum berkahwin, namun semuanya ditolak. Maka datanglah para janda muda yang telah kematian suami mereka di medan perang akibat berperang dengan Sukothai, bersetuju untuk menyertai pasukan yang ditubuhkan oleh Adruja.

Selepas merasakan bahawa latihan yang dijalankan ke atas pasukan itu sudah cukup untuk membolehkan mereka turun berperang, maka Adruja pun menghadap Raja Sang Tawal yang ketika itu sedang bermesyuarat dengan panglima-panglima perang.

Lantas ketika itu, Raja Sang Tawal diajak bersama para panglima perangnya ke tingkap istana, untuk memperkenalkan para pasukannya.

Namun, oleh kerana pasukan itu dianggotai oleh kaum wanita, maka ada panglima yang memperkecilkan kemampuan mereka.

Ini memaksa Adruja yang mengamuk lalu menarik salah seorang daripada kumpulan panglima itu menghadap tingkap, lalu Adruja memberikan arahan kepada salah seorang anak buahnya dari bawah istana supaya memanah panglima itu.

Anak panah tersebut dikatakan hanya beberapa inci sahaja daripada memamah wajah panglima, membuatkan seluruh isi bilik itu tergamam. Apa yang dilakukan oleh Adruja membuatkan para panglimanya terpaksa akur.

Dugaan pertama yang melanda pasukan janda yang dinamakan sebagai Sriwijayamala itu ialah serangan ke atas salah satu daripada kampung di bawah Mayaur sendiri.

Ini memaksa Adruja mengerahkan pasukan Sriwijayamala, menggempur sendiri pasukan pembuat kacau itu.

Berkat kepimpinan Adruja, akhirnya pasukan tersebut berjaya menang ke atas tentera dari Sukothai itu. Khabar kemenangan itu mula masyhur ke seluruh Malayur dan sampai ke telinga Raja Sang Tawal.

Ram Khamhaeng pula terbakar mendengar khabar bahawa tiada seorang pun tentera Sukothai yang terselamat selepas dikalahkan oleh sepasukan tentera wanita.

Dendamnya semakin membara lalu dikerahkan tentera untuk melanggar Malayur buat kali kedua.

Asalnya, Sang Tawal tidak membenarkan Adruja dan pasukannya untuk turut serta dalam peperangan namun, legenda mengatakan tentang kemunculan seorang lelaki tua yang menggalakkan Adruja menyelinap keluar dari kota.

Dihadiahkan kepada Adruja sebuah tasbih untuk dipakai ketika turun ke dalam medan perang.

Di medan perang, pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka.

Tentera dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah dan Adruja akhirnya bertemu Rama Khamhaeng yang sedang berada di atas sebuah gajah.

Raja agung Siam itu berjaya dijatuhkan dari atas gajahnya lalu kepalanya ditebas oleh pasukan Adruja.

Ketika itu, pasukan Siam tergamam melihat apa yang sudah berlaku kepada raja mereka lalu menyerah kalah dalam peperangan. Peristiwa hebat ini berlaku pada 1317 Masihi.

Dipendekkan cerita, serangan bertali arus dari pewaris Rama Khamhaeng, iaitu Loethai, maka jatuhlah Malayur dan Raja Sang Tawal pun berundur sehingga ke Sanjura, lalu mengarahkan supaya dibina sebuah kota untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu pemerintahan beliau.

Cik Siti Wan Kembang

Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta menebas kepala Raja Rama Khamhaeng.

Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung. Beliau digelar Cik Siti Wan Kembang.

Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut.

Hari ini, kita semua mengenali Adruja Wijayamala Singa sebagai Cik Siti Wan Kembang pertama yang memerintah bumi Kelantan.

Negeri yang diperintah oleh Adruja menjadi semakin maju sehingga ia dikunjungi oleh seorang pengembara Islam yang terkenal dalam sejarah iaitu Ibnu Battuta.

Beliau telah singgah di Kuala Krai pada 1345 Masihi dan ketika itu dan telah menghadap seorang raja perempuan beragama Islam merujuk kepada Adruja.

Kejelitaan yang dimiliki oleh Adruja disamakan dengan kejelitaan puteri Turki dan baginda sendiri bertutur dalam Bahasa Turki ketika bercakap dengan Ibnu Battuta.

Bahkan, kaum perempuan di kerajaan yang diperintah oleh Adruja dikatakan sangat gagah, cekap menunggang kuda dan mampu memanah seperti seorang lelaki taranya.

Saudari kandung Adruja iaitu Puteri Chandana dikahwinkan dengan pemerintah kerajaan Samudera-Pasai iaitu Sultan Malikul Zahir I.

Namun demikian, Adruja dikatakan membujang sehingga akhir hayatnya namun, ada cerita menarik mengenai hayat bujangnya.

Keunggulannya dalam peperangan pada tarikh 1317 Masihi telah tersebar ke seluruh alam Melayu. Maka berduyun-duyun putera raja cuba melamar baginda.

Namun, semuanya diberi syarat bahawa dia hanya akan berkahwin dengan putera raja yang mampu mengalahkannya dalam pertempuran.

Tiada siapa yang berani berbuat demikian kerana kegerunan akan kehebatan dan kegagahannya.

Kemudian, sampai satu detik dalam hidupnya, baginda merasakan perlunya seorang teman dan telah meminta Pateh Jina, seorang pembesar kerajaan ayahandanya yang mahir melukis untuk mengembara ke serata alam Melayu untuk melukis potret putera-putera raja seluruh alam Melayu.

Bertahun lamanya Pateh Jina mejelajah kerajaan-kerajaan sekitar alam Melayu dan beliau telah berjaya melukis 99 potret putera raja, akhir sekali beliau berangkat ke Samudra dan melukis potret putera raja yang ke-100.

Putera tersebut bernama Raja Muda Abdul Jalil, putera kepada Al Mulikuz Zahir II dari Samudera Pasai berpangkat dua pupu baginda.

Adruja telah jatuh hati sekilas menatap potret Raja Muda Abdul Jalil dan asalnya mereka berdua bakal berkahwin namun jodoh tidak kesampaian apabila ada urusan peperangan dengan kerajaan lain yang harus diuruskannya.

Maka tersebutlah seterusnya dalam sejarah betapa srikandi teragung dalam sejarah Melayu ini tidak berkahwin sehingga akhir hayatnya.

Sesungguhnya, semangat perjuangan Adruja Wijayamala Singa patut dikenang oleh kita semua. Baginda tidak pernah gentar dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Biar bergadai nyawa sekalipun, baginda tidak sanggup melihat anak bangsanya dijajah oleh bangsa asing. Kita semua haruslah mempunyai semangat itu dalam diri. Biar putih tulang, jangan putih mata!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, January 29, 2019

Legenda Mak Lampir

Legenda Mak Lampir

Legenda Misteri Mak Lampir yang berlaku di Sumatera Barat begitu terkenal di kalangan kita, mengisahkan seorang wanita yang penuh misteri dengan ketamakan dan haloba kuasa. Kerana kemaruk kuasa Mak Lampir sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya.

Legenda Mak Lampir
Gambar hiasan.

Mengamalkan ilmu hitam dan menguasai sihir jahat antara yang menjadi strategi ampuh untuknya supaya kekal berkuasa.

Baling batu sembunyi tangan juga antara strategi yang menjadi mainan demi menghuru-harakan sebuah keamanan. Matlamatnya mudah, ingin berkuasa secara mutlak dan kekal abadi.

Untuk merealisasikan matlamatnya, Mak Lampir memilih pasukan jahat dengan bersekutu bersama jin dan syaitan.

Mak Lampir juga membina para pengikut yang taat setia secara membabi buta terdiri dari kalangan mereka-mereka yang berhati gelap dan sesat. Maka berlakulah pelbagai onar dan tipu muslihat untuk menghuru-harakan institusi masyarakat.

Pelbagai serangan berbentuk fitnah bercampur hasutan demi menyesatkan manusia supaya mereka tunduk menjadi pengikutnya.

Sedang Mak Lampir mabuk diulik kuasa muncul seorang wira, Kyai Ageng Prayogo yang akhirnya berjaya menewaskan Mak Lampir dan mengurungnya di dalam sebuah peti di bawah gunung yang diberi nama Gunung Merapi.

Legenda Mak Lampir

Ramai yang salah menduga bahawa Mak Lampir hanya legenda digunung merapi di jogjakarta, padahal Legenda Mak Lampir sendiri adalah sebuah cerita yang berasal dari gunung marapi di Kabupaten Agam Bukit Tinggi, Sumatera Barat dan kemudian diadaptasi di jawa kerana disana ada gunung merapi, namun banyak versi lain yang diragui kebenarannya kerana telah disesuaikan dengan daerah-daerah tertentu.

Legenda Mak Lampir ini juga sangat berkaitan dengan Legenda 7 Manusia Harimau yang juga berasal dari Sumatera Barat sebahagian Provinsi Bengkulu dan Lampung.

Masa muda Mak Lampir

Siti Lampir Maemunah merupakan seorang puteri dari kerajaan kuno iaitu Champa yang diambil dari bahasa Vietnam, Chiem Thanh, dengan erti kerajaan yang pernah menguasai daerah yang sekarang termasuk Vietnam Tengah dan Selatan antara abad ke 7 sampai tahun 1832.

Pada dasarnya, waktu dewasa Siti Lampir Maemunah ini adalah seorang gadis yang cantik, baik namun sangat pemalu seperti wanita pada umumnya.

Saat dewasa dia juga pernah merasakan jatuh cinta dengan seorang pemuda.

Sampai suatu hari Siti Lampir berjumpa dengan seorang pengembara yang dipanggil Datuk Panglima Kumbang, seorang bangsawan yang bergelar datuk.

Disebut datuk kerana dia adalah panglima dari pasukan alam kegelapan.

Saat itulah cerita pertama Siti Lampir jatuh cinta kepada seorang pemuda iaitu Datuk Panglima Kumbang yang tidak ada yang pasti siapa nama pemuda itu.

Namun, yang jelas pemuda itu juga diam-diam suka kepada Siti Lampir Maemunah walaupun tanpa pengetahuan sang puteri.

Kisah Cinta Mak Lampir

Walaupun mereka berdua saling suka, namun hubungan mereka tidak mendapat restu dari kedua orang tua Datuk Panglima Kumbang dan membuat sang puteri sakit hati.

Kerana sakit hati, maka sang puteri pergi bertapa ke Gunung Merapi.

Saat pertapaan tersebut, sang puteri bertemu dengan seorang mahaguru, yang banyak sekali memberi ilmu hingga sang puteri sakti mandraguna tanpa tandingan.

Puteri tersebut lalu mendapat sebutan Mak Lampir dari warga sekitar gunung yang ketakutan mendengar namanya.

Di sisi lain, walaupun tidak mendapat restu dari orang tua Datuk Panglima Kumbang, Mak Lampir terus mencari pujaan hatinya tersebut. Akan tetapi ia tidak pernah bertemu.

Hinggalah pada suatu hari, Mak Lampir dan Datuk Panglima Kumbang akhirnya bertemu, namun mereka bertemu dalam medan pertempuran. Dan sayangnya Datuk Panglima Kumbang tewas dalam perang tersebut.

Mak Lampir sangat menyesali kematiannya, terlebih ketika ia mengetahui jika Datuk Panglima Kumbang juga mencintainya.

Dia tidak rela orang yang sangat dicintainya mati, akhirnya Mak Lampir berusaha menghidupkan kembali Datuk Panglima Kumbang dengan cara mengikatkan jiwa Datuk Panglima Kumbang di bumi.

Awal Mula Peperangan Bangsa Ghaib

Kesaktian yang dimiliki Mak Lampir berjaya menghidupkan semula Datuk Panglima Kumbang, namun ilmu yang digunakan menyebabkan wajah Mak Lampir berubah menjadi buruk dan sangat menyeramkan.

Walaupun dengan wujud tersebut Mak Lampir berharap Datuk Panglima Kumbang tetap mencintai dan menerimanya dengan tulus.

Namun, yang terjadi adalah sebaliknya. Pengorbanan yang dilakukan oleh Mak Lampir tidak dihargai oleh Datuk Panglima Kumbang.

Pujaan hati Mak Lampir tersebut malah menganggap wanita yang telah menghidupkannya itu adalah syaitan dengan wajah buruknya dan sejak itu pertempuran ghaib terus terjadi, membuatkan ramai orang takut dengan Mak Lampir.

Cerita Lain Mak Lampir di Pulau Jawa

Disebutkan dalam kisah lain iaitu Mak Lampir yang sudah berumur ratusan tahun memilih pindah ke pulau jawa dengan tujuan untuk membuat ilmu yang dimilikinya semakin sempurna.

Di pulau Jawa dia bersemayam di Gunung Merapi dan mendirikan sebuah kerajaan ghaib yang sangat luas. Ia bersekutu dengan Iblis untuk mewujudkan harapannya.

Kerana hal tersebut Mak Lampir boleh hidup hingga ratusan tahun dan menjadi siluman. Ia tidak akan mati dan terus mengganggu manusia.

Walaupun legenda Mak Lampir memang sangat terkenal, tetapi itu hanyalah kisah rakyat dan tiada siapa yang mampu membuktikan kisahnya dengan jelas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tribunnews

Thursday, December 27, 2018

Legenda Puteri Gunung Ledang Bunian Atau Jin?

Legenda Puteri Gunung Ledang Bunian Atau Jin?

Meneliti legenda Puteri Gunung Ledang sememangnya menimbulkan seribu persoalan lantaran terdapat versi cerita Sultan Mahmud Shah membina jambatan emas dari Melaka ke gunung di Johor sebagai syarat peminangan puteri itu.

Puteri Gunung Ledang
Gambar hiasan.

Akan tetapi, sehingga kini, jambatan kira-kira 40 kilometer itu masih gagal ditemui sekali gus menyebabkan ramai pihak sangsi akan kesahihan kisah mahsyur berkenaan.

Cerita Puteri Gunung Ledang sememangnya terkenal dan dicatatkan dalam kitab Melayu lama, antaranya Salalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah selain diperturunkan secara lisan daripada generasi lama ke generasi baharu.

Justeru, ada banyak versi kisah puteri jelita berkenaan dan satu daripada versi itu bermula dengan kemangkatan permaisuri Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan kelapan dan terakhir memerintah Kerajaan Melaka dari tahun 1488 hingga 1511.

Orang bunian

Akibat kematian permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan Hang Tuah yang sudah tua selain Sang Setia dan Tun Mamat melamar Puteri Gunung Ledang yang amat jelita. Ada versi mengatakan puteri itu bukanlah manusia sebaliknya orang bunian.

Maka, rombongan peminangan dihantar dan selepas beberapa hari meredah hutan, akhirnya Tun Mamat bersama pengiring tiba di Gunung Ledang. Hang Tuah yang uzur gagal meneruskan pendakian manakala Sang Setia menemani Hang Tuah.

Selepas lama mendaki menelusuri hutan tebal, Tun Mamat tiba di taman nan indah di atas gunung.

Mereka kemudian menemui ketua dayang kepada Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan hajat peminangan Sultan Melaka.

Selepas lama menunggu jawapan, akhirnya datang seorang nenek bongkok menyampaikan syarat tujuh hantaran Puteri Gunung Ledang iaitu:
  • Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang.
  • Jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka.
  • Tujuh dulang hati nyamuk.
  • Tujuh dulang hati kuman.
  • Tujuh tempayan air mata anak dara.
  • Tujuh tempayan air pinang muda.
  • Semangkuk darah Raja Muda Melaka.

Tun Mamat terkejut mendengar syarat yang mustahil dipenuhi itu. Beliau kemudian turun menemui Hang Tuah dan menceritakan hal berkenaan.

Sultan menjadi zalim

Secara tersirat, Hang Tuah sedar peminangan Sultan ditolak secara kiasan oleh Puteri Gunung Ledang.

Lalu akibat kecewa kerana gagal menyempurnakan titah, Hang Tuah enggan kembali ke istana dan menghilangkan diri dalam sungai. Tun Mamat pulang menyampaikan syarat peminangan kepada Sultan Melaka.

Tanpa memahami maksud tersirat di sebalik syarat hantaran, Sultan Mahmud mengerahkan seluruh rakyat menyediakan tuntutan supaya baginda dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang.

Keadaan dalam negara menjadi kacau-bilau apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak penduduk turut dirampas.

Lebih zalim, kalangan gadis dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lain dikerah mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya walhal pinang muda tidak berair.

Selepas bertahun-tahun, akhirnya semua hantaran berjaya disediakan kecuali satu, iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad.

Sultan Mahmud diceritakan tidak sampai hati untuk membunuh anakandanya yang masih kecil tetapi hasutan nafsu menyebabkan baginda tidak mempedulikan apa-apa lagi. Lantas dada kecil Raja Ahmad cuba ditikam.

Bagaimanapun, ketika keris hampir menembusi dada kanak-kanak itu, tiba-tiba Puteri Gunung Ledang menjelma di hadapan Sultan.

Puteri itu menzahirkan kekecewaannya terhadap Sultan Mahmud yang sanggup menindas rakyat dan menumpahkan darah zuriatnya sendiri kerana tergila-gilakan wanita yang tidak pernah dikenali.

Puteri Gunung Ledang menjelaskan beliau menolak pinangan Sultan Mahmud dan rentetan kejadian itu akhirnya menginsafkan baginda.

Pelbagai versi cerita

Sehingga kini, ramai pihak tertanya-tanya di manakah letaknya jambatan emas dan perak yang kononnya sudah dibina. Melewati masa, tiada kesan tinggalan jambatan ditemui melainkan dalam kisah legenda semata-mata.

Menerusi laman sesawang informasi Wikipedia, tertera maklumat pihak tertentu percaya jambatan emas dan perak itu wujud tetapi tertimbus dibawah tanah.

Wikipedia turut memaparkan versi lain kisah berkenaan antaranya Puteri Gunung Ledang tidak pernah mengemukakan tujuh syarat hantaran tetapi syarat itu direka Tun Mamat dan Hang Tuah dengan harapan Sultan Mahmud faham peminangannya ditolak.

Ada juga versi mengatakan Sultan Mahmud gagal menunaikan semua syarat pelik itu sekali gus menjelaskan jambatan itu tidak pernah dibina.

Selain itu, satu lagi misteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang ialah identiti sebenar wanita berkenaan.

Puteri raja dari Jawa

Ada juga cerita disebarkan kononnya Puteri Gunung Ledang bukanlah manusia tetapi ratu bunian, jin atau makhluk kayangan.

Bagaimanapun, ada juga pihak dan pengkaji yakin Puteri Gunung Ledang adalah manusia iaitu puteri raja dari Jawa.

Puteri itu turut dikenali sebagai Raden Puteri Mas Nyawa, Gusti Puteri Adjeng Ratno Dumilah Sari, Raden Ratna Gumilah Sari, Raden Puteri Ratna Gumilah Sari dan Puteri Siti Jamilah binti Sultan Alam Fattah alAkbar.

Mengikut pendapat itu, ketika remaja, Puteri Gunung Ledang dihantar ayahandanya dari Jawa untuk menuntut ilmu agama di Pulau Besar, Melaka.

Selepas itu, puteri berkenaan berpindah ke Gunung Ledang bersama pengikutnya untuk bersuluk dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Mengenai dakwaan kononnya Puteri Gunung Ledang adalah bunian atau jin, pihak skeptikal berhujah sememangnya gunung dan hutan menjadi kediaman jin dan tidak mustahil makhluk halus itu menyamar sebagai Puteri Gunung Ledang untuk menipu manusia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, November 21, 2018

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

Selama ribuan tahun manusia telah menulis mengenai ikan duyung. Makhluk ini menjadi begitu terkenal di dalam rancangan televisyen atau filem dan hampir kebanyakan budaya mempunyai versi legenda ikan duyung tersendiri.

Ramai berpendapat penampakan ikan duyung pada zaman dahulu adalah imaginasi para kelasi yang tersalah anggap haiwan seperti dugong, singa laut atau ikan lumba-lumba.

Namun, legenda kewujudan ikan duyung ini masih menarik minat manusia di seluruh pelusuk dunia dan berikut adalah beberapa kisah mengenainya.

1. Jiaorén - China

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam legenda China, Jiaoren adalah ikan duyung yang bukan sahaja cantik malah makhluk ini juga mempunyai kemahiran untuk membuat pakaian dari kain yang dinamakan "tenunan naga" yang tidak basah jika terkena air. Jika Jiaoren menangis, air matanya akan bertukar menjadi mutiara.

Semasa Dinasti Jin, terdapat satu catitan di mana ia menceritakan tentang kemunculan ikan duyung yang menjual kain "tenunan naga" ini kepada manusia.

Jika ada sesiapa yang menawarkannya tempat tinggal, dia akan berterima kasih dengan menitiskan air mata ke dalam bekas tadahan yang kemudian dipenuhi oleh mutiara.

Dalam sejarah, beberapa orang bangsawan China mendakwa mereka mempunyai pakaian yang dihasilkan menggunakan "tenunan naga" ini.

2. Ningyo - Jepun

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Berbeza daripada legenda ikan duyung versi barat yang kebanyakannya dikatakan cantik, versi ikan duyung Jepun ini adalah sebaliknya. Ningyo dikatakan seekor ikan gergasi yang mempunyai wajah manusia, mulut monyet dengan taring keemasan dan juga tanduk.

Makhluk ini dikatakan mempunyai suara seakan-akan bunyi tiupan seruling. Menurut legenda lagi, sesiapa sahaja yang memakan daging Ningyo akan menjadi cantik, muda dan hidup kekal.

Namun, jika makhluk ini ditangkap, akan terjadinya ribut yang sangat dahsyat dan juga akan membawa nasib yang malang kepada seluruh kampung.

3. Iara - Brazil

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Menurut legenda Brazil, Iara adalah seorang gadis yang berani serta pintar dan tinggal di Amazon. Dia mempunyai kebolehan berlawan yang lebih baik dari saudara lelakinya yang lain. Disayangi dan dihormati oleh puaknya membuatkan abang-abangnya cemburu.

Mereka kemudian telah membunuh Iara dan membuang mayatnya ke dalam Sungai Amazon. Ketika itu Dewi Bulan iaitu Jaci berasa kasihan terhadapnya dan telah menghidupkannya semula sebagai seekor ikan duyung.

Setelah dihidupkan semula, Iara telah menghabiskan masanya membalas dendam terhadap lelaki. Setiap kali ada lelaki yang mati lemas di Sungai Amazon, mereka percaya ia adalah perbuatan Iara.

Suatu hari, seorang lelaki bernama Jaraguari bertemu dengan Iara dan mereka berdua telah jatuh cinta. Jaraguari memberitahu ibunya dia telah menemui seekor ikan duyung yang cantik dan ingin bersamanya di dalam kehidupan dalam air. Selepas itu mereka percaya bahawa roh Iara telah menjadi tenang.

4. The Finfolk - Ireland & Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Ireland dan Scotland, mereka percaya bahawa "Finfolk" adalah spesis ikan duyung yang tinggal di kerajaan bawah laut bernama Finfolkenheim. Pada musim panas makhluk ini dipercayai akan berehat di Hildaland, iaitu sebuah pulau yang akan muncul buat seketika waktu sahaja.

Makhluk ini juga dipercayai boleh berubah bentuk kepada ikan atau manusia sepenuhnya. Selain itu Finfolk dikatakan sangat cantik dan akan menggoda manusia supaya mengawan dengan mereka.

Namun, ia sebenarnya berniat untuk mengambil keperawanan manusia untuk kekal hidup selamanya. Jika ada sesiapa yang diculik atau kelasi hilang di lautan, mereka percaya ia adalah perbuatan Finfolk itu.

Walau bagaimanapun, jika Finfolk berkahwin sesama sendiri, Finfolk betina yang dikenali sebagai Finwife akan berubah bentuk menjadi seorang wanita tua yang akan ke darat untuk bekerja bagi mendapatkan wang dan makanan.

5. Mami Wata - Afrika

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Mami Wata adalah dewi ikan duyung Afrika yang mempunyai kuasa menyembuh dan ibu kepada semua hidupan laut. Terdapat banyak kisah penampakannya di tasik, sungai dan laut di benua itu.

Mami Wata sering dilihat memegang ular air di sekitar bahunya dan dia dikatakan boleh berubah bentuk kepada wanita, ikan atau ikan duyung mengikut kemahuannya.

Sehingga hari ini masyarakat di Afrika berasa taksub mengenai legenda Mami Wata. Terdapat banyak patungnya dijual sebagai cendera hati. Di Afrika juga terdapat satu kumpulan yang memuja para dewi dan mereka digelar sebagai "anak Mami Wata".

Mereka mendakwa sering bermimpi didatangi Mami Wata yang memanggil mereka untuk melakukan upacara pembersihan kerohanian.

6. Triton - Greece

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam mitos Greek, Triton merupakan tuhan yang menjaga tasik Tritonis. Dia adalah anak kepada Poseidon iaitu tuhan lautan. Triton dikatakan membawa cengkerang di mana ia digunakan sebagai semboyan dan juga senjata.

Menurut legenda, jika kelasi sesat di tasik itu, Triton akan membantu mereka dengan mencipta sebidang tanah yang kini dikenali sebagai pulau Thera. Pada kelasi yang sesat dapat berehat di situ sementara Triton akan menerangkan kepada mereka jalan kembali kepada lautan terbuka.

Tidak semuanya kisah baik mengenai Triton. Jika terdapat ternakan yang hilang atau kelasi terbunuh di lautan, ia adalah perbuatan Triton. Kerana tidak mampu melawan kuasa tuhan, mereka akan menawarkan minuman keras yang diletakkan di tepi pantai sebagai sembahan kepada Triton.

7. Millalobo - Chile

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Chile, terdapat mitos mengenai raja di lautan yang digelar sebagai Millalobo. Ia adalah separuh manusia dan separuh lagi singa laut. Millalobo dikatakan berkahwin dengan manusia dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Pincoy serta 2 anak perempuan bernama Sirena dan Pincoya.

Beberapa orang kelasi mendakwa mereka pernah dibantu oleh Pincoy menunjukkan arah pulang ketika sesat di lautan. Pincoya pula dikatakan sebagai seorang wanita paling cantik di dunia dengan rambut perang serta mempunyai mata berwarna biru.

Pincoya dikatakan akan duduk di atas batu dan gemar menari. Jika dia memandang ke arah lautan maka para nelayan akan mendapat banyak tangkapan dan jika dia memandang ke arah darat maka sebaliknya pula yang akan berlaku.

8. Ceasg - Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Disebut dengan "kee-ask", ikan duyung dari Scotland ini adalah separuh wanita dan separuh ikan salmon. Legenda menceritakan sesiapa yang berjaya menangkap Ceasg ini akan mendapat 3 permintaan.

Makhluk ini dikatakan menggoda manusia kepada kematian sama seperti legenda Siren. Cara untuk membunuh Ceasg ialah dengan memusnahkan azimat mereka berbentuk cengkerang di mana ia menyimpan rohnya dan disembunyikan agar tidak dijumpai manusia.

Legenda juga mengatakan jika anda berjaya menemui cinta sejatinya bersama Ceasg, mahkluk ini akan bertukar sepenuhnya kepada manusia. Tiada 3 permintaan yang diberikan, sebaliknya anda akan menjadi bertuah sepanjang hidup.

Terdapat beberapa keluarga di Scotland mendakwa mereka adalah dari keturunan pasangan manusia dan ikan duyung yang berkahwin.

9. Melusine - Perancis

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Legenda mengenai ikan duyung ini banyak diceritakan di dalam kisah dongeng Eropah. Melusine mempunyai bahagian bawah badan menyerupai ekor ular.

Melusine dikatakan seorang wanita garang yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya bagi pihak ibunya. Dia dikatakan telah berkahwin dengan seorang bangsawan dan mengenakan satu syarat pelik, iaitu dia ingin bersendirian selama 1 hari dalam seminggu.

Akan tetapi kerana sifat ingin tahu, suaminya telah mengintai Melusine ketika bersendirian dan terkejut apabila mendapati isterinya itu sebenarnya adalah ikan duyung.

Kerabat di raja Perancis dari House of Lusignan mendakwa mereka adalah keturunan dari Melusine. Kini, gambarnya kelihatan di seluruh dunia, terutamanya pada lambang minuman kopi terkenal iaitu Starbucks.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi