Oct 30, 2015

Asiah, Isteri Firaun Yang Mempertahankan Jiwa Demi Keimanan

Menyelak lembaran kisah wanita yang dijanjikan syurga, tidak terlepas kita meneliti tokoh seperti Saidatina Khadijah Khuwailid, isteri Baginda Nabi Muhammad SAW. Tidak kurang itu juga, Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa yang disebutkan dalam al-Quran.

Asiah Isteri Firaun

Barangkali kita belum mendalami kisah seorang wanita yang mempertahankan jiwanya demi keimanan sebenar kepada Allah SWT. Wanita yang dimaksudkan ialah Asiah binti Muzahim iaitu isteri kepada Firaun. Kisah Asiah dibincangkan dalam rancangan Ibrah pada minggu lalu oleh Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman.

Keimanan Asiah teruji ketika berhadapan dengan suami yang jauh mengingkari perintah dan arahan Allah SWT. Dalam Surah al-Qashash ayat 3, Allah SWT menjelaskan kisah Firaun dan Nabi Musa.

Firman Allah: “Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian daripada kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi orang yang beriman.”

Perhitungan kisah Firaun ini menjadi petanda utama agar manusia memahami bahawa kemewahan hidup yang tidak digunakan dengan sebaiknya akan mendatangkan mudarat kepada dirinya.

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas serta menjadikan penduduknya berpecah-belah dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak perempuan mereka. Sesungguhnya Firaun termasuk orang yang membuat kerosakan.” (Surah al-Qashash, ayat 4) Digelar ‘wanita Firaun’ Namun, dari sisi yang berbeza Firaun berhadapan dengan seorang isteri yang tidak berpihak kepadanya. Dalam al-Quran, nama Asiah tidak disebutkan.

Walau bagaimanapun, para ulama kebanyakan mentafsirkan ‘wanita Firaun’ yang dikisahkan itu adalah Asiah. Asiah adalah wanita mulia yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya.

Biarpun perkahwinan dengan Firaun atas dasar paksaan demi membebaskan kedua-dua orang tuanya itu, Asiah menerima takdir beristerikan Firaun.

Sepanjang hidup bersama Firaun dalam sebuah istana, pastinya kemewahan hidup di mahligai indah itu dirasai.

Namun, biarpun kecintaan dan kepatuhan kepada suami itu penting, tetapi di hatinya jauh memandang tempat tingginya di sisi Allah yang lebih agung.

Biarpun istana Firaun, mahligai kehidupan di dunia, tetapi demi ketaatan dan keimanan yang mutlak itu Asiah merelakan dirinya diseksa oleh Firaun.

Kisah isteri Firaun ini dibicarakan Allah SWT dalam al-Quran menerusi Surah at-Tahrim ayat 11.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Allah mengemukakan satu perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang Mukmin (berhubung rapat dengan orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah daku daripada Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”

Doa Asiah ini dirakamkan oleh Allah SWT bagi memberikan gambaran bahawa kesenangan hidup ini bukanlah di dunia semata-mata, tetapi perjuangan di akhirat lebih utama.

Selain itu, doa Asiah ini dibincangkan oleh ulama dan ahli tafsir.

Ulama berkata, Asiah memohon kepada Allah agar dibina sebuah rumah dalam syurga. Mengapa Asiah memohon sebuah rumah; sedangkan syurga itu lebih indah daripada sebuah rumah sahaja?

Kehidupan yang bermewah-mewah di istana bersama-sama Firaun tidaklah mendatangkan kebahagiaan yang nyata, malah Asiah terlalu lemas hidup dalam kekufuran.

Justeru, permintaan sebuah rumah sudah memberi persepsi kepada Asiah bahawa istana dan kemewahan itu tidaklah memberi makna dalam hidupnya.

Hidup bertunjang takwa, iman Prof Hamka dalam Tafsir Azhar menyatakan bahawa, Asiah berasakan dirinya telah melewati waktunya (pada akhir hayatnya) untuk beriman kepada Nabi Musa.

Lalu, tidak diminta kepada Allah SWT agar dimakbulkan sebuah istana. Kisah Asiah ini bukanlah untuk wanita beriman, tetapi lebih mendasar daripada itu kita memahami pentingnya hidup bertunjangkan ketakwaan dan keimanan.

Wanita sering kali diletakkan pada taraf paling bawah sejak zaman jahiliah, namun kerana wanita itu juga kehidupan itu bermula.

Oleh yang demikian, Asiah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW adalah wanita yang dijanjikan syurga itu, bukan semata-mata seorang nama tokoh yang wajar diteladani, tetapi perlu difikirkan betapa beliau meletakkan kecintaan Allah SWT lebih utama daripada berkiblatkan suami yang durjana.

Mahkota seorang wanita itu letaknya pada jiwa dan hidupnya yang bertuhankan yang maha Esa semata-mata. –BH

BACA INI JUGA: Makhluk Yang Lebih Jahat Daripada Firaun

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

Seharusnya wanita pada masa kini mencontohi ketabahan beliau..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon