Saturday, July 13, 2019

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran?

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran?

Pada 12 Mei 2019 lalu, telah dilaporkan berlaku ledakan ke atas empat buah kapal pembawa minyak. Dua milik Arab Saudi, satu milik Norway dan satu lagi milik Emeriah Arab Bersatu, disyaki telah dilakukan oleh perisik Iran di Selat Hormuz.

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran

Amerika atas arahan commader in chief Presiden Donald Trump telah menghantar kapal terbang pengebom B-52 dan kapal perang ke arah Teluk Parsi.

Wajib diketahui, di sekitar Teluk Parsi, dalam negara Teluk Arab terdapat banyak pangkalan tentera darat, laut dan udara milik Amerika malah, pangkalan bala tentera Amerika berselirat dalam negara-negara Arab sehingga ke Israel.

Sebagai jawapan kepada ledakan empat buah kapal minyak ini, Amerika juga dilaporkan akan menghantar 120,000 tentera ke Timur Tengah. Penghantaran ini masih dalam perancangan.

Kenyataan Donald Trump dari Rumah Putih ini menjadikan suasana di Timur Tengah tegang. Malah dunia juga mula merasa gelisah. Timbul persoalan, adakah Amerika Syarikat akan menyerang Iran?

Suasana tegang ini sengaja disusun. Suhunya sengaja dinaikkan di bawah Donald Trump.

Ketika Barack Obama di Rumah Putih, telah dibuat satu perjanjian yang dipanggil Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA).

Perjanjian P5+1 ini adalah antara Iran dengan lima negara – China, Perancis, Rusia, United Kingdom, Amerika + Jerman dan Kesatuan Eropah.

Perjanjian JCPOA berjangka panjang. Iran akan dibantu dan dibenarkan untuk mendirikan tenaga nuklear untuk menjana kuasa elektrik kerana Iran tidak dibenarkan membuat senjata nuklear.

Aliran minyak Iran

Iran bersetuju tidak akan membuat bom nuklear. JCPOA ditandatangani pada 14 Julai 2015 tetapi, hari ini – ketika tulisan ini digarap - Iran akhirnya mengakui telah melanggar semua perjanjian.

Pada 13 Oktober 2017, Presiden baru Amerika Donald Trump telah membakulsampahkan JCPOA dan menuduh Barack Obama menjual dan menggadai kepentingan Amerika kepada Iran.

Justeru Donald Trump terus memberi tekanan kepada Iran. Sekatan ekonomi oleh Amerika diperketat. Negara-negara dilarang membeli minyak mentah dari Iran. Sesiapa melanggar akan menerima akibat yang sama dari Amerika. Ekonomi Iran menjadi porak-peranda.

Export utama Iran ialah minyak

Dilaporkan, Iran kehilangan pasaran minyak mentah sebanyak satu juta tong sehari. Akibatnya amat berat kepada ekonomi Iran.

Sayugia diingati bahawa 20-30 peratus minyak mentah yang diguna pakai dalam dunia semuanya melintasi Selat Hormuz.

Minyak yang melintasi Selat Hormuz datang dari negara teluk dan Iran. Negara China, India, Jepun dan Kesatuan Eropah membeli minyak dari Iran.

Justeru Selat Hormuz menjadi lubang pernafasan sistem ekonomi kapitalis dunia yang memerlukan bahan bakar minyak.

Amerika Syarikat mahu menutup semua aliran minyak Iran, untuk memastikan rejim Iran jatuh. Ini satu lagi projek regime change atau tukar kerajaan yang sedang dijalankan oleh kuasa Zionis -Anglo-Amerika.

Kepala penjahat dan batu api projek menyerang Iran ini dikepalai oleh Arab Saudi dan Zionis Israel.

Israel tidak mahu Iran menjadi gagah hingga dapat menyerang Isreal. Lihat bagaimana Iraq – yang memiliki kudrat untuk melawan Israel akhirnya berjaya dimusnahkan.

Kini, yang menjadi sasaran Israel ialah Iran yang dilihat sebagai satu kuasa besar yang boleh menundukkan Israel.

Justeru, kaum Zionis sedang bekerjasama dengan kaum Wahabi untuk memusnahkan Iran yang melalui jaringan lobi telah berjaya melobi para dalang Amerika untuk menjadikan Iran sebagai musuh.

Iran kini dicap dan digambarkan sebagai pembawa malapetaka kepada Timur Tengah, walhal satu dunia tahu tentang perancangan Wahabi dan Zionis ini.

Yang tidak tahu peranan jahat tok Arab Saudi hanyalah para lebai-lebai kampung, lebai pondok dan Mat Kati dari Batu Kikir. Untuk mereka tok Arab itu semuanya baik, jujur warak sebagai cucu cicit nabi.

Tegang bertambah tegang

Arab Saudi sebenarnya gentar berhadapan dengan dasar politik dalaman dan dasar luar Iran yang jelas menjalankan dasar antikaum feudal.

Islam yang antiraja dan antifeudal ini amat-amat ditakuti oleh Bani Saud kerana sikap antiraja ini akan mempengaruhi warga Saudi.

Malah, pengaruh antiraja ini akan merebak ke semua Negara Teluk, negara Arab Islam termasuk ke Brunei dan Malaysia. Ini menakutkan semua jaringan kaum feudal. Amin.

Dasar luar Iran pula jelas menentang Zionis Israel dan imperialis Amerika kerana Iran satu-satunya negara Dunia Ketiga bersama Cuba, Korea Utara dan Venezuela yang berani bangun bersuara menentang kuasa imperial Amerika.

Ini menakutkan Arab Saudi kerana rejim Saud tahu, tanpa bantuan dan sokongan Amerika, dalam masa dua minggu pak syeikh Arab Saudi akan lingkup.

Kemudian, pada 13 Jun 2019, dua buah kapal pembawa minyak mentah meledak lagi. Kali ini betul-betul ketika melintasi Selat Hormuz. Kapal ini satu milik Norway dan satu lagi milik Jepun.

Yang pelik lagi menghairankan ialah ketika ledakan ini berlaku, perdana menteri Jepun, Shinzo Abe sedang membuat lawatan rasmi di Tehran.

Apa yang bertambah pelik, Shinzo Abe datang ke Tehran dengan tujuan melamar Presiden Hasan Rouhani untuk dijemput berbincang dengan Donald Trump.

Suasana tegang bertambah tegang. Pada 20 Jun 2019, berita meledak selepas sebuah drone milik Amerika ditembak jatuh oleh Pasukan Revolusi Iran.

Drone berharga 110 juta dolar jenis RQ-4A-Global Hawks ini bertugas sebagai pengintai dari udara. Drone ini sedang mengintip wilayah Iran. Dum. Jatuh ditembak. Berkecai.

Dunia menunggu apakah jawapan Donald Trump dan Amerika. Pada 21 Jun 2019, media dunia melaporkan bagaimana Presiden Donald Trump telah memanggil pulang satu gerombolan kapal terbang pengebom Amerika yang telah naik ke udara menuju Iran.

Kapal terang pengebom ini dipanggil pulang ke pangkalan kerana Presiden Donald Trump berasa amat bersalah jika Iran dibom, maka akan gugur 150 warga Iran yang tidak berdosa.

Donald Trump tidak sanggup melihat mayat bergelimpangan. Air mata keldai beliau mencurah masuk ke cawan teh.

Apabila berita Donald Trump membatalkan serang terhadap Iran ini diketahui, maka satu dunia ketawa. Lawak Donald Trump kali ini betul-betul menjadi. Kah, kah, kah.

Donald Trump dah jadi wali?

Dunia mula bertanya, apakah Donald Trump telah menjadi wali? Adakah Donald Trump telah mula ke gereja? Adakah soldadu Amerika di bawah Komander Donald Trump telah bertaubat tidak mahu membunuh lagi?

Lawak Donald Trump ini semakin menjadi-jadi apabila NGO Anti-War – NGO menentang perang - mengeluarkan data tentang kematian dalam perang. Dilaporkan jumlah kematian warga Iraq sehingga ke hari ini ialah 1,455,590.

Laporan rasmi kerajaan menunjukkan jumlah soldadu Amerika yang gugur di Iraq ialah 4,801. Manakala jumlah soldadu antarabangsa yang gugur menyokong Amerika di Afghanistan ialah 3,487.

Berjuta mati berbanding dengan 150 warga Iran yang akan gugur kerana tindak balas menjatuhkan drone Amerika. Dunia terus bertanya, kenapa Donald Trump membuat lawak. Ops, membuat kenyataan membatalkan serangan terhadap Iran?

Jawapannya mudah: Amerika takut. Donald Trump hanya gertak. Iran tak berganjak. Iran bukan Iraq. Iran memiliki soldadu yang telah diduga berperang selama 10 tahun dengan tentera Saddam.

Penduduk Iran seramai lebih dari 80 juta orang tidak berpecah-pecah seperti di Iraq. Budaya dan tamadun Parsi kuno pernah menjadi empayar menyerang Greek.

Ideologi Syiah yang antifeudal dan antiimperialis sama seperti ideologi Marxist-Leninist yang digunakan oleh Vietnam untuk mengalahkan Amerika. Ideologi ini bertahan lama.

Gertak Donald Trump ini sebenarnya ada tujuan. Beliau ingin bertanding sekali lagi untuk masuk ke Rumah Putih. Dengan melaungkan dan memukul gendang perang terhadap Iran, Donald Trump dilihat sebagai calon presiden yang layak untuk dipilih sekali lagi.

Donald Trump mewakili sentimen Amerika Syarikat berkulit putih yang selama ini merasa terpinggir.

Gertak Donald Trump ini juga bertujuan untuk membawa Presiden Rouhani ke meja perundingan. Donald Trump mahu dilihat duduk sameja dengan musuh ketat.

Ini cantik untuk BBC. Indah Untuk CNN. Molek untuk New York Times. Bayangkan tajuk berita, “Dua musuh duduk sameja”, two sworn enemy (musuh ketat). Tak percaya?

Lihat berita dunia Ahad 30 Jun 2019 yang lalu. Satu dunia melihat Donald Trump bersalaman dengan musuh ketat Kim Jung Un dari Korea Utara. Ini namanya wayang. Ini namanya sandiwara. Ini namanya politik. Pelakon utama di Rumah Putih sedang mengikut arahan pak dalang.

Tapi, bagaimana jika Donald Trump betul-betul akan menyerang Iran?

Kalah jadi abu menang jadi arang

Seluruh dunia mengalu-alukan Presiden Donald Trump untuk melanggar Iran. Bomlah Iran kalau berani. Bom sekarang.

Al-Arabiya News pernah melaporkan kenyataan Ali Rahimi Timbalan Presiden Iran pada ketika itu.

Beliau berkata, “If sanction are adopted against Iranian oil, not a drop of oil will pass through the Straight of Hormuz”. Ini dasar Iran seawal tahun 2011. Terlalu ramai yang lupa dan alpa akan dasar Iran ini.

Iran tidak akan membenarkan minyak dari negara mana pun melintasi Selat Hormuz. Jika minyak Iran tak keluar, maka semua minyak tidak akan keluar.

Untuk membuktikan kenyataan ini, kapal pembawa minyak telah meledak. Masih tidak percaya? Drone ditembak jatuh. Masih tak percaya? As sepatutnya menyerang Iran sekarang.

Drone milik Amerika

Pertama, jika Iran diserang, harga minyak dunia akan melambung naik. Malah ada yang meramalkan harga akan naik ke tahap 1,000 dolar satu tong.

Ini baik untuk Malaysia, sebuah negara pengeluar minyak. Petronas akan ketawa terbahak-bahak membawa dompet ke bank.

Kedua, perang ini pasti akan melimpah ke Arab Saudi. Di selatan Saudi, Perang Yaman sedang masuk tahun ke empat.

Apabila Amerika menyerang Iran, pasti ia akan memberi nafas kepada gerakan anti-Saudi dan anti-Wahabi di Yaman.

Ketiga, bila rejim Saud tumpas maknanya Israel juga akan tumpas. Ini maknanya pengaruh Amerika akan berkurangan di Timur Tengah. Dua batu api, Israel dan Arab Saudi, wajib dibenamkam sama dalam perang ini.

Keempat, bila perang merebak ke Arab Saudi, maka ini tanda hari-hari terakhir Bani Saud, kerana bila tumpas, maka para Wahabi juga akan ketandusan fulus.

Kelima, bila Amerika sibuk di Timur Tengah maka negara lain di Amerika Latin seperti Cuba dan Venuezeula akan bernafas kembali.

Sejarah dua dekad dahulu telah membuktikan apabila Amerika ‘gila’ di Timur Tengah, negara di Latin Amerika mengambil langkah kiri.

Presiden Donald Trump yang dihormati, sila jangan gertak gertak. Sila jangan buat lawak. Serang Iran sekarang agar dunia kapitalis akan huru-hara.

Dalam huru-hara ini dunia baru dapat dimunculkan sama seperti selepas perang dunia ke dua dahulu.

Tetapi, jika Tuan Presiden menggunakan bom nuklear maka, yang kalah jadi abu menang jadi arang.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, June 30, 2019

Salahkah Menampal Tulisan Cina Di Dinding Pejabat?

Salahkah Menampal Tulisan Cina Di Dinding Pejabat?

Saya terpanggil untuk mengulas tentang perkara yang berlegar di mindaa. Ia mengenai gambar yang tersebar menunjukkan ungkapan bahasa Cina yang ditampal pada dinding dalam pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tulisan Cina

Orang yang sinis sudah tentu akan berkata, untuk apa mahu membela setiausaha agung parti DAP itu, namun memang sukar untuk lari daripada tuduhan sebegini. Justeru, pembaca diminta membaca dengan hati terbuka.

Saya terbaca komen dalam Facebook bahawa tulisan bahasa Cina dalam pejabat itu "macam dekat Beijing" dan ia seperti suatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Sekejap. Mengapa ini boleh menjadi isu bahasa kebangsaan pula?

Saya menganggap diri sebagai seorang yang ghairah mahu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi saya tidak faham mengapa ini menjadi isu menghormati bahasa kebangsaan pula?

Adakah kita cuba untuk tahu apa yang ditulis dalam bahasa Cina dan ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan tersebut?

Saya ada tanya dan ungakapan-ungkapan tersebut boleh diterjemahkan secara mudah menjadi begini, “Apabila insan tidak bersengkata dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Dalam bahasa Inggeris, ianya adalah antithetical couplet, ungkapan puisi berkembar.

Biasanya ia digantung pada kedua-dua belah pintu masuk sesebuah rumah untuk memberi ‘ong’ kepada penghuninya. Anda boleh buat carian dalam Wikipedia mengenai hal ini.

Ya, kita mungkin tidak percaya perkara-perkara seperti ini dan kita pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan sendiri percaya atau tidak, tetapi ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Cina.

Pada hemat saya, Menteri Kewangan ingin menghiasi sedikit pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budayanya.

Adakah kita telah sampai kepada suatu peringkat yang kita tidak boleh menerima seseorang menteri berbangsa Tionghua atau India, KadazanDusun, Iban dan sebagainya, memperlihatkan walau secebis budaya mereka dalam pejabat sendiri?

Selepas ini, adakah menteri tidak boleh meletak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?

Sejak bila budaya Cina berhenti menjadi sebahagian daripada citra negara Malaysia ini? Orang Cina bukan hanya tinggal di Beijing sahaja, saudara.

Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina tersebut tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng’, atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Ia adalah ekspresi budaya yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina.

Samalah juga kalau kita ada pejabat dan kita letak ayat-ayat al-Quran. Ia bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat tersebut.

Malah, dalam pejabat Menteri Kewangan juga ada petikan daripada surah al-Hud. Ya. Bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ini bukan isu bahasa.

Menampal ungkapan Cina untuk membawa kemakmuran dalam pejabat tidak ada kena-mengena dengan urusan rasmi yang diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu tidak tergadai, terjejas atau diperlekehkan hanya kerana Lim Guan Eng mahu menghias sedikit pejabatnya dengan hiasan budaya Cina.

***

Syahredzan Johan ialah peguam yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, June 24, 2019

Video Semburit Haziq-Azmin, Siapa Pihak Yang Untung Sebenarnya?

Video Semburit Haziq-Azmin, Siapa Pihak Yang Untung Sebenarnya?

Cui bono adalah ayat daripada bahasa Latin dan dalam Bahasa Melayu bermaksud, siapa untung, kerana ia membawa pengertian yang tepat untuk kita semua memahami apa yang sedang berlaku di persada politik tanah air dan tulisan kali ini akan membawa pencerahan kepada babak politik terkini.

Video Semburit Azmin
Gambar hiasan.

Untuk memahami pencerahan yang digarap ini, saya meminta pembaca melupakan klip video Haziq, yang pada hemat saya, klip ini akan dinobatkan dalam sejarah porno YouTube sebagai klip yang paling tidak erotik, tidak mengancam syahwat, klip bertogel yang potong stim terlampau.

Adegan ranjang di mana para protagonis dilihat amat kayu dan kaku. Penggambaran babak ais krim yang membawa kita ketawa terbahak-bahak.

Kepada yang belum menonton klip Haziq sila tepuk bahu dan ucap tahniah kepada diri sendiri. Tak perlu tercari-cari dan tertanya-tanya di mana boleh menonton klip ini. Anggaplah diri tuan-puan terselamat daripada terjerumus ke dalam kancah kebodohan. Amin.

Kepada yang telah menonton sila hentikan bertanya, kenapa klip video ini kabur dan tak jelas? Kenapa suntingan dilihat tunggang bin langgang?

Jangan tertanya-tanya dan berteori apabila melihat sosok yang dikatakan Haziq terus menjengokkan mukanya ke hadapan kamera ketika sedang tunduk menghisap ais krim. Yakinlah sosok ini sedang berusaha untuk berlakon mengikut arahan.

Dalam masa yang sama, saya amat yakin si Haziq ini tidak pernah mengikuti kuliah lakonan Aswara atau Akademi Seni Kebangsaan, jauh sekali terbaca atau membaca teknik lakonan ‘method acting’ dari Lee Strasbergs atau Elia Kazan.

Sebenarnya, kita tidak perlu ke Universiti Yale atau Cambridge untuk memahami politik. Tak perlu ada PhD dalam bidang politik untuk menjadi arif dalam politik.

Politik Malaysia amat mudah difahami dengan keupayan fikrah kita yang hanya lulusan sekolah jenis kebangsaan.

Caranya cukup senang. Kita kumpulkan berita satu persatu. Kita atur berita ini seperti peta. Kemudian kita baca dan lihat bagaimana berita-berita ini ikat mengikat dan kait mengait dalam satu naratif yang besar.

Walau pun semua berita ini terpisah-pisah, satu muncul di New York, satu di Batang Berjuntai atau satu di Menggatal, bila berita ini disusun dan diatur maka akan muncul – cerita besar atau meta narrative.

Politik, kuasa, harta

Wajib juga dinyatakan untuk kali ke seribu dalam tulisan ini bahawa, dalam politik tiada sesuatu pun yang berlaku tanpa dirancang.

Dalam politik semua disusun atur untuk mencapai sesuatu tujuan. Semua babak politik memiliki sosok di belakangnya yang merancang dan mentuntas projek, sama ada tujuan yang dirancang itu berhasil atau tidak bukan persoalan. Yang penting ia dirancang.

Garis bawah politik ialah kuasa. Garis bawah kuasa ialah mengawal dan memiliki harta kekayaan. Politik kiri atau kanan - politik Islam, kafir atau sekular - semuanya sama kerana politik, kuasa dan wang ringgit tidak memiliki agama.

Agama, bahasa, bangsa dan tuhan adalah konsep yang digunakan untuk mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan kuasa. Mustahil masih ada yang tidak faham apa yang saya tulis. Kan.

Cui bono? Siapa untung?

Ayat cui bono pertama kali diperkenalkan kepada dunia oleh Marcus Tilus Cicero (tahun 106-43 Sebelum Isa).

Cicero adalah negarawan Rom, ahli falsafah, peguam dan orator yang tersohor dan pernah menjadi konsul untuk Republik Rom pada tahun 63 Sebelum Isa.

Teknik cui bono ini digunakan oleh FBI, CIA, KGB, SB dan semua lembaga perisikan di dunia.

FBI menggunakan cui bono ketika melawan mafia dan dadah di New York. Cui bono - siapa untung - diubah suai kepada 'ikut aliran wang'. Dimana dolar dan dinar itu berhenti, maka di situlah puncanya. Mudah.

Daripada analisa, heboh Haziq sebenarnya sudah bermula pada malam 9 Mei 2018!

Garis masa

13 Ogos 2018 - Utusan Malaysia melaporkan ucapan ahli parlimen Kapar Abdullah Sani yang menuduh Daim Zainuddin dalang yang cuba menyekat Anwar menjadi perdana menteri.

28 September 2018 - Dalam akhbar the New York Post muncul tulisan L Todd Wood.

"...Mahathir Mohamad never intends for Anwar Ibrahim to be prime minister in his own right. The recordings confirmed the government is already backtracking on the deal by claiming that the two-year term was never put in writing and Mahathir Mohamad may stay on longer and nominate Azmin Ali instead...

"...The recordings from the informant have also provided evidence of a sex tape showing Anwar Ibrahim having gay sex with a teenager..."

Tulisan Todd Wood ini muncul di minggu yang sama Mahathir Muhamad telah hadir di New York untuk memberi ucapan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pelik tetapi benar, Anwar Ibrahim tidak menyaman wartawan The New York Post ini. Amin.

6 Oktober 2018 - Ketika Pilihan Raya Kecil Port Dickson, portal Astro Awani telah menulis berita bertajuk, "Dakwaan liwat pelajar Indonesia: Anwar setuju beri kerjasama kepada polis."

Berita Anwar meliwat pelajar Indonesia muncul hasil daripada berita yang dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi United Malays National Organisation, Lokman Adam.

Pelik tetapi benar, Anwar Ibrahim juga tidak menyaman Lokman Adam.

Pembaca wajib diberitahu semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan, wartawan terus bertanya kepada Mahathir tentang siapa penggantinya. Hampir dua minggu sekali soalan siapa ganti Mahathir diulang-ulang.

Dua tahun. Dua tahun. Dua tahun. Ia menjadi mantra Anwar dan konco-konconya.

8 Mei 2019 - Berita Harian melaporkan cakap Anwar bahawa dia telah berbincang dengan Mahathir dalam hal peralihan kuasa. Lagi cerita dua tahun.

29 Mei 2019 - Tiba-tiba, semasa di Tokyo Mahathir berkata tidak ada masa yang ditetapkan untuk peralihan kuasa. Jeng jeng jeng.

4 Jun 2019 - Pada Hari Bantai - iaitu petang raya - Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

5 Jun 2019 - Anwar Ibrahim kelihatan gelabah. Anwar menyusun rancangan untuk menggagalkan lantikan ketua baru SPRM.

6 dan 7 Jun 2019 - YB Nik Nazmi, YB William Leong dan YB Tan Yee Kew mula bergerak mengumpul tanda tangan orang ramai untuk menolak pelantikan Latheefa Koya.

10 Jun 2019 - Anwar tiba-tiba berubah. Dia kini menyokong pelantikan Latheefa Koya. Apa berlaku? Kenapa Anwar berubah fikiran.

Umum tidak tahu, rupa-rupanya ada berita di belakang berita. Ada babak lebih gempak dari berita Latheefa Koya. Berita gempak ini telah berjaya ditutup selama hampir dua minggu.

Berita dua orang anak muda yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bergelut, bergaduh dan nak bunuh membunuh. Bila?

Pergaduhan berlaku pada 16 Mei 2019.

7 Jun 2019 - Berita bocor setelah berjaya ditutup daripada diketahui umum. Berita ini dibocorkan oleh Malaysian Gazette. Yang dituduh membelasah ialah Farhash Wafa Salvador.

Kenapa bergaduh? Merebut apa? Berebut duit Yayasan Aman ke? Duit Yayasan hilang atau kunci pejabat yang hilang? Atau berebut duit raya dari towkay judi?

Laporan awal mengatakan rakaman CCTV di pejabat di alamat Lorong Tanjong 5/4f Bukit Gasing Petaling Jaya telah dipadam. Uik.

(Babak Selingan)

Farhash Wafa Salvador

Polis telah menyelesaikan siasatan kes dakwaan pukul yang berlaku di pejabat Presiden PKR Anwar Ibrahim di Petaling Jaya, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat.

Fadzil berkata polis akan menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

"Ya kita sudah ambil keterangan semua pihak terlibat dan lengkapkan siasatan. Kita akan hantar kertas siasatan kepada DPP nanti," katanya ringkas kepada pemberita.

Pada 10 Jun 2019 lalu, seorang lelaki berusia 26 tahun dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memukulnya di premis itu, pada 16 Mei 2019 lalu.

Lelaki itu juga menyerahkan laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta berkenaan kecederaan yang didakwa ekoran insiden itu. Kedua-duanya dikatakan bertengkar sebelum keadaan memburuk.

Laporan balas terhadap lelaki itu juga telah dibuat, yang didakwa terlibat menyalahgunakan dadah dan cuba masuk ke premis tanpa izin.

Lelaki itu yang bertugas sebagai penyelidik sukarela juga telah dipecat, dimaklumkan mempunyai kecederaan lampau dan bukannya cedera disebabkan insiden seperti yang didakwa.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas dakwaan sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

..sambungan
11 Jun 2019 - Gempar. Tiba-tiba, jam satu pagi klip video Haziq tersebar dan merebak. Wartawaan dan pemimpin PKR dari ranting ke cabang ke pimpinan pusat menerima klip video ini. Malah, dilaporkan Lokman Adam juga mendapat klip yang sama. Heboh heboh heboh.

12 Jun 2019 - Biro politik PKR buat sidang tergempar. Azmin tidak hadir. Tapi pelik lagi hairan Haziq tidak pula diberi surat amaran atau dipanggil untuk menerangkan duduk perkara.

13 Jun 2019 - Haziq membuat satu rakaman video di mana dia mengaku sebagai salah seorang dari dua lelaki berbogel di ranjang. Paling ajaib, dalam klip pengakuan ini Haziq dengan tidak semena-mena meminta SPRM menyiasat Azmin Ali.

Juga Haziq yang dilihat mengulum ais krim berpendapat Azmin Ali ini tidak layak untuk menjadi pemimpin negara.

Adakah ini kerana ais krim itu dirasa pahit oleh Haziq? Rasa ais krim pahit ini meyakinkan Haziq bahawa Azmin tidak boleh menjadi pemimpin. Paling pelik, apa hubungan babak hisap ais krim dengan SPRM?

Soalan dan pertanyaan ini hanya si pengarah dan penulis skrip video ini yang tahu mengapa SPRM wajib menyiasat kes hisap ais krim. Kah kah kah.

14 Jun 2019 - Polis mencari Haziq di rumah keluarganya di Sarawak. Ayah Haziq buat laporan rumah dipecah polis.

Ke mana Haziq menghilang? Klip video Haziq telah menular tapi belum sampai ke pengetahuan Penerbit Hollywood.

Media dan polis sedang memburu watak utama pelakon sado bernama Haziq. Wajah Haziq susah nak menyamar.

14 Jun 2019 - Melintasi jam 5 petang Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Manila. Manila? Ada apa di Manila? Apa sangkut paut dengan Duterte?

15 Jun 2019 - Haziq bebas.

17 Jun 2019 - Media di Sarawak melaporkan Datuk Seri Anwar marah dan enggan menjawab di mana hilangnya Farhash, kerana akhbar The Star menimbulkan nama Farhash.

18 Jun 2019 - Tiba-tiba si Farhash Salvador muncul. Bukan di Bukit Gasing tapi di alam siber melalui Facebook dan Whatsapp.

19 Jun 2019 - Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa Azmin meletakkan jawatannya jika terbukti bersalah berhubung kes video mirip seorang menteri.

Cui bono? Siapa untung?

Semua ini fakta yang dipungut daripada laporan media. Para pembaca sila nilai sendiri dan buat rumusan sendiri.

Sama seperti warga Rom dua ribu tahun dahulu, para pembaca di Malaysia juga pada 2019 memiliki fikrah yang berupaya memberi jawapan.

(Tonton video dibawah, "DALANG VIDEO AZMIN ALI & HAZIQ AZIZ AKHIRNYA TERBONGKAR!")

BACA INI JUGA:



sumber: malaysiakini

Friday, May 10, 2019

Dosa Dari Masjid Yang Melahirkan Generasi Pendendam

Dosa Dari Masjid Yang Melahirkan Generasi Pendendam

Sebahagian besar masjid di negara ini mempunyai simpanan wang yang teramat banyak dan ia kemudian hanya digunakan untuk membaik pulih bangunan masjid, tukar permaidani dan hal-hal seumpamanya.

Masjid Kosong

Memang itulah yang kamu dapat apabila masjid-masjid ditadbir oleh cikgu pencen, polis pencen dan individu yang berasakan masjid itu adalah milik peribadi mereka.

Yang polis pencen, sibuk nak tangkap pencuri wang tabung. Maka sibuklah dia memastikan ciri-ciri keselamatan masjid. Merata-rata dipasangnya CCTV. Keliling masjid dipasang pagar besi. Pantang ada pintu dan tingkap.

Masuk masjid kadang-kadang dah rasa macam masuk lokap. Mentang-mentanglah awak bekas polis.

Yang cikgu pencen pula sibuk dengan hal-hal keceriaan. Karpet mesti macam hotel lima bintang. Lampu cantik mesti ada di sekeliling pagar.

Pendingin udara wajib ada, sementara kipas gergasi dipasang sebagai persediaan sekiranya penyaman udara bermasalah.

Takut sangat panas semasa beribadat sedangkan panas api neraka terlebih panasnya apabila kamu salah uruskan wang orang ramai.

Kemudian, cikgu-cikgu pencen tidak lain kerjanya ialah mengherdik budak-budak yang baru belajar ke masjid.

Jubal lawa, oud harum

Yang kanak-kanak dimarahi kerana bising. Yang remaja dijerkah kerana bacaannya salah. Yang tua sedikit dipersalah kerana tidak duduk muzakarah.

Maklumlah, cikgu pencen, dah terbiasa marahkan budak sampai ke tua tak habis panasnya.

Orang yang tidak pergi masjid pula bukannya dipujuk, malah diperlekeh seolah-oleh sebelah kakinya dah masuk neraka.

Apabila budak tabligh datang nak tolong ajak orang kampung kamu ke masjid, kamu buat muka masam. Menyampah, kata kamu. Busuk, kata kamu.

Walhal kamu tidak tahu yang kebanggan budak-budak tabligh itu ialah memakai jubah yang paling lawa. Menyimbah minyak wangi oud paling mahal pada badan pula adalah kemegahan.

Kamu sendiri pun pakai minyak wangi Mydin. Itupun yang diwakafkan di masjid-masjid.

Kami tahu kamu akan segera mengatakan bahawa sebagai ejen orang kafir, tulisan kali ini mesti mahu mencari salah bangsa Melayu Islam.

Dan setelah menyerang bahasanya, kali ini - kata kamu - kami sibuk pula mahu mencari salah orang masjid.

Nak kata apa lagi, kamu semua memang jenis begitu.

Mesti rayu sumbangan

Nampak sampah di jalan, bukannya kamu pakat-pakat bersihkan sebaliknya kamu ambil gambar, letak di media sosial dan kamu maki.

Sampah itu kamilah. Tidak berguna kepada kamu. Menyusahkan dan menyesakkan.

Seperti yang kami katakan dulu, ada antara masjid di bandar-bandar besar mempunyai simpanan wang sumbangan orang ramai hingga berjuta-juta ringgit.

Wang itu tidak berkurangan kerana saban hari - dan yang paling penting - sebahagian AJK masjid akan merayu sumbangan.

Mahu kenduri sambut Maal Hijarah, minta sumbangan. Orang minta buat tahlil arwah pun kamu minta duit.

Pendek kata agenda paling utama sesetengah masjid ialah menambah wang simpanan masing-masing.

Yang dipertikaikan cuma, ke mana wang itu dibelanjakan?

Betullah kamu pandai mencari dana, namun mengapa wang itu hanya dibelanjakan untuk keceriaan bangunan masjid?

Keceriaan budak-budak yang mahu bersekolah, bagaimana? Adakah kamu tidak tahu berita betapa hari ini anak-anak kita yang sedang belajar di universiti ada antara mereka mengikat perut kerana tidak cukup makan?

Mengapa tidak boleh wang yang sebegitu banyak dijadikan biasiswa? Jangan biarkan mereka berhutang dengan sesiapa. Jangan biarkan mereka selamanya menjadi hamba sesiapa. Kita ini orang Islam!

Duit untuk siswa

Atau jika payah sangat, bayar saja mana-mana kedai makan berhampiran tempat budak-budak itu belajar. Suruh mereka sediakan makanan setiap hari kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu.

Tapi, siapkan makanan tu, mahal sikitlah. Janganlah kangkung goreng tiap-tiap malam. Buatlah hidangan yang macam kamu sendiri yang mahu makan.

Biar budak-budak itu senang belajar dan tidak perlu bersusah hati memikirkan perut masing-masing atau bayarkan saja hutang PTPTN mereka.

Seperti yang kami katakan dulu, apabila kamu berbaik dengan budak-budak itu, nanti merekalah yang akan kembali memenuhi masjid kamu.

Jika kamu lakukan semua ini, nanti kita akan dapati lahir satu generasi yang selalu bersyukur, bukan jenis pendendam macam yang kita ada hari ini.

Disebabkan semasa belajar mereka miskin, apabila bekerja mereka membalas dendam dengan berbelanja macam tidak dilihat tuhan.

Kamu dapat wang percuma dan selama mana ada ayat al-Quran yang mengatakan betapa besarnya kelebihan bersedekah, selama itulah akan ada mereka yang murah hati memberikannya.

Budak-budak Bangladesh yang gaji entah berapa sen itu pun tidak pernah lokek untuk memberi sumbangan setiap kali tabung masjid lalu di depan mereka.

Sedangkan kamu apabila dapat wang daripada mereka, segera menyimpannya untuk dijadikan modal berbangga-bangga. Masjid aku banyak duit. Masjid aku cantik.

Budak curi RM2 kamu pukul setengah mati. Sakit sangat hati kamu apabila budak yang entah kebulur tidak makan atau sang bapa kebingungan menanggung keluarga mencuri seringgit dua wang yang memang sepatutnya menjadi hak mereka itu.

Tak malukah ada masjid kaya sedangkan ahli kariahnya meminta-minta? Kamu mahu jawab apa dengan tuhan nanti?

Kita orang beragama. Kita berbangga sebagai Muslim yang sederhana, Muslim yang tidak membunuh orang. Muslim yang taat dengan perintah benar tuhan.

Namun di mana mahu kita letak muka apabila orang tidak Islam mula mempertikaikan cara kita menguruskan wang sumbangan orang ramai?

Sepatutnya masjid-masjid yang mempunyai wang yang banyak bertindak melakukan sesuatu bagi membantu masyarakat di sekeliling.

Jika tidak pandai, gajikan mereka yang ahli. Tahulah mereka bagaimana mahu membelanjakan wang masjid itu.

Jangan bimbang ditipu kerana selama mana kamu menyimpan wang sumbangan orang ramai tanpa membelanjakannya kepada yang hak, maka selama itulah kamu sedang ditipu syaitan.

Selamat berpuasa kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga mendapat keberkatan bersama bulan ini, seperti yang dijanjikan tuhan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, April 09, 2019

Pembunuhan Christchurch, Perang Budaya Dan Kaitannya Dengan Zionis Israel

Pembunuhan Christchurch, Perang Budaya Dan Kaitannya Dengan Zionis Israel

Di dalam politik tidak ada satu perkara pun yang berlaku secara tersendiri. Semuanya dirancang. Semuanya diatur. Semuanya dilakukan untuk melunaskan satu agenda yang telah dirancang dan telah dipersetujui.

Pembunuhan Christchurch

Di dalam dunia ini juga tidak ada sesuatu perkara bergerak atau berjalan dengan sendirinya. Semua bergerak kerana ada sebab musabab. Ini hukum alam.

Hukum-hukum ini tidak akan beralih atau berubah walau dalam negara apa bentuk sekali pun. Politik ialah perancangan untuk menjalankan satu agenda.

Apa yang kita baca di akhbar, di laman Internet, di portal berita hanyalah manifestasi dari agenda tersebut.

Berita-berita politik seperti ucapan perdana menteri, presiden atau ketua parti atau imam, pope atau mufti adalah manifestasi dari agenda politik.

Manifestasi

Manifestasi adalah perkara yang dapat dilihat atau dibaca. Di belakang berita-berita ini ada sebab musabab yang melahirkan manifestasi ini. Ada yang halimunan.

Kewujudan Osama Ben Laden adalah manifestasi. Perang Iraq adalah manifestasi. ISIS dan Wahabi adalah manifestasi. Wujudnya Gaza dan Isreal atau Singapura adalah manifestasi. Pembunuhan dalam masjid di Christchurch adalah manifestasi.

Contoh terbaik untuk senang difahami ialah gerakan Reformasi 1998. Manifestasinya ialah demonstrasi. Sebab musababnya ialah Anwar dibuang dari kerajaan kerana tuduhan meliwat.

Semua manifestasi berlaku memiliki sebab musabab. Sebab musabab ini juga memiliki sebab musabab yang memangkin ia terjadi. Ini dipanggil garis bawah. Ada yang halimunan dan ada yang dapat dilihat.

Garis bawah - bottom line - dari semua manifestasi ini adalah keuntungan dan dalam sistem ekonomi kapitalis keuntungan adalah rukun utama. Ini agenda induk.

Sistem ekonomi kapitalis ini adalah sistem yang pada hari ini sedang meneraju dunia. Malaysia mengamalkan ekonomi kapitalis. Arab Saudi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. China Merah juga mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisme tidak ada agama. Rukun iman kapitalis ialah mencari untung.

Mencari untung dan harta kekayaan inilah yang menerajui kehidupan umat manusia di dunia kita hari ini. Bahasa, budaya, gaya hidup atau agama hanyalah manifestasi dari agenda mencari untung dan kekayaan.

Malah, manifestasi ini juga boleh dijadikan bahan modal untuk meraih dan mengumpul keuntungan.

Latar belakang ini wajib diketahui dan difahami terlebih dari. Ini bertujuan agar pembacaan politik kita tidak juling.

Secara tersusun kita dapat membaca babak-babak politik dengan lebih jelas dan terang. Dengan mengenal manifestasi maka kita akan dapat mencari dan memahami sebab musabab dan kenapa satu-satu manifestasi ini terjadi.

Ingat, dalam politik semua dirancang. Justeru adakah apa yang dilakukan oleh Brenton Harrison Tarrant di Christchuch itu dirancang? Apa yang dilakukan oleh Osama Ben Laden juga dirancang?

Betul. Tepat. Semua dirancang. Semua diatur. Semua disusun. Semua untuk satu agenda.

Projek Wahabi

Pada 22 Mac 2019 yang lalu akhbar Washington Times telah melaporkan satu temubual dengan Putera Mohamad Bin Salman (MBS).

Anak raja Saudi ini untuk pertama kali telah mengakui bagaimana Amerika dan negara sekutu penyokong Saudi telah meminta Raja Saudi mengunakan Islam dan Wahabi sebagai senjata Perang Dingin. Ini di awal tahun 70-an.

Perang Dingin ialah perang ideologi. Perang antara blok kapitalis Amerika dengan blok sosialis Soviet Rusia. Saudi, Islam dan Wahabi digunakan untuk menentang Soviet Union.

Kaum kiri dan kaum progresif seluruh dunia telah mengetahui fakta ini dari awal lagi. Tetapi inilah kali pertama ia diakui secara rasmi oleh tuan empunya projek.

Projek Wahabi ini bertujuan untuk menghalang dan mematahkan gerakan kiri dan progresif yang sedang memimpin maju warga Arab di Timur Tengah.

Mesir dibawah nasionalis progresif Gamel Addel Nasser (1918-1970) sedang memimpin dunia Arab.

NAM
Tiga lagi negara majoriti Islam sedang dipimpin oleh sosok progresif. Ayub Khan (1907-1974) dari Pakistan, Sukarno (1901-1970) dari Indonesia dan Ahmad Ben Bela (1916-2012) dari Algeria.

Mereka bersama Perdana Menteri Nehru (1889-1964) dari India dan Presiden Tito (1892-980) dari Yukoslavakia telah menubuhkan Gerakan Negara Berkecuali - Non-Aligned Movement (NAM) pada tahun 1961.

Garis politik NAM ialah negara-negara ahli NAM tidak mahu menjadi barua atau budak suruhan imperialis Amerika dan Soviet Union.

Justeru Wahabi melalui Islam kolot yang anti berfikir telah dimajukan ke hadapan sebagai jawapan kepada gerakan progresif NAM. Islam menghafal dan Islam ritual telah ditonjolkan. Bukan Islam Baitul Hikmah.

Arab Saudi mengembangkan ajaran Islam hafal dari masjid ke masjid dan surau di negara yang ada warga Islam.

Berfikir dan bertanya dilarang oleh tok guru kerana ini akan memunculkan pemikiran kritikal. Fikrah yang kritikal bahaya untuk kaum pemodal dan pemerintah yang zalim lagi bebal.

Pertanyaan yang digalakkan ialah pertanyaan halal haram kentut mentot dari pandangan sang ustaz.

Pertanyaan atau soalan berbentuk konsep, kritikal dan falsafah ala Baitul Hikmah memang tidak digalakkan. Mungkin juga Sang Ustad tidak berupaya.

Fakta membuktikan bahawa sebelum meledaknya harga minyak - dana untuk projek Wahabi disalurkan oleh Amerika.

Aset CIA dan sekutunya dengan jubah hijau menyerap masuk menyalurkan dana ke pertubuhan belia Islam, gerakan mahasiswa Islam dan kumpulan amal bakti Islam.

Apa apa yang dilakar ini betul dan sahih ? Atau cerita dongeng penglipur lara? Untuk memahaminya, mari kita menjala dan menyelongkar sejarah. Sejarah tidak pernah berbohong.

Pada musim panas 1993 Samuel Huntington ahli fikir dan ahli akademik dari Universiti Harvard telah menulis satu esei dalam jurnal Foreign Affairs.

Journal ini adalah jurnal yang terpenting dalam dunia. Foreign Affairs adalah jurnal pemikiraan para intelektual Amerika.

Tulisan mereka mencadang, mengariskan dasar dan hala tuju Amerika dan dunia kapitalis.

Esei “Clash of civilisation” atau Pertempuran Budaya ini melakarkan garis baru dan keadaan baru yang akan dihadapi oleh Amerika dan dunia kapitalis sesudah tamatnya Perang Dingin.

Dalam esei ini, Huntington menerangkan bagaimana agama dan budaya akan menjadi titik pertempuran. Perbezaan agama akan membawa perang.

Esei Huntington ini telah meramal dan menujumkan tujuh tahun lebih awal apa yang akan berlaku di New York pada pagi September 11 2001.

“They hate our freedom ,” kata George W Bush, Presiden Amerika ke-43.

Kata-kata Presiden Bush menjadi induk berita dan dijaja ke seluruh dunia. Inilah mantera yang digunakan untuk menerangkan kepada dunia apabila bangunan WTC telah meledak runtuh dilanggar oleh kapal terbang yang dibajak oleh warga Islam Saudi pada 11 September 2001.

Serangan terhadap WTC 9/11 menjadi manifestasi. Iraq diserang pada tahun 2003. Esei Huntington telah lama bersedia dengan konsep manifestasi pertempuran budaya.

Senjata pemusnah - weapon of mass destructiion - dikatakan dimiliki Saddam. Beliau menjadi Hitler dan wajib diselamatkan dengan demokrasi.

Semua bertujuan untuk mengolah persetujuan dunia. Jika masih juga tidak yakin dengan sebab musabab ini maka pertempuran budaya dijual sebagai sebab utama perang berlaku.

Hakikatnya di belakang semua manifestasi, bottom line ialah projek utama untuk merampas bahan bakar petroleum milik Iraq yang menjadi emas hitam pada ketika ini.

Serangan ke atas Iraq diikuti dengan perang di Afghanistan. Belum pun tamat perang Afghanistan, Syria pula diserang. Timur tengah menggelodak. Warga Arab dengan budaya Arab Islam menjadi marah dan naik minyak.

Kemarahan warga Arab ini diatur, disusun dan didorong. Mereka dididik dan diajar main senjata. Senjata didatangkan dari Amerika dan negara Eropah Barat seperti Perancis dan United Kingdom. Tukang bayar ialah Saudi. Turki memberi sokongan strategik.

Ketika Perang Dingin dahulu diwujudkan Wahabi. Dalam clash of civilisation atau pertempuran budaya kali ini gerakan Wahabi bertukar jubah menjadi Islamic State for Iraq and Sham (ISIS). Ideolojinya masih lagi Islam ritual dan Islam hafal.

Ideologi ini dijadikan benteng untuk menentang apa yang ditakrif sebagai demokrasi dan sekular.

Di media kita baca gerakan ISIS ini anti mazhab Syiah dan anti-Iran. Juga anti Barat yang kini ditujukan kepada Rusia.

ISIS menentang demokrasi. Berjuang untuk mewujudkan kembali pemerintahan khalifah. Berjuang untuk membawa kembali dunia Arab ke belakang seperti 1,000 tahun tahun.

Garis bawah dari manifestasi ini bukan lagi bahan bakar petrol kerana syarikat petroleum Amerika kini memiliki hak cari gali di Iraq. Kali ini bottom line ialah keselamatan negara yang dipanggil Israel.

Bagaimana pula kali ini - garis bawahnya - bukan lagi keuntungan tetapi Israel?

Sabar dahulu. Jangan salah baca. Jangan tidak sedar. Jangan lalai. Ketahuilah dunia kita hari ini ialah dunia kapitalis yang dimiliki oleh kumpulan Zionis-Anglo-Amerikan. Tiga puak ini senang mendominasi dunia.

Kumpulan Rahsia

Kumpulan ini tidak ramai. Jumlah mereka hanya 1% dari penduduk dunia dan pada 14 November 2017 lalu, laporan portal CNBC telah menunjukkan jumlah kekayaan dunia ialah 280 trilion.

Lebih setengah dari jumlah kekayaan dunia ini dimiliki oleh 1% warga dunia dan inilah sarang dan rumah kaum Zionis-Anglo-Amerikan.

Garis bawahnya masih lagi keuntungan. Kaum pemodal inilah yang sedang mendominasi dunia. Kaum pemodal dan puak inilah yang sedang mengembangkan hegemoni ke atas seluruh penduduk dunia.

Mereka mamagari dunia dengan hegemoni budaya dan ideologi. Mereka memiliki jentera, alat dan teknoloji untuk memastikan harta kekayaan dunia ini terus menjadi milik mereka.

Yang kita lihat di kaca TV, di panggung wayang, di media, di dewan kuliah, dari sekolah ke universiti adalah manifestasi dari hegemoni Zionis-Anglo-Amerikan.

Semua mereka atur. Semua mereka rancang untuk agenda dan botton line mereka.

Apa kena mengena hegemoni kumpulan Zionis-Anglo-Amerikan ini dengan apa yang berlaku di Christchurch. Ada apa dengan Israel. Tunggu minggu hadapan. Setannya akan muncul. END

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, April 08, 2019

Punca Hibah Tabung Haji Terlalu Rendah

Punca Hibah Tabung Haji Terlalu Rendah

Pasti ramai yang bertanya kenapa hibah Tabung Haji sangat rendah? Mungkin ramai yang akan tidak hati, sebahagian didasari kebimbangan, sebahagian yang lain pula hanya bersumber kepada sebab kebencian dan perseteruan politik.

Hibah Tabung Haji

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, melainkan sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya.

Info dan fakta dalam ulasan ini bersumber dari pihak Tabung Haji sendiri dan penulis tiada kepentingan dalam TH malah telah pun beberapa Kali l menunaikan haji melalui perjalanan sendiri sewaktu belajar dahulu, tiada satupun bersama TH.

Ulasan ini dibuat bagi melaksanakan tugasan menjawab soalan mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran, sekadar menyampaikan maklumat sebenar sekdar yang difaham, juga tiada sebarang autoriti atau kuasa untuk menjustifikasi berlebihan, mempertahankan atau mempengaruhi sebarang keputusan komersial, operasi dan penstrukturan oleh pihak TH.

Justeru, jika ada keputusan dan tindakan TH yang dilihat tidak tepat dari sudut komersial, itu adalah perbezaan biasa sudut pandangan komersial dari seseorang individu atau institusi dengan pengurusan TH.

Ia tidak semestinya lebih tepat atau lebih baik dari keputusan TH, kerana TH diyakini lebih fahami luar dalam organisasi yang diurusi mereka.

Tak pelik kadar 1.25 peratus

Maksud Hibah dalam bahasa arab ertinya adalah hadiah dan dari sudut kontrak dalam fiqh muamalat, adalah pelik dan tiada kewajaran untuk penerima hibah memarahi hadiah yang kecil diberi oleh pemberi hadiah.

Maka hibah kecil berbanding sebelum tentunya bersebab. Kerana kontrak syarah yang digunapakai oleh Tabung Haji dengan penyimpan adalah Wadi’ah Yad Dhamanah, yang bererti kontrak pinjaman wang.

Maka, hadiah dan jumlahnya mestilah diberi secara tanpa paksa dan sukarela oleh pemberi hadiah bagi mengelakkan elemen riba. Hal ini juga telah diteliti oleh Majlis Penasihat Shariah TH.

Kenapa Hibah TH terlalu rendah?

Ada pelbagai sebab yang tercantum dan membarah, antaranya kelemahan pengurusan TH terdahulu, pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 serta faktor politik ekonomi dalam dan luar negara.

a) Kelemahan pengurusan terdahulu

Kelemahan pengurusan TH yang dahulu (kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018), sebahagian keputusan ini tidak dianggap jenayah kerana menurut undang-undang, kelemahan ‘ certain type of bad investment decision is not a crime ’, maka tidak semua jenis kelemahan boleh diheret ke mahkamah.

Sebahagian lagi yang lain, telah pun dilaporkan kepada polis dan dalam siasatan iaitu kes yang merugikan Tabung Haji.

Antara kes-kes yang membawa kerugian seperti arahan untuk tidak menjual saham FGV sehingga kerugian RM1.1 bilion, TH menyelamatkan Ramunia Holdings Bhd (nama lama sebelum ditukar kepada nama TH Heavy Engineering Bhd) sehingga kerugian RM670 juta dan TH membeli 30 peratus pemilikan dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad melibatkan RM144 juta kerugian.

Menurut laporan TH, Lembaga Pengarah TH baru telah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama.

Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia jelas bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas beberapa pengurusan TH yang lalu berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM 3.7 billion).

Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pihak polis juga sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.

b) Melanggar Akta Tabung Haji 1995

Mantan gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada mantan menteri yang bertanggungjawab pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mengambil iktibar amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

Melihat laporan kewangan TH tahun 2017, mencatatkan kemerosotan nilai sebanyak RM120.4 juta sahaja, maka seolahnya TH tiada kerugian dan serta asetnya melebihi liabiliti termasuk kerugian, namun hakikat sebenarnya ukur rujuk kemerosotan nilai telah diubah, menyalahi standard piawaian perakaunan yang dipakai oleh TH sendiri iaitu menurut Financial Reporting Standard Consensus no 14 di bawah ‘ impairment ’ menghendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian, apabila ia dikembalikan menurut standard yang betul, kemerosotan nilai tahun 2018 menokok sebanyak 12.5 kali ganda sehingga menjadi RM1.507 bilion.

Inilah yang menjadikan TH kekurangan aset berbanding liabiliti serta menyekat pemberian hibah yang lebih besar.

c) Politik ekonomi dalam dan luar negara

Faktor politik dan ekonomi dalam negara dan juga faktor ekonomi luar negara seperti Federal Reserve USA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 4 kali pada tahun 2018, naik dari 2 peratus kepada 2.25 peratus, ini menyebabkan pelabur global mengutamakan Pasaran Saham USA yang lebih menyakinkan berbanding pasaran negara-negara membangun termasuk Malaysia, Trade War di antara China dan AS turut memberi kesan besar kepada kestabilan pasaran saham.

Begitu juga kekalutan isu Brexit yang mempengaruhi seluruh pasaran saham serantau termasuk Asia. Ini tentunya menjadi salah satu penyebab tambahan bagi jatuhnya nilai pelbagai saham yang dipegang oleh TH juga.

Tidak dinafikan, perubahan kerajaan PH dari BN buat pertama kali dalam sejarah Malaysia turut menambah lagi perisa ketidaktentuan pasaran saham di Malaysia. Ia perkara lumrah bagi sebuah perubahan besar dalam sesebuah negara.

Tak untung cuma pusing wang penyimpan

Menurut CEO Tabung Haji Zukri Ab Samat dalam sidang media pengumuman hibah, akta TH menghadkan pemberian hanya pada lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti, maka walaupun keuntungan semasa TH adalah RM2.014 bilion, tetapi jumlah yang boleh diagihkan berdasarkan Akta TH (bagi memastikan agar liabiliti tidak lebihi asset lagi) hanyalah RM913 juta sahaja.

Itulah jumlah yang membentuk 1.25 peratus hibah tahun 2018 yang terendah dalam sejarah.

Dijelaskan juga oleh pengurusan terkini TH, sejak beberapa tahun dahulu TH mampu memberikan hibah tinggi kerana wujud manipulasi piawaian perakaunan TH dan juga ketidaktepatan kedudukan akaun TH.

Akibatnya, hibah bagi beberapa tahun lalu adalah datang dari wang depositor bukannya dari untung perniagaan sebenar. Ia adalah resepi keruntuhan TH sekiranya diteruskan serta tidak diperbaiki dan diperbetulkan.

Bermakna, hibah tinggi masih boleh diberi tetapi dengan cara melanggar akta TH, mengubah ambang kemerosotan nilai secara salah sekali gus melanggar piawaian perakauan TH sendiri dan menggunakan deposit penyimpan.

Ini semua kalau dilakukan pada tahun 2018, pasti boleh memberikan lebih dari 6 peratus hibah tetapi ia salah di sisi undang-undang dan juga syarak serta menjatuhkan standard TH seperti skim cepat kaya pak man telo yang menggunakan duit pelabur awal untuk membayar pelabur terkemudian, bukan didasari oleh untung perniagaan tetapi memusing-musing wang penyimpan.

Kerajaan biaya kos selamatkan TH

Berdasarkan maklumat dari sidang akhbar TH, iaitu melalui suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diketuai oleh CEO yang baru dilantik iaitu Izad Shahadi, membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:

RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun.

RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun.

RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan.

Dengan kata lain, kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH.

Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion dan ini juga akan dibiayai oleh kerajaan.

Ini menjadikan tanggungan kasar kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion.

Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan kenyataan CEO TH, rumusannya keadaan TH sekarang adalah:

Defisit telah berjaya ditutup. Hibah boleh diagihkan mengikut Akta Tabung Haji.

Semua kerugian rosot nilai telah direkodkan. Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan.

Kedudukan kewangan telah pulih. Pulangan yang stabil daripada aset yang berdaya saing.

Sokongan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan diberikan untuk memastikan semua sukuk ditebus semula oleh SPV.

Hak keutamaan dimiliki TH yang mana TH boleh mengambil semula aset yang telah dipindahkan setelah dipulihkan.

Tadbir Urus dan ketelusan yang lebih baik. Pengawalseliaan yang diperkukuhkan serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih mampan.

Subsidi haji masih ada bagi mereka yang ingin menunaikan haji termasuk pengiring.

Simpanan penyimpan semua selamat malah dijamin 100 peratus oleh kerajaan.

Aset yang dipegang oleh SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) kini diuruskan sendiri oleh UJSB yang diketuai oleh CEO Melayu Muslim bernama Izad Shahadi Mohd Sallehuddin dengan dibimbing oleh 5 orang ahli Lembaga Pengarah yang semuanya Islam. Prokhas dan CEO berbangsa Cina tiada lagi peranan dalam hal ini.

Keputusan besar dan penting berkaitan urusan TH semuanya dibawa ke kabinet menteri dan tiada sama sekali dikawal oleh menteri kewangan atau mana-mana bukan muslim.

TH adalah di bawah tugasan perdana menteri dan menteri hal ehwal agama sahaja.

Pandangan saya bagi pendepositor, bagi sesiapa yang menyimpan untuk menunaikan haji, terlebih baik untuk mereka kekal dalam TH bagi melunaskan hasrat mulia dan kewajiban haji terbabit serta mendapat subsidi haji dari TH.

Bagi penyimpan untuk keuntungan yang lain dari itu termasuklah 1.3 peratus penyimpan kaya di TH yang merupakan pemegang RM37 bilion daripada keseluruhan jumlah simpanan RM74 bilion wang penyimpan, bertenanglah sekejap dan kemudian dengar dan fahami penjelasan pihak Tabung Haji dan bukan orang politik dari mana-mana parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan (mereka saling melobi sokongan).

Sebaiknya fahamkan penjelasan CEO Tabung Haji Zukri Samad sebagaimana yang beliau huraikan dalam suatu sidang media .

Biarlah kita mengambil maklumat dari bukan orang politik, ia lebih terpercaya.

Jika masih tidak percaya, maka duit simpanan itu adalah duit anda dan siapapun berhak menentukan keputusan terbaiknya.

Tahniah bagi mereka yang mampu membaca dan berusaha faham dari awal sehingga di para terakhir ini. Semoga hidayah dan kebenaran milik kita bersama.

***

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah Prof Adjung Unisel dan juga Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, March 31, 2019

Teladan Dari New Zealand, Wayang Yang Membawa Keamanan

Teladan Dari New Zealand, Wayang Yang Membawa Keamanan

Apabila melihat perdana menteri New Zealand bertudung litup semasa datang melawat kelurga mangsa serangan pengganas tempoh hari, hati kita menjadi sedikit aman. Simpati yang ditunjukkan beliau pada saat kita semua amat memerlukannya, membuatkan kita berasa bahawa masih ada tersisa kemanusian dalam kalangan orang banyak.

Pengajaran dari New Zealand

Begitu juga apabila ada orang perseorangan dan juga kumpulan manusia yang segera keluar menunjukkan sokongan.

Tidak kurang juga kalangan yang sudi memberikan perlindungan kepada orang Islam semasa menjalani rutin ibadat mereka.

Malah, kumpulan samseng bermotosikal yang terkenal lasak, Mongrel Mob, turut menyatakan kesedihan atas kejadian di Christchurch tersebut.

Kemudian kita lihat pula seluruh rakyat New Zealand bersedih atas peristiwa tersebut dan sebagai tanda sokongan azan dikumandangkan sempena solat Jumaat.

Begitu sebenarnya yang kita mahu. Tidak banyak, sekadar cukup untuk menenangkan hati kita yang sedang rawan ini. Tidak menambah luka seperti yang dilakukan oleh politikus dari Australia dan juga politikus bodoh dari DAP tempoh hari.

Api marak sepatutnya disiram air, bukan dipanaskan lagi dengan kata-kata dungu untuk kepentingan politik.

Teladan dari negara jauh

Tentu saja kita masih sedih dan marah apabila mereka - yang tanpa ada niat selain ke rumah tuhan untuk mengabdikan diri kepada-Nya - dibunuh begitu rupa.

Teramat pula kesedihan kita apabila anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa dikorbankan dek kebencian yang meluap-luap kepada agama pegangan mereka.

Kebencian kepada satu-satu bangsa hanya boleh dihapuskan apabila kita semua sudi hidup sebagai manusia.

Di mana pun kita berada - jika kita faham - tidak ada sesiapa pun yang ingin hidup dalam dendam, sentiasa curiga sesama sendiri dan saling menunggu peluang untuk menjatuhkan orang lain.

Bersegera masuk ke persekitaran aman tatkala bencana benci melanda merupakan jalan paling benar. New Zealand menunjukan caranya.

Terpulang kepada kita sama ada mahu mengikut contoh tersebut atau terus bergaduh siang dan malam. Paling lahanat, kita ini seperti dikuasai oleh politik siang dan malam.

Politik hanya satu bab paling kecil dalam kehidupan. Ketepikan itu dan tentu sekali kita beroleh hidup tersangat aman.

Terima kasih yang tidak terhingga kita ucapkan kepada New Zealand yang mengambil jalan menjernihkan keadaan.

Mereka membenamkan kebencian kepada Islam dengan cara - yang ironinya - diajar oleh Islam sendiri. Yang umat Islam sendiri hampir gagal melaksanakannya.

Apabila disakiti, bersegera mencari salah pada diri sendiri dan tidak tergesa-gesa menunding jari kepada orang lain.

Dituduh cuma wayang

Kita di Malaysia ini masih belum terlambat untuk sembuh daripada luka yang kita cipta sendiri. Kita diajar untuk berpuak dan disuruh untuk memperjuangkan hak puak kita melebihi puak lain.

Lupa kita kepada kesaksamaan yang dibawa oleh agama. Lupa bahawa iman dan takwalah yang nantinya menjadi pemisah kita sesama manusia.

Kami bukanlah sesiapa yang mahu memberitahu kamu semua perihal baiknya menjadi manusia aman.

Cuma menjadi tanggungjawab kami untuk bersama mereka yang tidak memandang warna bulu, darah keturunan atau cerdik bodohnya seseorang sebagai alasan untuk mereka dipinggir atau diutamakan.

Lupakan agama Melayu, agama Cina atau seumpamanya. Berasa malulah dengan ada orang bukan Islam - yang tanpa mereka sedari - sedang mengamalkan saranan dianjurkan Islam ketika musibah datang kepada mereka.

Ada suara kecil yang mengatakan bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan New Zealand adalah wayang bagi menutup kemarahan umat Islam namun, jika wayang itu boleh membawa kita semua kembali aman, apa salahnya?

Salam takziah kepada keluarga mangsa pengganas di New Zealand. Semoga mereka mendapat kerehatan yang abadi.

Takziah khas kami ucapkan kepada keluarga Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang terkorban dalam peristiwa malang di Christchurch.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini