Tuesday, February 26, 2019

Kenapa Malaysia Tidak Usir Dr Zakir Naik?

Kenapa Malaysia Tidak Usir Dr Zakir Naik?

Banyak pihak tidak henti-henti menyoal pendirian kerajaan Malaysia berkaitan kehadiran berterusan Dr Zakir Naik di negara ini dan ketiadaan tindakan pihak berkuasa untuk menghantar beliau kembali ke negara asalnya di India, kononnya ini adalah kewajipan ekstradisi menurut undang-undang antarabangsa.

Kenapa tidak usir Zakir Naik

Kebanyakan pendapat itu adalah kononnya berteraskan dakwaan sesetengah pihak luar, yang diterima bulat-bulat oleh pihak tertentu di Malaysia bahawa Dr Zakir terlibat sama ada dalam kesalahan keganasan terorisme serta jenayah gubahan wang haram, mahupun kekacauan harmoni kemasyarakatan yang melibatkan kutukan terhadap agama selain Islam.

Persoalan yang wajib ditanya oleh rakyat Malaysia yang prihatin adalah: Adakah dakwaan pihak-pihak terbabit yang dilemparkan itu, satu dakwaan yang berasas ataupun cuma tohmahan?

Jawapan sebenar undang-undang:

(a)(i) Pada asasnya, mana-mana negara yang diiktiraf sebagai negara yang sah di sisi antarabangsa, seperti India sememangnya berhak untuk meminta negara lain yang juga diiktiraf secara sah di sisi antarabangsa, seperti Malaysia, untuk menghantar pulang mana-mana individu yang dikehendaki di bawah sistem keadilan jenayah India itu, sekiranya individu itu berada di negara luar itu, seperti Malaysia.

(a)(ii) Kerjasama bagi tujuan pembanterasan jenayah di tahap antarabangsa ini adalah melibatkan kedua-dua negara iaitu India dan Malaysia melalui perjanjian antarabangsa (International Treaty) dan adalah juga tertakluk di bawah seliaan dan kerjasama organisasi Interpol, di bawah mana, mana-mana negara pemohon, India, akan meminta pengeluaran satu "notis merah" (Red Notice) daripada Interpol untuk membolehkan negara luar itu, Malaysia menghalang pergerakan keluar masuk individu itu dari Malaysia sehinggalah permohonan rasmi ekstradisi untuk memohon penghantaran pulang individu itu ke India dapat diproses oleh pihak berkuasa dan mahkamah di Malaysia, juga menurut prosedur dan undang-undang yang sedia.

(a)(iii) Namun, prinsip kerjasama penguatkuasaan jenayah antarabangsa ini adalah tertakluk kepada keperluan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan tempatan yang mengikat kedua-dua negara itu, iaitu India dan Malaysia.

(a)(iv) Dalam isu Dr Zakir Naik ini, walaupun pihak berkuasa India pernah memohon kepada Interpol untuk pengeluaran "notis merah" terhadap Dr Zakir Naik, yang mana telah dikeluarkan dan didaftar oleh Interpol untuk pengetahuan semua negara terbabit, termasuk Malaysia pada 19 Mei tahun 2017 lalu, namun pada hakikatnya Suruhanjaya untuk Kawalan Fail Interpol (Commission for the Control of Interpol's files) telah dalam persidangan Sesi 102 yang diadakan pada 24 hingga 27 Oktober tahun 2017 lalu, telah membatalkan pengeluaran dan pendaftaran "notis merah yang dipohon oleh India terhadap Dr Zakir Naik.

(a)(v) Justeru, apabila pihak penguatkuasa jenayah antarabangsa seperti Interpol sendiri tidak berpuashati berkaitan prosedur dan sokongan fakta berkaitan permohonan kerjasama pembanterasan jenayah antarabangsa ini, maka sememangnya adalah tidak adil untuk pengkritik secara salah menuding jari terhadap kerajaan berhubung ketiadaan tindakan yang diambil berhubung kehadiran berterusan Dr Zakir Naik di Malaysia.

(b)(i) Yang keduanya, pada 9 Januari 2018 lalu pula, satu tribunal rayuan untuk Akta Pencegahan Gubahan Wang Haram di India sendiri, yang diketuai Hakim Manmohan Singh telah mengeluarkan perintah untuk menghalang Pejabat Pengarah Pelaksanaan (Enforcement Directorate) di sana dari mengambil alih hak ke atas harta-harta Dr Zakir Naik yang pada awalnya telah dirampas atas siasatan alegasi jenayah gubahan wang haram, atas alasan:

"When the lawyer spoke about “incitement of violence in youth through Naik’s speeches”, Justice Singh said that the ED did not produce any prima facie evidence or statements from “such misguided youths” as to how these speeches pushed them to commit illegal acts."

“Have you recorded anybody’s statement as to how they were influenced by these speeches? Your chargesheet does not even mention how these speeches played any role in a terror attack in Dhaka in 2015,” he said.

“Have you read the speeches which form part of your chargesheet? I have heard many of these speeches and I can tell you that so far I haven’t come across anything objectionable,” the judge told the ED’s lawyer.

"The Tribunal also ordered a “status quo” stopping the ED from taking possession of a Chennai school and a commercial property in Mumbai" dan

"The ED had attached three properties of Naik, however, the judge said the agency cannot now proceed with the physical possession."

(b)(ii) Justeru, bagaimanakah kerajaan Malaysia boleh bertindak terhadap Dr Zakir Naik berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, sedangkan pihak berkuasa kehakiman India yang berkenaan sekalipun tidak puas hati dengan tahap bukti yang ditampilkan oleh pihak siasatan India terhadap Dr Zakir Naik itu?

(c) Yang ketiganya, Dr Zakir Naik yang memegang taraf penduduk tetap sejak tujuh tahun lalu, iaitu sebelum kewujudan mana-mana alegasi yang dilemparkan terhadapnya oleh pihak berkuasa India, sememangnya berhak kepada haknya di bawah taraf itu, untuk dilindungi oleh kerajaan Malaysia, selagi Dr Zakir Naik, tidak menyalahi mana-mana syarat taraf kedudukannya dan tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah di negara ini, Malaysia.

(d)(i) Akhir sekali, sekiranya pihak kerajaan India masih meneruskan dengan mana-mana permohonan rasmi untuk tujuan perolehan ekstradisi berhubung Dr Zakir Naik dari kerajaan Malaysia, semestinyalah segala proses dan keperluan wajib dipatuhi oleh kerajaan Malaysia menurut tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa dan juga tempatan, yang akan diputuskan oleh mahkamah Malaysia yang sah, di mana semua pihak, iaitu, kerajaan India sebagai pemohon, kerajaan Malaysia sebagai negara luar terbabit dan Dr Zakir Naik sebagai individu terbabit, akan kesemuanya berhak menampilkan hujah masing-masing di mahkamah kelak, jika ada.

(d)(ii) Sehingga itu, adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada kerajaan Malaysia seolah-olah kerajaan wajib menghantar pulang Dr Zakir Naik ke India, sedangkan pihak-pihak pengkritik terbabit gagal untuk mengkaji kedudukan sebenar isu ini di sisi undang-undang dan kedudukan kes ini menurut perkembangan antarabangsa.

***

Penulis adalah HANIFF KHATRI, seorang peguam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, January 28, 2019

Perokok vs Menteri Yang Megah Dengan Kuasa

Perokok vs Menteri Yang Megah Dengan Kuasa

Di Malaysia, merokok bukan hak. Ia merupakan sebahagian daripada budaya masyarakatnya, terutama di restoran mamak dan warung-warung, yang sudah wujud lama—bahkan boleh dikatakan perkembangan perniagaan premis makan terbuka menjadi begitu unik disebabkan oleh orang yang berkumpul, nongkrong sambil sebahagiannya merokok.

Larangan Merokok

Di sebalik budaya unik ini, orang Malaysia juga tidaklah sampai menjadi biadab. Tidaklah sampai di restoran atau warung terbuka disisihkan pula mereka yang tidak merokok.

Secara budaya jugalah, kedua kelompok itu saling menghormati—yang tidak merokok tidak sampai terganggu oleh yang merokok.

Selalunya kawasan dalam restoran ‘dikhaskan’ kepada mereka yang tidak merokok. Di kawasan luarnya, kepada mereka yang merokok.

Jarak ruang dalam berbanding kawasan luar yang terbuka, tak perlu diukur dengan tali ukur sama ada tiga meter atau kurang, seperti jarak yang ditetapkan kementerian kesihatan hanya tiga meter sahaja.

Kalau angin bertiup ke arah anak kecil, misalnya, jarak tiga meter pun boleh terkena pada anak tersebut, maka faktor tiupan angin—yang tidak wujud dalam peraturan kementerian kesihatan—juga diambil kira.

Begitulah hebatnya masyarakat yang berdiri dengan otak yang tak mati, yang membentuk apa yang kita sebutkan sebagai “budaya.”

Budaya membentuk keteraturan” dan bukannya “peraturan”.

Peraturan yang bertulis, yang nampak teratur atas kertas—walaupun bagaimana besar pun denda yang dikenakan—selalunya pula membuatkan masyarakat tidak teratur.

Masyarakatlah yang mengharmonikan diri mereka sendiri dan bukannya undang-undang.

Disebabkan masyarakat yang berbudaya ini jugalah maka kebanyakan restoran di dalam pusat beli-belah tidak ‘diganggu’ atau menjadi tempat merokok—walaupun tak ada sebarang undang-undang larangan.

Restoran di sana menjadi tempat yang lebih mesra keluarga, waktu operasi restoran juga terikat dengan waktu operasi pusat-beli belah.

Tidak elok untuk ibu-bapa membawa anak-anak melebihi jam sepuluh malam—begitu selepas pukul sepuluh, di restoran-restoran bukan pusat beli belah pula dipenuhi mereka yang merokok.

Lebih-lebih lagi kepada peminat bola sepak, mungkin bukan kerana mereka tidak ada televisyen di rumah, tapi menonton bola bersama kawan-kawan lebih memuaskan selepas anak-isteri berehat atau lena di rumah.

Kita percaya menteri kesihatan tidak menjiwai semua budaya dan keteraturan yang telah wujud dalam masyarakat kita.

Konsep “rahmatan lil alamin” bagi menteri dan pemimpin kerajaan baru ini bererti membela mereka yang tidak merokok sahaja, sementara perokok wajib dihukum, disisih atau diketepikan sama sekali!

Sistem budaya terganggu

Apabila sistem budaya yang sudah teratur sekian lama diganggu, di situlah punca kekalutan.

Sebenarnya apa yang disisihkan atau dihukum bukanlah perokok, tapi budaya dan sikap tolak ansur yang telah menjadi sebahagian keunikan dan kekuatan masyarakat.

Walaupun ada juga perokok yang tak faham bahasa, biadab dan menghembus asap ke muka anak kecil atau ibu mengandung, perkara sedemikian tentunya kes terpencil.

Sama jugalah kes-kes terpencil di mana ada yang meludah sesuka hati di restoran.

Kelakuan begitu lebih menjijikkan—dan kalau perlu undang-undang, maka undang-undang larangan meludah di restoran adalah lebih perlu!

Budaya tahu segan dan saling-menghormati di dalam masyarakat ini juga boleh di lihat sampai ke kenduri-kendara.

Selepas yasinan, ada yang berpindah ke anjung atau tangga rumah untuk merokok walaupun tiada larangan merokok dalam ruang tamu rumah.

Di awal pembentukan Malaysia, dalam dewan rakyat pun ketika berbahas, perdana menteri, menteri dan ahli-ahli parlimen boleh merokok.

Sekurang-kurangnya tiga-empat orang perdana menteri terawal di negara ini adalah perokok—selain mereka juga tidak malu-malu menari.

Sebagai contoh, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj seorang perokok dan sebelum beliau, Onn Jaafar yang berjuang memerdekakan Tanah Melayu juga seorang perokok.

Merokok tidak menjadikan mereka kurang sebagai seorang pemimpin dan pejuang.

Di kalangan PM yang merokok itu, tidak seorang pun tercalit sebarang skandal, apatah lagi isu rasuah, salah guna kuasa atau melanggar adab sebagai seorang pemimpin yang sayangkan negaranya.

Tunku Abdul Rahman tidak terlibat dengan kes 1MDB atau Razak Hussein pun tidak sampai tergamak menyelamatkan syarikat anak atau kroninya ketika negara dilanda krisis parah seperti 13 Mei 1969.

Semua pemimpin yang merokok—dan juga menari itu—dikenang bukan sahaja sebagai pejuang, tetapi pemimpin yang kasihkan rakyatnya—dan tidak kiralah rakyatnya itu perokok atau tidak.

Lihatlah! Sejak Malaysia diambil alih oleh PM yang tidak merokok, keadaan demokrasi di negara ini pun semakin menguncup.

Kebejatan politik termasuk rasuah besar-besaran dilakukan termasuk oleh menteri dan PM yang tidak merokok.

Saya percaya, ada pegawai tinggi di kementerian kesihatan juga perokok. Dia punya ‘hak’ merokok kerana dia pegawai tinggi, atau mungkin juga pemimpin politik berjawatan.

Maknanya, orang biasalah yang akan menjadi mangsa pertama larangan merokok dan bukannya pegawai tinggi atau menteri. Begitulah munafiknya masyarakat ini bakal terbentuk nanti.

Keadaan ini samalah dengan hukuman hudud seperti yang dicadang oleh PAS yang akan menghukum rakyat biasa—sementara elit dan raja akan terlepas.

Begitulah munafiknya apabila golongan LGBT pun diberikan hak, tapi perokok disisihkan!

Bayangkan..

Di negara maju sekalipun, kerajaannya mengambil masa cukup lama untuk mendidik masyarakat agar mengurangkan tabiat merokok.

Kawasan atau “kontena” khas disediakan di sebalik undang-undang larangan, sementara itu, sistem kesihatan juga gigih ditingkatkan termasuklah kualiti hospital dan perkhidmatan kesihatan rakyat.

Rakyat tidak bodoh dan sedang memerhatikan dan apabila PH dijangka kalah, mereka kalah bukan kerana rakyat menyukai BN, tetapi kerana yang diharapkan lain, perkara lain pula yang dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah memulihkan ekonomi, melaksanakan manifesto dan membela masyarakat bawah, namun yang dilakukan mewujudkan kemunafikan serta membunuh budaya tolak-ansur yang telah wujud sekian lama di dalam masyarakat ini.

Budaya itulah yang sebenarnya menjadi rahsia kekuatan Malaysia.

Bukannya menteri yang di tangannya seolah-olah ada belantan besi. Megah dengan kekuasaan. Galak memukul masyarakat.

***

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, January 24, 2019

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Setakat ini sudah banyak diperkatakan tentang abdikasi atau tindakan turun takhta oleh Sultan Muhammad V dari jawatan Yang di-Pertuan (YDP) Agong namun, perlembagaan negara dan adat istiadat diraja memastikan segalanya akan kembali seperti biasa dan YDP Agong baharu akan menaiki takhta.

Sultan Muhammad V

Untuk ruangan ini saya cuba secara sepintas lalu menceritakan sedikit perihal raja-raja di sana sini dalam menghadapi cabaran ketakhtaan dan hal-hal hati nurani.

Jika Queen Beatrix di negara Belanda turun takhta secara sukarela pada tahun 2013 dan meletakkan puteranya di takhta sebagai pengganti, Raja Nepal pula hancur takhtanya apabila Putera Mahkota baginda, akibat terlalu marah dihalang dari mengahwini wanita yang dikasihinya, menembak baginda dan ahli-ahli keluarga terdekat. Ranaplah takhta diraja di situ.

Kini, Nepal menjadi sebuah Republik. Itu akibat satu dentuman hati nurani diraja.

Sebaliknya pada tahun 1936 di England, King Edward Vlll pada usia 42 senang-senang turun takhta kerana ditegah mengahwini wanita yang baginda cintai.

Berlainan dengan Putera Mahkota Nepal itu, yang berhasrat berkahwin dengan seorang gadis, King Edward Vlll memilih bakal permaisuri untuk Empayar British seorang janda dua kali.

Dalam usia bujangnya yang lanjut itu terselit kisah seorang kasanova dan romeo yang sentiasa mendampingi wanita-wanita cantik.

Namun, pilihan baginda itu mencerminkan bagaimana kerenah hati manusia ini tidak dapat diduga malah segalanya mungkin.

'Takhta kutendang demi jantung hati yang tersayang’. Itulah agaknya yang memaut sanubari baginda.

Bagaimanapun, takhta Inggeris terus tegap, sudah diduduki 70 orang raja sejak tahun 802, lebih 1,200 tahun dulu.

Raja terakhir Mesir yang bernama King Farouk selepas diturunkan dari takhta pada awal 1950-an berkata secara gurauan, "Saya percaya satu hari nanti king yang tinggal ialah king daun pakau: King Spade, King Diamond, King Clover, King Heart dan King of England."

Rujukan kepada King of England itu menunjukkan begitu mendalamnya hati orang Inggeris terhadap king atau queen mereka, seolah-olah tidak mungkin tergugat oleh apa saja.

Gara-gara hati nurani bererti perasaan yang mencakup antara kasih sayang dengan marah meradang.

Untuk ini tidak ada contoh yang lebih baik daripada King Henry Vlll di England, yang beristeri enam orang, bertakhta selama 38 tahun dari 1509 hingga 1547.

Apabila Mazhab Roman Khatolik melarang baginda menceraikan isteri pertama untuk berkahwin sekali lagi, baginda mengarahkan penubuhan Mazhab Anglican di bawah baginda. Bebaslah baginda daripada cengkaman Khatolik.

Anehnya dua daripada enam permaisurinya itu berakhir dengan kepala masing-masing dipenggal, termasuk Anne Boleyn, ibu Queen Elizabeth l.

Ada sebab-musababnya yang diada-adakan. Berdasarkan tahun-tahun yang king itu bertakhta, nescaya Sultan Mansor bertakhta pada masa yang sama di Melaka sebelum ditewaskan oleh Albuquerque dari Portugal pada tahun 1511.

King Emanuel di Portugal melaporkan kepada Pope di Rom bahawa Melaka mempunyai 30 ribu buah rumah yang diduduki oleh orang Islam (dipanggil Moors, kependekan daripada Moslem).

Jika lima orang dalam sebuah rumah, maka penduduk Melaka berjumlah 150,000 orang, lebih ramai daripada penduduk London pada waktu itu.

Emanuel bagai terlupa Melaka juga mempunyai raja. Beliau lebih memberi tekanan kepada hakikat bahawa sebuah kota besar Islam telah jatuh ke tangan Kristian Khatolik.

Albuquergue mengulas bahawa tidak terdapat strategi keselamatan di Melaka yang terbuka bebas untuk perdagangan.

Pengawal-pengawal bergajah hanya bersenjatakan lembing dan keris, itu pun hanya menjaga keselamatan raja apabila bergerak, ataupun sebagai santeri di sekeliling istana.

Kesimpulan itu menggalakkan beliau menyerang Melaka dengan hanya beberapa buah kapal.

Menjelang merdeka 1957 Raja Pahag Almarhum Sultan Abu Bakar dan permaisuri baginda Tengku Azam telah dihantar ke seberang laut sebagai bakal YDP Agong pertama.

Akhirnya Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Bekas PM Tunku Abdul Rahman mengaku dalam ruangan mingguannya di sebuah harian Inggeris dalam tahun1980-an bahawa beliau menasihati raja-raja tentang perlunya peruntukan Islam dihormati memandangkan Islam ialah agama rasmi Malaya yang merdeka.

Maksudnya, Almarhum menghadapi soal had poligami. Terlepaslah takhta YDP Agong. Perlu diulangi: fakta ini daripada sumber hitam putih Tunku, bahan tatapan umum.

Dalam penungguan, rakyat Malaysia penuh antisipasi sukacita mengalu-alukan DYMM SPB YDP Agong yang ke-16.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Saturday, January 19, 2019

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Seorang ulama yang paling dihormati dan terkenal dalam kalangan umat Islam Uighur di China, Muhammad Salih Hajim, rupa-rupanya telah meninggal dunia selepas diseksa rejim Komunis. Beliau amat dihormati kerana menjadi ulama pertama yang menterjemahkan Al-Quran ke dalam Bahasa Uighur.

Islam Uighur China

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas dikurung di kem tahanan China selama 40 hari mulai Disember 2017.

Lebih dahsyat lagi, ahli keluarga beliau yang lain turut ditahan secara besar-besaran – termasuklah anak saudara beliau, Nurmemet Hajim yang pernah menuntut di Malaysia dan bekerja di pelbagai pejabat kedutaan.

Selain itu turut ditahan ialah anak perempuan Muhammad Salih Hajim iaitu Nezire Muhammad Salih (guru agama) dan Asiye Muhammad Salih (pensyarah universiti), anak lelaki beliau Nejip Muhammad Salih (petani), dan juga cucu lelaki beliau Imran Tuniyaz.

Tidak ketinggalan, adik beliau iaitu Mehsud Abley Hajim dan isterinya Ayshemqiz turut ditahan manakala anak lelaki sulung mereka kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Sebelum ini, telah tersebar secara meluas akan laporan mengenai layanan kerajaan China ke atas Umat Islam berketurunan Uighur – mereka dilayan ibarat pesakit mental di kem tahanan khas untuk mengubah identiti mereka agar menjadi lebih ‘China’.

Langkah ini menyusuli beberapa tindakan seperti kempen ‘anti-Halal’ dan pengubahan demografi penduduk Xinjiang yang majoritinya sebelum ini terdiri daripada Uighur yang beragama Islam kini dibanjiri kedatangan etnik Han China.

Pada Ogos 2018, Jawatankuasa PBB tentang Penghapusan Diskriminasi Perkauman telah melaporkan bahawa seramai satu juta warga Uighur telah ditahan di pusat “anti-keganasan” di China.

Manakala seramai dua juta orang lagi dipaksa menjalani “indoktrinasi kebudayaan dan politik” yang disebut sebagai “pendidikan semula” ke atas mereka agar mentaati rejim Komunis dan mengubah identiti Islam mereka.

Laporan Rukiye Turdush dalam portal Al-Jazeera menyatakan bahawa rejim Komunis China memisahkan anak-anak Uighur secara paksa daripada keluarga mereka dan ditempatkan di sekolah-sekolah khas untuk memaksa mereka mempelajari peraturan Komunis China, mentaati Parti Komunis China, belajar Bahasa Mandarin, dan menghapuskan identiti Muslim serta tradisi Uighur mereka.

Setiap keluarga Uighur turut dipaksa menerima kader Parti Komunis China untuk tinggal di rumah mereka sekurang-kurangnya selama lima hari dalam tempoh setiap dua bulan.

Program ini jelas sekali menceroboh unit keluarga Uighur dan cukup membimbangkan dari segi impaknya ke atas keberadaan umat Islam Uighur di Xinjiang.

Kesemua langkah terdesak ini berpunca daripada kebimbangan China terhadap kebangkitan Muslim Uighur yang semakin berani memperjuangkan hak dan autoriti politik mereka – termasuklah kewujudan puak pemisah Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang untuk membentuk negara Turkistan Timur.

Terbaru, tindakan kerajaan Malaysia membebaskan 11 orang warga Uighur yang dikehendaki oleh China telah mengundang bantahan keras rejim Komunis itu.

Perdana Menteri Tun Mahathir sebaliknya mengatakan bahawa keputusan diambil untuk menghantar kesemua warga Uighur ke Turki atas alasan ‘mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan’.

Dari segi politik dan moral, langkah kerajaan menghantar warga Uighur ini ke Turki dan mengingkari permintaan China yang mahu menahan mereka adalah langkah yang tepat sama sekali.

Dengan rekod pembunuhan politik dan hak asasi manusia yang buruk, tentulah China akan mengambil tindakan yang buruk ke atas 11 warga Uighur ini.

Namun begitu, kemudiannya Portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Tentera Laut China akan datang menjalankan latihan di Selat Melaka bersama Malaysia dan Thailand mulai 20 Oktober 2019 ini.

Latihan selama sembilan hari yang berhampiran Port Dickson dan Pelabuhan Klang serta diberi nama ‘Peace and Friendship 2018’ itu akan menyaksikan kehadiran tiga kapal pemusnah dan frigat China, dua helikopter ‘shipborne’, tiga kapal pengangkut pesawat Il-76 serta 692 orang anggota tentera laut China.

Pastinya, tiada apa yang pelik tentang kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini jika difahami bahawa Tentera China pernah menjalankan latihan bersama angkatan tentera Malaysia sejak 2014 dan 2015 lagi dengan nama yang sama iaitu ‘Peace and Friendship’ (Keamanan dan Persahabatan).

Malah, latihan tersebut tetap diadakan meski pun sejak 2013 lagi diketahui bahawa kapal-kapal China menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai di perairan Sarawak.

Cuma dalam konteks politik semasa – dalam keadaan Jho Low masih dikatakan bersembunyi di China dan pembantaian China ke atas warga Muslim Uighur masih berlangsung – mungkin ada eloknya jika kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini ditangguh atau dibatalkan terus.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, January 13, 2019

Dakwah Agama Di Malaysia

Dakwah Agama Di Malaysia

Jujur - kita – umat Islam terutamanya orang Melayu di Malaysia mahu orang bukan Islam khususnya kawan rapat memeluk agama Islam. Mengapa?

Dakwah Agama

Pertama, kita akan dapat pahala jika mengislamkan mereka secara langsung – sama ada dengan sendiri atau dengan bantuan gologan agamawan. Paling tidak pun kita berdoa agar hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.

Kedua, kita dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan. Kita percaya kita berada di jalan yang benar. Lantas mengislamkan mereka bererti membawa mereka ke jalan yang benar.

Mengapa kita lakukan itu semua? Mengapa kita mahu mereka masuk Islam? Sebab kita sayang mereka.

Kita tidak sanggup melihat orang yang kita sayang terus hidup dalam kegelapan. Lantas mereka perlu diselamatkan.

Dakwah atas sifat kasih

Jadi orang bukan muslim tidak harus sangsi atau marah jika ada usaha dakwah dijalankan ke atas mereka. Ini kerana dakwah dibuat atas sifat kasih sayang terhadap mereka.

Niat yang murni. Sama ada mereka mahu menerimanya terpulanglah. Tidak ada paksaan.

Bagaimana pula bukan muslim? Khususnya pendakwah non muslim. Tentunya mereka juga percaya pegangan mereka benar. Bagi mereka kitalah yang berada di jalan yang tidak betul.

Lalu mereka mahu menyelamat kita. Mengapa? Sebab mereka sayang kita.

Kawan lama saya, bekas wartawan Straits Times Singapura, Ismail Kassim menceritakan bagaimana usaha mengkristiankan beliau dijalankan kepadanya sebanyak tiga kali.

Kisah ini ada dalam buku berjudul “No Hard Feelings “ yang Ismail hasilkan pada tahun 2008.

Kata Ismail kali pertama ialah pada tahun 1960. Evangelist terkenal dari Amerika Syarikat Billy Graham melawat Singapura dan mengadakan perhimpuan atau ceramah perdana di Stadium Jalan Besar.

Graham mempunyai reputasi sebagai seorang pendakwah hebat yang boleh meyakinkan orang ke jalan Jesus Christ.

Menurut Ismail beliau diberitahu jika dengar hujah Graham sekali akan pecaya selama-lamanya.

Sebenarnya bukan orang Kristian yang mahu Ismail mendengar hujah Graham. Sebaliknya Ismail sendiri yang mahu mendengar apa yang disampaikan oleh Graham.

Lalu Ismail mengajak kawannya yang beragama Kristian menemaninya ke Stadium Jalan Besar.

Dan Ismail pun melihat sendiri dan mendengar Graham bercakap mengenai pengembaraan keagamaannya dan apa yang membuatnya menerima Bible sebagai kata-kata tuhan. Words of God, katanya.

Pada akhir ceramah, Graham merayu semua yang hadir menerima Christ sebagai penyelamat peribadi atau personal saviour.

Kali kedua ialah pada tahun 1980-an. Kenalannya, seorang non Muslim tiba-tiba kerap bercakap mengenai agamanya dan benda-benda hebat yang berlaku dalam hidupnya sejak dia mula kembali kepada agamanya.

Dan kali ketiga ialah pada tahun 2007. Dua wanita memegang Bible datang ke kediaman Ismail untuk bercakap mengenai agama Kristian.

Ketiga-tiga kali Ismail tidak terpujuk akan dakwah yang disampaikan. Ismail seperti yang beliau sendiri mengakui bukanlah seorang Muslim yang “kuat” ketika usaha mengkristiankannya dijalankan.

Terutama pada tahun 1960. Beliau mengaku belajar solat hanya pada tahun 1983.

Pun begitu Ismail tidak berganjak. Beliau tetap Islam hingga ke hari ini – hidup sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran dan tuntutan Islam, a practicing Muslim - walaupun tiga kali berdepan dengan pendakwah Kristian.

Ismail tidak marah terhadap pendakwah berkenaan. Beliau tahu mengapa mereka berdakwah. Padanya mereka berhak menyampaikan mesej mereka dan beliau juga berhak untuk tidak menerima mesej itu.

Di Malaysia ada undang undang yang melarang pendakwah bukan Islam menjalankan kegiatan mereka terhadap orang Islam. Ia bertujuan menjaga keislaman umat Islam.

Kurang ajar, tak hormat orang Islam

Selain boleh dibawa ke muka pengadilan kerana melanggar perundangan, aktivti pendakwah non muslim terhadap umat Melayu Islam menimbulkan pelbagai reaksi. Terutamanya apabila Bible diberi kepada orang Islam khususnya budak sekolah.

Ramai yang marah dan sebagainya. Tuduhan kurang ajar dan tidak menghormati orang Islam dilemparkan. Reaksi sedemikian, setuju atau tidak, boleh difahami.

Tapi ini seolah-olah memberi gambaran umat Islam sangat mudah terpengaruh.

Berilah penghormatan dan kepercayaan kepada umat Islam, terutamanya orang Melayu. Iman mereka tidaklah setipis itu.

Nakal atau jahat macam mana pun umat Islam, mereka tidak akan menukar agama hanya dengan melihat salib atau diberi malah membaca Bible.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, December 31, 2018

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

Bagaimana sesebuah negara boleh maju seandainya bangsanya menganggap diri sebagai mangsa, malah berebut-rebut untuk menjadi mangsa dan mahu menjadi mangsa selama-lamanya? Fenomena ini pelik tetapi lumrah di Malaysia. Melayu gusar bumi yang dipijaknya menjadi milik orang (Cina), ekonominya dikuasai Cina dan kini kuasa politiknya semakin tergugat.

Bangsa Malaysia

Cina merungut dirinya dilayan bagai rakyat kelas kedua, disekat daripada mengembangkan potensinya dalam sistem negara yang didominasi Melayu-Muslim.

India pula mengeluh, teriakan protesnya tidak kedengaran – dianggap terlalu minoriti (apatah lagi berpecah belah sesama diri) oleh media tempatan, dan tiada nilai berita berbanding kaum orang asal dari lensa kamera media antarabangsa. Orang asal barangkali “bumiputera” yang lebih teruk kedudukannya ekonomi dan politiknya berbanding bukan bumiputera.

Sentimen ini berlegar-legar dalam satu kitaran untuk saling menebalkan prejudis masing-masing. Dari kaca mata Cina, kegusaran Melayu itu sekadar alasan untuk menutup “kemalasan” sendiri, dan mahu terus bergantung kepada “tongkat”.

Untuk Melayu pula, Cina umpama dapat betis mahu paha – tidak pernah bersyukur dengan kemurahan hati “tuan milik bumi ini”, malah menuntut lebih tanpa sehiris kesediaan untuk menerapkan dirinya ke dalam budaya masyarakat Melayu-Muslim.

Jurang lebar meninggalkan komuniti India yang terpinggir merasakan dirinya tidak memiliki apa-apa, lantas nothing to lose

jikalau bangkit menentang – menjelaskan pendekatan perjuangan mereka yang ada kalanya, nampak keras dan ganas, sebagai reaksi minoriti terhadap sang penguasa.

Orang asal yang diperah sumber semula jadinya, hanya mampu mendoakan agar trak besar tidak mencerobohi tanah adat mereka, memunggah balak dan kemudian meninggalkan mereka dalam habuk yang berterbangan.

Sentimen-sentimen ini terus menghantui Malaysia, sungguhpun kita bebas dari cengkaman kuasa Umno-BN pada 9 Mei 2018.

Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), ratifikasi Icerd, malah rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang berakhir dengan tragedi kematian seorang anggota Bomba, Muhammad Adib – kesemuanya menemui jalan buntu dalam perbincangan ke arah penyelesaian. Antara puncanya, masyarakat kita diselubungi sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”.

Persoalannya, tidakkah kita sebagai warga Malaysia harus khuatir, bahawa kitaran sentimen sebegini jikalau dibiarkan terus berkisar, bakal jadi pusaran deras yang akhirnya menenggelamkan Malaysia pada masa depan?

Hilang yakin diri

Biasanya “mangsa” merujuk kepada pihak yang dizalimi, ditindas malah dikorbankan, dan sebagaimana yang sedia maklum, ia dari pihak yang “lemah”.

Mentaliti “mangsa” ini akan menghakis keyakinan dalam diri satu bangsa. Memandang diri sebagai mangsa bermakna tidak yakin dengan kemampuan diri untuk melawan, atau bersaing dengan pihak yang lain.

Apabila sesuatu bangsa enggan menguji kemampuan diri, sudah tentu ia gagal membuktikan kemampuan diri.

Misalnya, pilihan raya tempatan ditolak di Malaysia dengan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai bandar-bandar besar, dengan andaian bahawa Melayu-Muslim gagal menyaingi calon Cina di gelanggang pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan).

Persoalannya, bagaimana Sadiq Khan boleh menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di London pada tahun 2016, jikalau tiada pilihan raya tempatan?

Mengapa Muslim sebagai minoriti di United Kingdom mampu menampilkan keyakinan untuk memimpin di Barat, sebaliknya Muslim sebagai majoriti di Malaysia, sering rasa tergugat dengan demokrasi tempatan?

Sesungguhnya Sadiq Khan menjadi lambang kemegahan dunia Muslim, kerana kepimpinannya diiktiraf oleh masyarakat non Muslim di Barat.

Namun, tatkala masyarakat Muslim mengagumi dan berbangga dengan kehebatan Sadiq Khan, pernahkah masyarakat Melayu-Muslim merenung sejenak, bukankah ia juga mencerminkan “kehebatan” masyarakat non muslim untuk menobatkan seorang pemimpin dari kalangan minoriti yang berbeza anutan agama dengan majoriti?

Di sini bezanya antara bangsa yang berkeyakinan diri dengan bangsa yang melihat dirinya mangsa. Untuk masyarakat yang matang dan berkeyakinan, kaum majoritinya akan memilih pemimpin mereka tanpa dikaburi sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan keyakinan bahawa sistem demokrasi yang utuh mampu mewujudkan persaingan untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber.

Komuniti minoriti pula merasakan dirinya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum majoriti, diberi peluang yang sama rata untuk menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya. Hak asasi mereka terjamin di bawah sistem demokrasi yang mantap.

Akhirnya, Kristian sebagai majoriti dalam masyarakat ditampilkan sebagai bangsa yang bukan sahaja tidak menindas komuniti minoriti, malah memberi hak kepada yang berhak, dan kedudukan yang sama rata sesama manusia.

Sementara Muslim sebagai masyarakat minoriti di kota London, membuktikan potensi dan pengaruhnya, dengan kepimpinan yang diiktiraf manusia sejagat. Warga kota London hidup bermaruah di depan mata antarabangsa.

Kuasa besar, jiwa besar?

Alangkah indahnya negara dan masyarakat sebegitu, yang mana warganya sudah tentu mengharungi liku-liku sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini.

Mustahil ia dicapai dalam jangka sekelip mata, sungguhpun dengan kepantasan teknologi 5G pada hari ini cuma, tepuk dada tanya selera, apakah ia matlamat yang dikongsi bersama dalam masyarakat Malaysia, untuk kita menuju ke destinasi ini pada masa depan?

Jikalau itulah destinasi yang dikongsi bersama, maka kita perlu menghentikan kitaran sentimen tersebut dari mana-mana titiknya, tanpa sehiris rasa apologetik bahawa diri kita sebagai pengecut yang “berganjak langkah”, atau pengkhianat yang menggadaikan kepentingan bangsa.

“Kuasa yang besar disusuli dengan tanggungjawab yang besar.” Demikianlah q uote dalam filem Spiderman. Bukan itu sahaja, bangsa yang bercita-cita untuk menggarap kuasa yang besar, seharusnya juga berjiwa besar.

Bagaimana seseorang pemimpin politik boleh menjadi negarawan di Malaysia, jikalau perjuangannya hanya disempitkan untuk satu-satu kaum tertentu?

Bagaimana seseorang pemimpin politik meraih penghormatan seluruh rakyat, andainya beliau hanya mampu menggertak dengan kuasa yang ada dalam tangan, dan bukannya memukau dengan aura ketokohannya?

Di sini kita terperangkap. Bukan sahaja tokoh, malah komuniti kaum tertentu menuntut kuasa yang lebih besar, tanpa kesediaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh atau bangsa yang beramanah, berjiwa besar dan bertanggungjawab.

Kuasa yang dihambat dipergunakan untuk mengayakan diri, mengugut mereka yang mendedah dan mempersoalkan penyelewengan diri, kemudian mengerah kaum diri untuk menutup skandal dan menegakkan benang basah atas semangat assabiyah.

Kegagalan ini menghakis asas moral kepimpinan Melayu, khususnya, lantas diambil kesempatan sesetengah komuniti minoriti yang lain untuk menghalalkan pendekatan protesnya yang keras.

Mereka memandang rendah bangsa Melayu lantaran pemimpin Melayu yang korup; mereka menolak budaya Melayu kerana prejudisnya bahawa bangsa ini tidak berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri, sebaliknya menuntut hak istimewa untuk menutup kemalasan dirinya.

Semakin kaum bukan Melayu menolak kepimpinan dan kebudayaan Melayu, semakin kuat penolakan Melayu terhadap kaum lain.

Kitaran ini berlaku bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Pergeseran dan pergolakan sedemikian melahirkan ketidakpercayaan antara satu sama lain, yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian dan permusuhan.

Kesemua sentimen ini bertakung bagai minyak tanah, yang menunggu masa untuk dinyalakan apabila ada pihak memetik api hasutan, sama ada kaum mahupun agama.

Apakah rakyat Malaysia mahu meneruskan ketegangan sedemikian, untuk dekad-dekad akan datang? Sejauh manakah Malaysia boleh pergi, andainya setiap warganya diselubungi sentimen “mangsa”, diperdayakan untuk bermusuhan sesama diri agar “pemangsa” sebenar tidak dikesan?

Bagaimana Malaysia mara ke depan, jikalau kaum majoritinya hilang keyakinan, dan kaum minoritinya pula hilang semangat kekitaan, kerana tidak merasakan bumi ini dimilikinya, sungguhpun “tanah tumpahnya darahku” keluar dari bibirnya setiap kali lagu kebangsaan didendangkan?

Yakinlah, mustahil masalah boleh diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lain. Jangan sesekali kita mengemis simpati dengan memainkan sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”, padahal ia hanya alasan untuk menyembunyikan kelemahan, kejahatan, kegagalan, dan prejudis dalam diri kita.

Kita menagih simpati dengan menampilkan diri kita sebagai mangsa, malah mangsa yang lebih kasihan berbanding mangsa lain.

Tidak pernah kita menggariskan tempoh bila ia harus dihentikan, kerana nampaknya tiada mana-mana pihak yang yakin dengan kemampuan dirinya.

Tiada mangsa yang akan berjaya. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membebaskan dirinya dari sentimen “mangsa”. Tiada sesiapa yang harus menjadi mangsa di bumi ini, andainya kita ingin menjayakan Malaysia.

Nota: Penulis adalah LIM HONG SIANG, bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, December 06, 2018

Cash Is King Era Baru?

Cash Is King Era Baru?

Cash is king, bak kata pemimpin politik suatu ketika dulu dan kita berasakan apa yang dicanang itu benar-benar telah tertanam di kepala ramai pejuang, buahnya itulah yang kita tuai sekarang ini. Tengok saja samseng cap bulu ayam yang dibayar untuk mengambil alih kuil Sri Mahamariamman tempoh hari. Hanya dengan bayaran seratus dua, mereka tanpa ada malu menjeritkan nama tuhan.

Cash Is King Era Baru

Mereka tentu menyangka bayaran yang diterima sebagai imbuhan itu menjadikan mereka ada hak untuk membuat huru-hara di rumah ibadat tersebut.

Ada khabar yang mengatakan bahawa wang sebanyak RM1.5 juta telah dibayar kepada pihak kuil. Pengurusan kuil tersebut pula terpecah dua dengan satu pihak didakwa mengkhianati pihak yang lain dalam hal wang pampasan tersebut.

Membuat kacau di rumah ibadat apa agama sekali pun adalah salah, melempar daging babi ke masjid, misalnya, adalah perbuatan teramat sial yang harus dihentikan.

Kita tidak mahu dek kerana tamak akan imbuhan kita tergamak bergaduh atas nama agama.

Berkelana cari suami

'Peguam' yang dituduh membayar samseng itu juga tentu sekali berasakan wang adalah penyelesai segala masalah mereka.

Di Jepun sekarang telah berlaku ramai lelaki enggan berkahwin kerana bimbang wang hasil penat mereka bekerja nantinya terpaksa dibelanjakan kepada isteri dan anak-anak.

Mereka tidak mahu membelanjakan wang itu kepada orang lain kerana khuatir tidak cukup bekalan pada hari tua.

Kerana lelaki Jepun mementingkan wang (untuk diri sendiri) negara itu sedang berdepan masalah warga tua yang tidak mempunyai waris untuk menjaga mereka.

Kini, sudah ada gadis dari negara matahari terbit itu membuat rombongan ke serata dunia demi mencari jodoh atau pasangan hidup.

Kisah benar

Ada dua gadis Jepun yang keluar dari negara itu hanya untuk mencari pasangan hidup. Kedua-duanya kini telah berkahwin dengan lelaki Malaysia.

Menurut Noraini Kawamura, dia sudah ke India, Indonesia dan Malaya. Dan daripada pengembaraan itu dia memutuskan bahawa negara ini serta lelaki Melayunya paling sesuai dibuat suami.

Suami beliau ialah seorang pemandu lori dan beliau sendiri kini berkerja menjual Yakult ke merata tempat.

Sementara itu teman Noraini, Midori Takeda, pula memilih seorang pelukis batik sebagai suaminya. Kedua-dua mereka kini dikurniakan seorang anak.

Sombong dengan harta

Kita adalah jahat apabila menyokong partai politik hanya kerana memikirkan keuntungan wang ringgit.

Inilah yang mengakibatkan rasa tidak puas hati kepada sesetengah penyokong parti yang tewas dalam pilihan raya ke 14 lalu.

Kita semua sedia maklum yang hampir semua ahli politik dari partai yang pernah memerintah itu terlalu kaya. Juak-juak mereka juga tidak kurang hebatnya dan mereka menjadi sombong akibat mempunyai harta yang tidak jelas puncanya itu.

Kesombongan itulah yang menjadi punca kebencian rakyat. Justeru ia menjadi antara sebab mereka disingkirkan daripada memerintah negara ini.

Diharapkan kumpulan yang memerintah hari ini tidak pula menumpukan usaha masing-masing untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini