Jun 24, 2015

Apa Itu Pluralisme Dan Bahayanya Kepada Akidah Umat Islam

Pluralisme adalah pemikiran asing daripada Islam. Fahaman ini mudah bergerak dan berkembang di peringkat golongan elit dan pertengahan yang mencari-cari sesuatu yang berbeza dengan prinsip tradisi Islam.

Pluralisme

Pluralisme dilihat sebagai suatu ancaman terhadap keyakinan umat Islam hari ini. Bagaimanapun kita perlu melihatnya dari beberapa dimensi yang berbeza.

Mengapakah pluralisme bahaya kepada akidah ummah? Fahaman ini bahaya kerana menyamakan semua agama. Ia lahir akibat pengaruh sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat yang beragama Kristian.

Fahaman pluralisme percaya agama-agama di dunia hanya berbeza struktur luaran sahaja manakala dalamannya sama iaitu menuju tuhan yang satu.

Fahaman pluralisme dikatakan muncul sekitar abad ke-20 apabila seorang ahli teologi Kristian Erntroesch mengemukakan gagasan pluralisme dengan alasan bahawa di luar gereja ada juga keselamatan.

Sudah tentulah apabila kita melihat dari dimensi akidah Islam, pluralisme salah satu ciri kesesatan kerana ia produk sekular dan atheis. Dari dimensi pluralisme sememangnya pemikir dan pengikut tegar mereka cuba menjadikannya setaraf sebagai ideologi atau mendapat tempat di antara agama demi survivalnya.

Penganut pemikiran pluralisme berusaha mendapat tempat setaraf dengan agama-agama dunia padahal ia sekadar beberapa cebisan pemikiran dan ubah suai pendekatan agama-agama supaya kelihatan semua agama, kepercayaan atau sebarang ideologi adalah sama - iaitu masing-masing inginkan kebaikan dan kebajikan.

Kemungkinan besar konsep pluralisme tidak ditemui langsung dalam agama-agama lain tetapi cuba dijustifikasikan melalui pemikiran liberal yang sesat.

Tokoh-tokoh pembawa aliran pemikiran pluralisme seperti Norcholis Majid dan Harun Nasution di Indonesia, Sayyed Hussin Nasr di Iran dan Hassan Hanafi di Mesir. Di Malaysia, ia masih menjadi tanda tanya walaupun perbincangan sekitar isu ini seringkali berlaku. Namun kita mampu mengesani individu-individu terbabit apabila kita memahami apa itu falsafah liberalisme dan sekularisme.

Apa yang berlaku di India melalui pendekatan agama baru, Din Ilahi boleh dijadikan contoh klasik yang ingin menyatukan kesemua agama. Walaupun sekian lama berlalu tetapi gerakan dan pengaruhnya terus tersebar sehingga ke hari ini.

Unsur- unsur ini dapat disaksikan dalam filem Hindustan yang menyelitkan mesej dan lambang-lambang agama berbeza dalam susunan babak yang mempunyai tribulasi jalan cerita panjang. Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarah-pengarah filem Bollywood.

Dalam konteks kekeluargaan, perkara ini juga jelas berlaku di Indonesia apabila satu keluarga menganut empat agama berbeza. Dalam sebuah keluarga ahlinya boleh menganut Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.

Pluralisme dalam satu unit keluarga terhasil daripada dasar Pancasila di Indonesia. Prinsip ini juga datang dari akar pemikiran sekular yang membuang sebarang kaitan agama dengan urusan dan peraturan duniawi.

Mengapa ini semua berlaku walaupun mereka sesetengahnya dianggap sangat terpelajar seperti Norkholis Majid, Harun Nasution, Kautsar Azhar dan Ulil Abshar di Indonesia? Mereka mengkaji dan memahami Islam samalah seperti penulis Barat, Karen Armstrong menulis A History of God dan John L.Espsito menulis Islam The Straight Path.

Malahan John Burton berani menulis An Introduction to the Hadith, sebuah buku tentang hadis iaitu sumber rujukan kedua selepas al-Quran yang kebanyakan orang Islam sendiri sukar memahaminya. Mereka hanya melihat dan menilai dari sudut sosiologi agama, falsafah dan sejarah.

Agama itu hanyalah disandarkan kepada pembawanya seperti Sikh-Guru Nanak, Kristian-Isa, Yahudi-Musa, Buddha-Gautama Buddha, Hindu disandar kepada Mahatma Ghandi. Begitu juga mereka melihat Islam adalah pembawanya Muhammad.

Kebanyakan penulis barat menggunakan Muhammadisme, merujuk kepada Islam sebagai ideologi Muhammad. Itulah cara mereka berfikir dan meletakkan Islam sama seperti ideologi komunis dan Marxis atau sosialis.

Jadi logiknya, sesiapa sahaja boleh memilih agama yang disukai. Sedangkan dengan tegas ajaran Islam menyatakan Muhammad itu Rasul dan utusan Allah bersifat ummi.

Pemikiran pluralisme jelas apabila rata-rata menggunakan istilah agama Abrahamic merujuk kepada Yahudi, Kristian dan Islam dalam satu kelompok di bawah seruan Nabi Ibrahim. Lebih malang lagi ada yang menyenaraikan agama Bahai yang sesat dan jauh dari Islam itu di bawah satu kelompok yang sama di atas nama Abrahamic.

Dalam beberapa keadaan lain, pluralisme ini cenderung kepada mulhid kerana agama hanyalah isu kebudayaan yang datang daripada perkembangan dan ubah suai tamadun manusia. Wujud agama atau tuhan itu tidak memberi bekas kepada rasa fitrah manusia.

Ertinya mereka cuba menolak setiap insan mencari penciptanya. Yang wujud hanyalah diri dan segala yang terjadi secara semula jadi, kebetulan dan tabiat alam semata-mata.

Tepat sekali bahawa pluralisme adalah buah yang datang dari sepohon pokok beracun sekular yang menurut mantan Mufti Mesir, Syeikh Atiyyah Saqr, sekularisme itu fahaman yang mencabut agama dalam medan kehidupan. Maka akhirnya tiada bezanya antara sekularisme dan pluralisme kerana kedua-duanya mempunyai prinsip kesesatan yang sama.

Kaedah inilah yang cuba dibawa dan diserasikan oleh pendukung liberalisme yang membawa kepada pluralisme. Tidak sukar untuk memahami mengapa ini terjadi terhadap orang seperti Norkholis, Harun, Ulil dan lainnya.

Tidak mustahil perkara ini berlaku melalui pembentukan minda dengan pengajian dan pendedahan yang telah merubah persepsi mereka. Norkholis lulusan Universiti Chicago, Amerika Syarikat manakala Harun kelulusan Universiti Mc Grill, Kanada. Sayyed Hussin Nasr tidak begitu teruk fahaman pluralisme dan sekularismenya kerana kajiannya lebih kepada falsafah sains bahkan beliau seorang saintis tulen.

Kaedah-kaedah yang terbina dalam disiplin pengajian Islam sukar dipertikaikan oleh logik manusia ataupun ilmu moden. Sehinggakan dalam menentukan keabsahan maklumat dan fakta hatta penapisan maklumat dalam jaringan ICT hari ini sekalipun sudah terpakai dalam pengesanan riwayat hadis. Konsep kaedah ini tidak wujud dalam mana-mana agama dan doktrin dunia.

Malangnya Islam cuba dinilai, ditafsir dan dikritik secara bebas tanpa panduan disiplin ilmu seperti berlaku terhadap Kristian yang melahirkan mazhab Protestan. Apakah mereka boleh dilabel sebagai Muslim Protestan?

Kristian dikritik dan ditolak oleh penganutnya sendiri disebabkan para paderi mentafsirkannya sebuah agama yang menolak sains dan paderi mengambil alih kerja tuhan sehingga boleh mengampunkan dosa pesalah. Maka lahirlah orang seperti Martin Luther yang mengkritik Kristian. Akhirnya mazhab Kristian Protestan ditolak oleh Kristian Katolik serta dianggap sesat.

Islam tidak sama dengan agama lain kerana yang menolak teras Islam dan mempertikaikannya akan menjejaskan akidah. Sebab itulah ulama banyak memperincikan kedudukan mereka yang mengalami krisis keyakinan dikategorikan sebagai murtad, kafir, musyrik dan munafik.

Orang yang tidak menerimanya sebagai agama (al-Din) tetapi tidak menentangnya dinamakan zimmi, iaitu dilindungi dan dihormati dalam konteks sebuah negara. Islam sangat menggalakkan ijtihad, berfikir, analisis dan mengkaji bukan membuatnya secara bebas yang tidak terikat kaedah dan akidah yang boleh mengundang kesesatan.

Cara berfikir, pengajian dan kajian yang terlepas bebas daripada disiplin ilmu Islam bukan sahaja memberi kesan terhadap gambaran Islam, malah impaknya merebak dan mempengaruhi pengajian di universiti.

Justeru ada universiti meletakkan Pengajian Islam itu setaraf dengan Pengajian Sastera. Ada juga universiti cuba menukar status sebuah fakulti pengajian Islam kepada hanya sebuah unit pengajian yang kecil kerana dianggap tidak bertaraf global. Terdapat juga universiti menamakannya sains wahyu dengan membuang pembahagian pengajian syariah, usuluddin dan dakwah yang dibina oleh tokoh-tokoh ulama silam.

Mereka melihat persoalan ketuhanan itu tiada bezanya dengan agama lain, sekadar kepercayaan yang boleh ditokok tambah mengikut selera dan kefahaman berdasarkan perubahan pemikiran masyarakat dan tamadun.

Sebenarnya untuk menjawab persoalan pluralisme dan eksklusifnya Islam telah ramai tokoh ulama terdahulu dan kemudian mengulas. Antaranya Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya ensiklopedia Majmu' Fatawa dan Wahbah Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir yang boleh diringkaskan dua perkara berikut:

Pertamanya, Muhammad pembawa nubuwwah dan risalah yang diterangkan sebelum ini oleh Musa dan Isa. Baginda diutus untuk ummah sejagat dan ialah rasul terakhir sebagai pelengkap. Pengutusannya merangkumi alam manusia dan jin, bangsa dan puak-puak di zamannya dan zaman-zaman seterusnya. Ini sekali gus membatalkan syariat para nabi dan rasul sebelumnya yang diutuskan kepada umat sezaman dan bangsa-bangsa tertentu sahaja.

Keduanya, menurut Ibnu Taimiyyah, Islam memperakui para nabi, rasul dan kitab-kitab mereka. Tetapi kitab mereka seperti Taurat, Zabur dan Injil telah diselewengkan. Sebab itulah versi kitab mereka boleh ditemui dalam pelbagai bahasa yang gagal dipastikan ketulenannya. Sedangkan al-Quran hanya satu versi dalam bahasa Arab walaupun para penganutnya dari pelbagai bangsa dunia yang berbeza bahasa.

Dua ciri tersebut ada pada Islam yang bersifat universal menyebabkan ia menjadi agama yang sangat eksklusif. Tidak boleh berkongsi sifatnya dengan agama lain, tunggal, serta tidak boleh berada setaraf dengan agama lain.

Agama-agama tersebut sama ada dalam kelompok Samawi atau budaya. Malahan jauh sekali berbentuk doktrin, kepercayaan atau ideologi daripada tokoh pemimpin agama, politik, pengajian atau negarawan. Kesejagatan Islam telah menjangkau bangsa, bahasa, agama, geografi dan zaman.

Eksklusif dan unggulnya Islam sehingga memperakui kewujudan agama lain tetapi tetap menolak secara mutlak kebenarannya.

Inilah keistimewaan Islam yang datang daripada Allah tanpa campur tangan manusia. Sebab itulah secara jelasnya Allah menegaskan bahawa sesungguhnya, al-Din (agama) itu hanyalah Islam..(Ali-'Imran:19).

Wallahu a'lam.

PENULIS ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Muamalat dan Sosioekonomi, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

BACA INI JUGA: Menanti Penyelamat Akhir Zaman, Imam Mahdi

Sumber: Utusan.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon