Sunday, January 13, 2019

Dakwah Agama Di Malaysia


Jujur - kita – umat Islam terutamanya orang Melayu di Malaysia mahu orang bukan Islam khususnya kawan rapat memeluk agama Islam. Mengapa?

Dakwah Agama

Pertama, kita akan dapat pahala jika mengislamkan mereka secara langsung – sama ada dengan sendiri atau dengan bantuan gologan agamawan. Paling tidak pun kita berdoa agar hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.

Kedua, kita dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan. Kita percaya kita berada di jalan yang benar. Lantas mengislamkan mereka bererti membawa mereka ke jalan yang benar.

Mengapa kita lakukan itu semua? Mengapa kita mahu mereka masuk Islam? Sebab kita sayang mereka.

Kita tidak sanggup melihat orang yang kita sayang terus hidup dalam kegelapan. Lantas mereka perlu diselamatkan.

Dakwah atas sifat kasih

Jadi orang bukan muslim tidak harus sangsi atau marah jika ada usaha dakwah dijalankan ke atas mereka. Ini kerana dakwah dibuat atas sifat kasih sayang terhadap mereka.

Niat yang murni. Sama ada mereka mahu menerimanya terpulanglah. Tidak ada paksaan.

Bagaimana pula bukan muslim? Khususnya pendakwah non muslim. Tentunya mereka juga percaya pegangan mereka benar. Bagi mereka kitalah yang berada di jalan yang tidak betul.

Lalu mereka mahu menyelamat kita. Mengapa? Sebab mereka sayang kita.

Kawan lama saya, bekas wartawan Straits Times Singapura, Ismail Kassim menceritakan bagaimana usaha mengkristiankan beliau dijalankan kepadanya sebanyak tiga kali.

Kisah ini ada dalam buku berjudul “No Hard Feelings “ yang Ismail hasilkan pada tahun 2008.

Kata Ismail kali pertama ialah pada tahun 1960. Evangelist terkenal dari Amerika Syarikat Billy Graham melawat Singapura dan mengadakan perhimpuan atau ceramah perdana di Stadium Jalan Besar.

Graham mempunyai reputasi sebagai seorang pendakwah hebat yang boleh meyakinkan orang ke jalan Jesus Christ.

Menurut Ismail beliau diberitahu jika dengar hujah Graham sekali akan pecaya selama-lamanya.

Sebenarnya bukan orang Kristian yang mahu Ismail mendengar hujah Graham. Sebaliknya Ismail sendiri yang mahu mendengar apa yang disampaikan oleh Graham.

Lalu Ismail mengajak kawannya yang beragama Kristian menemaninya ke Stadium Jalan Besar.

Dan Ismail pun melihat sendiri dan mendengar Graham bercakap mengenai pengembaraan keagamaannya dan apa yang membuatnya menerima Bible sebagai kata-kata tuhan. Words of God, katanya.

Pada akhir ceramah, Graham merayu semua yang hadir menerima Christ sebagai penyelamat peribadi atau personal saviour.

Kali kedua ialah pada tahun 1980-an. Kenalannya, seorang non Muslim tiba-tiba kerap bercakap mengenai agamanya dan benda-benda hebat yang berlaku dalam hidupnya sejak dia mula kembali kepada agamanya.

Dan kali ketiga ialah pada tahun 2007. Dua wanita memegang Bible datang ke kediaman Ismail untuk bercakap mengenai agama Kristian.

Ketiga-tiga kali Ismail tidak terpujuk akan dakwah yang disampaikan. Ismail seperti yang beliau sendiri mengakui bukanlah seorang Muslim yang “kuat” ketika usaha mengkristiankannya dijalankan.

Terutama pada tahun 1960. Beliau mengaku belajar solat hanya pada tahun 1983.

Pun begitu Ismail tidak berganjak. Beliau tetap Islam hingga ke hari ini – hidup sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran dan tuntutan Islam, a practicing Muslim - walaupun tiga kali berdepan dengan pendakwah Kristian.

Ismail tidak marah terhadap pendakwah berkenaan. Beliau tahu mengapa mereka berdakwah. Padanya mereka berhak menyampaikan mesej mereka dan beliau juga berhak untuk tidak menerima mesej itu.

Di Malaysia ada undang undang yang melarang pendakwah bukan Islam menjalankan kegiatan mereka terhadap orang Islam. Ia bertujuan menjaga keislaman umat Islam.

Kurang ajar, tak hormat orang Islam

Selain boleh dibawa ke muka pengadilan kerana melanggar perundangan, aktivti pendakwah non muslim terhadap umat Melayu Islam menimbulkan pelbagai reaksi. Terutamanya apabila Bible diberi kepada orang Islam khususnya budak sekolah.

Ramai yang marah dan sebagainya. Tuduhan kurang ajar dan tidak menghormati orang Islam dilemparkan. Reaksi sedemikian, setuju atau tidak, boleh difahami.

Tapi ini seolah-olah memberi gambaran umat Islam sangat mudah terpengaruh.

Berilah penghormatan dan kepercayaan kepada umat Islam, terutamanya orang Melayu. Iman mereka tidaklah setipis itu.

Nakal atau jahat macam mana pun umat Islam, mereka tidak akan menukar agama hanya dengan melihat salib atau diberi malah membaca Bible.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon