Sunday, June 30, 2019

Salahkah Menampal Tulisan Cina Di Dinding Pejabat?


Saya terpanggil untuk mengulas tentang perkara yang berlegar di mindaa. Ia mengenai gambar yang tersebar menunjukkan ungkapan bahasa Cina yang ditampal pada dinding dalam pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tulisan Cina

Orang yang sinis sudah tentu akan berkata, untuk apa mahu membela setiausaha agung parti DAP itu, namun memang sukar untuk lari daripada tuduhan sebegini. Justeru, pembaca diminta membaca dengan hati terbuka.

Saya terbaca komen dalam Facebook bahawa tulisan bahasa Cina dalam pejabat itu "macam dekat Beijing" dan ia seperti suatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Sekejap. Mengapa ini boleh menjadi isu bahasa kebangsaan pula?

Saya menganggap diri sebagai seorang yang ghairah mahu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi saya tidak faham mengapa ini menjadi isu menghormati bahasa kebangsaan pula?

Adakah kita cuba untuk tahu apa yang ditulis dalam bahasa Cina dan ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan tersebut?

Saya ada tanya dan ungakapan-ungkapan tersebut boleh diterjemahkan secara mudah menjadi begini, “Apabila insan tidak bersengkata dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Dalam bahasa Inggeris, ianya adalah antithetical couplet, ungkapan puisi berkembar.

Biasanya ia digantung pada kedua-dua belah pintu masuk sesebuah rumah untuk memberi ‘ong’ kepada penghuninya. Anda boleh buat carian dalam Wikipedia mengenai hal ini.

Ya, kita mungkin tidak percaya perkara-perkara seperti ini dan kita pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan sendiri percaya atau tidak, tetapi ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Cina.

Pada hemat saya, Menteri Kewangan ingin menghiasi sedikit pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budayanya.

Adakah kita telah sampai kepada suatu peringkat yang kita tidak boleh menerima seseorang menteri berbangsa Tionghua atau India, KadazanDusun, Iban dan sebagainya, memperlihatkan walau secebis budaya mereka dalam pejabat sendiri?

Selepas ini, adakah menteri tidak boleh meletak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?

Sejak bila budaya Cina berhenti menjadi sebahagian daripada citra negara Malaysia ini? Orang Cina bukan hanya tinggal di Beijing sahaja, saudara.

Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina tersebut tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng’, atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Ia adalah ekspresi budaya yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina.

Samalah juga kalau kita ada pejabat dan kita letak ayat-ayat al-Quran. Ia bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat tersebut.

Malah, dalam pejabat Menteri Kewangan juga ada petikan daripada surah al-Hud. Ya. Bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ini bukan isu bahasa.

Menampal ungkapan Cina untuk membawa kemakmuran dalam pejabat tidak ada kena-mengena dengan urusan rasmi yang diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu tidak tergadai, terjejas atau diperlekehkan hanya kerana Lim Guan Eng mahu menghias sedikit pejabatnya dengan hiasan budaya Cina.

***

Syahredzan Johan ialah peguam yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon