Tuesday, September 11, 2018

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tiada kerja yang mudah di dunia ini kerana semuanya mempunyai cabaran dan tekanan masing-masing, dari bekerja sendiri sehinggalah bekerja di bawah boss, ada sahaja masalah yang akan dihadapi, namun kita haruslah bijak mengendalikan tekanan tersebut.

Namun, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tekanan diterima melebihi kerjaya-kerjaya lain. Apa yang membuatkan sesuatu kerja itu sangat stres? Adakah ia tekanan daripada pihak atasan atau masyarakat? Adakah kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental? Ataupun kerja yang berhadapan dengan risiko kecederaan dan kematian?

Kali ini kami ingin berkongsi 6 pekerjaan yang kami rasa paling stres di dunia.

1. Tentera bertugas

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Sama seperti polis, namun ia lebih meluas kerana tugas mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar.

Kerja ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi dan sebagai seorang tentera yang sedang bertugas, mereka sentiasa berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi.

Ia ditambah lagi dengan latihan yang sangat mencabar dan memeritkan yang menguji kejantanan setiap anggota. Terdapat di antara mereka yang tidak tahan akan tekanan ini dan melarikan diri.

Selain itu, kerja mereka memerlukan mereka sentiasa berjauhan daripada ahli keluarga juga memberi tekanan yang tinggi.

2. Perdana menteri

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Jika guru perlu berhadapan dengan murid sekelas, juruterbang dan pramugara perlu melayan kerenah beratus penumpang, tetapi perdana menteri harus berhadapan dengan jutaan rakyat jelata.

Ia sememangnya satu tanggungjawab yang sangat tertekan, sehinggakan boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan harian.

Bukan calang-calang orang boleh menjadi pemimpin, beliau haruslah bijaksana dan mampu mengawal orang bawahan, serta tekanan yang mendatang.

Beliau juga harus berlaku adil dan tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya yang boleh merosakkan sesebuah negara kerana jika salah sikit, pasti akan dipersalahkan dan dihentam.

Tekanan untuk menjaga kebajikan dan memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan baik sangat tinggi.

Setiap masalah negara, sama ada dari segi keselamatan, kewangan mahupun keamanan, semuanya berada di atas bahu pemimpin dan tiada apa yang lebih berat di dalam dunia ini lebih daripada amanah.

Betapa sukar menjadi seorang pemimpin boleh kita lihat daripada kisah Saidina Umar sendiri di mana beliau dikatakan sedang tidur pada siang hari oleh Muawiyah, lalu Saidina Umar menjawab;

"Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?"

Sehingga begini hebat sekali tekanan dan tanggungjawab yang harus dihadapi oleh seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

3. Juruterbang dan krew pesawat

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Ramai orang beranggapan kerja sebagai juruterbang mudah dan senang, ditambah dengan persepsi bahawa kerjaya ini memberi pulangan yang lumayan serta popular, namun itu apa yang dilihat dari luaran sahaja, realitinya tidak semudah itu.

Banyak perkara yang harus dilakukan oleh juruterbang yang boleh memberikan tekanan yang tinggi pada diri. Tanggungjawab mereka sebagai ketua dalam pesawat bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika doktor merawat satu pesakit dalam satu masa sudah boleh menyebabkan tekanan, apatah lagi juruterbang yang berpuluh atau beratus nyawa berada di dalam tangan mereka.

Memanglah ajal maut di tangan tuhan, tapi mereka juga memainkan peranan, mengawal pesawat yang besar, di atas langit yang tinggi tidak diketahui cuaca yang mendatang dan kadang-kadang terpaksa melayan kerenah penumpang.

Bagi pramugari dan pramugara pula, kerja melayan kerenah orang ramai pastinya sesuatu yang sangat sukar.

Bukan seorang atau dua orang atau 30 orang seperti kerja guru, tetapi beratus orang dan dalam beratus orang itu, masing-masing ada kerenah masing-masing. Bukan kanak-kanak saja, orang dewasa pun banyak kerenah.

Kadang-kadang perkara yang bukan kerja mereka pun harus mereka selesaikan seperti bayi menangis dan penumpang mendesak mahukan sesuatu yang tiada dalam menu.

Kalau dapat penerbangan ke China, itu lebih parah. Mereka ini pula ada yang bekerja sehingga berbelas jam satu shift dan hampir kebanyakan masa mereka akan berjalan dan berdiri.

4. Pegawai perubatan

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Memang tak dinafikan, sebagai seorang pegawai perubatan, sama ada doktor atau pembantu perubatan dan jururawat, kerja-kerja seperti ini sangat memerlukan kesabaran dan mengendalikan tekanan dengan baik.

Mereka ini adalah hak masyarakat di mana sentiasa perlu berkhidmat, tak kira masa dan waktu. Pekerjaan yang berhadapan dengan orang awam setiap masa dan melayan kerenah pesakit bukan sesuatu yang mudah.

Bagi doktor yang kerja melebihi had yang boleh ditahan oleh tubuh badan seperti 36 jam, sangat mencabar dan tertekan.

Ditambah pula jika mempunyai pesakit yang tidak memahami, pastinya menambahkan lagi tekanan, seperti melakukan pembedahan juga menyebabkan rasa cemas dan tertekan. Itu belum lihat statistik kematian doktor akibat kemalangan kerana terlalu letih dan penat bekerja lebih masa.

Bagi jururawat pula, mereka melakuka kerja-kerja yang tidak dilakukan doktor dan ia sama mencabar. Membersihkan najis pesakit antara salah satu perkara yang sangat memerlukan ketabahan.

Jika anak-anak sendiri tidak mampu dan geli mahu bersihkan najis ibu bapa mereka yang sudah tua, apatah lagi jururawat, orang luar.

Apa yang mereka cakap adalah itu kan kerja jururawat, bukan kerja kami, tapi walau apapun jururawat tetap melakukan tanggungjawabnya. Sangat hebat.

5. Anggota polis

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tanggungjawab anggota polis adalah menjaga keselamatan awam dan apa sahaja yang berkaitan dengan orang awam, sememangnya memberikan tekanan. Jenayah semakin berleluasa dan semua ini diletakkan di bahu pihak polis.

Kadang-kadang tu yang tak ada mengena dengan polis pun, tapi perlu dipertanggungjawabkan dan tekanan daripada masyarakat sememangnya memberikan tekanan yang amat tinggi.

Selain itu, menjadi anggota polis sentiasa berhadapan dengan situasi berisiko yang boleh menyebabkan kematian, tak termasuk perkara yang memerlukan tenaga fizikal.

Dan yang paling stres bila dikaitkan dengan rasuah, walaupun anggota tersebut bersih dari gejala rasuah, namun kotoran masih terpalit, hanya kerana menjadi anggota polis.

Banyak juga kes-kes yang berat yang memerlukan penyiasatan yang sangat rumit tidak diketahui masyarakat.

Masyarakat hanya melihat kes-kes yang kecil dan tular namun tugas anggota polis lebih daripada itu dan bagi kes-kes berat bukanlah mengambil masa 30 minit atau 1 jam seperti dalam filem kerana ia memakan masa yang lama dan mereka yang terlibat sangat tertekan.

6. Guru

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Kerjaya sebagai seorang guru sememangnya satu pekerjaan yang sangat mencabar kerana sebagai guru, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengajar subjek-subjek di sekolah, malah menjadi ibu bapa kedua bagi murid-murid.

Jika ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak pun sudah tertekan dengan kerenah anak-anak, bayangkan bagaimana tekanan yang seorang guru hadapi.

Masyarakat sering beranggapan bahawa pekerjaan sebagai seorang guru adalah mudah, gaji tinggi dan juga cuti panjang, namun mereka tidak tahu semua mata dan kepala asyik memandang ke arah guru.

Setiap kesilapan dan kesalahan murid, pasti jari-jari akan menuding ke arah guru. Markah peperiksaan tak bagus, salah guru. Masalah sosial dan buli di sekolah, juga salah guru.

Dan di zaman moden ini, ada grup whatsapp antara guru dan ibu bapa pula tu. Dah habis kerja di sekolah, balik nak rehat, ibu bapa pula asyik whatsapp di grup tanya pasal anak.

Pensel anak saya hilang, jam anak saya hilang, buku anak saya hilang, itu semua guru yang perlu menjawab.

Tekanan dari ibu bapa yang tak memahami memang mengundang stress yang sangat tinggi. Siapa cakap mudah jadi guru?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi.

Monday, January 01, 2018

Jadual Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2018

Jadual Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2018

Jadual dan tarikh pembayaran gaji bulanan kerajaan kakitangan awam bagi tahun 2018 ini adalah hebahan rasmi berdasarkan surat pekeliling 'Tarikh dan Peraturan Pembayaran Gaji' terkini yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Jadual Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2018

Semakan gaji dan bonus kerajaan secara online kakitangan awam bagi tahun 2018 juga boleh dibuat melalui laman web Jabatan Akauntan di e-penyata gaji.

Untuk makluman dan kemudahan semua penjawat awam, berikut adalah Jadual Pembayaran Gaji bagi tahun 2018 Kakitangan Awam Kerajaan sebagai panduan dan rujukan.

Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2018
BulanTarikhCatatan
Januari25.01.2018 (Khamis)-
Februari08.02.2018 (Khamis)Tahun Baru Cina (16 & 17 Februari) (Jumaat & Sabtu)
Mac22.03.2018 (Khamis)-
April25.04.2018 (Rabu)-
Mei24.05.2018 (Khamis)Pesta Kaamatan (30-31 Mei) (Rabu & Khamis)
Jun07.06.2018 (Khamis)Hari Raya Puasa (15-16 Jun) (Jumaat & Sabtu)
Julai25.07.2018 (Rabu)-
Ogos14.08.2018 (Selasa)Hari Raya Qurban (23 Ogos) (Khamis)
September25.09.2018 (Selasa)-
Oktober25.10.2018 (Khamis)Hari Deepavali (18 Oktober) (Rabu)
November22.11.2018 (Khamis)-
Disember24.12.2018 (Isnin)Hari Krismas (25 Disember) (Isnin)

Maklumat Pembayaran Tarikh Gaji Bulanan Kakitangan Awam
  • Gaji kakitangan kerajaan sektor awam dibayar sebulan sekali.
  • Tarikh pembayaran gaji masih tertakluk kepada pindaan semasa oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (ANM).
  • Sebarang perubahan akan dikemaskini dengan kadar segera.
  • Lampiran jadual gaji berikut adalah meliputi tarikh gaji Penjawat Awam atau Kakitangan Awam Kerajaan semua Kementerian/Jabatan Persekutuan untuk seluruh negeri.

Pekeliling Jadual Dan Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam 2018

Untuk maklumat lengkap berhubung dengan Tarikh Dan Peraturan Pembayaran Gaji boleh dirujuk melalui pautan surat pekeliling Akautan Negara Malaysia yang disertakan di bawah.
Surat pekeliling ini dipanjangkan kepada semua Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan dan tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

BACA INI JUGA: Bekerja Dengan Kerajaan Adakah Wajib Undi Kerajaan?

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, September 23, 2017

6 Punca Utama Anda Gagal Temuduga Kerja

6 Punca Utama Anda Gagal Temuduga Kerja

Generasi muda hari ini perlu sentiasa meletakkan ego mereka pada tempat yang betul dan jangan sesekali bersikap kasar terutamanya ketika menghadiri temuduga pekerjaan.

Gagal Temuduga

Walaupun mereka digalakkan berani mencari peluang dan bersikap lantang, ia tetap ada batasnya. Lantang dan berani tidak bertempat, hanya menimbulkan persepsi buruk dan menyukarkan lagi mereka mencari kerja.

6 punca gagal temu duga kerja

1. Penampilan kurang menarik

Perkara pertama yang dilihat oleh penemu duga terhadap calon adalah penampilan awal. Di sini ia memainkan peranan yang penting untuk menarik minat penemu duga.

2. Resume tidak menepati kehendak

Calon gagal menyediakan resume yang mantap dan lengkap.

3. Tidak dapat meyakinkan penemuduga

Calon gagal meyakinkan penemu duga mengenai kelebihan atau kebolehan dimiliki.

4. Tidak mampu berhujah dengan baik

Calon tidak bijak berbicara dan melontarkan hujah terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh penemu duga

5. Tidak berpengetahuan dan menipu

Calon memberi jawapan sesuka hati sedangkan lebih baik jika calon mengakui bahawa tidak tahu untuk memberi jawapan.

6. Komunikasi

Cara berkomunikasi kurang berkesan iaitu tidak menggunakan bahasa yang lebih formal.

Generasi baru biadap

Pengarah Eksekutif ZY Phyto, Sharifah Ameelia Akma Mohd Ramly mengakui berdasarkan pengalamannya, generasi baru agak biadab, tidak sopan, manja, berkira, meminta-minta dan kurang rasa tanggungjawab.

Menurutnya, kebanyakan graduan muda yang diambil bekerja juga tidak menunjukkan kesungguhan, semangat, minat, prestasi dan bertanggungjawab seperti generasi terdahulu.

“Saya sering menerima permohonan kerja daripada lepasan universiti dan latihan praktikal daripada pelajar tahun akhir, penganggur tapi daripada banyak permohonan, biasanya hanya dua, tiga sahaja yang memuaskan hati dan layak dipanggil temuduga.

"Yang lain tu boleh saya kategorikan sebagai ‘cakap sampah’ yang layak dibakul sampahkan.

“Walaupun tidak semua, tapi ramai generasi muda sekarang tidak begitu bersemangat dalam dunia pekerjaan mereka. Baginya kerja itu bukan suatu kerjaya tapi sekadar kerja,” katanya.

Katanya, lebih teruk, golongan ini hanya berfikir melakukan kerja mereka tanpa mempedulikan aktiviti pejabat, objektif syarikat dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Asal cukup bulan dapat gaji cukup. Kalau rasa bosan, lompat cari kerja lain. Kalau tiada kerja pun masih boleh bergantung duduk dengan mak bapak,” katanya.

Kata Sharifah Ameelia lagi, apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka tidak bersedia terutamanya penyediaan resume dan tidak melambangkan sebagai lepasan universiti.

“Dari segi penulisan pula, ada yang agak memalukan dan tiada mukadimah atau permohonan selayaknya. Surat permohonan rasmi kebanyakan tidak mengikut format yang betul, banyak kesalahan ejaan, penggunaan tatabahasa yang carca-marba.

“Ayat yang digunakan pun sangat pasar dan kebudak-budakan macam tulis surat kepada kawan, tidak serius malah resume pun ada yang satu muka surat, maklumat tidak lengkap, tiada gambar dan pelbagai lagi kelemahan, dalam erti kata lain, memohon sambil lewa.

“Ada yang dengan muka kurang sopan terus bertanya berapa gaji boleh bagi dan ‘demand’ melalui talian, WhatsApp atau email walaupun belum lagi ditemuduga!,” katanya.

Katanya lagi, majoriti majikan mengutamakan sikap, berbanding akademik kerana ia mempengaruhi gaya individu itu bekerja.

“Zaman teknologi memungkinkan sebahagian pemegang ijazah memiliki sifat dinamik dan berkebolehan secara holistik.

"Boleh jadi juga ada pemegang ijazah yang hanya boleh berkata-kata apabila ada buku atau manual pekerja di tangan mereka.

“Majikan lebih mementingkan karakter pekerja seperti kebolehan kecerdasan minda, keupayaan memimpin, membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan, kemahiran komunikasi, membuat perancangan, tahap integriti yang tinggi dan komited,” katanya.

Ditanya kenapa generasi muda sekarang terlalu lantang, Sharifah Ameelia berkata ia mungkin disebabkan perubahan teknologi, pembelajaran yang lebih kepada maya dan peranti, maka interaksi sesama manusia semakin seperti robot tanpa dilapik dengan perasaan, jiwa dan rasa hormat..

“Generasi muda sekarang kurang budi bahasa, nilai murni sama ada dari segi sikap pemikiran dan tanggungjawab serta pembangunan akhlak.

"Mungkin kerana perubahan teknologi, pembelajaran yang lebih kepada maya, maka interaksi sesama manusia semakin kurang perasaan, jiwa dan rasa hormat," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Tips Temuduga Paling Berkesan

sumber: sinarharian

Sunday, August 20, 2017

4 Tips Psiko Penemuduga Supaya Mental Anda Tak 'Koyak'

4 Tips Psiko Penemuduga Supaya Mental Anda Tak 'Koyak'

Awas. Sudah menjadi kebiasaan penemuduga untuk buat mental anda koyak supaya mereka dapat lihat bagaimana anda mengawal tekanan yang mereka berikan.

Tips Psiko Penemuduga

Adakah anda bakal tempuhi cabaran temuduga lagi dalam masa terdekat? Jika ya, di sini kami ingin kongsi beberapa tips yang boleh anda gunakan untuk tingkatkan keyakinan diri sebelum anda bertemu para penemuduga.

Sebelum ini pun, anda pasti merasa kecewa apabila penemuduga dengan mudahnya buat diri anda mental breakdown hanya dengan soalan yang remeh.

Semoga tips ini dapat memberi manfaat kepada anda sewaktu proses temuduga nanti.

1. Warna pakaian main peranan tonjolkan imej diri

Warna pakaian

Sebenarnya setiap warna pemakaian cerminkan tanggapan yang berbeza. Jadi mari kita lihat Apa maksud warna baju untuk setiap warna yang anda pilih sebelum proses temuduga.
  • Coklat: Anda seorang yang berkaliber dan boleh diharap.
  • Merah: Simbol kekuatan.
  • Biru: Team player.
  • Hitam: Anda ingin tonjol bakat kepimpinan dalam diri.
  • Kelabu: Bersikap logik dan sentiasa ingin tahu.
  • Putih: Kemas dan tak serabut.

Sudah nampak warna pilihan anda? Kalau ya, cuba pakai untuk proses temuduga yang akan datang.

2. Beri jawapan selari dengan umur penemuduga

Penemuduga

Cara menjawab pun dah boleh pengaruh tanggapan penemuduga terhadap anda, jadi janganlah suka hati sembur jawapan.

Perhatikan saja lingkungan umur mereka:
  • Generasi Y (20an – 30an): Tekankan keupayaan multitask dan bawa sample kerja-kerja lama.
  • Generasi X (30an – 50an): Fokus pada tahap kreativiti dan kepentingan work-life balance dalam mempengaruhi prestasi kerja.
  • Baby Boomer (50an dan 70an): Anda perlu buktikan bahawa diri rajin berusaha dan hormati pencapaian mereka terhadap syarikat.
  • Silent Generation (70an dan 90an): Tonjolkan kesetiaan dan komitmen terhadap kerjaya sebelum ini.

3. Tiada salahnya kalau beri pujian pada syarikat tanpa perlu ‘try hard’

Try hard

Sudah terbukti melalui kajian daripada University of Washington dan the University of Florida bahawa calon pekerja yang cuba promote diri dengan dengan gaya selamba mempunyai potensi tinggi untuk diambil kerja.

Jadi, penting untuk anda kaji dahulu syarikat yang ingin ambil anda bekerja supaya anda tahu di mana anda perlu puji bakal majikan anda itu nanti.

Tak salah untuk anda beri kredit kepada bakal majikan anda, cuma jangan berlebihan. Nanti nampak macam anda terlalu desperate pula.

4. Tenang ketika perjelaskan kelemahan diri

Tenang

Soalan yang paling digeruni setiap job seeker – “What’s your greatest weakness?” Waktu inilah bermacam-macam jawapan yang akan muncul. Rata-rata semuanya klise di telinga sesiapa pun.

Hati-hati kerana melalui soalan saja, penemuduga mampu mengagak kejujuran diri anda. Kurangkan keraguan penemuduga, jawab saja soalan secara santai dan sempoi.

Tambah juga dengan berkata kelemahan anda itu boleh dibaiki di masa akan datang.

Selamat berjaya!

BACA INI JUGA: 5 Tips Temuduga Paling Berkesan

sumber: thevocket

Friday, March 17, 2017

Karnival Kerjaya Dan Pendidikan Belia Negara 2017

Karnival Kerjaya Dan Pendidikan Belia Negara 2017

Menyedari kepentingan kerjaya dan pendidikan dalam kalangan belia Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Kerjaya dan Pendidikan Belia Negara pada 25 hingga 26 Mac 2017 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Dataran Alamanda Parit Buntar, Perak.

Karnival

Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Daerah Kerian dan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).

Lebih 30 syarikat dan institusi pendidikan lanjutan daripada agensi kerajaan dan swasta telah mengesahkan penyertaan dalam karnival yang menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

MBM berhasrat menganjurkan karnival seperti ini secara meluas sebagai sebahagian sumbangan MBM kepada golongan belia yang ingin mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan mereka. Selain itu, ia merupakan medium terbaik untuk belia lepasan sekolah melanjutkan pengajian mereka.

Lebih dari itu, karnival ini juga merupakan platform bagi golongan belia mendapatkan informasi mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan dan peluang perniagaan.

Golongan belia boleh mendapatkan maklumat, panduan dan khidmat nasihat mengenai pelbagai program keusahawanan, latihan dan kemahiran di karnival berkenaan.

Bagi golongan belia yang berhasrat melanjutkan pengajian bermula dari peringkat sijil hingga ijazah, sebanyak 30 institut pengajian tinggi, kolej kemahiran, institut latihan perindustrian menyertai karnival ini, antaranya, Universiti Malaysia Pahang Advanced, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Yayasan Pahang, Kolej Poly-Tech MARA Ipoh, Institut Latihan Perindustrian Ipoh dan banyak lagi.

Selain itu, pelbagai pengisian disediakan kepada para pengunjung seperti forum mengenai peluang-peluang pekerjaan dan pelaburan, sesi perkongsian kemahiran kerjaya, sesi motivasi diri dan persediaan menghadapi temuduga dan program kerohanian Bual Bicara ‘Santai Habis!.

Pihak penganjur juga akan mengadakan sesi TN50 Talk yang menampilkan Speaker YB Datuk Shahrul Zaman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak serta Dato’ Abu Bakar Mat Ali, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak.

Majlis perasmian penutup karnival akan disempurnakan oleh YB Datuk Shahrul Zaman Yahya pada 26 Mac 2017 (Ahad) jam 1.30 petang.

MBM mensasarkan seramai 10,000 orang mengunjungi karnival yang dianjurkan buat julung kali ini.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web rasmi MBM, http://www.belia.org.my

BACA INI JUGA: Bagaimana Mendapat Pekerjaan Selepas Keluar Kolej Atau Universiti?

sumber: belia

Sunday, January 29, 2017

10 Pekerjaan Paling ‘Stress’ Pada Tahun 2017

10 Pekerjaan Paling ‘Stress’ Pada Tahun 2017

Untuk tahun 2017 ini, mari kita lihat jenis pekerjaan yang mana satukah dikatakan paling mencabar dan memberi tekanan.

Stress

Buat pengetahuan anda, setiap tahun CareerCast akan mengeluarkan senarai pekerjaan dengan tingkatan tekanan paling tinggi.

Aspek ini diukur berdasarkan beberapa faktor seperti jumlah tenaga yang diperlukan untuk sesuatu pekerjaan, pengangkutan yang diperlukan, kekuatan fizikal dan mental, dan risiko kematian.

Semakin banyak faktor stress yang dimiliki, semakin tinggi risiko tekanan yang dihadapi oleh pelakunya.

Dan ini adalah senarai pekerjaan yang paling stress pada tahun 2017:

1. Tentera

Menurutnya, kerja ini melibat risiko yang tinggi terhadap keselamatan diri sendiri dan juga keselamatan orang lain dan ianya melibatkan golongan profesional serta tanggungjawab.

2. Bomba

Seperti bidang ketenteraan, bomba terpaksa meletakkan nyawa mereka dalam bahaya untuk menyelamatkan harta dan rakyat. Bukan sekadar penyelamat kucing.

3. Juruterbang

Kadar risiko kemalangan yang berlaku antara penerbangan dan memandu memang ketara, ini mungkin kerana kemalangan yang melibatkan penerbangan tidak sekerap yang berlaku dijalan raya.

Menjadi juruterbang juga harus memastikan setiap nyawa yang dibawanya selamat dan perlu lebih berhati-hati demi mengelakkan berlakunya becana yang lebih besar.

4. Polis

Dalam senarai ini, polis diletakkan dalam kelompok yang sama seperti risiko yang dihadapi oleh Bomba. Dalam pertimbangan yang lain, ia juga meliputi tuntutan dan hal-hal yang lain.

5. Penyelaras Acara

Pesta acara seperti hiburan memang menyeronokkan, namun untuk yang bekerja dalam bidang ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Bukan sahaja perlu memastikan setiap acara berjalan lancar, mereka juga berhadapan dengan kerenah manusia terutama selebriti.

6. Wartawan Akhbar

Tiada had waktu dan tempat untuk mendapatkan berita dengan kadar terpantas. Ketepatan maklumat dan info yang disampaikan juga haruslah benar.

7. Eksekutif Korporat

Mengusahakan syarikat besar.

8. Eksekutif perhubungan awam

Sama seperti wartawan akhbar.

9. Pemandu Teksi

Berulang-alik memandu bukan sahaja memenatkan, malah pemandu teksi terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas dan juga cuaca buruk.

Bukan sekadar itu sahaja, cabaran pesaing dari syarikat atas talian seperti Uber memberikan impak yang cukup besar.

10. Penyampai Berita

Sama seperti yang berada dalam bidang kewartawanan, pekerjaan dalam bidang ini dikatakan mempunyai tekanan kerja paling tinggi. Tiada had masa dan selalu menerima tekanan dari orang awam.

Jika anda ingin mendalami salah satu daripada 10 karier di atas, maka persiapkanlah mental anda dari sekarang!

BACA INI JUGA:

Sumber: thevocket

Monday, November 28, 2016

11 Hakikat Sebenar Kerja Penjawat Awam Yang Kurang Diketahui Umum

11 Hakikat Sebenar Kerja Penjawat Awam Yang Kurang Diketahui Umum

Hanya orang kerja government sendiri saja tahu menilai apa keistimewaan dan kekurangan orang government ini sebenarnya. Nak dapat kerja government ni pun bukan senang sebenarnya.

Penjawat awam

Yang pasti, sebut saja makan gaji dengan kerajaan atau penjawat awam atau nama glamor kerja government, tentu orang akan cakap “Wah! Untung la kerja kerajaan, ada jaminan”.

1. Jawatan Tetap

Ramai yang kerja government sekarang ini tak dapat jawatan tetap. Dengan kadar pengangguran yang boleh dikatakan tinggi sekarang ini susah nak bersaing untuk dapat jawatan tetap (statistik November 2016: 200 ribu graduan menganggur).

Ramai yang ada degree sekadar jadi kerani kontrak saja. Terpaksa terima demi kelangsungan hidup, nak bayar PTPTN. Ada yang kontrak sampai berbelas tahun.

Selain itu perlu bersaing dengan orang yang mempunyai orang besar sebagai rujukan dalam resume. Yang tak ada sebegitu, berserah pada takdir dan rezeki dari Allah sahaja.

2. Pengesahan Jawatan

Apabila dah dapat jawatan tetap itu pula bukan tiket untuk bersenang-lenang ya. Kena lalui proses pengesahan jawatan pula. Kena hadir kursus, BTN, exam, macam-macam. Ada sesetengan jabatan pula tambah syarat lain lagi seperti kursus team building.

3. Kursus Wajib

Orang government tiap tahun wajib kena pergi kursus. Minima 7 hari dalam setahun. Bagi orang single mungkinlah best sebab sambil kursus boleh jalan-jalan.

Bagi yang ada family dan ada anak akan berasa berat hati nak penuhi keperluan jam kursus. Jika tak cukup jam kursus, hujung tahun kena tunjuk sebab pula.

4. Akta

Sertai perkhidmatan awam bermakna kita terikat dengan macam-macam akta. Antaranya, Akta Tatatertib dan Surcaj, dan Akta 605. Jadi, kena jaga kelakuan sebagai penjawat awam.

Itu bermakna tidak boleh sesuka hati mengekspresikan diri dalam perarakan yang menentang kerajaan dan menulis komen di media sosial.

Dulu memang orang government susah nak kena buang kerja sebab banyak prosedur nak kena ikut. Tapi sekarang dah ada “Exit Policy” dimana kalau prestasi rendah boleh ditamatkan atau dibersarakan.

Proses penamatan perkhidmatan itu jadi lebih mudah. Boleh baca Pekeliling Perkhidmatan Bil. 7 Tahun 2015.

5. Rekod Bersih

Sebelum dilantik jadi penjawat awam ini banyak kena tapis. Selepas temuduga akan ada proses tapisan halus dan tapisan kasar pula. Proses tapisan ni berlaku belakang tabir.

Seseorang itu tidak boleh ada status bangkrap, tiada rekod jenayah, tak boleh berada dalam kategori keterhutangan yang serius (aka banyak hutang).

Jadi, rekod kena bersih untuk dilantik ke jawatan. Sekarang ini dah ada syarat baru untuk kenaikan pangkat pula iaitu tak boleh ada keterhutangan dengan pinjaman pendidikan (MARA, PTPTN etc).

Kalau nak naik pangkat pastikan rekod bayaran balik PTPTN atau MARA konsisten.

6. Peperiksaan

Kerja government ini sentiasa kena exam, even jawatan tukang cuci sekalipun. Apatah lagi kalau ada hati nak naik pangkat. Buku rujukan pula tebal mengalahkan nak ambil STPM.

Untuk jawatan rendah calon akan diberi soalan objektif, dan untuk jawatan tinggi perlu tulis esei. Kalau yang beban tugas banyak tu nasib la, tak sempat nak buka buku.

Antara buku yang wajib kena selalu buka/baca:
  1. Perintah Am (G.O)
  2. PKPA
  3. Arahan Keselamatan
  4. Undang-undang
  5. Penilaian Prestasi
7. Penilaian Prestasi

Setiap tahun mesti ada kenaikan gaji. Tapi ramai orang bukan kerja kerajaan tidak tahu bahawa penjawat awam kena lalui proses penilaian prestasi. Kalau markah prestasi rendah, gaji tak berganjak.

Penilaian prestasi dilakukan oleh orang atasan. Jadi, orang yang dinilai perlu pandai mengambil hati dan membina hubungan baik agar diberi penilaian cemerlang sehingga berpeluang dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

8. Gaji

Gaji penjawat awam tak segah pekerja swasta. Kebanyakan kakitangan sokongan (jawatan yang tak perlukan kelayakan ijazah) habis bulan, gaji pun tinggal 2 angka dalam akaun. Lagi perit kalau belum disahkan dalam jawatan.

Sekarang tiada lagi claim overtime. Jadi harapkan gaji dengan elaun wajib saja. Kemudian dipotong KWSP dan lain-lain termasuk bayaran semula PTPTN. Maka bajet nak hidup sebulan kena ketat dan tak boleh boros.

9. Pinjaman

Mudah pihak bank meluluskan permohonan pinjaman pennjawat awam walaupun ada had seperti pekerja swasta atau bekerja sendiri kerana adanya slip gaji.

Penjawat awam yang memegang jawatan tetap dan sah dalam jawatan tak perlu cari penjamin. Tapi rekod CTOS, CCRIS, PTPTN kena bersih. Pinjaman tak boleh melebih had potongan gaji iaitu tidak melebihi 60% setiap bulan.

10. Bonus

Tak perlu cemburu dengan penjawat awam apabila ada pengumuman bonus kerana pekerja swasta pun ada bonus. Bonus itu insentif untuk pekerja.

Penjawat awam terima bonus RM500, sedangkan ada pekerja swasta terima bonus 2 kali setahun dan ada yang sampai 6 kali gaji.

Berdasarkan pengalaman sendiri semasa kerja swasta di kilang Jepun, dapat lebih banyak kemudahan seperti bonus, trip, family day, hadiah birthday, dan hujung tahun dapat souvenir dari company.

11. Tuntutan Kerja Lebih Masa

Buat masa ini jabatan awam amalkan langkah-langkah penjimatan. Jadi perihal claim overtime ini agak sensitif. Claim overtime ini hanya melibatkan penjawat awam bawahan sahaja.

Jadi, tiada lagi duit tambahan buat mereka apabila bekerja lebih masa. Ramai yang kerja hakikinya sampai pukul 5 petang, terpaksa balik lewat malam kena siapkan kerja atas dasar tanggungjawab.

Apabila peruntukan untuk claim overtime dah habis, jabatan akan pakai kaedah cuti gantian. Masalahnya cuti yang ada pun tak sempat nak guna sebab sibuk.

Hakikat Kerja Penjawat Awam

Itulah hakikat sebenar kerja kerajaan ini. Kadangkala yang nampak itu cuma indah khabar dari rupa saja. Cuma bila dah dah dapat kerja itu beringatlah panjat rasa syukur kerana ramai lagi orang terkial-kial cari kerja tetap.

Kita ini bekerja dibayar gaji hasil duit rakyat. Jaga amanah kita, laksanakan tanggungjawab kita. Apabila keluar semasa waktu pejabat, kalau boleh ganti balik masa kerja tu supaya kerja kita berkat. Dengan keberkatan, gaji walaupun sikit tapi akan sentiasa cukup.

Kepimpinan melalui teladan di mana yang baik untuk dicontohi kita ikut. Yang tak baik dijadikan sempadan sebab bukan semua bos itu betul. Rasuah jangan sesekali.

Jaga integriti biarpun kita ini orang paling bawah dalam carta organisasi jabatan, InsyaAllah berkat.

BACA INI JUGA: Pekerja Malaysia Dan Singapura ‘Paling Tidak Bahagia’ Di Asia!

Sumber: Thevocket

Sunday, October 23, 2016

Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Juruterbang Pilot?

Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Juruterbang Pilot?

Ramai yang mula mengimpikan kerjaya di awan biru sebagai seorang juruterbang, 'angkara' darama bersiri 'Suri Hati Mr Pilot'.

Kerjaya+Juruterbang
Gambar hiasan.

Dalam keghairahan ramai menonton drama bersiri itu, seorang juruterbang menggunakan nama akaun facebook The Pilot, Mohd Hairul Sanot sudi berkongsikan 8 tips bagaimana anda mampu mencapai cita-cita menjadi juruterbang atau pilot penerbangan.

1.Kelayakan Menjadi Pilot

Kelayakan yang diperlukan adalah SPM. Fokus 3 subjek dalam SPM. Hanya 3 subjek sahaja, amat mudah.

Subjek tersebut ialah Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains (atau Fizik), selain subjek Bahasa Melayu yang wajib lulus.

2. Sekolah Penerbangan

Cari sekolah penerbangan yang baik. Anda bernasib baik jika dapat mengikuti latihan kadet pilot yang diambil oleh Airline sendiri. Jadi tidak perlu risau untuk mencari kerja selepas mengikuti latihan penerbangan.

3. Kesihatan Yang Baik

Jaga kesihatan. Salah satu syarat untuk diambil bekerja ialah anda sihat. Bersukanlah tapi bukan mengikuti sukan yang ekstrim. Tiada gunanya jika sampai cedera. Anggota fizikal anda adalah aset dalam kerjaya ini.

4. Banyak Duit

Simpan duit. Sekolah penerbangan memerlukan belanja sehingga RM300,000. Oleh itu jika tidak mampu, salah satu caranya ialah anda boleh memohon sebagai kadet pilot airline. Ia diiklankan dari semasa ke semasa.

5. Berlatih soalan interview

Salah satu ujian yang mesti dilepasi ialah interview. Boleh beli dan baca buku-buku interview. Salah satu soalan yang famous ialah, kenapa anda mahu jadi pilot?

6. Tambah ilmu penerbangan

Dunia penerbangan adalah dunia teknologi yang baru. Setiap masa ada sahaja update terkini yang boleh dipelajari. Ini amat membantu anda untuk menjadi seorang juruterbang airline yang berkaliber.

7. Tinggi

Syarat ketinggian untuk menjadi juruterbang juga berbeza kerana bergantung kepada capaian kepada alat kawalan yang dikenali sebagai 'rudder'.

8. Berdoa

Firman Allah SWT berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan..

Untuk memasuki mana-mana sekolah penerbangan, jumlah RM300,000 itu adalah perbelanjaan yang diperlukan secara kasar.

Ini kerana meskipun tempoh latihan untuk menjadi juruterbang hanya selama 14 bulan, tetapi ada juga yang terpaksa melanjutkan tempoh latihan itu selama dua tahun. Ini kerana, sesi latihan menggunakan pesawat agak terhad dan memerlukan tempoh menunggu.

Adakalanya, pesawat rosak dan perlu dibaiki. Jadi pelatih perlu menunggu sehingga kapal terbang boleh digunakan.

Semoga dengan doa dan restu serta usaha yang dilakukan, segala impian dan cita-cita akan menjadi kenyataan dan diperkenankan oleh Yang Maha Esa. -AA

Syarat-syarat Umum dan Kelayakan Menjadi Pilot
  • Berumur 18 hingga 24 tahun.
  • Tidak hanya terhad kepada lelaki sahaja.
  • Menguasai matapelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan Fizik dengan baik.
  • Mempunyai rekod kesihatan yang baik.
  • Sekurang-kurangnya 6/60 ketajaman penglihatan tanpa bantuan optik, dibetulkan 6/6 dan tidak buta warna.
  • Ketinggian sekurang-kurangnya 160cm.

Terdapat 3 cara bagaimana seseorang itu boleh menjadi seorang juruterbang iaitu:-
  • Menyertai program juruterbang kadet di syarikat penerbangan (sekiranya tawaran dibuka).
  • Membiayai sendiri lesen PPL, CPL atau Frozen ATPL.
  • Memohon kemasukan ke program kadet dengan lesen PPL sahaja.

Apa beza lesen PPL, CPL dan Frozen ATPL?

1. Private Pilot License (PPL)

Lesen ini membolehkan kamu menerbangkan semua jenis kapal terbang berkuasa rendah.

Kamu boleh memohon Lesen PPL sekiranya kamu mahu menjadikan bidang penerbangan hanya sebagai hobi, mahu membawa pesawat kecil yang boleh disewa dan tidak boleh membawa penumpang.

Jangkamasa penerbangan yang harus dibuat untuk lesen ini ialah 50 jam.

2. Commercial Pilot License (CPL)

Lesen ini membolehkan kamu dibayar untuk menerbangkan pesawat komersil. Kamu harus membuat latihan penerbangan sekurang-kurangnya 200 jam di bawah Approved Flying Training Organization.

Kamu juga harus mengambil tiga kertas peperiksaan yang ditetapkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

3. Airline Transport Pilot License (ATPL)

Untuk memperoleh lesen ATPL ini bakal juruterbang perlu melengkapkan penerbangannya sebanyak 1500 jam dengan menggunakan lesen CPL serta menduduki enam lagi kertas peperiksaan.

Sekiranya kamu berjaya di peringkat ini, kamu sudah layak menjadi ‘First Officer’ atau pegawai pertama dalam sesebuah penerbangan.

Bagaimana mahu jadi Kapten Pilot?

Semua orang kenal Kapten Zaharie Ahmad Shah, beliau seorang yang sangat mencintai dunia penerbangan; bukan sahaja bertugas sebagai juruterbang tetapi beliau juga turut memberi latihan penerbangan.

Kecintaannya pada bidang penerbangan memang kita patut contohi dan ikuti, terutama bagi mereka yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang.

Tapi, bagaimana mahu dapat ‘pangkat’ kapten yang menerajui penerbangan Boeing 777 seperti Kapten Zaharie Ahmad Shah?

Untuk menjadi seorang kapten penerbangan, harus ada lesen frozen ATPL dan melengkapkan jumlah jam penerbangan yang telah ditetapkan untuk setiap pesawat yang dibawa secara bergilir dengan Kapten sebelum lesen frozen ATPL itu ditukar kepada lesen unfrozen ATPL.

Selepas mendapat unfrozen ATPL, barulah kamu layak memohon untuk menjadi seorang kapten. Selain daripada itu, untuk mendapatkan pangkat kapten, ia juga turut bergantung kepada kekosongan yang ada.

Juruterbang yang berkemahiran dan terlatih mampu menerbangkan pesawat penumpang dan kargo tanpa mengira sama ada perjalanan itu jauh atau dekat.

Keadaan yang paling mencabar ketika bertugas ialah semasa berlepas, pendakian, penurunan dan pendaratan yang mana memerlukan penumpuan penuh setiap juruterbang agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selepas mendapat lesen, juruterbang berpeluang memandu pelbagai jenis pesawat seperti Fokker, Airbus, DC-10 dan Boeing.

Kerjaya ini sekarang terbuka luas berikutan perkembangan pesat industri penerbangan dalam dan luar negara.

Terdapat banyak syarikat penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara yang menyediakan peluang pekerjaan sebagai juruterbang.

Dari segi pendapatan pula, kerjaya ini menjanjikan gaji yang cukup lumayan serta ditambah dengan pelbagai insentif lain selaras dengan tugasnya yang cukup mencabar dan berisiko.

Selamat maju jaya buat anda yang berminat dengan kerjaya sebagai seorang juruterbang.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM