Wednesday, May 08, 2019

Siapa Bayar Kos Majlis Perkahwinan, Pengantin Lelaki Atau Perempuan?

Siapa Bayar Kos Majlis Perkahwinan, Pengantin Lelaki Atau Perempuan?

Setiap pasangan pasti impikan majlis perkahwinan yang indah untuk menjadi kenangan seumur hidup, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, ia merupakan antara salah satu majlis yang penting.

Kos Majlis Perkahwinan

Di Malaysia, akan terdapat tiga majlis perkahwinan iaitu; majlis nikah beserta majlis resepsi iaitu bersanding dan bertandang. Persoalannya, siapa yang tanggung?

Walhal dalam agama Islam, sebenarnya cukup sekadar diadakan satu jamuan walimatul urus selepas upacara pernikahan pasangan pengantin.

Meskipun begitu, sudah pasti setiap pasangan yang ingin berkahwin itu mahukan majlis mereka indah dan meriah.

Jarang ada bakal pengantin yang inginkan majlis perkahwinan mereka setakat ‘cukup syarat’ dan ala kadar. Manakan tidak, majlis ini sekali seumur hidup!

Akan tetapi setiap majlis perkahwinan itu adalah bergantung kepada kemampuan setiap pasangan pengantin.

Jika inginkan yang mewah dan gilang-gemilang, maka kos yang perlu dikeluarkan pasti banyak, begitu juga sebaliknya.

Persoalannya sekarang, siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dan perlu menampung kos perbelanjaan majlis perkahwinan? Adakah ianya ditanggung oleh pengantin lelaki ataupun pengantin perempuan? Dan perlukah diadakan jamuan makan-makan sebenarnya?

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengemukakan pandangannya berkenaan perkara ini dalam laman rasmi Pejabat Mufti WP.

Melalui perkongsiannya, kita akan lebih memahami siapa yang bertanggungjawab dan perlu mengeluarkan belanja untuk majlis kenduri atau walimatul urus di sebelah keluarga perempuan.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan ﺍﻟﻮﻟْﻢ yang membawa erti berhimpun atau berkumpul.

Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin.

Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan.

Meskipun begitu, para ulama mempunyai dua pendapat yang berbeza kepada implikasi tuntutan tersebut.

Pendapat Pertama

Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.

Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.

Pendapat Kedua

Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad.

Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.

Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib.

Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.

Siapa yang bertanggungjawab dalam mengadakan majlis perkahwinan?

Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki.

Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga pengantin perempuan.

Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri.

Lalu beliau menyatakan, ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki), melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan."

Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami, berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis Nabi SAW kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas.

Ini kerana, baginda SAW menyatakan kepada beliau ﺃﻭﻟﻢ (lakukanlah walimah), namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf ﺃﻭﻟﻤﻮﺍ (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan).

Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki. Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh.

Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.

Akan tetapi, sekiranya majlis walimah dilakukan oleh keluarga pengantin perempuan, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri, ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki)."

Sebagai kesimpulan, hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya.

Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.

Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki.

Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Friday, April 19, 2019

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Kanak-kanak Gemar Dinosour Petanda Amat Bijak

Sebilangan kanak-kanak menyukai unikorn dan anak patung, manakala sebahagian yang lain menggemari kereta serta kereta api bagaimanapun, jika anak anda obses dengan dinosaur dan boleh membezakan antara Brachiosauraus dan Diplodocus, ia mungkin petanda kanak-kanak tersebut seorang yang amat bijak.

Anak Bijak suka dinosaur

Ia berikutan keputusan kajian oleh Universiti Indiana dan Universiti Wisconsin mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam terhadap dinosaur juga mempunyai kecerdasan minda lebih tinggi.

Kajian itu bukan sesuatu yang baharu tetapi kembali popular di internet kerana mendapati kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam dalam perkara-perkara seperti dinosaur akan memperoleh banyak manfaat.

Antara faedah yang diperoleh termasuk mereka menjadi lebih tabah, daya perhatian mereka bertambah, manakala kebolehan seperti berfikir secara kompleks dan memproses maklumat turut meningkat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, February 25, 2019

10 Superfood Yang Anda Patut Makan Setiap Hari Untuk Menjaga Kesihatan Mata

10 Superfood Yang Anda Patut Makan Setiap Hari Untuk Menjaga Kesihatan Mata

Menurut Shania Khialani, seorang pakar nutrisi dan diet dari Pusat Dietitians Marie-Claire O Shea di Australia, ada banyak kajian yang telah dibuat tentang fungsi vitamin A dan kaitannya dengan mata dan ternyata, kita boleh memperbaiki kesihatan mata dengan mengambil beberapa jenis makanan, terutamanya yang tinggi kandungan Vitamin A.

Makanan superfood untuk mata

Shania menjelaskan bahawa satu kajian pada tahun 2011 yang dijalankan oleh Universiti Oxford telah membuktikan kaitan antara Vitamin A dengan pengurangan masalah mata.

Antara masalah penglihatan yang dapat dikurangkan jika kita mengambil banyak Vitamin A adalah seperti rabun malam dan xerophthalmia (satu keadaan di mana mata kita gagal menghasilkan air mata).

Jadi, sebagai seorang ibu dan ayah pada hari ini, amatlah wajar untuk anda memberikan makanan superfood yang tinggi kandungan Vitamin A kepada anak anda, supaya tahap penglihatan dan power matanya terjaga, selain untuk amalan orang dewasa.

10 makanan superfood untuk mata

Jika anda perlukan sedikit saranan tentang jenis makanan apa yang anda boleh masukkan dalam diet harian supaya kesihatan mata anda dan keluarga sentiasa terjaga, mari lihat senarai di bawah!

1. Lobak

Sememangnya, lobak adalah antara makanan yang sering dikaitkan dengan penglihatan yang bagus.

Kalau anda nak tahu, sayuran dan buahan berwarna oren dan kuning mempunyai beta karotene yang tinggi. Ia adalah sejenis Vitamin A yang boleh dijumpai dalam tumbuhan yang dapat membantu melindungi mata anda.

Masukkan hirisan lobak dalam hidangan sup ayam, bubur nasi, pasta, atau salad.

2. Sayuran hijau yang berdaun

Sayuran berwarna hijau serta berdaun seperti parsli, bayam dan kale mempunyai kandungan lutein dan zeaxanthin yang tinggi.

Dua bahan ini membantu meningkatkan tahap penglihatan kerana ia menjadi makanan utama karotenoid yang ada pada retina mata manusia.

Malah, ia turut melindungi mata dari pancaran matahari yang berbahaya kerana fungsi antioksidan tinggi yang turut ada pada bahan ini.

Jangan masak sayuran hijau ini terlalu lama kerana khasiatnya akan berkurangan jika terlebih masak.

Celur atau tumis beberapa minit sahaja sebelum menghidangkannya.

3. Salmon

Diet yang tinggi kandungan asid lemak omega 3 juga dikatakan dapat memberikan kesan positif pada retina mata kita.

Kebanyakan minyak ikan seperti salmon sangat kaya dengan asid lemak omega 3, yang membantu retina mengatasi masalah keradangan.

Untuk hidangan yang ringkas dan cepat, anda hanya perlu bakar atau grill salmon dalam periuk pan bersama mentega sehingga keperangan. Ia sangat mudah untuk disediakan.

4. Avokado

Ini lagi satu superfood yang dapat membantu menjaga mata kerana dikatakan mempunyai kandungan lutein yang tinggi berbanding semua sayuran dan buahan lain!

Jika diambil selalu dan dalam jangka masa yang panjang, avokado dapat mencegah risiko katarak dan penyusutan makula.

Lenyekkan avokado dan buat hidangan makanan pejal atau, hiris avokado dan masukkan ke dalam hidangan sandwich supaya kita mendapat bekalan lemak dan Vitamin E yang baik untuk mata!

5. Telur

Ini adalah antara bahan yang mudah untuk dijumpai di dapur kan? Ia memberikan banyak khasiat pada mata dan juga seluruh badan kita, pastikan anda turut memakan bahagian kuning.

Ini kerana, warna kuning itu kaya dengan khasiat dan nutrien. Semakin pekat warna kuning telur itu, semakin berkhasiat dan bagus untuk anda!

Rebus telur dan hancurkan bersama lada hitam dan mayonis. Buat sandwich atau telur separuh masak dan makan bersama roti kaya – yummy!

6. Lada Benggal (Capsicum)

Selalunya, lada benggal atau capsicum, boleh didapati dalam pelbagai warna (seperti warna traffic light!) iaitu merah, kuning dan hijau.

Capsicum mengandungi Vitamin A yang bagus untuk penglihatan dan menjaga mata dari terkena penyakit.

Potong lada benggal kecil-kecil dan tumis. Campurnya dalam hidangan sup atau nasi.

7. Kekacang

Kekacang juga adalah sejenis superfood yang sesuai untuk dimasukkan dalam hidangan untuk menjaga mata.

Antara contoh kekacang yang bagus adalah seperti almond dan kacang gajus kerana ia kaya dengan Vitamin E dan asid lemak omega 3. Ia membantu mengurangkan kekeringan mata.

Jadikan kekacang sebagai snek sementara menunggu waktu hidangan utama. Masukkan juga kacang ini ke dalam hidangan.

8. Blueberry

Ia mengandungi bahan magikal yang dikenali sebagai anthocyanosides, bahan yang selalunya ada pada retina mata kita dan membantu mata untuk penglihatan waktu malam.

Jika diambil selama 2 bulan, anda pasti akan dapat melihat perbezaannya pada penglihatan anda pada waktu malam.

Disebabkan buah blueberry tidaklah mudah untuk diperolehi di kedai runcit atau supermarket, mungkin anda boleh membelinya dalam bentuk kapsul atau pil.

Kandungan yang patut anda ambil setiap hari adalah 600mg.

9. Dark Chocolate

Kalau anda gemar coklat pula, Dark chocolate kaya dengan flavonoid yang dapat membantu melindungi saluran darah dalam mata dan menguatkan lensa serta kornea mata.

Jadikan dark chocolate sebagai snek harian malah, anda turut boleh membuat minuman coklat panas menggunakan dark chocolate.

10. Wolfberry

Ini lagi satu jenis berry dikenali sebagai buah beri Goji, buahan yang kecil, merah dan manis ini kaya dengan tonik yang dapat menjelaskan penglihatan mata.

Ia turut dijadikan sebagai satu bahan remedi bagi masalah mata yang tinggi, mata kering dan penglihatan kabur.

Ia disebabkan oleh kandungan beta karotena, Vitamin B, Vitamin C, serta asid linoleik yang ada di dalam buah beri Goji ini.

Masukkan buah wolfberry ke dalam air lai ci kang bersama dengan longan dan kurma untuk meningkatkan kesihatan mata anda!

Cuma, jangan makan lebih satu biji sekali makan kerana kandungan vitaminnya terlalu tinggi. Anda akan rasa mual dan pening jika overdose. 1 biji pagi dan 1 biji petang.

Jadi, cuba semua cadangan hidangan di atas dan lihat bagaimana ia membantu mengekalkan kesihatan mata anda!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, January 29, 2019

Ikan Serta Daging Yang Boleh Dan Tidak Boleh Dimakan Ketika Ibu Berpantang

Ikan Serta Daging Yang Boleh Dan Tidak Boleh Dimakan Ketika Ibu Berpantang

Memang banyak pantang larang semasa berpantang, termasuklah dari segi pemakanan kan? Dari sinilah bermulanya kekurangan nutrisi dan makanan yang seimbang, sedangkan semasa dalam pantanglah ibu-ibu kena mendapatkan semula nutrisi untuk mengembalikan kesihatan badan yang sangat merudum serta untuk menyusukan anak.

Ikan Daging Ibu Berpantang
Gambar hiasan.

Jadi, dalam tempoh berpantang ini, ada beberapa jenis ikan dan daging yang tidak boleh dimakan. Ibu-ibu jangan abaikan kesihatan semasa dalam pantang. Bersabarlah ye.

Ikan Yang Boleh Dimakan:
  • Ikan haruan
  • Ikan yu
  • Ikan selar
  • Ikan gelama
  • Ikan jenahak
  • Ikan merah
  • Ikan tenggiri
  • Ikan kurau
  • Ikan bawal putih
  • Ikan senangin
  • Ikan bilis
  • Ikan haruan menyembuhkan luka, manakala ikan yu membanyakkan susu ibu.

Ikan Yang Tidak Boleh Dimakan:
  • Ikan kering
  • Ikan masin
  • Ikan keli
  • Ikan bawal hitam
  • Ikan terubuk
  • Ikan duri
  • Ikan pari
  • Ikan sembilang
  • Ikan parang
  • Ikan kembung
  • Ikan tamban
  • Ikan cencaru
  • Ikan tongkol

Makanan laut (udang, sotong, kerang)

Ikan yang mengandungi bisa dilarang ibu berpantang mengambilnya kerana ia boleh menyebabkan ibu mengalami turun darah dan bentan.

Ayam Dan Daging Yang Boleh Dimakan:
  • Burung puyuh
  • Burung merpati
  • Ayam hitam
  • Ayam didik
  • Ayam selasih
  • Ayam kampung
  • Daging batang pinang
  • Ayam Dan Daging Yang Tidak Boleh Dimakan:
  • Ayam biasa di pasar, ayam karan (takut gatal kerana ada bahan kimia)

p/s: Setiap orang tidak sama tindak balas badannya terhadap sesuatu jenis makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, January 11, 2019

Kisah Bagaimana Orang Cina 'Melabur' Untuk Pendidikan Anak-anak

Kisah Bagaimana Orang Cina 'Melabur' Untuk Pendidikan Anak-anak

Sudah lama saya perhati jiran saya ini. Jiran saya kaum Cina. Mula-mula segan mahu tanya, tetapi rasa ingin tahu itu ada. Sepanjang cuti sekolah ini, setiap hari van sekolah akan datang untuk ambil anaknya ke sekolah. Saya tahu sebab bunyi hon akan dibunyikan.

Melabur Pendidikan Anak

Seminggu 5 kali. Pukul 8 pagi hingga 11 pagi, pastinya sekolah swasta. Oleh sebab saya mahu tahu dan belajar sesuatu, saya tegur dia sewaktu dia sedang membasuh kereta. Selepas berbual biasa, saya terus bertanyakan perihal anaknya.

Katanya, memàng mereka hantar anak ke sekolah walau musim cuti. Duduk rumah pun asyik main tak tentu.

Di sekolah bukan belajar sahaja, ada aktiviti untuk bakat. Anaknya berumur 6 tahun bahkan semua anaknya dia buat macam itu.

Saya tanya kos perbelanjaan dan dia senyum saja.

“Azam, kami sanggup makan bubur asal anak jadi pandai. Kereta ini pun sudah habis bayar.

"Dalam rumah saya kosong sahaja. Rumah memang mahal sebab tempat di sini bagus untuk pelaburan. Awak berbelanja habis beli barang mahu pakai berapa tahun?

"Azam beli perabot mahal, dua tiga tahun sudah tukar. Harga bukan makin naik, dan pastinya Azam beli mahal untuk diguna pakai sampai reput. Bestkah?

"Beli biasa sahaja nanti rosak cepat tukar baru. Itupun jika perlu sahaja. Tidak perlu tidak payah beli, utamakan anak-anak.

"Kita kena tahu apa perlu dan apa kita hendak. Bukan semua kita hendak itu perlu. Azam kena pandai bezakan. Nanti membazir. Itu satu pelaburan.”

Sambungnya lagi, “Kereta perlu ada 2. 1 pakai hari-hari. Cari kos maintenance rendah.

"1 lagi mahal sikit tak apa. Itu untuk jalan jauh. Bukan selalu. Jadi sekali

servis memang mahal cuma bukan selalu.”

Anak-anaknya dihantar ke kelas berenang, ping-pong dan macam-macam lagi. ‘Have fun‘ kata dia.

Nanti dia pandai ilmu saja tapi jadi budak pendiam. Takut jumpa orang sebab tidak ada sosial dan kemahiran.

Buat itu ini tidak pandai. Bijak saja tidak cukup zaman sekarang.

“Anak kita memang kena ada sijil SPM. Lepas itu kita sudah tetapkan siapa anak kita mahu jadi. Ambil itu belajar yang principal.

Kemahiran matematik itu mesti. Pergi hantar ‘private class‘. Belajar asas ‘education' untuk bidang anak kita mahu jadi apa nanti.”

Sungguh terkesan apabila mendengar tentang pelaburan diri mereka. Sanggup makan bubur dan belanja duit kepada yang sepatutnya.

Bagi pelajar cina, air masak terisi dalam botol besar memang tidak boleh tinggal dan mereka hanya makan di rumah.

Bila ditanya, katanya, “Kita tak suka lambat”.

"Sekolah dan sijil itu memang wajib ada. Tapi lepas itu kita belajar apa kita mahu jadi dan habiskan cepat.

"Mahal pun tidak apa. Kami kurang dapat bantuan. Pakcik, makcik semua tolong bagi duit.

"Nanti habis belajar bukan terus jadi bos. Kita pandai pun kena mula kerja daripada level kuli. Cari pengalaman.

"Tapi tidak akan kerja dengan orang sampai mati. Buka bisnes dan cari duit banyak-banyak untuk tolong anak-anak pakcik, makcik yang bagi kita pinjam duit dulu.”

Contoh sikap dan komitmen yang sangat luar biasa.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket


Tuesday, December 25, 2018

41 Jenis Buah-buahan Yang Boleh Dan Tidak Boleh Dimakan Ibu Berpantang

41 Jenis Buah-buahan Yang Boleh Dan Tidak Boleh Dimakan Ibu Berpantang

Ketika berpantang, ada banyak jenis makanan yang ibu-ibu baru bersalin patut makan untuk mengembalikan tenaga selepas melahirkan anak.

Buah dilarang ketika berpantang

Salah satu daripadanya adalah buah-buahan, yang semestinya bagus untuk ibu kerana ia merupakan sumber khasiat semula jadi.

Tetapi, bukan semua buah boleh memberikan kesan l yang positif kerana ada yang bersifat tajam atau sejuk dan memang tak sesuai untuk kesihatan wanita berpantang.

Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak, sebelum anda termakan, baik semak dulu buah mana yang selamat dan yang mana yang tak.

Buah yang boleh dimakan:
  • Anggur
  • Kurma
  • Oren
  • Epal merah
  • Strawberi
  • Peach
  • Prun
  • Kismis
  • Longan cina
  • Blueberry
  • Walnut

Buah-buahan ini berupaya untuk memulihkan kadar tenaga ibu dan menawarkan zat serta khasiat yang penting dan seimbang agar susu badan yang berkualiti dapat dihasilkan.

Buah yang berwarna terang seperti betik, anggur dan blueberry memang kaya dengan antioksidan yang boleh menguatkan jantung dan mengurangkan risiko kanser serta jangkitan.

Buah seperti oren yang mengandungi vitamin C pula dapat memulihkan semua tisu dalam badan ibu yang berpantang serta sebarang luka yang ada. Kalau boleh makan buah-buahan ini dua kali sehari.

Buah ketika berpantang

Buah yang tidak boleh dimakan:
  • Nenas
  • Limau
  • Buah lai
  • Tembikai susu
  • Tembikai merah
  • Tembikai cina
  • Kiwi
  • Epal hijau
  • Pear
  • Pisang
  • Jambu
  • Belimbing
  • Durian belanda
  • Mangga
  • Betik
  • Ciku
  • Langsat
  • Nangka
  • Cempedak
  • Pisang masak hijau
  • Pisang nangka
  • Pisang embun
  • Pisang udang
  • Ubi kayu
  • Ubi keladi
  • Sengkuang
  • Manggis
  • Macang
  • Kuinin
  • Binjai

Sebab-sebab sesetengah buah tak boleh dimakan adalah kerana mereka sejuk, tajam atau panas yang akan mengganggu proses pemulihan ibu yang baru bersalin.

Mereka juga terlarang kerana anda berpotensi untuk sakit tulang dan otot atau lemah sendi.

Mungkin ia tak boleh dirasai dalam masa terdekat, tapi ia semestinya akan memberi kesan pada masa depan.

Jika anda tak mengamalkan petua ini dengan betul, anda cenderung untuk mendapat penyakit seperti artritis dan rheumatisme. Hati-hati!

Walaupun jumlah buah yang tak boleh dimakan lebih banyak, ingatlah yang sesi berpantang ini sementara saja.

Kalau anda teringin sangat nak makan buah terlarang ini, bersabarlah ya!

p/s: Setiap orang tidak sama tindak balas badannya terhadap sesuatu jenis makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: theasianparent

Sunday, December 16, 2018

8 Nutrisi Dan Vitamin Untuk Kanak-kanak Yang Paling Penting

8 Nutrisi Dan Vitamin Untuk Kanak-kanak Yang Paling Penting

Walaupun ada ibu bapa yang memasak di rumah, namun mereka masih tidak lari daripada memilih bahan-bahan segera seperti makanan di dalam tin, pek segera atau pelbagai lagi makanan yang diawet. Justeru itu, bagaimanakah caranya anak-anak kita mendapatkan makanan yang berkhasiat?

Nutrisi Kanak-kanak

Hal ini menjadikan penyediaan makanan untuk kanak-kanak pada hari ini sebagai sesuatu yang rumit dan mencabar.

Perkara ini juga menyebabkan kebanyakan ibu bapa pada masa kini memilih untuk mengambil makanan tambahan kesihatan untuk kanak-kanak dengan harapan anak mereka mendapat zat dan nutrisi yang penting untuk perkembangan tumbesaran.

Perlukah makanan tambahan?

Makanan tambahan dapat membantu bagi memastikan kanak-kanak mendapatkan sokongan nutrisi yang mereka perlukan untuk membesar dengan sihat dan kuat. Dengan cara ini, kanak-kanak mendapat nutrisi yang diperlukan oleh tubuh mereka.

Makanan tambahan seperti multivitamin juga dapat membantu anak anda untuk mengurangkan risiko penyakit dan jangkitan selain membolehkan mereka cepat sembuh dari penyakit.

Terdapat pelbagai jenis makanan tambahan kesihatan yang dijual untuk kanak-kanak dan kesemuanya menawarkan fungsi yang berbeza mengikut jenis vitamin.

8 NUTRISI PENTING UNTUK KANAK-KANAK

1. Vitamin A

Baik untuk perkembangan normal kanak-kanak, selain membaiki tisu dan tulang, menyihatkan kulit dan mata serta bertindak balas kepada imunisasi badan.

2. Vitamin B

Vitamin B termasuklah Vitamin B2, B3, B6 dan B12, amat penting untuk menghasilkan tenaga dan membantu metabolisme badan.

3. Vitamin C

Amat penting dalam pembentukan otot dan tulang yang sihat untuk menghubungkan tisu dan kulit.

4. Vitamin D

Baik untuk pembentukan tulang dan gigi serta membantu penyerapan kalsium dalam badan.

5. Kalsium

Membantu dalam membina tulang yang kuat.

6. Zat besi

Membina otot dan penting dalam menghasilkan sel darah merah yang sihat.

Zat besi adalah amat penting untuk kanak-kanak khususnya kanak-kanak perempuan yang akan mengalami haid.

7. Omega-3

Sumber utama yang ada dalam minyak ikan ialah Omega-3 yang amat baik untuk otak.

Carilah minyak ikan yang mengandungi gabungan docosahexaenoic acid (DHA) dan eicosapentaenoic acid (EPA).

8. Probiotik

Probiotik mengandungi yis dan bakteria baik yang dapat memperbaiki jumlah mikro-flora dalam badan kanak-kanak.

Probiotik digalakkan diambil oleh kanak-kanak yang kerap mengalami masalah cirit-birit atau masalah pada penghadaman.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 100comments