Friday, July 13, 2018

7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam


Perbuatan merakam untuk mempertontonkan isteri saat bersabung nyawa ketika melahirkan anak adalah sangat tidak diajar serta tiada di dalam ajaran Islam kerana ia menjatuhkan maruah.

7 Sunnah Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam

Malangnya, ada dikalangan ibu bapa yang bertindak merakam saat ibu melahirkan anak kemudian dikongsikan kepada orang lain.

Kelahiran anak adalah merupakan suatu kebahagiaan tersendiri bagi ibu bapa.

Namun di sebalik kegembiraan, ia juga merupakan amanah yang harus dijaga dan dijalankan sesuai dengan kewajipan.

Dalam surah As-Syura, disebutkan bagaimana Allah memberikan anak-anak lelaki dan perempuan sebagai salah satu anugerah kepada siapa yang Dia kehendaki, yang maksudnya:

"Kepunyaan ALLAH-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa."

7 SUNNAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DALAM ISLAM

1. MENGAZANKAN BAYI DAN IQAMAH

Cara azan bayi baru lahir adalah pada telinga kanan bayi lelaki dan perempuan secara sederhana laungannya serta iqamah di telinga kiri.

Cuma tak perlu sungguh-sungguh berlagu panjang macam kat masjid, kasihan budak tu terkebil sejuk tengok muka bapak.

Kena pulak bapak yang azan bunyi macam takbir raya lagi syahdu.

Antara manfaat azan adalah menanamkan benih keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi.

2. MENTAHNIK

Mentahnik adalah meletakkan kurma yang telah dikunyahkan dan digosokkan ke lelangit bayi baru lahir.

Jika tidak mendapat kurma untuk mentahnik, maka boleh digantikan dengan yang makanan lain yang manis seperti madu.

Sebaiknya dari orang yang soleh seperti alim ulama.

Kalau bapak baru je lepas merokok atau vape walau perisa kurma sekalipun, please jangan buat. Pening budak tu. Dapat?

Dari Abu Musa Al-Asy’ari, ia berkata,

“Anak lelakiku baru saja lahir, lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Apabila sampainya di hadapannya, Baginda memberinya nama Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma dan memohonkan keberkatan baginya, setelah itu menyerahkan kembali bayi itu kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Antara doa yang Nabi SAW baca dan ditiupkan di ubun (kawasan lembut depan kepala bayi), "Ya Allah Engkau berilah kefahaman agama padanya dan Engkau ajarkanlah dia dengan ilmu al-Quran."

3. MENAMAKAN BAYI PADA HARI PERTAMA ATAU KE-7

Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.

Memberikan nama kepada anak seeloknya dibuat dengan memperhatikan makna dari nama tersebut, yang disebut dalam bahasa Arab. Bukannya sekadar mengikut trend.

Nama-nama yang dianjurkan adalah nama-nama malaikat, nama para nabi serta nama-nama mudah dan ringkas agar ia tidak mengelirukan dan membawa yg tidak elok.

4. MENCUKUR RAMBUT

Mencukur rambut sehingga licin sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil lelaki atau perempuan sebagai manusia dan hamba di sisi Allah.

Dari segi kesihatan, ia dapat membersihkan saki baki kotoran pada kepala bayi semasa di dalam rahim.

Rambut yang dicukur kemudiannya akan ditimbang dan disedekahkan dengan wang emas.

Hadis Rasulullah SAW melalui sabdanya, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama."

Hadis lain:

"Seorang anak itu bersama aqiqahnya, maka tumpahkan darah sembelihan dan bersihkanlah penyakit/kotoran (dari kepalanya).” (HR. Bukhori: 5471

Selalunya majlis kenduri aqiqah diadakan sekali dengan majlis mencukur rambut yang orang kita panggil ‘cukur jambul’.

Perlu diingat, sunnahnya adalah mencukur keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya.

Elakkan melakukan amalan adat seperti menggunakan buah kelapa, garam, beras dan bunga semasa mencukur rambut anak yang menyerupai budaya Hindu.

5. AQIQAH

Aqiqah adalah ibadah menyembelih haiwan sebagai tanda syukur kepada Allah atas bayi yang baru lahir.

Hukumnya adalah sunat muakkad. Bagi yang mampu, bolehlah melakukan ibadah ini buat bayi mereka dengan menyembelih dua ekor kambing bagi bayi lelaki jika mampu (1 ekor sekarang 1 ekor nanti pun boleh) dan 1 ekor kambing bagi bayi perempuan.

Ini selari dengan sebuah hadis,

Rasulullah bersabda, “Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) kerana kelahiran bayi maka hendaklah ia lakukan untuk laki-laki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing.” (Sanadnya Hasan, Hadis Riwayat Abu Dawud)

Tetapi jika ibu bapa tidak mampu melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh anak atau pada bila-bila masa atau dilakukan sendiri oleh anak apabila dewasa seandainya ibu ayah tidak dapat melakukannya.

6. BERKHATAN

Terdapat banyak kebaikan berkhatan dari segi kesihatan untuk lelaki mahupun perempuan.

Antaranya adalah mencegah penyakit berjangkit yang berkaitan dengan organ genital dan melindungi syahwat.

Ada beberapa hadis Nabi SAW dan pandangan ulama tentang usia yang sesuai untuk mengkhatankan anak lelaki.

Ada sebahagian besar ulama juga berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa anak lelaki meningkat umur baligh dan ada juga yang menganjurkan seawal kelahiran.

Contohnya dari Saidatina Aisyah berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (HR; Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

Bagi bayi perempuan pula, kebanyakan doktor berpendapat umur seawal mungkin adalah yang lebih sesuai.

Selalunya, pasangan akan membawa bayi mereka untuk disunat selepas selesai tempoh berpantang.

Meskipun ianya dikecam di sesetengah negara Barat, kita perlu faham bahawa apa yang disunnahkan oleh Islam adalah cara bersunat yang sekadarnya dan bukanlah berlebihan sehingga menyebabkan kesakitan melampau, apatah lagi kecacatan anggota.

Tujuan khatan perempuan untuk mengurangkan nafsunya dan memberikan kebaikan pada suaminya.

7. SUJUD SYUKUR

Melakukan sujud syukur merupakan salah satu tanda kesyukuran kepada Allah apabila dikurniakan sesuatu nikmat atau terlepas daripada bahaya.

Dari Abu Bakar RA, bahawa Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan Baginda terus sujud kepada Allah. (Riwayat Abu Dawud)

Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu.

Caranya Niat, Takbiratulihram, Sujud sekali dan ucap salam. Tanpa wuduk atau tanpa mengadap kiblat.

ELAKKAN PERBUATAN KHURAFAT

Di samping melakukan semua amalan ini, jangan lupa agar sentiasa memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan.

Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan termasuklah surah 3 Qul atau al-Fatihah.

Ibu bapa diingatkan agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis.

Boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.

MENGURUSKAN URI

Dibasuh, dibalut kain dan ditanam di tempat yang baik.

Tanpa perlu diletakkan bersama dengan paku, pensil, pendrive, kamus, laptop dan sebagainya dengan alasan nak elak gangguan jin atau mahukan supaya anak menjadi cerdik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siraplimau

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon