Saturday, April 27, 2019

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, Haiwan Yang Hampir Pupus

Sambutan Hari Tapir Sedunia, World Tapir Day disambut pada 27 April setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman kepupusan spesies ini termasuk Tapir Malaya kerana populasi Tapir Malaya (Tapirus Indicus) kian kritikal kesan dari aktiviti pembangunan yang pesat dan bilangannya terus merosot.

Gambar Tapir

Pada Disember tahun 2015 lepas, kerajaan Malaysia telah meminjamkan dua ekor Tapir Malaya kepada Kerajaan Jepun untuk tempoh 10 tahun menerusi Program Konservasi Tapir Malaya dan hasil program tersebut, seekor tapir jantan telah dilahirkan pada 14 Mac 2016 di Nagasaki Biopark, Jepun.

Tapir Malaya juga dikenali sebagai Badak Lampong, Tenuk atau Cipan merupakan spesis tapir terbesar di dunia dan spesis ini boleh didapati di Kemboja, Myanmar, Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Punca tapir hampir pupus

Jika menyebut soal tapir, umum sebelum ini mungkin hanya mendengar berita mengenai mamalia hitam putih itu yang kerap mati akibat dilanggar kenderaan.

Namun, tidak ramai menyedari haiwan dikenali sebagai Tapir Malaya itu hakikatnya tergolong daripada kumpulan spesies yang kian pupus berikutan jumlahnya hanya antara 1,200 hingga 1,500 ekor di seluruh Semenanjung ketika ini.

Spesies paling besar dalam keluarga tapir itu memiliki purata berat badan antara 300 hingga mencecah 540 kilogram (kg) dan satu-satunya versi yang memiliki warna berbelang apabila dewasa.

Haiwan Dilindungi

Tapir tidak tergolong sebagai haiwan yang diburu secara haram namun sudah dikelaskan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mamalia itu berperanan penting dalam ekosistem sebagai ejen penyebaran biji benih di dalam hutan tempatan.

Tenuk Malaysia

Tapir (Tenuk) Malaysia (Tapirus indicus), merupakan tapir terbesar di dunia dan hanya spesies tapirinilah satu-satunya berasal dari Asia. Nama saintifiknya berasal dari Hindia Timur yang bermaksud habitat semula jadi spesies.

Tapir Malaysia menetap di Asia Tenggara khususnya Malaysia, selatan dan bahagian tengah Sumatera (Indonesia), Myanmar (latitud selatan pada titik 18° U) dan Thailand (sepanjang sempadan barat hinggalah ke selatan sempadan Thailand-Malaysia.

Selain itu tapir turut kelihatan di kawasan selatan Kemboja dan Vietnam walaupun tiada pengesahan dibuat dan mungkin juga terdapat di Laos.

Tapir Malaysia hanya tinggal di kawasan pergunungan terpencil dan habitat asalnya sudah pupus akibat pemburuan manusia dan pembangunan.

Corak

Haiwan ini mudah dikenali berdasarkan coraknya iaitu putih dan hitam. Warna putih menyaluti dari bahagian bahu hinggalah ke bahagian punggung. Manakala selebihnya berwarna hitam kecuali hujung telinga di mana sepunya dengan spesies tenuk yang lain yang berwarna putih.

Corak sebegini amat berguna sebagai penyamaran di mana corak tersebut membuatkan ia sukar dikenalpasti sebagai tapir dan pemangsa mungkin mengecamnya sebagai batu yang besar lebih-lebih lagi jika tapir ini duduk telentang untuk berehat mahupun tidur.

Kitaran hidup

Musim mengawan berlaku pada bulan April hingga Jun. Tempoh kehamilan Tapir Malaysia ialah kira-kira 390 hingga 403 hari (lebih kurang 13 bulan), di mana anak pertamanya mempunyai berat sekitar 15 paun (6.8 kg).

Kebiasannya tapir betina akan melahirkan anaknya dengan purata 2 tahun sekali. Tapir Malaysia merupakan tenuk terbesar ketika lahir dan membesar lebih cepat berbanding spesies tapir yang lain.

Ketika muda, tapir ini tinggal bersama ibunya selama 6 hingga 8 bulan. Sama seperti spesies tapirmuda yang lain, tapir ini mempunyai bulu berwarna perang dengan bejalur putih dan berbintik-bintik di mana corak ni membolehkan mereka untuk berssembunyi dengan berkesan ketika berada di kawasan hutan yang kelihatan bertelau-telau cahayanya.

Perubahan warna tapir muda kepada perwarnaan tapir dewasa berlaku antara 4 hingga 7 bulan selepas lahir. Tempoh bercerai susu pula berlaku ketika berumur 6 hingga 8 bulan.

Tempoh kematangannya kira-kira 2.5 hingga 3.5 tahun. Tapir Malaysia mampu hidup lebih 30 tahun sama ada hidup dalam kurungan ataupun hidup liar.

Tingkah laku

Tapir Malaysia merupakan haiwan yang suka bersendirian dan mempertahankan kawasan daratan yang luas sebagai wilayahnya walaupun sebenarnya kawasan tersebut pernah dijajah oleh tenuk lain.

Tapir menandakan kawasan wilayahnya dengan mengencing atas tumbuh-tumbuhan terutama batang pokok dan biasanya meredah di kawasan semak.

Tapir ini merupakan haiwan vegetarian, makan pucuk yang lembut serta daun lebih daripada 115 spesies tumbuh-tumbuhan (terutama sekali 30 spesies yang diminatinya), bergerak perlahan meredah hutan dan berjenti sejenak untuk makan serta mengambil perhatian terhadap bau jejak yang ditinggalkan oleh tenuk lain di kawasan ini.

Bagaimanapun, apabila diancam atau takut, tapir mampu berlari pantas meskipun berbadan besar dan juga mempertahankan dirinya dengan cengkaman kuat serta gigi yang tajam. Tapir Malaysia berkomunikasi melalui decitan dan siulan.

Kebiasannya tapir ini lebih suka tinggal berhampiran sungai dan sering membersihkan diri dan berenang serta mempunyai kemampuan untuk memanjat cerun yang curam.

Tapir ini hanya aktif pada waktu malam walaupun tidak tergolong dalam kumpulan haiwan nokturnal. Selain itu, tapir lebih cenderung untuk makan selepas matahari terbenam atau sebelum matahari terbit dan semestinya makan sekejap pada tengah malam. Kelakuan sebegini tergolong sebagai haiwan krekuspul.

Variasi Brevetianus

Sebilangan kecil Tapir Malaysia melanistik telah dikenalpasti dengan seluruh badannya berwarna hitam. Pada tahun 1924, tapir terbabit telah dihantar ke Zoo Rotterdam, Belanda dan diklasifikasikan sebagai subspesies yang dikenali sebagai Tapirus indicus var. brevetianus selepas ditemui oleh Kapten K. Brevet.

Pada tahun 2000, dua ekor tapir melastik telah dikenalpasti ketika sedang membuat kajian tentang harimau di Hutan Simpan Jerangau di Malaysia.

Kemunculan variasi ini mungkin disebabkan oleh keabnomalan genetik di mana kejadian ini serupa dengan kemunculan harimau kumbang di dalam kawasan populasi jaguar bintik. Bagaimanapun, maklumat tentang brevetianus masih kurang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Wednesday, March 20, 2019

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian (Oral) Sedunia

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian (Oral) Sedunia

Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia diraikan bersama lebih 130 buah negara di seluruh dunia yang menjadi anggota Kesatuan Pergigian Sedunia atau World Dental Federation (FDI) pada 20 Mac setiap tahun.

Hari Kesihatan Pergigian Sedunia

Tujuan sambutan ini adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bagi menitikberatkan keperluan seseorang individu untuk memainkan peranan dalam menjaga kesihatan pergigian sepanjang hayat.

Kesihatan mulut yang baik adalah amat penting bagi menjamin kesihatan tubuh badan. Hakikatnya, masalah pergigian dan masalah penyakit kesihatan tertentu berkongsi faktor dan risiko yang sama, seperti tabiat pemakanan yang tidak baik.

Bersempena kempen tersebut, adalah penting untuk mengetahui mengenai penjagaan gigi, apa yang boleh dan tidak boleh.

Nampak mudah, tetapi jangan pandang sebelah mata kerana jika hilang satu gigi pun boleh jejaskan penampilan anda!

Awas terhadap makanan dan minuman yang boleh merosakkan gigi. Makan terlalu banyak gula dan pendedahan yang lama boleh merosakkan gigi.

Selain itu beberapa faktor lain juga boleh menyebabkan kerosakan gigi seperti:

1. Ais

Ais adalah penyejuk bukan untuk dikunyah. Mengunyah ais mampu merosakkan enamel gigi.

2. Sitrus

Sitrus seperti limau atau lemon adalah berasid dan pendedahan yang lama akan menyebabkan pereputan gigi.

3. Kopi

Kopi meninggalkan warna pada gigi selain daripada kandungan gula dalam kopi yang tinggi.

4. Makanan melekit

Kebanyakan jeruk kering adalah melekit yang mampu melekat lama pada gigi berbanding makanan lain.

5. Keropok

Contohnya seperti kerepek kentang yang tinggi kandungan kanji. Ia mudah menyaluti bahagian enamel gigi dan menyebabkan pembentukan plak gigi.

6. Air berkarbonat

Kuman plak menggunakan gula untuk membentuk asid dan menyerang lapisan gigi.

7. Alkohol

Alkohol menyebabkan dehidrasi dan mengeringkan mulut. Ini boleh mengakibatkan pereputan gigi, infeksi oral dan pembentukan kanser mulut.

8. Minuman isotonik

Minuman ini memberi kesan baik bagi atlet tetapi bukan pada yang tidak memerlukan. Ia mengandungi gula yang tinggi.

Langkah-langkah pencegahan:
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 1 jam selepas makan.
  • Banyak minum air kosong.
  • Berkumur selepas makan.

Kesimpulan

Kawalan penyakit pergigian perlu dilihat dari sudut yang lebih luas atau menyeluruh dan bukan secara berasingan agar promosi penjagaan kesihatan pergigian dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Ia juga penting dalam memastikan rakyat menyedari bahawa masalah penyakit pergigian adalah sebahagian daripada masalah kesihatan tubuh badan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, November 12, 2018

Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik

Sambutan Minggu Kesedaran Antibiotik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dunia kini sedang kehabisan antibiotik baharu untuk menentang ancaman kekebalan antimikrob yang semakin berkembang dan Malaysia juga turut terjejas serta perlu mengambil tindakan segera terhadap ancaman ini.

Bahaya kebal antibiotik

Menurut Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom, Profesor Dame Sally Davies, “Dunia kini sedang berdepan malapetaka antibiotik”.

Jika antibiotik kehilangan keberkesanannya, ia menandakan ‘berakhirnya ubatan moden’.

Melainkan tindakan diambil untuk menghentikan amalan yang membolehkan kekebalan antimikrob merebak dan cara ditemui untuk memajukan jenis antibiotik baharu, kita boleh kembali kepada hari yang rutin pembedahan, luka biasa atau jangkitan langsung boleh mendedahkan kepada ancaman sebenar kepada kehidupan, beliau memberi amaran.

Laporan WHO mengesahkan bahawa kebanyakan ubatan baharu pada masa kini dimajukan untuk mengatasi kekebalan antibiotik hanyalah penyelesaian jangka pendek.

Laporan itu mendapati beberapa pilihan rawatan berpotensi bagi mereka yang terdedah kepada jangkitan antibiotik mendedahkan ancaman terbesar kepada kesihatan, termasuklah batuk kering (TB) kebal antibiotik yang membunuh kira-kira 250,000 orang setiap tahun.

Kekebalan antimikrob (termasuk kekebalan bakteria, kulat, virus dan parasit) merupakan darurat kesihatan global yang akan membahayakan dengan serius kemajuan dalam ubatan moden,’

Sekitar 700,000 orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat jangkitan kekebalan antimikrob termasuk TB, HIV dan malaria.

Jika tiada tindakan diambil, adalah dianggarkan bahawa jangkitan kekebalan antibiotik akan membunuh 10 juta orang setiap tahun menjelang 2050.

Disebabkan kekebalan antimikrob (AMR) ‘tersembunyi’ orang hanya ‘membiarkannya berlalu begitu sahaja’.

AMR kini bersama kita, membunuh manusia. Jika ia sesuatu yang lain manusia akan berusaha bersama mengenainya.

Tetapi disebabkan ia tersembunyi mereka membiarkannya sahaja.

Ia hanya akan menjadi lebih teruk melainkan kita mengambil tindakan tegas di mana sahaja di seluruh dunia.

Ini merupakan kebimbangan global memandangkan mekanisme kekebalan baharu sedang muncul dan merebak di seluruh dunia, mengancam kemampuan untuk merawat penyakit jangkitan biasa, mengakibatkan penyakit berpanjangan, kecacatan dan kematian.

Tanpa ubatan berkesan untuk pencegahan dan rawatan jangkitan, prosedur perubatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser, pengurusan diabetes dan pembedahan seperti caesarean atau penggantian tulang pinggul menjadi amat berisiko.

Satu lagi masalah yang berkaitan ialah tiada kelas baharu antibiotik yang memasuki pasaran dalam tempoh 30 tahun terakhir.

Terdapat keperluan bagi model inovasi baharu yang memajukan antibiotik baharu yang mampu untuk diperoleh.

AMR meningkatkan kos penjagaan kesihatan

Menurut kajian yang dilakukan oleh kerajaan UK, AMR akan menyebabkan kos ekonomi dunia sehingga $100 trilion setahun.

AMR berlaku secara semula jadi dalam tempoh masa yang berlalu, biasanya melalui perubahan genetik bagaimanapun, penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antimikrob mempercepatkan lagi proses itu.

Contoh penyalahgunaan itu termasuklah apabila pesakit dengan jangkitan virus seperti demam selesema dan flu dipreskripsikan antibiotik atau amalan memberikan antibiotik kepada haiwan sebagai penggalakan pembesaran.

Sisa ubatan ini serta organisme kebal antibiotik ditemui dalam air, tanah dan udara. Ia boleh merebak antara manusia dan haiwan, dan daripada manusia kepada manusia.

Kawalan jangkitan yang lemah, keadaan sanitasi yang tidak mencukupi dan pengendalian makanan yang tidak sempurna menggalakkan lagi AMR.

Perhimpunan Kesihatan Dunia WHO mengakui bahawa AMR perlu ditangani menggunakan model ‘Satu Kesihatan’ yang mempromosikan koheren, komprehensif dan pendekatan bersepadu melibatkan aktor dan sektor yang berbeza seperti ubatan veterinar dan manusia, pertanian, kewangan, alam sekitar dan pengguna.

Tindak balas pelbagai sektor ini akan menjadi sebahagian dan bidang Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) oleh semua negara ahli WHO.

CAP menggesa kerajaan untuk:

1. Memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menangani kekebalan antibiotik. Komitmen politik yang kuat, pemilikan negara dan kemampuan institusi pelbagai sektor yang mencukupi penting bagi pelaksanaan NAP yang berkesan. Ia seharusnya melibatkan seberapa ramai ‘stakeholders’ seberapa yang boleh termasuklah NGO. NAP untuk Malaysia perlu terbuka untuk orang awam dan diberikan publisiti dengan meluas.

2. Memperbaiki pemantauan jangkitan kekebalan antibiotik. Sistem pemantauan bersepadu kebangsaan perlu dimasukkan sektor awam dan swasta dan ubatan veterinar, akuakultur, ternakan dan produknya, pertanian dan alam sekitar. Sistem pemantauan kebangsaan pengambilan antibiotik dalam semua sektor juga perlu dilaksanakan.

3. Mengukuhkan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan, contohnya pelaburan dalam infrastruktur kumbahan dan sanitasi terutama sekali menghapuskan antibiotik daripada air sisa buangan.

4. Menggubal dan melaksanakan dasar negara bagi penggunaan antibiotik yang wajar dan rasional.

5. Menggubal peraturan dalam preskripsi dan pemberian ubat dan penguatkuasaan.

6. Mengawal amalan pemasaran tidak beretika antibiotik dalam bentuk promosi dan insentif yang ditawarkan kepada pengamal perubatan, pergigian dan veterinar untuk meningkatkan jualan dan penggunaan.

7. Mendidik orang ramai berhubung bahaya penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik. Melibatkan NGO, media, sekolah, komuniti, profesional perubatan dan pengguna.

8. Mengukuhkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memasukkan kawalan ke atas pencemaran antibiotik dalam sistem air, rawatan sisa kumbahan, kumbahan, tanah dan partikel dalam udara.

9. Mengawal dan memantau penggunaan antibiotik dalam pengeluaran ternakan, akuakultur, pertanian dan hortikultur dan mengharamkannya dalam penggunaan bukan terapeutik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mk

Thursday, October 04, 2018

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week disambut pada 4 hingga 10 Oktober setiap tahun berikutan persefahaman yang dicapai pada persidangan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999.

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia, World Space Week

Permulaan minggu sambutan pada 4 Oktober adalah sebagai memperingati tarikh kejayaan manusia meneroka angkasa dengan pelancaran Sputnik 1, sementara 10 Oktober merupakan tarikh Outer Space Treaty di tandatangani.

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia juga adalah untuk meraikan kejayaan manusia meneroka angkasa lepas dan hasil daripada penerokaan tersebut telah memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh, satelit-satelit telah dihantar ke angkasa untuk mencerap permukaan muka Bumi, sebagai alat navigasi dan telekomunikasi yang kita gunakan setiap hari sepanjang masa.

Di Malaysia, sambutan Minggu Angkasa Sedunia adalah selaras dengan Teras ke Tujuh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang menekankan pembudayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan keusahawanan menerusi peningkatan program-program kesedaran dan penghayatan pembudayaan sains dan teknologi.

Di negara ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bertanggungjawab menganjurkan sambutan Minggu Angkasa Sedunia ini.

Adalah menjadi harapan, selepas ini agar lebih ramai rakyat Malaysia khususnya generasi muda, berminat untuk meneroka dan mempelajari faedah dan kepentingan teknologi angkasa dalam usaha membangunkan negara.

Selamat menyambut Minggu Angkasa Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 11, 2018

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day disambut pada 11 April setiap tahun bertujuan menyedarkan masyarakat dunia tentang penyakit Parkinson serta kesannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat.

Sambutan Hari Parkinson Sedunia, World Parkinson's Day

Ramai menganggap penyakit Parkinson sebagai penyakit biasa yang hanya dihidapi oleh golongan tua tetapi sebenarnya, individu semuda usia 23 tahun boleh menghidap penyakit Parkinson dan ia pernah berlaku di Malaysia.

Kira-kira 6 juta manusia di seluruh dunia menghidap Parkinson dan ketika ini masih tiada penawar bagi menyembuhkan penyakit tersebut dan rawatan yang ada sekarang, cuma untuk mengawal simptom berkenaan agar pesakit dapat menjalani hidup dengan lebih baik dan sempurna.

Penyakit Parkinson bukannya sejenis penyakit berjangkit. Ia adalah keadaan di mana daya kawalan otot seseorang merosot dengan teruk sehinggakan penghidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri.

Malangnya, kesedaran mengenai penyakit itu di kalangan rakyat Malaysia masih rendah sekali gus menyumbang kepada diagnosis lewat atau tidak lengkap dan sikap itu membuatkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk kerana tidak mendapat ubat dan rawatan lebih awal.

Parkinson merupakan salah satu daripada penyakit paling kurang diketahui di Malaysia dan tanggapan umum bahawa ia hanya menyerang golongan warga emas adalah salah.

Usia, kaum dan jantina tidak menjadi penghalang kepada Parkinson untuk menyerang seseorang dan antara 5 hingga 10 peratus daripada pesakit menunjukkan simptom-simptom sebelum usia 40 tahun.

Pengesanan awal adalah penting bagi memastikan pesakit menerima terapi secukupnya bagi menyekat penyakit itu daripada terus merebak.

4 Tanda dan Simptom utama Parkinson
  1. Menggeletar (pada jari, tangan, kaki, rahang dan / atau muka)
  2. Kaku pada anggota badan (tangan, kaki dan / atau tubuh badan – Rigidity)
  3. Pergerakan badan yang perlahan (Bradykinesia)
  4. Masalah ketidakseimbangan postur dan kordinasi badan yang boleh mengakibatkan jatuh.

Simptom awal mungkin tidak jelas. Apabila penyakit bertambah serius simptom ini akan mempengaruhi aktiviti kehidupan harian.

Setakat ini tiada pemeriksaan makmal untuk diagnosa penyakit ini.

Komplikasi

Fizikal
  • Jatuh
  • Pening /Ketidakseimbangan apabila posisi badan berubah secara tiba-tiba.
  • Sembelit
  • Kesukaran penelanan (dysphagia)
  • Kesukaran pertuturan (dysarthria)
  • Kegagalan kawalan pundi kencing dan saluran perkumuhan
  • Kudis tekanan
  • Turun berat badan

Psiakiatri
  • Masalah emosi seperti:
  • kemurungan
  • keresahan

Fungsi otak terjejas seperti:
  • Ingatan
  • Proses pemikiran
  • Kewarasan membuat keputusan
  • Pertimbangan
  • Tanggapan / persepsi
  • Masalah tidur

Sosial
  • Kehilangan kebolehan berdikari, pengasingan dan stres penjaga

Rawatan

1. Rawatan Bukan Ubat-ubatan

Pengendalian penyakit ini melibatkan kepakaran dari pelbagai bidang seperti:
  • Doktor
  • Jururawat
  • Jurupulih anggota
  • Jurupulih bahasa dan pertuturan
  • Pakar psikologi/psiakatri
  • Pegawai farmasi
  • Pegawai kebajikan perubatan

Ia juga melibatkan pendidikan pesakit dan keluarga, perkhidmatan kumpulan sokongan dan amalan cara hidup sihat (senaman dan pemakanan)

2. Rawatan Ubat-ubatan

Tiada rawatan untuk Penyakit Parkinson. Ubat-ubatan (dan pembedahan untuk kes tertentu) hanya boleh melegakan simptom.

Pencegahan

Punca sebenar tidak diketahui.

Rehabilitasi

Rehabilitasi melibatkan kepakaran dari pelbagai bidang adalah penting untuk pengendalian penyakit ini.

Kumpulan Sokongan
  • Malaysian Parkinson’s Disease Association (www.mpda.org.my)
  • Parkinson’s Disease Society (www.parkinsons.org.uk)
  • National Parkinson Foundation (www.parkinson.org)
  • Drug Science (www.drugscience.org/parkinsons)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Thursday, April 05, 2018

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day disambut setiap tahun diseluruh dunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan sains dan merapatkan jurang antara sains dan masyarakat dengan menampilkan pelbagai program berasaskan “sains” yang menarik dan interaktif.

Sambutan Minggu Sains Negara, World Science Day

Minggu Sains juga disambut oleh beberapa buah negara seperti Afrika Selatan, Republik Rakyat China, Kanada, Norway dan United Kingdom, manakala negara seperti India dan Thailand memperuntukkan satu hari sahaja bagi sambutan hari sains.

Penganjuran program Minggu Sains adalah selari dengan sambutan World Science Day yang dianjurkan oleh United Nations Organization for Education, Science and Culture (UNESCO) semenjak tahun 2002.

TUJUAN SAMBUTAN

Minggu Sains Negara diharap dapat meningkatkan kesedaran dan kepentingan STI kepada semua lapisan rakyat Malaysia.

Secara tidak langsung, program Minggu Sains ini akan meningkatkan pembangunan modal insan dan menarik minat pelajar untuk memilih bidang dan jurusan STEM sebagai kerjaya serta mengiktiraf sumbangan saintis, ahli akademik serta individu dalam mempromosikan sains.

Program Minggu Sains ini juga diharap mampu memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya STI dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Minggu Sains Negara ini dapat dijadikan sebagai salah satu aktiviti dan pendekatan strategik dalam usaha meningkatkan minat para pelajar terhadap STEM.

Program Minggu Sains ini juga diharapkan dapat memenuhi hasrat Kerajaan untuk mencapai Dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar memilih aliran sains dan teknikal berbanding 40 peratus pelajar sastera.

Dasar ini berperanan bagi menyediakan modal insan berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang STEM yang mencukupi pada masa hadapan.

SASARAN

Pelbagai lapisan masyarakat seperti pelajar (sekolah, siswazah pusat pengajian tinggi), pendidik, saintis, belia, sektor awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Selamat menyambut Minggu Sains.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mosti

Friday, March 23, 2018

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day disambut pasda 23 Mac setiap tahun bagi menekankan kepentingan pengetahuan dan kefahaman masyarakat mengenai cuaca dan iklim dalam memastikan mereka sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang bencana atau ancaman dari perubahan cuaca dan iklim.

Sambutan Hari Meteorologi Sedunia, World Meteorological day

Hari Meteorologi Sedunia disambut setiap tahun oleh seluruh komuniti meteorologi di 191 buah negara anggota Pertubuhan Meteorologi Sedunia (World Meteorological Organisation - WMO).

Dari segi pertanian, cuaca merupakan aspek penting yang perlu diutamakan, nelayan juga memerlukan maklumat bagi mengetahui ramalan cuaca semasa bagi membantu mereka melaksanakan kerja seharian mereka.

Fenomena alam seperti puting beliung, ribut petir, taufan dan angin kencang merupakan kesan daripada perubahan iklim serta pemanasan global yang tidak boleh diramal kerana Malaysia masih belum mempunyai kepakaran mengenainya.

Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha membawa pakar dari luar negara untuk melatih lebih ramai pegawai cuaca tempatan mengenai kaedah terbaik untuk membuat ramalan tentang puting beliung.

Malaysia juga boleh menghantar pegawai ke luar negara yang mempunyai ramai pakar, pengalaman serta peralatan canggih berkaitan puting beliung dan lain-lain bencana alam.

Melalui sambutan Hari Meteorologi ini, negara anggota Pertubuhan Metereologi Sedunia mampu merangka pelan tindakan dan mitigasi untuk menghadapi perubahan iklim.

Aplikasi RakanMET

Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengambil inisiatif memperkasakan sistem penyampaian bencana alam dengan membangunkan aplikasi RakanMET yang berasaskan laman web.

Melalui aplikasi RakanMET, orang ramai boleh melaporkan kejadian atau fenomena cuaca di tempat mereka untuk disebarkan termasuk pihak berkuasa.

Selain itu, ia berperanan sebagai medium komunikasi dua hala antara orang awam dan jabatan bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat.

MetMalaysia turut menawarkan "myCuaca" iaitu aplikasi telefon pintar yang menyediakan ramalan dan amaran cuaca harian, gempa bumi dan tsunami serta imej terkini bagi satelit dan radar.

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apps Store secara percuma; myCuaca.

Selamat menyambut Hari Meteorologi Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, March 21, 2018

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day disambut pada 21 Mac setiap tahun yang diasaskan dari sambutan Hari Nyepi masyarakat Bali di Indonesia sebagai acara untuk mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran gas rumah hijau yang mencemarkan bumi.

Sambutan Hari Senyap Sedunia, World Silent Day

Tradisi sambutan Nyepi di Bali ini kini ditawarkan kepada masyarakat global sebagai penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Tarikh 21 Mac dipilih kerana Equinox Utara dan Hari Hutan Sedunia, yang dikaitkan dengan Hari Air Sedunia pada 22 Mac, melambangkan kehidupan.

Walaupun anda mungkin tidak mampu duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti, anda dicadangkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit atau mengelakkan memandu motosikal atau kereta.

Sambutan Hari Senyap Sedunia adalah kempen untuk mengurangkan aktiviti yang menghasilkan gas rumah hijau, gas yang kita tahu boleh mencetuskan pemanasan global dan perubahan iklim.

Ingatlah 3 langkah mudah ketika menyambut Hari Senyap Sedunia:
  1. 21 Mac setiap tahun.
  2. Hanya empat jam antara 10 pagi hingga 2 petang.
  3. Matikan peralatan elektronik, kurangkan penggunaan kenderaan bermotor dan aktiviti yang menggunakan sumber semula jadi, menanam pokok, mengukuhkan hubungan dengan keluarga, rakan sekerja dan jiran-jiran.

Selamat menyambut Hari Senyap Sedunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM