Monday, August 17, 2020

Apa Itu Covid-19 'Super Spreader' (D614G )?

Apa Itu Covid-19 'Super Spreader' (D614G )?

Mutasi sentiasa berlaku secara semula jadi dan rawak, manakala kebanyakan mutasi tidak memberi apa-apa kesan walaupun ada juga yang mengancam organisma yang menjadi hosnya, bagaimanapun sebilangan kecil mutasi boleh memberikan kelebihan besar dan pantas menjadi varian yang dominan.

Mutasi D614G

Itulah yang berlaku kepada virus SARS-CoV-2 yang menjadi punca kepada Covid-19 menerusi mutasi yang dinamakan sebagai D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengumumkan bahawa mutasi itu dikesan dalam sampel yang diambil daripada beberapa pesakit dalam kluster Sivagangga dan Bukit Tiram.

Beliau menggesa semua pihak lebih berwaspada memandangkan mutasi itu menyebabkan virus Covid-19 sepuluh kali ganda lebih mudah menjangkiti individu lain.

Kenali D614G
Covid-19 Cell

Untuk menjangkiti sel manusia dan akhirnya menyebabkan wabak Covid-19, virus SARS-CoV-2 bergantung kepada 'spike protein' (S-protein) pada permukaannya untuk menempel pada sel.

Dalam model 3D virus tersebut, S-protein digambarkan sebagai objek berbentuk piramid terbalik (warna merah) yang melekat pada permukaan virus.

Sebaik saja virus melekat pada permukaan sel, ia akan masuk ke dalamnya dan memulakan proses jangkitan.

Nombor 614 merujuk kepada tempat spesifik (i.e "codon") dalam bahagian kod genetik virus yang mengaturkan bentuk dan fungsi S-protein.

Dalam kes ini, codon 614 pada asalnya adalah kod untuk penghasilan asid amino yang dikenali sebagai asid aspartik (dipendekkan sebagai "D"), untuk dihasilkan dalam lokasi khusus dalam struktur S-protein.

Mutasi D614G membuatkan kod tersebut sebaliknya menghasilkan satu lagi asid amino, dikenali sebagai glycine (dipendekkan sebagai "G").

Mutasi ini nampaknya muncul tidak lama selepas SARS-CoV-2 mula menjangkiti manusia pada akhir tahun 2019 lalu dan telah disedari para saintis.

Bagaimanapun kesannya baru jelas mutakhir ini dengan varian D614G menjadi kian meluas di seluruh dunia.

Bila mutasi ini muncul?

Covid-19 S-protein

Saintis telah menerbitkan kod genetik virus SARS-CoV-2 daripada sampel yang dikumpul di seluruh dunia sejak wabak Covid-19 mula menular.

Berdasarkan maklumat ini, mereka dapat menyusun "salasilah" virus dengan generasi SARS-CoV-2 tersebar di seluruh duni.

Pada peringkat awal penularan, iaitu pada akhir 2019 di China, sampel virus telah mengandungi viarian 614D. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya satu generasi virus yang seterusnya bertukar kepada varian 614G pada Januari tahun 2020.

Beberapa sampel terawal yang mengandungi mutasi D614G dikumpul pada akhir bulan tersebut. Sampel-sampel ini diambil daripada pesakit yang dijangkiti Covid-19 di negara seperti China, Arab Saudi dan Jerman.

Di Malaysia, salah satu sampel terawal yang diketahui setakat ini diambil daripada seorang wanita berusia 30 tahun pada 30 Mac 2020, yang mendapat jangkitan di Kuala Lumpur.

Sampel itu diambil pada 30 Mac tetapi hanya dimasukkan dalam laman nextstrain.org - yang boleh diakses semua - pada minggu lalu (pertengahan Ogos 2020).

Laman itu menggunakan pangkalan data jujukan genetik SARS-CoV-2 untuk mengesan penularannya di seluruh dunia.

Bagaimanapun tidak seperti di seluruh dunia, mutasi D614G tidak menjadi varian virus yang dominan di Malaysia.

Berdasarkan data dalam nexstrain.org, hanya satu daripada sepuluh sampel di Malaysia membawa mutasi itu, sementara bakinya membawa gen asal iaitu 614D.

Bagaimanapun, perlu dinyatakan bahawa penjujukan genetik bagi virus ini merupakan usaha yang memerlukan ketelitian dan hanya dibuat terhadap sejumlah kecil daripada 9,175 kes Covid-19 di Malaysia, sebelum dimasukkan ke laman itu.

Maka, data yang ada tidak semestinya memberi gambaran lengkap terhadap keadaan genetik Covid-19 di Malaysia.

Apa kesan mutasi?

Pada mulanya, varian asal iaitu 614D adalah venis dominan bagi virus ini, tetapi varian 614G kemudian menjadi kian menular di banyak negara seperti di benua Eropah, Amerika dan Afrika.

Terdapat dua hipotesis tentang bagaimana ia boleh berlaku.

Pertama - secara kebetulan, varian 614G berada di tempat yang betul di masa yang tepat untuk menjadi dominan menerusi penularan meluas di Eropah awal tahun 2020. Ia kemudian tersebar di negara-negara lain dan segera mengatasi varian 614D.

Satu lagi hipotesis ialah mutasi D614G memberikan kelebihan tertentu yang menjadikan virus lebih mudah berjangkit.

Walaupun belum ada jawapan muktamad untuk persoalan ini, ada banyak bukti yang menyokong hipotesis kedua.

Satu draf jurnal pada 4 Ogos 2020 melihat varian 614D dan 614G secara lebih mendalam dan menyimpulkan kluster Covid-19 yang berkaitan dengan varian 614G cenderung merebak dengan lebih meluas.

Satu draf jurnal bertarikh 12 Jun 2020 pula mendapati mutasi tersebut menjadikan S-protein lebih stabil dan lebih mudah untuk menempel pada sel manusia.

Jurnal yang diterbitkan dalam jurnal Cell pada 2 Julai 2020 mendapati pesakit yang memiliki varian 614G turut memiliki virus tersebut dalam jumlah yang lebih banyak, menyebabkan pesakit itu lebih mudah menjangkiti orang lain.

Bagaimanapun, kajian-kajian ini - dan juga beberapa lagikajian lain - tidak menunjukkan mutasi tersebut memburukkan keadaan pesakit dan meningkatkan kebarangkalian maut.

Namun perlu dinyatakan bahawa wabak yang menular dengan lebih cepat meningkatkan risiko sistem penjagaan kesihatan berdepan kes yang jauh lebih banyak sehingga menjejaskan keupayaan untuk menjaga setiap pesakit, termasuk mereka yang tidak dijangkiti Covid-19.

Adakah vaksin semasa mampu atasinya?

Ketika mutasi D614G dalam peringkat awal peningkatannya, sejumlah saintis telah menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh menjadikan vaksin yang sedang dikaji tidak dapat melawannya.

Namun beberapa bulan kemudian, antibodi yang dihasilkan oleh pelbagai vaksin Covid-19 didapati menyasarkan bahagian berbeza pada S-protein yang tidak mengalami perubahan dek mutasi yang berlaku.

Satu jurnal yang diterbitkan dalam Cell pada 17 Julai 2020 membandingkan lebih seratus varian virus SARS-CoV-2 dan mendapati D614G lebih tahan terhadap antibodi, seperti yang mungkin dihasilkan oleh vaksin atau pesakit yang sembuh.

Draf jurnal bertarikh 24 Julai mendakwa vaksin yang sedang dibangunkan Pfizer dan BionNTech dapat menghasilkan antibodi yang berkesan untuk melawan 17 varian SARS-Cov-2, termasuk yang mengalami mutasi D614G.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, July 23, 2020

Cara Pakai Topeng Muka Yang Betul Menurut Pakar Kesihatan

Cara Pakai Topeng Muka Yang Betul Menurut Pakar Kesihatan

Dengan berlakunya penyebaran wabak Coronavirus yang kini merebak ke seluruh dunia, seorang pakar dari World Health Organization (WHO) Collaboration Centre, Seto Wing Hong tampil memberitahu cara yang betul untuk memakai 'face mask' ataupun topeng muka.

Pakai topeng muka

Dalam satu video yang dikongsikan oleh Bloomberg di laman Facebook QuickTake by Bloomberg, Wing Hong mendemonstrasikan cara pemakaian tersebut dengan beberapa langkah penting yang perlu diambil.

Ini langkah-langkah yang telah dikongsikan doktor tersebut dalam video dibawah;

1. Anda mestilah mempunyai topeng muka yang betul. (Sambil menunjukkan topeng yang ada di tangannya sebagai topeng yang betul)

"Ia berwarna biru di luar kerana ia kalis air. Dan ia mempunyai bahagian berwarna putih yang menyerap. Jadi jika saya batuk, ia akan menyerap," katanya.

2. Kemudian, anda perlu memakainya begini. Dengan bahagian yang berwarna biru di hadapan dan bahagian berwarna putih berada di dalam (menghadap mulut).

3. Pastikan 'strip' di bahagian paling atas menutup bahagian hidung dan menarik bahagian bawah topeng sehingga menutup dagu.

Ini katanya adalah bagi mengelakkan topeng terbuka ketika sedang menggunakannya.

4. Membuang face mask yang telah dipakai juga adalah sangat penting menurutnya.

"Bila anda memakai topeng, anda harus ingat ia adalah kotor. Jadi bila anda ingin mengalihkan atau membuangnya, jangan sentuh topeng tersebut," jelasnya.



Beliau juga mengingatkan penonton agar membasuh tangan selepas membuang face mask yang telah dipakai.

Bagi anda yang masih mengalami masalah untuk mengikuti cara pemakaian face mask yang betul, di bawah ini juga ada disediakan langkah-langkah yang telah disediakan oleh laman Facebook Public Health Malaysia.

Cara pakai topeng muka

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Kasih Anak Kepada Ibu Yang Di Jangkiti Covid-19

Kasih Anak Kepada Ibu Yang Di Jangkiti Covid-19

Seorang anak lelaki, Jihad Al- Suwaiti, sanggup memanjat dan duduk ditepi tingkap sebuah hospital demi mahu memastikan ibunya yang dijangkiti COVID-19, mendapat penjagaan dan perhatian sebaik mungkin, menyentuh hati ramai pengguna media sosial.

Jihad Al- Suwaiti

Lelaki berusia 30 tahun dari Hebron, Palestin, itu dilaporkan berada di situ selama berjam-jam setiap hari, sehinggalah ibunya, Rasma Salama, menghembuskan nafas terakhir, Khamis lalu (16/7/2020).

"Dia memanjat saluran paip untuk membolehkan dia memantau ibunya yang di tempat di tingkat dua hospital ini.

"Dia menghabiskan hampir keseluruhan harinya di situ, memerhatikan keadaan ibunya dari luar tingkap, sebelum turun apabila yakin ibunya sudah tidur lena," kata seorang pegawai hospital seperti yang dilaporkan portal berita Al Araby.

Jihad Al- Suwaiti

Abang Jihad, Rasmi, memberitahu media, biarpun dilarang berbuat demikian oleh pihak hospital atas faktor keselamatan, adiknya itu tetap berdegil.

"Jihad anak bongsu dan memang rapat dengan ibu, apatah lagi selepas kematian bapa kami 15 tahun lalu.

"Ibu menghidap leukimia dan disahkan dijangkiti COVID-19 beberapa minggu lalu. Ketika dimaklumkan tentang kematian ibu, Jihad marah dan tidak percaya.

"Tetapi kini dia nampaknya sudah boleh terima kenyataan," ujar Rasmi.

Saksikan video di YouTube.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Wednesday, July 22, 2020

Bahaya Letak Face Mask Di Bawah Dagu, Jangan Lakukan!

Bahaya Letak Face Mask Di Bawah Dagu, Jangan Lakukan!

Topeng muka ataupun face mask kini hampir menjadi perkara yang wajib ada bersama kita ketika ini terutamanya apabila keluar dari rumah dan berada di tempat awam, demi untuk kebaikan kepada nyawa masing-masing dalam usaha berterusan mencegah bahaya Covid-19.

Face Mask Di Bawah Dagu

Walaupun masih ada sebilangan kecil yang enggan mematuhi saranan tersebut namun sebahagian besar masyarakat kita dilihat sudah terbiasa dengan pemakaian pelitup muka di musim penularan COVID-19.

Bagaiamanapun, tahukah anda pemakaian penutup muka bukan sahaja mempunyai caranya yang betul namun turut mempunyai 'pantang larang' seperti yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham di akaun media sosialnya.

Dalam kiriman itu Dr Noor Hisham menasihati mereka yang gemar menurunkan topeng muka ke bahagian dagu ketika melakukan aktiviti seperti makan dan minum yang memerlukan mereka membuka face mask tersebut.

"Sama ada anda memakai pelitup muka dengan betul atau alihkan kesemuanya," tulis beliau sambil berkongsikan poster yang menerangkan kenapa topeng muka tidak boleh diturunkan ke bahagian dagu.

Poster tersebut yang bertajuk, "Jangan Turunkan Topeng Muka Anda Ke Bahagian Dagu" itu menceritakan dengan ringkas kenapa perbuatan tersebut tidak boleh dilakukan.

Topeng muka yang diturunkan terutama yang berada di bahagian dalam akan tercemar kerana bersentuhan dengan bahagian tekak yang telah terdedah.

Ia akan bertambah teruk apabila bahagian dalaman topeng muka yang bersentuhan itu dinaikkan kembali dan menutupi bahagian mulut dan hidung.

Anda boleh fikirkan sendiri bagaimana kedua-dua bahagian hidung dan mulut boleh dijangkiti virus, kuman dan bakteria yang telah melekat di topeng muka tadi.

Jadi, kepada anda yang sering menurunkan topeng muka sebelum ini, mungkin pesanan daripada ketua pengarah kesihatan ini akan mengubah cara pemakaian face mask anda.

Abaikan saranan yang telah diberikan oleh pakar ini dan jadikan pemakaian topeng muka anda hanya sia-sia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Thursday, July 16, 2020

Covid-19 Mampu Terapung Di Udara!

Covid-19 Mampu Terapung Di Udara!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (7 Julai 2020) mengatakan bahawa ia akan mengkaji bukti baharu mengenai penularan COVID-19 melalui udara, susulan sekumpulan saintis antarabangsa menyimpulkan bahawa virus itu boleh merebak lebih daripada dua meter.

Covid-19 Mampu Terapung

Organisasi itu akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat, mengumpulkan pengetahuan mengenai bagaimana virus itu dapat disebarkan dan memastikan petunjuknya sesuai dengan bukti.

Garis panduan jarak fizikal sejauh dua meter telah menjadi faktor utama dalam memerangi pandemik COVID-19, yang telah membunuh lebih 538,000 orang dan menjangkiti lebih 11.6 juta sejak wabak itu muncul di China pada Disember 2019 lalu.

Sekumpulan 239 saintis antarabangsa pada Isnin mendakwa COVID-19 merebak di udara sejauh dua meter.

Apabila orang yang dijangkiti menghembus nafas, mereka mengeluarkan titisan dan titisan yang berukuran di bawah lima mikrometer mampu terapung di udara selama beberapa jam dan bergerak hingga puluhan meter, kata mereka.

Ketua Teknikal WHO, Benedetta Allegranzi, memberitahu sidang media maya, "Kami mengakui bahawa ada bukti yang muncul di bidang ini.

"Oleh itu, kami percaya bahawa kami harus terbuka terhadap bukti ini dan memahami implikasinya terhadap kaedah penularan dan juga mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil," katanya.

Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, mengatakan bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sedang menghasilkan satu dapatan ilmiah yang menggabungkan penemuan dan pengetahuan mengenai kaedah penularan.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan bahawa wabak itu tidak menunjukkan tanda- tanda untuk berkurangan.

Dunia mengambil masa 12 minggu untuk mencapai 400,000 kes COVID-19 pertama.

"Wabak itu semakin cepat dan jelas kita belum mencapai puncak wabak," kata Tedros.

SAINTIS TEMUI COVID-19 DALAM TITISAN KECIL DI RUANG UDARA

Covid-19 Terapung Di Udara

Sebelum ini, sekumpulan ahli saintis China mendakwa berjaya mengenal pasti petunjuk genetik berhubung kewujudan COVID-19 dalam titisan di ruang udara, sebahagian besarnya memiliki diameter lebih kecil dari satu perseribu setiap inci.

Mereka berjaya mengesan titisan kecil mengandungi petunjuk genetik COVID-19 dalam ruang udara di dua hospital di Wuhan, China dan penemuan kajian itu telah diterbitkan dalam jurnal Nature pada penghujung April 2020 yang lalu.

Tidak dapat dipastikan jika sampel virus yang diambil itu boleh berjangkit, namun titisan terbabit adalah amat kecil, dikeluarkan menerusi pernafasan dan percakapan, serta boleh terapung atau disedut individu lain.

Ia akan kekal terapung di ruang udara sekurang-kurangnya selama dua jam dan kami mendapati ada potensi virus ini disebarkan melalui udara, kata Linsey Marr, profesor kejuruteraan awam dan alam sekitar di Virginia Tech, yang tidak terbabit dengan akhbar Nature.

Marr dan ramai lagi saintis berkata, bukti bahawa COVID-19 disebarkan oleh titisan kecil dikenali sebagai aerosol semakin bertambah.

Malangnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menolak kemungkinan berkenaan dan berkata, Covid-19 sebahagian besarnya disebarkan menerusi titisan lebih besar, selain tidak berada di ruang udara untuk tempoh lama atau menerusi sentuhan pada permukaan tercemar.

Wabak Baharu Lebih Bahaya Dari Covid-19, 1772 Kematian Di Kazakhstan

Sekiranya awal tahun 2020 ini kehadiran wabak COVID-19 sudah cukup membuatkan ramai orang meninggal dunia serta menjadi mangsa, kini selang beberapa bulan timbul pula sebuah virus baharu yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19, sekali lagi dari China.

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan Kedutaan Besar China di Kazakhstan, penularan virus baharu ini bakal memberi kesan kepada radang paru-paru mangsa sekali gus meningkatkan jumlah pesakit penumonia di kawasan sekitar tanpa sedar.

Apa yang lebih merisaukan, angka kematian daripada serangan virus ini dilaporkan lebih tinggi daripada wabak COVID-19.

Berdasarkan penularan virus baharu yang dikenali, pihak jabatan kesihatan di Kazakhstan sedang berusaha keras membuat kajian namun masih belum dapat mengenal pasti secara terperinci.

Setakat Jun sahaja, negara Kazakhstan telah menyaksikan 1,772 kematian berikutan masalah melibatkan radang paru-paru sepanjang enam bulan pertama tahun ini dimana separuh daripadanya berlaku pada bulan Jun sekali gus menunjukkan peningkatan penyakit radang paru-paru disebabkan kehadiran virus ini.

Berdasarkan isu yang sedang berlaku, Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menasihatkan orang ramai di kawasan sekitar untuk berhati-hati bagi mengelakkan daripada penularan wabak baru ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Thursday, June 25, 2020

Kenapa Amerika Syarikat Negara Paling Teruk Diserang Virus Korona?

Kenapa Amerika Syarikat Negara Paling Teruk Diserang Virus Korona?

Amerika negara terkaya dalam dunia, hospital dan klinik tercanggih, memiliki pakar perubatan yang ulung. Bomoh dan tabib – kelas dunia tinggal di Amerika Syarikat. Hospital dan klinik lengkap dengan peralatan terbaru yang canggih-manggih. Universiti dan sekolah perubatan Amerika tersohor. Kaji selidik ilmu perubatan dan ilmu bidang sains terunggul dalam dunia, berpusat di sana.

AS Covid-19

Fakta menunjukkan seramai 336 warga Amerika adalah pemenang Hadiah Hadiah Nobel semenjak tahun 1901. Dari jumlah ini seramai 94 orang memenangi hadiah dalam bidang fisiologi dan perubatan.

Tetapi, kenapa Amerika Syarikat menjadi negara paling teruk diserang oleh korona. Serangan pandemik kali ini membuktikan Amerika tercorot dalam bidang menyelamatkan warga. Tercorot dalam bidang kesihatan awam. Apakah darah warga Amerika lebih enak untuk dibaham oleh Mat Korona. Tidak. Jawapannya ialah sistem.

Kematian dan statistik yang menonjol ini adalah manifestasi dari satu sistem. Untuk memahami persoalan Covid-19 dan pandemik ini kita wajib memahami apa sistem yang diguna pakai oleh Amerika Syarikat. Kita wajib memahami sistem ekonomi Amerika.

Pandemik Covid-19 ini telah memaksa dunia untuk mula berbincang tentang sistem perubatan awam. Berbincang tentang sistem kesihatan untuk rakyat teramai. Melalui perbincangan tentang kesihatan awam maka dengan sendirilah terbuka luas perbincangan tentang sistem ekonomi.

Pada ketika ini seluruh dunia sedang berbicara tentang sistem ekonomi. Kalau dahulu hanya kaum Marxis, kaum Sosialis dan kaum kerabat kiri sahaja yang membincang dan menimbulkan wacana tentang sistem ekonomi. Kali ini perbualan dunia ialah sistem, sistem dan sistem.

Virus korona telah memaksa warga dunia untuk memahami bahawa di belakang kehidupan moden hari ini wujud satu sistem. Budaya, gaya hidup, nilai, kepercayaan, moral dan semua ciri kehidupan kita hari ini adalah manifestasi dari satu sistem.

Sistem ini ialah sistem ekonomi kapitalis. Apakah dia yang dipanggil sistem ekonomi kapitalis?

Sistem ekonomi kapitalis muncul sesudah runtuhnya sistem feudal, yang menobatkan raja sebagai punca kuasa. Semua kuasa dimiliki dan berpusat kepada istana dan raja. Orang ramai bekerja untuk raja. Tanaman, buah-buahan, ternakan ayam, itik, kambing lembu boleh diambil oleh raja bila bila masa sahaja. Malah anak dara dan isteri sendiri pun boleh dirembat oleh raja jika tuanku berkenan.

Tenaga tulang empat kerat rakyat jelata boleh dikerah oleh raja untuk membuat apa sahaja kerja. Jika raja berperang maka rakyat jelata akan dikerah untuk menjadi soldadu mempertahankan raja.

Sistem feudal ini masih ada. Di Saudi Arabia, di Negara Arab Teluk dan juga di Brunei sistem ini masih diguna pakai. Amat jelas ada kerjasama paling intim dan bersekongkolan yang rapat antara kaum feudal dengan kaum agamawan. Masjid dan istana sepakat.

Raja membunuh jika kamu ingkar. Golongan agamawan akan menandatangani surat untuk menghantar kamu dibakar api neraka jika kamu ingkar. Dua lembaga – istana dan masjid - bekerja rapat menakut-nakutkan dan mengancam orang biasa. Tujuan ancaman hanya satu untuk mengumpul dan memiliki harta kekayaan demi kesenangan dalam hidup.

Jangan silap baca: istana dan masjid dan tulisan ini bukan bangunan. Masjid dan istana ini adalah lembaga daulah.

Sistem ekonomi feudal ini dilawan oleh golongan baru yang merasakan sistem ini tidak adil. Kaum baru ini bangun memberontak dan memenggal kepala raja.

Golongan baru ini membawa sistem ekonomi kapitalis. Kuasa raja dan masjid mula diketepikan. Raja dan masjid bukan lagi punca utama kuasa daulah.

Kini harta kekayaan boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Kalau dalam sistem feudal yang dibenarkan mengumpul harta kekayaan hanya raja dan kaum kerabat istana. Kini dalam sistem baru – sistem ekonomi kapitalis individu – orang persendirian dibolehkan mengumpul harta. Mereka dipanggil pemaju, pemodal, tuan tanah, atau tauke. Sesiapa saja yang ada modal boleh menjadi kapitalis.

Sistem ekonomi kapitalis ini berpaksikan keuntungan maksimum. Rukun iman kaum kapitalis ialah untung. Apa sahaja yang menguntungkan akan diniagakan oleh kaum kapitalis. Apa yang boleh beli akan dibeli – apa boleh dijual akan dijual – asalkan semua membawa keuntungan.

Kaum kapitalis dan kaum pemodal ini akhirnya akan memiliki punca-punca pengeluaran. Punca pengeluaran bermakna – tanah, kilang dan bank – akan dimiliki oleh kaum pemodal.

Orang ramai, rakyat biasa akan menjadi pengguna. Orang ramai akan didorong dan dikandang untuk membeli hasil barangan – produk - yang telah dikeluarkan oleh kilang milik kaum kapitalis.

Pengeluaran bahan produk yang dihasilkan oleh kaum kapitalis hanyalah dengan satu tujuan, membawa keuntungan. Jual beli kaum kapitalis hanya berlaku jika ada untung. Untung. Untung dan cari untung. Untung adalah wirid kaum kapitalis. Untung ialah kiblat dan Rukun iman kaum kapitalis.

Kaum kapitalis akan sedaya upaya tidak mahu diganggu gugat dalam menjalankan perniagaan mencari untung. Dalam masa yang sama saki baki raja dan istana juga boleh bekerjasama dalam usaha mencari untung.

Kerabat sultan atau puteri atau putera raja "di-ahlanwasahlan" untuk berniaga atau membuat projek. Begitu juga masjid tidak dilupuskan dari budaya meniaga dan mencari untung. Dalam sejarah, menjual agama adalah perniagaan kedua tertua dalam dunia.

Masjid masih wujud, kini diambil sebagai rakan baik kaum pemodal. Ini penting untuk mengeluarkan nas dan hadis bagi mengharamkan sesuatu yang tidak menguntungkan kaum kapitalis. Atau menghalalkan sesuatu yang membawa keuntungan kepada kaum pemodal.

Kepada yang keras kepala dijanjikan api neraka. Jika masih keras kepala ditakrif sebagai penganut ajaran sesat. Seperti di Arab Saudi dituduh murtad untuk dipancung kepala sesudah sembahyang Jumaat di hadapan masjid.

Peranan minimum daulah

Dalam sistem ekonomi kapitalis peranan daulah adalah minimum. Daulah hanya diperlukan untuk mengadili jika berlaku perbalahan – sebagai contoh - antara pemaju perumahan dengan setinggan. Lagi jauh daulah berperanan dari urusan perniagaan, lagi molek dan lagi maju jaya kaum kapitalis.

Apa sangkut paut sistem kapitalis ini dengan serangan virus korona ke atas Amerika Syarikat?

Jawapannya: Sistem ekonomi kapitalis Amerika telah gagal menangani serangan korona. Amerika walaupun dengan kecanggihan hospital, klinik dan makmal perubatan – telah gagal. Amerika tercorot dalam usaha melawan Covid-19.

Sistem ekonomi kapitalis tidak memiliki keupayaan hakiki untuk melawan pandemik yang berlaku.

Di Amerika yang disembah ialah keuntungan. Maka semua sistem perubatan di Amerika didirikan untuk mencari untung. Jika tidak ada untung maka klinik dan hospital tidak akan didirikan. Kesihatan menjadi bahan perniagaan. Orang sakit diperniagakan. Lagi ramai sakit lagi molek untuk bisnes.

Perubatan menjadi industri. Perubatan bukan lagi untuk memastikan kesihatan orang ramai dijaga baik. Kesihatan warga negara dijadikan komoditi untuk diniagakan seperti jual beli sawit dan getah.

Kesihatan maknanya keuntungan. Orang ramai hanya pengguna. Siapa ada duit akan mendapat rawatan. Siapa tak ada duit mati di tangga pintu hospital, maka warga Amerika yang tidak memiliki insuran perubatan tidak akan dapat rawatan perubatan.

Sebelum mendaftar ke hospital perlu dibuktikan memiliki dana dalam akaun bank, memiliki sijil insuran atau cagaran harta. Inilah namanya sistem ekonomi kapitalis.

Justeru yang banyak mati di Amerika adalah mereka yang miskin. Mereka yang tidak ada modal untuk mendapat rawatan hospital. Mereka yang tidak ada duit kerana hilang pekerjaan.

Data menunjukkan majoriti yang mati kerana Covid-19 di Amerika adalah orang hitam, Latin, kaum pendatang yang halal dan yang haram. Ini termasuk warga miskin kota yang tidur di tepi jalan atau di lorong-lorong.

Tangan ghaib

Daulah di Amerika tidak memiliki peranan. Kaum kapitalis di Amerika berjaya menafikan daulah dari mendirikan hospital atau klinik. Menjaga kebajikan rakyat dan kesihatan rakyat bukan tugas kerja daulah. Kapitalisme mengikut teori wujud - tangan ghaib – yang akan menguruskan semua. Daulah hanya jadi saksi.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, semua orang diwajibkan melepaskan pucuk masing-masing. Aku untuk aku. Kau untuk kau. Semangat kekitaan dan kemasyarakatan bukan akidah ajaran sistem ekonomi kapitalis.

Komuniti dan konsep gotong-royong, kerjasama atau berseraya tidak dibenarkan wujud dalam sistem ekonomi kapitalis. Tolong-menolong dan bantu membantu akan membantutkan dan menghalang keuntungan maksimum. Tenaga kerja adalah komoditi untuk dijual beli bukan untuk dihadiah atau disedekahkan.

Apa terjadi dari 18 Mac 2020 hingga ke 19 Mei 2020?

Ini sesudah WHO mengumumkan pandemik Covid-19. Ini sesudah Wuhan menjadi buah mulut warga dunia. Apa terjadi di Amerika pada tarikh ini?

Dalam masa dua bulan ini berjuta warga Amerika hilang pekerjaan. Berjuta beratur untuk mendapat stem makanan.

Hari ini seramai 42 juta warga Amerika telah hilang pekerjaan. Mereka tergelincir jatuh hilang kerja terus menjadi statistik warga miskin dalam negara terkaya dalam dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, June 18, 2020

Ujian Menunjukkan Pesakit Covid-19 Yang Sembuh Tidak Sebarkan Virus

Ujian Menunjukkan Pesakit Covid-19 Yang Sembuh Tidak Sebarkan Virus

Pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan mendapati pesakit COVID-19 yang sudah sembuh masih kekal menunjukkan keputusan positif dalam jangka masa yang panjang meskipun apabila mereka disahkan sembuh.

Covid-19 tidak berjangkit

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian rt-PCR sememangnya sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata walaupun dikesan positif, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat.

Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 gagal dibiakkan.

Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif COVID-19 bagi pesakit yang sudah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang sudah mati.

Penemuan serupa juga turut dilaporkan dari beberapa negara misalnya Korea, China, Singapura dan Jerman.

Kajian di China menunjukkan bahawa kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit menunjukkan gejala.

Kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari, manakala kajian di Taiwan mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID- 19, mereka tidak menyebarkan jangkitan kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Monday, June 15, 2020

Bil Hosptial Pesakit Covid-19 AS$1.1 Juta!

Bil Hosptial Pesakit Covid-19 AS$1.1 Juta!

Seorang warga emas Amerika Syarikat (AS) berusia 70 tahun yang hampir mati akibat COVID-19, terkejut apabila menerima bil perbelanjaan hospital berjumlah AS$1.1 juta (RM4.7 juta), lapor Seattle Times.

Michael Flor Covid-19
Michael Flor.

Michael Flor dimasukkan ke sebuah hospital di bandar sebelah barat laut AS pada 4 Mac 2020 lalu, tinggal selama 62 hari, dan pada satu ketika hampir mati sehingga jururawat terpaksa menghubungi isteri dan anaknya untuk mengucapkan selamat tinggal.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan pulih dan disahkan bebas daripada jangkitan COVID-19 pada 5 Mei lalu sehingga mengejutkan petugas hospital itu, dan kemudian menerima bil sebanyak 181 halaman berjumlah AS$1,122,501.04.

Jumlah perbelanjaan itu termasuk AS$9,736 sehari untuk bilik rawatan intensif, hampir AS$409,000 bayaran transformasi menjadi bilik steril selama 42 hari, AS$82,000 untuk penggunaan ventilator selama 29 hari, dan hampir AS$100,000 untuk dua hari ketika prognosisnya mengancam nyawa.

Flor dilindungi oleh Medicare, program insurans kerajaan untuk warga emas, sekali gus dia tidak memerlukan keluar wang sendiri, menurut Times.

Bagaimanapun, di negara di mana rawatan kesihatan adalah yang paling mahal di dunia dan idea untuk bersosialisasi masih sangat kontroversi, lelaki itu mengatakan dia rasa 'bersalah' apabila mengetahui bahawa pembayar cukai akan menanggung banyak kos.

"Jutaan dolar menyelamatkan nyawa saya, dan tentu saja saya mengatakan bahawa wang itu dibelanjakan dengan baik, tetapi saya juga tahu mungkin saya satu-satunya yang mengatakannya," katanya yang dipetik Times.

Rancangan besar oleh Kongres untuk memastikan ekonomi AS terus bertahan apabila sekatan perintah berkurung bagi mencegah COVID-19, termasuk bajet AS$100 juta untuk memberi ganti rugi kepada hospital dan syarikat insurans swasta yang merawat pesakit COVID-19.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian