Thursday, September 05, 2019

5 Punca Utama Anda Gagal Menjadi Seorang Usahawan Berjaya

5 Punca Utama Anda Gagal Menjadi Seorang Usahawan Berjaya

Keusahawan adalah satu bidang yang sangat luas untuk semua orang boleh ceburi kerana ia sememangnya mampu menjana pulangan ekonomi lumayan namun begitu, untuk menjadi usahawan yang berjaya bukanlah sesuatu yang mudah.

Usahawan Berjaya

Kami kongsikan kepada anda 5 sebab kenapa ramai gagal menjadi seorang usahawan yang berjaya.

1. Wang syarikat = Wang peribadi

Fahaman yang mengatakan bahawa wang syarikat adalah wang peribadi adalah salah sama sekali. Ia ibarat seperti anda mencuri wang syarikat sendiri.

Syarikat dan individu merupakan dua entiti yang berbeza oleh itu, tindakan menggunakan wang syarikat untuk kepentingan peribadi mampu melumpuhkan perniagaan anda.

Terdapat sesetengah usahawan berpendapat bahawa wang yang masuk ke dalam akaun syarikat adalah keuntungan dan sebagai pemilik syarikat, mereka bebas membelanjakan wang tersebut untuk apa sahaja termasuk untuk perkara yang tidak menguntungkan perniagaan.

Kesan daripada tindakan ini dapat dilihat apabila di saat syarikat memerlukan bajet tambahan dan ketika itu duit yang ada tidak mencukupi kerana sudah habis dibelanjakan untuk kepentingan peribadi.

2. Mulakan perniagaan dengan wang pinjaman

Memang terdapat banyak jalan pintas untuk mencari modal bagi memulakan perniagaan. Ini termasuklah pinjaman daripada bank dan sebagainya.

Seeloknya, elakkan daripada memulakan perniagaan anda dengan menggunakan wang pinjaman kerana hal ini akan meletakkan anda di dalam situasi tertekan.

Fokus anda untuk mengembangkan perniagaan akan terganggu kerana sibuk memikirkan beban hutang yang tidak tertanggung kerana hasil keuntungan tidak seberapa.

Pinjaman bank seeloknya digunakan apabila perniagaan sudah stabil, bukan ketika anda hendak memulakan perniagaan.

3. Gagal merancang

Mereka yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal. Mungkin ada yang sudah merancang, tetapi rancangan yang dibuat tidak jelas dan spesifik.

Sebagai contoh; Encik A mensasarkan untuk mencapai keuntungan di hujung tahun namun, dapat dilihat beliau tidak meletakkan sasaran keuntungan yang ingin dicapai, malah cara untuk merealisasikan sasarannya juga tidak diperincikan dengan betul.

Sasarannya hanya terawang awang di atas kepala dan tidak dikaji, ditapis dan dipersembahkan dahulu di atas kertas.

4. Kurang ilmu perniagaan

Para usahawan seharusnya rajin untuk menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa agar tidak mudah ditipu. Semakin kurang ilmu seseorang itu, semakin mudah untuk dia diperdaya.

Ramai usahawan yang sanggup mengeluarkan modal berpuluh ribu ringgit tetapi perniagaannya tetap tidak berjaya.

Dalam berniaga, terdapat banyak perkara yang perlu diambil kira seperti strategi pemasaran, pemilihan lokasi dan sebagainya.

Ilmu perniagaan ini bukan sahaja boleh didapati dengan menghadiri seminar atau kursus, tetapi boleh juga diperolehi daripada buku-buku perniagaan yang ditulis oleh pakar-pakar industri.

5. Sikap negatif usahawan itu sendiri

Terdapat segelintir usahawan yang mempunyai sikap negatif seperti tamak, hasad dengki dan sebagainya.

Harus diingat, apabila tamak dan hasad dengki mula menguasai diri, anda mula tersasar jauh dari landasan yang benar.

Perkara ini bukan sahaja mampu menggoyahkan perniagaan anda, malah boleh menjadikan perniagaan anda bertemu dengan kegagalan.

Ada juga para usahawan yang mengambil mudah aspek persaingan dan terlalu yakin dengan kelebihan diri sendiri.

Mereka bukan sahaja tidak berdaya saing malah tidak berusaha dalam meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Tuesday, August 27, 2019

20 Amalan Agar Mudah Mendapat Rezeki Yang Halal

20 Amalan Agar Mudah Mendapat Rezeki Yang Halal

Dalam usaha kita mencari rezeki yang halal, pastikan kita merujuk kepada Al-Quran dan Hadis supaya setiap usaha kita tersebut mendapat pertolongan-Nya, di permudahkan dan berada di landasan yang betul, sepanjang usaha kita tersebut.

Amalan Mudah Mendapat Rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyakkan Istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.

Sabda Nabi SAW: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad,Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Menjauhi Dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.

Sabda Nabi SAW, "...dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4. Mengingati Allah

Mengingati Allah membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.

Firman-Nya: "(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti Dan Mendoakan Ibu Bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.

6. Berbuat Baik Dan Menolong Orang Yang Lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil.

Sabda Nabi SAW: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7.Tunaikan Hajat Orang Lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW, "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya..." (Riwayat Muslim)

8. Berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.

9. Amal Kebajikan

Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Seawal Pagi

Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Mengeratkan Silaturrahim

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi Kekal Berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.

Baginda SAW bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi Solat Malam (Tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah

15. Melazimi Solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.

Firman Allah dalam hadis qudsi: "Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Rahsia murah rezeki

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"...dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Zikir Dan Bacaan Ayat Quran Tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan fahaman tentang agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim."

Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar

"Siapa berusaha, dia akan berjaya. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja." (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah.

Nabi SAW bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattabr.a.)

Dengan takwa, Allah akan memberi "Jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa.

Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Ada Lagi Tak Rahsia Murah Rezeki ? Klik SINI untuk dapatkan rahsia yang lebih mendalam lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jais

Pos Laju 'SendParcel' Lebih Mudah Dan Jimat

Pos Laju 'SendParcel' Lebih Mudah Dan Jimat

Mudah dan jimat. Itu kemudahan yang bakal dinikmati pengguna, terutama bagi peniaga dalam talian, menerusi inovasi perkhidmatan penghantaran barang terbaharu Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Pos Laju SendParcel (SandParcel).

Pos Laju SendParcel

Menurut Pos Malaysia, servis dalam talian itu dipertingkatkan untuk manfaat lebih besar kepada pengguna khususnya dalam perusahaan kecil dan sederhana (IKS), usahawan mikro serta pemain perniagaan sektor e-dagang, selain menawarkan lebih banyak pilihan produk bagi memenuhi keperluan semua pihak.

Pelanggan kini dapat menikmati tawaran harga terbaik, perkhidmatan kutipan barangan percuma dan tidak perlu lagi mengisi label penghantaran atau nota konsainan secara manual kerana dijana secara automatik oleh sistem dalam talian tersebut.

Selain itu, platform ini juga membolehkan pelanggan menguruskan penghantaran pukal dan alamat secara dalam talian, mendapatkan kadar penghantaran serta-merta dengan sebut harga segera, kemudahan laporan dan jejakan barangan serta kredit bonus untuk pelanggan setia.

Platform baharu itu merupakan usaha Pos Malaysia memantapkan perkhidmatan sekali gus menyokong aspirasi memanfaatkan peluang e-dagang di dalam dan luar negara.

Untuk menggunakan SendParcel, pelanggan hanya perlu membuka akaun dengan Pos Laju dan menambah kredit menerusi laman sesawang www.poslaju.com.my.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Pos Malaysia di https://sendparcel.poslaju.com.my/secure/topup_packages

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, August 13, 2019

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

Usahawan ternama dan pengasas Virgin Group menawarkan tip-tip untuk memulakan perniagaan dan kata beliau, "Saya sering ditanya jikalau telah menemui rahsia – atau sekurang-kurangnya jawapan yang konsisten – untuk membina perniagaan selama karier saya."

Rahsia Berjaya Dalam Perniagaan
Richard Branson.

Maka saya telah mengambil masa untuk berfikir tentang ciri-ciri kejayaan yang telah banyak dikecapi oleh Virgin dan yang paling penting sekali, apakah kegagalan yang ditempuhi atas pilihan yang kurang bijak. Mengimbau semula 40 tahun tersebut, saya dapat merumuskan lima “rahsia”.

1. Sukai Apa Yang Anda Buat

Disebabkan memulakan sesuatu perniagaan memerlukan ketekunan dan waktu yang lama, anda seharusnya menyukai apa yang anda lakukan.

Semasa saya mulakan perniagaan Virgin di basement rumah pangsa saya di Barat London, saya tidak bermimpi untuk membina suatu empayar perniagaan.

Saya hanya mahu memulakan sesuatu yang saya suka buat dan mampu membayar bil-bil saya. Tiada perancangan yang besar atau strategi, malah nama itu diilhamkan tanpa banyak berfikir.

Suatu malam, saya bersama sahabat saya sedang sedang berborak sambil minum-minum dan mengambil keputusan untuk menamakan kumpulan perniagaan kami Virgin, kerana kami semua pendatang baru dalam perniagaan. Nama itu kekal dan mempunyai bunyi yang unik.

Bagi saya, membina suatu perniagaan adalah sesuatu yang harus dibanggakan, mengumpulkan orang-orang yang berbakat dan mencipta sesuatu yang dapat mengubah hidup orang lain.

Sekiranya ahli perniagaan berhasrat untuk benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan orang lain dan mencapai hasrat tersebut, dia akan mampu membiayai hidupnya dan juga memiliki perniagaan yang berjaya.

2. Mulakan Sesuatu Yang Lain Daripada Yang Lain

Tidak kisahlah jika kamu mempunyai sesuatu produk, perkhidmatan atau jenama, tidak mudah untuk memulakan sesebuah syarikat yang mampu bertahan dalam dunia moden ini.

Kamu perlu melakukan sesuatu yang radikal untuk menjadi berjaya di zaman dan lihatlah ahli perniagaan yang berjaya dalam jangka masa 20 tahun yang lepas.

Microsoft, Google atau Apple, contohnya, menggegarkan sesebuak sektor dengan melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan terus berinovasi. Mereka sekarang mempunyai kuasa dominan.

3. Mulakan Sesuatu Yang Akan Dibanggakan Oleh Semua Orang Yang Bekerja Dengan Kamu

Perniagaan biasanya dijalankan oleh sekumpulan orang dan mereka adalah aset kamu yang paling berharga.

4. Jadilah Pemimpin Yang Baik

Sebagai seorang pemimpin, kamu harus menjadi pendengar yang baik. Kamu perlu tahu pendirian kamu sendiri, tetapi tiada guna juga jika kamu memberi pandangan kepada orang lain tanpa adanya perdebatan.

Tiada sesiapa mempunyai monopoli dalam idea yang baik dan nasihat yang baik.

Bergaullah. Dengarkan pandangan orang lain, biarkan orang menampilkan diri dan belajarlah dari mereka. Sebagai seorang pemimpin, kamu juga harus pandai memuji orang lain.

Jangan mengkritik orang secara terbuka; jangan menunjukkan panas baran dan sentiasalah memuji rakan sekerja kamu atas kejayaan mereka dalam melakukan tugas.

5. Sentiasa Kelihatan

Seorang pemimpin yang baik tidak seharusnya duduk di meja sahaja. Saya tidak pernah bekerja di pejabat – saya selalu bekerja dari rumah – tetapi saya selalu keluar dan bergaul dengan orang.

Saya banyak berjalan dan saya sentiasa membawa buku nota untuk mencatit soalan, kebimbangan dan idea yang baik.

Jika saya berada dalam penerbangan Virgin Atlantic, saya pasti meluangkan masa untuk keluar bertemu dengan semua pekerja dan kebanyakan penumpang.

Jika kamu bertemu dengan sekumpulan ahli kru Virgin Atlantic, kamu akan mendapat sekurang-kurangnya sepuluh cadangan dan idea.

Jika saya tidak mencatatnya, saya cuma akan ingat satu sahaja keesokan hari, tetapi dengan mencatatnya, saya akan ingat kesemuanya.

Apabila keluar dan berjabat tangan dengan semua penumpang pesawat, sekali lagi, akan ada orang yang memberikan pendapat dan menyatakan masalah mereka.

Catat dan tuliskan nama dan alamat e-mail mereka dan keesokan harinya kamu harus memberi maklum balas.

Sudah tentu, saya cuba untuk memastikan pengarah urusan yang dilantik mempunyai falsafah yang sama.

Dengan itu kita dapat menguruskan kumpulan syarikat sebagaimana peniaga kecil yang diuruskan kaum keluarga – sentiasa responsif dan mesra.

Apabila mula-mula membina perniagaan, frasa penting untuk beberapa tahun pertama adalah “kemampuan untuk bertahan”.

Sememangnya sukar untuk bertahan kerana pada mulanya kamu tidak mempunyai masa dan tenaga untuk memikirkan tentang perkara seperti bagaimana hendak menyelamatkan dunia.

Kamu hanya akan terus berjuang untuk memastikan yang kamu dapat menjaga pengurus bank dan dapat membayar bil-bilnya.

Pendek kata, sepenuh konsentrasi kamu hanyalah bagi memastikan kamu tetap bertahan.

Walau bagaimanapun, sekiranya kamu tidak mampu bertahan, ingatlah bahawa kebanyakan perniagaan gagal dan pengajaran terbaik adalah belajar daripada kesilapan.

Kamu tidak seharusnya terlalu patah semangat. Bangkit semula dan cuba lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Saturday, August 10, 2019

Fakta Pelaburan Unit Trust Yang Anda Wajib Tahu

Fakta Pelaburan Unit Trust Yang Anda Wajib Tahu

Tahukah anda mengenai pelaburan ‘Unit Trust’ atau kata lainnya iaitu Unit Amanah? Tahukah anda tentang kelebihan unit trust ini yang berpotensi memberi keuntungan berlipat ganda kepada para pelaburnya?

Fakta Pelaburan Unit Trust

Namun, masih ramai di antara kita yang dilihat masih tidak yakin dengan potensi pelaburan unit trust itu sendiri. Mengapa perkara tersebut boleh terjadi?

Kadangkala, perkara tersebut terjadi bukan kerana kita tiada wang untuk melabur, tetapi disebabkan oleh ketidakfahaman kita tentang maksud sebenar unit trust yang seterusnya membina kesangsian terhadap potensi unit trust itu sendiri.

Unit trust juga dikenali sebagai Mutual Fund di negara lain seperti Amerika Syarikat secara amnya merupakan suatu pelaburan berkelompok.

Pelaburan ini membenarkan pelabur yang mempunyai objektif pelaburan yang sama mengumpulkan wang mereka untuk dilaburkan ke dalam sesebuah portfolio sekuriti yang diuruskan oleh pengurus dana profesional.

Ini bermakna, pemegang unit pelaburan unit trust sebenarnya tidak membeli saham terus kepada portfolio atau di kaunter saham sebaliknya, pemilikan saham akan dibahagikan kepada unit.

Jika nilai saham naik atau turun, nilai setiap unit yang dilaburkan juga akan naik atau turun.

Setiap pelabur yang berdaftar akan menerima sijil penamaan yang dikenali sebagai Sijil Unit Amanah.

Bilangan unit yang dipegang oleh setiap pelabur pula bergantung kepada harga belian unit pada masa pelaburan dibuat dan jumlah wang yang dilaburkan oleh pelabur.

Bagaimana pelaburan unit trust ini berfungsi?

Di dalam pelaburan unit trust, wang anda akan dikumpulkan bersama pelabur-pelabur lain sehingga menjadi jumlah yang besar dan akan dilaburkan ke dalam pelbagai saham ‘equity’ dan ‘bond’.

Kepelbagaian pelaburan ini dapat mengurangkan risiko kerana tidak terhad untuk bergantung kepada satu saham semata-mata.

Jika anda memilih untuk melabur di dalam unit amanah yang berlandaskan Islam/Syariah, wang yang anda laburkan hanya akan digunakan ke dalam saham-saham yang mematuhi syariah Islam sahaja.

Hal ini sebenarnya secara tidak langsung telah membantu pertumbuhan sistem kewangan Islam.

Pelaburan dan aktiviti jual beli saham anda pula akan diuruskan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman.

Oleh itu, anda tidak perlu risau untuk memantau turun naik harga saham di pasaran setiap hari, kerana pengurus dana yang dilantik akan sentiasa berusaha untuk memaksimumkan keuntungan pelaburan anda.

Konsep mudah

Kita minta orang lain urus dan laburkan duit kita. Berikan kepercayaan anda kepada Fund Manager untuk kembangkan duit anda.

1. Unit Trust = Unit Amanah = Amanah Saham.

Konsep sama seperti ASB (ASB juga adalah sejenis dana unit trust). Bezanya keuntungan ASB dalam bentuk dividen + bonus sedangkan keuntungan Unit Trust melalui dividen + kenaikan harga unit dana.

2. Unit Trust Management Company, UTMC = Syarikat Pengurusan Unit Amanah.

UTMC ini dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, dibenarkan operasi oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.

Sehingga 31 Oktober 2016, terdapat 37 Syarikat Pengurusan Unit Amanah, antaranya adalah PMB Investment Berhad, Phillip Mutual Berhad, CIMB Principal, Kenanga, RHB Asset Management, Eastspring Investment dan banyak lagi.

3. Fund/Dana = Tabung

Setakat 31 Oktober 2016, terdapat 641 dana yang diluluskan di Malaysia dan 199 daripadanya adalah berasaskan patuh syariah (Islamic Fund).

Antara dana yang popular (beri pulangan yang tinggi) adalah Kenanga Syariah Growth Fund, Eastspring Investments Dana Al-Ilham, PMB Shariah Aggressive Fund.

Apa maksudnya melabur Unit Trust tanpa guna duit poket?

Maksudnya, selain tunai, pelabur juga boleh menggunakan sebahagian dari Akaun 1 KWSP namun, ia hanya tertakluk kepada dana yang diluluskan oleh KWSP sahaja.

Selain itu, melabur guna KWSP agak leceh. Hanya boleh dikeluarkan sekali setiap 3 bulan. Maknanya setahun 4 kali kena isi borang.

Dimana Unit Trust laburkan duit kita?

Apabila kita membeli unit trust yang berasaskan ekuiti, sebenarnya kita melabur dalam pasaran saham (Bursa Malaysia atau pasaran saham dunia). Cuma yang tolong jual beli saham itu adalah fund manager yang dilantik.

Berapa minimum untuk mula melabur dalam Unit Trust?

Nilai minimum untuk pelaburan adalah berbeza-beza mengikut mengikut syarikat atau dana. Selalunya sekitar RM100 – RM1,000.

Berapa purata pulangan Unit Trust?

Secara keseluruhannya, daripada laporan BANK NEGARA (2002 – 2012) purata pulangan;
  • Akaun simpanan bank biasa: 1.3%
  • Simpanan Tetap (FD): 3.47%
  • Unit Trust: 9.78% (Purata pulangan semua dana ekuiti di Malaysia).

Isu-isu berkaitan Unit Trust

1. Halal atau Haram

Ramai yang mungkin tertanya-tanya sama ada pelaburan di dalam unit trust ini adalah halal atau tidak.

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kepada pelabur untuk membuat kajian tentang unit trust yang bakal disertai kerana di Malaysia terdapat banyak unit trust berdaftar yang berlandaskan syariah.

Islamic Unit Trust yang telah tersenarai di Suruhanjaya Sekuriti adalah yang telah diluluskan dan halal untuk dibuat pelaburan.

2. Adakah Skim Cepat Kaya

Selain itu, unit trust adalah satu perniagaan yang telah diluluskan oleh kerajaan. Pelaburan unit trust bukanlah perniagaan haram skim cepat kaya.

Portfolio akan dibahagikan kepada unit dan pelabur-pelabur dikenali sebagai ‘unit holders’.

Untuk menjaga kepentingan kepentingan para pelabur, seorang pemegang amanah (trustee) akan dilantik.

'Trustee’ merupakan pemilik sah ke atas semua aset dalam Unit Trust Scheme bagi pihak pemegang unit.

Apa kelebihan melabur dalam unit trust?

1. Kepelbagaian atau Diversification

Unit Trust memberi peluang pelaburan untuk pelabur-pelabur kecil membuat pelaburan dengan mudah.

Dengan modal yang sedikit, pelabur berpeluang menyertai lebih banyak sektor/aset.

Kepelbagaian atau diversification ini mampu meminimumkan risiko para pelabur kerana tidak melabur dalam satu portfolio sahaja.

Jika pelabur mengalami kerugian di satu portfolio, kerugian tersebut boleh diimbangi dengan keuntungan yang diperolehi daripada portfolio yang lain.

2. Pengurusan dana profesional

Pelaburan dana dalam unit trust akan diuruskan oleh pengurus dana profesional dan terlatih jadi, anda tidak perlu risau kerana mereka ini bukan sahaja berkemahiran, malah berpengalaman dalam menguruskan pelaburan.

Mereka akan memastikan wang yang kita labur akan dilaburkan dalam syarikat-syarikat yang mampu menghasilkan keuntungan lumayan berdasarkan kaji selidik yang telah mereka jalankan.

3. Liquidity (Kecairan) yang tinggi

Perkara yang paling penting bagi seorang pelabur untuk melakukan satu pelaburan adalah tahap kecairan aset yang dilabur itu.

Semakin tinggi tahap kecairan aset, semakin tinggi nilai aset tersebut. Unit trust membolehkan pelabur menebus atau menjual semula unit-unit yang dipegang pada bila-bila masa dan bayaran akan diperolehi dalam jangka masa yang singkat.

Masalah dan keburukan pelaburan unit trust

1. Tiada hak pengawalan dalam pengurusan dana

Dalam pelaburan unit trust, pelabur tidak mempunyai hak untuk memilih portfolio pelaburan mereka sendiri kerana pemilihan tersebut hanya dikendalikan oleh pengurus dana profesional yang telah dilantik.

2. Kos yang agak tinggi

Bagi menanggung kos pengendalian dana, permohonan dan pengurusan akaun dan lain-lain lagi, pelabur akan dikenakan caj permulaan sekitar 3% hingga 6%.

Disebabkan kita menggunakan khidmat pengurus dana untuk melaburkan duit kita, terdapat fees yang dikenakan:
  • Sales charge: dikenakan hanya sekali untuk setiap transaksi pembelian.
  • Management fee: dikenakan setahun sekali.
  • Trustee fee: dikenakan setahun sekali.
  • Switching fee: dikenakan jika pelabur ingin menukar ke dana pelaburan lain.
  • Redemption fee: dikenakan jika pelabur ingin menjual unit pegangan.

Namun, caj-caj tersebut dikawal selia serta diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan bertujuan bagi menanggung kos pengurusan dana.

Selain itu, semua caj yang dikenakan akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada para pelabur melalui prospektus skim unit trust.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, June 30, 2019

Beau Jessup, Remaja Yang Menjadi Jutawan Hanya Dengan Menamakan Bayi

Beau Jessup, Remaja Yang Menjadi Jutawan Hanya Dengan Menamakan Bayi

Percaya atau tidak, hanya dengan menamakan bayi yang baru lahir anda mampu menjana pendapatan jutaan ringgit? Macam tak percayakan? Tetapi inilah yang berlaku kepada seorang remaja dari Britain.

Jutawan muda
Beau Jessup.

Sewaktu berusia 16 tahun, Beau Jessup telah terbang ke China bersama dengan ayahnya. Di sana remaja ini kemudian bertemu dengan rakan niaga ayahnya yang meminta beliau mencadangkan satu nama untuk bayi perempuannya.

Berasa terharu, Beau kemudian menamakan nama bayi tersebut Eliza sempena nama watak fiksyen.

Watak fiksyen itu pula memiliki segala ciri-ciri yang dimahukan oleh ibubapa bayi tersebut.

Apabila kembali ke Britain, Beau telah melakukan sedikit kajian di Internet berkaitan kepentingan nama Inggeris untuk anak-anak masyarakat berbangsa Cina.

Melalui kajian dan pengalaman beliau bergaul dengan masyarakat Cina, beliau dapati mereka sukar untuk mencari nama Inggeris yang bersesuaian.

Jadi, Beau pun membuat keputusan untuk membangunkan sebuah bisnes yang memberikan perkhidmatan menamakan bayi dengan sasaran utamanya adalah masyarakat Cina.

Dengan bermodalkan £1,500 yang dipinjam daripada bapanya, Beau telah mengupah seorang website designer untuk membina sebuah laman web baginya. Selebihnya pula adalah untuk pengiklanan di platform WeChat.

Pada waktu itu, beliau masih lagi bersekolah di Cheltenham Ladies College jadi, Beau terpaksa menunggu waktu cuti sekolah untuk melakukan lebih banyak lagi research bagi mencari nama yang bukan sahaja menarik, tetapi mempunyai maksud yang baik, sesuai dengan budaya dan persekitaran di negara Barat.

Pada mulanya, Beau menawarkan perkhidmatan ini secara percuma kepada 160,000 bayi sebagai tujuan promosi, seterusnya beliau mengenakan caj $0.60 pences iaitu kira-kira RM3.22 untuk satu nama.

6 bulan pertama setelah laman webnya iaitu Special Names dilancarkan, bisnesnya telah berjaya menjana sebanyak £309,557.40. Jumlah itu terus meningkat daripada sehari ke sehari.

Kini, Beau berhasrat untuk menanggung sendiri kos pengajiannya di universiti menggunakan keuntungan daripada bisnes tersebut.

Dan sekarang, beliau sedang merancang untuk melaburkan hasil keuntungan yang diperolehnya ke dalam pelaburan hartanah pula.

Siapa sangka beri nama bayi sahaja boleh menjana keuntungan yang begitu besar kan?

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur

Friday, June 28, 2019

Produk Kecantikan, Perniagaan Yang Melahirkan Paling Ramai Jutawan Di Malaysia

Produk Kecantikan, Perniagaan Yang Melahirkan Paling Ramai Jutawan Di Malaysia

Kecantikan adalah aset dan lambang kewanitaan. Sifat wanita itu pula yang cemburu apabila melihat wanita lain yang seusia dengannya tetapi masih cantik adalah merupakan perkara biasa dan tidak dapat dinafikan yang wanita pada zaman sekarang agak prihatin terhadap kecantikan mereka dan mahu sentiasa kelihatan anggun dan awet muda.

Jutawan Produk Kecantikan
Gambar hiasan.

Ini semua kerana mereka mahu orang yang tersayang menjadi lebih sayang kepada mereka, bimbang pasangan mereka akan mencari wanita yang lebih baik agaknya.

Setiap wanita mengimpikan kulit yang halus mulus, putih bersih dan gebu agar dapat menyerlahkan kejelitaan mereka dan tampak lebih menawan. Ada juga yang mahukan diri mereka kelihatan ramping seperti pada zaman usia muda mereka.

Untuk mendapat kecantikan yang diingini, ada yang sanggup berhabis wang sampai beribu-ribu ringgit setiap bulan khusus untuk membeli produk-produk kecantikan diri yang terdapat dalam pasaran.

Malah, perniagaan barangan kecantikan diri ini, sememangnya telah lama bertapak di negara kita.

Syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini terlalu banyak dan adakalanya kita seperti sedang menyaksikan satu gelombang besar dalam industri perniagaan barangan kecantikan diri dengan penubuhan syarikat-syarikat yang menjual produk kecantikan dan penghasilan jualan bagi satu-satu perniagaan itu ada kalanya mencecah jutaan ringgit setahun.

Penubuhan syarikat-syarikat yang menawarkan produk kecantikan diri ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengedar-pengedarnya untuk mengubah kehidupan mereka.

Ada pengedar yang telah berjaya memperoleh pendapatan lima angka dan ramai lagi yang akhirnya telah berjaya bebas daripada cengkaman beban kewangan.

Namun kini, terdapat juga produk kecantikan diri yang mengandungi bahan beracun yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Masyarakat perlu lebih peka dan berhati-hati kerana ada dalam kalangan pengasas produk ini yang lebih mengutamakan keuntungan syarikat semata-mata dan kurang memberi penekanan kepada kesucian produk dan hanya memandang sebelah mata terhadap kesan sampingan produk ke atas pengguna.

Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kejayaan jutawan produk kecantikan diri ini, antaranya:-

1. Wujudnya sistem sokongan kerajaan yang berperanan memberikan sumber-sumber maklumat, memberi peluang-peluang perniagaan dan dana-dana bantuan kerajaan seterusnya membantu memberi impak yang positif kepada penglibatan usahawan produk kecantikan diri ini.

2. Ekonomi negara Malaysia yang stabil dan kewujudan sistem francais menggalakkan peningkatan usahawan dalam bidang ini.

3. Produk kecantikan antarabangsa yang ada dalam pasaran memerlukan kos yang tinggi untuk dimiliki, tetapi produk usahawan tempatan pula sememangnya direka untuk di sasarkan kepada semua golongan termasuk pertengahan dan bawahan.

4. Produk kecantikan usahawan tempatan kebanyakannya adalah berasaskan herba dan barangan yang halal. Dengan pembinaan kilang tempatan pula, kapasiti dan operasi pengeluaran produk dapat dipertingkatkan.

4. Kisah silam usahawan tempatan yang hidup mereka susah ketika zaman kanak-kanak menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berusaha mengubah kehidupan yang lebih baik tanpa mengenal erti putus asa.

5. Dugaan yang hebat sebelum dan selepas memulakan perniagaan menjadikan mereka cekal dalam mengharungi onak dan duri dalam bidang perniagaan ini.

6. Taraf penghidupan yang tinggi daripada segi ekonomi, contohnya memiliki kereta dan rumah mewah, mendapat pendapatan bulanan 5–6 angka menjadi daya penarik untuk seseorang itu menceburi bidang perniagaan produk kecantikan diri.

Kesimpulan

Wanita dan kecantikan sangat sinonim. Kedua-duanya tidak akan terpisah dan tidak boleh dipisahkan. Sebut sahaja tentang kecantikan kita pasti akan mengaitkannya dengan wanita.

Kecantikan juga secara tidak langsung telah membantu para usahawan produk kecantikan memajukan perniagaan mereka.

Ada sesetengah antara mereka ini yang telah pun bergelar jutawan kosmetik.

Untuk menjadi jutawan, corak minda dan jiwa mereka telah berubah. Untuk menjadi jutawan, mereka menekankan aspek disiplin dan juga perancangan yang bijak.

Untuk menjadi jutawan, ia tidak datang sekelip mata malahan perlu disertakan dengan usaha-usaha yang lain.

Kebanyakan mereka, walaupun sudah bergelar jutawan, tetapi tidak lupa pada asal-usul.

Dalam melihat kejayaan wanita yang terlibat dalam perniagaan kecantikan, selalunya kita hanya melihat kisah kejayaan mereka.

Tetapi pastinya di sebalik cerita kejayaan akan ada terselit liku-liku kepayahan dalam mengharungi hidup dan perniagaan.

Syabas diucapkan kepada yang telah berjaya, namun bagi yang masih merangkak, jadikanlah cerita-cerita hebat mereka sebagai pedoman kejayaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan