Friday, January 13, 2023

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Abu Umamah r.a. berkata: "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah SAW: "Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Mukjizat Al-Quran

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an: "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T.

Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya: "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"

Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Friday, November 11, 2022

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam kerana kebanyakan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan, di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Bulan bintang simbol Islam

Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain.

Bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam.

Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم.

Di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit.

Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.

ASAL USUL SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG

Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:

"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi).

Beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain.

Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, lalu mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut.

Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."

ISLAM TIADA SIMBOL RASMI

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya.

Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:

"Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi." (Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).

Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:

"Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya." (Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)

Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam.

Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu'dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah.

Simbol bulan bintang ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW.

Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: "Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid." (Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)

Kesimpulan

Penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka.

Bahkan di dalam Islam, simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.

Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT.

Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara' bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, November 09, 2022

Ketahui 8 Ciri-ciri Rumah Yang Disukai Jin!

Ketahui 8 Ciri-ciri Rumah Yang Disukai Jin!

Kali ini kami ingin berkongsikan pengalaman Ustaz Shams, seorang pensyarah di sebuah universiti berkaitan ciri-ciri rumah yang disukai Jin, agar dapat kita beringat dan sentiasa menjaga keamanan tempat kediaman kita.

Rumah Yang Disukai Jin
Gambar hiasan.

Difahamkan bahawa dalam pemerhatian melalui pengalaman Ustaz Shams menghalau jin di rumah, makhluk itu gemar berada di beberapa tempat seperti berikut:

1. Di depan pintu tandas dan di dapur

Kenapa dengan tandas, itukan tempat dia. Kenapa di dapur? Kerana sumber makanannya di situ ialah tulang-tulang dan bau busuk yang merupakan bau yang sangat disukainya.

Sebab itu, sisa-sisa makanan harus diikat dalam plastik dan terus buang kecuali kalau memang tuan rumah nak bela jin!

2. Depan Televisyen

Apa hubungan jin dengan Televisyen (TV)? Kerana syaitan atau jin dan maksiat bagaikan lagu dan irama yang tak dapat dipisahkan.

Kalau ahli rumahnya selalu melihat maksiat melalui TV malah berpesta maksiat maka itulah tempat yang disukainya.

Ada sebuah rumah saya dipanggil untuk halau gangguan jin, apabila saya tanya pembantu rumahnya, dia selalu melihat puntianak yang berjubah putih terbang dalam rumah dari dapur ke ruang tamu yang ada TV!

3. Jin akan tinggal di dalam bilik yang tidak selalu digunakan

Kes sebegini banyak saya temui. Di sebuah rumah dua tingkat, hanya tingkat bawah sahaja digunakan manakala tingkat atas tidak dibersihkan. Maka jin akan tinggal di situ.

Ada satu kes di sebuah rumah berdekatan Batu Caves, Selangor, rumah tersebut tidak diduduki sehingga lima tahun. Apabila saya masuk, saya mendapati ada jin di dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

Oleh kerana itu, penyewa atau pembeli enggan menduduki rumah itu kerana berasa takut sedangkan perhiasan dalamannya cantik.

4. Tempat yang ada alat muzik

Ada beberapa buah rumah yang saya pergi apabila ada gitar dan piano maka jin akan berada di situ kerana hubungan maksiat dengan jin terpisah tiada.

5. Di tempat yang ada gambar dan patung manusia atau binatang

Banyak hadis nabi SAW menegaskan bahawa malaikat rahmat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar dan patung, walaupun gambar keluarga yang digantung.

Pernah satu masa saya melakukan rukyah terhadap seorang pesakit yang menglami ‘slip disc’ yang mana pada kebiasaan, bagi saya tidak sukar melakukannya tetapi kurang berkesan semasa pengubatan kali ini dilakukan.

Selepas diperiksa rupa-rupanya terdapat patung dinasour atas almari di rumah itu. Sesudah buang patung itu, penyakit pesakit tersebut pulih dengan izin Allah selepas sesi rukyah diadakan semula.

6. Penghuni rumah menggunakan tangkal, azimat, buluh perindu

Dalam satu peristiwa di Gombak, saya pernah melakukan rukyah terhadap anak kecil yang kerap menangis.

Apabila saya periksa, di dalam rumahnya memang ada jin tetapi apabila dihalau, ia tak mahu keluar.

Saya bertanya kepada ayah anak itu, ada apa-apa yang dipakainya? Akhirnya, dia menyerahkan kepada saya buluh perindu miliknya.

Kemudian saya neutralkan buluh perindu itu dan saya bakar. Barulah jin keluar dari rumah dan anaknya berhenti menangis.

7. Rumah yang disimpan barang-barang lama

Ada satu kes di mana seluruh ahli rumah tersebut sakit-sakit disebabkan gangguan jin di dalam rumah yang disimpan barang-barang dipuja seperti barang-barang lama tinggalan nenek moyang atau barang pusaka.

8. Tinggal berdekatan rumah yang ditinggalkan kosong

Banyak rumah yang ditinggalkan kosong dan penghuninya bukan lagi manusia tetapi jin dan syaitan sebagaimana sabda nabi SAW yang mana pada akhir zaman ini terdapat banyak rumah syaitan.

Mudah-mudahan kita semua tidak terpedaya dengan tipu daya jin, iblis dan syaitan.

Kita hendaklah yakin bahawa Allah berfirman: "Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." [al-Isra’:82].

Silakan kongsi sebanyak mungkin semoga menjadi sebahagian amalan soleh kita.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, July 29, 2022

Langit atau Bumi, Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Langit atau Bumi, Mana Yang Diciptakan Dahulu?

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia." (Al-Baqarah: 117)

Penciptaan Langit atau Bumi

Ayat di atas ingin memperlihatkan kekuasaan Allah SWT yang mana menciptakan langit dan bumi tanpa ada ciptaan yang semisal dengannya sebelum ini. Melalui ayat ini juga, Allah SWT ingin memperlihatkan akan kesempurnaan kemampuan-Nya serta keagungan kekuasaan-Nya.

Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu." (Al-Baqarah: 29)

Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap.

Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/15).

Kejadian Langit & Bumi

Adapun mengenai kejadian langit dan bumi, Al-Quran banyak menyebutkannya, antaranya yang maksudnya: "Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas 'Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia." (Al-Furqan: 59)

Seterusnya yang maksudnya: "Allah lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" (Al-Sajdah: 4)

Para ulama telah berbeza pendapat pada menafsirkan فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayah iaitu: Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.

Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.

[Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Dar al-Fikr, 1/15]

Apapun pendapat yang terdapat di dalam permasalahan ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa.

Umur Bumi

Saintis menganggarkan umur bumi berdasarkan batu batan yang terdapat di atas muka bumi. Mereka menganggarkan usia bumi sebagai 4.5 bilion tahun.

Ini berdasarkan kajian radioaktif bahan uranium misalnya yang bertukar menjadi plumbum. Uranium sebagai bahan radioaktif yang terdapat batu batan mereput untuk bertukar menjadi plumbum yang lebih mantap.

Saintis mengetahui separuh hayat uranium lalu melihat kuantiti logam tersebut yang masih tertinggal selepas pereputan berlaku. Lalu usia batu tersebut dianggarkan.

Saintis mengkaji Kristal zircon di Jack Hill Australia mendapati usianya sebagai 4.04 bilion tahun yang dianggap Kristal tertua yang ditemui di atas permukaan bumi, lalu mereka mengishtiharkan bahawa Australia benua tertua di dunia.

Saintis Amerika pula mengishtihatkan Amerika sebagai benua tertua berdasarkan penemuan yang lain pula di Kanada.

Saintis Muslim pula menganggap strata bumi di bawah Kaabah merupakan bumi tertua berdasarkan hadis yang menceritakan, Makkah merupakan bumi pertama muncul sebelum pembentangan daratan berlaku dan berhujah bahawa seluruh benua terjadi serentak daripada tectonic plate (lempeng bumi) yang sama lalu terpisah antara satu dengan yang lainnya sehingga terbentuk 7 benua yang berjiran.

Penemuan zircon di Australia atau Amerika tidak menunjukkan bahan tersebut berasal dari bumi tetapi kemungkinan besarnya berhasil daripada ruang angkasa lepas sebagaimana intan dianggap saintis berasal dari angkasa lepas.

Penutup

Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan.

Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya.

Renunglah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang.

Lihatlah hamparan daratan yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan.

Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri.

Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita.

Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Aal Imran: 190-191)

Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, July 01, 2022

Tiga Peristiwa Penting Sempena Hari Raya Aidil Adha

Tiga Peristiwa Penting Sempena Hari Raya Aidil Adha

Hari Raya Haji, juga dikenali sebagai Hari Raya Korban atau Aidil Adha di Malaysia, disambut oleh umat Islam di seluruh dunia, dari dua hari yang penting dalam Islam.

Peristiwa Sempena Hari Raya Aidil Adha

Hari Raya Haji jatuh pada hari ke sepuluh di bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam kalendar Islam ataupun dikenali sebagai Kalendar Hijriah. Hari Raya Haji disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah di seluruh dunia.

Bagi meraikan kejayaan Umat Islam mengerjakan Fardu Haji, terdapat tiga peristiwa sejarah yang perlu dijadikan iktibar.

1. Kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s.

Peristiwa pertama adalah kisah Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s. yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim a.s. agar meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus. Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat islam menunaikan rukun islam yang ke lima iaitu Mekah.

2. Asal-usul Ibadah Korban

Peristiwa kedua adalah ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s.

Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini, maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim a.s. sudah bersedia menyembelih anaknya itu.

Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu?"

Anaknya menjawab: "Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar."

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).

Lantas Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan."

"Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian." Surah al-Soffaat: 101-108.

3. Pembinaan Kaabah

Peristiwa ketiga ialah pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua Nabi Allah yang mulia ini.

Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina semula Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh.

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah.

Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

"Dan (ingatlah), ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Jadikanlah sebahagian makam Ibrahim tempat solat."

Kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim mempunyai dua orang anak Ismail dan Ishak. Ismail adalah anak lelaki pertama dan Ishak adalah anak kedua. Apabila Nabi Ismail meningkat remaja Nabi Ibrahim melalui mimpinya telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Nabi Ibrahim berasa sangat sedih kerana beliau amat mengasihi anaknya.

Nabi Ibrahim dengan berat hati memberitahu berita buruk itu kepada anaknya Ismail.

Ismail anak yang patuh kepada ayahnya tanya kesedihan atau keraguan menyuruh Nabi Ibrahim s.a. menjalankan perintah Allah SWT itu.

Namun tidak semudah itu, hati Nabi Ibrahim amat berat kerana terpaksa menunggu lama untuk mendapat anak laki-laki iaitu Ismail dan sekarang dia terpaksa menjalankan perintah yang diturunkan oleh Allah SWT.

Nabi Ibrahim juga beberapa kali digoda oleh iblis supaya tidak mengikut perintah yang diwahyukan oleh SWT kepadanya.

Namun kepercayaan Nabi Ibrahim terhadap Allah SWT tidak goyah. Ismail juga tetap patuh terhadap orang tuanya dan percaya setiap yang diwahyukan kepada ayahnya adalah satu perintah yang harus dipatuhi.

Tibalah hari yang Nabi Ibrahim harus mengorbankan anaknya Ismail. Ismail dibaringkan sambil kedua tangan dan kakinya diikat. Nabi Ibrahim mengeluarkan pedang yang tajam dan dengan air mata yang berlinangan dia memandang wajah anaknya Ismail buat kali yang terakhir.

Parang diletakkan dileher Ismail sambil Nabi Ibrahim memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat dirinya menyembelih anak kesayangannya Ismail. Dia tidak teragak-agak terus menjalankan perintah Allah SWT tersebut.

Tetapi Allah telah menggantikan Ismail dengan seekor biri-biri. Alangkah gembiranya Nabi Ibrahim apabila dia membuka matanya bukan Ismail yang disembelih tetapi seekor biri-biri.

Teladan yang dapat dipelajari dari kisah Nabi Ibrahim ini adalah bagaimana patutnya anak terhadap perintah ayahnya, dan kepercayaan dan keimanan Nabi Ibrahim terhadap Allah SWT.

Peristiwa penting ini berlaku pada 10 Zulhijjah. Ini adalah tarikh permulaan Hari Raya Haji atau Korban yang diraikan oleh umat Islam diseluruh dunia sehingga ke hari ini.

Daging korban akan dibahagikan kepada umat Islam yang memerlukan seperti fakir miskin. Iannya adalah satu amalan mulia iaitu bersedekah khas bagi majlis korban tersebut.

Tradisi Sambutan Hari Raya Haji di Malaysia:
  • Pada pagi 10 Zulhijjah umat Islam di Malaysia berpakaian baru, bersih dan cantik lagi berwarna-warni pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyag sunat Aidil Adha.
  • Upacara korban selalunya berlangsung selepas selesai sembahyang sunat Hari Raya Haji.
  • Sebahagian besar umat Islam juga akan ke pusara menziarahi dan bersedekahkan doa buat sanak saudara yang sudah tiada.
  • Sama seperti waktu Hari Raya Puasa, mereka yang muda akan memohon kemaafan dari mereka yang lebih tua. Contohnya anak-anak memohon kemaafan daripada ibu bapa, datuk dan nenek.
  • Adalah menjadi kelaziman selepas sembahyang sunat Hari Raya semua akan menjamah pelbagai juadah yang lazat dan beraneka jenis sebelum menziarahi sanak saudara dan sahabat handai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, June 03, 2022

12 Kaum Yang Di Binasakan Allah Kerana Ingkar

12 Kaum Yang Di Binasakan Allah Kerana Ingkar

Kisah-kisah umat-umat terdahulu yang ingkar suruhan Allah telah menerima azab yang dahsyat dan pedih, antara sebab kenapa kaum ini dibinasakan, jadi kita wajib taat dan patuh serta beriman kepada Allah SWT.

Kaum Luth

Ikuti perkongsian ini bagaimana ia menceritakan tentang sejarah kaum yang dimusnahkan dan dibinasakan.

12 Kaum Yang Telah Dibinasakan Allah SWT

1. Kaum Nabi Nuh

Nabi Nuh a.s. adalah rasul Allah yang merupakan keturunan ke sepuluh dari nabi Adam a.s.

Diutus di negeri Armenia, beliau mengajarkan kaumnya untuk menyembah Allah dan melarang kaumnya memperhambakan diri kepada selain Allah.

Mulai usia Nabi Nuh a.s. 40 tahun hingga 950 tahun, beliau mengembangkan ajaran-ajaran agama Allah SWT akan tetapi manusia di waktu itu tidak mempedulikan seruan dan ajaran agama Allah tersebut.

Bahkan sebaliknya mereka memperolok dan membenci Nabi Nuh a.s. sehinggakan hanya sedikit sekali yang ingin beriman kepada Allah SWT.

Untuk hal itu Nabi Nuh a.s. menangis kerana sedihnya di atas keingkaran kaumnya itu kerana selama ratusan tahun beliau menjalankan tugas kerasulan, hanya sedikit saja yang mahu beriman kepada Allah SWT.

Kerana itulah Allah menyuruh Nabi Nuh a.s. untuk membuat perahu, kerana Allah bermaksud untuk menenggelamkan kaum yang derhaka itu.

Tidak lama setelah selesainya kapal kayu besar Nabi Nuh a.s., berhembuslah angin taufan yang sangat dahsyat.

Hujan turun dengan lebat, mata air bersemburan dari mana-mana yang terus menerus tak henti-hentinya selama berhari-hari.

Air pun bertambah tinggi dan bumi berubah menjadi lautan yang sangat luas.

Nabi Nuh a.s. melaksanakan perintah Tuhan, naiklah beliau dengan orang-orang yang beriman ke atas bahtera sehingga selamatlah mereka dari banjir yang sangat dahsyat.

Di tengah kapal sedang berlayar, tampaklah oleh Nabi Nuh a.s. anaknya yang hampir tenggelam.

Maka berserulah Nabi Nuh a.s.:

"Hai anakku! Naiklah ke kapal bersama kami dan janganlah engkau menjadi manusia yang ingkar terhadap Allah!"

Akan tetapi anak Nabi Nuh a.s. menolak seruan bapanya dan berusaha berenang ke arah gunung, namun air bah segera menenggelamkannya.

Menyaksikan hal itu Nabi Nuh a.s. sangat sedih, begitu sedihnya sehingga Nabi Nuh a.s. menyeru kepada Allah SWT.

"Oh, Tuhanku! anakku telah mati tenggelam, sedangkan ia termasuk keluargaku, padahal Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kami!"

Allah berfirman: "Hai Nuh! sesungguhnya orang-orang yang derhaka itu bukanlah termasuk keluargamu!"

Menerima firman Tuhan tersebut, Nabi Nuh a.s. dengan sangat takutnya meminta ampun kepada Allah kerana telah berkata dengan tak tahu apa yang dilarang oleh Allah, iaitu meminta agar anaknya diselamatkan, padahal anaknya termasuk golongan orang yang derhaka.

Setelah orang kafir ditelan oleh air, tinggallah orang-orang yang beriman mulai menempuh hidup baru di bawah bimbingan Nabi Nuh a.s.

Nabi Nuh a.s. wafat pada usia 950 tahun, akan tetapi selama beliau melaksanakan tugas kerasulannya hanya sedikit sekali yang mahu beriman. (QS Al-Ankabut : 14)

2. Kaum Nabi Hud

Nabi Hud a.s. adalah keturunan Nabi Nuh a.s. yang diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya, 'Ad.

Kaum 'Ad adalah umat yang hidup pada zaman itu yang memiliki sifat sangat sombong dan takbur kerana mereka merasa kuat dan pandai membuat bangunan-bangunan yang kukuh, walau bagaimanpun mereka tetap menyembah berhala.

Adapun kaum 'Ad tersebut telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang.

Allah SWT menimpakan angin tersebut kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus.

Kerana hal tersebut maka kaum 'Ad mati bergelimpangan seakan-akan mereka adalah batang pohon yang telah tumbang dan hancur.

Mereka musnah kerana azab dari Allah SWT yang sangat dahsyat dan hal itu terjadi kerana derhakanya mereka kepada Allah SWT.

"Setelah datang seksaan Kami, Kami selamatkan Hud dan orang-orang yang beriman bersama dia dengan rahmat Kami, dan Kami selamatkan pula mereka di akhirat dari azab yang berat." (s. Hud ayat 58)

Setelah terjadi malapetaka yang hebat itu kemudian Nabi Hud a.s. berpindah tempat tinggal di negeri Hadralmaut sampai akhir hayatnya kerana negeri 'Ad sudah hancur rosak dan binasa. (QS Attaubah: 70, Alqamar: 18, Fushshilat: 13, Annajm: 50, Qaaf: 13)

3. Kaum Nabi Saleh (Tsamud)

Bangunan Kaum Tsamud

Kaum pertama yang dimusnahkan oleh Allah SWT adalah kaum Tsamud. Dalam Surat Al Araaf ayat 73-74 disebutkan, bahawa kaum Tsamud dimusnahkan kerana mengingkari nikmat Allah dan tidak mahu menyembah-Nya.

"Hai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada Ilah bagi kalian selain-Nya. Kalian dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kalian pahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah."

Kaum Tsamud adalah salah satu kaum cerdik pandai yang memiliki kehebatan dalam membangun atau arkitek. Bangunan-bangunan indah di Jordan itulah bukti pernah adanya kaum Tsamud ini.

Nabi Saleh a.s. (صالح) merupakan salah seorang nabi dan rasul yang telah diutus kepada kaum Tsamud.

"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka Soleh. Ia berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun, (yang karenanya) kamu akan ditimpa siksaan yang pedih." (QS. al-A’raf [7]: 73).

Baginda telah diberikan mukjizat iaitu seekor unta betina yang dikeluarkan dari celah batu dengan izin Allah yakni bagi menunjukkan kebesaran Allah SWT kepada kaum Tsamud.

Malangnya kaum Tsamud masih mengingkari ajaran Nabi Saleh a.s. malah mereka membunuh unta betina tersebut.

Akhirnya kaum Tsamud dibalas dengan azab yang amat dahsyat iaitu dengan satu tempikan daripada Malaikat Jibril yang menyebabkan tubuh mereka hancur berkecai. (QS ALhijr: 80, Huud: 68, Qaaf: 12)

4. Kaum Nabi Luth

Nabi Luth adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. iaitu ayahnya yang bernama Haran bin Terah.

Nabi Luth diutuskan sebagai rasul kepada satu kaum yang mendiami sepanjang timur laut (Dari Israel-Jordan), Laut Mati. Ibu kota Sodom terletak di Utara Basin, Laut Mati.

Hampir keseluruhan kaum ini mengamalkan gaya hidup songsang, iaitu melakukan hubungan sejenis iaitu lelaki dengan lelaki yakni meninggalkan perempuan. Perbuatan ini merupakan suatu penyelewengan fitrah yang amat buruk.

Nabi Luth telah menyeru mereka untuk menghentikan perbuatan tersebut disamping menyampaikan seruan-seruan Allah, tetapi mereka mengabaikannya dan malah mereka mengingkari kenabiannya.

Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat. Kejadian ini berlaku pada kira-kira tahun 1800 sebelum Masihi.

Allah mendatangkan azab kepada mereka berupa gempa bumi yang dahsyat disertai angin kencang dan hujan batu sehingga hancurlah rumah-rumah dan kediaman mereka.

Dan, kaum Nabi Luth ini akhirnya tertimbun di bawah runtuhan rumah-rumah mereka sendiri. (QS Alsyuaraa: 160, Annaml: 54, Alhijr: 67, Alfurqan: 38, Qaf: 12)

5. Kaum Nabi Syuaib

Nabi Syuaib diutuskan kepada kaum Madyan yang telah dihancurkan oleh Allah kerana sikap mereka yang suka melakukan penipuan dan tidak jujur dalam perniagaan.

Apabila membeli, mereka meminta dilebihkan dan apabila menjual sentiasa mahu dikurangkan.

Allah mendatangkan azab kepada mereka berupa hawa panas yang teramat sangat.

Walau bagaimanapun, mereka cuba berlindung di tempat yang teduh, namun tidak mampu menghilangkan rasa panas. Akhirnya, mereka juga binasa. (QS Attaubah: 70, Alhijr: 78, Thaaha: 40, dan Alhajj: 44)

Selain kepada kaum Madyan, Nabi Syuaib juga diutus kepada penduduk Aikah. Mereka menyembah sebidang tanah atau padang yang pokok-pokoknya sangat rimbun kehijauan. Kaum ini mengikut sebahagian ahli tafsir disebut pula dengan menyembah hutan tebal. (Aikah) (QS AlHijr: 78, Alsyuaraa: 176, Shaad: 13, Qaaf: 14)

6. Firaun

Kaum Bani Israil sering ditindas oleh Firaun, lalu Allah mengutuskan Nabi Musa dan Harun untuk memperingatkan Firaun akan azab Allah.

Namun, Firaun malah mengaku sebagai tuhan. Ia akhirnya tewas di Laut Merah dan jasadnya berjaya diselamatkan.

Sehingga sekarang dikatakan jasad Firaun masih boleh dilihat di muzium mumia di Mesir. (Albaqarah: 50 dan Yunus: 92)

7. Ashab Al-Sabt

Mereka adalah satu golongan fasik yang tinggal di Kota Eliah, Elat (Palestin). Mereka melanggar perintah Allah untuk beribadah pada hari Sabtu.

Allah akhirnya telah menguji mereka dengan memberikan ikan yang banyak pada hari Sabtu dan tidak ada ikan pada hari lainnya.

Mereka meminta rasul Allah untuk mengalihkan ibadah pada hari lain, selain Sabtu. Mereka akhirnya dibinasakan dengan dilaknat Allah menjadi kera yang hina. (QS Al-Araaf: 163)

8. Ashab Al-Rass

Rass adalah nama sebuah telaga yang kering airnya. Nama Al-Rass ditujukan pada suatu kaum.

Kononnya, nabi yang diutus kepada mereka adalah Nabi Saleh, namun ada pula yang mengatakan Nabi Syuaib.

Sementara itu, yang lainnya mengatakan, utusan itu bernama Handzalah bin Shinwan (ada pula yang mengatakan bin Shofwan).

Mereka menyembah patung. Ada pula yang mengatakan, pelanggaran yang mereka lakukan kerana mencampakkan utusan yang dikirim kepada mereka ke dalam telaga sehingga mereka dibinasakan Allah. (Qs Alfurqan: 38 dan Qaf ayat 12)

9. Ashab Al-Ukhdud

Ashab Al-Ukhdud adalah satu kaum yang menggali parit dan menolak untuk beriman kepada Allah, termasuk rajanya.

Sementara itu, sekelompok orang yang beriman dihumbankan ke dalam parit yang telah dibakar, termasuk seorang wanita yang sedang mendukung seorang bayi. Mereka dikutuk oleh Allah SWT. (QS Alburuuj: 4-9)

10. Ashab Al-Qaryah

Menurut sebahagian ahli tafsir, Ashab Al-Qaryah (satu negeri) adalah penduduk Anthakiyah.

Mereka mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Allah membinasakan mereka dengan satu suara yang sangat keras. (QS Yaasiin: 13).

11. Kaum Tubba'

Tubaa adalah nama seorang raja bangsa Himyar yang beriman, namun kaumnya sangat ingkar kepada Allah sehingga melampaui batas.

Maka, Allah mendatangkan azab kepada mereka sehingga binasa. Kehidupan mereka juga sangat maju dan salah satu daripadanya adalah pembendungan air. (QS Addukhan: 37)

12. Kaum Saba

Mereka diberi pelbagai kenikmatan dan rezeki berupa kebun-kebun yang ditumbuhi pokok yang subur untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Saba.

Disebabkan mereka enggan beribadah kepada Allah walaupun sudah diingatkan oleh Nabi Sulaiman, akhirnya Allah telah menghancurkan empangan Marib dengan banjir yang sangat besar. (Al-Arim) (QS Saba: 15-19)

Kesimpulan

Kita sebagai manusia wajib dan perlu bersyukur di atas kurniaan-Nya. Semoga kita terhindar daripada menjadi golongan yang dilaknat oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, May 20, 2022

Gerhana Dua Kali Di Bulan Ramadhan Yang Dianggap Tanda Kedatangan Imam Mahdi Adalah Suatu Pembohongan!

Gerhana Dua Kali Di Bulan Ramadhan Yang Dianggap Tanda Kedatangan Imam Mahdi Adalah Suatu Pembohongan!

Isu yang sering menarik perhatian umat Islam ialah apabila fenomena Gerhana Berpasangan dikaitkan dengan kedatangan Imam Mahdi. Ia mahsyur digunakan terutamanya oleh beberapa individu atau pendokong ajaran sesat untuk menyokong dakwaan mereka bahawa merekalah Imam Mahdi yang ditunggu.

Gerhana Dua Kali Di Bulan Ramadhan
Gambar hiasan.

Dakwaan, jika diperhatikan berasaskan kepada beberapa hadis yang sering dirujuk mengenai ramalan kemunculan Imam Mahdi, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dalam Bab Sifat Solat Gerhana dari Kitab al-Aidain, dari Amr bin Shamir dari Jaabir dari Muhammad Ibn Ali berkata:

Yang maksudnya: "Sesungguhnya, Al-Mahdi yang kita nantikan itu memiliki dua mukjizat yang belum pernah terjadi semenjak Allah menciptakan langit dan bumi, (yakni) bulan mengalami gerhana pada malam pertama (awal) bulan Ramadhan, sedangkan matahari mengalami gerhana pada pertengahan bulan itu, dan kedua hal itu belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan langit dan bumi." (HR al-Dar al-Qutni)

Ulasan Hadis Oleh Ulama

Dalam kajian hadis, para ulama mendapati rantaian sanad hadis tersebut tidak sampai kepada Rasulullah SAW.

Ia hanya berhenti pada Muhammad bin Ali yang merupakan cucu Rasulullah SAW.

Di dalam istilah Ulum Hadis, ini dinamakan hadis munqati' atau terputus, kerana sandaran hadis ini tidak sampai terus kepada Rasulullah SAW.

Maka, pada pandangan sebahagian besar ulama, hadis yang kedudukannya begini tidak boleh dijadikan sandaran pada hukum fiqh apatah lagi akidah.

Di dalam rantaian perawi yang meriwayatkan hadis ini juga terdapat seorang yang bernama Amar bin Shamir.

Imam Dar al-Qutni yang meriwayatkan hadis ini menyatakan bahawa perawi ini tidak boleh dipercayai.

Riwayat tersebut sememangnya ada disebut dalam Kitab Sunan Dar al-Qutni melalui jalan riwayat yang berlainan.

Namun, para ulama hadis menyatakan bahawa hadis ini adalah munqati' dan Amar bin Shamir merupakan seorang yang sangat diragui.

Di dalam kitab Mizanul I'tidal, Imam al-Dzahabi telah mengumpulkan ulasan para ulama mengenai Amar bin Shamir.

Antaranya:

Imam Yahya Bin Mu'en berkata: "Perawi yang tidak dikenali".

Berkata Imam Jauzjani: "Dia seorang penipu".

Ibni Hibbaan menyatakan: "Seorang Syiah yang mencaci sahabat dan mereka-reka hadis dengan menggunakan nama-nama ulama yang berautoriti".

Berkata Imam Bukhari: "Hadisnya munkar."

Imam Yahya berkata: "Perawiannya tidak patut diterima".

Berkata Imam Sulaimani: "Amar mereka-reka cerita bagi menyokong dakwaan Syiah".

Imam Nasaai berkata: "Perawiannya ditolak."

Berdasarkan ulasan di atas, hadis tersebut adalah sangat lemah untuk dijadikan sandaran atau hujah yang kukuh apatah lagi dalam masalah akidah.

Maka kerana itulah hadis ini tidak boleh dijadikan dalil kepada dakwaan tersebut.

Gerhana berpasangan Dalam Ilmu Falak

Dakwaan Gerhana Berpasangan di atas juga, bersalahan dengan fitrah atau bukti-bukti saintifik.

Ini kerana gerhana bulan hanya akan berlaku ketika mana fasa bulan penuh seperti 15 hari bulan, manakala gerhana matahari pula berlaku pada fasa bulan ijtimak iaitu hujung bulan hijrah seperti 29 hari bulan.

Manakala di dalam hadis di atas pula menyatakan gerhana bulan berlaku pada awal bulan hijri manakala gerhana matahari pula pada pertengahan bulan hijri.

Oleh kerana hadis ini telah ditolak oleh para ulama hadis dan menyalahi hukum falak, sebahagian mereka yang menggunakan dalil ini akhirnya mengakui bahawa mengikut sunnatullah, gerhana bulan akan hanya berlaku pada 13 hari bulan, 14 hari bulan atau 15 hari bulan, bulan qamari dan gerhana matahari akan selalu berlaku pada 27 hari bulan, 28 hari bulan dan 29 hari bulan, bulan qamari.

Menyedari hal ini, mereka cuba merubah dan menafsirkan peristiwa gerhana tersebut untuk membuatkannya lebih menepati hukum falak dan meneruskan penipuan mereka terhadap orang jahil.

Mereka berhujah bahawa apa yang dimaksudkan itu sebagai 'malam pertama bulan Ramadhan', ialah malam pertama di mana gerhana bulan boleh berlaku, iaitu malam ke-13; dan 'pertengahan bulan Ramadhan' pula bermaksud hari pertengahan, dimana gerhana matahari boleh berlaku, iaitu hari ke-28.

Dakwaan mereka turut menyatakan gerhana dua kali dalam Ramadhan tidak pernah berlaku kecuali ketika kedatangan Imam Mahdi.

Namun, dakwaan mereka ini juga boleh dipertikaikan.

Dalam satu kajian oleh Syed Kamaruzzaman, gerhana berpasangan sejak tahun 1H hingga 2542H menunjukkan, sebanyak 264 kali gerhana berpasangan telah berlaku di seluruh dunia dan sembilan daripadanya berlaku di Mekah.

Daripada senarai ini, jelas sekali bahawa kejadian Gerhana Berpasangan ini memang agak jarang berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil atau mustahil berlaku.

Maka dapat disimpulkan di sini bahawa, mengaitkan gerhana dengan kedatangan Imam Mahdi berdasarkan nas yang telah kita bincangkan merupakan pegangan yang sangat longgar.

Sama ada kekuatan hadis mahupun kebenaran fakta, kedua-duanya dipertikaikan oleh para ulama.

Ramainya Pendakwa Imam Mahdi

Jika diteliti dalam sejarah, banyak orang yang telah mengambil kesempatan dari hadis di atas untuk mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi.

Antaranya Saleh bin Tarif Burghwati yang mengaku sebagai Imam Mahdi ketika berlaku Gerhana Berpasangan pada bulan Ramadhan 125H.

Mirza Ali Muhammad berpandukan gerhana pada bulan Ramadhan 1267H, Hussain Ali Bahaullah berpandukan gerhana berpasangan bulan Ramadhan 1289H, Mahdi Sudani berpandukan Gerhana Berpasangan bulan Ramadhan 1290H dan Mirza Ghulam Ahmad berpandukan Gerhana Berpasangan bulan Ramadhan 1311H. (Rujuk https://irshad.org).

Bagi membuktikan lagi Gerhana Berpasangan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa, penulis melakukan satu analisis bagi dakwaan Saleh Bin Tarif Burghwati yang merujuk Gerhana Bulan penumbra yang berlaku pada 14 Ramadhan 125H/11 Julai 743M.

Dalam kajian ilmu falak, Gerhana Matahari atau Bulan akan berlaku apabila Matahari dan Bulan berada tepat berhampiran dengan titik Nod atau Uqdah.

Pada 14 Ramadhan 125H, bulan berada pada kedudukan 343° iaitu 17° dari titik nod dan Matahari pula berada pada kedudukan bertentangan iaitu 164° bersamaan 16° dari titik nod.

Gerhana Bulan ini ialah ulangan Gerhana Bulan dari siri Saros 70 yang pernah berlaku pada 30 Jun 725 bersamaan 13 Safar 107H.

Pada 28 Ramadhan 125H/25 Julai 743M, berlaku Gerhana Matahari penuh di mana kedudukan Bulan dan Matahari ialah 179° iaitu 1° dari titik nod.

Gerhana Matahari ini pula adalah ulangan dari pusingan Gerhana Matahari pada siri Saros 96 pada 14 Julai 725M bersamaan 27 Safar 107H.

Berdasarkan perbandingan di atas, Gerhana Matahari dan Bulan dapat berlaku kerana ia memang berada berhampiran kedudukan titik nod.

Malah, berdasarkan kiraan, ia juga adalah ulangan Gerhana Berpasangan yang berlaku pada Bulan Safar 107H.

Ringkasnya, dakwaan Gerhana Berpasangan yang dianggap tanda kedatangan Imam Mahdi jelas merupakan satu pembohongan.

Ini berdasarkan penghujahan dalil yang sangat lemah, disokong dengan kajian ilmu falak sendiri yang telah menunjukkan gerhana bulan pada awal bulan dan gerhana matahari pada pertengahan bulan, adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Namun, jika Gerhana Berpasangan iaitu merujuk kepada gerhana bulan pada pertengahan bulan dan gerhana matahari pada hujung bulan, ia telah banyak kali berlaku.

Fenomena ini akan berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang dan kemungkinan akan wujud lagi mereka yang menggunakan fenomena tersebut bagi menyokong dakwaan mereka.

Maka, di sinilah kita perlu melakukan 'tabayyun' dengan lebih cermat dalam meneliti dakwaan-dakwaan individu yang cuba mengambil kesempatan dari keadaan ini.

Ini agar akidah umat Islam akan terus terjaga dan terpelihara dari penipuan musuh-musuh Islam atau mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan dunia semata.

Moga kita semua akan sentiasa dilindungi Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Penulis ialah Mohamad Faizal Jani, Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, May 06, 2022

Bolehkah Ibu bapa Menggunakan Duit Simpanan Anak-anak?

Bolehkah Ibu bapa Menggunakan Duit Simpanan Anak-anak?

Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah, mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.

Bolehkah guna duit raya anak

Di antara soalan yang sering diajukan adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka, termasuklah duit raya yang diterima, diguna ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian.

Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama bagi menjawab persoalan ini.

Jumhur (majoriti) fuqaha di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn 'Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi 'ala al-Syarh al-Kabir (2/522)

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang maksudnya: "Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini." Riwayat at-Tirmizi (2159)

Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: "Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah." Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)

Para fuqaha dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu: Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya dan Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain. Lihat al-Mughni (6/62)

Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW yang maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: "Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu." Riwayat Ibn Majah (2291)

Mengenai hadis ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: "Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadis ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya." Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)

Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: "Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat Aisyah r.a." Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)

Ulama juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيك” ataupun tidak.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut.

Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: "Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadis yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil." Lihat al-Mughni (5/397).

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadis tersebut, bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir r.a. yang maksudnya: "Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua." Lihat al-Muhalla (6/385)

Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho' bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut.

Mengenai hadis (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama menjawabnya dengan dua jawapan:

Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya.

Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: "Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadis. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadis tersebut." Lihat I’lam al-Muwaqi'in 'an Rabb al-'Alamin (1/116)

Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut.

Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.

Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: "Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain." Lihat ar-Risalah (hlm. 468)

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.

Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya.

Amiin.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)