Friday, May 20, 2022

Gerhana Dua Kali Di Bulan Ramadhan Yang Dianggap Tanda Kedatangan Imam Mahdi Adalah Suatu Pembohongan!


Isu yang sering menarik perhatian umat Islam ialah apabila fenomena Gerhana Berpasangan dikaitkan dengan kedatangan Imam Mahdi. Ia mahsyur digunakan terutamanya oleh beberapa individu atau pendokong ajaran sesat untuk menyokong dakwaan mereka bahawa merekalah Imam Mahdi yang ditunggu.

Gerhana Dua Kali Di Bulan Ramadhan
Gambar hiasan.

Dakwaan, jika diperhatikan berasaskan kepada beberapa hadis yang sering dirujuk mengenai ramalan kemunculan Imam Mahdi, antaranya yang diriwayatkan oleh Imam al-Dar al-Qutni dalam Bab Sifat Solat Gerhana dari Kitab al-Aidain, dari Amr bin Shamir dari Jaabir dari Muhammad Ibn Ali berkata:

Yang maksudnya: "Sesungguhnya, Al-Mahdi yang kita nantikan itu memiliki dua mukjizat yang belum pernah terjadi semenjak Allah menciptakan langit dan bumi, (yakni) bulan mengalami gerhana pada malam pertama (awal) bulan Ramadhan, sedangkan matahari mengalami gerhana pada pertengahan bulan itu, dan kedua hal itu belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan langit dan bumi." (HR al-Dar al-Qutni)

Ulasan Hadis Oleh Ulama

Dalam kajian hadis, para ulama mendapati rantaian sanad hadis tersebut tidak sampai kepada Rasulullah SAW.

Ia hanya berhenti pada Muhammad bin Ali yang merupakan cucu Rasulullah SAW.

Di dalam istilah Ulum Hadis, ini dinamakan hadis munqati' atau terputus, kerana sandaran hadis ini tidak sampai terus kepada Rasulullah SAW.

Maka, pada pandangan sebahagian besar ulama, hadis yang kedudukannya begini tidak boleh dijadikan sandaran pada hukum fiqh apatah lagi akidah.

Di dalam rantaian perawi yang meriwayatkan hadis ini juga terdapat seorang yang bernama Amar bin Shamir.

Imam Dar al-Qutni yang meriwayatkan hadis ini menyatakan bahawa perawi ini tidak boleh dipercayai.

Riwayat tersebut sememangnya ada disebut dalam Kitab Sunan Dar al-Qutni melalui jalan riwayat yang berlainan.

Namun, para ulama hadis menyatakan bahawa hadis ini adalah munqati' dan Amar bin Shamir merupakan seorang yang sangat diragui.

Di dalam kitab Mizanul I'tidal, Imam al-Dzahabi telah mengumpulkan ulasan para ulama mengenai Amar bin Shamir.

Antaranya:

Imam Yahya Bin Mu'en berkata: "Perawi yang tidak dikenali".

Berkata Imam Jauzjani: "Dia seorang penipu".

Ibni Hibbaan menyatakan: "Seorang Syiah yang mencaci sahabat dan mereka-reka hadis dengan menggunakan nama-nama ulama yang berautoriti".

Berkata Imam Bukhari: "Hadisnya munkar."

Imam Yahya berkata: "Perawiannya tidak patut diterima".

Berkata Imam Sulaimani: "Amar mereka-reka cerita bagi menyokong dakwaan Syiah".

Imam Nasaai berkata: "Perawiannya ditolak."

Berdasarkan ulasan di atas, hadis tersebut adalah sangat lemah untuk dijadikan sandaran atau hujah yang kukuh apatah lagi dalam masalah akidah.

Maka kerana itulah hadis ini tidak boleh dijadikan dalil kepada dakwaan tersebut.

Gerhana berpasangan Dalam Ilmu Falak

Dakwaan Gerhana Berpasangan di atas juga, bersalahan dengan fitrah atau bukti-bukti saintifik.

Ini kerana gerhana bulan hanya akan berlaku ketika mana fasa bulan penuh seperti 15 hari bulan, manakala gerhana matahari pula berlaku pada fasa bulan ijtimak iaitu hujung bulan hijrah seperti 29 hari bulan.

Manakala di dalam hadis di atas pula menyatakan gerhana bulan berlaku pada awal bulan hijri manakala gerhana matahari pula pada pertengahan bulan hijri.

Oleh kerana hadis ini telah ditolak oleh para ulama hadis dan menyalahi hukum falak, sebahagian mereka yang menggunakan dalil ini akhirnya mengakui bahawa mengikut sunnatullah, gerhana bulan akan hanya berlaku pada 13 hari bulan, 14 hari bulan atau 15 hari bulan, bulan qamari dan gerhana matahari akan selalu berlaku pada 27 hari bulan, 28 hari bulan dan 29 hari bulan, bulan qamari.

Menyedari hal ini, mereka cuba merubah dan menafsirkan peristiwa gerhana tersebut untuk membuatkannya lebih menepati hukum falak dan meneruskan penipuan mereka terhadap orang jahil.

Mereka berhujah bahawa apa yang dimaksudkan itu sebagai 'malam pertama bulan Ramadhan', ialah malam pertama di mana gerhana bulan boleh berlaku, iaitu malam ke-13; dan 'pertengahan bulan Ramadhan' pula bermaksud hari pertengahan, dimana gerhana matahari boleh berlaku, iaitu hari ke-28.

Dakwaan mereka turut menyatakan gerhana dua kali dalam Ramadhan tidak pernah berlaku kecuali ketika kedatangan Imam Mahdi.

Namun, dakwaan mereka ini juga boleh dipertikaikan.

Dalam satu kajian oleh Syed Kamaruzzaman, gerhana berpasangan sejak tahun 1H hingga 2542H menunjukkan, sebanyak 264 kali gerhana berpasangan telah berlaku di seluruh dunia dan sembilan daripadanya berlaku di Mekah.

Daripada senarai ini, jelas sekali bahawa kejadian Gerhana Berpasangan ini memang agak jarang berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang ganjil atau mustahil berlaku.

Maka dapat disimpulkan di sini bahawa, mengaitkan gerhana dengan kedatangan Imam Mahdi berdasarkan nas yang telah kita bincangkan merupakan pegangan yang sangat longgar.

Sama ada kekuatan hadis mahupun kebenaran fakta, kedua-duanya dipertikaikan oleh para ulama.

Ramainya Pendakwa Imam Mahdi

Jika diteliti dalam sejarah, banyak orang yang telah mengambil kesempatan dari hadis di atas untuk mendakwa dirinya adalah Imam Mahdi.

Antaranya Saleh bin Tarif Burghwati yang mengaku sebagai Imam Mahdi ketika berlaku Gerhana Berpasangan pada bulan Ramadhan 125H.

Mirza Ali Muhammad berpandukan gerhana pada bulan Ramadhan 1267H, Hussain Ali Bahaullah berpandukan gerhana berpasangan bulan Ramadhan 1289H, Mahdi Sudani berpandukan Gerhana Berpasangan bulan Ramadhan 1290H dan Mirza Ghulam Ahmad berpandukan Gerhana Berpasangan bulan Ramadhan 1311H. (Rujuk https://irshad.org).

Bagi membuktikan lagi Gerhana Berpasangan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa, penulis melakukan satu analisis bagi dakwaan Saleh Bin Tarif Burghwati yang merujuk Gerhana Bulan penumbra yang berlaku pada 14 Ramadhan 125H/11 Julai 743M.

Dalam kajian ilmu falak, Gerhana Matahari atau Bulan akan berlaku apabila Matahari dan Bulan berada tepat berhampiran dengan titik Nod atau Uqdah.

Pada 14 Ramadhan 125H, bulan berada pada kedudukan 343° iaitu 17° dari titik nod dan Matahari pula berada pada kedudukan bertentangan iaitu 164° bersamaan 16° dari titik nod.

Gerhana Bulan ini ialah ulangan Gerhana Bulan dari siri Saros 70 yang pernah berlaku pada 30 Jun 725 bersamaan 13 Safar 107H.

Pada 28 Ramadhan 125H/25 Julai 743M, berlaku Gerhana Matahari penuh di mana kedudukan Bulan dan Matahari ialah 179° iaitu 1° dari titik nod.

Gerhana Matahari ini pula adalah ulangan dari pusingan Gerhana Matahari pada siri Saros 96 pada 14 Julai 725M bersamaan 27 Safar 107H.

Berdasarkan perbandingan di atas, Gerhana Matahari dan Bulan dapat berlaku kerana ia memang berada berhampiran kedudukan titik nod.

Malah, berdasarkan kiraan, ia juga adalah ulangan Gerhana Berpasangan yang berlaku pada Bulan Safar 107H.

Ringkasnya, dakwaan Gerhana Berpasangan yang dianggap tanda kedatangan Imam Mahdi jelas merupakan satu pembohongan.

Ini berdasarkan penghujahan dalil yang sangat lemah, disokong dengan kajian ilmu falak sendiri yang telah menunjukkan gerhana bulan pada awal bulan dan gerhana matahari pada pertengahan bulan, adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku.

Namun, jika Gerhana Berpasangan iaitu merujuk kepada gerhana bulan pada pertengahan bulan dan gerhana matahari pada hujung bulan, ia telah banyak kali berlaku.

Fenomena ini akan berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang dan kemungkinan akan wujud lagi mereka yang menggunakan fenomena tersebut bagi menyokong dakwaan mereka.

Maka, di sinilah kita perlu melakukan 'tabayyun' dengan lebih cermat dalam meneliti dakwaan-dakwaan individu yang cuba mengambil kesempatan dari keadaan ini.

Ini agar akidah umat Islam akan terus terjaga dan terpelihara dari penipuan musuh-musuh Islam atau mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan dunia semata.

Moga kita semua akan sentiasa dilindungi Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Penulis ialah Mohamad Faizal Jani, Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon