Sunday, April 21, 2019

Berlian Merah Jambu, Siapa Cakap Bohong?

Berlian Merah Jambu, Siapa Cakap Bohong?

Pada 10 April 2019 lalu, Rosmah Mansor memberitahu media bahawa ada orang (atau sejumlah orang) datang menemuinya untuk memohon maaf kepadanya dan dia memaafkan mereka tetapi, kata Rosmah, apa yang lebih penting ialah orang itu mesti memohon maaf kepada rakyat kerana membuat mereka percaya kepada 'fitnah' yang dilemparkan terhadapnya.

Berlian Merah Jambu
Gambar hiasan.

Katanya lagi, dia ingatkan rakyat bijak untuk "mempercayai kebenaran, tetapi "mereka terpedaya dengan pembohongan" terhadapnya.

Apa yang mendorong isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu tampil berkata demikian ialah kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah mengenai berlian 22 karat berwarna merah jambu yang kerap dikaitkan dengannya.

Dua hari sebelumnya, Amiruddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ejen jualan yang membawa berlian bernilai jutaan ringgit itu telah dibawa keluar dari negara.

"Ya, ejen dah ikrar bawa (berlian) masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama bawa keluar. Jadi tidak berlaku pembelian (oleh isteri VVIP itu), sudah dibawa balik oleh ejen ini,” katanya.

Bagi Rosmah, kenyataan itu jelas membersihkan namanya daripada apa yang disifatkannya sebagai tohmahan dan fitnah berkaitan berlian merah jambu itu.

Namun, jika diteliti kenyataan timbalan menteri kewangan, kata kuncinya ialah, tiada pembelian di Malaysia! Ia sama sekali tidak bermakna berlian itu tidak dijual atau tidak dibeli sama sekali.

Adakah Najib Berbohong?

Suami Rosmah, Najib Razak ketika ditemuramah rangkaian berita antarabangsa Al Jazeera Oktober 2018 lalu turut ditanya mengenai berlian merah jambu itu.

Jawapan diberikan adalah sangat mengejutkan jika dikaitkan semula dengan dakwaan berlaku fitnah terhadap Rosmah ketika ini kerana mengingati semula pengakuan Najib, ia merupakan hadiah pemberian putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mansour Zayed dan dia tidak tahu siapa yang membayar untuk Berlian Merah tersebut.

Mengapa pula putera raja itu mahu memberi hadiah, apatah lagi berlian yang cukup mahal harganya?

Kata Najib, pemberian hadiah mahal memang budaya Timur Tengah.

Kesimpulannya, berlian merah jambu tidak dibeli di Malaysia, tetapi mungkinkah transaksi dibuat di luar negara?

Adakah ia dibeli dengan wang 1MDB? Siapa yang membeli dan menerimanya? Berlian itu milik siapa sekarang? Adakah seperti wang 2.6 bilion, berlian merah jambu telah dikembalikan?

Nampaknya kena tunggu kes 1MDB dibicarakan di mahkamah. Rasanya semua akan terhurai di sana.

Sementara itu, ingin ditegaskan bahawa untuk mengatakan rakyat tidak bijak kerana terpedaya dengan pembohongan mengenai berlian merah jambu itu adalah satu kenyataan yang tidak adil.

Tidak adil untuk rakyat biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Atlet Angkat Berat Wanita Perancis Patah Tangan Ketika Siaran Langsung

Atlet Angkat Berat Wanita Perancis Patah Tangan Ketika Siaran Langsung

Seorang atlet angkat berat wanita, Gaelle Nayo-Ketchanke, 30, yang sedang bersaing dalam kategori 76 kilogram mewakili negaranya Perancis pada Kejohanan Angkat Berat Eropah di Batumi, Georgia, mengalami saat mengerikan apabila lengannya patah ketika melakukan aksi yang disiarkan secara langsung.

Patah tangan angkat berat
Gaelle Nayo-Ketchanke.

Menurut laporan The Sun UK, Gaelle ketika itu sedang melakukan percubaan ketiga pada berat 107 kilogram apabila secara tiba-tiba lengan kirinya patah akibat tekanan.

Jeritan Gaelle dapat didengari dalam video yang disiarkan oleh Persekutuan Angkat Berat Eropah melalui siaran langsung.

Penonton tergamam melihat Gaelle yang pernah memenangi pingat perak pada kejohanan tahun 2018 lalu di Romania, terbaring menahan kesakitan sambil memegang lengannya.

Patah tangan

Pasukan perubatan bergegas membantu Gaelle dan dia dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas meninggalkan pentas angkat berat.

Menurut laporan perubatan, lengan Gaelle patah di beberapa tempat dan bahunya terkehel.

Gaelle dalam entri terbaharu di Instagramnya memuat naik foto dirinya yang telah selamat menjalani rawatan dengan lengan dan sikunya berbalut.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kejohanan dan rakan sepasukannya yang bertindak cepat dalam insiden berkenaan.

Ahli sukan patah tangan

"Saya keluar daripada Kejohanan Eropah ini dengan cara yang paling menarik, saya menerima banyak mesej sokongan dan ketika ini sedang menunggu penerbangan pulang ke Perancis untuk melakukan ujian lanjut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan dan teknikal Persekutuan yang bertindak balas dengan cepat dan jurulatih serta rakan-rakan saya dari pasukan Perancis,” tulisnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

2 Biji Mangga 'Telur Matahari' Di Jepun Terjual RM18,450

2 Biji Mangga 'Telur Matahari' Di Jepun Terjual RM18,450

Dua biji mangga premium mencatat rekod apabila ditawarkan pada harga ¥500,000 (RM18,450~) pada acara lelongan di pasar borong di wilayah Miyazaki, Jepun, lelongan pertama musim ini yang telah meletakkan mangga istimewa dinamakan Taiyo no Tamago atau Telur Matahari itu lebih mahal berbanding yang ditawarkan tahun 2018 lalu iaitu ¥400,000 (RM14,761).

Telur Matahari Mangga Paling Mahal
Telur Matahari.

Sebelum ia ditawarkan kepada umum, hasil tanaman perlu memenuhi beberapa kriteria iaitu, beratnya sekurang-kurangnya 350gram setiap satu, mengandungi kadar gula yang tinggi dan lebih 50 peratus kulitnya berwarna merah.

Syarat berkenaan telah ditetapkan oleh Persekutuan Ekonomi Pertanian Miyazaki.

Acara lelongan buah-buahan yang bermula pada kira-kira jam 7 pagi itu dipenuhi pengunjung yang kemudiannya terkejut mendengar pengumuman harga bagi dua biji mangga berkenaan.

Ia dibeli syarikat pemborong barangan tempatan di Miyazaki.

"Harga belian mangga itu sekurang-kurangnya memberi semangat kepada penanam mangga untuk terus menghasilkan tahanam yang bermutu," kata pekerja syarikat berkenaan.

Diserahkan kepada pembelinya dalam bekas khas dengan beratnya mencecah kira-kira satu kilogram, ia akan dijual di sebuah pasar raya di Fukuoka.

Musim tuaian mangga di Jepun bermula pada pertengahan Mei hingga Jun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 49: Rahsia Sebuah Kolam

SBDJ Siri 49: Rahsia Sebuah Kolam

Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan nafas sambil bibirnya bergerak-gerak. Perlahan-lahan datuk membuka tapak tangan kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak tangan.

Rahsia Sebuah Kolam

Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca halus dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah bilik.

"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada orang yang kau santau ibu santau ini akan bertambah, bila tidak ada orang yang kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya lihat Dumba anggukkan kepala.

"Kau mahu melupa dan membuang ilmu yang kau tuntut ini Dumba?"

"Ya."

"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?"

"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu amal ibadah saya diterima oleh Allah.

"Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."

Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya. Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali, sambil mengecilkan mata kanannya.

Bola matanya yang terlindung oleh kelopak mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan.

Saya yakin, apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati kecil Dumba.

"Kau ikhlas Dumba?"

"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.

Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari anyaman buluh berkecai atas lantai.

Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang.

Matahari bersinar dengan baik, tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka tidak mendengar bunyi ledakan petir.

Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan.

Kedua belah tapak tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa sekali.

Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh anggota-anggota pengakap saja.

Mereka bangun perlahan-Iahan, macam orang membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka.

Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang mata.

Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri Dumba dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak jatuh.

Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan kiri datuk.

Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya. Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan berpeluh.

"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku Dumba?"

"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa berbuat begitu."

"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau tentu dapat merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"

"Dari sebelah kanan."

"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup dari sebelah kanan badan kau Dumba."

"Ya."

Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk terus duduk bersila panggung.

Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri dirapatkan ke pangkal pusat.

Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri.

Cara duduknya, tidak ubah seperti pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut ilmu silat.

Perlahan-lahan daluk merenung dinding bilik, macam mencari sesuatu. Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui.

Datuk menggamit saya yang masih berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.

"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia untuk angin masuk ke dalam.

"Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?", suara datuk meninggi. Dia tidak merenung ke wajah Dumba.

"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.

Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali, bagaikan setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu.

Datuk meluruskan badannya seketika. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan dengan dinding rumah.

"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk aku", kata datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding. Dumba bangun dan mematuhi cakap datuk.

"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung datuk lagi sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba. Dumba sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.

"Sumbat cepat", ujar datuk lagi dalam nada suara yang agak meninggi.

Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga ditemuinya.

"Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah dinding, bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan oleh datuk dipatuhi oleh Dumba dengan hormat.

Dumba pun mengisut. Lebih kurang dalam jarak satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, datuk menyuruh Dumba berhenti mengisut.

Satu arahan lagi datuk keluarkan untuk Dumba. Datuk suruh Dumba hulurkan tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan.

Dumba lakukan dengan teliti hingga telapak tangannya yang mengenggam kain kuning itu bertemu dengan dinding.

Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil sebesar wang siling lima puluh sen.

Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan bilik ini, tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil Dumba. Keningnya kelihatan berkerut.

"Sumbat lubang tu', pekik datuk.

Dumba segera menyumbat lubang itu dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik jadi gelap gelita buat beberapa saat.

Bila keadaan kembali terang, Dumba segera mendapatkan datuk kembali.

"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangai dinding tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu melakukan apa saja", Dumba menyatakan pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum. Tanpa menyebut sesuatu datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang bilik. Berdiri di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh.

Matanya merenung tajam pada serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang berkumpul di situ.

Lama juga datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca kelihatan berkilau-kilauan.

"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci Dumba", datuk mohon pertolongan dari Dumba.

Tanpa membuang masa Dumba terus menuju ke arah peti hitam yang terletak di sudut bilik.

Bila penutup peti hitam yang dibuat dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang nipis naik ke udara.

Tanpa memperdulikan kepulan asap terscbut, Dumba hulurkan tangan kedalam peti tersebut.

Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan besi bulat sepanjang enam inci.

Dengan tenang dia melangkah menghampiri datuk dan serahkan besi itu pada datuk.

Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik telapak tangan, datuk menerima besi tersebut.

"Memang bekas asalnya", suara datuk merendah sambil merenung besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.

"Memang betul", jawab Dumba.

"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas datuk.

"Saya mengikut saja."

"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba."

Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi bulat tersebut.

Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan bcrdekatan dengan serbuk kaca, rambut dan miang buluh.

Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya dilangkah setapak ke depan.

Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal. Lagi sekali datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai.

Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan perlahan-lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang besi sepanjang enam inci itu.

Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, datuk segera menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu dengan segumpal kain hitam.

Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi sepanjang enam inci itu menjadi merah, seperti besi yang dibakar.

Datuk membiarkan besi itu disitu. Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang, barulah datuk mengambilnya dengan menggunakan kain hitam juga.

"Ke mari Tamar", kata datuk.

Saya segera menghampirinya dan Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk memandang wajah kami dengan tenang.

"Cuba lihat."

Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan oleh datuk. Saya gelengkan kepala beberapa kali sambil menggigit lidah.

"Terbakar", kata Dumba.

"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang kau simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas datuk.

Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.

"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia semua saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau kepada manusia".

Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap datuk itu. Saya anggukkan kepala beberapa kali.

Tanpa membuang masa lagi, datuk terus memasukkan besi sepanjang enam inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran lubang buluh itu kira-kira satu hingga dua inci.

Datuk balut buluh kuning itu dengan kain hitam. Buluh kuning itu datuk perolehi dari dalam bilik itu juga. Datuk letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.

"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah sudah aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi bersama", dengan tenang datuk menujukan kata-kata itu pada Dumba.

Datuk terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar. Datuk berdiri disitu merenung ke langit. Daun pintu datuk rapatkan kembali.

Semua gerak-geri datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor matanya. Saya kira, Dumba belum begitu yakin dengan niat datuk untuk berbuat baik dengannya.

"Meniarap", pekik datuk dengan sekuat hati.

Bagaikan ada satu kuasa yang mendorong saya merebahkan badan dengan begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian.

Bila saya renung arah datuk saya dapati datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai.

Ketika itu juga saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin itu berpusing-pusing dalam empat penjuru bilik.

Semua yang berada dalam bilik tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi suara ledakan yang tidak berapa kuat.

"Bangun", kata datuk.

Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu bilik terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang-layang keluar ikut pintu tersebut.

Bila keadaan sudah kembali tenang, datuk segera menghampiri saya dan Dumba.

Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan berdebar tidak menentu.

Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di hadapan mata saya sendiri.

Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut datuk.

"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini seperti menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang mulia di antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata datuk.

Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata datuk itu. Dia terus memeluk lutut datuk.

Dengan kasar datuk menolak Dumba hingga terlentang atas lantai. Dumba berguling-guling sambil menangis.

Saya jadi kelam-kabut melihat keadaan yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut segera bertindak agak kasar.

Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya ke belakang.

"Apa kena kau Dumba?"

"Masanya sudah sampai."

"Apa yang sampai?"

"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan."

"Mana kau tahu?"

"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang.

Ayah saya dulu, secara tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia mati dibunuh orang."

Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya.

Dia jadi serba salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada sesuatu perkara yang tidak berasas.

Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri Dumba itu secara tidak langsung menafikan kekuasaan Allah.

Meskipun tangan Dumba dipulas agak kuat, kesannya tidak ada pada Dumba.

Dia terus meronta-ronta seolah-olah dia tidak mengalami sebarang rasa sakit.

Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat datuk terus membaca surah Al-Fatihah beberapa kali.

Kemudian datuk merapatkan mulutnya ke telinga Dumba sambil membaca surah Al-Ikhlas.

Sebaik saja ayat-ayat dari surah itu tersebut datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak meronta-ronta lagi.

"Dumba."

"Ya."

"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak ada manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun orang itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan langkah."

"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."

"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya sudah sampai", datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak. Sepasang matanya merenung wajah datuk.

"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang mengamalkan ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap sebagai perkara yang benar dan mesti.

"Mereka sudah melupakan kebesaran Allah, akal fikiran yang diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

"Di sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang Islam", datuk memberikan ceramah singkat.

Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding sambil melihat pokok-pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang-pukang kedudukannya. Daun buluh juga sudah kelihatan layu.

Datuk segera bangun lalu mengambil buluh kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu diletakkan di celah ketiak kirinya.

"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."

"Ke mana lagi tuan."

"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan kawan saja', ujar datuk sambil melangkah ke pintu.

Saya segera bangun begitu juga dengan Dumba. Sampai di muka pintu, datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke arah saya dan Dumba.

"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada suara yang agak cemas.

"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini", balas datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.

Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang terlelak di bahagian belakang kedainya.

Ketika melintas di ruang kedai, saya lihat ramai juga orang yang minum kopi di situ.

Dumba terus menemui salah seorang pekerja sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori datuk hingga ke tepi jalanraya. Datuk merenung ke langit lagi.

"Cuaca baik", katanya.

"Ke mana kita nak pergi tok?"

"Ke bukit sana", telunjuk datuk mengarah ke sebuah bukit yang letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam-balam dari tepi jalan.

Saya mula membayangkan tentang kesusahan yang akan dialami untuk sampai ke tempat tersebut.

Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah, saya terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu.

Mahu saja saya mencadangkan pada datuk, supaya membatalkan hasratnya itu tetapi, saya tidak berani menyuarakannya pada datuk.

"Mari, jangan buang masa lagi", datuk pun melangkahkan kaki kanannya.

Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti sama ada saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu.

Bagi saya, kaki kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke tempat yang dituju.

Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani takut dengan datuknya.

Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang yang mahu menjadi orang berilmu macam datuk.

Kerana itu agaknya, saya tidak punya cita-cita walau sebesar biji saga untuk jadi macam datuk. Tetapi, saya terhibur mengikutinya ke mana-mana.

Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya menuju ke arah Tajung Malim.

Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan sebuah bukit kecil, datuk menyuruh kami berhenti berjalan.

"Kita masuk ikut ini", kata datuk.

"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.

"Ikut saja cakap saya", balas datuk sambil tersenyum memandang ke arah saya.

Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke dalam hutan kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang subur.

Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu dijalanraya merenung ke arah kami yang berdiri di tepi jalan.

Mereka merasa hairan melihat kami herdiri di situ sambil merenung ke bukit kecil.

Badan saya mula berpeluh dipanah matahari yang cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya meramalkan sudah hampir pukul dua belas tengahari.

"Mari", datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan kecil.

Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit berjalan, saya sudah tidak mendengar bunyi kenderaan di jalanraya.

Kiri kanan saya di penuhi dengan pokok-pokok besar yang tinggi.

Cuaca agak lembab, sinar matahari tidak dapat menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh pokok-pokok besar.

Suara burung liar bersahut-sahutan, di samping suara reriang rimba yang memanjang dan menyeramkan.

Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya terpaksa melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepak akar-akar rotan, dan kayu yang menjalar di situ.

Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya hadapi. Dia melangkah dengan rancak dan bersemangat.

Tetapi, wajahnya sentiasa dibayangi rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus asa.

Datuk terus juga melangkah tanpa memperdulikan keadaan diri saya dan Dumba. Dia tidak mahu ambil tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih.

Perjalanan menuju ke bukit tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh terlanggar akar kayu.

Nyamuk hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan Dumba. Suara nyamuk itu cukup nyaring dan kuat sekali.

"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya.

Datuk mematikan langkahnya lalu menghampiri pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar sebesar lengan budak. Salah satu akar itu datuk potong dengan golok.

"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya.

Air dari akar kayu itu terus saya sedut hingga rasa dahaga hilang.

Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti yang saya lakukan tetapi datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuhi muka saja.

"Jauhkah lagi tok?", tanya saya.

"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."

"Selari angin tu apa dia tok?"

"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang datuk sambil ketawa.

Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan bukanlah satu perkara yang senang.

"Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang", sebaik saja mendengar cakap datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan meneruskan perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu.

Saya menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang dilerengnya dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam.

Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh dalam rimbunan pokok bertam dan kelubi.

Anda tentu dapat membayangkan betapa sakitnya badan, bila duri-duri yang tajam itu menyucuk daging tubuh saya yang lembut ini.

Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak bukit yang tinggi menjulang itu.

Dari puncak bukit itu, saya dapat melihat hutan yang cukup luas menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat menarik dan cantik sekali.

Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin menyentuh kulit muka dan badan, terasa sejuk dan nyaman sekali.

Awan kelihatan berarak dengan tenang, tidak ada suara burung hutan atau monyet, kecuali bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah puncak bukit.

Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila berhadapan dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah keluh batin saya sendirian.

"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara negeri Pahang dan Selangor," ujar datuk yang tersandar di pangkal pokok besar.

Sebaik saja dia bercakap, datuk segera bangun.

Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan Dumba ikut serta.

Dalam waktu beberapa minit datuk hilang dari pandangan kami dilindungi oleh pokok-pokok besar yang tumbuh gagah di situ.

Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk datuk itu.

Rasa bimbang itu hilang bila datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah belakang kami.

"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu datuk pada kami dengan wajah yang riang. Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam tersebut.

Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih kurang lima rantai.

Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak bukit, bentukanya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi sebarang jenis rumput.

Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya dianggarkan sepuluh kaki dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya cukup jernih.

Bahagian atas tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan bertam. Kerana kolam itu berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat menerima sinaran matahari dengan cukup sempurna.

Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok-pokok besar, tidak ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau tersadai di tebingnya.

Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu dengan begitu rapi dan baik sekali.

Datuk terus berpusing di bibir kolam itu sebanyak tiga kali kemudian, datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan ke dalam kolam. Air dalam kolam berombak.

"Tempat yang sesuai", kata datuk sambil bertinggung dibibir kolam.

Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan mulutnya sambil menghembus angin.

"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan tempat binatang minum", tambah datuk lagi sambil berdiri.

Saya dan Dumba berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu pada datuk.

"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang jadi tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan yang kejam menyeksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku ajak kau ke mari", datuk berleter lagi.

Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu yang menekan perasaannya.

"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku melakukan semuanya ini?", datuk mengajukan pertanyaan sambil mcrenung wajah Dumba dengan tepat.

Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa cemasnya dari pengetahuan datuk.

"Kau takut Dumba?"

"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."

"Jangan jadi bodoh," datuk marah dengan tiba-tiba.

Suara datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas hilang dari diri Dumba.

Datuk segera mengambil buluh kuning yang tersepit di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali ke udara sambil mulutnya membaca sesuatu.

Dengan pantas datuk mencabut sebatang pokok yang besarnya kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun.

Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok tcrsebut dengan tali guni.

Kemudian datuk terus membenamkan akar pokok dan batang kayu ke dalam kolam.

Cara datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia tidak perlu masuk ke dalam kolam.

Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak tujuh kali mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari sebelah kiri ke kanan.

Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah-tengah kolam, barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut kolam.

Datuk berada betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama. Dia berada di situ lebih kurang tiga minit saja.

Dan keadaannya seperti orang terbang dengan kedua belah kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala tangannya terus menekan pokok yang masih berdaun itu ke perut kolam dengan penuh tenaga.

Bila tugasnya selesai, datuk memusingkan badannya ke udara dan bergerak ke tepi tebing sebelah kiri.

Dia berdiri di situ, seolah-olah dia tidak melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan itu berlaku bagaikan mimpi di badapan mata saya dan Dumba.

Datuk segera menghampiri kami. Saya lihat pokok yang datuk cacakkan di tengah kolam itu bertukar warna.

Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga dengan batangnya.

Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar menjadi kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan asap di permukaan kolam.

Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila asap di permukaan kolam tinggal itu hilang, datuk menyuruh saya mencari pucuk bertam dan kelubi.

Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan kulit jelutung. Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri.

Semua yang datuk inginkan dapat saya dan Dumba adakan.

Semua ramuan itu datuk biarkan berada daIam kolam selama setengah jam.

Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembaIi jernih dan pokok yang datuk benamkan di tengah kolam kembaIi segar.

"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama sepuluh keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah membuangnya dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya", terang datuk pada Dumba.

Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk datuk dengan eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya dengan penuh mesra.

"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan saya yang akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang tidak pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata.

Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga perasaan saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan datuk di tengah hutan itu.

Bila keadaan sudah tenang datuk mengambil pucuk bertam, kelubi dan kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung.

Datuk mengambil dengan tangan sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.

"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku berjaya", suara datuk lemah.

Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa kesyukuran.

Tamat siri 49/284

BACA: SBDJ Siri 48: Bertemu Ibu Santau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 20, 2019

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Resepi masakan Rendang merupakan hidangan tradisi Raya bagi kebanyakan orang Melayu di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia yang sering di hidangkan terutamanya ketika menyambut hari raya kerana seakan tidak lengkap suasana meriah tanpa hidangan yang lazat dan menyelerakan ini.

Asal-usul Rendang

Rendang merupakan masakan daging yang disediakan dengan santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik.

Rendang sesuai dihidangkan sebagai lauk, yang mana ia dimakan dengan lemang, nasi, pulut kuning atau pulut kunyit, ketupat palas atau ketupat pulut, ketupat nasi, roti atau diratah makan begitu saja.

Kebanyakan bahagian daging lembu yang digunakan untuk membuat rendang ialah daging batang pinang kerana rasa dagingnya yang lembut dan sedap.

Selain dijadikan hidangan pada hari perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, rendang juga disajikan pada majlis kenduri-kenduri seperti tamat berzanji, majlis perkahwinan, majlis berkatan atau bersunat, kenduri doa selamat, kenduri hari jadi dan sebagainya.

Rendang yang dimasak boleh dinikmati bersama pelbagai jenis hidangan karbohidrat seperti nasi himpit, ketupat, nasi putih dan pulut.

Rendang di Malaysia boleh dimasak dengan pelbagai jenis bahan utama seperti daging, ayam, itik dan puyuh serta terdapat juga rendang yang dimasak menggunakan organ dalaman haiwan seperti paru, hati dan limpa.

Sajian ini boleh dimasak menurut pelbagai cara sama ada secara kering ataupun basah.

Asal-Usul Rendang di Malaysia

Makanan yang mempunyai aroma yang menyelerakan ini dikatakan asalnya disediakan oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Indonesia.

Di Malaysia, terdapat populasi Minangkabau yang besar di Negeri Sembilan dan disebabkan budaya Minangkabau dibawa dan diadaptasi menurut cara masyarakat setempat, budaya dan masakan masyarakat Malaysia juga sedikit sebanyak dipengaruhi.

Di Malaysia, setiap daerah mempunyai hidangan rendang tersendiri dan disebabkan itu, resepi rendang telah dipelbagaikan supaya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai contoh, antara jenis-jenis rendang yang terkenal di setiap pelosok negara ialah:
  • Rendang Ayam Lengkuas Sabah.
  • Rendang Daging Tok di Perak.
  • Rendang Hati Johor.
  • Rendang Ayam Nogori.
  • Rendang Minang Negeri Sembilan.
  • Rendang Daging Hitam Sarawak.

Rendang Sebagai Penyatuan Keluarga dan Komuniti

Masakan rendang yang datangnya dari negara jiran ini jika dimasak untuk kenduri yang akan dihadiri oleh sejumlah tetamu yang ramai, aktiviti gotong royong akan diadakan oleh jiran tetangga yang terdekat.

Gotong royong terjadi apabila jiran tetangga berkumpul di rumah yang mengadakan kenduri dan membawa bahan-bahan asas yang diperlukan untuk memasak hidangan ini.

Selain hidangan rendang, hidangan lain yang disediakan untuk kenduri tersebut juga dimasak secara bergotong-royong seperti nasi minyak dan ayam masak merah.

Semua jenis hidangan rendang boleh disimpan untuk jangka masa yang lama dan ia tidak mudah basi.

Ini kerana kadar air yang terkandung di dalam rendang yang kering atau basah (rendang berkuah) adalah punca rendang boleh disimpan di dalam peti sejuk dalam masa yang lama.

Selain itu, penggunaan rempah yang berlebihan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan rendang tidak mudah basi.

Kaedah Masakan Turun-Temurun

Rempah ratus yang dicampur bersama bahan lain untuk menghasilkan rendang juga berfungsi sebagai antimikroba dan antioksida yang melindungi kita daripada penyakit berbahaya.

Masakan rendang boleh bertahan sehingga 3 bulan tanpa merubah rasa asal serta aroma hidangan dan walaupun disimpan lama, rasa hidangan tersebut akan menjadi semakin enak.

Hidangan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia ini sebenarnya dimasak untuk jangka masa yang lama oleh generasi terdahulu dan cara masakan tersebut masih diamalkan oleh penduduk-penduduk di kampung.

Rendang dimasak lama kerana mahu daging yang dimasak dalam rencah rendang menyerap segala rasa rempah yang dimasukkan disamping memastikan daging dimasak sehingga empuk dan kering.

Semakin lama dimasak, semakin enak rasa rendang tersebut dan lebih lama rendang itu dapat disimpan.

Jadi, bersiap-sedialah untuk mencuba (bagi sesiapa yang tidak mencuba) dan menyediakan masakan ini pada Aidilfitri dan Aidiladha yang akan menjelang tiba.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: butterkicap

Payudara Wanita Tidak Berhenti Membesar Akibat Penyakit Pelik!

Payudara Wanita Tidak Berhenti Membesar Akibat Penyakit Pelik!

Seorang wanita dari bandar Bolton, England tidak berani keluar rumah disebabkan sejenis penyakit dikenali sebagai makromastia yang menyebabkan payudaranya terus membesar dan kini mencapai saiz 48 J, lapor akhbar Daily Mail.

Payudara Fiona Hornby
Fiona Hornby.

Payudara Fiona Hornby, 25, mula membentuk dengan pantas sejak dia berusia 10 tahun menyebabkan saiz baju dalam berubah daripada ukuran C kepada J dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya sudah tidak dapat mencari baju yang muat dengan saiz dada saya sekarang. Saya mengalami sakit belakang yang teruk dan tidak boleh tidur dengan selesa malah terpaksa berhenti mandi separuh jalan kerana berasa sakit dengan beratnya,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu kini bimbang untuk menyusu badan kerana khuatir bayinya mungkin lemas ditindih.

Dia disahkan menghidap mikromastia pada tahun 2015 dan kini sudah tidak aktif bersenam seperti ketika remaja dan awal usia 20-an kerana berasa sakit jika berdiri dan berjalan terlalu lama.

Hornby juga sedang mengumpulkan derma sebanyak £5,500 (RM30,000) melalui laman web GoFundMe untuk menjalani pembedahan mengecilkan payudara kerana perkhidmatan kesihatan awam Britain tidak membiayai prosedur tersebut manakala gajinya sebagai kerani tidak mencukupi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Kod 'E' Pada Label Makanan Adalah Produk Khinzir?

Kod 'E' Pada Label Makanan Adalah Produk Khinzir?

Kod E yang digunakan pada label makanan oleh negara Kesatuan Eropah adalah merujuk kepada bahan aditif yang dibenarkan dan lazimnya dikaitkan mengandungi bahan bersumberkan babi atau khinzir.

Istilah produk babi

Namun, tidak semua produk makanan yang tertera kod ‘E’ adalah haram, kata Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Katanya, kod E tersebut diguna pakai bagi menerangkan mengenai bahan tambah (aditif) dalam sesuatu produk makanan.

Tidak semua produk yang tertera kod E haram kerana ada bahan tambah daripada sumber halal justeru, pengguna khususnya umat Islam tidak perlu bimbang.

Dr Sirajuddin berkata, Jakim mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi untuk mengeluarkan pensijilan halal kod-kod makanan.

Sikap rakyat Malaysia yang begitu mudah melatah dan cepat menghukum sesuatu produk apabila sahaja terdapat kod E sebagai tidak halal seperti kod E110 berkaitan warna bahan yang digunakan.

Semak dulu kesahihannya di laman web http://www.halal.gov.my sebelum menghukum.

Di sini, kita boleh tahu produk itu halal atau tidak. Pengguna harus bijak membuat penilaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama

Sejarah Kapal Kontena Sebagai Pengangkutan Penting Di Laut

Sejarah Kapal Kontena Sebagai Pengangkutan Penting Di Laut

Kapal kontena adalah kapal dagang atau kapal kargo yang boleh dimuatkan dengan kontena dalam teknik yang dikenali sebagai pengkontenaan dan merupakan salah satu alat penting dalam pengangkutan di laut.

Sejarah Kapal Kontena Di Dunia
CMA CGM Antoine de Saint Exupery.

Kapal kontena direka bentuk dengan tujuan untuk memaksimumkan penggunaan ruang bagi menjimatkan kos penghantaran kontena.

Sejarah

Kapal kontena terawal ialah kapal tangki yang diubahsuai, dibina dari lebihan kapal tangki T2 selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1951, kapal pertama khusus untuk kontena mula beroperasi di Denmark dan antara Seattle dan Alaska.

Kapal khusus untuk kontena yang pertama di Amerika Syarikat ialah Ideal-X, sebuah kapal tangki T2, milik Malcom McLean, yang membawa 58 kontena besi antara Newark, New Jersey dan Houston, Texas dalam pelayaran pertamanya pada bulan April 1956.

Hari ini, lebih kurang 90% kargo bukan pukal di dunia diangkut menggunakan kontena dan kapal kontena moden mampu membawa sehingga 15,000 TEU.

Dari segi kelas, kapal kontena sekarang menyaingi kapal tangki minyak dan kapal kargo pukal sebagai kapal komersil terbesar di lautan.

Pembinaan

Kapa kontena direka bentuk dengan tujuan untuk memaksimumkan penggunaan ruang. Kapasitinya diukur dalam unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), iaitu unit piawai kontena berdimensi 20 × 8.0 × 8.5 kaki (6.1 × 2.4 × 2.6 meter) (panjang × lebar × tinggi).

Untuk kontena 40 kaki (12 meter), unit persamaan yang digunakan ialah 2 TEU atau 1 FEU (unit bersamaan empat puluh kaki).

Kapal kontena yang besar tidak membawa alat-alat pengendalian kontena sendiri, jadi pemunggahan dan pemuatan cuma boleh dibuat di pelabuhan yang dilengkapi kren.

Bagaimanapun, kapal yang lebih kecil sehingga 2900 TEU selalunya dilengkapi dengan krennya sendiri.

Sering digelar "bot kotak" (box boats), kapal kontena mengangkut majoriti kargo kering (dry cargo) atau barangan kilang di dunia manakala kargo seperti besi, arang batu atau gandum diangkut oleh kapal kargo pukal.

Terdapat banyak kapal-kapal besar yang melayari laluan perdagangan laut yang dimiliki oleh syarikat perkapalan utama, dan terdapat juga kapal-kapal yang dikenali sebagai "kapal penghantar" (feeder ship) yang lebih kecil digunakan untuk menghantar kontena kepada kapal-kapal besar melalui hab pemindahan di pelabuhan.

Kebanyakan kapal kontena dikuasakan oleh enjin diesel dan mempunyai anak kapal antara 20 dan 40 orang, yang biasanya mempunyai blok kediaman yang besar di bahagian belakang berhampiran bilik enjin.

Kapal Kontena Terbesar

Pada masa kini, CMA CGM Antoine de Saint Exupery, adalah kapal kontena terbesar dunia dan pernah berlabuh di Malaysia pada tahun 2018 yang lalu.

Kapal kontena yang lebih panjang daripada empat padang bola dan lebih panjang daripada Menara Eiffel itu memilih pelabuhan Westports di Pelabuhan Klang sebagai destinasi persinggahannya di Asia Tenggara sempena pelayaran sulungnya.

Kapal kontena yang berkeupayaan mengangkut 20,600 TEU, iaitu unit bersamaan kontena 20 kaki, itu adalah kapal terbaharu milik syarikat perkapalan Perancis CMA CGM.

Senarai limbungan

Kapal-kapal kontena besar yang melebihi 7000 TEU telah dibina di limbungan-limbungan berikut.
  • Odense Steel Shipyard, Denmark.
  • Hyundai Heavy Industries, South Korea.
  • Samsung Heavy Industries, South Korea.
  • Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering Co., Ltd, South Korea.
  • IHI, Kure, Japan.
  • Mitsubishi Heavy Industries, Nagasaki, Japan.
  • Hudong-Zhonghua Shipbuilding, Shanghai, China.

Risiko

Transit tanpa henti kontena di seluruh dunia membawa bersamanya risiko yang sangat besar.

Antara risikonya ialah berkaitan pemuatan dan pemunggahan kontena, samada ia memberi kesan kepada kargo itu ataupun kapal itu sendiri.

Oleh kerana sifatnya yang kurang menonjol dan jumlahnya yang besar dikendalikan di pelabuhan utama, kontena memerlukan organisasi yang kompleks bagi memastikan ia tidak hilang, dicuri atau dihantar ke destinasi yang salah.

Selain itu, kontena dan kargo yang dibawanya memberi beban berat yang besar kepada sesebuah kapal kontena, jadi proses memuat dan memunggah perlu dilakukan dengan mengambil kira keseimbangan kapal kerana ia memberi kesan langsung kepada pusat berat kapal tersebut.

Pengemudian di pesisir pantai dan pelabuhan juga mengundang bahaya kepada anjungan kapal seperti apa yang berlaku kepada sebuah kapal kontena yang melanggar jambatan teluk Oakland, San Francisco pada 7 November, 2007.

Dianggarkan terdapat 10,000 kontena hilang dari atas kapal di laut setiap tahun.

Kebanyakan kes hilang berlaku akibat ribut dan arus yang kuat tetapi terdapat juga kes seluruh kapal hilang bersama muatannya di lautan.

Kontena yang jatuh ke laut menjadi ancaman kepada alam sekitar, diistilahkan sebagai sampah marin'.

Perisian muatan moden seperti modul

BELCO, SEALASH dan DAGO, membantu mengurangkan risiko yang disebabkan oleh atur muat kontena yang tidak betul.

Spesifikasi

Kargo yang terlalu besar untuk kontena biasa boleh dibawa di atas kontena rak rata, kontena buka atas dan kontena pelantar.

Terdapat juga kapal yang dikenali sebagai roll-on/roll-off (RORO), yang menggunakan sistem tanjakan untuk memuat dan memunggah, untuk membawa kargo pukal seperti kereta dan mesin berat.

Masa depan

Kapal kontena dibina dengan saiz yang lebih besar untuk mengurangkan kos dan salah satu kelas saiz kapal ialah piawai 'Suezmax', merujuk kepada saiz kapal terbesar yang boleh melalui terusan Suez dan mampu membawa muatan sehingga 14,000 TEU.

Kapal sebegini mempunyai berat mati sehingga 137,000 metrik tan, 400 meter panjang, lebih daripada 50 meter lebar, mempunyai drauf menghampiri 15 meter, dan menggunakan kuasa lebih daripada 100 MW (134,102hp) untuk mencapai 25.5 knot, satu spesifikasi yang dipenuhi oleh Emma Mærsk.

Mengatasi saiz Suezmax ialah 'Malaccamax' (untuk Selat Melaka), kapal yang mampu memuatkan 18,000 TEU, berat mati sehingga 300,000 metrik tan, 470 meter panjang, 60 meter lebar, 16 meter drauf dan menggunakan lebih daripada 100 MW (134,102hp) untuk kelajuan 25.5 knot.

Ini mungkin satu had kepada semua kapal dagang sebelum laluan kontena sedunia yang baru dibina.

Halangan utama untuk rekabentuk kapal dengan saiz ini ialah ketiadaan enjin tunggal berkemampuan, yang kemudiannya diatasi dengan enjin MAN B&W K108ME-C.

Masalah lain ialah kekurangan pengilang yang mampu mengeluarkan bebaling yang mampu menerima kuasa enijn ini, yang perlu berdiameter lebih kurang 10 meter dan seberat 130 tan.

Masalah lain seperti masa di pelabuhan dan fleksibiliti laluan perkhidmatan merupakan halangan sama yang akhirnya menghadkan perkembangan saiz kapal kontena bersaiz lebih besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

SBDJ Siri 48: Bertemu Ibu Santau

SBDJ Siri 48: Bertemu Ibu Santau

Hidung dan mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.

Bertemu Ibu Santau

Saya ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya tidak mahu berpisah dengan datuk.

Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.

"Tamar kau cucu tok," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.

"Cucu tok harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil menepuk-nepuk kepala saya.

Saya segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengedutkan kulit dahi.

Ada sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi atau berada dalam alam khayalan.

Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit, ternyata saya tidak bermimpi.

Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.

"Tok, apa dah jadi," tanya saya.

"Kita diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu kiri.

Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkokkannya sedikit, manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.

Bunyi angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran.

Putik-putik kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang pokoknya digoncang oleh manusia.

Datuk segera merenung langit malam, ada bulan berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung geruda.

Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan serigala di kaki bukit.

Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan menakutkan.

Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam bentuk lembaga manusia bermata satu.

Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting.

Dalam keadaan bentuk pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.

Saya jadi bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok itu mengepung diri saya dan datuk.

Apa yang wujud di hadapan kami ialah pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat.

Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah apa yang terjadi di hadapan matanya.

Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak.

Dari leher ke perut berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut berbentuk ruas buluh.

Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi, keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.

Semua manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang, manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau kunang-kunang.

Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang keluar dari sarang kerana di kacau orang.

Seluruh tubuh datuk digayuti oleh kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata: Allah hu Akhbar tiga kali berturut-turut.

Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut, kunang-kunang itu hilang.

Datuk terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama terdengar ledakan.

Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri. Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu padam, saya dan datuk tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.

"Kita pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada saya.

Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan sikap datuk kali ini.

Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan pulang jadi cepat.

Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya pejamkan mata sambil memaut bajunya.

Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

“Cara itu dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut suka hati,” tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran saya.

Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu apa yang tersurat dalam hati.

Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh.

Kokok ayam sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya dan datuk.

“Melihat pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul empat pagi,” kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke jalan raya.

Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan kami.

“Apa benda tu tok?”

“Kau diam.”

Saya terus mengigit bibir. Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana.

Dalam keadaan yang serba pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal.

Matanya merah menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas, mempamerkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib dalam sekelip mata.

“Sudahlah, tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri kita, bukankah kita ini hamba Allah,” saya terdengar suara datuk bercakap ke arah tempat bayang-bayang manusia dan kucing hitam itu ghaib.

Bila datuk selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.

Kali ini langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk menyamakan langkah saya dengan langkahnya.

Hasilnya, saya termengah-mengah dan badan terus berpeluh dalam dingin subuh.

Datuk dan saya sampai ke kaki tangga masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil air sembahyang.

Selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran hingga waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.

“Bangun, jangan tidur bertemankan syaitan,” datuk goncang badan saya yang tersandar di tiang masjid.

Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung sudah berada dalam masjid.

Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.

“Saya mimpi tok.”

“Mimpi apa?”

“Saya terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tok.”

“Ah, yang kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air sembahyang,” sergah datuk.

Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan fardhu Subuh.

“Hebat juga awak malam tadi,” ujar Mahyuddin.

“Saya tak faham dengan apa yang awak cakap.”

“Tak faham atau sengaja tidak mahu faham,” Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah pulang.

Saya yang berdiri dekat datuk segera kerutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata-kata Mahyuddin itu?

Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan diri Mahyuddin.

Saya juga tidak dapat memastikan antara Dumba dengan Mahyuddin, siapa yang lebih awal datang ke masjid.

Saya juga tidak tahu adakah mereka bertegur sapa antara satu sama lain.

MANDI

Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan.

Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.

"Kau tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki tangga.

Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.

"Aku sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam mengeluh di hadapan saya.

Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju tetap selamat dan diberkati.

Di bawah sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tiada saya ketahui arah tujuannya.

Bila saya dapati datuk tidak melencong dari jalan tanah merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai Dumba.

Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi.

Dumba menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada datuk.

"Saya sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di depan datuk.

Saya lihat datuk mempamerkan senyum. Sepasang matanya meraut seluruh wajah Dumba.

Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain.

Dia bagaikan tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu.

Dumba menarik datuk ke dalam kedai tanpa mahu mendengar jawapan dari datuk atas pertanyaan yang diajukan olehnya.

"Jangan duduk di sini, mari kita masuk ke bilik saya," ujar Dumba ketika datuk menarik bangku untuk duduk dalam ruang kedainya.

Datuk renung ke arah bilik yang ditunjukkan oleh Dumba dengan jari telunjuknya.

Bilik tersebut terletak di bahagian dapur kedai yang dipisahkan oleh satu ruang khas selebar empat kaki.

Pintu bilik dibuat dari papan yang sudah diketam tanpa palang zig-zag. Ada dua pasu bunga terletak di kiri kanan pintu yang ditanam dengan pokok daun hati-hati serta lidah buaya.

Dumba buka pintu. Kami pun masuk dan duduk bersila di lantai menghadapi sebuah meja panjang yang rendah.

Bentuk meja itu hampir menyerupai meja yang digunakan oleh orang Jepun untuk minum teh.

Tiang meja dibuat dari buluh, begitu juga dengan bahagian permukaan meja dianyam dengan buluh yang terlalu indah seni pembuatannya.

Beberapa pokok buluh aur, buluh betung dan buluh lemang ditanam dalam pasu besar pada setiap sudut bilik menjadikan suasana dalam bilik itu cukup tenang dan aman tetapi agak seram.

Seorang pekerjanya masuk lalu meletakkan tiga cawan kopi bersama tiga pinggan kecil nasi lemak. Dumba duduk bersila di sebelah meja buluh tersebut.

"Minum dan makanlah ini yang ada untuk awak berdua," kata Dumba.

Saya pun memperkemaskan sila lalu membongkok untuk memegang tangkai cawan.

Secara mendadak datuk mendehem sambil menepuk pangkal paha kanan saya. Saya tidak jadi memegang tangkai cawan.

"Minum jangan segan-segan," suara Dumba cukup ramah.

Datuk anggukkan kepala sambil menyeluk saku bajunya. Datuk mengeluarkan secebis kain merah yang selalu digunakan untuk mengikat kepalanya.

Kain itu datuk genggam. Datuk tarik nafas panjang-panjang. Sepasang mata datuk merenung air kopi di dalam cawan dengan renungan yang amat luar biasa sekali.

Saya terkejut, cwan di hadapan saya dan datuk kelihatan merekah dan akhirnya terus pecah berkecai, air kopi melimpah atas meja buluh. Pinggan nasi lemak terbalik dengan sendirinya.

Dumba terus memegang bibir meja, suasana cerah dalam bilik segera bertukar menjadi agak kelam, macam hari mahu hujan.

Saya tidak berbuat apa-apa. Punggung saya bagaikan terpaku di lantai. Tidak boleh bergerak walau seinci pun.

Kerongkong saya tiba-tiba terasa sakit dan pedih untuk menelan air liur.

Antara datuk dan Dumba bagaikan ada pertarungan secara kebatinan. Masing-masing menggunakan tenungan kekuatan kuasa mata.

Saya lihat datuk meletakkan ibu jari kirinya atas muka meja. Ibu jari itu datuk tekan hingga bahagian yang ditekan itu mengeluarkan asap serta berlubang.

"Saya senang berhadapan dengan asak Dumba, kita boleh mencari kejujuran di sini," suara datuk parau.

Urat matanya kelihatan merah tersembul. Dumba berhenti memegang bibir meja, bahagian bibir meja yang dipegangnya kelihatan hitam. Dumba termenung sejenak.

"Saya bukan orangnya untuk awak jadikan musuh," tambah datuk sambil berdiri.

Dada saya terasa panas macam ada bara api di dalamnya. Saya cuba bangun tetapi tidak berdaya, punggung terasa berat.

Dumba terus duduk bertafakur, kedua belah ibu jarinya didekatkan ke lubang hidung.

Datuk mula bersikap kurang ajar. Datuk pijak dada meja yang dibuat dari buluh. Dumba tidak juga bergerak dari tempatnya.

Perlahan-lahan Dumba meletakkan tangan kanannya di atas meja, ketika itu juga cahaya panas mula masuk ke dalam ruang bilik.

Batang tubuh datuk yang berdiri mencipta bayang yang memanjang di atas lantai.

Dumba bangun bagaikan kilat lalu melintasi bayang datuk sambil menghembuskan nafas dengan sekuat hati pada ibu jari kirinya yang terlekap di hidung.

"Dumba jangan khianati aku," pekik datuk sambil menundukkan badan.

Hembusan angin dari hidungnya tepat mengenai tiang bilik. Tiang itu berasap dan berlubang.

Saya kira kalau hembusan angin dari hidung Dumba kena pada tubuh datuk, tentu tubuh datuk berlubang dari belakang hingga ke dada.

Bila asap di tiang itu hilang, saya lihat di lantai pangkal tiang ada habuk dalam bentuk abu yang berkilat-kilat.

Datuk menepuk dadanya dengan tangan kiri. Habuk yang terkumpul segera berselerak menjadi dua bahagian.

Bahagian pertama menjadi serbuk kaca yang halus, manakalan bahagian kedua terdiri dari miang-miang buluh bercampur dengan sejenis getah dari pokok Ipoh.

Dumba tersandar di dinding bilik. Dia kelihatan tidak bermaya. Kemudian jatuh perlahan-lahan dan terduduk di situ. Seluruh mukanya berpeluh.

"Mengakulah Dumba, semua kejadian yang berlaku di sini, puncanya dari kau.

"Aku tahu kau mahu menguji aku, sebab itu kau kenakan pemandu lori balak yang minum di kedai kamu," datuk meluahkan perasaannya.

Dumba tidak berkata walau sepatah pun. Saya menarik nafas dengan rasa lega yang amat sangat kerana saya boleh bergerak dan bangun. Dada saya yang terasa panas kembali normal.

"Demi Allah yang Maha Besar, kalaulah aku tahu niat kau dari mula-mula dulu, aku tidak akan berjanji mahu menolong kau.

"Apakah daya keikhlasan dan kejujuran hatiku sudah kau salah tafsirkan, kau mahu memperdayakan aku Dumba," datuk terus mengeluh.

Wajahnya kelihatan muram, penuh dengan rasa hampa dan kecewa yang amat sangat.

SINAR

Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik.

Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati.

Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahunya.

Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru-biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung.

Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima-lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh-peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya.

Saya terkejut dan hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Kelima-lima jari datuk merekah dan retak seribu.

Dari rekahan itu keluar air jernih menitik atas lantai. Beberapa saat kemudian, keadaan kelima-lima jari datuk kembali dalam keadaan biasa.

Wajah Dumba kembali berdarah, tidak pucat macam wajah mayat.

"Dumba aku mahu kau berterus terang dan marilah kita mencari sesuatu yang baik untuk diri kita dan orang lain," nada suara datuk merendah.

Dahi Dumba digosoknya berkali-kali. Datuk terus duduk bersila di hadapan Dumba.

"Kau ada masalah? Sila terangkan, kalau boleh aku atasi aku akan membantu kau," datuk renung muka Dumba.

Saya lihat Dumba kedutkan keningnya. Sepasang mata Dumba menatap tiap sudut bilik, bagaikan mencari sesuatu.

"Sebenarnya, aku benci semuanya ini, tetapi aku tidak ada cara lain untuk mengatasinya, sama ada aku mahu atau tidak aku terpaksa melakukannya."

"Apa yang awak cakapkan ini?"

"Hal yang kau lihat."

"Ilmu santau yang kau amalkan ini."

"Ya, ilmu yang aku tuntut ini mengikat diri aku, kalau aku tidak melakukan dengan apa yang aku janjikan ketika menuntut dulu, anak bini aku jadi korban."

"Kerana sayangkan anak bini, orang lain kau korbankan."

"Ya aku terpaksa."

Datuk menggigit bibir. Dia masih kurang yakin dengan apa yang dikatakan oleh Dumba.

Dia merasakan kata-kata itu merupakan satu perangkap bagi Dumba untuk menguji sejauh mana kekuatan diri datuk.

Sesungguhnya, datuk tidak mahu dirinya diuji atau dicuba. Datuk tahu dia serba kekurangan. Apa yang ada pada dirinya sekadar cukup untuk melindungi dirinya sendiri.

"Maafkan aku Dumba, apa yang terjadi bukanlah niat aku untuk mencabarmu, semua yang aku lakukan kerana mahu menolong kau."

"Aku faham," suara Dumba parau.

Dia pun bangun sambil mengajak datuk duduk di satu sudut bilik berdekatan dengan pokok buluh aur yang ditanam dalam pasu besar.

Pada mulanya, datuk memang keberatan untuk memenuhi permintaan Dumba itu.

Tetapi, setelah Dumba sendiri mengubah kedudukan pasu besar yang ditanam dengan pokok buluh aur itu ke tempat lain, barulah datuk memenuhi permintaannya.

"Ingat Dumba yang kita cari kebaikan, bukannya pergaduhan."

"Saya faham."

"Kalau kau sudah faham, penuhi syarat dari aku."

"Apa syaratnya."

"Duduk berhadapan, kedua-dua kepala lutut kau bertemu dengan kepala lutut aku, tangan kanan aku menindih tangan kanan kamu. Apa kamu setuju?"

"Setuju."

Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik.

Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya dan sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri.

Saya tahu, bila datuk mempertemukan kepala lututnya dengan kepala lutut Dumba, secara tidak langsung datuk mengunci pergerakan Dumba yang dikiranya akan bermula dari gerakan kaki.

Bila datuk menindih tangan kanan Dumba dengan sendirinya racun santau yang berada di celah kuku Dumba akan menjadi tawar.

Cukup bijak datuk bertindak kali ini. Dia tidak mahu diperdayakan, fikir saya.

"Apa masalah kamu Dumba," datuk renung biji mata Dumba.

"Aku merasakan saat kematian aku sudah hampir, boleh jadi dalam tempoh sebulan dua lagi."

"Macam mana kau tahu semuanya ini?"

"Mengikut firasat ilmu yang aku tuntut, menunjukkan ada tanda-tanda yang aku akan mati."

"Salah satu daripada contohnya Dumba?"

"Aku selalu menangis bila mahu menunaikan janji yang aku buat ketika menuntut dulu.

"Aku takut dengan ilmu yang aku amalkan dan aku merasakan diri aku terlalu jauh dengan Allah yang mencipta diriku dan Alam."

Datuk memejamkan kelopak matanya. Saya terdengar bunyi daun pintu diketuk orang.

Datuk menyuruh saya membuka pintu. Bila pintu dibuka, tidak ada manusia di luar. Tengkok saya mula terasa seram.

Pintu saya rapatkan kembali. Bila saya mahu duduk, terdengar lagi ketukan di pintu tetapi, kali ini datuk memberi isyarat pada saya supaya jangan memperdulikan ketukan itu.

Aneh, pintu itu terbuka dengan sendiri dan tertutup dengan sendiri.

"Ceritakan apa yang terniat dalam hatimu Dumba."

"Begini, aku tidak akan menurunkan ilmu ini pada keturunan aku, kerana tidak menguntungkan tetapi, bila aku mati, salah seorang daripada anak aku akan mewarisnya dengan secara tidak langsung, perkara itu terjadi diluar pengetahuan mereka dan kerelaan aku."

"Kalau mereka menolak bagaimana?"

"Mereka akan jadi korban. Aku harap kau dapat menolong aku, aku sudah menguji kamu, aku tahu kau boleh berusaha ke arah itu."

CERITA

Datuk menarik nafas panjang. Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya.

Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. Menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai.

Ayahnya bekerja di ladang cengkih kepunyaan Belanda. Tuan punya ladang tersebut mempunyai beberapa orang ketua pekerja yang terdiri dari orang-orang Indonesia yang tidak bertimbang rasa, selalunya menyeksa para pekerja.

Akibat dari perbuatan ketua-ketua pekerja di situ membuat ayahnya masuk ke hutan dan bertapa dalam sebuah gua dengan tujuan menuntut ilmu.

Bila ayahnya keluar dari tempat pertapaan, Ayahnya terus membalas dendam dengan menggunakan ilmu santau.

Akhirnya, ayahnya mengambil upah membunuh orang dengan ilmu yang dituntutnya.

"Walaupun ayah saya handal tetapi, dia mati juga ditikam orang dengan ranting buluh tumpat," kata Dumba dengan wajah yang sedih.

"Itu saja ceritanya Dumba."

"Ada lagi, kerana menuntut ilmu itu adik perempuan saya jadi korban. Ketika ayah menuntut adik saya di panah petir dan mayatnya terus hilang.

"Menurut ayah, adik saya memang dijadikan makanan syaitan tempat ayah menuntun ilmu."

Datuk menggaru kepala yang tidak gatal. Sekali-sekala datuk menjeling ke arah saya sambil mengerutkan dahinya. Saya tidak tahu apa yang datuk fikirkan.

Suasana dalam bilik yang tadi cerah tiba-tiba menjadi agak gelap. Saya segera bangun dan membuka tingkap kecil di sudut bilik melihat ke langit.

Ada awan mendung bertompok-tompok tetapi, matahari masih bersinar, saya juga terlihat titik-titik yang halus turun dari langit. Jam ketika itu saya kira baru pukul sembilan pagi.

"Macam mana dengan kau?" soal datuk.

"Bila ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Perlis sambil mengamalkan ilmu yang diajar oleh ayah pada saya, tujuannya untuk mempertahankan diri tetapi.." Dumba terus berhenti bercerita, matanya merenung sayu pada datuk dan saya.

Datuk, tidak putus asa, dia terus mendesak Dumba bercerita.

Kata Dumba, sampai di Perlis dia menetap di Kuala Perlis dan bekerja dengan kapal kecil yang berulang alik dari Kuala Perlis ke Setul (sebuah tempat di Selatan Siam).

Bila ada orang-orang Siam yang bersikap kasar dan menyakitkan hatinya, dia menggunakan ilmunya untuk membinasakan mereka.

"Saya akhirnya menikah dengan orang Kuala Perlis dan berpindah ke Alor Setar dengan azam untuk membuang ilmu tersebut, tetapi usaha saya tidak berjaya.

Kerana saya berazam mahu meninggalkannya, anak pertama saya mati muntah darah, sejak itu saya terus mengamalkannya," kata Dumba.

Saya dan datuk terus memasang telinga.

"Dari Alor Setar saya pindah ke Perak iaitu di Air Tawar, dekat Sitiawan, ke Gopeng dan Hutan Melintang.

"Setiap tempat saya bernaung memang ada manusia jadi korban yang kadang-kadang berpunca dari perkara yang kecil-kecil, saya dan keluarga saya jadi kera sumbang."

"Kemudian apa yang kamu lakukan?"

"Saya pergi ke Pahang dan akhirnya menetap di sini, saya tidak sanggup lagi nak jadi pembunuh.

"Paling kurang setahun mesti seorang saya korbankan dengan santau kalau tidak diri saya akan jadi korban, saya tersepit sekarang," Dumba berterus-terang dengan datuk.

Datuk terus memisahkan kedua-dua kepala lututnya yang bertemu dengan kepala lutut Dumba.

Begitu juga dengan tangannya yang menindih tangan Dumba.

Datuk mengisut kebelakang hingga terjadi ruang jarak selebar dua kaki antara Datuk dan Dumba.

Di luar hujan rintik-rintik segera bertukar menjadi hujan panas yang agak lebat. Tempiasnya masuk ke dalam bilik.

Datuk tidak mengetahui isi hati Dumba sampai ke akar umbinya. Bila semuanya perkara sudah diketahui akan memudahkan kerja datuk.

"Awak bermusuh dengan Mahyuddin?" soal datuk.

"Ya, salah seorang anak sahabat karibnya jadi korban saya, perkara itu terjadi secara tidak sengaja.

"Ketika itu janji saya dengan ilmu yang saya tuntut sudah cukup tempohnya, saya harus memberikan satu nyawa.

"Orang yang saya pilih adalah orang luar tetapi, ketika saya melepaskan santau dari kuku, anak sahabat karib Mahyuddin melintas dan muntah darah."

"Mahyuddin tahu hal ini?"

"Dia tahu tetapi, usahanya untuk membinasakan saya tidak berjaya kerana dilindungi oleh ilmu saya."

"Kau sebenarnya mahu membunuh aku pagi itu, kerana aku dapat tepis angin yang datang, pemandu balak itu jadi korban."

"Ya saya mengaku, awak orang luar dan saya kira awak adalah mangsa saya, sayangnya sangkaan saya tidak tepat, rupa-rupanya awak tidak berjalan dengan lidah dan gigi saja, awak ada isi."

MENGELUH

Datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh.

Dumba hanya melihat apa yang datuk lakukan dengan mulut separuh terbuka.

"Kau mahu memisahkan dirimu dengan ilmu Santau Dumba?" soal datuk.

"Ya."

"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi. Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan.

Bila tiang meja dari buluh itu dipecahkan, seluruh lantai bilik itu dipenuhi dengan kaca-kaca yang halus, rambut dan serbuk dari miang buluh.

"Ini ibu santau?" tanya datuk.

Dumba anggukkan kepala. Datuk tidak berani menjamah benda-benda itu. Datuk seluk saku baju sebelah tangan.

Tamat siri 48/284

BACA: SBDJ Siri 47: Bila Syaitan Datang Menguji
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM